Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Jun 14, 2009

Umrah 2005 - Akhirnya Jabal Nur dan Gua Hira...

Nota: Semua gambar yang ada ini 'dicilok' dari Internet kerana saya tidak pernah mengambil apa-apa gambar semasa berada di Mekah. Malah sejak sebuah kamera murah saya dicuri orang ketika berada di Prague, Republic of Czech memaksa saya membeli sebuah kamera second-hand pula di bandar lama Eropah itu saya cuma memiliki kamera penghujung tahun 2006. Harap maklum...


Rujuk pada artikel Umrah 2005 - Jodoh terbaruku ditemui di Mekah? Maka dengan tiba-tiba sahaja saya sudah memiliki seorang bakal isteri baru yang dipanggil di sini sebagai F. Tinggal lagi 2 atau 3 hari lagi di tanah suci Mekah sebelum jemaah kami kembali ke tanah air (kami berada di Madinah 2-3 hari dan di Mekah lebih 10 hari, dua minggu kalau tak salah ingatan), segala perkara berkenaan umrah terasa sudah cukup dibuat. Lihat artikel Umrah 2005 - 11 kali 3 perkara. Maka sampailah masa untuk melaksanakan beberapa hajat tertunda...

Adapun sejak sekian lama, saya ada memikirkan jika satu hari saya sampai ke Mekah, saya ingin sekali membawa Nur pergi bersama menghadap Multazam iaitu pintu Ka'bah. Sebaliknya keadaan telah bertukar teruk selepas itu dan kemungkinan untuk kami bersama ke sana pada bila-bila pun boleh dikatakan sudah langsung hilang. Sekarang saya sudah ada seorang bakal isteri baru, F. Apa kata bawa dia pula ke pintu Ka'abah dan lihat apa yang berlaku.

Saya pun mengajaknya ke sana seraya ingin membuat tawaf sunat. Seorang kakak dari jemaah kami turut menemani memandangkan kami bukan muhrim. Dipendekkan cerita, ketika merentasi orang ramai yang berhimpit-himpit dari perkarangan dalam Masjidil Haram hinggalah ke Ka'abah, kami jadi terpisah. Maka saya ke hadapan pintu Ka'abah itu seorang diri lalu mendapat satu isyarat yang jelas. Bahawa F sebenarnya bukan untuk saya. Sebaliknya kehadirannya dalam hidup cuma sementara untuk menolong menghilangkan kegelisahan di Mekah dan menjadikan saya lebih ceria.

Esoknya saya pun mula mengatur langkah untuk pergi ke satu tempat yang teringin sangat dijejaki iaitu bukit Jabal Nur dan naik ke atasnya untuk ke Gua' Hira di mana Nabi Muhammad Rasulullah SAW pertama kali mendapat wahyu ketika baginda berumur 40 tahun. Sebenarnya saya ada menyimpan niat untuk ke sana sebaik sahaja berjaya menunaikan umrah yang pertama. Dan lagi bukit itu telah saya lihat agak dekat ketika jemaah kami dibawa berjalan-jalan naik bas, kalau tak salah ingatan pada hari kedua di Mekah. Melihatnya, baru saya sedar bukit itu boleh tahan tinggi, kalau tak salah ingatan lebih kurang 1,600 kaki tinggi dari jalan terdekat yang boleh dimasuki kenderaan bermotor.

Dari paras laut pula rasanya ia lebih 2,000 kaki, mungkin 2,400 kaki tinggi. Timbul juga rasa risau, apakah saya mampu memanjat sampai ke atas kerana stamina saya bukanlah begitu hebat sejak dua menjak itu akibat kurang bersenam. Tetapi apabila mengingatkan seorang perempuan seperti Nur pun sudah dua kali sampai ke atas, timbul rasa malu. Rasanya bagaimana semput sekali pun keadaan saya nanti, saya akan cuba juga sampai ke atas.

Tetapi apabila saya memberitahu niat untuk mendaki Jabal Nur, terus ibu saudara menempelak. Katanya jangan susahkan orang, nanti hilang ke hapa atau berlaku apa-apa dia juga yang susah kerana dia dan suaminya memimpin jemaah kami dan merupakan pemilik syarikat yang membawa kami umrah. Kata ibu saudara, kalau nak pergi sangat kena ada orang yang pakar. Sedangkan dia dan suami yang sudah lebih 20 kali pergi ke Mekah pun tidak pernah sampai ke Jabal Nur begitu juga kenalan-kenalan mereka di sana yang sesetengahnya sudah duduk di kota suci itu lebih 10 tahun. Mahu sahaja saya menyebut, saya sudah pergi ke bermacam-macam tempat dan negara seorang diri, kira OK je. Tetapi saya takut jadi takabur pulak lalu dihukum Allah kerana 'badi' tanah suci jangan dibuat main-main wooo. Jadi saya pendamkan niat untuk mendaki Jabal Nur buat beberapa lama...




Perubahan keadaan di depan Multazam atau pintu Ka'abah meyakinkan saya untuk memanjat Jabal Nur tak kiralah apa yang berlaku nanti, tanpa pengetahuan ibu saudara dan sesiapapun ahli jemaah. Petang hari Khamis kalau tak salah ingatan, selepas solat Asar di Masjidil Haram saya melangkah keluar mencari van sewa ke kaki bukit yang terletak sekitar 5 km dari Masjidil Haram. Hmm... petang Rabu ke Khamis sebenarnya yek? Yang pasti memang tinggal 1-2 hari lagi untuk kami berada di Mekah dan saya pasti kami meninggalkan tanah suci pagi Jumaat kerana baru tadi teringat telah bersolat Jumaat di Masjid Terapung di Jeddah sebelum menaiki pesawat kembali ke tanah-air.

Allah! Lagi sekali saya hilang kepastian. Apakah peristiwa saya terpisah dengan F di hadapan Ka'abah itu berlaku selepas memanjat Jabal Nur atau selepasnya? Kerana terdetik pula kemungkinan bahawa saya mengajak F ke Multazam itu pada malam Jumaat kerana memang mahu mengambil berkat malam suci. Yang pasti dalam perjalanan ke Jeddah kami tidak lagi berbual-bual atau cuma berbual sedikit. Ketika itu saya sudah pasti kami harus merenggangkan diri.

Sebelum atau selepas itu ada kepentingannya yang tersendiri. Kerana kalau selepas, bermakna betul sangatlah kata-kata awal bahawa saya membuat keputusan untuk ke Jabal Nur setelah pasti jodoh saya dengan F tidak akan ke mana. Kalau sebelum, ini bermakna apa yang bakal berlaku di atas Jabal Nur, di Gua Hira' tempat Nabi mendapat wahyu itulah yang menyebabkan saya dengan F terpisah di hadapan Ka'abah.

Apapun saya pun sampai ke kaki Jabal Nur dengan van sewa yang selalu mengambil penumpang ke sesuatu destinasi dengan sekurang-kurangnya 8 orang sebelum bergerak. Kalau tak salah ingatan, dari tempat letak kereta yang ada, saya berjalan kaki mendaki bukit melepasi sebuah kawasan perumahan dengan deretan kedai sebelum sampai ke kawasan botak berbatu-batu yang menandakan pendakian sebenar bermula. Aduh, nampak begitu sayup puncaknya di atas sedangkan saya perlu sampai ke sana jika mahu melihat Gua Hira'. Kalau tak memikirkan Nur pun sudah 2 kali sampai, ada kemungkinan juga saya akan mengalah.

Oh, teringat berdekatan kawasan letak kereta tadi ada papan-tanda kerajaan yang menyebut kata-kata lebih kurang begini : "Rasulullah SAW tak menyuruh kita memanjat bukit dan gunung-ganang." Ish, ada-ada sahaja le kau Labi al Wahabi al Lahabau. Teringat pula papan tanda di tapak rumah kelahiran Nabi dan telaga Jiranah. Lihat artikel Umrah 2005 - Lain-lain tempat di sekitar Mekah.

Pendakian diteruskan dengan saya bergerak sederhana laju, tidak terlalu perlahan tidak terlalu pantas. Tetapi istiqamah terus mendaki tiada henti sambil menjaga nafas. Nasib baik juga separuh jalan ada bahagian-bahagian yang disimen menjadi tangga. Yang pelik terdapat ramai peminta sedekah yang kaki dan tangannya kudung, badan terlipat-lipat, langsung tak boleh berdiri, duduk pun membongkok ke tanah. Bagaimana mereka boleh sampai sehingga ke separuh ketinggian Jabal Nur sedangkan orang yang sifat walafiat pun belum tentu dapat mengumpulkan tenaga dan tekad untuk sampai ke atas?

Apapun berkat pendakian secara istiqamah menjaga nafas seraya berzikir mengingati Allah, saya dapat memotong sejumlah orang yang turut mendaki lalu sampai ke puncak dalam tempoh kurang setengah jam. Kemudian dari pondok di puncak saya turun sedikit ke bahagian tepian bukit yang kelihatan seperti dahi jendol "kepala hangguk kau" di gambar teratas hehe! 100 atau 200 meter sahaja berjalan menurun sedikit dari puncak kelihatan batu-batu bertulisan Arab yang menandakan seseorang sudah sampai ke laluan kecil celah batu untuk ke gua. Tapi saya memilih untuk memanjat dari atas sebelum turun ke bahagian yang kelihatan dalam gambar kedua.

Untuk pengetahuan, di bawah batu bertulisan Arab di dalam gambar itulah letaknya Gua Hira'. Tak sebesar mana pun, tingginya setakat cukup untuk saya berdiri tegak, muat untuk seorang atau dua sahaja bersolat tanpa perlu berhimpit-himpit. Alhamdulillah, ketika saya sampai tiada seorang pun orang lain yang ada sama. Syukur kepada Allah juga saya dapat mengekalkan wuduk yang diambil di Masjidil Haram tadi lalu mula bersolat kemudian berzikir sendirian, sekitar 10 minit kemudian baru beberapa orang lain pelawat mula kelihatan.






Saya pun mula beralih ke atas batu hampar yang bertindak sebagai bumbung Gua Hira'. Ketika itulah saya baru sedar betapa cantiknya pemandangan yang terhampar! Masyaallah! Boleh kelihatan Masjidil Haram dan Ka'abah nun 5 km jauh dengan segala macam bangunan padat dan bukit-bukit yang berbatu-batu tanpa tumbuhan yang turut membentuk landskap Mekah!

Dalam saya sedang sedap menikmati pemandangan kelihatan seekor burung helang terbang dekat menyusuri angin, sempat mendengar bunyinya keluar seperti burung falcon dalam cerita bersiri "Beastmaster" lagaknya. Seketika itu juga timbul satu rasa bahawa inilah sebabnya Rasulullah SAW sanggup berjalan kaki berulang-alik 5 km kemudian mendaki tinggi Jabal Nur untuk ke Gua Hira'. Pemandangan yang terbentang memang cukup indah. Namun ada juga bukit-bukau lain yang tidak kurang tinggi di sekeliling Mekah boleh didaki untuk mendapatkan pemandangan yang indah. Jadi mengapa tetap dipilih Jabal Nur juga?

Jawaban yang terpancar dalam hati, lihat sekeliling dan perhatikan segala bukit-bukau yang ada. Semuanya berbentuk lebih kurang sama, menguncup tajam ke atas sedangkan Jabal Nur seperti melengkuk dan melebar, maaf, seperti kepala jendul orang hehe! Apapun saya dapat merasakan sebagai seorang anak jati Mekah yang mengenali segala selok-belok sekitarnya, apa lagi saya pasti baginda seorang yang sangat adventurous dan suka melihat keadaan dunia yang luas, baginda sudah menjelajah seluruh sekitarnya lalu menemukan tempat yang dirasakan paling menenangkannya iaitu Gua Hira. Di dalam gua boleh berehat dengan batu hampar sebagai bumbung, naik atas batu hampar pula boleh melihat jauh sehingga terpana dengan pemandangan yang luas terbentang.

Sambil itu saya terasa seperti dapat memahami hati nurani baginda. Nabi Muhammad SAW berjalan kaki 5 km dan memanjat tinggi Jabal Nur di mana pada zaman baginda boleh kelihatan bangunan Ka'abah penuh berhala. Seketika itu juga timbul satu rasa ketenangan yang lebih enak daripada apa yang sudah dicapai sekitar Ka'abah sepanjang tempoh menunaikan umrah! Apakah ini disebabkan kerana pada hakikatnya keliling Ka'abah kini dipenuhi berhala-berhala yang ghaib yang merupakan hati-hati manusia yang cintakan dunia dan harta sehingga sanggup menyisihkan peranan sebenar Rasulullah SAW dan keluarga baginda para Ahlul Bait dalam memartabatkan Islam dan para penganutnya?

Saya berehat lagi di atas memandang sekeliling. Terfikir pula alangkah enaknya jika Nur turut berada sama. Tentu dia suka pemandangan cantik terbentang ini. Oh, sebenarnya di atas batu hampar di atas Gua Hira' inilah saya pertama kali terbetik untuk memanggil gadis ini sebagai Nur... sedangkan selama ini saya memanggilnya dengan nama lain yang turut digunakan sebagai pengenalan dalam dunia seni tanahair. Apapun memang ada perkataan 'Nur' dalam nama sebenarnya.

Siapa sangka apabila kembali ke tanah air nanti, memang apa yang berlaku ada kena-mengena. Saya dapat tahu bahawa selama saya berada di Madinah dan Mekah, Nur buat pertama kalinya telah pergi ke Palembang, Indonesia dengan seorang bapa saudara kerana di sana terdapat ramai Sayid dan Sharifah dari suku kaum terdekatnya. Lalu dia memberitahu, semua orang di sana memanggilnya Nur sedangkan sebelum itu tidak pernah ada orang memanggilnya dengan nama itu waima ahli keluarga sendiri. Apapun itu dah melangkah ke hadapan... kembali kita ke Gua Hira' sebentar.

Apabila ternyata semakin ramai orang mula muncul di gua itu, saya pun mula menutup mata melayan berzikir seorang diri. Oh, kalau tak salah ingatan sebelum itu saya sempat membaca Hizib Fatah dan Hizib Bahr susunan wali Allah Sheikh Abul Hassan Syadzili yang berketurunan Saiyidina Hassan RA, melalui buku yang dibawa dari Malaysia. Kemudian baru menutup mata melayan zikir seorang diri.

Sedikit waktu kemudian saya membuka mata. Tengok-tengok di hadapan cuma 5 kaki gitu duduk seekor beruk besar di atas batu hampar sambil menghadap memerhatikan saya! Dan beruknya jenis baboon seperti yang pernah dilihat ketika berhenti di satu perhentian dalam perjalanan dari Jeddah ke Madinah. Sila rujuk artikel Umrah 2005 - Susahnya nak berhenti rokok!

Pada mulanya terfikir juga apakah saya sedang berkhayal atau beruk itu sebenarnya bayangan dari Tuhan akibat otak saya yang selalu bersifat seperti otak katun? Saya melihat ke belakang menghala ke pintu masuk ke Gua Hira'. Ternyata sudah ramai orang hampir sahaja seperti dalam gambar kedua di atas. Dan separuhnya adalah wanita, rupa-rupanya jemaah dari Iran, rasanya semuanya lebih 50 orang gitu...

Yang kelakarnya, mereka diserang banyak beruk jenis baboon seperti yang bersua empat mata dengan saya di atas batu hampar, lebih 10 ekor. Bertempiaran lari sang wanita, ada yang beg mereka dicuri dan di bawa lari ke bahagian tengah lereng bukit lalu sang beruk mula menggeledah isi beg, hehe!

Dengan ini tamatlah segala luahan yang ingin dibuat melalui siri cerita "Umrah 2005". Jadilah cerita ini artikel ke 525 di sini sedangkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi telah ditamatkan satu siri lain luahan tentang zaman kolej ketika membuat "A" Levels lebih 20 tahun lalu untuk menjadikan artikel ke 333 di situ.

Di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pula telah ditamatkan sedikit lebih awal siri artikel tentang replika rumah tradisional di Taman Mini Malaysia, Melaka untuk membentuk artikel ke 239 di sana. Sementara itu proses penterjemahan buku Ahlul Bait (sila lihat artikel Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain... telah melepasi 460 mukasurat. Yang tinggal cuma bahagian penutup dan sedikit lampiran ataupun appendices sahaja.

Maka sukacita dimaklumkan, dengan ini dapatlah saya menutup segala cerita lama dengan kudis-kudisnya sekali dengan tenang. Insyaallah dapatlah saya bersiap elok untuk melangkah ke bumi asal datuk-nenek saya dahulukala iaitu Aceh tengahari esok bersama isteri tersayang. Selamat maju jaya semua! :]

p/s:
Pada 29 Jun 2010 saya telah membuat sedikit semakan menggunakan perisian Google Earth lalu mendapati puncak Jabal Nur adalah sekitar 1900 kaki tinggi dari paras laut. Sedangkan Masjidil Haram dan Kaabah terletak pada ketinggian sekitar 1000 kaki gitu...