Keadaan jiwa saya yang sebenar ketika majlis disembunyikan demi meraikan kawan-kawan. Ketika artikel ditulis 6 hari selepas majlis baru diluahkan sedikit rasa dengan menyebut beberapa perkara di celah cerita perjalanan majlis. Biar diatur seperti berikut :-
Pada perenggan pengenalan ada disebut begini :-
Atas sebab-sebab tertentu yang akan diterangkan kemudian saya akan berhenti daripada menulis dan menambah artikel baru apabila jumlah mencapai 333. Hal ini sebenarnya sudah difikirkan sejak saya kembali dari Aceh 23 Mac. Ini akan berkuat kuasa buat suatu masa yang panjang. Kiranya saya cuma menghitung hari sahaja sebelum menyepikan diri.
Pada bahagian pertengahan pula disebut begini :-
Sesungguhnya sejak HIKMAH diasaskan pada 12 Oktober 2012 sehingga sudah mengadakan 20 acara di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh banyak perkara sudah kami lakukan secara langsung atau tidak langsung yang membantu menaikkan kawan-kawan dan persatuan-persatuan silat, budaya dan aktivis busana tradisional Melayu. Tak perlulah disenaraikan bagaimana, yang nyata terlalu banyak. Cuma saya hendak menyatakan ini kerana sejak kebelakangan ada rasa terkilan akibat sikap setengah orang yang mendapat faedah daripada jaringan kawan-kawan HIKMAH tetapi tidak mengakui malah menafikan kehadiran apa lagi peranan kami.
Ke bawah sedikit iaitu pada perenggan selepas gambar yang diambil daripada atas pentas disebut begini :-
Sejak seawal tahun 2006 iaitu sejak keluarnya siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar diri saya mengembara sendirian masuk ke zon perang saya telah memiliki kedudukan terhormat dalam kalangan mereka yang sayangkan Melayu dan Islam. Walaupun sering diberikan tempat saya tidak suka duduk sebagai VIP . Saya lebih selesa berjalan-jalan melihat keadaan sambil mengambil gambar. Kedudukan sebagai VIP cuma perlu untuk memastikan kelancaran suatu majlis seperti pada acara-acara HIKMAH. Tetapi untuk majlis DSSM ini saya merasa suka duduk di pentas dan suka dilihat begitu. Bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi terasa perlu. Ini kerana selama ini saya suka merendah diri bercampur orang tak kira latar belakang tetapi rupa-rupanya ada yang tak sedar diri dan naik tocang. Jadi bila dah duduk di pentas itu biarlah pihak-pihak yang naik tocang itu ingat sedikit, selama ini dengan siapa mereka berurusan...
Gambar ini menunjukkan salah satu aktiviti yang dilakukan di Aceh ketika berada di sana 16-23 Mac. Pembaca harus sudah sedia maklum satu acara HIKMAH turut diadakan di sana. Lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017. Sebetulnya sepanjang perjalanan kami di sana ada perbuatan kawan-kawan dari Malaysia yang menyakitkan hati. Tak perlulah dinyatakan bagaimana. Cukuplah dikatakan ia membuat saya dan isteri terasa mereka tidak tahu diuntung. Mereka dapat peluang berkenalan dengan ramai orang lalu bergerak ke hadapan kerana terlibat dengan majlis-majlis HIKMAH. Mereka dilayan dengan baik oleh kawan-kawan di Aceh disebabkan mereka datang atas nama HIKMAH dan dikatakan kawan kepada saya Merah Silu dan isteri. Tetapi mereka nampaknya tidak sedar dan menafikan hal ini. Seolah-olah layanan istimewa yang didapati berlaku atas asbab 'karisma' diri sendiri.
Tuduhan menipu itu diteruskan secara kasar buat beberapa lama. Peliknya tidak seorang pun kawan yang mendengar tuduhan berusaha untuk membela isteri padahal beliaulah yang bertanggungjawab mengenalkan mereka antara satu sama lain. Akhirnya saya sendiri masuk membela dengan kasar. Sekali lagi tidak ada orang lain masuk membela sedangkan mereka-mereka ini sudah banyak mendapat ruang dalam dunia aktivis silat, kebudayaan dan busana Melayu disebabkan HIKMAH.
Antara mereka ini ada yang awalnya tidak dikenali langsung tetapi mula mengecap populariti dalam kalangan para aktivis apabila isteri saya yang peramah dan baik hati memperkenalkan mereka kepada kawan-kawan termasuk daripada golongan atasan. Jadi bayangkanlah perasaan saya sebagai suami apabila melihat mereka yang lupa diri boleh pula memulaukan isteri. Dahulu pun ada para aktivis yang seperti memandang lekeh isteri saya. Bila dapat tahu ini isteri kepada pengasas dan presiden HIKMAH baru nak tunjuk baik. Sesungguhnya banyak kemarahan saya akhir-akhir ini adalah apabila melihat isteri diperlakukan buruk oleh mereka yang pernah kami bantu. Saya sendiri sudah banyak memendam perasaan tentang perangai sesetengah orang yang terlibat dengan HIKMAH tetapi apabila isteri terkena kesabaran saya pun mula menipis.
Kami berusaha penat lelah menjayakan acara demi acara. Kami tak dapat keuntungan wang apa-apa malah seringkali perlu mengeluarkan duit sendiri untuk menjayakan acara. Kami sendiri selalu set-up dengan tenaga empat kerat menyediakan dan menyiapkan tempat. Apabila selesai acara kami juga sendiri sering membersihkan menyapu sampah mengutip puntung rokok bersepah dan sebagainya. Ini tak campur lagi segala macam kerja logistik bagi mendapatkan penceramah berwibawa tetapi sanggup datang jauh secara sukarela untuk berkongsi ilmu dan sebagainya.
Kami adakan malis demi majlis secara percuma. Kami berikan tapak perniagaan percuma untuk sesiapa sahaja masuk walau tak pernah bersua. Kami sediakan sarapan, makan tengah hari dan petang tanpa hadirin perlu membayar apa-apa. Kami juga berusaha untuk menyediakan penginapan percuma kepada semua.
Alhamdulillah ramai yang menghargai. Tetapi kami dapati ramai juga yang seperti menggunakan kami dan majlis. Daripada majlis kami mereka dapat peluang berkenalan dengan pelbagai orang termasuk yang asalnya berada di luar jangkauan sosial mereka kerana berasal daripada golongan atasan yang tidak mudah bergaul dengan golongan bawahan. Ada yang mengumpul ahli baru untuk persatuan mereka selain menaikkan nama persatuan juga perguruan.
Sebetulnya saya tiada masalah tentang itu. Pada saya biarlah win-win situation, mereka pun datang memeriahkan acara. Tapi ingat-ingatlah sedikit dan hargailah peranan kami. Ini tidak. Sampai cerita daripada orang lain, mereka-mereka ini ada yang mendakwa dapat ke hadapan semata-mata kerana kekuatan atau karisma diri sendiri...
Saya diberitahu tuduhan ini diiringi kempen sesetengah pihak mengajak orang memboikot dan tidak menghadiri apa-apa majlis HIKMAH. Lebih menyakitkan hati adalah tuduhan saya mengadakan majlis dan pergerakan untuk mengumpul pengaruh dan pengikut kerana mahu menuntut takhta. Ini bukan tuduhan main-main seperti disangkakan sesetengah kawan. Ia sebetulnya sudah berkumandang sejak acara pertama kami mendapat sambutan yang tidak disangka-sangka penghujung tahun 2012. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 Mungkin ia wujud kerana diketahui saya memang berasal daripada keturunan tertentu? Yang itu memang benar tetapi menuntut takhta? Saya tahu batas diri selain tidak mahu berulang kesilapan nenek moyang dahulukala boleh bergaduh sehingga berbunuh-bunuh atau dendam purba dipanjangkan.
Tuduhan sebegini menyebabkan timbul polemik tidak sihat selepas berlaku perarakan Maulud pada majlis ketiga HIKMAH di Lumut, Perak awal tahun 2013. Lihat Acara ketiga HIKMAH di Marina Hall, Lumut 27 Jan 2013. Walhal apa yang berlaku adalah terdapat orang lain yang memang diketahui berhajat untuk menuntut takhta di selatan sana. Selepas perarakan dia ada melakukan upacara tertentu yang mana ketika itu saya sudah bergerak ke tempat lain. Tapi tempias upacara berupa tabal keris terhadap orang lain yang mahu dijadikan penyokong menimbulkan fitnah yang jatuh pada saya sebagai ketua majlis. Maklumlah, saya sudah lama diwar-warkan sesetengah pihak kononnya berhasrat mahu menjadi raja...
Sekembalinya dari Aceh 23 Mac isteri saya mendapat private message meminta saya berhenti daripada usaha menuntut takhta Aceh. Kalau tidak saya akan ditimpa musibah. Masyaallah. Bila difikirkan segala macam perkara yang berlaku tu yang saya membuat keputusan tidak mahu lagi menganjurkan apa-apa acara HIKMAH lagi. Buat apa penat-penat terus menganjurkan acara? Dahlah tak buat duit, kami dituduh macam-macam. Orang lain yang mendapat hasil dan kemajuan setelah menyertai acara kami pula buat dek aje tidak menghargai atau mengakui peranan kami apa lagi hendak membela?
Tetapi saya kemudian dipujuk kawan-kawan untuk melaksanakan lagi acara sehingga berlangsunglah majlis seterusnya penghujung tahun itu. Lihat Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014. Penghujung tahun 2015 iaitu selepas melaksanakan Acara kelima belas HIKMAH di dewan orang ramai Kampung Banjar, Beruas 8-9 Ogos 2015 sekali lagi saya menyatakan niat mahu bersara. Tetapi saya dipujuk lagi sehingga terlaksana Acara keenam belas HIKMAH di University of Life @ rumah S.H.Alattas, Janda Baik 30-31 Jan 2016 diikuti 3 lagi pada tahn 2016.
Hal ini menyebabkan saya memasuki tahun baru 2017 dengan rancangan untuk mengadakan 3 atau 4 acara sebelum tahun tamat. Ini ada dinyatakan dalam artikel ke-313 di blogspot ini iaitu Cadangan acara HIKMAH di Sarang Art Hub dan lain-lain tempat - Langkah untuk mengintegrasikan diri lama yang keBaratan?. Tak sangka boleh terbit keadaan yang menyebabkan saya tawar hati untuk melaksanakan lagi majlis sekembali dari Aceh. Kebetulan sehari sebelum kembali saya mendapat berita bahawa acara seterusnya yang pernah dirancang mahu diadakan di Istana Bandar, Jugra kemudian dialih ke Batu Laut, Banting pada 29 April dibatalkan. Lihat artikel Tentang rancangan mengadakan acara HIKMAH di Istana Bandar, Jugra - Dah dapat tarikh pasti diikuti Sedikit laporan selepas tamatnya acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017. Ini membantu membulatkan tekad untuk berhenti...
Buat apa saya dan isteri berpenat-lelah menganjurkan majlis secara sukarela sedangkan orang tidak menghargai, setakat datang mengambil kesempatan? Kalau Raja Muda sanggup mencemar duli (ini berada di dalam bidang kuasa pihak yang mencadangkan untuk menjadikan ia realiti) harus ramai akan memunculkan diri. Mungkin sehingga dapat mengatasi rekod kedatangan 700-800 orang pada acara ke-3 HIKMAH di Lumut. Tapi buat apa kalau yang ramai itu sekadar menghimpit mencari peluang untuk menonjolkan diri di hadapan Raja Muda, bukan betul-betul nak tadah ilmu? Sedangkan ia juga boleh memanjangkan fitnah yang kononnya saya sedang mengumpul pengaruh dan pengikut untuk menuntut takhta?
Salam semua. Beberapa hari lalu saya ada meluahkan rasa tidak mahu lagi melaksanakan apa2 acara HIKMAH kerana sudah letih menganjurkan acara juga letih dengan pelbagai kerenah manusia. Namun dilema saya adalah sanggupkah membiarkan nama HIKMAH hilang begitu sahaja sedangkan ada orang2 jujur yang menaruh harapan tinggi terhadap perjuangannya? Alhamdulillah, baru sebentar tadi saya mendapat jawaban bagaimana menanganinya. Isteri saya telah mencadangkan ia diserahkan kepada kawan2 seperjuangan kami di Aceh.
Ini kerana apabila kami membuat keputusan tidak mahu menganjurkan apa2 lagi acara maka acara ke-20 kami di Aceh pada 19 Mac iaitu pada 12 hari lalu secara automatik menjadi acara HIKMAH terakhir anjuran kami. Apabila hal ini dibincangkan bersama isteri tadi timbul rasa bahawa HIKMAH telah kami tinggalkan di Aceh. Dalam keadaan ada yang tidak senang dengan HIKMAH atau mungkin lebih tepat tidak senang dengan saya ada baiknya perjuangan HIKMAH diserahkan kepada kawan2 di sana. Kami cukup kenal kegigihan mereka berjuang untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan apa2 laba dunia.
Terpulanglah kepada mereka bagaimana hendak membawa HIKMAH nanti. Mungkin mereka boleh meneruskan mengadakan acara2 di Aceh dan sekitarnya atas nama HIKMAH jika sudi. Harapan saya suatu hari nanti mereka dapat menjayakan satu acara HIKMAH di persekitaran pusat kerajaan Samudera-Pasai yang terletak di Geudong, Lhokseumawe lebih 6 jam perjalanan darat dari Banda Aceh (di mana acara ke-20, dan sebelum itu acara ke-10 HIKMAH pada 29 Mac 2014 diadakan). Sesungguhnya mulanya keterlibatan saya dengan Aceh adalah disebabkan ingin menyambung wasilah kerohanian dengan almarhum moyang saya sekitar 20 lapis keturunan dahulu iaitu as-Sultan al-Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai 800 tahun yang lampau.
Daripada pertalian ini timbul pelbagai gerak sehingga boleh munculnya HIKMAH hampir 5 tahun lalu atas cadangan isteri saya. Kalau acara dapat diadakan di sana ia ibarat mengembalikan gerak ke satu tempat usul yang utama sekurang2nya buat saya. Sesuailah hal ini dengan tema acara ke-20 HIKMAH di Banda Aceh 19 Mac 2017 yang berbunyi " Kunci Kebangkitan Islam Akhir Zaman". Apa kata kawan2 Aceh? Harap sudi menyambut saranan saya ini..
Maka nak tak saya harus juga berhadapan dengan orang awam dan segala macam kerenah orang kebanyakan. Cuma perjuangan harus diteruskan dengan cara lain yang lebih ekslusif, melibatkan orang terpilih sahaja, Mungkin juga harus pergi underground, tersembunyi bawah tanah. Biar kumpulan kecil sahaja yang sering bertemu berkongsi ilmu merangka strategi. Kemudian kami keluar melaksanakan peranan masing-masing di medan awam.
Kawan yang mencadangkan usaha lalu bersedia untuk membiayainya (bukan dalam gambar) pun dihubungi dalam perjalanan. Beliau memberitahu, selepas saya menyatakan mahu berhenti menganjurkan acara HIKMAH usaha tersebut jadi tergantung dengan draf akhir reka bentuk dirham dan sampul belum mendapat persetujuan dan pengesahan. Terpulanglah pada saya sama ada hendak membatalkan ata meneruskan. Saya pun jawab jalan aje le. Cetak atas nama apa pun nilainya tetap sama kerana begitulah sifat wang dinar dan dirham.
Yang berbeza cuma premium merangkap upah yang terbit akibat reka bentuk unik suatu dirham. Tentunya ada kos selain harga bahan mentah untuk mencetak wang. Dia pun kata kalau begitu semaklah draf akhir reka bentuk dirham dan sampul lalu berikan kata putus. Ini pun saya lakukan. Bolehlah kerja-kerja percetakan diteruskan dengan mula membuat mould atau acuan cetak.
Adapun cadangan asal adalah mahu meminta Raja Muda Selangor melancarkan dirham HIKMAH pada acara di Istana Bandar. Tetapi oleh kerana ia sudah dibatalkan maka biarlah dilancarkan di tempat lain. Maka teringatlah pada rancangan mahu mengadakan acara HIKMAH di Sarang Art Hub milik Mamat Khalid tapi dah tak jadi. Saya pun mencadangkan pada Mamat agar ia digantikan dengan acara open house atau rumah terbuka raya bertemakan busana tradisional Melayu. Persembahan silat seperti dibuat dengan para aktivis Tanjung Malim 2 bulan lalu (lihat Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana) boleh diadakan sekali, insyaallah melibatkan lebih ramai pesilat dan aktivis.
Selain itu boleh dibuat tayangan wayang sambil berbusana. Boleh juga dibuka gerai-gerai termasuk untuk aktivis dinar dirham membuat jualan dan pameran. Di situlah dirham HIKMAH boleh diperkenalkan bersama beberapa barangan berkaitan. Hal ini sudah dimaklumkan kepada kawan yang membiayai usaha juga pengarah syarikat yang mencetak dinar dirham dan mereka suka. Mamat pula bersetuju dan saya akan cuba membantu menjadikan ia acara bermanfaat walaupun bukan atas nama HIKMAH.
Adapun artikel yang ditulis panjang lebar untuk meluahkan perasaan sambil menyatakan hala tuju selepas saya tidak mengadakan lagi acara HIKMAH ini membentuk artikel ke-332 di blogspot HIKMAH. Sudah diberitahu bahawa apabila jumlah mencapai 333 saya tidak akan menulis lagi di sini buat beberapa lama. Kalau mahu saya boleh mencukupkan jumlah tersebut dengan memecahkan artikel kepada dua, Satu tentang keputusan untuk berhenti lalu menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh, satu lagi adalah tentang ke mana hala tuju.
Tetapi isteri saya meminta agar saya sabar dahulu. Biar cerita tentang satu acara yang akan diadakan Ahad hingga Isnin akan datang ini menjadi penutup penulisan di blogspot, Acara tersebut telah diperkenalkan melalui artikel Sedikit laporan selepas tamatnya acara ke-20 HIKMAH di Aceh 19 Mac 2017 dua hari selepas kembali dari Aceh. Isteri percaya ada kesinambungan yang perlu dituruti kerana ia diadakan di persekitaran Gunung Jerai di Kedah . Sedangkan perjalanan kami di Aceh 16-23 Mac itu turut membawa ke makam seorang raja perempuan yang pernah menguasai Pasai (dalam Aceh ) dan Kedah. Lihat Misi HIKMAH Aceh 2017 - Tafakur di Makam Sultan Sayyid Maulana, kemuncak di makam Ratu Nurul Aqla dan ketenangan di makam Sultan Malikussaleh
Sepuluh hari selepas itu saya menghubungi penganjur majlis untuk mengulangi pendirian akan datang selain memastikan peranan dalam majlis. Ia adalah terbuka lalu undangan boleh dipanjangkan kepada semua. Saya pun menerima atur cara penuh Ia mungkin boleh berubah mengikut keadaan tetapi secara rata aturan adalah seperti berikut :-
MAULID AGUNG BANI JAWI & MANAQIB SYEIKH ABDUL QADIR AL-JAILANI (23-24.4.2017 bersamaan 26-27 Rejab 1438H)
Ahad 23.04.2017
8:30am : Para muhibbin berkumpul di Teratak Ayahanda
8:45am : Ucapan ' Aku Melayu, Siapa Melayu...?' oleh Tuan Radzie @ Merah Silu
9:15am : Perarakan Agung Bani Jawi ke Titi Hayun ( Gendang Silat, Pencak Silat, Memanah dan Berkuda)
9:30 : Bacaan Ikrar Bani Jawi
9:45 : Ucaptama oleh Ybhg Ayahanda Dato' Hj Hashim Hj Ismail
10:30 : Tausiyah " Kesufian dan Sejarah Ummat Melayu " oleh As Syeikh Muhammad Zainul Asri
11:10 : Perarakkan pulang ke Teratak Ayahanda Bersama Selawat dan Qasidhah
11:35 : Tausiyah "Sejarah Syeikh Abdullah Al Qumairi dan Peranan Sufi" oleh Ym Al Fadhil Abuya Aswad Al Kubra
12:30 : Makan tengah hari & solat Zohor
1:50pm : Tausiyah "Akhlak Perjuangan Rasulullah dalam Membangunkan Ummah"' oleh Al Fadhil Tn Guru Syed Shuhaimi Syed Hassan Al Aydrus
2:45pm - Penyerahan Sandang Terhormat oleh Ybhg Ayahnda Dato' Hj Hashim kepada Para ulama dan pimpinan
3:15pm : Ceramah Perdana "Amal Makruf,Nahi Mungkar dan Isu Semasa Ummat Islam Di Malaysia" oleh :
1- Al Fadhil Ustaz Masridzi Bin Sat (PERKID)
2- Al Fadhil Dr Yusri Mohamad (YADIM)
5:00pm : Solat Asar / Riadah Berkuda / Memanah / Berenang
7:00pm : Bacaan Ratibul Haddad
7:30 : Solat Maghrib berjamaah dan bacaan Maulid Ad Diyaul Lami' serta Gurindam Marhaban Melayu Lama/solat Isya
9:00pm : Forum Perdana '"Ancaman Dajjal di Nusantara dan bagaimana para sufi menghadapinya" oleh :
1-Ybhg Ayahnda Dato Hj Hashim Ismail
2-Al Muhtaram Syeikh Sanusi Salleh
3-Al Mukarram Syeikh Zainul Asri
4- Al Fadhil Ustaz Jafri Mahmoodi
11:45pm : Bersurai
Isnin 24.4.2017
4:30 am : Solat Tahajjud & Subuh Berjemaaah serta Tausiyah Khas Semperna Isra Mikraj Sayyidina Rasulullah Saw oleh Al Muhtaram Syeikh Ibrahim Masran Al Banjari diiringi Qasidhah Isra Mikraj
8:30am : Sarapan pagi & Persiapan Diri
9:00 Bertolak ke kaki Gunung Jerai (Gurun) dan terus mendaki ke Masjid Syeikh Abdullah Al Qumairi@ Padang Tok Syeikh
10:15am : Himpunan Ulama dan Bani Melayu di Tanah Keramat Gunung Jerai / Qasidhah / Tausiyah / Tahlil dan Pengebaran Panji Melayu SeNusantara
12:15pm: Bergerak turun pulang ke Teratak Ayahnda
3:00pm : Ceramah Perdana "Dasyatnya Fitnah Dajjal" Oleh Ybhg Dr Izham Nayan (PPIM)
4.30pm : Solat Asar / Riadhah / Pameran senjata dan busana Melayu
7.00pm : Bacaan syahadat Tokku Paloh / Solat Maghrib / Bacaan Burdah Imam Busairi / Solat Isya'
9.00pm : Zikir Akbar Manaqib Sheikh Abdul Qadir Al- Jailani (dipimpin oleh Kiyai Dr Zainul 'Arifin,Sheikh Athoillah, dan Imam-Imam Manaqib
12:00am : Majlis Penutup,Doa selamat dan bersurai
Alamat lokasi : Lot 1111, Anjung Menjaro @ Teratak Ayahanda, Jalan Peranginan Titi Hayun 06900 Yan Kedah Darul Aman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan