Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 19, 2021

Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun 1993

Salam sebelum solat Jumaat. Atas nama mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. biar dipersembahkan artikel kompilasi perjalanan ke Scotland tahun 1993. Selepas ini akan dimulakan satu siri kecil baru berdasarkan perjalanan pusing United Kingdom yang berlaku tahun 1994.


Perjalanan ke Scotland ini diperkirakan berlaku pada penghujung tahun 1993. Sebelum sampai ke kota Glasgow di negeri tersebut saya ada bermalam di taman permainan awam di Carlisle di selatan sempadan Scotland-England lalu mendapati ada lapisan salji terbentuk di atas beg tidur yang digunakan untuk menginap. Hal ini menunjukkan perjalanan berlaku sekitar musim sejuk. Persinggahan turut dibuat di Edinburgh dan beberapa tempat menjadikan ia perjalanan paling jauh pernah dilakukan ketika belajar di United Kingdom tahun 1991 hingga 1995.


1. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji

2. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?

3. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK

4. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat

5. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool



Khamis, Mac 18, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool

Salam malam Jumaat. Menyambung proses mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-5 dan terakhir perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat yang dipersembahkan kurang 15 jam tadi.


Setelah menginap 2 atau 3 malam di Edinburgh saya pun kembali ke Glasgow. Selepas beberapa hari lagi di Glasgow sampai masanya untuk kembali ke tempat saya belajar di London. Namun apakah mahu terus ke sana atau membuat beberapa persinggahan dalam perjalanan kembali itu? Dalam ingat-ingat lupa rasanya pada waktu itulah ada pergi ke suatu wilayah yang dikenali sebagai Lake District...


Ia merujuk pada satu kawasan di England di mana terdapat beberapa tasik besar cantik dikelilingi kehijauan kawasan bukit dan kampung. Letaknya sekitar 200 km ke selatan Glasgow, keluar sedikit dari laluan utama ke London. Sebetulnya saya tidak ingat bilakah ada pergi ke Lake District itu. Yang pasti memang ada tetapi bila? 

Berdasarkan kebiasaan diri menjimatkan belanja selagi boleh mustahil saya ada bergerak lebih 400 km dari London semata-mata untuk ke sana sahaja. Harus disertakan sekali dengan persinggahan ke beberapa tempat yang boleh dikatakan sejalan baru buat kerana berbaloi belanja. Saya pun cuba mengimbas kembali ingatan terhadap beberapa perjalanan lain yang pernah dilakukan di UK. Paling mendekati Lake District adalah perjalanan ke sekitar kota Leeds dan Bradford lebih 100 km ke tenggaranya. Sedangkan persekitaran tasik jauh lebih dekat dengan laluan dari Glasgow ke London.

Semakan dengan Google Map menunjukkan kita boleh berhenti di stesyen Oxenholme yang terletak dalam laluan kereta api dari Glasgow-London. Dan memang pun ia adalah pintu rasmi ke Lake District jika menaiki kereta api. Dari Oxenholme pula boleh menaiki kereta api tempatan kurang 20 km untuk sampai ke tepian timur Tasik Windemere. Dengan panjang 18 km dan kelebaran sekitar 1 km ia adalah tasik semula jadi terbesar di Lake District malah di seluruh England.


Yang saya ingat memang cuma menuju ke Tasik Windemere sahaja walaupun terdapat banyak lagi tasik besar dan cantik di Lake District. Namun saya ingat sampai ketika langit sudah mula gelap. Ketika itu kan sekitar musim sejuk? Jam 3 petang dan malam.

Saya ingat ada berjalan kaki dalam 2-3 km, mungkin lebih untuk mendapatkan penginapan murah di sebuah Youth Hostel, penginapan untuk belia. Murah tak murah pun 20 Pound Sterling.  Cukup terasa bagi orang tidak berduit seperti saya.

Semakan dengan Google Map menunjukkan ingatan yang sedikit itu benar. Dapat dilihat dalam peta atas jarak dari stesyen kereta api Windemere ke Youth Hostel adalah 3.4 km. Memang saya berjalan kaki hingga ke hostel.



Esoknya pagi hari baru meneroka ke kawasan tasik tapi datang pula hujan lebat mencurah-curah gitu. Saya ingat hal tersebut. Walaupun cuaca buruk saya ingat sanggup naik bot sewa cruise semata-mata untuk merasakan keadaannya walau tak nampak apa sangat pemandangan sekitar 

Gambar atas menunjukkan pemandangan tasik dari atas belon pada waktu cuaca baik. Gambar-gambar serupa boleh ditemui dalam pelbagai makalah promosi tentang Lake District. Cerita-cerita tentang wilayah tasik juga gambar-gambar sebeginilah menyebabkan saya pergi ke sana.



Bot yang dinaiki lebih kurang begini rupanya. Rasanya cuma ada 2-3 orang penumpang sahaja ketika saya naik. Ini kerana ia bukan waktu yang baik untuk menaiki bot apa lagi harus menelan sedikit belanja tiket. Namun saya tidak boleh menunggu lebih lama untuk menunggu cuaca baik kerana perlu meneruskan perjalanan ke arah London.



Seingat saya selepas itu ada singgah di bandar peranginan Blackpool lebih 80 km perjalanan ke selatan kemudian timur dari Lake District. Dilihat dalam Google Map perhentian kereta api terdekat dalam laluan Glasgow ke London adalah di bandar Preston. Dari situ boleh naik kereta api tempatan sekitar 18 km ke Blackpool. Saya ke sana kerana sudah lama mendengar cerita-cerita tentang tarikan pelancongannya yang termasuk sebuah taman tema besar. 

Namun saya tidak cukup belanja mahupun masa untuk bermain di taman tema. Apapun ketika itu orang kurang melancong dan berseronok di luar (outdoor). Cukuplah dapat melihat  suasana bandar peranginan walau ketika kurang meriah.



Adapun jarak perjalanan saya di Lake District selepas keluar dari laluan utama Glasgow-London dan kembali harus mencapai 50 km. Jarak pergi balik ke Blackpool campur sekeliling pula harus lebih 60 km. Dijumlahkan keduanya boleh kata saya ada berjalan 110 km sebelum kembali ke London. Namun bila difikirkan kembali masih ada rasa was-was apakah pergi ke Lake District dan Blackpool itu dalam perjalanan kembali dari Glasgow ke London atau pada sesi perjalanan yang lain? 

Walaupun besar kemungkinan ia dibuat dalam perjalanan ini janganlah dimasukkan ke dalam jumlah jarak keseluruhan perjalanan selagi belum mendapat kepastian 100 peratus. Maka biar dijumlahkan  jarak keseluruhan perjalanan seperti ini :-


2. Jalan-jalan sekitar Glasgow - 30 km (rujuk  Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?)


4. Persinggahan ke Edinburgh - 170 km (rujuk Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat)

5. Kembali dari Glasgow ke London - 670 km (sama seperti perjalanan London ke Glasgow tanpa dicampur perjalanan ke Tasik Windermere dan Blackpool)

Ini membawa pada jumlah jarak perjalanan 1,640 km. Kalau dicampur persinggahan  ke Tasik Windermere dan Blackpool jadi 1,750 km. Tetapi disebabkan ada rasa was-was tentang bilakah persinggahan sebenarnya dibuat biar keseluruhan perjalanan ini diisytiharkan sebagai memakan jarak 1,640 km sahaja. Sekian perkongsian tentang perjalanan lama ini.


Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat

Hari ini timbul rasa untuk mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-4 perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK.


Setelah 2-3 hari (kalau tak salah ingatan) membuat lawatan ke tasik Loch Lomond saya mengorak langkah ke suatu tempat yang lebih jauh di Scotland. Ia adalah ke Edinburgh, kota kedua terbesar di negeri itu. Letaknya sekitar 75 km ke timur Glasgow. Untuk pengetahuan ia telah menjadi ibu negeri Scotland sejak selewatnya abad ke-15 Masihi.


Edinburgh adalah pusat pemerintahan kerajaan Scotland (ya, Scotland pernah memiliki raja-raja sendiri sebelum terserap ke dalam United Kingdom) sejak beberapa ratus tahun lebih awal. Disebabkan itu memiliki banyak bangunan lama bersejarah yang menonjolkan kehebatan. Kecantikan bangunan-bangunan lamanya terus kelihatan terserlah sebaik sahaja memasuki kawasan pusat kota dengan menaiki kereta api. Begitu terserlah sehingga ingatan terhadap pemandangan  masih berbekas hingga kini. 


Berbanding itu Glasgow kelihatan seperti suatu kota yang hambar. Ia terasa seperti sebuah kota industri tempat banyak kilang sahaja, tidak terasa ada nilai seni. Pun begitu saya menginap di satu kawasan luar kota Edinburgh yang juga terasa agak hambar. Saya menumpang di rumah teres dua tingkat lama yang disewa beberapa orang pelajar dari Malaysia. 

Rupanya lebih kurang seperti dalam gambar atas. Sudah lupa bagaimana boleh mendapat tempat dan kenal orang situ. Seingat saya tidak mengenali sesiapa di Edinburgh ketika itu. Mungkin kenalan sepupu (yang belajar untuk menjadi doktor perubatan di Glasgow itu) atau kenalan kawannya. Sekadar berkongsi, adik bongsu saya kemudian belajar ilmu perubatan selama 7 tahun di University of Edinburgh. Tetapi itu selepas tahun 2000.


Walaupun tidak ingat lokasi sebenar rumah tempat menumpang menginap itu saya tahu ia terletak berdekatan sebuah bukit yang terserlah tinggi malah paling tinggi dapat dilihat boleh kata saujana mata memandang di sekitar Edinburgh. Nama bukit tersebut atau lebih tepat, nama puncak tertingginya adalah Arthur's Seat. Gambar rumah tadi diambil menggunakan kemudahan Street View dalam Google Map dari Kilmaurs Terrace salah satu jalan yang terdapat berdekatan bukit . Cuma seingat saya rumah terletak di suatu jalan besar, bukan jalan kecil atau cabang jalan seperti Kilmaurs Terrace.

Tempat saya menginap itu boleh jadi mana-mana jalan besar di tepian kawasan bukit (kelihatan berwarna hijau dalam peta atas). Gambar rumah ditemui setelah main 'taram' sahaja masuk Street View atau pandangan dari paras permukaan pada suatu lokasi jalan tepian bukit lalu dicari rumah yang kelihatan serupa seperti dalam ingatan. Yang ingat dari halaman rumah boleh kelihatan bukit dan puncaknya Arthur's Seat itu. Hal ini membuat saya suatu hari tidak dapat menahan diri untuk mencari jalan bagi mendaki berseorangan hingga ke puncak...


Begini rupa bukit daripada satu sudut pandang yang lebih meluas tetapi jauh dari bukit. Seingat saya tempat penginapan sangat dekat dengan bukit. Tetapi biar digunakan gambar daripada Internet ini untuk menunjukkan bagaimana ia begitu terserlah di Edinburgh. Susah hendak mencari gambar dekat dari tepian jalan sepertimana yang saya ingat keadaannya dari tempat menginap.


Begini pula rupa puncak yang dikenali sebagai Arthur's Seat itu. Ada batu penanda dan itulah yang saya lihat dari rumah penginapan sehingga satu hari terasa terasa tak tahan 'dipanggil' agar memanjat naik ke puncak. Rupanya boleh tahan tinggi juga tempatnya. Dari atas itu boleh dilihat pemandangan cantik saujana mata memandang ke segenap sudut persekitaran kota Ediburgh membawa ke laut.

Oh. Puncak ini dinamakan sempena cerita legenda King Arthur yang terkenal di UK. Dikatakan bahawa baginda pernah duduk di atas sana. Namun terdapat juga puncak-puncak bukit lain memakai nama serupa. Ini mungkin disebabkan bentuk yang terserlah menonjol lalu mudah dikaitkan dengan kisah legenda.


Saya ingat mendaki seorang diri menggunakan jalan mana entah tetapi sekadar mengikut apa yang nampak di hadapan mata dalam kesejukan ditiup angin pagi dingin. Rasanya ada kelihatan tompok-tompok salji di beberapa tempat. Seperti disebut pada artikel pertama siri iaitu Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji perjalanan harus berlaku pada musim sejuk. Tetapi boleh juga pada penghujung musim luruh yang mendekati musim sejuk atau awal musim bunga yang masih ada pengaruh musim sejuk.

Setelah menyemak dengan Internet untuk mengisi artikel baru tahu ketinggiannya adalah 823 kaki dari paras laut. Jalan di sekitar pula terletak pada ketinggian sekitar 200 kaki dari paras laut. Mendaki dari rumah ibarat menaiki tangga sehingga ke puncak bangunan 60 tingkat.

Saya ingat menginap di rumah tersebut sekurang-kurangnya 2 malam. Tak sampai 4 malam, mungkin 3 malam. Itu yang sempat mengambil masa untuk mendaki sehingga ke puncak Arthur's Seat. Selain itu ada juga berjalan-jalan ke pusat kota dan kawasan sekitarnya. Perjalanan pergi balik dari Glasgow ke Edinburgh adalah 150 km. Campur berjalan-jalan di dalam kota Edinburgh termasuk mendaki Arthur's Seat boleh dianggarkan jumlah jarak perjalanan dalam tempoh beberapa hari itu mencapai 170 km.


Rabu, Mac 17, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK

OK. Pergi pada artikel dan cerita ketiga tentang perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?.



Scotland sebagai negeri paling utara di negara United Kingdom agak terkenal dengan tasik-tasik besar panjang lagi dalam yang diapit bukit bukau dan tanah tinggi. Paling terkenal adalah Loch Ness lebih 250 km perjalanan ke utara kota Glasgow.



Panjangnya 39 km tetapi bahagian paling lebar tak sampai pun 3 km. Sebetulnya terdapat banyak tasik di Scotland dengan rupa sebegitu seperti boleh dilihat memanjang berwarna biru dalam peta Google Map ini. Jadi apa yang istimewa tentang Loch Ness?



Satu adalah kedalamannya. Kalau menurut saiz permukaan airnya iaitu 56 km persegi ia adalah tasik semulajadi kedua terbesar di Scotland dan keempat di seluruh UK. Tetapi kedalaman yang mencapai sehingga 800 kaki dengan purata lebih 400 kaki menjadikannya tasik paling banyak air di UK. Sehingga dikatakan isi padu airnya itu melebihi jumlah isi padu air semua tasik yang terdapat di England dan Wales (satu lagi negeri di UK).



Tetapi lebih istimewa lagi adalah cerita-cerita mengatakan di situ wujud suatu jenis makhluk purba serupa dinosaur air. Google sahaja nama tasik "Loch Ness" atau panggilan bagi makhluk tersebut iaitu "Nessie" lalu boleh ditemui pelbagai cerita tentangnya. Saya sendiri telah membaca pelbagai kisah tentang tasik dan makhluk tersebut sejak kecil lagi. Tentunya ada keinginan untuk melihat sendiri tempat dan suasana.

Namun apakan daya? Duit belanja saya terhad, tidak mampu untuk pergi begitu jauh ke utara Glasgow. Apa yang dimiliki pada waktu itu sekadar cukup untuk membuat perjalanan pergi balik London ke Glasgow dan sedikit jauh ke kawasan sekitar laluan perjalanan itu. Dengan hati yang berat perjalanan ke Loch Ness harus dilupakan sekurang-kurangnya buat masa itu. Sebagai gantinya boleh pergi ke satu tasik besar yang terletak cukup dekat dengan Glasgow.

Tasik yang dimaksudkan bernama Loch Lomond. Penghujung selatannya terletak sekitar 33 km sahaja ke barat laut Glasgow sementara perhentian kereta api yang membawa nama tasik terletak 13 km lagi ke utara. Oleh itu belanja ke sana sangatlah kurang berbanding ke Loch Ness yang kota terdekatnya adalah Inverness, sekitar 270 km ke utara Glasgow. Dan lagi, kalau ke Loch Ness saya harus memikirkan belanja penginapan juga selain belanja perjalanan jauh. Kalau ke Loch Lomond boleh balik hari ke Glasgow.




Pada hari ke-3 atau hari ke-4 di Glasgow kalau tak salah baru saya bergerak ke Loch Lomond dengan menaiki kereta api. Ternyata tempatnya cantik dan menenangkan. Ketika menulis artikel ini lalu menyemak fakta-fakta berkenaan di Internet baru tahu ia adalah tasik terbesar di Scotland.


Panjang tasik ini 36 km adalah 3 km lebih pendek berbanding Loch Ness. Tetapi kelebaran yang mencapai sehingga 8 km menyebabkan saiz permukaanya iaitu 71 km persegi adalah 15 km persegi lebih luas. Di atas adalah gambar yang diambil menggunakan kemudahan Street View di Google Map. Ia adalah daripada kedudukan yang ditanda dalam peta sebagai Loch Lomond.


Semakan melalui Google Map menunjukkan dekat hujung selatan tasik terdapat sebuah istana berkubu (castle) yang dikenali sebagai Ballock Castle. Ia adalah satu bangunan warisan awal abad ke-19 Masihi yang dibina di atas tapak castle lebih awal abad ke-13. Rasanya ada terlihat ia dalam perjalanan pergi ke perhentian utama Loch Lomond dan kembali ke Glasgow. Perjalanan pergi balik itu dicampur perjalanan pergi balik ke rumah sepupu harus mencapai 100 km.


Isnin, Mac 15, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?

Salam pagi Isnin 1 Sya'aban 1442 Hijriah. Pada hari pertama bulan Nabi Muhammad SAW ini biar dipersembahkan artikel kedua tentang perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji.



Pada tarikh dan hari yang tak ingat bila tetapi seharusnya pada musim sejuk tahun 1993 (atau sekitarnya) sampailah saya buat pertama kali ke kota Glasgow sekitar 670 km ke utara London. Malah ia adalah pertama kali saya sampai ke Scotland yang merupakan salah satu negeri di bawah negara United Kingdom. Perjalanan yang mana saya ada bermalam di taman permainan di Carlisle, sedikit ke selatan sempadan Scotland-England sehingga didapati beg tidur (sleeping bag) diselimuti salji ini juga merupakan pertama kali saya pergi ke mana-mana tempat lebih 300 km ke utara kota London.

Tempat pertama sampai di Glasgow tentulah stesyen kereta api utama iaitu Central Station kerana sampai dengan kereta api dari Carlisle, sebelum itu dengan kereta api dari London ke Carlisle. Untuk menghiasi artikel ini biar digunakan gambar-gambar berkenaan yang dapat ditemui di Internet ya. Walaupun keadaan dalam gambar harus sudah banyak berubah berbanding ketika saya sampai (kecuali mungkin di bangunan-bangunan lama) cukuplah untuk menggambarkan suasana di tempat-tempat yang diceritakan...


Walaupun Glasgow yang merupakan bandar raya terbesar di Scotland dan salah satu terbesar di UK memiliki tarikan tersendiri sangat sedikit dapat diingati tentang pengalaman di sana. Langsung tak ingat bagaimanakah rupa dan keadaan jalan-jalan di tengah kota. Yang ingat banyak berada di persekitaran universiti tempat sepupu saya belajar di Glasgow.

Sepupu yang muda setahun sahaja di bawah saya itu sedang mengambil ijazah bagi menjadi doktor perubatan di University of Glasgow, sekitar 3-4 km ke barat laut Central Station. Sebut pasal universiti di Scotland teringat bahawa seorang adik ibu saya pernah mengambil ijazah kejuruteraan pada tahun 80an di sebuah lagi universiti terkemuka iaitu University of Strathclyde di bahagian timur Glasgow. Seorang adik bapa juga pernah mengambil ijazah kejuruteraan di Scotland sedikit lebih awal tapi tak ingat di universiti mana. Rasanya di Strathclyde juga. Adik bongsu saya pula mengambil ijazah kedoktoran di Edinburgh, kota kedua terbesar di Scotland. Tetapi itu pada tahun 2000an. Sebetulnya ramai saudara mara saya pernah belajar di UK termasuk seorang lagi adik, rasanya ada dalam 20 orang juga. Cuma beberapa orang ini yang saya ingat belajar di Scotland. 


Walaupun rasanya banyak menghabiskan masa di persekitaran University of Glasgow, seperti halnya keadaan di tengah kota yang tentu pernah diterokai kerana sudah perangai mesti berjalan ke sana sini saya tak ingat langsung bagaimanakah keadaannya. Yang ingat banyak melepak dengan sepupu dan kawan-kawannya di rumah sewa mereka yang berbentuk apartment moden 4 atau 5 tingkat gitu. Paling dekat dalam ingatan rupanya seperti dalam gambar di bawah...



Itupun gambar menunjukkan apartment di satu kawasan bernama Arcadia Street sekitar 6 km perjalanan ke timur University of Glasgow. Saya tidak dapat menemui gambar apartment serupa di sekitar universiti. Mungkin kerana rumah yang disewa memang jauh dari tempat belajar? Saya tak ingat tapi ini tak mustahil malah sangat logik.

Saya sendiri di London menyewa rumah yang terletak sehingga lebih 10 km jauh dari universiti saya iaitu University College of London. Ini disebabkan sewa penginapan di sekitar universiti mahal kerana kedudukan di tengah kota. Secara umumnya, semakin jauh tempat sewa dari tengah kota semakin murah ia. Tetapi harus berhadapan pula dengan kos pengangkutan yang lebih mahal kerana harus bergerak lebih jauh berulang alik dari rumah ke universiti selain faktor masa.


Apapun, walau tak ingat butiran tempat dan perjalanan di Glasgow saya tahu ada juga pergi ke beberapa tempat. Ada mengikut sepupu dan kawan-kawannya menziarahi rumah kawan-kawan di 2-3 tempat lain. Seingat saya bahkan kami ada pergi ke suatu konsert kumpulan muzik tapi tak ingat langsung kumpulan apa dan lokasi tepatnya.

Yang betul-betul masih berbekas dalam ingatan selain melepak dengan sepupu dan kawan-kawan adalah menaiki kereta api bawah tanah (underground) sana. Sampai sekarang masih teringat bagaimana terasa agak lucu kerana kereta apinya lebih kecil dan comel berbanding di London. Selain itu masih boleh tahan jelas dalam ingatan adalah lawatan ke tasik besar Loch Lomond yang hujung terdekatnya terletak sekitar 30 km ke barat laut Glasgow. Lebih jelas dalam ingatan adalah lawatan ke kota Edinburgh sekitar 80 km ke timur. 

Tetapi biarlah hal ini dihuraikan dalam artikel-artikel lain. Sebagai mengakhiri artikel ini cukuplah dikatakan bahawa walaupun tak ingat langsung butiran perjalanan di  Glasgow saya percaya telah berjalan dengan pelbagai jenis pengangkutan awam jumlah jarak yang tidak kurang 30 km dalam bandar.


Sabtu, Mac 13, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji

Salam Subuh Sabtu 13 Mac. Adapun dengan terbitnya artikel Kompilasi cerita kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 Jumaat lalu maka pergilah kita pada cerita seterusnya mahu dikongsikan bagi melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. Daripada zaman kolej tahun 1988 hingga 1990 beralih ke zaman universiti saya di London, United Kingdom yang bermula pada separuh kedua tahun 1991. Masuk pada satu perjalanan yang diperkirakan berlaku pada tahun 1993. Sebelum itu biar diberikan sedikit latar belakang masuk universiti dan sedikit perjalanan yang dilakukan selepas itu. 



Gambar daripada artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot tahun 2013 ini menunjukkan saya sampai ke UK pada 7 Oktober 1991. Ini adalah selepas bertolak dengan pesawat yang memakan masa penerbangan 13 jam dari Kuala Lumpur 6 Oktober (waktu di Malaysia). Sekumpulan cerita-cerita berkenaan hari-hari awal di sana boleh dicapai melalui artikel Up balik : Kenangan zaman UK tahun 2015. Tetapi itu semua berkenaan apa yang dibuat di kota London. Rasanya belum pernah dikongsikan pengalaman perjalanan saya di bahagian lain UK.

Di sini biar diambil kesempatan untuk dikongsikan sejumlah perjalanan di UK sebelum pergi pada topik utama iaitu perjalanan ke Scotland yang diperkirakan berlaku pada tahun 1993. Ini dibuat untuk mengimbau keadaan juga sebab musabab yang membuat saya mula berjalan lebih jauh dan jauh di UK sedangkan pada awalnya perjalanan cuma terhad pada persekitaran London sahaja...



Adapun berjalan-jalan di dalam kota atau bandar raya London itu sendiri meliputi suatu kawasan perbandaran (urbanised area) yang sangat luas. Kalau menurut definisi persempadanan sebenar kota kawasannya adalah dalam lingkungan 4-5 km sahaja dari satu titik pusat. Tetapi kalau menurut definisi umum ia meliputi satu kawasan besar yang secara rasminya dikenali sebagai Greater London (London raya/London besar). Ini adalah lebih kurang sama saiz dengan seluruh negeri Melaka.

Dalam tempoh setahun pertama pengajian saya di UK iaitu daripada separuh kedua tahun 1991 membawa ke separuh pertama tahun 1992 sudah merata saya berjalan dalam lingkungan London besar. Pun begitu saya cuma ada keluar daripada lingkungan dalam 2-3 kali sahaja, dan itupun tidak berapa jauh. Ia adalah ke bandar kecil Hatfield yang terletak kurang 40 km ke utara pusat bandar raya London. 



Saya beberapa kali ke sana kerana teman wanita lama sering mengajak ke tempat kawan baiknya, seorang gadis Melayu yang menuntut di Hatfield Polytechnic. Kami semua sampai ke UK dalam tempoh waktu yang sama iaitu sekitar bulan Oktober 1991. Pada tahun 1992 ia dinaik taraf menjadi University of Hertfordshire. Selepas beberapa lama baru saya juga teman wanita ada keluar lebih jauh iaitu ke Canterbury untuk melawat seorang kawan lama saya yang menuntut di sana. Menurut Google Map jaraknya hampir 100 km ke timur dari pusat kota London.



Tapi 100 km itu adalah kalau bergerak menggunakan jalan raya sedangkan kami pergi dengan menaiki kereta api. Peta laluan kereta api di atas menunjukkan jaraknya lebih jauh tetapi masa perjalanan boleh jadi lebih suntuk, boleh juga lebih panjang bergantung pada perkhidmatan jam berapa yang diambil. Apapun saya tidak ingat bilakah perjalanan tersebut berlaku, cuma harus pada tahun 1992. Yang  ingat pada cuti musim panas tahun tersebut iaitu pada bulan Jun membawa ke bulan September kami kembali ke Malaysia kerana harus menyelesaikan suatu urusan dengan pihak yang menaja pengajian di UK.



Beberapa lama selepas perjalanan ke Canterbury baru saya ada membuat perjalanan lagi ke luar London. Kali ini lebih jauh iaitu ke Sheffield sekitar 270 km ke utara. Ketika itu cuti musim panas pertengahan tahun 1993. Seingat saya teman wanita kembali ke Malaysia sedangkan saya pula memilih untuk berlegar-legar di UK. Ini adalah akibat gagal dalam peperiksaan tahun kedua pengajian (1992-1993) lalu harus mengulang pengajian selama setahun. Tak sanggup nak balik Malaysia menghadap ibu bapa di tanah air.



Saya tidak ingat apakah ke Sheffield itu dengan menaiki bas atau kereta api. Boleh jadi pergi dengan bas, kembali dengan kereta api atau sebaliknya. Yang ingat pergi selepas seorang kawan lama yang menuntut di Sheffield mengajak ke tempatnya dalam satu pertemuan tidak dirancang di London. Dan ingat saya lagi asalnya mahu berada di sana cuma seminggu sahaja. Tengok-tengok jadi dekat 3 bulan sebab seronok dengan pelbagai aktiviti bersama kawan-kawan.

Sekarang baru boleh masuk topik sebenar iaitu perjalanan ke Scotland. Tetapi disentuh dahulu beberapa perjalanan awal kerana mahu menunjukkan bagaimana dari perjalanan sekitar London sahaja boleh mula terbuka untuk bergerak lebih jauh dan semakin jauh. Selain itu juga supaya dapat ditetapkan tempoh masa bilakah perjalanan ke Scotland itu berlaku kerana kurang pasti. Yang pasti perjalanan ke Sheffield yang memanjang menjadi sesi melepak dengan kawan-kawan sehingga 3 bulan itu berlaku pada cuti musim panas tahun 1993. Dan ia adalah perjalanan jauh pertama saya di UK (selain Canterbury yang tidaklah begitu jauh). 

Pada awal cuti musim panas tahun 1994 pula saya ada berjalan jauh menyewa kereta dengan teman wanita lama. Selepas itu beliau kembali ke tanah air kerana sudah selesai pengajian tiga tahun sementara saya yang sebelum itu mengulang tahun dua baru menyambung ke tahun akhir. Sepanjang pengajian tahun akhir separuh kedua tahun 1994 membawa ke separuh pertama tahun 1995 malah sejurus selepas teman wanita kembali ke Malaysia saya disibukkan dengan membuat pelbagai pekerjaan bagi menampung perbelanjaan hidup. Ini kerana tidak lagi menerima elaun bulanan dari pihak penaja kerana tidak pernah memberitahu mereka bahawa saya ada mengulang tahun dua. Oleh itu tiada kelapangan untuk berjalan jauh ke luar London dalam tempoh masa tersebut. Maka perjalanan ke Scotland itu harus berlaku sebelum cuti musim panas tahun 1994.



Adapun perjalanan tercetus setelah beberapa lama seorang sepupu yang sedang mengaji di kota Glasgow, Scotland untuk menjadi doktor perubatan mengajak agar bertandang ketika bertemu di London. Saya ingat perjalanan berlaku pada musim sejuk kerana ada salji. Saya ada menginap dalam beg tidur (sleeping bag) di sebuah taman permainan di Carlisle sejurus sebelum sampai ke sempadan Scotland lalu mendapati ia diselimuti salji nipis apabila bangun dan keluar daripada dalam beg.

Sekadar memberitahu, walaupun menetap di UK selama 4 tahun saya jarang dapat bermain salji. Ini kerana salji susah hendak 'melekat' di bandar-bandar besar seperti London. Haba yang terbit akibat pelbagai aktiviti sistem perbandaran seperti rangkaian wayar eletrik, paip gas juga banyaknya kenderaan bermotor menyebabkan ia cepat cair lalu tidak sempat membentuk lapisan yang bermakna. 

Oh. Saya bermalam dalam beg tidur di Carlisle kerana kereta api yang dinaiki waktu itu cuma sampai ke situ sahaja. Kalau mahu terus ke Glasgow kena tunggu kereta api keesokan hari sedangkan sudah perangai saya kalau sampai desakan hati atau gerak dalaman untuk bergerak ke suatu tempat akan dicari juga apa-apa kenderaan ke arah itu pada hari dan waktu itu juga. Saya sampai ke Carlisle selepas tengah malam lalu harus menunggu kereta api ke Glasgow pada awal pagi. Penjaga stesyen tidak membenarkan menunggu dalam stesyen malah duduk di luar stesyen pun tak boleh lalu harus mencari tempat lain. Jalan punya jalan terjumpalah sebuah taman permainan lalu dibentangkan beg tidur di atas tanah.



Walaupun Google Map tidak menunjukkan berapakah jarak dari London ke Carlise dengan menaiki kereta api perbandingan boleh dibuat dengan laluan kereta. Dengan itu dapat dilihat jarak perjalanannya harus lebih 500 km. Berbalik pada hal beg tidur. Selepas dibentangkan saya pun masuk ke dalam dengan kepala-kepala sekali. Ketika itu pun sudah amat sejuk. Rasanya sudah hampir suhu membeku walau tidak kelihatan salji. 

Walaupun t-shirt yang dipakai dilapis dengan sweater kemudian jaket kulit Tuhan sahaja tahu bagaimana teruknya saya menggigil dalam beg tidur sambil cuba melelapkan mata. Setelah 3-4 jam begitu baru keluar lalu didapati ada lapisan nipis salji di atas beg tidur juga tanah di sekeliling. Ketika itu rasa tak tahan lagi hendak menunggu di taman permainan. Saya pun menyimpan kembali beg tidur ke dalam beg sandang besar lalu berjalan kaki ke stesyen kereta api.



Alhamdulillah tidak berapa lama kemudian dapatlah kereta api ke Glasgow iaitu kota tempat sepupu belajar. Kalau menurut laluan kereta jaraknya dari Carlisle adalah 156 km. Tapi saya lihat kalau dengan kereta api harus 170 km. Oleh itu jarak keseluruhan dari London ke Glasgow harus 670 km (500 km + 170 km) atau lebih. Ini adalah lebih kurang sama jarak dari Kuala Lumpur ke Trang di selatan Thailand. Ambil kira ini sahaja pergi balik tanpa dimasukkan tempat-tempat lain yang disinggahi pun sudah mencapai jarak lebih 1,340 km.



Jumaat, Mac 12, 2021

Kompilasi cerita kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989

Salam pagi Jumaat. Dipersembahkan artikel kompilasi tentang perjalanan berbasikal pusing separuh Semenanjung lebih 31 tahun lalu.



Perjalanan ini dibuat tahun 1989 semasa saya masih belajar peringkat A Level di  PPP/ITM. Ia adalah Pusat Persediaan Pelajar bagi melanjutkan pengajian peringkat ijazah ke luar negara, di bawah Institut Teknologi Mara (kini universiti iaitu UiTM). Dibuat bersama 13 hingga 18 orang pelajar  menggunakan basikal lumba (lupa jumlah sebenar) ia secara rasminya bermula di kampus utama kami di Seksyen 17, Shah Alam dan berakhir di situ lebih seminggu kemudian. Perjalanan dibuat menggunakan jalan lama dari Kuala Lumpur masuk ke Ipoh, Perak membawa ke Gerik kemudian menyeberang Banjaran Titiwangsa untuk masuk ke negeri Kelantan. Selepas itu kami menyusuri Pantai Timur turun selatan ke Terengganu dan seterusnya. Selepas Kuantan, Pahang baru bergerak kembali ke Lembah Klang lalu perjalanan meliputi jarak tidak kurang 1,250 km.







6. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab 

7. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali

8. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan

9. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - 'Memecut' dari Kuantan ke Lembah Klang


Rabu, Mac 10, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - 'Memecut' dari Kuantan ke Lembah Klang

Salam semua. Adapun beberapa jam lagi akan masuk tarikh Islam 27 Rejab yang merupakan malam Isra' dan Mikhraj. Ada sedikit sambutan Maulidur Rasul mahu dibuat di rumah bagi mengenangkan peristiwa junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW diangkat lalu diperjalankan dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik ke semua lapisan langit malah lebih tinggi sehingga sampai ke hadirat Allah SWT. Sebelum itu biar diselesaikan dahulu cerita perjalanan berbasikal lebih 31 tahun lalu. Dipersembahkan cerita fasa ketujuh dan terakhir perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan.


Antara banyak tempat yang dilalui juga disinggahi di Pantai Timur dalam perjalanan ini cuma Kuantan dan sekitarnya sahaja yang pernah saya sampai sebelum itu. Seingat saya ada juga 3-4 kali pernah sampai sebelum tahun 1989. Ini disebabkan terdapat rumah beberapa orang saudara mara di sekitar itu.

Gambar atas diambil daripada artikel tahun Sudah ke Kuantan tapi kembali lagi ke Pekan kerana ada tempat-tempat yang tertinggal... 2008. Ketika itu bandar Kuantan harus sudah sekali ganda lebih besar berbanding ketika sampai dengan kumpulan berbasikal 19 tahun lebih awal. Kami menginap di mana selepas sampai dari arah Kuala Terengganu langsung tak ingat saya. Malah saya tiada apa-apa ingatan langsung tentang fasa perjalanan ini kecuali tahu dari Kuantan kami harus menghala kembali ke Lembah Klang, Oleh itu tiada lagi persinggahan di mana-mana tempat di Pantai Timur selepas itu.


Adapun jarak dari Kuantan ke Kuala Lumpur adalah lebih 240 km. Kalau hendak kembali ke Seksyen 17, Shah Alam di mana perjalanan berbasikal ini secara rasminya bermula lalu lengkaplah satu pusingan dah jadi 270 km. Berdasarkan jarak yang bersamaan 12 hingga 14 jam berkayuh basikal tanpa henti itu harus kami berehat untuk mengembalikan tenaga buat satu malam di suatu lokasi pertengahan jalan.

Gambar ini diambil daripada artikel 'Menimbang' air Sungai Pahang - Mengambil berkat wali hidup di Pulau Tawar sebelum ke Gunung Senyum, seberang Temerloh dan Pesta Air Chenor tahun 2016. Papan tanda yang kelihatan letaknya di seberang Sungai Pahang menghadap bandar Temerloh sekitar 113 km dari Kuantan. Memandangkan bandar atau pekan seterusnya ke arah KL yang ada memiliki kemudahan penginapan adalah Karak lebih 50 km lagi perjalanan maka tempat rehat terbaik haruslah di Temerloh. 

Oh, baik papan tanda besar Kuantan pada gambar pertama juga papan tanda besar Temerloh pada gambar atas belum lagi wujud tahun 1989. Ketika itu belum ada kali trend juga belanjawan tempatan yang membenarkan hal ini berlaku. Trend bandar-bandar dan tempat-tempat menarik banyak diletakkan papan tanda nama bersaiz gergasi seperti ini saya perhatikan baru bermula kurang 15 tahun lalu.

Apapun ketika cerita siri perjalanan berbasikal ini bermula dengan artikel pertamanya Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan hampir 3 minggu lalu fikir saya mesti kami telah bermalam di Temerloh sebelum sampai ke Lembah Klang. Beberapa hari kemudian baru mendapat maklum balas daripada seorang kawan lama yang merupakan satu-satunya pelajar sama batch turut bersama dalam perjalanan. Menurut beliau selepas Kuantan kami tidak ada bermalam di mana-mana lagi dah. Kami terus memecut ke Lembah Klang.



Menurut beliau sebelum sampai ke Kuantan pihak kami ada mendapat panggilan telefon agar cepat sampai ke KL. Katanya ada sambutan rasmi mahu dibuat seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos di Dataran Merdeka. Walaupun kawan itu sendiri tidak ingat tarikh tepat mendapat panggilan berdasarkan urgency atau rasa pentingnya panggilan kami nampaknya diminta sampai awal pada keesokannya harinya. Harus esoknya itu adalah 31 Ogos lalu panggilan diterima 30 Ogos.

Wuissh. Bagaimana ni? Seperti disebut tadi jarak Kuantan ke KL adalah lebih 240 km dan ini bersamaan 12 jam berkayuh tanpa henti. Kalau hendak cepat tak boleh bermalam di Kuantan... harus terus berkayuh sehingga Subuh. Tapi larat ke nak berkayuh kalau tiada rehat setelah bergerak jauh ke Kuantan dari arah Kuala Terengganu? Apakah cara terbaik untuk menangani ini?



Maka timbullah solusi seterusnya menurut ingatan kawan. Dari Kuantan kami semua naik van. Basikal semua disangkut atas van (rasanya ada beberapa dimasukkan ke dalam). 

Gambar daripada Internet ini menunjukkan bagaimana sebuah van jenis camper boleh digunakan untuk mengangkut 28 (ke lebih?) buah basikal. Dalam hal kami taklah begitu banyak basikalnya. Rasanya maksimum 18 buah basikal. Dan saya ingat-ingat lupa apakah kami diiringi sebuah atau dua buah van milik kolej.

Cadangnya 10 km sebelum sampai ke Dataran Merdeka baru turun untuk berkayuh. Kira gimiklah untuk menunjukkan kami berjaya menyelesaikan misi perjalanan berbasikal ke separuh Semenanjung dalam tempoh seminggu lebih. Tengok-tengok dah dekat nak sampai KL dapat panggilan memberitahu sambutan untuk kami dah tak jadi. Mungkin kerana sudah melepasi sudah jangka waktu orang menunggu atau sudah tamatnya majlis di Dataran Merdeka? Zaman itu belum ada lebuh raya seperti sekarang meliputi keseluruhan perjalanan Kuantan ke KL lalu jarak boleh dicapai dengan kereta dalam tempoh kurang 2 jam. Zaman itu kena ikut jalan lama lalu tempoh pemanduan tanpa henti memakan masa hampir 4 jam.


Perjalanan pun diteruskan ke kampus kolej PPP/ITM Seksyen 17, Shah Alam di mana kami mendapat sambutan rasmi daripada pihak kolej. Dengan itu selesailah perjalanan.  Merujuk pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab yang menceritakan fasa keempat perjalanan iaitu bahagian pertengahan. Ada disebut di dalamnya bahawa selepas berjalan-jalan di Kota Bahru perjalanan kami mencapai jarak 600 km. Sekarang biar dicampur dengan jarak-jarak perjalanan selepas itu seperti berikut :-

Fasa kelima - KB ke Kuala Terengganu - 160 km  (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali)

Fasa keenam - KT ke Kuantan - 218 km (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan)

Fasa ketujuh - Kuantan ke Shah Alam - 270 km (rujuk artikel ini)

Jadilah ia 600 km + (160 km + 218 km + 270 km) = 1248 km. Di celah-celah itu harus kami ada berpusing-pusing berjalan-jalan misalnya di tengah bandar Kuantan. Dan seperti halnya permulaan perjalanan yang mana kami harus berkayuh lebih 2 km dari asrama di Seksyen 18 yang merupakan tempat simpan basikal ke tempat permulaan rasmi di kampus kolej di Seksyen 17 begitu juga halnya apabila sampai harus bergerak dari Seksyen 17 ke Seksyen 18 untuk menyimpan basikal. Oleh itu  perjalanan sebenar adalah melebihi 1250 km. 

Itulah jarak keseluruhan yang diliputi sepanjang kami berpusing separuh Semenanjung. Dalam artikel  perjalanan dari Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku pula ada disebut bahawa separuh perjalanan pada fasa itu dibuat dengan menaiki van disebabkan kesukaran mendaki kawasan pergunungan dan bahaya turun kawasan curam. Dengan itu 85 km perjalanan adalah dengan van 85 km dengan mengayuh basikal. Dalam perjalanan dari Kuantan ke Shah Alam pula cuma 10 km dari 270 km adalah dengan menaiki basikal bermakna 260 km adalah dengan van.

Ini bermakna 85 km + 260 km bersamaan 345 km daripada keseluruhan perjalanan pusing separuh Semenanjung ini adalah dengan van. Maka jarak kayuhan sebenar adalah 1248 km - 345 km = 903 km. Masih tetap boleh tahan. Sekian.


Isnin, Mac 08, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan

OK. Pergi ke fasa keenam perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali.


Selepas menginap satu malam di Kuala Terengganu sampai masanya untuk meneruskan perjalanan lebih jauh ke selatan iaitu ke arah Kuantan, Pahang. Gambar ini diambil daripada artikel Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... tahun 2008. Peta yang ditunjukkan harus tidak begitu banyak perbezaan berbanding keadaan pada tahun 1989 yang merupakan kali pertama saya sampai ke Kuala Terengganu malah kali pertama sampai ke negeri Terengganu juga negeri yang disinggah sebelum itu iaitu Kelantan.


Fasa perjalanan kali ini adalah paling panjang menyusuri pantai. Menurut Google Map jarak dari KT ke Kuantan menggunakan laluan persisiran adalah sekitar 220 km. Daripada jumlah itu saya anggarkan lebih 80% memberikan pemandangan pantai dan Laut China Selatan dari tepian jalan. 

Gambar atas ini diambil daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Penat lelah pusing Dungun sebelum berkejar ke Kuala Terengganu dan Jerteh tahun 2012. Ia menunjukkan satu pemandangan di pantai Rantau Abang sekitar 60 km ke selatan KT. Perjalanan berbasikal lebih 31 tahun harus melalui tempat ini lalu memberikan pemandangan yang sama kerana tidak diganggu gugat oleh pembinaan. Rantau Abang kini mungkin tidak lagi terkenal tetapi bagi saya yang baru pertama kali sampai ketika itu ia adalah sesuatu yang amat besar kerana sering terbaca tentang kedudukannya sebagai suatu tempat utama penyu bertelur di Malaysia. 

Saya ingat kerana hal ini ada disebut dalam buku teks sekolah dan banyak lagi bacaan. Besar kemungkinan kami ada berhenti berehat di tempat yang kelihatan.



Gambar yang diambil dari Internet ini pula menunjukkan kawasan logi penapisan minyak di Kerteh. Letaknya sekitar 110 km ke selatan Kuala Terengganu iaitu separuh perjalanan ke Kuantan. Adapun jarak 220 km KT ke Kuantan itu adalah terlalu jauh untuk kami berkayuh terus dalam tempoh satu hari. Ia adalah bersamaan 11 jam berkayuh tanpa berhenti. Oleh itu kami harus berehat dan bermalam di suatu tempat di tengah-tengah.

Cuma Kerteh kelihatan kurang sesuai sebagai tempat menginap kerana ia merupakan kawasan perindustrian minyak. Oleh itu besar kemungkinan kami telah berkayuh ke hadapan lagi, Mungkin hingga ke pantai Kemasik lagi 13 km perjalanan atau boleh juga sampai ke Chukai sekitar 36 km selepas Kerteh. 


Apapun 6 km selepas bandar Chukai yang terletak di dalam daerah Kemaman masuklah kami ke negeri Pahang. Sepanjang 60 km gitu baki perjalanan ke Kuantan boleh ditemui banyak pantai menarik dan selamat untuk bermandi manda. Gambar daripada artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari Tokku Paloh ke Tanjung Api tahun 2013 ini diambil di satu bahagian pantai Cherating. Letaknya sekitar 8 km selepas memasuki sempadan Pahang atau 14-15 km dari Chukai.

Walaupun sepanjang perjalanan dari KT ke Kuantan terdapat begitu banyak pantai kami cuma singgah untuk bermandi manda di suatu tempat sahaja, seingat saya di Cherating. Kalau tidak pun ia suatu pantai yang berdekatan. Seingat saya kami berkayuh buat suatu masa yang tidak terlalu lama sebelum sampai ke pantai lalu berpeluang untuk bermandi manda. Nampaknya logiklah kami telah menginap di Chukai malam sebelum itu kerana pantai boleh dicapai dalam tempoh kurang sejam dengan mengayuh basikal.



Dari Cherating ke Kuantan tinggal jarak yang tidak sampai 3 jam kayuhan basikal. Kalau benar kami menginap di Chukai lalu bertolak pada 8 pagi, sebelum jam 9 dah boleh sampai ke pantai. Kalau bermandi manda 2-3 jam pun kemudian ambil masa untuk makan tengah hari insyaallah sebelum jam 4 petang dah boleh sampai Kuantan.

Satu perkara menarik masih terngiang kuat dalam ingatan adalah bagaimana setelah puas bermandi manda saya tergerak untuk memanjat masuk sebuah kedai makan berupa restoran kayu tetapi cantik moden yang sedang ditutup. Tujuan asal adalah untuk menumpang bilik air membuang air juga membilas air laut masin daripada badan. Tengok-tengok terdapat banyak air botol gas diletakkan berlonggok-longgok di dalam.

Semasa itu zaman seronok jadi budak nakal. Melihat hal tersebut terus mengajak kawan-kawan lain turut memanjat masuk ke dalam. Horeeeyyy. Dah lah boleh bilas air malah ada paip getah lagi boleh ditarik panjang. Dengan penuh seronok nakal budak-budak kami pun membilas atas lantai kayu restoran (ia jenis yang terangkat atas tiang, kena naik tangga seperti di rumah kampung gitu) sambil meneguk air botol orang tanpa memikirkan halal haram.


Saya tak pasti jika semua kawan-kawan atau peserta perjalanan ikut sama. Yang ingat ramai le juga ikut melayan buat perangai sama. Semasa yang lain sedang sibuk di atas lantai restoran saya bergerak turun ke bahagian dapur di belakang untuk melihat apa lagi yang ada. Tiba-tiba terdengar bunyi orang dewasa marah-marah diikuti bunyi "piap piap" seperti orang kena rotan.

Nampaknya kawan-kawan dah kena marah dengan pemilik atau penjaga restoran. Kebetulan di dapur terdapat sebuah almari atau gerubuk tinggi, rasanya lebih 6 kaki. Di atas itu ada tudung saji besar. Terus saya memanjat naik lalu masuk menyuruk di bawah tudung saji. Boleh pulak muat! Entah berapa lama dok menyorok tu tak ingat. Yang tahu apabila keadaan sudah kedengaran reda baru keluar...

Saya pun tak tahu entah apa angin yang datang boleh selamba sahaja melangkah naik kembali ke lantai kayu restoran walau ada rasa takut-takut juga. Yalah, itu sahaja jalan keluar yang ada. Takkan nak terus duduk menyorok di dapur? Kelihatanlah 2-3 orang dewasa sedang sibuh mencuci lantai. Pelik juga memikirkannya tapi saya dapat keluar tanpa ditegur apa lagi dihalang lalu kembali ke tempat ahli rombongan yang juga terdiri daripada krew sokongan dengan van. Rupa-rupanya mereka sudah lama menunggu untuk menyambung kembali perjalanan. Dengan itu berkayuhlah kami untuk sampai ke Kuantan.



Sungguh ini adalah antara memori paling terkesan selain lucu daripada pengembaraan berbasikal tahun 1989. Sebelum sampai ke Kuantan pula berlaku sesuatu yang menyebabkan perjalanan dipercepatkan. Tetapi biarlah ceritanya disimpan untuk perjalanan akan datang.

Oh. Selama ini saya menyangkakan bahawa restoran di Cherating atau pantai sekitarnya itu ditutup kerana musim tengkujuh. Itu yang membuat saya menyangkakan perjalanan berlaku pada hujung tahun 1989. Rujuk kembali hal berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan yang ditulis 17 hari lalu. Selepas itu baru mendapat maklum balas daripada kawan lama bahawa ia berlaku beberapa bulan lebih awal iaitu sekitar sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Hal ini insyaallah akan dipanjangkan dalam artikel akan datang.