Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Mei 04, 2010

Qeqah di Jelai, melihat Gunung Ledang di Asahan, bermalam di Pulau Besar dan kamera yang rosak

Dalam artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Perjalanan malam ke Kuala Kangsar yang dibuat Rabu minggu lepas saya baru sahaja menyebut anak kecil saya Al-Rasyid sudah merasa bermalam di surau Janda Baik, Pahang juga Masjid Kampung Hulu, Melaka tetapi belum pernah di pondok Pulau Besar. Hujung minggu baru ini saya dan isteri telah membawanya bermalam di sana. Ini berlaku setelah berlaku beberapa turutan peristiwa. Kita keluar sebentar dari cerita ziarah Perak. Mari! :]



Maha kuasa Allah yang merancang segala sesuatu. Dengan tidak disangka, pada hari Sabtu 1 Mei telah berlaku majlis Qeqah untuk Al-Rasyid di Jelai, Negeri Sembilan lebih 200 km daripada rumah kami di Bandar Tasik Puteri.




Sebenarnya kami berhajat untuk membuat majlis Qeqah untuk Al-Rasyid sejak tahun lepas lagi. Tetapi bukan senang untuk mendapatkan tarikh yang sesuai dengan ada orang-ramai sudi bergotong-royong sama... belum dikira hal-hal belanja...

Dahulu saya pernah bercadang untuk membuatnya di kampung ibu di Muar, Johor. Ibu pula mencadangkan agar ia dibuat di kampung isteri saya di Tanjung Sepat, Selangor kerana hampir semua 13 orang adik-beradik isteri duduk dekat-dekat sedangkan adik-beradik saya juga adik-beradik ibu duduk merata di Semenanjung Malaysia. Malangnya, sementara menunggu tarikh yang sesuai di mana semua orang dapat berkumpul, ayah kepada isteri pula meninggal dunia. Jadilah rancangan membuat Qeqah untuk Al-Rasyid terbengkalai begitu sahaja...


Lebih kurang 10 hari lepas isteri saya memberitahu kakak sulungnya yang menetap di Jelai, Negeri Sembilan mahu mengadakan majlis Qeqah untuk cucu barunya lalu menjemput seisi keluarga. Saya pula tidak pasti dapat ke sana kerana mengikut jadual saya harus keluar jauh untuk satu tugasan baru.


Entah kenapa, sehari dua kemudian ibu saya pula menalifon bertanyakan tentang rancangan saya untuk mengadakan majlis Qeqah untuk Al-Rasyid... walhal perkara ini sudah lama tidak diperkatakan sejak ayah kepada isteri meninggal dunia lebih 3 bulan lalu. Sebenarnya ibu mahu saya menumpangkan Qeqah untuk 2 orang anak lelaki kepada adik perempuan saya kerana majlis Qeqah belum pernah diadakan untuk mereka. Oleh kerana seorang anak lelaki bersamaan 2 bahagian Qeqah lembu, 3 orang anak lelaki iaitu seorang anak saya campur 2 anak adik bersamaan 6 bahagian sedangkan seekor lembu bersamaan 7 bahagian yang boleh diQeqahkan. Kiranya boleh disatukan belanja untuk membeli seekor lembu... ini jauh lebih jimat daripada membeli 2 ekor kambing untuk seorang anak laki-laki, satu lagi cara perkiraan untuk mengadakan Qeqah...




Kebetulan anak perempuan kepada adik isteri yang muda lebih kurang 2 minggu sahaja dari Al-Rasyid belum diQeqahkan lagi. Seorang anak perempuan bersamaan 1 bahagian lembu. Kalau dicampurkan dengan 6 bahagian untuk 3 anak lelaki tadi cukuplah seekor lembu...

Apapun, majlis Qeqah untuk cucu kepada akak isteri sudah siap sedia untuk diadakan kerana orang kampung ramai sudi bergotong-royong dan meluangkan masa. Suami kepada akak ini pula memang ada membela kambing, lebih 80 ekor gitu! Jadi memang sudah ada bahagian untuk Qeqah. Malah dia sedia mengorbankan seekor lagi kambing untuk memeriahkan suasana.

Lagipun ketika itu arwah ayah mertua saya sudah meninggal lebih 100 hari... jadi mahu diadakan sekali majlis Tahlil yang dihadiri seluruh adik-beradik isteri. Peluang inipun digunakan untuk menumpang sama Qeqah untuk Al-Rasyid, 2 orang anak lelaki adik saya berserta seorang anak perempuan adik isteri. Jadilah sebuah majlis Qeqah yang agak besar, maklumlah, 2 ekor kambing dan seekor lembu tumbang untuk hidangan semua!



Oh, dalam 2 gambar di atas kelihatan Al-Rasyid di kanan dan sepupu perempuannya Hana, anak kepada adik isteri di kiri. Sekarang lihat video-video klip majlis...














OK. Dalam beberapa gambar di atas juga beberapa detik klip video nampak tak gambar jadi semacam?


Sebenarnya kamera Olympus Stylus 820 kesayangan yang digunakan untuk merekodkan segala pengembaraan saya 2 tahun kebelakangan telah mengalami kerosakan yang teruk. Ini mula kelihatan semasa ziarah ke makam-makam lama di Perak bulan lalu. Tetapi semasa itu saya masih dapat mengambil gambar yang elok walaupun pada skrin LCD kelihatan ada bayangan hitam juga kehijauan atau keluar corak-corak seperti api bersemarak mengganggu penglihatan...




Kini corak-corak yang mengganggu bukan sahaja kelihatan pada skrin LCD malah pada gambar yang diambil.



Nasib baik ada ketika dapat juga gambar yang elok. Misalnya gambar selepas klip video tadi, gambar testing ketika makan petang di Tanjung Emas, Muar kelihatan terang. Tetapi gambar selepasnya yang memaparkan isteri bersama Al-Rasyid sudah mula dikacau corak apa-apa entah...

Dalam gambar ini pula kelihatan elok Al-Rasyid bersama abang sepupunya Asyraf di rumah adik lelaki saya di daerah Ledang (dahulu bahagian utara Muar) sebelum kami berlepas ke Melaka tengahari Ahad. Tetapi gambar di bawah pula ada sedikit gangguan keseluruhan warna merah jambu ditambah cahaya putih naik di bahu Asyraf ...




Sebenarnya selepas majlis Qeqah di Jelai kami pergi ke kaki Gunung Ledang melalui Asahan, Melaka. Itulah kali pertama saya, isteri dan anak sampai ke sana. Walaupun kawasan jeram dan air terjun kurang air dan tidak menarik langsung berbanding apa yang terdapat di lereng timur gunung yang menghadap ke Segamat, Johor di mana saya sudah beberapa kali pergi, pada saya pemandangan gunung dengan muka-muka batu yang ada lebih menarik di sebelah sini.

Malah saya dapat merasakan kewujudan semacam aura yang lebih menonjol berbanding apa yang terdapat di lereng timur . Mungkin kerana inilah laluan yang pernah digunakan Hang Tuah dan para pembesar Melaka untuk meminang Puteri Gunung Ledang? Mungkin kerana di laluan ini juga pernah terdapat jambatan emas dan perak yang pernah dibina Sultan Melaka untuk memenuhi syarat peminangan?




Sayangnya saya tidak dapat mengambil walau satupun gambar elok ketika berada di Gunung Ledang. Semuanya jadi 'cair', tidak ubah seperti print-out gambar daripada printer Inkjet yang dicelup ke dalam air. Nasib baik saya dapat merekodkan gambar isteri dan Al-Rasyid dalam bot ketika berlepas ke Pulau Besar, Melaka hari Ahad. Kalau tidak, penceritaan melalui gambar mungkin telah tamat lebih awal...



Ini adalah gambar yang diambil di pondok dalam hutan tempat kami bermalam. Dah... mula 'cair' dah... itulah yang terbaik mampu saya rekodkan...



Untuk mendapatkan gambar elok dari kamera yang sudah rosak, saya cuba beralih kepada video mood. Dapatlah juga rakaman yang cantik walaupun tetap ada kekacauan. Kelihatan Al-Rasyid sedang seronok merangkak ke pintu masuk dewan utama solat Masjid Kampung Hulu di Melaka.



Tetapi nampaknya kamera saya tidak dapat diselamatkan lagi. Lihatlah hasil 'cair' yang diambil selepas klip video tadi. Rabu atau Khamis lalu saya ada juga bertanya di kedai kamera tentang masalah ini. Saya diberitahu komponen dalaman yang bertindak 'membaca' gambar dari lensa telah rosak, kalau mahu elok perlu ditukar dan harga komponen baru ialah RM400, belum dicampur upah...

Allah! Kamera Olympus Stylus 820 yang baru berharga RM999 atau RM899 gitu, sekarang ni dah kira outdated sebab itu model 3 tahun lalu. Kalau nak tukar komponen perlu lebih RM400, lebih elok beli kamera baru, mungkin model lain dengan harga sekitar itu. Nampaknya nasib kamera ini akan sama dengan sebuah kamera lama saya. Lihat artikel Kamera digital murah ku juga "bersara" akhirnya! yang dibuat 2 tahun lalu.

Apapun saya bersyukur kerana dapat merakamkan sedikit lagi gambar dan klip video. Kemungkinan besar apa yang terpapar pada artikel ini adalah hasil terakhir daripada kamera yang sudah uzur. Syukurlah, atas asbab membuat majlis Qeqah untuk Al-Rasyid tanpa dirancang, saya dapat juga kembali ke kampung di Muar malah buat pertama kali seumur hidup melihat dan mendekati Gunung Ledang dari belah Asahan. Atas asbab ini juga saya dan isteri dapat membawa Al-Rasyid ke Pulau Besar sedangkan kali terakhir kami ke sana adalah 8 bulan lalu, ketika isteri sedangkan mengandungkan Al-Rasyid 7 bulan!

Kami juga sempat singgah ke beberapa tempat lain lalu perjalanan hujung minggu ini meliputi jarak lebih 600 km. Isteri saya pula kembali dengan mendapat satu ilham. Lalu dia yang jarang menulis tergerak untuk membuat sesuatu di blogspotnya http://anggunrias.blogspot.com/. Lihat artikel Siapa Raden Anjeng Kartini dan kaitan nombor 131. Sekian...

Rabu, April 28, 2010

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Perjalanan malam ke Kuala Kangsar

Hmm. Setelah melihat kembali koleksi gambar-gambar perjalanan Perak yang diambil 9-11 April baru ini saya rasa elok juga penceritaan dimulakan...


OK. Seperti telah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel sebelumnya, perjalanan ke Perak ini asalnya mahu dibuat pada 26 Februari, hari Maulidur Rasul. Sebaliknya saya, isteri dan anak pergi ke Aceh untuk menyambutnya di Perlak, setelah beberapa lama barulah perjalanan ke Perak dapat direalisasikan. Apapun, perjalanan ini dirancang lebih 2 bulan lalu setelah mendapat tahu identiti alternatif seorang Sultan Perak. Lihat artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... yang dibuat sebelum ke Aceh.

Untuk pengetahuan setelah membuat artikel itu berserta sebuah artikel berkaitan, baru kami mendapat jemputan untuk menyambut Maulidur Rasul di Perlak, secara tiba-tiba. Maka sambutan di Perlak dan perjalanan ke Perak ini sebenarnya ada kaitan. Elok juga siri cerita "Maulidur Rasul di Aceh" disambung dengan siri ini pula.


Dua-dua gambar di atas menunjukkan anak dan isteri saya di hadapan Masjid Sheikh Ismail, Ulu Bernam, 200 meter dari sempadan utara Selangor. Saya terasa harus singgah dahulu ke sini sebelum masuk ke Perak melalui Tanjung Malim. Berbalik pada identiti alternatif Sultan Perak yang baru saya sedari 2 bulan lalu. Adapun makam Sultan ini belum pernah saya ziarahi sebelumnya, cuma makam yang lagi satu atas nama lain sahaja saya sudah pergi.

Jangan terperanjat jika seseorang itu memiliki lebih dari satu makam. Ada kes di mana suatu makam itu sebenarnya makam tanda tempat seseorang itu pernah sampai atau kali terakhir dilihat sebelum menghilangkan diri. Kemudian orang itu muncul di negara lain lalu mangkat dan dibina makam kedua untuknya. Ada kes di mana yang dimakamkan di satu tempat itu adalah tongkat sebagai lambang. Jasad sebenar ditanam di makam lain. Ada pula kes pelik di mana seseorang itu dilihat meninggal dunia kemudian sempat dimandikan orang ramai. dan dikapankan Namun apabila sampai ke liang lahat, jasadnya hilang ghaib begitu sahaja.

Perkara sebegini bukanlah pelik bagi orang-orang dahulu yang berilmu. Ada yang bertaraf wali lalu mampu membuat pemecahan wajah untuk muncul di beberapa tempat berlainan sekali gus. Ada pula yang boleh menerbitkan beberapa identiti dengan cara menyamar secara fizikal sahaja. Ketika dihadap orang ramai di istana baginda menjadi raja. Ketika mahu keluar melihat keadaan sebenar rakyat dan negara tanpa mahu dikenal sebagai raja atau kelihatan melanggar protokol dan adat-istiadat istana, baginda boleh sahaja memakai pakaian pengemis atau pengembara malah boleh menjadi hulubalang dan laksamana pula...

Apapun, makam rasmi Sultan Perak yang dimaksudkan terletak tidak jauh dari Teluk Intan. Maka itu rancangan asal saya untuk perjalanan ke Perak ialah setakat ke sana, paling jauh pun mungkin ke Kampung Gajah sedikit ke utara Teluk Intan. Sebaliknya ketika tarikh semakin hampir untuk membuat perjalanan, timbul rasa untuk pergi hingga ke Kuala Kangsar. Ini kerana apabila disemak kembali perjalanan saya setahun dua, ternyata saya tidak pernah ke Kuala Kangsar lagi sejak singgah bersama isteri dan seorang kawan penghujung 2008. Lihat artikel lama Projek buku masjid - bertemu penunggu masjid lama tinggal!.

Sudah begitu lama rupanya saya tidak ke Perak. Selain perjalanan balik hari ke Lata Kinjang bulan Mac (lihat artikel Menikmati air terjun Lata Kinjang yang baru dibuat tadi), saya cuma pernah membawa anak dan isteri ke Tanjung Malim juga balik hari, ketika isteri masih dalam pantang. Lihat artikel Ke Tanjung Malim bersama Al-Rasyid... untuk mendapatkan 'feel' jejak Raja Kamala. Apa pula 'kebetulan' nombor yang berlaku? yang dibuat November 2009. Sebelum bulan puasa tahun sama iaitu ketika isteri sedang mengandungkan anak 7 bulan kami ada menziarahi makam-makam di sekitar Teluk Intan. Tapi itulah paling jauh saya masuk ke Perak sejak penghujung 2008.

Memandangkan sudah begitu lama saya tidak ke Perak selain Teluk Intan lalu tidak menziarahi makam saudara-mara di luar lingkungan itu, saya telah membuat keputusan. Kali ini saya akan menziarahi makam setiap orang Sultan Perak yang ada selain beberapa makam lain yang patut. Untuk pengetahuan terdapat 29 makam Sultan Perak di sepanjang Sungai Perak, satu daripadanya makam tanda. Empat orang Sultan pula di makamkan di luar negeri.

Setakat itu, saya pernah menziarahi semua makam Sultan di Perak kecuali 5. Antara 5 itu, cuma satu sahaja yang agak mudah ditemui, saya sahaja yang terlepas pandang walaupun berjaya menziarahi makam Sultan lain berdekatan. Empat lagi makam susah untuk dicapai melalui kenderaan, satu pula terletak di atas pulau di tengah sungai. Di atas adalah makam seseorang ulamak bernama Sheikh Abdul Qadir.


Tentang makam ini pernah saya panjangkan dalam artikel Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, Perak? yang dibuat hampir 3 tahun lalu. Ia terletak berhampiran pusat bandar Kuala Kangsar namun tak semua menyedari. Saya dapat tahu tentang kewujudannya penghujung 2006 tetapi cuma berjaya menemuinya Julai 2007. Sejak itu saya akan menziarahinya setiap kali sampai ke Kuala Kangsar. Lagipun di sekitar bandar diraja ini terdapat banyak makam yang ada kaitan peribadi.




Sebaik selesai ziarah, isteri menunjukkan pada papantanda di hadapan. Ada sesuatu yang menarik perhatiannya.

"Nampak tak apa yang sayang nampak?" tanya isteri.

"Tak," jawab saya. "Apa dia?"

"Sayang nampak M.I.M..." dia menyambung.

Allah! Syukur kerana memberikan aku seorang isteri yang memahami, isteri yang boleh mengingatkan ketika aku terlepas pandang. Ya. M.I.M. atau MIM untuk huruf Arab MIM. Sudah lama saya tidak memikirkannya. Mim untuk Melayu, Mim untuk Malaysia. Mim juga untuk Mekah dan Madinah, Mim untuk Muhammad.

Perkara ini pernah saya keluarkan secara spontan semasa aktif dalam sebuah forum Internet yang sering membicarakan hal-hal kebatinan tahun 2006. Ketika itu saya baru sahaja selesai menyajikan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006) dan sering bercakap tentang Melayu. Atas ilham spontan, saya menyebut betapa Melayu boleh menjadi layu tanpa MIM. Ya, ejaan Jawi untuk Melayu adalah MIM LAM YA WAU. Tanpa MIM tentu tinggal LAM YA WAU, jadilah ia "Layu".

Semasa itu MIM yang dimaksudkan lebih pada Muhammad, tidak memikirkan lain dari itu. Tanpa ajaran dan panduan dari Nabi Muhammad SAW, tanpa ia diamalkan dalam hidup seharian masyarakat, Melayu pun jadi layu, lemah, mudah diperkotak-katikkan. Namun ramai yang berkata kami telah mengamalkan agama, mengapa masih lagi boleh diperbudakkan bangsa asing. Ini mungkin kerana amalan agama yang dibuat tiada 'talian' batin Mim iaitu melalui anak cucu baginda para Ahlul Bait? Bagaimana mungkin mendapat berkat Nabi Muhammad jika konsep Tasawuf Nur Muhammad pun mahu dituduh sebagai tahyul dan bidaah? Bagaimana mahu menghidupkan kekuatan jiwa dan roh walhal ini adalah konsep asas dalam memahami hubungan tersirat makhluk dengan Tuhan?

Dan lagi MIM dalam Melayu itu terletak pada kepala perkataan, bukan di bawah atau di belakang. Lepas ada MIM, baru boleh ditambah LAM YA WAU sehingga terbentuk perkataan MELAYU. Pada saya ini bermaksud, untuk Melayu naik kembali ia harus kembali kepada kepimpinan para Ahlul Bait! Jadikan mereka sebagai kepala yang memimpin dan memikirkan keperluan masyarakat...

Ah. Saya sudah mula berceramah pula. Kita kembali kepada cerita pengembaraan. Dari Kuala Kangsar kami menghala ke satu kawasan luar bandar untuk mencari sebuah surau. Untuk pengetahuan, ia adalah salah satu tempat saya biasa bermalam apabila berada di Kuala Kangsar.

Alhamdulillah, isteri saya tiada masalah. Dia sudah beberapa kali ikut saya bermalam di masjid dan surau terutama di Janda Baik, Pahang dan Masjid Kampung Hulu, Melaka. Anak kecil kami Al-Rasyid pun pernah ikut bermalam di 2 tempat ini, begitu juga 2 orang anak yang lain. Mereka cuma belum pernah merasa bermalam di pondok dalam hutan di Pulau Besar, Melaka satu lagi tempat kegemaran saya.

Hmm. Tadi baru saya sedar, gambar surau diambil pada jam 1.11 pagi 10 haribulan April 2010...

Beginilah keadaan di dalamnya. Seingat saya surau ini dahulu berwarna biru kemudian terbiar buat satu jangka waktu. Kini ia kelihatan cantik terbela, seluruh bangunan dicat kuning kejinggaan malah kain langsirnya pun berwarna serupa. Apapun ia sudah cukup selesa buat kami bertiga. Kita sambung cerita nanti...

Menikmati air terjun Lata Kinjang

Assalamualaikum semua. Merujuk kepada artikel Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak yand dibuat April 12. Walaupun saya masih ada sejumlah gambar awal yang boleh dijadikan 2 siri penceritaan panjang, saya telah membuat keputusan akan bercerita tentang perjalanan terbaru ke makam-makam di Perak terlebih dahulu. Kalau ikut giliran, mungkin cerita Perak ini cuma dapat dipersembahkan selepas masuk bulan Jun. Tetapi apabila difikirkan masak-masak, elok juga ia dibuat lebih awal untuk menyusul siri "Maulidur Rasul di Aceh" yang baru sahaja tamat.

Ini kerana perjalanan terbaru ke Perak ini asalnya mahu dibuat pada hari Maulidur Rasul 26 Februari. Sebaliknya keadaan telah membawa saya ke Perlak yang terletak di Aceh pada tarikh itu pula. Apapun biar dipersembahkan dahulu artikel ini dari fail gambar bulan Mac. Insyaallah esok Khamis akan saya mulakan cerita perjalanan terbaru ke Perak, dengan mengemukakan tempat-tempat yang diziarahi di Kuala Kangsar. Mari... :]

13 Mac 2010, anak kecil kami Al-Rasyid baru sahaja cukup umur 5 bulan. Ketika itu cuti sekolah. Anak kami yang lain Erin dan Haziq ada di rumah lalu saya dan isteri tergerak untuk membawa ke semuanya berjalan-jalan.

Asalnya kami mahu berjalan setakat ke Kuala Kubu untuk melihat empangan Ulu Selangor, atau pergi ke mana-mana air terjun atau jeram terdekat. Kemudian timbul pula rasa untuk masuk ke Tanjung Malim, Perak, terus tergerak untuk pergi lebih jauh ke Tapah...


Destinasi spontan kami ialah air terjun Lata Kinjang...


Dari lebuhraya, kami perlu keluar di Tapah...


Lata Kinjang terletak 17 km ke utara Tapah...



Kami perlu mengambil simpang masuk ke pekan Chenderiang...

Singgah sebentar di masjid jamek pekan. Lihat artikel Masjid Jamek (Main mosque of) Chenderiang, Perak yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.


Tidak lama kemudian kelihatan air terjun tinggi Lata Kinjang sayup mata memandang. Teringat lawatan kali pertama saya dan isteri ke sini Ogos tahun lepas di mana kami berkejar masuk ke sini hampir waktu Maghrib, ketika bulan puasa! Lihat artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Lata Iskandar, Lata Kinjang, Chenderiang,Tanjung Malim... menjejaki keturunan raja campur sayyid Perak?.





Sampai sahaja di kawasan rehat berdekatan kaki bukit kami makan tengahari.


Kemudian baru kami bersedia untuk mandi. Lihat 20 gambar pelbagai sudut air terjun dari bawah hingga atas yang telah diletakkan dalam artikel A visit to the high waterfalls at Lata Kinjang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.

Video klip yang diambil dari jambatan gantung di bahagian atas...


Puas melihat atas baru saya turun untuk mandi bermain air bersama anak-anak...

Ahad, April 25, 2010

Maulidur Rasul di Aceh dari mula hingga tamat...

OK. Memandangkan siri "Maulidur Rasul di Aceh" yang dibuat berdasarkan perjalanan terbaru saya ke Aceh iaitu pada penghujung Februari 2010 telahpun berjaya ditamatkan, biar diletakkan kompilasi link cerita. Turut diletakkan sama adalah link untuk cerita seiring yang dibuat dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Harap ia membantu... :]

1. Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak...

2. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : A sudden unexpected trip...

3. Maulidur Rasul di Aceh : Ke kompleks anak yatim Nurin di Lhoong

4. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : A feeling of old Kedah... or rather, old Malay country before Western colonialists spoiled everything?

5. Maulidur Rasul di Aceh : Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...

6. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : Enter the tomb of Syiah Kuala...

7. Maulidur Rasul di Aceh : Pemandangan kapal apung...

8. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : The ship that got swept inland by the Tsunami of 2004

9. Maulidur Rasul di Aceh : Gunongan dan beberapa tempat bersejarah di Banda Aceh

10. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : The historical sites at Banda Aceh

11. Maulidur Rasul di Aceh : Rombongan ke Perlak...

12. Maulidur Rasul di Aceh : Majlis Maulud di Masjid Nurin Niswah, Perlak

13. Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Saiyid Maulana Abdul Aziz Shah...

14. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : Maulidur Rasul, the Ahlul Bait Sultan and a legacy from old Perlak

15. Maulidur Rasul di Aceh : Kuala Idi dan makam raja daerah sini...

16. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : The kings of Idi

17. Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Malikus Salih!

18. Maulidur Rasul di Aceh : Kembali ke Banda Aceh, singgah ke Masjid Raya Baiturrahman

19. Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : Back to Banda Aceh

p/s: Adapun video klip Masjid Baiturrahman yang baru diletakkan tadi merupakan klip yang 22 dan terakhir untuk siri ini. Apabila dicampurkan dengan video-video klip sedia ada dalam akaun Youtube saya, ternyata ia merupakan klip yang ke 111 setakat ini!

Maulidur Rasul di Aceh : Kembali ke Banda Aceh, singgah ke Masjid Raya Baiturrahman

Sekarang sampailah kita ke penghujung cerita. Sebenarnya sepanjang perjalanan ke Aceh untuk menyambut Maulidur Rasul di Perlak ini banyak lagi terjadi perkara menarik tetapi saya pula terasa malas hendak bercerita, misalnya tentang cahaya-cahaya misteri yang terbit di makam Sultan Malikus Salih lalu berjaya dirakamkan jurukamera Kak Ann.

Dalam perjalanan kembali ke Banda Aceh selepas menziarahi makam sang Sultan pula, satu sekatan jalanraya telah menyebabkan kereta kami terpisah dari konvoi. Kemudian telah berlaku silap komunikasi lalu di kala semua ahli konvoi yang lain dapat menikmati sarapan awal pagi di pekan Saree, kami pula menunggu di sebuah masjid sunyi beberapa kilometer di hadapan. Yang menarik, apabila saya dan Haji Muzafar tertanya-tanya bilakah masuk waktu Subuh, seekor cicak besar mengeluarkan bunyi yang agak menakutkan seolah-olah menandakan waktu azan. Di ketika kami berdua sahaja yang ada dalam masjid mahu memulakan solat Subuh berjemaah, muncul seorang lelaki yang agak misteri lalu sudi menjadi imam... dan kemudian dia mengaku datang dari wilayah sekitar makam Sultan Malikus Salih, sebelum menghilang menaiki van katanya untuk ke Banda Aceh.

Apapun lihat klip-klip video yang ada. Klip pertama memaparkan apa yang berlaku setelah masuk waktu siang hari Ahad, hari kami kembali ke Malaysia. Klip kedua pula adalah lawatan singkat ke Masjid Raya Baiturrahman, dalam keadaan terkejar-kejar kerana perlu berada di lapangan terbang sejurus kemudian. Apabila membuat klip ini baru saya tersedar saya tidak merakamkan gambar yang dapat menunjukkan bentuk Masjid Baiturrahman dari luar. Tak mengapa. Untuk itu, anda boleh melihat artikel-artikel lama Masjid Raya (Main mosque of) Baiturrahman, Aceh dan Bersolat Jumaat di Masjid Baitur Rahman.... Sekian...






Jumaat, April 23, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Malikus Salih!

OK. Kita semakin menghampiri penghujung siri. Sabtu 27 Februari 2010 malam Ahad kami meninggalkan Idi untuk kembali ke Banda Aceh kerana tengahari nanti kami perlu mengejar kapalterbang kembali ke Malaysia. Dalam perjalanan kembali itu kami singgah di Geudong, Lhokseumawe untuk menziarahi makam pengasas kerajaan lama Samudera-Pasai iaitu Sultan Malikus Salih (ada masanya saya suka mengeja Saleh, ada masa Salih) yang dikatakan mangkat tahun 1297 Masihi. Sekarang lihat sahaja klip-klip video yang ada bermula dengan pemandangan petang di Idi sebelum kami berlepas...




Maulidur Rasul di Aceh : Kuala Idi dan makam raja daerah sini...

Puas menyambut Maulidur Rasul kemudian menziarahi makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah di Perlak kami kembali ke hotel di Idi. Keesokannya siang Sabtu 27 Februari, kami berjalan-jalan di Kuala Idi. Di situ kami mendapat tahu akan kewujudan makam raja-raja Idi atau Ampon Sheikh Idi. Untuk pengetahuan Ampon Sheikh adalah gelaran bagi raja daerah di bawah keSultanan Aceh yang menaungi kesemua mereka. Untuk makluman ini adalah artikel ke 666 di blogspot ini.





Ahad, April 18, 2010

Salawat dan Qasidah di Central Market...

Sementara masih ada mood Maulud akibat 2 artikel kebelakangan memaparkan klip-klip video yang diambil sempena sambutan Maulidur Rasul di Perlak, Aceh 26 Februari lalu, biar diletakkan selingan ini. Setelah mendapat tahu ada persembahan malam yang memaparkan Salawatan dan Qasidah di Central Market malam semalam, saya dan isteri pun bergegas membawa anak. Sudah agak lama saya tidak ke sana, rasanya lebih setengah tahun begitu.

Alhamdulillah terjumpa seorang kawan lama yang sudah lebih 10 tahun tidak ditemui juga seorang kawan lain yang rasanya kali terakhir bersua lebih 4 tahun lalu. Kedua-keduanya terlibat dengan persembahan Salawat dan Qasidah. Lihat klip video yang diambil semalam. Oh, acara dimulakan dengan Dikir Barat sebelum alunan Nasyid gaya moden dengan sedikit persembahan percussions atau gendang...



Jumaat, April 16, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Saiyid Maulana Abdul Aziz Shah...

Selepas menyambut Maulud juga bersolat Jumaat di Masjid Nurin Niswah, kami pun pergi menziarahi makam Sultan Saiyid Maulana Abdul Aziz Shah, raja pertama kerajaan Islam Perlak dari nasab Ahlul Bait iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW. Lawatan yang dibuat pada hari Maulidur Rasul menjadi lebih bermakna kerana baginda dikatakan menaiki takhta pada hari Jumaat juga lebih kurang 1,200 tahun lalu.






Khamis, April 15, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Majlis Maulud di Masjid Nurin Niswah, Perlak

Sekarang masuklah kita ke artikel ke-7 dalam siri "Maulidur Rasul di Aceh" ini. Tanpa dirancang, masuk juga kita ke artikel utama kerana menurut giliran penceritaan, sampailah masanya untuk memaparkan klip-klip video berkenaan sambutan majlis Maulud yang telah disebut-sebut sebelum ini, majlis merangkap perasmian sebuah masjid baru bernama Masjid Nurin Niswah di Perlak, satu wilayah di mana pernah berdirinya sebuah kerajaan Islam yang berajakan Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW sejak 1,200 tahun lalu.

Satu perkara menarik... pada pagi hendak berlepas ke masjid baru saya menyedari akan satu kaitan lama kerajaan Perlak dengan Perak seperti dinyatakan dalam artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak... yang dibuat Mac 1. Ketika hendak pergi ke masjid pula saya terpisah dengan anak dan isteri serta rombongan asal. Seorang ulamak tempatan telah mengajak saya menaiki keretanya dari Idi ke Perlak. Entah kenapa pemandu yang membawa isteri dan anak juga Haji Muzaffar dan isterinya Puan Suzana pula boleh tersilap arah terambil simpang menghala kembali ke utara sedangkan Perlak terletak di selatan. Nasib baik juga saya menaiki kereta ulamak. Kalau tidak, tentu saya tidak dapat merekodkan majlis seperti tertera di bawah...

OK. Majlis Maulud Nabi ini berlaku pada hari Jumaat 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabiulawal 1431 Hijrah. Maka cukup sesuailah klip-klip video ini mula dipaparkan pada malam ini, malam Jumaat. Sebenarnya ada lagi klip-klip video majlis makan juga majlis syarahan dan zikir dalam masjid. Tetapi cukuplah apa yang dipaparkan... artikel seterusnya akan membawa kita menziarahi makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah, raja pertama di Nusantara yang diketahui berketurunan Nabi Muhammad SAW. Salam...






Rabu, April 14, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Rombongan ke Perlak...

Salam Salamaka. Hehe! Bukan apa... cuma teringat bahawa di Tanah Bugis, ulamak terkenal abad ke 17 Masihi bertaraf wali Sheikh Yusuf Tajul Khalwati atau Sheikh Yusuf Makassar turut dikenali sebagai Tuanta Salamaka yang kalau tak salah bermakna "tuan kita yang selamat"...

OK. Kita sambung lagi proses penceritaan melalui klip video. Kali ini baru kita menghampiri matlamat sebenar perjalanan saya, isteri dan anak ke Aceh penghujung Februari 2010 iaitu untuk menghadiri majlis Maulud Nabi atau Maulidur Rasul di Perlak.

Satu perkara menarik tentang aturan cerita dan turutan masa. Rujuk pada artikel pertama siri ini iaitu Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak... di mana ada disebut bagaimana rancangan asal hendak menyambut Maulidur Rasul di Perak boleh bertukar arah ke Perlak. Tanpa dirancang penceritaan kini sudah membawa kita hampir masuk ke Perlak. Dan ini pula berlaku setelah saya membuat perjalanan terbaru ke Perak, perjalanan yang asalnya mahu dibuat semasa Maulidur Rasul itu! Lihat artikel pendek Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak yang dibuat 2 hari lalu...






Isnin, April 12, 2010

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Pada hujung minggu baru ini saya dan isteri telah membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang pada hari Selasa esok akan cukup umur 6 bulan untuk menziarahi lebih 40 makam terpilih di serata negeri Perak. Antara yang dilawati ialah kesemua 29 makam Sultan-sultan Perak yang terdapat di sepanjang Sungai Perak, dari Kuala Kangsar 255 km ke utara Kuala Lumpur turun menyusur aliran sungai 140 km selatan hingga ke Teluk Intan. Namun perjalanan sebenar memakan jarak keseluruhan 600 km dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri hingga kembali melalui Kuala Selangor lewat malam tadi. Ini kerana untuk ke makam-makam tertentu kami perlu berpatah-balik menyeberangi Sungai Perak melalui jambatan di Kampung Gajah untuk mendapatkan bot dari satu kampung yang terletak jauh terpencil di selatan Pasir Salak.

Sukacita juga dimaklumkan, dalam perjalanan inilah saya dapat menziarahi makam 5 orang Sultan yang tidak pernah diziarahi sebelum ini kerana kedudukan yang terpencil lagi susah untuk ditemui mahupun dicapai. Saya juga dapat menunaikan beberapa hajat tertunda, misalnya niat untuk menziarahi makam Sultan ke-4 Perak, Sultan Tajul Ariffin yang terletak di atas sebuah pulau di tengah Sungai Perak. Sembilan tahun lalu iaitu pada penghujung 2001 saya pernah bercadang ke sana tetapi tidap berjaya mendapatkan bot. Kali ini saya dapat membawa anak isteri sehingga ke tempat yang dianggap amat keras lagi keramat ini, begitu ditakuti penduduk tempatan...

Syukur kepada Allah, anak kecil kami Al-Rasyid dapat bertahan malah kami bertiga cuma bermalam di surau dan masjid sahaja. Cerita tentang perjalanan Insyaallah akan diluahkan di blogspot apabila sampai giliran. Maklumlah, cerita lawatan ke Aceh penghujung bulan Februari yang sedang dalam proses penceritaan pun belum selesai... sedangkan saya juga ada cerita lawatan ke Aceh penghujung Januari yang belum dimulakan, juga satu perjalanan ke selatan melihat stesyen-stesyen keretapi yang turut membawa ke banyak tempat menarik dari Rembau hingga ke Johor Bahru.

Sekarang biar saya berehat melepaskan penat-lelah. Pancit wooo.... terutama apabila perlu masuk ke kawasan-kawasan bersemak dengan perut kosong mencari makam di ceruk-ceruk yang tidak dapat dimasuki kenderaan kecuali motosikal ataupun bot, kemudian perlu pula berjalan kaki masuk parit keluar parit dan sebagainya sehingga kasut pun boleh putus, kaki pula berdarah-darah digigit pacat...

Jumaat, April 09, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Gunongan dan beberapa tempat bersejarah di Banda Aceh

Selepas melihat kapal besar yang terdampar jauh ke darat akibat pukulan ombak ganas Tsunami yang melanda 26 Disember 2004 kami kembali ke pusat Banda Aceh untuk melihat beberapa tempat bersejarah yang ada. Cukuplah video-video klip ini untuk menerangkan cerita. Kalau tak cukup mungkin artikel Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : The historical sites at Banda Aceh yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi dan Makam keluarga kerajaan (Tombs of the ruling families) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) boleh menolong...







p/s: Insyaallah kalau tiada aral melintang, malam ini saya akan berlepas ke Perak dan bermalam di luar Kuala Kangsar. Cadangnya mahu menziarahi makam-makam utama sepanjang Sungai Perak bermula dari makam Tok Temong dan kalau boleh makam setiap Sultan Perak... banyak tu. Sebelum Sultan Azlan menaiki takhta, Perak pernah diperintah 33 orang Sultan dan semuanya dimakamkan di Perak, kecuali 4 atau 5 orang. Ada antara makam yang terletak di ceruk-ceruk sunyi yang agak jauh dari apa-apa penempatan, jalannya teruk, begitu susah dimasuki kenderaan. Harap cuaca elok dan dipermudahkan perjalanan... doakan saya ya!

Khamis, April 08, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Pemandangan kapal apung...

Kita sambung lagi penceritaan melalui video klip untuk perjalanan terbaru saya ke Aceh. Selepas Makam Syiah Kuala, kami melihat kapal apung. Apa itu kapal apung? Lihat sahaja klip-klip yang ada...



Selasa, April 06, 2010

Al-Rasyid jejak tanah di makam Sultan Alauddin Melaka...

OK. Kita 'lari' sebentar dari cerita-cerita Aceh...





Adapun hujung minggu ini saya, isteri dan anak kami Al-Rasyid telah kembali ke kampung ibu saya di Muar. Ia adalah pertama kali kami ke sana untuk tahun 2010. Peluang ini digunakan untuk menziarahi lagi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya diketahui masih wujud di Malaysia. Peliknya, saya sudah pergi ke sana rasanya lebih 10 kali tetapi baru kini menyedari akan kebenaran satu tanggapan yang menyebut bahawa dalam kepuk utama yang terletak di sebelah masjid ini terdapat bukan 2 tetapi 4 buah makam!


Ya. Memang ada orang pernah memberitahu saya bahawa di sini sebenarnya terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan Aceh, bukannya 2 makam dengan 2 batu nesan. Namun selama ini saya tetap lebih cenderung dengan pendapat umum yang menyebut dalam kepuk ini cuma terdapat makam Sultan Alauddin dan makam seorang isterinya yang dikatakan berdarah putih. Lalu sepasang batu nesan di bahagian kanan kepuk inilah yang selalu dikira sebagai makam sang Sultan...


Sebenarnya tidak salah untuk mengatakan bahagian kanan itu makam Sultan. Cuma saya mungkin tersilap kerana menganggap bahawa batu nesan kanan terdekat (rujuk balik gambar pertama dan kedua) itulah bahagian kepala Sultan. Dalam lawatan kali ini baru saya tergerak untuk meneliti setiap batu nesan lalu mendapatinya begitu berbeza. Kalau batu nesan sepasang mesti ada banyak persamaan, kalau berbezapun mungkin setakat pada ayat-ayat yang diukirkan. Tetapi kini saya menyedari bahawa setiap batu nesan memang berbeza sepertimana yang boleh terdapat pada 4 buah makam.

Mungkin betul di sini terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan. Mungkin juga ia 4 buah makam yang setiap satu pernah ditanda sepasang batu nesan tetapi batu pasangannya hilang. Ini tidak mustahil kerana ada tanda-tanda batu-batu nesan yang ada ini pernah pecah atau patah sebelum disambungkan. Apapun, saya juga baru sedar batu nesan di atas yang selama ini saya anggap batu nesan bahagian kaki Sultan Alauddin lebih memenuhi ciri-ciri batu nesan utama selayaknya milik seorang Sultan kerajaan besar dahulukala seperti Melaka.


Yang pasti, ia adalah satu-satunya batu nesan di situ yang bentuk kepaknya ada berkelok elok dengan motif-motif tambahan yang hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih di Aceh. Lihat artikel Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat awal Februari. Adapun dalam artikel lama Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin! yang dibuat berdasarkan perjalanan ketika Al-Rasyid baru berumur sekitar 40 hari, telah ditunjukkan bagaimana anak kami ini pertama kali sampai ke makam Sultan Alauddin. Tetapi dalam perjalanan terbaru ini baru Al-Rasyid menjejakkan kaki ke tanah makam... kiranya kesinambungan dia menjejakkan kaki ke tanah di beberapa tempat, bermula dengan makam Sultan Malikus Salih penghujung Januari 2010.

Hmm... sekarang cukuplah bercerita tentang ini. Lihat juga artikel First trip back to Muar for the year 2010 yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Rabu, Mac 31, 2010

Maulidur Rasul di Aceh : Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...

Assalamualaikum semua. Pagi tadi isteri saya menalifon dari pejabatnya untuk bertanya apakah saya akan membuat apa-apa artikel baru di blogspot hari ini. Saya jawab tidak. Fikir saya mahu membuat satu dua kerja tertentu dahulu sebelum membuat apa-apa update. Lagipun semalam hari Selasa, saya telah membuat satu artikel baru yang bertajuk Dah 'sampai' ke belum? .

Isteri saya mengingatkan tarikh hari ini cantik... 31 haribulan Mac 2010 jadi 31/03/10 atau 31.03.10. Memang cantik. Kalau diatur tanpa sengkang mahupun noktah akan jadi nombor 310310, kalau dihilangkan kosong jadi pula 3131. Kalau ikutkan saya memang malas hendak menulis hari ini tetapi memikirkan faktor tarikh dan nombor, saya pun akur. Apa nak buat... saya kan ada gila-gila nombor?

Saya pun mencari apa yang sesuai untuk dihidangkan. Kebetulan siri "Maulidur Rasul di Aceh" akan masuk bab tentang Makam Syiah Kuala... kebetulan juga ia adalah cerita ke 3 dalam siri ini. Jadi itulah pilihan untuk hari ini.

Seperti biasa, terlebih dahulu saya harus membuat satu artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Untuk siri ini saya telah memutuskan klip-klip video harus diletakkan di sini sementara gambar berkaitan diletakkan di sana. Maka itu sambil menyediakan dan menyunting video klip yang sesuai, saya pun melihat koleksi gambar yang ada. Kebetulan tergerak menulis selepas jam 1 atau 13:00 seperti tertera pada komputer, saya pun bercadang untuk membuat artikel di BERPETUALANG KE ACEH ketika masuk 13:13.

Rupa-rupanya saya terlambat dan terlepas jam 13:13. Namun saya ada sedikit masa lagi untuk mengejar nombor kesukaan saya 131 selagi belum melepasi waktu 13:19. Sebaliknya proses publishing video klip yang telah disunting melalui program Windows Moviemaker menyebabkan komputer jadi 'berat'. Website untuk menulis di blogspot cuma dapat dibuka setelah masuk 13:20.

Ini membuat saya terpaksa memilih waktu seterusnya yang aturan nombornya cantik ada kena-mengena iaitu 13:31. Sampai waktu tersebut saya pun menekan butang "new post" dan memulakan artikel. Apabila artikel siap lalu dipublish ke blogspot, saya terperanjat. Ternyata di sana menyebut artikel baru bertajuk Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : Enter the tomb of Syiah Kuala... itu dibuat pada jam 1:31!

Rupa-rupanya saya terlupa bahawa jam 13:31 itu bersamaan 1:31 petang. Tengok bagaimana Allah mengatur keadaan! Walaupun asalnya saya cuba mendapatkan nombor 13:13 kemudian 13:19, Allah tidak membenarkannya dengan asbab komputer jadi 'berat'. Di ketika saya mengalah lalu menerima jam 13:31, tenyata ia jadi 1:31 pula...

Untuk artikel ini saya terus dapat memilih jam 3:13 petang. Nah... itulah gila-gila nombor saya. Sampai tarikh dan waktu pun mahu diatur supaya ada synchronicity yang dapat membuka pintu-pintu rahsia, Insyaallah! :]





OK. Inilah video-video klip lawatan terbaru ke Makam Syiah Kuala. Hmm... kebetulan ini merupakan lawatan ke 3 saya dan isteri ke sana. Dan baru kali ini kami mendapat tahu beberapa perkara, misalnya siapakah yang turut dimakamkan dalam satu kawasan bertutup bersama ulamak besar bertaraf wali yang dikenali sebagai Syiah Kuala...

Paling mengharukan saya apabila mendapat tahu pemilik makam yang batu nesannya sama bentuk dan sama besar dengan apa yang terdapat di makam Syiah Kuala adalah seseorang yang dipanggil Sheikh Abdul Rahim Maharajalela. Ternyata inilah Abdul Rahim yang merupakan ayahanda kepada Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh awal abad ke 18 lalu keturunannya terus menjadi pemerintah bumi Serambi Mekah, sebelum keSultanannya ditamatkan oleh Belanda awal abad ke 20.

Oh... dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", saya menyebutnya sebagai Laksamana Abdul Rahman. Sebenarnya saya tersilap bersandar pada satu salasilah kajian Barat. Nama sebenar beliau memang Abdul Rahim dan beliau (lebih tepat, baginda sebenarnya...) ada memang memakai kedua-dua pangkat bangsawan Laksamana dan Maharajalela...

Apapun, 'penemuan' makam Abdul Rahim yang terletak bersebelahan makam Syiah Kuala @ Sheikh Abdul Rauf Singkil adalah seperti pucuk dicita ulam mendatang. Allah! Baru di Malaysia sebelum itu saya terfikir hendak mencari makam mereka yang ada kena-mengena dengan apa yang dikenali sebagai Dinasti Raja-raja Bugis yang memerintah Aceh. Lihat artikel lama Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh?. Biar diberi sedikit latar-belakang...

Adapun dinasti ini bermula dengan kemunculan seorang ulamak bernama Daeng Mansur yang datang dari Tanah Bugis ke Aceh abad ke 16. Beliau yang turut dikenali sebagai Teungku di Reubee (ulamak di Reubee) mendapat seorang anak yang dikenali sebagai Laksamana Zainal Abidin. Laksamana Zainal Abidin ini berkahwin dengan pahlawan wanita Aceh yang sangat terkenal iaitu Laksamana Raja Kemalahayati @ Keumalahayati @ Malahayati. Dari perkahwinan inilah muncul Laksamana atau Maharajalela Sheikh Abdul Rahim.

Abdul Rahim ini pula berkahwin dengan raja perempuan kedua Aceh iaitu Sultanah Naqiatuddin. Ada yang kata dari perkahwinan inilah muncul Laksamana Maharajalela Ahmad yang menaiki takhta Aceh tahun 1727 dengan memakai nama Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat, ada yang kata baginda adalah anak dengan isteri lain. Yang pasti saya sudah tahu dan sampai ke makam Sultan Ahmad tahun lepas, baru kali ini sampai ke makam ayahandanya. Makam Laksamana Zainal Abidin juga saya sudah sampai tahun lepas kerana ia terletak bersebelahan makam Laksamana Malahayati.

Satu perkara menarik. Adapun sebelum perjalanan terbaru ke Aceh ini, baru saya dapat tahu Laksamana Zainal Abidin juga dikenali sebagai Teungku atau ulamak di Lhoong. Lihat artikel
Maulidur Rasul di Aceh : Ke kompleks anak yatim Nurin di Lhoong . Dengan kuasa Allah dan tanpa dirancang saya telah menemui dan pergi ke kawasan yang pernah menjadi pusat operasinya... keesokan pagi baru dapat menziarahi makam anakanda yang meneruskan zuriatnya sehingga muncul menjadi para pemerintah Aceh. Apakah ini semua kebetulan atau ada lagi yang mahu dibuka? :]

Selasa, Mac 30, 2010

Dah 'sampai' ke belum?

Alhamdulillah, setelah beberapa hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 tamat baru saya terasa hendak menulis lagi. Bukan apa, saya sebenarnya penat. Untuk mereka yang hadir di pesta samada untuk membeli buku ataupun mahu berjumpa, terimakasih diucapkan kerana sudi memeriahkan suasana. Maaf dipinta jika saya tiada di gerai semasa anda datang... sejak ada anak kecil ni saya kena ikut rentak dia sebelum berbuat apa-apa. Hasilnya saya cuma dapat menonjolkan diri di gerai cuma selepas jam 5 petang Jumaat hingga Ahad. Sekarang biar dibuat satu cerita selingan sebelum siri "Maulidur Rasul di Aceh" yang dihentikan semasa pesta buku dapat disambung kembali. Mari! :]




Tadi jam 2 petang setelah mengambil paspot baru di pejabat Jabatan Imigresen di Wangsa Maju hujan turun lebat. Saya pun duduk di luar menunggu hujan selesai lalu terlihat satu kedai di hadapan. Terus teringat zaman-zaman semasa saya rajin mencari jawaban tentang keTuhanan secara terang, hampir tidak bertapis langsung mulut apabila bertanya. Ketika itulah saya banyak terjumpa golongan yang kononnya 'sampai', mereka yang kononnya telah mengenal Tuhan.

Satu perkara yang saya perhatikan tentang golongan ini... tak kiralah dari kumpulan mana mereka datang, pengajian atau perguruan mana, mereka ada tabiat riak yang sama. Mereka suka bertanya soalan berbunyi "Engkau dah 'sampai' ke belum?" dengan gaya mengejek. Kemudian dengan nada riak lagi meninggi diri mereka memperlekehkan orang-orang yang dikira tidak 'sampai'.

Kalau diperlekehkan itu setakat saya tak mengapa juga kerana saya memang jenis orang yang tak 'sampai-sampai'. Masalahnya bila ulamak seperti Imam Ghazali dan Imam Syafiee pun mahu diperkecilkan. Seterusnya mereka menjadikan ilmu syariat dan mereka yang patuh pada amalan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan gurauan senda. Kata mereka, apabila dah 'sampai' apa lagi yang perlu disembah? Kerana bila dah 'sampai' yang menyembah dan disembah sama sahaja.

Sekadar mengingat kembali keadaan biar diletakkan sedutan-sedutan berkenaan daripada siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh". Sedutan pertama dari buku satu yang bertajuk kecil "Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006)...


--------------




Pencapaian Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang tinggi dalam ilmu kerohanian telah menyebabkan Iblis cuba menipunya dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan, kemudian cuba menimbulkan riak dengan memuji-muji ketinggian taraf keilmuannya.

Pernah satu ketika, baginda sedang berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba muncul satu cahaya yang terang benderang dari atas lalu memenuhi seluruh langit. Kemudian kelihatan di dalamnya satu kelibat bentuk manusia lalu berkata: “Wahai Abdul Qadir, akulah Tuhanmu. Kamu telah mencapai darjat yang tertinggi dalam ilmu kerohanian. Sekarang aku halalkan segala perkara yang haram bagimu.”

Mendengarkan ini, Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani pun bertempik: “Chis syaitan! Janganlah kamu cuba hendak menipu aku. Berambuslah kamu dari sini wahai makhluk terkutuk!”

Langit yang terang benderang tadi pun bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap. Kemudian Iblis berkata: “Wahai Abdul Qadir, aku telah berjaya menyesatkan 70 orang ahli Sufi dengan cara ini. Bagaimana kamu tahu aku ini Iblis?”

Jawab Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani: “Kerana hukum Syariat itu tetap. Allah tidak pernah menghalalkan perkara yang haram.”

Nah. Apa lagi yang mahu diragukan?

Iblis menukar taktik lalu berkata. “Kamu memang seorang yang alim. Disebabkan ketinggian ilmu kamulah helahku berjaya dibongkar.”

Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dapat membaca niat jahat Iblis untuk menimbulkan rasa riak dan ujub dengan memujinya. Lalu baginda menjawab: “Tidak. Aku selamat kerana rahmat Allah semata-mata.”

Baginda sedar, belas ikhsan Tuhan sahaja yang melindunginya, bukan apa-apa kelebihan yang terbit daripada dirinya...

Menyedari dia tidak akan berjaya, Iblis terkutuk pun terus menghilang. Lebih baik cari orang yang boleh diperdayakan kerana kejahilan atau digoda dengan puji-pujian. Mereka yang menuntut ilmu dan beramal bukan untuk menghayati erti ubudiah, perhambaan sebenar yang tersirat dalam firman tidak Aku cipta manusia dan jin kecuali untuk menghambakan diri kepada Ku, tetapi untuk menjadi tuan yang memerintah... Untuk mendapat kelebihan-kelebihan tertentu supaya dapat mengatasi orang lain, samada dari segi harta benda, pangkat, nama ataupun kuasa.

Pendek kata, ramai yang masuk ke gelanggang kerohanian dengan hati yang berkarat. Lalu ada yang sampai mengaku dirinya Tuhan sedangkan perangai mereka adalah perangai Hantu jua...


————————

“Ramai yang kononnya menghalusi agama dengan menyelam ke dalam pengajian ilmu Hakikat dan Makrifat tetapi akhirnya menjadi kafir zindiq,” kata pakcik itu. “Mereka adalah orang yang perjalananan kerohaniannyanya belum matang tetapi perasan dirinya dah tinggi sangat, sudah ‘sampai’ ke Hadirat Allah Subhanahu Wata’ala. Ramai yang tidak mahu menunaikan puasa dan solat kerana katanya cukuplah dengan niat. Kononnya orang Syariat sahaja yang wajib melakukan semua ini. Lalu ramai yang hidup mengarut kerana yakin telah mengenali Allah padahal mereka sangat keliru, tidak tahu adab hamba dengan Pencipta. Akhirnya yang susah mereka juga...”

“Anak mesti ingat, nak beramal ilmu Tasawuf ni mestilah dengan hati yang bersih, suci!” dia berpesan pula. “Tidak boleh menyimpan dendam atau apa-apa motif tersembunyi. Beribadat dengan ikhlas, seperti kata Rasulullah SAW, memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu. Biar orang kata kita jahat, tidak pernah berbuat kebaikan. Lebih baik menganggap diri kita buruk, banyak dosa supaya sentiasa rasa insaf dan rendah diri.”


------------------------------------


Ini pula sedutan kedua, dari buku seterusnya "Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)...


------------------------------------



Semalam, di serambi masjid raya, anak Malaysia itu sempat berkenalan dengan seorang pemuda tempatan yang suka bercerita tentang Tasawuf. Lalu mereka berjanji akan berjumpa selepas solat Jumaat dan anak Malaysia itu akan dibawa berjumpa seseorang yang katanya mahir dalam ilmu Sufi... Kononnya cuma terdapat empat orang sahaja sepertinya di Langkat.

Mengikut cerita anak tempatan itu lagi, orang itu pernah memberitahu bahawa seorang sahabat sealirannya telah mendapat mimpi akan ada orang dari jauh datang berjumpa mereka dan orang yang dimaksudkan adalah Rasyid! Dipendekkan cerita, selepas solat Asar, pemuda itupun muncul dengan motosikalnya lalu membawa Rasyid ke rumah orang tersebut di sebuah kawasan terpencil melepasi lorong masuk ke rumah Hassan Oka.

Mereka dijemput masuk lalu berkenalan. Kemudian mula bercerita tentang latarbelakang kedatangan Rasyid ke Pengkalan Brandan. Tidak lama kemudian tuan rumah menyatakan bahawa dia dan rakan-rakannya telah mendapat alamat akan kedatangan anak Malaysia itu melalui mimpi lalu membuka cerita tentang pemahamannya mengenai Tasawuf… Biarlah nama mereka dirahsiakan kerana perbincangan itu amat berat, rasanya sudah jauh menyimpang daripada akidah... Rasyid sedar orang itu susah hendak diperbetulkan kerana terlalu yakin dengan pengalaman dirinya. kononnya sudah “Mikhraj”, betul-betul mengenal Allah. Nampaknya dia termasuk golongan Tasawuf sesat yang merasakan tidak perlu lagi bersolat kerana telah mencapai hakikat solatan da’iman, solat yang berkekalan.

Pemuda itu tetap melayan kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang ilmu “mengenal diri” yang dianutinya. Berbekalkan sedikit pengetahuan berkat bertahun menelaah kitab-kitab Tasawuf karangan wali-wali Allah terkenal seperti Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani serta tunjuk-ajar dan bimbingan beberapa orang tua yang pernah ditemui... Juga sedikit amalan zikir yang pernah dijazahkan mereka dicampur bertahun-tahun usaha mujahadatunnafsi, berperang melawan nafsu sendiri berserta keyakinan bahawa Allah tetap melindungi jika kita ikhlas mencari kebenaran, anak Malaysia itupun terjun ke dalam arena perbincangan.

Kalau hendak diringkaskan, pengajaran orang itu lebih kurang begini: Segala yang terlihat di muka bumi ini, juga yang ada di langit, malah segala-gala yang dicipta Allah Ta’ala sehingga ke syurga, neraka, Kursi dan Arash semuanya ada di dalam diri sendiri iaitu diri setiap manusia. Maka itu tidak perlulah berjalan jauh, lihatlah ke dalam diri kerana di situ terdapat segala jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa manusia.

Rasyid tidak ada masalah tentang ini kerana sudah terbiasa mendengar pengajaran sebegini... Memang ada kebenarannya jika dipandang daripada sudut tertentu, memang ada di dalam pengajian Tasawuf peringkat tinggi, jikalau seseorang itu betul-betul memahami apa itu makna insan saghir, insan kecil dan apa itu insan kabir, insan besar dan kaitan antara keduanya. Yang menjadi masalah adalah apabila orang ini mendakwa telah “sampai ke matlamat mengenal Allah” lalu tidak perlu lagi membuat perjalanan zahir, cukup dengan membuat perjalanan batin sedangkan para Rasul, Nabi dan Wali muktabar pun terus berkelana ke sana ke mari dengan tubuh badan kasar demi mencari kebenaran dan mengalami pengenalan atau Makrifat yang sejati. Lagipun pada mereka yang lebih mengetahui, pengenalan atau Makrifat terhadap Allah sebenarnya mempunyai banyak peringkat... Sedangkan orang seperti Fariduddin Attar, penulis kitab Tazkiratul Awliya (kisah para wali) dan Mantiq-at-Tair (Perjumpaan burung-burung. Komposer terkenal M. Nasir tanahair telah menggunakan cerita itu untuk mencipta lagu Tanya Satu Itu Hud-hud) yang juga dianggap seorang wali besar pernah menyebut, terdapat 70,000 “lembah” yang perlu dilepasi sebelum dapat “melihat” Allah! Dia baru dapat melepasi satu sahaja...

Hamba Allah di Langkat ini terus bercakap seolah-olah tuntutan jasad tidak perlu lagi dipenuhi dalam beribadah kepada Allah apabila kita sudah mencapai makam tertentu. Rukun Islam seperti solat, puasa serta menunaikan haji tidak perlu dizahirkan lagi, cukup sekadar “dilaksanakan” secara batin sedangkan orang ini masih lagi bertubuh kasar, perlu makan dan minum, tidur dan buang air. Katanya, dalam diri kita ada segala Rasul yang pernah dicipta, segala Nabi, juga empat Khulafak al Rasyidin - Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali - sambil menunjukkan tempat masing-masing di badannya dengan yakin. Wah… Cukup senang ini. Oleh kerana semuanya ada di dalam diri termasuk Mekah dan Madinah, apa perlu lagi pergi ke sana secara fizikal untuk menunaikan haji, umrah atau menziarahi makam Rasulullah SAW ya tak? Cukuplah sekadar ‘berjalan’ dalam diri sendiri…

Orang ini juga mengemukakan beberapa potong terjemahan ayat Al-Quran dan Hadis dengan tafsiran yang jauh menyimpang... Seringkali menghina ulamak Syariat sebagai bodoh, tidak sampai kepada tujuan, terlalu meninggi-ninggikan Hakikat seolah-olah agama itu tidak perlu lagi dipakai kulitnya apabila sudah faham makna keTuhanan. Tetapi punchlinenya, kata muktamad yang mengenalkan “perguruannya”, ilmu ini malah segala ilmu Tasawuf yang tertinggi berasal daripada Jawa... Terus hati Rasyid berkata sahlah dia ini jenis manusia yang suka mengagungkan Sheikh Siti Jenar di samping memperbesar-besarkan Sunan Kalijaga, wali songo berketurunan Jawa yang amat dibangga-banggakan masyarakat di sana. Dan betul telahan itu, tidak lama kemudian, orang ini terus memuji-muji Siti Jenar dan Sunan Kalijaga sebagai contoh-contoh terbaik peribadi para wali.

Menurutnya, apa yang dibawanya adalah ilmu Bung Karno atau Sukarno, Presiden Indonesia kebanggaan masyarakat Jawa sehingga ada yang percaya presiden itu telah mencapai taraf wali dan masih hidup lagi! Kemudian dia menghuraikan beberapa istilah Jawa yang diberi pemahaman Tasawuf! Kononnya, ini adalah ajaran rahsia Sukarno yang cuma diketahui empat orang sahaja di wilayah Langkat ini termasuk dirinya sendiri. Maka burung Garuda yang menjadi lambang Republik Indonesia dikatakan singkatan untuk “Garuklah Dadamu” seraya menunjukkan aksi menggaruk dada... “Bukalah dadamu, telanjangkan jiwa demi mendekati Tuhan mu,” katanya. Perkataan Jawa pula dikatakan bermakna mereka yang mengerti, tidak ingat apakah alasannya... Maka orang Jawa adalah orang yang “sudah mengerti” makna keTuhanan yang hakiki sementara Sumatera pula bermakna “Sudah Makin Terang”... Tetapi belum cukup terang seperti di Jawa…

Orang ini juga memberi huraian yang tersendiri terhadap nama-nama tempat seperti Bali, Malaysia dan sebagainya. Seingat Rasyid, hamba Allah juga menyatakan bahawa perkataan Malay pada Malaysia bermakna Malaikat... Maka Malaysia itu Malaikat yang menjaganya. Sebab itu aman makmur lagi sejahtera. Dan ada lagi lebih 10 istilah berkaitan orang Jawa yang diberinya “huraian Tasawuf.” Kononnya itulah makna yang tersirat.

“Inilah ajaran Bung Karno. Ajaran Tasawuf tertinggi yang boleh dipelajari manusia. Ajaran ini cuma boleh didapati cuma di Pulau Jawa, maka jika ingin tahu, perlu belajar lagi di sana.” dia memberitahu, bangga.

——————————————


Di Malaysia lagi, Rasyid sudah terjumpa ramai orang Jawa atau berketurunan Jawa yang menganggap pulau itu ialah pusat dunia. Menurut mereka, segala-galanya ada di Jawa, semua ilmu boleh dipelajari di sana. Semua wali besar datang daripada sana dan seperti biasa, mesti keluar cerita Wali Songo... Mungkin mereka terpengaruh dengan dongeng lama Jawa yang mendakwa Gunung Mahameru, paksi alam tempat tinggal Dewa-dewa terletak di pulau itu? Sampai ada yang turut mendakwa bahawa orang Eropah yang berkulit putih bermata biru, langsung tiada ciri-ciri fizikal Jawa pun berasal daripada sana! Begitu taksub mereka terhadap Jawa...

Di kaki lima bangunan bandar-bandar termasuk Muar pula sering terdapat penjual barangan antik dan pelik seperti keris lama dan batu cincin lalu mendakwa kononnya barang-barang ini berasal daripada Jawa dan mempunyai kelebihan tertentu. “Kesaktian” Jawa begitu diperbesarkan sehingga penjual ubat tepian jalan yang diketahui bukan berketurunan Jawa pun sering menggunakan loghatnya untuk melariskan jualan. Rasyid juga pernah terjumpa ahli perubatan tradisional seperti bomoh dan pawang yang menurun lalu bercakap bahasa Jawa atau loghat Jawa seraya mendakwa diresapi rohani para wali terutama Sunan Kalijaga, satu-satunya Wali Songo yang dikatakan Jawa tulin. Malah dia pernah terjumpa seorang wanita yang mendakwa mempunyai hubungan istimewa dengan wali besar yang dikenali sebagai Sultanul Ariffin Sheikh Ismail... Yang peliknya, Sheikh Ismail berasal dari Timur Tengah tetapi apabila wanita itu “diresapi” Sheikh Ismail, dia mula bersuara garau dan bercakap dengan loghat Jawa !

Rasyid terjumpa wanita tersebut ketika menziarahi Makam Seribu di Pulau Besar, Melaka sebuah kawasan yang dikatakan mengandungi lebih 1000 makam tidak bertanda para pejuang Islam yang mati syahid sekitar abad ke 16 hingga 18 Masihi dalam usaha membebaskan Melaka daripada cengkaman penjajah Barat. Wanita berumur sekitar 40an itu mendakwa dia tahu apakah masalah yang sedang membelenggu anak muda yang rajin menziarahi makam-makam lama itu lalu menjemput Rasyid ikut balik ke rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Melaka.

Di situlah wanita itu menunjukkan kebolehannya “menilik” atau meneropong apa sahaja yang sedang berlaku di tempat lain juga perasaan yang terbetik di dalam hati orang lain. Dan dia dapat menggambarkan rupa serta sifat beberapa orang kenalan pemuda itu dengan tepat walaupun ketika sedang sibuk membuaikan anak atau menyediakan masakan.

Sheikh Ismail yang makamnya dianggap paling “keramat” di antara banyak makam lama dan tempat berunsur mistik di Pulau Besar adalah seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah. Menurut kitab Hikayat Raja-raja Pasai, juga kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, beliau bertanggungjawab mengIslamkan negeri Samudera dan menabalkan pengasas kerajaan itu, Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun lalu selain membawa syiar Islam ke beberapa negeri lain di bumi Timur ini.

Memang Sheikh Ismail dikenali sebagai wali Allah, maka tidak hairanlah jika makamnya dikatakan keramat dan beliau boleh melakukan pelbagai perkara mencarik adat. Tetapi adakah patut beliau meresap ke dalam badan seorang wanita lalu bercakap loghat Jawa dengan suara garau dan garang? Sedangkan setahu Rasyid, wali Allah berketurunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani ini berdarah Arab campur Parsi dan suka bertutur secara berhemah serta lemah-lembut… Lagipun bukan adab para wali memasuki tubuh badan orang apalagi seorang perempuan.

Mereka yang kurang ilmu mungkin akan cepat terpengaruh dan lekas percaya bahawa manusia seperti wanita tersebut memang telah diresapi roh wali sedangkan anak muda itu sudah lama bergaul dengan pelbagai pihak, tahu perbuatan sebegini lebih menghampiri sihir atau dilaksanakan dengan pertolongan jin samada Kafir mahupun Islam. Lalu dia teringat pesan seorang tua: Ketahuilah wali-wali itu wujud sampai sekarang dan memang mampu ghaib atau menghadirkan diri melampaui ruang dan masa. Tetapi mereka tidak akan meresapi tubuh orang lain kerana ini berlawanan dengan sifat mereka sebagai insan Al-kamil, manusia yang sempurna, yang telah mengenal makna keTuhanan dengan sebenar-benar perkenalan.

Kalau begitu, apakah yang sebenarnya meresapi badan ahli perubatan tradisional sebegini kemudian pandai pula bercakap Jawa? Mengajilah dengan guru mursyid... Fahamilah tipu-daya syaitan dan makhluk halus yang sentiasa cuba merendahkan martabat sebenar manusia dengan menyesatkan mereka… Hakikatnya orang seperti ini menggunakan pendamping dari kalangan jin samada sedar ataupun tidak... Ilmu kebatinan seperti ini boleh dipelajari dalam sesetengah perguruan silat. Tetapi ramai di antara mereka mengaku telah mendapat ilmu laduni dan kasyaf, mengaku sudah sampai ke taraf wali. Sedangkan pada orang yang betul-betul mengkaji serta mencontohi amalan dan cara hidup Nabi, amalan sebegini bukanlah cara hidup orang-orang Salih, apalagi pakaian seorang wali!

Maka itu janganlah merasa hairan, takjub apalagi taksub dengan orang-orang sebegini serta “karamah” yang ditonjolkan mereka. Setakat mahluk halus berbisik di telinga lalu memberikan maklumat tersembunyi, setakat pandang tembus melihat apa yang orang lain sedang buat di sebalik tembok atau melihat orang yang jauh mahupun apa yang terbetik di hati insan lain, setakat boleh mengerakkan benda-benda seperti keris dengan menggunakan ilmu tafakur dan nafas tak payahlah cakap banyak... Ramai orang mampu melaksanakan perkara sebegini dengan khidmat jin atau memakai Qarin (kembar manusia dari alam jin)...Tidak payah menjadi wali, tidak perlu pun mendekati perjalanan seorang Solehin. Pendek kata, walaubagaimana menakjubkan sekali pun kebolehan yang dipertontonkan, walau boleh mencairkan besi, berjalan di atas air, walau boleh terbang di langit seperti burung, ini belum boleh dikatakan bukti kewalian seseorang.

Seorang wali akan mencontohi akhlak, budi-bahasa serta cara ibadat yang terbaik seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW. Solat dan puasa tetap dijaga malah jauh melebihi amalan orang biasa. Dan mereka selalunya akan menyembunyikan sifat karamah atau perkara-perkara mencarik adat yang ada pada mereka kecuali apabila betul-betul perlu atau terdesak... Seperti menolong orang yang dalam kesusahan, membuktikan kebenaran Islam apabila diperlekehkan atau berjihad ke jalan Allah.


p/s: Ini adalah artikel ke 656 di blogspot ini. Pada gambar atas ada tertera nombor pendaftaran kedai atau syarikat yang mengandungi nombor 131. Modelnya pun ada 3. Hmm... :]


Ahad, Mac 28, 2010

Mari meriahkan hari terakhir pesta buku!

Hmm. Baru sahaja balik dari lawatan malam ke Janda Baik ni...



Ini adalah tempat saya melepak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Lihat artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Siap ada gitar lagi...


Al-Rasyid menjadi 'maskot'. Alhamdulillah anak saya yang kini berumur 5 bulan setengah ini tidak banyak kerenah. Dia seronok 'berkenalan' dengan orang ramai. Dia kan 'hero' buku "Berpetualang ke Aceh"...



Isteri dengan anak bergambar bersama orang kuat Karnadya, Uncle Arif. Kelihatan novelis Aina Emir sedang melayan peminat di sebelah tempat lepak saya. Cuma sayangnya disebabkan hal-hal lain saya datang lambat lagi siang tadi. Seperti hari Jumaat, saya sampai selepas jam 5 petang. Tapi tak pa le, janji selamat...

Ahad siang ini adalah hari terakhir pesta buku. Disebabkan saya pula baru kembali dari Janda Baik jam 3 malam tadi maka saya kini bermalam di rumah seorang rakan di Jalan Ipoh. Dari situ hendak ke PWTC untuk Pesta Buku cuma sekitar 3-4 km sahaja. Insyaallah saya akan sampai lebih cepat... saya usahakan paling lambat pun jam 3 petang.

Pada sesiapa yang ingin berjumpa atau menyokong usaha saya menulis cerita-cerita berkaitan sejarah Islam dan kerajaan-kerajaan Melayu, silalah datang ke gerai kami seperti ditunjukkan dalam artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Merujuk kepada artikel Tiga buku baru untuk pesta buku... , saya ada membuat beberapa naskah buku baru. Sesiapa yang berminat boleh mendapatkannya di tempat lepak saya. Mari le meriahkan hari terakhir pesta buku!