Teringat pula perbualan dengan anak penjaga makam Harun Al-Rasyid. Katanya nenek-moyangnya dahulu adalah penjaga makam keramat yang dipanggil Nagore Sharif di India. Rujuk penulisan pada artikel
Nagore Dargha Sheriff, Pulau Pinang yang dibuat bulan lepas. Datuknya kemudian berhijrah ke Pulau Pinang. Tahun 1930an dia datang ke KL lalu terjumpa makam Harun Al-Rasyid, katanya ketika itu di celah hutan, tak pun semak belukar...
"Datuk sayalah yang membina bangunan makam itu," katanya lagi. "Keluarga kami pun mula menjaganya." Melihat tahun yang diberi iaitu 1930an, terbetik di hati apakah ada kena-mengena dengan masjid di Jalan Pahang yang dibina 1933? Sambil itu teringat juga bahawa makam Sheikh Ismail di Pulau Besar, Melaka mula dipelihara dan dibina bangunan cantik sekitar tempoh itu juga. Sebelum itu ia cuma dikenali sebagai makam panjang oleh nelayan yang singgah. Mengikut ceritanya selepas itu ada orang mendapat alamat lalu menyampaikannya kepada Sultan Brunei. Kerabat baginda dikatakan bertanggungjawab membina bangunan dan membuat ia terkenal...

Dari Jalan Pahang kami masuk ke Jalan Gombak di mana saya bersolat Jumaat di masjid ini. Lihat artikel lama
Masjid (Mosque of) Zaid bin Haritsah. Selepas itu saya pun menghantar isteri kembali ke pejabat.

Petang sedikit saya pergi ke sebuah stesyen minyak Shell untuk berjumpa seorang kawan. Asalnya janji untuk bertemu jam 4 petang, tengok-tengok masuk waktu itu beliau baru hendak keluar rumah dari Sungai Long berhampiran Kajang. Allah! Saya pun berjalan-jalan dahulu di sekitar. Tergerak untuk masuk ke Sungai Pusu melihat pemandangan. Lihat artikel
The hills at Sungai Pusu di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

OK. Sejak keluar artikel saya mengenai kewujudan makam Harun Al-Rasyid yang memiliki satu-satunya batu nesan Aceh pernah saya lihat di Kuala Lumpur malah sekitar 70 km di sekeliling, ramai juga telah bertanyakan lokasinya. Tetapi saya tidak mahu memberitahu kerana tidak mahu ia dikacau oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pertemuan dengan anak penjaga makam tengahari Jumaat baru saya dapat tahu lokasi makam ini memang diketahui pihak berkuasa termasuk jabatan agama. Nampaknya mereka tidak berapa suka ia dijaga dan diziarahi orang ramai.

Saya juga dapat tahu baru bahawa baru beberapa hari ini keluarga penjaga makam mendapat surat mengatakan kawasan itu harus dikosongkan tidak lama lagi. Ini kerana menurut ceritanya tanah yang mengandungi makam telah dijual kepada satu syarikat yang mahu mendirikan sebuah sekolah Cina. Makam pula mahu dialihkan ke Puchong.
Pada saya ini adalah satu lagi usaha untuk meminggirkan sejarah orang Melayu dan Islam kerana kewujudan makam dengan batu nesan Aceh yang menandakan ia berusia sekurang-kurangnya 200 tahun boleh dijadikan bukti bahawa penempatan orang Islam sudah lama wujud di Kuala Lumpur. Kalau ia dialihkan sepertimana ada usaha juga untuk mengeluarkan orang Melayu dari Kampung Baru atas nama pembangunan, ditakuti esok sejarah kita diubah dan ditipu langsung sehingga dikatakan seluruh Wilayah Persekutuan ini memang asal tempat duduk orang Cina dari zaman Yap Ah Loy, si kepala penyangak yang sering ditonjolkan sebagai peneroka awal Kuala Lumpur tahun 1850an.

Adapun kedudukan makam Harun Al-Rasyid ini adalah di satu bahagian Sentul yang sangat dekat dengan Sungai Gombak, bersebelahan dengan kawasan Flet Sri Terengganu. Boleh kelihatan rel LRT yang menyambungkan stesyen Titiwangsa dengan stesyen Sentul menyeberang sungai itu. Difahamkan dahulu rel LRT mahu dibina melalui kawasan makam tetapi percubaan merobohkannya tidak berjaya apabila jentolak sentiasa sahaja menghadapi masalah. Semoga Allah SWT terus melindungi kewujudan makam sebagai tanda keberadaan orang Islam secara umumnya, orang Melayu khususnya di Kuala Lumpur sejak sekian lama.
Oh. Kawasan sekitar rel yang kelihatan di mana terdapat satu jalan dari tepi Hospital Tawakal keluar ke hadapan stesyen bas Pekeliling mengingatkan bagaimana saya boleh tergerak buat pertama kali untuk pergi menziarahi makam Tok Pulau Manis di Kuala Terengganu tahun 2003. Lihat artikel
Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku... yang dibuat hampir 4 tahun lalu. Ada sedutan berkenaan yang diambil dari buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" yang ketika itu belum terbit, isinya masih menunggu giliran untuk disemak kembali kerana ketika itu buku kedua "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" baru sahaja keluar di pasaran. Hmm. Biar disalin sedutan dari artikel tersebut...
Pada satu hari tahun 2003, setelah selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Sungai Mulia di Batu 6, Jalan Gombak, Rasyid tergerak untuk berjalan kaki tanpa sebab menuju ke pusat bandar Kuala Lumpur. Seperti biasa, apabila mendapat gerak dan getaran tertentu dalam hati, pemuda ini akan mengikut sahaja tanpa banyak soal kerana percaya akan ada hikmahnya nanti... Tentu akan ada sebab-musabab dan penemuan baru yang akan dibuat samada secara sengaja ataupun tidak. Maka dia pun berjalan tanpa henti menyusuri kesibukan serta hiruk-pikuk Jalan Gombak lalu masuk ke Jalan Pahang. Sampailah di sebuah masjid lama berusia 70 tahun, barulah berehat setelah hampir 8km berjalan tanpa henti.
Kebetulan sudah hampir masuk waktu Asar. Anak muda yang sedang cuba memperbaiki dirinya dengan mendekati kembali agama inipun menunaikan Rukun Islam yang wajib itu sebelum menyambung kembali perjalanan hampir 2km lagi ke Hospital Tawakal. Di sana gerak hatinya menyuruh membelok ke kanan pula. Lalu Rasyid pun menyusuri sebuah jalan yang belum pernah dilaluinya sebelum itu, tidak ingat nama jalan itu... Tetapi pemuda itu masih ingat, di dereten kedai yang dilaluinya, terdapat Restoran Haslam milik pengarah filem terkenal iaitu Yusuf Haslam.
Sampai ke penghujung deretan, selepas melalui perkarangan sebuah bangunan tunggal yang agak besar, terjumpa sebuah kedai cermin mata yang ada menjual buku-buku agama di satu sudut. Tergerak pula hendak singgah sebentar... Masuk sahaja ke dalam, anak muda yang sudah lama meminati bidang Tasawuf ini terus tertarik kepada sebuah buku... Terus ternampak buku itu yang terletak di tengah para walaupun terdapat banyak lagi buku serta bahan bacaan lain pelbagai rupa, warna dan saiz di sekeliling. Sebenarnya, buku itu adalah sebuah risalah photostat yang dijilid dengan kertas berwarna kuning sebagai kulit. Tidak ingat tajuk penuhnya... Yang pasti, ada tertera nama Tok Pulau Manis dengan terang di hadapan. Rasyid pernah dengar nama ini. Pemuda ini memang suka membaca kisah para wali Allah dan Tok Pulau Manis termasuk dalam golongan ulamak bernama besar di Tanah Melayu. Tetapi sebelum itu, dia tidak pernah berminat atau hendak mengambil tahu lebih lanjut tentang Wali Allah ini. Baru kali itulah tergerak untuk membaca sedikit tentangnya. Lalu dia mendapat tahu bahawa wali besar dan ulamak dahulukala dari Terengganu ini pernah menuntut ilmu di Aceh malah pernah berguru kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel, anak murid wali besar Aceh Sheikh Hamzah Fansuri.
Tiba-tiba tubuh seluruh tubuh Rasyid bergetar. Mungkinkah ini satu petunjuk sebagai jawaban bagi doanya selepat solat Jumaat tadi? Jawaban bagi permohonannya kepada Allah SWT untuk disambungkan wasilah kerohanian sampai ke Aceh? Ini kerana pemuda berdarah Aceh ini mula mengenali dunia Tasawuf setelah terbaca ulasan dan syair-syair Hamzah Fansuri ketika berumur 18 tahun. Lalu terus timbul gerak untuk ke Terengganu, setelah mendapat tahu bahawa makam Tok Pulau Manis ini masih wujud di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.
OK. Masjid di mana saya mendapat gerak untuk berjalan kaki itu adalah masjid di Jalan Gombak yang ditunjukkan pada gambar ketiga artikel ini, masjid yang disinggahi waktu Asar selepas penat berjalan pula adalah pada gambar kedua. Allah! Ketika itu sekitar 8 tahun lalu saya meninggalkan masjid tersebut selepas solat Jumaat, 2 hari lepas pula saya bersolat Jumaat lagi di situ setelah beberapa lama tidak ke sana. Dalam perjalanan 8 tahun lalu saya bergerak menghala ke Kuala Lumpur, dari Jalan Gombak masuk ke Jalan Pahang lalu ke Sentul. Dalam perjalanan 2 hari lepas pula saya melawan arah, dari Sentul ke Jalan Pahang pergi ke Jalan Gombak.
Adapun anak penjaga makam Harun Al-Rasyid ada menyebut dua perkara yang mungkin ada kena-mengena. Satu, Harun ini dikatakan datang dari Baghdad. Dua, ini dipercayai berlaku sekitar 300 tahun lalu. Saya teringat ada kenyataan menyebut Tok Pulau Manis juga datang dari Baghdad. Kalau tidak pun beliau adalah keturunan seorang wali besar bernama Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang memang datang dari Baghdad, orang yang dipercayai menulis Batu Bersurat Terengganu tahun 1303 Masihi begitu. Tok Pulau Manis diketahui hidup di Terengganu 300 tahun lalu. Entah-entah beliau dan Harun Al-Rasyid yang dimakamkan di Sentul itu saling mengenali, entah-entah saudara-mara, keturunan Sharif Muhammad juga?
Ah. Entah-entah saya berjalan kaki ke Sentul 8 tahun dahulu itupun kerana ada tarikan dari makam Harun Al-Rasyid tetapi belum mengetahuinya. Mungkin perjalanan Jumaat 2 hari lepas dibuat untuk melengkapkan satu pusingan? Selepas perjalanan hari Jumaat juga tetapi pada 8 tahun lalu di mana ia dibuat melalui jalan yang sama tetapi berlawanan arah. Yang pasti hari ini saya mahu semua orang tahu di manakah kedudukan makam agar semua dapat melawat. Usahakanlah apa yang patut dan termampu agar makam tidak dirobohkan, satu simbol keIslaman di Kuala Lumpur tidak dihilangkan. Dengan ini biar diletakkan di bawah gambar yang mengandungi alamat makam, gambar yang sebenarnya telah diletakkan di dalam artikel
Makam (Tomb of) Harun Al-Rasyid, Kuala Lumpur 5 hari lalu tetapi dengan alamatnya sengaja dihilangkan...
Nota: Dengan menggunakan gambar satelit yang dipaparkan melalui program Google Earth baru saya dapat menyemak dengan tepat. Perjalanan dari masjid di Jalan Gombak sehingga masjid di Jalan Pahang sebenarnya cuma memakan jarak 3 km bukannya 8 km seperti disebut pada sedutan isi buku. Maklumlah saya menulis dahulu cuma berdasarkan ingatan dan ketika itu terasa begitu jauh apabila berjalan kaki, tiada alatan seperti Google Earth untuk disemak balik kenyataan. Perjalanan dari masjid di Jalan Pahang sehingga membelok kanan di Hospital Tawakal pula 1.3 bukan 2 km. Pengunjung boleh datang ke makam Harun Al-Rasyid bila-bila masa tetapi pintu makam dikunci siang hari. Ia cuma dibuka jam 7 petang hingga malam. Harap maklum. :]