Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 17, 2023

Misi kedaulatan Singgora - Pertama kali sempat bersolat di Jumaat di selatan Thailand. Apakah yang tersirat?

Salam pagi Jumaat 24 Sya'aban 1444 Hijriah, Jumaat terakhir bulan. Sekarang tinggal kurang seminggu sahaja lagi sebelum umat Islam harus berpuasa wajib bagi bulan Ramadhan. Sebelum sampai waktu itu ingin dilepaskan semua cerita tentang perjalanan ke selatan Thailand baru ini. Sekarang masuk pada cerita hari kedua perjalanan. Bersambung daripada artikel  Misi kedaulatan Singgora - Pertama kali naik ETS diikuti insiden kereta api ke Hatyai.



Pagi Jumaat 10 Mac 2023 iaitu tepat seminggu lalu. Saya, isteri dan anak berjalan kaki meninjau persekitaran di pusat bandar raya Hatyai.



Sebelum itu saya telah meninjau pemandangan dari tingkat tertinggi hotel penginapan kami. Lihat artikel Hatyai skyline from a hotel at Lee Garden di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Singgah di Seven Eleven terdekat untuk mendapatkan burger halal dan kopi ais kegemaran...




Untuk pengetahuan ini adalah kali ketujuh saya ke Hatyai membawa keluarga. Selain itu ada datang tanpa keluarga tiga kali...




Kali pertama saya sendiri sampai adalah dengan menaiki kereta api Mei 2010, bersama seorang jurugambar bagi projek penulisan buku tentang perjalanan melalui jaringan landasan kereta api KTMB (Kereta Api Tanah Melayu Berhad). Lihat Projek buku keretapi : Ipoh ke Hatyai.... Untuk cerita keseluruhan lihat Projek buku keretapi.




Sebelum itu saya pernah dua kali ke Thailand. Pertama ketika menjalankan tugas kewartawan meliputi satu acara di Phuket penghujung tahun 2000. Lihat Meliputi Asian X-Games di Phuket tahun 2000. Kedua adalah dengan memasuki Golok bersama satu krew penggambaran drama di Kelantan pertengahan 2003. Yang ini ada disebut sedikit ceritanya dalam artikel Kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003 - Danau Tok Uban dan beberapa tempat singgah. Cerita keseluruhan ada dalam Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003.




Kali pertama membawa keluarga ke Thailand pula adalah dengan memandu kereta sendiri melalui Bukit Kayu Hitam Ogos 2010, di tengah-tengah perjalanan ke beberapa tempat di Kedah dan Perlis. Ia adalah kali keempat saya sendiri ke negara itu dan kali kedua ke Hatyai. Lihat artikel Mencari jejak Merong - Melihat 'masyid' ke Hatyai diikuti Mencari jejak Merong - Dari Hatyai ke Perlis Indera Kayangan.... Cerita keseluruhan ada dalam Susah-payah mencari jejak Merong.



Perjalanan kelima saya ke Thailand merangkap kedua bersama keluarga adalah ke Golok penghujung 2010. Lihat artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Sekitar Rantau Panjang, Masjid Beijing dan Golok di selatan Thailand. Cerita keseluruhan ada dalam Kompilasi "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur".



Perjalanan keenam ke Thailand pula dibuat untuk mengikuti satu rombongan ke Patani tanpa membawa keluarga awal 2017. Selepas Patani saya menyambung perjalanan secara solo menaiki kenderaan awam. Ketika itulah pertama kali bermalam di Hatyai, setelah masuk kali ketiga ke sana. Lihat artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Berjalan kaki melihat Songkhla sebelum menyambung perkara di Hatyai diikuti Misi jejak Aceh-Langkasuka - Sedikit masa di Hatyai sebelum kembali ke tanah air.  Itu juga adalah kali pertama saya ke Patani diikuti kali pertama ke Songkhla. Cerita keseluruhan ada dalam artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka - The compilation.

Dalam perjalanan ketujuh saya ke Thailand penghujung 2017 baru membawa lagi keluarga. Kali ini dengan membawa kereta sendiri sehingga ke Ayuthayya sekitar 80 km ke utara Bangkok. Perjalanan yang memakan jarak pemanduan lebih 4,000 km ini menyaksikan banyak tempat disinggahi termasuk Patani dan Songkhla lagi juga Hatyai. Oh. Sebetulnya bandar raya Hatyai itu sendiri terletak di dalam wilayah Songkhla yang bertaraf negeri. Namun apabila disebut nama Songkhla ia selalu merujuk kepada bandarnya yang terletak sekitar 30 km ke timur laut Hatyai. Lihat cerita-cerita yang terkumpul dalam Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation.



Pembaca mungkin tertanya-tanya kenapa saya menyebut agak panjang lebar tentang perjalanan-perjalanan lama ke Thailand? Apakah semata-mata hendak menunjuk berapa kali sudah sampai ke sana? Sebelum menjawab biar diselesaikan dahulu sedikit lagi perkongsian tentang perjalanan-perjalanan lama.

Perjalanan kelapan saya ke Thailand dilakukan bersama keluarga dengan membawa kereta terus ke Patani melalui Durian Burung, Kedah Mac 2018. Lihat Jejak Wasilah Patani - The compilation. Perjalanan kesembilan adalah melalui persinggahan ke beberapa tempat dalam perjalanan kembali dari Cambodia melalui darat November 2018. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation. Perjalanan kesepuluh adalah untuk ke Krabi dengan kereta penghujung 2019. Tetapi berlaku kerosakan menyebabkan ia disambung dengan kenderaan awam. Dalam perjalanan ini kami singgah dan bermalam di Hatyai dua kali iaitu ketika pergi dan kembali dari Krabi. Lihat cerita keseluruhan dalam Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019.

Tiga tahun kemudian iaitu selepas lama tidak ke luar negara akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid-19 baru berlaku perjalanan ke-11 saya ke Thailand merangkap ketujuh bersama keluarga penghujung 2022. Lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022. Dengan berlakunya perjalanan tersebut melalui Wang Kelian di Perlis baru lengkap semua pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand di darat telah saya lalui. Pintu-pintunya adalah (dari timur ke barat) :-


1. Pengkalan Kubor di Tumpat Kelantan/Pintu sebelah Thailand adalah Takbai.

2. Rantau Panjang, Kelantan/Golok.

3. Bukit Bunga, Kelantan/Buketa

4. Pengkalan Hulu, Perak/Betong

5. Durian Burung, Kedah/Banprakob

6. Bukit Kayu Hitam/Sadao

7. Padang Besar (belah Thailand pun namanya Padang Besar)

8. Wang Kelian/Wang Prachan





Dengan itu boleh dinyatakan bahawa perjalanan yang sedang diceritakan ini adalah yang ke-12 saya ke Thailand dan kelapan bersama keluarga. Kalau ke selatan Thailand yang wilayahnya secara geografi meliputi semua bahagian Thailand ke utara Semenanjung Malaysia hingga ke Segenting Kra boleh dikira 13 kali. Ini kerana dalam perjalanan penghujung 2017  saya masuk selatan Thailand kemudian keluar dalam perjalanan ke Bangkok kemudian masuk kembali ke selatan Thailand. Namun sudah banyak kali pergi itu baru kali ini, pada hari Jumaat 9 Mac iaitu seminggu lalu bersempatan menunaikan solat Jumaat di mana-mana masjid di selatan Thailand. Lihat Jumaat prayers at the oldest mosque in Songkhla.




Ketika pertama kali ke Thailand iaitu ke Phuket tahun 2000 saya  masih jenis orang yang tidak mempedulikan solat juga apa-apa hal keagamaan. Maka itu walaupun berada 11 hari di sana saya tidak berusaha langsung untuk menjejakkan kaki di mana-mana masjid. Untuk perjalanan-perjalanan kemudian pula saya sudah jadi orang yang menjaga solat. Tetapi sama ada perjalanan tidak meliputi hari Jumaat di Thailand atau tidak ada kelapangan untuk menunaikan solat Jumaat. Apapun sebagai musafir tidak wajib. Boleh menjamak qasar Zohor dan Asar. Namun ada masa timbul keinginan untuk menunaikan solat Jumaat. Alhamdulillah akhirnya sempat sekali di Ayuthia penghujung 2018. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Jumaat di Ayutthaya dan kawasan menghadap kiblat.




Itu adalah pertama kali saya sempat menunaikan solat Jumaat di mana-mana di Thailand. Ketika singgah di Hatyai dalam perjalanan kembali dari Ayuthayya dan Bangkok penghujung 2017 kami sampai di sebuah masjid di luar pusat bandar raya tetapi orang baru sahaja selesai menunaikan solat Jumaat. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai. Ketika ke Patani bersama keluarga Mac 2018 saya memang mahu menunaikan solat Jumaat. Tetapi sebaik sahaja terjumpa ruang untuk meletakkan kereta di luar masjid utama yang sesak dengan kenderaan tengok-tengok orang baru habis solat. Lihat Jejak Wasilah Patani - Wilayah Jambu, Tanjung Budi dan tanah besar yang menghadapnya. Untuk perjalanan penghujung 2022 pula saya mahu bersolat Jumaat di masjid utama Satun. Tetapi tak sempat disebabkan dua jam setengah tersangkut di sempadan. Lihat Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : Wang Kelian, Satun dan 'keterangan' di Trang. Maka bayangkan apakah perasan akhirnya sempat menunaikan solat Jumaat di selatan Thailand minggu lepas...




Setelah melepaskan hal soal Jumaat ini baru dapat diteruskan dengan cerita sebenar di lapangan pada hari berkenaan. Adapun selepas berjalan-jalan di sekitar pusat bandar raya Hatyai kami berehat sebentar di hotel. Memang saya bercadang untuk bersolat Jumaat di mana-mana masjid yang dapat. Tetapi setelah memikirkan mahu ke bandar Songkhla hari itu maka eloklah bersolat sahaja di sana. 

Untuk memudahkan perjalanan dan supaya tidak lari masa kami menempah Grab Car lalu terus bergerak dari hotel. Sampai ke Songkhla daftar masuk dahulu ke hotel sana kemudian minta pemandu hantar ke masjid. Alhamdulillah kami sampai sejurus selepas masuk waktu Zohor. Sebelum solat sempat melihat satu binaan bersejarah berdekatan. Lihat artikel Pintu gerbang bandar lama Songkhla (Gate of old Songkhla town) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas solat makan di warung orang Islam berhadapan masjid kemudian berjalan kaki melalui bandar lama ke arah hotel lalu singgah ke beberapa tempat. Lihat artikel-artikel berikut :-








Adapun hotel kami terletak sangat dekat dengan tembok bandar lama Songkhla yang dibina sekitar tahun 1830an hingga 1840an.




Tengok-tengok di hadapan tembok panjang itu diadakan sambutan Songkhla Day atau Hari Songkhla. Lihat Songkhla Day celebration at Songkhla town centre juga Lawatan baru ke tembok kota Songkhla (New visit to Songkhla city wall).




Malam itu ketika berjalan-jalan seorang diri kemudian duduk melihat pertunjukkan wayang kulit yang dibuat oleh sejumlah remaja terjumpa seorang warga tempatan yang pandai berbahasa Melayu lalu berbual panjang. Saya diberitahu Hari Songkhla diadakan bagi mengingati tarikh bandar Songkhla yang ada ini diasaskan pada tahun 1830an. Ini merujuk pada bandar lama di lokasi sekarang di bawah pemerintahan Siam Thai, bukan bandar Singgora milik orang Melayu Islam yang asal di seberang perairan berdekatan. Pada hari diasaskan itulah dipasak suatu tiang dengan upacara tertentu yang melibatkan hal-hal kebatinan. 

Ini menguatkan lagi telahan saya tentang fungsi sejumlah kuil khas yang dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai pillar shrine (saya terjemahkan sebagai kuil pasak). Sebelum itu iaitu dekat masjid saya telah mendengar cerita serupa daripada seorang warga tempatan Melayu Islam. Maka benarlah telahan sejak pertama kali melihatnya di Surat Thani penghujung 2017. Bahawa kuil pasak itu adalah ibarat tiang seri bagi rumah tradisional Melayu. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Menyahut 'panggilan' Sultan Sulaiman sebelum ke Tambralingga/Sri Dharmaraja/Ligor/Nakhon Si Thammarat. Cuma ia dipasak berdasarkan cara agama Buddha kerana ia adalah agama rasmi orang Thai dan kerajaan. Campur pula faktor bomoh Siam dan sebagainya. Agak-agak makhluk apa yang ada terpasak sama bagi menjaga kawasan? 

Saya dapat tahu setiap province (sama status dengan negeri di Malaysia) ada kuil pasak. Ini tidak menghairankan bagi negeri-negeri di Thailand yang penduduknya majoriti beragama Buddha. Tetapi bagi wilayah-wilayah yang asalnya adalah kerajaan-kerajaan Melayu Islam seperti Patani dan Singgora? Fikir-fikirlah sendiri.

Saya difahamkan menjadi kesalahan untuk seorang warga Thailand mempersoalkan ini secara terbuka. Namun fungsinya jelas. Kuil-kuil tersebut merupakan pasak kebatinan untuk mengekalkan pemerintahan Thai Buddha ke atas wilayah-wilayah berkenaan. Pada hari Jumaat 9 Mac tepat seminggu lepas saya akhirnya sempat menunaikan solat Jumaat di selatan Thailand setelah 13 kali bertandang, sejak tahun 2000. 

Signifikannya adalah ia ditunaikan di masjid tertua masih wujud dengan bangunan asal di Songkhla sedangkan ini tidak ada dalam rancangan, baru difikirkan secara spontan pagi itu juga, pada Hari Songkhla yang mana saya tak tahu pun sambutannya wujud. Dah sampai baru tahu dan kebetulan ia sedang berlaku. Pada hari sama itu juga saya pertama kali singgah ke kuil pasak Songkhla. Sedangkan saya telah ke bandar itu tiga kali sebelum itu. Baru kali ini, persinggahan yang keempat terfikir untuk singgah.

Signifikannya lagi, bandar Songhkla adalah ibu negeri bagi propinsi/province (negeri) Songkhla yang mengandungi daerah dan bandar raya Haytai. Ia juga mengandungi pusat asal kerajaan Singgora yang pernah menjadi satu kerajaan kuat Melayu Islam awal abad ke-17 iaitu pada zaman Sultan Sulaiman (lihat artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora) sebelum jatuh dikalahkan Siam semasa zaman pemerintahan Sultan kemudian. Anak cucu Sultan Sulaiman ini ramai bertebaran merata di Malaysia terutama di Kedah. Daripada anak cucu beliau muncul keturunan yang menjadi gabenor atau wakil pemerintahan Siam di wilayah-wilayah Ligor (Nakhon Si Thammarat), Patthalung dan Chaiya. 

Keturunan yang menjadi gabenor di Ligor inilah yang menjadi wakil Siam untuk menguasai negeri-negeri Melayu di utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu. Keturunan ini jugalah yang bertanggungjawab mengalahkan Patani sehingga ia jatuh ke bahawa kekuasaan Siam lalu dipecahkan menjadi beberapa wilayah, sekarang adalah Patani kecil diikuti Narathiwat dan Yala. Bacaan saya menunjukkan daripada keturunan di Chaiya itulah kemudian muncul Tok Kenali yang menjadi wali besar di Kelantan awal abad ke-20.

Sekarang bayangkan. Kalau pasak kekuasaan Siam di Songkhla dapat dibatalkan lalu kesemua keturunan Sultan Sulaiman yang berkenaan dapat dibangkitkan kembali jiwa perjuangan Melayu Islam. Ah. Saya tak boleh cakap lebih lagi. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,366 di CATATAN SI MERAH SILU.


Pembetulan (dibuat 12 April 2025) : Setelah meneliti turutan perjalanan-perjalanan lama ke Thailand yang ada dinyatakan pada pertengahan artikel ini baru tersedar terlupa hendak memasukkan satu perjalanan yang berlaku selepas pertengahan 2015. Lihat artikel lama Daulah Melayu - Ke Jeli dan Selatan Thailand. Maka ia sepatutnya dikira sebagai perjalanan keenam saya ke Thailand. Dengan itu perjalanan-perjalanan seterusnya boleh dianjakkan seperti berikut :-

Ke-7 : Mengikuti rombongan ke Patani tanpa membawa keluarga awal 2017. 

Ke-8 : Bersama keluarga membawa kereta sendiri sehingga ke Ayuthayya sekitar 80 km ke utara Bangkok penghujung 2017.

Ke-9 : Bersama keluarga dengan kereta terus ke Patani melalui Durian Burung, Kedah Mac 2018.

Ke-10 : Sekembali dari Cambodia bersama keluarga melalui darat November 2018. 

Ke-11 : Bersama keluarga ke Krabi penghujung 2019. 

Ke-12 : Bersama keluarga masuk melalui Wang Kelian penghujung 2022. 
.

Sebetulnya semasa zaman kanak-kanak dahulu bapa ada membawa kami sekeluarga berjalan-jalan hingga ke sempadan Thailand. Tak ingat apakah di Bukit Kayu Hitam atau di Padang Besar. Yang ingat bapa ada mengajak berjalan kaki masuk ke zon antara sempadan. Tak pasti jika itu boleh dikira sebagai masuk Thailand atau tidak. Jadi tidak dimasukkan dalam perkiraan di sini.

Dengan itu perjalanan yang diceritakan dalam artikel ini membawa ke Songkhla awal tahun 2023 boleh dikira sebagai yang ke-13 masuk ke Thailand. Namun ia juga boleh dikira sebagai yang ke-14 ke selatan Thailand kerana dalam perjalanan ke-8 yang penghujung 2017 ada masuk, keluar ke wilayah tengah Thailand kemudian masuk kembali ke selatan. Sekian pembetulan.

Rabu, Mac 15, 2023

Misi kedaulatan Singgora - Pertama kali naik ETS diikuti insiden kereta api ke Hatyai

Alhamdulillah. Walaupun kepenatan daripada perjalanan ke selatan Thailand baru ini masih belum hilang, disebabkan semangat dan rasa seronok saya telah membuat satu siri perjalanan lasak di sekitar Lukut, Port Dickson dan Tanjung Tuan semalam. Malah rasa semangat dan keseronokan memberikan gerak dan kelapangan untuk berkongsi cerita hari pertama perjalanan ke Thailand pagi ini. Dengan itu bersambung cerita daripada artikel Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan.



Perjalanan baru ke Thailand dimulakan dengan menaiki kereta pagi Khamis 9 Mac 2023 untuk ke Tanjung Malim, Perak.




Ikut rancangan asal sepatutnya malam sebelumnya kami menginap di rumah bapa saudara di Bukit Damansara lalu keluar bersama dengan ibu saudara sekali pagi Khamis ke stesyen KL Sentral untuk menaiki kereta api ke Padang Besar.




Tetapi disebabkan mereka tak jadi pergi (rujuk cerita dalam Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan) lebih mudah buat kami yang menetap di Bandar Sungai Buaya, Rawang untuk mengambil kereta api sama tetapi lewat sejam dari Tanjung Malim.




Kami boleh meninggalkan kereta di cawangan pejabat syarikat isteri bekerja kemudian berjalan kaki ke stesyen kereta api.




Lalu buat pertama kali setelah perkhidmatan kereta api ETS diperkenalkan tahun 2010 kami dapat mengambilnya. Lihat artikel First time on the ETS di blogspot BERPETUALANG KE ACEH




Sampai sahaja ke Padang Besar sekitar jam 3.25 petang terus bergegas ke kaunter untuk mendapat tiket kereta api Thailand ke Hatyai.




Sebetulnya, antara sebab perjalanan ini dibuat atau lebih tepat diteruskan (setelah berlaku pembatalan oleh bapa saudara seperti diceritakan dalam Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan) adalah untuk melihat apakah cara terbaik meneruskan perjalanan ke selatan Thailand selepas sampai dengan ETS ke Padang Besar. Rancangan asal dahulu kami dan bapa saudara serta ahli qariah masjid Bukit Damansara akan menaiki van mewah milik kenalan dari Patani. Tetapi kena pergi dahulu masuk sempadan melalui laluan kereta dan itu sendiri memerlukan satu perjalanan kecil dari stesyen kereta api dengan kenderaan lain.




Pada kami lebih elok ambil kereta api ke Hatyai kemudian menginap satu malam. Esoknya baru gunakan van dari Patani. Tapi itu bagi kami. Bagaimana pula bagi jemaah orang-orang tua berumur hampir 80 tahun seperti ahli qariah masjid?



Walaupun naik kereta api lebih mudah bagi kami dan lebih menjimatkan nampaknya ia kurang sesuai untuk membawa orang tua. Sebabnya ditunjukkan Allah SWT hari itu juga apabila berlaku satu kelewatan luar biasa yang memakan masa hampir dua setengah jam.




Pertama, kereta api ke Hatyai yang sepatutnya bergerak jam 3.40 waktu Thailand (lewat sejam berbanding waktu Malaysia) sendiri sampai lewat. Selepas jam 5 waktu Malaysia baru kami dapat menaikinya.




Kedua, berlaku insiden menyebabkan kepala kereta kami harus dicabut lalu bergerak meninggalkan kami untuk ke stesyen Padang Besar yang di dalam negara Thailand.







Rupa-rupanya telah berlaku kerosakan bagi satu kepala kereta api yang hendak menarik kargo ke selatan. Lalu kepala kereta api api kami harus digunakan untuk menariknya hingga ke satu kawasan letak di stesyen belah Malaysia.






Kemudian kepala sama harus bergerak kembali ke belah Thailand untuk menarik beberapa gerabak penumpang ke Bangkok.




Faham saya gerabak ke Bangkok untuk sepatutnya ditarik dengan kepala kereta api yang menarik kargo tetapi rosak itu...



Disebabkan ia rosak maka gerabak ke Bangkok harus disambungkan dengan gerabak ke Hatyai supaya dapat ditarik sekali dengan kepala kereta api kami.






Jam 7 waktu Malaysia merangkap 6 waktu Thailand baru kami bergerak. Lihat  Padang Besar to Hatyai on train with the family.




Jam 6.50 waktu Thailand baru sampai lalu kami terus berjalan kaki ke hotel di pusat bandar raya Hatyai.







Pemandangan dari tingkat tertinggi hotel. Kelihatan kawasan sekitar Lee Garden yang sangat terkenal untuk berjalan membeli belah santai. Namun kami mengutamakan untuk pergi dahulu ke dua kawasan lain tarikan pelancong yang belum pernah sampai sebelum itu. Lihat artikel Checking out Greenway and Asean Bazaar.


Isnin, Mac 13, 2023

Misi kedaulatan Singgora - Satu pengenalan

Salam semua. Adapun pada awal tahun ini saya telah mempersembahkan sejumlah artikel tentang perjalanan yang dibuat bersama isteri dan empat orang anak di selatan Thailand hampir 3 bulan lalu (dikumpulkan dalam Kompilasi cerita perjalanan selatan Thailand penghujung 2022). Sekarang biar dimaklumkan. Malam tadi saya baru sahaja selesai melakukan satu lagi perjalanan di selatan Thailand. Kali ini bersama isteri dan seorang sahaja anak iaitu yang bongsu kerana yang lain semua ada komitmen.



Perjalanan kali ini tercetus dengan cara yang tidak disangka. Awal bulan Februari saya dan keluarga menziarahi bapa dan ibu saudara di Bukit Damansara. Entah bagaimana terkeluarlah cerita tentang perjalanan kami di selatan Thailand penghujung 2022. Beliau yang selalu ke luar negara tetapi tidak pernah ke selatan Thailand pun berminat terutama ke Patani. Cerita punya cerita timbul cadangan agar mengambil kereta api laju ETS hingga ke Padang Besar di Perlis. Dari situ boleh masuk ke selatan Thailand iaitu melalui tempat bernama Padang Besar juga tetapi yang di belah sana.

Dari sana pula boleh mengambil perkhidmatan van mewah yang dikendalikan kenalan baru kami di Patani. Rujuk cerita-cerita berkenaan melalui artikel-artikel berikut :-






Dengan van yang boleh memuatkan 10 orang itu kami juga boleh berjalan di tempat-tempat lain di selatan Thailand. Bapa saudara yang rajin bersolat di masjid Bukit Damansara bercadang untuk mengajak ahli qariah masjid untuk bersama. Saya pun memberikan nombor contact kenalan di Thailand. Tiba-tiba, kira-kira seminggu selepas ziarah beliau menelefon untuk memberitahu ada ahli qariah bahkan sudah membeli tiket ETS pergi ke Padang Besar dari Kuala Lumpur pagi Khamis 9 Mac dan kembali petang Ahad 12 Mac. 




Oleh kerana isterinya yang merupakan adik ibu saya adalah satu-satunya perempuan yang ikut sama dalam qariah beliau mahu isteri saya menemani ibu saudara. Dengan itu saya juga diajak ikut sama bersama anak bongsu. Segala belanja kami sedia ditanggung bapa saudara. Beliau mahu kami menolong membelikan tiket ETS dengan diskaun orang tua. 

Untuk pengetahuan bapa dan ibu saudara berumur 78 tahun. Ahli qariah masjid yang ikut sama rata-rata berumur sekitar itu, kecuali seorang sahaja yang katanya berumur sekitar 40 tahun. Kiranya kami diharap untuk menolong menjaga orang tua selain menunjukkan selok-belok perjalanan. Ahli qariah masjid ni boleh kata semua orang pesara berpangkat besar dan ada gelaran Dato'/Datuk. Ada seorang berpangkat jeneral. 

Mengenangkan bapa saudara bernama Dato Dr Hamid Arshad, pakar sakit puan terkenal tetapi baru sahaja beberapa bulan betul-betul bersara ini banyak membantu saya termasuk menjaga ketika kecil juga meminjamkan modal awal untuk penerbitan buku pertama (lihat cerita berkenaan dalam artikel Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu yang dipersembahkan hampir empat tahun lalu) saya pun memberikan komitmen untuk bersama. Datanglah lagi menziarahi ke rumah beliau di Bukit Damansara untuk mengambil apa yang perlu supaya dapat membelikan tiket bagi beliau dan isteri di stesyen kereta api KL Sentral. Selepas itu baru dapat tahu bahawa peperiksaan lisan untuk tesis saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) mahu diadakan pada pagi Jumaat 10 Mac. Tetapi disebabkan hendak ke Thailand menemani bapa saudara maka ia ditunda ke pagi Jumaat 24 Mac.




Apapun kami pun membuat persediaan untuk ke selatan Thailand. Sambil itu siapkanlah penulisan buku terbaru, buku ke-13 + 1 (saya suka sebut itu berbanding buku ke-14) sampai ke tahap sepatutnya (rujuk artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan yang dipersembahkan 10 Februari). Saya mensasarkan untuk draf akhir masuk kilang selewatnya pertengahan bulan April lalu buku keluar selepas sambutan Raya Aidilfitri, selewatnya pada 13 Mei, atas sebab-sebab yang akan dikongsikan nanti. Awal pagi Rabu 1 Mac selepas jam 2.30 saya berjaya menyiapkan deraf ketiga buku. Sekitar jam 8.30 iaitu kurang 6 jam kemudian bapa saudara menelefon untuk memberitahu perjalanan ke selatan Thailand mahu ditunda ke suatu tarikh selepas raya.

Kata beliau ini disebabkan ada ahli rombongan yang kurang sihat. Beliau sendiri baru beberapa hari selesai menjalankan rawatan bagi sakit dan kaki dan belakang. Sebelum ini saya sudah bersedia dengan kemungkinan harus menolak beliau ke sana sini dengan kerusi roda kerana beliau sudah tidak dapat tahan berdiri lama apa lagi berjalan. Dengan itu beliau meminta saya untuk menolong menguruskan hal pembatalan tiket, kalau boleh biar ditukar menjadi open ticket iaitu dengan tarikh terbuka.

Saya pun mengubungi KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) lalu diberitahu tiada pertukaran tarikh boleh dibuat, dan tidak ada open ticket bagi perkhidmatan ETS. Yang boleh dibuat adalah membatalkan tiket, kemudian beli semula untuk tarikh lain. Pembatalan yang dibuat dalam tempoh beberapa hari sebelum tarikh perjalanan boleh mendapat pulangan wang tolak 25% harga tiket tetapi harus dimasukkan ke dalam e-wallet KTMB. Untuk itu perlu mendaftar dan buka akaun. Oleh kerana kami tidak pernah membuat akaun dan tiket pun dibeli di kaunter semua ini cuma dapat dibuat apabila pergi ke mana-mana kaunter, tidak boleh secara atas talian...

Ah. Boleh tahan banyak kerja ini. Tak mengapa. Untuk tiket bapa dan ibu saudara boleh minta sepupu saya iaitu anak mereka yang buatkan. Bapa saudara bersetuju. Untuk saya, isteri dan anak kami boleh buat sendiri di Rawang. Namun setelah difikirkan balik terasa elok sahaja diteruskan perjalanan. Baki duit Baht daripada perjalanan penghujung 2022 masih cukup untuk menampung segala keperluan penginapan, pengangkutan dan makan minum dalam tempoh 4 hari 3 malam. Untuk perjalanan dengan bapa saudara itu cerita kemudian.



Dengan itu berlakulah perjalanan ke selatan Thailand yang baru sahaja selesai semalam. Malah sampai ke rumah pun dekat jam 12 tengah malam. Oleh kerana kami pergi bertiga tidak membawa orang tua bolehlah berjalan secara lasak. Jika dahulu rancangannya adalah berjalan ke sana ke mari dengan van mewah, malam pertama di Hatyai kemudian ke Patani, mungkin sampai ke Narathiwat dan Yala sebelum kembali ke Padang Besar kali ini kami ambil kereta api hingga ke Hatyai. Menginap satu malam di sana kemudian satu malam di Songkhla kemudian satu malam lagi Hatyai sebelum kembali.

Asalnya sekadar mahu bersantai melihat tempat-tempat menarik pelancongan, tidak sangat ke tempat-tempat bersejarah. Tengok-tengok datang gerak yang tetap membawa ke tempat-tempat bersejarah. Malah berlaku satu rentetan peristiwa yang pada saya adalah berkaitan kedaulatan asal kerajaan Melayu Singgora iaitu sebelum ditakluki Siam penghujung abad ke-17. Dan rentetan peristiwa ini ada kaitan dengan kerajaan Ligor yang mewakili Siam Thai yang berpusat di Bangkok bagi menakluki negeri-negeri Melayu  ke selatan Singgora seperti Patani,  Kelantan dan Kedah. 

Perjalanan ini telah menyaksikan kami berjalan kaki agak jauh merata malah mendaki hingga ke puncak bukit yang meliputi pusat asal kerajaan Singgora semasa zaman kegemilangannya awal abad ke-17. Memang memenatkan tetapi puas. Malam ini pun kami harus keluar lagi untuk satu perjalanan tetapi tidaklah jauh sangat. Tunggu ceritanya apabila datang gerak dan kelapangan . Sambil itu saya harus membuat persediaan untuk peperiksaan lisan tesis pada 24 Mac dan membuat lagi satu pusingan suntingan buku Laksamana saya pun dapat masuk ke kilang cetak selewatnya pertengahan April.


Khamis, Mac 02, 2023

Osman Bakar dan Madani - Usaha bagi menggapai satu idealisma tinggi

Salam semua. Merujuk pada artikel Pelancaran buku khas penghormatan bagi Prof Osman Bakar yang dipersembahkan 31 Januari. Ia adalah artikel pertama daripada saya tentang majlis ilmu bagi tahun 2023 dan terakhir hingga kini. Dalam tempoh dua bulan kebelakangan bukan tiada majlis-majlis ilmu selain itu. Tetapi saya tidak dapat memberikan perhatian kerana sibuk dengan penulisan buku terbaru. Lihat artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan yang dipersembahkan 10 Februari.



Adapun artikel tentang buku Laksamana itu dipersembahkan sejurus selepas berjaya menyiapkan deraf kedua buku pada hari itu. Sebelum itu deraf pertama yang dimulakan penulisannya terus ke dalam reka letak (layout) buku pada 1 September 2022 telah berjaya disiapkan 30 Januari 2023. Dengan itu dimulakan pula suntingan bagi menerbitkan deraf ketiga. Ketika sudah lebih 70 peratus siap guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam) Profesor Emeritus Dato' Dr Osman Bakar memberitahu melalui WhatsApp akan memberi syarahan seperti di atas pada hari Sabtu 25 Februari malam Ahad jam 8.30.

Tajuk bagi syarahan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Madani : Perspektif Keagamaan dan Sekular". Tentunya ia merujuk kepada konsep Madani yang baru-baru ini dijulang tinggi oleh Perdana Menteri ke-10 Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa belanjawan 2023 yang dibentangkannya pada petang Jumaat 24 Februari sebagai polisi kerajaan baru yang diasaskan cuma tiga bulan lebih lalu. Mereka yang cakna perkembangan politik tanah air sejak selewatnya tahun 1990an tentu tahu konsep Madani yang membawa maksud berperadaban (civilised) telah diwar-warkan Anwar sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri tahun 1993. Ketika itu saya masih menuntut ijazah sarjana muda dalam bidang matematik di University College of London (1991-1995). Setahun setelah kembali ke Malaysia saya bertukar arah menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times lalu biasa meliputi sidang-sidang akhbar yang dibuat oleh para menteri termasuk Anwar.




Setelah beberapa lama menyambung ke peringkat pascasiswazah di ISTAC (bermula September 2018) baru tahu bahawa sebelum Anwar, orang yang selalu mewar-warkan konsep Madani adalah pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas. Difahamkan beliau adalah salah seorang guru Anwar juga guru kepada guru saya Osman. Pun begitu orang yang mempunyai political will atau kekuatan politik untuk menterjemahkan konsep Madani di Malaysia nampaknya adalah Anwar.  Cuma telah berlaku rentetan peristiwa panjang yang mana saya sebagai seorang wartawan di The New Straits Times 1996-2001 pernah menyaksikan dengan mata kepala sendiri membuat Anwar terbuang daripada persada kekuasaan buat berapa lama (ya, saya pernah beberapa kali membuat liputan berkenaan sebelum beliau ditangkap lalu dipenjarakan). 

Kini beliau akhirnya dapat menjadi Perdana Menteri lalu boleh menghidupkan kembali usaha yang pernah diwar-warkannya 30 tahun lalu. Seterusnya melalui majlis-majlis ilmu di ISTAC juga perkongsian daripada Osman baru dapat tahu konsep Madani ini sebenarnya mula diperkatakan oleh ulamak silam Islam iaitu Al-Farabi pada abad ke-9-10 Masihi lagi. Asasnya adalah pada ketamadunan masyarakat berperadaban yang didirikan oleh baginda Rasullullah SAW di kota Madinah.

Maka itu apabila mendapati Osman mahu bersyarah tentangnya pada 25 Februari malam tentu saya mahu mengikuti. Tetapi  harus melakukan beberapa perkara dalam tempoh waktu berkenaan. Sedikit tentang perkara ada diceritakan dalam artikel Dari Pesta Buku Alternatif di Central Market ke Putrajaya yang dipersembahkan Isnin malam Selasa 27 Februari. Saya mendengar syarahan selepas selesai urusan dengan seorang anak perempuan di Bukit Jalil lalu memandu kereta bersama keluarga untuk ke destinasi seterusnya iaitu Bukit Changgang dekat Sepang. Dapatlah mendengar sedikit tetapi tidak dapat memberikan tumpuan.




Seterusnya ada lagi syarahan Osman tentang Madani pada petang Isnin 27 Februari. Itu yang ditunjukkan dalam poster kedua dari atas. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Kerangka Madani bagi Pembangunan Peradaban : Hikmah, Inovasi dan Kasih Sayang". Ia bermula sejam lebih selepas kembali ke rumah daripada perjalanan yang diceritakan dalam artikel tadi. Entah kenapa terasa penat amat sangat selain sakit kepala teruk lalu tidur sahaja petang itu, tidak dapat mengikuti syarahan.

Pagi Selasa 28 Februari pun ada syarahan Osman tentang Madani. Lihat poster atas. Yang ini dalam bahasa Melayu lalu tajuknya "Konsep dan Falsafah Madani : Aplikasinya Kepada Pembangunan Negara Malaysia" tidak perlu diterjemahkan. Ingat yang inilah akan diikuti dengan penuh tumpuan. Tengok-tengok sakit kepala masih melanda dengan rasa penat sangat. Lalu  selepas Subuh saya melayan tidur hingga ke tengah hari.

Petang selepas Zohor baru terasa cukup pulih. Tetapi syarahan sudah selesai. Selepas menyelesaikan satu urusan di luar saya menyambung kerja bagi menyiapkan deraf ketiga buku lalu dapat menyelesaikannya sekitar 6.30 petang. Selepas itu membaca satu artikel tulisan Osman yang disuakannya melalui WhatsApp. Lihat Cultural Symbiosis and the Role of Religion in the Contemporary World. Setelah membaca separuh jalan timbul rasa untuk mengikuti ketiga-tiga syarahan tentang Madani. Nasib baik ia telah direkodkan. 


Saya pun mengumpulkan alamat-alamat pautan bagi rakaman video supaya boleh dicapai, melalui tajuk-tajuk berikut :-






Dengan menonton video-video berkenaan dapatlah dibuat sedikit kupasan...



Ternyata syarahan atau wacana pertama yang diadakan 25 Februari Sabtu malam Ahad memang merupakan maklum balas bagi pembentangan belanjawan 2023 petang Jumaat 24 Februari yang menjadi semacam alat untuk melancarkan inisiatif Madani oleh Perdana Menteri. Ada yang melihat ia sebagai inisiatif bagus berdasarkan konsep tamadun yang membawa kepada berdirinya kota Madinah Al-Munawarah mengikut acuan Islam oleh Nabi Muhammad SAW. Namun ada yang melihat daripada sisi acuan sekular oleh ahli falsafah Inggeris John Locke (1632-1704). Osman menyebut Madani sebagai konsep peradaban yang telah dibincangkan oleh ilmuwan Islam seperti Al-Farabi (870-950 Masihi), Ibnu Miskawayah (936-1030) dan Ibnu Khaldun (1332-1406). Namun apa yang ingin dibawa oleh Anwar adalah spesifik bagi negara Malaysia.

Perkataan Arab Madani berasal daripada kata-kata akar madanna dan tamadanna. Maddana membawa maksud untuk mengasaskan atau membina kota, memberi peradaban, memanusiakan, memperhalusi. Tammadana adalah untuk menjadi berperadaban, bertamadun, ketamadunan kota. Madani adalah tentang menerbitkan peradaban berkota atau kota berperadaban (tamadun yang didirikan apabila ramai manusia dapat duduk setempat berinteraksi lalu hidup dengan aman, adil dan saksama bersama). Kata Osman peradaban itu boleh dilihat berunsur spiritual. Tetapi ia boleh juga bersifat sekular dan kebendaan. 

Menurut beliau Al-Farabi adalah ilmuwan Islam terawal yang menggunakan perkataan Madani untuk membincangkan konsep peradaban berkota itu dan ia melibatkan faktor politik (kerana perlu ada kepimpinan bagi menjalankan wawasan). Ilmuwan silam Islam ini pernah belajar ilmu ketamadunan Yunani lalu melihat manusia sebagai haiwan berpolitik  (disebabkan keinginan semulajadi manusia mahu mengatur saf lalu ada yang memimpin, ada dipimpin dan ada tingkat-tingkatnya supaya dapat bekerjasama bagi melaksanakan sesuatu termasuk demi kelangsungan hidup). Hal serupa dipanjangkan oleh Ibnu Miskawayah yang hidup sezaman tetapi jauh lebih muda. Diceritakanlah sejarah pengajian berkenaan yang dimulakan oleh Al-Farabi sehingga menjadi satu bidang sains politik kemanusiaan. Satu perkara penting diperhatikan boleh diangkat adalah sifat kosmopolitan di mana pelbagai kumpulan berlainan latar belakang dapat bekerjasama untuk membina ketamadunan seperti berlaku di Madinah zaman Nabi Muhammad SAW. Dinyatakan semua orang sebenarnya mahu mencari kebahagian dan itulah yang menggerakkan mereka bagi melakukan sesuatu termasuk membina ketamadunan.




Seperti biasa banyak perkara dikongsikan oleh Osman termasuk bagaimana ilmu ketamadunan Islam yang dibincangkan oleh Al-Farabi sebenarnya dipanjangkan daripada perbincangan ilmuwan silam Yunani seperti Aristotle dan Plato lebih 1,000 tahun awal.  Tetapi tidak semua dapat dikongsikan dalam artikel kerana akan jadi terlalu panjang. Cukuplah dikatakan yang perlu difahami adalah bagaimana Madani atau ketamadunan itu terpakai dalam kerangka keagamaan Islam lalu dapat dibezakan dengan kerangka sekular yang mengenepikan Tuhan. 

Dalam Islam sentiasa ada kefahaman kerohanian atau spiritual di sebalik setiap perkara yang akan kembali kepada menTauhidkan Allah apa lagi dalam hal-hal ketamadunan. Sedangkan kerangka sekular cuma memikirkan kemajuan bersifat kebendaan walaupun daripada segi bahasa bercakap tentang perkara sama iaitu peradaban,. Lalu Madani disamakan dengan konsep civil society (masyarakat beradab) dalam faham Barat, disebabkan perkembangan fikrah pemikiran mereka sendiri yang asalnya berteraskan agama tetapi lari pada kebendaan dalam tempoh beberapa abad kebelakangan. Apapun, harus dicari pemahaman Madani berdasarkan Islam tetapi bersifat neutral tanpa perlu mendakwa-dakwi bergerak atas nama Islam seperti pernah dikehadapakan oleh Al-Farabi sendiri lalu boleh meliputi semua pihak waima mereka yang tidak percayakan agama sekali pun, sekurang-kurangnya atas dasar mahu mencari kebaikan bersama. Untuk selebihnya ikuti sendiri syarahan di sini - Madani : Perspektif Keagamaan dan Sekular.




Dalam wacana kedua yang berlangsung petang Isnin 27 Februari mahu dibincangkan terus Madani melalui kerangka keIslaman yang boleh membawa kepada hikmah, inovasi dan kasih sayang. Kali ini ada tiga pembicara termasuk Osman. Pembicara pertama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri secara rata memperincikan wawasan Madani yang mahu dibawa Perdana Menteri melalui tonggak dasar yang disampaikan kepada awam. Maka itu perkataan M.A.D.A.N.I (satu teknik marketing ini) dinyatakan sebagai gabungan/'singkat' bagi keMampanan, kesejAteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan. Mujahid kelihatan lebih berminat untuk bercakap tentang polisi dan realiti bagi merealisasikan implementasi seperti bagaimana untuk mendapatkan Majlis Raja-raja untuk bersetuju apabila melibatkan agama Islam kemudian pegawai-pegawai kerajaan faham lalu boleh melaksanakan, bukan sangat falsafah di sebalik perkara. 

Osman sebagai pembicara kedua menyambut ini dengan memberikan sedikit latar belakang sosiopolitik negara Malaysia sejak enam dekad lalu bagi memberi faham akan realiti yang harus ditangani dalam merealisasikan satu wawasan. Hal ini memang perlu dinyatakan kerana ramai yang mengikuti wacana terutama pelajar ISTAC adalah dari negara luar. Menurut Osman kita harus juga mengambil faedah daripada polisi-polisi Perdana Menteri terdahulu sebelum membawa kepada polisi Madani yang dibawa Perdana Menteri sekarang, Perdana Menteri ke-10 Malaysia. Osman melihat konsep Madani sebagai sintesis kepada pelbagai aspek ajaran dalam Islam yang mana jangan disempitkan kepada hal ritual dan ibadat semata-mata. Selepas itu baru diterangkan sejarah di sebalik konsep Madani seperti disampaikan oleh al-Farabi termasuk keinginan setiap manusia untuk mencapai kebahagian seperti ada dinyatakan dalam wacana 25  Februari.

Pembicara ketiga Profesor Datuk Dr Azizan Baharuddin pula menyatakan memang konsep Madani seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri diperlukan untuk ketamadunan. Untuk itu perlu selalu diadakan dialog, perbincangan dan bertukar-tukar pandangan antara masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang. Kita perlu kembali kepada sifat-sifat kemanusiaan, kembali kepada mengenali diri (soul) bagi menangani dunia yang bermasalah, Untuk mencapai konsep Madani itu juga kita tidak dapat melarikan diri daripada mengenali Tuhan (knowing God). Untuk selebihnya ikuti sendiri syarahan di sini - Kerangka Madani bagi Pembangunan Peradaban : Hikmah, Inovasi dan Kasih Sayang.



Wacana ketiga yang berlangsung pagi 28 Selasa 28 Februari mengenengahkan Osman sebagai pemidato, Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar sebagai moderator dan Prof Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan serta Azizan sebagai pengulas. Disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu Osman memulakan dengan memberikan definisi Madani sepertimana dalam syarahan pada 25 Februari. Bezanya dahulu dalam bahasa Inggeris. Dan kupasan kali ini ada tambahan seperti menyebut bagaimana konsep Madani itu telah dibincangkan beliau bersama Anwar sejak tahun 1970an (kerana mereka yang telah saling mengenali sejak zaman sekolah menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar tahun 1950an masing-masing aktif dengan usaha mencelikkan masyarakat Islam). Dan jika dahulu falsafah Madani lebih banyak dibincangkan daripada sudut pandang Al-Farabi kali ini dipanjangkan pula pandangan Ibnu Khaldun yang hidup 500 tahun kemudian, selepas jatuh bangun beberapa kota Islam. Untuk selebihnya ikuti sendiri syarahan di sini - Madani : Perspektif Keagamaan dan Sekular.




Sekadar menambah, sebagai seorang yang sangat sayangkan ilmu sejak kecil saya sendiri mengimpikan masyarakat berperadaban tinggi sejak sekian lama. Tetapi tidak pernah pun mengenali perkataan Madani kecuali selepas mendengar ia diangkat oleh Anwar tahun 1990an. Ketika berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1988 saya pernah bermimpi melihat satu kota dengan bangunan-bangunan sedikit ala Arab seperti di Baghdad zaman silam (daripada cerita-cerita 1,001 Malam agaknya) yang mana masyarakatnya sangat sayangnya ilmu. Terbangun sahaja daripada mimpi timbul azam hendak hidup dalam negara seperti itu. Kalau tiada maka harus diusahakan untuk mengadakannya. 

Lama kemudian baru mendapat rasa apa yang dilihat dalam mimpi itu pernah wujud di Andalusia semasa zaman keemasan Islam lebih 1,000 tahun lalu. Seterusnya baru tahu moyang saya Sultan Malikus Saleh pernah menerbitkan peradaban sebegitu di kerajaan Samudera-Pasai (sekarang dalam Aceh) lebih 700 tahun lalu. Disebabkan melihat bangunan ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur ada seni bina serupa Istana Alhambra di Andalusia lah saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian pascasiswazah tahun 2018, ketika sudah berumur 48 tahun. Kalau semata-mata mahukan kelulusan tinggi tentu saya sudah melakukannya di London kerana ada tawaran untuk berbuat begitu selepas tamat sarjana muda tahun 1995.

Alhamdulillah tidak lama selepas masuk ISTAC, Osman yang baru menamat tugas di Brunei menyertai institusi lalu saya mula mengenali beliau dan dunia pemikirannya. Dapatlah menemui keserasian apa lagi beliau juga rupa-rupanya pernah membuat sarjana muda di London, pada tahun 1960an. Syukur saya dapat membuat tesis di bawah selian beliau. Insyaallah selepas selesai beberapa hal termasuk penerbitan buku ke-13 + 1 (saya suka menyebut sebegitu berbanding buku ke-14) yang disasarkan keluar daripada kilang cetak selepas raya Aidilfitri iaitu bulan Mei (lihat Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan) saya sedia untuk bersama menggapai idealisma tinggi yang cuba diterjemahkan melalui konsep Madani itu. Untuk makluman ini adalah artikel  ke-2,363 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.