Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 28, 2025

Iktikaf 27 Ramadan di ISTAC - Tercapai hajat sempena hari lahir ke-56 menurut kiraan Islam

Salam Jumaat 27 Ramadan. Sukacita dimaklumkan pada tarikh ini genaplah umur saya 56 tahun menurut kiraan Islam/Hijriah. Kalau menurut kiraan Barat/Gregorian kena tunggu hampir 8 bulan lagi baru nak masuk umur 55 tahun. Ini ada cerita berkenaan. Bersambung gerak penulisan daripada artikel Iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Menyambung ke Ampang, Hulu Langat dan persekitaran Cheras.



Pagi Khamis 27 Mac 2025 bersamaan 26 Ramadan 1446 Hijriah. Bersedia untuk keluar bermusafir lagi, kali ini dengan menaiki motosikal besar kesayangan.




Pergi berseorangan ke kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Sementara itu isteri bekerja dari rumah ditemani anak-anak yang baru kembali bercuti dari tahfiz pada malam sebelumnya.




Saya mahu menyertai majlis seperti tertera dalam poster atas. Ia adalah pelancaran buku bertajuk "Ramuan Kebahagiaan" yang merupakan terjemahan ke dalam bahasa Melayu daripada buku Kimiya As-Saadah tulisan Imam Al-Ghazali. Guru merangkap penyelia tesis PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar telah memberitahu akan memberikan syarahan. Dalam  pertemuan lalu saya memberikan komitmen akan hadir.  Lihat Pantai Timur Ramadan 2025 - Ke Shah Alam diikuti majlis ilmu dan iftar di UIAM.



Sementara menunggu majlis bermula menyambung membaca beberapa muka surat Juz ke-29 Al-Quran...



Majlis turut dihadiri wakil daripada kedutaan Iran, lupa pula nama tapi daripada pusat kebudayaan. Beliau menyebut Imam Ghazali yang lahir tahun 1058 Masihi di Tus, Parsi, dalam negara Iran sekarang dan meninggal di situ tahun 1111 sebagai seorang tokoh Iran yang paling terkemuka dalam sejarah peradaban Islam. Buku atau kitab Kimiya as-Saadah merupakan ringkasan kumpulan kitab terkenal Ihya Ulumuddin yang dianggap karya terbesar Imam Ghazali, menjadi rujukan ramai sehingga sekarang. Satu perkara menarik, Ihya ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab seperti mana kebanyakan kitab-kitab agama Islam zaman itu. Tetapi Kimiya dituliskan dalam bahasa Parsi lalu sejak itu muncul banyak kitab agama dalam bahasa tersebut selain Arab.



Osman pula membuka syarahan dengan menyatakan bagaimana kitab Kimiya merupakan sesuatu yang peribadi buatnya. Beliau memberitahu mengenali kitab itu, dalam bentuk terjemahan ke Bahasa Inggeris, yang dibuat daripada terjemahan ke Bahasa Urdu, ketika membuat ijazah sarjana (Master) dalam bidang Matematik di University of London. Dari situ beliau kembali menekuni hal-hal keagamaan. Dinyatakan bahawa sebelum Imam Ghazali, ulamak dan cendiakawan Islam, Al-Farabi telah lebih dahulu menulis tentang cara-cara untuk mencapai kebahagiaan iaitu 200 tahun lebih awal.

Tetapi Al-Farabi lebih menumpukan pada kebahagiaan keseluruhan masyarakat besar, dalam konteks peradaban dan ketamadunan. Ghazali pula menulis lebih pada konteks peribadi setiap individu. Namun rencah atau ramuan bagi mencapai kebahagiaan itu tetap berakar umbi pada hal yang sama. Ia adalah melalui 'perkenalan' dengan Tuhan, membuat amalan-amalan bagi mendekatkan diri kepada Ilahi. Selain aspek zikir atau ingat pada Tuhan, kedua-dua tokoh menekankan aspek ilmu dan keintelektualan dalam mencapai kebahagiaan.



Selesai majlis selepas jam 11 saya ke masjid UIAM untuk beriktikaf.



Ternyata ramai beriktikaf di masjid itu. Ketika sampai didapati ada yang masih tidur, mungkin akibat penat berQiyamul Lail pada malam sebelumnya. Kanak-kanak pun ramai, siap ada yang bermain bola dan kejar-kejar dalam masjid. Nampaknya anak-anak pelajar berumur. Ada orang Arab, India, Pakistan, Afrika dan Cina dan pelbagai lagi. Semuanya kelihatan begitu selesa  membuat hal masing-masing, termasuk berkumpul dalam bulatan Halaqah majlis ilmu.




Sampai waktu solat Zohor masih lagi di sana. Untuk makluman di situlah ditulis artikel Iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Menyambung ke Ampang, Hulu Langat dan persekitaran Cheras lalu dipersembahkan jam 2.12 petang.



Selepas jam 4 baru hendak meninggalkan kawasan. Sebetulnya ada turun hujan. Saya bergerak setelah pasti hujan telah reda.



Tergerak untuk masuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur berjalan-jalan.




Selain melihat ragam orang ramai berpusu hendak membeli belah untuk beraya pergi ke beberapa tempat yang menjadi ikon ibu kota.







Sambung lagi bacaan. Di Pasar Seni dapat menghabiskan Juz 29.




Selepas jam 6 baru sampai ISTAC.



Menyambung bacaan Al Quran dengan beberapa muka surat Juz 30.




Selepas jam 7 baru ke perkarangan masjid ISTAC untuk persediaan berbuka puasa. Ketika itu isteri sudah sampai bersama anak-anak. Turut bersama anak perempuan yang bekerja dan menetap di selatan bandar raya, isteri ambil dekat Hentian Putra.






Seorang lagi anak, lelaki, sedang membuat latihan amali, juga di selatan bandar raya kemudian sampai dengan motosikal. Kami bersama-sama duduk atas tikar.



Gambar ini diambil ketika hendak memulakan solat Isyak berjemaah. Kemudian kami berTarawikh dan Witir.



Gambar ini pula diambil jam  5.22 pagi  Jumaat 28 Mac, setelah selesai melakukan Qiyamulail, bersolat Tahajud, solat Taubat, solat Hajat dan solat Tasbih. Kelihatan lantai basah akibat hujan. Alhamdulillah dapat bermalam dengan selesa kemudian bersahur dengan baki berbuka nasi Arab ke hapa ke nama (lain daripada Kabsah dan Mandey yang biasa kami makan).



Keadaan ketika hendak memulakan solat Subuh berjemaah. Pada ketika itu pun sudah merasa cukup puas kerana dapat bermalam dan beriktikaf di masjid ISTAC, pada malam 27 Ramadan yang merupakan tarikh kelahiran saya menurut kalendar Islam. Dan lagi pada malam Jumaat. Untuk makluman, saya lahir 56 tahun Hijriah dahulu pun pada malam Jumaat. Iktikaf jadi terlebih istimewa disebabkan di masjid ISTAC. Institusi ini adalah lambang wawasan keilmuan untuk masa hadapan juga perjuangan bagi memartabatkan ummah.




Jam 10.12 pagi berjaya mengkhatamkan bacaan Al Quran bagi bulan Hijriah/Islam ini. Selepas itu tidur berehat dalam 20 minit kemudian mandi bersalin pakaian lalu ke pejabat ISTAC untuk satu urusan. Dalam kesibukan asyik berjalan sejak awal Ramadan (lihat Balik kampung Ramadan 2025 diikuti Pantai Timur Ramadan 2025) terlupa bahawa semester baru, semester kedua saya sejak memulakan pengajian peringkat PhD Oktober lalu telah bermula awal Mac lalu belum melakukan formaliti mendaftar.




Masuk waktu solat Jumaat pergi kembali ke masjid ISTAC...




Memang termasuk hajat saya untuk 27 Ramadan bersolat Jumaat di sini, apa lagi sudah beriktikaf dan menginap malam sebelum itu. Selama ini tak sempat untuk bersolat Jumaat di ISTAC pada bulan Ramadan. Baru kini berkesempatan, pada Jumaat terakhir bulan.



Selepas solat Jumaat disambung penulis artikel ini. Sebetulnya selepas Subuh telah menulis hingga sebelum gambar menunjukkan khatam Al Quran, kerana gambar diambil kemudian. Dengan itu tercapai sepenuhnya hajat sempena hari lahir ke-56 menurut kiraan Islam iaitu hendak beriktikaf malam 27 Ramadan di masjid ISTAC kemudian menunaikan solat Jumaat. Selepas ini bolehlah kembali ke rumah dengan hati lapang. Boleh sambung berehat. Selepas tengah malam karang dijangka akan keluar bermusafir lagi, kali bersama isteri dan anak-anak untuk kembali beraya di Muar.


Tiada ulasan: