Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, September 16, 2010

Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula...

Sesekali seronok gak jadi 'Undertaker' pi kacau bebudak... :]

OK. Dalam tempoh sebulan dua bulan kebelakangan persoalan mengenai kewujudan dan keberadaan satu dinasti diraja berdarah Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW yang dipanggil Dinasti Al-Kamil selalu menerjah fikiran sehingga saya terasa satu siri artikel tentangnya harus dipersembahkan di blogspot ini nanti. Dengan takdir Allah, semasa membuat siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" bulan Ramadhan timbul gerak yang kuat untuk membuat siri tentang Dinasti Al-Kamil sekali berdasarkan satu perjalanan yang dibuat di Muar awal bulan puasa. Kini kedua-kedua siri sudah siap disajikan iaitu sebelum raya. Sampailah masa untuk meletakkan links berkaitan termasuk dari blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Oleh kerana siri ini dipersembahkan secara selang-seli dengan siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" ada eloknya ia dibaca seiring dengan siri mengenai perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 itu. Lihat apa yang sudah dikumpulkan pada artikel Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh . Adapun banyak ilham yang timbul dapat dipersembahkan akibat penceritaan yang dibuat dengan cara begitu, ilham yang mungkin tidak akan terbit langsung jika kedua-dua siri dibuat pada jarak masa jauh antara satu sama lain. Memangpun siri-siri ini saling menyokong apalagi apabila diketahui para peneraju Dinasti Al-Kamil pernah berpusat ke Aceh sebelum berpindah ke Muar dan kemudian ke tempat lain. Semoga dengan pengaturan yang di bawah akan timbul lagi petunjuk yang lebih bermakna. Links tentang Bukit Melawati, Putrajaya dan Brunei diletakkan sekali kerana merupakan pemangkin yang mencetus rasa...


Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh

Al-Rasyid petang Selasa 14 September @ raya kelima... umurnya genap 11 bulan 1 hari


Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Artikel terakhir siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" yang dibuat berdasarkan perjalanan saya sekeluarga ke Aceh penghujung Januari 2010 telah pun tamat dibuat sebelum raya. Untuk makluman ia adalah perjalanan pertama Al-Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan setengah ke bumi Serambi Mekah bersamaan perjalanan ketiga saya. Tadi pula saya telah berjaya menyiapkan 2 artikel melibatkan Nuruddin Ar-Raniri yang boleh menyokong mood cerita. Maka biar dikumpulkan segala links termasuk di blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk memudahkan pembaca.


Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Mukadimah berkaitan kebangkitan ummah?

The mosque of Baiturrahman at night

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Sekitar Banda Aceh

My second visit to the tomb of Teungku Chik di Tiro

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe...

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Menjejak kegemilangan Samudera-Pasai

The road uphill to an Aceh highland...

Enter Takengon and the highland fresh water lake Danau Laut Tawar

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Ke tasik 4,000 kaki tinggi dari paras laut dan satu bab mengenai penipuan degil Batak

Morning views of Takengon and Danau Laut Tawar

The journey down Takengon....

A strange 'emu farm'...

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Melihat warisan Tun Sri Lanang

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Takdir yang menyebabkan penambahan satu hari...

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Pesanan akhir dari putera mahkota si Merah Pupok?

Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara...

Hati-hati terhadap pengkhianat yang mengaku pejuang agama, bangsa dan negara


Hati-hati terhadap pengkhianat yang mengaku pejuang agama, bangsa dan negara

OK. Cerita mengenai Nuruddin dalam buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" sebenarnya merangkumi lagi satu bab. Seperti bab pertama yang telah diletakkan sepenuhnya dalam artikel Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara... tadi bab seterusnya turut diselang-selikan dengan apa yang berlaku pada saya suatu masa dahulu. Biar cerita disambung di sini dengan keseluruhan bab dicopy and paste...


--------------

ANGKARA
NURUDDIN?

MULA KEJATUHAN ACEH

(BAHAGIAN 2)


Janganlah engkau mendirikan sembahyang dalam masjid itu selama-lamanya.
Sesungguhnya masjid yang berasaskan takwa dari permulaan hari berdirinya, lebih baik engkau mendirikan sembahyang di dalamnya.
Dalam masjid itu ada beberapa orang laki-laki yang suka menyucikan dirinya.
Dan Allah mengasihi orang-orang yang bersuci.


- Surah At-Taubah Ayat 108


Pada suatu hari pertengahan tahun 1996, selepas kembali daripada satu temuduga kerja untuk jawatan broker komoditi, Rasyid tersilap jalan lalu ternampak bangunan sebuah syarikat akhbar berbahasa Inggeris yang terkemuka di ibukota. Ketika itu, pemuda ini sudah hampir setahun kembali ke tanah-air setelah menetap empat tahun di England untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik daripada University College of London... Tetapi dia belum lagi memiliki apa-apa pekerjaan tetap.

Keluarganya sudah lama bising-bising sedangkan anak muda ini sedang kehilangan arah hidup. Dahulu, dia pernah berminat untuk menjadi seorang saintis dan pakar matematik merangkap pemimpin yang berpengaruh, mungkin dalam dunia politik tetapi minat ini sudah lama pudar akibat perubahan kecenderungan hidup yang berlaku beberapa tahun kebelakangan.. Maka apabila keluar sebuah iklan untuk jawatan broker komoditi di Kuala Lumpur, Rasyid pergi menghadirinya untuk melihat apa yang ditawarkan... Mungkin ada sesuatu yang menarik di sana?

Tidak disangka pula, setelah kembali daripada temuduga, pemuda ini boleh tersilap jalan lalu ternampak bangunan syarikat akhbar terkemuka berbahasa Inggeris yang dimaksudkan. Ini membuatkannya tergerak untuk ke sana bertanyakan kerjaya yang ada... Dipendekkan cerita, sebulan kemudian Rasyid mula berkhidmat sebagai seorang wartawan, satu kerjaya yang seumur hidup tidak pernah terlintas akan diambilnya. Maklumlah, selama ini dia lebih cenderung ke arah bidang sains dan matematik tulin serta perkara-perkara berkaitan, tak pun dunia perkomputeran. Membuat karangan di sekolah pun malas, tiba-tiba boleh jadi wartawan. Hmm...

Pada awalnya, Rasyid setakat berniat untuk bekerja sementara sahaja... Paling lama pun setahun sementara memikirkan apakah kerjaya yang lebih sesuai dengan kecenderungan jiwanya ketika itu. Tetapi ternyata kerjaya sebagai wartawan agak menyeronokkan, Ia membolehkannya berjalan ke merata-rata tempat mengenali berbagai jenis manusia daripada segenap lapisan masyarakat. Bergaul begitu memang salah satu kegemarannya!

Makin lama, pemuda itu terasa semakin serasi dengan kerjaya ini. Sebagai wartawan, dia dengan senang boleh bergaul dengan golongan berkuasa yang membentuk polisi serta hala-tuju pemerintahan negara... Berjumpa dengan jemaah Menteri sampailah ke Perdana Menteri sudah menjadi makanan harian. Maka Rasyid dapat mengemukakan idea-idea tertentu yang akhirnya menjadi kenyataan apabila ia diguna-pakai.

Anak muda ini teringat bagaimana dia telah mengemukakan satu idea tertentu kepada seorang Menteri yang baru sahaja memegang sebuah kementerian. Ketika berlangsung sebuah press conference atau sidang akhbar di ibu pejabat kementeriannya, Rasyid memberikan pendapat... Apakata jika diperkenalkan sebuah logo umum untuk semua barangan buatan Malaysia, sepertimana barangan buatan Britain boleh jadi terserlah dengan logo berdasarkan bendera Union Jack... Supaya barangan buatan Malaysia juga lebih visible, lebih senang dikenali tidak kira di mana jua ia berada.

Menteri itu tertarik dengan idea tersebut lalu membuat kenyataan pihaknya akan menerbitkan logo sebegitu. Para wartawan yang hadir pula dapat modal baru untuk dijadikan cerita. Hasilnya, muncullah logo tiga warna berbentuk “Swoosh”, lebih-kurang seperti lambang kasut Nike. Ia boleh dilihat berserta perkataan “Buatan Malaysia” pada kotak-kotak serta berbagai jenis bungkusan barangan buatan Malaysia sehingga ke hari ini!

Kepetahan Rasyid bersoal-jawab dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu sambil mengemukakan berbagai cadangan bernas menyebabkan dia senang diterima juga dikenali ramai. Cuma perangainya yang tidak menurut protokol dan suka berpakaian santai menyebabkan ada pihak kurang senang... Begitu juga keberaniannya berkata-kata di kala yang lain terkunci mulut. Lalu ada yang menganggapnya tidak tahu menghormati (atau membodek?) pihak atasan... Apa boleh buat? Itukan lumrah alam...

Awal tahun 1999, pemuda yang semakin lama semakin suka memakai pakaian santai ini telah ditukarkan daripada meja berita ke meja sukan… Lama juga dia termenung memikirkan apakah yang boleh dicapai. Maklumlah, dari segi hierarki kewartawanan, ia dikira elok sedikit sahaja daripada bahagian hiburan, terlalu jauh daripada bahagian meja berita yang boleh mempengaruhi polisi Parlimen serta hala-tuju pemerintahan negara. Bagaimana mahu memanfaatkan pemikiran kritis serta anugerah pelbagai ilham melibatkan kenegaraan yang dimiliki ke dalam meja sukan?

Rupa-rupanya ada hikmah besar di sebalik pertukaran ini. Sukan adalah satu bidang yang dapat menyatukan masyarakat pelbagai negara, ideologi dan agama, seperti ternyata dalam Sukan Olimpik yang disertai beribu olahragawan lebih 100 negara. Di kala negara-negara berlainan kepercayaan dan pegangan boleh berperang demi menegakkan pendirian masing-masing, sukan pula menjadi medan neutal yang membawa mereka ke meja persidangan seterusnya bersatu hati menghadapi cabaran hidup.

Walaupun meja sukan tidak dipandang serius seperti business desk, meja perniagaan yang melibatkan perancangan ekonomi makro dan mikro apalagi meja berita nasional yang lebih dekat kepada golongan penguasa dan pemerintah negara, ia masih mempunyai peranan penting dalam membentuk jiwa masyarakat terutama golongan belia. Apabila sudah beberapa bulan bertugas di sana, Rasyid juga dapat melihat ramai golongan berkuasa termasuk jemaah Menteri malah Perdana Menteri sendiri turut terlibat di dalam sukan atau persatuan-persatuan sukan, samada secara langsung ataupun tidak langsung. Maka dia masih boleh mengemukakan idea-idea yang dirasakannya dapat menolong membentuk negara kepada pihak-pihak yang sanggup mendengar dan mampu melaksanakannya.

Lebih seronok lagi, oleh kerana bidang sukan memerlukan pemuda itu sentiasa turun padang ke stadium dan gelanggang permainan, dia dibenarkan memakai pakaian lebih santai seperti t-shirt lengan pendek berkolar bulat dengan seluar cerut. Pakaian sebegini mula menjadi pakaian hariannya walau di pejabat... Walau ketika berjumpa Perdana Menteri dalam sidang akhbar yang dihadiri ramai VIP memakai full-suit! Dan tidak seperti yang disangkakan awal dahulu, penulisan sukan tidak perlu dihadkan kepada perkembangan athlit dan pencapaian sesuatu sukan. Ia boleh dikembangkan untuk meliputi polisi-polisi kenegaraan serta sudut intelektual asalkan digarap penuh kreatif dalam konteks yang bersesuaian.

Sebenarnya penulisan sukan memberikan lebih banyak kebebasan berbanding penulisan laporan berita nasional yang lebih straight-forward. Penulis digalakkan memberi interpretasi sendiri asal disokong fakta-fakta yang kukuh serta pengalaman yang sesuai. Peluang inipun digunakan Rasyid untuk membawa persoalan yang lebih jauh lalu menjurus kepada proses pembentukan ketamadunan negara. Misalnya di kala rata-rata penulis sukan hanya bercakap tentang kemeriahan, prestij serta nama-nama besar pelumba yang terlibat di dalam acara Formula One yang diadakan buat pertama kalinya di Malaysia (juga pertama-kali di Asia luar Jepun) Oktober 1999, anak muda ini pula menyelitkan analisis faedah jangka-panjang penganjuran sukan sebesar itu ke atas negara... Fikirkan, bagaimana sukan yang mempunyai beratus juta peminat setia seluruh dunia ini boleh menjana perkembangan ekonomi negara serta penyaluran teknologi automotif tercanggih kepada tenaga kerja tempatan. Kesannya terhadap wawasan Malaysia untuk menjadi negara maju tidak boleh diendahkan...

Malah bidang ekuestrian atau sukan berkuda (bukan lumba kuda yang melibatkan perjudian ya!) yang selama ini lebih diminati golongan elit turut diangkat supaya lebih ramai lapisan masyarakat dapat terlibat. Jika sebelumnya, ekuestrian kurang mendapat liputan kerana golongan sasarnya terlalu kecil akibat dikira berada di luar kemampuan umum, Rasyid berusaha keras mencari jalan agar ia boleh diterima semua... Salah satunya dengan mengenengahkan endurance racing atau sukan berkuda lasak jarak jauh yang mampu disertai golongan petani biasa di Eropah serta cara-cara mengendalikannya di Malaysia. Lagipun Sunnah Rasulullah SAW ada menggalakkan ummah agar menunggang kuda... Selain menjadi kenderaan, ia mengandungi rahsia untuk memantapkan kesihatan, meningkatkan daya-fikiran malah kekuatan kerohanian serta daya kepimpinan seseorang! Ia boleh digunakan untuk menjana masyarakat yang lebih sempurna...

Rasyid juga menggunakan penulisan untuk mendedahkan salah-laku dalam dunia sukan selain memberi cadangan bagaimana ia boleh diperbaiki. Nawaitunya adalah supaya suatu acara atau persatuan itu dibawa kembali kepada matlamat asal memajukan sukan supaya belia yang terlibat lebih sihat rohani dan jasmani. Dia tidak suka mana-mana individu bermain politik keji, menggunakan sesuatu acara atau persatuan untuk menaikkan nama supaya dapat meraih kedudukan di persada politik tanah-air atau meluaskan peluang perniagaan sendiri. Lalu anak muda ini mula mencipta nama sebagai seorang wartawan sukan yang prolifik lagi berani berkata benar... Ada sahaja idea yang dikemukakan... Ada sahaja isi boleh diguna-pakai dalam menyemarakkan bidang sukan seterusnya pembentukan masyarakat lebih positif ke arah Malaysia mencapai taraf negara maju.

Rasyid semakin seronok menulis sehingga dia membuat keputusan untuk terus berkhidmat sebagai wartawan di syarikat tersebut walaupun ada beberapa pihak lain menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lebih lumayan berserta bidang kuasa yang lebih besar. Pada pemuda itu, yang penting penulisannya mendapat ruang dan perhatian. Selama inipun dia kurang memandang wang kerana jika itulah yang dia mahu, dahulu lagi dia boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih menguntungkan dari segi materialistik. Tetapi sudah jadi adat manusia biasa, tidak semua pihak merasa senang melihat Rasyid semakin mendapat tempat dan perhatian...

———————————

Tidak dinafikan, kitab Bustanus Salatin karangan Nuruddin Al-Raniri mengandungi banyak panduan berguna, lebih-lebih lagi kerana ia ditulis berserta tarikh penobatan seseorang raja, tarikh kemangkatan serta peristiwa-peristiwa berkaitan. Sebelum itu, jarang terdapat kitab Melayu yang menyertakan tarikh berlakunya sesuatu peristiwa. Ketokohan Nuruddin sebagai seorang penulis dan sasterawan juga boleh diakui kerana kitab-kitab karyanya yang berjumlah sekitar 25 buah merupakan sumbangan yang berharga terhadap khazanah kesusteraan agama di Aceh. Isi kitab-kitab ini menunjukkan beliau memang mempunyai pengetahuan mendalam berbagai cabang ilmu agama Islam terutama Tasawuf.

Sekarang, fikirkan dari sudut lain pula. Apakah tidak mungkin fatwa Nuruddin menghukum sesat dan zindiq fahaman Wujudiyah dan Martabat Tujuh sehingga menyebabkan kitab-kitab Sheikh Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai dimusnahkan sementara para pengikutnya dibunuh telah melonjakkan namanya sebagai seorang ulamak dan sasterawan ulung? Beliau naik bukan semata-mata kerana kebolehan menulis... Ini kerana tiada lagi orang ataupun kitab yang dapat menandingi ‘keunggulannya’. Semua lawan telah dihapuskan zaman itu juga.... Suara mana pula dapat menyanggah atau memberikan pandangan yang berlainan atau lebih bernas?

Disebabkan rujukan-rujukan lain telah terhapuslah, maka Bustanus Salatin muncul sebagai satu-satunya kitab yang dapat menerangkan keadaan Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani dan sekitarnya. Kitab-kitabnya yang lain pula digunakan untuk mengecam fahaman Wujudiyah dan Martabat Tujuh berserta Hamzah dan Shamsuddin serta para pengikut mereka sekali untuk memastikan ajaran ini dapat dilenyapkan daripada lembaran sejarah bumi Serambi Mekah.

Fikirkanlah... Apa yang berlaku adalah sama dengan mana-mana usaha membrain-wash masyarakat umum lalu menerapkan satu ideologi seperti yang pernah berlaku dalam negara-negara komunis zaman moden ini. Hapuskan segala pemikiran yang tidak sealiran, terapkan pula nilai-nilai yang disokong hasil penulisan baru. Bagaimana cara melakukannya? Dengan menggunakan kuku besi... Pemerintah boleh mengeluarkan fatwa... Bakar semua kitab-kitab yang diisytiharkan songsang. Hapuskan para pengikutnya sekali. Fikirkan lagi. Kalau Nuruddin betul-betul ikhlas mahu memperbetulkan akidah masyarakat Aceh, kenapa perlu begitu keras sehingga sanggup kafir-mengkafirkan lalu membunuh ramai orang?

Rasyid teringat kata-kata orang tua berketurunan Aceh di Perak yang sering menjadi tempat rujukannya dalam hal-hal berkaitan bumi Serambi Mekah. Orang tua itu pernah menyebut, Sultan Iskandar Muda dan nendanya Sultan Alauddin Riayat Shah al Mukammil termasuk pendokong dan pengamal fahaman Wujudiyah serta Martabat Tujuh yang paling kuat. Maklumlah, kedua-keduanya menggunakan khidmat Sheikh Shamsuddin Pasai sebagai penasihat agama malah pernah berguru dengannya. Sheikh Shamsuddin pula adalah anak murid Sheikh Hamzah Fansuri...

“Kalau fahaman Wahdatul Wujud itu benar-benar sesat, kenapa pula Sultan-sultan yang amat berwibawa ini berpegang teguh kepadanya?” tanya orang tua itu. “Apakah mereka tidak tahu membezakan yang bathil dengan yang haq? Apakah seorang pendatang daripada Ranir yang disokong seorang raja daripada luar (Iskandar Thani yang merupakan anak Raja Pahang) lebih tahu apa yang terbaik untuk rakyat Aceh?”

Mengikut satu sumber bacaan pula, Nuruddin pernah sampai ke Aceh pada zaman pemerintahan Iskandar Muda lalu cuba mendapat tempat di istana. Tetapi hamba Allah ini tidak dilayan malah tidak dipedulikan. Lalu pembodek besar dari Ranir (Ya! Pembodek besar. Marah Rasyid apabila memikirkan apa yang telah dilakukannya terhadap bumi Serambi Mekah) yang pernah mempelajari Bahasa Melayu di tempat kelahirannya inipun terpaksa pergi meninggalkan Aceh. Maka itu kejujuran Nuruddin dalam menerbitkan fatwa yang menghukum fahaman Wahdatul Wujud sebagai sesat dan pengikutnya layak dibunuh boleh diragukan. Mungkin dia ada motif tertentu? Ini tidak mustahil apabila dikaji lebih mendalam...

Tulisan Nuruddin dalam kitab Bustanus Salatin yang terlalu banyak mengampu serta memuji Iskandar Thani mendedahkan hatinya bukan hati ulamak sebenar yang mahu menegakkan kebenaran. Sebaliknya ini menunjukkan dia mempunyai nawaitu kurang murni dalam melibatkan diri dengan perbincangan agama serta kesusasteraan Aceh. Mungkin hamba Allah ini telah lama menyimpan dendam akibat tidak dilayan ketika Sultan Iskandar Muda memerintah? Atau dia juga mempunyai motif-motif lain yang akan menjadi nyata nanti? Sekali lagi, ini tidak mustahil apabila memikirkan bagaimana kekuatan Aceh sebagai kuasa penghalang penjajah Barat mula merosot pada zaman pemerintahan Iskandar Thani...

—————————

Ramai pengkaji sejarah percaya Nuruddin sempat bertemu dan berkenal-kenalan dengan Bendahara Johor Tun Sri Lanang, penulis kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ketika di Aceh. Mungkin ini berlaku antara 1612 ke 1615 kerana Sultan Johor ketika itu, Sultan Alauddin Riayat Shah III pernah ditawan dua kali ke Aceh, bersama beberapa orang ahli kerabat diraja serta pembesar-pembesar Johor dalam tempoh masa itu.

Mengikut kajian yang dikemukakan Pensyarah Hukum Adat di Universiti Syiah Kuala, Banda Aceh, M. Adli Abdullah dalam kertas-kerjanya bertajuk “Hubungan Aceh-Semenanjung Tanah Melayu” di Seminar Sejarah Tun Sri Lanang yang diadakan di Kuantan, Pahang setahun dua lepas, Bendahara Johor ini juga pernah menjadi penasihat Sultan Iskandar Muda sebelum meninggal dunia di Semerlanga, Aceh 1659. Maka tidak hairanlah jika Nuruddin dan Tun Sri Lanang sempat bertukar-tukar fikiran mengenai penulisan dan kesusasteraan. Mengikut satu pendapat, mereka sempat bersama mendalami bidang Tasawuf serta berbagai cabang ilmu agama semasa di sana. Malah tidak mustahil, Tun Sri Lanang menulis Sejarah Melayu berdasarkan maklumat daripada Nuruddin!

Beberapa kitab rujukan Rasyid mencatatkan bapa saudara Nuruddin, Sheikh Muhammad Jailani bin Hassan bin Muhammad yang juga berasal daripada Ranir pernah datang ke Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Perak (memerintah Aceh 1580-1585). Beliau datang untuk mengajar ilmu Fiqah, Mantiq dan sebagainya. Tetapi ketika itu orang Aceh lebih cenderung berbahas masalah Tasawuf. Lalu dia pun belayar meninggalkan Aceh untuk menuntut ilmu Tasawuf di Mekah kemudian muncul kembali di bumi Serambi Mekah pada zaman pemerintahan Sayyid al Mukammil (1589-1604) untuk menyambung perbincangan terdahulu.

Mungkin Nuruddin yang pernah ditolak Istana Aceh cuma menurut langkah yang sama. Tetapi tidak seperti Sheikh Muhammad Jailani yang kembali membawa penyelesaian kepada beberapa masalah Tasawuf yang tidak mampu dijawabnya dahulu, nampaknya Nuruddin datang kembali pada zaman Iskandar Thani dengan cita-cita yang jauh lebih tinggi - Beliau bukan sekadar mahu menangani satu persoalan Tasawuf malah mahu mempengaruhi Istana Aceh untuk memerangi dan menghapuskan fahaman Wujudiyah yang pernah menjadi tunggak kekuatan Raja-raja Aceh!

———————————

Azlan baru selesai menghabiskan tiga keping pizza serta dua gelas Pepsi. Rasyid pula terus melepaskan geram tentang apa yang berlaku di Aceh. Dia menganggap Iskandar Thani sebagai seorang pemerintah yang lemah kerana menurut sahaja kata-kata Nuruddin. Produser gameshow televisyen swasta ini menghampiri rakannya lalu memujuk...

“Janganlah marah-marah!” katanya lembut. “Janganlah disalahkan Iskandar Muda atas kemerosotan Aceh. Aku pernah terbaca sebuah pendapat mengatakan Nuruddin mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap Iskandar Thani kerana dia pernah duduk lama di Pahang. Maka itu dialah yang patut dipertanggung-jawabkan sepenuhnya dalam hal ini!”
Rasyid pun diam mendengar. Sekurang-kurangnya dia senang hati melihat Azlan bersetuju tentang peranan Nuruddin dalam kejatuhan Aceh... Adalah juga kawan yang dapat melihat apa dilihatnya...

“Menurut pendapat ini, Nuruddin telah menghalusi pengetahuan Bahasa Melayunya di Pahang lalu berkenalan dengan hasil kesusteraan Melayu yang sedia ada zaman itu seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain dan Tajus Salatin,” dia menyambung. “Ini terbukti apabila bahan-bahan dari kitab-kitab ini terbit di dalam Bustanus Salatin karangan Nuruddin.”

Kata Azlan lagi, ulamak dari Gujerat itu sempat berkenalan dengan Iskandar Thani ketika anak Raja Pahang itu masih kanak-kanak lagi.

“Memandangkan Iskandar Thani dibawa ke Aceh selepas Pahang ditakluki Aceh 1617, ketika anak raja itu baru berumur 7 tahun, maka Nuruddin mungkin sempat mempengaruhinya sedalam-dalam.”

Rasyid berfikir sejenak… Setahunya, Nuruddin datang kembali ke Aceh tahun 1637. Ketika itu Iskandar Thani sudah berumur 27 tahun dan telah memegang takhta Aceh selama setahun. Musuh-musuh utama ulamak Gujerat itu iaitu Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Shamsuddin Pasai malah Sultan Iskandar Muda yang pernah menolak Nuruddin keluar daripada Istana Aceh pula telah mangkat. Mungkin sebab itu dia diangkat menjadi mufti? Maka misi pertamanya adalah menghapuskan fahaman Wujudiyah dan pengikutnya dengan memberi fatwa bahawa ajaran itu zindiq dan sesat lalu sesiapa yang tidak mahu ‘bertaubat’ boleh dibunuh.

Sambil itu Rasyid tertanya-tanya kenapa Iskandar Thani, anak seorang Raja Pahang dapat menaiki takhta Aceh? Jika betul pun Iskandar Muda tidak mempunyai anak lelaki gahara, anak dari isteri berdarah raja yang layak menjadi raja baru, apakah tidak ada waris-waris lain di Aceh?

Setahu pemuda itu, sudah menjadi adat turun-temurun Istana Aceh untuk meletakkan kerabat-kerabat diraja terdekat sebagai Sultan-Sultan yang memerintah wilayah serta jajahan takluk Aceh seperti Pedir, Daya, Samudera Pasai dan Haru. Salah seorang Sultan ini boleh diangkat menjadi Sultan Aceh yang baru. Bukankah masih terdapat ramai lagi anak cucu keturunan Sultan Ali Mughayat Shah, pengasaskan Aceh besar? Apakah yang sebenarnya telah berlaku? Betulkah Iskandar Thani adalah pilihan utama Iskandar Muda atau itu cuma dakwaan si Nuruddin sahaja?

“Setakat ini, sumber pensejarahan berkenaan yang diketahui ramai cuma terdapat dalam kitab Bustanus Salatin karangan Nuruddin,” Rasyid meluahkan pandangan. “Maka disebut dalam kitab itu, Iskandar Thani dipilih Iskandar Muda sebagai bakal penggantinya sejak remaja lagi.”
“Kata Nuruddin, anak Raja Pahang itu dijadikan anak angkat ketika berumur tujuh tahun, dikahwinkan dengan Puteri Sri Alam, puteri Iskandar Muda oleh Sheikh Shamsuddin Pasai ketika berusia sembilan tahun lalu digelar Sultan Hussain Shah. Pada usia 10 tahun, dia digelar Sultan Mughal. Ini dikatakan tanda Iskandar Thani telah dianggap sebagai anak kandung oleh Iskandar Muda,” pemuda itu menyambung sambil menunjukkan mukasurat berkenaan dalam kitab Bustanus Salatin milik Nasri.

“Hmm... Tapi ada orang Aceh pernah beritahu aku, Sultan Iskandar Muda sebenarnya mempunyai seorang anak kandung yang ingin diangkat menjadi penggantinya iaitu Merah Peupok,” tiba-tiba Azlan menyampuk.

“Eh… Orang Aceh mana pula beritahu kamu ini?” Nasri menegur.

“Ini, orang Aceh di depan mata kita yang tidak habis-habis asyik membela Raja-raja Aceh,” dia menjawab sambil menuding ke arah Rasyid.

Mereka tertawa berderai. Anak muda itu turut tertawa sama. Nizam yang lebih banyak mendengar dan berdiam diri pula mula bersuara...

“Betul cakap Azlan itu,” katanya. “Malangnya, anak ini telah berzina dengan isteri orang lalu dihukum bunuh oleh bapanya sendiri.”

“Iskandar Muda mangkat 15 hari kemudian. Lalu ada yang berkata baginda meninggal dunia kerana patah hati,” Rasyid meneruskan. “Anak-anak lelaki lain yang diketahui wujud dalam sejarah pula tidak layak menaiki takhta. Seorang anak dari ibu gundik diberi jawatan turun-temurun menjadi ketua hulubalang yang amat berkuasa bergelar Panglima Polem untuk memerintah 22 mukim. Seorang lagi anak hasil perkahwinan dengan puteri kepada seorang raja kecil pula diberi kuasa ke atas wilayah Asahan.

“Sekarang fikirkan...” pemuda itu membuka satu persoalan. “Mungkin sebenarnya baginda mempunyai anak lain yang layak menaiki takhta? Atau mungkin ada waris lain yang bukan anak cucunya yang sepatutnya memerintah Aceh. Mungkin Nuruddin tahu tentang ini tetapi tidak menyatakannya dalam kitab Bustanus Salatin. Ini kerana dialah yang paling beruntung dengan kenaikan Iskandar Thani?” Rasyid bertanya pula.

Anak kelahiran Muar, Johor itu teringat bagaimana kitab Sejarah Melayu ada menceritakan Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka sempat berwasiat supaya seorang anak daripada isteri berketurunan Bendahara diangkat menggantikannya.... Sedangkan mengikut sumber lain pula, baginda telah lama meninggalkan istana kerana wujud komplot para pembesar untuk menjatuhkannya. Anak yang diangkat ketika masih kecil berhingus sehingga berak-kencingnyapun perlu dibasuh Bendahara inilah yang dikenali sejarah sebagai Sultan Mahmud Shah. Kezaliman raja ini akhirnya menyebaban kota Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511.

Pemuda ini pernah beberapa kali menziarahi makam Sultan Alauddin di Kampung Raja, Pagoh hampir 100km daripada pusat bandar Melaka... Pernah berbaring lama malah tidur nyenyak di sebelah batu nesan Aceh bersayap yang menandakan makam itu, serupa dengan batu nesan di makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I di Teluk Bakong, Perak, juga makam Sultan Malikus Salih di Aceh. Sambil duduk di masjid kecil sebelah berwarna kuning, dia sering tertanya-tanya... Kalau dakwaan kitab Sejarah Melayu itu betul, bagaimanakah baginda sempat berwasiat di Istana Melaka sebelum mangkat di Pagoh? Apakah ada cerita lain digelapkan terutama tentang kewujudan seorang waris yang lebih layak? Baca huraian dalam Bab 2 buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” tentang ini...

Mungkin peristiwa hampir serupa juga pernah berlaku di bumi Serambi Mekah sehingga Iskandar Thani dapat menaiki takhta Aceh. Malangnya tidak ada sumber bertulis lain daripada Bustanus Salatin untuk menyatakan apakah yang berlaku selepas kemangkatan Sultan Iskandar Muda. Maklumlah, semua kitab yang tidak sealiran dengan pemikiran Nuruddin telah dibakar dan dimusnahkan di hadapan Masjid Baitul Rahman... Maka hendak tidak hendak, kita terpaksa menganggap apa yang diutarakan oleh Nuruddin melalui Bustanus Salatin sebagai kebenaran mutlak, ya tidak?

—————————

Selepas dua tahun bekerja sebagai wartawan menerbitkan artikel atau rencana yang sering mendapat perhatian, Rasyid menghadapi masalah. Hasil-kerjanya mula susah mendapat ruang... Berbagai-bagai alasan dikemukakan seolah-olah hasil penulisannya tidak lagi layak ditatap masyarakat. Seolah-olah ia tidak lagi mencapai piawaian syarikat...

Ketika itu, meja sukan sudah dikuasai seorang pengarang yang entah kenapa, suka sangat mencari salah silap pemuda itu. Sejak dari meja berita nasional lagi, pengarang tersebut suka mencari pasal, seolah-olah cuba menundukkannya supaya ‘takut’ lalu patuh terhadap setiap ‘titah’nya.

Kebetulan kebanyakan wartawan dan sub-editor yang bekerja di meja sukan berasal daripada kaum etnik yang sama, cuma Rasyid dan dua orang rakan sahaja orang Melayu. Kebetulan juga di meja ini, cuma pemuda itu dan seorang wartawan Melayu sahaja yang memiliki ijazah, kedua-duanya lulusan daripada England. Yang lain semuanya lepas SPM Tingkatan Lima... Pengarang ini diketahui ramai sering bertindak sebagai champion atau pembela kaum etniknya. Dia nampaknya dia tidak berpuas-hati syarikat akhbar ini dikuasai Melayu di peringkat tinggi. Sesetengah penulis dari kaum etnik ini pula cukup berbangga dengan kepetahan mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris. Lalu mereka merasakan diri lebih layak memimpin akhbar walaupun ia dimiliki sebuah parti nasional Melayu.

Mungkin ini adalah salah-satu faktor pengarang ini tidak berpuas-hati dengan Rasyid? Pernah sekali, dia menegur: “You know, you Malays only have degrees because of the DEB (Kamu tahu, kamu orang Melayu memiliki ijazah cuma disebabkan Dasar Ekonomi Baru).” Maknanya, kalau tidak ada DEB maka orang Melayu tidak layak memiliki ijazah. Bukankah ini satu kenyataan bersifat perkauman yang penuh rasa iri-hati?

Mungkin kata-kata ini ada kebenarannya kerana ramai juga orang pernah menceritakan tentang wujudnya ‘arahan’ tertentu daripada pihak atasan supaya para pensyarah universiti meluluskan sejumlah peratus orang Melayu setiap tahun untuk memastikan mereka layak memiliki ijazah. Tetapi ini di universiti tempatan, bukannya di luar negara. Apakah universiti-universiti di England juga menerima ‘arahan” sebegini?

Apabila disebut tentang ini kepada pengarang itu, jawabnya: “Yeah… But you got into the university in the first place because of the DEB. (Betul itu. Tetapi kamu dapat masuk ke universiti disebabkan Dasar Ekonomi Baru).”

Nah… Apa guna lagi bercakap dengan manusia iri-hati sebegini?

Mungkin Rasyid tidak akan menghadapi masalah jika dia sedia ketawa mendengar setiap percubaan lawak-jenakanya, sanggup ‘membodek’ seperti dilakukan orang lain. Dan mungkin juga pemuda ini akan lebih senang mengambil hatinya jika dia rajin mengurat pekerja perempuan di pejabat sepertimana sering dilakukan mereka di meja sukan.. Tetapi hamba Allah ini sudah lama meninggalkan perangai buruk sebegini. Lalu dia tidak suka apabila pengarang dan ‘orang-orang kanannya’ bersiul-siul cuba menarik perhatian perempuan... Kemudian bercakap menggunakan ayat yang mengandungi sexual innuendos, ajakan-ajakan yang menjeremus kepada perbuatan seks tetapi ditabiri ayat biasa yang kononnya innocent, bersih...

Apapun, ini tidak bermakna Rasyid seorang “kera sumbang” yang tidak suka bergaul dengan orang. Cuma dia lebih suka tenggelam di dalam dunianya sendiri apabila tidak ada tuntutan kerja. Pada pemuda itu, kalau nak mengurat perempuan silakanlah... Tetapi biarlah dengan cara gentleman, bukan cara buruk-lagak seperti yang selalu mereka lakukan.

Sebenarnya agak susah untuk ‘menjaga’ hati pengarang ini kerana dia adalah jenis manusia yang suka dipandang tinggi dan ‘dihormati’ orang. Anak muda itu pula bukanlah jenis manusia yang gerun kepada orang berpangkat apalagi manusia seperti dia. Maka itu, tidak hairanlah jika pengarang ini selalu mencari salah dan silapnya atau mencari ‘pekerjaan’ yang diada-adakan semata-mata untuk menyusahkannya.

Pernah hampir jam 10 malam, dia ‘menitahkan’ Rasyid supaya mendapatkan temuduga bersama seorang pelumba terkenal antarabangsa untuk rencana hari Ahad tetapi mesti disiapkan malam itu juga. Nampaknya dia sengaja hendak menyusahkan pemuda itu kerana pertama, waktu kerja seorang wartawan sukan dijadualkan tamat 11 malam. Kedua, hari itu Jumaat, takkan tak boleh tunggu esok untuk mendapatkan cerita? Ketiga, mana ada orang menelefon begitu lewat malam untuk mendapatkan temuduga malam itu juga? Selalunya seseorang itu perlu menetapkan tarikh dan masa untuk bertemu, paling lambat pun 24 jam sebelum itu.

Nasib baik pemuda itu telah lama mengenali pelumba tersebut dan sempat menghubunginya sebelum dia berlepas ke Jepun. Kalau lambat beberapa minit sahaja tentu tidak dapat berhubung kerana dia sudah berada di dalam kapalterbang. Dipendekkan cerita, sebelum jam 10.30, siaplah rencana yang dipinta . Terbantutlah helah pengarang untuk mencari salahnya.Tetapi ini tidak bermakna dia akan berhenti menyusahkannya…

Pada satu hari, seorang ketua tertinggi sebuah kelab ekuestrian terkemuka yang juga merupakan seorang pelumba kuda jarak jauh bertaraf dunia telah menyatakan hasrat untuk membawa Rasyid ke Peranchis untuk membuat liputan acara di sana. Ketika itu, anak muda ini telah diiktiraf sebagai seorang wartawan ekuestrian terkemuka yang sanggup bersengkang mata mengikuti satu acara sukan yang kurang diminati ramai apalagi majoriti wartawan yang lebih suka melepaskan batuk di tangga apabila ‘terpaksa’ meliputi acara yang kurang popular. Sepucuk surat rasmi pun difakskan ke pejabat akhbar meminta pemuda itu dibenarkan mengikuti ketua kelab equestrian dan pelumba kuda berpangkat Datuk ini. Pihaknya juga berjanji untuk menanggung segala perbelanjaan termasuk tiket kapal-terbang, makan-minum dan penginapan di sana.

Apabila Rasyid menyuakan surat itu kepada pengarang meja sukan, dia pula menggeleng-gelengkan kepala lalu mengatakan syarikat tidak akan menerima surat permintaan seperti ini. Katanya: “You cannot specifically request for a particular reporter to cover your events. (Seseorang itu tidak boleh meminta wartawan tertentu untuk meliputi sesuatu acara).”
Pemuda inipun menghubungi pihak Datuk itu memintanya supaya menulis surat baru tanpa menyatakan nama wartawan yang dipinta. Setelah mendapat surat baru, dia menyuakannya kepada pengarang...

“Hmm…” katanya. “That’s more like it (Itulah yang kita mahu).”

Hamba Allah inipun pergi ke bilik ketua pengarang yang menguasai semua akhbar berbahasa Inggeris membawa surat tersebut. Syarikat ini memiliki beberapa akhbar berbahasa Inggeris, juga akhbar-akhbar berbahasa Melayu yang diseliakan seorang ketua pengarang lain.

Tidak lama kemudian, dia kembali menemui pemuda itu.

Katanya: “You owe me one. I did you a favour by recommending that you’ll be the reporter that should cover this event. (Kamu sekarang terhutang budi kepada aku. Aku yang mencadangkan supaya kamu dihantar meliputi acara ini)”

Rasyid cuma diam menganggukkan kepala. Bukankah Datuk itu telah meminta khidmatnya secara nyata? Kenapa pula si pengarang ini mengaku dia pula yang memberi peluang kepadanya sehingga sanggup mengaku anak muda itu telah terhutang budi kepadanya? Nampak sangat dia memang mahu Rasyid tunduk kepadanya. Tetapi apa hendak dihairankan? Pengarang ini memang mahu semua orang sentiasa menurut perintahnya seolah-olah dialah ‘raja’ meja sukan yang tidak boleh disanggah…

Apapun, Rasyid pergi ke Peranchis dan berada di sana hampir 10 hari... Tiga hari untuk meliputi acara sukan berkuda lasak jarak jauh yang dihadiri ramai penunggang daripada pelbagai ceruk benua Eropah mahupun dunia, hari-hari lain pula dihabiskan di beberapa ladang kuda di pelbagai lokasi di negara itu untuk mengenali sukan ini serta baka kuda yang digunakan dengan lebih dekat.Tetapi berapa lamakah dia boleh bertahan bekerja di bawah seorang manusia yang sentiasa mencari jalan untuk mengekang dan meletakkannya di bawah ‘naungan ketiaknya'? Berapa lama?

Berapa lamakah dia boleh bersabar apabila pengarang ini masih lagi mencari jalan untuk mencari salah-silapnya, kadang-kala memerintah dengan maki-hamun dan mencarut-carut pula di hadapan umum? Sedangkan Rasyid memang tidak suka mendengar orang mencarut apalagi jika dilakukan tanpa selindung. Dan apabila ternyata anak muda itu tetap tidak mahu tunduk kepadanya, dia cuba ‘menghadkan’ hasil karya penulisannya pula dengan mengurangkan ruangan akhbar untuknya atau tidak mahu menggunakan rencana yang dikarangnya langsung.

Alasan yang diberikan... Ruangan telah penuh akibat muncul rencana-rencana yang baru disiapkan wartawan lain... Atau rencana Rasyid tidak relevan buat masa itu maka harus disimpan untuk hari berikutnya. Kalau tidak relevan, mengapa pula disuruh membuat sesuatu assignment ataupun tugasan? Kalau untuk hari berikut, kenapa tidak digunakan apabila sampai masanya?

Dari satu segi, bagus juga jika pengarang ini tidak mahu menggunakan hasil-kerjanya. Bolehlah dia berehat memakan gaji buta, duduk bersenang-lenang mendapat lebih RM4,000 sebulan (gaji pokok campur elaun perjalanan campur over-time), duduk di pejabat setakat pura-pura sibuk seperti yang sering dilakukan sesetengah orang. Tetapi itu bukan sifatnya...Sebab utama pemuda itu sanggup berpenat-lelah menjalankan tugas sebegai wartawan sukan tiga tahun kebelakangan, sanggup bekerja dari jam 3 petang hingga 11 malam, selalunya lebih... Mula bekerja sebelum tengahari, selesai selepas tengah malam, bercuti pula sekali seminggu hari Rabu dan sering bekerja ketika cuti umum sehingga rumah-tangganya pun mula bergoncang adalah kerana dia percaya dengan niatnya mahu menggunakan dunia penulisan untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi. Lalu apalagi yang mahu diharapkan jika penulisannya asyik dikekang?

—————————————

Sejak kebelakangan itu Rasyid sering menangis apabila duduk seorang diri. Sudahlah karya penulisannya selalu dikekang, beberapa orang wartawan yang sebangsa dengan pengarang meja sukan pula diberi ruangan berjela-jela. Apakah penulisan anak muda itu tidak cukup bagus lagi? Kalau begitu kenapa ramai orang luar tertunggu-tunggu penulisannya keluar? Malah ada yang merasa pelik kenapa sejak kebelakangan rencana-rencana yang ditulisnya pendek-pendek belaka dan jarang pula muncul.

Di samping itu terdengar desas-desus mengatakan Rasyid bercita-cita besar untuk menaiki tangga kewartawanan atas motif tertentu lalu sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Padahal dia pernah menolak tawaran untuk dinaikkan pangkat oleh pengarang sukan sebelum itu malah pernah mengenepikan beberapa tawaran kerja yang lebih lumayan dengan bidang kuasa yang lebih besar. Percayalah… Rasyid tidak pernah mengejar pangkat dan duit. Dia tidak pedulikan semua itu kerana yang penting baginya adalah perjuangan – untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi yang diimpikannya sejak berusia 18 tahun.

Impian itulah yang membakar semangatnya selama ini sehingga dia sanggup melalui berbagai dugaan hidup... Walaupun rumahtangganya menjadi tidak aman kerana jarang meluangkan waktu untuk isteri. Mereka juga sering bertelagah kerana mempunyai pandangan hidup yang berbeza – wanita itu ingin hidup senang dan kaya-raya sedangkan pemuda itu inginkan kehidupan zuhud yang tidak memandang harta-benda. Kalau ada sesuatu yang ingin dikejarnya, ia mungkin pengiktirafan dalam bentuk ruangan pojok peribadi... Diberi sebuah ruangan tetap di dada akhbar yang membolehkannya menyuarakan pandangan serta idea-idea bernas yang mampu mempengaruhi Parlimen serta hala-tuju pemerintahan negara.

Sebab itu Rasyid menolak apabila isterinya meminta dia bertukar kerja agar selalu dapat bersama, kerja dengan waktu ‘normal’ seperti orang lain Malah dia mengaku lebih pentingkan kerjaya daripada keluarga!

Ah… Mungkin juga ini salah satu sebab mereka sering bergaduh. Wanita ini cukup senang apabila dapat menemani suami menjalankan tugasan di luar lalu dilayan penuh hormat oleh mereka yang mengenalinya. Masalahnya pemuda itu tidak suka isterinya menerima imbuhan yang ditawarkan... Hadiah-hadiah seperti sesi menunggang kuda percuma malah keahlian kelab ekslusif tanpa bayaran kerana tidak mahu terikat, tidak mahu ‘dibeli’ pihak berkepentingan sedangkan rata-rata wanita mahukan semua ini.

Isterinya juga suka membuat telahan yang bukan-bukan dengan menuduh Rasyid keluar dengan perempuan lain kerana sering balik lewat malam. Masyaallah! Pemuda ini tidak pernah lagi keluar dengan mana-mana wanita lain sejak bertekad untuk mengahwini isterinya itu! Dia penat-penat bekerja sehingga sanggup mengharungi berbagai fitnah putar alam yang ingin menjatuhkannya tetapi ini pula pandangan si isteri terhadap sang suami? Diakui, memang Rasyid banyak terjumpa perempuan yang menarik lagi menawan di tempat kerja juga di luar. Tetapi percayalah, anak muda tidak pernah menjalinkan apa-apa perhubungan dengan mereka kecuali hubungan persahabatan itupun disebabkan kerja...

Ah… Mungkin juga dia cemburu kerana tahu bagaimana intimnya Rasyid dengan Nur dahulu. Tetapi seperti yang telah dijanjikan sejak bernikah dengan isterinya, pemuda itu tidak pernah berhubung langsung dengan wanita manis itu. Sungguh... Pada Rasyid, yang ada dalam hidupnya sejak itu cuma isterinya seorang... Tiada lagi wanita lain walaupun si Nur...

Tidak cukup dengan pelbagai masalah serta halangan yang dihadapi, ada pula pihak mewar-warkan cerita mengatakan tujuan sebenar Rasyid menjadi seorang wartawan adalah untuk bergaul dengan para VIP, orang besar-besar, para Datuk, Tan Sri dan kerabat diraja, pendekkata untuk social climbing, meningkatkan taraf sosial hidup... Padahal dia memang sudah lama mengenali orang-orang sebegini kerana ramai ahli keluarga dan saudara-maranya tergolong di dalam golongan elit... Belum dikira kawan-kawan yang dikenali di sekolah, kolej dan universiti yang ramai sekarang berpangkat tinggi dan memang pun berasal daripada keluarga yang berada.

Entah kenapa, keadaan semakin kalut kebelakangan itu sehingga seorang wartawan senior yang jauh lebih tua pernah berkata di hadapan beberapa orang kenalan: “Ah! Dia (Rasyid) cuma mahu berkawan dengan orang berpangkat dan kaya-raya sahaja.” Seolah-olah pemuda itu terhegeh-hegeh sangat mahu bercampur dengan golongan atasan.

Rasyid kesal kenapa pakcik ini yang sering ditemui dalam acara sukan berkuda boleh berkata begitu. Sedangkan dia tidak memilih kawan, dengan orang gila di tepi jalan pun boleh diajak berbual. Hmm...Mungkin juga ada pihak yang mempengaruhinya, pihak yang marah kepada anak muda itu kerana dia pernah mendedahkan salah-laku mereka di dada akhbar?

————————

Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al Jilani dalam syarahan-syarahannya di Baghdad dan Imam Al-Ghazali dalam kitab induknya Ihya Ulumiddin pernah menyebut ada tiga peringkat tawakal yang patut diamalkan mengikut kemampuan seseorang. Pertama, tawakal peringkat awam atau orang kebanyakan yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Ikat unta kamu sebelum kamu masuk ke masjid.” Takut unta hilang apabila tuan punya keluar masjid. Siapa pula harus dipersalahkan? Begitu juga, berubatlah bila sakit, kalau tidak bagaimana mahu baik? Apakah boleh sesuatu penyakit itu sembuh dengan sendirinya? Bekerjalah untuk mencari rezeki. Kalau tidak ada kerja, alamat tidak berasaplah dapur jawabnya…

Jenis tawakal kedua pula ialah tawakal peringkat khusus, ibarat seorang bayi di dalam tangan ibunya yang mana dia boleh memprotes atau membantah... Boleh menangis dan meronta-ronta meluahkan rasa tidak puas-hati jika lapar, marah, tidak selesa atau tidak suka apa-apa yang dibuat ibunya. Tetapi seorang bayi tidak cukup kuat untuk betul-betul melawan apalagi melarikan diri daripada kawalan ibunya, Maklumlah, makanannya perlu disuapkan, berak-kencing perlu dijaga dan dibasuhkan...

Dari segi permasalahan rezeki, orang yang mengamalkan tawakal peringkat ini mungkin akan mendapat makanan dari arah tidak disangka. Dapur yang tidak berasap boleh ceria kembali apabila tiba-tiba sahaja datang orang membawa juadah tanpa dipinta. Tetapi ada masanya, dia terpaksa reda dengan qada dan qadar lalu perlu berlapar berhari-hari... Sampai dia tidak tahan, merintih lalu meminta diringankan beban kembali.

Tawakal peringkat ketiga adalah tawakal khusul wal khusus, ibarat mayat di tangan pembasuhnya. Walau digosok dengan berus besi sekali pun, walau kulitnya koyak-rabak sehingga nampak tulang ke sum-sum, dia tidak akan malah tidak mampu mengadu sakit kerana sudah mati, apalagi hendak membantah atau melawan! Dalam peringkat ini, tidak ada lagi apa-apa rintihan terhadap segala bentuk Takdir walaubagaimana buruk sekali pun keadaan yang ditanggung. Seperti Nabi Ayub AS yang sanggup kehilangan segala harta benda dan anak-anaknya, kena pula penyakit kulit yang sangat buruk sampai isterinya pun nyaris lari. Lalu bertahanlah baginda dengan keadaan ini, merintih tidak, mengadu pun tidak sehinggalah keadaan itu menyebabkan masyarakatnya menjadi ragu terhadap agamanya. Apakah benar ajaran Nabi ini? Jika benar, mengapa begitu teruk sekali keadaan hidupnya? Kalau begitu mengapa kita perlu mempercayai ajarannya?

Setelah lama bertahan dalam keadaan begitu terseksa zahir dan batin, barulah turun perintah Allah SWT agar Nabi Ayub AS mengembalikan kesihatan serta keadaan hidupnya seperti sediakala. Malah keadaan baginda termasuk rezeki yang diberi ternyata lebih elok daripada dahulu... Kerana baginda sudah berjaya melepasi ujian yang diberi lalu sampai masanya baginda menyeru kembali masyarakatnya ke jalan yang benar, agama Tauhid yang syumul seperti yang dibawa setiap Nabi dan Rasul.

Hukum Syarak yang diterima ramai membenarkan seorang Islam mengaku murtad atau kafir jika dia ditakut dibunuh kalau mengaku Islam. Ini berdasarkan persoalan maslahat umum untuk mengelakkan mudharat ke atas jiwa dan raga... Sepertimana seseorang itu diperbolehkan memakan babi dan lain-lain makanan yang biasanya haram apabila berada di dalam keadaan darurat. Tetapi mereka yang betul-betul memegang Iman dan Islam lebih rela mati dibunuh daripada mengaku kafir ataupun murtad... Lebih rela mati kebulur dari terpaksa makan benda-benda haram.

Sepertimana sahabat Rasulullah SAW, Bilal bin Rabah pernah disiksa teruk oleh majikannya supaya dia keluar dari Islam. Setiap kali disebat, dia cuma menjerit “Ahad! Ahad!” iaitu “Yang Esa! Yang Esa!”, lebih rela diseksa teruk walaupun ini mungkin membawa maut daripada mengaku keluar Islam. Begitu juga sifat orang yang memahami ilmu Martabat Tujuh… Dia akan faham kenapa Bilal menyebut Ahad, Ahad sedangkan ada lagi 98 Asmaul Husna yang boleh disebut. Dia juga sanggup memegang tawakal khusus malah khusus wal khusus tidak kiralah apakah yang bakal terjadi...

Rasyid cuba mengupas sedikit fahaman Wujudiyah lalu membelanya kerana mengikut pemahamannya, pegangan inilah yang telah memberikan masyarakat Aceh keberanian hidup yang luarbiasa untuk mati syahid demi membela syiar agama. Keberanian inilah yang amat ditakuti para penjajah Barat, terutama Portugis selepas serangan demi serangan berani mati dilancarkan askar-askar Aceh ke atas kota Melaka, terutama serangan hebat tahun 1629 di bawah arahan Sultan Iskandar Muda yang nyaris-nyaris berjaya menghapuskan pengaruh mereka di bumi Nusantara ini.

Pihak Barat yang sanggup mengkaji adat, budaya serta agama dan segala pegangan orang Melayu sehingga ke akar-umbi untuk mencari kelemahan kita tentu sedar bahawa keberanian orang Aceh itu timbul berdasarkan pegangan hidup mereka. Maka pemuda ini percaya, Barat telah mencari jalan untuk mengekang keberanian ini dengan merosakkan teras kerohanian Aceh. Lalu dia melihat Nuruddin ar-Raniri sebagai orang yang menjalankan peranan tersebut. Samada hamba Allah ini adalah ejen Portugis atau mana-mana pihak Barat, Rasyid tidak boleh menyebut secara pasti kerana tidak ada bukti. Cuma pemuda itu tertanya-tanya apakah orang ini tidak pernah terlibat langsung dengan Portugis selama berada di Ranir yang telah lama dijajah mereka? Bukankah bandar pelabuhan ini terletak tidak begitu jauh daripada Goa, markas orang Portugis dalam rangka kerja untuk menakluki kerajaan-kerajaan Islam di sebelah Timur?

Apakah dia tidak pernah ‘terpanggil’ untuk menyokong mereka sejak kejatuhan kota Melaka 1511 untuk meneruskan usaha penaklukan yang setakat itu cuma berjaya dikekang dan ditangkis oleh satu sahaja kuasa Melayu iaitu kerajaan Aceh? Atau mungkin orang ini telah bekerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan pihak Belanda yang lebih licik menggunakan tipu-daya dan perancangan jangka panjang untuk menakluki sebahagian besar bumi Nusantara nanti?

Apakah Nuruddin sebenarnya orang yang membawa hikayat Melayu dari Goa yang kemudiannya ‘diperbaiki’ Tun Seri Lanang sehingga menjadi kitab Sulalatul Salatin atau Sejarah Melayu seperti yang diutarakan pada awal bab ini? Di manakah pula hamba Allah ini berada selepas Iskandar Thani diangkut ke Aceh 1617? Sedangkan dia cuma muncul kembali di Aceh 20 tahun kemudian tetapi boleh diangkat terus menjadi Mufti dan Qadi Malikul Adil, satu pangkat ulamak tertinggi dalam kerajaan Aceh? Apakah dia sedang disediakan pihak tertentu untuk memainkan peranan?

Dahulu, Nuruddin pernah berada di Pahang, ketika bakal Sultan Aceh itu masih kecil. Sebelum itu, pembodek besar dari Ranir ini pernah dihalau keluar dari bumi Serambi Mekah, semasa Sultan Iskandar Muda masih memerintah. Apakah tidak mungkin dia pernah dipujuk pihak Barat untuk bekerjasama menjatuhkan Aceh? Lebih-lebih lagi kerana dia diketahui menyimpan dendam terhadap para pendokong Wujudiyah... Setelah ditolak oleh Iskandar Muda yang merupakan seorang pendokong besar fahaman itu ketika dia cuba menghampiri Istana Aceh pada zamannya.

Mungkin orang ini telah lama menyimpan cita-cita besar untuk menjadi seorang ulamak yang berpengaruh. Lalu Portugis ataupun Belanda telah menawarkan satu pakej menguntungkan yang tidak mampu ditolaknya? Apa yang pasti, Nuruddin pernah duduk di Pahang dan mempunyai pengaruh terhadap Iskandar Thani ketika anak Raja Pahang itu masih lagi budak hingusan. Seperti yang umum tahu, pengaruh terhadap kanak-kanak ketika ia sedang membesar mempunyai kesan yang amat mendalam terutama terhadap minda bawah sedar mereka. Maka pengaruh ini boleh sahaja dimanfaatkan sebaik mungkin suatu hari nanti.

Kebenciannya terhadap golongan Wujudiyah ternyata dalam kitab-kitab penulisannya yang mengutuk Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai sebagai zindiq dan sesat. Cita-cita besarnya pula boleh dibaca apabila dia menghasilkan begitu banyak karya di kala hasil kerja Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai telah dimusnahkan. Nafsunya untuk menjadi seorang yang berkuasa dan berpengaruh nampak terang dalam kitab Bustanul Salatin yang mendedahkan sifat seorang kaki ‘bodek’... Maka apabila pihak penjajah Barat nampak tanda-tanda Iskandar Thani bakal menerajui Aceh (atau kenaikan raja ini juga dirancang mereka?), apakah tidak mungkin mereka menghampiri Nuruddin yang ketika itu belum dikenali ramai lalu menyatakan satu strategi di mana dia boleh melepaskan dendam terhadap golongan Wujudiyah di samping mendapat kuasa dan nama sebagai ulamak besar yang amat dicita-citakannya?

Sambil-sambil itu, hamba Allah ini juga boleh menjayakan agenda Barat untuk melemahkan Aceh daripada dalam... Dengan merosakkan teras kekuatan masyarakat dan rajanya yang berasaskan pengEsaan Tuhan yang sejati melalui fahaman Wahdatul Wujud yang dipelopori Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai. Pucuk dicita ulam mendatang. Bagi seorang yang bercita-cita besar, mahu tunggu apa lagi?

Mungkin juga Nuruddin sudah lama didekati pihak Barat kerana mempunyai sedikit kepandaian yang boleh digunakan untuk melemahkan Aceh. Sepertimana Rasyid pernah mendengar cerita, ada pelajar-pelajar pintar di universiti-universiti ternama luar negara yang menunjukkan kecenderungan yang tinggi serta bercita-cita besar untuk berjaya dalam dunia politik didekati oleh golongan yang mempunyai hubungan dengan rangkaian Freemason dan Iluminati yang didalangi puak Yahudi Zionis. Pelajar sebegini boleh diperalatkan oleh kuasa-kuasa asing yang sudah tentu mahu terus menjajah kita secara halus kalau tidak pun terang.

Mereka memantau untuk mencari pelajar sebegini lalu menanam jarum apabila tiba peluang. Pada pelajar yang bercita-cita besar pula, peduli apa nasib bangsa yang bakal dicocok hidung nanti? Yang penting cita-cita mereka untuk menjadi orang berpengaruh lagi kaya-raya bakal tercapai...

Pada mulanya, hubungan pelajar-pelajar sebegini dengan golongan tunggangan Zionis yang bertopengkan persatuan-persatuan pelajar di universiti ini nampak jinak, setakat hubungan yang melibatkan aktiviti-aktiviti sosial ... Ada majlis makan-minum, terutamanya minum-minum arak.... Adalah sedikit perempuan sebagai pembuka selera… Sedikit demi sedikit, apabila mereka seronok dengan gaya kehidupan bebas, pelajar-pelajar pintar harapan agama, bangsa dan negara inipun didedahkan kepada ideologi-ideologi dan cara pemikiran tertentu, melalui proses indoctrination supaya mereka terus setia dengan para ‘penaja’ mereka.

Apabila kembali ke tanah air pula, mereka akan dibukakan jalan untuk berjaya di dalam kerjaya pilihan mereka di samping mendapat pertolongan sulit untuk menaiki persada politik tanah-air supaya boleh menjadi pemimpin besar lagi berpengaruh dengan jalan pintas . Tetapi pemimpin sebegini boleh ditunggang kerana segala hal-ehwal termasuk rahsia mereka berada di dalam ‘poket’ golongan yang menaja. Lalu hala-tuju pemerintahan negara pun boleh ditentukan secara proksi oleh para ‘penaja’ ini!

Apakah perkara yang sama pernah berlaku kepada Nuruddin yang amat bijak dalam berbagai cabang ilmu agama Islam seperti Fiqah, usuluddin, Tauhid dan Tasawuf? Apakah kepandaiannya itu akan memberikannya ruang untuk mempengaruhi arah tuju pemerintahan Aceh? Apakah dia sebenarnya alat tunggangan pihak tertentu? Fikirkan...

——————————

Selepas beberapa bulan hasil kerjanya asyik ‘dipendekkan’ atau ‘dibungkus’ dalam almari kewartawanan, selepas lama menanggung kepedihan dalam senyap, Rasyid akhirnya ‘meletup’. Pada satu hari, dalam perjalanan kembali ke pejabat setelah selesai melaksanakan satu tugasan, entah-kenapa motosikal berkuasa tinggi kesayangannya telah meragam, mungkin kerana sudah lama tidak diservice. Dia berhenti di tepi jalan lalu mengeluarkan peralatan daripada bawah tempat duduk belakang... Kemudian membuka kedua-kedua spark-plug enjin motor yang kelihatan berminyak, nampaknya kerana pembakaran tidak sempurna.

Setelah hampir setengah jam ‘bermain-main’ dengan bahagian pencucuh untuk membersihkan minyak di samping mengikis jelaga yang menghitam di sekeliling juga mengubah gap iaitu jarak lekang antara hujung pencucuh dengan bahagian hadapan, setelah puas memasang balik spark-plug kemudian membukanya kembali beberapa kali, barulah motosikal itu dapat dihidupkan dan berjalan. Rasyid pun sampai lewat ke pejabat sedangkan pengarang meja sukan pula memang mahu mencari salah-silap..
.
Masuk sahaja ke pejabat, terus sang pengarang menyinga lalu menengking: “Hey you, f… you, where have you been? What time is this? You think this is your father’s office huh? F… you, you always give trouble (Hoi… ke mana kamu pergi? Pukul berapa ini. Ingat ini pejabat bapa kamukah?... Kamu selalu memberi masalah).” Hamba Allah ini meneruskan maki-hamunnya tanpa segan-silu. Suaranya menengking boleh didengar hampir separuh pejabat... Siap dengan gaya seperti seorang gangster, gaya samseng hendak memukul orang.

Selalunya Rasyid boleh bersabar dan buat tak endah apabila pengarang ini mempamirkan ‘keluasan’ kosakatanya yang meliputi perkataan-perkataan maki-hamun berwarna-warni pelbagai ragam terutama apa yang dikenali sebagai the f-word, perkataan mencarut dalam bahasa Inggeris yang bermula dengan huruf ‘F’... Tetapi kali ini pemuda itu betul-betul penat, sudah banyak sangat bersabar lebih-lebih lagi setelah hampir setengah-jam berhempas-pulas cuba menghidupkan motosikalnya yang meragam.

Rasyid bercekak pinggang lalu menengkingnya balik. Tidak ingatlah apa yang dikatakan dalam suasana tegang itu. Yang pasti,dia tidak suka mencarut. Cuma caranya mengingatkan supaya jangan cuba bermain api mungkin terlebih garang... Sedar tidak sedar, dia telah meninggikan suara sehingga seluruh pejabat boleh mendengar. Matanya pula merah menyala menyebabkan pengarang itu terus terduduk diam tergamam.

Selepas itu lama juga mereka tidak bertegur-sapa. Hari demi hari, Rasyid masuk ke pejabat tanpa mempedulikan pengarang, setakat mengawasi apakah acara sukan yang sedang berlangsung tanpa mengemukakan apa-apa laporan mahupun rencana sedangkan orang ini pula tidak berani lagi hendak menegurnya. Pada pemuda itu, apa gunanya dia penat-penat menulis jika manusia ini tidak mahu menggunakan hasil-kerjanya? Apa gunanya berbuat baik lagi dengan orang yang tidak ikhlas, manusia yang cuma mahu menonjolkan diri sebagai orang yang berkuasa?

Akhirnya, setelah lebih seminggu keadaan berlanjutan begini, ketua pengarang yang bertanggungjawab ke atas setiap akhbar berbahasa Inggeris memanggil mereka masuk ke pejabatnya. Dia pun mendamaikan mereka lebih-lebih lagi kerana Sukan SEA 2001 akan dilangsungkan di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Kata ketua pengarang yang meminati Liga Bolasepak Inggeris itu, mereka semua adalah sepasukan... Ibarat pemain bolasepak, jurulatih dan pengurus pasukan. Tidak boleh bertelagah sesama sendiri sehingga merosakkan permainan keseluruhan. Rasyid menghulurkan tangan sebagai tanda perdamaian. Pengarang meja sukan mulanya teragak-agak tetapi menyambutnya setelah dijeling ketua pengarang.

———————

Setelah tamat Sukan SEA 2001 yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, pemuda itu mula terasa hilang semangat untuk bekerja. Ketika itu, dia sudah mengalami sebuah mimpi pelik yang mempunyai kaitan dengan keSultanan Perak, mimpi penuh makna yang akhirnya akan mendorong anak muda ini mengembara jauh menziarahi makam-makam lama raja-raja dan para wali sehingga dia pergi “Berpetualang ke Aceh” demi mencari jawaban kepada segala persoalan yang melanda jiwa selama ini.

Oh… Baru teringat. Mimpi itu berlaku lebih sebulan sebelum bermula acara sukan empat tahun sekali antara negara-negara Asean itu yang menyaksikan Malaysia muncul pemenang keseluruhan dengan, kalau tidak salah ingatan, 111 pingat emas. Tidak lama kemudian, berlaku pula peristiwa September 11 yang menyaksikan bangunan pencakar langit berkembar World Trade Centre di New York setinggi 411 meter runtuh menyembah bumi dilanggar dua buah kapalterbang penumpang. Hmm... Banyak pula nombor 11...Seolah-olah kesemuanya ada kaitan dan makna yang tersirat...

Hah… Betullah itu…. Rasyid masih ingat perasaan yang timbul ketika melihat peristiwa itu berlaku di kaca televisyen sewaktu sedang bertugas di pejabat suatu malam. Entah kenapa, dia merasakan apa yang berlaku semuanya dirancang dan didalangi puak Yahudi Zionis dan keruntuhan itu menandakan akan bermulanya Perang Dunia Ketiga tidak lama lagi!
Hari-hari berikutnya dilalui dalam keadaan resah dan gelisah, tidak senang duduk kerana pemuda itu juga dapat merasakan peristiwa September 11 itu mempunyai kaitan yang tersirat dengan mimpi pelik yang dialaminya sebulan sebelum itu. Setelah tidak tahan lagi resah gelisah, dia pun mengambil cuti seminggu untuk bertemu Nenek yang sudah tiga tahun tidak diziarahinya. Sejurus selepas itu anak muda ini keluar berkelana mengelilingi Perak untuk menziarahi beberapa makam-makam lama. Kemudian, barulah Rasyid kembali bekerja dan beberapa hari selepas itu barulah dia bergaduh besar dengan pengarang meja sukan.

Ya… Baru dia teringat… Dalam tempoh itu juga, bekas ahli politik yang pernah menyatakan dirinya sebagai the best Prime Minister Malaysia never had telah berjaya menaiki takhta tertinggi dunia kewartawanan tanah-air dengan menjadi pengarang tertinggi yang menguasai semua akhbar di syarikat tempat pemuda itu bekerja. Maka setelah lebih setahun duduk di belakang tabir sebagai seorang pengarah syarikat tetapi tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala-tuju sebenar penulisan akhbar, ‘Nuruddin moden’ ini terus menggunakan kedudukannya untuk meraih kuasa mutlak... Dengan menamatkan perkhidmatan empat orang penasihat akhbar yang terdiri daripada empat nama besar dunia kewartawanan.

Rasyid pula semakin hari semakin hilang semangat untuk bekerja. Kalau boleh dia ingin terus berkhidmat dengan akhbar berbahasa Inggeris itu lebih-lebih lagi kerana pemuda ini membesar dengan membaca akhbar tersebut dan pernah ‘menetap’ di kawasan letak kereta di tingkat enam pejabat selama hampir dua tahun... Tetapi semangatnya semakin lesu melihat perkembangan politik pejabat. Apakah dia harus mengalah dan keluar daripada pekerjaan ini atau ada jalan lain yang boleh difikirkan?

Sejak kebelakangan itu, anak muda yang mula berjinak kembali dengan tikar sembahyang ini selalu meminta petunjuk Ilahi. Perlukah dia meneruskan perjuangan untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi melalui akhbar itu sedangkan banyak halangan mengekang penulisannya. Atau tiada lagi pilihan, sudah sampai masa untuknya beralih arah...

Beberapa hari selepas Sukan SEA 2001 tamat, Rasyid telah diberi tugasan baru meliputi sebuah acara sukan olahraga untuk orang cacat dan kurang upaya peringkat antarabangsa yang dijadualkan akan berlangsung dua minggu kemudian. Dia diarahkan untuk mencari berita berkaitan hari demi hari untuk mempromosikan sukan itu ke khalayak ramai... Lalu terjumpa beberapa individu yang nampaknya mahu menggunakan persatuan golongan kurang upaya untuk kepentingan diri sendiri.

Tersebutlah kisah seorang hamba Allah mengemukakan carta kira-kira belanjawan penganjuran sukan untuk diajukan kepada pihak berkuasa. Katanya, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan pembiayaan lalu meminta Rasyid menonjolkan perkara ini. Pada pemuda itu, memang patut perkara itu ditonjolkan supaya pihak penaja muncul ke hadapan... Tetapi apabila melihat jumlah yang tertera, fikirannya terus berubah.

“Kenapa sampai berjuta-juta Ringgit ini?” bisik hatinya. “Apakah perlu berbuat begini untuk menonjolkan sukan orang kurang upaya?”

Rasyid melihat pula rancangan untuk mendapatkan kerjasama pihak tertentu agar mewajibkan golongan pelajar menghadiri sukan itu di samping menarik semua media utama untuk membuat liputan.

“Ah… Ini nampak seperti percubaan mendapatkan publisiti murahan di samping menonjolkan individu tertentu sebagai pejuang orang kurang upaya. Ini kerja orang yang suka main politik ni... ” bisik hatinya lagi.

Pemuda ini memandang dinding pejabat orang itu. Terdapat beberapa keping gambar menunjukkannya sedang bergaul mesra dengan orang-orang ternama. Rasyid sudah biasa berjumpa dengan manusia-manusia rakus yang ingin meraih publisiti akhbar demi mendapatkan political mileage, imej yang akan menolong mereka menaiki tangga politik... Orang sebegini sering menggunakan akhbar untuk mendapatkan penaja kemudian membazirkan duit yang diterima atas nama kos penyelenggaraan...

Rasyid mula bertanyakan beberapa soalan... Bermula dengan menyatakan belanjawan yang dikemukakan tidak setimpal dengan apa ingin dicapai. Orang itu mula kelihatan gelisah apabila soalan-soalan itu menjurus ke arah mendedahkan pembaziran serta kepentingan individu tertentu.Tiba-tiba pemuda ini terasa tekaknya seperti ada benda berbulu, susah hendak bercakap kerana ada sesuatu yang menghalang… Hatinya terus berkata orang ini telah menggunakan ilmu ghaib untuk mengunci mulutnya. Nasib baik anak muda ini mampu membuka ‘kunci’ itu!

Sejak itu, Rasyid jadi bosan melihat orang-orang tidak jujur yang suka bersembunyi di sebalik dakwaan niat murni memperjuangkan nasib masyarakat. Keadaan di pejabat pula tidak banyak menolong sementara masalah rumahtangganya semakin meruncing. Makin hari pemuda ini terasa dirinya kosong, jiwanya melayang-layang ke tempat lain lalu dia mula mengabaikan tugas. Pernah beberapa kali, Rasyid sampai ke kawasan pejabat tetapi sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam, dia terus berubah fikiran lalu keluar untuk minum teh atau kembali ke rumah untuk tidur.

Pada suatu hari, pengarang meja sukan telah memberi surat tunjuk sebab memintanya menjawab kenapa dia tidak menghadirkan diri untuk bertugas beberapa hari kebelakangan. Pemuda yang sudah lama memendam perasaan atas apa yang berlaku di pejabat itu tidak menjawab malah terus bergegas keluar. Padanya tidak ada guna lagi bercakap dengan manusia yang sejak daripada awal memang ingin menjatuhkannya. Apakah orang ini jujur hendak menyelesaikan masalahnya? Rasanya tidak… Maka dia tidak menjawab surat itu malah mengarang sebuah surat baru pula meminta agar ditukarkan ke bahagian lain. Surat itu dibuat dalam tiga salinan, satu untuk pihak pengurusan, satu untuk pengarang meja bahagian tersebut dan satu untuk ketua pengarang akhbar-akbar berbahasa Inggeris.

Apabila sampai masanya sukan orang kurang upaya antarabangsa yang patut diliputinya dianjurkan, Rasyid sudah amat letih kerana bebanan jiwa yang ditanggungnya selama itu. Dengan tidak disengajakan, dia telah tertidur sehingga malam, terlupa langsung untuk membuat liputan. Apabila tersedar, anak muda ini terus mandi dan bersiap lalu bergegas ke pejabat. Pengarang meja sukan tidak pula menegur malah tersenyum panjang...

Setengah jam kemudian hamba Allah ini mengajaknya masuk ke bilik mesyuarat lalu memberikannya sekeping surat syarikat.

Have a close look at it (Lihat betul-betul)” katanya.

Rasyid membuka surat itu. Masyaallah! Inilah jawaban kepada pertanyaannya setiap kali bersolat - Perlukah lagi bertahan di akhbar ini atau harus bertukar arah? Inilah balasan bagi segala pengorbanan tenaga dan masa yang pernah diberikan lima tahun bekerja di akhbar berbahasa Inggeris itu, tiga tahun daripadanya di meja sukan di mana dia cuma dapat bercuti seminggu sekali sahaja, selalu kembali ke rumah larut malam sehingga dirinya menjadi sakit dan menghadapi masalah rumahtangga. Maksud isi surat itu ringkas: Kamu dipecat dalam tempoh 24 jam!

Rasyid kembali ke rumah dalam keadaan bingung…Apakah yang sebenarnya sudah terjadi? Sepanjang pengetahuannya dan begitu juga kata rakan-rakan, tiada seorang pun wartawan pernah dipecat dari syarikat akhbar itu walau sebesar mana pun kesalahan. Selalunya wartawan yang bermasalah cuma akan ditukarkan ke pejabat-pejabat ‘hulu’ di mana mereka susah untuk mendapatkan berita yang layak mengisi dada akhbar. Hukuman ‘membodohkan diri’ sebegini sudah cukup perit bagi para wartawan yang nikmat hidupnya bergantung kepada pencarian berita...

Apa pula yang terjadi kepada surat-suratnya memohon untuk ditukarkan ke bahagian lain? Bukankah anak muda ini pernah menyatakan hasrat bertukar meja lalu menyampaikan surat kepada setiap pihak yang terlibat? Sudahlah… Rasyid sudah cukup pening memikirkan ini semua. Lalu dia menghabiskan hari-hari berikutnya termenung dan terlebih tidur.
Keadaan ini disedari isterinya lalu bertanya kenapa pemuda ini tidak pergi keluar bekerja. Dia pun berterus-terang: “Abang kena buang kerja!”

“Hah!” isterinya terperanjat. “Apa sudah jadi?”

Rasyid menceritakan masalahnya di pejabat... Baru kali ini dia mahu bercerita panjang lebar... Tentang bagaimana hasil penulisannya semakin susah mendapat tempat... Tentang permainan politik orang-orang tertentu sehingga dia terasa semakin tawar-hati hendak meneruskan tugas.
Tahu apa jawaban wanita itu? “Padan Muka!” dengan penuh ‘simpati’...“Itulah abang degil sangat hendak juga bergaduh dengan orang. Lain kali kalau perlu cium bontot, ciumlah! Sekarang siapa yang susah?”

Mendengarkan itu, Rasyid terasa hendak menangis sahaja tetapi rasanya tiada air mata lagi mampu dititiskan. Beberapa bulan kebelakangan dia sudah cukup banyak menangis seorang diri memikirkan halangan yang dihadapi... Isterinya pula tidak boleh diharap untuk memberikan simpati. Pemecatan ini berlaku beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan. Bagaimana hendak menghadapi keluarga? Bagaimana mahu berhari-raya?

Dalam keadaan yang terasa begitu terdesak, mahu sahaja anak muda ini menghubungi Nur kerana gadis manis ini sentiasa sedia mendengar masalah Rasyid lalu menghiburkannya. Tetapi dia tetap berpegang kepada janji semasa berkahwin dengan isterinya iaitu tidak akan berhubung lagi dengan satu-satunya gadis yang selama ini sedia memahaminya. Pemuda ini setakat mampu termenung panjang merenung jauh entah ke mana, tergamam langsung tidak tahu apakah yang patut dilakukan seterusnya.

Dua minggu selepas dipecat, baru Rasyid tergerak untuk merayu agar diberikan peluang kedua. Pemuda itu terus menuju ke pejabat pengarang tertinggi yang menguasai semua akhbar di bawah naungan syarikat, baik akhbar berbahasa Inggeris mahupun berbahasa Melayu, bekas ahli politik yang pernah menganggap dirinya sebagai the best Prime Minister Malaysia never had, Perdana Menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki Malaysia.

Setiausahanya, seorang wanita cantik menahan. “Tan Sri sedang tidur di dalam. Dia berpesan tidak mahu diganggu,” katanya.

Entah betul entah tidak pengarang tertinggi sedang tidur. Rasyid menunggu di sofa. Sampai 20 minit melangut di luar, pemuda itu hilang kesabaran lalu meluru masuk ke pejabat tanpa dapat ditahan...

Kebetulan , bekas ahli politik itu sudah ‘bangkit daripada tidur’.

“Tak mengapa,” katanya kepada wanita itu. “Biarkan kami berdua.”

Sejurus selepas setiausaha itu keluar, hamba Allah ini terus berkata sebelum sempat ditanya: “I don’t know what happened, I was not responsible (Saya tidak tahu apa yang berlaku, saya tidak bertanggungjawab)”

How can this be Tan Sri? (bagaimana ini boleh terjadi Tan Sri)” baru pemuda itu bertanya. Padahal dia tidak pernah menyatakan pun tentang pemecatannya. Nampaknya pengarang tertinggi sudah tahu apa yang ingin diluahkan... Apakah betul dia tidak terlibat dalam apa yang berlaku?

I really don’t know (Saya betul-betul tidak tahu)”, katanya lagi. “This is beyond my power (Ini adalah di luar bidang kuasa saya).

But Tan Sri, whatever happened, please give me a second chance. You know I am a good worker. I know you have the power (Tetapi Tan Sri, walau apapun yang telah terjadi, berilah saya peluang kedua. Kamu tahu saya pekerja yang baik. Saya tahu kamu ada kuasa),” pemuda itu cuba merayu lagi...

I’m sorry. Maybe if you came earlier I could have done something (Minta maaf. Mungkin jika kamu datang lebih awal, saya boleh berbuat sesuatu,” itu sahaja jawabannya. Rasyid tidak berpuas-hati lalu terus berdiri menunggu...

Tiba-tiba hamba Allah ini memandang muka anak muda itu dengan mata menjegil garang seolah-olah cuba menundukkannya. Rasyid pula terkial-kial hairan. Kenapa pengarang tertinggi yang sebelum ini boleh tahan ramah dan mesra dengannya boleh memandang begitu? Seketika itu juga orang yang umurnya sekitar 60 tahun ini berpaling muka lalu tertunduk tidak berani bertentang mata lagi. Nampaknya dia terlihat sesuatu di sebalik mata Rasyid yang membuatkan timbul rasa takut dalam dirinya pula....

The best Prime Minister Malaysia never had meminta diri lalu bergegas meninggalkannya. Menyedari orang ini tidak sudi mendengar rayuannya lagi, Rasyid meluru ke Tingkat Empat mencari ketua pengarang akhbar-akhbar berbahasa Inggeris, orang kedua paling berkuasa dalam organisasi persuratan syarikat ini. Jawaban yang diberikan tidak banyak beza tetapi ia memberi sedikit petunjuk akan siapakah yang bertanggungjawab... Katanya: “I can’t do much because Tan Sri makes the decision. (Saya tidak boleh bertindak lebih-lebih kerana Tan Sri yang mebuat keputusan).” Ertinya memang pemegang jawatan kewartawanan tertinggi di Malaysia itu mempunyai kuasa untuk mengambil-balik Rasyid bekerja... Soalnya, mahukah dia atau sejak awal lagi dia memang berniat untuk memecatnya?

Persoalan ini terjawab apabila pemuda itu menemui ketua tertinggi bahagian sumber manusia untuk meminta sokongan supaya diberikan peluang kedua. Katanya seraya berbisik: “Biar saya berterus-terang… Tan Srilah yang mengarahkan supaya kamu dipecat 24 jam. Maka itu saya, malah sesiapa pun tidak ada kuasa untuk menolong kecuali dia dapat dipujuk.”

Tidak lama kemudian, seorang ketua pengawal keselamatan syarikat berbangsa India muncul lalu berkata: “Saya dapat panggilan supaya membawa keluar seorang pengacau yang baru masuk ke pejabat ini…”

“Eh.. kamukah?” dia bertanya kehairanan apabila melihat muka Rasyid yang dikenali ramai orang di syarikat itu. Serta-merta ketua pengawal itu berpaling menghadap ketua bahagian sumber manusia lalu berkata: “Saya kenal orang ini. Ini orang baik-baik, bukannya orang jahat!”
Rasyid faham apa yang sedang berlaku... “Tak mengapalah, biar saya keluar sendiri. Tiada apa yang boleh diharapkan lagi di sini,” dia mengalah lalu keluar secara ‘terhormat diiringi ketua pengawal. Sebulan kemudian, baru pemuda itu datang lagi ke pejabat, kali ini tanpa harapan untuk diterima bekerja lagi tetapi dengan niat untuk menjadi outside contributer, penyumbang rencana dari luar tanpa apa-apa ikatan dengan syarikat.

Dia telah berjumpa beberapa orang pengarang meja-meja tertentu lalu berjaya mendapatkan persetujuan lisan untuk mereka menerima rencana-rencana yang bakal ditulis dengan bayaran yang setimpal. Malangnya sebaik sahaja keluar dari kawasan syarikat, pengawal yang bertugas telah menegur: “Minta maaf saudara. Saya kenal saudara dan tahu saudara orang baik. Tetapi kami sudah diarahkan oleh pihak atasan supaya tidak membenarkan saudara memasuki lagi kawasan syarikat ini mulai hari ini.”

Tiga hari selepas hari-raya Aidilfitri, Rasyid terserempak seorang rakan lama yang pernah menjadi penasihat undang-undang syarikat tersebut. Dalam bertukar-tukar cerita, terkeluarlah kisahnya dipecat ‘Nuruddin moden’ yang mahu mencengkam institusi kewartawanan negara... Rakan yang dikenali lebih 20 tahun lalu ini sudah lebih dua tahun menubuhkan syarikat guaman sendiri. Lalu dia menawarkan untuk membawa kes itu ke mahkamah industri secara percuma. Menurutnya, walau apapun salah Rasyid, syarikat itu tidak mempunyai hak untuk memecatnya 24 jam.

“Ini menyalahi prosedur,” dia memberitahu. “Dari segi ini sahaja kita dijamin boleh menang. Berdasarkan kedudukan dan jawatan terakhir, kamu layak menerima ganti rugi sekurang-kurangnya RM60,000!”

Pemuda itu tersenyum sahaja. “Tak mengapalah,” dia menjawab. “Aku sudah letih dengan semua ini, letih dengan permainan politik pejabat. Aku cuma mahukan ketenangan jiwa, bukan kisah sangat pasal duit…”

Memang anak muda itu tidak kisah duit. Gaji sebulan sebelum dipecat belum diterima dan dia juga masih layak untuk menerima bonus wajib dua bulan yang akan dikira secara pro rata. Malah dia kerugian sekitar RM7,000 untuk kerja over-time tiga bulan kebelakangan kerana tidak mengisi borang sejak prosedur baru yang memerlukan ketua jabatan mendatangani setiap tuntutan pada hari over-time itu berlaku diperkenalkan berbanding sebulan sekali sebelum itu. Walaupun prosedur ini elok untuk membasmi tuntutan palsu, ia memberi ruang untuk pengarang meja sukan yang suka mencari salah-silap anak muda itu mengugutnya setiap waktu...

“Betul kamu tidak kisah duit,” kata rakan itu. “Tapi ini bukan soal duit semata, ia juga soal maruah. Maruah kamu telah tercemar kerana semua orang menyangkakan kamu banyak berbuat salah sehingga dipecat 24 jam. Kamu perlu berbuat sesuatu untuk mengembalikan nama baik kamu.”

Setelah beberapa ketika, rakan tersebut meminta diri. “Hubungi aku bila kamu sudah bersedia. Kitakan kawan lama?” dia mengulangi tawaran...

Anak muda ini melihat kawannya pergi. Begitu bersemangat peguam muda itu hendak menolong tetapi Rasyid sudah lama membuat keputusan sendiri. Tuhan kan ada? Orang lain hendak kata apapun, katalah... Aku tahu apa yang sebenarnya berlaku dan Tuhan pun tahu. Cukup Allah bagi aku… Hasbunallah wa nikmal wakil, wa nikmal maula, wa nikmal nasir.

———————

Sultan Iskandar Thani mangkat di Aceh 1641. Pada tahun yang sama, Belanda berjaya mengalahkan Portugis di kota Melaka lalu menduduki kota itu pula. Penguasaan Portugis terhadap beberapa wilayah di Nusantara luput sama sekali sementara Aceh pula mula diperintah seorang raja perempuan iaitu balu Iskandar Thani. Anak kepada Sultan Iskandar Muda bernama Puteri Sri Alam ini ditabalkan sebagai Paduka Sri Sultanah Ratu Safiatuddin TajulAlam Shah Johan Berdaulat Zillullahi fil ‘Alam. Apa yang memusyilkan, kenapa tidak ada waris laki-laki sedangkan menurut kajian Rasyid, masih terdapat ramai lagi kerabat diraja yang layak menaiki takhta.

“Yang pasti, Nuruddin beriya-iya mahukan Puteri Sri Alam menjadi pemerintah Aceh,” pemuda itu memberitahu Nasri, Nizam dan Azlan. “Apakah Nuruddin berharap supaya kedudukannya sebagai ulamak paling berkuasa terus kekal kerana sang ratu adalah isteri Iskandar Thani? Jika inilah yang diharapkan, pembodek besar daripada Ranir ini ternyata akan kecewa. Tidak lama kemudian, seorang tokoh Wujudiah bernama Saiful Rijal kembali ke Aceh setelah lama menghilangkan diri di India.”

Kali ini kawan-kawannya tidak dapat turut serta mengemukakan pandangan kerana tidak pernah membaca sejarah Aceh sejauh itu. Mereka setakat mampu memasang telinga dan menganggukkan kepala. Bacaan Rasyid mengenai peristiwa ini menunjukkan Nuruddin bukanlah sehebat mana tanpa perlindungan khas Iskandar Thani. Ratu Safiatuddin pula tidak mahu campur tangan dalam pertempuran intelektual yang bakal berlaku.

“Maka Nuruddin terpaksa berdepan secara gentleman lelaki dengan lelaki dalam satu perdebatan ilmu untuk membuktikan tindakannya adalah benar dalam menghukum pendokong fahaman Wujudiyah sebagai zindiq dan sesat lalu halal dibunuh.” dia meneruskan. “Ternyata, tanpa bantuan sang raja di belakang, dia tidak mampu menyokong tindakannya itu.”

Kekalahan ini menyebabkan ramai pendokong fahaman Wujudiyah yang selama ini senyap ataupun telah ‘bertaubat’ ketika Iskandar Thani masih hidup telah kembali menyatakan dokongan terhadap fahaman Martabat Tujuh secara terang. Nuruddin pula dilaporkan pulang tergesa-gesa ke Ranir. Mengikut sebuah cerita lain pula, sebahagian besar pendokong fahaman ini kemudiannya telah lenyap dibunuh dengan kejam oleh seorang tokoh agama bernama Saifullah yang tidak bersetuju dengan fahaman ini. Wallahualam… Yang pasti, sekali lagi nyawa ramai orang Aceh hilang membuatkan Rasyid sedih mengenangkan apa yang berlaku.

“Sudahlah brother, relax... Cool down!” Nasri memujuk sambil menepuk-nepuk bahu anak muda itu. “Apapun, the damage is done. Kerosakan telah berlaku. Kami tahu Aceh zaman Iskandar Thani bukan lagi sebuah kuasa besar yang begitu digeruni penjajah Barat terutama Portugis akibat angkara Nuruddin. Ia bukan sahaja tidak pernah melebarkan sayapnya lagi seperti yang pernah berlaku semasa zaman Iskandar Muda malah mengempis pula apabila satu demi satu wilayah taklukan bebas daripada pengaruhnya.”

Rasyid masih serius dengan muka marah bercampur kesal. Pada pemuda itu, apa yang berlaku sepanjang Nuruddin berjaya menentukan arah tuju pemerintahan Aceh mungkin melegakan sesetengah pihak yang menganggap kerajaan itu sebagai sebuah kuasa imperialistik yang amat besar egonya. Maka itu ada pihak termasuk orang Melayu sendiri bertepuk-tangan apabila pengaruhnya mengecut. Mereka lupa akan peranan Aceh sebagai pelindung Islam di Nusantara... Tanpa kekuatannya, penjajah Barat terutama Belanda dan Inggeris akan bermaharajalela di seluruh Nusantara nanti akibat tidak ada lagi kuasa besar Melayu yang cukup kuat untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Nasib baik masih terdapat seorang ulamak berpengaruh yang mampu mengstabilkan kembali kerajaan Aceh selepas ia dirosakkan dari dalam. Ulamak ini adalah Sheikh Abdul Rauf Fansuri, juga dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel yang kembali ke Aceh tahun 1661... Selepas menuntut berbagai ilmu agama selama 19 tahun di Timur Tengah beliau muncul menjadi ulamak paling terkemuka Aceh semasa zaman pemerintahan Sultanah Ratu Safiatuddin, puteri Iskandar Muda dan balu kepada Iskandar Thani.

Sheikh ini mempunyai ramai anak murid dari seluruh Nusantara termasuk Sheikh Burhanuddin Ulakan yang dikenali sebagai penyebar Islam ke wilayah Minangkabau. Seorang lagi anak murid beliau yang tersohor ialah Sheikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis dari Terengganu. Sebagai seorang ulamak bertaraf wali yang sangat arif dalam bidang Tasawuf, beliau juga percaya kepada fahaman Martabat Tujuh dan Wujudiyah tetapi membahaskannya dalam bentuk yang lebih mudah diterima umum. Lagipun beliau memang pernah berguru dengan Sheikh Hamzah Fansuri malah beliau sebenarnya adalah anak saudara Sheikh Hamzah! Kedudukannya sebagai bekas anak murid Hamzah Fansuri, kemudian guru kepada Tok Pulau Manis adalah salah satu sebab kenapa Rasyid terrasa wajib ke Aceh untuk menyambung wasilah kerohanian...

Masyarakat Aceh yang celik sejarah selalu menyebut keSultanan itu mempunyai empat orang tokoh ulamak terbesar sepanjang zaman iaitu Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Shamsuddin Sumatrani atau Shamsuddin Pasai, Nuruddin al Raniri dan Sheikh Abdul Rauf Fansuri atau Abdul Rauf Singkel. Walaupun Rasyid tidak bersetuju Nuruddin diangkat dalam senarai kerana menganggapnya sebagai punca kejatuhan Aceh, dia akur pendatang daripada Ranir itu telah menyumbangkan banyak penulisan yang turut mewarnai dunia kesusateraan Melayu. Maka daripada penilaian ramai, dia tetap dianggap sebagai seorang ulamak besar.

Apapun, ulamak yang paling dikenang masyarakat Aceh kini adalah Sheikh Abdul Rauf... Mungkin kerana beliau hidup paling dekat dengan zaman sekarang? Maka disebut dalam Hadis Majah atau pepatah Aceh:
Adat bak Poteumeureuhoom,
Hukoom bak Syiahkuala,
Kanun bak Putrou Phang,
Reusam bak Laksamana,
Hukoom ngon adat,
Lage zat ngon sifeut.

Adat seperti diatur almarhum (Iskandar Muda), hukum agama menurut contoh Syiah Kuala, satu gelaran bagi Sheikh Abdul Rauf yang kemudian dimakamkan di kuala sungai di Banda Aceh. Beliau juga dikenali kerana mempunyai beribu anak murid yang bakal menjadi ulamak besar Nusantara. Salah satunya adalah Tok Pulau Manis atau Sharif Abdul Malik, ulamak pertama menterjemahkan kitab Tasawuf terkenal, Hikam karya Ibnu Athoillah Al-Iskandariah ke dalam Bahasa Melayu.

Sheikh Abdul Rauf diketahui memiliki banyak karamah. Salah satunya, beliau cuma perlu membuka serban kemudian menebarkannya di atas lautan lalu berjalan di atas serban untuk sampai ke Mekah. Wallahualam… Yang penting, Sheikh Abdul Rauf telah mengamankan kembali Aceh. Walaupun kerajaan itu tidak sekuat dahulu lagi, sekurang-kurangnya beliau telah mempertahankan teras kekuatan Aceh. Ini adalah fahaman sejati Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh yang kini selalu disalah-ertikan orang...

——————————————

Malam itu, Rasyid menulis lagi untuk isi buku:

Kekuatan Aceh sebagai kuasa besar berjaya dikekang malah dilumpuhkan setelah Nuruddin bertapak dan menunjukkan taring ketika Iskandar Thani memerintah. Kemangkatan Sultan itu 1641 pula menyaksikan Aceh mula diperintah raja-raja perempuan...

Nuruddin adalah orang yang paling lantang menyokong pemerintahan raja-raja perempuan yang akan meliputi tempoh 58 tahun di bawah empat orang ratu. Dalam tempoh ini, banyak wilayah taklukan Aceh memisahkan diri sehingga Haru yang telah dikenali sebagai negeri Deli juga mengisytiharkan kemerdekaan daripada pengaruh Aceh.

Selepas tamat tempoh pemerintahan raja-raja perempuan akibat fatwa daripada Mekah yang menyatakan orang perempuan tidak boleh memerintah kerajaan, wujud pula masalah dalaman apabila pengganti mereka, raja-raja berketurunan Sayyid yang berasal dari Hadramaut mula berebut takhta di kalangan mereka. Dalam tempoh hampir 30 tahun, Aceh bertukar Sultan berketurunan Sayyid sebanyak enam kali… Masalah dalaman ini cuma berjaya ditamatkan apabila seorang pembesar yang dikatakan bangsawan Bugis berpangkat Maharajalela merangkap Laksamana diangkat menjadi Sultan baru Aceh 1727.

Sementara itu, Belanda yang berjaya menakluki kota Melaka pada tahun kemangkatan Iskandar Thani semakin rancak melebarkan sayap dan pengaruh ke seluruh Nusantara, kali ini tanpa ada satupun kuasa atau kerajaan Melayu yang mampu menghalangnya. Aceh pula tidak lagi mempunyai armada yang cukup kuat untuk menyerang kedudukan Belanda... Mereka setakat dapat mempertahankan wilayah serta jajahan takluk yang masih ada. Maka itu saingan Belanda selepas itu cuma Inggeris yang juga merupakan sebuah kuasa besar penjajah Barat.

Walaupun Inggeris pernah berdagang di Aceh sejak Sayyid Al-Mukammil memerintah awal abad ke 17, ia cuma muncul sebagai kuasa besar bumi Melayu penghujung abad ke 18. Kedua-dua kuasa besar inilah yang menfaraidkan bumi Timur kepada dua bahagian, melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang bakal menerbitkan Malaysia dan Indonesia. Ternyata apa yang berlaku di Aceh akibat perbuatan Nuruddin membawa kesan yang sangat mendalam sehingga ke hari ini... Semoga kita sedar apa yang berlaku dan tidak membiarkan kesalahan lama berulang lagi...

Rabu, September 15, 2010

Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara...

Assalamualaikum semua. Berjumpa kita kembali setelah beberapa hari menyambut ketibaan bulan Syawal dan Hari Raya Aidilfitri. Saya sendiri sudah kembali ke rumah awal pagi Selasa. Tetapi malam ini, malam 7 Syawal baru tergerak untuk menyambung penulisan di blogspot ini.

Dalam artikel terakhir siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" iaitu Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Pesanan akhir dari putera mahkota si Merah Pupok? saya ada menyebut akan meletakkan beberapa sedutan berkenaan ulamak terkenal Aceh yang dipanggil Nuruddin Ar-Raniri dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit Nov 2007) untuk menyokong cerita, ulamak yang saya yakin sebenarnya berperanan besar menjatuhkan Aceh dari dalam. Cerita mengenainya dibuat panjang-lebar sambil diselang-selikan dengan apa yang pernah berlaku ketika penghujung perkhidmatan saya sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 2001. Jadi biarlah semuanya diletakkan secara lock, stock and barrel iaitu secara pukal ya...

----------------


ANGKARA
NURUDDIN?

MULA KEJATUHAN ACEH

(BAHAGIAN 1)




(Di antara mereka juga) orang-orang yang memperbuat masjid
untuk memberi melarat dan kufur, lagi memecah-belah antara
orang-orang yang beriman dan untuk mengintip bagi orang
yang memerangi Allah dan RasulNya dari dahulu.
Mereka bersumpah:
“Bukanlah kami menghendaki (membuat masjid ini) selain kebaikan.
Allah mengetahui, bahawa mereka itu orang yang dusta.


- Surah At-Taubah Ayat 107





Tersebutlah di mukadimah kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, pada satu hari beliau sedang “duduk pada suatu majlis dengan orang besar-besar bersenda gurau. Pada antara itu ada seorang orang besar terlebih mulianya, dan terlebih besar martabatnya daripada yang lain.” Maka berkata orang besar itu kepada Tun Sri Lanang: “Hamba dengar ada hikayat Melayu dibawa orang dari Goa; barang kita perbaiki kiranya dengan istiadatnya, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, dan boleh diingatkannya oleh segala mereka itu, shahadan adalah beroleh faedah ia daripadanya.”

Demikian katanya: “Tatkala hijratul nabiyyi salallahu alaihi wasallam seribu dua puluh satu tahun, kepada tahun Dal, pada dua belas haribulan Rabiul Awal, pada hari Khamis, waktu Al-dhuha, pada ketika Shamsu, pada zaman kerajaan marhum yang mangkat di Aceh, Sultan Alauddin Riayah Shah zillullahi fil alam, anak Sultanil ajalli Abdil Jalil Shah, akhi Sultan Muzaffar Shah, ibni Sultan Alaiddin Riayah Shah, ibni Sultan Mahmud Shah, cucu Sultan Alauddin Shah, cicit Sultan Mansur Shah, piut Sultan Muzaffar Shah, anak kahu, wa Sultanahu, wa abbada adlahu, waihsanahu.

“Sedang baginda bernegeri di Pasai, dewasa itulah datang Raja Dewa Said kepada hamba Seri Nara Wangsa yang bernama Tun Bambang, anak Seri Akar Raja Petani, menjunjungkan titah yang di Pertuan di Hilir, Sultan Abdullah Maayah Shah, ibni Sultani ajalla Abdil Jalil Shah....”. Titah baginda: ‘Bahawa beta minta perbuatkan hikayat pada Bendahara, peri persetua dan peraturan segala raja-raja Melayu dengan istiadatnya sekali, supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkan oleh mereka itu, shahadan beroleh faedahlah ia daripadanya.’”

Tun Sri Lanang menyambung dalam mukadimah itu: “Setelah faqir alladhi huwa murakkabun alal jahli, maka fakir perkejutlah diri fakir pada mengusahakan dia... Maka fakir karanglah hikayat ini Kama sami’tuhu min jaddi wa abi, supaya akan menyukakan duli hadrat baginda. Maka fakir namai hikayat itu ‘Sulalatul Salatin’ ya’ani peraturan segala raja-raja.”

Apa yang menarik perhatian Rasyid adalah kenyataan bahawa ada sebuah hikayat Melayu yang lebih tua dibawa daripada Goa. Bagaimana ia boleh wujud di sana sedangkan setahu pemuda itu, Goa yang terletak di dalam benua India itu adalah jajahan takluk penjajah kafir Portugis? Malah kalau nak tahu, itulah dia pusat utama mereka yang mula-mula dalam rangka-kerja kufar untuk menjajah dan menakluki negeri-negeri Melayu!

“Adakah ia hikayat yang ditulis oleh orang Melayu terdahulu kemudian diambil Portugis untuk disimpan dan disalin di Goa atau ia pernah ‘diperbaiki’ mereka sebelum di bawa ke Aceh? Siapa pula yang membawa hikayat Melayu itu dari Goa ke Aceh?” anak muda itu tertanya-tanya.

Rasyid teringat pesanan orang tua misteri yang ditemuinya dahulu di Masjid Kampung Hulu, Melaka supaya jangan menyalahkan Tun Sri Lanang atas kekhilafan yang wujud dalam kitab Sejarah Melayu. Menurutnya kitab itu telah ditulis balik para Orientalis seperti Gabernur Singapura Stamford Raffles yang menggunakan maklumat di dalamnya untuk mencari kelemahan orang Melayu, agar dapat dijajah dengan cara paling senang dan menguntungkan mereka. Maka jadilah Sejarah Melayu versi Shellabear, versi Raffles dan sebagainya berdasarkan tafsiran mereka. Apakah tidak mungkin para Orientalis ini telah ‘mengacau’ sedikit isinya supaya orang Melayu jadi keliru dalam memahami sejarah bangsa sendiri?

Mungkin juga hikayat Melayu asal dari Goa yang digunakan Tun Sri Lanang telah ‘diperbaiki’ oleh Portugis sepertimana kitab Sejarah Melayu pernah dibawa ke London lalu ‘diperbaiki’ di sana. Soalnya, siapa pula bertanggungjawab membawanya dari Goa? Sedangkan ketika itu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sedang memerintah Aceh (1607-1636)... Ketika itu, orang Aceh dan orang Portugis amat membenci antara satu sama lain. Aceh telah beberapa kali menyerang Melaka sejak ia dicengkam Portugis 1511 dan dalam banyak-banyak Sultan Aceh, Iskandar Muda lah yang paling banyak mendatangkan masalah kepada mereka.

Sebenarnya orang-orang Portugis pernah berdagang dan disambut baik di Aceh... Tetapi mereka telah beberapa kali berbuat khianat di bumi Serambi Mekah termasuk cuba mendapatkan sebuah kota melalui tipu helah. Para penjajah kufar ini juga telah menggunakan kerajaan Melayu Haru untuk menakluki Pasai, 10 tahun selepas Melaka jatuh. Dari situ, mereka merancang untuk menakluki Aceh... Lalu Aceh lah yang bertanggungjawab membebaskan Pasai kemudian menakluki Haru.

Berbalik pada persoalan hikayat Melayu daripada Goa yang merupakan pusat pemerintahan Portugis di Timur sejak beberapa lama. Dalam keadaan permusuhan orang Portugis dengan Aceh yang amat nyata, siapa pula yang dapat membawa naskah itu dari Goa ke Aceh tanpa banyak periksa?

——————————

Tersebutlah kisah seorang hamba Allah, Nuruddin bin Ali bin Hasanji bin Muhammad Hamid namanya. Ranir negerinya Shafie Mazhabnya. Hamba Allah yang lebih dikenali dalam sejarah sebagai Nuruddin al Raniri ini akan menjadi mufti tertinggi kerajaan yang sangat berpengaruh di Aceh... Selepas kemangkatan Sheikh Shamsuddin Pasai serta Sultan Iskandar Muda yang pernah menerajui zaman kegemilangan Aceh.

Sejarah rasmi membuktikan pengaruh orang dari Ranir ini begitu kuat dan berkesan sehingga dia berjaya mempengaruhi Sultan Aceh selepas itu, Sultan Iskandar Thani (1636-1641) agar membunuh semua manusia yang tidak bersetuju dengan pegangan Tasawufnya iaitu apa yang disebut sesetengah pengkaji sejarah sebagai Wahdatul Shuhud. Fahaman ini dikatakan bertentangan dengan fahaman Wahdatul Wujud yang dibawa oleh Wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri dan muridnya Sheikh Shamsuddin Pasai, fahaman yang menjadi pegangan masyarakat Aceh sebelum itu juga pegangan Sultan Iskandar Muda sendiri. Malah kitab-kitab yang tidak sealiran dengan ajaran Nuruddin telah dibakar berlonggok-longgok di hadapan Masjid Baitul Rahman. Maka hilanglah segala catatan yang bertentangan kecuali mana yang ditakdirkan selamat...

Beberapa bahan bacaan yang ditemui Rasyid menunjukkan Ranir, tempat Nuruddin dilahirkan dan dibesarkan adalah sebuah bandar pelabuhan antarabangsa dalam wilayah Gujerat di India. Pada tahun 1530 Masihi, bandar ini telah ditakluki Portugis. Maka tidak hairanlah jika ada kemungkinan bahawa Nuruddin nanti akan menjadi ejen Portugis secara langsung atau tidak langsung untuk menghancurkan Aceh dari dalam...

“Atau mungkin juga dia seorang ejen Belanda yang sedang mencari jalan untuk menguasai Nusantara? Ibarat seorang penduduk tempatan yang sebenarnya ejen CIA atau diupah dan diawasi CIA, untuk naik ke mercu kuasa sesuatu negara supaya hala tujunya dapat ditentukan oleh badan perisikan Amerika Syarikat ini,” anak muda itu tertanya-tanya.

Mungkin ada yang musykil... Kenapa dia berfikiran begini? Kerana setelah menelaah berbagai sumber termasuk buku bertajuk The Mysticism of Hamzah Fansuri oleh Professor Syed Naguib Al-Attas, pemuda berketurunan Aceh ini mendapati bahawa ulama Gujerat ini bertanggungjawab samada secara langsung atau tidak terhadap keruntuhan empayar Aceh...

—————————————

“Buzz… Buzz….” telefon bimbit Rasyid bergegar diikuti nada dering classical Turkish March gubahan Wolfgang Amadeus Mozart. Rupa-rupanya panggilan daripada Nasri... Sudah lebih dua minggu mereka tidak berhubung kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri...
“Assalamualaikum brother, apa cerita?” tanya anak muda itu.

“Waalaikumussalam,” jawab Nasri. “Semuanya OK alhamdulillah.”

So, what’s the plan?” tanya Rasyid. “Mahu bersidangkah kita?” dia mengajak. Sudah hampir sebulan tidak bertemu untuk bertukar-tukar fikiran mengenai cerita-cerita lama Melayu dan perkara berkaitan.

“Ha’a…” jawab Nasri. “Itu yang aku telefon ini. Aku tengah free. Nizam pun begitu... Dan dia mahu menjemput kawannya Azlan sekali.”

“Azlan?”

“Ha… Budak Beruas yang berkerja sebagai produser gameshow. Alaa... Azlan yang datang rumah Nizam hari itu. Takkan kamu tak ingat? Kawan yang sibuk bercerita tentang Sultan Malikul Mansur dahulu?”

“Ya, ya. Ingat. Azlan, budak Beruas. Elok juga itu.”

“Aku sudah beritahu mereka, kali ini kamu lebih berminat hendak berbincang tentang keSultanan Aceh. Aku pun sudah tamat membaca Hikayat Aceh. Rasanya semua orang sudah bersedia...”

“Hmm... Baguslah itu!” jawab Rasyid. “Kebetulan aku sedang menulis bab yang agak sulit berkenaan Nuruddin Al-Raniri. Elok juga kalau kamu semua dapat menyumbangkan fikiran. Taklah aku jadi kera sumbang terpinga-pinga buat research dan segala kerja seorang diri!”

“Hmm… No problem. Aku ada satu naskah kitab Bustanus Salatin.”

“Kalau begitu, hujung minggu ini bagaimana?”

“Boleh!,” jawab Nasri. “Aku telefon kawan-kawan suruh standby apa yang patut. Kita order pizza sekali di rumah aku, setuju?”

Set… This weekend at your house. I’m there man!”

“OK… Aku beritahu kawan-kawan. See you then…”

Alright. Chow brother…” Rasyid menutup perbualan. Muncul semangat baru untuk meneruskan pengolahan kembali Jilid 3 buku “Berpetualang ke Aceh” yang sedang diusahakannya... Proses yang agak terbantut kebelakangan ini kerana kesihatannya selalu terganggu... Sekejap demam, sekejap sakit perut, mungkin akibat terlalu penat bekerja seorang diri…

—————————

Rasyid membuka komputer laptop lalu meneliti kembali tulisannya... Apa yang mahu diketengahkan kali ini amat rumit... Terlalu rumit. Ia melibatkan seorang manusia yang dianggap ulamak besar serta persoalan akidah yang telah menyebabkan umat Islam bertelagah zaman berzaman...

Sejarah rasmi dalam buku-buku teks pengajian tinggi mencatatkan Nuruddin al Raniri tiba di Aceh pada 6 Muharam 1047 Hijrah bersamaan 31 Mei 1637. Ketika itu, Sultan Iskandar Thani yang sebenarnya seorang anak Raja Pahang baru menaiki takhta Aceh kira-kira setahun. Anak raja itu telah diambil sebagai anak angkat oleh Sultan Iskandar Muda ketika masih kanak-kanak kemudian dijadikan menantunya Entah bagaimana, Nuruddin telah berjaya mendapat tempat di hati Iskandar Thani lalu diangkat menjadi Mufti serta Qadi Malikul Adil kerajaan Aceh, orang yang paling berkuasa dalam hal ehwal agama kerajaan itu.

Kalau diperhatikan gelagatnya, Nuruddin seolah-olah lebih berkuasa daripada Sultan yang ketika itu baru berumur 27 tahun. Ini kerana boleh dikatakan setiap kata-katanya, setiap fatwa yang diberi akan dituruti Iskandar Thani tanpa banyak soal dan periksa... Akibatnya, beribu pengikut Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dibunuh dan kitab-kitab kedua Wali dan pujangga besar ini dibakar dan dimusnahkan di hadapan Masjid Baitul Rahman. Menurut fatwa pendatang dari Gujerat ini, ajaran mereka adalah sesat dan pendokongnya halal dibunuh.

Mereka yang menyokong Nuruddin pula menyanjungnya sebagai seorang ‘penyelamat’ yang datang ke Aceh untuk membersihkan akidah masyarakat awam yang dikatakan telah “lari daripada landasan yang benar”. Para pendokong fahaman Wahdatul Wujud berteraskan ajaran Martabat Tujuh yang dipelopori seorang Sufi, Sheikh Ibnul Arabi semasa zaman kegemilangan kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol, abad ke 13 Masihi ini dikira sesat, telah lari daripada pegangan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Nampaknya mereka sependapat dengan ulamak-ulamak dahulukala yang pernah menyokong Ibnu Taimiyah serta muridnya Ibnu Qaiyim al Jauziyah yang hidup segenerasi selepas Ibnul Arabi. Dua tokoh bergelar Sheikhul Islam ini diketahui sering menggunakan kekuatan intelektual dan pengetahuan agama serta Tasawuf yang dimiliki untuk menyanggah, menjatuhkan malah menghukum sesat fahaman Sheikh Ibnul Arabi serta mereka-mereka yang sealiran dengannya.

Malah penulisan-penulisan Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim menjadi sanjungan seterusnya pegangan kebanyakan golongan yang anti Tasawuf. Ini bakal menerbitkan fahaman Wahabi pimpinan Muhammad ibnu Wahab abad ke 18 nanti... Pendokong fahaman ini kononnya berjuang “untuk kembali kepada Al Quran dan Hadis” tetapi nampaknya lebih banyak menghukum orang lain sebagai sesat. Hakikatnya, fahaman Wahabi inilah yang digunakan oleh penjajah Barat untuk mengumpulkan sokongan orang Arab demi menjatuhkan kerajaan Mekah, Madinah dan Hijaz yang telah dipimpin oleh para Sharif Mekah, keturunan Rasulullah SAW dari jurai Saidina Hassan selama 800 tahun. Maka sekitar tahun 1924, mereka telah menaikkan seorang ketua Arab Badwi dari keluarga Bani Saud menjadi raja yang menguasai Semenanjung Arab sehingga negeri itu dikenali sebagai Arab Saudi, sempana nama kabilah Badwi ini.

Sebenarnya pihak yang mengaku ingin memperjuangkan Islam ini cuma boneka Barat yang pandai menghabiskan wang, harta serta hak rakyat hasil kekayaan minyak bumi Arab, juga hasil pendapatan daripada berjuta-juta manusia yang mengerjakan Umrah dan Haji. Dan ternyata mereka amat bodoh dalam membela nasib umat Islam terutama di Palestin yang teruk ditindas Yahudi, seringkali dipermain-mainkan Barat.

Ingat tidak peristiwa keruntuhan terowong bawah tanah di Mina, kalau tidak salah, pada tahun 1980an begitu? Atau mungkin lebih tepat lagi tahun 1982 di mana beribu orang umat Islam yang sedang mengerjakan haji meninggal dunia akibat ditimpa runtuhan tanah, juga akibat dipijak jemaah yang panik selepas runtuhan berlaku? Ingat tidak bagaimana pihak berkuasa Arab Saudi cuma menggali lubang-lubang besar kemudian mengaut mayat-mayat yang bertimbun lalu dilemparkan ke dalam lubang-lubang itu sebelum dikambuskan begitu sahaja?

Fikirkan.... Inikah cara para penjaga Tanah Haram Mekah dan Madinah, Khadamul Haramain yang kononnya berperanan sebagai pelindung umat Islam menghormati mayat? Apakah mereka tidak boleh menggunakan cara yang lebih sopan untuk mengebumikan para jemaah yang terkorban lebih-lebih lagi setelah membuat untung berbillion-billion Dolar dengan kedatangan berjuta-juta jemaah yang sanggup membayar beribu-ribu Dolar setiap seorang untuk berada di sana?

———————————————

Rasyid teringat seorang kenalan yang umurnya hampir sebaya ayah, seorang anak cucu keluarga Sharif Mekah terakhir yang sekarang ini menetap di Terengganu. Hamba Allah yang bapanya pernah menjadi seorang ulamak besar negeri itu pernah menceritakan bagaimana para penyokong fahaman Wahabi serta keluarga Bani Saud telah masuk menceroboh rumah keluarganya lalu menghalau mereka keluar. Katanya, datuk saudaranya, Sharif Mekah yang terakhir pula mati ditembak di kepala. Inikah cara orang yang ingin “kembali kepada Al Quran dan Hadis”? Dengan menindas lagi anak cucu keturunan Nabi dan menidakkan hak mereka seperti yang pernah dilakukan orang-orang Bani Umaiyah, juga Bani Abbasiyah suatu masa dahulu? Berani pula menuduh para pewaris Nabi sebagai sesat untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa dengan kejam?

Seperti diketahui orang yang mengkaji, Mekah dan Madinah di bawah pemerintahan Sharif-sharif Mekah adalah pusat spiritual, pusat kerohanian seluruh umat Islam... Sepertimana Turki Uthmaniyah pernah menjadi pusat zahir sebuah empayar Islam yang menaungi ummah. Anak muda ini percaya, para Sharif yang mempunyai pertalian darah serta kerohanian dengan Rasulullah SAW itu tentu amat memahami bidang Tasawuf. Mesti mereka tahu akan maksud sebenar fahaman Martabat Tujuh yang dipelopori Ibnul Arabi walaupun mereka tidak membincangkannya secara terus terang sehingga boleh dipandang sesat oleh orang yang kurang faham... Lagipun intipati ajaran itu sebenarnya sama sahaja dengan intipati mana-mana pengajian Tasawuf sejati peringkat tinggi atau Muntahi.

Sepertimana orang tua berketurunan Aceh di Perak yang selalu menjadi rujukan Rasyid pernah menceritakan, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Anta Ahad ya Rasulullah (Anda Yang Esa iaitu Yang Satu, Ya Rasulullah)?”

Lalu baginda memberikan sebuah jawaban yang ringkas tetapi penuh makna: “Ana Ahmad bil Amim (Aku Ahmad tanpa Mim atau huruf M)”

Dalam satu peristiwa yang serupa, Nabi Muhammad SAW juga pernah ditanya soalan yang sama maksudnya: “Anta Rabb ya Rasulullah?”
Lalu dijawab baginda. “Ana Arab bil Ain (Aku Arab tanpa Ain)”

Mereka yang faham makna sebenar Tauhid serta kaedah-kaedah mendalami hakikat keEsaan seperti muroqabah dalam Tauhid Af’al, Tauhid Asma, Tauhid Sifat dan Tauhid Zat tentu faham rahsia di sebalik jawaban-jawaban Rasulullah SAW ini. Kalau tidak faham, eloklah bertanya kepada guru yang mursyid supaya tidak salah faham, takut dihukum sesat nanti.

Seorang lagi orang tua di Perak yang sering menjadi tempat rujukan Rasyid dalam memahami rahsia agama ada menyebut bahawa fahaman “Martabat Tujuh” yang mempunyai kaitan mendalam dengan fahaman Wahdatul Wujud atau Wujudiyah ini cuma mengEsakan Allah dengan sebenar-benar keEsaan iaitu sebenar-benar Tauhid, itu sahaja… Ia bukannya fahaman baru yang dicipta kemudian (selepas Rasulullah SAW wafat) untuk memandai-mandai seperti dakwaan mereka yang kurang faham.

Orang tua bertaraf ulamak yang tidak suka dirinya diperbesar-besarkan walaupun sesetengah orang menganggapnya sebagai seorang manusia bertaraf wali ini memberitahu fahaman “Martabat Tujuh” cuba menghuraikan kaitan sebenar antara Allah SWT dengan ciptaan-ciptaannya, daripada Arash, Kursi, Loh Mahfuz sampailah ke Insan ataupun manusia. Ia cuma satu kurikulum ataupun kaedah untuk memahami bagaimana Allah Yang Satu lagi Maha Esa itu boleh menZahirkan keWujudannya ke alam ini melalui satu proses ‘penurunan’ atau tanazulat martabat wujud peringkat demi peringkat hingga menjadi alam yang nampak... Daripada Zat boleh turun ke Sifat, ke Nama-nama, ke Af’al ataupun perbuatan, kemudian ke Athar ataupun kesan. Lalu daripada perbuatan-perbuatan dan kesan-kesan kekuasaan Allah ini terbitlah makhluk yang berbagai-bagai.

Kesimpulannya, semuanya daripada Allah belaka. Fahaman ini sekadar menghuraikan tata-tertib bagaimana segala kejadian boleh tercipta. Ibarat laut yang bergelora, ada riak, ada ombak bermacam ragam... Nampak kepelbagaian muncul daripada laut yang satu. Tetapi hakikatnya yang ada cuma lautan itu jua. Tiada apa-apa yang lain berserta dengannya.

“Tapi ingat. Hakikat ini bukan boleh dilihat dengan mata zahir yang nampak kepelbagaian, berbagai warna dan bermacam ragam di sekitar,” orang tua itu memberi amaran. “Ia hanya boleh dilihat dengan mata batin yang hidup dan terang. Hanya mereka yang betul-betul sampai kepada penglihatan yang sebenar lagi haq sahaja nampak hakikat ini... Orang yang pada pandangannya, segala makhluk telah ghaib ataupun fana’.”

Orang tua itu memberi satu contoh:“Ibarat orang yang pengsan tetapi berdiri dengan mata terbuka. Mungkin ada berbagai-bagai benda di hadapannya, ada orang, ada binatang, ada bangunan, ada berbagai ragam dan warna. Tetapi dia tidak nampak semua itu. Yang dia nampak semuanya sama, tidak ada bezanya. Cuma satu keSatuan, satu keEsaan yang tidak dapat diceritakan dengan lisan. Mulut terkedu bila hendak bercerita.”

Malangnya manusia yang dapat melihat hakikat ini amatlah sedikit. Yang lain setakat mengajuk sahaja agar dianggap tinggi kerohaniannya...

“Kebanyakan orang mengaku ‘sudah sampai’ kepada Penciptanya, mengaku telah melihat Allah Yang Satu serta faham hakikat kejadian alam sedangkan perbuatan mereka adalah jauh panggang daripada api. Mereka tertipu oleh ego sendiri sehingga sanggup mengaku diri mereka itulah Yang Satu. Alam inipun dikatakan Yang Satu. Kononnya alam dan Tuhan telah bersatu... Mereka lupa Allah itu ‘Laisakamislihisyai’un, tidak boleh diserupakan dengan apa-apa pun. Lalu jatuh sesat dan zindiqlah mereka.”

Pening juga Rasyid memikirkan semua ini. Rasanya dia dapat memahami apa yang cuba disampaikan. Apapun, orang tua itu mengingatkan, orang yang betul-betul memahami Martabat Tujuh tidak akan meremehkan Syariat lalu meninggalkan Solat. Tidak seperti orang-orang sesat tetapi mengaku sudah ‘sampai’ kepada Allah yang mendakwa tidak perlu lagi bersolat kerana sudah kenal siapa itu Allah, siapa itu dirinya sendiri. Kononnya mereka sentiasa berada dalam keadaan bersolat, solat 24 jam ataupun solatun da’imun, solat yang berkekalan sedangkan hakikatnya mereka cuma malas bersolat lalu ingin mencari berbagai-bagai alasan.

“Inilah orang-orang yang perasan sudah tinggi pencapaian kerohanian lalu lupa adab hamba kepada Yang Maha Pencipta,” kata orang tua itu. “Kerana merasakan dirinya dengan Tuhan itu sama, mereka sanggup menghalalkan perbuatan songsang seperti minum arak, membunuh, menipu dan berzina atas alasan semuanya adalah perbuatan Allah jua!”

Orang-orang sebegini memang layak dihukum kerana merosakkan akidah awam. Merekalah yang menyebabkan fahaman Martabat Tujuh serta Wahdatul Wujud ataupun Wujudiyah dilabelkan sesat.

“Tetapi itu tidak bermakna mereka patut terus dihukum bunuh,” katanya merujuk kepada apa yang pernah berlaku di Aceh dahulu. “Mereka perlu ditarbiyah terlebih dahulu atau diasingkan daripada orang ramai.”

Maka itu Nuruddin yang dikatakan cukup tinggi pengajian Tasawufnya patut lebih memahami dan tidak terus menghukum Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Shamsuddin Pasai serta para pengikutnya sebagai sesat apalagi menghalalkan pembunuhan mereka. Apakah orang yang dianggap ulamak besar ini tidak mempunyai sifat pemaaf? Atau dia sebenarnya gila kuasa dan sadistic, seronok melihat para pengikut lawannya dibunuh dan fahaman itu dihapuskan langsung daripada bumi Aceh?

(Hmm... Aku yakin Nuruddin ini ada kepentingan peribadi yang tersendiri. Sebab itu dia beriya-iya benar mahukan para pengikut Martabat Tujuh serta fahaman Wahdatul wujud dihukum bunuh... Tetapi bagaimana mahu diutarakan ini ya? Ya Allah! Berikan aku petunjuk. Berikan aku kalam lancar yang dapat menerangkan duduk letak perkara ini dengan jelas supaya terungkai segala sebab-musabab... Sebab musabab yang akan menyebabkan Aceh jatuh daripada dalam sebelum ia jatuh dari luar pula... Satu kejatuhan yang akan menyebabkan umat Islam di bumi Melayu ini hilang sebuah kuasa besar yang mampu membelanya lalu terjajah pula!)

Mereka yang mengaku ‘neutral’ iaitu berada di pihak berkecuali (atau kurang nampak apa yang tersirat di sebalik pertembungan Nuruddin dengan Hamzah Fansuri serta Shamsuddin Pasai dan para pengikut mereka?) menganggap apa yang berlaku di Aceh itu tidak lebih daripada satu pertembungan fahaman ataupun ideologi antara dua pihak. Pada mereka, perbezaan fahaman Wahdatul Wujud yang mengEsakan segala sesuatu di dalam Allah dengan Wahdatul Shuhud yang dikatakan melihat Allah dan alam sebagai dua perkara yang berbeza adalah pertembungan dua sudut pandangan sahaja... Sepertimana sederet rumah teres kelihatan seperti satu rumah jika dipandang daripada sisi tetapi nampak terang memiliki banyak pintu jika dipandang dari hadapan pula!

Ada di antara mereka mengibaratkan pertembungan itu seperti perbezaan mazhab dalam menafsirkan sesuatu perkara, satu menyebut batal air sembahyang apabila bersentuh suami isteri, satu lagi tidak. Masing-masing ada nas-nas dan hadis tersendiri untuk menyokong kefahaman mereka. Maka itu, kedua-dua pihak boleh dikatakan benar dalam penilaian masing-masing. Dalam konteks ini, pertembungan dua pihak di Aceh itu boleh dikatakan sebagai satu pertembungan yang tidak dapat dielakkan kerana perbezaan interpretasi sahaja. Cuma telah diTakdirkan ia menjadi begitu kalut sehingga beribu orang dijatuhkan hukuman bunuh... Sementara kitab-kitab Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitul Rahman. Semuanya sekadar mangsa keadaan. Tiada pihak yang harus dipersalahkan...

(Boleh ke dimulakan perkara dengan penerangan sebegini? Ah... Rumit sungguh hendak menyatakan apa yang terbuku di hati...)

Nuruddin diketahui mempunyai kefahaman yang jitu tentang ilmu Tasawuf termasuk fahaman Martabat Tujuh sekurang-kurangnya dari segi falsafah. Ulamak dari Gujerat ini telah mengarang tidak kurang daripada 25 kitab agama Islam semasa di Aceh dan dia telah mengemukakan alasan-alasan yang agak bernas untuk menolak fahaman Wujudiyah.

Nuruddin juga dikatakan seorang Sheikh atau mahaguru dalam Tariqat Rifaiyah yang diasaskan Sheikh Ahmad Rifai 1181 Masihi. Malah ada yang menyebut beliau berasal daripada anak cucu keturunan Rasulullah SAW, daripada keluarga Al Aidrus. Apa yang menjadi persoalan, adakah dia betul-betul jujur hendak memperbetulkan akidah orang Aceh atau hamba Allah ini sebenarnya mempunyai motif-motif lain?

Perkara ini pernah ditimbulkan beberapa pengkaji sejarah dan alim ulamak serta golongan intelektual seperti Professor Naguib Al-Attas, penulis buku The Mysticism of Hamzah Fansuri yang melihat ada sesuatu yang tidak kena tentang tindakan Nuruddin mengeluarkan fatwa mengharamkan ajaran Hamzah Fansuri dan menghukumnya sesat. Sepertimana seorang ulamak boleh sahaja arif dalam segala ilmu agama tetapi menggunakan kebolehan dan kelebihannya untuk menjual ayat-ayat Quran demi mendapatkan harta, pangkat, pengaruh dan kepercayaan orang ramai, mungkin fatwa itu sebenarnya mempunyai motif-motif materialistik dan keduniaan semata-mata? Rasyid melihat ada tanda-tanda menunjukkan Nuruddin ingin menentukan hala-tuju pemerintahan Aceh di samping menaikkan nama sendiri sebagai seorang ulamak serta penulis serta pemikir besar alam Melayu.Nuruddin seolah-olah mahu menjadikan kerajaan itu sebuah Banana Republic yang boleh diperintahnya secara mutlak dengan Sultan Iskandar Thani sebagai boneka yang akan menurut segala fatwanya sementara semua lawan mahu dihapuskannya. Seperti kata pepatah Melayu lama: Bila helang tiada, belalang pula mengaku helang.

Apabila segala lawan sudah berjaya dihapuskan, pegangan Wahdatul Wujud mereka dipadamkan sementara beribu kitab berkaitan terutama karangan Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitul Rahman, dapatlah dia mengangkat dirinya sendiri sebagai juara serta ‘penyelamat’ Aceh. Lalu apa hendak dihairankan jika namanya nanti diabadikan sebagai seorang daripada empat ulamak terbesar Aceh? Sedangkan kebanyakan kitab yang tinggal zaman itu adalah kitab-kitab karangannya belaka. Kitab mana pula yang dapat mencabarnya?

Rasyid teringat apa yang pernah berlaku dahulu ketika masih berkhidmat sebagai seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris terkemuka di ibukota. Tersebutlah kisah seorang hamba Allah, bekas ahli politik yang pernah menjadi salah seorang manusia paling berkuasa di Malaysia, manusia yang pernah mengangkat diri sendiri sebagai the best Prime Minister Malaysia never had, Perdana Menteri terbaik yang Malaysia tidak pernah berpeluang memilikinya. Begitulah penilaiannya terhadap dirinya. Siapa pula yang dapat menyanggah apabila dia memegang kuasa?

Atas sebab-sebab tertentu, orang ini pernah terbuang daripada persada politik negara tetapi setelah lama hidup di dalam twilight zone, dia telah diberi peluang untuk memegang sebuah jawatan tertinggi dalam syarikat akhbar ini, sebuah jawatan yang sangat tinggi daripada segi organisasi syarikat tetapi tidak mempunyai kuasa langsung dalam dunia kewartawanan yang ditentukan oleh sidang pengarang. Semasa itu, akhbar ini baru sahaja mengalami krisis tertentu yang menyebabkan ketua pengarang tertinggi ditamatkan perkhidmatannya. Lalu hala-tuju akhbar mula ditentukan empat orang penasihat yang baru dilantik, terdiri daripada empat nama besar dunia kewartawanan yang sangat disegani ramai.

Entah kenapa, mungkin kerana berjaya mempengaruhi pemerintah tertinggi negara ketika itu, selepas setahun “bermain-main” di belakang tabir, hamba Allah alias the best Prime Minister ini dikurniakan jawatan tertinggi sidang pengarang. Orang mengantuk disorongkan bantal, kucing disuakan ikan… Jika dari segi politik, dia sudah lama “ketinggalan bas”, tidak memilik apa-apa lagi peluang untuk menjadi PM waima untuk bermimpi meletakkan kaki di kerusi paling empuk Putrajaya sekali pun, kini manusia ini telah berjaya mendapatkan kedudukan kewartawanan tertinggi yang dikira paling prestij di tanah-air memberikannya peluang untuk mencorakkan suasana politik tanah-air melalui jalan lain pula…

Seperti cerita Nuruddin di Aceh dahulukala, rancangannya memegang kuasa tidak akan dapat dilakukan sepenuhnya jika ada manusia lain yang boleh menentukan hala-tuju berita atau menulis lebih baik di dalam ruangan-ruangan pojok yang berpengaruh. Maka misi pertamanya setelah mendapat kuasa hampir mutlak adalah menamatkan perkhidmatan empat orang penasihat ternama yang pernah menjadi lagenda dunia kewartawanan... Ini dilaksanakannya dengan “penuh takzim” lagi ‘berhemah’. Lalu para penasihat inipun dikeluarkan atas alasan entah apa-apa...

‘Prime Minister’ yang tidak ubah seperti seorang Nuruddin moden ini juga telah menamatkan ruangan pojok bekas pengarang tertinggi dahulu yang sudah berpuluh tahun mewarnai akhbar itu. Sepertimana kitab-kitab Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai dibakar di hadapan Masjid Baitur-Rahman, begitu juga dilakukannya terhadap ruangan pojok seorang pengarang lain yang baru beberapa bulan bertapak kembali di sebuah akhbar nasional berbahasa Melayu yang juga dikuasai syarikat yang sama.Hasilnya, tidak ada wartawan lain mampu menandingi ‘keunggulannya’ dalam menganalisa peristiwa semasa serta mengemukakan pendapat-pendapat yang mampu mempengaruhi hala-tuju pemerintahan negara.

Kedua-dua ruangan pojok utama akhbar berbahasa Inggeris serta akhbar berbahasa Melayu yang seiring dengannya berkemampuan tinggi untuk membentuk public opinion atau pendapat orang-ramai kerana memiliki ramai pembaca golongan atasan. Malah ia mampu menjana halatuju polisi pentadbiran Parlimen dan jemaah Menteri! Nuruddin moden inipun mula mewarnai buah pemikirannya dengan pengalaman lama bergaul dengan berbagai pemimpin utama dunia juga zaman persekolahannya di sebuah sekolah berasrama penuh yang dikira paling elit di Malaysia.

Peluang menentukan segala isi cerita digunakan untuk menaikkan profail diri sendiri dalam dunia sosial elit the rich and famous dan jetsetting life. Ini membolehkannya terus bergaul dengan pemimpin politik dan perniagaan tertinggi malah pihak istana dan para raja! Orang luar terutama masyarakat pembaca yang tidak mengetahui permainan ala Machiavelli matlamat menghalalkan cara mengkaguminya sebagai sebagai seorang pemikir hebat yang ikhlas berjuang untuk menaikkan taraf agama, bangsa dan negara, juga seorang elit luarbiasa. Permainan wayangnya begitu licik sehingga apabila hala-tuju pemerintahan negara menunjukkan tanda-tanda lebih menjurus kepada penghayatan agama, hamba Allah ini mula menggunakan gambar dirinya berlatar-belakangkan masjid di dalam ruangan-ruangan pojoknya malah sudah pandai mengutarakan ayat-ayat Al-Quran dan Hadis pula!

Apa yang mereka tidak tahu, dia telah banyak menggunakan duit syarikat untuk menampung kehidupan elit yang merangkumi sesi minum happy hours di kelab-kelab ekskusif. Malah mengikut kata sesetengah wartawan, hamba Allah ini boleh pula membelanja kawan-kawan minum arak yang termahal dalam majlis syarikat! Tetapi siapa pula boleh membuka tembelangnya? Maklumlah, the best prime minister Malaysia never had!

Tersebut pula kisah seorang lagi bekas ahli politik yang juga pernah menjadi seorang manusia paling berkuasa tanah-air. Oleh kerana skop kerja Rasyid sebagai wartawan seringkali menemukannya dengan wajah-wajah terkemuka negara termasuk the Prime Minister that Malaysia actually have, Perdana Menteri yang Malaysia memang miliki, tidak dapat tidak, satu hari nanti dia akan bertembung juga dengan bekas ahli politik yang suatu masa dahulu memang sudah begitu hampir menjadi Perdana Menteri. Lalu mereka pernah dua tiga kali terserempak dan bertegur-sapa…

Kebetulan pemuda ini termasuk di dalam golongan manusia yang tidak hairan, gugup apalagi gementar berhadapan manusia-manusia sebegini... Dia sudah banyak kali duduk bersila di atas lantai dengan sekadar memakai seluar cerut dan t-shirt di hadapan Perdana Menteri tetapi masih boleh lagi bertukar kata-kata dengannya tanpa rasa rendah diri mahupun segan-silu. Di kala mereka yang memakai full-suit lengkap segalanya untuk kelihatan lebih berwibawa pun boleh terdiam hilang suara, Rasyid tetap yakin dengan diri sendiri. Maka dia tidak teruja apabila bekas ahli politik yang pernah (malah masih) dikagumi ramai dan pernah menjadi mentor ramai nama-nama besar ini datang duduk di sebelahnya bertanyakan khabar...

Ketika itu, Rasyid baru sahaja selesai menemu-ramah seorang personaliti terkenal berkenaan sukan berkuda sedangkan hamba Allah ini pula berada di meja bersebelahan. Mereka pun bertukar-tukar cerita... Cerita punya cerita, terkeluarlah kisah the best Prime Minister yang ketika itu baru sekitar dua bulan menaiki takhta dunia kewartawanan.

Mendengarkan ini, the almost Prime Minister (memang dia hampir menjadi seorang Perdana Menteri sebelum hilang kedudukannya) di sebelah pun berkata (dalam Bahasa Inggeris): “Oh… Dia rupanya. Kalau begitu kamu kirim-salam padanya. Katakan, tidak usah penat-penat menulis, ruangan pojoknya itu lebih elok diberi kepada kamu sahaja.”

Pemuda itu tahu ini cuma satu gurauan sahaja. Rasyid biasa bertegur-sapa dengan bekas ahli politik yang seorang lagi terutama ketika menghisap rokok di koridor pejabat lalu kembali tanpa rasa risau untuk menyampaikan pesanan ini. Apabila terserempak dengannya, dia memberitahu yang dia baru sahaja berjumpa dengan the almost prime minister...

“Dia kirim-salam kat you!” kata Rasyid selamba.

Hamba Allah yang seorang lagi ini tersenyum.“Tunggu sekejap,” katanya untuk menyelesaikan sesuatu.”Nanti I datang...”

Lima minit kemudian, baru dia bertanya: “Hah… Apa katanya?”

Sekali lagi pemuda ini dengan selambanya (dalam Bahasa Inggeris) memberikan pesanan tanpa diedit : “Dia cakap Tan Sri tidak usah penat-penat menulis, ruangan pojok Tan Sri lebih elok diberikan pada saya.”

Rasyid bercakap dalam nada gurauan. Tak sangka pula the best Prime Minister ini sensitif lalu ‘meletup’. Dia membesarkan suara dengan marah sehingga hampir setengah pejabat penuh wartawan boleh mendengar dengan terang. Cuma Rasyid sahaja yang terus buat muka selamba...

“Orang itu, orang itu ya (bercakap tentang the almost Prime Minister). Ah… Dia pandai bercakap sahaja. Aku boleh beri dia ruang menulis seberapa banyak yang dia mahu. Tetapi aku tahu dia tidak pandai menulis!”

Rupa-rupanya, peristiwa itu telah membuatkan hamba Allah ini menjadi “lebih teliti” terhadap pemuda itu. Ini nampaknya dilakukan secara senyap... Mereka masih lagi bertegur-sapa seperti biasa apabila terserempak, belum ada tanda-tanda bahawa ada pihak yang menyimpan hati. Maka Rasyid meneruskan kehidupan biasa tanpa memikirkannya.

Seingatnya, cuma ada satu sahaja peristiwa menunjukkan the best Prime Minister Malaysia never had ini telah mula curiga terhadap diri dan latar-belakang Rasyid... Apabila dia secara terang-terangan tetapi dalam nada bergurau memberitahu beberapa orang pengarang kanan akhbar sambil menudingkan jari ke arah anak muda ini : “Watch out for this guy, he is … (tidak boleh disebut nama)’ alter ego!” Makna zahirnya berjaga-jagalah… Budak ini adalah bayang-bayang bekas ahli politik sangat berpengaruh yang dimaksudkan. Siapa lagi kalau bukan the almost Prime Minister... Mungkin kerana menyedari pemuda ini mempunyai ramai kenalan yang bukan calang-calang orang walaupun dia cuma seorang wartawan biasa?

Rasyid yang sedang berdiri di sebelah tersenyum sahaja. Begitu juga pengarang-pengarang kanan yang telah lima tahun mengenalinya.Tetapi di sebalik kata-kata itu mungkin tersirat makna lebih mendalam yang menyatakan anak muda ini juga mempunyai cita-cita politik yang tinggi... Mungkin dia adalah anak didik ahli politik tersebut di samping menjadi “mata, telinga dan mulutnya”. Ini tidak mustahil kerana pengarang tertinggi akhbar yang pernah menjadi seorang pemimpin pelajar itu pernah menyimpan cita-cita besar untuk menguasai dunia politik sejak zaman sekolah lagi. Malah dia pernah mengaku memasuki bidang kewartawanan ketika muda sebagai langkah mendekati ahli-ahli politik berpengaruh.

Memang dunia kewartawanan boleh digunakan sebagai stepping stone atau batu loncatan untuk cepat naik dalam dunia politik. Ia memberikan ruang untuk seseorang itu dikenali golongan pemerintah lebih-lebih lagi jika orang itu petah berkata-kata serta berkeyakinan tinggi. Maklumlah, sudah menjadi lumrah kehidupan biasa seseorang pemberita untuk membuat liputan majlis-majlis eksklusif yang cuma dihadiri orang-orang tertentu. Tidak lama kemudian, hamba Allah ini ‘diangkat’ oleh pemerintah negara paling berkuasa zamannya untuk menjadi wakil urusannya.

Kepercayaan serta jawatan yang diberi telah menyebabkan dia sendiri menjadi salah seorang manusia paling berkuasa di Malaysia, seorang gatekeeper atau penjaga pintu keluar-masuk paling utama ke persada kekuasaan. Ini memberikannya pengaruh tidak terhingga... Maka itu tidak mustahil jika dia menduga, Rasyid juga mempunyai niat yang sama? Jika the best Prime Minister mampu melakukannya, mengapa tidak pemuda ini?

Peristiwa gurauan Rasyid yang menyebabkan the best Prime Minister naik angin itu mungkin boleh dianggap kecil.... Tetapi ia mempunyai makna tersirat yang lebih mendalam apabila seseorang itu tahu, bekas ahli politik ini pernah malah mungkin masih lagi bermusuh dengan bekas ahli politik seorang lagi yang dikatakan rapat dengan pemuda itu. Ini sebenarnya sudah sangat ternyata, terang lagi bersuluh apabila hamba Allah ini melatah setelah anak muda kelahiran Muar, Johor ini menyampaikan pesanan bekas ahli politik itu yang seolah-olah menyindir dia tidak pandai menulis. Lalu dalam keadaan seorang Nuruddin moden mahu menggenggam sebuah institusi yang amat berpengaruh demi menghidupkan kembali cita-cita politiknya sendiri, kali ini lebih kepada menjadi kingmaker yang boleh menentukan siapakah yang bakal memegang teraju pemerintahan negara melalui pengaruh besarnya ke atas media massa, apakah dia cuma akan membiarkan Rasyid terus mengembangkan karier di akhbar itu?

Apakah the best prime minister sanggup membiarkan seorang pemuda cerdas yang diketahui mempunyai kenalan-kenalan yang sangat berpengaruh di persada politik tanahair terus menjadi duri dalam daging? Atau pemuda ini harus dihambat keluar sepertimana para penganut Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh yang dipelopori Sheikh Hamzah Fansuri di Aceh mesti dihapuskan demi “kesejahteraan negara”?

————————————

Rasyid mengaku memang suatu masa dahulu dia pernah menyimpan cita-cita tinggi untuk menceburkan diri ke dalam dunia politik demi menjadi manusia paling berkuasa. Ini bermula ketika berumur 18 tahun... Entah-kenapa, tidak dapat dipastikan apakah sebab sebenarnya, tiba-tiba timbul hasrat ‘gila’ untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi yang rakyatnya sangat sayangkan ilmu, tidak suka kepada perkara remeh-temeh... Satu negara ideal yang dibayangkannya lebih kurang seperti Andalusia di Sepanyol semasa zaman Sheikh Ibnul Arabi 800 tahun dahulu.

Kebetulan pula pemuda ini mula mengenali dunia Tasawuf dalam usia yang sama, selepas membaca syair-syair serta lain-lain karya Wali besar Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri yang ada dinukilkan di dalam buku “The Mysticism of Hamzah Fansuri.” tulisan Professor Syed Naguib Al-Attas. Dan kebetulan juga fahaman Wahdatul Wujud yang dipelopori ulamak Melayu ini memang berasal daripada ajaran Ibnul Arabi. Tetapi Rasyid cuma tahu kaitan antara Hamzah Fansuri dengan Ibnul Arabi lebih 12 tahun kemudian. Semasa itu, barulah pemuda ini sedar, negara bertamadun yang diimpi-impikannya pernah wujud di bumi Serambi Mekah 700 tahun lalu, melalui kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih.

Apakah yang menyebabkan dia begitu bersemangat mahu menerbitkan negara sebegini ketika berumur 18 tahun sedangkan ketika itu anak muda ini belum pernah terbaca apa-apa cerita mengenainya? Sedangkan dia cuma mengenali kewujudan tamadun Andalusia pun melalui pembacaan lebih dua tahun kemudian... Apakah mungkin ia berkaitan dengan darah Aceh yang mengalir di dalam batang-tubuhnya? Satu fakta yang cuma diketahuinya ketika berumur 33 tahun, lebih 15 tahun nanti?

Apapun, Rasyid menyedari negara seperti ini tidak akan dapat diwujudkan tanpa kuasa dan pengaruh. Maka itulah, dia pernah bercita-cita untuk menceburi dunia politik demi mendapatkan kuasa dan pengaruh yang diperlukan untuk menggapai cita-cita itu. Masalahnya, anak muda ini mempunyai sedikit sikap anti-establishment, tidak suka kepada institusi-institusi sedia ada… Walaupun dia mempunyai pengaruh yang kuat ke atas rakan sebaya kerana sifatnya yang outspoken, berani berkata-kata, cerdas malah dikenali sebagai seorang genius sejak zaman sekolah rendah, pemuda itu tidak pernah menganggotai apa-apa persatuan pelajar. Dia lebih senang menjadi seorang pelajar popular yang dikenali ramai... Atau menurut kata-kata seorang pensyarah dahulu, suka jadi infamous, terkenal kerana nakal!

Selain mengetuai pasukan pengakap di sekolah rendah dan menengah sebelum keluar tanpa sebab, Rasyid tidak berminat untuk berkecimpung di dalam mana-mana persatuan berdaftar dan apa bentuk organisasi. Tetapi dia sedia melawan naluri anarchy ini jika itulah yang diperlukan untuk menerbitkan negara bertamadun tinggi yang menjadi cita-cita ‘gilanya’.

Malangnya, anak muda ini mula terasa jijik terhadap dunia politik apabila melihat beberapa rakan lama sanggup mengorbankan prinsip ideal yang lalu untuk memasuki parti-parti politik dengan tujuan bersifat material. Dia meluat melihat gelagat mereka sanggup menggunakan kelebihan sebagai pelajar insitusi luar negara yang sering diwar-warkan sebagai bakal pemimpin negara menyimpan cita-cita yang padanya amat keji... Cita-cita untuk mendapatkan peluang perniagaan malah merembatnya daripada orang lain yang kurang mempunyai saluran dan kedudukan, juga meraih durian runtuh pink-slip, saham 30 persen Bumiputera yang diagih melalui projek pengswastaan agensi-agensi kerajaan dan penubuhan syarikat-syarikat baru oleh para pelabur luar di Malaysia awal tahun 90.

Rasyid rasa hendak termuntah melihat mereka yang pandai menggunakan kata-kata memukau khalayak ramai dengan niat yang kononnya murni, untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara... Mengaku ikhlas serta memiliki rasa kasih-sayang sejati sedangkan mereka cuma memperdagangkan ayat-ayat Quran dan Hadis-hadis Nabi...

Orang-orang ini amat ghairah untuk mengetuai parti-parti politik atau cawangan-cawangannya malah sanggup merampas kuasa persatuan pelajar, kononnya kerana orang ramai memerlukan khidmat mereka. Chis! Bohong semata... Mereka sebenarnya ingin meraut kuasa dan keuntungan wang ringgit demi memuaskan ego menjadi manusia hebat sentiasa. Lalu sanggup memperkudakan badan-badan ini sebagai power base, pengkalan untuk memantapkan pengaruh dan membentuk public opinion supaya boleh meningkat naik sehingga menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.

Rasyid menjadi semakin disilussioned, tidak tahu arah hala-tuju kehidupannya apabila melihat dunia semakin dikuasai orang-orang buruk. Tidak disangka, cita-citanya untuk menerbitkan sebuah negara bertamadun tinggi masih boleh dicapai tanpa menceburkan diri ke dalam dunia politik yang dianggapnya najis... Melalui satu saluran baru pula…

—————————

“Betullah cakap kamu Rasyid,” kata Nasri setelah membaca sedikit tulisan pemuda itu yang mempersoalkan motif Nuruddin berada di Aceh.“Memang Nuruddin ada tujuan tersembunyi. Lihat kitab Bustanus Salatin atau Taman Raja-raja yang dikatakan ditulis Nuruddin atas arahan Sultan Iskandar Thani. Ia memberi pujian yang berlebihan terhadap Sultan. Dalam Bab II Fasal 13 yang menceritakan sejarah Aceh, 46 daripada 52 halaman telah digunakan untuk mengagung-agungkan Iskandar Thani. Beberapa banyak halaman pula telah digunakan untuk menceritakan tentang pembuatan, perarakan dan istiadat tegak batu nisan Iskandar Thani yang mangkat semasa zamannya? Adakah ini semua perlu diceritakan kepada khalayak ramai atau Nuruddin hendak menyatakan kesetiaannya terhadap balu Sultan yang menaiki takhta selepas itu?” dia menyoal pula.

Nizam yang telah menelaah Bustanus Salatin dua hari sebelum pertemuan mereka memotong dengan menyatakan Fasal 12 kitab itu pula dikarang untuk memuji Iskandar Thani daripada sudut lain... Dengan menceritakan sejarah dan asal usul keSultanan Melaka yang mana satu cabangnya telah menerbitkan keSultanan lama Pahang lalu membawa kepada cerita Iskandar Thani semasa kecil, seorang anak Raja Pahang.

“Maka ‘kelebihan’ yang ada pada Iskandar Thani sehingga boleh dibuat anak angkat Iskandar Muda kemudian jadi menantunya, kemudian diangkat pula menjadi Sultan Aceh telah diceritakan Nuruddin dengan mendakwa bahawa Iskandar Muda menakluki negeri Pahang (tahun 1617 ketika Iskandar Thani berumur 7 tahun) adalah kerana ‘Allah hendak melakukan iradatNya kepada seorang hambaNya seperti Allah hendak mengurniakan kerajaan Mesir kepada Nabi Yusuf yang tinggal di Kan’an.’ Nampak sangat ada unsur-unsur bodek,” katanya meluat...

“Mungkin Nuruddin cuba mencontohi gaya penulisan Hikayat Aceh yang amat mengagung-agungkan Iskandar Muda?” Azlan, kawan Nizam yang baru kali kedua menyertai ‘panel’ ini masuk mencelah pula.

“Tidak juga,” jawab Rasyid yang selalu menyokong Aceh dan Sultan-sultannya. “Pada pengamatan aku, cerita dalam Hikayat Aceh memang setimpal dengan ketokohan, kewibawaan serta bakat semulajadi Iskandar Muda. Baginda memang seorang prodigy, seorang manusia pilihan yang mempunyai bakat semulajadi luarbiasa. Ini nampak nyata sejak kanak-kanak lagi... Melalui kebolehannya memimpin kanak-kanak lain dalam strategi peperangan walaupun ia cuma permainan olok-olok sahaja.”

“Fikirkan dengan teliti!” pemuda itu meneruskan hujah. “Sejak sebelum berumur 12 tahun lagi Iskandar Muda sudah pandai menunggang kuda dan gajah, dapat mengalahkan orang yang jauh lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Ketokohannya ini terbukti apabila khidmatnya diperlukan untuk menangani penceroboh negara iaitu penjajah kufar Portugis walaupun baginda belum pun mencapai umur 18 tahun ketika itu!”

“Adakah ini berkenaan cerita Iskandar Muda dipenjarakan kerana dituduh cuba merampas takhta Aceh daripada bapa saudaranya, Sultan Muda yang kurang berwibawa,” Nasri menyelit pula.

“Betullah itu,” jawab Rasyid. “Akhirnya baginda terpaksa dilepaskan juga untuk mematahkan serangan Portugis. Tugas ini berjaya dilakukan Iskandar Muda pada usia yang sebegitu muda dan pada tahun yang sama, selepas kemangkatan Sultan Muda, baginda menaiki takhta untuk memulakan apa yang diakui semua masyarakat Aceh malah pemerhati sejarah Nusantara seluruh dunia sebagai zaman kegemilangan Aceh.”

Sejarah rasmi yang diakui mencatatkan, pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda lah Aceh berjaya menakluki hampir seluruh Nusantara. Perbincangan ilmu terutama mengenai agama Islam pula berkembang pesat sementara kesusasteraan Melayu mencapai satu tahap di mana Aceh diakui sebagai tempat bermulanya kemajuan penulisan bahasa Melayu oleh para sasterawan juga para pengkaji Bahasa Melayu.

Kitab-kitab yang muncul masa itu tidak terkira banyaknya. Ini termasuk hasil penulisan Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai. Maka itu, tidak hairanlah jika Hikayat Aceh menceritakan perkembangan hidup baginda dari tahun ke tahun sejak berumur tiga tahun lagi... Pada umur 18 tahun, ketika kebanyakan lelaki baru hendak mengenali erti kedewasaan, baginda telah menunjukkan kebolehan serta keupayaan semulajadi yang akan mengangkat dirinya menjadi seorang penakluk besar.

Maka itu juga jalan hidupnya dihuraikan sebegitu rupa. “Ibarat menceritakan kisah seorang prodigy, ” dia mengemukakan pendapat. “Selalunya mereka telah menunjukkan bakat luar biasa sejak kecil lagi... Sepertimana pemain muzik dan komposer terkenal Wolfgang Amadeus Mozart berjaya mengkagumkan pihak istana Vienna dengan bakatnya bermain violin dan piano dengan begitu lancar malah menggubah komposisi classical yang mampu melangkaui kehebatan irama ciptaan komposer diraja Salieri yang jauh lebih berpengalaman walhal Mozart masih budak lagi.”

“Bandingkan semua ini dengan ‘pencapaian’ Iskandar Thani,” Rasyid bertanya pula. “Eh... apakah pencapaiannya?” tiba-tiba anak muda ini bertanya lagi dengan gaya loyar buruk. Sudah gaharu cendana pula…

“Kamu nampaknya tidak suka kepada Sultan Iskandar Thani,” Azlan menegurnya. “Kalau ia pun, janganlah terlalu emosional!”

“Yalah!” jawab Rasyid dengan nada marah bercampur kecewa. “Pada zamannya banyak jajahan takluk Aceh mula melepaskan diri. Beribu orang pula dibunuh kerana menganut fahaman Wujudiah yang sudah menjadi pegangan rakyat Aceh dan para rajanya sejak dahulu lagi sementara karya-karya berharga Sheikh Hamzah dan Shamsuddin dibakar dan dimusnahkan di hadapan Masjid Baitul Rahman. Apakah ini patut dibanggakan?”

“Hmm… Kata-kata kamu itu betul juga,” produser gameshow itu memberi jalan. “Tetapi cuba kamu lihat daripada sudut positif pula. Baginda juga ada sumbangannya. Sultan Iskandar Thani lembut hati, tidak bersikap keras seperti Iskandar Muda. Baginda bertindak bijak dengan tidak mengamalkan dasar perluasan kuasa seperti bapa mertuanya sebaliknya telah melepaskan negeri-negeri yang pernah ditakluki Iskandar Muda dengan menjalinkan hubungan diplomatik secara lembut lalu menggunakan kuasa pemerintahannya dengan adil dan memperkemaskan hukum agama yang telah diperkenalkan oleh Iskandar Muda. Lagipun bukankah kitab Bustanus Salatin menyebut baginda berjaya membersihkan Aceh daripada fahaman yang sesat lagi bida’ah?” dia bertanya pula.

“Sesat? Bida’ah?” Rasyid mula panas. “Kalau tak faham mengaku sahajalah tak faham! Jangan menuduh orang lain sesat, apa lagi mengambil nyawa dengan sewenang-wenangnya. Pada aku, tidak ada apa-apa kejayaan pernah dicapai Iskandar Thani selain meneruskan pemerintahan yang diberikan kepadanya... Tidak ada kehebatan boleh dibanggakan untuk menonjolkannya sebagai seorang Sultan Aceh yang patut dikenang sepanjang zaman kecuali menjadi pengganti Iskandar Muda. Itu sahaja!”

Nasri, Nizam dan Azlan merenung muka masing-masing. Nampaknya rakan mereka telah mula naik angin… Biarlah dia melepaskan geram...

“OK. Katakanlah si Iskandar Thani ini memang benar-benar hebat. Tak tahulah di manakah kehebatannya tetapi katakanlah memang dia hebat...” Rasyid meneruskan. “Mungkin kerana dia telah menjalankan hubungan diplomatik yang lebih lembut dengan negeri-negeri Melayu lain berbanding era Iskandar Muda yang dikatakan seorang penakluk kuku besi.”

“Maka terbit pula satu persoalan: Bagaimana atau kenapakah seorang manusia yang diakui sebagai seorang ulamak, seorang Mufti dan Qadi Malikul Adil kerajaan Aceh yang sepatutnya menjadi ulamak yang terbaik dalam kerajaan boleh melampau dalam memuji rajanya? Apalagi jika ini keluar daripada seorang ulamak yang dianggap sebagai satu daripada empat ulamak utama Aceh zaman-berzaman! Adakah ini sifat seorang ulamak?” katanya merujuk kepada Nuruddin Al-Raniri yang dianggapnya bertanggungjawab melemahkan Aceh daripada dalam.

“Aku tidak hairan jika seorang pujangga, penyair mahupun sasterawan memuji-muji raja dengan melampau... Sehingga satu bab mengenai sejarah Sultan-Sultan Aceh hampir dipenuhi puji-pujian ini. Itu memang sifat orang sastera yang kata-katanya sering berbunga-bunga melampaui realiti. Tetapi daripada seorang ulamak? Sesiapa sahaja yang pernah membaca tulisan Nuruddin mengenai Iskandar Thani dalam kitab Bustanus Salatin boleh nampak puji-pujiannya itu sudah sampai ke tahap ‘membodek’, sudah melampaui batas! Apalagi bila Iskandar Thani sebenarnya tidak pernah mencapai apa-apa kejayaan yang layak diwar-warkan.”

Rasyid berhenti sebentar . Baru mendapat ‘ilham’ agaknya...

“Entah-entah nama Iskandar Thani itupun si Nuruddin ini yang beri tidak?” dia bertanya dengan nada sinis sehingga keningnya ternaik-naik. “Untuk menggambarkan ‘kebesarannya’ sebagai Sultan Aceh yang terhebat selepas Sultan Iskandar Muda? Kerana perkataan Thani itu bermakna ‘kedua’, daripada perkataan Arab ‘Isnin’ ataupun ‘Isnaini’? Atau mungkin nama Iskandar, satu nama besar yang sering dikaitkan dengan Raja Iskandar Zulkarnain yang pernah memerintah dunia itu sendiri ‘diberi’ oleh pembodek besar bernama Nuruddin al-Raniri ini kerana sepanjang keSultanan Aceh yang meliputi 700 tahun sejarah dan menerbitkan lebih 50 orang Sultan, cuma mereka berdua sahaja yang memakai nama ini. Pelik juga sedangkan ada lagi Sultan-sultan Aceh lain yang lebih hebat seperti Sayyid al-Mukammil dan Ali Mughayat Shah!”

Melihatkan Rasyid semakin panas, Nasri pun bergegas ke dapur lalu kembali dengan dua kotak besar pizza Domino perasa seafood bersama sebotol besar Pepsi. “Kita minum dulu!” dia mengubah topik dengan gaya kanak-kanak dalam iklan susu. Rakan-rakan turut mengajuk sama...

———————————

Memang Rasyid cukup marah apabila mengenangkan apa yang telah berlaku di Aceh semasa Nuruddin mempunyai pengaruh. Pada pemuda itu, tulisan Nuruddin dalam Bustanus Salatin yang menyatakan penaklukan Sultan Iskandar Muda ke atas Pahang, tanah tumpah darah asal Iskandar Thani adalah kerana “Allah hendak melakukan iradatNya kepada seorang hambaNya seperti Allah hendak mengurniakan kerajaan Mesir kepada Nabi Yusuf yang tinggal di Kan’an” adalah satu bentuk sanjungan yang melampaui batas. Apakah Iskandar Thani itu layak disamakan dengan Nabi Yusuf yang berjaya menyelamatkan Mesir daripada kebuluran kerana tafsiran Nabi Allah itu yang tepat terhadap mimpi Raja Mesir yang melihat tujuh sapi gemuk dimakan tujuh sapi kurus? Rasanya tidak...

Pada Rasyid apa yang sebenarnya telah dicapai Iskandar Thani untuk melayakkannya dipuji sebegitu tinggi oleh Nuruddin sehingga 46 daripada 52 halaman mengenai sejarah Aceh yang ada di dalam kitab Bustanus Salatin digunakan untuk mengagung-agungkan Iskandar Thani adalah menjayakan agenda Nuruddin sendiri untuk muncul sebagai ulamak dan sasterawan terkemuka Aceh zaman itu. Di kala kitab-kitab Hamzah Fansuri dan Shamsuddin Pasai serta hasil kerja mereka yang sealiran sudah hancur dimusnahkan sementara para pendokong fahaman Wujudiyah dibunuh dan bakinya hilang ketakutan atau menyepikan diri, karya-karya Nuruddin pula muncul mengambil tempat utama untuk menaikkan namanya di persada keilmuan Aceh. Bukan itu sahaja... Karya-karyanya muncul mendadak mendapat nama di seluruh bumi Melayu memandangkan Aceh telah pun diakui sebagai sebagai pusat kesusateraan serta keilmuan terunggul di bumi Timur sejak zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda!

Cengkamannya terhadap Istana Aceh pula menjadi semakin kuat dengan hilangnya orang-orang yang boleh menggugat kedudukannya. Walaupun perkara ini tidak disentuh kebanyakan pengulas sejarah Aceh, ia disedari oleh sesetengah ilmuwan moden... Sebab itu, Rasyid pernah terbaca, tidak ingat di mana, ada para pengkaji sejarah dan peminat sastera yang percaya bahawa Bustanus Salatin atau Taman Raja-raja ditulis semata-mata untuk mengampu Iskandar Thani... Ini dilakukan di samping cuba menandingi sebuah lagi kitab ketatanegaraan yang telah terlebih dahulu mendapat tempat di hati masyarakat dan Istana Aceh iaitu kitab Tajus Salatin atau Mahkota Raja-raja yang dikarang oleh seseorang yang cuma dikenali sebagai Bukhari al Jauhari, sekitar 1603 Masihi.

Para pengkaji ini juga menyebut, Bustanus Salatin yang mengandungi begitu banyak unsur ‘pembodekan’ yang nyata tidak berjaya menandingi pengaruh Tajus Salatin yang dikatakan adalah saduran daripada kitab-kitab ketatanegaraan Parsi. Apa yang disentuh kitab karangan Nuruddin telah lebih dahulu diketengahkan Bukhari al Jauhari dengan lebih petah dan berkesan. Lagipun kitab Tajus Salatin jauh lebih jujur isinya dalam menganjurkan raja-raja dan para kerabat mereka terutama bakal pemerintah supaya mematuhi amalan-amalan tertentu... Semuanya untuk membentuk pemimpin berwibawa yang disayangi rakyat, bukan setakat alat untuk menunjukkan kepandaian (kononnya!) lalu mengangkat seorang raja…

(Ah... Geramnya Rasyid memikirkan apa yang berlaku...)

Well, anyhow, I’m sorry Mr. Nuruddin. As far as I’m concerned, despite what others might say about you, to me you sought to destroy the integrity of the country of my forefathers by trying to undermind the core faith that had made it such a great nation. For that, you deserve my sincerest condemnation… You can go to .... (terpaksa dipadamkan kerana perkataan yang ingin diluahkan ternyata amat kasar sekali!)