Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, April 07, 2021

Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001

Melengkapkan perkongsian dengan mengumpulkan pautan bagi semua artikel dalam siri.


Perjalanan ini dibuat setelah mendapat mimpi melibatkan keturunan sebelah ayah diikuti peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre runtuh menyembah bumi. Hal ini menyebabkan saya yang ketika itu sedang bertugas sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times mengambil cuti selama seminggu untuk ke Raub, Pahang bertemu dengan Nenek (ibu kepada ayah). Ini berlaku selepas 3 tahun tidak pergi menziarahi beliau. Cuti dapat diambil sekitar seminggu dua selepas selesai meliputi Sukan SEA di Kuala Lumpur 8-17 September.

Selepas mendapat tahu sedikit sebanyak tentang asal usul keturunan kami saya pun bergegas ke negeri Perak untuk mencari makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Dengan menaiki motosikal besar kesayangan saya seterusnya menyusur laluan Sungai Perak ke hulu lalu singgah ke beberapa  makam Sultan Perak yang dirasakan ada kaitan dengan nasab keturunan kami. Perjalanan ini memakan jarak keseluruhan hampir 800 km. Ia ditutup dengan saya menerima satu nama - Muhammad Al-Aminul Rasyid - dalam hati. Ini berlaku ketika berada di tengah satu jambatan menyeberang Sungai Perak dalam perjalanan kembali ke KL.


1. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku

2. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek

3. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Mencari makam Keramat Kuala Bidor

4. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar

5. Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid



Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid

 

Ini adalah gambar anak lelaki saya Muhammad Al-Aminul Rasyid. Gambar ini diambil tidak lama selepas anak dilahirkan pada awal pagi Selasa 13/10/2009. Ini adalah 5 hari overdue atau melepasi tarikh jangkaan doktor. Tarikh Islam lahir itu adalah 24 Syawal. 

Menariknya menurut jangkaan doktor sayalah yang sepatutnya lahir pada tarikh Islam tersebut tepat 40 tahun Qamariah lebih awal. Ini adalah tahun menurut bulan seperti dipakai dalam kalender Islam. Panjangnya adalah 354 hari sedangkan tahun Syamsiah menurut matahari seperti dipakai kalendar Barat mengandungi 365 hari (atau 366 pada tahun lompat). Sebaliknya saya ditakdirkan lahir tak cukup bulan lalu keluar pada 27 Ramadhan iaitu Malam Tujuh Likur, pada malam Jumaat. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131...

Hampir ke penghujung artikel ada disebut begini...


Sesungguhnya saya menaruh harapan yang tinggi dengan kelahiran bayi ini. Nama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang timbul satu petang ketika menyeberangi Sungai Perak di sekitar pekan Parit, setelah pertama kali menziarahi makam beberapa orang kerabat diraja lama Perak telah disimpan sejak penghujung 2001, baru kini saya mendapat seorang anak lelaki yang layak menerima nama itu. Selama ini, ia cuma dapat dipakai untuk watak utama siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar kehidupan dan pengembaraan saya. Semoga anak ini menjadi orang yang lebih baik dari saya, semoga ia mendapat manfaat dari segala salah-silap perkiraan hidup saya yang membuahkan segala macam ilham dan ilmu tanpa dia sendiri perlu melalui segala susah-payahnya!

Dengan pembukaan ini maka masuklah kita pada artikel ke-5 dan terakhir bagi siri perjalanan yang sedang berlangsung. Bersambung daripada artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar.


Ini adalah surau berdekatan makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar. Gambar diambil daripada artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Kuala Kangsar ke Ipoh dan cabaran pendakian Bukit Singa tahun 2017. Saya juga isteri dan anak-anak sudah banyak kali menumpang bermalam di sini. Walaupun tak ingat di manakah menginap selepas pertama kali sampai ke makam Tok Temong hampir penghujung tahun 2001 besar kemungkinan ia di surau ini. Oleh itu biar dijadikan titik permulaan perjalanan bagi hari berkenaan, hari terakhir perjalanan ke makam-makam lama tahun 2001.

Ketika itu sudah masuk 7 hari saya keluar mengembara dengan menunggang motosikal besar kesayangan seorang diri. Tiga malam pertama menginap di rumah almarhum Nenek (ibu kepada ayah) di Raub, malam ke-4 di masjid Kampung Bahagia dekat makam Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan dan malam  ke-5 di rumah ibu saudara dekat masjid keluarga di Batak Rabit. Malam ke-6 baru di sekitar ini. Maka sudah sampai masanya untuk bergerak kembali ke Kuala Lumpur kerana esoknya harus kembali masuk bekerja di meja sukan akhbar The New Straits Times.

Dari persekitaran kampung saya pun menunggang motosikal besar kembali ke arah bandar diraja Kuala Kangsar. Rasanya ada singgah lagi di makam Tok Temong kemudian mencari warung untuk mengisi perut dalam perjalanan. 


Bila dah masuk ke bandar harus singgah ke masjid cantik di Bukit Chandan. Ini sudah menjadi kebiasaan apabila sampai ke Kuala Kangsar. Harus pada hari terakhir perjalanan tahun 2001 itu saya mengambil masa untuk bersolat juga bertafakur dalam masjid. Gambar diambil daripada artikel Tok Temong dan dua Sheikh di Kuala Kangsar tahun 2016. 

Dari bandar pula saya mengambil jalan ke Manong. Ia adalah jalan yang menghilir tebing kiri Sungai Perak (kiri jika dipandang dalam peta mengikut mata arah angin yang betul) sedangkan hari sebelumnya telah bergerak ke masjid Kota Lama dengan menghulu sungai melalui tebing kanan.  Sekitar 3 km selepas pekan Manong masuk ke Kampung Pulau Semat. Di situ terdapat sebuah pulau yang memanjang di tengah Sungai Perak. Itulah Pulau Semat.



Gambar daripada artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Makam keramat di Pulau Semat... tahun 2010 ini menunjukkan bahagian tengah pulau yang menghadap ke jeti kecil kampung. Ke seberang itu terdapat makam seorang Sultan Perak yang dianggap keramat. Ketika pertama kali sampai tahun 2001 saya berhajat untuk menziarahi makam tetapi tidak berjaya mendapatkan kenderaan untuk menyeberang sungai. Tak tahulah bagaimana mendapat tahu tentang makam. Mungkin ada mendengar cerita orang di Temong.

Hal ini ada diceritakan dalam artikel yang ditulis 9 tahun kemudian...


Teringat penghujung tahun 2001 ketika saya pertama kali tergerak untuk menziarahi makam-makam lama dengan menunggang motosikal besar. Dari Kuala Kangsar saya telah singgah ke Kampung Semat untuk mendapatkan pengangkutan ke Pulau Semat. Lalu saya diberitahu tidak ada sesiapa pun mahu ke sana...

Di jeti Manong saya menerima nasib yang serupa. Sembilan tahun lalu saya juga terpaksa berpatah-balik ke sini tetapi ketika itu sudah lewat petang, tidak ada lagi perkhidmatan bot di jeti. Kali ini terdapat sejumlah bot dengan pemandu menunggu pelanggan. Tetapi mereka semua cuma mengambil penumpang untuk pergi ke seberang sungai iaitu ke Seberang Manong, tidak ke Pulau Semat.


Nasib baik dalam lawatan tahun 2010 dapat bot ke sana. Hal ini diceritakan sebegini...


Dengan kuasa Allah, terbetik di hati salah seorang pemilik bot untuk memberi pertolongan. Sebenarnya beliau mahu keluar menjala ikan tetapi kesian melihat saya, isteri dan anak kecil terus menunggu. Itupun beliau tidak berani membawa kami. Sebaliknya beliau meminta rakannya seorang bekas komando memakai botnya untuk ke sana. Sampailah hajat saya untuk menziarahi makam Sultan Tajul Ariffin...


Menarik apabila difikirkan saya dapat pergi itu bersama anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid. Ketika ini umurnya baru hendak masuk 6 bulan. Sekarang masuklah bab bagaimana nama anak ini boleh terbit. Selepas tidak berjaya mendapatkan kenderaan untuk masuk ke Pulau Semat saya pun meneruskan perjalanan kembali ke KL...


Laluan dari Manong dan Kampung Pulau Semat membawa ke simpang yang kelihatan. Seingat saya pernah mengambil gambar simpang lalu dimasukkan ke dalam satu artikel lama tapi tak jumpa. Jadi biarlah dipakai gambar ini daripada kemudahan Street View (melihat pada paras permukaan bumi) di Google Map.

Ke kiri boleh naik ke satu jambatan menyeberangi Sungai Perak lalu masuk ke tebing kanan (ataupun timur) sungai menuju ke pekan Parit. Ke kanan boleh ke Beruas tapi sebelum itu ada simpang masuk ke jalan yang boleh membawa terus menghilir sungai di belah tebing kiri (ataupun barat). Dua tebing inilah yang memberikan nama tempat-tempat seperti Bota Kanan dan Lambor Kanan. Lawannya di seberang sungai, di belah tebing kiri adalah Bota Kiri dan Lambor Kiri.

Entah kenapa saya memilih untuk membelok ke kiri lalu menyeberangi jambatan masuk ke tebing kanan. Padahal laluan berkenaan telah diambil ketika menuju ke Kota Lama Kanan  di Kuala Kangsar pada  hari sebelumnya seperti diceritakan dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar. Oh. Kota Lama Kanan mendapat nama kerana terletak di tebing kanan Sungai Perak. Sebagainya lawannya wujud Kota Lama Kiri di seberang sungai. 


Boleh jadi laluan diambil kerana hendak cepat kembali ke KL. Jalan di tebing kanan lebih sesuai untuk itu. Logik juga kerana teringat ketika berada di Kampung Pulau Semat itupun sudah sekitar jam 5 petang. Mesti cepat balik ke rumah kerana esoknya sudah harus kembali bekerja di NST.

Gambar Street View ini menunjukkan jambatan berkenaan. Sampai sahaja ke tengah jambatan merangkap tengah sungai tiba-tiba timbul nama "Muhammad Al-Aminul Rasyid" dalam hati. Ia bukan bisikan tetapi satu lintasan seperti terbetik suatu ingatan. Entah nama siapakah ini terus bergetar sambil perjalanan diteruskan ke KL.

"Buah tangan" inilah yang dibawa untuk menutup perjalanan kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001. Dalam beberapa tulisan saya tentang hal berkenaan ada disebut barangkali inilah nama anak pertama yang sedang dikandung isteri lama ketika itu. Sekarang biar dibuat pembetulan. 

Ketika perjalanan berlaku Oktober 2001 isteri belum lagi mengandung. Ini kerana anak tersebut lahir hampir penghujung September 2002. Ketika mendapat berita isteri telah mengandung beberapa bulan kemudian memang saya ada merasakan itu adalah nama anak. Tetapi ternyata yang keluar adalah bayi perempuan. Dah tu siapa pula Muhammad Al-Aminul Rasyid yang namanya terbit di tengah jambatan ketika menyeberangi Sungai Perak?

Masuk tahun 2003 saya tidak lagi bersama isteri lama. Ketika itu saya sudah lebih setahun asyik keluar berkelana ke sana ke mari tanpa mempedulikan lagi kehidupan biasa lalu ada masanya kelihatan tidak terurus seperti orang gila. Awal tahun 2004 perkelanaan demi mencari jawaban kepada makna diri dan tujuan hidup membawa ke Aceh, tanah asal nenek moyang belah bapa beratus tahun lalu. Sekembali dari situ tergerak untuk menulis buku lalu terhasillah siri novel "Berpetualang ke Aceh" yang buku pertamanya terbit Jun 2006.


Pada mulanya tulisan hendak dibuat secara straight forward bagi menceritakan pengalaman perjalanan berserta cerita-cerita sejarah yang dapat digali dalam perjalanan. Kemudian saya dinasihatkan agar mengubahnya menjadi bentuk novel. Pengalaman sebenar hidup yang mengandungi banyak perkara pelik dibuat kelihatan seperti fiksyen. Apabila hendak memilih nama mewakili watak sebenar diri teringatlah nama Muhammad Al-Aminul Rasyid lalu itulah yang digunakan. Rasanya ia mula dimasukkan dalam penulisan cerita hampir penghujung tahun 2004.

Penghujung tahun 2008 pula baru saya kembali berumah tangga. Sepuluh bulan kemudian dapat anak lelaki  lalu diberikanlah nama tersebut. Begitulah cerita nama yang diperolehi dalam perjalanan kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 menjadi nama watak dalam novel kemudian nama anak lelaki pertama.



Kembali pada hal perjalanan dari Temong ke Kuala Kangsar ke Manong dan Kampung Pulau Semat kemudian menyeberangi jambatan Sungai Perak sebelum kembali ke rumah di KL. Ia boleh dilakarkan secara ringkas seperti di atas. Jarak yang ditunjukkan oleh Google Map iaitu 278 km tidak mengambil kira pusing-pusing di bandar Kuala Kangsar juga berpatah balik dari Kampung Pulau Semat ke pekan Manong untuk mencari kenderaan masuk ke pulau. Kalau dicampur itu perjalanan sebenar harus mencapai jarak 290 km.

Campur pula perjalanan keseluruhan sebelum itu, sejak meninggalkan KL iaitu 490 km (rujuk Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar). Jadilah 780 km. Ini tidak cukup untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 perjalanan terjauh pernah dibuat setakat ini. Tetapi layak dimasukkan ke dalam senarai 11 perjalanan istimewa.


Merujuk pada satu ralat yang telah dikongsikan pada penghujung artikel pertama siri iaitu Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku. Sedutan berkenaan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" menyebut perjalanan kali berlaku kurang sebulan sebelum Sukan SEA tahun 2001 berlangsung di Kuala Lumpur. Bila disemak di Internet rupa-rupanya kejohanan berlangsung 8 hingga 17 September. Patutlah boleh dapat cuti seminggu untuk membuat perjalanan... kerana sudah selesai acara. 

Di sini biar hari terakhir Sukan SEA itu dicari tarikh Islamnya. Dengan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter yang boleh dicari menggunakan Google didapati tarikh 17 September 2001 adalah bersamaan 29 Jamadil Akhir 1422 Hijrah iaitu sekitar 2 bulan sebelum masuk bulan puasa Ramadhan. Disebut hal ini kerana ketika meliputi  sukan saya masih bersemangat untuk terus bekerja di NST walaupun sudah lebih setengah tahun hasil tulisan asyik disekat akibat permainan politik pejabat. Beberapa lama setelah kembali daripada ziarah ke makam-makam baru terasa hilang semangat. Ini membawa pada turutan peristiwa yang akhirnya menyaksikan saya dipecat 24 jam beberapa hari sebelum puasa.

Hal ini akan dipanjangkan dalam satu artikel khas selepas dibuat kompilasi siri. Insyaallah akan dikongsikan esok Khamis selewatnya sebelum Maghrib.


Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar

Salam pagi Rabu 24 Sya'aban. Masuk artikel ke-4 siri. Bersambung daripada  Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Mencari makam Keramat Kuala Bidor.


Selepas menginap satu malam di rumah adik perempuan bapa dekat masjid lama keluarga di Batak Rabit saya pun memulakan perjalanan untuk menziarahi lagi makam-makam lama. Hal ini ada diceritakan agak panjang lebar dalam Bab 12 buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007). Biar dikongsikan dengan tambahan tajuk-tajuk kecil bagi memudahkan pembaca.


---------------


ANTARA LAKSAMANA DENGAN RAJA...

Almarhum Nenek pernah menyebut, beliau dan suaminya Atuk Perak memiliki moyang yang sama iaitu Keramat Kuala Bidor. Mereka  berdua berasal dari Teluk Intan, Perak dan merupakan saudara rapat, kalau tak silap dua pupu. Maklumlah, orang dahulu biasa berkahwin  saudara-mara...

Katanya: “Atuk Perak sebelah Laksamana. Nenek yang sebelah raja.”

Semasa itu, anak muda ini tidak faham langsung maksudnya. Kenapa Nenek membahagi-bahagikan suaminya kepada sebelah Laksamana dan beliau sebelah raja? Bukankah mereka bersaudara? Bukankah Atuk Perak juga mempunyai kaitan dengan kerabat diraja Perak? Apakah perlu ada garis pemisah? Bila Rasyid bertanya lagi, itu juga jawaban yang diberi. Kemudian beliau menyambung, keluarga sebelahnya berasal daripada Batubara lalu berpesan, jika sampai ke Sumatera, singgahlah ke sana.  Katanya, masih ada saudara mara... Kalau berkesempatan, carilah mereka.

Menurut salasilah keSultanan Perak hasil kajian Barat yang digunakan Rasyid untuk menelusuri sejarah keluarga, kaitan dengan Batubara ini cuma muncul melalu perkahwinan Sultan Perak ke 23, Sultan Ja’afar Safiuddin Muazam Shah (memerintah 1857-1865) dengan Wan Mahtra, anak Datuk Muda Wan Abdul Rahman bin Maharaja Lela Ngah Hassan, Orang Suku Laksamana Batubara. Dari perkahwinan inilah terbitnya Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles, Sultan yang menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 sebelum menyedari dirinya tertipu. Baginda pun terlibat membunuh Residen Inggeris J.W.W. Birch di Pasir Salak.

Selepas perjumpaan dengan Nenek dan perbualan mereka mengenai asal-usul keluarga Oktober 2001, pemuda itu pergi ke Perak untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor serta makam keluarga Laksamana yang mengandungi makam Atuk Perak di Teluk Intan. Kemudian dia memohon Allah Subhanahuwata’ala supaya memberi petunjuk kaitan sebenar keluarganya dengan keSultanan Perak lalu mendapat gerak untuk berkelana memudiki kanan Sungai Perak menghala ke Kuala Kangsar. 

Memandangkan terdapat hampir 30 buah makam Sultan-sultan Perak di sepanjang perjalanan, Rasyid membuat keputusan untuk  melawat makam tertentu sahaja. Tetapi dia tidak tahu makam mana yang patut diziarahi lalu memohon Allah agar diberi gerak rasa tanpa diduga...  Cukuplah sekadar dapat melihat kaitan sebenar keluarga dengan kerabat diraja Perak.    

     

MEMBUKA SECARA TIDAK SENGAJA DI KAMPUNG TERENGGANU   

Pada hari pertama berjalan mencari makam menunggang motosikal kesayangan, Rasyid tersesat di tengah bandar Teluk Intan. Tanpa dirancang, dia sampai ke tepian Sungai Perak berdekatan Jalan Mak Intan lalu masuk ke Kampung Terengganu... Terus terjumpa makam Sultan ke 22, Sultan Abdullah Muhammad Shah (bukan yang dibuang ke Pulau Seychelles tetapi yang memerintah 1851-1857) atau Marhum Durian Sebatang.  

Selepas berjaya menemui jalan keluar menghala ke Kampung Gajah, Rasyid tergerak untuk memasuki sebuah lorong di  Kampung Air Mati, Lambor Kanan... Sampai pula ke makam Sultan Perak ke sepuluh, Sultan Muzaffar Shah II atau Marhum Jalilullah lalu singgah sebentar.

Sebenarnya Pak Uteh, suami kepada adik ayah di Teluk Intan ada menyarankan supaya melawat sebuah makam di sekitar Lambor Kanan. Cuma dia tak tahu makam siapakah itu dan belum pasti jika mahu singgah. Lagipun sekitar kawasan itu sahaja terdapat beberapa makam Sultan termasuk Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah I (memerintah 1528-1549) dan Sultan ke 13, Sultan Muzaffar Shah III (memerintah 1728-1754)...  Maka apakah yang membuat Rasyid terpanggil untuk pergi ke makam Sultan Muzaffar Shah II? Apakah kerana ia terletak di kawasan kebun yang terpencil? Tidak seperti kebanyakan makam yang pernah diziarahinya, makam itu adalah satu-satunya kubur di situ. Di batu nesan bahagian kepala pula terdapat sebuah busut besar yang agak menakutkan...

Apabila pemuda itu melangkah masuk kawasan makam, tiba-tiba angin menderu kuat sehingga daun-daun jatuh berguguran seperti hendak ribut. Nasib baik ia reda apabila dia memberikan salam lalu menghadiahkan Fatihah. Apakah makna di sebalik kejadian itu? Mungkin ada kaitan dengan pencarian Rasyid untuk memahami erti dirinya yang sejati?

Paling menarik dalam perjalanan ini adalah penemuan tidak sengaja makam Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah I di Kota Lama kanan yang akan memberikan jawaban kenapa keluarga Nenek boleh berasal daripada Batubara atau Batu Bahara yang terletak di Sumatera, hampir 400km di selatan Aceh. Ini berlaku ketika menunggang motosikal besarnya melalui Sayong, Kuala Kangsar sehingga melepasi projek jambatan baru Sungai Perak yang belum siap ketika itu. 

Setelah berjalan sekitar dua kilometer melepasi projek jambatan, tiba-tiba sahaja Rasyid terasa gelisah amat. Dia mesti melihat kuala Sungai Sayong... Kalau tidak, rasa tidak puas hati, terkilan. Tak tahulah kenapa…

Pemuda itupun berpatah kembali menghala ke Sayong. Apabila sampai ke sebuah lorong  menghala ke  tebing Sungai Perak, tergerak pula untuk masuk ke penghujung sampai ke sebuah kebun jagung. Di situ, Rasyid terjumpa seorang tua yang kelihatan sibuk mengerjakan kebun lalu bertanya arah manakah kuala Sungai Sayong. Beliau menuding ke arah hujung kebun... “Di belakang kebun inilah terletak kuala Sungai Sayong,” katanya. 

Anak muda itu terus bergegas berjalan kaki menyusuri sempadan kebun. Ternampaklah kuala Sungai Sayong bertemu dengan Sungai Perak... Lebih kecil daripada kuala Sungai Gombak di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Tidak ada apa yang istimewa, sekadar kuala sungai yang berlumpur.

Demi memuaskan hati, Rasyid berjalan lagi sampai betul-betul ke kuala yang berlumpur itu. Dia berdiri sejenak menghirup udara lalu menyentuh sedikit air kuala. Barulah terasa puas hati... Semasa keluar dari kebun, orang tua tadi masih ada. Pemuda itu tergerak pula untuk bertanya jika ada apa-apa cerita pelik mengenai kawasan ini. Orang tua itu menjawab tidak jauh dari situ, terdapat sebuah masjid yang didirikan di atas tapak sebuah masjid lama. Masjid lama itu pernah cuba dibakar pihak Inggeris tetapi tidak tahulah apakah sebabnya, api tidak dapat dinyalakan... 

“Mungkin berkat orang alim  yang duduk di situ?” tambahnya.

Rasyid bertanyakan arah ke masjid ini lalu bergegas ke sana. Sampai sahaja di perkarangan masjid, kelihatan sebuah makam besar yang agak terserlah di kawasan perkuburan halaman masjid selain sebuah meriam lama yang kelihatan antik. Makam ini memang nampak menonjol lain dari yang lain... Dia pun berkira inilah makam orang alim yang barakahnya telah menyebabkan masjid itu terselamat daripada dibakar Inggeris. Eloklah singgah sebentar untuk memberi salam dan menghadiahkan Fatihah.

Sedang pemuda itu berjalan ke makam tersebut, tiba-tiba timbul  rasa hendak membuang air kecil pula. Dia terus bertukar arah ke tandas demi melangsaikan hajat... Dengan masih memakai but kulit menunggang kuda yang tingginya sampai ke lutut, hadiah daripada Pasukan Polis Berkuda Putrajaya semasa bertugas sebagai wartawan dahulu, but yang kadang-kala dipakai ketika menunggang motosikal jarak jauh. 

Rasyid cuma mahu singgah sebentar di masjid itu sebelum meneruskan perjalanan.  Malas hendak membuka but kerana memakan masa, banyak sangat buckle, pengancing atau ikatan yang perlu dileraikan, kemudian mesti diikat kembali kemas. Selesai itu, dia mencuci but di sebelah luar, setakat untuk memastikan tidak ada percikan najis yang terlekat. Entah kenapa, keluar sahaja daripada tandas, pemuda itu terasa seperti stokinnya lembab... Sedangkan but itu kalis air dan tingginya sampai ke lutut...

Mula-mula Rasyid buat tak tahu. Terus berjalan ke makam lalu berdiri sejenak untuk menghadiahkan Al-Fatihah. Selepas itu baru berpatah balik ke kawasan tandas dan tempat berwuduk untuk membasuh muka. Tetapi makin dibiarkan makin terasa tidak selesa. Stokin itu masih terasa lembap malah basah sedangkan pemuda itu pula makin terasa gelisah.

Mahu tidak mahu, terpaksa juga dibuka but dengan pengancingnya satu demi satu. Satu di buku lali, tiga di bahagian atas. Kanan campur kiri, lapan pengancing kesemuanya. Itupun perlu dibuka perlahan-lahan disebabkan bahagian lidah yang panjangnya sampai ke lutut agak keras... Rasanya adalah dekat lima minit baru dapat membuka but seluruhnya… 

Bila sudah dibuka, tenyata tiada bahagian yang basah baik dalam but atau stokin mahupun mana-mana di kaki kiri dan kanan. Ah... dia kena tipu agaknya. But ini kalis air, kenapa pula boleh terasa basah di dalam? Tapi siapa pula hendak menipunya? Bukankah ini tempat orang alim? Tiba-tiba hatinya terbetik. Mungkin pemuda itu perlu masuk ke masjid? Nampaknya begitulah... But sudah dibuka, stokin pun sudah. Apa salahnya masuk ke dalam sebentar? Lagipun dia sedang letih, boleh juga berbaring…

Rasyid masuk membawa beg galas besar yang selalu menjadi teman kembaranya di jalanan. Kalau tak silap ingatan, semasa itu pagi, baru jam 11... Ada banyak masa untuk sampai ke destinasi sebenarnya hari itu iaitu makam Tok Temong di utara Kuala Kangsar. Dia pun keluar mengambil wuduk... Buat solat Tahiyatul Masjid kemudian berbaring di tengah masjid, berbantalkan beg galas. Tup... tup... terus  pemuda ini terlelap...

Sejam kemudian, baru Rasyid tersedar. Dalam keadaan sedikit mamai  akibat baru bangun tidur, matanya mula melilau melihat sekeliling masjid. Tiba-tiba pandangannya terpaku ke satu bahagian tertentu, satu saf di belakang  sejadah yang menandakan tempat imam,  sekitar lima makmum ke kanan. Eh... Batu nesan! Benarkah apa yang dilihat?  Kenapa boleh berada di  dalam masjid? Sebatang pula itu, bukannya sepasang! Apakah dia sedang bermimpi atau diberikan sebuah bayangan? Ketika itu tidak ada orang lain di dalam masjid. Apakah dia sahaja yang boleh nampak? 

Pemuda ini menggosok-gosokkan kedua-dua  biji matanya... Batu nesan itu masih kelihatan. Dia pun bangun untuk meneliti lebih dekat. Batu nesan itu terasa solid, kukuh dan nyata bila dipegang. Ia  tertanam kukuh ke lantai masjid, tidak boleh digoyang-goyangkan…

Apapun, samada batu nesan itu betul-betul wujud atau tidak, Rasyid terasa perlu untuk membacakan Surah Al-Fatihah dan Ya Sin, dihadiahkan kepada pemilik batu nesan yang dia pun tidak tahu entah siapa… Mungkin orang alim yang disebut orang tua tadi? Bagaimana pula makam di luar masjid? Yang mana satu milik orang alim yang dimaksudkan?

Dipendekkan cerita, memang terdapat sebuah batu nesan terpacak di dalam Masjid Kota Lama Kanan... Rasyid dapat tahu apabila beberapa orang penduduk tempatan sampai ke masjid untuk menunaikan solat Zohor. Merekalah yang menyatakan batu nesan tersebut adalah milik Sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah ibni Almarhum Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1549-1577). Tetapi ini bukan bermakna baginda mangkat di situ. Ia sekadar menandakan tempat baginda ghaib sahaja...

Sultan Mansur Shah dikatakan ghaib ketika sedang menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Sebab itu tempat baginda ghaib ditandakan dengan sebuah batu nesan, bukannya sepasang. Kata salah seorang ahli jemaah masjid pula, ada cerita lama menyebut baginda hilang diculik tentera Aceh. Sejarah rasmi yang dibaca Rasyid ada menyatakan Aceh pernah menyerang Perak sekitar tahun 1570an atau 1580...  Lebih tepat lagi selepas 1577  yang dianggap sebagai tahun kemangkatan Sultan Mansur Shah. Tidak tahulah pula bagaimana baginda boleh diculik di tengah-tengah orang ramai yang menunaikan solat Jumaat... Ada pula yang berkata ia berlaku atas permintaan Sultan Mansur sendiri yang mahu meninggalkan Istana Perak! 


 ----------------

Sekarang biar dikongsikan gambar-gambar berkenaan daripada artikel-artikel lama saya :-



Papan maklumat di makam Sultan ke-22 Perak di Kampung Terengganu. Daripada artikel Jalan-jalan cari makam 1... tahun 2007.



Makam Sultan ke-10 Perak dekat Bota Kanan. Daripada artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan di sekitar Bota tahun 2010.




Batu nesan tunggal yang menandakan tempat Sultan ke-2 Perak ghaib ketika solat Jumaat, dalam masjid Kota Lama Kanan di Kuala Kangsar. Daripada artikel Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Kota Lama Kanan dan Bukit Chandan tahun 2013.



Makam Tok Temong ke utara Kuala Kangsar. Daripada artikel Tok Temong dan dua Sheikh di Kuala Kangsar tahun 2016. 




Perjalanan ini boleh dilakarkan secara ringkas dalam peta  Google Map sebagai sebegini rupa. Cuma tidak dimasukkan sekali lakaran perjalanan pusing merata ketika tersesat jalan di Teluk Intan sehingga dengan tidak sengaja boleh terjumpa makam Sultan ke-22. Tidak dimasukkan juga hal bahawa selepas menziarahi makam Tok Temong saya ada masuk berjalan-jalan di bandar diraja Kuala Kangsar hingga ke Bukit Chandan dekat 13 km dari makam. Kemudian naik kembali ke sekitar makam Tok Temong untuk bermalam di surau berdekatan.  Dicampur ini perjalanan sebenar hari itu harus mencapai 170 km. Dicampur pula perjalanan sebelum itu iaitu sejak meninggalkan Kuala Lumpur (rujuk Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Mencari makam Keramat Kuala Bidor) sudah jadi 490 km.





Selasa, April 06, 2021

Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Mencari makam Keramat Kuala Bidor

OK. Meneruskan dengan artikel ke-3 siri. Bersambung daripada Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek.


Gambar daripada artikel KKB-Fraser-Raub-JB dan sedikit luahan rasa tahun 2020 ini menunjukkan satu daripada banyak selekoh yang terdapat di laluan potong Kuala Kubu Baru ke Raub. Laluan ini boleh membawa naik ke puncak Bukit Fraser (lebih 4,000 kaki dari para laut). Ia sudah banyak kali diambil menggunakan kereta juga motosikal besar kesayangan, dengan bas pun pernah. Laluan sama tetapi dari arah berlawanan pernah digunakan ketika kali pertama berziarah ke makam-makam lama tahun 2001.

Adapun buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006)  telah  menyebut ringkas bahawa selepas menginap tiga malam di rumah Nenek saya pun bergegas ke Perak untuk mencari makam moyang utama yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Tidak diceritakan bahawa laluan ini telah diambil untuk memotong ke negeri kelahiran ayah saya itu. Sampai di satu selekoh berdekatan simpang naik ke puncak Bukit Fraser motosikal menghadapi masalah enjin tak boleh hidup. Sudah lupa apakah enjin mati ketika menunggang atau tak boleh hidup setelah dihentikan untuk berehat. Yang ingat sudah lewat petang. 

Nasib baik dapat dihidupkan setelah lama mencuba. Lalu perjalanan disambung ke Kuala Kubu sebelum naik ke Tanjung Malim lalu masuklah ke negeri Perak. Setelah beberapa lama sampai ke Kampung Bahagia di Teluk Intan di mana makam Keramat Kuala Bidor dikatakan masih wujud di satu tanah perkuburan terpencil. Ketika sampai di kampung rasanya sudah jam 9 malam. Sudah lupa bagaimana boleh tahu letaknya di kampung itu. Mungkin Nenek ada memberitahu kerana pernah pergi semasa menetap di Teluk Intan pada zaman muda.


Tapi itu setakat sampai ke kampung, belum tahu lokasi tepat makam. Entah bagaimana hendak mencari apa lagi dalam kegelapan malam? Nasib baik terjumpa dengan sekumpulan budak sekolah sedang menunggang basikal lalu bertanya. Mereka ini yang menunjukkan jalan sehingga sampai ke denai melalui ladang kelapa sawit menuju ke tanah perkuburan. 

Setelah bertanya bagaimanakah rupa makam saya pun berjalan kaki bersendirian dalam kegelapan meredah jalan bersemak ladang sekitar 100 meter untuk ke makam. Alhamdulillah dapat juga menemui, tak ingat apakah ada membawa lampu picit atau bagaimana. Namun bila difikirkan kembali pelik pula rasa bagaimana budak-budak ini tahu kedudukan dan rupa makam? Ke ada bertanya pada orang dewasa tempatan yang kebetulan ada lalu di tempat sama? Lalu dia menerangkan harus ke tempat sekian sekian, baru budak-budak boleh menemani menunjukkan jalan? 

Apapun itulah kali pertama sampai ke makam Keramat Kuala Bidor. Seingat saya itulah juga kali pertama menziarahi mana-mana makam lama. Keluar dari tanah perkuburan dan ladang tengok-tengok motosikal tidak boleh dihidupkan. Apabila dicuba beberapa kali tapi masih tak hidup juga saya pun  menolak menghala keluar ke jalan besar. 

Budak-budak sekolah yang menunggu ketika saya masuk ke tanah perkuburan ikut sekali sambil saya seorang diri menolak motosikal hingga ke masjid Kampung Bahagia di tepi jalan besar. Adalah juga dalam 1.5 km menolak, nasib baik jalannya mendatar. Saya pernah beberapa kali merasa menolak motosikal tersebut naik lereng bukit. Teruk wooo berat dekat 200 kilogram nak tolak sambil menjaga keseimbangan kenderaan.



Malam itu saya menginap seorang diri di masjid. Rasanya itulah kali pertama betul-betul bermalam di masjid, bukan sekadar singgah pada lewat malam. Esoknya selepas solat Subuh ada ahli qariah masjid bertanyakan datang dari mana? Ada apa sampai menginap di masjid? Saya pun menceritakan hal mencari makam kemudian motosikal tak boleh hidup. Beliau membawa ke rumahnya di kampung lalu menyuruh saya berehat sambil bateri motosikal dicas dengan alat berkenaan.

Tidak lama kemudian kami dan seorang kawan beliau pergi ke makam Keramat Kuala Bidor. Lupa apakah atas ajakan beliau atau saya yang meminta untuk mendapatkan kepastian apakah makam yang diziarahi dalam kegelapan tepat milik almarhum? Kami berjalan kaki dari rumah. Gambar atas menunjukkan makam  seperti diletakkan dalam artikel Salam ukhuwah untuk semua anak cucu Keramat Kuala Bidor dan Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam! tahun 2008. 

Saya ingat kami pergi sambil membawa parang panjang untuk kegunaan menebas lalang dan sebagainya. Teringat semasa kembali ke rumah saya yang memegang parang sambil orang berbangsa Cina keluar masuk ke kawasan kebun berdekatan. Apabila kawan ahli qariah menyatakan kebimbangan tentang hal itu beliau memberitahu lebih kurang begini : "Biarlah. Anak cucu nak lalu tu". Mungkin beliau faham keadaan saya yang sedang mencari suatu macam wasilah kerohanian. Kalau benar anak cucu Insyaallah ada jagaan lalu tidak boleh diganggu gugat orang.


Selepas bateri cukup cas lalu motosikal dapat dihidupkan saya pun meminta diri untuk pergi ke bandar Teluk Intan kemudian ke kampung Batak Rabit di mana terletaknya masjid lama atas tanah wakaf kaum kerabat dan tanah perkuburan yang dikhaskan untuk kami sahaja. Tempat ini saya sudah lama tahu kerana pernah sampai bersama ayah ketika menziarahi saudara mara. Saya sudah lama tahu keluarga kami ada kaitan dengan istana, cuma baru kali ini mahu betul-betul mengambil tahu. Saya pun menziarahi makam datuk iaitu ayah kepada ayah saya juga makam moyang dan saudara mara. Kemudian baru pergi ke rumah seorang adik perempuan ayah berdekatan masjid.

Gambar atas daripada artikel Misi Teluk Intan-Beruas - Mesyuarat masjid keluarga dan 7 makam kemudian menunjukkan rupa masjid ketika kali terakhir bertandang iaitu pada penghujung tahun 2020. Dahulu rupa dan seni binanya lebih klasik. Begitulah keadaannya ketika bertandang tahun 2001. Maklumlah telah berusia lebih 100 tahun. Beberapa tahun selepas itu ia dibesarkan lalu terbinalah bahagian yang kelihatan agak moden tetapi kurang berseni dalam gambar. Nasib baik ada beberapa bahagian lama dikekalkan. Ini termasuk dewan solat asal dengan empat tiang seri kayu yang menandakan kawasan. Di situlah saya sering bermunajat apabila bertandang termasuk ketika kali pertama ke makam-makam lama hampir 20 tahun lalu.



Dari rumah ibu saudara bermulalah fasa seterusnya menziarahi makam-makam. Tetapi biarlah disimpan ceritanya untuk artikel akan datang. Sebagai mengakhiri segmen biar dilakarkan peta perjalanan dari rumah Nenek membawa ke makam Keramat Kuala Bidor membawa ke masjid keluarga di Batak Rabit. Menurut Google Map jaraknya adalah 196 km. 

Dicampur jarak ada berjalan-jalan di bandar Teluk Intan dan sebagainya harus lebih 200 km. Dicampur pula jarak perjalanan sebelum ini iaitu dari Kuala Lumpur ke rumah Nenek (lihat Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek) dan jalan-jalan di Raub dan sebagainya ketika menginap tiga malam harus mencapai jumlah sekurang-kurangnya 320 km...


Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Petunjuk daripada Nenek

Alhamdulillah. Artikel ini dapat disiapkan lebih awal daripada yang dijangkakan lalu boleh dipersembahkan sebelum Zohor. Maka bersambunglah cerita daripada artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku.


Adapun artikel terdahulu yang ada menggunakan cerita daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) telah diakhiri dengan perenggan-perenggan ini :-


Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma Nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.

Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah Nenek.


Sekarang biar ditambah lagi cerita berkenaan yang tertera dalam bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor". 

Lakaran laluan perjalanan ke rumah Nenek di Raub, Pahang. Ketika itu saya duduk menyewa bersama isteri lama di Pangsapuri Nilam, Segambut. Sambung cerita daripada  buku...


Sampai sahaja di sana, Nenek telah bersedia menyambut mesra. Wanita yang telah melepasi umur 70an itu tetap seperti dahulu, dengan senyuman manis tidak pernah lekang di bibir dan mata redup bercahaya, masih suka berkain batik dengan baju kurung Kedah. Walaupun cucu sulungnya sudah lama tidak menjenguknya, Nenek tidak pernah berkecil hati. Malah airmukanya kelihatan lebih senang daripada dahulu, seolah-olah memang menunggu dan menjangkakan kedatangan anak muda itu.

Muhammad Al Aminul Rasyid menunggu sehingga selesai makan tengahari sebelum mengemukakan apa yang sudah lama terbuku di hati. Dengan menceritakan mimpi ganjilnya yang melibatkan keSultanan Perak serta kaitannya dengan akhir zaman. Bayangkan selepas begitu lama tidak berbual dengan Nenek malah seumur hidup tidak pernah mengambil tahu  tentang negeri kelahiran ayah, tiba-tiba  dia boleh muncul kembali dan bertanyakan cerita-cerita lama tentang Perak. Yang peliknya Nenek tidak hairan pun malah tersenyum berseri-seri pula. Seolah-olah sudah sampai masa cucundanya mengenali asal-usul diri, sudah sampai waktu bersedia untuk memikul amanah keluarga. Apalagi, Nenek pun membuka cerita...


Gambar daripada artikel Ke Janda Baik dan Raub sebelum Ramadhan tahun 2011 ini menunjukkan rumah Nenek. Cerita seterusnya dalam buku adalah tentang watak yang sebenarnya adalah seorang moyang utama saya yang hidup ratusan tahun dahulu. Ia ada dikongsikan dalam artikel bertajuk Keramat Kuala Bidor pada tahun 2006 lalu tidak perlu dipanjangkan di sini. Oleh itu biar melompat ke cerita berikut dalam buku...

------------------


Selepas bermalam tiga hari di rumah Nenek, pemuda itupun meminta diri lalu bergegas ke Perak untuk mencari makam hamba Allah itu yang terletak terpencil di dalam sebuah ladang kepala sawit. Kemudian dia  mengikut gerak hati  berkelana sekeliling negeri lalu melawat mana-mana makam-makam lama yang terasa ingin diziarahi. Dalam keadaan tidak dirancang itulah Rasyid terjumpa makam  Sultan ke-2 Perak, Sultan Mansur Shah (memerintah 1549-1577), makam Sultan  ke-10, Sultan Muzaffar Shah II (1636-1654) dan makam seorang pembesar perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong, semuanya  mempunyai kaitan dengan Aceh.

Tetapi makam Sultan Mansur lebih merupakan sebatang batu nesan yang didirikan di dalam sebuah masjid untuk menandakan tempatnya ghaib semasa bersolat Jumaat dahulu. Apapun makam-makam ini mengandungi cerita-cerita lama yang akan menjadi sebahagian daripada kepingan-kepingan  jigsaw puzzle untuk memahami dirinya sendiri nanti...            

Sayangnya, perbualan dengan Nenek itu adalah perbualan dengan Rasyid yang terakhir. Tidak sampai tiga bulan kemudian, Nenek jatuh sakit, tidak mampu berkata-kata, setakat boleh memberi isyarat dengan tangan dan mata... Lima bulan selepas itu, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, dalam pangkuan Rasyid ketika sedang dibawa kembali ke rumah dari hospital dengan ambulans.  Innalillaha innalihiraji’un.  Al Fatihah untuk Nenek. Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya. (Ampun Nek, selama ini Rasyid tidak ambil tahu banyak perkara...)

Pemergian Nenek meninggalkan rasa  terkilan yang amat sangat.  Masih banyak persoalan yang belum terjawab dan Neneklah ahli keluarga yang sebenarnya paling memahami apa yang sedang pemuda ini alami. Saudara-mara lain masih lagi teraba-raba menduga apakah yang sebenarnya ingin dicari pemuda ini... Sudahlah  ini berlaku selepas lebih enam bulan dia tidak bekerja, dipaksa berhenti atas sebab-sebab tertentu. Ramai pula termasuk isteri sendiri  menganggapnya sudah hilang akal ataupun  gila,  sibuk merantau ke sana ke mari melawat makam-makam purba mencari cerita-cerita lama sehingga sanggup meninggalkan segala-galanya...

Tahun 2002 adalah satu tempoh yang amat mencengkam jiwa. Tiga bulan selepas Nenek pergi, adik lelaki bongsu Rasyid pula maut akibat kemalangan jalan raya. Ini berlaku sehari selepas isteri  pemuda itu melahirkan anak pertama mereka. Tidak cukup itu, seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri, ibu kepada bondanya, orang yang dipanggil “Mak” kerana menjaga dan membesarkannya sejak kecil turut serta menyambut panggilan Ilahi. 

Ketika itu, anak muda yang  mula kelihatan seperti orang sasau dengan penampilan tidak terurus akibat terlalu taksub mengembara mencari jawaban di samping  memendam rasa sedih yang mencengkam jiwa akibat musibah yang kunjung tidak putus baru setakat tahu bahawa Keramat Kuala Bidor itu mempunyai kaitan dengan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan  kerajaan Samudera Pasai abad ke 13 Masihi. Tetapi hamba Allah ini bukan berasal dari kerajaan tersebut. Kerana beliau hidup hampir 1,000 tahun lalu! Masih belum terjawab  persoalan yang Nenek kemukakan dahulu...

Awal tahun 2003, selepas lebih setahun mencari dan mengembara  lagi, barulah dia faham maksud Nenek. Mengapa beliau menyebut Keramat Kuala Bidor berasal dari keturunan orang baik-baik, dan siapakah orang baik-baik yang dimaksudkan... Rasyid juga dapat tahu hamba Allah ini berasal daripada sebuah keSultanan purba yang telah wujud 400 tahun lebih dahulu daripada Samudera Pasai dan 600 tahun sebelum Melaka iaitu Perlak.  Pencarian ini telah memperkenalkannya kepada sejarah keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi. Lalu terbukalah kaitannya dengan perjuangan  Samudera Pasai  untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur, perjuangan yang akan diwarisi Melaka seterusnya Aceh nanti.

Lebih penting lagi, sejarah penubuhan Perlak berkait pula dengan pergolakan empayar Islam di Timur Tengah melibatkan  kerajaan-kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Dari sinilah, Rasyid mula mengenali siapakah itu Imam Ja’afar Al-Sadiq yang sangat diagung-agungkan pengikut Syiah, juga tokoh-tokoh lama Islam seperti Muhammad Nafs Al-Zakiyah yang pernah mewarnai persada politik Islam di Baghdad.

Lalu anak muda ini  dibawa menelusuri perjuangan anak cucu Rasulullah SAW, para Ahlul Bait yang penuh ranjau dan duri, lebih-lebih lagi kisah suka-duka  keturunan cucu sulung baginda iaitu Saidina Hassan, kisah perjuangan yang entah mengapa, banyak digelapkan sejarah lalu hilang ditelan zaman. Dan sekarang Rasyid mahu ia didedahkan kerana pemuda ini percaya ia berkaitan dengan kesejahteraan umat Islam juga...


----------


Cerita yang dikongsikan ini sebenarnya sudah melangkaui skop perjalanan kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001. Ini kerana turut diceritakan apa yang berlaku pada tahun 2002 diikuti 2003. Tetapi sengaja ia dikongsikan untuk menunjukkan tekanan hidup yang dihadapi sambil mencari makna dan erti diri. Selepas ini akan mula dikongsikan cerita perjalanan sebenar ke makam-makam lama. Kalau ada perincian berkenaan dalam buku maka akan digunakan ia. Kalau tiada biar diberikan butiran setakat dapat diingati. Insyaallah kalau sempat malam ini.


Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku


Satu gambar yang baru diterima lewat malam semalam daripada seorang kenalan lama...


Salam pagi Selasa 23 Sya'aban. Sedar tak sedar tinggal seminggu sahaja lagi sebelum kita mula berpuasa wajib bulan Ramadhan. Dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Malam terakhir di mana? yang dipersembahkan jam 8.47 malam semalam ada disebut bahawa mungkin saya akan menghubungi penunggang kuda yang pernah menjadi juara endurance dunia tahun 2001 iaitu Datuk Awang Kamaruddin untuk menunjukkan siri artikel berkenaan. Kami sudah 20 tahun tidak berhubung. Lewat malam semalam baru tergerak untuk mencari di Facebook lalu menghubungi, setelah dipaparkan Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 jam 11.15. 

Alhamdulillah beliau masih ingat saya dan apa yang berlaku ketika menaja perjalanan di Perancis hampir penghujung tahun 2000. Ternyata beliau yang kini sudah berumur 76 tahun masih sihat walaupun katanya tidak lagi menunggang kuda tetapi lebih pada mengajar orang menunggang dan menguruskan acara. Beliau menunjukkan satu gambar sedang mengajar sejumlah orang muda yang berpakaian jubah berkopiah... ada orang memanah cara tradisional sunnah di latar belakang gambar itu. Beliau juga memberitahu masih ada menyimpan gambar-gambar lama dan potongan artikel-artikel saya yang muncul di suratkhabar di The New Straits Times lama dahulu.

Inilah antara sebab saya terus menulis dan menulis terutama tentang cerita-cerita pengalaman lama. Saya percaya apabila suatu gerak penulisan sampai lalu ditunaikan sehingga selesai akan muncul suatu perkara baik tak dijangka. Tak kiralah jika tulisan itu tidak mendapat sambutan ramai ke orang nak kata syok sendiri ke asyik tulis pasal pengalaman hidup sendiri ke masuk bakul angkat sendiri ke bagaimana. Janji ditunaikan, tidak menipu dengan cara membuat karangan kreatif untuk kelihatan bagus seperti dilakukan sesetengah orang bagi mengumpul pengikut dan meraih populariti. 

Saya sekadar berkongsi apa yang benar-benar berlaku tanpa tokok tambah sebagai luahan rasa jujur diri. Maka itu saya harus lebih tahu apa yang sebenarnya terjadi berbanding menulis tentang pengalaman orang lain, kalau tak ingat atau tak pasti saya akan mengaku bukan menipu cerita. Sekarang biar dimulakan satu siri baru cerita lama perjalanan tetapi masih dalam tempoh bertugas sebagai wartawan di NST tahun 1996-2001. Walaupun cerita dijangka akan menjangkau sekurang-kurangnya 5 episod saya berharap ia dapat diselesaikan sebelum masuk malam Jumaat ini atas sebab tertentu.


Asian X Games di Kuala Lumpur tahun 2002. Selain untuk sukan berkuda saya boleh dikatakan pernah menjadi wartawan paling ke hadapan di Malaysia dalam mengenengahkan sukan berkenaan, sekurang-kurangnya bagi media arus perdana...


Ketika perjalanan ke Perancis berlaku awal November 2000 reputasi saya sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times sudah mencapai suatu tahap cemerlang malah masih meningkat naik. Saya cukup dikenali di pejabat juga dalam kalangan wartawan akhbar lain dan majalah selain memiliki hubungan baik dengan ramai VVIP termasuk para menteri dan peneraju syarikat-syarikat korporat. Saya begitu dipercayai sehingga tak sampai sebulan kembali dari Perancis terus dihantar untuk meliputi kejohanan sukan ekstrem (skateboarding, wall climbing dan sebagainya) Asian X Games di Phuket, kali ini oleh akhbar NST itu sendiri. Saya dibekalkan wang sebanyak US$2,000 (ketika itu harus hampir RM8,000) dalam bentuk travellers cheque untuk belanja sepanjang berada di sana 3-13 Disember. Saya ingat tarikh kerana ada cop berkenaan dalam paspot lama. 

Ini tidak termasuk tiket pergi balik penerbangan kerana telah ditempah oleh syarikat secara berasingan. Saya cuma ada menambah RM600 kalau tak salah untuk tiket penerbangan isteri lama kerana mahu membawanya bersama. Syarikat tiada masalah asalkan tidak mengganggu kerja. Malah katanya lebih baik membawa isteri kerana tahu Phuket memiliki reputasi tidak senonoh melibatkan perempuan. Rasanya semua orang tahu apa maksudnya ini...

Kami menginap di hotel termahal dan terbaik di pulau peranginan sehingga seorang pegawai muda tapi kanan bagi Menteri Sukan Malaysia terasa iri hati melihat keadaan kami. Ini berlaku setelah terserempak di  Phuket lalu saya mengajaknya makan secara room service di bilik kami, saya yang belanja. Terus dia menyatakan mahu meminta kementerian menukarkannya ke hotel yang lebih bagus. Kalau saya yang 'cuma' bekerja sebagai wartawan boleh mendapat hotel terbaik sebegitu kenapa tidak dia pegawai kanan yang rapat dengan menteri?

Pegawai muda yang merupakan junior setahun saya semasa zaman kolej di A Level itu dihantar untuk meninjau kerana sukan ekstrem sedang meningkat naik di merata dunia. Beliau turut menemani beberapa orang atlet sukan ekstrem Malaysia lalu mereka pun diajak sama makan di bilik hotel saya. Ketika itu kementerian sedang memikirkan mahu membawa Asian X Games ke Kuala Lumpur lalu saya ada terlibat dalam kempen untuk mendapatkannya. Dan memang pun KL menjadi hos kejohanan dari tahun 2002 hingga 2004. 

Tetapi ketika itu saya bukan lagi wartawan. Sebaliknya awal tahun  2001 bermulalah zaman suram akibat permainan politik pejabat yang mahu menjatuhkan kerjaya saya. Dalam kesuraman itulah saya  mula terpanggil untuk kembali pada agama. Lalu berlakulah perjalanan yang mahu dikongsikan cerita seterusnya.


Cerita berkenaan ada diluahkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) terutama dalam bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor". Biar dicopy paste bahagian-bahagian berkenaan. Untuk perkongsian di sini biar ditambah tajuk-tajuk kecil yang bersesuaian...


DARIPADA KEBARATAN MULA MENGGAMIT MAKNA KEMELAYUAN

Rasyid mula tahu tentang kewujudan Keramat Kuala Bidor apabila  tergerak untuk mengorek daripada almarhum Nenek cerita-cerita lama  tentang Perak. Sebelum itu, dia tidak mahu mengambil  tahu cerita-cerita sebegini malah pernah dicop keluarga sebagai seorang yang westernised, terlalu keBaratan sehingga tidak mengenal budaya bangsa sendiri... Mungkin kerana pengaruh pengajian empat tahunnya di London dahulu?

Muhammad Al Aminul Rasyid juga pernah berbangga dengan kepintaran semulajadinya mengupas pengajian Barat seperti falsafah Socrates dan Plato yang ‘ditelan’ bulat-bulat. Buku-buku ideologi Mat Saleh seperti Das Kapital dan Communist Manifesto oleh Karl Marx, Wealth of Nations oleh Adam Smith juga The Prince  karangan Nicolo Machiavelli, pemikir strategi politik Itali yang terkenal dengan ungkapan “The ends justifiy the means”, matlamat menghalalkan cara yang menjadi ungkapan  azimat ramai orang politik pernah turut menjadi ‘makanan’ hariannya. 

Pemuda itu juga memiliki sedikit ‘wajah Barat’. Jika semasa kecil dahulu,  dia sering terasa malu kerana kulit putih kemerahan dan rambut  keperangannya menyebabkan dia sering diejek sebagai “Mat Saleh Celup”, keadaan itu  menjadi terbalik apabila memasuki zaman remaja. Rupa paras yang pernah menjadi bahan ejekan dan gurauan kawan bertukar menjadi aset pujaan remaja perempuan sedangkan ramai lelaki Melayu pula sibuk untuk memutih dan melicinkan kulit serta mewarnakan rambut  supaya kelihatan seperti orang Barat yang dianggap lebih segak dan kacak.

Rasyid mula “naik syok” apabila sering dipuji memiliki rupa paras Orang Putih terutama oleh gadis-gadis cantik  walaupun sejarah keluarga menunjukkan dia tidak memiliki darah Mat Saleh. Maka itu anak kelahiran Muar, Johor ini merasa tidak perlu lagi mengambil tahu cerita-cerita lama Melayu yang sering dianggap legenda dan mitos semata. Walaupun semasa kecil dahulu dia selalu terpesona dengan kisah-kisah lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Inderaputra, di samping dongeng Barat tentang dewa-dewa rakyat Greek seperti Zeus dan Aphrodite, juga dewa-dewa Viking atau Norse Gods seperti Odin, Thor dan Loki kerana minat terhadap cerita-cerita berunsur kesaktian dan magic

Pendiriannya cuma berubah apabila perasaan keMelayuan mula meresap kembali ke dalam dirinya, perasaan halus syahdu yang dicetus CD lagu-lagu M.Nasir nyanyian Hattan terutama “Lagu Cenderawasih” yang mempunyai semacam getaran mistik keMelayuan pada satu pagi buta semasa sedang mencuci serombong dapur di sebuah restoran Melayu. Ketika itu, tahun 1995, Rasyid sedang menuntut di tahun akhir pengajian tetapi terpaksa membuat beberapa kerja seperti menyusun buku di perpustakaan universiti, menyediakan makanan, melayan pelanggan dan mencuci periuk-belanga di kafetaria University of London Union di samping menyampaikan leaflet kepada orang-ramai di hadapan kedai buku Dillon’s bersebelahan, semuanya untuk menampung perbelanjaan hidup kerana pembiayaanya telah ditamatkan akibat melanggar kontrak penaja... 

Malangnya, apabila kembali ke tanah air, dia terjebak lagi dengan suasana keBaratan yang mengenepikan nilai-nilai murni Islam dan keMelayuan. Tugas sebagai wartawan akhbar terkemuka sering membuat pemuda itu leka dengan majlis-majlis berprestij yang disertai pergaulan bebas, dihiasi wanita-wanita cantik, glamour  dan mengghairahkan ditambah pula air kencing Syaitan yang mengalir  tanpa batasan. Bayangkan parti eksklusif Formula One di kelab-kelab malam terkemuka ibukota yang dihadiri orang-orang terpilih. Dengan wanita bertaraf model yang selalu menghiasi acara-acara perlumbaan kereta turut serta melayani tetamu, segalanya ditaja syarikat-syarikat yang inginkan publisiti meluas. Tetapi dengan tidak disangka, selepas lama bergelumang dalam dunia hiburan langit terbuka zaman Internet penuh ‘kebebasan’, Rasyid mendapat sebuah mimpi ganjil yang memaksanya mengkaji cerita-cerita lama Perak seterusnya Aceh dan hal-hal berkaitan  sehingga tertulislah buku ini...


MIMPI  GANJIL DAN PERISTIWA 11 SEPTEMBER

Pada mulanya Rasyid tidak mengendahkan mimpi ini. Ketika itu, dia telah tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan sukan, sedang sibuk membuat liputan terutama acara hoki, sukan berkuda dan permotoran. Tetapi Peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan dua buah kapalterbang penumpang melanggar menara berkembar World Trade Centre  di New York menyentaknya kepada mimpi yang berlaku sebulan sebelum itu. Seolah-olah ia berkait rapat dengan peristiwa yang diyakininya adalah tanda bermula serangan besar-besaran Yahudi Zionis ke atas umat Islam yang bakal menyaksikan Perang Dunia keTiga meletus tidak lama lagi, ada kena-mengena pula dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang pernah disebut Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu.

Sebelum itu, dia  pernah terbaca risalah Protocols of the Elders of Zion yang ditemui secara tidak sengaja semasa melayari Internet di pejabat, satu set protokol yang mengandungi rancangan terperinci untuk menakluki dunia demi menerbitkan sebuah kerajaan besar sedunia yang dikenali sebagai The New World Order. Rancangan yang  diilhamkan intelektual Zionis dahulu ini turut menyenaraikan penguasaan segala bentuk media massa - suratkhabar, berita, rencana, siaran radio, program TV, hiburan dan filem-filem Hollywood untuk membentuk masyarakat leka yang mindanya senang dijajah, disertai galakan meluas terhadap sistem kewangan berasaskan riba’  yang dipelopori the international bankers juga sokongan terhadap bakal tokoh-tokoh politik yang bijak dan berkarisma  seluruh dunia tetapi kurang bermoral lalu boleh dicucuk dan ditarik hidungnya oleh Yahudi.

Pemuda yang sudah mula berjinak balik dengan tikar sembahyang  itu juga telah mengenali Freemason, rangkaian yang mengaku berdiri di atas prinsip persaudaraan manusia sejagat untuk menerbitkan ketamadunan insan mulia tetapi sebenarnya bergerak secara underground  untuk menjayakan rancangan Protocols.  Rangkaian ini disokong pula oleh Illuminati,  kumpulan elit yang terdiri daripada para bijak pandai, kaya raya dan berkuasa seluruh dunia tetapi tersembunyi seperti watak bayang-bayang yang mendokong segala komplot dalam siri televisyen popular The X-Files. 

Pandangan pengasas syarikat gergasi kereta Henry Ford dalam bukunya The International Jews yang memperincikan taktik Yahudi menguasai sistem kewangan Amerika awal abad ke 20 menguatkan lagi kewujudan rancangan teliti Zionis untuk menakluki dunia. Hati kecilnya pula berkata perkara ini telah dibayangkan secara tersirat dalam mimpinya dahulu...


MENCARI MAKNA SEMUA INI

Lebih seminggu Rasyid gelisah tertanya-tanya apakah makna semua ini. Mengapa dia merasakan Perang Dunia Ketiga yang menurut satu dokumen mengenai Illuminati adalah perang besar terakhir yang dirancang sebelum mereka dapat menakluki dunia amat dekat sekali. Malah mungkin perang itu telah pun bermula dengan peristiwa 11 September. Sepertimana Perang Dunia Pertama dan Kedua yang meragut berpuluh-puluh juta nyawa  bermula dengan konflik bersenjata kecil di Eropah Timur sebelum merebak beberapa tahun kemudian ke seluruh dunia.

Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma Nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.

Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah Nenek.


--------------


Selesai mukadimah. Cerita akan disambung dengan apa yang diberitahu oleh Nenek, Insyaallah selepas Zohor.


Ralat (ditulis pada jam 1.36 pagi Rabu 7 April 2021) : Selepas menulis sedikit isi artikel ke-5 dan terakhir siri ini bagi siaran petang nanti (sebelum itu sudah disediakan isi artikel ke-4 bagi siaran pagi) tergerak untuk menyemak kembali bilakah SEA Games 2001 berlangsung di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya pada 8 hingga 17 September. Patutlah boleh dapat cuti seminggu untuk pertama kali menziarahi makam-makam lama.

Rupa-rupanya cuti berlaku bukan kurang sebulan sebelum SEA Games tetapi selepas itu. Rupa-rupanya peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan menara berkembar World Trade Centre di New York runtuh itu berlaku ketika kejohanan berlangsung. Bermakna saya melihat ia runtuh di kaca televisyen selepas meliputi acara bagi hari itu.



Isnin, April 05, 2021

Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000

OK. Perkongsian terakhir bagi tarikh 5 April. Kompilasi artikel tentang liputan sukan berkuda.


Perjalanan diperkirakan berlaku pada awal November 2000, setelah menerima surat rasmi permintaan daripada pengarah eksekutif Bukit Kiara Equestrian Resort, Datuk Awang Kamaruddin. Beliau mahu menaja saya ke Perancis bagi meliputi satu acara sukan berkuda endurance atau tunggangan lasak. Tempatnya di pekan Montcuq sekitar 630 km ke selatan Paris. 

Saya sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times dipilih kerana boleh dikatakan sebagai wartawan arus perdana paling ke hadapan dalam meliputi lalu menaikkan sukan berkuda. Awang turut bertanding bersama hampir 130 orang dari sejauh Australia dan Brazil. Dalam acara ini semua harus menyelesaikan litar sepanjang 100 km dua kali iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Ini mesti dilakukan tanpa menyebabkan kuda cedera, tempang atau jatuh sakit. 

Selepas acara Awang membawa melawat ke beberapa ladang kuda di selatan Perancis hampir ke sempadan negara Sepanyol. Dalam tempoh 8 hari perjalanan meliputi jarak darat lebih 2,250 km. Jangan dicampur jarak penerbangan dari Malaysia ke Perancis yang melebihi 20,000 km pergi balik.


1. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Beberapa perjalanan sebagai wartawan akhbar The New Straits Times

2. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Antara dressage, showjumping dan endurance

3. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun....

4. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Persediaan untuk pemeriksaan hari Jumaat.

5. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Acara pun bermula hari Sabtu.

6. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang kuda dekat sempadan Sepanyol.

7. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang-ladang kuda membawa ke Marseille

8. Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Malam terakhir di mana?



Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Malam terakhir di mana?

Salam semua. Selepas memulakan siri kecil ini pagi Jumaat 3 hari lalu perkongsian dipercepatkan lalu sampailah kita pada artikel ke-8 merangkap artikel terakhir siri. Bersambung daripada Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang-ladang kuda membawa ke Marseille.



Termasuk 36 keping gambar sekitar perjalanan yang masih wujud dalam simpanan adalah gambar ini. Ia menunjukkan ruang tamu dan lain-lain bahagian dalam rumah bungalow sewa tempat kami menginap di Montcuq. Di atas itu ada satu sahaja bilik tidur. Di situlah saya menginap tanpa berkongsi ruang dengan sesiapa selama beberapa hari.



Beginilah keadaan dalam bilik dilihat dari tepi katil. Boleh muat satu keluarga saya sekarang dengan isteri dan empat orang anak. 



Begini rupa rumah dari luar. Nampak begitu besar. Macam tak tally dengan cuma ada satu bilik di bahagian atas.







Ini adalah gambar kami makan minum beramai-ramai pada suatu malam di ruang tamu.




Fikir saya sebelum ini ia harus berlangsung pada malam terakhir di selatan Perancis iaitu selepas melawat ladang-ladang kuda. Esoknya selepas makan malam baru bergerak ke Paris untuk mengambil pesawat kembali ke Malaysia. Tetapi apabila melihat jarak begitu jauh dari Montcuq ke ladang-ladang yang mendekati sempadan negara Sepanyol terasa mustahil kami ke ladang kemudian kembali ke Montcuq. Lebih masuk akal selepas makan malam esoknya kami check out terus dari bungalow untuk ke ladang pertama iaitu milik keluarga Just. Kemudian menyambung ke ladang-ladang lain sehingga membawa ke Marseille lebih 500 km ke tenggara Montcuq.



Hal tersebut telah telah diceritakan dalam dua artikel sebelum ini iaitu Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang kuda dekat sempadan Sepanyol diikuti Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang-ladang kuda membawa ke Marseille. Apa yang hendak ditunjukkan adalah kelihatan mustahil kami ada berpatah balik ke Montcuq setelah melawat ladang-ladang kuda sehingga sampai ke Marseille. Soalnya apakah yang dibuat setelah sampai ke sana? Saya cuma ingat sangat sedikit...



Ini adalah satu pemandangan bandar raya  Marseille waktu malam yang ditemui di Internet. Kami sampai itu memang sudah malam. Seingat saya tidak berlegar lama. Seingat saya terus bergerak jauh ke suatu tempat. Boleh jadi terus ke Paris lalu ke lapangan terbang Charles de Gaule. 



Walaupun jarak terdekat perjalanan adalah hampir 800 km lalu memerlukan pemanduan tanpa henti selama 7 setengah jam harus tiada masalah bagi Datuk Awang Kamaruddin yang menaja perjalanan ke Perancis. Beliau selamba sahaja boleh memandu kereta seorang diri ketika perjalanan lebih 600 km dari lapangan terbang ke Montcuq, boleh pula menunggang kuda sehingga 12 jam sehari dalam tempoh 2 hari pertandingan kemudian membawa saya merata tanpa menunjukkan rasa penat. 

Saya harus menyatakan rasa tabik hormat kepada beliau yang ketika itu berumur 55 tahun. Saya yang sedang berumur 30 tahun pula lebih cepat hilang tenaga walhal tidak memandu kereta mahupun menunggang kuda. Teringat ceritanya kepada saya tentang keadaannya suatu masa dahulu ketika berumur 50 tahun. Beliau pernah terlena hidup selesa sebagai orang berduit lalu diserang sakit jantung. Sejak itu tegas menjaga kesihatan, bersenam dan sebagainya untuk memastikan diri fit sentiasa. Boleh kata itulah keadaan beliau seterusnya. Tapi tak tahulah sekarang kerana kami sudah lama tidak berhubung. Mungkin akan cuba dihubungi untuk menunjukkan siri artikel ini.

Dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang-ladang kuda membawa ke Marseille ada disebut bahawa aktiviti-aktiviti yang diceritakan di situ harus berlaku pada hari Rabu iaitu setelah 7 hari berada di Perancis. Tarikh yang diperkirakan ini berlaku adalah 8 November 2000. Melihat pada kedudukan dan keadaan memang ada kemungkinan besar selepas itu kami bergerak terus ke Paris lalu ke lapangan terbang. Mungkin ada berhenti rehat di mana-mana. Mungkin juga ada tidur di hotel selama 2-3 jam. Rasa macam ada tapi tak pasti. 

Apapun besar kemungkinan kami mula menaiki pesawat pada suatu waktu hari Khamis 9 November. Awang ini jenis orang yang tidak membuang masa - Hendak masuk melihat-melihat ke dalam kawasan pusat bandar raya Paris pun tak ada walhal sudah cukup dekat. Nasib baik saya pernah sampai 5 tahun lebih awal. Rujuk artikel Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995.

Yang jelas kami harus tidak menunggu sehingga hari Jumaat 10 November untuk berlepas. Namun harus sampai ke Malaysia pada suatu waktu hari Jumaat kerana seperti disebut dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun...  penerbangan ada membuat satu persinggahan lalu memakan masa keseluruhan lebih 16 jam. Campur pula perbezaan waktu 7 jam antara Malaysia dan Perancis dah jadi hampir 24 jam. Ini bermakna pada jam berapa kami berlepas pada sekitar waktu itu juga kami sampai keesokan harinya.



Harus esok yang seterusnya iaitu pada petang Sabtu 11 November masuk kembali bertugas di pejabat kerana sudah begitu kebiasaannya di meja sukan. Cuti saya cuma pada hari Rabu setiap minggu. Pada hari-hari lain harus memunculkan diri jam 3 petang untuk syif selama 8 jam kalau tiada tugasan di luar. Kebetulan terjumpa gambar menunjukkan keadaan di meja berita utama NST pada tarikh 11/11/11. Ini adalah tepat 11 tahun kemudian!

Sekadar memberitahu pada tarikh tersebut saya dan isteri sekarang (bukan isteri semasa ke Perancis tahun 2000) berserta seorang anak sedang berada di Aceh. Ketika itu siang Jumaat kami sedang mengorak langkah menaiki beberapa pengangkutan awam dari makam Sultan Malikus Saleh di Geudong, Lhokseumawe menuju ke kota Sigli untuk pertama kali menziarahi makam seorang moyang yang ada berdarah kerabat diraja Bugis. Lihat artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh

Tapi katakanlah pengarang membenarkan untuk berehat satu hari di rumah atas dasar kasihan baru lepas melakukan perjalanan jauh (naik kapal terbang pun lebih 10,000 km dari Perancis). Maka Ahad 12 November baru masuk kerja. Namun pada hari itu juga harus menyiapkan laporan atau rencana tentang acara di Perancis walaupun tidak disiarkan segera. Maka sama ada kembali bekerja pada 11 atau 12 November tetap bersesuaian dengan fakta bahawa rencana disiarkan pada tarikh 15 November. Lihat Equestrian endurance in France di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Sebagai mengakhiri artikel biar dibulatkan jarak terdekat perjalanan dari Marseille ke lapangan terbang iaitu 796 km menjadi 800 km. Kemudian campurkan dengan jarak keseluruhan perjalanan di Perancis sebelum itu seperti dinyatakan dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Ladang-ladang kuda membawa ke Marseille iaitu 1,450 km lalu jadilah 2,250 km. Walaupun boleh jadi perjalanan sebenar melebihi 2,300 km kerana ada masuk jauh ke kawasan pendalaman tetapi tidak difaktorkan dalam lakaran perjalanan, walaupun sebetulnya jarak keseluruhan boleh dicampur pergi balik rumah di Kuala Lumpur ke KLIA iaitu lapangan terbang antarabangsa di Sepang (harus mencapai 140 km itu) biar  diisytiharkan ia sebagai melebihi 2,250 km sahaja. Ini cukup untuk meletakkannya sebagai antara 15 perjalanan terjauh saya (berdasarkan kiraan atas darat) setakat ini.

Sekian cerita perjalanan di Perancis bagi meliputi sukan berkuda tahun 2000. Selepas ini akan dibuat satu artikel kompilasi bagi mengumpulkan pautan semua artikel berkenaan kemudian baru masuk cerita perjalanan seterusnya. Cerita akan datang ini harus lebih emosional kerana berlaku fasa kesuraman kerjaya sebagai wartawan akibat politik pejabat mahu menjatuhkan. Tetapi ia membuka jalan pula bagi pencarian kerohanian yang lebih bermakna sehingga jadilah diri seperti pada hari ini. Tunggu.