Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 30, 2009

Misteri rumah Kutai... apakah yang ingin disampaikan?

Ini adalah gambar sebuah rumah Kutai yang saya temui apabila membuat Google image search di Internet lebih kurang seminggu lalu. Ketika itu saya baru sahaja kembali dari satu pertemuan dengan saudara-mara yang berasal dari susu-gulur keturunan raja/pahlawan yang sama dan baru mendapat tahu kenapa rumah-rumah lama di Perak terutama yang banyak terdapat di sekitar Pasir Salak, kawasan Datuk Maharajalela membunuh Residen British J.W.W. Birch tahun 1875 dipanggil sebagai "rumah Kutai". Yang menarik adalah catatan bersama gambar dalam sebuah website kelolaan satu jabatan kerajaan di Sabah ini menyebut bahawa rumah Kutai memiliki ciri-ciri rumah tradisional Aceh dan Bugis. Sila lihat artikel Asal-usul rumah Kutai di Perak (The origin of the rumah Kutai in Perak) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Jumaat lepas.

Adapun untuk memuatkan gambar ini ke dalam blogspot, saya harus terlebih dahulu menggunakan proses save as untuk menyimpannya di dalam komputer sendiri sebelum ia dapat diupload atau dimuat-turun ke dalam blogspot. Begitu juga yang harus dibuat untuk beberapa buah gambar yang diambil daripada Internet lalu dimuatkan pula ke dalam mana-mana blogspot saya. Petang semalam, tiba-tiba saya terasa mahu membuang kesemua gambar-gambar dari Internet yang ada tersimpan di dalam komputer. Ketika itulah berlaku satu perkara yang seolah-olah ingin menunjukkan sesuatu kepada saya!

Ini pula adalah gambar satu kawasan di tepian kuala Sungai Perak yang diambil menggunakan kamera digital lama saya. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Sambungan cerita ke Beting Beras Basah, tempat pertabalan Sultan Perak! , lihat juga artikel Kamera digital murah ku juga "bersara" akhirnya! yang memaparkan nostalgia jasa kamera lama.

Adapun bahagian tengah gambar ini yang memaparkan bendera-bendera Perak berserta pondok tempat raja berehat telah dijadikan desktop background komputer riba saya kini sejak ia dibeli pertengahan tahun lalu. Malah gambar yang sama juga turut menjadi desktop background komputer riba lama sejak sebulan-dua sebelum itu. Lihat artikel Komputer laptop TwinHead 12D hadiah daripada Nur. Mengenang jasa besarnya...

OK, berbalik pada apa yang berlaku petang semalam. Saya cuba memadamkan kesemua gambar yang pernah diambil dari Internet lalu disimpan di dalam file picture. Komputer pun membuang kesemua gambar ke dalam recycle bin... kecuali satu, gambar rumah Kutai di atas. Katanya ia sedang digunakan satu program, sebab itu ia tidak boleh dipadamkan.

Saya cuba lagi. Sekali, dua kali, berkali-kali... masih tidak berjaya. Aitt??? Bila masa pula saya ada membuka gambar rumah Kutai ini dalam apa-apa program. Saya pun mengalah lalu menutup semua windows dengan niat mahu menutup terus komputer. Terperanjat besar saya apabila mendapati gambar rumah Kutai itu sudah tertera besar menjadi desktop background menggantikan gambar lama di Beting Beras Basah!

Bagaimana ini boleh berlaku tanpa saya sendiri meletakkanmya begitu secara sedar? Sudah setahun saya menggunakan gambar di tepian Beting Beras Basah sebagai penghias komputer riba, kenapa tiba-tiba boleh naik gambar rumah Kutai tanpa dipinta? Atau ada sesuatu perkara tersirat yang ingin disampaikan dengan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah?

p/s:
Besok Jumaat 1 Mei kita akan menyambut Hari Buruh. Sempena cuti panjang yang bersambung hingga hujung minggu, saya dan isteri akan berlegar-legar di sekitar Melaka. Insyaallah kami akan bermalam di Pulau Besar juga Masjid Kampung Hulu. Sekian! :]

Susah-payah mempromosi/menjual buku (sehingga perlu lari-lari) di pesta buku...

OK. Sebenarnya artikel ini mahu dibuat sejurus selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 tamat Ahad malam Isnin lalu. Tetapi saya rasa harus melepaskan satu lagi bahagian tentang cerita An-Nur di blogspot ini juga satu lagi bahagian tentang kenangan zaman kolej "A" Levels di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti satu cerita ringkas tentang lumba basikal di sana dan ini cuma dapat dibuat semalam. Maka seharusnya artikel ini boleh dibuat semalam bukan? Sebaliknya selesai sahaja membuat cerita-cerita itu, saya mendapati jumlah keseluruhan posting di blogspot ini sudah mencapai 494 dan BERPETUALANG KE ACEH 313 sedangkan blogspot saya yang lagi satu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sudah mencapai jumlah 222 sejak Jumaat lalu.

Nombor-nombor yang cantik ini menyebabkan saya terasa eloklah jumlah ini dibiarkan begitu buat suatu waktu sebelum membuat apa-apa penambahan. Kebetulan pula sebaik sahaja saya selesai menyiapkan artikel terbaru "Cerita An-Nur" lalu menekan butang publish untuk menyiarkannya, jam di komputer menunjukkan 1.31 pagi. Hari ini selepas Zuhur, rasanya cukuplah jumlah-jumlah itu dibiarkan. Sekarang baru boleh dibuat penambahan melalui artikel ini. Mari! :]


Ini adalah gambar gerai ad-hoc mempromosi dan menjual buku yang saya dirikan sempena pesta buku di PWTC sejurus sebelum saya diminta beredar pada petang Sabtu. Sebenarnya gerai ini didirikan dengan meminjam meja yang ada di kawasan dalaman PWTC ini. Gerai sebegini berhampiran tempat yang sama pernah saya dirikan ketika hari-hari terakhir perhimpunan terbaru UMNO sekitar sebulan lalu dan semasa pesta buku ini saya telah mendirikannya pada petang Isnin lepas diikuti petang Rabu.

Alhamdulillah lokasi ini cukup cantik dengan lampu-lampu kuningnya, ruangan di sekitarnya cukup luas dan tidak begitu sibuk berbanding ruangan yang memang disediakan untuk para penyewa gerai di pesta buku. Sambutan juga amat menggalakkan. Selain datang para pembeli, ada yang sekadar mahu berbual-bual bercerita tentang sejarah Melayu dan Islam terutama mereka yang sudah lama mengikuti siri novel "Berpetualang ke Aceh".

Sebenarnya petang Rabu ketika mendirikan gerai lagi, beberapa pekerja dan pengawal keselamatan PWTC telah bertanya apakah kebenaran yang saya dapat untuk mendirikan gerai ini. Saya pun berterus-terang cakap mendirikannya secara curi-curi. Maklumlah, saya sekadar penulis dan penjual buku secara jalanan, buku pun cuma ada 3 tajuk dan 1 tajuk DVD. Tak berbaloi le jika saya menyewa sebuah gerai walaupun kecil seperti orang lain. Nasib baik mereka memahami dan sudi membiarkan sahaja. Tetapi petang Sabtu, setelah agak lama gerai ini mendapat sambutan dan 6 set buku "Berpetualang ke Aceh" berjaya dijual dalam tempoh 2-3 jam, saya diminta agar menutup gerai. Katanya ada orang mengadu... tak tahulah pasal apa sangat nak mengadu.


Saya pun beralih ke satu lokasi lain di dalam dewan bawah. Sebenarnya lokasi ini telah saya perhatikan sejak beberapa hari sebelum itu tetapi saya belum memakainya kerana lokasi di luar tempat saya mendirikan gerai awal sebelum diminta tutup kelihatan lebih menarik. Terperanjat isteri saya apabila datang jam 7 petang lalu mendapati saya sudah beralih tempat. Saya pula sudah bersedia untuk ini... maklumlah, mendirikan gerai secara curi-curi... perlulah bersedia untuk "berlari-lari"!

Gerai baru ini terletak berhadapan gerai Karnadya dan gerai Pekan Ilmu. Seperti ada disebut dalam artikel Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" pihak Karnadya ada mengajak saya menggunakan gerai mereka. Maklumlah kami bukan sahaja sudah rapat seperti keluarga, Karnadya juga adalah penerbit buku terbaru saya "Rumah Azan" yang baru dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada hari Isnin sempena pesta buku.

Saya masih cuba mengelakkan dari menggunakan gerai Karnadya kerana satu, saya segan dengan budi baik mereka, kedua saya mahukan ruangan sendiri yang tidak mengacau orang lain. Adapun gerai baru ini dibina di dalam kawasan sebuah gerai agak besar yang disewa satu penerbit lain tetapi pihak mereka nampak kurang aktif mempromosikan buku. Sejak pertama kali datang untuk pesta buku ini hari Isnin saya mendapati sedikit sahaja buku dipamirkan mereka sedangkan para pekerjanya sekadar duduk melangut di satu sudut... sudut di mana saya mendirikan gerai baru pula kelihatan seperti tidak terpakai langsung.

Petang Sabtu itu memang ia tidak terpakai. Apa yang berlaku adalah buku-buku yang ada di situ hilang kesemuanya! Hilang wooiii... kenapa? Tak percaya ke? Yang tinggal cuma 4-5 buah yang terjatuh ke bawah. Mengapa perkara pelik ini boleh berlaku? Pada mulanya ada yang menganggap mungkin ada orang dalam memang mahu mencuri buku. Tetapi buku-buku yang ada bukanlah menarik sangat... dah lah kebanyakannya ditulis dalam bahasa dan tulisan entah apa-apa yang saya langsung tidak faham.

Rupa-rupanya, akibat bosan kerana kurang sambutan, para pekerja di situ, rasanya cuma 2-3 orang sahaja telah keluar berjalan-jalan melihat keadaan tempat lain di pesta buku lalu membiarkan ia tidak terjaga. Para pengunjung ke pesta buku yang kepenatan pula lalu-lalang kemudian menggunakan gerai itu sebagai tempat berehat... ada yang kelihatan berbaring-baring di lantai berpermaidani hijau bersama keluarga. Oleh kerana tempat itu tidak berjaga, ada menyangkakan buku-buku yang terdapat di situ adalah percuma. Apalagi... ramailah yang menyambarnya sehingga habis... cuma tinggal 4-5 buku yang terjatuh di balik para!

Para penjaga gerai pulang lalu mendapati buku-buku mereka telah hilang. Jadi untuk apa lagi mereka menunggu? Maka apalah salahnya pula saya menggunakan sedikit ruang untuk membuka gerai sendiri? Cuma masalahnya tiada power point atau sumber kuasa eletrik berdekatan untuk saya menghidupkan komputer riba.


Malam sikit hari itu juga, pihak pengelola pesta yang petang Sabtu meminta saya menutup gerai di luar telah datang ke tempat baru. Rupa-rupanya mereka sedang menyelidik apa yang telah berlaku di tapak jualan itu... mengapa buku-buku di situ boleh hilang kesemuanya! Setelah beberapa ketika mereka memaklumkan bahawa tempat itu akan dibiarkan menjadi tempat berehat para pengunjung. Oleh itu, saya harus bersedia untuk mencari tempat lagi baru untuk esoknya hari Ahad.

Di atas ialah gambar gerai terbaru saya, gerai ketiga untuk pesta buku ini. Akhirnya saya harus berpindah masuk ke satu sudut gerai Karnadya juga. Nasib baik mereka memang sedia menerima. Cuma saya rasa sedikit tersepit kerana gerai itu memang sering dikunjungi ramai yang mahu membeli novel-novel cinta dan remaja.



Walaupun pihak Karnadya membenarkan saya mendirikan poster promosi buku "Berpetualang ke Aceh" di tepian gerai mereka, saya tetap terasa segan dan tidak mahu mengacau. Maka itu saya dirikan sahaja poster di seberang gerai Karnadya, iaitu di gerai tempat saya mempromosi/menjual buku Sabtu malam Ahad. Ada nampak poster di belakang?




Sebenarnya betul-betul di belakang saya (lihat kerusi putih di sebelah komputer riba) ada satu tempat yang sangat sesuai untuk diletakkan poster tanpa mengacau langsung pihak Karnadya... tetapi selepas Zuhur baru saya tergerak menggunakannya, hehe!





Digandingkan dengan satu lagi poster yang diletakkan betul-betul di seberang, akhirnya gerai baru saya kelihatan begitu menjadi! Cuma kedudukan poster berdekatan gerai itu sebenarnya menutup poster orang, poster gerai di belakang milik seseorang yang suka bercerita dalam buku-bukunya akan betapa hebatnya hidup sebagai seorang jutawan selain suka memaparkan gambar-gambar mukanya dengan besar di setiap buku dan poster...

Kemudian baru saya ternampak orang ini datang memerhatikan keadaan. Ya lah, saya kan dah tutup poster besar mukanya dengan poster saya, hehe! Saya cuma angkat tangan lalu memberitahu ingin menumpang poster saya buat sementara. Dia mengangguk sahaja. Beberapa minit kemudian, baru ada seorang pekerjanya memberitahu yang majikannya meminta saya menurunkan poster daripada tempatnya. Saya pun akur... cukuplah sedikit masa yang diberikan, hehe!

Di sini saya ingin mengucapkan terimakasih kepada setiap pengunjung yang mendatangi gerai saya samada untuk membeli buku mahupun sekadar berbual-bual berkenalan. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Walaupun sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung selama 10 hari ini saya cuma datang membuka gerai 4 hari sahaja, itupun selalu lambat lepas Zuhur dan di gerai "curi-curi" yang boleh beralih-alih tempat, hampir 80 naskah buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" berjaya dijual dan lebih 20 DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" turut dibeli orang sehingga habis segala stok yang ada.

Satu lagi perkembangan yang memberangsangkan adalah penjualan buku mewah atau coffee-table book "Rumah Azan" buku ke-empat saya oleh pihak Karnadya. Walaupun buku ini dijual pada harga RM75 (ada masa pula RM85, tu yang saya tak faham tapi masih elok le berbanding harga pasaran RM108 yang dicadangkan), semua stok yang ada untuk pesta buku juga turut licin dibeli orang!

Ini melangkaui jangkaan awal Karnadya kerana buku itu baru sahaja dilancarkan dan itulah pertama kali mereka menjual buku sebegitu mahal. Mereka sekadar berharap dapat mempamirkan buku agar dilihat orang, tak menyangka pun ia akan mula dibeli apalagi sehingga licin stok awal 40 buah buku yang sempat dicetak untuk pesta buku ini. Untuk makluman, "Rumah Azan" baru masuk kilang percetakan 2 minggu sebelum pesta... stok seterusnya cuma akan siap dalam tempoh seminggu dari sekarang. Sementara itu banyak pihak termasuk kontraktor penjual buku, pengedar malah pihak perpustakaan luar dan dalam telah menyatakan minat dan membuat tempahan. Sekian! :]


Rabu, April 29, 2009

Cerita An-Nur - Penerimaan yang memberangsangkan keluarga di Segamat

Gambar pusat bandar Segamat daripada artikel Segar yang amat sangat di Segamat... Ya ke? yang dibuat Januari tahun lepas.


Bersambung dari artikel Cerita An-Nur - ke Segamat bersama jodoh baru? Dan lisan agama dan keturunan yang keluar daripadanya... . Setelah sekitar 3 jam, mungkin lebih menaiki keretapi dari Kuala Lumpur membelah malam, saya dan An-Nur pun sampai ke Segamat. Ibu bapanya sudah dihubungi sejurus sebelum sampai lalu si ibu mengambil kami di stesyen keretapi sebelum menuju terus ke rumah.

OK. Banyak perkara yang berlaku saya sudah tidak ingat turutannya lagi. Apapun, apa yang dapat saya ingat biarlah dilepaskan atas proses untuk meluahkan apa yang terbuku di dada, perkara-perkara yang mungkin mengganggu aliran tenaga dalaman akibat sudah begitu lama dilupakan sedangkan ia sebenarnya menjadi seperti butiran pasir yang menyumbat saluran darah... semakin lama dibiarkan semakin teruk kesan memakan dalaman. Yang pasti kehadiran saya diterima dengan baik oleh seisi keluarga An-Nur termasuk adik-adiknya, kalau tak salah ingatan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Saya tak pasti hari pertama ke hari kedua... dua orang kawan An-Nur yang sebenarnya berasal dari Sabah kalau tak salah ingatan ada datang bertandang ke Segamat lalu saya 'ditugaskan' menjadi supir membawa kereta untuk mengambil juga membawa mereka berjalan. Sebenarnya kawan-kawan yang pernah belajar satu UiTM dengan An-Nur itu sedang dalam perjalanan keretapi ke tempat lain. Entah mengapa An-Nur mahu sangat agar mereka singgah di Segamat walau satu malam. Yang pasti dia kelihatan begitu bangga memperkenalkan saya kepada mereka.

Ibu dan bapa An-Nur pula mungkin dapat menerima saya dengan begitu baik dengan tangan yang terbuka luas kerana beberapa faktor. Selain mendapat tahu saya adalah seorang graduan matematik daripada London, pernah menjadi wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times, pernah menulis dan menyunting isi buku-buku penulis politik S.H. Alattas dan cukup peka akan hal-hal berkaitan Ahlul Bait anak cucu keturunan Nabi, saya rasa mereka lebih tertanya-tanya bagaimana saya dapat 'mengendalikan' An-Nur sehingga dia jadi begitu 'jinak'. Sebenarnya gadis ini ada masalah dengan keluarga terutama dengan bapa dan ini dapat saya lihat melalui perbualan pertama kami di tepi sungai di Janda Baik sekitar 3 minggu sebelum itu. Oleh kerana saya sendiri ada masalah keluarga terutama dengan bapa, sejak itu saya berazam akan cuba memperbaiki hubungan An-Nur dengan bapanya.

Dari bapanya saya dapat tahu An-Nur agak liar dan suka memberontak. Akibatnya dia banyak mensia-siakan zaman belajarnya di UiTM dengan membuat perkara yang bukan-bukan sedangkan gadis ini saya lihat boleh tahan tinggi tahap kepandaian semulajadinya. Dari An-Nur pula saya mendapat tahu dia memberontak akibat apa yang berlaku antara ibu dan ayahnya semasa dia masih kecil lagi. Lalu saya pun bertindak menjadi orang tengah dalam menyatakan apa yang terbuku dalam hati ayah kepada si anak dan apa yang terbuku dalam hati anak kepada sang ayah, perkara-perkara yang mungkin sudah jadi begitu susah untuk mereka sendiri berterus-terang menguraikan apa yang tersimpul di dada akibat sudah bertahun-tahun berselisih faham dan saling marah-marah.

Yang pasti, saya dapat melihat ibu dan bapanya menganggap kehadiran saya sebagai pengaruh yang baik terhadap anak gadis mereka. Ayahnya pernah menyebut, selama ini An-Nur bukan sahaja asyik berselisih dengan mereka hingga tidak suka balik ke kampung... dia juga tidak mahu bersolat apalagi hendak memakai tudung. Tup-tup tiba-tiba gadis ini balik ke Segamat dengan saya berjumpa ibu bapanya malah sanggup meminta maaf atas segala kesalahan lalu. Dan dia juga rajin bersolat, membaca Quran dan sedia memakai tudung litup tanpa disuruh.

Saya cuma tersenyum sahaja. Saya pun tak tahu bagaimana ini semua boleh berlaku. Ibu bapanya menyangkakan kami sudah lama berkenalan. Terperanjat besar mereka apabila mendapat tahu pertemuan saya dengan An-Nur di stesyen keretapi Kuala Lumpur untuk ke Segamat adalah pertemuan kami yang kedua.

Saya tidak ingat apakah kata-kata sebenar mereka yang menyatakan mereka sudah menerima saya sebagai bakal menantu. Yang saya pasti setelah 2-3 malam di situ memang mereka bercakap dengan saya seperti bercakap dengan bakal suami An-Nur. Gadis itu pula sampai bertanya apakah kami harus berkahwin dalam masa terdekat atau menunggu dia menyambung kemudian habis belajar. An-Nur sudah lama menyimpan hajat untuk menyambung pelajaran di UIA.

Berkenaan penerimaan ibu bapanya terhadap saya sebagai bakal menantu, saya teringat satu peristiwa. Adapun dalam telefon bimbit saya ketika itu (hilang dah...) tertera gambar saya sedang mendokong anak perempuan ketika dia berumur 2 tahun. Saya juga ada menyimpan gambar anak ketika berumur 6 bulan, satu-satunya gambar yang saya miliki diberi oleh bekas isteri. Sesekali saya akan mengeluarkan gambar dari dalam bag lalu mengucupnya. Begitu juga biasa dilakukan apabila membuka telefon bimbit lama yang boleh dilipat dua.

Satu hari selepas berehat di luar rumah, saya masuk melalui pintu hadapan. Seketika itu juga ternampak An-Nur sedang menutup telefon bimbit saya yang ditinggalkan di ruang tamu sambil kedengaran suaranya seperti merungut "Huuhhh!" gitu. Tidak lama kemudian, gambar anak saya pula hilang. Cuma ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa.

Lama kemudian baru terfikir mungkin An-Nur yang mengambilnya kerana sudah beberapa kali dia menggeladah barangan saya. Maklumlah, sesekali dia akan berperangai seperti orang hilang akal yang seperti kesurupan dirasuki makhluk halus, ada masanya cakap banyaknya keluar melampau-lampau. Saya menganggap ini semua sebagai satu proses pembetulan saikologi yang mungkin terpaksa dilaluinya setelah lama memberontak membawa diri keluar dari lingkungan sokongan keluarga. Lagipun saya tetap harus menerima keadaannya. Bukankah dia bakal isteri? Baik buruk, saya cuma berdoa agar keadaan berubah semakin baik nanti...

Saya tak ingat bagaimana peristiwa seterusnya berlaku. Yang saya ingat, selepas berbual perkara lain pernah sekali tiba-tiba ibunya menegur: "Tak payahlah diingat sangat anak dengan bekas isteri tu. Kan boleh buat anak baru nanti?"

Rasanya cukuplah ini untuk membayangkan betapa saya sudah diterima sebagai bakal menantu. Apabila mendapat tahu saya juga dalam proses untuk mendapatkan penerbit buku untuk satu manuskrip cerita yang sudah pun siap ditulis, si ayah berjanji akan cuba menolong mendapatkan penerbit. Rupa-rupanya dia juga sedang mencari seorang penerbit untuk penulisannya sendiri yang sudah dimulakan lebih 2 tahun sudah. Dan baru sebulan dua itu, dalam satu acara seminar yang melibatkan hal-hal sastera Melayu, dia terjumpa seorang pemilik syarikat penerbitan buku yang katanya berminat untuk melihat hasil tulisannya. Dan dia berjanji akan mengenengahkan penulisan saya kepada orang itu.

Untuk bahagian seterusnya, kita akan ke Perak untuk bertemu orang yang dimaksudkan. Untuk makluman, hasil penulisan saya itulah yang kemudian menjadi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Untuk pengetahuan, ini adalah posting ke 494 di blogspot ini. Bersambung nanti...

Khamis, April 23, 2009

Queens of Langkasuka, Makam Chondong di Pekan dan lagi tentang pesta buku...



Semalam, setelah menunggu lebih sebulan, saya dan isteri akhirnya dapat menonton filem epik dari Thailand berjudul "Queens of Langkasuka". Tertarik dengan tajuk berkenaan sebuah kerajaan lama Melayu penuh lagenda dan gambar-gambar cantik yang terpapar pada poster-poster terutama pakaian tradisional Melayu yang disertakan dengan baju perisai besi, kami rasa ia patut ditontoni sekurang-kurangnya untuk melihat betapa jauh filem itu ada memaparkan ciri-ciri sebenar pakaian juga budaya orang Melayu walaupun ceritanya diterbitkan orang Thai dan memakai bahasa mereka.

Filem ini ditayangkan di pawagam-pawagam terpilih seluruh Malaysia sejak 2 minggu lalu tetapi baru semalam kami menontonnya kerana mahu mendapatkan harga diskaun hari Rabu. Di pawagam yang terdapat di kompleks membeli-belah Galaxy di Ampang, kita boleh menonton filem dengan harga tiket RM5 seorang pada hari itu... dengan syarat filem itu sudah ditayangkan masuk 2 minggu.

Melihat pada poster dan tajuk sejak dahulu, kita boleh meneka yang dimaksudkan sebagai Langkasuka dalam filem itu sebenarnya adalah kerajaan Melayu Pattani yang muncul kemudian. Adapun mengikut ceritanya Langkasuka telah diasaskan lebih lama, mengikut sesetengah pendapat sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW yang berlaku tahun 570 Masihi atau paling lambat pun abad ke 9 Masihi... oleh seorang anak raja dari Rum (yang menurut tafsiran sarjana sebenarnya merujuk kepada empayar Parsi). Sedangkan Pattani secara rasminya muncul sebagai sebuah kerajaan Islam abad ke 16. Wilayah Pattani merangkumi sebahagian wilayah sekitar utara Kelantan dan selatan Siam yang dahulu diketahui memang sebahagian wilayah kerajaan Langkasuka yang sering dinyatakan bersifat Hindu-Buddha. Maka itu Pattani sering dianggap sebagai kesinambungan kerajaan Langkasuka malah ada yang melihat Pattani sebagai Langkasuka yang telah Islam.

Poster yang menunjukkan raja-raja perempuan juga para pahlawan berpakaian tradisional Melayu jelas merujuk pada zaman Pattani, bukan Langkasuka. Dan lagi tiada pernah kedengaran cerita tentang raja-raja perempuan Langkasuka sedangkan Pattani memang diketahui dalam sejarah rasmi pernah diperintah oleh 4 orang raja perempuan. Menonton filem yang merujuk kepada zaman pemerintahan Ratu Hijau, raja perempuan pertama Pattani dengan disokong adinda-adindanya Ratu Biru (bakal menjadi raja perempuan kedua) dan Ratu Ungu (bakal raja ketiga) mengesahkan ini. Tetapi memandangkan ia diterbit dan dilakonkan oleh orang Thai, tidak hairanlah jika mereka memilih tajuk "Queens of Langkasuka". Ini lebih sesuai dengan budaya Thai yang beragama Buddha, bukan Islam. Dan lagi Pattani yang kini menjadi sebahagian wilayah negara Thailand dianggap sebagai wilayah pemberontak Islam yang sering membuat kacau. Maka buat apa dibesar-besarkan keIslaman mereka apalagi mahu menaikkan nama Pattani?

Kita tidak boleh menyalahkan orang Thai kerana berbuat begini. Mereka yang sanggup menerbitkan filem epik ini dengan kos yang amat besar, katanya sekitar US$4 juta jadi sukahati merekalah untuk membikinnya bagaimana. Untuk menarik perhatian ramai penonton wayang yang secara umumnya mahukan hiburan, sudah tentu fakta sebenar sejarah ditafsir longgar untuk dimasukkan unsur-unsur percintaan yang mengasyikkan malah ditambah unsur mistik yang merancakkan lagi cerita. Ini dilakukan dengan menonjolkan kuasa batin watak bernama Pari yang mampu menghancurkan isi gua besar dengan raungan berserta kuasa dalaman, juga memanggil dan memanipulasi ikan-ikan.

Pari yang berasal dari sebuah perkampungan nelayan yang penduduknya rata-rata berpakaian seperti orang asli dengan badan bertatu memberi gambaran dia bukan orang Islam tanpa perlu sedikit pun menyebut pegangan agama watak-watak dalam cerita. Saya tidak tahu bahasa Thai jadi tidak dapat mengaitkan nama watak Pari dengan apa-apa kecuali Pari ini memang ditonjolkan dalam cerita boleh 'menunggang' ikan pari raksasa! Pada pertengahan filem, Pari ada menyelamatkan Ratu Ungu dari penculikan orang jahat. Mereka kemudian terdampar di sebuah gua yang dihuni seorang pendita merangkap guru ilmu kuasa dalam Du Lum (disebut dulam) dan di situ Ratu Ungu yang diketahui dalam sejarah sebagai seorang perempuan Islam jatuh cinta dengan Pari yang pernah kehilangan isteri akibat serangan lanun ke atas kampungnya.

Fiksyen percintaan yang ditonjolkan mengingatkan kepada filem "Puteri Gunung Ledang" yang pernah menonjolkan aktress Tiara Jaquelina sebagai puteri lagenda itu. Cerita ini juga cuba menonjolkan 'percintaan' hulubalang besar Melaka Hang Tuah dengan Puteri Gunung Ledang sedangkan dalam sejarah yang diketahui semua orang, ini tidak pernah terjadi. Lebih jelik lagi apabila Melaka dikatakan melindungi kerajaan Majapahit yang diketahui mengamalkan agama Hindu dari serangan Demak. Mana boleh! Melaka adalah kerajaan yang mendaulatkan Islam sepertimana Demak yang berdiri lebih 70 tahun setelah berdirinya Melaka adalah sebuah negara Islam malah disokong para Wali Songo atau sembilan wali besar yang cukup terkenal di seantero Alam Melayu.

Dalam "Puteri Gunung Ledang", Demak digambarkan seperti kerajaan jahat yang ingin membuat kacau. Ditunjukkan askar-askar Demak yang berjubah berkopiah membakar rumah rakyat awam sedangkan ini adalah penipuan yang sangat besar tetapi halus. Dari segi ini cerita "Queens of Langkasuka" adalah jauh lebih baik walaupun ia juga menokok-tambah cerita. Walaupun keagamaan watak-watak di dalamnya tidak disebut dan ia satu hasil produksi orang Thailand beragama Buddha, penggunaan pakaian tradisional Melayu yang cukup terang dalam cerita malah ditambah pula mereka menggunakan senjata api seperti pistol dan senapang (yang memang benar kerana orang Melayu sejak zaman Melaka juga sudah memiliki pistol dan sebagainya, bukan sekadar memakai keris, tombak dan sebagainya) sedikit sebanyak membuat kita terasa bangga menjadi orang Melayu yang sebenarnya bertamadun tinggi.

Watak pahlawan paling menarik dalam cerita "Queens of Langkasuka" adalah seorang pengawal peribadi ratu yang dipanggil Jarang. Beliau memakai baju Melayu lengkap dengan berdestar tetapi turut memakai baju besi apabila keluar berperang. Lebih menarik adalah senjata utamanya berbentuk sundang, biasanya dipakai malah dikenali sebagai senjata pahlawan Bugis. Permainan sundangnya berserta gerak langkah kaki dan tangan lebih menggambarkan pergerakan tangkas silat berbanding aksi-aksi terakhir pergaduhan dalam "Puteri Gunung Ledang" yang kelihatan tidak ada seninya lagi kecuali sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk memaparkan gerak kilat yang melampaui batas.

Tetapi saya lebih tertarik lagi dengan watak putera Pahang yang mula diperkenalkan apabila baginda menembak dengan pistol sebiji epal yang dilambungkan untuk Ratu Ungu berlatih memanah. Putera ini diperkenalkan sebagai Abdul Ghaffar Muhiuddin yang kemudian dikahwinkan dengan Ratu Ungu sebagai satu cara mendapatkan pertolongan Pahang untuk menghadapi musuh luar dan dalam. Ini membuat saya terfikir betulkah watak ini ada dalam sejarah atau ia cuma rekaan dalam filem untuk menyedapkan cerita.

Siang tadi saya membuat sedikit kajian melalui Internet lalu mendapati Abdul Ghaffar Muhiuddin bukan sahaja wujud malah pernah menjadi sultan Pahang dari tahun 1592-1614. Malah ternyata dalam sejarah Ratu Ungu memang berkahwin lalu menjadi salah seorang isteri baginda. Untuk pengetahuan, Sultan Abdul Ghaffar adalah dari keturunan Sultan Muhammad @ Raja Muhammad, anakanda Sultan Mansur Shah Melaka yang dipinggirkan dari takhta Melaka lalu dirajakan di Pahang akibat membunuh anak bendahara dalam satu peristiwa permainan sepak raga.

Nama Abdul Ghaffar Muhiuddin juga mengingatkan saya pada sesuatu. Lalu saya tergerak untuk melihat artikel-artikel lama di blogspot ini sehingga bertemu kembali artikel Berjalan ke Makam Chondong... Satu ulang-tayang filem di alam arwah? yang dibuat lebih setahun lalu. Lihat juga artikel (The place known as...) Makam Chondong yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sekitar itu. Ternyata Abdul Ghaffar ialah salah seorang kerabat diraja yang dimakamkan di Makam Chondong, Pekan dengan menggunakan batu-batu nesan Aceh.

Sebelum menyambung cerita biar direkodkan menurut informasi yang diambil dari Wikipedia bahawa Ratu Hijau pernah memerintah Pattani tahun 1584 hingga 1616. Adindanya Raja Biru pula memerintah 1616-1624. Nampaknya ini berlawanan dengan cerita yang dipaparkan dalam filem "Queens of Langkasuka" kerana dalam filem itu, Abdul Ghaffar sempat datang ke Langkasuka @ Pattani dan menyaksikan kemangkatan Ratu Hijau serta kenaikan Ratu Biru sebagai pengganti. Sedangkan telah dicatatkan Abdul Ghafar yang menjadi sultan Pahang telah mangkat 1614, 2 tahun lebih awal.

Tak mengapa le... mungkin kedatangan Abdul Ghaffar yang sempat menyaksikan Ratu Hijau mangkat akibat pembelotan berserta serangan ke atas kerajaannya itu digarap sebegitu rupa untuk menambahkan kesan dramatik cerita. Ini kerana baginda mahu ditunjukkan muncul bersama Ratu Ungu yang baru dikahwininya sebagai membawa angkatan perang Pahang untuk turut mempertahankan pusat pemerintahan Langkasuka @ Pattani. Yang nyata, memang tercatat dalam sejarah bahawa Ratu Ungu menjadi isteri Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin. Maka itu cukup kenalah apabila Ratu Ungu menaiki takhta Pattani dan memerintah 1624-1635 setelah kehilangan suami. Kemudian puteri mereka Raja Kuning memerintah sehingga tahun 1649, ada yang kata hingga 1688 sebelum Pattani diperintah raja-raja lelaki dari kerajaan Kelantan.

Disebabkan menonton filem "Queens of Langkasuka", saya tergerak untuk membuat sedikit penyelidikan. Walaupun saya sudah lama mendengar nama Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning, baru siang tadi saya tahu bilakah mereka memerintah. Ternyata raja-raja perempuan Pattani telah memerintah lebih awal daripada raja-raja perempuan Aceh. Untuk pengetahuan, Aceh juga pernah diperintah 4 orang ratu dan mereka ialah Sultanah Ratu Safiatuddin Tajul Alam Shah (1641-1675 Masihi), Sultanah Naqiatuddin Nurul Alam Shah (1675-1677), Sultanah Zaqiyatuddin Inayat Shah (1678-1688) dan Sultanah Zinatuddin Kamalat Shah binti Al-Marhum Raja Umar (1688-1699).

Lagi satu yang membuat fikiran saya terngiang-ngiang tentang Abdul Ghaffar yang dipaparkan di dalam filem ialah baginda rupa-rupanya ayahanda kepada Raja Muda Abdullah (dari isteri lain) yang mengahwini Puteri Perak, anakanda kepada sultan kedua Perak Sultan Mansur Shah. Ini bermakna Raja Abdullah adalah adik-beradik Ratu Ungu sedangkan Puteri Perak pula adalah adik-beradik kepada Sultan Alauddin ibni Sultan Mansur Shah Perak, Sultan Aceh 1580 - 1585 bermakna pemerintah Aceh dan pemerintah Pattani beripar-duai jua.

Raja Abdullah dan Puteri Perak mendapat seorang puteri yang diberi nama Raja Puteri Fatimah, maka puteri ini ialah sepupu Ratu Kuning yang menjadi raja perempuan terakhir Pattani. Aceh pernah menyerang Pahang lalu membawa ramai kerabat dirajanya ke sana lalu disitulah Raja Puteri Fatimah dikahwinkan dengan seorang anak raja Siak yang kemudian dinaikkan sebagai sultan ke-10 Perak, Sultan Muzaffar Shah II. Hmm... saya sudah mula tenggelam dalam menyusur akar pertalian darah raja-raja Melayu. Cukuplah.

Apa yang saya nak bagitahu lagi satu adalah satu cerita yang baru saya sedari tadi... bahawa Sultan Abdul Ghaffar Muihuddin telah dibunuh oleh seorang anaknya sendiri. Turut dibunuh adalah Raja Muda Abdullah akibat adinda tirinya ingin menaiki takhta Pahang lalu muncul sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah tahun 1614 yang sanggup bersubahat dengan Portugis untuk berkuasa. Maka tidak hairanlah jika pemerintah Aceh ketika itu Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menyerang lalu membumi-hanguskan Pahang tahun 1615. Baginda kemudian mengangkut kerabat diraja Pahang ke Aceh dan seorang dari mereka naik menggantikan baginda menjadi pemerintah Aceh bergelar Sultan Iskandar Thani tahun 1636.

Adapun Iskandar Thani ialah anak saudara kepada Sultan Abdul Ghaffar Muhiuddin. Ayahanda baginda dan Abdul Ghaffar adalah adik-beradik tiri sedangkan ibunya Puteri Chendera Dewi, anak raja Siak juga bersaudara dengan kerabat Pahang. Maka tidak hairanlah jika Iskandar Thani telah memerintahkan satu armada Aceh datang ke Pahang semata-mata untuk mendirikan dengan penuh adat-istiadat beberapa buah nesan Aceh yang dibawa dari sana ke atas makam-makam di Pahang. Kerana di Makam Chondong di Pekan, Pahang lah bersemadinya jasad Sultan Abdul Ghaffar, Raja Muda Abdullah juga Puteri Chendera Dewi.


Dalam artikel Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" saya ada menyebut akan kembali ke pesta buku di PWTC hari Rabu selepas makan tengahari untuk membuka lagi gerai ad-hoc di mana-mana. Setelah berbuat begitu hari Isnin, saya sekadar duduk rumah sahaja hari Selasa untuk menyiapkan sedikit kerja. Adapun salah satu sebab utama saya yakin akan keluar ke Kuala Lumpur hari Rabu adalah disebabkan mahu menonton filem "Queens of Langkasuka" pada waktu malam. Cadangnya, setelah menghantar isteri di tempat kerja, saya mahu berehat di masjid berdekatan kemudian menyambung sedikit kerja di dalam komputer. Kemudian tengahari nanti saya akan mengambil isteri untuk makan bersama sebelum dia menghantar saya untuk membuka gerai di PWTC.

Setelah makan pagi bersama isteri di pejabatnya saya pun ke masjid lalu tergerak membuka komputer. Allah! Ternyata saya terlupa membawa power chord atau wayar kuasa sedangkan ia amat diperlukan nanti untuk menghidupkan komputer dalam jangka-waktu yang agak lama jika mahu membuka gerai ad-hoc di pesta buku. Tak pernah berlaku lagi sebelum ini saya tertinggal wayar apabila membawa keluar komputer riba. Maka terpaksalah saya berpatah-balik ke rumah 40km ke barat-laut Kuala Lumpur. Alang-alang dah sampai rumah, buat aje le kerja di sana. Maka lepas Asar baru saya keluar untuk mengambil isteri dari tempat kerja lalu ke PWTC terus membuka lagi gerai.

Malam itu jam 10.30 baru kami menonton filem "Queens of Langkasuka". Cadangan asal kami, setelah selesai menonton kami akan bermalam di rumah milik keluarga di Kajang dan esoknya Khamis saya akan menghantar isteri di tempat kerja sebelum ke PWTC selepas makan tengahari. Sebaliknya petang semalam saya mendapat panggilan dari pihak LG untuk membetulkan televisyen plasma kami yang ada sedikit masalah keluar gambar berbintik-bintik. Oleh kerana pihak mereka mahu datang sekitar tengahari Khamis iaitu hari ini, terpaksalah saya menunggu di rumah bermakna tidak dapatlah saya bermalam di Kajang, harus pulang ke rumah setelah selesai menonton filem.

Keadaan ini membuat saya tidak dapat membuka gerai hari ini. Ditambah sakit demam batuk selsema yang semakin 'rancak' malam semalam, elok juga saya berehat sambil menunggu orang datang membetulkan televisyen. Tadi alhamdulillah, masalah TV berjaya diselesaikan tetapi batuk selsema pula masih belum pulih. Maka saya rasa elok juga saya terus duduk di rumah hari Jumaat sambil menyelesaikan apa-apa kerja yang tertunda dalam komputer.

Dengan ini dimaklumkan. Pada hari Sabtu dan Ahad, baru saya akan 'pulun' untuk menjual dan mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" di pesta buku. Memandangkan hujung minggu orang ramai kerana cuti, insyaalah saya akan mula membuka gerai pagi hari dan bertahan sehingga semua gerai tutup jam 9 malam. Jika saya tiada di tempat seperti dalam gambar di atas, carilah sekitar gerai Karnadya di dalam Dewan Tun Hussein iaitu ruangan pameran di dewan bawah. Ingat, promosi tawaran potongan harga sekitar 20peratus dan lebih untuk semua buku juga DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" cuma akan bertahan sekitar pesta buku ini. Selamat malam! :]

Cerita An-Nur - Ke Segamat bersama jodoh baru? Dan lisan agama dan keturunan yang keluar daripadanya...

Peehhh... nak cari gambo keretapi yang dapat puaskan hati aku kat dalam Google pun cukup susah. Last-last aku pakai aje gambo ni yek...


OK. Biarlah disambung cerita selepas artikel Cerita An-Nur - cerita sebenar Nur dan kaitan dengan banyak perkara... . Beberapa hari setelah kedatangan tidak disangka Nur ke Janda Baik, barulah si An-Nur menelefon saya. Rupa-rupanya pada hari yang sepatutnya dia datang (tetapi Nur pula yang muncul) dia mengalami kerosakan kereta. Kami pun menetapkan tarikh baru untuk berjumpa. Katanya dia tetap mahu mengambil saya untuk dibawa ke Segamat berjumpa ibu bapanya.

Hari yang dijanjikan pun tiba. Saya yang terus menunggu di Janda Baik mendapat panggilan baru telefon. Rupa-rupanya kereta An-Nur rosak lagi. Tak apa... tukar rancangan. Saya terpaksa keluar sendiri dari Janda Baik dan bertemu An-Nur di stesyen KL Sentral. Kami perlu ke Segamat dengan menaiki keretapi.

Dipendekkan cerita saya pun sampai ke sana. Tunggu punya tunggu tak nampak batang hidung An-Nur. Ah... takkan buat hal lagi kot? Nasib baik tidak lama kemudian dia menelefon memberitahu dia ada di tempat berdekatan dalam stesyen. Saya pun pergi ke situ, ada kejutan menunggu...

An-Nur kelihatan begitu berlainan. Dia memakai tudung litup elok. Cantik! Lebih terserlah rupa-paras keturunan Arabnya dengan hidup mancung bulu mata lentik, mata coklat besar dan kulit putih kemerah-merahan. Dalam saya terkial-kial memikirkan kenapa si An-Nur yang pertama kali saya jumpa dahulu tidak memakai tudung tetapi kali ini boleh begitu elok menutup aurat malah kelihatan lebih ayu dan manis, dia pula kelihatan tersipu-sipu sambil mencuri-curi pandang. Saya semakin pelik.

"Kenapa An-Nur nampak malu-malu ni?" saya bertanya.

Gadis berusia 24 tahun (masa tu le, tahun 2005) tersipu-sipu lagi.

"An-Nur tak sanggup pandang terus ke mata Abang!" katanya.

Saya rasa sudah dapat membaca apa yang bermain di hatinya. Dari penampilan ranggi dan berani tidak menutup aurat kini boleh jadi begitu ayu tersipu-sipu bertudung litup... mahu membawa saya bertemu ibu dan ayahnya di Segamat. Tetapi saya membiarkan dahulu.

Kami pergi membeli tiket. Ingatkan An-Nur nak belanja le sebab dia yang beriya-iya nak bawa saya ke Segamat. Rupa-rupanya dia pun tak ada duit. Saya lagi le, dah berapa tahun tak berkerja kecuali mendapat wang 'ihsan' sekali sekala sebagai pembiayaan hidup sementara menumpang di rumah Pak Habib dan dalam tempoh itu menolong memberi buah fikiran, membuat suntingan dan menulis sedikit isi buku-bukunya. Ketika itu saya memang tengah 'kering'. Nasib baik Nur ada memberi sedikit duit ketika dia datang seminggu (ke baru beberapa hari je ? saya pun lupa) sebelum itu.

Masuk keretapi, kami duduk bersebelahan. Tidak lama kemudian keretapi pun berjalan. An-Nur masih tersipu-sipu malu mencuri-curi pandang seolah-olah mengharapkan sesuatu. Tak boleh jadi ni, lebih elok kita berterus-terang. Dan saya sebagai lelaki yang rasanya sudah dapat membaca situasi eloklah saya memulakan...

"An-Nur nak dengan Abang ya?" saya bertanya direct sambil tersenyum dengan mata merenung tepat ke matanya. Gadis itu terus tertunduk malu.

Saya diam sebentar. Kemudian baru bertanya lagi "An-Nur mahu jadi isteri Abang?". Dalam malu-malu itu dia mula tersenyum. Lama juga tertunduk dalam keadaan itu sebelum mengangguk-angguk lembut.

Saya pun tersenyum. "Kalau begitu Abang terima. Abang pun mahu An-Nur jadi isteri Abang!"

Terus dia mengucapkan terima-kasih dan mengucup tangan kanan saya. Terasa syahdu sebentar walaupun dalam hati sebenarnya saya masih tergamam dengan segala yang telah berlaku dalam tempoh beberapa hari itu.

Hakikatnya saya masih lemah-longlai setelah mendapat tahu apa yang berlaku kepada Nur. Tetapi saya redha dengan Qada dan Qadar lalu menurutkan sahaja keadaan dengan mengekori An-Nur ke Segamat untuk melihat apa yang Allah sediakan seterusnya. Apakah setelah kehilangan Nur, An-Nur pula menjadi pengganti? Yang pasti saya tidak merancang apa-apa.

Kalau betullah An-Nur bakal menjadi isteri, siapa saya untuk mempersoalkan takdir? Bukankah apa yang saya mahu sebenarnya adalah home sweet home, rumahku syurgaku yang diharap boleh menjelma apabila berkahwin dengan seseorang yang betul-betul sesuai zahir dan batin? Kalau dahulu, setelah dapat menyusuri salasilah keluarga sebelah bapa membawa dari Perak sambung ke Aceh seterusnya ke Baghdad lalu ke Mekah, saya yakin saya harus mencari seorang isteri yang berdarah Sayyid Syarifah. Kini jodoh dengan Nur sudah tertutup, mungkin dengan An-Nur boleh menjadi. Bukankah dia juga seorang Syarifah malah berasal daripada keluarga yang sama dengan Nur?

Saya mengira-ngira keadaan sebentar. Nur (ketika itu) berusia 33 tahun, An-Nur 24. Nur pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak sebelum berkahwin lagi, An-Nur seorang anak dara. Kalau dibandingkan paras-rupa, An-Nur lebih cerah dan ciri-ciri Arabnya lebih terserlah. Cuma tingginya sahaja kurang sedikit daripada Nur. Kalau ikutkan, An-Nur memang jauh lebih 'segar' tetapi kasih-sayang saya terhadap Nur yang telah berputik sejak tahun 1995, 10 tahun sebelum itu bukan senang mahu diketepikan... tidak mampu saya menolaknya begitu sahaja jika tidak kerana keyakinan bahawa Allah lebih tahu apa yang terbaik buat kita.

Ya... sudah bertahun-tahun saya berpegang dengan kata-kata ini: Ada masanya kamu fikir sesuatu itu baik untuk kamu sedangkan hakikatnya tidak. Ada masanya kamu fikir sesuatu itu buruk untuk kamu sedangkan hakikatnya sebaliknya. Tidak bergerak walau satu zarah pun tanpa perintah dari Allah. Allah itu Maha Perancang, dan Maha Bijaksana, lebih tahu apa yang baik atau buruk untuk kita. Cuma kita sahaja mungkin tidak menyedari dan memahami...

Kehilangan Nur yang 'dicekup' politikus muda memang sesuatu yang terasa buruk buat saya. Tetapi seketika itu juga Allah membawa masuk seorang wanita lain dengan rupa-paras lebih cantik, lebih muda dan 'segar', wanita yang sudi malah memang mahu menjadi isteri saya walaupun kami sebelum itu baru sekali sahaja berjumpa. Tidak perlu bersusah-payah mengatur langkah memujuk rayu dan sebagainya.

Ah! Usah pedulikan lagi segala macam aliran pemikiran yang bersimpang-siur. Terimalah apa yang ada di hadapan mata... si An-Nur ini sebagai isteri. Itupun kalau tiada bantahan daripada ibu bapanya di Segamat. Dengan itu saya menggenggam tangannya lalu bersandar tenang. An-Nur menyambut dengan senyuman riang lalu kami mengekori sahaja rentak keretapi merentas malam (baru nak bagitahu, ketika itu malam) ke selatan.

Dalam pada itu saya dapat melihat sesuatu benda lagi yang pelik tentang An-Nur. Tidak lama kemudian, dia mula berceloteh... entah bila pula, tiba-tiba dia sudah pandai bercakap pasal agama, membacakan ayat-ayat Al-Quran dengan lancar malah mula bercerita tentang peranan Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW berdakwah menyebarkan agama seraya mempertahankan kesyumulan Islam.

Hmm... nampaknya An-Nur lagi cepat 'dapat' daripada Nur malah saya sendiri. Jika dahulu saya sering bergaduh dengan Nur kerana perubahan diri mendadak saya yang melibatkan agama menyebabkannya susah hendak menerima kerana belum bersedia, kini Tuhan menghantar seorang pengganti yang sudah begitu petah menerima hal ini malah menyampaikannya pula kepada saya! Cuma apa yang saya risau, kelihatan ada semangat lain dalam diri An-Nur yang nampaknya berasal dari luar. Kalau tidak kerana dia bercerita tentang agama dan peranan Ahlul Bait, mungkin sahaja seseorang boleh menganggapnya sudah kesurupan atau dirasuk makhluk halus. Daripada pemerhatian saya rasanya memang ada. Mungkin daripada saka keluarga yang boleh dikira baik kerana sekurang-kurangnya bersemangat dalam hal-hal agama.

Kalau ikutkan, saya tidak mahu menerima apa-apa pun bentuk saka walaupun dikatakan baik. Tetapi saya anggap ini ada hikmahnya... daripada mulut An-Nur terkeluar ayat-ayat dan perkataan yang pada saya cuma dapat dituturkan oleh seorang wanita tua keturunan Nabi yang begitu perihatin berjuang tentang agama. Hmm... tak kiralah jika kata-kata yang keluar bukan lisan sebenar An-Nur, mungkin makhluk lain. Saya terus memasang telinga dengan iktikad bahawa lisan yang keluar itu hakikatnya tetap disampaikan dengan izin Allah. Maka saya harus meneliti apa yang boleh dipakai dan diaplikasikan untuk masa hadapan.

Dari satu segi, kata-kata yang keluar dari An-Nur berjaya mengembalikan banyak semangat yang hilang setelah berlaku kes si Nur. Kata An-Nur: "Abang tak boleh hilang semangat. Abang kena kuatkan diri dan cuba tolong betulkan keluarga Sayyid".

Katanya lagi, saya boleh memulakan ini dengan memperbetulkan Pak Habib. Saya tersenyum panjang kerana faham keadaan sebenar di belakang tabir. Dari Pak Habib katanya, saya boleh mempengaruhi Syed Ali yang ketika itu menjadi presiden Dewan Perniagaan Melayu Johor. Dari Syed Ali sudah ada jaringan yang besar menjangkau seluruh keluarga Sayyid di Johor malah seluruh Malaysia dan Alam Melayu. Lihat artikel sebelum ini Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh" di mana saya akhirnya bertemu juga dengan Syed Ali yang dimaksudkan tanpa dirancang. Kemudian saya tidak ingat lagi apa yang si An-Nur cakap. Tetapi semakin dia berkata-kata tentang hal ini, semakin kelihatan gayanya menjadi seperti seorang perempuan tua yang suka bercakap sambil menutup mata.

Sampai ke Tampin atau sekitarnya kalau tak salah ingatan, saya mendapat panggilan telefon dari seorang rakan lama di Janda Baik. Katanya dia dan beberapa orang kawan sedang menuju ke Kuala Lumpur untuk ke rumah Pak Ali, seorang tua (lebih 80 tahun) yang menjadi guru agama juga guru silat dan guru ilmu hakikat pada ramai orang, kata sesetengah orang sejak zaman berzaman (siapa yang faham, faham le). Diakui, Pak Ali juga boleh dikira sebagai salah seorang guru saya. Rupa-rupanya beliau baru sahaja meninggal dunia. Apa boleh buat, saya tidak dapat turut bersama melihat jenazahnya. Saya harus ke Segamat kerana menurut keadaan dan jalur baru nasib hidup saya.

Dengan ini saya rasa elok diberhentikan dahulu cerita ini. Insyaallah apabila sampai gerak untuk menyambung, akan disampaikan apa yang berlaku di Segamat, salah satunya penerimaan keluarga yang sudah bersedia menganggap saya sebagai bakal menantu mereka! Sekian... :]

Isnin, April 20, 2009

Pesta buku dan siri "Berpetualang ke Aceh"

Dalam artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC saya ada menyebut tentang pelancaran buku "Rumah Azan" bersama 200 buku terbitan 22 syarikat penerbit yang mendapat dana dari Dewan Bahasa dan Pustaka. Anggaplah ini sambungan cerita... mari! :]




OK. Sepatutnya saya hadir majlis Dewan Bahasa itu kerana "Rumah Azan" adalah hasil penulisan merangkap buku terbaru saya. Sebaliknya akibat hal-hal lain saya sampai lewat, setelah acara pelancaran itu tamat. Yang tinggal cuma "sisa-sisa" majlis pelancaran yang sedang "dibersihkan" untuk acara lain.


Nasib baik saya masih sempat untuk menghadiri satu lagi majlis di mana saya juga dijemput iaitu majlis pelancaran siri buku "Chick-Lit" berbahasa Melayu di bawah usahasama syarikat Karnadya dengan penerbit luar negara, Harlequin. Untuk pengetahuan Harlequin adalah pengeluar siri-siri buku di bawah jenama Mills and Boon yang cukup terkenal serata dunia. Walaupun buku yang dipaparkan adalah jenis buku-buku cinta romantik yang bukan citarasa saya, sekurang-kurangnya majlis itu memberi peluang untuk saya berkenalan dengan presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia iaitu Syed Ali yang dijemput sebagai tetamu utama.

Oh, isteri saya turut ikut hadir. Sejurus selepas majlis, saya membawa isteri ke gerai Karnadya di dewan bersebelahan untuk sama-sama menelaah dengan lebih teliti isi buku "Rumah Azan". Kami meminjam meja di gerai berhadapan yang kurang sibuk lalu mula melihat lebih dekat segala isi yang tertera... maklumlah, sedikit-sebanyak ia telah disunting pihak lain selepas saya menyelesaikan bahagian kerja penulisan. Jadi nak tengok le sesuai ke suntingan yang dibuat. Kalau ada salah-silap pun bukan dapat diperbetulkan lagi kecuali untuk cetakan seterusnya tapi kami tetap nak melihatnya juga. Biasa le tu...

Apapun kami diberitahu, walaupun buku "Rumah Azan" baru dilancarkan selepas jam 2 petang, beberapa buah buku sudah berjaya dijual, mungkin kerana pembaca mahu mengambil kesempatan untuk membeli pada harga tawaran RM75 berbanding harga pasaran RM108 yang dicadangkan. Selepas membelek-belek buku hampir ke penghujung, tiba-tiba terlihat Syed Ali berserta beberapa orang penting yang terlibat dalam pelancaran buku "Chick-Lit" Karnadya sedang berlegar-legar di gerai syarikat itu.

Terus saya ternampak Syed Ali sedang memegang dengan minat buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Teringat pesan An-Nur lebih 3 tahun lalu bahawa saya harus berhubung dengan Syed Ali yang ketika itu presiden Dewan Perniagaan Melayu Johor untuk mengingatkan mereka yang ada kena-mengena tentang amanah Ahlul Bait. Insyaallah perkara ini akan saya sebut sedikit dalam cerita tentang An-Nur yang akan datang.

Cerita An-Nur setakat ini baru sampai ke penjelasan tentang status sebenar Nur (saudara dua pupu An-Nur) seperti tertera dalam artikel Cerita An-Nur - cerita sebenar Nur dan kaitan dengan banyak perkara... . Selepas itu baru boleh diceritakan perjalanan naik keretapi ke Segamat untuk berjumpa ibu-bapa An-Nur di mana gadis itu menyebut tentang amanah Ahlul Bait dalam keadaan dia seperti kesurupan.

Lupa nak bagitahu. Sebelum pergi ke majlis pelancaran buku "Chick-Lit" saya telah terlebih dahulu singgah di gerai itu untuk tumpang meletakkan sejumlah buku siri "Berpetualang ke Aceh", buat sementara sahaja. Fikir saya, sebaik sahaja majlis tamat, saya dan isteri akan mencari lokasi yang sesuai untuk menjual buku-buku itu secara direct.

Sebaliknya seorang kakitangan utama Karnadya mencadangkan agar saya meninggalkan sahaja sejumlah buku di gerai itu untuk mereka tolong menjualnya. Elok juga itu. Tak sangka pula tidak lama kemudian muncul Syed Ali yang kelihatan begitu berminat membelek-beleknya.

Melihat itu, saya rasa elok juga kalau dihadiahkan satu set kepadanya. Saya terus menuju ke gerai Karnadya dan ketika itu juga kakitangan Karnadya memperkenalkan saya sebagai penulis buku. Saya pula secara spontan menyuakan buku "Rumah Azan" kepada Syed Ali lalu menyebut: "Buku-buku tu ('Berpetualang ke Aceh') saya tulis dan terbit sendiri. Yang ini ('Rumah Azan') saya tulis dengan penerbitan Karnadya".

Syed Ali terus menyatakan dia mahu senaskah buku "Rumah Azan". Baru le pembantunya menyebut mereka sudah memiliki senaskah kerana itulah buku yang dihadiahkan sebagai cenderamata kepadanya selepas tamat majlis pelancaran tadi.

Saya pun menghadiahkan satu set buku "Berpetualang ke Aceh". Kata saya, ia mengenai Ahlul Bait. Terus Syed Ali tersenyum dan bertanya: "Ada cerita pasal Al-Shahab tak?" Mungkin kerana pengerusi syarikat Karnadya, Dr Syed Mansur, suami kepada Kak Aina Emir adalah dari keluarga Sayyid Al - Shahab. Sedangkan kalau tak salah saya Syed Ali dari keluarga Al- Attas Johor.

Jawab saya tidak. "Dah banyak sangat buku bercerita pasal keluarga Ba' Alawi sedangkan apa yang diceritakan dalam buku ini adalah tentang Ahlul Bait yang datang lebih awal. Misalnya anak cucu keturunan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang tidak diketahui ramai!"

Syed Ali tersenyum lagi: "Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani..." tambahnya.

Dia bertanya pula: "Sheikh Abdul Qadir tu Al-Hassani ke Al-Husseini?"

Jawab saya "bapa dia Al-Hassani, mak dia Al-Husseini" .

Kemudian saya berlalu pergi. Tak sempat sebenarnya menelaah buku "Rumah Azan" sehingga tamat kerana naskah yang disuakan kepada Syed Ali tadi telah diberi pembantunya kepada orang Karnadya dan terus diletakkan pada tempat pameran. Nak buat macamana... saya pun belum dapat naskah peribadi saya. Apa yang sempat disiapkan oleh pihak pencetak terlalu sedikit untuk dibahagi-bahagi, cukuplah untuk membuat sedikit jualan awal sebagai pengenalan akibat buku itu sebenarnya baru sangat masuk dalam kilang. Itupun harus terkejar-kejar untuk disiapkan sempena pesta buku...





Saya pun mengambil baki buku "Berpetualang ke Aceh" yang ditumpangkan di gerai. Sebenarnya sebelum majlis pelancaran buku "Chick-Lit" saya telah mengenal-pasti tempat yang sesuai untuk menjual siri buku tulisan saya itu. Seketika itu juga orang-orang Karnadya termasuk Kak Aina Emir menegur: "Mahu pergi mana tu? Gunakanlah meja yang ada di sini!"

Meja yang dimaksudkan adalah meja istimewa Kak Aina untuk bertemu dengan peminat novel-novelnya. Meja itulah tempatnya menurunkan tanda-tangan selain bergambar dengan peminat.
Saya segan dan tidak mahu mengacau. Saya rasa lebih elok mengambil ruangan sendiri.

Di atas adalah gambar gerai ad-hoc yang kami dirikan kemudian. Cantik kan? Rasanya jauh lebih elok daripada gerai ad-hoc yang kami dirikan semasa perhimpunan terbaru Umno kurang sebulan lalu. Sila lihat artikel Promosi siri "Berpetualang ke Aceh" di PWTC sempena perhimpunan UMNO 2009 .


Kebetulan gerai ini didirikan di hadapan salah satu dewan utama PWTC dan malam nanti dewan itu akan menyaksikan satu majlis besar yang dihadiri Sultan Kedah. Selepas Maghrib kelihatan ruangan berdekatan mula sibuk dengan mereka-mereka yang bersedia menyambut sultan.

Saya dan isteri pula sekadar meneruskan acara perniagaan dan promosi buku kami secara ad-hoc. Alhamdulillah terjual juga sejumlah buku serta DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" sebelum sultan muncul dan kami kemudian pun menutup gerai. Lagipun gerai-gerai buku lain semuanya sudah ditutup sekitar jam 8 malam sedangkan kami terus bertahan sehingga selepas jam 8.30 malam.

Di sini ingin dibuat pengumuman. Biar dimulakan dahulu dengan apa yang sudah ditulis di dalam artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC hari Sabtu...

Untuk sesiapa yang berminat untuk mendapatkan siri buku "Berpetualang ke Aceh", insyaallah saya akan hadir membawa sejumlah naskah dan mula menjualnya secara ad hoc selepas majlis di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai dan tidak terlalu sesak. Selain itu, anda boleh mendapatkannya di gerai Crescent News dan Fajar Pakeer.

OK. Saya tak pasti apakah tawaran harga buku yang dibuat di gerai Crescent News dan Fajar Pakeer. Tetapi saya pasti seperti di kebanyakan gerai di pesta buku, ia menawarkan sekurang-kurangnya 10 peratus potongan harga kalau tidak pun 20 peratus ke atas.

Maka di sini saya ingin memberitahu. Sempena pesta buku ini, saya telah memutuskan untuk memberi diskaun sekitar 20 peratus terus berkuat-kuasa siang tadi untuk menjadikan harga-harga berikut:-

Buku satu "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Harga asal RM24.90, harga pesta buku RM20.

Buku dua "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal". Harga asal RM24.90, harga pesta buku RM20.

Buku ketiga "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?". Harga asal RM27.90, harga pesta buku RM22.

DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874". Harga asal RM15, harga pesta RM12 .

Untuk satu set buku seharusnya ia menjadi RM62 (RM20 + RM20 + RM22) tetapi tawaran ditambah untuk menjadi RM60.

Untuk satu set buku bersama DVD pula seharusnya menjadi RM74 (RM62 + RM12) tetapi tawaran tambahan menjadikannya cuma RM70, satu diskaun yang amat besar berbanding harga asal RM92.70 (RM24.90 + RM24.90 +RM27.90 + RM15)

Dimaklumkan juga esok Selasa saya tidak akan berniaga kerana mahu menumpukan masa untuk menyiapkan satu kerja. Insyaallah hari Rabu selepas Zuhur baru saya muncul begitu juga hari-hari seterusnya pada pesta buku yang akan berlangsung hingga Ahad nanti.

Dimaklumkannya juga, disebabkan saya mendirikan gerai secara ad-hoc, saya mungkin berubah-ubah lokasi mengikut rasa dan keadaan. Harap maklum. Tetapi jika anda mahukan sesuatu yang pasti, silalah ke gerai Karnadya di dewan bawah pesta buku iaitu Dewan Hussein Onn. Anda boleh membeli siri buku "Berpetualang ke Aceh" dengan harga tawaran di atas di tadi, cuma DVD sahaja yang tiada pada mereka. Tetapi anda boleh mendapatkan buku "Rumah Azan" di sana dan ini tiada pada saya. Sekian! :]




Sabtu, April 18, 2009

Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC

Assalamualaikum semua. Pesta Buku Antarabangsa 2009 telah pun bermula di PWTC hari Jumaat semalam tetapi baru tadi saya ada menjenguknya. Di sini ada satu cerita... mari!




Malah semalam saya telah masuk ke blogspot seorang rakan lama iaitu Shamsul Yunos. Tengok-tengok dia telah mewar-warkan dua buah buku mewah terbitan syarikat Karnadya yang ada memaparkan gambar-gambar yang diambilnya dan salah satu buku ditulis oleh saya. Di atas adalah gambar kulit hadapan buku yang dimaksudkan, "Rumah Azan" seperti terpapar di website http://www.karnadya.com.my/. Untuk pengetahuan ini adalah buku ke-empat hasil tulisan saya dan buku terbaru, setelah menulis dan menerbitkan sendiri tiga buah buku di bawah siri novel "Berpetualang ke Aceh".

Adapun "Rumah Azan" adalah sebuah buku mewah atau coffee-table book terbitan Karnadya dengan pertolongan dana dari Dewan Bahasa Pustaka. Selama ini boleh kata rata-rata buku-buku terbitan mereka adalah novel-novel bertemakan cinta yang lebih memenuhi kehendak citarasa golongan remaja dan gadis awal 20an. Tetapi penghasilan buku-buku mewah adalah satu usaha untuk membawa penerbitan mereka ke tahap yang lebih tinggi dan bermakna. Saya cukup berbangga kerana diberi penghormatan menulis dan menentukan isi buku ini. Pada saya ini adalah satu peluang untuk mengenengahkan banyak perkara berkenaan kedaulatan bangsa Melayu dan kesyumulan Islam, melalui pilihan masjid-masjid tertentu yang memiliki cerita sebaliknya yang berkaitan.

Asalnya saya bercadang untuk membuat posting ini semalam. Tetapi sebaik sahaja selesai menulis beberapa perenggan baru saya terfikir, bagaimana mahu membuat cerita yang elok dan menyeluruh jika saya tak tahu pun bagaimana rupa sebenar buku ini. Bukankah ia akan dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa 2009 yang sudah pun bermula semalam? Maka lebih elok pergi ke pesta buku untuk melihat dahulu hasilnya...


Selepas makan tengahari bersama isteri, saya pun mengambil motosikal besar yang ditinggalkan di pejabatnya lalu menuju ke PWTC. Sampai sahaja ke ruang legar, terlihat sebahagian gerai buku di dalam dewan bawah, Dewan Tun Hussein Onn kalau tak salah ingatan. Selalunya saya lebih suka pergi terus ke bahagian utama pesta yang biasa diadakan di aras atas iaitu Dewan Tun Razak (sekali lagi, itulah namanya kalau tak salah ingatan) tetapi entah kenapa saya melangkah dahulu masuk ke dalam dewan yang di bawah...


Tengok-tengok terus terjumpa gerai Karnadya atau Karnadya Solution (ke Solutions? Sama aje la kot...). Terus ternampak anak-anak dan anak buah penulis dan pemilik Karnadya, Aina Emir yang saya panggil Kak Aina... dia yang suruh sedangkan anak-anaknya sudah besar-besar belaka melepasi umur 20an. Sedangkan Shamsul Yunos yang sama umur dengan saya iaitu 39 tahun pun memanggilnya Auntie Aina disebabkan dia mengenali anak-anaknya sebelum mengenali ibunya.

Kebetulan saya sampai setelah sejumlah buku "Rumah Azan" baru sahaja dihantar dari kilang percetakan. Nasib baik juga saya datang selepas makan tengahari Sabtu. Kalau semalam saya datang buku pun belum siap kerana masih dalam proses percetakan. Kira buang karen aje le walaupun saya boleh berjalan-jalan melihat pelbagai buku lain yang terdapat di pesta.

Saudara Faiz, anak sulung Kak Aina yang juga merupakan general manager Karnadya kalau tak salah ingatan terus memberi senaskah buku sebelum membawa saya menuju Kak Aina... bagi pinjam aje le sebab belum ada cukup buku untuk diberikan kepada orang. Disebabkan meja Kak Aina penuh dengan peminat novel-novelnya, saya pun pergi ke meja lain berdekatan untuk melihat isi buku.

Inilah buku "Rumah Azan". Saiznya besar, sebesar kertas A3 iaitu dua kali saiz A4.


Ini adalah mukasurat awal yang memaparkan mukadimah. Pada saya boleh tahan aturan gambar dan teks.


Setakat beberapa mukasurat awal, saya sekadar rasa boleh tahan, setakat itu sahaja le. Untuk pengetahuan, walaupun saya menulis teks dan mengatur jalan cerita serta pilihan masjid yang mahu diketengahkan, saya tidak tahu bagaimana rupa sebenar buku yang akan muncul kerana ini bergantung pada pereka lay-out dan sebagainya. Saya cuma pernah melihat salinan awal rupabentuk buku yang ketika itu lebih kecil saiznya tetapi lebih tebal lalu memberi sedikit feedback akan apa yang perlu diperbetulkan sebelum melepaskan segala-galanya kepada pihak Karnadya.

Saya menyerah kepada Allah untuk menentukan rupabentuk akhir buku ini. Untuk makluman, saya telah mengenengahkan lalu pergi ke 41 buah masjid seluruh Semenanjung sedangkan pihak penerbit mencadangkan cukup 20 sahaja untuk memenuhi budget yang boleh dikira rendah untuk sebuah buku mewah. Memang saya boleh mengambil jalan senang dengan memilih 20 buah masjid. Maka saya dan Shamsul yang bertindak sebagai jurugambar tidak perlu pergi terlalu jauh dan singgah banyak tempat, jimatlah belanja kami sedangkan apa yang telah diperuntukkan sebagai belanja makan-minum, perjalanan dan tempat tidur tetap milik kami tak kiralah berapa masjid yang kami pergi.

Tetapi gerak hati saya tetap menyuruh pergi ke semua masjid yang telah saya kenal-pasti sedangkan nanti akan ada limit atau sekatan jumlah cerita dan gambar-gambar masjid yang boleh dimuatkan ke dalam buku. Alhamdulillah, jalan tengah dapat diambil dengan tidak kurang 30 masjid terpilih kini terserlah di dalam "Rumah Azan".


Walaupun "Rumah Azan" memaparkan masjid-masjid dan cerita sekitarnya, saya turut memilih untuk mengenengahkan beberapa makam lama kerana ada kaitan cerita. Antaranya ialah makam-makam di Pulau Besar, Melaka yang diletakkan di bawa tajuk "Pulau Besar dan tarikan mistiknya". Seperti disebut awal tadi, saya cuma rasa OK sahaja apabila melihat beberapa mukasurat awal. Tetapi sebaik sahaja sampai pada mukasurat di atas yang memaparkan gambar makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, terus timbul rasa aliran eletrik yang mengalir naik ke kepala menyebabkan saya terasa yakin buku ini sudah cukup bagus dan akan pergi jauh.

Yang membuat saya terasa begitu adalah kombinasi gambar kompleks makam di kiri dengan teks yang ada menyebut nama Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai (kini dalam Aceh). Saya tahu rahsia kaitan sebenar Sheikh Ismail dengan Malikus Salih. Tapi mana saya tahu teks satu perenggan yang cuba membayangkan rahsia itu secara tersirat akan diletakkan betul-betul di bawah gambar kompleks makam sedangkan ada lagi gambar-gambar lain berkenaan Pulau Besar yang turut terpapar sama!


Lebih seminit rasa eletrik yang timbul terus memenuhi ruangan terdekat sekitar tubuh. Saya tersenyum lebar sambil berzikir serta memanjatkan syukur kepada Allah atas aturan Qada Qadarnya yang menentukan terhasilnya sebuah buku yang insyaallah akan dapat membuka matahati ramai orang tanpa mereka sedari.

Di atas adalah gambar Masjid Kampung Laut di Kelantan. Dipercayai masjid ini adalah yang tertua di Malaysia yang masih wujud hingga kini sedangkan rekabentuknya yang serupa Masjid Demak di Jawa menyebabkan ramai mengaitkannya dengan para Wali Songo.


Beberapa mukasurat kemudian kita sampai ke masjid ini, masjid tinggal di Teluk Memali. Untuk pengetahuan, masjid yang menjadi penghias kulit hadapan buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" ini menyimpan rahsia tersendiri yang boleh membuka cerita berkenaan nasib orang Melayu selepas kemasukan penjajah Inggeris hingga kini dan bagaimana keadaan boleh terjadi sehingga ekonomi negara Malaysia dikuasai bangsa lain.


Nyaris-nyaris masjid lama Perak yang terletak tidak jauh dari kubur J.W.W. Birch ini terkeluar daripada buku akibat Shamsul tidak menghantar gambar-gambar berkenaan kepada pihak penerbit. Saya tak tahu apa masalahnya sedangkan saya sudah bersusah-payah membawanya menaiki kereta masuk ke kawasan terbiar dan sampai di sana waktu Maghrib.

Bayangkan berkejar mengambil gambar beberapa buah masjid dari Pulau Pinang masuk ke Taiping dan Kuala Kangsar sebelum sampai ke situ. Sedangkan hari sebelumnya saya telah memandu kereta terus menerus dari Kuala Lumpur hingga ke Perlis sebelum memulakan perjalanan menurun hingga ke Pulau Pinang untuk menyertakan masjid-masjid di Kangar, Alor Setar dan Sungai Petani. Nasib baik ada isteri menemani...

Bayangkan perasaan anda setelah berbuat semua ini, penerbit menyatakan tidak dapat memasukkan cerita akibat tiada gambar. Nasib baik saya teringat perjalanan tahun lepas yang dibuat untuk menyusuri sejarah berkaitan Perjanjian Pangkor 1874 sambil membuat video. Lihat artikel Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua! Teringat seorang pembaca blogspot ini RadenCilik yang ada turut serta dalam perjalanan itu dan turut mengambil gambar. Gambar-gambar masjid ini yang diambilnyalah yang digunakan dalam buku "Rumah Azan" walaupun tidak dinyatakan pada buku ini.

Untuk RadenCilik, bersyukurlah gambar-gambar ini diterima untuk sebuah penerbitan yang boleh tahan besar. Walaupun namamu tidak disebut dalam buku, cukuplah dinyatakan di sini ya. Insyaallah dari situ kamu akan dapat peluang untuk membuat kerja-kerja mengambil gambar untuk buku-buku lain nanti. Percayalah! :]


OK. Pihak Karnadya ada memberitahu buku "Rumah Azan" akan dilancarkan pada hari Isnin 20 April jam 2 petang bersama beberapa buku lain di bawah program Dewan Bahasa dan Pustaka. Dan mereka meminta saya hadir sama. Tempatnya adalah di pentas ruang legar yang kelihatan di atas. Tak susah nak cari kerana semua orang di pesta buku perlu lalu di sekitarnya...

Tertera di kira-kanan pentas adalah program acara sepanjang berlangsungnya pesta buku ini 17-26 April. Tertera juga program yang melibatkan "Rumah Azan" iaitu Pelancaran Buku Dana Penggerak Industri Buku Negara oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.


Kemudian saya berjalan-jalan di bahagian lain pesta. Di gerai Dewan Bahasa baru saya dapat tahu bahawa majlis pelancaran itu melibatkan 200 judul buku baru oleh 22 syarikat penerbit yang mendapat pertolongan dana Dewan. Kalau begitu buku "Rumah Azan"cuma satu buku kecil di dalam senarai ini. Tetapi apabila melihat senarai di dalam buku atas, baru saya tahu buku-buku mewah diletakkan pada tangga tertinggi dalam senarai keutamaan buku sedangkan cuma Karnadya dan mungkin 1-2 penerbit lagi yang ada menerbitkan buku seumpama itu.

Di sini biar dibuat pengumuman. Kalau tak silap ingatan le, saya diberitahu bahawa buku "Rumah Azan" akan dijual pada harga RM108 senaskah. Tetapi anda boleh membelinya di gerai Karnadya pada harga potongan RM75 sempena pesta buku.

Saya juga ingin mengajak para pembaca sekalian untuk turut memeriahkan acara pelancaran Isnin ini. Untuk sesiapa yang berminat untuk mendapatkan siri buku "Berpetualang ke Aceh", insyaallah saya akan hadir membawa sejumlah naskah dan mula menjualnya secara ad hoc selepas majlis di mana-mana tempat yang dirasakan sesuai dan tidak terlalu sesak. Selain itu, anda boleh mendapatkannya di gerai Crescent News dan Fajar Pakeer.

Oh... siang tadi saya ada membuat sebuah artikel baru bertajuk Asal-usul rumah Kutai di Perak (The origin of the rumah Kutai in Perak) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Jenguklah kerana ada cerita tertentu tentang kaitan orang Aceh dan Bugis. Terfikir pula mungkin darah AB+ saya itu bermakna Aceh campur Bugis, hehe! Mungkin... mana pulak nak letak bahagian darah Jawa dan Melayu Perak berkaitan Melaka yang turut mengalir dalam tubuh...

Hmm... Sebelum pergi, terasa nak letak link-link untuk artikel-artikel lama yang mengandungi cerita semasa membuat kerja pergi dari masjid ke masjid. Sebagai ingatan, apa-apa teks dalam artikel tidak sama dengan teks dalam buku "Rumah Azan" walaupun tema ceritanya sama. Ini dia... selamat malam.

Projek buku masjid - perjalanan selatan 1

Projek buku masjid - perjalanan selatan 2

Projek buku masjid - perjalanan selatan 3

Menulis balik cerita masjid di waktu malam?

Cerita projek buku masjid - Membuka perjalanan di Negeri Sembilan

Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka

Cerita projek buku masjid - Pulau Besar membawa ke Muar dan makam Sultan Alauddin

Perjalanan terbaru ke Pantai Timur - Cerita projek masjid

Projek buku masjid - Terengganu dalam kurang 24 jam

Projek buku masjid - Satu pandangan segar terhadap Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu

Projek buku masjid - Melihat lagi masjid dan makam Tok Kenali seterusnya "sekolah pondok"

Projek buku masjid - Lagi, Danau Tok Uban dan Masjid Brunei Darussalam

Projek buku masjid - Dari Kota Bahru ke Kuala Lipis, kembali ke Kuala Lumpur

Nombor 434 dan perjalanan terbaru ke utara...

Projek buku masjid - perjalanan terbaru ke utara...

Projek buku masjid - akhirnya, cukup tujuh wali...


Projek buku masjid - dari Perlis berkejar hingga ke Pulau Pinang

Projek buku masjid - bertemu penunggu masjid lama tinggal!



Khamis, April 16, 2009

Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berserta Maulud Nabi di Masjid Negara dan percaturan politik terkini...

Sabtu lalu selepas Magrib, saya dan isteri pergi ke Masjid Negara...
Nasib baik 2 hari sebelum itu seorang pembaca buku "Berpetualang ke Aceh" telah menghantar SMS memberitahu bahawa di Masjid Negara hari itu akan diadakan majlis hol (memperingati ulangtahun kewafatan) Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani merangkap majlis sambutan Maulud Nabi. Kalau tidak mungkin saya tak tahu pun kerana dalam sebulan kebelakangan ini saya lebih banyak duduk rumah lalu tidak menyedari banyak perkara yang berlaku di luar sana. Untuk pengetahuan, ini adalah tahun ketiga saya menghadiri majlis serupa yang dianjurkan oleh orang-orang yang sama. Kali pertama tahun 2007 di Masjid Wilayah, kali kedua tahun lepas di Masjid Putrajaya.
Setelah beberapa waktu duduk di belakang menemani isteri di hadapan saf wanita, saya mula melangkah ke hadapan.
Niat saya adalah mahu pergi sedekat mungkin ke hadapan di mana berkumpulnya ramai ulamak-ulamak dari segenap dunia Islam, ada dari belah Afrika, Arab juga Indonesia dan Singapura, rata-rata para Sayyid, Syarif dan Habaib iaitu Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW. Maklumlah, ini juga sambutan Maulud Nabi sedangkan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani adalah seorang keturunan Nabi yang sangat terkenal dengan taraf keilmuannya juga taraf terhormat sebagai raja para wali.


Memang selalunya jika menghadiri sesuatu majlis yang ada sambutan Maulud Nabi, saya akan cuba pergi ke saf hadapan sebaik sahaja terdengar tanda-tanda bacaan ayat-ayat Maulud memuji dan mengingati Nabi akan dimulakan. Alhamdulillah, semasa di Masjid Wilayah dua tahun lepas, saya dapat duduk dalam lingkungan bulatan paling hadapan melaungkan Maulud bersama para Habaib, begitu juga tahun lepas di Masjid Putrajaya. Kali ini saya rasa tidak perlu sangat pergi ke saf paling hadapan. Dapat cukup dekat untuk berkongsi aura dan naungan mereka-mereka yang alim ini pun jadilah...


Oh, semasa bersama isteri di belakang saya ada memberitahu kemungkinan besar mesti ada sekurang-kurangnya seorang pemimpin kanan negara turut serta. Jika tahun lepas di Masjid Putrajaya ada kelihatan Perdana Menteri ketika itu Pak Lah, saya fikir untuk tahun ini elok juga jika Perdana Menteri baru Datuk Seri Najib turut serta.


Sebaliknya apabila saya sudah menghampiri saf hadapan, saya mendapat SMS daripada isteri yang menyebut: "Pak Lah ada". Terus saya pandang ke hadapan. La ala, Pak Lah memang ada dan sangat dekat di hadapan saya.


Dalam gambar ini kelihatan seorang anak cucu Sheikh Abdul Qadir Jilani sedang berdiri, cuma gambar kurang cantik kerana semasa diambil beliau betul-betul sedang berjalan di belakang sebuah microphone berwarna merah. Hasilnya kelihatan seperti ada tanda merah di kepalanya. Apapun, beliau adalah Sheikh Afifuddin, seorang ahli keluarga penjaga makam Sheikh Abdul Qadir di Baghdad yang kini menetap di Malaysia.


Saya difahamkan Sheikh Afifuddin adalah ketua atau khalifah satu cabang Tariqat Qadiriyah (peninggalan amalan Sheikh Abdul Qadir) yang paling utama di Malaysia malah di peringkat dunia! Majlis ini begitu juga majlis sama pada tahun-tahun lepas dianjurkan oleh orang-orangnya dengan setiap satu dihadiri tidak kurang 10,000 orang Islam daripada pelbagai aliran pengajian, juga ratusan mereka dari lingkungan keluarga para Habaib terutama dari Nusantara.

Oh, bacaan Maulud diketuai oleh Habib Hassan, imam Masjid Ba' Alawi di Singapura yang merupakan seorang Ahlul Bait yang amat dihormati. Semasa bacaan Maulud mula rancak dan orang pun berdiri, saya mengambil peluang untuk pergi lebih dekat ke hadapan.
Apabila sampai waktu untuk duduk kembali, baru saya tersedar saya telah duduk di belakang satu orang yang sangat tidak saya senangi. Keesokannya apabila melihat cerita di suratkhabar, baru saya tersedar saya sebenarnya telah duduk di belakang bukan seorang sahaja malah dua orang yang tidak disenangi!


Saya rasa untuk sambungan penceritaan ini biar tidak disebut apa-apa nama ya. Faham-faham sahajalah siapakah yang dimaksudkan. Orang ini tidak disenangi kerana peranan besarnya memberi muka dan peluang kepada kuasa asing di selatan Semenanjung campurtangan secara halus mahupun terang terhadap kedaulatan negara. Dengan percaturan politiknya berselindung di sebalik kedudukan bapa mertua, negara jadi huru-hara apabila pelbagai kaum bukan Melayu jadi semakin berani menagih itu dan ini sambil mempersoalkan hak kedaulatan bangsa Melayu. Biar saya panggil dia sebagai "mamat ini"...


Tiba-tiba teringat satu perbualan dengan seorang kawan lama yang juga pernah menjadi seorang wartawan akhbar perdana. Melihat kepada apa yang berlaku beberapa tahun kebelakangan serta keputusan pilihanraya ke 12 yang banyak menaikkan pihak pembangkang, dia mencapai satu rumusan. Samada mamat ini sangat bodoh sehingga segala yang dicadangkannya dalam polisi pemerintahan negara melalui kedudukan bapak mertuanya tidak menjadi, sehingga parti utama Melayu semakin hilang pengaruh dan apa-apa hal yang membela Melayu kelihatan jijik di matakaca orang lain atau dia sebenarnya sangat pandai sehingga dapat merancang kejatuhan parti itu, malah kedudukan orang Melayu itu sendiri secara halus. Jawab saya ya, dia memang pandai tetapi tidaklah begitu pandai. Dia sebenarnya mendapat sokongan dan nasihat pihak luar yang memang mahu orang Melayu jatuh, pihak yang kononnya mahukan 'keadilan dan kesaksamaan' antara kaum atas nama Malaysian Malaysia juga meritokrasi, pihak yang sebenarnya didalangi kuasa Yahudi Zionis.

OK. Asalnya saya cuma mahu berkongsi gambar-gambar sekitar majlis di Masjid Negara ini. Tetapi tadi, selepas menonton video cerita "Ocean's Eleven" lewat malam saya tidak dapat tidur malah asyik terfikir tentang percaturan politik negara mutakhir ini. Lalu saya pun menghidupkan komputer dan menulis cerita ini. Sebelum itu saya melepaskan sedikit rasa melalui artikel bertajuk Dream of a lil' Luke Skywalker... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Oh, berbalik sebentar ke Masjid Negara. Melihat mamat ini elok berkopiah berjubah putih duduk di saf paling hadapan, terasa lembut juga hati. Moga-moga dia betul-betul mendapat hidayah dan dengan itu boleh menjadi pemimpin muda yang baik. Tetapi apabila memikirkan kembali apa yang dia telah buat selama beberapa tahun bapa mertuanya menjadi pemimpin tertinggi negara, saya berfikir balik. Jangan tertipu dengan kopiah dan jubah, jangan juga tertipu dengan songkok dan baju Melayu serta laungan-laungan bersemangat yang kononnya mahu membela nasib agama, bangsa dan negara.


Saya ambil satu sahaja contoh. Orang Hindraf membuat kacau di majlis hari-raya anjuran perdana menteri. Kalau dahulu saya pasti mereka-mereka ini akan dipukul oleh orang-orang silat tak pun orang Pekida. Tetapi dalam majlis itu mereka jadi begitu berani kerana tiada yang menghalang atau mengapa-apakan malah mereka diberi lebih muka! Cuba orang Melayu buat perkara yang sama ketika perayaan Thaipusam atau Hari Raya Cina. Agaknya apa yang akan terjadi? Tetapi orang-orang Hindraf ini seolah mendapat jaminan dari pihak tertinggi. Pergilah tunjuk perasaan kamu itu membela kaum kamu walaupun ia tidak logik kerana melebih-lebihkan sesuatu yang sebenarnya tidak pernah berlaku (seperti penindasan ala apartheid yang mereka dakwa berlaku terhadap orang bukan Melayu di sini walhal tidak), kamu tidak akan diapa-apakan malah kamu akan mendapat lebih ruang lagi! Dan hati saya menunjuk kepada mamat ini sebagai dalang sebenar di sebalik 'permainan'...


Tahun lepas di Masjid Putrajaya, saya dapat duduk dengan kelompok ulamak dan anak murid yang diketuai Habib Hassan terus menghadap ke seberang bulatan Maulud di mana terdapat mamat ini dalam satu kelompok, berkopiah dan berjubah putih sama seperti di Masjid Negara tahun ini. Ketika itu dan sepanjang majlis, saya dapat melihat dengan terang baik dengan mata hati mahupun melalui body language atau bahasa tubuh betapa janggalnya anak muda ini duduk dalam satu majlis Maulud dikelilingi ramai Ahlul Bait. Nampak sangat dia sekadar terpaksa menemani bapa mertua, tak masuk dalam kepala pun perayaan Maulud itu. Tahun ini saya kebetulan duduk di belakang dan tidak dapat melihat air mukanya. Hampir saya terasa simpati melihatnya begitu 'kusyuk menikmati' Maulud jika tidak memikirkan betapa sudah banyak orang politik yang mempermain-mainkan agama agar dapat meraih sokongan dan undi.


Sekarang biarlah saya lepaskan rasa mengenai percaturan politik terkini. Dan saya tetap tidak mahu menyebut apa-apa nama ya.


Rasanya ramai yang tahu peralihan kuasa dari bapa mertua ke perdana menteri kini sebenarnya amat tidak disenangi oleh mamat ini dan kuncu-kuncunya. Tetapi ia tidak dapat lagi dielakkan lalu mereka cuba membawa masuk seseorang yang boleh mereka harapkan untuk menjadi orang nombor dua negara yang boleh membela mereka dari atas sana. Malangnya calon mereka itu disahkan terlibat dengan politik wang lalu dilarang bertanding. Tinggallah seorang calon lain yang mungkin boleh diharapkan berpihak kepada mereka kerana telah dijadikan menteri oleh bapa mertua walaupun dia sekadar seorang senator lantikan bidan terjun yang mengaku tidak tahu berbahasa Inggeris apabila ditangkap di Australia dengan wang berjuta.


Masuk pemilihan parti, dalam keadaan yang agak mencurigakan pula kerana mengambil masa lebih 6 jam untuk mengira sekadar sekitar 800 undi, mamat ini berjaya menempatkan diri ke atas jawatan tertinggi pemuda. Walaupun dia juga didapati bersalah mengamalkan politik wang tetapi mamat ini tetap dibenarkan bertanding. Kebanyakan jawatan exco malah kata orang kesemua jawatan itu dapat dipegang kuncu-kuncunya. Cuma satu kuncu sahaja jatuh terduduk untuk perebutan jawatan nombor dua pemuda. Sedangkan kedudukan majlis tertinggi juga berjaya dipegang kebanyakan orang mereka.


Tetapi ini semua kurang bermakna berbanding dengan hakikat bahawa jawatan tertinggi parti dipegang orang yang diketahui tidak sehaluan dengan mamat ini. Begitu juga jawatan nombor dua dan tiga orang naibnya. Apabila ternyata jawatan pemimpin tertinggi negara turut diserahkan kepada orang ini yang kemudian menamakan kabinet baru dengan induknya dikelilingi orang-orang yang lebih menyokongnya, si mamat ini semakin panik. Manakan tidak, mamat ini tidak dapat menjadi menteri sedangkan musuh kuatnya dalam pemuda, juga orang yang telah mengalahkan seorang kuncunya untuk jawatan nombor dua pemuda kedua-duanya dapat menduduki kabinet dengan jawatan timbalan menteri.


Saya tahu sejak tahun lepas lagi mamat ini dan kuncu yang diharapkan dapat menjadi timbalannya telah membayangkan diri akan menjadi menteri penuh selepas pemilihan terbaru parti. Sekarang mereka tidak ada lagi kedudukan ini. Saya percaya pemimpin tertinggi negara juga telah dinasihati ramai orang agar memulakan kerja untuk mencantas mamat ini dan orang-orangnya. Memang mereka perlu dicantas kerana mereka-mereka ini sebenarnya para penjual bangsa, agama dan negara yang turut bersekongkol dengan pihak pembangkang.


Walaupun kelihatan seperti dari kumpulan yang berlainan, mamat ini dan mamat itu (satu panggilan yang saya rasa elok untuk ketua pembangkang yang suka merusuh itu) sebenarnya bekerja dengan pihak yang sama untuk menghilangkan ketuanan Melayu agar dapat digantikan dengan Malaysian Malaysia. Kumpulan itu juga mahu menjayakan rancangan Protocols of the Elders of Zion untuk menghapuskan raja-raja Melayu kerana dengan itulah benteng terakhir kekuasaan Melayu dapat dihapuskan lalu segalanya dapat dikuasai bangsa pendatang yang tidak sedarkan diri.


Semalam saya tergerak untuk membaca satu blogspot lalu terlihat gambar mamat ini dihadap oleh kuncu-kuncunya yang sedang mengangkat sumpah untuk memegang jawatan-jawatan tertinggi lantikan dalam pemuda. Terus hati saya berkata, mamat ini sudah menyedari betapa usaha untuk mencantasnya dan orang-orangnya sudah pun bermula lalu dia pula menggerakkan permainan awal menyelamatkan diri dengan berkubu di dalam pemuda. Ya, usaha untuk menjadikan gerakan pemuda sebagai kubu kuat sudah pun bermula apabila menyedari jawatan-jawatan paling tinggi negara tidak dapat digenggam kuat seperti diharapkan dahulu.


Tetapi mungkin juga ada cara lain untuk melawan pengaruh pemerintahan tertinggi. Selain terus mewar-warkan kes gadis Mongolia yang meletup-letup cunnya dengan pertolongan mamat itu, mungkin juga dapat diusahakan agar para menteri besar dapat dimasukkan ke dalam koceknya yang cukup dalam untuk menampung wang berjuta malah mungkin berbillion hasil sumbangan 'ikhlas' jiran di selatan. Sekurang-kurangnya MB boleh digunakan untuk meraih kuasa penuh terhadap sesuatu negeri dan mungkin dapat menangkis arahan pemerintah tertinggi negara apalagi jika dapat dihimpunkan kuasa sejumlah mereka.


Dahulu semasa bapa mertua memegang kuasa, mungkin lebih senang. Dengar cerita MB Pahang pun sampai berdiri hampir tabik hormat apabila mendapat panggilan telefon daripadanya... baru sekadar telefon, belum lagi berjumpa empat mata. MB Melaka yang terus dapat memegang jawatan walaupun disahkan mengamalkan politik wang memang sudah diketahui umum sebagai orang di dalam koceknya, melalui pengaruh bapa mertua. MB Johor (jika tiada perubahan dalam masa terdekat) pula mungkin boleh dimasukkan dalam kocek kerana umum orang Johor tahu betapa dia dan pemimpin nombor dua negara kini sudah lama tidak sehaluan walaupun berasal daripada negeri yang sama.


Apa jadi jika MB-MB lain dapat dimasukkan ke dalam koceknya? Umum tahu MB Terengganu dahulu juga pernah berada di bawah telunjuk malah tapak kakinya. Sebab itu wang berbillion hasil royalti minyak Terengganu "berjaya dimanfaatkan" oleh orang-orangnya. Tetapi MB itu berjaya disingkirkan dengan sokongan Sultan merangkap Yang Di Pertuan Agung untuk memberi ruang kepada seorang MB baru. Kini Terengganu kecoh lagi apabila dikatakan ada percubaan untuk membuat undi tidak percaya terhadap MB itu. Apakah ia juga satu permainan mamat ini?