Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Januari 03, 2025

Sumber-sumber ilmu pengetahuan - Falsafah dan Islam

Salam petang Jumaat 3 Januari 2025 bersamaan 1 Rejab 1446 Hijriah. Di celah-celah kisah perjalanan selatan timbul lagi majlis ilmu lalu biar dilepaskan cerita.



Majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) ini telah diwar-warkan sejak beberapa hari dalam grup Whatsapp kami. Profesor Dr Hamidullah Marazi yang merupakan salah seorang pensyarah mahu membawa tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan - Falsafah dan Islam." Ada rasa ingin hadir secara fizikal. Tetapi siang tadi terasa tak berapa sedap badan untuk ke ISTAC. Malah nak ikuti apa-apa majlis ilmu walau atas talian pun tak ada mood.




Nak dijadikan cerita selepas menunaikan solat Jumaat kemudian menghantar anak ke sekolah petang buka komputer riba di rumah lalu mengikut perkembangan di WhatsApp. Ternampak lagi poster mempromosi majlis. Tengok jam 3.03. Majlis baru sahaja bermula. Terus klik pada pautan Zoom yang disuakan bersama lalu masuk secara atas talian.




Secara rata ia adalah tentang ilmu pengetahuan dan falsafah. Dinyatakan dahulu makna sebenar falsafah yang berasal daripada perkataan Yunani philosophia - Cintakan hikmah. Daripada konsep itu para pemikir purba mencari makna hidup, apakah realiti sebenar alam, apakah kuasa mutlak (Tuhan?) di sebalik penciptaan alam dan bagamana alam diatur oleh kuasa tersebut. Asalnya ada kepercayaan terhadap perkara-perkara bersifat metafizik iaitu di luar pemikiran dan logik akal kebiasaan. Namun semakin lama pemikir terutama di dunia Barat menolak perkara-perkara metazikif. Tumpuan diberikan hanya kepada apa yang mampu dicerap oleh pancaindera zahir disusuli pemikiran logik akal. Daripada situ falsafah menjadi medan fikir terhad yang menolak hal-hal keTuhanan.




Ini berbeza dengan dunia Islam yang mana hal-hal keTuhanan masih memandu pemikiran logik akal. Jika Barat menghadkan falsafah malah sumber ilmu pengetahuan hanya pada apa yang mampu dicerap melalui pancaindera kemudian melalui alatan-alatan sains lalu dirumuskan dengan akal, Islam melihat wahyu malah ilham dan gerak hati (intuition) sebagai sumber-sumber ilmu pengetahuan.



Namun dalam kalangan pemikir dan ahli falsafah Barat sendiri ada yang mula kembali pada sumber-sumber selain apa yang dianggap tidak berapa logik itu. Antaranya menurut konsep A Priori iaitu ilmu pengetahuan yang sudah sedia wujud dalam jiwa setiap manusia, bukan diraih melalui pembelajaran dan pengalaman. Konsep ini sudah ada dalam dunia Barat sejak zaman Plato lagi di Yunani 2,400 tahun lalu. Cuma perlu berlaku pengalaman hidup yang membawa kembali pada 'mengingatkan'. 

Dalam konteks Islam ia terkait dengan konsep zikir dan fikir. Zikir adalah mengingati Allah SWT. Dengan selalu mengingati Allah boleh timbul kembali ingatan ilmu sedia dalam diri yang telah dibekalkan kepada setiap manusia olehNya. Fikir boleh disamakan dengan cara dunia Barat secara rata menanggapi ilmu pengetahuan. Ini yang boleh terbit melalui pembelajaran, pengalaman, cerapan panca indera dan pemikiran logik berdasarkan dapatan-dapatan berkenaan. Namun ilmu berdasarkan fikir ada hadnya. Untuk melepasi had itu perlukan sandaran melalui ilmu wahyu. Zikir boleh membuka pencerahan ke arah itu.

Tiada ulasan: