Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, May 05, 2021

Tentang beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadhan

Dipersembahkan satu artikel istimewa tentang Ramadhan yang muncul akibat suatu gerak.


Pagi tadi ketika hendak menyiapkan lakaran peta dan kiraan jarak bagi perjalanan-perjalanan yang disenaraikan dalam artikel Lain-lain perjalanan yang perlu diambil kira berserta peta : 81 hingga 90 masuklah pada artikel  Iktikaf 10 hari terakhir Ramadhan 2018 yang ditanda sebagai perjalanan ke-86. Timbul rasa mesti dibuat  satu artikel khas tentang iktikaf 10 malam terakhir Ramadhan di masjid. Biar dibuat daripada 2006 menaik mengikut turutan.

Dengan menggunakan program Gregorian to Hijriah Converter (sila Google) boleh ditetapkan bilakah 20 Ramadhan jatuh pada suatu tahun menurut kalendar Barat. Dengan itu artikel-artikel sekitar tarikh tersebut boleh dicari dalam arkib blogspot. Cuma pengubahan tarikh mengikut kalender itu boleh lari sehari... misalnya  20 Ramadhan 1433 Hijriah dikatakan  jatuh pada 8 Ogos 2012 sedangkan berdasarkan catatan dalam artikel ia jatuh pada 9 Ogos. Apapun program tetap boleh digunakan lalu dapat dibuat semakan seperti berikut :-


2006 - Sepuluh hari terakhir Ramadhan harus bermula pada tarikh 13 Oktober 2006 bersamaan 20 Ramadhan 1427 Hijriah. Ketika itu blogspot ini belum lagi wujud. Namun ada catatan perjalanan yang dengan tempoh masa tersebut iaitu Perjalanan yang terbit akibat pengembalian jenazah Laksamana ke Perak (berlaku September 2006) dan Mengenang lawatan spontan ke Singapura tahun 2006... (berlaku November). Tak pasti di manakah  saya berada pada 10 terakhir Ramadhan. Mungkin sudah di kampung di Muar. Mungkin sedang mengembara di mana-mana entah.

Yang pasti sejak hampir penghujung 2005 saya sudah berpusat di rumah ibu saudara di Ampang. Kalau bulan puasa tahun 1991-1995 saya di London, 1996 hingga 2001 sedang bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times lalu berpusat di Kuala Lumpur. Tahun 2002 masih di KL. Selepas itu membawa ke hampir penghujung tahun 2005 berpusat di sama ada rumah ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal S.H.Alattas @ Pak Habib di Janda Baik atau pejabatnya di Jalan Gombak di KL. Tetapi boleh jadi saya mengembara ke mana-mana menurut 'angin'. Cuma tidak ada rujukan jelas bagaimanakah ceritanya...


2007 - Harus bermula pada 2 Oktober. Artikel Kenangan BKA Tour Run tahun 2007  yang diterbitkan hari Rabu 10 Oktober (bersamaan 28 Ramadhan 1428) menyebut pada 1 Oktober bersamaan 19 Ramadhan saya telah menghantar manuskrip buku ke-3 saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" ke kilang percetakan. Dua hari sebelum menulis artikel iaitu pada 8 Oktober bersamaan 26 Ramadhan saya pergi ke Janda Baik supaya dapat bermalam tujuh likur (hari jadi saya yang ke-38 menurut kalender Islam) di sebuah rumah lama. Lihat  Rumah lama Perak di Janda Baik (An old Perak house in Janda Baik) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Malam esoknya baru tidur di surau bersebelahan sungai di bahagian lain Janda Baik. Ini bermakna sebelum ke Janda Baik saya harus berada di Kuala Lumpur kerana berpusat di rumah ibu saudara di Ampang. Dari situlah diaatur pelbagai urusan penerbitan buku termasuk untuk buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006 dan buku kedua "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (Mei 2007).


2008 - Harus bermula pada 20 September. Ketika ini saya masih berpusat di rumah ibu saudara di Ampang. Rabu 24 September bersamaan 24 Ramadhan saya ke Raub menaiki motosikal besar kesayangan yang baru sebulan dua dipulihkan setelah 5 tahun rosak tersadai. Lalu bermulalah perjalanan seperti diceritakan dalam artikel Perjalanan berliku untuk kembali berhari raya tahun 2008. Beriktikaflah di beberapa tempat termasuk masjid-masjid dalam perjalanan yang kemudian menghala ke Negeri Sembilan membawa ke Melaka dan Muar.

Hmm. Menarik tarikh tu. 24 bulan 9 tahun Barat bersamaan 24 bulan 9 tahun Islam.


2009 - Harus bermula pada 10 September. Ketika ini saya sudah kembali berumahtangga (sejak Disember 2008) dan isteri sudah lebih 8 bulan mengandungkan anak laki-laki sulung kami. Maka itu tak berjalan sangat pada 10 hari terakhir Ramadhan apa lagi kerana sudah membuat dua perjalanan jauh dalam masa terdekat. Lihat :- 


1. Koleksi artikel "Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan" - Perjalanan berlaku 27 Ogos-1 Sept iaitu 6-11 Ramadhan. Jarak diliputi sekitar 1,500 km.

2. Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... - 15-22 Jun, Jarak sekitar 1,150 km tidak termasuk penerbangan.

Hari-hari penghujung Ramadhan itu nampaknya lebih banyak dihabiskan di rumah sambil menyiapkan cerita-cerita tentang perjalanan di Aceh sehingga keluar kompilasi berkenaan pada malam 1 Syawal. Tarikh Baratnya adalah 19 September. Siang itu bersamaan 29 Ramadhan.


2010 - Harus bermula pada 30 Ogos. Rekod di blogspot menunjukkan saya sedang sibuk melepaskan dua siri cerita secara bergilir-gilir  bermula 16 Ogos bersamaan 6 Ramadhan 1431 Hijriah. Satu adalah tentang perjalanan di Aceh bulan Januari tetapi lambat ditulis kerana muncul pelbagai perjalanan serta lain-lain kesibukan. Satu lagi adalah perjalanan di Muar tetapi cuma mencapai maksudnya di Janda Baik pada awal bulan Ramadhan. Hasilnya terbit artikel-artikel kompilasi berikut pada hari sama 16 September iaitu pertengahan bulan Syawal :-


2. Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula...


Tidak ditemukan catatan tentang apakah ada dibuat iktikaf di mana-mana masjid. Cuma malam 29 Ramadhan ada artikel menyebut bergerak dari rumah ke kampung isteri di Tanjung Sepat. Lihat Al-Rasyid berhari-raya : Mula di Tanjung Sepat....


2011- Harus bermula pada 20 Ogos. Satu-satunya artikel yang dapat menunjukkan ada aktiviti luar pada penghujung Ramadhan adalah Dari hutan simpan ke menara (berlaku 25-27 Ramadhan). Nampaknya lebih banyak masa dihabiskan di rumah sambil menerbitkan beberapa artikel terutama tentang perjalanan ke Pantai Timur 25 Disember 2010 hingga 4 Januari 2011. Walaupun sudah lama berlalu ia betul-betul mula ditulis bulan April lantaran banyaknya aktiviti sebelum itu yang perlu dilepaskan ceritanya terlebih dahulu. 

Perjalanan itu sendiri memakan jarak 2,367 km dengan 4,743 gambar diambil. Lalu untuk melepaskan cerita-cerita berkenaan lebih 230 artikel telah ditulis (kebanyakannya adalah artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Ini mengambil masa 4 bulan sehingga keluar rangkuman melalui artikel Kompilasi "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur" pada 29 Ogos bersamaan 29 Ramadhan 1432 Hijriah. Selain itu apabila disemak kembali artikel-artikel yang dikeluarkan sekitar waktu itu didapati saya juga sedang disibukkan dengan urusan penerbitan buku ke-7 saya "Jejak Keluarga Yakin : Satu Sketsa Sejarah".

Melalui artikel Kata-kata aluan (dan harapan?) selepas minggu pertama raya baru ingat bahawa  pada pagi Khamis 18 Ogos saya telah menghantar manuskrip buku dalam bentuk PDF ke kilang cetak dengan harapan buku sempat dicetak sebelum raya. Tengok-tengok PDF itu bermasalah lalu proses membetulkannya memakan masa hingga ke hari Rabu berikutnya 24 Ogos.


2012 - Harus bermula pada 8 Ogos. Satu-satunya artikel jelas menunjukkan aktiviti luar dalam tempoh masa terdekat itu adalah Mencari batu nesan Aceh di Negeri Sembilan. Itupun berlaku pada hari Nuzul Quran iaitu 17 Ramadhan, bukan 10 hari terakhir. Kelihatan masa lebih banyak digunakan untuk menyelesaikan artikel-artikel perjalanan. Kali ini lebih pada perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei 2012. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa" yang terbit tengah malam 18 Ogos. 

Pun begitu  apabila disemak balik betul-betul artikel-artikel selepas tarikh tersebut ternyata saya ada keluar berjalan jauh bermula 22 Ramadhan. Perjalanan berpanjangan sehingga 27 Ramadhan dan memakan jarak 1,400 km lalu saya beriktikaf di beberapa buah masjid dari Cameron Highlands membawa ke negeri Perak. Disebut dalam artikel berkenaan saya keluar seorang diri dengan motosikal besar pada tengah hari Sabtu 11 Ogos 2012 bersamaan 22 Ramadhan 1433. Ini bermaksud 20 Ramadhan ketika itu jatuh pada 9 Ogos bukan 8 Ogos seperti disebut di atas. Lihat Compiled - Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama setelah 9 tahun.


2013 - Harus bermula pada 28 Julai. Tak keluar iktikaf kerana sakit akibat patah kaki. Lihat artikel Pembedahan 15 Ramadhan dan faktor 313. Lebih banyak membuat penulisan terutama tentang perjalanan ke Tanah Bugis 3-12 Mei yang dilakukan dalam keadaan kaki bersimen. Lihat Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - The compilation.


2014 - Harus bermula pada 17 Julai. Dalam tempoh waktu terdekat didapati cuma ada satu artikel sahaja menunjukkan aktiviti sekitar bulan Ramadhan iaitu Meninjau persekitaran Ledang untuk HIKMAH akan datang. Itu pun berlaku pada 7-8 Ramadhan. Selepas itu saya tidak ada menulis apa-apa kecuali selepas masuk hari raya lalu bercerita tentang hari raya. Tidak ada apa-apa catatan menunjukkan apa yang berlaku pada 10 hari terakhir Ramadhan.


2015 - Harus bermula pada 7 Julai. Dapat ditemui artikel Iftar KL 2015 menunjukkan aktiviti berbuka puasa pada 21 Jun bersamaan 4 Ramadhan diikuti Iftar KL 2015 - Geng busana beraksi beramai-ramai iaitu berbuka puasa pada 27 Jun bersamaan 10 Ramadhan. Seterusnya berlaku perjalanan di Pulau Pinang dan Perak pada 28 Jun hingga 2 Julai bersamaan 11-15 Ramadhan. Lihat Misi Pulau Pinang dan Perak : The compilation. Pada 7 Julai pula saya keluar lagi ke arah utara tetapi dengan satu tim atau pasukan untuk membuat penggambaran dokumentari. Lihat :-


2. Daulah Melayu - Jejak industri besi purba di utara

3. Daulah Melayu - Ke Jeli dan Selatan Thailand


Ketika sampai kembali ke rumah Sabtu 11 Julai sudah 24 Ramadhan. Tidak ada apa-apa artikel menunjukkan aktiviti selepas itu sehingga sebelum raya. Nampaknya masa dihabiskan di rumah sambil menulis beberapa artikel tentang perjalanan di Pulau Pinang dan Perak juga penggambaran.


2016 - Harus bermula pada 25 Jun. Pada tarikh itu yang menurut catatan memang bersamaan 20 Ramadhan saya keluar bersama keluarga ke Shah Alam kemudian Pedas untuk ke majlis-majlis melibatkan dunia persilatan dan busana tradisional Melayu. Esoknya 26 Jun bersamaan 21 Ramadhan kami melawat beberapa tempat bersejarah di Negeri Sembilan kemudian berbuka di Kuala Lumpur. Cerita-cerita berkenaan ditulis pada 23 Ramadhan. Lihat :-


2. Dari Rembau ke Linggi ke Dataran Merdeka - Perjuangan berbusana tradisional Melayu tetap diteruskan walau apa jua...


Dah dekat 27 Ramadhan baru keluar untuk beriktikaf di masjid-masjid. Ini cukup jelas butiran walau agak ringkas. Lihat Misi malam Tujuh Likur - Iktikaf di 11 buah masjid...,


2017 - Harus bermula pada 15 Jun. Tidak ada apa-apa catatan sejak mempersembahkan artikel Video penuh "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" percuma untuk umum pada 11 Mei sehinggalah keluar artikel Sampai masa untuk kembali bersuara 17 Ogos. Hilang mood untuk menulis juga berinteraksi dengan orang ramai atas sebab tertentu.  Tak ingat langsung apa yang berlaku pada bulan Ramadhan itu.


2018 - Harus bermula pada 4 Jun. Kali ini jelas apa yang dilakukan kerana tercatat kemas dalam artikel  Iktikaf 10 hari terakhir Ramadhan 2018. Perjalanan beriktikaf dari masjid ke masjid meliputi jarak perjalanan lebih 850 km.


2019 - Harus bermula pada 25 Mei. Tiga artikel berikut menunjukkan kehadiran di tiga majlis ilmu pada awal Ramadhan di tempat saya menyambung pengajian pasca-siswazah (sejak September 2018) iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Supaya senang mengikut majlis tanpa perlu berulang alik 80 km (jarak pergi balik) ke rumah saya pun mula beriktikaf di masjid ISTAC.


2. Menelaah makna dan rahsia puasa serta iftar di ISTAC

3. Memakmurkan manusia melalui Maqasid Shariah - Tinggalkan slogan politik yang berkepentingan, kembalilah pada maksud sebenar dan arah tujuan


Sambil itu juga sibuk mahu menyiapkan buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995". Lihat Menelusuri perkembangan penulisan buku "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995". Manuskrip buku dalam bentuk PDF dihantar ke kilang cetak pada 17 Ramadhan. Lihat Mengambil berkat Nuzul Quran untuk percetakan buku dan berbuka di ISTAC.

Bangunan ISTAC yang memiliki ciri-ciri klasik Istana Alhambra di Andalusia (Sepanyol zaman kegemilangan Islam di sana abad ke-8 hingga ke-15 Masihi) terus menjadi pusat aktiviti sepanjang bulan Ramadhan. Pada 23 Mei bersamaan 18 Ramadhan saya ke sana lagi untuk satu majlis berbuka puasa. Lihat Berbuka puasa bersama anak-anak Rohingya dan Syria di ISTAC

Pada malam 27 Ramadhan menginap lagi di masjid ISTAC. Lihat Menyambut malam 7 Likur merangkap ulang tahun ke-50 di masjid ISTAC. Esoknya keluar untuk berbuka puasa dengan kawan-kawan lama di sebuah stesyen minyak milik salah seorang mereka. Lihat Berbuka 27 Ramadhan bersama kawan-kawan lama Sains Johor.

Pada minggu ke-3 bulan Syawal sekali lagi ISTAC dan masjidnya menjadi tempat beriktikaf juga mengatur aktiviti. Ketika itu buku "Kembara Eropah Tahun 1995" baru keluar dari kilang cetak. ISTAC menjadi pusat menghantar buku kepada sejumlah penempah awal sambil menghadiri majlis ilmu juga beramal di masjid. Lihat Apabila buku Kenangan Kembara Eropah 1995 mula ditatap pembaca.


2020 -  Harus bermula pada 13 Mei. Memang tak ke mana. Sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk membendung wabak virus Covid-19 sejak 18 Mac. Tak boleh keluar lebih 10 km dari rumah. Masjid pun tak bagi masuk kecuali beberapa orang ahli seperti imam, bilal dan tok siak. Lepas Isyak terus berkunci...


2021 - Bermula 2 Mei. Setakat ini tiada kena mana-mana lagi. Walau PKP tidak seketat dahulu kerana boleh rentas daerah cuma tak boleh rentas negeri tetapi bermula Khamis 6 Mei cuma penduduk dalam 3 buah daerah sahaja boleh merentas antara daerah-daerah berkenaan. Penduduk 6 buah lagi daerah tidak boleh keluar dan orang luar pula tak boleh masuk atau merentas kawasan. Nak bermalam di masjid di luar kawasan nampak seperti tiada jalan. Nampaknya tahun ni iktikaf kat rumah pokok aje le...




No comments: