Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Mac 01, 2021

Syariah dan usaha menerbitkan masyarakat mampan

Salam semua. Merujuk pada hal berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan hari Jumaat diikuti Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan hari Ahad. Sampai masanya untuk bercerita tentang majlis ilmu yang ada disebut berlangsung pada hari Rabu minggu lalu. 



Tajuk majlis yang dijalankan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Syariah dan Usaha Menerbitkan Masyarakat Mampan". Walaupun perkataan bahasa Inggeris "sustainable" juga boleh diterjemahkan sebagai lestari iaitu kekal, tidak berubah saya fikir mampan lebih tepat kerana membawa makna mengekal suatu prestasi atau tahap yang bagus. Dianjurkan oleh ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam) ia melibatkan beberapa orang cendekiawan ternama termasuk dari luar negara.



Majlis berlangsung melalui perisian Zoom bagi menghubungkan mereka yang terlibat. Orang ramai boleh mengikuti melalui Youtube Live. Kelihatan Imam Masjid Zabedah ISTAC, Ustaz Ramadhan Subky (ditanda dengan kotak kuning)  sedangkan membacakan doa selamat.



Seterusnya dekan ISTAC, Profesor Dr Thameem Ushama memperkenalkan majlis. Diberitahulah bahawa ia adalah yang kedua dalam siri Webinar ISTAC yang bertemakan "sustainable" atau mampan. Majlis pertama berlangsung lebih sebulan lalu. Tajuknya adalah "Islamic Thought and Sustainable Development" (Pemikiran Islam dan Pembangunan Mampan).  



Saya tidak mengikuti majlis terdahulu kerana ada hal lain. Namun anda boleh mengikutinya melalui rakaman di sini. Menurut Thameem topik kali ini meliputi jangkauan yang luas, sama seperti halnya topik bulan lepas. Ini supaya semua pembicara atau panelis mendapat banyak ruang untuk berbicara juga kebebasan menyatakan perkara. 

Kata beliau lagi sudah banyak diperkatakan tentang pembangunan mampan serta isu berkaitan seperti masyarakat mampan tetapi dalam ruang tertutup (tidak sampai kepada umum). Dan ia tidak dikaitkan dengan Syariah. Sementara itu banyak telah dibincangkan tentang Syariah tetapi tidak dikaitkan dengan isu kemampanan (yang melibatkan realiti dunia sekarang). Maka menjadi kerja para panelis untuk memberikan pencerahan tentang perkara.



Panelis pertama Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan dengan menyatakan bagaimana ramai orang sudah tersilap konsep tentang Syariah. Ini kerana ia sering dikaitkan dengan hukuman keras apabila membuat kesalahan lalu orang tak nampak bagaimana Islam boleh menyumbang pada hal-hal seperti isu kemampanan. Terjadinya wabak Covid-19 harus memberikan ruang untuk Islam mengenengahkan peranan. Inilah masanya untuk menunjukkan ia amat relevan dengan perkembangan zaman. 

Menurut beliau pembangunan mampan (sustainable development) adalah salah satu isu teras yang mahu ditangani oleh UIAM. Tahun lepas ia telah menerima pengiktirafan sebagai pusat serantau bagi kepakaran dalam pendidikan pembangunan mampan. Untuk pengetahuan ISTAC adalah satu institusi pasca-siswazah berotonomi di bawah UIAM. Apa-apa isu yang diperjuangkan oleh UIAM harus turut diangkat oleh ISTAC. Cuma istimewanya ISTAC dianggap ramai sebagai institusi tersendiri yang lebih tinggi nilai keintelektualan lalu diharap sebagai pemangkin dan penyuluh bagi usaha-usaha UIAM.



Menggunakan slaid untuk menyokong pembentangan Dzulkifli seterusnya membuat takrifan apakah makna masyarakat mampan (sustainable society). Namun ada takrifan yang bersifat sekular ada yang mengambil kira agama. Pada pandangan beliau harus ada tiga perkara :-

1) Balanced (Seimbang)

2) Orderly (Teratur)

3) Peaceful (Aman)

Diberilah contoh Amerika Syarikat sebagai negara yang katanya telah memakai hasil (resources) lima buah planet. Eropah pula hidup dengan hasil tiga buah planet. Sedangkan hakikatnya kita cuma ada satu planet (bumi). Ini bermakna negara-negara lain, negara-negara membangun juga negara-negara Islam pula kekurangan hasil (deprived disebabkan kerakusan Amerika dan Eropah). 

Dalam keadaan dan realiti begini yang sangat tidak seimbang itu tentunya Amerika memberikan makna kemampanan yang lain sesuai dengan keperluan mereka (yang rakus itu). Tentunya Islam ada sukatan sendiri tentang apakah yang seimbang, teratur dan aman. Pada Dzulkifli apabila bercakap tentang kemampanan ia harus menjangkau lebih daripada planet untuk meliputi sejagat alam (universal). Di sini konsep Rahmatan Lil Alamin (memakmurkan seluruh alam) dalam Islam harus digunapakai. Ia harus equitable (adil, tanpa pilih kasih), harmonious (berharmoni) dan prosperous (memakmurkan). Tidak ada jurang antara yang kaya dengan yang miskin, yang memiliki dengan yang tidak memiliki (the haves and the have nots) dan sebagainya. Kepentingan semua pihak harus diambil kira.

Diberi contoh pula tentang apa yang berlaku apabila Covid-19 menyebabkan pergerakan ramai menjadi terhad (akibat Perintah Kawalan Pergerakan). Hasilnya sungai dan udara menjadi bersih, binatang-binatang yang sebelum ini tidak kelihatan keluar ke sana sini (akibat tiada gangguan manusia). Selama ini manusia mendominasi persekitaran (sehingga hilang keseimbangan). Apabila berlaku Covid-19  binatang dapat keluar semula untuk kembali mengambil bahagian (reclaim).

Pada Dzulkifli intipati perkara adalah tentang berkongsi (it is about sharing). Apa yang kita boleh kongsikan bersama, apakah boleh dipelajari bersama. Segalanya harus bersifat inklusif (melibatkan kepentingan semua pihak). Barulah wujud masyarakat mampan yang juga meliputi kepentingan makhluk-makhluk lain. Ini harus sesuai dengan apa yang diajar oleh Syariah Islam.



Panelis kedua Profesor Dr Jasser Auda disebut dalam poster sebagai presiden Maqasid Institute, Al-Shatib Chair of Maqasid Studies, International Peace College di Africa Selatan. Namun pengenalan dalam majlis nampaknya cuma membariskan kedudukan beliau sebagai cendekiawan Islam terhormat di Kanada. Seperti Dzulkifli beliau menyentuh tentang kesilapfahaman terhadap makna dan fungsi Syariah. Seringkali ia dihadkan pada hal-hal ritual, kekeluargaan dan sedikit bab jenayah. Sedangkan ini cuma sebahagian kecil sahaja daripada bab Syariah. Maka itu harus dilihat takrif sebenar berdasarkan apa yang disebut di dalam Al Quran.

Beliau memberitahu, menurut Al Quran Syariah adalah berkenaan Ad-Deen iaitu cara kehidupan (way of life, bukan sekadar faith atau kepercayaan). Perkataan Syariah itu sendiri sebenarnya membawa maksud cara kehidupan. Ia melibatkan segalanya malah asas segala perkara. Syariah terkait dengan asas ekonomi, asas perubatan, asas politik, asas segala macam perkara. Maka tujuan Syariah (objectives, Maqasid) harus memberikan takrifan pada tujuan kemampanan (objectives of sustainability), bukan sebaliknya. 



Jangan terikut segala macam permintaan misalnya atas nama hak asasi manusia untuk memberi makna pada kemampanan. Sesungguhnya Islam memiliki takrifan tersendiri tentang hak juga kemampanan kerana tujuan tertingginya adalah beribadat kepada Allah SWT. Dengan itu kita akan berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara tidak baik seperti sifat tamak, rakus, mementingkan diri sendiri, ganas (yang dihalalkan malah sebenarnya dijulang tinggi dalam takrif kemampanan Barat apabila melibatkan  pihak-pihak tertentu). Tidak seperti halnya hari ini yang mana ramai bercakap tentang kemampanan tetapi sebenarnya menjaga kepentingan pihak tertentu, misalnya menggunakan industri kesihatan bagi memajukan industri farmaseutikal (yang mencipta segala macam ubatan lalu memegang hakcipta).

Dalam Islam kesihatan adalah hak (rights bagi semua orang), bukannya perniagaan. Perubatan untuk kesihatan sepatutnya adalah suatu bentuk kebajikan bagi merawat orang yang jatuh sakit, bukan untuk membuat duit. Begitu juga halnya pendidikan. Perkara ini telah dirosakkan oleh penjajah (merujuk pada kolonialisma) terhadap tamadun Islam yang mana segala macam keperluan asas asalnya adalah sumbangan daripada orang ramai dan kerajaan. Hasilnya wujudlah pandangan yang sangat berbeza tentang makna kemampanan berbanding apa yang sepatutnya dalam Islam lalu ini mesti diperbetulkan.



Panelis ketiga Profesor Dr Mohammad Hashim Kamali, ketua pegawai eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies di Kuala Lumpur memanjangkan lagi konsep Syariah sebagai cara hidup untuk dikaitkan dengan kemampanan. Disebutlah tentang lima nilai tambah pada Maqasid Syariah iaitu tujuan bersyariah seperti berikut :-

1) Melindungi agama (protection of religion)

2) Melindungi nyawa (protection of lives)

3) Melindungi kewarasan (protection of rationality)

4) Melindungi keluarga  (protection of family and property)

5) Melindungi  harta benda (protection of property)

Ini semua terkait dengan usaha untuk menjadikan suatu masyarakat itu mampan. Keadilan harus dijalankan kerana dalam Islam ia penting untuk mendapatkan kemampanan. Prinsip-prinsip halal dan haram, kemaslahatan dan sebagainya harus dijaga. Kemudaratan harus dielakkan dan kalau berlaku pada kita (disebabkan tindakan suatu pihak) janganlah dibalas juga dengan kemudaratan.



Panelis keempat Profesor Datin Dr Raihanah Abdullah, pengarah Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya memilih untuk mengangkat isu-isu kewanitaan. Hal poligami dan kuasa talak (oleh orang laki-laki, satu perkara yang tidak digemari puak-puak feminis dan anti-Islam) disebut tetapi dinyatakan dalam konteks Islam mengangkat kedudukan wanita terutama apabila dibandingkan keadaan mereka pada zaman jahiliah malah pada abad-abad menghampiri zaman sekarang.



Panelis kelima dan terakhir, guru saya di ISTAC iaitu Profesor Datuk Dr Osman Bakar, pemegang kursi Al-Ghazali Epistemology and Civilisational Studies pula mengupas perkara dengan cara membangkitkan tiga isu atau persoalan :-

1) Apakah kaitan antara Syariah dengan masyarakat mampan?

2) Apakah yang kita tahu dan fikir tentang perbicaraan semasa berkenaan masyarakat mampan?

3) Bagaimana kita boleh meningkatkan pemahaman konsep tentang masyarakat mampan?

Rasanya cukuplah ulasan daripada saya ya. Untuk penerangan dan pemahaman lanjut sila ikut sendiri majlis melalui rakaman di sini.


Ahad, Februari 28, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku

Merujuk pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan pada hari Jumaat. Ada diberitahu bahawa pada hari tersebut saya sebenarnya mahu bercerita tentang satu majlis ilmu yang berlangsung pagi hingga tengah hari Rabu tetapi kepala terasa berat. Maka dipersembahkan artikel kenangan berbasikal sebagai ganti. Hari ini fikirnya dapat diceritakan tentang majlis tetapi cuma dapat siap separuh jalan sebelum kepala kembali terasa terlalu berat. Oleh itu biar dibuat lagi cerita perjalanan kerana penulisannya terasa lebih ringan. Masuk pada fasa ketiga perjalanan. Bersambung penceritaan daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik yang dipersembahkan pagi Rabu.


Ini adalah gambar street view iaitu daripada paras permukaan bumi yang diambil daripada program Google Map. Ia menunjukkan keadaan jalan selepas beberapa kilometer meninggalkan pekan Gerik untuk menghala ke arah timur. Jalan ini dikenali sebagai Lebuh Raya Timur Barat. Dahulu ia adalah satu-satunya jalan raya menghubungkan negeri Perak dengan Kelantan juga satu-satunya jalan raya menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur di separuh utara Semenanjung. Selepas beberapa lama baru ada jalan lain iaitu lebuh raya yang menghubungkan Simpang Pulai di Ipoh, Perak dengan Cameron Highlands di negeri Pahang membawa ke Gua Musang di Kelantan.

Selepas bermalam di Gerik kami mengambil jalan ini ke Kelantan. Ia adalah kali pertama saya mengambil jalan tersebut juga pertama kali ke negeri itu. Menurut Google Map jarak dari pekan ke sempadan negeri adalah hampir 90 km. Jalan ini menyeberangi kawasan pergunungan utama Semenanjung iaitu Banjaran Titiwangsa. 



Semakin tinggi mendaki pergunungan jalan semakin tajam berliku dan mencabar. Hal ini dapat dilihat melalui perisian Google Earth yang menggunakan paparan bentuk muka bumi dari satelit. Dari pekan Gerik yang terletak pada ketinggian sekitar 410 kaki dari paras laut jalan mendaki tinggi sehingga melepasi 2,000 kaki dari paras laut. Kayuhan menjadi sangat perlahan dan memenatkan sehingga ada yang mengalah lalu memilih untuk menyimpan basikal dan menaiki van. 



Seingatnya saya adalah antara orang yang terakhir terus bertahan sebelum mengalah. Kami mengalah bukan semata-mata disebabkan penat malah diminta oleh pihak sokongan atau krew perjalanan agar naik sahaja van. Ini disebabkan kami bergerak mendaki pada kadar terlalu perlahan. Apabila sampai bahagian menurun pula menjadi berbahaya kerana basikal bergerak terlalu laju akibat kecuraman. Susah nak kawal apa lagi jalan berliku sedangkan kami bukan pelumba profesyional dan perlu dipertanggungjawabkan oleh pihak kolej...

Untuk pengetahuan terdapat dua bahagian yang kedua-dua menaik sehingga 2,000 kaki tinggi sebelum menurun ke suatu paras landai. Bahagian pertama adalah dari Gerik sampai ke satu bahagian gunung sebelum turun ke paras sekitar 870 kaki di tasik besar buatan bernama Tasik Banding. Ia adalah tasik yang terbit akibat Sungai Perak diempang di suatu tempat tidak jauh dari pekan Gerik. Selepas menyeberangi tasik dengan dua buah jambatan (ada pulau besar di tengah tasik) jalan kembali mendaki sehingga 2,000 kaki sambil memasuki sempadan Kelantan lalu turun ke arah pekan Jeli. 

Gambar daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - The compilation... tahun 2012 ini menunjukkan satu bahagian di tepian Tasik Banding. Untuk pengetahuan selain menjadi tarikan bagi mereka yang berminat bermain air, memancing dan sebagai ia adalah pintu masuk utama ke Hutan Simpan Belum. Hutam ini meluas ke sempadan negara Thailand. Oh. Walaupun kami mengalah dengan menaiki van tidaklah ia dilakukan sepanjang perjalanan. Apabila jalan cukup landai misalnya di sekitar Tasik Banding kami turun kembali menaiki basikal. Begitu juga sebenarnya di beberapa bahagian atas pergunungan iaitu apabila turun naiknya tidak terlalu mencabar.


Seingat saya penginapan seterusnya adalah di Tanah Merah, Kelantan. Berdasarkan anggaran separuh daripada perjalanan dibuat dengan van, separuh dengan basikal jarak sekitar 170 km dari Gerik dapat ke Tanah Merah dicapai dalam tempoh 5 hingga 6 jam (sejam dengan van 85 km, 4 jam lebih 85 km dengan basikal). Oleh itu kalau bertolak jam 8 pagi kami boleh sampai sebelum jam 3 petang. Ini kalau berehat atau berhenti tanpa melebihi jumlah masa sejam.

Saya masih ingat kami semua menginap tidur lambak di rumah seorang peserta pengembaraan di sebuah kampung, tak ingat lokasi tepat. Teringat bahawa pada malam itu kami sempat pergi ke pasar malam berdekatan di mana nyaris-nyaris terjadi pergaduhan antara pihak saya dengan satu pihak penjual pakaian disebabkan duit hilang. 

Merujuk kembali pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan. Adapun ia ditulis untuk menyatakan kekeliruan/kemusykilan tentang bilakah perjalanan sebenarnya berlaku. Sekarang rasanya sudah mendapat jawaban...

Saya tahu dan pasti perjalanan secara rasminya bermula dari kampus PPP/ITM di Seksyen 17, Shah Alam, tempat belajar kami setelah beberapa lama menetap di kampus terdahulu iaitu di Damansara Utama (DU). Menurut seorang kawan sama batch yang turut bersama dalam perjalanan ia berlangsung sekitar sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos tanpa menyatakan tahun bila. Namun berdasarkan maklumat daripada seorang junior  pada Disember tahun 1989 kami masih berada di DU kerana bertolak dari situ untuk satu aktiviti lain di Pulau Pangkor. Yang pasti pada Januari 1990 kami semua sudah berpindah ke Seksyen 17. Tetapi tidak lama kemudian saya ditendang keluar daripada program akibat telah melakukan terlalu banyak kesalahan disiplin.

Oleh itu mustahil saya dapat bersama dalam perjalanan kalau ia berlaku sekitar 31 Ogos tahun 1990. Mesti pada tahun sebelumnya iaitu 1989 juga sedangkan pada waktu itu kami belum berpindah ke Shah Alam. Setelah beberapa lama baru terfikir muncul satu kemungkinan bagaimana ini boleh berlaku. Walau kami yang mengambil program A Level di PPP/ITM menetap di kampus lama di DU sehingga penghujung 1989, program besar PPP/ITM itu sendiri sudah berjalan lama di Seksyen 17. 

Program kami adalah satu cabang sedangkan di Shah Alam sudah berjalan dua lagi cabang yang memiliki lebih ramai pelajar iaitu iaitu program AAD (American Associate Degree - boleh diterjemahkan sebagai Ijazah Bersekutu Amerika) dan TESL (Teaching of English as Second Language - Pengajaran Inggeris sebagai Bahasa Kedua). AAD adalah untuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, TESL untuk mereka yang bakal menjadi guru bahasa Inggeris di sekolah - Ada yang bakal melanjutkan pelajaran ke United Kingdom tapi kebanyakannya meneruskan ijazah di Malaysia. 

Boleh jadi kami yang di bawah program A Level belum berpindah ke Shah Alam tetapi perjalanan berbasikal dimulakan dari sana kerana menempatkan kampus induk PPP/ITM. Ya, ini ada logiknya atas sebab-sebab perasmian memandangkan kami membawa nama besar PPP/ITM, bukan sekadar nama A Level. Nampaknya ini lebih tally atau bersesuaian dengan satu lagi ingatan bahawa setelah seminggu dua perjalanan selesai saya harus bergerak jauh ke Shah Alam untuk mengambil basikal. Ini adalah untuk memulangkannya kepada bapa saudara di Taman Aman, Petaling Jaya. Perjalanan secara rasminya berakhir di Shah Alam. 

Ya, saya ada meninggalkan basikal di rumah seorang pensyarah yang juga merupa warden asrama di sana kemudian balik ke DU dengan bas kerana sudah terlalu penat berkayuh jauh. Kalau ketika itu sudah berpindah ke Shah Alam harus isu ini tidak terbit kerana tidak perlu bergerak daripada suatu tempat yang agak jauh seperti Petaling Jaya dan Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil basikal.  DU dengan Taman Aman cukup dekat untuk memulangkan basikal yang dipinjam daripada bapa saudara lebih awal sedangkan ia tidak berlaku begitu. Ya. Seingatnya lagi buat satu tempoh saya tidak berbasikal. Kalau benar ketika itu sudah berpindah ke Shah Alam tentu selepas perjalanan selesai saya dapat menggunakan basikal buat suatu tempoh sebelum memulangkan.

Saya rasa inilah penerangan terbaik kenapa perjalanan bermula dari Shah Alam sekitar 31 Ogos tahun 1989 sedangkan kami cuma berpindah ke sana menjelang Januari 1990. Cukuplah penceritaan kali ini. Selamat malam dan wassalam.


Jumaat, Februari 26, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan

Salam petang Jumaat. Fikirnya hari ini mahu berkongsi cerita tentang satu majlis ilmu yang berlangsung pagi hingga tengah hari Rabu. Tetapi kepala terasa begitu berat hendak memulakan artikel. Sebaliknya biar dikongsikan lagi cerita berkenaan perjalanan lama. Ini lebih santai lalu lebih mudah dilepaskan. Lagipun sebahagian besar cerita telah ditulis lebih 24 jam lalu.

Adapun selepas mempersembahkan artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik pagi itu baru saya dapat melihat bahawa kami berkayuh basikal pada kadar 100 hingga 140 km sehari. Ini adalah bersamaan 5 hingga 7 jam berkayuh tanpa henti. Penat woo apa lagi jarak keseluruhan yang mahu diliputi melebihi 1,200 km. Lainlah kalau dah memang pro...

Pada tengah hari itu pula seorang junior saya daripada Batch 8 di PPP/ITM telah menghubungkan saya dengan seorang junior lain yang ada terlibat sama dalam perjalanan berbasikal. Walau junior tersebut sendiri tiada bersama ada kenangan perjalanan lain yang ada kena mengena dapat dikongsikan beliau membuat saya terasa harus berkongsi gambar-gambar berikut berserta sedikit teks tentangnya.






OUTWARD BOUND TRAINING DI PULAU PANGKOR LEBIH 31 TAHUN LALU...

Haha. Junior bawah setahun saya semasa zaman kolej A Level di PPP/ITM bagi 2 gambar ini lalu ditunjukkan yang mana saya. Ia di waterfront di Lumut, katanya dalam bulan Disember 1989. Kami ada pergi ke Pulau Pangkor dari jeti Lumut untuk membuat outward bound training selama seminggu gitu. Masa tu Pangkor belum ada sangat jalan raya. Teringat dari jeti utama di timur pulau kami berjalan kaki sehingga ke penghujung utara pulau lalu berkhemah di teluk sana.
Esoknya kami memotong ke tengah pulau mendaki bukit bukau dan bermalam dalam hutan. Kami ada meredah paya sehingga ke paras pinggang kemudian mendaki bukit tertinggi di pulau (lebih 1,000 kaki tinggi dari paras laut). Teringat sampai ke puncak dalam keadaan ramai dah kena gigit lintah dan pacat sana sini. Jadi apabila dapat turun bukit lalu sampai ke pantai di barat laut alangkah gumbiranya hati dapat mandi laut seraya menghilangkan kesan gatal gigitan.
Seterusnya kami berjalan kaki ke satu teluk di bahagian selatan pulau lalu berkhemah di sana. Di situlah kali pertama saya melihat binatang yang dipanggil sebagai "kote Keling" berenang merata dengan penuh "lucah"nya. Seingat saya memang merata kami pusing pulau dengan berjalan kaki sahaja. Gambar yang ada 2 ini satu harus sebelum satu selepas keluar dari Pulau Pangkor kerana baju lain2, latar belakang sahaja sama. Cuma tak ingat yang mana dahulu yang mana kemudiannya.


------------ 


Gambar-gambar dan teks atas ada dikongsikan di Facebook pada hari Rabu malam Khamis. Ia relevan pada cerita perjalanan berbasikal kerana saya ada menyebut tentangnya dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh iaitu artikel tentang fasa pertama perjalanan. Selain itu terdapat sekurang-kurangnya seorang selain saya dalam gambar turut sama berbasikal. Lebih penting lagi ia dikongsikan untuk menilai kembali bilakah perjalanan berbasikal itu sebenarnya berlaku.

Menurut junior yang memberikan gambar beliau pasti ia diambil pada bulan Disember tahun 1989 kerana ada merekodkannya. Oleh itu tidak mungkin perjalanan berbasikal berlaku pada waktu itu seperti disebut dalam artikel pembukaan Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan. Ini kerana baik perjalanan berbasikal mahupun outward bound training di Pangkor  memakan masa yang agak lama juga banyak tenaga. Selain itu ia memerlukan perancangan dan komitmen pelbagai pihak.  Oleh itu tidak mungkin kedua-duanya dapat dilakukan dalam bulan yang sama. Harus terdapat jarak masa sekurang-kurangnya sebulan dua.

Maka berbaliklah pada kata-kata kawan sama Batch yang turut serta berbasikal seperti disentuh dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik. Saya ada menyebut beliau sebagai memberitahu perjalanan itu berlaku beberapa bulan lebih awal iaitu sebelum Disember 1989. Sebetulnya beliau memberitahu ia adalah sekitar sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos tanpa menyatakan tahun. Saya sebut lebih awal iaitu sebelum Disember 1989 kerana kalau sekitar 31 Ogos tahun kemudian iaitu pada tahun 1990 saya tiada lagi di PPP/ITM. 



Saya tiada lagi kerana sudah ditendang keluar akibat sudah terlalu banyak membuat kesalahan disiplin. Saya cuma sempat mengambil satu kertas peperiksaan A Level iaitu apa yang dipanggil sebagai January Paper. Saya ditendang keluar ketika tinggal sebulan dua sahaja sebelum peperiksaan utama bermula pada bulan Jun lalu tidak dapat mendudukinya untuk melengkapkan kelulusan. Gambar sijil keputusan January Paper di atas menjadi bukti bahawa memang kertas tersebut diambil pada awal tahun 1990.

Ya. Saya tiada masalah mahupun rasa malu menyatakan ini dengan jujur kerana saya adalah jenis orang yang suka berterus terang, tidak mahu menokok tambah cerita mahupun mencantikkan lalu menambah perisa supaya kelihatan bagus sentiasa. Pada saya semua itu pengalaman yang membentuk jati diri kemudian. Masalahnya ini bercanggah dengan kenyataan bahawa pengembaraan di Pulau Pangkor berlaku Disember 1989. Ini kerana menurut junior yang memberikan gambar ia bermula daripada kampus lama kami di Damansara Utama. 



Saya pasti perjalanan berbasikal bermula di Shah Alam. Di situ terletaknya kampus selepas berpindah dari Damansara Utama, Oleh itu kalau betullah perjalanan berlaku sekitar 31 Ogos ia harus pada tahun 1990. Sedangkan saya pasti sangat-sangat telah dikeluarkan dari PPP/ITM sebelum pertengahan 1990. 

Saya pasti kerana ingat selepas itu tidak mahu lagi menyambung pelajaran (secara formal di mana-mana institusi) lalu cuba bekerja di beberapa tempat. Saya pernah menjadi pembantu audit di sebuah firma profesional audit di Segitiga Emas Kuala Lumpur kemudian junior editor di sebuah syarikat perisian (software) pendidikan di pinggir barat bandar raya. Gambar atas menunjukkan surat tawaran untuk bekerja sebagai pembantu audit bermula 4 Jun 1990. Sepatutnya bulan itu saya menduduki peperiksaan penuh A Level. Tetapi selepas ditendang keluar daripada PPP/ITM jiwa saya jadi lebih memberontak tidak mahu menyambung belajar. 

Walau gaji permulaan sangat kecil iaitu RM330 sahaja sebulan saya yakin boleh meningkat naik cepat dengan kepandaian yang dimiliki. Namun tidak berapa lama kemudian saya mula hilang minat pada bidang berkenaan. Saya lebih banyak menghabiskan masa mengikut orang busking menyanyi dan main gitar di Pasar Seni selain duduk melepak dengan warga jalanan sehingga berhari-hari.



Gambar ini pula menunjukkan surat tawaran untuk bekerja sebagai junior editor di syarikat perisian pendidikan bermula 22 Januari 1991. Berdasarkan latar belakang boleh membuat perisian sendiri (walau secara kecil-kecilan) sejak berumur 12 tahun iaitu pada tahun 1982 saya fikir boleh bergerak maju dalam bidang berkenaan. Tidak lama kemudian terjumpa dengan seorang gadis junior Batch 8 yang membuat terasa begitu bersemangat untuk menyambung kembali pelajaran lalu menduduki peperiksaan A Level. Selepas pertengahan 1991 kami pun berlepas ke United Kingdom untuk pengajian ijazah sarjana muda. Saya  ambil bidang matematik di Universiti College of London (UCL) beliau bidang ekonomi di London School of Economic (LSE).

Berbalik pada hal yang memeningkan kepala. Kalau betul perjalanan berbasikal berlaku sekitar 31 Ogos maka mustahil pada tahun 1990 kerana ketika itu saya tiada lagi di PPP/ITM. Kalau tahun 1989 pula ia harus bercanggah dengan kenyataan oleh junior saya bahawa pengembaraan di Pulau Pangkor berlaku pada Disember tahun itu kerana  menurut beliau kami bergerak dari kampus lama di Damansara Utama. Tahun 1988 memang takda le kerana terlalu awal. Ketika itu junior dari Batch 8 sedang bersedia untuk mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) lalu belum dipilih untuk masuk ke PPP/ITM

Maka bilakah perjalanan berbasikal pusing separuh Semenanjung itu bermula dari Shah Alam? Buat masa ini saya tak dapat lagi menebak tempoh masa tepat kerana keliru. Mungkin selepas ini akan muncul fakta-fakta yang menjelaskan perkara? Kita tunggu dan lihat. Buat masa ini biarlah terus dianggap bahawa perjalanan berlaku pada tahun 1989 walaupun kelihatan mustahil pada 31 Ogos mahupun pada bulan Disember. Saya luahkan dan kongsikan hal supaya dapat menyambung cerita seterusnya dengan rasa lapang. Sekian buat masa ini.


Rabu, Februari 24, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik

Salam semua. Merujuk pada artikel pembukaan siri iaitu Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan. Adapun selepas mempersembahkannya di blogspot lima hari lalu saya ada berkongsi pautan di Facebook lalu meminta sekarang kawan lama yang turut bersama dalam perjalanan memberikan maklum balas. Tengah hari semalam baru beliau menjawab lalu memberitahu bahawa kami menginap malam pertama di Slim River iaitu sebelum bergerak ke Ipoh. Turut diberitahu perjalanan dibuat bukan pada bulan Disember malah beberapa bulan lebih awal. Hal ini biarlah ditangani kemudian. Sekarang tanpa memikirkan tempoh waktu tepat bila ia berlaku biar kita ke fasa kedua perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh.


Saya tidak ingat kami menginap di manakah di Ipoh. Malah entah betul ada menginap di Ipoh pun sebetulnya tak pasti. Tetapi apabila mendapat tahu daripada kawan kami menginap malam pertama di Slim River rasanya memang logik penginapan seterusnya adalah di Ipoh. Ini kerana Slim River terletak dalam 130 km dari Shah Alam menggunakan jalan lama sedangkan Ipoh terletak lebih 100 km selepas Slim River. Apabila cuba diimbas kembali ingatan terasa seperti di suatu rumah rehat kerajaan (rest house). Tetapi bila diGoogle perkataan "rest house Ipoh" keluar bermacam tempat penginapan yang tiada kena mengena dengan konsep rumah rehat kerajaan. 

Untuk pengetahuan suatu masa dahulu rumah-rumah rehat sebegitu yang memiliki tanah luas boleh ditemui di banyak bandar dan pekan besar. Ia boleh dikatakan legasi daripada zaman pentadbiran British (sebelum merdeka tahun 1957) bagi menawarkan penginapan untuk para pegawai kerajaan yang menjalankan tugas di luar kawasan. Kini kebanyakannya sudah hilang menjadi bangunan lain disebabkan pesatnya perkembangan zaman yang menerbitkan banyak hotel. 

Di atas adalah gambar stesyen kereta api Ipoh. Ia merupakan satu legasi cantik daripada zaman British. Ada juga terfikir apakah di situ kami menginap kerana terdapat sebuah hotel klasik di bahagian atas? Boleh jadi. Yang ingat saya pernah menginap di situ sekurang-kurangnya 2 kali. Tapi apakah pada ketika perjalanan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989? Kalau mengikut kadar sewaan bilik harus tidak kecuali ada pihak yang menaja. Dan lagi pada waktu itu tak pasti apakah bahagian atas itu sudah dijadikan hotel.

Turut timbul walau secara samar dalam ingatan adalah kami diraikan ketika sampai ke Ipoh (atau suatu tempat lain berdekatan?) juga ketika meninggalkan. Rasanya ini disebabkan aturan oleh pihak kolej PPP/ITM (tak perlu dipanjangkan lagi apakah iya kerana sudah disebut dalam 2 artikel sebelum ini) maka kami diraikan oleh pihak atau satu jabatan kerajaan. Dari situ kami pun berkayuh lebih jauh ke arah utara. Menurut laluan jalan lama seperti boleh dilihat dalam peta kami harus melalui pekan Sungai Siput ke arah barat kemudian menyeberangi Sungai Perak menggunakan jambatan lama ke luar dari bandar diraja Kuala Kangsar.



Apapun, walau belum pasti tepat kedudukan biar fasa kedua cerita dimulakan dari Ipoh. Gambar ini menunjukkan Jambatan Iskandar, sekitar 6 km ke utara bandar (dahulu pekan) Kuala Kangsar. Kalau dari Ipoh mengikut jalan lama ke arah utara inilah satu-satunya jambatan untuk menyeberang Sungai Perak. Terbit juga pertanyaan apakah kami ada singgah masuk ke pekan Kuala Kangsar memandang ia satu tempat menarik dan bersejarah? Rugi juga tak singgah kerana sudah sampai berdekatan. Tetapi apabila difikirkan betul-betul rasanya tidak. Ini kerana jarak pergi balik ke jambatan adalah sekitar 12 km bersamaan lebih 30 minit kayuhan basikal. Sedangkan kami perlu pergi lebih jauh ke utara lalu harus berkira tentang masa juga tenaga.


Berdasarkan kadar purata kelajuan kayuhan 20 km/j (rujuk kembali kiraan dalam artikel  Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh) perjalanan hari itu harus ditamatkan di pekan Gerik, sekitar 100 km ke utara Kuala Kangsar. Ketika itu tidak terdapat hotel seperti kelihatan dalam gambar (diambil daripada artikel Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Bersama menjejak leluhur di Perak tahun 2014). Harus kami menginap di rumah rehat kerajaan. Semakan Google menunjukkan ia masih wujud sehingga sekarang.


Lakaran ringkas peta perjalanan dari Ipoh ke Gerik. Namun ini berdasarkan keadaan jalan raya sekarang sedangkan dahulu jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik lebih jauh kerana banyak berbelok-belok melalui kawasan bukit bukau, selepas lebih 10 tahun gitu baru banyak bahagian diluruskan dan jalan dibesarkan. Pada kadar kayuhan 20 km/j tempoh 7 jam diperlukan untuk meliputi jarak tanpa henti. Kalau campur rehat makan tengah hari dan lain-lain harus lebih 8 jam bermakna kalau bertolak dari Ipoh jam 8 pagi pun dekat 5 petang baru sampai.


Isnin, Februari 22, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh

OK. Sekadar berkongsi apa yang diletakkan di Facebook siang tadi :-

Pada tarikh hari ini 22 Februari tepat setahun lalu. Pada 22/02/2020. Terlaksanalah acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Sekali lagi gagasan besar untuk memperkasakan pemikiran anak Melayu Islam melalui kesedaran sejarah dan pelbagai ilmu bersifat intelektual diwacanakan... setelah beberapa lama HIKMAH membawa gagasan sama tetapi dengan pelbagai pengisian berlainan ke merata Semenanjung membawa 3 kali di Aceh. Esoknya kerajaan atau lebih tepat pentadbiran Pakatan Harapan yang kelihatan banyak merosakkan kepentingan umat Melayu dan Islam jatuh setelah 22 bulan memerintah. Namun bukanlah ia jatuh kerana acara atau gagasan. Sebaliknya berlakunya itu menjadi bukti bahawa kami bergerak menurut jadual akhir zaman.





Saya tidak ingat tarikh tepat bilakah perjalanan berbasikal separuh Semenanjung itu berlaku. Tetapi seperti disebut dalam artikel sebelum ini ia nampaknya harus pada cuti semester hujung tahun 1989 iaitu sekitar bulan Disember. Yang dapat diingati seterusnya dalam proses penggalian kembali ingatan adalah saya meminjam basikal lumba berusia beberapa tahun milik seorang bapa saudara. Ketika itu adik kepada ibu saya ini sedang menumpang di rumah seorang lagi adik ibu di Taman Aman, Petaling Jaya.

Seingat saya peserta lain semua membeli basikal lumba baru yang ditawarkan pada harga RM150 (tak salah ingatan) oleh institusi kami iaitu PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar, Institut Teknologi Mara). Saya sahaja memakai basikal lama walaupun lebih berat lalu memerlukan lebih banyak tenaga untuk digerakkan. Saya ingat dalam tempoh 2-3 minggu sebelum perjalanan bermula selalu berulang alik dari Taman Aman ke asrama pelajar di Seksyen 18. Jarak antara kedua tempat itu sekitar 20 km. Pergi balik sekitar 40 km.

Kiranya itulah latihan dan persediaan saya untuk perjalanan. Tak ingat bagaimana orang lain bersedia kerana saya buat hal sendiri. Tunggu perjalanan bermula baru hendak bergerak bersama.



Oh. Acara ini dianjurkan oleh pelajar junior setahun bawah saya daripada Batch 8 program A Level PPP/ITM. Memikirkan ini teringat bahawa sebelum atau selepas itu saya ada mengikuti pelajar Batch ini dalam program outward bound training di Pulau Pangkor selama seminggu. Teringat kami berjalan kaki merata pulau meredah paya bagai mendaki bukit tertinggi pulau yang melebihi ketinggian 1,000 kaki dari paras laut lalu turun ke bahagian lain bukit. Kami berkhemah di beberapa lokasi dan saya merupakan satu-satunya pelajar senior daripada Batch 7 ikut sama dalam program.

Untuk perjalanan berbasikal ada seorang lagi Batch saya ikut sama, lain semua Batch 8. Untuk makluman Batch 8 terdiri daripada lebih 400 orang pelajar sedangkan batch saya cuma sekitar 200 orang. Mungkin disebabkan jumlah sekali ganda itu mereka lebih aktif dengan pelbagai aktiviti kokurikulum. Seingat saya Batch 7 tidak pernah membuat kelab pengembaraan. Sebab itu saya ikut budak Batch 8 dalam program dan memang saya sering diajak bersama kerana diketahui suka berperangai lasak.

Gambar atas menunjukkan satu gugusan flat PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Seksyen 18, Shah Alam. Lebih kurang beginilah rupa asrama di kawasan berkenaan. Antara perangai lasak gila-gila saya yang ramai orang dah kenal adalah suka memanjat tingkap keluar pada tingkat tertinggi asrama lalu berjalan dengan memijak mana-mana bahagian bangunan yang dapat untuk masuk ke bilik lain melalui tingkap. Ini adalah lanjutan daripada perangai suka memanjat pokok dan  bangunan sejak zaman tadika. Semasa sekolah menengah saya selalu melompat ke bawah dari tingkat tiga asrama kemudian berlari naik tangga untuk melompat lagi dari atas.

Oh. Gambar teratas menunjukkan sebuah basikal lumba Shimano model lama. Basikal yang saya pakai untuk perjalanan lebih kurang begitu rupanya tetapi berwarna kelabu keputihan. Gambar ini pula menunjukkan paparan satelit Google Map di satu bahagian Seksyen 17, Shah Alam. Acara atau perjalanan berbasikal separuh Semenanjung ini secara rasminya bermula di tempat kami belajar di Seksyen 17. 

Berdasarkan ingatan terhadap kedudukan dan jalan ia harus terletak dalam kawasan yang kini ditanda sebagai Universit Teknologi MARA Seksyen 17. Dari asrama di Seksyen 18 kami harus berkayuh lebih 2 km. Oleh itu walaupun secara rasmi perjalanan bermula di Seksyen 17 jarak kayuhan sebenarnya harus meliputi perjalanan dari Seksyen 18. 



Saya tidak ingat bagaimana perjalanan dilancarkan mahupun siapa yang merasmikan. Malah sebetulnya tidak ingat langsung apa yang berlaku sebelum sampai ke satu bahagian jalan lama Kuala Lumpur ke Ipoh, Namun berdasarkan fakta bahawa pada waktu itu kebanyakan lebuh raya malah jalan biasa yang terdapat di Lembah Klang belum lagi wujud maka dari Seksyen 18 kami harus menuju ke Lebuh Raya Persekutuan (Federal Highway) lalu ke Petaling Jaya sebelum mengambil jalan ke utara. Di Lebuh Raya Persekutuan kami seharusnya mengambil laluan motosikal seperti kelihatan dalam gambar atas. 

Besar kemungkinan kami seterusnya mengambil jalan ke bangunan Tabung Haji lama lalu menuju ke Damansara Utama diikuti Taman Tun Dr Ismail. Seterusnya kami harus ke Bukit Lanjan yang sekarang sudah ditenggelami pembangunan kawasan mewah Damansara Perdana. Untuk makluman ketika itu belum wujud pusat membeli belah One Utama yang sangat terkenal di belah sana bersama pusat penyiaran TV3 bernama Seri Pentas di sebelahnya. Belum wujud taman-taman perumahan banyak di sekitar itu, yang ada rata-rata adalah ladang kelapa sawit sahaja. 

Dari laluan tersebut kami harus  masuk ke Kepong, rasanya di sekitar FRIM (Pusat Kajian Perhutanan Malaysia) lalu keluar di Selayang. Barulah sampai ke jalan lama KL-Ipoh lalu melepasi Hutan Lipur Kanching menuju ke Rawang (masih pekan kecil dengan beberapa rumah kedai) sebelum bergerak lebih jauh ke utara.



OK. Berapa jauh kami berkayuh pada hari pertama itu? Oleh kerana begitu banyak perkara sudah terlupa saya harus membuat tekaan bijak (intelligent guess). Gunakan kadar biasa kelajuan orang berkayuh basikal. Google "average cycling speed km/h " dapat paparan di atas. 

Berdasarkan maklumat ini rasanya adil untuk menganggarkan bahawa kami mengayuh basikal pada kadar kelajuan purata 20 km sejam. Ingat. Kami bukan pelumba basikal, kami cuma pelajar yang ingin mengembara jauh pusing separuh Semenanjung. Stamina, nafas dan kesihatan perlu dijaga, jangan selalu memecut lalu hilang tenaga sedangkan perjalanan masih jauh dan memakan masa. Perlu ada rehat yang cukup. Perlu ada sarapan pagi, berhenti untuk makan tengah hari dan makan petang juga perlu masa untuk bersolat (walaupun ketika itu saya tidak rajin menunaikan suruhan Tuhan harus ada peserta lain yang sangat menjaga solat).

Saya memang tiada ingatan langsung lagi bagaimana suasana perjalanan kecuali sedikit ingatan kabur berkayuh pada kadar suka-suka sambil bergurau senda dengan kawan-kawan. Ada berhenti beli air di kedai tepi jalan, rasanya ada berbuat nakal pegang belakang lori biar ditarik buat suatu jarak. Apapun, pada kadar kelajuan 20 km/j nak sampai Ipoh pun harus berkayu  lebih 11 jam kerana jaraknya sekitar 230 km mengikut jalan lama dari Shah Alam. Campur berhenti makan dan macam-macam, kalau bertolak pada jam 8 pagi pun lewat malam baru sampai.



Kelihatan peta ringkas laluan berdasarkan apa yang dapat digali daripada ingatan. Jadi apakah kami menginap di Ipoh pada malam pertama perjalanan? Saya tak pasti kerana memang tak ingat. Boleh jadi  kami menginap di tempat lain terlebih dahulu seperti Tanjung Malim atau Tapah. Apapun kami tetap sampai dan singgah ke Ipoh selepas itu. Jadi biar cerita hari pertama perjalanan atau lebih tepat fasa pertama perjalanan ditamatkan di situ.

Jumaat, Februari 19, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan

Salam awal pagi Jumaat 7 Rejab, Jumaat pertama bagi bulan Allah SWT tahun ini. Kembali pada cerita-cerita perjalanan atau kenangan perjalanan lama demi melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. Kali ini biar diputar masa jauh ke belakang sehingga lebih 30 tahun lalu. Biar juga dimulakan satu siri baru walaupun kecil sebelum dijadikan kompilasi.

Merujuk pada artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan yang dipersembahkan 2 minggu lalu. Ada disebut bahawa antara kompilasi yang perlu dibuat untuk melengkapkan senarai melibatkan cerita-cerita tentang perjalanan berbasikal ke separuh Semenanjung sekitar tahun 1990.  Carian kata kunci  terhadap arkib artikel di blogspot ini pula menunjukkan ia pernah disebut sekali. Dalam artikel Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang...yang ditulis hampir 13 tahun lalu ada disebut begini...


Adapun saya pernah ke Kuala Terengganu sekurang-kurangnya 10 kali. Kali pertama adalah sekitar tahun 1988 dengan menaiki basikal lumba mengikuti satu rombongan menjelajah basikal mengelilingi separuh Semenanjung Malaysia selama hampir 2 minggu, kali kedua ketika mengembara seorang diri menaiki motosikal besar tahun 1997 mengelilingi Semenanjung dalam tempoh satu setengah bulan...

Selama ini saya fikir pernah menyebut tentangnya walau sepintas lalu dalam siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh" yang ditulis lalu diterbitkan sendiri tahun 2006 hingga 2007. Bila disemak betul-betul melalui carian kata kunci rupa-rupanya tidak ada. Nampaknya begitu banyak perkara yang perlu diingati untuk menerbitkan penceritaan yang bermakna. Oleh itu biar artikel mukadimah atau pengenalan ini menjadi medan awal bagi menggali ingatan setakat yang mampu.


--------------


Dalam artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan saya menyebut perjalanan berlaku sekitar tahun 1990 sedangkan dalam artikel Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... disebut pula sekitar tahun 1988. Sekarang biar dicari tempoh waktu sebenar. Ini boleh dibuat berdasarkan perkara-perkara berikut :-

1. Ketika itu saya sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat A Level di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar bagi mengambil ijazah di luar negara, di bawah Institut Teknologi Mara yang ketika itu belum menjadi universiti). Saya masuk selepas pertengahan tahun 1988 berdasarkan keputusan baik SPM (peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia) yang diduduki ketika penghujung Tingkatan Lima di sekolah menengah tahun 1997.

2. Ketika perjalanan berlaku tempat kami belajar terletak di Seksyen 17, Shah Alam sedangkan kami duduk asrama di Seksyen 18. Perjalanan bermula dari asrama dan berakhir di situ. Semasa mula masuk program tahun 1988 kampus kami adalah sejumlah rumah kedai sewa di Damansara Utama, Kuala Lumpur. Lebih setahun kemudian baru berpindah ke Shah Alam.

3. Perjalanan dibuat bersama sejumlah pelajar junior yang menyertai program selepas pertengahan tahun 1989. Saya adalah dari Batch 7, mereka Batch 8. Ketika mereka masuk kami semua masih lagi di Damansara Utama.

4. Saya sempat mengambil satu kertas awal peperiksaan A Level iaitu bagi apa yang dipanggil sebagai January Paper pada bulan Januari tahun 1990. Ketika itu kami telah berpindah ke Shah Alam. Sekitar sebulan dua kemudian saya dibuang keluar daripada program akibat telah melakukan terlalu banyak kesalahan disiplin.

5. Satu perkara yang baru diingati dalam seminggu lalu sedangkan penceritaan kenangan sudah mula bermain dalam kepala sejak lebih sebulan lalu adalah kami ada singgah di pantai sekitar Cherating di Kuantan kalau tak salah lalu mendapati kedai-kedai ditutup, seingat saya sebab musim tengkujuh. Sedangkan musim tersebut cuma berlaku sekitar bulan Disember.

6. Perjalanan berlaku pada waktu cuti panjang, nampaknya cuti semester. Dalam setahun cuma ada dua kali sahaja cuti semester iaitu pada pertengahan diikuti hujung tahun.

Mengambil kira semua ini boleh dianggarkan bahawa perjalanan berlaku pada penghujung tahun 1989, besar kemungkinan bulan Disember. Rasanya ketika itu cuti sebulan. Satu perkara yang baru teringat sekitar waktu Maghrib malam Jumaat tadi adalah terdapat seorang daripada batch saya turut bersama dan beliau dikenali sebagai Kawi. Yang lain semua adalah junior Batch 8. Mengenangkan ini teringat bagaimana ketika menginap sebilik di sebuah hotel di Kelantan (atau mungkin di Terengganu? yang pasti selepas menjejakkan kaki ke Kelantan) saya seronok berbual mengajuk loghat Kelantan. Ini memandangkan ketika itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke Kelantan (juga di Terengganu) lalu mendengar orang ramai bercakap dalam loghat itu. Sebelum itu setakat pernah mendengar orang bercakap loghat Kelantan di Kuala Lumpur tetapi tidaklah ramai.

Sebelum itu juga kawasan Pantai Timur yang pernah dijejaki seingat saya adalah cuma di Kuantan, Pahang juga Mersing dan Desaru di Johor. Ke Kuantan itu untuk melawat saudara mara, ke Mersing mewakili sekolah (Sekolah Menengah Sains Johor tahun 1983-1986) dan daerah Kluang bermain ragbi. Ke Desaru pula pada zaman kanak-kanak untuk mandi laut bersama keluarga. Jangkauan perjalanan saya ketika itu lebih pada Muar (tempat lahir dan membesar) membawa ke Johor Bahru kemudian masuk ke Singapura, Muar ke Kluang, Muar ke Kuala Lumpur juga ke Raub, Pahang. Semua ini untuk melawat saudara mara. Sesekali dan jarang-jarang ke Teluk Intan, Perak yang ada rumah saudara juga. Pernah ke Cameron Highlands sekali sahaja kalau tak salah untuk makan angin. Sementara perjalanan paling jauh pula adalah apabila dibawa bapa bersama ibu dan adik-naik naik ke utara sehingga masuk ke sempadan Thailand (di Bukit Kayu Hitam ke di Padang Besar, saya kurang pasti). 

Tetapi itu semua cerita sebelum tamat Tingkatan Lima. Selepas itu saya masuk ke PPP/ITM sedangkan untuk senarai 50 perjalan terjauh dan 11 istimewa ini tumpuan harus hanya diberikan pada perjalanan-perjalanan selepas meninggalkan sekolah menengah penghujung tahun 1987. Yang pasti perjalanan berbasikal tahun 1989 itu adalah perjalanan darat paling jauh pernah dibuat sehingga beberapa tahun selepas itu. Ini kerana ia meliputi separuh Semenanjung dan lakaran ringkas menggunakan Google Map menunjukkan jaraknya adalah 1,263 km. Lihat peta atas.

Ini adalah lakaran ringkas berdasarkan had maksimum sehingga 10 titik tempat sahaja boleh dihubungkan dalam satu peta Google Map. Kalau dicampur jarak berpusing ke sana sini dalam suatu bandar harus melebihi 1,300 km. Apapun perjalanan melibatkan berbelas basikal lumba. Walaupun sudah lama lupa perkara hati menyatakan ia melibatkan lebih 13 buah basikal tapi tak sampai 20. Terbit nombor 18 dalam kepala. Selain itu kami diiringi sekurang-kurangnya sebuah van panjang.

Sebanyak mungkin butiran akan cuba diingati apabila cerita dipanjangkan nanti. Buat masa ini tempat bermalam yang masih ingat dalam kepala cuma rumah seorang peserta di Tanah Merah, Kelantan. Bab hotel di Kelantan (ke Terengganu?) yang mana saya seronok mengajuk loghat Kelantan bersama kawan yang dikenali sebagai Kawi pula baru teringat Maghrib tadi. Entah di manakah lagi kami ada menginap sedangkan perjalanan memakan masa lebih seminggu? Insyaallah akan dikongsikan apabila ada kelapangan dan ilham. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,002 di blogspot ini. Sekian wassalam.


Nota tambahan (ditulis jam 1.31 pagi) - Selepas memuatnaik artikel baru tersedar bahawa peta yang diberikan awal tadi kurang tepat. Ini kerana Google Map secara automatik telah meletakkan laluan pantai dari Seksyen 18, Shah Alam ke Ipoh sedangkan yang digunakan adalah laluan utama berupa jalan lama Kuala Lumpur ke Ipoh di pendalaman. Begitu juga halnya dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Seingat saya kami mengambil laluan pantai sedangkan Google Map meletakkan laluan pendalaman. Selain itu saya sebetulnya kurang pasti laluan manakah yang digunakan untuk bergerak dari Tanah Merah ke Kota Bharu kemudian Kota Bharu ke Kuala Terengganu. Peta baru di atas ini harus cukup dekat pada kebenaran.


Khamis, Februari 18, 2021

Islam sebagai jalan pertengahan, keseimbangan dan kelestarian

OK. Keluar lagi daripada cerita-cerita perjalanan. Masuk bab majlis ilmu.

 

Dua hari lalu berlangsunglah majlis ke-empat dalam siri syarahan penglibatan masyarakat oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Syarahan diadakan sebulan sekali sejak November tahun lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-

1. Islam sebagai satu jalan ilmu (Nov 2020)

2. Islam sebagai jalan berkasih sayang (Dis 2020).  


Tajuk bahasa Inggeris syarahan kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Islam Sebagai Jalan Pertengahan, Keseimbangan dan Kelestarian".  Tidak seperti dua syarahan terdahulu di mana saya terlepas akibat terlupa masa lalu harus mengikuti melalui rakaman kali ini saya lebih bersedia di hadapan komputer.


Kelihatan Osman yang sudah berumur 75 tahun memulakan bicara. Rindu juga rasanya sudah lama tidak bersemuka secara berhadapan di ISTAC. Kali terakhir adalah ketika menghadiri syarahan beliau dalam siri "Classification of Knowledge in Islam" pada 11 Mac 2020. Seminggu selepas itu iaitu bermula pada 18 Mac seluruh negara Malaysia berada dalam perintah pergerakan terhad (restricted movement)  akibat wabak virus Covid-19. Lihat  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia.

Sejak itu bangunan ISTAC ditutup kecuali untuk urusan penting di pejabat lalu tidak ada lagi syarahan diadakan secara berhadapan di sana malah hendak bertandang pun tak dapat. Untuk pengetahuan syarahan bersiri tersebut secara rata diadakan seminggu sekali bermula Mac 2019. Ia dibuat berdasarkan buku dengan tajuk berkenaan daripada penulisan PhD beliau lebih 30 tahun lalu. 



Satu paparan menunjukkan beberapa orang yang mengikuti syarahan. Antara yang kelihatan adalah  Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan pengarah FINAS (Perbadanan Filem Nasional Malaysia) Ahmad Idham (sudah bergelar Doktor Falsafah rupanya, dahulu pelakon dan pengarah filem). Turut kelihatan nama Ramli Ngah Talib (Tan Sri, mantan Menteri Besar Perak) tapi kali ini tidak dibuka paparan video muka. Untuk makluman syarahan-syarahan Osman sering diikuti orang-orang ternama dan berkedudukan tinggi di Malaysia juga dari luar negara.

Terus pada isi syarahan. Saya kongsikan secara 'lebih kurang' ya. Disebutlah tentang perkataan bahasa Inggeris "middleness" yang secara harfiahnya bermaksud pertengahan dalam bahasa Melayu. Perkataan Arab popular yang digunakan untuk membawa maksud ini adalah Wasatiyah. Oh, sebenarnya konsep middleness dalam syarahan (kerana diadakan dalam bahasa Inggeris) itu sendiri merujuk pada perkataan Wasatiyah.

Ia turut diberikan terjemahan bahasa Inggeris "moderation" oleh beberapa pihak (saya tidak pasti apakah perkataan bahasa Melayu yang sesuai). Cendekiawan Islam terkenal antarabangsa, almarhum Profesor Ismail al-Faruqi pula menterjemahkannya sebagai "golden mean". Ini merujuk pada satu istilah bersifat matematik yang diperkenalkan melalui dunia falsafah Yunani purba sekitar 2,500 tahun lalu. Ia membawa maksud satu titik pertengahan yang tidak semestinya betul-betul di tengah tetapi membawa keseimbangan pada suatu objek mahupun perkara. 

Kata al-Faruqi, Islam adalah agama "golden mean". Beliau juga menyebut Islam adalah agama keseimbangan. Osman sendiri lebih menyukai perkataan "middleness" selain "golden mean" berbanding "moderation". Kata beliau perkataan moderation sudah sering disalahgunakan lalu disilap erti. 

Tambahnya middleness yang boleh diterjemahkan sebagai pertengahan boleh terpakai daripada sudut geografi dan fizikal. Surah Al-Baqarah ayat 142 yang terkait dengan ayat 143 pun dirujuk. Ia menyatakan tentang peristiwa pertukaran kiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Mekah (ketika itu umat Islam sedang berpusat di Madinah lalu pertukaran adalah sangat drastik iaitu daripada menghadap ke utara terus berpusing ke arah selatan). Ini dikaitkan dengan cerita-cerita tradisi yang meletakkan Mekah sebagai pusat fizikal bumi.

Yang pasti Mekah memang pusat spiritual atau kerohanian bumi. Maka dikaitkanlah dengan middleness atau pertengahan sebagai makna Wasatiyah. Disebut pula tentang pentingnya menjaga solat pertengahan (Solatan Wusta) diikuti apakah yang ideal tentang pertengahan. Ini membawa pada konsep keseimbangan yang terkandung dalam makna Wasatiyah.

Disebutlah bahawa Al-Quran ada menyatakan orang Islam sebagai "umat pertengahan". Diterangkan tentang jangkauan semantik perkataan Wasatiyah atau Wasatah yang membawa makna sangat luas, antaranya adalah untuk menjadi yang terbaik dalam sesuatu, bukan sekadar biasa-biasa. Disebut 4 ideal Wasatiyah serta ulasan yang saya ringkaskan seperti berikut :-  


1. Memimpin semangat Wasatiyah - Dengan cara selalu dekat pada pusat. Mekah sebagai pusat spiritual bumi dirujuk. Ia adalah fungsi jiwa (saikologikal) yang sangat penting bagi umat Islam.

Dalam ilmu fizik ada konsep pusat graviti (centre of gravity). Dalam dunia kerohanian juga ada pusat graviti yang tidak lain adalah hati. Sehingga dikatakan hati itulah tempatnya Arash Allah. Dengan itu wujudnya keseimbangan yang sesetengah ulamak kaitkan dengan perkataan Arab Tawazun. Secara teologi (ilmu keTuhanan) Tuhan adalah pusat segala sesuatu. Oleh itu Wasatiyah bermakna harus berada di pusat, dekat dengan Tuhan...

2. Menjadi adil - Cintakan keadilan. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang erti Wasatiyah lalu baginda menjawab, menjadi adil. Jadi amalkan keadilan.

3. Al-Khiarah - Menjadi yang terbaik. Terbaik dalam sesuatu. Menjadi yang utama dalam masyarakat (to be cream of society) - khairun ummah (umat terbaik). Menjadi cemerlang.

4.  Ini terkait dengan perkara 1. To be endowed with sense of proportion (terjemahan saya, memiliki rasa kesesuaian suatu perkara). Osman memberi contoh peribahasa Melayu "Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali." Disebut pula bahawa perkataan Pada itu berasal daripada bahasa Pali (bahasa lama benua Hindi) yang memiliki cangkupan makna yang sangat luas (pervasive word). Ini termasuk memahami keutamaan - Tahu apa yang patut didahulukan, apa yang patut dikemudiankan.


Maka disebutlah tentang perkataan Arab Tawazun (yang membawa makna keseimbangan itu). Kata Osman daripada segi linguistik ataupun bahasa ia membawa makna bergerak ke pusat. Sesungguhnya untuk menjaga kedudukan pusat graviti spiritual kita adalah sangat susah. Ia adalah satu proses dinamik yang sentiasa berjalan.

Ummatan Wasatan (umat pertengahan merujuk pada umat Islam) harus selalu memiliki sifat pertengahan. Oleh itu kita juga harus tahu apakah sifat berlawanan yang boleh menarik kita keluar menjauh dari pusat. 


Ini boleh disimpulkan kepada 2 bentuk halangan :-


1. Keadaan dunia luar - Terlalu banyak maksiat, terlalu banyak perkara negatif menarik kita ke banyak arah berlainan. 

2. Keadaan roh (dalaman)  - Hawa nafsu, syahwat yang boleh membawa kepada perbuatan maksiat. Imaginasi (khayalan). Fikiran yang tidak tetap, selalu melayang. Ini berlaga dengan keperluan sebenar diri.

Dua perkara ini saling berinteraksi. Ia boleh membawa kepada ketidakseimbangan diri. Kalau teruk boleh menjadi penyakit mental. Hal ini sedang meningkat. Manusia malah boleh membunuh diri. Ini akibat runtuhnya sistem individu.

Jadi bagaimana hendak mencapai 'pertengahan'? Kita tidak boleh berharap pada diri sendiri, Kita perlukan agama, Tuhan. Bukan sebarang agama tetapi yang dapat membawa pada pertengahan. Bagi orang Islam kita mengikut Al-Quran, Syariah. Saya rasa cukuplah perkongsian. Untuk penerangan lebih lanjut sila ikuti rakaman majlis di sini.


Isnin, Februari 15, 2021

Kenangan projek dokumentari "Daulah Melayu" 2015-2016

Salam hari Isnin 3 Rejab 1442 Hijriah. Hari ini, setelah beberapa lama blogspots saya yang lain mencapai jumlah 2,000 artikel setiap satu (BERPETUALANG KE ACEH pada 26 September 2019, SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pada seminggu lebih awal) baru blogspot CATATAN SI MERAH SILU dapat mencapai jumlah yang sama. Dipersembahkan satu lagi artikel kompilasi untuk melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. Kali ini tentang "Daulah Melayu".


"Daulah Melayu" merupakan satu projek dokumentari bersiri yang bertujuan untuk memaparkan kehebatan tamadun Melayu lama sambil mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Dimulakan tahun 2015 ia telah membawa saya mengembara merata di Semenanjung Malaysia dan sedikit di Indonesia. Sepatutnya saya yang bertugas sebagai hos dan penyelidik dibawa ke lebih banyak tempat dan lebih jauh lagi hingga ke beberapa negara termasuk ke kota London, tempat saya mengambil ijazah matematik tahun 1991-1995. Namun pertengahan 2016 berlaku suatu perkara menyebabkan saya meninggalkan projek. Sejak itu tiada lagi khabar tentangnya sehingga kini. 

Artikel ini mengumpulkan semua cerita yang pernah dibuat tentang penglibatan saya dalam projek di blogspot. Turut dikumpulkan pautan bagi beberapa artikel yang kelihatan tiada kena-mengena tetapi sebenarnya sangat berkaitan kerana menjadi asbab atau kesinambungan berlakunya perkara. Sebetulnya artikel-artikel berkenaan pernah dikumpulkan sehingga ke tahap tertentu melalui artikel Menjayakan projek dokumentari Daulah Melayu Oktober 2015 diikuti Daulah Melayu di Jawa Timur - Baru buat kompilasi Januari 2016. Selepas itu beberapa artikel lagi telah dibuat tentang projek. Sekarang baru ada kompilasi yang cukup lengkap.


Hari-hari awal


3. Perjalanan ke-7 di Aceh - Satu lagi tawaran tak disangka

4. Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 di DBP

5. Up balik : Kenangan zaman UK


Gerak mula terzahir

1. Forum Menafasi Pusaka Kekuatan Umat Melayu Akhir Zaman di Perpustakaan Shah Alam

2. Mengangkat Daulah Melayu pada HIKMAH Seri Menanti 4 April

3. Tentang rancangan "Daulah Melayu" dan atur cara terbaru HIKMAH Seri Menanti

4. HIKMAH Seri Menanti - Mengisi "Daulah Melayu" sambil mengalakkan anak muda berani bersuara


Mula menjadi hos

1. Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer

2. Daulah Melayu - Penggambaran untuk crowd funding

3. Daulah Melayu - Penggambaran untuk crowd funding lagi...


Meninjau lokasi dari Pantai Timur ke Selatan

1. Daulah Melayu - Recce trip ke Terengganu

2. Daulah Melayu - Tokku Paloh dan Batu Bersurat Terengganu

3. Daulah Melayu - Tarikan batu bersurat dan orang yang menulisnya

4. Daulah Melayu - Bergegas ke Pekan dan Kota Tinggi

5. Daulah Melayu -Sekitar Kota Tinggi dan Johor Lama

6. Daulah Melayu - Memohon restu Sultan Alauddin di Pagoh


Bermulanya penggambaran di luar Lembah Klang

1. Daulah Melayu - Ke Kedah untuk outdoor shooting pertama, naik Gunung Jerai

2. Daulah Melayu - Jejak industri besi purba di utara

3. Daulah Melayu - Ke Jeli dan Selatan Thailand

4. Lawatan lapangan HIKMAH Beruas, shooting "Daulah Melayu" dan pertukaran lokasi acara

5. Beraya awal minggu ke-3 ganti shooting Daulah Melayu

6. HIKMAH Beruas - Busana, makanan, pedang dan mimbar. Menyelesaikan hal tertunggak...

7. HIKMAH Beruas - Lawatan lapangan dan konvoi kawan-kawan



Penggambaran pertama di luar negara - Jawa Timur

2. Daulah Melayu di Jawa Timur - Penggambaran spontan di pesantren Pasuruan

3. Daulah Melayu di Jawa Timur - Antara penggambaran sekitar pesantren dan majlis hol Wali Songo

4. Daulah Melayu di Jawa Timur - Daripada Sayyid Jamadil Kubro ke Maulana Malik Ibrahim

5. Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel


Kembali ke sekitar Semenanjung

1. Menggamit warisan Daulah Melayu di UPM

2. Daulah Melayu di Melaka - Menggamit aura lama istana

3. Daulah Melayu di Melaka - Legasi Hang Tuah. Bersilat di bawah naungan Pulau Besar

4. Daulah Melayu di Melaka - Dunia Melayu Dunia Islam dan gambaran Kota Melaka 500 tahun lalu

5. Daulah Melayu di utara - Sekitar Bayan Lepas dan Lembah Bujang

6. Daulah Melayu di utara - Dari Lembah Bujang dan sekitarnya ke Lenggong, Perak

7. Daulah Melayu di utara - Tasik Raban, Kota Tampan dan gua-gua purba di Lenggong

8. Membawa Daulah Melayu dan HIKMAH ke Akademi Silat