Selesai misi di Kuala Kangsar, kami mengambil jalan ke Beruas/Parit/Lumut.
Destinasi kali ini terletak selepas pekan Manong. Sebelum sampai, terlihat masjid yang agak menarik ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Mukhlisin, Manong, Perak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Jalan ini membawa simpang masuk Kampung Semat...
Di kampung terdapat jeti untuk masuk ke Pulau Semat, sebuah pulau sepanjang lebih 2 km yang terletak di tengah Sungai Perak...
Namun tidak kelihatan satu pun bot atau sampan di Kampung Semat. Sebaliknya saya diberitahu lebih senang untuk mendapatkan bot di Manong. Terpaksalah kami berpatah-balik 2 km ke jeti sana. Teringat penghujung tahun 2001 ketika saya pertama kali tergerak untuk menziarahi makam-makam lama dengan menunggang motosikal besar. Dari Kuala Kangsar saya telah singgah ke Kampung Semat untuk mendapatkan pengangkutan ke Pulau Semat. Lalu saya diberitahu tidak ada sesiapa pun mahu ke sana...
Di jeti Manong saya menerima nasib yang serupa. Sembilan tahun lalu saya juga terpaksa berpatah-balik ke sini tetapi ketika itu sudah lewat petang, tidak ada lagi perkhidmatan bot di jeti. Kali ini terdapat sejumlah bot dengan pemandu menunggu pelanggan. Tetapi mereka semua cuma mengambil penumpang untuk pergi ke seberang sungai iaitu ke Seberang Manong, tidak ke Pulau Semat.
Kata mereka tidak ada yang berani membawa orang ke Pulau Semat kerana tempat itu keras, keramat. Kalau niat tak betul silap-silap penumpang berserta pemandu bot boleh tenggelam ke dalam sungai. Saya mula terasa terkilan. Makam Sultan Tajul Ariffin di Pulau Semat adalah satu antara sedikit makam Sultan Perak yang belum pernah saya sampai sedangkan bukankah saya membuat perjalanan ke Perak untuk menziarahi setiap makam Sultan?
Dengan kuasa Allah, terbetik di hati salah seorang pemilik bot untuk memberi pertolongan. Sebenarnya beliau mahu keluar menjala ikan tetapi kesian melihat saya, isteri dan anak kecil terus menunggu. Itupun beliau tidak berani membawa kami. Sebaliknya beliau meminta rakannya seorang bekas komando memakai botnya untuk ke sana. Sampailah hajat saya untuk menziarahi makam Sultan Tajul Ariffin... dapat juga Al-Rasyid menjejakkan kaki ke sana. Lihat Makam (Tomb of) Sultan Tajul Ariffin.
Di atas adalah klip-klip video perjalanan bot kami ke Pulau Semat. Satu perkara yang menarik adalah saya diberitahu bahawa mereka yang sudah menziarahi pulau mesti membuat satu pusingan panjang sebelum kembali ke tempat berlepas... kalau tak boleh jadi nahas. Lihat cerita dan gambar-gambar yang diletakkan dalam artikel Visiting the mystical island of Pulau Semat dan The trip back from Pulau Semat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Turut disertakan gambar satelit menunjukkan kedudukan pulau dan laluan yang diambil...
Pemandu bot yang merupakan bekas komando kemudian menceritakan tentang kewujudan sebuah masjid lama di Kampung Semat yang katanya telah berdiri sejak zaman pemerintahan Sultan Tajul Ariffin. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Semat . Ketika mengambil gambar masjid saya mendapati keluar bentuk-bentuk cahaya yang pelik. Lama kemudian baru saya tahu rupa-rupanya kamera saya rosak. Lihat Kamera Olympus hitam pun 'bersara'....
Sebenarnya kamera ini mula rosak selepas meninggalkan Pulau Semat. Lihat kembali artikel The trip back from Pulau Semat . Perkara ini cuma disedari apabila melihat koleksi gambar untuk membuat artikel-artikel hari ini. Lihat betapa teruknya gambar di atas yang diambil di sekitar Tanjung Blanja (atau Belanja). Sebelum itu saya sempat singgah ke satu lagi makam. Lihat Makam (Tomb of) almarhum Tepus.
Oh... baru teringat. Sebelum memulakan penulisan artikel ini isteri saya ada meminta agar saya cuba Google untuk mendapatkan maklumat tentang Pulau Semat. Setakat ini, apa yang saya dapat samada menyebut ia sekadar sebagai sebuah pulau di Sungai Perak atau tempat bersemadinya Sultan Tajul Ariffin, Sultan Perak ke 4. Namun saya jadi terperanjat apabila melihat apa yang terpampang di Wikipedia. Saya tidak tahu siapakah yang meletakkan maklumat seperenggan ini tetapi lihatlah kata-katanya yang cukup padat... dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Semat.
Semat atau Pulau Semat ialah Pulau yang dibuka oleh Sayyid Ahmad dari Bani Zaidiyyah Suku Arab pelarian keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Keturunan beliaulah menjaga pulau ini sehinggalah diserahkan kepada Sultan untuk dibuat Istana Perak. Kini ia tinggal Makam Diraja dan juga tanah kebun durian.
Saya tidak pasti siapakah Bani Zaidiyah yang dimaksudkan. Apabila diGoogle perkataan "Bani Zaidiyah" tidak ada apa-apa keputusan. Kalau Syiah Zaidiyah tu ada le...
Untuk pengetahuan Syiah Zaidiyah adalah satu aliran penyokong kepimpinan Ahlul Bait yang terbit setelah syahidnya Zaid bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein di tangan tentera Bani Umaiyah. Tidak seperti aliran Syiah lain seperti Syiah Imamiyah yang terlalu memperbesarkan-besarkan para Imam dari keturunan Saidina Hussein sambil mengkafirkan sahabat besar seperti Saidina Abu Bakar dan Umar, amalan dan kepercayaan mereka sama sahaja seperti mazhab-mazhab terkenal Ahlus Sunaah Waljamaah. Perbezaan mereka cuma keyakinan bahawa yang harus menjadi khalifah ummah itu mesti dari darah Ahlul Bait, tak kira keturunan Saidina Hassan mahupun Hussein.
Adapun yang dimaksudkan sebagai Bani Zaidiyah itu mungkin keturunan Zaid. Memang pun perkataan Bani itu bermaksud sesuatu kaum atau satu kaum yang terbit daripada keturunan sesuatu moyang. Misalnya manusia secara umumnya disebut sebagai Bani Adam kerana kita semua anak cucu Adam. Nama Bani Israel pula menunjukkan keturunan Nabi Yaakob kerana baginda turut dikenali sebagai Isra El sementara Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarganya dikenali sebagai Bani Hashim kerana berketurunan seorang bangsawan Quraish bernama Hashim. Maka tak mustahil Bani Zaidiyah adalah keturunan Zaid bin Ali Zainal Abidin.
Namun ada seorang lagi Zaid berketurunan Nabi Muhammad SAW dalam sejarah awal Islam iaitu Zaid al-Ablaj. Beliau adalah anak lelaki sulung Saidina Hassan merangkap abang kepada Hassan Al-Muthanna atau Hassan II yang lebih terkenal, moyang kepada Sultanul Awliyah Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan para Syarif Mekah. Zaid al-Ablaj sendiri pernah meninggalkan keturunan yang berpengaruh. Mungkin yang paling terkenal ialah Sayidah Nafisah binti Hassan Al-Anwar bin Zaid al-Ablaj, wali wanita yang menjadi guru dan tempat rujukan kepada Imam Syafiee selepas imam itu berhijrah ke Mesir lalu menetap sehingga akhir hayat. Selain itu keturunan Zaid pernah merajai Tabaristan, satu wilayah besar di selatan Laut Kaspian. Namun tidak dapat dipastikan jika keturunan beliau masih ada zaman sekarang.
Sehari selepas menziarahi makam Sultan Tajul Ariffin, isteri saya ada memberitahu tentang lawatan ini kepada saudara saya, seorang kerabat diraja Bugis Wajo yang menetap di Sabah. Kata saudara itu Sultan Tajul Ariffin ada kaitan Bugis. Saya tidak pasti bagaimana Sultan ini ada kaitan Bugis sedangkan dalam sejarah rasmi, orang Bugis mula muncul berpengaruh di Semenanjung Tanah Melayu pada abad ke 18, zaman kedatangan 5 Daeng bersaudara, lebih 100 tahun selepas kemangkatan Sultan. Tetapi apabila memikirkan makna besar Bugis iaitu keturunan diraja dari Puteri Balqis melalui perkahwinan Nabi Sulaiman AS, tidak mustahil orang Bugis telah menguasai sebahagian besar Nusantara sejak lebih 1,000 tahun lalu.
Apa yang menarik perhatian saya adalah apabila terjumpa dakwaan seorang kenalan yang sudah lama tidak dihubungi dalam sebuah forum. Menurut kajian peribadi beliau keturunan Zaid al-Ablaj masih wujud lagi dan menjadi kerabat diraja Bugis Wajo tanpa mengetahui pun bahagian keturunan yang memiliki darah Ahlul Bait. Melihat kenyataan tentang Pulau Semat yang baru diterima dari Wikipedia siang tadi timbul beberapa pertanyaan baru. Cukuplah saya bercerita tentang ini ya. Selamat... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan