Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Ogos 20, 2010

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa?

Assalamualaikum. Sementara ada baki hari Jumaat (masuk Maghrib dah kira Sabtu menurut perkiraan Islam) biar dibuat ini pula... sambungan daripada artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin. Bukankah ada disebut dalam artikel itu yang saya akan menggilir-gilirkan cerita tentang Aceh dengan cerita tentang Muar?






Dari makam Sultan Alauddin kami kembali ke jalan besar menghala ke hulu daerah Muar...







Tidak jauh selepas Pagoh terlihat bangunan masjid yang agak menarik ini. Kami pun singgah sebentar, lagipun Al-Rasyid baru saja habis 'yak'. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Paya Redan, Pagoh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).






Perjalanan diteruskan ke hulu. Bukit-bukau semakin menyerlah.







Ada simpang ke kanan yang akan membawa lebih dekat ke Sungai Muar.








Kami pun mengambil simpang lalu sampai ke Rencong. Tidaklah kelihatan apa-apa yang menarik kecuali nama tempat mengingatkan pada senjata kebanggaan orang Aceh yang dipanggil rencong. Namun filename gambar iaitu P8141555.jpg yang ada nombor 555 membuat saya terfikir mungkin ada petunjuk berkaitan. Saya pun cuba merujuk artikel-artikel lama. Ternyata ada sesuatu yang harus diambil perhatian kembali.

Rujuk Artikel ke 555: Betul ke keluarga saya dahulu menyimpan Taming Sari? Apa pula kena-mengena dengan Sultan Malikus Salih? yang dibuat sebaik sahaja selesai meluahkan aktiviti hari kedua saya di Aceh dalam lawatan Jun 2009. Artikel ke 555 blogspot BERPETUALANG KE ACEH pula bertajuk A token from Brunei..., dibuat Jumaat lepas selepas kembali dari Brunei hari Ahad. Blogspot itu kini memiliki 556 artikel dengan artikel terbaru bertajuk My second visit to the tomb of Teungku Chik di Tiro merujuk kepada seorang ulamak pahlawan Aceh yang sering dilukis memiliki sebilah rencong tersisip di pinggang. Blogspot saya yang lagi satu iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) cuma memiliki 395 buah artikel setakat ini lalu tidak boleh diambil-kira...




Tempat seterusnya dipanggil Liang Batu.


Sungai di hadapan mengalir masuk ke Sungai Muar...



Saya pernah diberitahu, Daeng 5 bersaudara yang amat terkenal iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi pernah mendarat di sini, mungkin bermastautin juga sebelum terlibat secara langsung dalam pergolakan kuasa kerajaan-kerajaan di Tanah Melayu. Semasa diberitahu lebih 2 tahun lalu terbetik di hati... apakah mereka ingin mengambil berkat dari tinggalan jejak Dinasti Al-Kamil? Semasa itu saya sudah tahu cerita tentang Sultan Muhammad Al-Kamil yang telah membuka kerajaan Muar sebelum muncul keSultanan Melaka seperti diketahui sejarah.




Mengenangkan perkara tersebut saya tergerak untuk mengekori jalan kampung hingga ke hujung.



Lalu diberitahu bahawa di seberang ini terletak kawasan yang dipanggil Kundang.






Kami pun berpatah-balik mengekori jalan yang sepatutnya untuk sampai ke Gombang. Selepas ini biar cerita disertakan sedikit komen dari artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin serta jawaban balas.







Ke hadapan sedikit terdapat sebuah tanah perkuburan yang entah kenapa mahu saya lihat lebih dekat. Begitu juga yang berlaku ketika pertama-kali sampai di sekitar ini lebih 2 tahun lalu. Cuma kali ini saya merasakan mungkin ia ada kena-mengena dengan longgokan tanah dengan 2 batang pokok mengapitnya. Apakah ini menandakan di situ terletak satu makam purba?


Komen pertama...

Menurut catatan karya Ahlul Bait.Islam dah sampai di Nusantara Tahun 30 Hijrah lagi iaitu sekitar zaman Syaidina Othman.Kira-kira tahun 650 masihi.Lengkap dgn catattan bukan cerita mulaut jer tu....

Di Sala pada masa tu dah ada pangkalan dan jeti2 pelabuhan,pedagang2 dari Arab,parsi dan lain2 bangsa Timur Tengah.

Sala=Sulawesi.

Tapi cerita ni tak leh pepanjang...buka sikit jer.

Kalau ke Pekan pagoh jgn lupa berbuka Mee Rebus kaw-kaw punya!!!!


Reaksi saya...

Orang Arab dan Parsi dah sampai ke Nusantara sejak beribu tahun. Alam Melayu ni kira jalan tengah route perdagangan antara Timur dan Barat, Timur merujuk kepada China dan kawasan sebelah sana termasuk Indochina, Korea dan Jepun, Barat merujuk pada India,Parsi, Arab juga benua Eropah.

Jadi kedatangan Islam pada zaman Saidina Othman tu kira natural atau semulajadi. Pedagang2 Arab yang sudah Islam cuma membawanya ke Tanah Melayu dan memang ada disebut tentang raja Srivijaya yang memeluk Islam.

Namun rekod catatan seperti boleh dibaca dalam buku teks sejarah peringkat universiti sekadar menyebut rajanya sahaja masuk Islam. Walaupun ada juga disebut Srivijaya itu kemudian dikenali sebagai Sribuza Islam cerita ini hilang begitu sahaja selepas itu. Jadi tiada jaminan kerajaan itu terus Islam atau rakyatnya mengikut sekali. Mungkin kerana selepas Raja Islam itu mangkat yang lain kembali menyembah berhala dan sebagainya? Wallahualam.

Apapun penempatan2 Islam tetap wujud di Nusantara setakat itu tapi kerajaan? Ini memerlukan seluruh jentera utama satu kerajaan, raja dan seluruh istana, para pembesar, kebanyakan rakyat memeluk Islam dan kerajaan menjalankan undang2 Islam baru boleh diakui ianya kerajaan Islam.

Dalam keadaan ini para sarjana pada mulanya cuma mengakui Samudera-Pasai yang muncul pertengahan abad ke 13 Masihi sebagai kerajaan Islam pertama di Nusantara. Kemudian baru mereka menerima Perlak telah Islam sejak tahun 840 Masihi. Sumber lain pula menyebut kerajaan Jeumpa di Aceh sudah Islam sejak 770 Masihi tapi itu belum diterima semua pihak. Jadi walaupun betul Srivijaya telah menerima Islam pada tahun 650 Masihi keberadaanya sebagai kerajaan Islam belum diterima semua kerana selepas itu sejarah mencatatkan ia kembali mengikut ajaran Buddha dan sebagainya, bukan seperti Perlak dan Samudera-Pasai yang diketahui terus-menerus menjunjung Islam sebagai agama rasmi kerajaan.








Selepas itu baru terdapat papan-tanda ini...


Komen kedua (menyusul selepas komen pertama)...

Jadi siapa dulu yang datang bawa islam ke rantau Sini?

Syiah atau Sunni dulu kira tak berapa tepatlakan?

Zaman Othman belum ada lagi 2 mazhab tu...


Reaksi saya
...

Bab Sunni atau Syiah, siapa dahulu membawa Islam tidak muncul kerana dalam tempoh 100-200 Hijrah belum lagi muncul istilah Sunni Syiah. Ingat, apa yang dipanggil Sunni atau Al Sunnah Wal Jamaah itu muncul setelah ada mazhab yang 4 dan ini cuma berlaku pada zaman Bani Abbasiyah, lebih 100 setelah Rasulullah wafat. Apa yang dipanggil Syiah pula lebih merujuk kepada Syiah Imam 7 atau Syiah 12, golongan yang tidak berpegang kepada Mazhab yang 4 tetapi memegang mazhab sendiri atas nama Ahlul Bait.

Sekali lagi klasifikasi ini belum wujud ketika Islam pertama kali sampai ke Alam Melayu. Masalahnya ramai orang masih menggunakan terma Sunni dan Syiah untuk menerangkan apa yang berlaku dan ini tidak betul langsung, sepertimana ada yang menyebut pada tahun 804 Masihi telah muncul satu rombongan Syiah Alawiyah yang dipimpin Nakhoda Khalifah ke Perlak padahal perkataan Alawiyah itu merujuk kepada keturunan Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad Al-Muhajir bin Isa Al-Rumi bin Muhammad Naqib bin Ali Uraidhi bin Imam Jaafar As-Sadiq yang banyak beranak-pinak di Hadramaut. Alawi itu sendiri lahir sekitar tahun 950 Masihi, jadi mana mungkin ada kaum Alawiyah datang ke Perlak tahun 804 Masihi?







Allah. Sungguh tak disangka komen ketiga telah diletakkan di bawah gambar ini. Untuk makluman, saya cuma menurut gerak rasa. Apabila sampai pada gambar awal yang menunjukkan papan-tanda "Selamat datang ke Kampung Gombang", timbul gerak untuk meletakkan 3 komen serangkai yang muncul pada artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin di bawah gambar-gambar seterusnya.

Adapun disebabkan kekurangan pada alatan membuat artikel atau kemudahan New Post di blogspot, saya harus masuk ke dalam mode Edit Html. Saya masih ingat, dahulu boleh mengcopy and paste terus apa-apa teks mahupun link dalam mode Compose tetapi entah kenapa kini tak boleh buat, mungkin disebabkan kekurangan Web Browser saya?

Apapun, apa yang hendak diberitahu adalah apabila meletakkan komen-komen berserta jawaban atau reaksi, saya harus masuk ke dalam mode Edit Html lalu tidak dapat melihat gambar kerana ia cuma tertera dalam bentuk kod html yang mengandungi filename. Jadi memang saya terperanjat apabila komen ke 3 keluar di bawah gambar yang ada nombor 333 dan ini bukan dibuat-buat. Kita lihat komen dan reaksi dahulu...


Komen ketiga (merujuk pada apa yang dianggap perbalahan Sunni-Syiah di Aceh)...

Dua kumpulan tu bukan bolih harap.

Sekitar tahun 1128M kalau tak silap,Laksamana Burhanuddin Al Kamil berperang dengan amir nakhoda Johan d'Jhani,sorang syiah seorang lagi Sunni,tewas laksamana Burhanuddin.

Islam yang tulen dah datang awal sejak 650M lagi,bila datang dua pelanduk ni ....bikin pecah belah.

Bagus juga IM tu tak de ikut mana2 mazhab.


Reaksi saya...

Bab Burhanuddin Al-Kamil dan sebagainya, OK...

Saya sendiri pertama kali mendengar nama Dinasti Al-Kamil setelah membaca catatan di mana entah yang menyebut bahawa Hamka pernah menyoal kewujudan Dinasti Al-Kamil. Sedangkan nama ini sendiri pula diketengahkan oleh seseorang bernama Marga Perlindungan kalau tak salah ingatan yang bercerita sesuatu tentang Tuanku Rao. Lalu dia menyebut kewujudan Sultan Muhammad Al-Kamil yang meninggalkan Bandar Khalifah membuka negeri di Muar.

Saya juga ada terbaca cerita dari sumber2 Batak dan merekalah yang menyebut tentang watak-watak seperti Burhanuddin Al-Kamil, Kafrawi al-Kamil dan Johan Jani. Lalu watak-watak Al-Kamil yang dikatakan muncul sekitar tahun 1100an Masihi ini dikaitkan dengan kerajaan Fatimiyah di Mesir, maka itu mereka dikatakan membawa mazhab Syiah.

Walaupun saya juga membaca tulisan pihak Batak ini pada saya banyak yang perlu ditapis. Misalnya dakwaan mereka bahawa Sultan Malikus Salih asalnya orang Batak dari Nagur, mukanya bertatu (tatoo) dan asalnya suka memakan cacing. Pada saya itu adalah fitnah yang sangat besar kerana kajian peribadi saya menunjukkan Sultan Malkus Salih adalah seorang Ahlul Bait dari keturunan Raja-raja Perlak.

Di ketika Dinasti Al-Kamil disebut sumber Batak sebagai bermula daripada watak2 bawahan kerajaan Fatimiyah yang datang ke Sumatera tahun 1100an, saya pula mendapat alamat bahawa ia lebih dekat dengan kerajaan Perlak. Alamat seterusnya saya dapat nama Al-Kamil itu sendiri berasal dari seorang Ahlul Bait besar bernama Abdullah Al-Kamil bin Hassan Al-Muthanna bin Saidina Hassan yang hidup awal tahun 700an. Saya percaya anakanda Abdullah iaitu Muhammad Nafz Zakiyah itulah Nakhoda Khalifah yang memimpin angkatan 100 orang pendakwah yang datang ke Perlak tahun 804 Masihi sehingga bandar Perlak ditukar-nama menjadi Bandar Khalifah. Sedangkan sumber Batak pula menyebut nama Bandar Khalifah itu muncul dalam tahun 1200an dan banyak dakwaan mereka kelihatan bercanggah dengan sejarah kerajaan Perlak juga Samudera-Pasai yang diketahui ramai diterajui raja-raja berketurunan Arab-Parsi, bukan pemakan cacing Batak.







OK. Gambar yang ada nombor 333 itu diambil sebaik sahaja sampai ke satu tempat yang mungkin dapat membuka segala persoalan, gambar yang menunjukkan kami sampai jam 3:33 petang. Namun kami sebenarnya sampai lebih awal kerana jam kereta sengaja dicepatkan 9 atau 10 minit. Yang penting nombor 333 itu muncul sebaik sahaja meletakkan kereta di tempat tersebut.

Meter bawah yang menunjukkan nombor 299 pula merujuk kepada jarak perjalanan 299 km yang telah dilalui sejak meninggalkan rumah di Bandar Tasik Puteri tengah malam Sabtu untuk ke Muar lalu sampai ke sini petang Sabtu. Pada saya nombor 99 atau apa-apa yang ada banyak 9 merujuk kepada tamatnya satu fasa kehidupan atau sebagainya untuk masuk ke satu fasa yang baru. Hmm... mungkin saya harus melihat apakah artikel ke 333 di ketiga-tiga blogspot saya...

Di sini ia adalah Kembara ke Negeri Sembilan... Akhirnya Makam Moyang Salleh, posting ke 333!.

Di BERPETUALANG KE ACEH adalah Remembering the "A" Level college days. The seventh and last trial for a rebel... the one that could have changed it all!

Di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pula Makam (Tomb of) Laksamana Muhammad Amin.

Nampaknya artikel pertama yang tertera seperti hendak menunjukkan Moyang Salleh di Jelebu, orang yang menjadi punca awal sejumlah negeri kecil keluar dari naungan Johor lalu membentuk Negeri Sembilan ada kena-mengena dengan Dinasti Al-Kamil. Saya pula sudah lama terfikir para pemerintah Negeri Sembilan yang berpunca dari kerajaan Minangkabau Pagar Ruyung di Sumatera memang salah satu cabang Dinasti Al-Kamil.

Artikel kedua pula mengingatkan pada kesilapan hidup yang pernah dilakukan semasa berumur 18-19 tahun sehingga mengalih langsung segala perancangan saya selepas itu. Mungkin saya harus meneliti kembali apa yang berlaku agar untuk dijadikan pedoman fasa hidup selepas ini? Ya, saya telah membuat banyak kesilapan semasa muda akibat nakal, degil dan besar kepala. Namun kesilapan itu juga yang akhirnya membawa saya untuk mendekati Tasawuf, seterusnya menggali salasilah keluarga sehingga dapat menulis buku-buku juga berkongsi banyak perkara yang selama ini tersembunyi buat tatapan ramai.

Kalau 'kesilapan' lebih 20 tahun lalu tidak berlaku, ada kemungkinan saya akan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat PhD. tanpa apa-apa halangan di luar negara kemudian dengan sombongnya kembali ke tanah-air cuba mengambil-alih pemerintahan negara lantaran merasakan diri terlalu pandai lagi popular dan mampu menakluki orang. Begitulah aturan Qada' dan Qadar' Allah. Seperti pegangan permulaan saya ketika mula-mula melangkah ke dalam alam Musyahadah penyaksian kerja-kerja Tuhan... sentiasalah ingat : Kadangkala kamu rasa sesuatu itu baik untuk kamu sedangkan hakikatnya ia buruk, kadangkala kamu rasa sesuatu itu buruk untuk kamu sedangkan hakikatnya ia baik.

Artikel ketiga pula seperti hendak menyokong apa muncul selepas meletakkan gambar papan-tanda Rencong di atas. Bukankah ia tentang moyang saya Laksamana Muhammad Amin? Bukankah artikel ke 555 di blogspot ini menyebut kaitan Keris Taming Sari dengan keluarga Laksamana Perak?










Inilah tempat di mana kereta kami berhenti ketika keluar nombor 333. Inilah Masjid Gombang yang pertama kali saya lawati lebih 2 tahun lalu, masjid yang membuat saya terfikir akan kemungkinan ia ada kaitan dengan satu watak bernama Tuanku Gombang Malim Dewa seperti yang tersebut dalam kitab Hikayat Malim Dewa juga Hikayat Malim Deman. Lihat artikel lama Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar.... Perjalanan mencari jejak Dinasti Al-Kamil ini menyaksikan isteri dan anak kecil kami Al-Rasyid pertama-kali sampai ke sini.



Ini adalah pemandangan menghulu Sungai Muar dari hadapan masjid. Teringat Hikayat Malim Deman ada menyebut (kalau tak salah ingatan) Malim Deman yang merupakan anakanda kepada Malim Dewa menghilir Sungai Muar dengan menaiki rakit diraja yang dipanggil Balai Gambang.



Sudah disebut beberapa kali di blogspot ini bahawa ada tertera dalam Hikayat Malim Dewa juga Hikayat Malim Deman tentang kisah Tuanku Gombang Malim Dewa meninggalkan Aceh lalu membuka negeri baru bernama Kuala Bandar Muar. Turut disebut dalam artikel-artikel terdahulu bahawa setakat boleh ditemui dalam sumber lain, cuma kisah Sultan Muhammad Al-Kamil yang meninggalkan Bandar Khalifah (dalam kerajaan Perlak yang kemudian diserap ke dalam Aceh) lalu membuka negeri baru di Muar sahaja yang memiliki ciri penghijrahan serupa. Entah kenapa, sejak sebulan kebelakangan saya asyik terfikir tentang Dinasti Al-Kamil yang saya percaya merujuk kepada dinasti raja-raja yang berasal dari keturunan Abdullah Al-Kamil bin HassanAl-Muthanna bin Saidina Hassan. Untuk pengetahuan memang keturunan Abdullah ramai menjadi raja dan para pemimpin besar, antaranya raja-raja yang masih wujud di Maghribi, Syarif-syarif Mekah yang menurunkan Sultan-sultan Brunei dan Raja Jordan juga Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang saya percaya banyak meninggalkan keturunan menjadi raja dan wali di Alam Melayu.

Saya juga percaya Sultan Muhammad Al-Kamil adalah dari keturunan Abdullah Al-Kamil. Tapi biarlah perkara ini dikupas pada artikel akan datang. Buat masa ini eloklah difikirkan, di Malaysia ini cuma keSultanan Perak yang ada memakai rakit diraja Balai Gambang untuk menyusuri Sungai Perak ketika pertabalan. Elok juga difikirkan apakah yang menyebabkan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman ditulis kembali oleh Pawang Ana di Perak? Sedangkan kedua-dua hikayat merujuk pada watak Malim Dewa yang datang dari Aceh lalu berkerajaan di Muar.

Sebagai penutup artikel eloklah disebut, semakin hari saya semakin yakin bahawa Tuanku Gombang Malim Dewa dengan Sultan Muhammad Al-Kamil adalah orang yang sama. Keyakinan ini memuncak apabila melihat ciri-ciri tertentu yang terdapat di Putrajaya . Baca Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya? yang dibuat 3 minggu lalu. Oh, melihat balik masjid dari tepian Sungai Muar, apakah begitu rupanya Balai Gambang yang pernah digunakan Malim Deman? :]


Nota: Isnin 23 Ogos. Penerangan tambahan tentang Syiah Alawiyah yang dikatakan muncul di Perlak diambil daripada komen yang baru dibuat tadi...

Merujuk pada reaksi atau jawaban saya sendiri pada komen artikel "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin" yang telah disertakan sebagai isi untuk artikel sambungan ini, jawaban yang berbunyi begini...

"... sepertimana ada yang menyebut pada tahun 804 Masihi telah muncul satu rombongan Syiah Alawiyah yang dipimpin Nakhoda Khalifah ke Perlak padahal perkataan Alawiyah itu merujuk kepada keturunan Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad Al-Muhajir bin Isa Al-Rumi bin Muhammad Naqib bin Ali Uraidhi bin Imam Jaafar As-Sadiq yang banyak beranak-pinak di Hadramaut. Alawi itu sendiri lahir sekitar tahun 950 Masihi, jadi mana mungkin ada kaum Alawiyah datang ke Perlak tahun 804 Masihi?"

Biar ditambah bahawa ini mungkin contoh yang kurang sesuai. Walaupun perkataan Alawiyah itu selalu merujuk kepada keturunan Nabi Muhammad SAW di Hadramaut, apabila dibaca balik beberapa teks berkaitan, ternyata ia juga merujuk kepada para penyokong Ali iaitu selepas berlaku pergaduhan menantu Nabi ini dengan Muawiyah yang membawa kepada, antara lain, Perang Siffin, orang2 yang juga dipanggil Syiatul Ali (para pengikut Ali... Syiah dari segi bahasa bermaksud pengikut/ penyokong).

Dalam konteks kemudian hari iaitu selepas keturunan di Hadramaut telah berkembang beranak-pinak lebih kurang tahun 1000 Masihi ke atas, memang ia lebih merujuk kepada anak cucu Alawi bin Ubaidullah bin Ahmad Al-Muhajir. Sebab itu para Sayyid dan Sharifah dari Hadramaut, Yaman juga disebut sebagai kaum Alawiyah. Tetapi dalam konteks awal Syiah Alawiyah sebagai para penyokong Ali, maka ia telah wujud seawal sekitar tahun 660 Masihi, lalu angkatan 100 orang yang datang ke Perlak tahun 804 Masihi boleh disebut sebagai Syiah Alawiyah kerana mereka memang menyokong kepimpinan Ali dan anak-cucunya.

Apapun ini tidak menolak penerangan saya mengenai takrif Sunni dan Syiah yang belum wujud pada awal perkembangan Islam. Sekali lagi biar ditekankan... takrif ini cuma wujud selepas ada Mazhab yang 4 iaitu semasa zaman pemerintahan Bani Abbasiyah, sekitar 100 tahun selepas Rasulullah SAW wafat. Maka tentunya tidak muncul persoalan samada Syiah atau Sunni yang mula2 membawa Islam ke Nusantara pada tahun 30 Hijrah seperti disebut dalam sesetengah pengajian.

Nota lagi: Baru pagi Isnin ini saya mendapat tahu bahawa peristiwa Fathul Mekah atau pembukaan Mekah berlaku pada 10 Ramadhan. Untuk pengetahuan, itulah satu-satunya peristiwa terawal dalam sejarah Nabi yang menunjukkan kemenangan mutlak Islam... iaitu setelah para penganut Islam yang berasal dari Mekah terbuang akibat penindasan terhadap mereka oleh kaum kafir Quraish, membawa kepada penghijraan Rasulullah SAW dan orang-orang Muhajirin ke Madinah. Bermulalah episod mereka bersaudara dengan orang Ansar penduduk asal Madinah dalam menangani cabaran bersama... antaranya berperang dengan orang Jahiliyah Mekah dan sekutu mereka dalam Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandaq. Namun pada 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah (630 Masihi) pengaruh Islam sudah meningkat cukup kuat sehingga mereka dapat masuk ke Mekah tanpa mendapat apa-apa tentangan.

Saya mendapatkan tahu tentang ini setelah cuba mencari apakah perkara penting yang telah berlaku pada 10 Ramadhan. Sesuatu telah berlaku selepas Maghrib malam Jumaat baru ini yang menandakan 'menetas' atau terbukanya satu perkara yang mungkin ada kena-mengena dengan pencarian mengenai Dinasti Al-Kamil dan ketika itu sudah masuk 10 Ramadhan. Kebetulan artikel "Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa?" ini dibuat tengahari Jumaat. Jadi biar nota tambahan diletak sekurang-kurang sebagai peringatan buat diri saya sendiri.

Biar juga diletakkan seperenggan-dua kata-kata sebuah tulisan dari waris berkenaan yang disampaikan kepada saya lebih kurang 8 tahun lalu, waris yang menyokong telahan saya bahawa terdapat ramai anak cucu Saidina Hassan wujud di Tanah Melayu tetapi tidak menyedari akan darah Ahlul Bait yang mengalir dalam diri mereka. Ketika itu saya baru mendapat alamat bahawa Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang dikatakan menulis "Batu Bersurat Terengganu" itu berketurunan Saidina Hassan lalu perkara ini dibenarkan oleh waris itu. Biar dicopy and paste kata-kata tersebut seperti diletakkan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (terbit November 2007), dari bab bertajuk "Tok Pulau Manis, Batu Bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh"...


Segala puji-pujian itu bagi Allah, Tuhan semesta alam.. Selawat dan salam ke atas Rasulullah Salallahualaihiwassalam dan Ahlil Baitnya, Saidina Abu Bakar dan Khalifah-khalifah Rasulullah, Saidina Ali Karamallahuwajha, Saiditina Fatimah Al-Zahrah, Al-Hassan, Al-Hussein dan Salman Al-Farisi.

Menjunjung kemuliaan Khalifah-khalifahmu Paduka Sharif Muhammad dan Paduka Sharif Al-Kubra Sheikh Sharif Abdul Malik Tok Pulau Manis, kedua-dua kota sucimu di kawasan Timur jauh. Dan kami bermohon bergantung padaMu dan berwasilah kepada Rasulullah SAW kepadaMu. Adapun kemudian daripada itu, kami berlindung kepadaMu Ya Allah akan pena yang derhaka dan pendustaan dan mengada-adakan sesuatu daripada sesuatu untuk maksud sesuatu.

Kami mohon ditonton oleh umat akan kehadiran keturunan Rasulullah SAW yang disebutkan menjadi khalifah ke seluruh dunia dan setelah gagal dibatalkan oleh Bani Umaiyah dan kaum-kaum Wahabi dan kaum-kaum Ahli Kitab Al-Fasik, Yahudi dan Nasrani dan kaum-kaum derhaka dan ahli siasat dan ahli muslihat…

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Menjejak kegemilangan Samudera-Pasai

Hmm... sepatutnya saya dapat memulakan artikel baru ini dengan ucapan selamat pagi Jumaat. Memang ia dirancang untuk disiarkan pagi Jumaat kerana apa yang ingin diceritakan berlaku pagi Jumaat. Tetapi ketika mengatur gambar yang mahu digunakan sekitar jam 8 pagi timbul hal-hal lain yang perlu diselesaikan hingga memakan masa ke tengahari. Apapun, sementara ada kelapangan sebelum masuk waktu solat Jumaat biar dilepaskan cerita...

Pagi Jumaat 29 Januari, hari terang menunggu untuk kembara diteruskan.


Setelah puas menginap di sebuah hotel di bandaraya Lhokseumawe, kami mengumpulkan tenaga untuk berjalan.

Destinasi pertama hari itu adalah makam Sultan Malikus Salih.


Walaupun kami sudah sampai Jumaat malam (lihat Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe...), kami ke sini lagi untuk melihatnya waktu siang. Untuk pengetahuan inilah kali pertama dan terakhir (setakat ini Insyaallah!) saya sampai ke makam Sultan Malikus Salih waktu siang. Dalam perjalanan kedua ke Aceh Jun 2009 (pertama-kali untuk isteri) saya sampai ke makam ini waktu malam. Begitu juga yang berlaku pada perjalanan keempat yang dibuat penghujung Februari 2010.


Kami mengambil peluang ini untuk menjejakkan kaki anak ke tanah dalam kawasan makam. Untuk makluman itulah kali pertama Al-Rasyid menjejak tanah. Ingat, ketika itu dia baru berumur 3 setengah bulan. Gambar ini telah digunakan pada artikel Jejak Al-Rasyid di Aceh! bertarikh 5 Mac 2010. Seperti artikel ini, artikel tersebut turut dibuat tengahari Jumaat.



Seterusnya saya melihat kawasan luar makam di mana dikatakan pernah berdiri masjid kerajaan semasa Sultan Malikus Salih memerintah lebih 700 tahun lalu. Penduduk tempatan turut menunjukkan arah kedudukan tapak istana Sultan. Hari yang terang membenarkan saya mengenal-pasti dari manakah mungkin datang alunan merdu bacaan Al-Quran yang pernah didengar semasa pertama kali sampai ke makam Sultan malam Jumaat Jun 2009. Yang kelihatan cuma sawah padi terbentang luas lalu saya diingatkan bunyi seperti bacaan Quran juga alunan zikir walaupun tiada orang adalah perkara biasa di sekitar makam. Lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda!.


Oh, terlupa hendak beritahu. Anda boleh melihat gambar-gambar sekitar makam di dalam artikel Akhirnya, makam Sultan Malikus Salih waktu siang (At last, tomb of Sultan Malikus Salih at daytime) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) hari Selasa. Kalau ikut giliran artikel itu sepatutnya dibuat hari ini. Tetapi semasa menyediakan artikel sokongan untuk Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe... saya dapati artikel seterusnya di blogspot tersebut akan menjadi yang ke 393, bersamaan 3 x 131, ada makna tertentu buat saya. Lalu artikel tentang makam pun dibuat lebih awal.

Melihat gambar di atas pula baru saya teringat Sultan Malikus Salih mangkat bulan Ramadhan. Apakah ini yang menyebabkan penceritaan perjalanan ke Aceh tahun lepas di mana saya pertama kali sampai ke makam baginda dibuat bulan Ramadhan? Yang pasti, ia tidak dirancang... siri dibuat bulan Ramadhan pun semata-mata kerana sampai giliran.

Sebenarnya artikel pertama siri itu dibuat pada penghujung bulan Jun. Ramadhan pula bermula hampir ke penghujung bulan Ogos, dekat 2 bulan kemudian. Namun di celah-celah itu timbul gerak penceritaan yang lain seperti satu mengenai perjalanan ke Perak, satu lagi perjalanan ke Negeri Sembilan hingga memanjangkan tempoh menulis siri. Cantiknya, masuk sahaja bulan Ramadhan, penceritaan sampai ke bahagian di mana saya dan isteri meninggalkan Banda Aceh selepas 2 malam untuk memulakan perjalanan menziarahi makam Sultan Malikus Salih lebih 300 km ke tenggara Banda Aceh. Apakah ia semata-mata kebetulan?

Satu lagi, penceritaan ini berlaku ketika umur saya menghampiri 40 tahun menurut kiraan Hijriah. Lalu artikel demi artikel dihasilkan sambil saya juga cuba mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk 27 Ramadhan, tarikh lahir saya menurut kalender Islam, satu azam yang sudah lama disimpan setelah pertama dan akhir sekali katam 28 tahun yang lampau. Alhamdulillah, sasaran berjaya dicapai. Malah tarikh yang 27 Ramadhan bersamaan 17 September 2009 itu turut menyaksikan siri cerita perjalanan ke Aceh tahun lepas berjaya ditamatkan. Lihat Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... .


Siri terbaru ini pula dimulakan bulan Ramadhan juga padahal ia adalah mengenai perjalanan ke Aceh yang dibuat 7 bulan lalu. Padahal perjalanan ke Aceh seterusnya iaitu pada penghujung Februari telah berjaya diluahkan di blogspot ini 4 bulan lalu (lihat Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat...). Apakah ia juga ada kena-mengena dengan hakikat bahawa Sultan Malikus Salih mangkat bulan Ramadhan? Di atas adalah gambar ketika keluar mencari lain makam...



Makam yang ingin diziarahi seterusnya,, makam yang turut menggambarkan kebesaran kerajaan Samudera-Pasai adalah milik Ratu Nahrisyah, seorang keturunan Sultan Malikus Salih. Dalam perjalanan tahun lepas saya dan isteri tidak berpeluang kerana kami bukan sahaja sampai ke makam Sultan Malikus Salih lewat malam, kami harus berkejar kembali ke Banda Aceh. Kini siang Jumaat, baru kami ada peluang untuk melihatnya. Cuma pemandu yang tidak tahu kedudukan tersilap membawa kami ke makam yang lain. Lihat Makam 44 ulamak (Tombs of the 44 religious scholars).








Namun kesilapan itu ternyata berguna. Di sekeliling permatang menghala ke makam 44 orang ulamak, boleh ditemukan banyak lagi batu nesan yang menandakan wujud kawasan pemakaman besar di sekitar ini.



Batu-batu nesan Aceh yang ada menunjukkan ia tanah perkuburan golongan istana, kerabat dan bangsawan.






Jika orang atasannya sahaja sudah begini ramai, bayangkan jumlah rakyat yang pernah memenuhi lingkungan kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan berkembar Samudera dan Pasai. Dari kawasan ini ke makam Sultan Malikus Salih memakan jarak 1.5 km, ke kawasan makam seterusnya yang kami akhirnya tahu kedudukannya dari penduduk tempatan pula tambah lagi 700 meter. Tanda-tanda yang ada menunjukkan kawasan ini semua terletak di dalam lingkungan halaman istana dan pusat terdalam kerajaan. Kalau dicampur gedung-gedung perniagaan, pasar-pasar dan tempat penempatan rakyat yang menurut adat Melayu biasa mengelilingi halaman istana sehingga beberapa lapis bukankah ia menunjukkan kewujudan kota yang luas?











Apapun inilah kali pertama kami dapat menjejakkan kaki ke makam Ratu Nahrisyah.




Makam batu mar-mar yang tercatit sebagai salah sebuah makam tercantik di Alam Melayu ini turut diapit banyak lagi makam. Antaranya adalah makam panjang yang kalau tak salah ingatan milik seorang panglima Turki yang berkhidmat dengan kerajaan Samudera-Pasai. Lihat Kompleks makam Ratu Nahrisyah (Queen Nahrisyah tomb complex).


Rabu, Ogos 18, 2010

Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Singgah dahulu ke makam Sultan Alauddin





Assalamualaikum semua. Tadi apabila memasuki blogspot ini saya mendapati counter di bawah menunjukkan nombor yang kelihatan begitu cantik ini. Terus timbul rasa elok juga dibuat satu artikel baru. Tetapi cerita seterusnya dalam siri "Petualangan Al-Rasyid ke Aceh" telah dirancang cuma akan dibuat apabila masuk Jumaat nanti. Jadi kalau nak tambah artikel sebelum itu ia harus berkenaan sesuatu yang lain...

Kemudian saya teringat ada permintaan agar saya bercerita lagi tentang perjalanan saya ke Muar hujung minggu baru ini untuk mencari jejak Dinasti Al-Kamil. Permintaan ini berlaku setelah artikel selingan Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Satu pembukaan? dibuat hari Isnin. Ketika itu saya menjawab akan menyelesaikan dahulu cerita perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 sebelum menyambung cerita lain. Sekarang saya terasa elok juga penceritaan Aceh diselang-selikan dengan penceritaan Muar!

Bukankah saya juga sedang mencari kaitan lebih mendalam Aceh dengan Muar apabila cuba menyusuri jejak Dinasti Al-Kamil? Bukankah saya sendiri ada menyebut tentang watak bernama Sultan Muhammad Al-Kamil yang meninggalkan Bandar Khalifah di Perlak (sekarang dalam Aceh) lalu membuka kerajaan baru di Muar sekitar 700 tahun lalu? Pencarian ini jadi lebih bermakna apabila ada sumber menyebut Sultan Malikul Mansur, cucunda kepada pengasas kerajaan Samudera-Pasai iaitu Sultan Malikul Salih telah mengahwini Puteri Nur Alam Kumalasari, anakanda Sultan Muhammad Al-Kamil ini. Sedangkan hati saya pula semakin hari semakin yakin Sultan inilah yang tersebut dalam Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman sebagai Tuanku Gombang Malim Dewa yang datang dari Aceh membuka negeri Kuala Bandar Muar.


Pagi Sabtu 14 Ogos 2010. Kami anak beranak mahu memulakan perjalanan menjejak Dinasti Al-Kamil di Muar. Sebelumnya kami sampai ke rumah ibu bapa di kampung hampir waktu Subuh, sempatlah juga bersahur. Maklumlah kami meninggalkan rumah sendiri di Bandar Tasik Puteri hampir tengah malam... singgah lagi di Masjid Kampung Hulu di Melaka, juga makam Sheikh Shamsuddin Pasai yang berdekatan.



Kami pun melepasi jalan di kampung ibu di Muar...


Tidak lama kemudian sampai ke Bukit Pasir...



Isteri keluar sebentar membeli sesuatu di kedai. Anak kecil kami Al-Rasyid melihat suasana luar.



Perjalanan diteruskan. Kelihatan bukit yang menimbulkan nama Bukit Pasir, kini dipenuhi jirat Cina belaka...





Ke hadapan lagi kelihatan bukit yang kalau tak salah ingatan dipanggil Bukit Pengkalan. Kenapa pengkalan yek? Pengkalan apakah yang dimaksudkan? Dalam pada itu teringat satu mimpi yang berlaku lebih 2 tahun lalu. Lihat artikel The hill I saw in a recent dream? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH juga Jalan-jalan di Muar sekitar Aidil Adha sehingga mencari bukit tertentu dalam mimpi...






Apapun kami sampai ke destinasi pertama hendak dituju hari itu...






Selamat datang ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah Melaka 1477-1488 Masihi. Baginda dimakamkan di Kampung Raja, Pagoh, Muar dan kali terakhir kami ke sini ialah bulan April. Sesuailah kami ke sini lagi untuk membuka satu perjalanan apalagi di bulan Ramadhan...

Nota: Tadi malam (awal pagi sebenarnya), Isnin 23 Ogos, hari ke 13 berpuasa baru saya terjumpa keterangan yang menyatakan Sultan Malikus Salih di Aceh mangkat pada 8 Ramadhan lebih 700 tahun lalu. Lalu saya tercari-cari apakah gambar yang diambil pada 8 Ramadhan ini. Ternyata saya tidak mengambil apa-apa gambar dari 17 hingga 20 Ogos. Kemudian saya berfikir balik, apakah yang ada dibuat pada hari tersebut bersamaan Rabu 18 Ogos. Ternyata ia adalah artikel ini, artikel yang terbit akibat nombor 311,111 yang kelihatan pada kaunter lalu saya membuat keputusan untuk menggilirkan artikel tentang perjalanan ke Aceh dengan Muar. Hmm... 311,111 juga boleh dikaitkan dengan 3+1+1+1+1+1 = 8. Ada makna semua ini... :]

Selasa, Ogos 17, 2010

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe...

OK. Setelah 'diganggu' 2 artikel selingan kita kembali ke Aceh. Bersambung dari artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Sekitar Banda Aceh.


Pagi Khamis 28 Januari 2010, sampailah masa untuk menyambung sesi jalan-jalan dan berziarah...


Kali ini kami akan berjalan jauh sehingga ke Lhokseumawe lebih kurang 300 km ke tenggara Banda Aceh. Maka sementara yang lain masih sibuk bersiap-sedia saya keluar berjalan kaki sebentar seorang diri...

Rehat di tepian Sungai Aceh yang terletak lebih kurang 100 meter sahaja dari hotel.



Sebelum meninggalkan Banda Aceh kami singgah dahulu di beberapa tempat.



Ini adalah Gunongan, satu bentuk taman permainan yang didirikan oleh Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636) untuk seorang isteri baginda yang berasal dari Pahang, Puteri Kamaliah yang dikenali rakyat Aceh sebagai Putro Phang. Lihat artikel lama Gunongan... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Kemudian baru kami berlepas meninggalkan Banda Aceh. Tempat pertama dituju adalah Masjid Indrapuri...





Al-Rasyid berehat dalam masjid. Untuk makluman, ketika ini anak kecil kami baru sahaja berumur 3 setengah bulan.





Isteri pula seronok bersolat.





Yang pasti Masjid Indrapuri yang terletak sekitar 25 km ke tenggara Banda Aceh memiliki keistimewaan yang tersendiri. Lihat artikel lama Masjid Indrapuri, bukti agama Hindu memang berasal daripada syariat Nabi Ibrahim AS?



Dari Masjid Indrapuri sudah cukup dekat untuk ke makam Teungku Chik di Tiro, seorang pahlawan nasional yang merupakan ulamak memimpin perjuangan Aceh melawan penjajahan Belanda. Lawatan kali ini ternyata lebih bermakna. Baru kali ini saya dapat masuk betul-betul ke dalam makam. Lihat artikel My second visit to the tomb of Teungku Chik di Tiro di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.





Destinasi seterusnya adalah sekolah pondok Dayah Tanoh Abee yang turut terletak di sekitar ini. Oh, maksud sekitar tu bukanlah betul-betul dekat. Tapi kira-kira dalam jarak 10-15 km dari makam Teungku Chik di Tiro dan Masjid Indrapuri, jadi kira dekatlah juga. Pemandu yang pernah membawa saya dan isteri ke sana melalui jalan besar memberitahu kita juga boleh sampai melalui jalan kampung. Dengan tidak sengaja kami boleh terjumpa satu kawasan pemakaman milik satu keluarga bangsawan yang paling utama di Aceh. Lihat Kawasan pemakaman (Burial area for) Panglima Polem.




Untuk makluman semua kawasan ini terletak di sekitar kaki Gunung Seulawah. Gunung berapi tidak aktif setinggi sekitar 5,500 kaki dari paras laut ini merupakan satu-satunya gunung paling terserlah berpuluh kilometer dari setiap arah.


Jalan pendalaman yang diambil juga membawa ke satu lagi tempat bersejarah tanpa kami merancang. Untuk pengetahuan, seperti kami pemandu juga baru pertama-kali mengambil laluan, semuanya berdasarkan cerita-cerita orang juga dengan bertanya kepada warga tempatan.

Pertanyaan asalnya cuma begini : "Bagaimana mahu sampai dari makam Teungku Chik Tiro ke Tanoh Abee melalui jalan dalam?". Nah, dengan itu kami boleh terjumpa kawasan pemakaman keluarga Panglima Polem. Dengan itu juga kami terjumpa kompleks bangunan di atas yang rupa-rupanya adalah Dayah Tanoh Abee asal yang dibina 400 tahun lalu! Lihat Dayah Tanoh Abee yang asal (The original religious institution of Tanoh Abee).







Tidak lama kemudian sampailah kami ke Dayah Tanoh Abee yang lebih dikenali orang, dayah yang dibina mungkin kurang 200 tahun lalu.




Kami mengambil peluang untuk bertandang ke rumah orang yang dipanggil Umi, isteri kepada almarhum khalifah Dayah Tanoh Abee yang namanya Teungku Muhammad Dahlan kalau tak salah ingatan. Dialah yang memberitahu bangunan tinggal yang dilihat sebelum sampai ke sini adalah Dayah Tanoh Abee yang asal. Dan di situ juga disemadikan beberapa orang pemimpin dayah terawal. Lihat Makam pemimpin Dayah Tanoh Abee (Tombs of the leaders of the religious institution of Tanoh Abee).




Al-Rasyid sempat dimandikan di rumah Umi, barulah nampak segar. Untuk mengetahui apakah kelebihan Dayah Tanoh Abee, baca artikel lama Dayah / Pesantren / Sekolah pondok Tanoh Abee... dan perpustakaan lebih 300 kitab lama!.




Perjalanan ke Lhokseumawe diteruskan. Berhenti berehat minum kopi di pekan Saree yang terletak pada ketinggian sekitar 1,600 kaki di lereng Gunung Seulawah.


Kedudukan dan cuacanya boleh disamakan dengan di Genting Sempah, lebuhraya Karak, lebuhraya yang menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur dengan tempat-tempat di Pahang. Tetapi Genting Sempah cuma sebuah perhentian sedangkan di sini adalah sebuah pekan cukup segala kemudahan...


Oh. Kami turun dari pekan Saree pun sudah melepasi jam 7:30 malam. Dua jam kemudian sampai dan singgah ke Makam Syahid Lapan yang terletak di tepian jalan. Lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?.


Dipendekkan cerita kami sampai ke Lhokseumawe tengah malam tetapi membuat keputusan untuk terus ke makam Sultan Malikus Salih di Geudong lagi 15 km perjalanan. Malam itu malam Jumaat dapatlah anak kecil kami Muhammad Al-Rasyid yang namanya sudah disimpan sekian lama meluangkan masa di makam nenda. Di kala watak Muhammad Al-Rasyid dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit tahun 2006 dan 2007 masih merindui untuk menjejakkan kaki ke sini, Al-Rasyid si kecil telah pun sampai.

Sebagai peringatan, watak Rasyid dalam novel dicipta berdasarkan pengalaman sebenar saya ke Aceh Januari 2004 ketika ia sedang daurat. Inilah yang membuat saya tidak dapat masuk lebih jauh. Nah, dengan perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 baru nama ini sendiri dapat menunaikan hajat. Ia juga menyaksikan saya dapat menunaikan janji kepada seorang teman. Saya telah memberitahu akan membawanya ke makam Sultan Malikus Salih dan ini berjaya dilakukan malam Jumaat masuk 29 Januari 2010.





Allah! Begitu nyenyak Al-Rasyid tidur sehingga tidak sedar kami berada di sini tidak kurang sejam begitu lewat malam. Tidurlah Rasyid anak ku sayang. Kamu adalah sebahagian dari Abah juga sebahagian dari ibumu Mami. Jika 6 tahun dahulu Abah perlu bersusah-payah mengambil feri dari Pulau Pinang masuk ke Medan kemudian mengambil jalan darat cuba masuk ke Aceh, itupun dihalau tentera, kamu cuma perlu rela diangkut sahaja ke sana ke mari tanpa banyak kerenah. Jika Abah dahulu terpaksa berhempas-pulas mencari jalan sebelum dapat masuk ke Aceh 3 hari 3 malam kemudian dihalau keluar, kamu dengan senang dapat naik kapalterbang terus ke bumi bertuah ini.

Abah harus menunggu 5 tahun 5 bulan untuk sampai ke makam Sultan Malikus Salih iaitu apabila sampai bersama Mami Jun 2009, ketika Aceh tidak lagi darurat dan sudah pulih sekurang-kurangnya dari segi infrastruktur selepas ombak ganas Tsunami menyerang 26 Disember 2004. Kamu pula Al-Rasyid memegang nama yang sudah 8 tahun disimpan, 3 tahun menjadi nama watak novel berdasarkan perjalanan sebenar Abah lalu berjaya sampai ke makam Raja Wali ini ketika kamu baru sahaja berumur 3 bulan setengah! Beruntung sungguh kamu Al-Rasyid. Dan kami sebagai ibu bapa pula begitu beruntung mendapat seorang anak yang dapat menurut jejak. Untuk artikel seterusnya akan dipaparkan keadaan makam waktu siang. Nanti... :]