Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Oktober 24, 2024

Pengalaman mengurus hubungan Malaysia-China bersama Syed Hamid Albar

Merujuk pada artikel Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh yang dipersembahkan petang semalam. Ada dinyatakan bahawa pada keesokannya pagi Khamis 24 Oktober  (hari ini) saya dijadualkan hadir di satu majlis ilmu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Ini ceritanya.



Poster bagi majlis. Pembicara iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar adalah orang yang cukup dikenali di Malaysia. Beliau yang kini sudah berusia 80 tahun pernah menjadi Menteri Luar Negeri dari tahun 1999 hingga 2008 selain pernah memegang pelbagai portfolio lain. Hubungan Malaysia-China adalah satu subjek yang sangat menarik apa lagi dalam keadaan Laut Cina Selatan sekarang sedang 'panas' akibat negara China menuntut hampir keseluruhan laut sehingga melanggar hak kedaulatan lain-lain negara ke atas bahagian perairan masing-masing. 

Termasuk yang dituntut adalah perairan negeri Sarawak yang berada di dalam kekuasaan sah Malaysia menurut undang-undang antarabangsa. Tetapi ini ditolak oleh China atas alasan, menurut sejarah (yang ditulis mereka) hampir keseluruhan laut jika tidak pun keseluruhan adalah hak mereka. Dengan itu mereka merasakan berhak menghantar kapal-kapal peronda ke perairan itu. Kita yang cuba membela hak kedaulatan sendiri pula yang dianggap sebagai menceroboh.




Sampai masanya saya pun ke lokasi majlis iaitu Wisma Sejarah di bandar raya Kuala Lumpur. Rasanya kali terakhir hadir majlis di situ adalah pada tahun 2018. Lihat  Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara. Untuk pengetahuan di Wisma Sejarah itulah saya mula menghadiri majlis-majlis ilmu sebegitu. Lihat artikel Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191 yang ditulis hampir 15 tahun lalu. Sejak itu banyak majlis serupa dihadiri di pelbagai institusi. Lihat artikel-artikel kompilasi berikut :-



Saya sampai ke bilik majlis sedikit lewat. Kedengaran Syed Hamid sedang bercakap tentang bagaimana Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaysia harus menerima lambakan pekerja asal dari China yang dibawa oleh British untuk dijadikan rakyat, sebagai antara syarat mendapat kemerdekaan 31 Ogos 1957. Disorot pula ke zaman ketika China yang membawa ideologi Komunis Marxis namun ada acuan tersendiri bersifat Konfuciusma (ajaran tradisi Cina daripada pendeta Konfucius) sedang membangun kemudian bertukar sedikit ideologi ke pasaran bebas (free market) tetapi bukan kapitalis. Dengan itu timbul banyak syarikat besar milik kerajaan memacu kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan ketenteraan, bukan milik persendirian atau korporat seperti halnya di Barat.


Dikongsikan pengalaman beliau ketika menjadi Menteri Luar menangani perkara-perkara melibatkan China. Dinyatakan bahawa dahulu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri  Malaysia dipandang tinggi oleh pelbagai pihak lalu suaranya lebih dihormati. Sekarang tidak lagi begitu.


Dalam hal tuntutan China terhadap Laut China Selatan yang semakin galak lantaran menyedari berapa banyak hasil bumi termasuk minyak dan gas terdapat di laut, disarankan agar negara-negara Asean (persatuan negara-negara Asia Negara) dapat bergabung sebulat suara untuk berhadapan dengan negara besar itu. Kalau ditangani secara unilateral iaitu satu negara ke satu negara sahaja satu persatu,, misalnya Malaysia dengan Cina satu rundingan, Indonesia dengan Cina satu rundingan lain ditakuti tidak ada cukup kekuatan juga maklumat bagi  mendapatkan persefahaman yang adil dan saksama. Kebetulan tahun 2025 Malaysia akan mempengerusikan persidangan Asean. Diharap pemimpin kita dapat menunjukkan jalan ke arah itu.


Selesai majlis kemudian makan tengah hari pergi ke Perpustakaan Negara yang terletak betul-betul bersebelahan Wisma Sejarah.


Di situlah ditulis artikel ini. Insyaallah selepas ini mahu hiking di sekitar Kampung Sungai Pusu membawa ke tasik buatan Klang Gates kemudian beriktikaf bermalam Jumaat di masjid sana. Dari situ dah cukup dekat ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk majlis ilmu seterusnya pagi Jumaat 25 Oktober.


Rabu, Oktober 23, 2024

Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh

Sukacita dimaklumkan petang Selasa semalam 22 Oktober 2024 saya selamat kembali daripada satu perjalanan baru di Perak. Banyak perkara menarik berlaku dalam tempoh 4 hari 3 malam bermusafir seorang diri, setelah lebih 3 bulan tidak ke negeri kelahiran ayah saya itu. Ingin dikongsikan cerita. Tetapi sebelum itu biar dilepaskan cerita lain terlebih dahulu.



Pagi Jumaat 18 Oktober isteri menerima poster ini melalui Whatsapp menunjukkan satu sesi ulasan buku mahu diadakan pada 21 Oktober iaitu hari Isnin. Kelihatan buku terbaru dan ke-15 saya "Adam (a.s.) and the Orign of Man" antara yang disertakan. Pengulas, Puan Farha binti Muhammad yang merupakan kenalan kami adalah pensyarah di Politeknik Tun Syed Nasir. Beliau pernah mengatur agar saya membentang tentang buku berkaitan, buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun" di politeknik itu 6 tahun lalu. Lihat Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar.




Ulasan buku termasuk dalam satu majlis lebih menyeluruh di Edu Hub Pagoh, suatu macam bandar baru di Pagoh, Muar yang mengandungi kampus 4 buah institusi pengajian tinggi iaitu UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Tun Syed Nasir. Turut ditempatkan pejabat Kementerian Pendidikan Tinggi juga bangunan-bangunan kegunaan bersama. Sayangnya saya harus menghadiri satu majlis di Ipoh pada pagi Sabtu 19 Oktober lalu merancang mahu bermusafir di Perak buat beberapa hari.




Satu gambar semasa ulasan buku yang dikongsikan oleh Farha petang tadi. Ketika ulasan berlangsung saya masih dalam kawasan hutan sebuah bukit berdekatan Teluk Batik, Lumut. Sayang, tiada rakaman dibuat. Namun ada ulasan bertulis oleh Farha boleh dikongsikan, dengan sedikit suntingan...



----------------



Sedikit perkongsian tentang Book Review : Adam (A.S) and The Origin of Man Reconciling The Conflict Between Religious and Scientific Narratives oleh Radzi Sapiee dan prakata Osman Bakar...


Saya memiliki naskhah ini dari penulis sekitar awal Jun 2024 dan mula membacanya hujung September dan awal Oktober. Karya ini merupakan hasil penambahbaikan daripada penulisan tesis Master penulis dalam bidang Malay World Studies dari ISTAC. Antara cabaran terbesar untuk membuat pembacaan adalah faktor penulisannya dalam Bahasa Inggeris dan kajian sains dan matematik yang agak teknikal. Namun, pembacaan buku tulisan penulis sebelum ini membantu saya untuk memahami kajian. 

Secara ringkasnya, buku ini merupakan kajian akademik yang membahaskan tentang percanggahan sains moden dalam membicarakan tentang asal kejadian manusia sebagaimana yang diterangkan di dalam Al-Qur’an. Berdasarkan wahyu yang dipegang oleh semua agama samawi mengakui manusia pertama yang diciptakan adalah Nabi Adam (A.S),  kemudian Al-Qur’an menerangkan tentang Allah menjadikan alam dalam tempoh 6 masa, kemudian Allah jadikan Nabi Adam dari tanah manakala Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam dan mereka menetap di Syurga sehingga Allah menurunkan mereka ke muka bumi. Kebanyakan sarjana Islam dalam membahaskan tempoh masa Nabi Adam di muka bumi menyatakan baginda muncul tidak melebihi 10,000 tahun lalu. Manakala penemuan sains moden mendakwa makhluk menyerupai manusia telah wujud lebih 4 juta tahun yang lalu manakala homo sapiens (manusia moden) dipercayai telah wujud sekitar 200,000 – 300,000 tahun yang lalu. Dari sinilah penulis mendatangkan formula matematik dalam memahami dan mencari titik pertemuan antara jurang masa yang sangat jauh antara pandangan sarjana Islam dengan sains moden sekaligus lalu menjawab beberapa persoalan yang diutarakan oleh penulis dalam kajian ini.

Buku ini merupakan kajian akademik maka susunan babnya adalah mengikut format tesis yang dibahagikan kepada 5 bab iaitu:



Chapter 1 : Introduction

Chapter 2 : Myths and Religious Narratives on the Origin of Man

Chapter 3 : Scientific Narratives on the Origin of Man and Nature

Chapter 4 : Towards a Reconciliation Between Scientific and Religious Narratives

Chapter 5 : Conclusion



Perbincangan tentang kejadian Nabi Adam (A.S) banyak dibincangkan di dalam Al-Qur’an dan hadith Rasulullah. Sebagai Muslim sangat penting kita memahami tentangnya sebagai dalil Allah yang menjadikan segala makhluk dalam kejadian yang sangat sempurna. 

Sebagai kaedah untuk menyelarikan perkiraan masa turunnya Nabi Adam ke muka bumi sebagai manusia pertama yang Allah ciptakan dengan penemuan homo-sapiens penulis membicarakan tentang satu hadis Rasulullah  riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 




“Tidak akan tiba hari kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma.” 




Topik ini dibincangkan oleh penulis yang juga merupakan graduan matematik (pada peringkat sarjana muda), dalam bab 4 yang mana saya kira bab terpenting dalam memahami keseluruhan kajian. Teori Special Relativity ada menerangkan bagaimana kelajuan mempengaruhi jisim, masa dan ruang. Oleh itu, petunjuk daripada hadith Rasulullah tentang masa semakin singkat telah digunakan oleh penulis dalam merungkaikan kaedah matematik yang lebih kompleks dengan meletakkan asas perkiraan, variable atau pemboleh-ubah seperti berapa panjangkah masa pada zaman Nabi Adam yang harus diperbaiki jika kita mahu kiraan yang lebih tepat iaitu bagaimana tempoh turunnya Nabi Adam itu boleh dipanjangkan sehingga beratus ribu tahun dahulu jika dibandingkan dengan hari zaman sekarang yang jauh lebih pendek. 

Di bahagian rumusan penulis menyatakan banyak lagi ruang bagi sarjana Islam untuk melanjutkan kajian saintifik yang berteraskan wahyu sebagai landasan. Impak terbesar daripada pembacaan karya ini adalah sebagai satu jalan memahami tentang hakikat penciptaan manusia seterusnya hakikat Allah yang Maha Mencipta segala sesuatu samada alam, manusia ruang dan waktu. Wallahu A’lam bissawab.



---------------



Terima kasih kepada Farha kerana sudi mengulas buku kemudian menghasilkan tulisan ini. Untuk memahami lebih lanjut tentang buku sila rujuk artikel-artikel berikut :-





Berbalik pada hal perjalanan baru di Perak. Adapun esok pagi Khamis 24 Oktober saya dijadualkan hadir di satu majlis ilmu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Begitu juga lusa pagi Jumaat 25 Oktober tetapi di kampus utama UIAM di Gombak pula. Cadangnya nanti biar dilepaskan cerita tentang majlis-majlis ini terlebih dahulu. Selepas itu baru bercerita tentang perjalanan Perak ya. Tunggu... :]


Jumaat, Oktober 18, 2024

Meneroka tasik dan bukit di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung 3 petang berturut

Salam petang Jumaat. Ada perkongsian daripada satu rangkaian aktiviti yang dibuat dalam tempoh 3 hari lalu.


Petang Selasa 15 Oktober 2024. Sekitar jam 5 timbul rasa untuk beriadah di kawasan Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung sekitar 13 km dari rumah. Saya pun meminta isteri yang sedang bekerja dari rumah supaya mengambil anak balik daripada sekolah agama jam 6. Sampai di Bukit Sentoasa terasa hendak mendaki bukit yang dikenali sebagai Bukit RM2 atau Bukit Dua Ringgit. Namun apabila sampai di kaki bukit terasa hendak melihat terlebih dahulu sebuah tasik yang baru dapat dilihat kewujudannya melalui gambar satelit di Google Map baru sehari dua itu.


Penelitian Google Map juga menyebabkan baru sedar ada bukit kecil memberikan pemandangan menarik boleh dicapai dari tasik lebih besar yang dikenali sebagai Tasik Widuri. Menariknya gambar satelit menunjukkan ada kapal terbang sedang 'parking' atas tasik.


Pergilah mencari bukit tersebut. Rupa-rupanya kedudukan sebenarnya sedikit ke selatan berbanding apa tanda dalam Google Map.



Dari puncak bukit cuba mengesan kedudukan kapal terbang dalam Google Map. Nampaknya ia kapal terbang ghaib atau dari alam bunian. Sama halnya seperti di suatu tempat di timur laut Kuala Lumpur. Lihat artikel Kapal terbang bunian di Gombak?  yang ditulis awal tahun. 





Perjalanan petang Selasa telah menyebabkan terlihat puncak sebuah bukit yang kelihatan agak menarik. Balik sahaja rumah terus mengenalpasti kedudukan melalui Google Map dan Google Earth. Petang Rabu 16 Oktober, selepas mengambil anak kembali daripada aktiviti kurikulum di sekolah kebangsaan jam 3.20 saya pun mencari lalu dan menemukannya.





Dalam mengenalpastikan kedudukan di Google Map itulah dapat juga menemui bukit lain yang rupa-rupanya menjadi satu destinasi beriadah. Alhamdulillah seperti bukit tadi sempat mendaki ke puncak. Cuma turun tu sahaja hari dah gelap.





Sebetulnya petang Rabu itu juga bercadang untuk melihat dua buah tasik yang belum pernah disinggahi. Satu baru dikesan melalui Google Map, satu sudah bertahun tahu kedudukan tapi tak pernah jejak. Semalam petang Khamis 17 Oktober baru berpeluang.








Kali ini keluar sebaik sahaja selepas menghantar anak ke sekolah petang jam 2.30. Selain dapat mencari dan meluangkan masa di dua buah tasik dapat mendaki bukit tertinggi di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Kalau tak salah ia juga bukit tertinggi dalam lingkungan 7 km.



Di puncak bukit sempat membaca beberapa muka surat terakhir Juz 14 kemudian sempat mengambil anak balik dari sekolah jam 6.



Kedudukan tasik dan bukit yang dijejaki dan disinggahi dalam tempoh 3 hari kebelakangan. Lihat nombor pada peta/gambar satelit dan padankan dengan artikel-artikel berikut yang dipersembahkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


1. Checking out a lake a bit north of Tasik Widuri

2. Bukit Sudol and surroundings.

3. A prominent hill near Bukit Beruntung golf course

4. On to the hill designated as Bukit BUB

5. The lake near Anggerik 1

6.The lake off Anggerik 3

7. New climb to the summit of Bukit RM2


Rabu, Oktober 16, 2024

Hari Ta'aruf ISTAC dan 'kelas' pertama juga tentang mendaki bukit

Salam semua. Satu lagi cerita melibatkan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Kali ini lebih terserlah 'feel' sebagai student baru PhD.



Isnin 14 Oktober 2024 jam 10 pagi mahu diadakan Hari Ta'aruf atau suai kenal pelajar baru di ISTAC. Sebagai seorang yang asalnya masuk mendaftar bagi pengajian peringkat Master atau sarjana September 2018 lalu mendapat ijazah penghujung 2023 saya adalah pelajar lama. Namun sebagai seorang yang menyambung ke peringkat PhD  bermula Oktober 2024  saya adalah pelajar baru.




Disebabkan beberapa urusan di rumah jam 9.30 baru keluar lalu didapati ada kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Utara Selatan.




Jam 10.33 baru sampai ke halaman ISTAC.




Ketika masuk ke dewan majlis kedengaran Dekan ISTAC Profesor Datuk Dr Berghout Abdelaziz sedang memberikan ucapan.




Beliau menyatakan beberapa perkara yang diharapkan bagi seorang pelajar agar nanti terserlah sebagai hasil keluaran ISTAC.




Diadakan juga taklimat oleh beberapa orang kakitangan tentang urusan pelajar, pengajian, kemudahan perpustakaan dan macam-macam. Yang paling saya ambil perhatian adalah procedure atau tatacara bagi menyelesaikan pengajian...







Dahulu semasa di peringkat Master saya agak terkapai-kapai kerana kurang memahami tatacara.




Saya berjaya menyelesaikan semua kursus wajib dalam semester pertama. Tetapi apabila masuk penulisan tesis asyik tersangkut lalu menulis apabila dapat 'gerak' tanpa mengikut susunan. Akibatnya hampir nak siap penulisan keseluruhan tesis baru melakukan proposal defense atau mempertahankan tajuk tesis. Sedangkan itu yang sepatutnya dilakukan paling awal setelah selesai kursus. Penulisan seterusnya tesis adalah pengembangan daripada itu.



Kali ini saya mahu mengambil iktibar daripada pengalaman kesilapan lama lalu lebih cakna ingin ambil tahu apa yang perlu dilakukan bagi setiap peringkat menurut kehendak universiti...










Petang ada bengkel tentang penulisan akademik oleh seorang tenaga pengajar diikuti perkongsian pengalaman  oleh seorang yang sedang menunggu penilaian tesis PhD, seorang lagi sudah lulus sepenuhnya lalu bergelar Doktor,




Ia diadakan di salah satu bilik syarahan lalu terasa seperti 'kelas' pertama sejak menjadi pelajar PhD...









 



Jam 6 petang pergi memanjat bukit. Ini adalah sama halnya seperti setelah ke ISTAC dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan

2. Dari online ISTAC ke fizikal ke Bukit Besi - Masuk sedikit hal rambut panjang...

3. Dari Bukit Guling Ayam ke UIA ke ISTAC ke Bukit Lanjan West bersama anak

4. Sains semulajadi daripada pandangan alam Al-Quran : Adakah perlu?

5. Selesai hal supervisor PhD di ISTAC baru dapat mendaki Bukit Lanjan

6. Membentuk identiti : Perjalanan Azerbaijan melalui empayar, konflik dan kemerdekaan


Merujuk pada artikel Falsafah analitikal dan cerita mengarut : Kaedah saintifik memperkecilkan apa yang kita boleh tahu tentang majlis di ISTAC petang Jumaat 11 Oktober. Selepas itu ada mendaki bukit di FRIM (Institut Kajian Hutan Malaysia), Kepong tetapi tidak disebut dalam artikel.


Kali ini ke satu lagi bahagian Bukit Kiara. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


1.  Part of Bukit Kiara from Jalan Palimbayan

2. Part of Bukit Kiara from Jalan Palimbayan - Part II


Untuk makluman saya mula rajin mendaki bukit-bukit di sekitar Kuala Lumpur setelah pertama kali mendaki ke puncak tertinggi Bukit Kiara beberapa bulan lalu. Lihat Apabila Bukit Kiara menjadi persinggahan antara majlis zikir dan tazkirah ilmu. Disebabkan itu berlaku pendakian susulan ke bahagian lagi bukit. Lihat Follow up Bukit Kiara lalu ke ISTAC lama dan Sungai Penchala. Sebelum itu sekadar selalu mendaki bukit-bukit di sekitar kawasan perumahan di Bandar Sungai Buaya. Sesekali sahaja ke bukit atau gunung di luar kawasan.


Sabtu, Oktober 12, 2024

Falsafah analitikal dan cerita mengarut : Kaedah saintifik memperkecilkan apa yang kita boleh tahu

Cerita majlis ilmu petang semalam.



Kelihatan adalah satu gambar yang diletakkan ke grup-grup WhatsApp ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi mempromosikan satu majlis ilmu. Disertakan sekali teks berikut:



--------



Al-Ghazali Chair Philosophical Discourse No.10

11 October 2024

 Friday 3-4.30PM

ANALYTICAL PHILOSOPHY AND THE STORY OF NONSENSE : SCIENTIFIC METHOD REDUCING WHAT WE CAN KNOW

Analytical philosophy, the Vienna circle has reduce philosophy to empirical science We must engage with science, in fact celebrate science but at the same time, we must also transform science and guide it with our ethico-religious world view that will make science a true blessing for all mankind. In order to do this, we must purify religion from error and superstition, re-appropriate science as a study  of critical and rational thinking within society.

By: Associate Professor Dr Isham Pawan Ahmad. ISTAC
Moderator: Jonathan Wong Zhi Wen


---------


Dapat dilihat ia dinyatakan sebagai syarahan ke-10 dalam siri wacana Kursi Al-Ghazali di ISTAC. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Falsafah Analitikal dan Cerita Mengarut : Kaedah Saintifik Memperkecilkan Apa yang Kita Boleh Tahu".




Alhamdulillah, tidak seperti pada hari Selasa yang mana saya ingin hadir ke satu majlis di ISTAC tetapi tidak dapat kerana isteri perlu ke cawangan pejabat di Kuala Lumpur (lihat Muda mudi dan pendidikan persekitaran : Mengasuh penetapan minda yang dipandu nilai) kali ini boleh kerana isteri bekerja dari rumah lalu boleh menguruskan anak pergi balik sekolah. Dapatlah bersolat Jumaat di masjid ISTAC lalu selepas masjid kosong menyambung bacaan Al-Quran untuk bulan Rabiul Akhir. Ketika itu hendak masuk Surah Al-A'raf yang membawa makna "tempat tertinggi". Terus teringat bahawa ketika sampai pada surah itu bagi bulan Hijriah sebelumnya Rabiul Awal saya sedang berada di puncak sebuah bukit yang agak tinggi di selatan bandar raya. Lihat Dari online ISTAC ke fizikal ke Bukit Besi - Masuk sedikit hal rambut panjang....




Surah disambung baca di bahagian lain ISTAC. Apa yang berlaku adalah saya ingat majlis hendak bermula jam 2.30 lalu bergegas ke bilik persidangan berkenaan. Tengok-tengok pintu bilik terkunci. Terlupa ia sebenarnya bermula jam 3. Tu yang sambung bacaan Al-Quran di bahagian yang terletak dekat dengan bilik persidangan.




Jam 3 majlis pun bersedia untuk dimulakan.




Pembicara, Profesor Madya Dr Isham Pawan Ahmad dari ISTAC membuka dengan memberikan komen tentang hal GISB (Global Ikhwan Services and Business Holdings) yang hangat sejak sebulan lalu akibat didakwa membawa ajaran sesat dan beberapa isu tidak enak. Kata beliau kenapa boleh ada orang Islam mengikut ajaran sebegitu secara membuta tuli? Sedangkan ia bersifat tidak rasyional, bertentangan dengan akal fikiran sihat?




Lalu masuklah pada tajuk yang hendak diperkatakan, tajuk yang saya terjemahkan sebagai "Falsafah Analitikal dan Cerita Mengarut : Kaedah Saintifik Memperkecilkan Apa yang Kita Boleh Tahu".





Disebutlah tentang projek "Islamisasi ilmu pengetahuan" yang disandarkan kepada almarhum Ismail Faruqi (sebagai salah seorang pelopor utama, selain Syed Naquib al-Attas). Tentang projek sila rujuk artikel lama Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan. Isham melihat ia terlalu menumpukan pada sains sosial, kerana sains itu berurusan dengan manusia dan masyarakat. Lalu mengabaikan penelitian terhadap sains semulajadi moden (seperti fizik, kimia dan biologi/ilmu hayat) atas alasan sains ini berurusan dengan alam semulajadi lalu bersifat neutral dan objektif.




Padahal metodologi atau kaedah pengkajian dalam sains semulajadilah yang mendominasi dan membentuk kaedah dalam sains sosial dan persoalan-persoalannya.




Disebutlah tentang perkembangan sains dan falsafahnya. Dahulu ia masih meliputi hal-hal seperti etika dan moral. Tetapi disebabkan perkembangan semasa yang membawa kepada penolakan apa-apa sahaja yang tidak boleh ditangkap dan diukur melalui pancaindera nyata lalu tidak boleh ditelaah melalui logik akal maka ia tidak layak untuk diperkatakan dan tidak boleh dianggap sebagai sains. Disebutlah tentang satu kumpulan ahli pemikir yang dikenali sebagai Vienna Circle yang berpusat di Vienna, Austria awal abad ke-20 Masihi. Mereka ini yang membentuk satu kumpulan 'hukum' bagi apa yang layak dianggap sebagai sains. 

Timbullah apa yang dikenali sebagai "falsafah analitikal" yang mana ia cuma kaedah pemikiran untuk mengabsahkan sains berdasarkan cerapan pancaindera dan jangkauan pemikiran logik akal. Sambil itu ditegaskan lagi pemikiran bersifat "Positivism" iaitu berdasarkan logik akal semata. Juga pemikiran "Empiricism" yang mana sesuatu itu dianggap benar jika boleh diulang ujikaji atau eksperimen bagi menerbitkan hasil yang boleh ditangkap sesiapa sahaja melalui pancaindera. Dalam bahasa Inggeris pancaindera adalah senses atau deria. . Kalau tidak boleh ditangkap melalui deria ia menjadi nonsense - tidak boleh dicerap dengan deria, satu perkataan yang kemudian membawa makna mengarut atau tidak masuk akal.




Dengan itu semua ilmu yang tidak bersifat fizikal menjadi nonsense, mengarut lalu tidak layak untuk dikaji mahupun diperkatakan.




Ilmu seperti metafizik yang memikirkan kewujudan sesuatu yang lebih tinggi selain kewujudan nyata di alam mata kasar pun ditolak mentah-mentah. Selari dengan itu hal-hal seperti etika dan moral juga tidak lagi dilayan. Apa yang kita boleh tahu diperkecilkan skopnya melalui 'kaedah saintifik'. Selain daripada itu dianggap sekadar emosi dan sebagainya semata, tidak ada kepentingan untuk kemajuan manusia. Itulah yang dilihat membawa pada keadaan sains sekarang yang sering mengejar kelebihan materialistik, sentiasa mahu mengalahkan dan menakluki pihak lain. Tidak ada lagi rasa bersalah seperti halnya orang beragama yang meyakini, tindakan salah jika tidak menerima balasan di dunia akan menerima balasan lebih teruk di akhirat.


Rabu, Oktober 09, 2024

Muda mudi dan pendidikan persekitaran : Mengasuh penetapan minda yang dipandu nilai

Salam. Satu cerita daripada siang tadi. 


Merujuk pada artikel Majlis-majlis ilmu selepas 14 Februari 2020 yang dipersembahkan Ahad malam Isnin 6 Oktober 2024 diikuti Majlis-majlis ISTAC sejak mula terlibat tahun 2016 pagi seterusnya. Sewaktu mempersembahkannya saya berhasrat untuk menghadiri majlis baru ilmu di ISTAC  (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi Selasa hingga tengahari 8 Oktober.  Diadakan sebagai edisi ke-6 daripada siri syarahan tentang kesejahteraan muda mudi tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Muda Mudi dan Pendidikan Persekitaran : Mengasuh Penetapan Minda yang Dipandu Nilai". Membawa tajuk adalah  Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Profesor Dato' Seri Ir. Dr Zaini bin Ujang. 

Ia adalah syarahan umum pertama di ISTAC setelah semester baru bermula Isnin 7 September. Dengan itu juga pengajian PhD saya di institusi tersebut secara rasminya bermula, menurut jadual rasmi UIA (Universiti Islam Antarabangsa), badan induk yang menaunginya  Pun begitu secara praktikalnya aktiviti-aktiviti ISTAC tidak pernah terikat dengan jadual sebegitu. Ini kerana ia adalah institusi kajian (research institution) sepenuh masa. Kelas bagi pelajar diadakan sebagai keperluan untuk memenuhi syarat minima sahaja. Yang menentukan lulus ijazah adalah kualiti tesis yang dihasilkan. Lalu kelas boleh dimulakan sedikit lewat... 


Selain menjadi majlis pertama semester, ia akan menyaksikan guru dan penyelia tesis saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar pertama kali bercakap secara umum di ISTAC setelah dilantik sebagai Rektor ke-7 UIA iaitu bermula 21 September.  Tugas baru sebagai pentadbir dan penentu tertinggi keputusan dan hala tuju universiti telah menyebabkan beliau sentiasa disibukkan di kampus utama di Gombak, walaupun sebagai pemegang Kursi Al-Ghazali masih menduduki satu bilik di ISTAC. Nasib baiklah dapat menemui beliau di satu majlis tertutup kurang 2 minggu lalu. Dapatlah meminta tandatangan untuk beliau secara rasmi menjadi penyelia tesis, yang pertama diberikan sejak menjadi rektor. Lihat  Selesai hal supervisor PhD di ISTAC baru dapat mendaki Bukit Lanjan



Nak dijadikan cerita, isteri yang biasanya bekerja dari cawangan pejabat berdekatan rumah setiap hari Selasa memberitahu harus ke cawangan lain di Kuala Lumpur. Dengan itu saya tak boleh pergi jauh dari kawasan rumah kerana harus menguruskan anak pergi balik sekolah. Tak dapatlah ke ISTAC yang terletak lebih 40 km jarak. Sekitar jam 10.30 terlihat pautan bagi siaran langsung Youtube diletakkan dalam grup WhatsApp pelajar ISTAC. Terus membuka di telefon pintar lalu kelihatan Osman sedang bercakap. Tayangan seterusnya dipancarkan ke televisyen supaya lebih jelas.

Kedengaran intipati utama yang dibawa beliau adalah kerangka keTauhidan (tawhidic framework) dalam menangangi hal alam sekitar. Ini kerana dengan kerangka inilah dapat dilihat kesatuan dalam segala bentuk penciptaan dan kewujudan makhluk lalu dengan itu dapat menghargai lebih baik alam sekitar. Ada dimensi keTuhanan dan kesucian (sacred) hadir bersama kerangka tersebut. Ada kesedaran murni yang pernah diamalkan para ilmuwan silam Islam boleh dicontohi dan dihidupkan kembali bagi menangani cabaran kehidupan zaman sekarang.




Zaini pula berkongsi banyak pengalaman peribadi sebagai seorang jurutera dan ahli akademik yang mengkhususkan diri pada hal alam sekitar lalu pernah menjadi ketua setiausaha beberapa kementerian. Antara yang disarankan adalah selalu berjalan kaki, berlari atau menaiki basikal ke mana-mana, kurangkan menggunakan kenderaan bermotor yang tidak dapat mengelakkan daripada mengeluarkan bahan cemar. Beliau menyatakan selalu mempraktikkan itu lalu dapat juga menjaga kesihatan dan meningkatkan kecergasan. Ini adalah perkara biasa di banyak bandar raya di negara-negara maju. Di Malaysia ia belum dibudayakan lalu menjadi masalah sehingga kata beliau ada pelajar universiti yang memohon perkhidmatan bas dalam kampus sedangkan cuma perlu berjalan kaki dalam lingkungan 500 meter sahaja untuk ke kelas dan sebagainya. Sila ikut rakaman di sini.