Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Oktober 14, 2023

Uthmaniyah dan Dunia Melayu - Renungan semasa terhadap sejarah, kebudayaan dan ekonomi

Nampaknya kali ini berturut-turut saya bercerita tentang ilmu. Sejak mempersembahkan artikel Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia pada 30 September hingga Asal usul kepercayaan terhadap 'Datuk Keramat' dalam masyarakat Cina semalam 7 buah artikel daripada  majlis ilmu yang dihadiri secara fizikal atau diikuti secara atas talian telah dikongsikan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Sekarang ada lagi satu dan esok, insyaallah akan ada lagi satu. Semuanya nampaknya disebabkan apa yang dinyatakan dalam artikel Kenapa kena rajin menulis? pada 27 September.



Dalam artikel Masa hadapan tamadun dunia Melayu dan sumbangannya terhadap wacana pembangunan mampan yang ditulis hari Rabu 11 Oktober 2023 ada dinyatakan saya tidak dapat hadir secara fizikal ke lokasi majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang itu kerana perlu mengambil anak kembali daripada aktiviti kokurikulum di sekolah rendah jam 3.20 petang. Dan lagi saya sudah merancang untuk bermusafir petang Jumaat hingga petang Ahad demi mengikuti majlis-majlis ilmu di Kuala Lumpur. Isnin malam Selasa pula harus bergerak ke Ipoh untuk beberapa urusan di Perak sehingga Khamis malam Jumaat. Jadi cukuplah diikuti secara atas talian.

Petang Jumaat yang dimaksudkan iaitu semalam 13 Oktober saya pun ke Universiti Malaya lalu terbitlah artikel Asal usul kepercayaan terhadap 'Datuk Keramat' dalam masyarakat Cina pada malamnya. Selepas itu bermalam di rumah kawan di Desa Sri Hartamas supaya mudah pergi ke majlis berikut di ISTAC. Itulah majlis yang disebut dalam  poster atas. Bermula tadi pagi Sabtu 14 Oktober hingga petang kemudian bersambung esok pagi Ahad 15 Oktober hingga petang juga, tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Uthmaniyah dan Dunia Melayu - Renungan Semasa terhadap Sejarah, Kebudayaan dan  Ekonomi".





Memang menarik tajuk utama yang dipaparkan. Apatah lagi apabila membaca tajuk setiap pembentangan yang diterima melalui WhatsApp. Maka bergeraklah saya ke ISTAC pagi tadi untuk mengikuti acara. Dalam masa sama isteri pula merancang untuk membawa dua orang anak pergi ke Janda Baik untuk bertemu seorang lagi anak yang sedang belajar di ma'ahad tahfiz bagi menyambut hari lahir ke-14 beliau yang jatuh semalam 13 Oktober.




Ada rasa sedikit sayu ketika menulis ayat tadi. Sebagai bapa tentunya ada rasa mahu bersama anak menyambut hari lahirnya. Namun itulah antara pengorbanan yang perlu dilakukan bagi orang yang sayangkan ilmu. Saya pergi ini bukan untuk sijil atau mendapatkan apa-apa 'mata' (points). Bukan untuk rub shoulders with important people dan sebagainya. Sejak beberapa lama saya lebih suka menyendiri, tidak peduli lagi kepentingan sosial, bagaimana orang melihat diri ini dan sebagainya. Sudah berapa banyak majlis ilmu dihadiri dengan mengorbankan masa, wang ringgit dan sebagainya malah diulas pula dalam blogspot lalu dipanjangkan kepada umum tanpa mendapat ganjaran apa-apa. Kecuali demi memenuhi naluri suka menulis sebagai seorang bekas wartawan, juga mendapat terapi diri dan menajamkan minda/senaman otak gitu.




Mula-mula ada sesi pembukaan yang mana beberapa orang penting memberikan ucapan berkenaan hala tuju majlis/wacana.







Kemudian dibuat pelancaran buku bertajuk "The Middle East and the Malay World : Contemporary Issues and Future Challenges" (Timur Tengah dan Dunia Melayu : Isu-isu Semasa dan Cabaran Masa Hadapan).




Dikongsikanlah bahawa salah seorang penyumbang bab dalam buku telah terkorban dalam serangan Israel terhadap wilayah Palestin Gaza baru ini. Penyumbang yang dimaksudkan,  Dr. Mohamad J. Alzaneen baru sahaja 2 bulan kembali ke tanah air, setelah tamat pengajian peringkat PhD selama 5 tahun di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia). Rumahnya dibom lalu 20 ahli keluarga termasuk beliau, isteri dan anak-anak terkorban.




Selepas rehat bagi sarapan pagi pembentangan pertama pun dibuat oleh Prof. Dr. İsmail Hakki Kadı, daripada Jabatan Sejarah, Istanbul Medeniyet University (IMU).




Tajuk yang dibawa boleh diterjemahkan sebagai "Saiyid Muhammad bin Ahmad Alsagoff (Nong Chik, 1836-1906 dalam Perhubungan Uthmaniyah di Asia Tenggara". Ia tentang tokoh berkenaan yang berbangsa Arab-Hadhrami, seorang pedagang kaya yang berpengkalan di Singapura dan bagaimana beliau menjadi jambatan antara hubungan orang Melayu, terutama Sultan Abu Bakar Johor dengan Istana Uthmaniyah.




Menurut senarai tentatif atur cara, pembentang kedua., Prof Dr Ahmad Murad Merican daripada ISTAC akan membawa tajuk "Imej Uthmaniyah dan Turkey dalam akhbar Melayu sebelum Perang Dunia Pertama". Tengok-tengok pembentang lain iaitu Prof Madya Dr Mehmet Ozay, juga daripada ISTAC menggantikannya. Tajuk yang dibawa pun bertukar menjadi "Sejumlah Renungan terhadap Sosio-Politik Turki Dalam Akhbar Venakular di Kepulauan, 1920-1940an".




Rupa-rupanya Ahmad Murad tidak dapat hadir atas sebab tertentu sementara Mehmet adalah pembentang ketiga. Jadi dianjakkan terus menjadi pembentang kedua. Secara rata apa yang dikongsikan adalah tentang bagaimana akhbar-akhbar di Kepulauan Melayu mengikuti perkembangan sosiopolitik di Turki dan bagaimana melaporkannya.




Akhbar-akhbar yang dijadikan rujukan kelihatan rata-rata daripada wilayah-wilayah yang bakal membentuk negara Indonesia, bukan negara Malaysia. Kelihatan mereka semasa itu seperti memandang tinggi Kamal Attarturk sebagai tokoh 'penyelamat Turki'. Walhal daripada perspektif lain yang kesan sebenarnya cuma dapat dilihat beberapa dekad kemudian Attarturk yang menjatuhkan sistem Kekhalifahan juga Kesultanan Uthmaniyah bagi menerbitkan negara moden Republik Turki adalah penghancur penghayatan syumul Islam di sana.








Sesi petang pula bermula dengan pembentangan keempat yang dianjakkan menjadi pembentangan ketiga jam 2.30. Tetapi saya masuk lewat lalu cuma dapat mengikuti soal jawabnya sahaja.




Pembentang, Encik Syafir Mardi daripada Jabatan Pengajian Melayu di National University of Singapore  (NUS) membawa tajuk "Pemberontakan Sepoi Singapura 1915 dan  Hubungan Empayar Uthmaniyah". Ia adalah tentang bagaimana satu ketumbukan askar sepoi beragama Islam yang berkhidmat dengan British memberontak kerana mendapat berita mahu dihantar ke Eropah untuk berperang melawan askar Turki Uthmaniyah yang  seagama.




Pembentang seterusnya En Tayfun Akgun daripada ISTAC membawa tajuk "Daripada Gundik Uthmaniyah hingga Sultanah Johor : Cerita Khadijah Hanum."








Ia bertujuan untuk mengupas asal usul, siapakah watak berkenaan yang kemudian dapat menjadi isteri kepada Sultan Abu Bakar Johor lalu diangkat menjadi Sultanah.




Pembentang kelima, Dr Alaeddin Tekin daripada Jabatan Sejarah dan Sains Sosial di University of Ankara membawa tajuk "Melangkaui Pan-Islamisma - Memahami Polisi Kekhalifahan Uthmaniyah di Asia Tenggara".




Ini adalah pembentangan yang paling saya suka.




Ia menceritakan perhubungan kerajaan Turki Uthmaniyah, sebagai satu entiti yang dianggap sebagai Kekhalifahan pelindung seluruh Islam, dengan Alam Melayu, bagaimana ia dilihat bermula pada abad ke 16 Masihi melalui pehubungan diikuti bantuan ketenteraan kepada kerajaan Aceh yang semasa itu sedang giat melawan penjajahan Portugis (yang berjaya menakluki Kota Melaka tahun 1511).
















Namun ada berlaku kesenjangan perhubungan selama dua abad sebelum ia bertaut kembali pertengahan abad ke-19. Ketika itu Uthmaniyah tidak sekuat dahulu dan sedang menghadapi ancaman negara-negara gabungan Kristian Eropah yang mahu menghancurkannya. Sedangkan negeri-negeri di Alam Melayu pula sibuk memohon naungan perlindungannya akibat kuasa-kuasa Barat terutama British dan Belanda semakin mengancam. Lalu Uthmaniyah tetap cuba membantu tetapi lebih melalui soft power, iaitu cara diplomatik dan sebagainya, bukan melalui hard power seperti bantuan ketenteraan yang pernah diberikan masa lalu.




Maka itu didirikan satu kedutaan di Singapura (yang berada di bawah kuasa British) tahun 1865.




Kemudian didirikan kedutaan di Batavia (Jakarta) yang berada di bawah kekuasaan Belanda.




Akhir sekali adalah pembentangan oleh Dr Murat Yas daripada Institute of Islamic Economics and Finance, Marmara University. Beliau membawa tajuk "Sejarah Inovasi Kewangan Islam : Daripada Empayar Uthmaniyah ke Asia Tenggara".




Ini adalah tajuk saya paling kurang gemar kerana sifat diri yang tidak sukakan perkara-perkara materialistik.




Namun saya berusaha untuk faham kerana sudah realiti dunia, perlukan sumber kewangan untuk maju ke hadapan.




Yang penting janganlah terpalit dengan unsur-unsur riba' yang diharamkan tetapi boleh dihalalkan dengan kaedah "silap mata" yang  kelihatan seperti jual beli yang dihalalkan. Tetapi hakikatnya mengambil untung berlebihan, namun nak tak nak ramai terpaksa terima disebabkan memerlukan bantuan modal. Pada saya itulah hakikat riba. Pada saya kewangan Islam yang sebenar berdiri atas niat bukan hendak mencari untung. 

Tetapi diakui adakalanya perlu mencari untung bagi menjayakan sesuatu demi kemaslahatan ummah. Namun ia bukan memperkayakan diri sendiri lalu diberilah alasan macam-macam. Maka dicarilah segala macam dalil bagi menghalalkan. Itulah "silap mata" yang dimaksudkan. Untuk mengikuti sendiri perjalanan majlis sila tonton rakaman di sini.


Tiada ulasan: