Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...
Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.
Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...
Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-
Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.
Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...
Assalamualaikum... Kini sudah hampir seminggu kita menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri. Alhamdulillah, semuanya selamat, dapat berjumpa sanak-saudara jauh dan dekat. Kini kembalilah kita kepada rutin harian seperti bersekolah, bekerja, berniaga dan sebagainya walaupun Hari Raya tetap akan disambut di celah-celah itu sehingga penghujung bulan.
Dalam pada itu, sudah ramai menyatakan minat mahu mendapatkan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" malah sudah ada yang membelinya terus dari saya. Saya pula akan kembali ke Lembah Kelang esok maka sukacita dimaklumkan pembelian DVD ini kini dibuka kepada umum.
Adapun butir-butir harga dan cara pembelian boleh dilihat dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! Maaf ya, jika kos penghantaran yang menyebabkan harga promosi RM9.90 untuk sekeping DVD bertambah jadi RM15. Rasanya ia perlu. Lagipun harga RM15 itu sendiri boleh dikira murah dibandingkan dengan kos penyediaan dan usaha yang terlibat untuk menyediakan DVD ini apalagi nilai pengalaman dan ilmu yang tercurah samada yang tersirat mahupun tersurat melaluinya!
Kalau ada yang mahu menjimatkan kos, bolehlah membelinya secara terus daripada tangan saya dengan harga RM9.90 sekeping sementara stok masih ada. Tetapi perlulah bertandang ke alamat rumah yang ada disebut dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! , itupun kalau saya ada di sekitar rumah.
Untuk makluman, selain merayap-rayap tak tentu arah seperti kebiasaan perangai gila saya, saya juga bakal memulakan tugasan baru yang memerlukan saya mengembara ke seluruh Semenanjung (mungkin juga seluruh Malaysia sehingga ke Singapura dan Brunei?) mulai tempoh terdekat ini. Di celah-celah itu, selain berhari-raya melawat rumah sanak-saudara dan sahabat-handai, saya juga harus membuat beberapa urusan keluarga demi mahu menamatkan zaman duda, insyaallah sebelum masuk tahun Hijriah akan datang.
Yang pasti, di sebalik dan celah-celah kesibukan semua ini, saya akan tetap kembali ke rumah ibu saudara Ampang, antara lainnya untuk menyemak surat-surat yang datang. Maka itu, mulai hari ini, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor" boleh mula menghantar surat dan wang pos seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!
Keutamaan diberikan kepada mereka yang telah membuat tempahan melalui blogspot juga e-mail. Ingat, harga promosi RM9.90 terhad kepada 100 keping DVD terawal (yang kini kurang sedikit kerana ada yang sudah dibeli, ada telah dihadiahkan kepada ahli keluarga). Selepas itu ada kemungkinan harga akan meningkat jadi RM15 sekeping tanpa kos pos (campur pos jadi le RM20 sekeping)!
Sekian... Teruskan beraya dalam suasana harmoni. Wassalam! :]
Alhamdulillah... Akhirnya sampai masa untuk menutup sessi penceritaan malam ini yang merupakan bekalan 'bacaan' buat semua dalam tempoh perayaan ini. Hmm... Tadi rupanya harus buat lagi satu artikel untuk blogspotSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tetapi tak mengapalah, dah selesai pun. Maka mari kita bercerita! :]
Walaupun saya sudah banyak kali bertandang ke sana termasuk datang pagi buta jam 2-3 pagi begitu lalu berehat melelapkan mata, hakikatnya saya belum pernah betul-betul bermalam di sana. Kali ini baru saya tidur (atau terjaga...) hingga Subuh. Malah saya selepas Subuh kemudian berbual lama dengan Pak Imam di sini hingga jam 8 pagi, saya menyambung tidur hingga jam 11 pagi! Dan lagi, inilah kali pertama saya berbuka puasa di masjid ini!
Sebenarnya banyak lagi yang berlaku di masjid yang dikatakan ada karamah ini tetapi biarkanlah... Saya sudah penat menulis... Saya memulakan sessi menulis sebelum jam 5.30 petang tadi dan kini jam 11.30 malam saya baru sampai ke ayat ini, belum pun habis cerita! Dan lagi tadi saya cuma berbuka puasa satu tin air Cincau, sampai kini belum mengisi perut dengan apa-apa makanan atau minuman lain semata-mata untuk melepaskan gerak penceritaan kali ini.
Puas berehat di Masjid Kampung Hulu, sampailah masa untuk betul-betul melangkah kembali ke Muar. Apapun, alang-alang sudah berada di Melaka, rasa perlu juga untuk singgah ke Masjid Peringgit, masjid tertua di Melaka. Itu yang baru dijadikan postingMasjid (mosque of) Peringgit, Melaka di blogspotSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi...
Masjid Peringgit terletak berhadapan Hospital Melaka, berhampiran juga dengan Masjid Negeri Melaka. Tetapi saya tidak singgah di masjid negeri, setakat ambil gambar dari luar jadilah...
Saya mahu terus ke Duyung, melawat perigi Hang Tuah...
Kemudian singgah di Masjid Kampung Duyung...
Selesai semua itu, baru saya masuk jalan lama ke Muar. Di Telok Mas, saya singgah di masjid ini, di tepinya terdapat Jalan Raja Haji sempena pahlawan Bugis terkenal yang gagah berani abad ke 18 Masihi itu.
Kenapa saya singgah di sini? Untuk pengetahuan, di sekitar kawasan inilah Raja Haji gugur ketika cuba memerdekakan Kota Melaka daripada tangan penjajah Belanda 1784...
Beberapa makam lama di tepian jalan berhadapan masjid, dihadapan sekolah ini menjadi bukti betapa orang-orang Melayu pernah syahid menentang penjajah di sini.
Seterusnya saya singgah di Masjid Umbai, juga dikenali sebagai Masjid Baginda Ali. Nak tahu apa ceritanya, buatlah search di blogspots saya...
Dengan itu, bolehlah saya menutup "perjalanan berliku untuk kembali berhari raya" ini di Masjid Muar... Saya sampai di Muar sekitar jam 3 petang...
Di satu sudut masjid, saya memasukkan segala gambar yang diambil sepanjang perjalanan ini, hampir 120 buah semuanya ke dalam komputer agar dapat dialih masuk ke thumb-drive sebagai persediaan untuk sesi bercerita hari ini... Agar saya tidak rasa terkilan atau terbawa-bawa ingatan, agar saya dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri esok dengan lebih tenang. Hasilnya, jadilah sejumlah 4 postings ataupun artikel di blogspotBERPETUALANG KE ACEH , 7 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 5 (termasuk cerita penutup ini) di sini! 16 kesemuanya wooo... Dari jam 5 sampai jam 12 tengah malam dah ni!
Maka satu perkara terakhir mahu diluahkan... Sebenarnya 2-3 bulan lalu saya tidak menyangka pun akan kembali ke Muar untuk Hari Raya. Malah saya asalnya bercadang untuk menyambutnya di mana-mana seorang diri kerana rasa terkilan dengan apa yang berlaku dengan bapa saya hujung hingga awal tahun lalu! Lalu sejak itu saya tidak pernah kembali ke Muar dan tidak pernah bersua dengan ibu bapa, sampailah dalam 3 bulan lepas ketika ibu bapa saya bertandang ke Kuala Lumpur dan saya berjumpa dengan mereka.
Dalam tempoh itu hingga kini, pernah sekali sahaja saya kembali ke Muar iaitu untuk awal bulan Ramadhan. Alhamdulillah hubungan dengan keluarga saya semakin baik, terimakasih kerana kehadiran Nur kedua yang banyak menolong menenangkan saya setahun dua kebelakangan dalam mengharungi pahit manis kehidupan setelah lama hidup seperti orang terbuang... Malah Nur kedua berperanan secara hadapan merapatkan kembali hubungan saya dengan orang tua!
Dengan kata-kata ini, selesailah sesi penceritaan yang sudah masuk tengah malam ini. Untuk pengetahuan, saya menulis semua ini dari sebuah Cyber-Cafe di bandar Muar... Belum pun balik rumah. Dah sampai masa untuk saya balik ke rumah seperti orang lain... Selamat malam dan yang lebih penting, selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin untuk semua! Wassalam... :]
Sampai di masjid atas ini, saya terus mandi petang. Kemudian pergi ke Alor Gajah untuk berbuka puasa... Sedikit lewat kerana saya meninggalkan Taboh Naning selepas jam 7 petang sedangkan Alor Gajah terletak lebih 9km kembali ke selatan.
Apapun, kelewatan berbuka yang menyebabkan saya cuma minum segelas air itu membuat saya pergi bersolat Maghrib di masjid jamek baru Alor Gajah lalu terserempak dengan seorang kawan lama bapa saya yang sudah hampir 10 tahun tidak bertemu! Dia pula yang terus mengenali saya sedangkan saya terpinga-pinga memikirkan siapakah orang ini... Semasa masuk untuk berwuduk baru saya teringat... Ah... Ini Uncle Yusuf kawan baik Abah semasa di Kementerian dahulu!
Selepas solat, lama juga kami berbual. Kemudian saya meninggalkan Alor Gajah untuk bersolat Tarawih di Masjid Taboh Naning.
Untuk pengetahuan masjid ini terletak berdekatan makam pahlawan Melayu terkenal Dol Said yang pernah berjaya menentang Inggeris sebelum kalah akibat pembelotan orang Melayu juga. Saya pertama kali sampai ke makam itu pada hari kedua bulan Ramadhan ini (kalau tak salah ingatan) lalu menyimpan niat untuk bermalam di masjid ini.
Saya bersolat Tarawih sedikit lewat kerana perut tidak sedap, lama juga harus melepaskan hajat. Kemudian baru tersedar, di sini mereka menunaikan solat Tarawih 10 rakaat!
Pelik juga saya kerana selama ini saya ingat solat Tarawih dibuat 8 rakaat menurut sunnah Nabi Muhammad SAW atau 20 rakaat mengikut ijtihad Saidina Umar al-Khattab. Bila saya teliti balik tulisan pada bunting yang terdapat di dalam masjid, ternyata ia dikeluarkan oleh pejabat Mufti Negeri Sembilan. Tentu mereka lebih tahu ya tak?
Dalam pada itu, saya sedar mereka selalu juga melafazkan kalimah La ila ha illallah Muhammadan Rasulullah fi kulli lamhatin wa nafasin adadama wasi'ahu ilmullah yang merupakan zikir tariqat Ahmadiyah. Memang diketahu Mufti-mufti Negeri Sembilan mengamalkan tariqat ini kerana mengikut susur-galur ilmu nenek-moyang mereka, ulamak besar Sheikh Muhammad Said Linggi yang membawa tariqat ini ke Negeri Sembilan.
Selepas selesai solat Witir dan doa, saya meminta kebenaran kepada Pak Imam untuk bermalam di masjid. Pak Imam membenarkan. Cuma dia bertanya ini: "Berani ke?"
Saya jawab "Insyaallah!". Saya tahu apa yang dimaksudkan. Masjid ini bukan sembarangan tempat... Dan lagi ia dikaitkan dengan seorang pejuang Melayu yang tinggi ilmu kerohanian iaitu Dol Said. Untuk pengetahuan, Pak Imam dan beberapa ahli jemaah adalah anak cucu Dol Said!
Apabila melihat bunting solat Tarawikh yang dikeluarkan oleh Mufti Negeri Sembilan, saya pula bertanya: "Naning ikut Negeri Sembilan ke?". Sebabnya, secara rasmi Naning terletak di dalam negeri Melaka!
Jawab Pak Imam: "Tak... Negeri Sembilan yang ikut Naning!"
Tambahnya, Naning yang mula membawa Adat Perpatih sedangkan Negeri Sembilan mengikut kemudian...
Ya... Negeri Sembilan secara rasminya ditubuhkan cuma 200 tahun lalu sedangkan saya teringat catatan semasa melawat Gunung Datuk tidak jauh (malah mungkin di dalam sempadan lama) Naning bahawa Datuk Perpatih Nan Sebatang yang terkenal sebagai pengasas adat Minang dikatakan telah mengatur masyarakat di Gunung Datuk... Mungkin beliau ini juga pengasas sebenar Naning? Sebab itu Pak Imam mengatakan bahawa Negeri Sembilan yang mengikut Naning? Mungkin...
Pagi itu hari Isnin, saya meninggalkan Naning dengan rasa puas hati yang amat sangat. Sudahlah malam sebelum itu sudah tertunai hajat saya untuk bermalam seorang diri di sebelah makam dan batu hidup di Pengkalan Kempas, kini hajat sama juga tertunai di masjid Naning malah waktu pagi buta juga saya ada keluar untuk duduk dalam kegelapan di makam Dol Said.
Hmm... Baru teringat. Adapun dalam perjalanan dari Tampin ke Alor Gajah petang sebelumnya saya ternampak sebuah kompleks air panas, kalau tak salah ingatan di satu tempat bernama Gadek. Timbul keinginan untuk mandi petang di sana tetapi apabila saya masuk ke sana, terus tak jadi sebab kena bayar RM4 sedangkan saya bercadang untuk mandi paling lama pun sekitar 10 minit sebelum berkejar untuk berbuka puasa!
Malam itu dalam perjalanan dari Alor Gajah kembali ke masjid Naning, saya ternampak pula satu papan-tanda menyebut akan kewujudan kolam air panas Naning di hadapan... Maka selepas berbual-bual dengan Pak Imam (selepas Tarawih dan Withir) kemudian selesai berwirid sedikit, saya keluar pergi mencari air panas tersebut. Alhamdulillah jumpa, dan ia memang elok kerana sedang dibina cantik, cuma belum siap seratus-peratus, jadi taklah kena bayar!
Maka tercapailah hajat saya mandi air panas malam itu, walau keseorangan, walaupun dalam kegelapan, cuma disuluh sedikit cahaya daripada rumah sebelah. Siap pinjam gayung dari orang rumah itu!
Apapun, pagi seterusnya saya pun meninggalkan Naning... Masuk ke jalan menghala ke Brisu/ Lubuk Cina sebelum terjumpa jalan ke Masjid Tanah, singgahlah di masjid yang kelihatan ini...
Cuma satu sahaja yang tak kena. Baru saya sedar bahagian menaranya sudah senget... Mungkin sokongan kayunya sudah runtuh. Yang pasti dalam lawatan sebulan lalu, ia masih elok dan itulah yang kelihatan dalam artikel Asal usul nama (Origin of the name) Masjid Tanah .
Saya keluar dari kawasan masjid lalu tergerak untuk mengambil gambar ini daripada motosikal yang diletakkan di tengah jalan. Terpapar di meter bawah, nombor 999 dan bahagian kecil di sebelah nombor 3 bersamaan 999.3 batu. Sedangkan saya sedar ia mula masuk nombor 999 ketika mula sampai ke Masjid Tanah....
Adapun semasa motosikal ini dihidupkan setelah 5 tahun rosak terbengkalai, meter itu menunjukkan nombor sekitar 750 begitu. Kemudian meter yang tidak boleh diputar-balik kerana pemutarnya sudah tercabut sudah masuk ke nombor 000 apabila saya pertama kali membawa motosikal itu naik ke Janda Baik setelah ia pulih, lebih sebulan lalu... Kini ia sudah melepasi 999 bermakna sejak ia dihidupkan kembali sekitar 2 bulan lalu, ia telah berjalan sekitar 1250 batu bersamaan lebih 2000 kilometer!
Tetapi kebanyakan perjalanan dibuat sekitar Lembah Kelang. Baru ketika Hari Raya hampir menjelma inilah ia dibawa berjalan lebih jauh sehingga ke Raub lebih 100km ke timur-laut Kuala Lumpur. Dan kini, pada tahap penceritaan ini ia sudah masuk ke Masjid Tanah sekitar 140km begitu di selatan KL...
Apapun, saya ke selatan lagi menuju ke bandaraya Melaka. Dari Masjid Tanah masuk ke Sungai Udang lalu ke jalan pantai Melaka, singgah sebentar di Masjid Kampung Keling di mana terletaknya sebuah makam yang dikaitkan dengan Hang Tuah (lihat artikel Makam (Tomb of) Hang Tuah di (in) Tanjung Kling, Melaka... di blogspotSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ). Tetapi apabila singgah di Masjid Tengkera untuk ziarah sebentar sambil melawat makam Sultan Hussin Shah di sebelah (lihat Makam (tomb of) Sultan Hussin Shah di (in) Melaka... di blogspot itu juga...), baru saya tergerak kembali mengambil gambar motosikal yang kebetulan diletakkan di hadapan pintu masuk utama.
Seterusnya saya menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani, juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai, ulamak besar Aceh, penasihat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam!
Kali terakhir saya ke makam ini rasanya sekitar setahun lalu. Tak banyak beza kecuali di pintunya ada keratan tulisan almarhum Ustaz Wan Saghir tentang Sheikh ini... Atau Ustaz lebih suka membetulkan... Katanya, nama ulamak ini patut disebut sebagai Sheikh Shamsuddin as-Sumatra'i, bukan Sumatrani.
Apapun, kenapa ulamak besar Aceh ini boleh mangkat di sini ya? Kalau nak tahu, rujuklah dalam blogspots saya... Cuba buat search sendiri gunakan kotak kiri atas... Takkan semua nak makan suap? Dah macam-macam informasi saya bagi percuma kat blogspots saya!
Seterusnya saya ke Muzium Islam Melaka. Sila lihat artikel Lawatan ke Muzium Islam Melaka (A visit to the Melaka Islamic museum) di blogspot itu juga... Banyak wooo saya dah letak kat situ.... Pandai-pandailah memanfaatkannya secara membaca yang tersirat di sebalik yang tersurat.
Di atas ialah replika batu nesan di makam Sultan Malikus Salih seperti yang terpapar dalam artikel selingan Isyarat 3 Hassani? yang dibuat di sini tadi. Dengan ini dapatlah saya masuk ke bahagian terakhir siri cerita "Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya".... Cerita terakhir yang akan dibuat sebentar nanti bermula daripada tempat bermalam saya seterusnya. Tetapi sebelum itu, biar dibuat satu artikel dalam blogspotBERPETUALANG KE ACEH pula ya... Alhamdulillah! :]
Di perkarangan kanan Muzium Islam Melaka, terdapat 3 replika monumen penting Islam di bumi Melayu...
Batu bersurat Terengganu, dipercayai ditulis tahun 1303 Masihi...
Batu nesan Sultan Malikus Salih yang memerintah kerajaan Samudera dan Pasai, dikatakan batu nesan terawal yang ada dicatitkan tarikh kemangkatan seorang Raja Melayu iaitu bersamaan tahun 1297 Masihi...
Batu Tarsilah Brunei mengandungi salasilah Raja-raja Brunei, dibuat awal tahun 1800an...
Sejarawan tidak pasti siapakah yang membuat Batu Surat Terengganu. Tetapi ada orang menceritakan, ia ditulis dengan tangan oleh seorang ulamak bertaraf raja bernama Sharif Muhammad Al-Baghdadi.
Sultan Malikus Salih pula sangat terkenal sebagai Raja Melayu terawal memeluk Islam. Baginda mendirikan kerajaan Samudera dan Pasai hampir 150 tahun sebelum kemunculan kerajaan Melayu Melaka seperti yang kita kenali dalam sejarah!
Tarsilah Brunei yang ditulis lebih hampir ke zaman moden pula menyatakan Raja-raja Brunei bermula daripada Sultan ketiga nya iaitu Sharif Ali adalah berketurunan Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW yang sempat menjadi khalifah seluruh umat Islam.
Sekarang, tiada catatan rasmi menyatakan Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang menulis Batu Bersurat Terengganu berasal daripada mana, begitu juga tentang Sultan Malikus Salih. Tetapi kajian saya berdasarkan cerita-cerita lisan orang lama serta sumber-sumber kerohanian menyebut mereka berdua juga adalah dari nasab keturunan Saidina Hassan. Apakah letaknya replika ketiga-tiga monumen ini sebaris di perkarangan Muzium Islam Melaka mengisyaratkan sesuatu? Sekian! :]
Dalam ruangan komen artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! , saudara AwanBadai yang berminat untuk mendapatkan senaskah DVD itu terus daripada saya telah memberitahu dia ingin mengambil sendiri DVD jika saya berada di sekitar Ampang ataupun Kajang. Lalu saya menjawab mahu ke Raub seterusnya Janda Baik sebelum menghala ke Muar dan singgah ke beberapa tempat. Kalau ada "jodoh pertemuan" dalam perjalanan, insyaallah, dapatlah DVD itu.
Sekembali saya daripada Janda Baik ke Ampang pada hari Jumaat, saya mendapat SMS jemputan daripada saudara Faiz, anak kepada novelis Aina Emir yang memiliki syarikat penerbitan buku Karnadya agar dapat hadir untuk sesi bermain meriam buluh (sebenarnya meriam besi 'bagak'!) berdekatan rumah mereka di Nilai. Maka jika sebelumnya saya ada terfikir untuk bermalam di Kajang, seketika itu juga saya menukar keputusan mahu ke destinasi seterusnya iaitu Pengkalan Kempas di Negeri Sembilan. Bolehlah singgah di Nilai yang terletak dalam perjalanan...
Apapun, saudara AwanBadai yang malam itu baru sahaja bergerak dari Dengkil mahu ke Johor Bahru sempat bertemu saya di Nilai. Kemudian baru saya ke Pengkalan Kempas untuk menunaikan satu hajat, bermalam di satu kawasan...
Ini adalah gambar motosikal besar saya berlatar-belakangkan kawasan di Pengkalan Kempas yang dimaksudkan. Saya meninggalkan Nilai tengah malam... Selepas beberapa kali tersilap mencari jalan keluar untuk masuk ke lebuhraya PLUS kemudian berhenti minum di perhentian Seremban juga di luar Linggi, saya akhirnya sampai ke sini sejurus masuk jam 2 pagi...
Kali pertama saya sampai ke Pengkalan Kempas adalah awal tahun ini, selepas selesai mengembara keliling Johor dalam siri perjalanan "Post-BKA" atau siri pengembaraan yang dibuat setelah selesai menyajikan ketiga-tiga buku dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh". Lihat bahagian tengah side-bar kanan blogspot ini untuk mengikuti cerita-cerita sekitar siri pengembaraan itu.
Ketika itu saya dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur melalui Melaka, setelah bermalam di Tangkak dan singgah di Gunung Ledang. Hampir sampai ke bandaraya Melaka, timbul rasa yang kuat untuk melihat batu-batu hidup di Pengkalan Kempas. Lagipun seumur hidup saya belum pernah ke sana.
Dipendekkan cerita, sampailah saya ke tempat itu. Sila baca artikel The megalithic stones of Pengkalan Kempas yang dibuat di blogspotBERPETUALANG KE ACEH bulan Februari. Sejak itu saya menyimpan hajat akan bermalam di sini satu hari nanti... Sejak itu juga saya sempat sampai ke Pengkalan Kempas lagi bersama saudara Zaidi @ PerpatihTulus, sepupu saya Nizam dan seorang rakannya (lihat artikel Berkejar ke Pengkalan Kempas... yang mengandungi klip video, dibuat Julai) diikuti satu lawatan lain dengan Nur kedua sejurus sebelum masuk bulan Ramadhan. Tetapi baru hari itu malam Sabtu saya akhirnya dapat bermalam di sini...
Adapun semasa dalam lawatan pertama ke situ, saya berkenalan dengan seorang warga tempatan, saudara Helmi yang suka bertandang ke kawasan makam dan batu hidup bersama seorang kawannya yang saya sudah lupa nama... Maka awal pagi Sabtu itu, saya telah menghantar SMS memberitahu saya ada bermalam di situ. Paginya sekitar jam 10 pagi, Helmi pun muncul lalu kami pun pergi berjalan-jalan di sekitar.
Di atas ialah gambar ketika berehat di tepian Sungai Linggi berhampiran pekan kecil Pengkalan Kempas. Kelihatan motosikal saya di sebelah motosikal Helmi. Sila lihat artikel The Linggi river near Pengkalan Kempas di yang baru dibuat di blogspotBERPETUALANG KE ACEH tadi...
(Sebaik sahaja selesai menulis ayat di atas, masuklah waktu berbuka puasa. Biar saya minum air dahulu dalam Cyber-Cafe tempat saya sedang menulis ini ya... Saya ingin menyelesaikan penceritaan kalau boleh hari ini juga sebelum betul-betul dapat bersedia menyambut Hari Raya!)
Kemudian kami singgah di surau batu lama di tepian jalan, sedikit di luar Linggi jalan menghala ke Rantau. Surau kecil yang tidak digunakan lagi ini ada cerita tersendiri. Sila lihat artikel Sebuah surau lama di Linggi (An old praying hall in Linggi) yang dibuat di blogspotSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih setengah tahun lalu. Helmi dan rakannya lah yang memperkenalkan saya dengan surau ini!
Mereka juga memperkenalkan saya dengan sebuah masjid lama yang mempunyai kaitan dengan keluarga ulamak besar Negeri Sembilan bertaraf wali iaitu Sheikh Muhmmad Said Linggi. Sila lihat artikel Masjid lama (old mosque of) Linggi ... yang dibuat sejurus selepas artikel tentang surau lama, juga di blogspotSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .
Kemudian baru kami berpisah arah kerana saya mahu masuk ke Melaka melalui Taboh Naning. Helmi mencadangkan agar saya lalu Kuala Linggi kemudian masuk ke Alor Gajah. Tetapi sebaik sahaja hampir kembali ke pekan Linggi, saya tergerak mengambil jalan menghala ke Lubok Cina.
Dalam perjalanan itu terlihat pula papantanda menghala ke makam Raja Melewar. Maka ke sanalah saya sebentar...
Selesai itu, saya mula mengorak langkah ke Taboh Naning melalui Rembau dan Pedas pula. Dah ternampak papantanda masuk ke Gunung Datuk pulak dah... Kebetulan saya belum pernah sampai ke sana. Saya pun ambil jalan itu. Lihat artikel Enjoying the waters at Gunung Datuk yang baru dibuat di blogspotBERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi.
Setelah puas mandi air terjun, saya tergerak untuk ke pekan Tampin. Singgah bersolat di masjid ini, Masjid Tunku Besar Tampin...
Sebenarnya saya bercadang untuk berbuka puasa di Tampin. Tetapi lebih kurang setengah jam kemudian saya rasa jemu berlegar-legar di bandar itu lalu mula mengorak langkah ke Alor Gajah...
Dalam perjalanan itu, terlihat pula sebuah kawasan perkuburan yang menarik perhatian. Terus saya berpatah sedikit untuk singgah. Lihat artikel A peculiar graveyard near Tampin di blogspotBERPETUALANG KE ACEH . Cerita bersambung lagi sebaik sahaja siap membuat beberapa artikel (juga berperanan sebagai penyokong penceritaan di sini) di blogspots lain... Kita ambil angin sebentar! :]
Assalamualaikum semua. Dalam artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Menutup cerita di Bukit Chandan yang dibuat 10 hari lalu, saya ada menyebut, selepas membuat artikel itu saya tidak akan menulis apa-apa lagi kecuali satu artikel tentang DVD perjalanan ke Perak yang baru siap minggu lepas. Lalu saya juga menyebut saya cuma akan menulis lagi mungkin selepas Hari Raya.
Sekarang, telah nyata bahawa Hari Raya Aidilfitri akan disambut Rabu esok. Terasa janggal pula jika tidak membuat sekurang-kurangnya satu artikel untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya, maaf zahir batin untuk semua lalu saya rasa elok juga menulis hari ini.
Lagipun dalam, beberapa hari lepas, saya sebenarnya telah membuat satu siri pengembaraan baru. Maka elok juga dilepaskan dari hati sanubari saya agar Hari Raya esok dan seterusnya dapat disambut tanpa ada apa-apa perasaan tersekat. Dan lagi anggaplah artikel ini (dan beberapa artikel yang akan cuba disiapkan hari ini juga di ketiga-ketiga blogspot saya iaitu di sini, di BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ) sebagai 'bekalan' bacaan untuk para pengunjung setia blogspots saya sempena Hari Raya ini. Mari! :]
Ini adalah gambar motosikal besar kesayangan saya di hadapan rumah almarhum Nenek, ibu kepada bapa saya, di Raub, Pahang. Adapun seperti pembaca setia blogspots saya sedia maklum, motosikal ini sudah 5 tahun tidak berjalan akibat kerosakan lalu tersadai di Kampung Janda Baik, Pahang, baru sebulan dua ini ia berjaya diperbaiki dan mula berjalan kembali. Sila baca artikel Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman? yang mengandungi sedikit 'sejarah' motosikal ini.
Untuk pengetahuan selepas ia berjaya diperbaiki, paling jauh ia pernah berjalan sekali jalan ialah dalam jarak 40km dari Kuala Lumpur ke Janda Baik. Lalu perjalanan ke Raub dari KL sejauh lebih sedikit dari 100km yang dibuat Rabu lalu memecah 'rekod' sejak ia diperbaiki... Dan tentunya itulah kali pertama motosikal ini sampai di Raub sejak lebih 5 tahun!
Adapun perjalanan ke Raub ini dapat dibuat setelah beberapa kerja selesai terutama pembuatan DVD perjalanan ke Perak seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! Selasa lepas. Awal bulan Ramadhan, sepupu saya di sana yang jarang berhubung ada membuat panggilan telefon bertanyakan apakah saya akan kembali ke Raub untuk bulan puasa. Jawab saya, saya tidak dapat menjamin akan ke sana untuk Ramadhan malah untuk Hari Raya pun mungkin tidak. Tetapi setelah selesai pembikinan DVD malah percetakan kulitnya yang dapat dibuat siang Selasa itu juga, saya terasa begitu lega lalu terus merancang membuat perjalanan ke Raub.
Di atas ialah gambar sebuah masjid dengan rekabentuk unik di Ulu Dong, Raub. Untuk pengetahuan, masjid ini ialah markas tariqat Naqshabandiah-Khalidiyah di sana dan sering dijadikan tempat bersuluk. Sebenarnya, sudah lama saya ingin memaparkan gambar masjid ini di blogspots saya. Baru kini dapat dan telah pun diletakkan tadi di blogspotSENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , di bawah tajuk Masjid (mosque of) Ulu Dong, Raub, Pahang ...
Saya bermalam dua malam di Raub. Pagi Jumaat, saya bersedia meninggalkannya untuk ke Kampung Janda Baik. Sebelum itu, saya menziarahi makam Nenek yang hampir setahun tidak dijejaki. Untuk pengetahuan, Nenek inilah yang saya jadikan salah satu watak utama dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh". Dalam satu perjalanan dari Kuala Lumpur ke Raub untuk melihat Nenek yang sudah nazak tahun 2002, tayar motosikal besar saya pernah meletup ketika mendaki jalan berliku hampir ke terowong di Genting Sempah. Sila baca artikel Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak...
Seperti ramai pembaca setia di sini tahu, Janda Baik ialah tempat kegemaran saya berehat. Dahulu saya pernah menumpang 3 tahun duduk di rumah penulis buku politik Pak Habib atau S.H. Alattas. Kemudian atas sebab-sebab tertentu, saya telah keluar dari rumah itu lalu lebih selesa tidur di sebuah surau di tepian sungai apabila naik ke Janda Baik.
Sesekali, saya akan bermalam seorang diri di sebuah rumah lama dari Perak yang dicabut dari Gunung Semanggol lalu dipasang-balik di satu bahagian Janda Baik. Untuk malam Tujuh Likur tahun lepas, saya telah bermalam di sana dan untuk malam Tujuh Likur baru-baru inipun saya bermalam lagi seorang diri di rumah itu dalam kegelapan tanpa eletrik.
Untuk makluman, malam Tujuh Likur atau 27 Ramadhan adalah hari lahir saya menurut tahun Hijrah sedangkan rumah lama tidak berpenghuni yang dikatakan sangat 'keras' itu ada semacam talian peribadi istimewa buat saya. Cerita akan disambung selepas melepaskan beberapa buah artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Harap bersabar... :]
Assalamualaikum... Di sini ada berita baik untuk semua terutama peminat sejarah sebenar Melayu dan mereka yang ingin memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara...
Lihat ini... Jika dilipat dua, bahagian kiri akan menjadi kulit belakang, bahagian kanan kulit hadapan...
Senang cerita, inilah bahagian hadapan kulit DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang berjaya dihasilkan berdasarkan perjalanan terbaru ke Perak yang dibuat dengan penyertaan beberapa orang warga setia pembaca blogspot "Catatan Si Merah Silu" pada 16-18 September 2008... Menunggu masa sahaja untuk menemui peminat, insyaallah selepas Hari Raya!
Ini adalah bahagian belakangnya... Dinyatakan di sini antara tempat-tempat yang dilawati demi memecah persoalan tersurat dan tersirat di sebalik terjadinya Perjanjian Pangkor 1874 dan bagaimana ia mengubah iklim sosio-politik Tanah Melayu sehingga kesannya masih terasa hingga kini!
Bayangkan, di sini disenaraikan 44 lokasi (sebenarnya lebih)... Lalu ulasan dan rakaman video dibuat untuk meliputi lokasi-lokasi ini, ada yang sepintas lalu, ada yang memakan banyak masa... Dari sejak masuk ke Perak melalui Tanjung Malim sehingga ke Teluk Intan, Kampung Gajah, Pasir Salak, Beruas, Taiping dan Kuala Kangsar dalam tempoh 2 hari.
Hmm... Biar diletakkan 44 lokasi ini di bawah ya... Ini dia...
1. Masjid Sheikh Ismail, Ulu Bernam
2. Sempadan Selangor-Perak di Tanjung Malim
3. Masjid jamek Tanjung Malim
4. Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
5. Masjid lama Sungkai
6. Masjid lama Batak Rabit
7. Kawasan pemakaman keluarga Laksamana Raja Mahkota
8. Menara Condong Teluk Intan
9. Makam Sultan Abdullah I (Marhum Durian Sebatang)
10. Makam Keramat Kuala Bidor
11. Masjid tinggal Teluk Memali
12. Makam Sultan Abdul Malik Mansur Shah
13. Kubur J.W.W. Birch
14. Makam Raja Ahmad
15. Masjid Sultan Azlan Shah, Kampung Gajah
16. Chenderong Balai
17. Makam Sultan Abdullah Muazzam Shah
18. Makam Sultan Jaafar Muazzam Shah
19. Masjid Bandar Tua
20. Masjid Muhammediah, Kampung Ayer Mati
21. Makam Si Puntum
22. Kompleks bersejarah Pasir Salak
23. Tempat Birch dibunuh
24. Muzium Beruas
25. Makam Raja-raja Beruas I
26. Makam Raja-raja Beruas II
27. Masjid Kampung Kota
28. Kota Ngah Ibrahim
29. Bandar Taiping
30. Makam Sheikh Abdul Qadir, Kuala Kangsar
31. Bukit Chandan
32. Masjid Ubudiyah
33. Makam diraja Perak
34. Makam Sultan Abdullah II (yang dibuang ke Pulau Seychells)
35. Makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin
36. Rumah Pak Mazin
37. Makam Daeng Selili
38. Makam Tok Temong
39. Masjid Kota Lama Kanan
40. Makam Sultan Mansur Shah
41. Makam Temenggung Wan Hussein
42. Makam Sultan Ali Inayat Shah
43. Makam Sultan Yusuf I
44. Makam Sultan Muzaffar III
Fikirkan... 44 lokasi yang disenaraikan sendiri sudah cukup untuk membayangkan kepadatan isi bersulam sejarah rasmi berserta sejarah "kurang rasmi" dan cerita yang keluar melalui gerak hati di dalam DVD sepanjang 1 jam 31 minit campur 27 minit bonus cerita tempat-tempat tertentu ini (tempat-tempat nombor 36 hingga 44 dalam senarai selepas cerita 'ditutup' di makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin").
Untuk sesiapa yang "tertinggal bas", boleh lihat klip-klip video yang dipaparkan di bawah siri artikel "Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874"... Ada diletakkan di side-bar kanan di bawah chat-box. Senang cerita, biar diletak link-linknya di sini juga...
Adapun klip-klip video yang telah dipaparkan di blogspot ini adalah sebahagian kecil sahaja daripada jalan cerita. Dan lagi, klip-klip video ini tidak mengandungi teks penerangan berserta muzik latar-belakang yang siap dibuat untuk DVD pada 19 September, iaitu 4 hari lalu...
Beginilah, lihat klip video khas pembukaan di bawah ini, sama seperti yang terdapat di dalam DVD...
Bezanya, kualiti video dalam DVD jauh lebih baik daripada klip video di atas ini. Maklumlah, klip video untuk di down-load ke Internet harus dikecilkan saiz file nya lalu diturunkan kualiti, kalau tak nanti jadi berjam-jam lama kerja nak up-load je!
Apapun, sukacita dimaklumkan, DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" ini kini dibuka untuk tempahan... Harga promosi yang ditetapkan adalah RM9.90 untuk 100 DVD pertama... Semalam telah saya cetak 49 naskah... Yang belum cetak cuma cover atau kulitnya seperti yang terpapar mula-mula di atas ini.
Oleh kerana rasanya ia perlu diposkan nanti, saya rasa tidak keterlaluan jika saya meletakkan harga promosi DVD campur harga pos sebanyak RM15 untuk setiap DVD... Kecuali ada tempahan lebih dari satu DVD maka cuma tambah RM10 sahaja untuk setiap DVD. Jadilah RM25 untuk 2 DVD, RM35 untuk 3 DVD dan sebagainya hingga maksima 5 DVD sekali tempah.
Mereka yang berminat boleh menyatakan tempahan di ruangan komen di artikel ini atau e-mail ke merahsilu@hotmail.com . Ingat, tawaran ini terhad pada 100 DVD terawal... Selepas itu saya tidak dapat menjamin harganya serendah ini! Buat tempahan dahulu, jualan dan penghantaran akan mula dibuat selepas minggu pertama bulan Syawal @ Hari Raya Aidil Fitri ini.
Seperti untuk membeli siri buku "Berpetualang ke Aceh" (lihat Cara-cara mendapatkan siri buku BKA... ), buat masa ini saya lebih selesa menggunakan kaedah wang pos. Maka sila sediakan wang pos yang setimpal dengan jumlah DVD yang diinginkan, tulis pada wang pos itu nama penuh saya menurut IC:-
Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee
No IC. 701126-01-5227
Atau biarkan bahagian itu kosong. Harap maklum, tak boleh pakai nama pena saya "Radzi Sapiee" pada wang pos kerana tidak diterima pihak pejabat pos, perlu ikut nama dalam IC. Kalau dikosongkan, maka sekurang-kuragnya saya boleh tulis sendiri.
Apabila jualan mula dibuka, hantarkan kepada alamat ini...
Radzi Sapiee, Lot 646, Jalan 9, Taman Ampang Utama, 68000 Selangor.
Nak hantar lebih awal pun boleh tetapi saya cuma akan membalas balik dan menghantar DVD selepas minggu pertama Raya. Sementara itu, seperti disebut di atas, sila nyatakan tempahan di ruangan komen atau e-mail merahsilu@hotmail.com ya! Dengan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan maaf zahir batin kepada semua. Wassalam... :]
p/s: Ditulis selepas jam 2.30 pagi...
Tadi saya tergerak untuk menelaah beberapa artikel lama di sini. Terjumpa balik artikel bertajuk Taiping dan akibat Perjanjian Pangkor 1874... , rasa perlu diletakkan link nya di sini kerana rasa rugi jika penulisan yang terkeluar panjang lebar melalui gerak hati yang muncul ketika itu tidak dapat dimanfaatkan sekali lagi kerana ia banyak menyentuh tentang makna Melayu dan nasibnya kini. Sila baca juga artikel Di Kuala Kangsar untuk memperbaharui wasilah... yang dibuat dalam tempoh masa sama iaitu lebih setengah tahun lalu. Sekian! :]
Rasanya tajuk posting kali ini, artikel ke 404 di blogspot ini sudah cukup menerangkan segalanya... Maka biarlah ditutup siri artikel "Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874" ini ya. Selepas ini saya tidak akan menulis lagi buat masa ini...
Kalau ada pun, cuma mungkin satu artikel sahaja (kalau tergerak nanti) akan keluar minggu hadapan tentang DVD video perjalanan ke Perak menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874 yang telah pun siap ditambah sekali muzik latar-belakang, sedia untuk menerima tempahan peminat... Artikel seterusnya cuma mungkin akan keluar selepas Hari Raya, itupun tidak dapat dijamin kerana saya akan sibuk dengan satu tugasan baru.
Sekian, selamat malam dan selamat berhari-raya, maaf zahir batin. Pandu cermat jiwa selamat, jangan biasakan menjolok meriam buluh dengan jari! :]
Berkejar ke Kuala Kangsar
Apa ada di Bukit Chandan?
Dan klip video bonus, lawatan ke rumah pandai besi dan pakar pertukangan keris, Pak Mazin!
p/s: Sebenarnya selepas itu ada ziarah malam ke makam-makam Daeng Selili, Sheikh Abdul Qadir, Tok Temong, Sultan Mansur Shah, Sultan Ali Inayat, Sultan Yusuf I dan Sultan Muzaffar III. Tetapi seperti bahagian-bahagian penting lain yang tidak dipaparkan di blogspot ini, pembaca boleh melihatnya dalam DVD yang sudah siap dibuat tetapi rasanya cuma akan dibuka kepada peminat selepas Hari Raya nanti...
Tak mahal... Lihat sendiri hasilnya yang mengandungi penerangan dalam betuk teks yang timbul terbang berdesup dan sebagainya selain muzik latar Sufi, tradisional Melayu dan classical Inggeris untuk menyokong mood penceritaan. Saya rasa akan menetapkan harganya pada RM9.90. Cuma belum difikirkan bagaimana cara pembelian terbaik, melalui pos dan sebagainya dan apakah harga penghantaran pos yang patut ditambah nanti... :]
Salam semua sempena hari ke 17 bulan Ramadhan bersamaan Nuzul Quran ini... Hmm... Dah petang sangat nak dekat buka puasa baru nak cakap. Tadi saya baru sahaja berjaya menyiapkan cerita perjalanan menyusur sejarah di Perak ini dalam bentuk wayang @ dokumentari penuh untuk DVD setelah beberapa hari bersengkang-mata membuat suntingan.
Hmm... Penat saya sejak pagi tadi duduk tekun memeras "tenaga kepala" di sebuah Internet Cafe untuk membuat beberapa postings terbaru seraya membuat uploading klip-klip video sedutan rakaman perjalan terbaru ke Perak hampir sebulan lalu . Sambil itu saya juga harus menyiapkan sebahagian isi proposal satu projek penulisan untuk pihak lain. Dan semua ini dibuat dalam keadaan komputer yang digunakan 4-5 jam tadi ada masalah sehingga banyak kali mengganggu tumpuan. Allah!
Kini saya beralih pada komputer yang lebih elok. Alhamdulillah, gerak kerja lebih lancar walaupun suasana lebih bising disebabkan bahagian Internet Cafe di Jalan Ipoh di mana terletak komputer lain ini penuh dengan pelajar sekolah menengah bermain Games.
Dengan itu biarlah saya lepaskan klip-klip video untuk sessi penceritaan kali ini di sini ya, klip-klip video yang sudah berjaya di upload sekurang-kurangnya 7 jam lalu. Cuma baru ini saya meletakkannya setelah siap beberapa artikel di blogspot-blogspot saya yang lain sebagai sokongan langkah penceritaan, juga kerja yang telah diamanahkan.
OK... Ini adalah posting ke 400 di blogspot ini. Setelah cerita yang terpapar dalam artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Makam Raja Ahmad... Sekali lagi sampai waktu malam! masuklah kita ke perjalanan keesokannya harinya, hari Ahad. Setelah bermalam di Masjid Sultan Azlan Shah di Kampung Gajah, rombongan pagi itu berpatah balik ke selatan untuk ke Chenderong Balai... Untuk meletakkan kereta RadenCilik yang ada masalah di rumah Zam.
Kemudian kami sarapan sebelum menghala kembali ke Kampung Gajah untuk ke Pasir Salak. Dalam perjalanan itu kami singgah di makam Sultan Jaafar, Sultan ke 23 Perak. Sebelum pergi ke kompleks sejarah Pasir Salak, kami berjalan-jalan pula melihat keadaan di sekitar Bandar Tua. Lihat klip-klip video ini...
Assalamualaikum. Hari Rabu baru-baru ini saya telah membuat beberapa penambahan barangan pada motosikal besar kesayangan saya. Esok paginya di rumah, tergerak pula untuk mengambil beberapa gambarnya lalu timbul gerak ingin bercerita nanti, satu gerak bercerita yang kini dapat dimulakan beberapa ketika selepas bersolat Jumaat...
Kebetulan pula pada malam Jumaat tadi, saya telah memasukkan beberapa artikel yang mengandungi klip-klip video perjalanan terbaru ke Perak, artikel-artikel di bawah siri penceritaan "Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang bermula seminggu lepas. Lalu congak kira-kira saya mendapati bahawa artikel terbaru melibatkan motosikal besar saya ini akan menjadi artikel ke 399 dipaparkan di sini sejak blogspot ini bermula penghujung 2006. Apakah ini menandakan satu peralihan zaman buat saya? Apapun izinkan saya melepaskan satu gerak penceritaan...
Alhamdulillah, saya rasa sungguh puas hati melihat keadaan motosikal kesayangan saya siang itu. Kalau sebulan dahulu iaitu selepas motosikal ini baru siap dihidupkan kembali (setelah 5 tahun melangut di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang kerana rosak lalu banyak barangannya dicuri orang), saya menghadapi masalah enjin sentiasa tersenggut-senggut diikuti ada kebocoran minyak pelincir di beberapa tempat, kini keadaan lebih elok. Tiada lagi tompokan minyak di bawah apabila ditinggalkan setelah dibawa berjalan...
Lebih puas lagi apabila melihat penambahan barangan seperti beg-beg kulit kiri kanan dan belakang berserta cermin di hadapan yang saya rasa sangat kena dengan citarasa peribadi saya. Allah... Tersenyum lebar saya apabila membawanya dalam keadaan enjin terasa lancar dan rupa motosikal itu sendiri lebih kemas.
Dalam pada itu, teringat sejarah motosikal yang saya beli baru ini (bukan second-hand ya...) sekitar bulan Ogos 1997 kalau tak salah ingatan. Ketika itu saya baru sekitar 8 bulan berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times... Kebetulan di hadapan pejabat ada sebuah kedai motosikal yang turut menjual satu dua model motosikal besar. Lama-lama saya jadi semakin teruja melihat apa yang ada!
Saya sendiri sudah lama teringin memiliki motosikal besar. Jaket kulit yang sesuai sudah dimiliki sejak belajar di London 1991-1995 malah dibeli pada tahun pertama saya belajar di sana! Tunggu masa sahaja ada duit... Dan tak sampai setahun bekerja di NST, saya sudah ada cukup wang simpanan untuk membuat bayaran muka untuk sebuah motosikal besar.
Asalnya saya mahu membeli motosikal Kawasaki Vulcan 500cc yang baru keluar ketika itu. Rasanya bentuk badannya kelihatan lebih besar dan hebat... Cuma blok enjinnya sahaja kurang cantik! Masalahnya seseorang itu perlu membuat tempahan 3 bulan untuk mendapatkannya sedangkan di kedai yang sama, terdapat sebuah motosikal Yamaha Virago 535cc baru yang sedia menunggu untuk diambil asalkan sudah dibayar wang muka...
Ketika itu, saya pula sudah rasa tidak sabar hendak menunggang. Memang asalnya saya lebih mengidamkan Vulcan tetapi apabila difikirkan tempoh penantian kemudian bentuk blok enjin (blok enjin V2 Virago memang jauh lebih cantik, tetapi badannya tidak kelihatan 'segagah' Vulcan), saya pun membuat keputusan. Bayaran muka pun dibuat dan keluarlah saya menaiki motosikal besar Yamaha Virago 535cc pada satu petang... Walhal saya lesen motosikal biasa pun tak ada woo!!!
Selama beberapa bulan sebenarnya saya berjalan ke hulu ke hilir tanpa lesen dengan menaiki motosikal besar! Kalau naik motosikal kecil tanpa lesen itu kira biasalah, itupun di kampung-kampung. Ini naik motosikal besar sedangkan naik motosikal biasa pun saya jarang... Semasa itu jugalah saya baru nak belajar bagaimana cara menyelit seraya menjaga keseimbangan sebuah jentera beroda dua yang agak berat ke sana-sini di celah himpunan kenderaan seperti kereta dan lori di tengah kesesakan lalu lintas bandaraya Kuala Lumpur setiap hari!
Alhamdulillah, tidak lama kemudian saya mendapat tahu pihak JPJ akan mengadakan sesi ujian istimewa untuk lesen motosikal besar atau lesen B (dikenali ramai sebagai "B full " kerana boleh digunakan untuk semua kelas motosikal, bukan seperti lesen B2 yang dimiliki kebanyakan orang, terhad untuk motosikal 250cc ke bawah sahaja...).
Sesi ujian istimewa ini sebenarnya diadakan untuk kakitangan jabatan kerajaan tertentu seperti polis trafik dan kakitangan DBKL tetapi pihak media yang berminat turut dijemput sama. Dipendekkan cerita, akhirnya saya ada juga lesen motosikal malah lesen motosikal besar, alhamdulillah!
Tahun itu juga penghujung 1997, setelah confirm kerja di NST iaitu selepas setahun diperhatikan hasil kerja dan didapati memuaskan, baru saya dapat mengambil cuti. Apalagi, saya mengambil cuti 5 ke 6 minggu, saya pun tak ingat dengan tepat tempohnya tapi begitulah... Kiranya nak habiskan cuti berbayar untuk setahun (28 hari woo...) campur sekali cuti biasa hujung minggu. Lalu cuti panjang itu digunakan untuk membuat pusingan pertama perjalanan solo bermotosikal besar di keliling Semenanjung. Malah separuh dari tempoh itu dihabiskan dalam bulan puasa ataupun Ramadhan, bermula di Rantau Panjang, Kelantan...
Selain pergi ke tempat-tempat yang dikenali ramai seperti Pulau Pinang, Cameron Highlands malah puncak Gunung Jerai dengan motosikal, saya juga sempat pergi ke 4 'penjuru' Semenanjung... Penjuru barat-laut di sempadan Perlis/ Thailand yang bertemu ke Selat Melaka, penjuru timur-laut di sempadan Kelantan/ Thailand bertemu Laut Cina Selatan (kalau tak salah ingatan di Pengkalan Kubor), penjuru tenggara di Teluk Ramunia, Kota Tinggi dan penjuru barat-laut di Tanjung Piai, Pontian.
Setelah itu, saya telah beberapa kali keluar berjalan jauh keliling Semenanjung seorang diri dengan menunggang motosikal itu. Jangankan jalan biasa, jalan balak pun saya pernah bantai! Sedangkan ia bukannya scrambler dan lagi ia berat!
Misalnya saya pernah cuba mengambil jalan pintas dari kawasan Gunung Stong, Kelantan keluar ke Gua Musang yang sudah rosak... Sehingga apabila diberitahu saya akan mengambil jalan itu, seorang penduduk di Gunung Stong melarang kerana katanya baru-baru ini ada kenderaan pacuan 4 roda Hi-Lux sampai patah axle tayar kerana lalu di sana tetapi saya tetap ingin mencuba kerana telah terlihat jalan itu dalam peta sejak bertahun lalu!.
Dalam peta memang ia kelihatan seperti jalan pintas sebab dapat menjimatkan lebih 50km (rasanya mungkin sehingga 100km!) berbanding jalan biasa yang perlu melalui Kuala Krai. Dan lagi ia mengekori sebahagian Banjaran Titiwangsa dan itulah yang membuat saya lebih teruja untuk mencuba. Tetapi keadaan jalan yang begitu buruk, berlubang-lubang dan berbatu besar keras di bahagian kering berserta selut dan tanah merah lembap di bahagian basah sehingga beberapa kali motosikal jatuh tergelincir kalau tak pun tersangkut tenggelam 8 inci dalam lumpur malah hujan lebat, banjir kecil dan sempat bertemu babi hutan dan katak besar menyebabkan perjalanan itu mengambil masa lebih 6 jam!
Sebab itu saya begitu sayangkan motosikal ini. Walaupun ramai juga orang ingin membelinya daripada saya semasa zaman saya sedang lama berkelana tidak bekerja sehingga tidak mampu lagi menanggung kos membela motosikal ini... Sehingga ia rosak lama terbengkalai 5 tahun pun saya tetap tidak mahu melepaskannya dengan harapan ia akan berjalan elok satu hari nanti.
Kini alhamdulillah, ia bukan sahaja sudah kembali berjalan elok malah kelihatan lebih gah dan menarik dari dahulu. Dengan ini, selesailah proses penceritaan yang membentuk artikel ke-399 di blogspot ini. Kalau ada masa dan untuk memahami cerita ini lebih lanjut, sila baca artikel-artikel sebelumnya tentang motosikal ini di link-link ini:-
p/s: Pada malam selepas membuat penambahan baru pada motosikal itu, saya mendapat gerak pekerjaan yang mantap sehingga dapat menyiapkan proses mengambil sedutan-sedutan sesuai daripada video perjalanan terbaru ke Perak untuk dimuatkan di dalam blogspot. Salah satu sedutan terakhir adalah ziarah ke makam diraja Perak yang dibuat 17 Ogos waktu Maghrib. Sedutan itu cuma mahu saya ambil sampai ke takat saya memperkenalkan makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan ke 26 Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles di perairan Afrika akibat disabitkan dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.
Maka seperti biasa, saya pun membuat potongan video pada bahagian yang perlu lalu mula membuat proses publishing yang akan menerbitkan klip video yang sesuai. Peliknya, apabila proses publishing sudah selesai, video yang terhasil jadi lebih panjang sehingga bertambah hampir 1 minit... Dari 2 minit lebih yang diinginkan dah jadi sedutan sepanjang lebih 3 minit pula!
Sekarang, kejadian video yang terlebih panjang (atau terlebih pendek) memang perkara biasa dalam proses membuat sedutan, potongan atau editting video... Sekurang-kurangnya itulah yang saya lihat sejak tahu membuat segala ini menggunakan Windows Movie Maker... Jadi pandai-pandailah kita membuat pengubahsuaian yang perlu. Tetapi inilah kali pertama sedutan yang terhasil terlajak sehingga 1 minit! Lalu dalam sedutan itu terkeluar juga sedikit ulasan di makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Lebih menarik lagi adalah bahagian akhir sedutan yang terhasil itu... Tanpa dirancang, elok-elok sahaja ia tamat selepas saya menyebut lebih kurang begini... "Menurut salasilah rasmi, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin adalah saudara tiga pupu Sultan Abdullah di sebelah perempuan. Tetapi menurut salasilah tidak rasmi (atau rahsia?) mereka sebenarnya saudara sepupu sebelah laki-laki!" Ada apa-apa makna ke sehingga boleh jadi begini? Sekian... :]