Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Disember 31, 2024

Perjalanan selatan penghujung 2024 - Ke Port Dickson membawa ke Masjid Tanah dan Muar

Salam malam 1 Rejab yang juga merupakan malam terakhir bagi tahun Barat 2024. Setelah mengambil agak banyak masa bagi menyiapkan lalu menyajikan artikel Wawasan ketauhidan untuk para ilmuwan - Menegaskan hala tuju universiti Islam juga pemikir awam biar cerita seterusnya perjalanan dibuat ringkas. Bersambung daripada artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Menguji kereta 'baru' bagi perjalanan jauh.



Di kampung isteri di Tanjung Sepat kami lebih banyak berehat, kali ini di rumah seorang abang beliau yang baru sebulan dua siap, bersebelahan dengan rumah pusaka keluarga yang menjadi tempat kebiasaan menginap. Sambil itu dua orang anak menghabiskan masa dengan kawan sebaya yang berpangkat anak saudara mereka. Dekat jam 5 petang baru bersedia untuk menyambung perjalanan ke selatan.




Kami mengambil jalan menyusur pantai barat...




Sampai di Port Dickson berhenti berehat menghadap laut.




Dapatlah menyambung lagi sedikit bacaan Al Quran. Sasaran hari itu adalah untuk menamatkan juzuk ke-26.



Ketika masuk waktu Maghrib sedang mengambil jambatan menyeberangi Sungai Linggi dekat kuala masuk ke negeri Melaka.




Setengah jam kemudian lalu di Pantai Puteri. Dari situ masuk ke Tanjung Keling...




Sampai Masjid Tanah singgah bersolat di masjid lama yang memberikan nama. Lihat artikel Lawatan malam ke (Night visit to) "Masjid Tanah" di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Sekitar 10.45 baru sampai bandar Muar lalu singgah makan di medan selera Bentayan...




Wawasan ketauhidan untuk para ilmuwan - Menegaskan hala tuju universiti Islam juga pemikir awam

OK. Sebelum menyambung cerita perjalanan daripada Perjalanan selatan penghujung 2024 - Menguji kereta 'baru' bagi perjalanan jauh biar dilepaskan cerita satu majlis ilmu.



Malam semalam selepas jam 9 menerima poster majlis ilmu ini daripada guru saya di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar melalui WhatsApp. Saya cuma menjawab "Noted Prof" (ambil maklum). Ini kerana tidak dapat memberikan komitmen untuk mengikuti lantaran masih kepenatan akibat perjalanan ke selatan yang memakan jarak pemanduan lebih 1,200 km dan tempoh masa 8 hari 7 malam. Selain itu ada hal-hal lain yang menyebabkan tidak dapat memberikan komitmen. Kalau tidak selalunya saya akan jawab "Insyaallah will follow" (akan mengikuti) kalau secara atas talian atau "Insyaallah will attend", kalau ada kelapangan untuk hadir secara fizikal ke lokasi.

Tadi siang telah meluangkan masa bersama anak membawa makan nasi beringin dekat pejabat lama saya The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar kemudian bersolat Zuhur di masjid Universiti Malaya lalu membawa anak pusing universiti. Tergerak untuk menjengok seorang sepupu yang bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Media. Kemudian baru menghantar anak kembali masuk ke asrama tahfiz di Cheras, selepas bercuti sejak 21 Disember. Dari situ bergerak ke sebuah rumah milik saya di Hulu Langat. Tergerak untuk menonton video majlis yang disuakan dalam satu grupWhatsApp ISTAC.

Alhamdulillah dapat mengikuti dengan baik perkongsian daripada majlis, masuk rumah disambung lagi hingga selesai. Didapati penyampaian guru saya kali ini, walau atas kapasiti sebagai Rektor baru UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), lebih santai untuk difahami awam. Apa lagi dibuat dalam bahasa Melayu untuk podcast radio IKIM (Institut Kefahaman Islam Malaysia). Sedangkan kebanyakan syarahan beliau yang pernah saya ikuti adalah dalam bahasa Inggeris. Dan walaupun telah dimudahkan penyampaian tetap memerlukan asas kefahaman keilmuan yang cukup, boleh jadi tinggi bagi mereka yang tiada pengetahuan atau pengalaman dalam dunia Sufi. 

Dalam majlis kali ini dapat ditelaah dengan mudah sejarah beliau dalam dunia pendidikan tinggi yang meliputi tempoh 50 tahun, tentang bagaimana daripada seorang graduan matematik di University of London yang menyambung ke peringkat PhD boleh bertukar arah minat falsafah dan pemikiran Islam. Tentang apakah makna sebenar falsafah yang boleh terkait dengan pemikiran matematik, tentang makna sayangkan hikmah seperti dinyatakan dalam Al Quran membawa kepada pemikiran 'ketauhidan' yang secara teorinya terkandung dalam kalimah Lailaha il Allah  dan amalinya dalam Muhammad ar rasulullah sebagai landasan para ilmuwan yang mahu diterapkan sekurang-kurangnya di UIA bermula sekarang. Ini yang membuat saya terasa harus berkongsi lalu menulis artikel ini. Untuk lebih lanjut boleh tonton video bawah...



Seperti disebut Osman dalam video, wawasan tunggak yang beliau panggil sebagai Tawhidic Epistemology atau wawasan ilmu berdasarkan pemahaman tauhid keesaan Allah SWT yang mendalam bukan suatu hasil fikir baru. Ia adalah suatu yang telah sebati dalam diri hasil pengalaman 50 tahun dalam pendidikan tinggi. Di sini biar dikumpulkan sejumlah pautan artikel bagi majlis-majlis ilmu melibatkan beliau yang pernah ditulis di CATATAN MERAH SILU. Tidak begitu susah untuk mengumpulkan kerana telah membuat banyak artikel kompilasi tentang majlis ilmu. Yang dikongsikan ini cuma sejumlah yang dirasakan sesuai dengan perkongsian dalam video.




































Cukuplah sedikit ini untuk menunjukkan arah pemikiran Osman, sekurang-kurangnya sejak mengenali beliau tahun 2018, tahun saya sendiri mula menjadi pelajar ISTAC. Sekadar memberitahu. Penulisan artikel ini dimulakan sekitar jam 5.45 petang dengan harapan sempat siap untuk keluar mandi sungai sejenak di mana-mana di Hulu Langat, ada banyak tempat. Atau sekurang-kurangnya sempat mandi air panas, ada dua tempat, sebelum Maghrib. Tengok-tengok tak sempat. Harus juga menunaikan solat dan zikir harian selepas masuk waktu.

Selain itu ada isu menyebabkan saya perlu membuat beberapa panggilan telefon juga pesanan WhatsApp hingga mengambil masa dan tumpuan. Ketika ayat ini ditulis sudah 8.14 malam. Menurut kalendar rasmi seperti dikeluarkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) malam ini sudah masuk tarikh 1 Rejab. Selesai penulisan ini harus memulakan proses pengkhataman bulanan Al Quran bagi bulan Islam itu walau sekadar 2-3 muka surat.


Isnin, Disember 30, 2024

Perjalanan selatan penghujung 2024 - Menguji kereta 'baru' bagi perjalanan jauh

Salam semua. Adapun petang semalam baru sahaja menamatkan satu perjalanan ke selatan yang memakan masa 8 hari 7 malam. Selepas itu penat ya amat, selepas Zuhur siang tadi ada sedikit lega lalu keluar ke Kuala Kubu untuk satu urusan. Sekarang ada sedikit kelapangan biar mula dikongsikan cerita. Kiranya kembali pada hal perjalanan setelah lebih sebulan kebelakangan banyak bercerita tentang majlis ilmu.



Perjalanan bermula petang Ahad 22 Disember 2024 dengan membawa isteri dan anak-anak menghala ke Tanjung Sepat. Asalnya, untuk hujung tahun kami merancang mahu masuk selatan Thailand melalui Perlis dan keluar melalui Kelantan. Itulah yang difikirkan sejak pertengahan tahun. Tapi apabila masuk pertengahan November asyik mendengar berita banyak tempat dalam laluan terkena banjir tukarlah rancangan untuk ke selatan. Sambil itu boleh balik kampung isteri di Tanjung Sepat dan kampung saya di Muar.




Selain itu terasa baik kereta yang mahu digunakan untuk perjalanan kali ini, kereta terpakai berusia 7 tahun yang baru dibeli penghujung Oktober dipandu uji jauh dalam negara terlebih dahulu. Untuk makluman walaupun pada beberapa hari pertama ia dipakai pun saya sudah memandu lebih 1,000 km itu disebabkan beberapa urusan selain ada balik kampung ke Muar 2 hari setelah memiliki kereta. Lihat Antara urusan keluarga, rumah dan kereta. Selepas itu ada beberapa kali dibawa ke Kuala Lumpur dan Shah Alam, sekali ke Tanjung Sepat. Apa yang belum pernah dikongsikan kepada umum adalah kereta ini mileagenya tinggi, ketika dibeli sudah lebih 275,000 km tercatat pada meter. Namun disebabkan mileage tinggi itulah dapat harga beli yang cukup 'ekonomi'. Ketika memulakan perjalanan baru  22 Disember sudah jadi lebih 279,000 km..



Ketika itu minyak gear tinggal lagi 1,600 km gitu untuk ditukar, minyak hitam ada 2,800 km. Maka memang eloklah baki perjalanan ini diliputi dalam negara sahaja. Kalau ada apa-apa masalah masih termasuk dalama liputan insurans. Walaupun kereta diterima dalam keadaan bagus kerana pemilik dahulu sangat menjaga menurut jadual, mileage tinggi ada buat kerja ambil pelancong pergi balik lapangan terbang di Sepang selain membawa mereka berjalan ke sana ke mari kita sendiri mesti beringat. Setakat yang sudah disemak mekanik saya sendiri tiada apa-apa masalah enjin. Yang ada cuma sedikit masalah suspension tapi dah ganti apa yang patut. Yang mahu berjaga keadaan komponen dalaman gear terutama bahagian yang dipanggil CVT (continuously variable transmission). Selagi tak nyata secara luaran seperti gear 'semput' masalah cuma dapat disemak apabila ditukar minyak.




Yang nyata, setakat menulis ini, setelah tamat perjalanan melebihi 1,200 km, semuanya lancar alhamdulillah. Tiada masalah. Tapi itu sudah 'terlajak' cerita. Berbalik pada hari pertama perjalanan Sabtu 22 Disember. Singgah di Kampung Bandar dekat Jugra lalu bersolat di masjidnya.




Kami dah pergi ke Bandar dan Jugra banyak kali. Tetapi buat pertama kali dalam ingatan tergerak untuk mengambil satu laluan tertentu lalu mendapati ada makam diraja dan tapak masjid lama. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...








Singgah minum di Sungai Buaya. Ya. Di persekitaran Jugra (dan Banting, daerah Kuala Langat) juga ada tempat nama Sungai Buaya. Sedangkan rumah kami adalah di Bandar Sungai Buaya, dalam daerah Kuala Selangor tetapi daripada segi alamat diletakkan di bawah Rawang. Sudah berlaku 2-3 kali kawan mahu ke rumah kami tetapi tersilap arah ke Sungai Buaya belah sini. Antara dua Sungai Buaya itu ada jarak sekitar 90 km! 




Ziarah ke makam Raja Berayun di kaki Bukit Jugra. Sebelum itu mahu ke makam Sultan Abdul Samad tetapi jalan naik ke sana sudah diturunkan palang penghadang kerana sudah lewat petang.




Naik sebentar melihat pemandangan di atas Bukit Jugra. Sambil itu boleh uji pickup kereta naik bukit sekali. Lihat artikel New visit to Jugra hill viewing point di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Singgah punya singgah dah gelap baru sampai Tanjung Sepat.


Sabtu, Disember 21, 2024

Antara ilmu wahyu dan sains di ISTAC dengan orientalisma di IIIT

Majlis ilmu ketiga  dihadiri di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak siang tadi. Campur sekali satu majlis dari ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang diikuti secara atas talian. Bersambung daripada Pemahaman kerohanian dan falsafah yang tercermin dalam teknologi kecerdasan buatan.



Jam 1 petang pergi ke masjid UIA untuk menunaikan solat Jumaat...




Merujuk kembali pada penulisan berkenaan dalam Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat. Selepas solat Jumaat baru dapat menghabiskan bacaan Surah Al-Kahfi. Ini diikuti usaha bagi mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Jamadil Akhir. Di masjid dapat menghabiskan Surah As-Saffat dalam juz 23, menyusul daripada bacaan Surah Yassin malam Jumaat.

Sekadar berkongsi. Selain membaca penuh Surah Al Kahfi setiap pagi Jumaat (walau kadangkala terlajak petang baru nak buat) saya juga membaca Surah Yassin setiap malam Jumaat. Bagi setiap bulan diatur proses pengkhataman atau dikejar sebegitu rupa supaya bacaan separuh kedua Juz 15 jatuh pada pagi Jumaat. Dengan itu bacaan mingguan Al-Kahfi dapat disekalikan dengan proses pengkhataman. Begitu juga diatur supaya penghujung Juz 22 jatuh pada malam Jumaat. Ini untuk mensekalikan bacaan Yassin.

Ini dan sejumlah wirid harian juga beberapa amalan lain termasuk puasa sunat Isnin dan Khamis juga puasa putih 13 hingga 15 haribulan Islam adalah yang mampu buat masa ini. Bukan untuk berbanggakan, sekadar usaha untuk memperbaiki diri. Saya asalnya orang yang banyak dosa.  Kawan-kawan lama zaman remaja sehingga penghujung 20an ada yang tahu sedikit cerita. Saya terdorong untuk berubah antaranya apabila menyedari siapakah nenek moyang, bagaimana darah daging mempengaruhi pengalaman hidup terutama yang bersifat mistik sejak kecil lagi. Sekarang pun masih banyak dosa sebenarnya. Walau banyak keburukan zahir sudah ditinggalkan hati masih terganggu dengan ajakan yang bukan-bukan. Cuma tidak dilaksanakan lagi sahaja.

Apapun, ini juga usaha untuk mencapai atau menghampiri 'minda kenabian' seperti dinyatakan guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar pagi itu. Rujuk Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat. Ini kerana sejak kecil lagi, walaupun senakal mana sekalipun diri, saya tetap suka berfikir kerana sudah begitu sifat semulajadi. Inilah yang mendorong untuk mengikuti majlis-majlis ilmu di berbagai tempat dan institusi kemudian menulis tentangnya. Lihat artikel Majlis-majlis ilmu selepas 14 Februari 2020 dan Majlis-majlis ISTAC sejak mula terlibat tahun 2016. Itu setakat awal bulan Oktober. Selepas itu banyak lagi majlis dihadiri, cuma belum dibuat kompilasi. Bukan kerana hendak mengejar mata, nama, kedudukan dan sebagainya. Menulis ini pun sudah melepas jam 2 pagi setakat ini. Sedangkan jam 8.30 nanti kena berada di satu majlis keagamaan lebih 50 km dari rumah, malam nanti ada lagi di tempat lain. Tidak ada apa-apa imbuhan pun diperolehi kecuali rasa lega dapat melepaskan rasa di dada.





Apapun, untuk siang Jumaat tadi sebenar saya cuma bercadang untuk menghadiri satu majlis ilmu sahaja iaitu di ISTAC pada petangnya. Ia adalah seperti dalam poster atas yang diterima tidak kurang 3 minggu lalu. Tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Menghubungkan Jurang Antara Sains yang Diwahyukan dengan yang Dicapai di Universiti-universiti : Pendekatan Lalu dan Halatuju Masa Hadapan" kelihatan seperti kesinambungan daripada syarahan perdana Osman 2 bulan lalu. Lihat Menjuarai epistemologi ketauhidan - Syarahan perdana Osman Bakar sebagai Rektor ke-7 UIAM. Sekitar seminggu selepas itu baru diberitahu tentang syarahan terbaru guru saya itu yang memang kesinambungan perkara, seperti dinyatakan dalam Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat yang dipersembahkan sebelum tengah malam tadi.

Hendak dijadikan  cerita sekitar seminggu lalu baru mendapat tahu majlis yang asalnya boleh dihadiri secara fizikal ditukar menjadi atas talian sahaja. Ini disebabkan dalam tempoh beberapa hari itu ada dibuat semburan bahan kimia (fumigation exercise) untuk penyelenggaraan kampus di Bukit Tunku. Dalam tempoh itu juga mendapat tahu ada majlis ilmu mahu diadakan di UIA pada masa sama. Oleh kerana sudah sedia berada di kampus Gombak itu maka diputuskan biar keutamaan diberikan pada  yang itu.




Selepas menghabiskan bacaan Surah Sad di masjid timbul rasa untuk pergi makan di kedai berdekatan. Disebabkan jam 2.45 begitu baru meninggalkan masjid diikuti beratur menunggu giliran membuat pesanan kemudian menunggu makanan siap masuk jam 3 iaitu waktu majlis petang di UIA juga di ISTAC bermula. Tergerak untuk menyertai yang di ISTAC melalui Zoom menggunakan telefon pintar. Ketika itu makan sudah habis, tunggu untuk menghabiskan minuman yang sedang begitu panas.





Walaupun kedai makan bising akibat ramai pelanggan dapat ikuti sedikit kupasan oleh pembentang, Profesor Dr Khairudin Aljuneid. Antaranya adalah tentang bagaimana Islam sangat membudayakan menuntut ilmu sehingga dapat membina peradaban yang tinggi pada zaman awalnya.




Selesai minum terus mengikuti majlis sambil berjalan ke kereta.




Sampailah ke lokasi majlis yang di UIA pula, di pejabat IIIT (International Institute of Islamic Thought - Institut Antarabangsa Pemikiran Islam). Hampir sama nama dengan ISTAC bukan? Sebetulnya ia ada sejarah yang memang seiring. Kedua-dua IIIT dan ISTAC terbit hasil gagasan Islamisasi ilmu pengetahuan (Islamisation of knowledge) yang timbul selepas Persidangan Pendidikan Islam pertama di Mekah tahun 1977. IIIT membawa wawasan cendekiawan Arab Islam, almarhum Ismail Faruqi  di Amerika Syarikat,  ISTAC membawa wawasan pemikir Arab "Melayu", Syed Naquib al-Attas di Malaysia. Kedua-dua tokoh Islam bertaraf dunia.




Poster bagi majlis. Ia adalah resensi buku tentang orientalisma tulisan pemikir sains sosial terkenal abad ke-20 iaitu Edward Said, orang Arab asal Palestin beragama Kristian yang mencipta nama di Amerika. Walaupun belum pernah membaca buku tersebut saya tahu sedikit kerana isinya selalu disinggung dalam majlis-majlis lain. Orientalisma merujuk pada bagaimana negara-negara Barat terutama kuasa-kuasa kolonial Eropah seperti United Kingdom dan Perancis melihat negara-negara dan warga yang dijajah di Asia terutama orang Islam pada abad ke-19 dan 20 Masihi.




Sebetulnya selepas melihat poster majlis 9 hari lalu baru tahu IIIT ada pejabat dalam kampus UIA. Ketika hendak ke majlis kedua pagi tadi (rujuk balik Pemahaman kerohanian dan falsafah yang tercermin dalam teknologi kecerdasan buatan.) terlihat papan tanda menunjukkkan arah ke IIIT dalam kompleks bangunan sama. Itu yang menyebabkan ditetapkan mahu hadir selepas solat Jumaat. Alang-alang sudah berada di Gombak biar diikuti semula majlis ilmu terbuka yang ada pagi hingga ke petang
Masuk ke ruang majlis baru menutup Zoom lalu memutuskan hubungan dengan majlis atas talian di ISTAC. Fikirnya boleh ikuti nanti rakaman di Youtube. 




Sebagai seorang aktivis yang mahu memperjuangkan kedaulatan bangsa Melayu subjek orientalisma adalah sesuatu yang patut diketahui dan difahami. Ia adalah tentang bagaimana penjajahan berlaku, atas sebab dan alasan apa. Tentang bagaimana ia membentuk masyarakat hingga  kesannya terlihat kuat hingga ke hari ini, walaupun secara zahirnya penjajah telah meninggalkan kita lebih seabad lalu. Hingga masih lagi memandang tinggi nilai-nilai Barat walau bertentangan dengan agama dan budaya, hingga nilai asal bangsa sendiri dilihat ketinggalan, tidak lagi relevan dan sebagainya. Daripada situ baru boleh dirangka cara dan gerak kerja untuk menyahkan kesan orientalisma itu. Baru boleh betul-betul mengembalikan kedaulatan sebenar bangsa, bukan sekadar berslogan menang sorak kampung tergadai gitu.



Sebagai mengakhiri penulisan lewat malam (sebetulnya awal pagi) ini biar dikongsikan rakaman video kedua-dua majlis. Ini yang di ISTAC.



 
Ini di IIIT. Untuk  makluman ini adalah artikel ke-2,595 di CATATAN SI MERAH SILU.


Pemahaman kerohanian dan falsafah yang tercermin dalam teknologi kecerdasan buatan

Pergi ke majlis ilmu kedua dihadiri  di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak siang tadi. Bersambung daripada Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat.



Selesai syarahan tentang ketauhidan berkejar pula ke bahagian lain kampus, satu bahagian yang belum pernah dijejaki sebelum ini iaitu di fakulti teknologi maklumat dan komunikasi UIA.




Ada wacana menarik yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Pemahaman Kerohanian dan Falsafah yang Tercermin dalam Teknologi Kecerdasan Buatan". Cuma tak dapat ikuti lebih awal kerana ketika dijadualkan bermula jam 10 pagi saya mengikuti  majlis tentang ketauhidan di auditorium utama UIA.




Sebagai seorang yang sudah mengenali terma "kecerdasan buatan" (artificial intelligence) sejak zaman sekolah rendah lagi tahun 1970an melalui pembacaan komik dan buku fiksyen sains juga seorang yang sudah belajar sendiri melalui bacaan cara membina perisian komputer sejak tahun 1982 (semasa Darjah Enam menggunakan komputer murah Sinclair ZX81 kemudian Sinclair Spectrum diikuti Apple II dan IBM) tentu saya tertarik dengan tajuk dan pengisian. Apalagi guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang kini juga adalah Rektor UIA dijadualkan memberikan ucaptama jam 11.30. Apapun ketika masuk ke bilik majlis jam 11.39 didapati komponen kedua majlis iaitu perkongsian tentang falsafah dalam kecerdasan buatan masih berlangsung.




Ketika itu pembicara, Profesor Dr Akram Mohammed Zeki dari fakulti itu sedang bercakap tentang teknologi blockchain yang mana maklumat seperti transaksi jual beli sesuatu (contoh daripada saya) boleh disimpan dalam bentuk blok data yang mengandungi ciri-ciri seperti sifat barangan, harga, nama penjual dan pembeli, tarikh dan waktu transaksi kemudian disambung dengan blok data transaksi seterusnya dan seterusnya secara berantai sehingga tidak boleh diubah atau dimanipulasikan sesiapa. Kerana ada semakan atau check and balance yang boleh dicapai semua orang. Teknik itu boleh dilihat ada dalam tradisi Islam yang mana sesuatu hadis ada rantaian penyampai dan isi lalu dapat disemak kesahihan pada setiap peringkat rantaian berdasarkan kredibiliti setiap penyampai.




Selepas itu baru dibawa isu-isu lain. Secara rata ia adalah tentang bagaimana kecerdasan buatan yang teknologinya semakin hari semakin meningkat boleh dimanfaatkan, namun boleh juga disalahgunakan.




Antaranya adalah soal cabaran etika. Misalnya menggunakan teknologi untuk peperangan, tentang kepalsuan yang boleh timbul apabila kecerdasaran buatan diharapkan sebagai sumber maklumat, tentang pekerjaan manusia yang boleh hilang disebabkan boleh digantikan..




Disebut pula tentang tingkat-tingkat perkembangan AI. Ya, singkatan ini lebih mudah untuk penceritaan. Memang begitupun ia dikenali umum walau dalam bahasa Melayu.




Dan perkembangan ini sangat terkait dengan rangkaian Internet. Kerana disebabkan keluasan capaian rangkaian jaringan sistem (ibarat sarang labah-labah, sebab itu selalu disebut sebagai The Web) di seluruh dunia berserta kecepatan membuat capaian AI dapat menelaah dan memproses begitu banyak maklumat dalam masa yang singkat, baik yang benar mahupun tidak lalu menerbitkan sesuatu daripada maklumat.




Tidak lama kemudian baru Osman memberikan ucaptama. Beliau memulakan dengan menyatakan jangan begitu terpesona dengan AI seperti halnya berlaku sekarang. Ia cuma bermula sebagai usaha untuk membuat komputer dapat meniru cara pemikiran manusia. Daripada bagaimana manusia dapat melihat objek dan persekitaran lalu menterjemahkannya menjadi bentuk simbolik dalam fikiran lalu membuat aturan seperti perbandingan, penggabungan dan sebagainya bagi menerbitkan maklumat baru (seperti "buah fikiran"). Daripada situ komputer yang semakin lama semakin meningkat kelajuan memproses maklumat dibantu perisian AI yang dapat belajar pantas dilihat boleh mengatasi begitu jauh kemampuan manusia biasa. Lalu Osman mengulangi sedikit daripada syarahan beliau tentang ketauhidan. Kata beliau minda yang terbaik adalah minda kenabian (prophetic mind). Lalu beliau percaya sehebat mana pun perkembangan teknologi AI tidak akan dapat mengatasi minda kenabian yang dipandu wahyu daripada Tuhan. 

Sebetulnya di sini ada satu pesanan besar bagi mereka yang faham. Pada saya, dalam keghairahan semua orang bercerita tentang bagaimana AI telah begitu maju lalu dijangka akan meningkat jauh lebih maju, sehingga dikatakan sudah boleh menulis tesis penuh PhD cuma berdasarkan beberapa penetapan awal (initial parameters), misalnya tajuk diikuti pernyataan permasalahan (problem statement), jangan terlupa pada kecerdasan sebenar yang boleh dicapai oleh manusia. Sesungguhnya manusia dijadikan sebagai khalifah supaya dapat memimpin segala makhluk termasuk AI. Kalau dapat menghampiri jika tidak pun mencapai minda kenabian, melalui peningkatan kesedaran hasil amalan-amalan kerohanian yang dapat mendekatkan diri kepada Tuhan maka kita boleh mencapai tahap ketinggian minda yang mengatasi AI. Ini kerana mendapat maklumat dan panduan terus daripada Tuhan. Soalnya bagaimana hendak mencapai tahap berkenaan? Sedangkan kalau sentiasa berharap pada AI seperti sudah berlaku pada sesetengah orang sehingga hendak membuat sekecil-kecil karangan pun harus minta tolong AI, minda sendiri akan menjadi lemah kerana selalu bertongkatkan kecerdasan buatan. Fahamkan.


Jumaat, Disember 20, 2024

Minda ketauhidan dan keummahan - Misi pendidikan Islam sejagat

Salam. Tadi siang Jumaat 20 Disember 2024 saya telah menghadiri 3 majlis ilmu berlainan di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak dan mengikuti 1 majlis ilmu atas talian daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Biar dikongsikan cerita bermula dengan ini.


Saya bertolak dari rumah sekitar jam 8.40 pagi lalu sampai ke UIA jam 9.24.




Selepas mendapat tempat letak kereta, sampai ke lokasi majlis pertama yang mahu dihadiri jam 9.28. Cukup awal kerana ia dijadualkan bermula jam 9.30




Ia adalah syarahan oleh guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang baru 3 bulan memegang jawatan sebagai Rektor UIA. Tajuk syarahan boleh diterjemahkan sebagai "Minda Ketauhidan dan Keummahan - Misi Pendidikan Islam Sejagat". Ia adalah kesinambungan daripada syarahan perdana beliau dalam kapisiti tersebut 2 bulan lalu. Syarahan itu menyaksikan beliau pertama kali menetapkan ketauhidan sebagai asas segala bentuk pengajian di universiti. Lihat Menjuarai epistemologi ketauhidan - Syarahan perdana Osman Bakar sebagai Rektor ke-7 UIAM.




Tengok-tengok majlis sebenar bermula sekitar jam 9.50, dengan nyanyian lagu Negaraku diikuti bacaan Al-Quran dengan pengenalan. Ini memberikan masa untuk saya membaca separuh Surah Al-Kahfi sebelum ia bermula.



Sudah menjadi amalan saya sejak beberapa tahun lalu untuk menghabiskan seluruh Surah Al-Kahfi setiap pagi Jumaat juga 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir setiap pagi hari lain. Pagi tadi tidak sempat membaca sebelum keluar rumah. 




Pergi pada syarahan. Dinyatakan terlebih dahulu apa yang perlu ada dalam minda yang bersifat ketauhidan. Ia adalah minda yang dapat melihat kesatuan pada segala bentuk ilmu dan sains, dalam hierachy atau susun letak keutamaan tinggi rendah yang mengaitkan kesemuanya secara harmoni seperti mana halnya cabang dan ranting pada sebuah pokok.




Apa pula minda ketauhidan? Ia sarat dengan ide-ide keEsaan Tuhan juga sifat-sifatNya seperti tergambar pada Asmaul Husna (nama-nama Allah yang indah) serta perbuatanNYa (dalam bahasa Sufi selalu disebut sebagai Af'al) dan penciptaan. Minda yang bersifat ketauhidan sentiasa memiliki kesedaran tentang keesaan dan kesatuan Tuhan juga kesatuan dalam ciptaan.




Dengan itu dikupas makna minda pula. Oh. Asalnya saya mahu menggunakan perkataan Melayu "pemikiran" sebagai terjemahan daripada perkataan Inggeris "mind". Tetapi apabila masuk bab definisi didapati "pemikiran" tidak dapat mencakupi makna sebenar "mind". Pemikiran juga fikiran lebih bersifat aktiviti atau perbuatan, begitu juga fikir. Sedangkan mind itu berupa satu objek atau entiti yang mana dengannya dapat dibuat aktiviti pemikiran itu, bukan pemikiran itu sendiri. Zahirnya ia dikaitkan dengan otak tetapi batin atau metafiziknya? Otak pun sekadar alat, bukan mind itu sendiri. Jadi lebih elok gunakan perkataan "minda" yang merupakan 'peMelayuan' daripada perkataan Inggeris "mind".

Osman menyatakan minda terkait dengan kesedaran (consciousness). Ia juga terkait dengan cahaya (light). Dalam bahasa Inggeris ada perkataan "enlightment" yang menunjukkan kesedaran atau minda yang disuluh cahaya. Cahaya pula bahasa Arabnya adalah Nur. Ada makna yang sangat mendalam di dalam Al Quran.




Berbalik pada minda ketauhidan yang merupakan terjemahan saya bagi terma Osman dalam bahasa Inggeris "Tawhidic Mind". Bila dikaitkan dengan cahaya dan kesedaran ia adalah fikiran yang disuluh cahaya kebenaran tinggi tentang hakikat kewujudan Tuhan dan hubungan dengan segala bentuk penciptaan, segala bentuk ilmu.




Contoh terbaik minda yang bersifat ketauhidan adalah minda para nabi, "the prophetic mind". Mereka adalah pemilik hikmah dan kebijaksanaan baik secara teori mahupun praktikal yang paling sempurna, kerana mendapat wahyu daripada Allah SWT yang memimpin segala aspek kehidupan.




Minda para nabi yang merupakan minda ketauhidan paling sempurna ini dizahirkan melalui Syariah yang dibawa mereka juga Sunnah iaitu setiap kata dan perbuatan. Ini adalah puncak kesempurnaan cara hidup yang patut diikuti setiap manusia lalu membentuk identiti dan minda ummah.




Dengan itu minda Muslim yang berjaya memiliki sifat ketauhidan juga hubungan peribadi dengan Tuhan. Dengan mengikuti ajaran para Nabi minda ketauhidan dizahirkan menjadi minda keummahan yang mengatur hubungan antara manusia lalu membentuk ketamadunan.




Oleh itu dapat dinyatakan misi pendidikan sejagat Islam adalah tidak lain, misi kenabian. Ia adalah kebenaran lama yang mungkin perlu diajar menurut cara baru disebabkan perkembangan zaman? Kesannya adalah pembinaan tamadun. Untuk pemahaman lebih lanjut sila ikut sendiri majlis melalui video bawah...