Salam. Adapun sejak Isnin lalu iaitu sejak kembali daripada perjalanan baru ke selatan setiap hari saya ada menyajikan cerita tentang perjalanan. Di celah-celah itu juga ada menyajikan cerita tentang majlis ilmu. Tapi semalam langsung tiada. Ia disebabkan kesibukan yang tiba-tiba muncul lalu mengambil masa sepenuh hari malah hingga lewat malam. Biar dikongsikan cerita.
Awal pagi semalam Sabtu 4 Disember 2025. Seorang saudara dua pupu keturunan Laksamana Muhammad Amin menelefon untuk mengajak menyertai mesyuarat ahli jawatankuasa bertindak kami di Bangi. Ada beberapa isu mahu dibincangkan susulan daripada keputusan mahkamah tentang kes faraid hartanah Laksamana (lihat artikel lama
Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan). Antaranya :-
1. Rayuan yang dibuat oleh satu pihak yang pernah mengemukakan dakwaan bahawa sebuah makam di kawasan pemakaman keluarga kami di Batak Rabit adalah makam datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Dakwaan telah ditolak oleh mahkamah atas alasan laporan yang dibuat satu pasukan pengkaji asuhan nama besar dalam dunia arkeologi bagi menyokong dakwaan adalah bersifat prejudis atau berat sebelah. Kerana pihak berkenaan dilihat boleh mempengaruhi pasukan supaya membuat laporan menurut kehendaknya.
Kami pula tahu tanpa ragu-ragu bahawa dakwaan dibuat atas salah baca tulisan pada batu nesan. Kami ada pakar lain untuk mengesahkan lalu tahu itu sebenarnya adalah makam seorang kerabat lain bernama Che Tambah bin Laksamana Hussein. Namun belum dapat dipastikan apakah rayuan dibuatkan dengan mengemukakan laporan sama atau bagaimana. Yang pasti pihak tersebut sampai sekarang masih bertegas itu adalah makam Arshad.
Gambar atas diambil selepas meninggalkan mesyuarat untuk menuju ke Raub. Sebetulnya beberapa minit selepas mendapat panggilan untuk menyertai mesyuarat saya mendapat berita seorang adik sepupu baru meninggal dunia. Sepupu ini sangat rapat dengan saya semasa zaman kecil-kecil dahulu. Saya, adik bawah saya, sepupu yang sebaya dengan adik, juga seorang adik kepada sepupu selalu mengikut saya masuk hutan di belakang rumah Nenek, ibu kepada bapa saya di Raub.
Saya meninggalkan mesyuarat sekitar jam 1.30 petang. Ini supaya dapat mensolatkan jenazah yang katanya akan dibawa ke masjid pada jam 4 petang. Ketika itu mesyuarat masih berjalan sekitar hal rayun dan makam, bagaimana kami harus menanggapinya. Ini kerana proses rayuan dilihat boleh mengganggu peringkat seterusnya usaha iaitu mendapatkan sijil faraid daripada mahkamah.
Untuk itu kami telah diminta mengumpul balik segala dokumen yang membuktikan hubungan darah dengan Laksamana Muhammad Amin membawa kepada jalur keturunan masing-masing lalu diserahkan kepada mahkamah. Tetapi tempoh yang diberikan adalah terhad. Kalau tidak diselesaikan dalam tempoh berkenaan keluarga belah kami (ya, ada keluarga belah lain yang sedaya upaya cuba menidakkan kami) boleh kehilangan bahagian. Sedangkan pemakluman itu sendiri diterima lambat. Terasa seperti ada usaha untuk melengahkan supaya kami terlepas had.
Seterusnya mahu dibincangkan adalah :-
2. Wujudnya usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk memujuk ahli keluarga supaya memberikan LA (Letter of Attorney), ada juga sebut Power of Attorney kepada mereka. Tetapi biasa orang sebut singkat sebagai LA. Kalau PA dah macam Personal Assistant tak pun Public Announcement. Ini adalah surat kuasa untuk menguruskan semua hartanah milik Laksamana Muhammad Amin tidak kira di manakah ia berada.
Kami takut ada ahli keluarga termakan pujuk lalu menandatangani. Kami termasuk saya sendiri sebagai seorang waris utama Laksamana pernah dipujuk. Berdasarkan apa yang dapat ditelaah melalui terma-terma yang diberikan, apabila dikaji dengan lebih teliti, sangat mengikat dan boleh merugikan hingga ke anak cucu. Namun boleh jadi sangat menguntungkan kepada individu yang dapat dipujuk.
Misalnya saya sendiri pernah ditawarkan 5% daripada nilai pampasan tanah Laksamana di Mekah yang telah diambil alih oleh kerajaan Arab Saudi bagi projek pembesaran Masjidil Haram yang bermula tahun 2008 kalau bersetuju untuk memberikan LA. Katanya, keluarga kami tidak perlu mengeluarkan walau sesen pun bagi proses mendapatkan pampasan. Kos ditanggung mereka sepenuhnya lalu diganti balik daripada komisyen.
Pampasan dikatakan bernilai lebih RM1 billion. Walaupun jauh lebih rendah daripada nilai sebenar hartanah berdasarkan harga semasa iaitu lebih RM4 billion, ia masih sangat sangat lumayan. Cuma pihak berkenaan mahu mengambil komisyen 40%. Ini katanya adalah belanja bagi proses perundangan dan beberapa perkara lain termasuk harus memberikan bahagian kepada orang-orang tertentu dalam kerajaan Arab Saudi.
Tawaran 5% adalah daripada 40% itu. Baki 60% yang akan difaraidkan kepada saudara mara. Daripada baki itu ada bahagian bapa yang boleh turun kepada saya.
Peghh. Boleh bulau mata jadinya. 5% tu lebih RM50 juta woo. Tapi saya tahu itu adalah tidak patut lalu tidak menerima. Tetapi bagaimana pula ahli keluarga lain? Malah kami dapat tahu bahawa pada malam sebelumnya, 3 Disember telah berlaku satu pertemuan yang mana ada 'cucu' Laksamana sedang dipujuk pihak berkenaan bagi memberikan LA.
Kenapa disebut 'cucu', ada tanda kurungan? Ini membawa kepada satu lagi hal :-
3. 'Cucu' berkenaan adalah anak kepada seseorang yang telah sekian lama dinyatakan dalam rekod-rekod rasmi seperti salasilah termasuk dalam simpanan istana sebagai anak bongsu Laksamana Muhammad Amin. Disebabkan itu orang tersebut dapat menjadi Laksamana. Begitu juga seorang anak kepada orang tersebut. Sedangkan saya telah menemui bukti-bukti kukuh menunjukkan bahawa orang tersebut sebenarnya lahir 3 tahun selepas Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904.
Bukti-bukti ini terlalu nyata kerana termasuk surat sumpah (statutory declaration) orang tersebut sendiri bahawa beliau lahir tahun 1907. Surat sumpah dibuat tahun 1958 kerana mahu pencen awal daripada perkhidmatan awam pada umur 50. Selain itu ada dokumen-dokumen belanjawan British yang menyokong malah sebenarnya ada dalam surat petisyen atas nama beliau yang dikemukakan pihak lawan untuk mendakwa moyang saya Orang Kaya Arshad meninggal dunia sebelum bapanya Muhammad Amin.
Walaupun belum ditunjukkan kepada umum saya telah memberikan sedikit bunga dalam buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" (terbit Mei 2023). Saya sedang berkira-kira hendak mewar-warkannya seantero dunia jika ada yang masih berdegil mahu kami bersetuju memberikan LA atas alasan patut ikut 'pimpinan' 'cucu.' Kerana cucu letaknya cuma 2 generasi daripada Muhammad Amin sedangkan orang seperti saya sudah jauh ke bawah jadi generasi ke-5. Walaupun saya adalah daripada belah waris utama Muhammad Amin iaitu Orang Kaya Arshad dan tak putus talian keturunan dari laki-laki ke laki-laki. Walaupun adalah anak sulung kepada bapa yang merupakan anak sulung kepada bapanya. Walaupun bapa kepada bapa bukan anak lelaki sulung kerana ada abang, saya adalah cicit sulung kepada anak sulung Orang Kaya Arshad.
Difahamkan pihak 'cucu' Laksamana Muhammad Amin itu sendiri sedang berbalah dengan satu jalur lain walaupun mereka pernah bersama melawan pihak saya di mahkamah. Difahamkan sehingga sampai peringkat ada kemungkinan jalur lain yang juga berketurunan Sultan Perak zaman moden itu mungkin akan mendedahkan fakta bahawa bapa kepada cucu tersebut memang lahir 3 tahun selepas Muhammad Amin meninggal dunia, satu fakta yang sudah lebih seabad disimpan kemas. Maka pergi pada satu lagi hal :-
4. Kami mendapat tahu pihak tempatan yang meminta diberikan LA sedang berusaha untuk mengubah sejarah. Mereka mahu menerbitkan naratif bahawa Laksamana Muhammad Amin meninggal dunia pada tahun 1908, bukannya 1904. Dengan itu 'anak bongsu' Muhammad Amin yang lahir tahun 1907 tidak lagi boleh dipersoalkan status sebagai anak.
Saya faham bagaimana naratif ini boleh diterbitkan. Ini kerana saya sendiri pernah menulis Laksamana Muhammad Amin sebagai meninggal dunia tahun 1908. Itulah yang dinyatakan di dada-dada akhbar ketika jasad almarhum dibawa kembali ke Perak selepas lama disemadikan dalam buangan di Singapura, tak tahulah mana sumber yang dipakai. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-
Apabila mula aktif terlibat dengan kes faraid harta Muhammad Amin (seperti boleh dilihat dalam artikel
Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan) baru tahu almarhum sebenarnya meninggal dunia 1904. Selain ditunjukkan dokumen hospital Singapura menyatakan itu saya sendiri menemui beberapa dokumen Arkib Negara yang memberikan kata muktamad. Pendek kata, tiada keraguan Muhammad Amin kembali ke rahmatullah pada tahun tersebut. Begitu juga tiada keraguan bahawa 'anak bongsu' beliau sebenarnya lahir tahun 1907.
Tapi tu le. Macam-macam boleh berlaku. Sekarang ini zaman kebathilan sedang berleluasa. Duit punya pasal apa pun boleh diubah. Dokumen yang sahih boleh ditolak atas alasan tidak dihadirkan 'pihak berkompeten' untuk disoal balas. Kajian terperinci, walaupun dikeluarkan oleh istana, boleh diketepikan atas alasan cuma dikeluarkan setahun dua selepas perbicaraan bermula. Seolah-olah kajian boleh diubahsuai untuk menyokong hujah. Keputusan yang sudah ditangguh beberapa kali kemudian dinyatakan sudah mencapai keputusan, siap segala hujah, boleh ditangguh sekali lagi. Seolah-olah ada pihak yang memiliki kuasa lebih awal mendapat tahu lalu apabila keputusan dilihat boleh merosakkan kepentingan diberikan arahan supaya di'perhalusi' lagi agar tidak menggugat. Cukup 'syarat' baru boleh dikeluarkan.
Ini membawa kepada perkara seterusnya :-
5. Tak mustahil dokumen-dokumen di Arkib Negara boleh 'dihilangkan'. Dalam kes 'anak bongsu' ini sudah lebih seabad diterima sebagai anak Laksamana Muhammad Amin. Sehingga sendiri dapat menjadi Laksamana, begitu juga seorang anaknya. Anak cucu, waris-waris sudah lama berbangga sebagai ahli keluarga Laksamana. Sehingga timbul hal 'cucu' yang dilihat sebagai waris 'terdekat' Laksamana Muhammad Amin sedang dipujuk untuk menandatangani LA itu. Lalu 'cucu' pula menyatakan mahu menyatukan semua anak cucu Muhammad Amin, supaya semua mendapat faedah daripada faraid. Disebabkan itulah katanya mahu memberikan LA kepada pihak berkenaan. Kerana mereka dilihat sebagai yang terbaik mampu melicinkan perkara.
Fikir saya pula, selain hal pihak berkenaan yang boleh dipersoalkan. Kalau sungguh mahu menyatukan anak cucu, kenapa dahulu, sebelum kes mahkamah bermula, tak pernah pun cari saudara mara belah saya walaupun kami adalah daripada waris utama Muhammad Amin? Kenapa tidak beritahu mereka ada salinan geran tanah abad ke-19 di Mekah? Bukan tak boleh cari. Waris kami ramai. Anak cucu Orang Kaya Arshad ada 3 orang pernah menjadi Laksamana.
Ini tidak. Apabila kami mahu masuk menuntut sama disoal kesahihan sebagai waris. Apabila dah jadi kes mahkamah ada pihak belah sana malah menyatakan, mereka sudah mengusahakan tuntutan sejak tahun 80an. Dipersoalkan di manakah kami ketika itu? Kenapa baru sekarang hendak masuk menuntut? Sedangkan yang sepatutnya berlaku adalah kalau terjumpa geran beritahulah semua saudara mara kemudian tuntut bersama. Begitulah yang sepatutnya menurut agama. Bukan siapa yang jumpa dan tuntut dulu dia yang berhak.
Sebelum meninggalkan mesyuarat saya ada berkongsikan pendapat isteri :-
6. Patut buat repot polis untuk melindungi daripada terikat dengan perjanjian yang orang lain mungkin tandatangani atas alasan mewakili kepentingan semua anak cucu Laksamana Muhammad Amin sedangkan kita tidak pernah bersetuju. Apatah lagi jika yang menandatangani itu sebenarnya bukan anak cucu Muhammad Amin.
Kita juga kena menghadapi kemungkinan terpaksa berhadapan dengan pihak-pihak yang mempunyai kuasa dan kekuatan untuk menganggu proses keadilan. Kena siap sedia dengan kemungkinan dokumen-dokumen sahih 'dihilangkan'. Zaman sekarang, kalau dokumen sahih tidak dapat dihilangkan sekalipun boleh dilakukan sesuatu supaya diisytiharkan sebagai palsu. Yang palsu pula diisytiharkan sebagai benar.
Dengan ini cukuplah perkongsian. Asalnya sekadar hendak bercerita harus ke mesyuarat di Bangi kemudian ke Raub untuk pengkebumian seorang sepupu yang dahulu sangat rapat. Sempatlah solatkan jenazah. Ketika hendak menunggu mesyuarat di Bangi lagi sempat membaca setengah juzuk Al Quran untuk proses pengkhataman bulan Rejab. Ketika menunggu solat jenazah sambung lagi di masjid, ketika menunggu jenazah dikambuskan dalam liang lahad dapat selesai juzuk.
Kemudian ziarah kubur Nenek seterusnya ke rumah peninggalan almarhum bertemu adik kepada bapa yang menetap di rumah, ibu kepada sepupu yang meninggal itu. Selepas itu singgah ke rumah adik bongsu bapa. Alhamdulillah dapat bertemu ramai saudara mara dalam keadaan lebih harmoni. Sebelum ini ada yang dilaga-lagakan oleh pihak tertentu disebabkan kes faraid harta Laksamana di mahkamah yang mengambil masa lebih 2 tahun untuk mendapat keputusan.
Sampai ke rumah dekat tengah malam didapati saya telah memandu 350 km sejak meninggalkan rumah. Memang tiada kelapangan untuk menulis apa-apa di CATATAN SI MERAH SILU. Siapa sangka disebabkan hendak menyatakan kenapa tidak menulis semalam pagi ini terkeluar macam-macam. Ketika habis menulis ayat didapati jam menunjukkan 9.04. Macam hendak menyambung mensahihkan lagi fakta bahawa Laksamana Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan