Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Januari 23, 2021

Islam sebagai jalan ta'at dan jihad

 OK. Ada sedikit perkongsian daripada satu majlis ilmu Selasa lalu.



Merujuk pada artikel Islam sebagai jalan berkasih sayang yang telah dipersembahkan lebih sebulan lalu. Pada 19 Januari iaitu 4 hari lalu berlangsunglah syarahan yang menyambungnya dalam siri. Tapi entah kenapa, walau jelas tertera waktu syarahan petang Selasa saya tersilap faham lalu cuma membuka komputer untuk mengikutinya pada jam 8 malam. Nampaknya otak saya sudah tersilap memproses waktu disebabkan dua syarahan siri sebelum ini memang diadakan pada waktu malam.

Untuk pengetahuan syarahan oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar ini merupakan ketiga dalam satu siri syarahan penglibatan masyarakat oleh ISTAC. Syarahan pertama telah dikongsikan ceritanya dalam artikel  Islam sebagai satu jalan ilmu dua bulan lalu. Syarahan kedua diceritakan dalam artikel Islam sebagai jalan berkasih sayang bulan lalu.  

Oleh kerana sudah terlepas syarahan saya cuma boleh mengikutinya kembali melalui rakaman Youtube di Facebook ISTAC. Itupun saya menghadapi masalah memberikan tumpuan - tubuh badan terasa kurang sihat, akal fikiran pula terasa lemah untuk memikirkan hal-hal tinggi. Sesungguhnya sepanjang sebulan lalu saya lebih banyak memberikan tumpuan pada kerja-kerja mencantikkan taman kebun di seberang rumah juga membina sebuah rumah pokok menggunakan kayu-kayu terpakai berserta batang-batang pokok dari belukar berdekatan. 

Alhamdulillah rumah pokok tersebut sudah cukup siap untuk diduduki. Cuma ada beberapa perkara yang dirancang seperti meletakkan atap nipah atau rumbia belum dapat dilakukan disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang mula berkuatkuasa 13 Januari menghalang daripada keluar jauh mencari dan membeli bahan-bahan.


Pun begitu saya tetap juga berusaha untuk mengikuti syarahan. Pada pagi Rabu saya dapat mengikuti selama 15 minit sahaja sebelum merasa terganggu oleh bunyi bising televisyen anak-anak sedang menonton di ruang tamu. Lewat petang semalam baru dapat mengikuti lebih lama dari atas rumah pokok. Dengan ini bolehlah dikongsikan secara ringkas isi syarahan.

Tajuk syarahan yang berlangsung dalam bahasa Inggeris boleh diterjemahkan menjadi "Islam Sebagai Jalan Ta'at dan Jihad". Selepas pengenalan oleh Profesor Madya Dr Imtiyaz Yusuf, juga dari ISTAC, pensyarah iaitu Prof Osman pun membuka tentang makna ta'at. Rasanya semua orang faham ta'at itu adalah akur pada titah perintah. Kata Osman sifat ta'at merupakan sesuatu yang asas buat semua orang. 

Semua manusia perlu melakukan keta'atan kerana ia adalah satu sifat yang telah terbina secara semulajadi dalam diri manusia. Tetapi manusia juga boleh menjadi tidak ta'at (disobedient). Jadi bagaimana boleh menjadi tidak ta'at sedangkan sifat ta'at itu sesuatu yang asas sudah ada dalam diri manusia? Di sini Osman mengemukakan pandangan secara falsafah.,, 

Yang sebenar tidak ada langsung sifat tidak ta'at dalam diri manusia. Sebaliknya apa yang berlaku adalah beralihnya keta'atan dari sesuatu kepada sesuatu. Misalnya apabila tidak mengikut perintah Allah SWT maka kita tidak ta'at kepada Tuhan. Tetapi sebenarnya kita ta'at kepada sesuatu (selain Allah). Walaupun Osman tidak menyatakan ta'at kepada apa sekurang-kurangnya saya boleh faham ia menjadi ta'at kepada kepada hawa nafsu.

Maka bolehlah difahami bahawa memang manusia itu harus bersifat ta'at kepada sesuatu. Kecenderungan untuk mengikuti apa yang orang ramai buat (following the crowd) termasuk dalam sifat ta'at tersebut. Maka itu Osman memecahkan ta'at kepada 3 bahagian. Saya terjemahkan seperti berikut :-

1) Ta'at tanpa faham (ignorant obedience)

2) Ta'at berpura-pura (hypocritical obedience)

3) Ta'at penuh faham (enlightened obedience)

Contoh ta'at tanpa faham adalah apabila anak-anak mengikut perintah ibu bapa tanpa mengetahui apa sebabnya. Namun ia juga boleh berlaku pada orang dewasa yang mengikut sahaja suruhan orang atasannya lalu boleh menjadi ta'at membabi buta (blind obedience). Ta'at berpura-pura pula sering berlaku apabila tiada kejujuran dalam mengikut suatu perintah kerana ada kepentingan tertentu. Ini biasa berlaku dalam dunia politik. Yang kita kehendaki adalah ta'at penuh faham. Ini cuma boleh berlaku dengan memiliki ilmu. Lalu kita dengan sukarela pun menurut suatu perintah kerana faham akan kebaikannya.

Ah. Banyak pula saya menulis tentang ta'at sedangkan ini cuma hasil daripada mengikut 50 minit pertama syarahan dari atas rumah pokok lewat petang semalam sehingga malam. Masih ada lebih sejam termasuk sesi soal jawab tidak sempat diikuti apabila kembali ke rumah setelah menunaikan solat Isyak di sana. Ini baru cuba diikuti siang tadi.

Ada beberapa contoh ayat Quran diberikan tentang ta'at termasuk yang bersifat pura-pura. Biar diringkaskan bahawa keta'atan yang terbaik adalah ta'at kepada Allah dan Rasul. Ini boleh memasukkan kita ke dalam golongan terpilih seperti para Sidiqin, Solehin dan Syuhada. Antara yang perlu dita'ati adalah seruan untuk berjihad.

Namun jihad tidak semata-mata bermaksud pergi berperang untuk menegakkan agama seperti yang ramai faham. Sebaliknya maknanya lebih meluas kerana jihad sebenarnya bermaksud berusaha (to strive) sebaik mungkin untuk memperbaiki keadaan. Sebab itu sekembalinya daripada satu perang Rasulullah SAW pernah menyebut kita kembali daripada satu jihad kecil pergi ke satu jihad yang lebih besar. Yang dimaksudkan adalah jihad melawan hawa nafsu sendiri. Untuk mengikuti sendiri syarahan sila masuk sini.


Selasa, Januari 19, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya

Pergi ke cerita ke-8 siri. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung.


Masih pada hari yang sama iaitu Jumaat 9 Januari 1998 berdasarkan perkiraan yang telah diceritakan dalam artikel sebelum ini. Dari tempat yang ditanda Google Map sebagai Teluk Ramunia saya bergerak ke hujung jalan lalu sampai ke Tanjung Pengelih. Ia terletak di kuala Sungai Johor. Di sekitar itu air sungai mengalir masuk ke Selat Tebrau yang memisahkan Semenanjung dengan Pulau Singapura. 

Gambar atas diambil daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih (tahun 2010). Ia menunjukkan perairan situ. Tanah yang kelihatan di 'seberang' sebenarnya terletak di tengah sungai. Ia adalah Pulau Tekong di dalam sempadan negara Singapura.


Adapun kawasan selepas Teluk Ramunia membawa ke Tanjung Pengelih terletak di dalam mukim Pengerang. Sedangkan Pengerang malah semua kawasan ke selatan Mersing bermula dari sekitar Tanjung Sedili (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung) terletak di dalam daerah Kota Tinggi. Dari Tanjung Pengelih saya bergerak ke bandar Kota Tinggi. Letaknya sekitar 54 km menghulu Sungai Johor. Kalau dengan jalan raya lebih 80 km.



Pada zaman itu saya belum lagi tertarik dengan tempat-tempat bersejarah seperti halnya kini. Kalau tidak tentu saya akan pergi ke tempat seperti Johor Lama dalam perjalanan ke Kota Tinggi dan tentu juga saya akan menziarahi sekian banyak makam yang terdapat di sekitar bandar seperti makam Laksamana Bentan juga makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Ketika itu, ketika umur belum sampai 30 tahun saya lebih berminat dengan faktor geografi dan perkara berkenaan seperti hasil bumi.

Misalnya saya mengingati Teluk Ramunia sebagai tempat penghasilan bauksit seperti disebut dalam buku teks sekolah menengah tahun 80an sedangkan perjalanan dari Tanjung Pengelih ke Kota Tinggi lebih mengingatkan pada bagaimana kuala Sungai Johor itu lebarnya mencapai 12 km (termasuk Pulau Tekong di tengah sungai). Selepas 4 km ke hulu ia mengecil sedikit menjadi 3-4 km. Kelebaran ini berterusan sehingga 20 km lagi ke hulu menjadikan Sungai Johor sungai yang jelas paling lebar di Semenanjung apabila dilihat dalam peta. Namun di Kota Tinggi yang tidaklah begitu jauh dari kuala kelebarannya tinggal sekitar 80 meter sahaja.

Selain faktor geografi lagi satu faktor yang mempengaruhi pemilihan tempat-tempat untuk disinggahi dalam perjalanan adalah ingatan lama. Misalnya Desaru yang terletak dalam daerah Kota Tinggi. Persinggahan ke sana ada disebut dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung. Dahulu zaman budak-budak ibu bapa pernah membawa saya dan adik-adik bermandi manda di sana beberapa kali. Bandar Mersing dan Kota Tinggi pula seingat saya pertama kali dijejaki semasa zaman sekolah menengah mengikut rombongan sekolah tahun 80an dahulu.



Oh. Saya menginap satu malam di Kota Tinggi. Esoknya yang harus jatuh pada hari Sabtu 10 Januari singgah di air terjun Kota Tinggi. Gambar air terjun di atas ini diambil daripada Internet. Dua gambar sebelumnya pula diambil daripada artikel lama Berbalik ke Kota Tinggi... (tahun 2008). Dalam artikel itu ada ditunjukkan dan diceritakan tempat-tempat bersejarah di sana.



Mandi di air terjun Kota Tinggi termasuk dalam kenangan zaman sekolah menengah dahulu. Selepas itu saya pun bergerak ke Johor Bahru. Ibu negeri Johor itu kemudian menjadi pusat untuk melakukan penjelajahan bagi beberapa hari seterusnya. Buat masa ini biar perjalanan dilakarkan seperti di atas. Campur kebiasaan saya suka merayap ke sana ke mari tapi tak ingat butiran harus 185 km diliputi. Campur jumlah perjalanan sebelum ini iaitu 2,480 km (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung) jumlah harus mencapai 2,665 km.


Ahad, Januari 17, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung

Salam. Pada penghujung artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan ada diberitahu bahawa terdapat tidak kepastian tentang berapa hari saya berada di suatu tempat disebabkan tidak ada lagi gambar boleh dijadikan rujukan. Namun diterangkan juga atas sebab-sebab tertentu bahawa saya memilih untuk menganggap bahawa perjalanan seterusnya bermula pada hari Rabu 7 Januari 1998. Maka biar disambung cerita dengan anggapan sebegitu.


Setelah puas menginap di rumah saudara di Alor Akar, Kuantan dan meneroka persekitaran saya pun bersedia untuk bergerak lebih jauh ke selatan. Seperti dalam tempoh beberapa hari sebelum itu saya menyusuri jalan terdekat menghampiri garisan pantai. Tidak seperti di Terengganu di mana terdapat jalan panjang begitu dekat dengan pantai sehingga boleh kelihatan Laut Cina Selatan saujana mata memandang daripada atas motosikal jalan utama selepas Kuantan terletak sedikit jauh ke pendalaman. Tidak berapa lama kemudian sampailah ke bandar diraja negeri Pahang iaitu Pekan.

Seingat saya itulah kali pertama sampai ke sana. Gambar atas ini diambil daripada artikel Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah? yang ditulis pada tahun 2008. Rasanya bahagian bandar yang menghadap Sungai Pahang seperti kelihatan dalam gambar tidak banyak bezanya dengan keadaan ketika sampai dengan motosikal besar tahun 1998. Ia adalah jajaran lama bandar yang tidak begitu terkesan oleh pembangunan.



Tempat seterusnya masih berbekas dalam ingatan adalah Nenasi. Namun yang berbekas itu sebetulnya cuma namanya sahaja yang kedengaran begitu unik. Tak ingat pun rupanya bagaimana malah ingatan tentang kedudukan geografinya pun  rupa-rupanya salah. Dalam ingatan saya ada papan tanda besar tertera nama Nenasi dapat ditemui setelah bergerak lebih kurang 10 km meninggalkan Pekan menuju ke arah selatan. 

Tetapi apabila disemak kembali dengan Google Map ternyata jaraknya lebih 40 km selepas bandar diraja Pahang. Ini adalah hampir bersamaan perjalanan Kuantan ke Pekan. Tu le. Walau sudah banyak berjalan ke merata tempat kadangkala ingatan boleh tersilap. Bila hendak menulis lalu perlu menyemak kembali kedudukan dan keadaan baru dapat tahu hal sebenar. Inilah antara perkara penting yang muncul apabila kita membuat penulisan.



Seterusnya berbekas dalam ingatan adalah persinggahan di bandar Mersing, Johor. Walaupun dalam perjalanan itu ada tempat-tempat menarik seperti Endau dan Rompin saya tidak dapat mengingati apa-apa tentang tempat-tempat tersebut. Yang ingat sebelum masuk ke sempadan negeri Johor jalan banyak yang sempit, berlubang-lubang dan banyak taik lembu. Apapun di Mersing lah saya mula bermalam setelah meninggalkan Kuantan. 

Saya ingat selepas bermalam itu ada pergi ke kawasan jeti ke Pulau Tioman dengan niat mahu mengambil bot ke pulau. Tetapi perkhidmatan sedang ditutup akibat laut bergelora musim tengkujuh. Gambar ini diambil daripada artikel Kembara Johor-Riau - Dari Mersing ke Endau-Rompin yang ditulis pada bulan Mac tahun 2012. Namun gambar itu sendiri diambil ketika berada di Mersing 18 Disember 2011 iaitu dalam musim tengkujuh.




Disebabkan tidak dapat mengambil bot ke pulau saya membuat keputusan untuk menginap di Mersing lagi satu malam. Oleh itu perjalanan harus disambung pada hari Jumaat 9 Januari. Tarikh ini adalah bersamaan 10 Ramadhan 1418 Hijriah. Persinggahan utama selepas Mersing adalah pantai peranginan Desaru lebih 130 km ke selatan. Gambar diambil daripada artikel Trip anak-beranak ke Desaru - Akibat mengejar hidangan belangkas di Sedili penghujung tahun 2014.



Perjalanan diteruskan ke Teluk Ramunia yang saya lihat sebagai tempat di mana terletaknya sudut  paling hujung di selatan dan barat Semenanjung. Sekurang-kurangnya itulah yang dilihat pada peta besar kertas Malaysia yang dibeli di kedai lalu dibawa ke sana ke mari dalam perjalanan. Tetapi apabila dilihat dalam Google Map tadi kedudukannya ditanda sebagai sudah beberapa kilometer ke barat sudut. Sebaliknya yang terletak di sudut itu adalah satu tempat bernama Tanjung Penyusup.

Apapun untuk sampai ke Teluk Ramunia yang ditanda dalam Google Map perlu mengambil jalan melalui sudut kalau menyusuri pantai. Dan memang saya berjalan dengan mengambil jalan terdekat ke pantai sehingga boleh nampak kapal-kapal berlabuh dari atas motosikal. Oh. Gambar diatas diambil daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih. Artikel yang ditulis 11 tahun lalu ini ada menunjukkan gambar laut dan kapal dari jalan tepian pantai.




Dengan ini saya telah mencapai 3 daripada 4 sudut yang boleh dilihat dalam peta Semenanjung. Sudut pertama adalah di sempadan Perlis-Thailand, sudut kedua di Kelantan-Thailand. Rujuk kembali artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur. Secara rata perjalanan kali ini boleh dilakarkan ringkas seperti di atas. Dicampur kebiasaan saya suka 'meronda' ke sana ke mari di sesetengah tempat jarak perjalanan harus menjadi 370 km. Dicampur pula jumlah jarak perjalanan sebelum itu iaitu 2,110 km (rujuk Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan) perjalanan pada peringkat ini mencapai jarak keseluruhan 2,480 km.