Awal pagi Isnin 1 Oktober 2012, hari kelima perjalanan. Setelah berehat beberapa jam di masjid Kampung Gemuruh berdekatan Kuala Terengganu kami pun bersedia untuk menyambung perjalanan.
Dengan pakaian bersih yang lebih selesa, pakaian dalam beg yang terkena tempias hujan lebat dalam perjalanan dari Tanah Merah ke Machang seterusnya masuk ke Terengganu petang Ahad tetapi dapat dikeringkan di bawah kipas besar masjid, saya dan Zaidi meluncur laju mengambil satu bahagian lebuh raya Pantai Timur yang baru dibuka. Berhenti sebentar untuk mengambil gambar...
Kami meninggalkan Kampung Gemuruh tadi hampir jam 3 pagi. Keluar dari lebuh raya berdekatan Bukit Besi lalu singgah minum di warung ini 4 pagi.
Dari warung kami boleh ke destinasi utama seterusnya iaitu Pasir Raja yang terletak di kawasan ceruk hutan Ulu Dungun. Tetapi kami terpaksa berehat dahulu di masjid Bukit Besi sehingga Subuh kerana motosikal saya kekurangan minyak... nak sampai ke Pasir Raja yang terletak hampir 40 km perjalanan tu boleh tapi takut tak cukup minyak untuk berjalan lagi 40 km keluar ke jalan besar.
Kalau cukup minyak pun ada eloknya kami menunggu matahari naik jika mahu melihat pemandangan sepanjang jalan dari sekitar Bukit Besi ke Pasir Raja yang mengikut laluan menghulu Sungai Dungun. Kami sarapan dahulu di Bukit Besi, bersama seorang pakcik (tidak kelihatan dalam gambar) yang dikenali di masjid. Sebelum meninggalkan tempat ini kami sempat melihat bekas lombong besi yang didirikan zaman British. Lihat artikel
The
iron ore mines of Bukit Besi di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Dari Bukit Besi kami menghala kembali ke arah lebuh raya kemudian terus ke utara sebelum bertemu simpang ke Pasir Raja. Jalan yang sama juga boleh membawa ke air terjun Chemerong, destinasi kami yang seterusnya.
Menariknya di jambatan yang menyeberangi Sungai Jengai, sungai yang mengalir masuk ke Sungai Dungun, barisan bendera dua parti utama Melayu dan Islam kelihatan begitu harmoni. Terasa seperti ada kesatuan di sini...
Tapi kami mesti ke Pasir Raja dahulu.
Namun apabila mendapati jalan yang dilalui masih boleh diteruskan, kami memilih untuk meneroka hingga ke hujung. Ternyata apabila sampai jalan mati ada laluan hutan yang pernah digunakan oleh pahlawan Melayu dahulukala terutama Mat Kilau. Lihat
The
end of the road after Pasir Raja.
Selepas itu baru kami ke Pasir Raja...
Kelihatan papan tanda ke tempat bernama Bumbung Raja juga.
Kami meneroka dahulu persekitaran Pasir Raja. Kampung pendalaman ini terletak sangat hampir dengan aliran Sungai Dungun. Lihat
Dungun
river at Pasir Raja.
Kemudian baru ke Bumbung Raja.
Kemudian kami berpatah balik ke arah utara sekitar 12 km untuk ke air terjun Chemerong. Kali ini baru kami betul-betul menyeberangi Sungai Dungun... setelah melihatnya beberapa kali dari pelbagai sudut. Lihat
Dungun
river towards Chemerong.
Kami mula terasa tak sabar hendak mandi air terjun. Maklumlah kami sebenarnya tak sempat lagi mandi pagi.
Bayangkan dari Subuh berjalan-jalan singgah banyak tempat, dekat jam 11 baru hendak menghampiri tempat mandi.
Tapi itu baru nak menghampiri. Bila sampai ke hutan lipur Chemerong kami masih perlu berjalan kaki 1 jam malah mendaki kaki gunung untuk sampai ke air terjun.
Sebenarnya kalau setakat nak mandi dekat-dekat pintu masuk hutan lipur pun dah ada kolam dan air terjun yang cukup menarik. Tapi kami mahu masuk melihat air terjun tinggi yang terletak jauh di dalam hutan pergunungan. Memandangkan kami akan memakan masa mendaki kemudian mandi kemudian mengambil waktu untuk turun balik, kami mengambil langkah keselamatan membungkus motosikal dengan poncho. Dengan cara ini kami dapat melindungi kenderaan dari hujan dan insyaallah sedikit barangan yang ditinggalkan tidak akan dikacau.
Dipendekkan cerita kami pun sampai ke air terjun tinggi Chemerong. Kelihatan saya sedang membuat posing ala-ala berhala besar di Batu Caves untuk menunjukkan betapa tingginya air terjun, Lihat artikel-artikel berikut...
Tengok. Melepak santai kami woiiii lepas mandi.
Puas mandi kami pun mengorak langkah kembali ke Lembah Kelang dengan mengambil laluan utama dalaman (bukan lebuh raya dan bukan laluan pantai) Pantai Timur. Sampai di tempat yang saya tak ingat nama ini baru kami makan tengah hari.
Kalau ikutkan makan tengah hari apa? Semenjak sarapan di Bukit Besi baru kini kami makan, itupun sudah jam 4 petang. Mana tak semasa turun kaki gunung air terjun Chemerong tadi saya yang sudah berumur 42 tahun nyaris-nyaris pitam? Itupun saya gagahkan berjalan juga tanpa pertolongan walaupun dengan langkah perlahan... langkah yang kembali normal setelah lebih kurang 15 minit melawan penat dan desakan badan untuk terlentang. Semasa menyemak peta di sini pula saya mendapat tahu tentang kewujudan satu tempat menarik di Kemaman. Kami pun membuat keputusan untuk melihatnya.
Tapi mula-mula kami tersilap mengambil simpang. Sampai satu tempat saya mendapati meter motosikal menunjukkan nombor menarik.
Apapun kami dapat juga mencari tempat yang dimaksudkan. Cuma simpang masuknya lebih jauh ke hadapan.
Seterusnya saya tergerak untuk meninjau tanah perkuburan di hadapan. Ternyata ada makam seorang tokoh yang membawa senibina dari tempatnya ke Kemaman. Lihat
Makam
(Tomb of) Tok Jambi.
Tokoh tersebut juga bertanggungjawab mendirikan sebuah rumah besar yang unik. Lihat
Rumah
(House of) Jambi, Kemaman.
Oh. Di masjid tadi kami sempat sambung berehat kerana malam sebelum kami sebenarnya tak cukup tidur dan tidak dapat tidur nyenyak. Yang dapat berehat panjang adalah si Zaidi. Walaupun amat penat saya terasa susah nak duduk diam lalu keluar meninjau kawasan kampung dan sekitar.
Hampir Maghrib baru kami menyambung perjalanan menghampiri Kuantan kemudian mengambil lebuh raya menghala ke Lembah Klang. Kalau tak salah gambar ini diambil di tempat rehat Gambang. Di tempat rehat Temerloh kami berhenti lagi di mana Zaidi membelanja saya makan hidangan ikan patin bunga. Sedaaaapppp! Tapi saya terlupa mengambil gambar. :]
Kami berhenti lagi untuk minum tengah malam di tempat rehat Genting Sempah. Ini kiranya kali terakhir kami minum bersama untuk perjalanan ini. Selepas itu kami menunggang motosikal seiring sampai ke tol Gombak kemudian berpisah arah... Zaidi menghala ke selatan untuk kembali ke rumahnya di antara Bangi dan Nilai, saya pula menghala ke Batu Caves sebelum naik ke utara untuk ke Rawang kemudian membelok ke barat untuk ke Bandar Tasik Puteri. Sekian.