Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Oktober 26, 2024

Menjuarai epistemologi ketauhidan - Syarahan perdana Osman Bakar sebagai Rektor ke-7 UIAM

Salam semua. Menulis dari kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor, setelah sampai sebelum Maghrib tadi, untuk dua majlis keluarga esok hari Ahad.



Merujuk pada artikel Pengalaman mengurus hubungan Malaysia-China bersama Syed Hamid Albar yang dipersembahkan dari Perpustakaan Negara petang Khamis 24 Oktober, setelah menghadiri majlis ilmu berkenaan di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Ada dinyatakan pada penghujung artikel bahawa selepas itu mahu hiking di sekitar Kampung Sungai Pusu membawa ke tasik buatan Klang Gates kemudian beriktikaf bermalam Jumaat di masjid sana. Dari situ dah cukup dekat ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk majlis ilmu seterusnya pagi Jumaat 25 Oktober. 

Kelihatan adalah poster bagi majlis di UIAM itu. Guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dijadualkan memberikan syarahan perdana sebagai Rektor ke-7 UIAM, setelah sebulan dua hari memegang jawatan administratif tertinggi universiti (UIAM adalah badan yang menaungi ISTAC). Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Menjuarai Epistemologi Ketauhidan : Peranan Akademia Muslim"




Sebelum itu iaitu pada petang Khamis, bergerak dari Perpustakaan Negara ke Sungai Pusu seperti yang dirancang supaya dekat dengan kampus utama UIA untuk syarahan pagi Jumaat. Namun terlihat simpang ke Taman Melawati timbul rasa untuk 'lari' sebentar lalu naik satu bukit tanpa dirancang. Dari situ pertama kali seumur hidup (setakat dapat diingat) dapat melihat tasik buatan Klang Gates di sebalik bukit-bukit tinggi kiri dan kanan (kampus universiti terletak di sebalik bukit di kiri gambar, begitu juga Sungai Pusu).  Lihat Looking for views from up a hill at Taman Melawati di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Malam Jumaat sekitar jam 8 baru meninggalkan bukit di Taman Melawati untuk ke Sungai Pusu. Bermalamlah di masjid sana buat pertama kali seumur hidup, walau sudah beberapa kali bertandang sejak bertahun lalu. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Sungai Pusu   di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sesungguhnya kampung dan persekitarannya ada suatu macam rasa mistikal buat saya. Gambar-gambar masjid ini diambil awal pagi Jumaat 25 Oktober 2024.




Sebelum matahari naik lagi saya sudah keluar untuk melakukan hiking. Pertama ke sebuah tasik kecil ke utara kampung, kedua ke tasik besar di selatan yang dapat dilihat dari atas bukit di Taman Melawati petang sebelum itu. Lihat artikel-artikel berikut:-








Disebabkan leka turun naik bukit masuk hutan melihat tasik selain silap anggaran masa yang diperlukan untuk keluar masuk kawasan dengan selamat jam 9.47 baru sampai ke lokasi syarahan perdana di UIAM. Sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 9.







Nasib baik ketika itu masih peringkat ucapan pembukaan oleh Timbalan Rektor. Ucapan perdana cuma bermula beberapa minit kemudian.




Osman memulakan dengan menyatakan,  walaupun sebagai Rektor beliau adalah autoriti tertinggi dalam pentadbiran universiti lalu banyak tugasan berkenaan perlu dilakukan itu cuma kerja 'sambilan'. Lebih penting adalah tugasan sebagai ilmuwan. Disebabkan itulah dibuat syarahan perdana ini. Dengan itu beliau menyarankan agar setiap profesor penuh yang baru dilantik (ertinya Assistant Professor atau Pembantu Profesor juga Associate Professor atau Profesor Madya tak perlu melakukan)  harus membuat syarahan perdana di jabatan atau kulliyah (fakulti) masing-masing.




Pergi pada tajuk dan isi syarahan. Dinyatakan dahulu apa itu "academia"(bahasa Melayu, akademia) mula digunakan dalam bahasa Inggeris sekitar tahun 1542. Ia telah beberapa abad lebih awal digunakan dalam bahasa Latin, yang meminjam daripada perkataan asal akademeia dalam bahasa Yunani. Daripada segi asal usul bahasa ia sama dengan perkataan "academy" (akademi). Namun daripada segi penggunaan "akademi" lebih merujuk institusi ilmu. Pun begitu "akademia" boleh meliputi institusi juga orang-orang terpelajar.




Daripada segi sejarah hampir tiada perbezaan antara akademia di Barat dengan mereka dalam dunia Islam. Ini disebabkan ada simbiosis atau saling keterkaitan antara kedua-dua tradisi intelektual tersebut. Walaupun seawal wahyu pertama yang membentuk kitab suci Al Quran umat Islam disuruh menggali ilmu dengan perintah Iqra' iaitu "bacalah", sejarah tradisi keilmuan Islam secara rasminya bermula pada abad ke-8 Masihi dengan berdirinya perpustakaan Baitul Hikmah di Baghdad yang dipenuhi kitab-kitab silam daripada peradaban lebih awal seperti tamadun Yunani. Proses penterjemahan kitab-kitab ke dalam bahasa Arab membawa pada kajian tersendiri oleh para ilmuwan Islam. Dapatan mereka kemudian digunakan oleh sarjana Eropah sehingga terbentuklah zaman keemasan keilmuan mereka, membawa pada tamadun Barat sekarang.

Pun begitu ada perbezaan daripada segi ideologi. Ilmuwan Islam membawa apa yang boleh dipanggil sebagai epistemologi ketauhidan berdasarkan keEsaan Tuhan sedangkan keilmuan Barat semakin lama semakin menjauh daripada hal-hal sebegitu.




Dengan itu dinyatakan perananan akademia Islam iaitu :-


a. Untuk mengejar, menetapkan dan mempertahankan kebenaran. Islam adalah agama kebenaran. Ia percaya akan wujudnya kebenaran yang tetap terutama kebenaran mutlak - Al-Haq yang tidak lain adalah salah satu nama Allah SWT. Sedangkan dalam dunia pemikiran Barat tiada kebenaran mutlak. Semuanya boleh berubah menurut keadaan.

b. Untuk menetapkan keadilan terutama dalam ilmu pengetahuan - kebenaran menurut epistemologi.

c. Untuk memajukan ilmu pengetahuan Islam terutama melalui suluhan ajaran Al Quran bahawa Tuhan adalah sebaik-baik guru bagi manusia. Tuhan mengajar melalui kejadian dan perjalanan alam.

d. Untuk menjadi pewaris para Nabi.




Peranan intipati akademia Muslim adalah untuk menjuarai epistemologi ketauhidan yang memberikan definisi berikut :-


a. Manusia sebagai bayangan Tuhan (di muka bumi, dan di mana-mana sebenarnya)

b. Identiti agama Islam sebagai agama ketauhidan

c. Identiti ummah sebagai masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan

d. Identiti tamadun Islam sebagai peradaban berdasarkan ilmu pengetahuan

e. Identiti teras universiti Islam




Dinyatakan makna tauhid seperti berikut :-


a. Tauhid adalah doktrin Islam yang paling asas. Ia diwakili oleh formula (pada lafaz syahadah pertama) La illaha illallah. Formula ini terpakai pada tiga peringkat realiti kewujudan alam - metafizikal-teologikal, kosmik (makro dan mikro) dan biofizikal. Roh ketauhidan meresap seluruh realiti wujud.

b. Prinsip tauhid adalah theory of everything (teori untuk semua perkara) bagi Islam. Hal ini menjadi signifikan jika kita faham bagaimana dunia sains Barat masih tercari-cari satu teori yang dapat menyatukan segala aspek wujud yang dapat dicerap. Perlu bacaan dan pemahaman ilmu fizik dan matematik tentang ini.

c. Tauhid adalah permulaan dan pengakhiran agama Islam dan kebudayaan ilmunya.

d. Tauhid adalah teras Islam.





Lalu dinyatakan epistemologi tauhid sebagai wawasan (terjemahan saya bagi perkataan bahasa Inggeris vision yang secara harfiahnya merujuk pada penglihatan, tetapi Osman kaitkan dengan perkataan Arab ruq'yah yang pada orang Melayu selalu dikaitkan dengan mimpi) tentang ilmu pengetahuan yang mentahkihkan Realiti Ilahi, Dia Allah SWT yang Satu dan Unik. Ia mentahkikkan sains tauhid sebagai punca dan asas mutlak bagi semua ilmu pengetahuan. Ia adalah hakim terbaik bagi menentukan kebenaran dan kebathilan. Ia membatalkan semua yang berlawanan dengan prinsip dan sifat-sifat tauhid. Epistemologi ketauhidan adalah 'ibu' kepada semua epistemologi lain.




Asas bagi menjuarai epistemologi ketauhidan dalam kitab ada pada ayat ke-18 Surah Ali Imran...



Allah menyatakan bahwa tidak ada tuhan selain Dia; (demikian pula) para malaikat dan orang berilmu yang menegakkan keadilan, tidak ada tuhan selain Dia, Yang Mahaperkasa, Maha-bijaksana.



Menjadi juara epistemologi ketauhidan adalah menjadi saksi bagi kebenaran tertinggi, iaitu tentang prinsip Kesatuan dan Keesaan Allah SWT.





Dengan itu ia mencabar epistemologi-epistemologi yang tidak ada ketauhidan. Paling memberi impak antara itu adalah epistemologi berdasarkan evolusi iaitu berdasarkan dakwaan makhluk boleh berubah dari satu spesis ke satu spesis yang lain seperti dinyatakan oleh Charles Darwin tahun 1859. Epistemologi ini telah bertakhta sejak seabad kebelakangan lalu menjadi prinsip perpaduan tertinggi dalam semua ilmu sains (moden). Menurut epistemologi ini semua harus dikaji berdasarkan suluhan perubahan. Disebabkan pemikiran sebegini "kebenaran" boleh berubah menurut keadaan. Sedangkan suluhan sebenar haruslah berdasarkan apa yang tidak berubah. Ini termasuk makna sebenar kebenaran dan hakikat kewujudan Tuhan.

 


Akhir sekali, implikasi epistemologi-epistemologi ketauhidan terhadap sesebuah universiti Islam. Kalbu kurikulum universiti adalah kajian teologi dan falsafah. Ini adalah asas kurikulum universiti dalam setiap disiplin pengajian.




Sebetulnya banyak lagi diperkatakan termasuk rancangan terdekat Osman bagi menerapkan epistemologi ketauhidan dalam setiap peringkat pengajian di UIAM. Dinyatakan dengan jelas ia mahu dimulakan dengan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan sebagai 'kalbu' universiti. Namun difahamkan kemudian ada yang menimbulkan kontroversi dalam kalangan hadirin yang sebahagian besar merupakan tenaga pengajar. Ini kerana Osman ada menyebut tentang prinsip Madani mahu diterapkan dalam Jabatan Sains Politikal. Sedangkan ia sering dikaitkan dengan wawasan Perdana Menteri Malaysia sekarang Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Prinsip Madani dilihat oleh sebahagian masyarakat sebagai satu slogan politik sahaja malah dipandang serong kerana setakat ini dilihat seperti lebih memberi muka kepada orang bukan Islam dalam pelbagai hal. Pada masa sama kerajaan pimpinan Anwar turut mengandungi politikus yang dilihat bermasalah selain ada parti politik yang dilihat bersifat komunis, sentiasa hendak memenangkan bangsa sendiri sahaja lalu berlawanan dengan kehendak penduduk asal Melayu dan Islam. Padahal Madani sebenarnya adalah satu wawasan ketamadun Islam yang sudah disuarakan oleh ilmuwan Islam seperti Al-Farabi 1,300 tahun lalu, Ia adalah berdasarkan bagaimana Rasulullah SAW mengatur pentadbiran kota Madinah yang memiliki penduduk pelbagai ragam dan kefahaman seabad lebih awal. 




Tidak perlulah lagi dipanjangkan ulasan tentang isi syarahan. Boleh ikuti sendiri melalui rakaman di sini. Sampai waktunya bersolat Jumaat di masjid UIAM.




Selepas itu menyambung lagi sedikit hiking di bahagian lain Sungai Pusu walaupun sudah turun hujan lebat. Lihat Looking for Klang Gate lake views from the hills of Sungai Pusu. Selesai itu baru terasa beres. Cukuplah perkongsian.



Khamis, Oktober 24, 2024

Pengalaman mengurus hubungan Malaysia-China bersama Syed Hamid Albar

Merujuk pada artikel Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh yang dipersembahkan petang semalam. Ada dinyatakan bahawa pada keesokannya pagi Khamis 24 Oktober  (hari ini) saya dijadualkan hadir di satu majlis ilmu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Ini ceritanya.



Poster bagi majlis. Pembicara iaitu Tan Sri Syed Hamid Albar adalah orang yang cukup dikenali di Malaysia. Beliau yang kini sudah berusia 80 tahun pernah menjadi Menteri Luar Negeri dari tahun 1999 hingga 2008 selain pernah memegang pelbagai portfolio lain. Hubungan Malaysia-China adalah satu subjek yang sangat menarik apa lagi dalam keadaan Laut Cina Selatan sekarang sedang 'panas' akibat negara China menuntut hampir keseluruhan laut sehingga melanggar hak kedaulatan lain-lain negara ke atas bahagian perairan masing-masing. 

Termasuk yang dituntut adalah perairan negeri Sarawak yang berada di dalam kekuasaan sah Malaysia menurut undang-undang antarabangsa. Tetapi ini ditolak oleh China atas alasan, menurut sejarah (yang ditulis mereka) hampir keseluruhan laut jika tidak pun keseluruhan adalah hak mereka. Dengan itu mereka merasakan berhak menghantar kapal-kapal peronda ke perairan itu. Kita yang cuba membela hak kedaulatan sendiri pula yang dianggap sebagai menceroboh.




Sampai masanya saya pun ke lokasi majlis iaitu Wisma Sejarah di bandar raya Kuala Lumpur. Rasanya kali terakhir hadir majlis di situ adalah pada tahun 2018. Lihat  Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara. Untuk pengetahuan di Wisma Sejarah itulah saya mula menghadiri majlis-majlis ilmu sebegitu. Lihat artikel Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191 yang ditulis hampir 15 tahun lalu. Sejak itu banyak majlis serupa dihadiri di pelbagai institusi. Lihat artikel-artikel kompilasi berikut :-



Saya sampai ke bilik majlis sedikit lewat. Kedengaran Syed Hamid sedang bercakap tentang bagaimana Persekutuan Tanah Melayu yang kemudian menjadi Malaysia harus menerima lambakan pekerja asal dari China yang dibawa oleh British untuk dijadikan rakyat, sebagai antara syarat mendapat kemerdekaan 31 Ogos 1957. Disorot pula ke zaman ketika China yang membawa ideologi Komunis Marxis namun ada acuan tersendiri bersifat Konfuciusma (ajaran tradisi Cina daripada pendeta Konfucius) sedang membangun kemudian bertukar sedikit ideologi ke pasaran bebas (free market) tetapi bukan kapitalis. Dengan itu timbul banyak syarikat besar milik kerajaan memacu kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan ketenteraan, bukan milik persendirian atau korporat seperti halnya di Barat.


Dikongsikan pengalaman beliau ketika menjadi Menteri Luar menangani perkara-perkara melibatkan China. Dinyatakan bahawa dahulu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri  Malaysia dipandang tinggi oleh pelbagai pihak lalu suaranya lebih dihormati. Sekarang tidak lagi begitu.


Dalam hal tuntutan China terhadap Laut China Selatan yang semakin galak lantaran menyedari berapa banyak hasil bumi termasuk minyak dan gas terdapat di laut, disarankan agar negara-negara Asean (persatuan negara-negara Asia Negara) dapat bergabung sebulat suara untuk berhadapan dengan negara besar itu. Kalau ditangani secara unilateral iaitu satu negara ke satu negara sahaja satu persatu,, misalnya Malaysia dengan Cina satu rundingan, Indonesia dengan Cina satu rundingan lain ditakuti tidak ada cukup kekuatan juga maklumat bagi  mendapatkan persefahaman yang adil dan saksama. Kebetulan tahun 2025 Malaysia akan mempengerusikan persidangan Asean. Diharap pemimpin kita dapat menunjukkan jalan ke arah itu.


Selesai majlis kemudian makan tengah hari pergi ke Perpustakaan Negara yang terletak betul-betul bersebelahan Wisma Sejarah.


Di situlah ditulis artikel ini. Insyaallah selepas ini mahu hiking di sekitar Kampung Sungai Pusu membawa ke tasik buatan Klang Gates kemudian beriktikaf bermalam Jumaat di masjid sana. Dari situ dah cukup dekat ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk majlis ilmu seterusnya pagi Jumaat 25 Oktober.


Rabu, Oktober 23, 2024

Ulasan buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" di Edu Hub Pagoh

Sukacita dimaklumkan petang Selasa semalam 22 Oktober 2024 saya selamat kembali daripada satu perjalanan baru di Perak. Banyak perkara menarik berlaku dalam tempoh 4 hari 3 malam bermusafir seorang diri, setelah lebih 3 bulan tidak ke negeri kelahiran ayah saya itu. Ingin dikongsikan cerita. Tetapi sebelum itu biar dilepaskan cerita lain terlebih dahulu.



Pagi Jumaat 18 Oktober isteri menerima poster ini melalui Whatsapp menunjukkan satu sesi ulasan buku mahu diadakan pada 21 Oktober iaitu hari Isnin. Kelihatan buku terbaru dan ke-15 saya "Adam (a.s.) and the Orign of Man" antara yang disertakan. Pengulas, Puan Farha binti Muhammad yang merupakan kenalan kami adalah pensyarah di Politeknik Tun Syed Nasir. Beliau pernah mengatur agar saya membentang tentang buku berkaitan, buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun" di politeknik itu 6 tahun lalu. Lihat Syarahan "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, Muar.




Ulasan buku termasuk dalam satu majlis lebih menyeluruh di Edu Hub Pagoh, suatu macam bandar baru di Pagoh, Muar yang mengandungi kampus 4 buah institusi pengajian tinggi iaitu UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Tun Syed Nasir. Turut ditempatkan pejabat Kementerian Pendidikan Tinggi juga bangunan-bangunan kegunaan bersama. Sayangnya saya harus menghadiri satu majlis di Ipoh pada pagi Sabtu 19 Oktober lalu merancang mahu bermusafir di Perak buat beberapa hari.




Satu gambar semasa ulasan buku yang dikongsikan oleh Farha petang tadi. Ketika ulasan berlangsung saya masih dalam kawasan hutan sebuah bukit berdekatan Teluk Batik, Lumut. Sayang, tiada rakaman dibuat. Namun ada ulasan bertulis oleh Farha boleh dikongsikan, dengan sedikit suntingan...



----------------



Sedikit perkongsian tentang Book Review : Adam (A.S) and The Origin of Man Reconciling The Conflict Between Religious and Scientific Narratives oleh Radzi Sapiee dan prakata Osman Bakar...


Saya memiliki naskhah ini dari penulis sekitar awal Jun 2024 dan mula membacanya hujung September dan awal Oktober. Karya ini merupakan hasil penambahbaikan daripada penulisan tesis Master penulis dalam bidang Malay World Studies dari ISTAC. Antara cabaran terbesar untuk membuat pembacaan adalah faktor penulisannya dalam Bahasa Inggeris dan kajian sains dan matematik yang agak teknikal. Namun, pembacaan buku tulisan penulis sebelum ini membantu saya untuk memahami kajian. 

Secara ringkasnya, buku ini merupakan kajian akademik yang membahaskan tentang percanggahan sains moden dalam membicarakan tentang asal kejadian manusia sebagaimana yang diterangkan di dalam Al-Qur’an. Berdasarkan wahyu yang dipegang oleh semua agama samawi mengakui manusia pertama yang diciptakan adalah Nabi Adam (A.S),  kemudian Al-Qur’an menerangkan tentang Allah menjadikan alam dalam tempoh 6 masa, kemudian Allah jadikan Nabi Adam dari tanah manakala Hawa dari tulang rusuk Nabi Adam dan mereka menetap di Syurga sehingga Allah menurunkan mereka ke muka bumi. Kebanyakan sarjana Islam dalam membahaskan tempoh masa Nabi Adam di muka bumi menyatakan baginda muncul tidak melebihi 10,000 tahun lalu. Manakala penemuan sains moden mendakwa makhluk menyerupai manusia telah wujud lebih 4 juta tahun yang lalu manakala homo sapiens (manusia moden) dipercayai telah wujud sekitar 200,000 – 300,000 tahun yang lalu. Dari sinilah penulis mendatangkan formula matematik dalam memahami dan mencari titik pertemuan antara jurang masa yang sangat jauh antara pandangan sarjana Islam dengan sains moden sekaligus lalu menjawab beberapa persoalan yang diutarakan oleh penulis dalam kajian ini.

Buku ini merupakan kajian akademik maka susunan babnya adalah mengikut format tesis yang dibahagikan kepada 5 bab iaitu:



Chapter 1 : Introduction

Chapter 2 : Myths and Religious Narratives on the Origin of Man

Chapter 3 : Scientific Narratives on the Origin of Man and Nature

Chapter 4 : Towards a Reconciliation Between Scientific and Religious Narratives

Chapter 5 : Conclusion



Perbincangan tentang kejadian Nabi Adam (A.S) banyak dibincangkan di dalam Al-Qur’an dan hadith Rasulullah. Sebagai Muslim sangat penting kita memahami tentangnya sebagai dalil Allah yang menjadikan segala makhluk dalam kejadian yang sangat sempurna. 

Sebagai kaedah untuk menyelarikan perkiraan masa turunnya Nabi Adam ke muka bumi sebagai manusia pertama yang Allah ciptakan dengan penemuan homo-sapiens penulis membicarakan tentang satu hadis Rasulullah  riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi daripada Abu Hurairah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 




“Tidak akan tiba hari kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma.” 




Topik ini dibincangkan oleh penulis yang juga merupakan graduan matematik (pada peringkat sarjana muda), dalam bab 4 yang mana saya kira bab terpenting dalam memahami keseluruhan kajian. Teori Special Relativity ada menerangkan bagaimana kelajuan mempengaruhi jisim, masa dan ruang. Oleh itu, petunjuk daripada hadith Rasulullah tentang masa semakin singkat telah digunakan oleh penulis dalam merungkaikan kaedah matematik yang lebih kompleks dengan meletakkan asas perkiraan, variable atau pemboleh-ubah seperti berapa panjangkah masa pada zaman Nabi Adam yang harus diperbaiki jika kita mahu kiraan yang lebih tepat iaitu bagaimana tempoh turunnya Nabi Adam itu boleh dipanjangkan sehingga beratus ribu tahun dahulu jika dibandingkan dengan hari zaman sekarang yang jauh lebih pendek. 

Di bahagian rumusan penulis menyatakan banyak lagi ruang bagi sarjana Islam untuk melanjutkan kajian saintifik yang berteraskan wahyu sebagai landasan. Impak terbesar daripada pembacaan karya ini adalah sebagai satu jalan memahami tentang hakikat penciptaan manusia seterusnya hakikat Allah yang Maha Mencipta segala sesuatu samada alam, manusia ruang dan waktu. Wallahu A’lam bissawab.



---------------



Terima kasih kepada Farha kerana sudi mengulas buku kemudian menghasilkan tulisan ini. Untuk memahami lebih lanjut tentang buku sila rujuk artikel-artikel berikut :-





Berbalik pada hal perjalanan baru di Perak. Adapun esok pagi Khamis 24 Oktober saya dijadualkan hadir di satu majlis ilmu di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur. Begitu juga lusa pagi Jumaat 25 Oktober tetapi di kampus utama UIAM di Gombak pula. Cadangnya nanti biar dilepaskan cerita tentang majlis-majlis ini terlebih dahulu. Selepas itu baru bercerita tentang perjalanan Perak ya. Tunggu... :]


Jumaat, Oktober 18, 2024

Meneroka tasik dan bukit di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung 3 petang berturut

Salam petang Jumaat. Ada perkongsian daripada satu rangkaian aktiviti yang dibuat dalam tempoh 3 hari lalu.


Petang Selasa 15 Oktober 2024. Sekitar jam 5 timbul rasa untuk beriadah di kawasan Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung sekitar 13 km dari rumah. Saya pun meminta isteri yang sedang bekerja dari rumah supaya mengambil anak balik daripada sekolah agama jam 6. Sampai di Bukit Sentoasa terasa hendak mendaki bukit yang dikenali sebagai Bukit RM2 atau Bukit Dua Ringgit. Namun apabila sampai di kaki bukit terasa hendak melihat terlebih dahulu sebuah tasik yang baru dapat dilihat kewujudannya melalui gambar satelit di Google Map baru sehari dua itu.


Penelitian Google Map juga menyebabkan baru sedar ada bukit kecil memberikan pemandangan menarik boleh dicapai dari tasik lebih besar yang dikenali sebagai Tasik Widuri. Menariknya gambar satelit menunjukkan ada kapal terbang sedang 'parking' atas tasik.


Pergilah mencari bukit tersebut. Rupa-rupanya kedudukan sebenarnya sedikit ke selatan berbanding apa tanda dalam Google Map.



Dari puncak bukit cuba mengesan kedudukan kapal terbang dalam Google Map. Nampaknya ia kapal terbang ghaib atau dari alam bunian. Sama halnya seperti di suatu tempat di timur laut Kuala Lumpur. Lihat artikel Kapal terbang bunian di Gombak?  yang ditulis awal tahun. 





Perjalanan petang Selasa telah menyebabkan terlihat puncak sebuah bukit yang kelihatan agak menarik. Balik sahaja rumah terus mengenalpasti kedudukan melalui Google Map dan Google Earth. Petang Rabu 16 Oktober, selepas mengambil anak kembali daripada aktiviti kurikulum di sekolah kebangsaan jam 3.20 saya pun mencari lalu dan menemukannya.





Dalam mengenalpastikan kedudukan di Google Map itulah dapat juga menemui bukit lain yang rupa-rupanya menjadi satu destinasi beriadah. Alhamdulillah seperti bukit tadi sempat mendaki ke puncak. Cuma turun tu sahaja hari dah gelap.





Sebetulnya petang Rabu itu juga bercadang untuk melihat dua buah tasik yang belum pernah disinggahi. Satu baru dikesan melalui Google Map, satu sudah bertahun tahu kedudukan tapi tak pernah jejak. Semalam petang Khamis 17 Oktober baru berpeluang.








Kali ini keluar sebaik sahaja selepas menghantar anak ke sekolah petang jam 2.30. Selain dapat mencari dan meluangkan masa di dua buah tasik dapat mendaki bukit tertinggi di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung. Kalau tak salah ia juga bukit tertinggi dalam lingkungan 7 km.



Di puncak bukit sempat membaca beberapa muka surat terakhir Juz 14 kemudian sempat mengambil anak balik dari sekolah jam 6.



Kedudukan tasik dan bukit yang dijejaki dan disinggahi dalam tempoh 3 hari kebelakangan. Lihat nombor pada peta/gambar satelit dan padankan dengan artikel-artikel berikut yang dipersembahkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


1. Checking out a lake a bit north of Tasik Widuri

2. Bukit Sudol and surroundings.

3. A prominent hill near Bukit Beruntung golf course

4. On to the hill designated as Bukit BUB

5. The lake near Anggerik 1

6.The lake off Anggerik 3

7. New climb to the summit of Bukit RM2


Rabu, Oktober 16, 2024

Hari Ta'aruf ISTAC dan 'kelas' pertama juga tentang mendaki bukit

Salam semua. Satu lagi cerita melibatkan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Kali ini lebih terserlah 'feel' sebagai student baru PhD.



Isnin 14 Oktober 2024 jam 10 pagi mahu diadakan Hari Ta'aruf atau suai kenal pelajar baru di ISTAC. Sebagai seorang yang asalnya masuk mendaftar bagi pengajian peringkat Master atau sarjana September 2018 lalu mendapat ijazah penghujung 2023 saya adalah pelajar lama. Namun sebagai seorang yang menyambung ke peringkat PhD  bermula Oktober 2024  saya adalah pelajar baru.




Disebabkan beberapa urusan di rumah jam 9.30 baru keluar lalu didapati ada kesesakan luar biasa di Lebuh Raya Utara Selatan.




Jam 10.33 baru sampai ke halaman ISTAC.




Ketika masuk ke dewan majlis kedengaran Dekan ISTAC Profesor Datuk Dr Berghout Abdelaziz sedang memberikan ucapan.




Beliau menyatakan beberapa perkara yang diharapkan bagi seorang pelajar agar nanti terserlah sebagai hasil keluaran ISTAC.




Diadakan juga taklimat oleh beberapa orang kakitangan tentang urusan pelajar, pengajian, kemudahan perpustakaan dan macam-macam. Yang paling saya ambil perhatian adalah procedure atau tatacara bagi menyelesaikan pengajian...







Dahulu semasa di peringkat Master saya agak terkapai-kapai kerana kurang memahami tatacara.




Saya berjaya menyelesaikan semua kursus wajib dalam semester pertama. Tetapi apabila masuk penulisan tesis asyik tersangkut lalu menulis apabila dapat 'gerak' tanpa mengikut susunan. Akibatnya hampir nak siap penulisan keseluruhan tesis baru melakukan proposal defense atau mempertahankan tajuk tesis. Sedangkan itu yang sepatutnya dilakukan paling awal setelah selesai kursus. Penulisan seterusnya tesis adalah pengembangan daripada itu.



Kali ini saya mahu mengambil iktibar daripada pengalaman kesilapan lama lalu lebih cakna ingin ambil tahu apa yang perlu dilakukan bagi setiap peringkat menurut kehendak universiti...










Petang ada bengkel tentang penulisan akademik oleh seorang tenaga pengajar diikuti perkongsian pengalaman  oleh seorang yang sedang menunggu penilaian tesis PhD, seorang lagi sudah lulus sepenuhnya lalu bergelar Doktor,




Ia diadakan di salah satu bilik syarahan lalu terasa seperti 'kelas' pertama sejak menjadi pelajar PhD...









 



Jam 6 petang pergi memanjat bukit. Ini adalah sama halnya seperti setelah ke ISTAC dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan

2. Dari online ISTAC ke fizikal ke Bukit Besi - Masuk sedikit hal rambut panjang...

3. Dari Bukit Guling Ayam ke UIA ke ISTAC ke Bukit Lanjan West bersama anak

4. Sains semulajadi daripada pandangan alam Al-Quran : Adakah perlu?

5. Selesai hal supervisor PhD di ISTAC baru dapat mendaki Bukit Lanjan

6. Membentuk identiti : Perjalanan Azerbaijan melalui empayar, konflik dan kemerdekaan


Merujuk pada artikel Falsafah analitikal dan cerita mengarut : Kaedah saintifik memperkecilkan apa yang kita boleh tahu tentang majlis di ISTAC petang Jumaat 11 Oktober. Selepas itu ada mendaki bukit di FRIM (Institut Kajian Hutan Malaysia), Kepong tetapi tidak disebut dalam artikel.


Kali ini ke satu lagi bahagian Bukit Kiara. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


1.  Part of Bukit Kiara from Jalan Palimbayan

2. Part of Bukit Kiara from Jalan Palimbayan - Part II


Untuk makluman saya mula rajin mendaki bukit-bukit di sekitar Kuala Lumpur setelah pertama kali mendaki ke puncak tertinggi Bukit Kiara beberapa bulan lalu. Lihat Apabila Bukit Kiara menjadi persinggahan antara majlis zikir dan tazkirah ilmu. Disebabkan itu berlaku pendakian susulan ke bahagian lagi bukit. Lihat Follow up Bukit Kiara lalu ke ISTAC lama dan Sungai Penchala. Sebelum itu sekadar selalu mendaki bukit-bukit di sekitar kawasan perumahan di Bandar Sungai Buaya. Sesekali sahaja ke bukit atau gunung di luar kawasan.