Salam semua. Pergi pada hari kedua majlis ilmu berkenaan. Bersambung daripada Uthmaniyah dan Dunia Melayu - Renungan semasa terhadap sejarah, kebudayaan dan ekonomi.
Pagi Ahad 15 Oktober 2023. Selepas bermalam sekali lagi di rumah kawan di Desa Sri Hartamas saya pergi lagi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, bagi mengikuti hari kedua majlis ilmu atau seminar tentang Uthmaniyah dan Dunia Melayu.
Kali ini saya sampai ketika pembentangan pertama hari itu sudah masuk sesi soal jawab. Dibawa oleh Dr Nurul Ain Norman, tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Bahasa, Pemikiran dan Ketamadunan : Menganalisa Hubungan yang Terjalin antara Dunia Turki dan Melayu". Penekanan diberikan terhadap bagaimana bahasa mempengaruhi pemikiran dan ketamaduan antara dua pihak.
Selepas rehat bagi sarapan pagi diadakan pembentangan kedua hari itu, oleh Prof. Dr Ismail Hakki Goksoy daripada Jabatan Sejarah dan Kesenian Islam, Suleyman Demirel University di Turki. Beliau membawa tajuk "Sheikhul Islam Uthmaniyah di Filipina : Mehmet Vecih Efendi".
Ia adalah tentang bagaimana masyarakat Islam Moro di Filipina (yang sedang berada di bawah kekuasaan Amerika Syarikat) memohon kehadiran seorang tokoh agama daripada kerajaan Uthmaniyah yang mana permohonan disampaikan melalui seorang pegawai tinggi Amerika yang simpati kepada mereka.
Warga tersebut dapat menyampai permohonan ke pusat kerajaan Uthmaniyah di Istanbul.
Lalu pada tahun 1914 dihantarlah Mehmet Efendi, seorang tokoh agama berdarah Sayyid daripada keluarga Gilani (keturunan anak cucu Sultan Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, hidup di Baghdad 1,000 tahun lalu).
Ini diikuti pembentangan bertajuk "Memupuk Harapan : Kehadiran Konsulat Uthmaniyah di Batavia, 1882-1924" oleh Dr Syed Alwi al-Attas daripada UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia).
Diceritakanlah, walaupun Belanda adalah satu kuasa penjajah yang giat berusaha untuk menundukkan negeri-negeri di Alam Melayu namun ada hubungan diplomatik dengan Uthmaniyah di Eropah yang memberikan ruang bagi kerajaan Kekhalifahan Islam itu melakukan sesuatu.
Zaman itu Uthmaniyah tidak sekuat dahulu berbanding negara-negara Eropah. Dan lagi, ia sering menghadapi ancaman perang daripada gabungan kuasa-kuasa Kristian di benua itu.
Namun kekuatan yang masih adalah itu, walau tidak sehebat dahulu, yang memberikan ruangan untuk membuat rundingan diplomatik sehingga berdiri satu konsulat atau kedutaan Uthmaniyah di Batavia (sekarang Jakarta) tahun 1882.
Dari situ dapat dilakukan usaha-usaha untuk membantu warga tempatan menangani penjajahan Belanda tanpa melakukan perlawanan secara terang-terangan.
Pembentang keempat Dr Wasamon Sanasen daripada King Mongkut's Institue of Technology Ladkrabang di Thailand pula membawa tajuk "Jejak Seni Uthmaniyah dalam Seni Bina Orang Islam di Bangkok dan Sekitar".
Diceritakan bahawa seorang putera raja Thai pernah memimpin satu rombongan ke Istanbul penghujung abad ke-19 Masihi.
Ia dilihat antara sebab kenapa motif-motif Uthmaniyah boleh muncul di masjid-masjid dan rumah-rumah orang Islam di Bangkok dan sekitar.
Selepas rehat makan tengah hari pembentang kelima En. Haziq Hakimi dari National University of Singapore membawa tajuk "Lindung Nilai sebagai Polisi Luar Negara Turki semasa Perang Dunia Kedua".
"Lindung nilai" adalah terjemahan bagi perkataan bahasa Inggeris "hedging" dalam tajuk asal. Terma yang berasal daripada dunia kewangan ia membawa maksud melabur dalam lebih daripada satu alat/instrumen kewangan yang berkaitan. Misalnya saham-saham syarikat berbeza tetapi terkait sehingga kalau satu susut nilai, yang lagi satu mesti naik sebagai tindak balas bagi penyusutan saham berkenaan. Dengan itu nilai keseluruhan pelaburan boleh kekal seimbang.
Dalam konteks Perang Dunia Kedua itu Turki mengambil sikap neutral iaitu berbaik-baik dengan kedua-dua belah pihak yang berlawan tanpa menyebelahi sesiapa. Selepas beberapa lama perang berlangsung sehingga ternyata satu pihak jelas akan menang baru disokong pihak tersebut lalu tidaklah dihukum sebagai penyokong pihak yang kalah seperti pernah dialami mereka semasa Perang Dunia Pertama.
Pembentang keenam En. Ahmed Cagri Inan daripada Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM) membawa tajuk "Hubungan Turki-Malaysia : Jejak Siri Televisyen Turki di Malaysia, 2017-2023".
Setelah menerangkan hala tuju pembentangan diberikan sedikit latar belakang sejarah perhubungan diplomatik Turki dan Malaysia sejak tahun 1964 hingga sekarang.
Diberikan sejarah perkembangan industri siaran televisyen di Turki kemudian di Malaysia sebelum ditunjukkan bagaimana banyak cerita bersiri Turki telah menjadi tontonan ramai di Malaysia sejak tahun 2017. Ini diikuti hasil tinjauan yang dibuat tentang tahap penerimaan mereka terhadap siri. Misalnya apakah jadi lebih berminat untuk ke Turki setelah menonton siri? Aspek apakah tentang Turki yang paling menarik perhatian? Sejarah? Budaya atau bagaimana.
Akhir sekali adalah pembentangan bertajuk "Nursi dan al-Attas : Sumber-sumber Intelektual Menentang Sektarianisme". Ia disampaikan oleh Prof Dr Syed Farid al-Attas tanpa bantuan slaid. Secara rata beliau mahu mengenengahkan pemikiran dua tokoh besar Islam iaitu Said Nursi di Turki (1877-1960) dan Syed Hussein al-Attas (1928-2007, ayahanda Syed Farid sendiri) sebagai hujah bagi merenggangkan ketegangan antara orang Islam bermazhab Sunni dengan bermazhab Syiah. Ini supaya dapat saling menerima dan hidup lebih harmoni walaupun ada perbezaan pegangan dalam hal-hal tertentu. Sila tonton sendiri melalui rakaman di
sini.
Sebenarnya saya cuma dapat balik ke rumah lewat malam tadi kerana ada urusan di Cheras kemudian Subang Jaya. Petang ini pula mahu bermusafir lagi ke Perak kerana esok pagi Selasa 17 Oktober ada lagi sesi perbicaraan mahkamah di Ipoh melibatkan harta moyang, atau lebih tepat moyang kepada datuk saya iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah. Pagi Khamis 19 Oktober dijadualkan membentang dalam satu majlis yang bakal dihadiri Menteri Besar Perak dan ketua-ketua pasukan keselamat negeri. Insyaallah akan dikongsikan cerita dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan