Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Julai 28, 2022

Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh

Salam pagi Rabu 28 Zulhijjah 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British yang dipersembahkan malam tadi. Ada disebut di dalamnya bahawa artikel ditulis di luar dewan bacaan Perpustakaan Negara, selepas membuat kerja-kerja carian dan kajian berkenaan. Selepas itu pula saya bermalam di sebuah masjid lama berusia hampir 90 tahun di Jalan Pahang (diasaskan tahun 1933). Kiranya masih dalam lingkungan pusat bandar raya Kuala Lumpur, mungkin ke pinggir sedikit. Ini kerana mahu dekat ke perpustakaan supaya dapat menyambung kerja-kerja berkenaan pada siang ini.

Adapun perpustakaan cuma akan dibuka bermula jam 10 pagi. Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang wabak Covid-19 ia dibuka jam 9 pagi. Sementara menunggu singgah di "Rumah Degil" sebuah rumah lama yang didirikan di Chow Kit pada tahun 1926 tetapi telah dialih ke perkarangan Balai Seni Negara, dalam perjalanan ke perpustakaan dari Jalan Pahang. Di pangkin bawah rumah saya pun membuat penulisan ini. 

Merujuk kembali pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British tetapi pada bahagian pengenalan. Ada disebut saya baru sahaja kembali dari satu perjalanan ke Perak pada malam sebelum itu. Sekarang biar dimulakan perkongsian cerita tentangnya...



Sudah dinyatakan dalam artikel tersebut bahawa perjalanan dibuat untuk mahu ke Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada pagi Isnin. iaitu pada 25 Julai 2022. Tentang kenapa perlu ke sana boleh rujuk artikel Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah yang ditulis pada 3 Julai. Pada mulanya fikirnya hendak bertolak ke Ipoh selepas Subuh pagi Isnin. Tiba-tiba sekitar jam 5 petang Ahad 24 Julai timbul rasa elok meninggalkan rumah pada waktu itu...




Maka bergeraklah saya ke Perak seorang diri.




Isteri tidak dapat ikut kerana bekerja. Selain itu beliau harus menguruskan anak pergi balik ke sekolah apabila saya keluar kawasan. Nasib baik beliau dapat work from home. Seminggu sekali sahaja wajib ke pejabat di Shah Alam.




Saya mengambil Lebuh Raya PLUS setakat hingga ke Tanjung Malim. Selepas itu ambil jalan lama...




Sampai ke Slim River tergerak untuk berhenti sebentar melihat taman tasik. Selama ini setakat lalu sahaja. Seingat saya inilah kali pertama singgah. Lihat artikel The lake garden of Slim River di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Lalu di Trolak pula sibuk hendak mengambil gambar Gunung Besout sambil memandu.




Susah sebenarnya nak dapat gambar gunung yang jelas kalau tidak berhenti di tempat yang pemandangannya tidak ditutup dengan pokok. Entah apa obsesinya saya tentang gunung yang tidak berapa tinggi ini sehingga berusaha untuk memanjatnya dalam perjalanan lebih awal ke Perak hampir 4 bulan lalu kemudian singgah lagi tetapi di bahagian lain dalam perjalanan kembali. Lihat artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan diikuti Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Best Out dengan pelita tembaga warisan.




Sampai ke Sungkai singgah sebentar di restoran mamak.




Selepas itu menghala ke Teluk Intan.




Terus ke masjid keluarga di Batak Rabit.




Selain hendak beriktikaf dan menziarahi makam-makam ahli keluarga ada batu nesan mahu diteliti apakah yang sebenarnya tertulis padanya.




Sebetulnya saya ada berfikir hendak bermalam di masjid, atau di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan sebelum bertolak ke Ipoh selepas Subuh. Tetapi selesai solat Maghrib diikuti jamak Isyak kemudian zikir/wirid timbul rasa elok bertolak ke Ipoh malam itu juga. Maka selepas bertandang ke rumah ibu saudara sebentar bergeraklah saya ke sana...


Rabu, Julai 27, 2022

Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British

Salam semua. Adapun malam tadi saya baru sahaja kembali daripada satu perjalanan ke Perak yang bermula petang Ahad 24 Julai 2022. Perjalanan berlaku kerana mahu ke Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada pagi Isnin. Dengan itu ia merupakan kesinambungan bagi apa yang telah diceritakan dalam artikel Kompilasi cerita "Misi keluarga Laksamana" lebih 3 minggu lalu.

Pagi tadi pula saya ke pusat bandar raya Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis melibatkan institusi beraja di Malaysia. Kalau tidak kerana sudah memberikan komitmen untuk ke majlis tentu perjalanan di Perak akan dipanjangkan dengan bergerak ke Taiping semalam kemudian ke Pulau Pinang hari ini bagi urusan-urusan berkenaan. Tetapi sebelum perjalanan terjadi ada perkara yang sangat berkaitan telah dilakukan terlebih dahulu. Hal ini dan beberapa lagi perkara berkaitan yang dijangka akan berlarutan sehingga hampir penghujung bulan September menuntut supaya segalanya nanti dikompilasikan dalam satu kumpulan cerita lebih besar atas nama "Misi keluarga Laksamana". Biar dimulakan dengan perkongsian berikut ini...



Tengah Selasa 19 Julai 2022 iaitu pada minggu lepas saya telah bergerak seorang diri ke Kuala Lumpur.  Saya mahu mencari jejak datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin melalui dokumentasi zaman British. Adapun nama beliau ada tercatat sebegitu rupa iaitu sebagai Orang Kaya Arshad dalam beberapa dokumen penghujung abad ke-19 Masihi. Oleh itu saya mahu mengumpulkannya untuk projek buku akan datang selain hal berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh.




Asalnya mahu membuat carian dan kajian di Arkib Negara. Tiba-tiba timbul rasa elok ke Perpustakaan Negara terlebih dahulu. Maka bergegaslah saya ke sana.




Adapun selama 2-3 hari sebelum itu saya telah membuat kajian melalui Internet termasuk menggunakan OFA iaitu kemudahan atas talian Arkib Negara juga kumpulan surat-surat khabar lama lebih 100 tahun lalu yang telah didigitalkan oleh satu pihak di Singapura. Dapatlah mencari banyak bahan yang berkaitan dengan susur galur keluarga belah bapa iaitu keluarga Laksamana negeri Perak yang meliputi Arshad itu.



Di perpustakaan kajian dan pencarian dipanjangkan melalui kumpulan tulisan dalam jurnal British.







Sudah lewat petang baru dapat tahu ada kumpulan rekod lama yang lebih relevan lalu masuklah ke tingkat perpustakaan yang berkenaan.




Sayangnya perpustakaan tutup jam 5 petang. Sedangkan sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk membendung wabak Covid-19 ia dibuka sehingga jam 7. Saya pun kembali ke kereta. Oleh kerana trafik masih sesak di luar sana saya pun membaca beberapa muka surat Al-Quran untuk mengisi masa selain meneruskan proses pengkhataman bagi bulan Zulhijjah.




Dekat jam 6 baru bergerak  meninggalkan perpustakaan lalu berjalan-jalan di sekitar Chow Kit.




Fikir saya selepas itu mahu terus ke rumah kawan di Sri Hartamas kerana telah berjanji untuk bermalam di sana. Tiba-tiba isteri memberitahu anak kami yang sedang belajar di tahfiz di Janda Baik mahu dihantar oleh pihak pengurusan ke hospital di Kuala Lumpur kerana sakit mata. Saya diminta menunggu sehingga anak sampai pada waktu malamnya. Akibatnya lewat malam baru ke rumah kawan.




Pagi Rabu 20 Julai. Selepas bersarapan di Chow Kit saya ke Perpustakaan Negara lagi.




Kali ini terus menuju ke bahagian berkenaan yang mengandungi banyak dokumen yang lebih relevan dengan pencarian lalu mengambil beberapa jilid dokumen...







Saya turut naik ke bahagian buku nadir. Dah balik rumah, lewat malam itu baru tersedar bahawa sejumlah dokumen yang dicari rupa-rupanya sudah ada dalam simpanan melalui PDF berkenaan yang ditemui melalui Internet. Seperti pada malam sebelumnya yang mana saya membuat carian atas talian, malam itu juga saya bersengkang mata sehingga jam 4 pagi. Tetapi kali ini lebih puas hati kerana dapat menemui dengan jelas jejak Orang Kaya Arshad selain apa yang sudah diketahui dan tercatat kemas dalam rekod-rekod British iaitu mengenai penglibatan beliau dalam beberapa mesyuarat bersama bapanya Laksamana Muhammad Amin juga Sultan Perak ketika itu, Sultan Abdullah (1874-1877) dalam menentukan hal tuju pemerintahan negeri selepas Residen British pertama J.W.W. Birch mula campur tangan iaitu selepas berlakunya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.



Ini pula adalah gambar daripada rumah kawan di Bukit Tinggi pada pagi Sabtu 23 Julai. Saya, isteri dan anak kecil kami telah bermalam di sana.




Ia adalah untuk memudahkan kami ke Janda Baik yang terletak tidak berapa jauh dari Bukit Tinggi pagi itu. Petang Jumaat iaitu pada hari sebelumnya, saya telah berjaya mengkhatamkan Al-Quran iaitu pada hari ke-22 Zulhijjah...




Oh. Telah disebut bahawa pada petang Rabu saya telah diberitahu bahawa pihak pengurusan tahfiz mahu menghantar anak ke hospital di Kuala Lumpur lalu saya harus menunggu. Anak telah mendapat MC cuti sakit lalu dibawa isteri kembali ke rumah kami di Bandar Sungai Buaya, saya pula bergerak ke rumah kawan di Sri Hartamas. Pagi Sabtu itu baru menghantar anak masuk kembali ke tahfiz.



Selain menghantar anak kami mahu mengadiri majlis penerangan oleh pihak pengurusan tahfiz dan barisan tenaga pengajar tentang perjalanan institusi. Dua perkara besar dan menarik tentang tahfiz ini adalah ia memiliki kurikulum pengajian yang katanya setanding dengan pengajian agama peringkat tinggi di Yaman. Kedua ia memiliki koleksi pembacaan terbaik dari Mesir atas asbab kitab-kitab yang katanya berjumlah seberat 15 tan dengan nilai pasaran RM1 juta asalnya ditempah untuk sebuah universiti baru Islam yang mahu didirikan di Pulau Pinang pada zaman Pak Lah (Abdullah Badawi) menjadi Perdana Menteri sekitar 15 tahun lalu. Tetapi entah kenapa universiti tidak jadi didirikan sedangkan buku-buku tersebut sudah sampai ke Malaysia. 

Dengan kuasa Allah, setelah beberapa lama ia menjadi milik tahfiz dan kutub kanah yang baru didirikan 3 bulan lalu. Lihat cerita berkenaan iaitu Mengharapkan sinar muncul kembali dengan "Tanda Baik". Dalam cerita tidak disebut tentang kutub kanah juga bagaimana ia dirasmikan oleh kerabat diraja Pahang, Tengku Amir, seorang anak raja yang selalu mengikuti pengajian juga majlis zikir dan maulud bersama pada Habaib keturunan Rasulullah SAW. Tetapi itulah yang berlaku pada waktu itu. Kali ini baru disebut cerita kerana baru tahu bagaimana istimewanya kutub kanah milik tahfiz yang dihadiri anak saya di Janda Baik ini. Sehingga ramai mengatakan ia mungkin koleksi terbaik kitab-kitab agama yang ada di Malaysia...




Majlis selesai hampir jam 1. Selepas membawa anak berjalan-jalan di bahagian lain Janda Baik baru dilepaskan kembali ke tahfiz. Lalu saya, isteri dan anak kecil pun bergerak untuk kembali ke rumah.




Tetapi tidak terus kembali ke rumah sebaliknya ke Perpustakaan Negara terlebih dahulu. Saya mahu menyambung kajian bagi mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi...




Sekarang biar dimaklumkan. Selepas menghadiri majlis tentang institusi beraja pagi tadi yang berlanjutan sehingga jam 1 petang saya ke perpustakaan lagi. Malah pada ketika ini, ketika menaip ayat ini tepat jam 7.24 petang saya berada di sana tetapi di luar dewan bacaan. Ini kerana satu, selepas perpustakaan tutup jam 5 saya tidak mahu mengharungi kesesakan lalu lintas ramai orang balik kerja. Kedua, saya mahu melepaskan cerita ini secepat mungkin supaya cerita tentang perjalanan ke Perak dapat menyusul tidak lama lagi. 



Ketiga, saya bercadang untuk bermalam dekat-dekat sini. Tak tahu lagi di mana. Nanti le cari. Tujuannya supaya dapat menyambung lagi kajian di perpustakaan esok hari. Biarlah tidur di tempat yang cukup dekat supaya dapat sampai awal dan tidak perlu melalui kesesakan jalan raya seperti halnya ketiga bergerak ke sini pagi tadi. :]


Selasa, Julai 19, 2022

Ilmu dan pengalaman hidup yang dicurahkan melalui FB Live bersama Merah Silu

Salam awal pagi Selasa 19 Zulhijjah 1443 Hijriah. Tadi sebelum tengah malam saya telah membuat artikel-artikel berikut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ia adalah tentang satu majlis persilatan yang diikuti hari Ahad yang mana satu panggung telah ditempah khas untuk menonton filem Mat Kilau. Lihat :-


1.Majlis apresiasi filem Mat Kilau dan makan tengah hari di Putrajaya 

2. Album majlis apresiasi filem Mat Kilau dan makan tengah hari di Putrajaya 

3. Album majlis apresiasi filem Mat Kilau dan makan tengah hari di Putrajaya - Part II 

4. Laporan-laporan yang timbul daripada majlis apresiasi filem Mat Kilau dan makan tengah hari di Putrajaya


Sekarang sampai masanya untuk berkongsi pengalaman dan ilmu daripada saya yang disampaikan melalui FB Live hampir 2 minggu lalu.



Merujuk pada artikel Bersedia untuk mengembara bersama Merah Silu melalui FB Live yang dipersembahkan pada pagi Khamis 7 Julai. Bual bicara berkenaan telah selamat diadakan pada malamnya iaitu malam Jumaat bermula jam 9.30. Ia dimulakan dengan bercerita bagaimana berminatnya saya pada ilmu sains sejak sebelum sekolah rendah lagi. Tetapi berlaku peristiwa demi peristiwa yang membuat saya beralih arah terutama ketika sedang belajar dalam bidang matematik di University College of London tahun 1991-1995.




Dalam keadaan hilang minat terhadap sains yang antaranya berlaku akibat pengalaman-pengalaman mistik saya membuat pengembaraan seorang diri pusing Eropah meliputi 11 buah negara dalam tempoh 33 hari ketika musim panas tahun 1995 dengan duit belanja kurang RM1,000. Lihat Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995. Kembali ke Malaysia saya mencuba bekerja sebagai wartawan di akhbar  berbahasa Inggeri The New Straits Times. Saya bertugas dari tahun 1996 hingga 2001 sebelum berlaku lagi hal-hal yang membuat beralih arah. 

Maka bermulalah perjalanan diri mendekati keMelayuan apabila terpanggil untuk menziarahi makam-makam lama dalam menjejak salasilah keturunan yang katanya berasal dari Aceh. Sebelum itu, lebih awal lagi, nenek moyang berasal dari Baghdad, dan sebelum itu lagi dari Mekah dan Madinah. Lalu terbit pelbagai hal termasuk cerita-cerita yang sudah sekian lama digelapkan. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 diikuti Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003.

Sepatutnya disentuh sekali perjalanan berkenaan ke Terengganu yang membuka lagi hal-hal keturunan terutama daripada nasab Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW tetapi terlupa. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003. Sebaliknya diceritakan terus pengalaman pertama kali ke Aceh yang membuat saya menulis buku-buku terawal saya, siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit tahun 2006-2007. Lihat Kompilasi cerita "Berpetualang ke Aceh" tahun 2004.




Di celah-celah itu saya diminta bercakap tentang asal usul Melayu. Lalu dikongsikanlah sedikit apa yang telah dipaparkan dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dan 'kembarnya' "Benua Tua Melayu" yang diterbitkan serentak awal tahun 2018, buku-buku yang kemudian menjadi asbab saya melanjutkan pengajian peringkat pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Lihat artikel-artikel berikut (tetapi hal ini tidak diceritakan dalam bual bicara kerana tidak terfikir langsung) :-








Ia melibatkan bilakah Nabi Adam AS turun ke muka bumi menurut kitab juga menurut sains lalu bagaimana keturunan baginda berkembang biak sehingga membentuk bangsa Melayu yang ada pada hari ini. Untuk menjawab beberapa persoalan berkenaan saya telah menggunakan satu pendekatan yang belum pernah dibuat mana-mana pihak lalu membuat sendiri satu formula matematik. Boleh rujuk artikel-artikel berikut tentang perkara:-





Sedar tak sedar pelbagai perkara pun dikongsikan termasuk kenapa Khalifah keempat Islam iaitu Saidina Ali tidak mahu menunjukkan siapakah yang terlibat dalam pembunuhan khalifah sebelum itu iaitu Saidina Uthman lalu berperang dengan Muawiyah. Ini kerana cerita-cerita berkenaan membawa kepada penjelasan kenapa keturunan Nabi Muhammad SAW iaitu para Ahlul Bait paling banyak terdapat di Alam Melayu lalu disebabkan itulah nanti Islam akhir zaman akan bangkit daripada sebelah sini. Ditunjukkan pula blogspot CATATAN SI MERAH SILU dan kandungannya secara sepintas lalu supaya boleh dijadikan rujukan mereka yang berminat untuk tahu lebih lanjut tentang pengembaraan-pengembaraan saya dan hasil-hasilnya.


Sampai kepada satu video yang terpapar dalam blog saya diminta untuk memainkannya. Ia adalah tentang satu projek dokumentari televisyen yang dibuat sendiri setelah membuat penggambaran menggunakan video kamera biasa di Aceh. Tetapi akhirnya isinya diciplak lalu diterbitkan dengan cita rasa sendiri oleh sebuah stesyen televisyen yang baru hendak naik ketika itu. Lihat video atas...


Ditunjukkan pula bagaimana saya telah menyediakan sejumlah pautan cerita lama melalui artikel Bersedia untuk mengembara bersama Merah Silu melalui FB Live supaya mudah dicapai untuk dikongsikan kepada pembaca. Ditunjukkan sekali senarai perjalanan-perjalanan jauh yang telah dibuat seperti boleh dicapai melalui artikel Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain juga Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021.


Selepas itu baru ditunjukkan bagaimana kedudukan geografi Aceh menjadikan ia tempat pertama di Alam Melayu untuk para pendakwah dari Tanah Arab menjejakkan kaki selepas membuat perjalanan laut lalu mengatur saf dan tugas. Disebut sebab itulah ramai Ahlul Bait awal menyebar dari Aceh. Sebab itu Hikayat Raja-raja Pasai menyatakan akan muncul ramai wali dari bumi Samudera-Pasai (sekarang dalam Aceh) yang diasaskan oleh moyang saya, Merah Silu @ Sultan Malikus Saleh hampir 800 tahun lalu.


Punyalah banyak boleh dikongsikan sehingga dah lebih 2 jam pun masih diminta berkongsi pengalaman. Sehinggalah sudah hampir jam 12 tengah malam baru bual bicara dihentikan. Rakaman penuh boleh diikuti di atas. Sekian, selamat malam.


Rabu, Julai 13, 2022

Raya Haji dan Senduk Emas

Salam pagi Rabu 13 Zulhijjah 1443 Hijriah. Rasanya masih boleh mengucapkan selamat Hari Raya Haji atau Aidil Adha. Dengan itu biar dikongsikan satu cerita berkenaan.




Seperti kebanyakan anak Melayu dan Islam saya dan keluarga juga mengambil kesempatan untuk menyambut Hari Raya Haji di kampung apa lagi tahun lepas tidak dapat kembali akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak Covid-19. Lewat petang Jumaat 8 Julai 2022 kami pun bertolak dari rumah di Bandar Sungai Buaya untuk ke kampung ibu saya di Muar. Singgah di Bangi untuk satu urusan lalu sampai lewat malam. Sabtu 9 Julai sekadar duduk di rumah. Esoknya pagi Ahad 10 Julai bersamaan 10 Zulhijjah iaitu Aidil Adha baru keluar menunaikan solat raya di masjid berdekatan.




Petang itu keluar berjalan-jalan bersama isteri. Ziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah (Melaka) di Kampung Raja, Pagoh...



Kemudian berjalan-jalan ke bahagian lain daerah Muar termasuk ke masjid jamek...



Tengah hari Isnin 9 Julai  iaitu selepas 3 malam di kampung baru meninggalkan Muar untuk kembali ke Bandar Sungai Buaya.




Lalu jalan lama kemudian masuk ke pekan Jasin.



Memotong ke Nyalas untuk ke rumah kakak isteri di Felda Jelai...






Selepas jam 5 baru menyambung perjalanan dengan mengambil laluan ke Inas menuju ke Rembau.




Sekitar 3 bulan setengah lalu kami pernah mengambil laluan berkenaan tetapi daripada arah berlawanan untuk ke Kuala Pilah lalu terlihat papan tanda ini dalam kegelapan malam. Lihat artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'.




Tetapi ketika itu tidak dapat masuk ke makam kerana terletak dalam kawasan berpagar rumah orang dan sudah lewat malam. Kali ini baru dapat ziarah. Lihat artikel Makam (Tomb of) Senduk Emas di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Dengan itu lepaslah satu hajat tertunda. Hampir ke Rembau mula melalui kesesakan luar biasa. Dipendekkan cerita selepas membuat 2-3 lagi persinggahan sampailah ke rumah lewat malam. Didapati seluruh perjalanan memakan jarak 675 km. Sekian.