Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Februari 11, 2021

Hubungan rumahku dengan pusat kerajaan Samudera-Pasai di Aceh...

Salam malam Jumaat. Keluar sebentar daripada cerita-cerita kenangan perjalanan jauh masa lalu. Ingin dikongsikan suatu penemuan yang tercetus daripada pertanyaan seorang kenalan petang Rabu.



Petang Rabu semalam seorang kawan datang bertandang ke rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang membawa seorang kenalan baru. Setelah beberapa lama berbincang isu-isu kebangkitan ummah di dalam rumah kami beralih ke rumah pokok 2 tingkat yang saya bina sendiri lebih sebulan lalu di satu kawasan berdekatan. Bual punya bual kawan tersebut bertanyakan arah kiblat di rumah pokok... apakah menghadap atau melalui kawasan kerajaan lama Beruas di Perak? Ini memandangkan saya telah menamakan rumah pokok itu sebagai Anjung Beruas.



Sebetulnya nama diberikan kerana saya pernah diberitahu oleh beberapa pihak bahawa di sekitar itu terdapat pusat kerajaan ghaib yang ada kena mengena dengan Beruas. Apapun, Beruas atau lebih tepat tapak pusat kerajaan terletak ke arah utara dari rumah. Sebaliknya secara spontan saya memberitahu arah kiblat kami harus merentasi suatu kawasan di Aceh. Untuk makluman Beruas ada kaitan tersendiri dengan Aceh kerana dikatakan telah diasaskan oleh Sultan Malikul Mansur, cucu kepada Sultan Malikus Saleh yang mengasaskan kerajaan Samudera-Pasai 800 tahun lalu (sekarang sebahagian daripada wilayah Aceh).



Saya sempat menyemak secara kasar laluan ke arah kiblat dalam Google Map melalui telefon pintar. Ini berdasarkan pengetahuan bahawa dari Semenanjung kiblat di di Mekah terletak pada arah sekitar 292 darjah dari utara menurut kompas. Semakan kasar menunjukkan memang ia ada melalui sekitar Aceh. Malam tadi baru tergerak untuk menyemak lebih tepat menggunakan program Google Earth. 

Caranya adalah dengan menyambungkan garisan dari rumah sehingga ke tengah Ka'abah seperti ditunjukkan dalam dua gambar paling atas. Apabila dizoom keluar untuk menunjukkan bagaimana garisan menyambungkan kedua-dua tempat kelihatanlah ia melalui utara Pulau Sumatera (kiri gambar atas) di mana terletaknya wilayah Aceh.



Zoom in untuk melihat lebih dekat bagaimana garisan memotong dari rumah. Memang jelas ada masuk sebahagian daripada Aceh.



Zoom in lebih dekat lagi. Didapati garisan melalui kota Lhokseumawe di Aceh sedangkan saya tahu kerana sudah beberapa kali sampai bahawa pusat kerajaan Samudera-Pasai terletak sekitar 20 km sahaja ke arah timur kota.



Saya pun mencari kedudukan makam Sultan Malikus Saleh. Kelihatan garisan memotong atau merentas tidak jauh dari situ.



Zoom in lagi untuk melihat di manakah garisan atau laluan dari rumah saya ke kiblat itu memotong Sungai Pasai. Cuma ia mula hilang bila cuba dizoom in lagi dekat.



Tak mengapa. Buat dahulu penanda kasar berdasarkan penglihatan. Tempat di mana garisan memotong sungai ditanda sebagai Intersect.



Kemudian digunakan satu tool atau alatan lain dalam Google Earth untuk membuat garisan baru ke kiblat lalu diberi warna merah. Dengan itu alatan pengukur (yang mengeluarkan garisan kuning) boleh digunakan untuk tujuan lain iaitu mengukur jarak dari tempat Intersect ke makam lalu didapati ia cuma 1.8 km.



Faham saya semua kawasan yang kelihatan ini termasuk di dalam tapak pusat kerajaan lama Samudera-Pasai...



Zoom in lebih dekat sehingga kelihatan suatu macam kawasan perumahan dekat tempat Intersect. Semua ini menunjukkan setiap kali saya dan keluarga bersolat menghadap kiblat dari rumah malah dari mana-mana tempat dalam suatu lingkaran jarak di taman perumahan kami turut menghadap pusat kerajaan Samudera-Pasai. Cukup perkongsian.



Rabu, Februari 10, 2021

Kenangan 'Menimbang' air Sungai Pahang 2016

Meneruskan gerak daripada artikel Kenangan sambutan Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai tahun 2017. Mempersembahkan artikel kompilasi ketiga bagi melengkapkan senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. 

Perjalanan ini dibuat Mei 2016 atas asbab mahu menghadiri satu majlis melibatkan ilmu sejarah di Kuala Lipis. Kebetulan pada masa itu negeri Pahang sedang mengalami musim kemarau sehingga sungai utamanya, Sungai Pahang yang juga merupakan sungai terpanjang di Semenanjung surut teruk lalu banyak bahagian menjadi daratan. Perjalanan ke Kuala Lipis pun digunakan untuk 'menimbang' air Sungai Pahang dan cabang-cabang utamanya seperti Sungai Jelai dan Sungai Lipis. Selepas Kuala Lipis perjalanan diteruskan menghilir aliran Sungai Pahang ke Jerantut membawa ke Temerloh kemudian Chenor lalu singgah ke banyak tempat.

1. Surau (Small praying hall of) Kampung Gemeti, Bentong 

2. 'Menimbang' air Sungai Pahang - Permulaan asbab perjalanan

3. Checking the condition of Sungai Lipis at Batu Malim

4. Checking the condition of Sungai Jelai at Kuala Medang

5. Masjid jamek (Main mosque of) Kampung Relong,Kuala Lipis 

6. Rupa baru makam Tok Linggi (New look of the tomb of Tok Linggi)

7. The limestone hill of Gua Bama - A tribute to President Obama?

8. Kuala Lipis railway station revisited after the big flood of 2014



12. 'Menimbang' air Sungai Pahang - Antara Sungai Lipis dengan Sungai Jelai

13. A visit to the Tengku Ampuan Afzan teaching institute in Kuala Lipis

14. Seminar Patriotisme di Kuala Lipis - Meningkatkan Patriotisme Melalui Pengalaman Sejarah

15. Masjid lama (Old mosque of) Kampung Tengku, Kuala Lipis

16. Checking the condition of Sungai Jelai-Sungai Tembeling meeting point

17. Masjid (Mosque of) Tengku Ahmad, Jerantut

18. Resting under the Jerantut Ferry bridge

19. Sungai Pahang from a point close to the road at Pulau Tawar

20. 'Menimbang' air Sungai Pahang - Kaitan Perak-Aceh membawa ke Pulau Tawar dan Mat Kilau

21. Checking the condition of Sungai Pahang besides Pulau Tawar old mosque



25. Rumah tradisional Pahang di Gunung Senyum (Pahang traditional house at Gunung Senyum)








Isnin, Februari 08, 2021

Kenangan sambutan Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai tahun 2017

Salam semua. Menyambung gerak serupa selepas mempersembahkan artikel kompilasi Kenangan menyahut panggilan hol Tok Pulau Manis 2019 pada 2 hari lalu. Ini adalah artikel kompilasi kedua bagi melengkapkan senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. 

Dikumpulkan artikel-artikel melibatkan sambutan Maulidur Rasul dan Hol Sheikh Abdullah al-Qumairi di Gunung Jerai hampir 4 tahun lalu. Selepas sambutan majlis berlangsung selama 2 hari 1  malam di Yan, Kedah termasuk di puncak gunung saya dibawa menziarahi seorang ulamak Kedah yang dianggap wali hidup iaitu Poksu Mid. Selepas itu menghala  ke Pulau Pinang diikuti Kuala Kangsar kemudian Sungai Siput dan Ipoh lalu singgah di banyak tempat. Ini termasuk mendaki sebuah bukit yang terasa ada kena mengena dengan kerajaan silam Gangganegara.

1. Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad

2. Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Selepas perarakan ke tengah malam

3. Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat

4. Makam (Tomb of) Abu Indrapuri

5. Surau (Praying hall of) Teungku Chik Lam U  

6. Surau (Praying hall of) Kampung Aceh, Yan, Kedah.

7. Pantai Murni waterfront in Yan, Kedah

8. The river that gave Sungai Petani its name.

9. Kedah side of Kuala Muda

10. Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Ziarah tak dirancang Poksu Mid sebelum menghala ke Pulau Pinang

11. Istana (Palace of) Kenangan, Kuala Kangsar










Sabtu, Februari 06, 2021

Kenangan menyahut panggilan hol Tok Pulau Manis 2019

Merujuk pada artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan yang dikongsikan 2 hari lalu. Saya sudah mendapat gerak apakah turutan yang patut diikut untuk mempersembahkan artikel-artikel kompilasi bagi melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. Biar dimulakan dengan beberapa perjalanan paling lewat yang telah dikongsikan cerita-ceritanya tetapi tidak dibuat kompilasi kemudian melompat jauh sehingga ke lebih 30 tahun lalu untuk membentuk beberapa siri baru. Selepas itu baru kembali ke masa terdekat menurut tahun yang menaik sehingga selesai perkara.

Artikel kompilasi pertama adalah tentang satu perjalanan yang dibuat bersama keluarga kurang 2 tahun lalu. Ia dibuat untuk menghadiri majlis hol Tok Pulau Manis, ulamak bertaraf wali Terengganu abad ke-17 Masihi di Kampung Pulau Manis dekat Kuala Terengganu. Seperti biasa kami mengambil kesempatan untuk singgah ke seberapa banyak mungkin tempat menarik dalam perjalanan pergi dan balik. Tanpa dirancang saya juga diminta untuk bercakap tentang Tok Pulau Manis bagi mengisi tempat seorang penceramah yang tidak dapat hadir ke majlis.

1. Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Ke Pantai Timur sambil mengenang pencarian lama

2. Telaga Simpul, Kemaman 

3. The hill besides Telaga Simpul in Kemaman

4. Masjid (Mosque of) Tengku Ampuan Intan Zahrah, Kuala Dungun

5. Dungun river from its Medan Ikan Bakar

6. Dungun river near the old Pulau Tenggol jetty

7. Marang river waterfront

8. Terengganu river and the 'tower bridge'

9. The 'extended' Terengganu river mouth 

10, Views from the Pesisir Payang waterfront

11. Lawatan kembali Masjid Tokku Paloh (Tokku Paloh mosque revisited) 

12. Galeri (Gallery of) Tok Pulau Manis 

13. Haul Tok Pulau Manis - Apabila penyanyi rock Awie beraksi pada acara julungkali

14. Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Dari Kuantang ke Londong

15. Haul Tok Pulau Manis - Membuka kaitan Saidina Hassan dan rahsia berkenaan secara bidan terjun

16. Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf

17. Menyahut panggilan haul Tok Pulau Manis - Berkat keturunan Saidina Hassan?

18. Masjid (Mosque of) Kampung Langgar, Kuala Berang

19. Makam (Tomb of) Tok Surat

20. First proper visit to Tasik Kenyir with the wife and two young sons

21. Haul Tok Pulau Manis - Kemuncak zikir dan maulud Nisfu Sya'aban. Apabila diri yang hina dimuliakan seorang ulamak besar Tasawuf


Khamis, Februari 04, 2021

Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan


Gambar daripada perjalanan ke tempat-tempat berkuda di Perancis tahun 2000...


Salam semua. Hari ini tinggal sekitar 9 hari lagi sebelum masuk bulan Islam Rejab. Selepas itu bulan Sya'aban diikuti Ramadhan kemudian Syawal. Teringat pula bagaimana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menangani masalah penularan virus Covid-19 bermula 18 Mac tahun lepas iaitu bersamaan 23 Rejab gitu lalu berlanjutan sehingga penghujung Syawal. Akibatnya ramai tidak dapat balik beraya di kampung. Ini kerana larangan perjalanan rentas negeri malah keluar lebih 10 km dari rumah sendiri pun tak boleh.

Kini kita berhadapan lagi dengan situasi serupa apabila PKP yang dilaksanakan kembali 13 Januari 2021 dilanjutkan sehingga 18 Februari. Selepas itu entah bagaimana? Takut dilanjutkan lagi dan lagi sehingga penghujung Syawal seperti tahun lepas. Apapun, apa yang hendak dikongsikan kali ini adalah satu perkara yang terbit akibat PKP tahun lepas... 

Setelah berapa lama tidak dapat keluar untuk berjalan jauh timbul rasa untuk membuat senarai perjalanan-perjalanan terjauh yang dapat diingati dalam hidup. Ini merujuk pada perjalanan yang dibuat sendiri atau mengikut suatu kumpulan, bukan perjalanan mengikut ibu bapa dan sebagainya seperti pada zaman kanak-kanak. Maka diletakkan had bahawa senarai hanya mengandungi perjalanan setelah berumur 18 tahun. Ini adalah selepas 26 November (tarikh kelahiran saya) pada tahun 1988. Ketika itu saya sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level sebagai persediaan untuk ke luar negara.

Jarak dikira berdasarkan perjalanan di laut dan darat sahaja. Jarak perjalanan dalam pesawat di udara  tidak termasuk kerana berkali ganda jauh lebih cepat dan tidak mencabar seperti halnya di muka bumi. Contohnya pergi ke London, 10,000 km dari Kuala Lumpur dengan penerbangan selama 13 jam. Takkan itupun hendak diambil kira? Lain le kalau di laut mahupun daratan kerana harus memakan masa tidak kurang sebulan dan perlu melalui bentuk muka bumi yang mencabar.

Saya sebut perjalanan terjauh yang dapat diingati kerana sudah membuat sangat banyak perjalanan lalu sudah terlupa butiran. Setelah berapa lama membandingkan jarak perjalanan yang pernah direkodkan sambil mengorek kembali ingatan perjalanan tidak dirakam dapatlah mengumpulkan senarai 50 perjalanan yang semuanya memakan jarak lebih 1,000 km. Turut dikumpulkan 11 perjalanan yang dikira istimewa tetapi tidak cukup jarak untuk memasuki 'carta 50'. Ia dikira istimewa berdasarkan tempat-tempat juga misi berkenaan dalam suatu perjalanan.

Setiap satu dibuat peta lakaran ringkas menggunakan program Google Map. Lakaran terperinci tidak dapat dibuat kerana program menghadkan 10 sahaja tempat persinggahan bagi setiap peta lalu anggaran bagi jarak perjalanan sebenar harus dibuat jika tidak ada rekod. Turut disertakan pautan bagi setiap peta supaya dapat diteliti umum. Mahu disertakan sekali adalah pautan yang memberikan akses atau capaian bagi setiap cerita yang pernah dibuat tentang perjalanan. 

Ini boleh dilakukan dengan mudah bagi perjalanan-perjalanan selepas pertengahan tahun 2006 kerana ketika itulah saya mula menulis di blogspot lalu rajin merekodkan perjalanan. Satu pautan bagi setiap perjalanan boleh disediakan kerana setelah berkongsi cerita perjalanan saya selalu membuat artikel kompilasi yang mengumpulkan semua cerita secara bersiri. Namun ada juga cerita yang dikongsikan tetapi tidak dibuat kompilasi kerana tidak merasakan ada keperluan ketika itu. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan sejak lama saya cuma membuat artikel kompilasi bagi perjalanan yang memakan masa 5 hari 5 malam ke atas. Sedangkan ada perjalanan dibuat lebih 1,000 km dalam tempoh kurang 24 jam lalu berlaku banyak persinggahan dan perkara menarik dalam tempoh waktu sedikit itu.

Sebahagian daripada perjalanan dalam 'carta 50' dan '11 istimewa' ini tidak pernah dipanjangkan di blogspot kerana berlaku sebelum mula rajin merekod. Ada yang pernah disebut sepintas lalu dalam cerita-cerita lain tetapi sebenarnya layak untuk dikembangkan menjadi siri sendiri dengan beberapa bahagian. Untuk melengkapkan senarai setiap perjalanan perlu ada pautan bagi artikel yang memberikan cukup cerita dan butiran. Maka itu mana yang belum dibuat cerita harus dibuat cerita, mana yang ada cerita tetapi tidak pernah dibuat kompilasi harus dibuat kompilasi.

Atas sebab itulah dalam tempoh 2 bulan lebih kebelakangan saya ada membuat satu siri cerita  yang membawa kepada artikel Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung 3 hari lalu. Dengan itu biar diumumkan hal serupa akan dibuat bagi sejumlah lagi perjalanan sebelum mengeluarkan senarai penuh. Didapati bahawa daripada sejumlah 61 perjalanan dalam senarai (50 terjauh dalam ingatan + 11 istimewa) terdapat 20 perlu dilengkapkan dokumentasinya. Oleh itu biar dikongsikan senarainya seperti berikut. Saya buat ini sebagai checklist bagi perkongsian akan datang namun tidak semestinya ia akan keluar mengikut turut yang kelihatan...


1. Hitchhike Eropah tahun 1995

2. Projek dokumentari Daulah Melayu tahun 2015

3. Perjalanan 2 bulan Pantai Timur dan Selatan lalu ke Utara tahun 2006-2007

4. Pengembaraan setelah trilogi buku "Berpetuang ke Aceh" keluar (tahun 2007-2008)

5. Berkuda di Perancis tahun 2000

6. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 

7. Berpetualang ke Aceh tahun 2004 

8. Perjalanan buku "Berpetuang ke Aceh" tahun 2007

9. Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003

10. Pengembaraan bulan Julai 2007

11. Berbasikal ke separuh Semenanjung sekitar tahun 1990 

12. Sewa kereta ke separuh England tahun 1994

13. Hol Tok Pulau Manis tahun 2019

14. Ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 

15. Maulidur Rasul dan hol di Gunung Jerai tahun 2017

16. Bermotosikal mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000

17. Kali pertama ziarah ke makam-makam lama tahun 2001 

18. Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003

19. ‘Menimbang’ Air Sungai Pahang tahun 2016

 20. Menyusur Sungai Johor tahun 2015 


Isnin, Februari 01, 2021

Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung

OK. Sementara masih ada lagi baki tarikh 1 Februari yang merupakan tarikh sambutan Hari Wilayah biar dipersembahkan artikel kompilasi ini. Ia sepatutnya sudah menghiasi blogspot CATATAN SI MERAH SILU siang tadi. Tetapi disebabkan rasa kepenatan amat selepas membuat suatu kerja diikuti beberapa hal lain baru kini berkesempatan menyiapkannya.


Artikel ini mengumpulkan semua cerita dalam siri "Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung" yang dikongsikan di blogspot 22 November 2020 hingga 29 Januari 2021. Ia dibuat untuk mengingati sebanyak mungkin butiran perjalanan jauh pertama kali saya dengan motosikal besar kesayangan yang dibeli pertengahan tahun 1997. Hujung tahun itu baru berpeluang berjalan jauh dengannya setelah akhirnya dibenarkan mengambil cuti tahunan. Ini kerana cuti cuma boleh diambil setelah cukup setahun berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times.

Oleh kerana mula masuk berkhidmat pada 16 September 1996 selepas 15 September 1997 baru boleh mengambil cuti sedangkan saya layak mengambil sehingga 28 hari setahun. Saya pun memilih untuk memulakannya hampir hujung tahun supaya jumlah cuti dapat bertambah secara pro rata dicampur cuti umum Hari Krismas 25 Disember, cuti Tahun Baru 1 Januari membawa sekali ke cuti Hari Raya Aidilfitri penghujung bulan Januari. Hasilnya dapatlah bercuti selama 46 hari secara berterusan. Peluang ini digunakan untuk membuat perjalanan solo keliling Semenanjung juga berehat panjang di tempat kelahiran dan membesar di Muar.

Saya juga mengambil peluang untuk menjejakkan kaki ke empat 'sudut' paling hujung di Semenanjung. Ini merujuk pada sudut paling utara barat di sempadan Perlis-Thailand, sudut paling utara timur di sempadan Kelantan-Thailand, sudut paling selatan timur dekat Teluk Ramunia, Johor dan sudut paling timur selatan barat di Tanjung Piai, Johor. Dalam tempoh masa berkenaan sempat mendaki Gunung Jerai di Kedah, Gunung Ledang di Muar dan Gunung Lambak di Kluang. Saya juga sempat mengelilingi seluruh Pulau Pinang diikuti seluruh Pulau Langkawi lalu perjalanan yang pada mulanya dianggarkan memakan jarak 2,700 km rupa-rupanya mencapai 3,850 km apabila dapat dikorek kembali butiran. 


1. Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu

2. Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands

3. Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas

4. Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau

5. Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur.

6. Petunjuk tentang kerajaan awal Terengganu

7. Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan

8. Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung

9. Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya

10. Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau

11. Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah

12. Menghabiskan baki cuti kerja di Muar sebelum kembali ke Kuala Lumpur


Jumaat, Januari 29, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menghabiskan baki cuti kerja di Muar sebelum kembali ke Kuala Lumpur

Salam tengah hari Jumaat ke-5 tahun 2001 dan terakhir bagi bulan Januari. Sampai masanya untuk menyelesaikan terus cerita kenangan perjalanan 23 tahun lalu ini. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah.


Pada tarikh yang diperkirakan adalah 14 Januari 1998 iaitu pada hari Rabu bersamaan 15 Ramadhan 1418 Hijriah sampailah saya ke bandar dan daerah tempat dilahirkan lalu membesar iaitu Muar. Gambar daripada artikel Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak... tahun 2010 ini menunjukkan keadaan di satu jalan utama tengah bandar. Keadaan dan rupa tidak banyak berbeza daripada zaman saya kanak-kanak tahun 1970an sehinggalah kini sudah berumur 50an. Cuma semasa kecil dahulu boleh kelihatan ramai orang berbasikal dan naik beca.


Gambar rumah lama saya berdekatan Tanjung Emas, Muar ini pula diambil daripada artikel Tempat jatuh lagi dikenang.... Artikel yang dipersembahkan tahun 2007 itu mengandungi sejumlah gambar tempat-tempat berdekatan yang selalu dilalui atau disinggahi ketika zaman kanak-kanak dan remaja. Ketika itu keluarga sudah sekitar 8 tahun berpindah ke rumah baru di Kampung Temiang, 5 km ke barat laut bandar. Selepas dilahirkan di hospital besar Muar 26 November 1970 pada malam Jumaat yang tarikh Islamnya adalah 27 Ramadhan 1390 Hijriah (malam Tujuh Likur) di sinilah saya membesar dan menetap sehingga berlepas ke luar negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang Matematik di Universiti College of London pertengahan tahun 1991. 



Dalam tempoh masa tersebut saya berada jauh apabila menginap di asrama dalam tempoh persekolahan di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang 1983 hingga 1986 juga di kolej untuk pengajian peringkat A Level pertengahan tahun 1988 hingga suatu waktu sebelum bertolak ke London. Di rumah itulah saya menghabiskan baki cuti kerja setelah lebih 3 minggu berkelana seorang diri dengan motosikal besar. Dalam artikel pembukaan siri iaitu Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands ada dibuat kira-kira bahawa berdasarkan fakta mula berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times pada 16 September tahun 1996 saya boleh mengambil cuti sehingga 42 hari kerana belum pernah bercuti (kecuali cuti biasa sehari seminggu) sebelum itu. Kalau dicampur cuti  umum Hari Krismas dan Tahun Baru jadi 44 hari. Oleh kerana perjalanan pusing Semenanjung ini dimulakan pada 21 Disember 1997 maka saya harus kembali bekerja hanya selepas 2 Februari 1998.



Namun perlu diingat juga ketika perjalanan masuk hari ke 11 iaitu pada 31 Disember 1997 bulan puasa Ramadhan pun bermula. Rujuk balik hal berkenaan dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur. Menurut program Gregorian to Hijriah Converter (mengubah tarikh Masihi ke Hijriah dan sebaliknya) tarikh 1 Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri pula jatuh pada hari Khamis 29 Januari 1998 iaitu tepat 23 tahun Syamsiah yang lalu (berdasarkan peredaran matahari sepertimana digunakan kalendar Barat yang 5 hari lebih panjang berbanding setahun dalam tahun Qamariah iaitu berdasarkan bulan seperti digunakan dalam kalendar Islam). Ini bermakna cuti umum Aidilfitri selama 2 hari mesti dimasukkan ke dalam kira-kira menjadikan jumlah cuti 46 hari. Lalu saya cuma perlu kembali bertugas di pejabat selepas 4 Februari.



Tarikh diperkirakan kembali ke Muar iaitu 14 Januari itu adalah hari ke-25 bercuti iaitu berdasarkan perjalanan bermula 21 Disember. Ertinya ada baki 21 hari untuk berehat sebelum kembali bertugas. Disebabkan sudah lebih setahun tidak mengambil cuti Muar menjadi tempat melepaskan rindu seraya berehat panjang selepas lebih 3,000 km menunggang motosikal besar seorang diri. Namun orang macam saya selama mana boleh tahan duduk di rumah sahaja? Pusing-pusing sekitar bandar itu sudah pasti. Masa yang terluang pun digunakan untuk meneroka banyak lagi tempat seperti halnya di Johor Bahru. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau.




Dalam tempoh masa itu saya pergi ke tempat-tempat seperti Bukit Kepong yang terletak 60 km dari rumah lama tetapi masih di dalam daerah Muar  Peluang juga diambil untuk pergi ke beberapa tempat lain dalam daerah yang belum pernah dijejaki sebelumnya, baru kali itu berpeluang kerana sudah memiliki kenderaan sendiri. Sebelum itu perjalanan saya terhad pada menaiki kenderaan awam selain menumpang kenderaan orang. Walau tak ingat dan tak tahu tarikh tepat saya pasti memang ada berjalan ke beberapa tempat. Gambar atas diambil daripada artikel Muar, Bukit Kepong dan Pulau Besar sekitar awal Muharram tahun 2018. Galeri kelihatan baru siap lalu dibuka dalam setahun dua itu.



Satu tempat yang pasti turut dituju adalah Gunung Ledang 30 km lebih dari bandar Muar. Dahulu ia terletak di dalam daerah Muar. Sekitar 15 tahun lalu, kalau tak salah, daerah dipecah dua lalu gunung terletak di dalam sempadan daerah Tangkak. Semasa zaman sekolah dahulu saya ada 2-3 kali pergi ke air terjun di kaki dan lereng gunung. Setelah beberapa lama baru merasa naik ke puncak - setelah menunggang motosikal besar hampir ke puncak kemudian  berjalan kaki...

Saya ingat-ingat lupa apakah pendakian menggunakan motosikal itu berlaku dalam perjalanan pusing Semenanjung tahun 1998? Atau apakah ia berlaku dalam sesi perjalanan lain? Tetapi apabila mengingatkan kembali ada membeli jam yang boleh mengukur ketinggian dari paras laut sehari sebelum kembali ke Muar (rujuk artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah) besar kemungkinan ia memang berlaku dalam perjalanan ini. 

Ya. Baru teringat ada mengukur ketinggian dengan jam untuk dipadankan dengan ketinggian rasmi gunung iaitu 1,270 meter dari paras laut. Saya juga ingat ada beberapa kali berpatah balik dari kaki gunung ke arah bandar (dahulu pekan) Tangkak untuk mencari jalan masuk yang boleh membawa naik ke atas, jalan kasar yang lebih sesuai bagi kenderaan pacuan empat roda pergi ke menara telekomunasi berdekatan puncak.


Gambar ini dan sebelumnya diambil dari artikel Ke puncak Gunung Ledang bersama anak dan isteri sebelum menutup hari di Alor Gajah tahun 2011. Ia dibuat selepas sampai ke puncak bersama isteri dan anak. Adapun dari Bukit Kepong kita boleh ke Gunung Ledang sebelum kembali ke bandar Muar. Tetapi memikirkan masa yang diperlukan untuk berjalan di kedua-dua tempat apa lagi naik ke puncak gunung saya mesti telah pergi ke Gunung Ledang pada hari yang berlainan.

Bahkan dalam tempoh 21 hari menunggu cuti kerja habis tak mustahil saya pergi ke Gunung Ledang lebih dari sekali malah beberapa kali. Saya pasti ada mandi di air terjun yang terletak jauh dari laluan naik ke puncak. Boleh kata setiap kali akan naik ke tingkat tertinggi air terjun lalu memakan masa. Ini bermakna besar kemungkinan saya ke air terjun bukan pada hari sama mendaki ke puncak.




Berdasarkan maklumat-maklumat tersebut perjalanan saya di sekitar Muar sehingga kembali ke Kuala Lumpur boleh dilakarkan secara ringkas seperti di atas. Jalan Abdul Rahman dalam peta merujuk pada kedudukan rumah lama sedangkan Bangsar adalah tempat menetap ketika itu di KL. Namun ini belum dicampur jarak pusing merata di sekitar bandar Muar mahupun tempat-tempat seperti Melaka, Seremban dan Kajang. Bila dicampur jaraknya harus melebihi 550 km.

Walaupun ada kemungkinan saya bermalam di rumah milik keluarga di Kajang sebelum ke KL, walaupun dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan 12 hari lalu ada disebut tentang ketidakpastian beberapa hari menginap di suatu tempat lalu mungkin harus dinilai kembali beberapa tarikh sampai pada penghujung siri saya fikir ia tidak berapa penting lagi. Yang penting segala laluan yang dilakarkan berdasarkan apa yang dapat dikorek daripada ingatan boleh dipakai berserta anggaran jarak di luar lakaran dan saya harus kembali ke KL sebelum 4 Februari 1998 yang harus bersamaan 7 haribulan Syawal tahun 1418 Hijriah. Oleh itu jarak lebih 550 km di atas boleh dicampur dengan jarak keseluruhan perjalanan sebelum berehat di Muar iaitu sekitar 3,290 km. Dengan itu tidak keterlaluan untuk mengisytiharkan bahawa perjalanan pertama pusing Semenanjung bermotosikal besar secara solo 23 tahun lalu itu menghampiri kalau tidak mencapai pun jarak keseluruhan yang boleh dibulatkan sebagai 3,850 km. Malah kalau dikorek lagi butiran tak mustahil boleh mencapai 4,000 km namun cukuplah itu.



Rabu, Januari 27, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah

OK. Siri ini semakin menghampiri penghujungnya. Tanpa membuang masa lagi biar disambung cerita daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau.


Setelah 3 malam menginap di Johor Bahru lalu meneroka persekitaran sampai masanya untuk bergerak kembali ke arah utara. Pada tarikh yang diperkirakan adalah 13 Januari 1998 iaitu pada hari Selasa bersamaan 14 Ramadhan 1418 Hijriah saya pun meninggalkan rumah datuk saudara di Bandar Baru UDA. Singgah di Kulai yang terletak dalam laluan. Ketika itu ia masih sebuah pekan sederhana besar, bukan bandar seperti dilihat dalam gambar atas (diambil dari Internet, menunjukkan keadaan pada tahun 2020). 





Timbul dalam ingatan di sini saya ada membeli sebuah jam tangan jenama Casio G-Shock berharga hampir atau sekitar RM500. Lebih kurang beginilah rupa jam tersebut. Mungkin lain sedikit tapi dekat-dekat sama. Saya ingat ada membeli di Kulai kerana itulah kali pertama membeli jam semahal itu. Ia perkara besar bagi saya tapi mungkin perkara kecil sahaja bagi sesetengah kawan yang sudah biasa memakai jam berharga ribuan malah berpuluh ribu Ringgit.

Saya tertarik kerana ia ada fungsi untuk menyukat suhu (thermometer), tekanan udara (barometer) dan ketinggian suatu tempat dari paras laut (altimeter). Cuma apabila difikir balik ada kemungkinan ia dibeli di Kulai bukan selepas meninggalkan Johor Bahru tetapi dalam tempoh 3 malam menginap di sana. Ini boleh jadi kerana Kulai terletak tidak jauh daripada laluan menuju ke Pekan Nenas lalu ke Tanjung Piai. Seingat saya juga di Kulai ada mencari kalau tidak pun singgah rumah seorang datuk saudara.



Saya juga ada mengambil simpang ke Lapangan Terbang Senai. Cuma seperti hal membeli jam tadi boleh jadi pergi ketika masih dalam tempoh menginap di JB, boleh jadi kemudian. Tetapi untuk perkiraan jarak biar dianggap lawatan berlaku pada hari Selasa. Ini kerana ia tidak diambil kira dalam artikel sebelum ini




Seterusnya saya naik lebih utara ke Simpang Renggam kemudian ke bandar Kluang. Di situlah saya pernah bersekolah menengah tahun 1983 hingga 1986. Gambar diambil daripada artikel Trip anak-beranak ke Desaru - Deja vu Bukit Inas melengkapkan misi Batu Pahat tahun 2014. Yang ingat dengan jelas, tidak lama selepas mendapatkan penginapan di sebuah hotel murah saya menunggang motosikal besar kesayangan ke kaki Gunung Lambak.




Sampai sekitar jam 5 petang tergerak untuk mendaki hingga ke puncak. Saya ingat ini kerana gunung itu sentiasa segar dalam kenangan akibat boleh melihatnya setiap hari daripada sekolah menengah di Kluang. Saya pertama kali mendaki hingga ke puncak setelah berkhemah bersama pasukan pengakap ketika berada pada Tingkatan 1 tahun 1983. Ketika itu saya masih seorang pelajar yang agak berdisiplin dan dikira baik lalu dilantik menjadi ketua pengakap.



Gambar atas yang diambil daripada artikel  Nostalgia Sekolah Menengah Sains Johor... (tahun 2009) diambil ketika pendakian kedua bersama kawan-kawan sekelas pada Tingkatan 3 tahun 1987.  Ketika itu saya sudah jadi seorang budak nakal yang kuat melawan. Pendakian tahun 1998 adalah yang ketiga dalam ingatan. Ketika mendaki ada terserempak 2-3 orang turun kerana sudah lewat. Saya turun ketika hampir waktu Maghrib. Dah gelap baru dapat keluar hutan lalu berbuka puasa. 



Esok siang yang harus jatuh pada hari Rabu 14 Januari baru berkesempatan untuk melihat sekolah lama  iaitu Sekolah Menengah Sains Johor di pinggir barat bandar Kluang. Tapi sebetulnya saya tak pasti ada masuk ke dalam atau sekadar melihat dari luar. Seingat saya kali terakhir ada singgah ke sekolah sebelum itu adalah pada tahun 1987. Ketika itu saya sedang belajar di Sekolah Tinggi Muar. Ini disebabkan saya telah dibuang dari Sekolah Sains penghujung tahun 1986 disebabkan masalah disiplin.

Gambar atas diambil daripada artikel Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... tahun 2008. Setelah beberapa lama saya akhirnya berkesempatan melihat ke dalam. Pada tahun 1998 besar kemungkinan saya melihat sahaja di luar kerana dua sebab. Satu, orang sedang bersekolah, bukan waktu cuti lalu orang 'luar' tidak dibenarkan masuk. Kedua ada kenangan pahit daripada lawatan tahun 1987 di mana saya masuk melawat kawan-kawan akibat merasa rindu dengan mereka dan kehidupan lama berasrama. Tetapi saya dipaksa keluar lewat malam setelah didapati cuba menginap tanpa kebenaran.




Ini adalah gambar bandar Batu Pahat diambil di Internet. Dari Kluang saya bergerak ke Ayer Hitam diikuti Batu Pahat. Kedua-dua tempat ini malah sepanjang laluan segar dalam ingatan kerana selalu disinggahi dalam perjalanan kembali ke kampung di Muar dari sekolah di Kluang dan sebaliknya. Ada kemungkinan saya menginap di Kluang dua malam tetapi anggaplah ia cuma satu malam. Dengan itu pada hari yang sama juga iaitu Rabu 14 Januari saya kembali ke Muar lalu berehat lama untuk menghabiskan cuti kerja.




Peta ringkas laluan menunjukkan Lapangan Terbang Senai terletak sebelum Kulai dari Johor Bahru. Oleh itu saya harus ke Senai dahulu sebelum ke Kulai. Tapi boleh jadi juga saya pergi kemudian kerana baru terfikir hendak pergi setelah sampai ke Kulai. Selain itu baru teringat dari bandar Kluang ada bergerak buat satu jarak ke arah Mersing sebelum kembali ke bandar. 

Dalam perjalanan tersebut saya ada menaiki satu jalan mendaki ke suatu macam stesyen, sama ada stesyen askar atau tempat simpanan air di sisi utara Gunung Lambak. Apapun diperkirakan jarak diliputi termasuk berjalan-jalan di Kluang dan Batu Pahat harus melebihi 240 km. Campur jarak keseluruhan sebelum ini iaitu 3,045 km tidak keterlaluan untuk membulatkan menjadi sekitar 3,290 km.

Oh. Ini adalah artikel ke-1,991 di blogspot. Nombor tersebut mengingatkan pada tahun 1991 di mana saya berlepas ke United Kingdom untuk menyambung pengajian dalam bidang matematik di University College of London. Saya pernah menulis sejumlah artikel khas untuk kenangan awal di sana. Ia boleh dicapai melalui artikel Up balik : Kenangan zaman UK. 


Isnin, Januari 25, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau

Salam. Sampai masanya untuk bercerita lagi tentang perjalanan 23 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya.


Pada penghujung artikel terdahulu ada disebut dari Kota Tinggi saya bergerak masuk ke bandar (kini bandar raya) Johor Bahru. Ini diperkirakan berlaku pada hari Sabtu 10 Januari 1998. Jarak keseluruhan perjalanan pun mencapai 2,665 km.


Seingat saya sampai sahaja ke tengah bandar terus singgah ke bangunan KOMTAR atau Kompleks Tun Abdul Razak. Ini kerana buat berapa lama (dan rasanya masih terpakai pada tahun 1998) ia adalah bangunan tertinggi di JB selain merupakan satu bangunan ikonik sana. Adapun gambar atas yang diambil daripada artikel Nostalgia di tengah bandaraya Johor Bahru (tahun 2008) menunjukkan keadaan bangunan sedang kosong akibat kerja-kerja pengubahsuaian. Dalam perjalanan tahun 1998 ia masih lagi meriah kerana di situlah terletak kompleks membeli belah utama di seluruh JB malah seluruh negeri Johor.



Dari pusat bandar saya mengambil jalan menyusuri pantai dan Selat Tebrau menghala ke Bandar Baru UDA di Tampoi. Ada disebut dalam artikel terdahulu bahawa selat ini memisahkan Semenanjung dengan Pulau Singapura (kelihatan di seberang perairan dalam gambar). Gambar daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pusara si Bongkok, Tanjung Puteri... tahun 2010 ini menunjukkan sebahagian daripada laluan berkenaan tetapi daripada arah yang berlawanan. Laluan ini pergi dan balik segar dalam ingatan kerana semasa zaman membesar di Muar tahun 1970 hingga 1982 boleh kata saya dan keluarga pergi ke Johor Bahru untuk menziarahi saudara mara sekurang-kurangnya sekali setiap tahun. Dan setiap kali itu mesti ada mengambil laluan.




Saya ke Bandar Baru UDA kerana terdapat rumah datuk saudara dan keluarganya. Dahulu mereka menetap di kuarters Hospital Sultanah Aminah, lebih dekat ke pusat bandar. Sekitar tahun 1985 kalau tak salah baru berpindah ke Bandar Baru UDA. Gambar yang diambil daripada artikel Perjalanan di selatan penghujung 2020 - Antara Al-Attas dan Al-Jilani ini menunjukkan bahagian hadapan rumah dalam lawatan terbaru kurang 5 minggu lalu. Dahulu ia cuma rumah teres ringkas yang tidak seberapa. Sekarang sudah begitu cantik, ada binaan kayu berukir di hadapan. 



Walaupun rumah tidak seberapa, walau terdapat saudara lain di JB dengan rumah lebih besar dan mewah rumah datuk saudara tetap menjadi pilihan disebabkan selalu menziarahi beliau sejak kecil. Lalu ia menjadi tempat penginapan dan rehat saya buat 3 malam seterusnya juga pusat penerokaan untuk ke tempat-tempat lain. Dari sana saya ke Tanjung Piai yang merupakan kawasan paling hujung selatan di Semenanjung. Terletak sekitar 65 km dari JB ia juga merupakan kawasan paling hujung selatan di seluruh tanah besar Benua Asia. Ini harus berlaku pada hari Ahad 11 Januari.

Dalam konteks 'mengejar' empat sudut di Semenanjung ia adalah sudut paling selatan dan barat serta sudut terakhir dicapai dalam perjalanan. Sekadar mengingatkan - sudut ketiga sudah dicapai dua hari sebelum sampai ke JB (lihat Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ke Mersing diikuti sudut paling hujung selatan barat Semenanjung.) sementara sudut kedua dan pertama dicapai hampir 2 minggu lebih awal (lihat Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur). Gambar daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pontian di siang hari...(tahun 2010) ini menunjukkan binaan batu besar yang menandakan keistimewaan Tanjung Piai. Rasanya ketika lawatan tahun 1998 belum ada lagi binaan.


Kalau tak salah pada hari itu juga saya mengambil Second Link atau Laluan Kedua masuk ke Pulau Singapura iaitu jambatan menyeberangi Selat Tebrau melalui Tuas. Yang pasti memang ada pergi. Ia dipanggil Laluan Kedua kerana sebelum dibuka sekitar tahun 1997 cuma terdapat satu sahaja laluan kenderaan darat ke pulau iaitu melalui Tambak Johor dekat pusat bandar Johor Bahru. Gambar daripada artikel Kembara Johor-Riau : Muar, Singapura, Parit Betak tahun 2011 ini menunjukkan saya dan keluarga sedang menunggu giliran untuk masuk ke sempadan. 

Dalam perjalanan tahun 1998 saya tidak perlu menunggu lama kerana satu, sedang menaiki motosikal besar lalu tidak perlu beratur sangat seperti halnya naik kereta. Kedua, belum ramai lagi orang menggunakan laluan Tuas kerana ia masih baru dibuka. Ketiga, saya masuk sekadar sampai ke hadapan pusat imigresyen yang sudah terletak di dalam negara Singapura. Namun kemudian berpatah balik kerana tidak membawa paspot antarabangsa. Cukuplah dapat menaiki Laluan Kedua ke seberang sambil melihat pemandangan. Itupun sudah memuaskan asalkan sampai.

Lagipun bukan niat saya dalam perjalanan ini untuk menyeberang ke mana-mana negara luar. Kalau tidak tentu lebih awal saya sudah masuk ke Thailand kerana sudah sampai ke sempadan dari sekurang-kurangnya tiga tempat - satu di Perlis, dua di Kelantan. Niat saya dalam perjalanan adalah untuk pusing seluruh Semenanjung menurut arah jam sambil mencapai empat sudut paling jauh iaitu sudut paling utara ke barat Semenanjung, sudut paling utara ke timur, sudut paling selatan ke timur dan sudut paling selatan ke barat. Lawatan ke Tanjung Piai telah melengkapkan empat sudut. Yang belum selesai adalah perjalanan pusing Semenanjung.



Turut dilawati adalah lebuh raya dan jambatan panjang menyeberangi Sungai Johor dekat Kampung Kong Kong lebih 40 km ke barat rumah datuk saudara. Ini harus berlaku pada hari Isnin 12 Januari. Walau ketika itu lebuh raya masih dalam pembinaan, walau ia baru bukaan tanah merah dan tiang jambatan pun belum ada lagi saya begitu teruja untuk melihat kawasan. Ini disebabkan keluasan Sungai Johor lebih 4 km di sekitar itu sedangkan berita tentang pembinaan ada dibaca di surat khabar sebulan dua lebih awal.

Gambar daripada artikel lama Trip anak-beranak ke Desaru - "Diserang' Angry Bird di Johor Bahru dan 313 di tempat rehat ini menunjukkan keadaan ketika saya pertama kali melalui jambatan penghujung tahun 2014. Pada tahun 2009 saya ada mengambil lebuh raya berkenaan tapi jambatan belum siap. Lihat Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih. Dalam tempoh beberapa hari itu entah berapa kali saya juga ada keluar masuk pusat bandar Johor Bahru. Sedikit butiran yang dapat diingat inipun cukup untuk menunjukkan jarak perjalanan di sekitar melepasi 200 km malah lebih jauh.



Lakaran ringkas perjalanan di sekitar Johor Bahru menunjukkan jarak mencapai 274 km. Campur pusing sana sini di tengah bandar JB diikuti beberapa tempat seperti Gelang Patah (dalam perjalanan ke Tuas), Pekan Nenas (dalam perjalanan ke Tanjung Piai) dan sebagainya harus mencapai 290 km. Sebetulnya saya ada pergi meninjau kawasan pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Johor sebanyak dua kali kerana merasa tidak puas hati dengan pemerhatian pertama. Jarak pergi balik dari rumah datuk saudara  pun sudah 90 km. Maka jarak sebenar perjalanan harus mencapai 380 km. 

Campur jumlah perjalanan terdahulu iaitu 2,665 km (rujuk kembali Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sekitar Pengerang membawa ke Kota Tinggi dan seterusnya) ini menjadi 3,045 km, sudah melepasi 3,000 km. Sedangkan sebelum memulakan siri jangkaan saya adalah jarak keseluruhan perjalanan hingga selesai kembali ke Lembah Klang baru 2,700 km. Tu dia.