Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, September 08, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda!

Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama

- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti dipaparkan dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.




Assalamualaikum semua. Setelah beberapa lama akhirnya sampailah kita ke penghujung siri cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih". Maka biar saya copy and paste satu sedutan berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti", dari mukasurat 225 iaitu mukasurat terakhir Bab 5, cerita setelah saya (atau watak yang diberi nama Muhammad Al-Aminul Rasyid) bermalam di hadapan makam Sheikh Abdul Wahab di Kampung Babussalam...

--------------------

Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...

Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”

Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...

Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...

------------------


Perhatikan perenggan akhir sedutan di atas. Perhatikan betapa ia menyebut bahawa dalam perjalanan pertama ke bumi Serambi Mekah yang dibuat Januari 2004, saya telah mensasarkan untuk bermalam Jumaat di Aceh... kerana saya meninggalkan Babussalam pada pagi Khamis. Sekarang teliti balik beberapa cerita yang membawa kepada cerita sebelum ini iaitu Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak... . Perhatikan bagaimana perjalanan dari Banda Aceh untuk ke makam Sultan Malikus Salih Jun 2009 dimulakan hari Rabu dan sepatutnya boleh selesai hari itu! Tetapi keadaan menyebabkan saya harus menyambung kembali perjalanan Januari 2004 melalui Langsa pada hari Khamis. Sekarang baru kita menyambung cerita...


Tadi saya telah membuat sebuah artikel baru bertajuk From Perlak to Geudong, seat of the powerful twin ancient kingdoms of Samudera and Pasai! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Cerita dan gambar di situ dapat menerangkan bagaimana rombongan kami meninggalkan Perlak petang Khamis dan singgah di satu tempat bernama Idi waktu Maghrib iaitu masuk malam Jumaat. Kami ke sana kerana saya hendak menunaikan pesanan seorang kenalan iaitu Habib Hassan Aceh di Malaysia yang kini saya anggap seperti seorang ayahanda.

Beliau yang dikenali dalam satu perjumpaan mengenai peranan Ahlul Bait anak cucu Nabi (lihat artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati! ) meminta saya berjumpa sanak saudaranya di Idi. Lawatan ke sana nampaknya turut menyumbang kepada aturan Qada' dan Qadar' untuk saya hari itu sehingga kami akhirnya sampai ke makam Sultan Malikus Salih sekitar jam 10 malam Jumaat. Ini seolah-olah menyambung juga perjalanan lama yang dirancang lebih 5 tahun lalu seperti disebut pada perenggan terakhir sedutan di atas gambar... kerana niat untuk bermalam Jumaat di Aceh Januari 2004 rupa-rupanya ditunaikan dengan sampai malam Jumaat ke makam Sultan lama tersohor di bumi Serambi Mekah ini lebih 5 tahun kemudian!


Ah. Tidak dapat digambarkan perasaan yang bermain di hati apabila akhirnya dapat sampai ke sini setelah perjalanan lebih 5 tahun tergendala! Lebih-lebih lagi sampai dalam keadaan saya telah kembali berumahtangga, bersama isteri yang tersayang setelah begitu lama menduda tak tentu hala. Tadi selepas turun daripada kereta, ketika semua orang termasuk isteri terus masuk ke kawasan makam, saya pergi seorang diri ke kawasan luar untuk mengambil wudhuk. Dalam berjalan mencari air paip itu sedar tak sedar saya mula menangis teresak-esak.

Kemudian saya terdengar bacaan Quran yang begitu indah seperti berkumandang dari sebuah rumah berdekatan, bacaan paling indah pernah saya dengar seumur hidup hingga kini! Allah, tadi semasa menulis perenggan ini tiba-tiba dada saya terhenjut-henjut lagi teringatkan apa yang berlaku... teringat bahawa Sultan Malikus Salih yang juga dikenali sebagai Raja Merah Silu pernah disuruh membaca Al-Quran oleh Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad. Apakah itu suara paduka nenda yang cunda dengar? Allah!

Rasanya tidak mampu untuk saya bercerita perasaan sebenar saya sepanjang berada di situ. Maka itu biarlah cerita ini diselang-selikan dengan beberapa sedutan tentang identiti sebenar Sultan Malikus Salih yang cuba disinggung melalui bab bertajuk "Samudera Pasai : Bumi para wali" dari buku pertama "Berpetualang ke Aceh"...

-----------------------

“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”

“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”

“Mereka juga disuruh membawa perkakas dan alat-alat kerajaan daripada Mekah untuk menabalkan Sultan Malikus Salih menurut adat pertabalan Raja-raja Islam,” pemuda itu menyambung. “Apakah ada raja lain di Nusantara atau mana-mana pun yang pernah menerima pengiktirafan sebegini?” katanya lalu merenung tepat muka rakan itu.


Oh. Kedatangan kami di sini turut diiringi dan disambut ketua-ketua kampung dan ulamak berdekatan. Mereka yang menyarankan agar saya membasuh kepala dan muka di atas batu nesan kepala Sultan Malikus Salih lalu membiarkan airnya mengalir mengenai batu nesan sebelum masuk ke dalam tanah makam. Lagi sedutan kecil...

------------------

Wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga menyebut negeri Samudera mesti diIslamkan kerana di sana nanti ramai orang akan jadi wali. Jika ramai rakyatnya akan jadi wali, siapakah pula raja yang layak memerintah kalau baginda sendiri bukan raja bertaraf wali atau raja para wali? Bukankah pemimpin mesti lebih arif daripada yang dipimpin?

Selain ini, hikayat yang dianggap teks tertua Melayu Islam itu juga menyebut Nabi sendiri yang memberikan nama Sultan Malikus Salih yang bermakna Sultan dan raja kepada orang-orang salih. Walaupun ini berlaku dalam mimpi, tidakkah ia menunjukkan Merah Silu adalah seorang manusia yang berdarjat tinggi, baik sebagai pemerintah mahupun sebagai seorang Islam dan Mukmin sejati?


Adapun seperti perjalanan ke Aceh Januari 2004, perjalanan Jun 2009 juga dibuat dengan saya turut membawa selimpang merah yang tiba-tiba muncul dengan sendirinya pada satu Subuh di rumah saya pada penghujung tahun 2001 atau awal 2002, ketika saya sedang bermalam seorang diri di situ! Ketika itu saya masih baru dalam proses untuk mengenali salasilah keluarga lalu mendapat alamat selempang merah itu dimunculkan dari alam ghaib sebagai tanda pengenalan untuk membantu pencarian saya. Seorang kenalan tertentu telah menasihatkan saya agar membawanya ke Aceh dan inilah yang saya lakukan lebih 5 tahun lalu. Tetapi baik dalam perjalanan dahulu mahupun yang terbaru, di hadapan makam Sultan Malikus Salih baru saya tergerak untuk mengeluarkannya daripada beg lalu memakainya. Sambung lagi dengan sedutan yang sedikit panjang...

--------------------

Seorang tua educated, memiliki Masters in Education daripada University of Harvard, sebuah univeristi terkemuka Amerika tetapi kemudian lebih selesa menjadi petani di sebuah kampung terpencil di Negeri Sembilan pernah memberitahu, raja bertaraf wali ini boleh diibaratkan seperti seorang Brahmin Hindu yang diangkat menjadi raja. Dalam sistem kasta Hindu, raja-raja biasanya berasal daripada golongan Kesatria yang juga mengandungi pahlawan, pendekar dan hulubalang sedangkan Brahmin yang merupakan golongan alim ulamak lebih mementingkan akhirat daripada dunia.

“Maka kasta Brahman ini adalah kasta yang tertinggi dalam hierarki agama Hindu, lebih setingkat daripada golongan Kesatria termasuk raja-rajanya kerana mereka lebih dekat kepada Sang Pencipta,” dia menambah. “Maka itu juga, seorang raja dari golongan Brahmin adalah lebih tinggi kedudukan dan tarafnya daripada seorang raja Kesatria, ibarat kelebihan seorang raja bertaraf wali ke atas raja-raja biasa, tidak kiralah berapa tinggi pun daulat raja itu.”

Kata pakcik itu lagi, adab seorang raja wali juga berbeza dengan raja biasa. Lebih dekat kepada cara Rasulullah SAW yang pada hakikatnya adalah raja segala raja walaupun penampilannya sekadar seperti seorang hamba.

“Raja biasa lebih menunjukkan kebesaran yang diringi berbagai perhiasan seperti sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan moyang Raja-raja Melaka sedangkan seorang raja wali lebih mendekati kezuhudan, amat merendah diri dan sangat ringkas penampilannya walaupun peribadinya jauh lebih terserlah kerana keakrabannya dengan hadirat Ilahi.”

Sultan Malikus Salih yang mangkat tahun 1297 Masihi (ada yang menyebut 1292) telah mendirikan kerajaan Samudera kemudian Pasai untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, bukan untuk bermegah-megah. Baginda memakmurkan kerajaan dengan asas Iman dan Takwa, bermula daripada diri baginda sendiri sebagai Ulil Amri, pemerintah dan ulamak pewaris Nabi yang layak memerintah bumi para wali.

Maka itu tercatat di batu nesan baginda di makamnya di tapak pusat kerajaan Samudera, terjemahan dari bahasa Arab: “Ini kuburan almarhum yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadat, penakluk yang bergelar Sultan Malik Al-Salih.” Sifat-sifat seperti inilah yang akan diwarisi anak-cucu baginda nanti, meneruskan perjuangannya menegakkan syiar Islam di muka bumi ini, perjuangan yang juga diwarisi dari Nabi...

Kak Ann turut bergambar di sisi makam. Kelihatan juga di sisi bertentangan ialah makam Sultan Malikul Zahir yang disebut sebagai anakanda Sultan Malikus Salih. Nampaknya dalam banyak-banyak orang yang berada di sekitar ketika itu, pada pandangan saya tidak kurang 50 orang, cuma saya, isteri dan Kak Ann sahaja yang berani duduk rapat dengan makam. Mungkin kerana orang lain segan?

Sebenarnya banyak perkara yang ingin saya lakukan jika ada privacy dan kelapangan. Mahu sahaja saya berbaring sebentar di sebelah makam jika saya sendiri tidak terasa segan dengan kehadiran begitu ramai orang yang memerhatikan. Apapun, gambar ini boleh menjawab persoalan yang ditujukan dalam artikel pertama saya tentang perjalanan Jun 2009 di Aceh ini, artikel pembukaan bertajuk Ole-ole dari Aceh... coming! yang dibuat hampir 3 bulan lalu. Kini makam ini sudah dilawati, maka hampirlah kita kepada penghujung cerita-cerita tentang perjalanan ke Aceh!


Ini pula adalah gambar yang sudah diletakkan di dalam artikel Salam Ramadhan... semoga berkat bulan mulia menghilangkan H1N1 dan segala macam kekalutan... yang dibuat 2 minggu lalu, gambar yang diletakkan bersama gambar batu nesan Sultan Alauddin Riayat Shah yang turut diletakkan selempang yang sama. Apa yang berlaku, setelah duduk beberapa lama di sisi makam Sultan Malikus Salih timbul rasa kuat untuk meletakkan selempang merah ini sebegitu rupa. Tetapi saya segan melihat ramai orang memandang. Dan lagi saya tidak mahu dianggap kurang-ajar atau melalukan perkara-perkara tahyul lagi khurafat oleh orang-orang tua tempatan yang ada.

Saya pun memberitahu hajat saya kepada orang tua yang terdekat ketika itu. Saya sudah lupa apakah beliau ketua kampung, ulamak atau penjaga makam. Yang pasti beliau juga orang penting tempatan dan beliau membenarkannya. Apa lagi saya pun melepaskan hajat yang tertunda.

Dengan ini, pada malam 19 Ramadhan, dapat juga saya akhirnya melepaskan cerita sehingga sampai ke makam Sultan Malikus Salih ini. Dengan ini saya memohon kepada Allah Subhanahuwataala dengan berkat kewalian nenda dan para leluhur lain berserta paduka Habibullah yang paling 'ali di seluruh semesta alam ini agar bulan Ramadhan di mana penghujungnya saya akan mencapai umur 40 mengikut tahun Hijriah dapat membawa perubahan menyeluruh yang menghilangkan segala keburukan serta sifat-sifat mazmumah diganti dengan segala kebaikan dan sifat-sifat mahmudah. Amin ya Rabbul Alamin. Selamat malam!

p/s: Pagi tadi selepas menghabiskan Surah Yassin lalu masuk Juzuk ke 23 saya bertekad cuma akan sambung mengaji selepas selesai melepaskan cerita ini. Alhamdulillah, nampaknya selepas ini dapatlah saya menyambung usaha cuba mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk Malam Tujuh Likur, Insyaallah! :]

Sabtu, September 05, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak...



Selepas Langsa, kami singgah di Perlak yang terletak sekitar 40 km ke utara Langsa. Untuk melihat keadaan perjalanan Langsa ke Perlak, sila jengok artikel Thursday morning trip from Langsa to Perlak and reminiscing what goes on before... yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH semalam.

Melihat kedai-kedai buruk yang banyak terdapat di pekan kecil itu, seolah-olah tiada apa-apa yang penting di Perlak. Tetapi percayalah, di sini terdapat sesuatu yang sangat penting dalam sejarah Aceh malah sejarah seluruh Alam Melayu itu sendiri!



Apakah sesuatu yang penting itu? Kita singgah dahulu di pejabat polis di sini...


Sebelum itu, kami telah menunggu kedatangan kenalan Kak Ann, seorang ketua polis muda dari Idi, sebuah bandar yang terletak sekitar 2o km ke utara Perlak. Ketua polis daerah (kalau tak salah ingatan) yang berumur sekitar 30an ini menolong kami untuk mendapatkan escort atau iringan polis untuk memasuki satu kawasan pendalaman Perlak yang dikatakan rawan atau masih kacau... akibat terdapat ahli kumpulan serpihan puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang nampaknya kurang bersetuju dengan cara keamanan Aceh digapai melalui perundingan dengan kerajaan pusat Indonesia di Jakarta.



Kami pun memulakan perjalanan untuk memasuki kawasan pendalaman yang dimaksudkan. Tak lah jauh sangat sebenarnya, cuma sekitar 7 km sahaja dari pekan Perlak. Tetapi jalannya kurang cantik lalu memakan masa untuk masuk ke dalam.

Kelihatan dalam gambar kenderaan polis yang mengiringi di hadapan. Berada di dalam kereta itu adalah 3 atau 4 orang polis. Yang pasti 2 dari mereka membawa senapang machine-gun. Ketua polis muda dari Idi pula berada di dalam kereta Landcruiser bersama Kak Ann. Untuk pengetahuan, secara rasminya di Aceh, GAM telah dibubarkan lalu dibentuk menjadi parti politik Partai Aceh yang kemudian bertanding dalam pilihanraya lalu kini berjaya menerajui pemerintahan Aceh secara terang melalui jalan demokrasi. Tetapi ada bekas para pejuang GAM yang tidak puas-hati dengan keadaan... pada mereka, Partai Aceh masih menurut rentak Jakarta. Lalu mereka menyatakan rasa tidak puas hati dengan antara lain, menculik orang luar. Perlak disebut sebagai satu kawasan yang menjadi kubu kuat puak-puak ini...




Apapun, kami pergi ke sini bukan untuk terlibat dengan apa-apa pertelingkahan. Kami ke sini untuk melihat satu kesan sejarah yang sangat penting dalam sejarah Aceh juga sejarah Nusantara atau Alam Melayu dan Islam. Cuma jalan masuknya sahaja melalui tempat yang kacau. Tetapi demi semangat Melayu Islam yang ada dalam diri, kami memberani dan menggagahkan diri untuk ke sini dengan kehadiran polis pengiring memantau...



Papan-tanda ini memberikan sedikit petunjuk akan apa yang mahu dilihat...






Oh. Sampai di sini perjalanan terhenti sebentar. Rupa-rupanya ada pohon kayu patah atau buluh panjang (dah lupa pula...) melintang menghalang perjalanan. Kelihatan pada saya keadaan sedikit cemas. Polis pengiring yang bersenjata pun kelihatan teragak-agak untuk terus turun daripada kenderaan mengalihkan rintangan. Nampaknya mereka takut jika halangan sengaja dibuat oleh puak pemisah yang diketahui kadangkala ada membuat serangan hendap atau ambush dengan cara sebegitu...

Melihat mereka masih teragak-agak memakan masa memerhatikan keadaan, saya bertawakal kepada Allah lalu keluar dari kereta menuju ke hadapan. Lalu pokok kayu ataupun buluh (sekali lagi, saya terlupa yang mana, yang pasti panjangnya lebih 10 kaki, mungkin 15-20 kaki) saya tarik sendiri sebelum mencampakkannya ke tepi jalan. Oh, kalau tak salah saya ia merentangi jambatan kecil besi di hadapan. Kemudian kami pun menyambung perjalanan. Untuk melihat gambar-gambar suasana kampung persekitaran, sila lihat artikel Rural Perlak, the seat of a powerful ancient Islamic kingdom! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .





Sambil menghampiri destinasi, kelihatan Sungai Perlak yang menurut ceritanya dahulu pernah dimasuki kapal-kapal besar berdagang!




Kami pun sampai ke destinasi. Terus isteri saya tak pasal-pasal sebak dada lalu mula menangis terisak-isak. Katanya timbul semacam perasaan pilu sama seperti kali pertama sampai ke sebuah makam tersembunyi atas bukit di Hulu Terengganu, makam yang disebut sesetengah orang sebagai makam sebenar Sharif Muhammad al-Baghdadi, orang yang menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu!




Saya pula amat teruja. Maha suci Allah yang dengan Qada' dan Qadarnya telah mengatur segala perkara dengan penuh hikmah dan bijaksana. Aturannyalah yang telah menyebabkan kami berlepas lambat dari Banda Aceh hari Rabu lalu sampai di Biruen waktu senja sedangkan perkara di sana pula cuma selesai masuk tengah alam.

Apa yang berlaku seterusnya menyebabkan kami sampai ke Lhokseumawe sekitar 2 pagi sedangkan semua bilik hotel yang ada telah dipenuhi orang. Dengan asbab itu kami terpaksa pergi lebih jauh sekitar 160 km lagi ke tenggara dan selatan hingga ke Langsa untuk mendapatkan penginapan. Lalu dari Langsa perjalanan diatur kembali pagi Khamis seolah-olah mahu menyambung kembali perjalanan pertama saya di Aceh yang terhalang lebih 5 tahun lalu.

Teliti kembali cerita sebelum ini dalam artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Menggamit kenangan lama di Langsa... . Januari 2004 dahulu selepas 3 malam di Langsa, saya ditangkap oleh imigresyen dan dihalau serta dihantar keluar dari Aceh ketika mahu mengorak langkah lebih jauh ke Perlak. Sekarang saya sudah berada di wilayah penuh bersejarah ini, di makam Sultan pertama kerajaan Islam Perlak yang telah wujud 1,200 tahun lalu, 600 tahun lebih awal dari kewujudan keSultanan Melaka seperti diketahui sejarah. Malah keSultanan ini dapat bertahan selama lebih 400 tahun berbanding sejarah keSultanan Melaka yang dikatakan cuma menjangkau satu abad sahaja sebelum ditewaskan Portugis 1511!












Maka masuklah kami ke makam Sultan ini, Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah. Lebih istimewa lagi, selain menerajui kerajaan Islam yang diiktiraf paling awal di Nusantara dan Alam Melayu, baginda juga merupakan Ahlul Bait atau anak cucu Nabi Muhammad SAW yang diketahui paling mula menerajui kerajaan di bumi sebelah sini. Biar saya copy and paste cerita berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti"... daripada bab bertajuk "KeSultanan Perlak : Bermulanya sebuah cerita".

--------------


Dicatat dalam sejarah, pada awal abad ke 9 Masihi telah datang rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah berlabuh di Perlak, diketuai seseorang yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah. Mereka ini dikatakan telah melarikan diri daripada buruan kerajaan selepas gagal dalam percubaan menggulingkan pemerintahan Bani Abbasiyah.

Ahli rombongan ini dikatakan terdiri daripada keturunan Rasulullah SAW melalui puteri baginda Fatimah az-Zahrah dan suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajha, juga para penyokong yang mahukan kepimpinan anak cucu Nabi. Termasuk di kalangan mereka adalah seseorang bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar Al-Sadiq.

Ketika itu, Perlak sedang diperintah raja berketurunan Parsi, Merah Syahir Nuwi. Raja dan rakyat Perlak tertarik dengan akhlak ahli rombongan lalu menganut Islam, Rombongan itu dimuliakan dan Ali dikahwinkan dengan adik perempuan Raja Perlak yang bernama Makhdum Tansyuri.

Ada sumber menyebut nama penuh Ali ialah Ali Muktabar Muhammad bin Ad Diba’ie bin Jaafar As Siddiq. Tetapi Rasyid lebih cenderung mempercayai Ali adalah anak kepada Muhammad bin Jaafar as-Sadiq...

Apapun, Merah Syahir Nuwi mangkat sekitar 840 Masihi. Anak lelaki Ali dengan Makhdum Tansyuri pula diangkat menjadi raja baru Perlak, Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah. Maka bermulalah keSultanan Islam Perlak yang akan menjangkau tempoh lebih 400 tahun.





Ini adalah Sungai Perlak yang turut mengalir di belakang kawasan makam. Lihat juga artikel Makam (tomb of) Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Saya copy and paste sedutan bahagian lain pula dari bab buku yang sama ya...

-------------

Perkahwinan Ali bin Muhammad bin Ja’afar al Sadiq dengan adinda Merah Syahir Nuwi merupakan pertemuan dua cabang termulia keturunan Nabi Allah Ibrahim. “Seperti kebanyakan raja-raja besar, Raja-raja Parsi juga memiliki titisan darah Iskandar Zulkarnain, penakluk agung yang menurut sesetengah sumber adalah keturunan Nabi Sulaiman,” Rasyid membuka cerita.

Nabi Sulaiman memiliki kerajaan luas yang merangkumi manusia, jin dan haiwan juga unsur-unsur alam seperti angin yang boleh diperintahkan untuk membawanya ke sana-sini. Baginda adalah anak Nabi Daud, keturunan Nabi Ishaq, anak Nabi Ibrahim dengan isteri pertamanya Siti Sarah. Imam Ja’afar al Sadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein bin Saidina Ali Karamallahuwajha, suami Fatimah Az-Zahrah binti Nabi Muhammad SAW pula berasal daripada keturunan Nabi Ismail, anak sulung Nabi Ibrahim dengan isteri keduanya Siti Hajar. “Maka bertemulah dua nasab mulia keturunan Nabi Ibrahim menjadi Sultan-sultan Perlak..”

Pernah seorang kerabat diraja Perak dengan bangganya bercerita, dalam banyak-banyak kerabat diraja yang masih wujud hingga sekarang, kerabat Peraklah yang paling hebat. Kerana mereka berasal daripada keturunan Raja-raja Melaka yang memiliki titisan darah Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar yang pernah memerintah hampir seluruh muka bumi lebih 2,000 tahun lalu dan kisahnya disebut dalam Surah Al-Kahfi.

Rasyid yang suka membela Aceh pun menegur: “Asal bercerita tentang raja-raja, balik-balik keluar cerita Iskandar Zulkarnain. Kamu lupakah martabat Rasulullah SAW itu lebih tinggi lagi kerana kemuliaan baginda mengatasi segala Rasul, Nabi, wali dan raja, malah segala makhluk?”

“Bukankah setiap selawat ke atas Nabi wajib disertakan dengan selawat ke atas keluarganya, merangkumi keturunannya sampai sekarang?,” dia bertanya pula. “Bukankah selawat yang dibaca selepas shahadah tahyat akhir solat memerlukan setiap orang Islam menyebut: Salam sejahtera Allah ke atas Muhammad dan keluarganya sepertimana salam sejahteraNya ke atas Ibrahim dan keluarganya? Jika bacaan doa sekali seminggu solat Jumaat meminta kesejahteraan keluarga diraja boleh membawa berkat dan daulat, inikan selawat yang dibacakan berjuta-juta malah berbillion orang ke atas Nabi dan keluarganya setiap kali solat dari zaman dahulu sampailah sekarang. Maka itu manakah lebih berdaulat? Keturunan Rasulullah SAW atau Iskandar Zulkarnain? Bagaimana pula kalau ada titisan darah kedua-duanya sekali?”






Oh. Lupa pula nak beritahu. Saya difahamkan di sekitar inilah pernah terletak pusat kerajaan Perlak dahulukala. Kalau begitu di sinilah tempatnya Bandar Khalifah yang diberi-nama sempena Nakhoda Khalifah yang memimpin rombongan 100 orang pendakwah yang pernah datang ke sini 1,200 tahun lalu! Seperti di tempat-tempat lain yang kami lawati, rombongan kami disambut baik warga tempatan berkat Kak Ann dikenali ramai kerana sering menghulurkan bantuan kepada orang-orang kampung dan institusi pengajian tradisional di Aceh. Sementara 2 orang polis yang membawa machine-gun memerhatikan dan menjaga dari sudut-sudut strategik keliling makam, kami terus bercerita mesra sehingga sampai waktu untuk menyambung perjalanan. Sekian buat masa ini. Selamat malam! :]



Khamis, September 03, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Menggamit kenangan lama di Langsa...

Assalamualaikum semua. Pagi tadi selepas solat Subuh saya berjaya membaca Surah Al-Kahfi dari awal hingga habis lalu melepasi Juzuk 15 dan masuk ke Juzuk 16. Lalu saya bercadang cuma akan menyambung pembacaan Al-Quran setelah membuat beberapa artikel baru tentang perjalanan di Aceh di setiap blogspot saya. Sayangnya siang tadi saya terasa amat kepenatan sehingga tidak mampu membuat apa-apa kerja. Mungkin penat sebenar berjalan jauh baru ini baru dirasakan (lihat artikel Kata-kata santai setelah berjalan jauh lagi ke Pantai Timur... ).

Masuk malam Jumaat ini baru saya dapat menyambung penulisan dengan 3 buah artikel baru di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Kini baru saya dapat menulis di sini dan seterusnya Insyaallah sebuah artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH bakal menyusuli sebelum saya dapat menyambung mengaji. Oleh itu mari kita sambung, daripada artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Dua sekolah pondok di Bireuen... yang dibuat Khamis minggu lepas...

Ini adalah gambar isteri saya di lobi sebuah hotel pada pagi Khamis 18 Jun 2009.


Merujuk pada perenggan pertama di bawah gambar terakhir pada artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Dua sekolah pondok di Bireuen... , saya copy and paste...

Selepas jam 11 malam (atau dah masuk 12 malam?) baru kami berlepas meninggalkan Bireuen. Makam Sultan Malikus Salih di Geudong terletak sekitar 15 km di tenggara Lhokseumawe, bandaraya seterusnya yang kami perlu lalui sedangkan bandaraya itu sendiri terletak lebih sejam perjalanan. Apakah kami akan sampai ke sana awal pagi? Nanti kita sambung cerita ya!

Adapun gambar di atas ini diambil di Langsa, sekitar 160 km perjalanan lagi ke tenggara Lhokseumawe. Kenapa kami boleh berada di sini pula?

Sebenarnya kami sampai di Lhokseumawe agak lewat iaitu sekitar jam 2 pagi. Maka itu kami bercadang untuk menginap di hotel sebelum menziarahi makam Sultan Malikus Salih pada siang hari pagi. Sebaliknya hotel-hotel yang kami singgahi semuanya penuh sedangkan bandar seterusnya memiliki hotel adalah di Langsa. Maka kami pun ke sana, sampai selepas jam 4 pagi gitu!


Oh. Semasa di hotel saya ada membaca suratkhabar Aceh pagi itu lalu mendapati artikel ini, penemuan makam seorang pembesar Samudera-Pasai bernama Raja Kenayan (juga di sekitar tapak pusat kerajaan yang mengandungi makam Sultan Malikus Salih) yang dibuat kalau tak salah ingatan baru hari sebelumnya! Untuk pengetahuan, Raja Kenayan hidup sezaman dengan Laksamana Hang Tuah iaitu abad ke 15 Masihi. Malah seorang anak raja Bugis bernama Semerluki yang pernah datang membuat kacau di Melaka juga Pasai menyebut bahawa Raja Kenayan orangnya lebih berani daripada Laksamana! Rujuk cerita berkenaan dalam kitab Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Sri Lanang.

Kitab itu turut menyebut Raja Kenayan sebagai satu daripada 3 pemikir besar atau pentadbir utama di Nusantara zaman itu. Katanya, jika Melaka mempunyai Bendahara Tun Perak dan Majapahit pula Patih Aria Gajah Mada, maka Pasai memiliki Raja Kenayan sebagai orang bijaksana. Sambil membaca artikel itu, saya menyedapkan hati sendiri. Apakah penemuan makam lama ini berkait dengan kedatangan rombongan kami ke sekitar ini?





Sebenarnya ada hikmah besar kami sampai ke Langsa. Walaupun zahirnya ia berlaku kerana kami lewat berlepas dari Banda Aceh lalu masuk tengah malam baru selesai aktiviti di Bireuen menyebabkan kami sampai di Lhokseumawe jam 2 pagi sehingga tidak dapat penginapan, ia membolehkan saya menyambung perjalanan lebih 5 tahun lalu yang terputus.

Mereka yang telah membaca ketiga-tiga buku dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" mesti tahu bahawa dalam perjalanan pertama saya ke Aceh yang dibuat Januari 2004, ketika darurat di bawah pihak tentera masih berkuatkuasa di seluruh wilayah itu saya setakat dapat sampai ke Langsa. Kemudian saya ditangkap pihak imigresyen lalu dihalau keluar! Kalau tidak kerana apa yang berlaku hari Rabu hingga awal pagi Khamis, mungkin perjalanan terbaru saya ke Aceh ini sampai paling jauh pun setakat makam Sultan Malikus Salih. Sebaliknya saya kini diberi peluang untuk menyambung kembali dari titik perjalanan dahulu.


Maka sebaik sahaja siap dari bangun pagi, sementara menunggu Kak Ann dan orang lain bersiap sedia, saya dan isteri bersama pemandu iaitu saudara Kiss pergi ke tengah bandaraya. Destinasi utama kami ialah Masjid Raya Langsa. Kenapa? Biar saya jawab dengan sedutan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela syiar yang asal", daripada Bab 9, mukasurat 205-206...

--------------


Esok pagi Jumaat, selepas solat Subuh, Rasyid pun bergerak ke Aceh. Seperti biasa, dia sengaja menaiki kenderaan “lompat-lompat”, ambil van ke kota Binjai dan berhenti sarapan di sana, kemudian naik van lain ke Tanjung Pura lalu singgah bersolat Jumaat di Masjid Raya Azizi. Selesai itu, barulah ke Pengkalan Brandan untuk berjumpa kawan-kawan di masjid raya sana serta menunaikan solat Asar. Kawan-kawan ini sempat bergurau : “Kalau kamu tersangkut lagi di sempadan, jumpalah kami balik di sini ya!”

Selepas minum kopi dan menikmati sejenis makanan tempatan bernama ‘serabi’ di warung belakang masjid, anak muda inipun menuju ke jalan besar menghala ke Aceh. Setengah jam kemudian, dapatlah sebuah bas daripada Medan untuk masuk ke bumi Serambi Mekah. Walaupun bas bukan ekspres ini akan bergerak hingga ke Banda Aceh, destinasi terakhir di penghujung utara Sumatera lebih 400km ke utara, pemuda ini memilih untuk turun di Langsa, bandar terdekat di Aceh, sekitar 80km daripada sini. Entah kenapa, dia terasa perlu untuk ke sana dahulu walaupun destinasi utama sebenarnya ialah tapak kerajaan Samudera Pasai di Geudong, berhampiran bandar industri Lhokseumawe, 100km lagi ke utara Langsa.

Sepanjang perjalanan, hati Rasyid berdebar-debar... Tak henti-henti dia berdoa agar diberikan jalan masuk tanpa sebarang halangan. Sampai sahaja ke Besitang kira-kira 15km lagi dari sempadan, jantungnya mula berdegup kencang. Pemuda itupun memaksa dirinya tidur sambil menyerah kepada Ilahi. Bukan seperti percubaan pertama masuk ke Aceh dahulu di mana dia buat-buat tidur setelah bas ditahan askar, kali ini Rasyid memang mahu lelap. Biarlah tidak tahu apa yang berlaku sepanjang perjalanan ini asalkan dapat masuk ke sana... Dan kali ini pemuda itu betul-betul tertidur!

Sesekali, Rasyid terbangun dalam keadaan cemas, tersentak teringatkan sekatan askar apabila bas terhenjut-henjut di jalan yang kurang rata atau di selekoh... Terus dia melihat ke luar tingkap, sudah masuk Acehkah belum? Timbul pula rasa tidak confident. Maka anak Malaysia ini tidur lagi sambil cuba mententeramkan hati... Sampai satu ketika, langit semakin gelap menandakan masuk waktu Maghrib. Kelihatan rumah-rumah kampung serta pemandangan desa yang tidak pernah dilihat dalam perjalanan terdahulu. Apakah sudah sampai ke Aceh? Dia masih belum yakin lalu tidur lagi… Logiknya, biarlah tidak tahu apa-apa daripada dada berdebar sentiasa. Tidak lama kemudian, baru ternampak sebuah papan tanda mengatakan dia sudah berada di Temiang, Aceh. Timbul sedikit rasa lega...

Apapun Rasyid belum boleh betul-betul menarik nafas lega selagi tidak sampai ke Langsa. Dia pernah diberitahu, terdapat banyak lagi pos kawalan askar atau polis di sepanjang jalan besar daripada sempadan Sumatera Utara - Aceh sampai ke Banda Aceh. Maka belum tentu lagi selamat...

Sampai di sebuah pekan, bas ini berhenti. Ketika itu sudah agak malam. Alamak, hatinya berdebar lagi. Kenapa berhenti ini? Hendak kata sudah sampai Langsa ini nampaknya bukan Langsa... Rupa-rupanya pemuda itu perlu bertukar kenderaan kerana bas ini akan meneruskan perjalanan ke Banda Aceh melalui jalan lain. Setengah jam kemudian barulah dia sampai ke bandar Langsa, sahih, bukan mimpi atau angan-angan... Alhamdulillah, Rasyid telah berjaya melepasi sekurang-kurangnya dua atau tiga pos kawalan askar atau polis lalu berjaya bertapak di Aceh!

Ini adalah menara unik di hadapan Masjid Raya Langsa. Entah kenapa dahulu saya mengaitkannya dengan Masjid Putrajaya. Sambung sedutan...

---------------


Malam itu dia duduk termenung lama di tangga Masjid Raya Langsa, masjid besar cantik yang memiliki kubah seperti sebuah mahkota raja-raja... Terasa seperti sedang bermimpi pula, sama rasanya semasa kali pertama sampai ke London 13 tahun lalu. Di hadapannya pula berdiri sebuah menara unik, berkubah warna merah jambu dengan rekabentuk seperti kelopak-kelopak kecil menjulur keluar daripada sekeliling sisinya.

Tiba-tiba Rasyid deja vu lagi. Seperti pernah nampak menara unik ini dalam mimpi atau bayangan lampau... Hmm... Rasanya pernah juga dilihat secara zahir tetapi di mana ya?. Dia mula mengimbas kembali bentuk-bentuk bangunan yang pernah menarik perhatiannya sepanjang hidup. Banyak... Beribu-ribu kerana graduan Matematik berjiwa seni ini agak peka terhadap rekabentuk yang terserlah, daripada berbagai rekabentuk masjid baru dan lama di merata Semenanjung Malaysia hingga ke bangunan-bangunan pencakar langit di Eropah seperti Menara Natwest di London... Teringat juga sebuah bangunan yang kelihatan seperti gereja dari jauh tetapi rupanya bangunan moden setinggi 70 tingkat di Frankfurt, Germany.

Hah... baru ingat. Menara unik di Langsa ini bentuknya lebih kurang seperti Masjid Jamek Putrajaya di hadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri. Memang ada persamaan dari segi rekabentuk yang dikatakan berasal dari Timur Tengah, juga warnanya yang merah jambu... Bercorak-corak dengan motif tertentu, siap dengan bentuk kelopaknya sekali. Bezanya, bangunan di hadapan ini sedikit “kurus” dan ia sebenarnya sebuah menara azan yang dikelilingi kolam-kolam air yang mengandungi ikan selain berfungsi sebagai tempat wudhuk, ambil air sembahyang orang ramai.





Ini adalah kolam air yang dimaksudkan. Untuk melihat lagi gambar-gambar dan cerita berkaitan tentang menara ini juga Masjid Raya Langsa itu sendiri, sila lihat artikel Menara hadapan Masjid Raya Langsa (The tower in front the main mosque of Langsa) dan Masjid Raya (Main mosque of) Langsa blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Kita sambung lagi sedutan berkenaan...

-----------------


Tiba-tiba Rasyid terfikir, apakah wujud makna tersirat mengaitkan bangunan di Masjid Raya Langsa ini dengan Masjid Jamek Putrajaya? Jika menara unik ini dikelilingi kolam air wuduk, masjid Putrajaya pula dikelilingi tasik besar buatan manusia. Jika Masjid Putrajaya berhadapan bangunan Jabatan Perdana Menteri yang lebih besar dan terletak lebih tinggi dengan kubah besar berwarna hijau terserlah, menara azan di Langsa ini pula berhadapan dengan masjid besar berkubah tinggi seperti mahkota raja-raja. Tetapi jika Masjid Putrajaya boleh diibaratkan seperti menara di Aceh ini, bukankah ia sepatutnya berada di bawah naungan mahkota yang berlandaskan roh Islam? Seperti naungan raja-raja, contohnya Sultan-sultan Aceh dahulukala yang amat memuliakan Syariat Rasulullah SAW.

Secara zahir dan simbolik, masjid di Malaysia itu telah diletakkan di bawah bangunan kerajaan yang melambangkan sistem demokrasi ciptaan Yahudi yang boleh dikuasai mana-mana manusia buruk akhlak... Asalkan mereka pandai bertopengkan sifat-sifat mulia dan berjaya mengambil hati rakyat lalu memenangi pilihanraya. Pemuda itu teringat kitab Tajus Salatin yang bermakna “Mahkota Raja-raja”, kitab yang mengandungi panduan untuk menjadi raja-raja yang mulia berdasarkan amalan-amalan Tasawuf yang suci lagi luhur... Bukan seperti buku The Prince karangan pemikir politik Itali Niccolo Machievelli yang menggalakan manusia bersifat serigala agar menyorok di sebalik bulu kambing biri-biri... Matlamat menghalalkan cara menyebabkan agama, bangsa dan negara boleh dijual-beli.


Di ruang tengah dalam bangunan menara inilah saya pernah bermalam 3 malam di Langsa dalam perjalanan ke Aceh yang lalu. Di sini dan di masjid hadapanlah berlaku beberapa pengalaman dan dialog yang turut dirakam kembali dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" iaitu pada buku kedua diikuti buku ketiga yang memiliki sub-title atau tajuk kecil "Sirih pulang ke gagang?".



Dalam lawatan kali ini, saya turut merakamkan gambar kilasan cahaya dari air kolam demi mengingatkan keadaan yang berlaku dahulu. Ini pada waktu siang, bayangkan bagaimana rupanya pada waktu malam! Saya sambung sedutan ya... daripada mukasurat 209 iaitu mukasurat terakhir dalam Bab 9...

----------------


Malam itu, Jumaat malam Sabtu, 16 haribulan Januari 2004 bersamaan 24 Zulkaedah 1424 Hijrah, buat pertama kali dalam hidupnya Rasyid merasa tidur di Aceh, tanah tumpah darah asal nenek moyangnya yang sudah lama ingin dijejaki. Lebih seronok lagi, dia mendapat tempat di ruang dalam menara azan yang rupanya seakan-akan Masjid Putrajaya “kurus” tadi!

Ruang yang menjadi tempat tidur serta penginapan penjaga masjid, Che Mat dengan seorang lagi pengunjung tetap masjid iaitu Abang Baktiar ini dikelilingi pagar-pagar besi sebagai sempadan, juga air kolam yang melantunkan kilasan cahaya menari-nari mengikut riak dan alunan air di permukaan sampai ke dinding dan siling menara. Terasa seperti berada di dalam air pula... Agaknya inilah yang dirasakan seorang moyang Raja-raja Melaka dahulukala iaitu Raja Suran... Mengikut ceritanya, raja besar benua Hindi berketurunan Iskandar Zulkarnain ini turun menziarahi kerajaan laut dengan memasuki peti kaca istimewa seperti kapal selam purbakala!

Hmm... Seronok juga melayan perasaan dalam menara ini, seolah-olah berbaring di bawah laut. Satu sahaja masalahnya - terlalu banyak nyamuk bermaharajalela, ganas-ganas dan besar-besar belaka, seperti nyamuk tiruk pun ada. Apapun, masalah ini dapat diatasi dengan menyapu “Autan”, sejenis krim anti-nyamuk yang ada dijual merata. Lagipun perasaan gembira amat yang terpancar akibat berjaya masuk ke Aceh mengatasi segala-galanya.

Alhamdulillah, setelah percubaan pertama terhalang seminggu lalu, Rasyid dapat juga masuk ke sini. Bayangkan, setelah lebih dua minggu meninggalkan hiruk-pikuk Kuala Lumpur, setelah lebih setahun berangan-angan hendak ke kembali ke tanah asal nenek moyangnya, setelah seumur hidup teraba-raba mencari asal-usul diri di merata ceruk rantau sampai ke benua Eropah, dia sekarang berada di bumi bertuah ini... Allah!

Walaupun ia cuma di Langsa, 40km sahaja daripada sempadan Aceh- Sumatera Utara, pada anak muda kelahiran Muar, Johor ini, dia sudah pun berada di dalam lingkungan wilayah asal keSultanan lama Perlak yang pernah ditinggalkan Keramat Kuala Bidor 1,000 tahun lalu. Dan ini juga termasuk di dalam lingkungan kerajaan Samudera Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun dahulu kerana Perlak telah diserapkan ke dalam kerajaan tersebut penghujung abad ke 13 Masihi. Dalam sedar tidak sedar, tiba-tiba terpacul keluar daripada mulutnya perkataan ini: “Menjunjung kasih nenda, cucunda sudah hampir kembali ke pusat tanah air sejati... Tunggulah cucunda sampai ya... Insyaallah tak lama lagi?”



Ini adalah pemandangan bandaraya Langsa dari tingkat 2 menara. Dalam perenggan terakhir sedutan tadi, melalui watak Muhammad Al-Aminul Rasyid yang dijadikan hero cerita "Berpetualang ke Aceh" ada disebut betapa tingginya harapan saya untuk sampai ke makam Sultan Malikus Salih. Siapa sangka, lebih 5 tahun kemudian baru saya akan sampai... tapi ini sudah melangkaui cerita...

Selepas melawat Masjid Raya Langsa dan menara di hadapannya, saya pergi pula ke sebuah masjid kecil di pinggir bandaraya untuk menziarahi makam keluarga para pemerintah tradisional Langsa. Saya cuma mengulangi ziarah yang pernah dibuat Januari 2004 lalu. Tak sangka pula ketika singgah di sebuah kedai berdekatan untuk bertanyakan arah, seorang pemuda yang menjaga kedai mengenali muka saya... kerana makam-makam itu ialah makam keluarganya dan dia masih ingat pernah nampak saya ke sana lebih 5 tahun lalu, Masyaallah!

Dengan ini tamatlah penceritaan setakat ini. Saya akan meletakkan beberapa buah gambar serta cerita berkaitan di blogspot untuk menyatakan perjalanan ke Perlak. Untuk pengetahuan, dari Langsa inilah saya betul-betul dapat menyambung titik perjalanan lalu kerana lebih 5 tahun lalu, selepas bermalam 3 malam di Langsa, ketika hendak ke Perlak lah saya ditahan pihak imigresyen lalu dihantar dan dihalau keluar dari Aceh. Apa ada di Perlak? Ingat cerita dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", pada bab bertajuk "keSultanan Perlak : Bermulanya sebuah cerita". Sekian! :]

Rabu, September 02, 2009

Kata-kata santai setelah berjalan jauh lagi ke Pantai Timur...


Assalamualaikum semua. Sepatutnya saya sudah menyambung kembali cerita perjalanan di Aceh setelah menutup cerita perjalanan hari Rabu 17 Ogos 2009 melalui artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - dua sekolah pondok istimewa di Bireuen... yang dibuat minggu lepas. Sebaliknya saya masih lagi melepek kepenatan seraya membelek-belek perkembangan terbaru di Internet, maklumlah lewat malam semalam baru kembali daripada jalan jauh sejak petang Khamis lalu dan sejak itu saya tidak pernah menjenguk Internet hinggalah masuk jam 8 pagi tadi.

Alhamdulillah, perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat petang Khamis itu berjalan lancar... singgah di Raub, Pahang sebentar dan sungguh gembiranya saya apabila dapat membeli masakan ikan keli gulai asam rong di bazar Ramadhan setelah lama mengidamkannya. Maklumlah bekalan asam rong katanya telah terputus selama hampir 3 bulan akibat tiada musim sedangkan masakan istimewa ini cuba boleh ditemui di sekitar Raub sahaja.

Dipendekkan cerita kami sampai ke Kelantan lewat malam dan bermalam di Masjid Kampung Laut sebelum mengambil anak-anak di Perol lalu terus membawa mereka bercuti ke Terengganu. Tanpa dirancang, kami pergi ke Tasik Kenyir kemudian baru ke Kuala Berang yang memang ada di dalam rancangan saya.

Banyak tempat yang kami pergi termasuk hampir kesemua makam-makam utama. Setelah 2 malam di Kuala Terengganu, kami bermalam pula di Kuala Besut di mana kami menyambut masuknya 31 Ogos Hari Merdeka. Esoknya kami ke Tok Bali dan Pasir Puteh sebelum menghantar anak-anak kembali ke rumah bapa saudara mereka kemudian mengambil jalan ke Jeli melalui Pasir Mas dan Tanah Merah. Lalu setelah lebih 10 tahun tidak melaluinya, saya mengambil lagi jalan Jeli ke Dabong untuk melihat air terjun di Gunung Stong, sebelum mengambil jalan terus ke Gua Musang, jalan yang 10 tahun lalu masih rosak teruk seperti jalan 4xD yang cuma berani dilalui kenderaan lasak sahaja. Teringat betapa dahulu perjalanan 50 km yang saya sangkakan akan mengambil masa singkat menjadi begitu teruk... perjalanan dengan motosikal bermula jam 3 petang berakhir dengan saya sampai ke Gua Musang dalam keadaan basah kuyup penuh lumpur jam 9 malam.

Kali ini jalan agak cantik tetapi memandangkan kami meninggalkan Perol pun hampir jam 4 petang jadi terpaksalah berbuka puasa di Gua Musang. Hajat saya untuk melihat suasana siang pergunungan melalui lebuhraya Gua Musang ke Simpang Pulai, Ipoh tidak kesampaian. Itulah kali pertama saya mengambilnya setelah mendapat tahu pembinaan lebuhraya ini bermula sekitar 10 tahun lalu, baru 2-3 tahun ini siap katanya. Tetapi ada juga hikmahnya saya melalui waktu malam. Kalau asalnya saya bercadang mahu terus ke Ipoh sebelum kembali ke rumah, keadaan ini menyebabkan saya dan isteri terasa ingin bermalam di Cameron Highlands pula. Kali terakhir saya pergi ke kawasan pergunungan inipun sekitar 10 tahun lalu kalau tak salah ingatan. Maka elok juga saya ke sana terutama bersama isteri, dengan harapan dapat melihat suasana gunung tersergam tinggi indah dan megah keesokan harinya.

Semalam hari Selasa, setelah berjalan-jalan di Cameron, timbul rasa untuk turn melalui Tapah, Perak lalu ke Chenderiang dan melihat Lata Kinjang, air terjun tinggi yang boleh kelihatan terang dari Lebuhraya PLUS sekitar itu. Itulah kali pertama saya ke sana setelah beberapa kali lalu berdekatan. Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa hari berjalan ini, saya masih sempat menunaikan solat Tarawih walaupun setakat 8 rakaat, sempat juga menghabiskan beberapa juzuk Al-Quran dalam tekad pertama saya seumur hidup untuk cuba menghabiskan mengaji seisi kitab suci itu bulan Ramadhan. Malam tadi saya dapat menamatkan Surah Hud di Masjid Jamek Tanjung Malim. Kemudian saya menamatkan Surah Yusuf di Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernam lalu masuk ke Juz 13.

Lewat malam baru kembali ke rumah, baru dapat betul-betul berehat. Tadi pula saya cuba membaca dan membalas mana yang patut e-mail tertunggak yang melebih 170 buah selain membaca isi-isi blog dan berita mengenai perkembangan negara dalam beberapa hari saya dan isteri pergi berjalan ini.

OK. Nanti bila dah betul-betul hilang penat, esok lusa akan saya cuba sambung kembali cerita-cerita Aceh ya. Hmm... kalau saya nak betul-betul bercerita segala pengalaman perjalanan dan apa yang berlaku kebelakangan ini memang betul-betul banyak. Selesai cerita Aceh, ada perjalanan kembali ke Muar melalui Linggi seterusnya ke Masjid Kampung Hulu, Melaka hampir 2 minggu lepas yang ada ceritanya yang tersendiri selain perjalanan terbaru ke Pantai Timur ini. Dalam tempoh masa saya cuba melepaskan cerita-cerita yang tertunda, entah apa lagi perjalanan yang mungkin akan dibuat nanti. Saya ikut sahaja le arah angin qada' dan qadar saya ini ya.

Oh. Lupa pula. Di atas ini adalah gambar perbandingan bangunan-bangunan tinggi di Kuala Lumpur yang saya jumpa tadi di Internet apabila cuba mencari cerita dan gambar tentang Alain Roberts si Spiderman Peranchis yang berjaya memanjat Menara Berkembar Petronas baru-baru ini. Saya memang suka melihat bangunan-bangunan tinggi dan amat teruja apabila membanding-bandingkan ketinggian dan saiz serta bentuk struktur. Jadi biar gambar itu diabadikan di sini ya. Selamat maju jaya.

Khamis, Ogos 27, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Dua sekolah pondok di Bireuen...

Alhamdulillah. Dapat beberapa mukasurat lagi mengaji tadi walaupun kepenatan dan sudah lewat malam malah sudahpun masuk pagi buta. Bersambung dari Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan? . Biar kita tutup terus sesi penulisan kali ini @ malam ini terus ya...


Mood penceritaan untuk artikel ini boleh juga dikira bersambung daripada artikel-artikel Inggeris The journey to Pekan Saree, a hillside small town of Aceh..., From Pekan Saree down to Sumatra's east coast... dan From Pidie on to Bireuen. Dari Makam Lapan kami berkejar untuk ke bandaraya Bireuen.


Kami sampai ke bandaraya ini hampir waktu senja...



Di sini sudah ada seorang kenalan Kak Ann menunggu. Orang yang pernah menjadi salah seorang panglima perang GAM (Gerakan Aceh Merdeka) ini akan menemani kami untuk perjalanan seterusnya...


Sebenarnya kenalan itu sudah menunggu kami sejak tengah hari lagi, apabila mendapat tahu kami akan menghala ke makam Sultan Malikus Salih yang memerlukan kami melalui Bireuen. Tetapi gerak hati Kak Ann menyuruh kami berlepas daripada Banda Aceh selepas jam 3 petang gitu, mungkin hampir jam 4... setelah cuaca kelihatan lebih redup dan elok untuknya memandu. Sedangkan untuk sampai ke Bireuen yang terletak sekitar 230 km ke tenggara Banda Aceh melalui jalan bukan lebuhraya yang adakalanya kurang cantik lagi berliku biasanya memakan masa tidak kurang 4 jam.



Apapun kami sempat sampai ke destinasi pertama kami di Bireuen sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Destinasi kami ini adalah sebuah dayah (bahasa Aceh) ataupun pesantren (bahasa Indonesia), atau kalau di Malaysia, agak sama dengan institusi sekolah pondok yang banyak mengajar agama dan turut menyelitkan unsur-unsur Tasawuf selain amalan tariqat tertentu dalam pelajarannya untuk anak-anak yang juga dipanggil para santri.




Di sini kami disambut tidak kurang daripada ulamak merangkap pengetua yang memegang dayah ini. Maklumlah, Kak Ann cukup dikenali golongan ulamak di Aceh kerana selain selalu mendampingi mereka, dia selalu memberikan sumbangan untuk pembangunan dayah.

Oh. Sebenarnya kami disambut lebih ramai orang lagi. Tetapi saya cuma mengambil gambar ketika kami betul-betul baru sampai, sedangkan ramai orang lain sedang bersiap-sedia untuk masuk waktu Maghrib ketika itu.




Ini adalah gambar selepas kami menikmati sedikit juadah yang sudah disediakan sekurang-kurangnya sejak 3 jam sebelum kami sampai. Di atas pangkin ini, pengetua yang dipanggil Teungku, satu panggilan kehormat orang Aceh untuk ulamak yang berperanan tinggi dalam masyarakat telah menghadiahkan saya sebiji batu cincin yang mereka temui dan canai sendiri.




Selepas masuk Isyak gitu baru kami meninggalkan dayah tadi. Kami masuk lebih jauh ke kawasan kampung untuk melawat sebuah lagi dayah, perlu melalui jalan gelap yang kurang rata. Tu yang jadi gambar cam ni... disebabkan kereta asyik bergegar sedangkan suasana yang gelap memerlukan exposure yang lama untuk kamera menangkap cahaya...




Kami sampai di dayah ini selepas jam 9 malam gitu...




Di sini kami disambut lebih meriah. Tidak kurang 50 tenaga pengajar dan pemimpin dayah berserta orang kampung sudah sedia menunggu, tidak dicampur para pelajar yang melihat dari dalam pondok-pondok tempat belajar...




Seperti di dayah sebelum tadi, makanan yang ada di sini, makanan dari hasil ternakan dan cucuk tanam sendiri telah disediakan sejak siang tadi menunggu kami datang yang asalnya dijangka jauh lebih awal. Selesai makan, kami berbual panjang tentang pelbagai perkara, daripada bab Tasawuf sampai ke sejarah Aceh... terkeluar juga cerita yang mengaitkan kemunculan Sultan Malikus Salih, bukan saya yang sebut tetapi Teungku atau ulamak pemimpin di sini yang sebut.

Ceritanya sama seperti kata-kata pembukaan yang ada dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", cuma aturannya sahaja mungkin lain. Ketika itu, Teungku cuma menerangkan kenapa Aceh dikenali sebagai Serambi Mekah. Katanya orang tua-tua ada menyebut cerita bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda... copy and paste sahaja yek daripada buku saya, kata-kata yang diambil daripada kitab lama Hikayat Raja-raja Pasai ini...

“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”



Selepas jam 11 malam (atau dah masuk 12 malam?) baru kami berlepas meninggalkan Bireuen. Makam Sultan Malikus Salih di Geudong terletak sekitar 15 km di tenggara Lhokseumawe, bandaraya seterusnya yang kami perlu lalui sedangkan bandaraya itu sendiri terletak lebih sejam perjalanan. Apakah kami akan sampai ke sana awal pagi? Nanti kita sambung cerita ya!

Alhamdulillah, dapat juga melepaskan cerita sampai ke tahap ini setelah hampir 2 minggu terasa begitu liat dan berat untuk menyambung cerita-cerita tentang Aceh. Esok, eh... esok pulak. Dah awal pagi Khamis dah ni. Hari ini le... saya perlu berkelana jauh ke Pantai Timur, harus berada di sana beberapa hari. Insyaallah saya akan cuba sambung minggu depan ya. Selamat malam dan selamat bersahur untuk semua! Wassalam... :]

Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?

OK. Saya sebenarnya tidak tahu cara terbaik untuk melepaskan cerita seterusnya tentang perjalanan di Aceh tetapi saya harus menyambungnya hari ini juga setelah hampir dua minggu tidak membuat cerita tentangnya. Setelah membuat artikel bertajuk Berkejar ke Lampuuk... tempat matahari terbenam cantik dan masjid paling teruk diserang tsunami pada 15 Ogos, cerita seharusnya bersambung dengan perjalanan yang dibuat pada Rabu 17 Jun 2009 iaitu hari ketiga saya di Aceh. Eloklah diberitahu, saya akhirnya membuat perjalanan untuk ke makam lama pengasas kerajaan Samudera dan Pasai iaitu Sultan Malikus, perjalanan yang menjadi tujuan utama saya masuk ke Aceh Januari 2004 ketika ia masih darurat dan porak-poranda.

Perjalanan ke situ yang cuba dibuat lebih 5 tahun lalu akhirnya tergendala dan ini sudah pun diceritakan dalam siri buku atau novel "Berpetualang ke Aceh". Dahulu, perjalanan cuba dibuat dari Medan di selatan naik sekitar 120 km ke sempadan Aceh-wilayah Sumatera Utara di Temiang sebelum terus lagi ke utara sedangkan perjalanan kali ini dari Banda Aceh harus bergerak kira-kira 300 km ke tenggara.

Perjalanan baru ini dimulakan selepas jam 3 petang meninggalkan hotel di Banda Aceh dengan menaiki 2 buah MPV, sebuah Landcruiser dan sebuah Innova. Adapun tadi saya telah membuat beberapa artikel berkaitan di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Seeloknya untuk memahami gerak perjalanan dan penceritaan, baca dahulu artikel-artikel ini mengikut turutan...

The journey to Pekan Saree, a hillside small town of Aceh...

From Pekan Saree down to Sumatra's east coast...

From Pidie on to Bireuen

Adapun setelah membuat artikel-artikel di atas ini dan meneliti gambar-gambar untuk digunakan seterusnya, baru saya mendapat ilham bagaimana mahu menyambung cerita di sini pula. Maka tanpa membuang masa, kita terus ke satu destinasi tak dirancang (tak dirancang oleh saya le) yang terdapat dalam perjalanan.

Hampir ke bandaraya Bireuen, lebih 200 km gitu dari Banda Aceh kelihatan bangunan ini di tepian jalan utama.


Kata Kak Ann, dia selalu berhenti dan singgah apabila lalu di sini. Kebetulan kami belum bersolat Zuhur dan Asar, maka kami membuat jamak di musolah yang ada.




Corak lantai yang ada nampaknya cuba melambangkan sesuatu...




Untuk pengetahuan, kawasan ini dipanggil Makam Lapan. Kenapa lapan? Tiba-tiba saya teringat Kampung Jambu Lapan berdekatan Bahau, Negeri Sembilan di mana terdapatnya pertemuan Sungai Jempol dengan Sungai Muar yang membawa kepada Jalan Penarikan. Sila lihat artikel-artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam? , juga Where Muar river meets Jempol in Negeri Sembilan... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .




Apapun, tempat ini diberi nama Makam Lapan kerana ia tempat bersemadinya lapan orang pahlawan Aceh yang mati syahid diserang musuh. Cerita yang ada menyebut, pada awal tahun 1902, ketika perang Aceh-Belanda sedang kuat bersemarak, lapan orang pahlawan yang banyak berjasa kepada orang ramai telah diserang hendap oleh Belanda lalu ditembak mati, kalau tak salah ketika mereka cuba menyelamatkan orang ramai yang terperangkap.




Sekarang mari kita masuk ke dalam bangunan makam. Untuk pengetahuan, sejak saya turun dari kereta untuk ke sini hinggalah ke pintu ini saya deja vu panjang. Segala yang berlaku, cara saya menatap kawasan sekeliling dan sebagainya sebijik seperti pernah saya lihat dalam mimpi beberapa tahun yang lalu.

Rasanya pembaca yang sudah biasa mengikuti penulisan saya tentu tahu betapa saya seringkali mengalami deja vu. Yang istimewanya, sepanjang perjalanan terbaru ke Aceh, baru di sini saya deja vu. Lalu baru saya tahu tempat apa sebenarnya yang saya lihat dalam mimpi lama itu...

Untuk mereka yang tidak tahu apakah makna deja vu, biar diletakkan sedutan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti"... dari Bab 4.



------------------



Pernah dengar tak perkataan deja vu? Maksudnya, satu perasaan yang kita pernah melihat atau mengalami sesuatu peristiwa, misalnya rasa seperti pernah sampai ke suatu tempat walaupun itulah kali pertama kita ke sana. Kata orang, itu maknanya roh kita pernah ke situ sebelum jasad ini menyusul kemudiannya. Kerana tidak seperti jasad, roh boleh melangkaui ruang dan waktu...

Sejak kecil lagi, Rasyid sering mendapat mimpi ataupun vision, bayangan yang kemudian bertukar menjadi nyata nanti. Ada masanya, mimpi dan bayangan itu sangat terang, ‘sebijik’ seperti apa yang berlaku di depan mata. Adakalanya dia cuma sedar bila menukar angle, tukar sudut pandangan atau menukar posisi badan.Misalnya, pada suatu malam pemuda ini berbual-bual dengan wanita kesayangannya Nur sambil duduk di atas pangkin di pinggir hutan diterangi cahaya pelita. Tidak ada apa-apa yang pelik kecuali tempat itu memang cantik dan suasananya begitu tenang. Tetapi apabila bangun daripada duduk, baru dia sedar muka Nur tersenyum, rupa pangkin dari tempatnya berdiri serta suasana hutan diterangi pelita saling tidak tumpah seperti sebuah gambaran yang pernah dilihat suatu masa dahulu. Cuma tidak ingat bila...

Ada masanya pula Rasyid mengalami deja vu bila terkeluar sesuatu perkataan tertentu daripada mulut orang. Selalunya ini berlaku dalam sesuatu perbualan. Mula-mula seperti biasalah, tidak ada apa-apa yang pelik, setakat orang bercerita atau bertukar-tukar pandangan. Tiba-tiba terkeluar satu perkataan yang menyentak fikiran. Terus dia teringat yang perkataan itu pernah didengar dalam keadaan yang sama begitu juga ayat sebelumnya, dan dengan siapa dia berbual... Kadang-kadang boleh tahu ayat apa pula yang akan keluar dari mulut orang itu! Kira dah macam cerita Back to the Future lah pula...

Sampai di Masjid Al Mansun, Muhammad al Aminul Rasyid terus menuju ke bilik wuduk untuk menyucikan diri. Terpandang sahaja air pancur yang cantik di dalamnya, dia terus deja vu. Seperti pernah nampak sebelum ini! Tetapi di mana ya? Mungkin di tempat lain yang air pancurnya serupa? Air pancur yang ditempah daripada kedai yang sama?

Ini mungkin juga kerana ada masjid-masjid yang sengaja dibina menggunakan rekabentuk yang sama, building plan serupa selalunya untuk menjimatkan belanja. Rasyid ada ternampak beberapa masjid kecil yang sama rekabentuk di Medan, masing-masing menggunakan kubah daripada kepingan besi nipis yang dikimpal ke atas rangka serupa. Tetapi masjid tempat pemuda ini berada sekarang bukan sebarang masjid... Ini Masjid Al Mansun, masjid lama kebanggaan rakyat Medan yang dibina abad ke 19 Masihi, semasa keSultanan Deli masih lagi gemilang. Takkanlah hendak pakai standard design? Lagipun memang ia diakui mempunyai rekabentuk yang unik, sesuai dengan reputasinya sebagai masjid raja-raja dahulu. Yang pasti Rasyid memang pernah ternampak dalaman bilik wuduk itu secara terperinci, dari air pancurnya yang menarik sampai ke rekabentuk sekeliling yang berunsur Timur Tengah, jubin-jubin yang teratur bersih dan indah, malah lampu berhias dengan cahaya kuningnya memancar dari atas suatu masa dahulu. Tidak cukup itu, dalam masjid pun dia deja vu lagi!





OK. Dalam bangunan makam inilah terletak sebidang tanah kecil di mana jenazah lapan orang pahlawan itu telah disemadikan di dalam satu liang lahad.


Turut terdapat di dalam adalah himpunan kain-kain putih yang digantung dengan tulisan tangan ayat-ayat Al-Quran. Dari orang-orang di sekitar makam, saya dapat tahu bahawa kain-kain bertulisan ini ditinggalkan oleh para pelawat, tak tahulah untuk membayar nazar, memperingati pahlawan yang mati syahid atau untuk mahu berkongsi semangat.

Alhamdulillah, dengan selesainya penulisan ini saya juga mendapat ilham bagaimana untuk menamatkan sesi penulisan kali ini untuk malam ini. Untuk pengetahuan, saya harus meneruskan cerita sampai ke satu peringkat kerana seperti minggu lepas, minggu ini juga saya harus berjauhan daripada Internet kerana perlu berjalan jauh, bermula esok...

Apapun sebelum menamatkan sesi bercerita kali ini, biar saya mengaji Quran dahulu ya. Alhamdulillah, tidak pernah lagi seumur hidup saya begitu bersemangat mahu cuba mengkhatamkan Quran dalam bulan Ramadhan... saya cuma pernah khatam Quran sekali sahaja iaitu ketika berumur 12 tahun gitu, itupun sebab dipaksa pergi mengaji dengan seorang makcik oleh ibu bapa. Sebaliknya semalam saya berjaya menamatkan sehingga habis Surah An-Nisa. Tunggu nak masuk Surah Al-Maidah aje ni tapi disebabkan banyak hal lain, hari ini saya masih belum mengaji lagi.

Berjumpa lagi kita, Insyaallah sebentar nanti! :]

Isnin, Ogos 24, 2009

Salam Ramadhan... semoga berkat bulan mulia menghilangkan H1N1 dan segala macam kekalutan...

Assalamualaikum semua. Ini adalah gambar dari lawatan terbaru saya ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488 Masihi) di Pagoh, Muar, Johor. Untuk makluman gambar ini diambil petang Ahad iaitu semalam.

Ini pula gambar di hadapan makam Sultan Malikus Salih (pengasas kerajaan Samudera dan Pasai yang dikatakan mangkat 1297 Masihi), diambil dalam perjalanan saya di Aceh pertengahan bulan Jun. Bandingkan dengan gambar yang terdapat pada artikel Ole-ole dari Aceh... coming! yang dibuat 2 bulan lepas. Setelah duduk beberapa lama di tepian makam, timbul gerak untuk meletakkan selempang merah saya pada batu nesan. Dan gerak yang sama timbul semalam di makam Sultan Alauddin.

Adapun gambar-gambar ini diletakkan di sini sebagai hiasan untuk ucapan selamat menyambut Ramadhan. Rasanya belum terlambat lagi untuk saya mengucapkannya untuk semua rakan-rakan, kenalan dan para pembaca setia blogspots saya.

Seharusnya saya mengucapkan selamat Ramadhan ini lebih awal tetapi perjalanan yang dibuat hujung minggu 'menjauhkan' saya dari Internet untuk beberapa hari. Alhamdulillah, dalam perjalanan kembali ke kampung di Muar petang Jumaat dengan niat untuk berpuasa hari pertama Ramadhan dan berbuka bersama keluarga, saya dan isteri sempat singgah ke beberapa tempat sekitar Linggi sebelum bersolat Tarawikh dan beriktikaf sebentar di Masjid Kampung Hulu, Melaka selain menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Pasai yang terletak berdekatan. Semalam Ahad, dalam perjalanan pulang ke Lembah Kelang pula kami sempat singgah ke makam Sultan Alauddin Riayat Shah sebelum ke Linggi lagi terutama Kuala Linggi untuk melihat tempat-tempat tertentu ketika waktu terang.

OK. Apa yang menarik perhatian saya sejak bermula Ramadhan ini ialah betapa kes H1N1 kelihatan agak reda. Laporan berita hari Ahad pula menyebut, tidak ada kes kematian langsung pada hari sebelumnya iaitu hari Sabtu. Walaupun laporan itu tidak mengaitkannya dengan apa-apa perkara tertentu, saya rasa sebagai orang Islam, tidak salah untuk kita mengaitkan ketiadaan kematian itu dengan berkat bulan Ramadhan. Bayangkan, setelah beberapa hari setiap hari kebelakangan ini kita asyik terdengar kes orang mati akibat H1N1, tiba-tiba Sabtu, hari pertama Ramadhan tahun ini tiada apa-apa kematian...

Satu lagi perkara yang menarik... lihatlah keadaan langit yang amat terang dan cantik. Jika sebulan dua ini langit terutama sekitar Lembah Kelang sentiasa sahaja berjerebu walaupun sudah beberapa kali hujan lebat, masuk sahaja Ramadhan tiba-tiba langit menjadi terang. Teringat pula ayat berulang-ulang daripada Surah Ar-Rahman. Fabi ayyi ala irobbikuma tukazziban... nikmat Tuhan yang manakah hendak kamu dustakan?

Semoga bulan Ramadhan ini juga dapat menghilangkan segala kekalutan mahupun kekusutan, dari peringkat diri peribadi masing-masing sampai ke peringkat masyarakat terbesar baik di Malaysia mahupun seluruh dunia Islam. Sekian... :]