Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Januari 17, 2019

Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Dari puncak Bukit Mor ke batu nesan Aceh di Jorak dan beberapa tempat berkenaan

Salam semua. Masuklah ke bahagian pengembaraan sebenar dalam penceritaan siri kecil berdasarkan usaha terbaru menjejak sejarah di Muar. Bersambung daripada Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama.


Pagi Sabtu 12 Januari 2019. Setelah bermalam di rumah ibu bapa di Kampung Temiang, 5 km ke timur-laut bandar Muar saya keluar seorang diri menghala ke Bukit Mor dekat Parit Jawa, 20 km ke selatan,


Adapun jejak sejarah ini asalnya dicadangkan mahu meliputi tempat-tempat di sekitar Jorak dan Pagoh, iaitu sekitar 14 hingga 26 km ke timur bandar Muar. Tetapi beberapa hari kemudian timbul rasa untuk terlebih dahulu memanjat Bukit Mor.


Dalam perjalanan singgah di Parit Pinang Seribu.


Sebelum mendaki bukit yang tingginya boleh tahan, katanya mencapai 233 meter atau 764 kaki dari paras laut biar dibereskan dahulu segala 'hajat' di masjid. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sulaimansyah, Parit Pinang Seribu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Tentang ketinggian 233 meter bersamaan 764 kaki itu saya dapati daripada seorang guru sekolah yang rajin memanjat dan meneroka pelbagai ceruk Bukit Mor. Menurut beliau itu menurut ukuran yang dibuat oleh sekumpulan pendaki tempatan. Namun beliau ada peta lama zaman British meletakkan ketinggian bukit pada 787 kaki.


Menggunakan Google Earth saya pula mendapati puncak tertinggi Bukit Mor terletak pada ketinggian 716 kaki dari paras laut, Satu peta promosi acara hiking beramai-ramai yang dibuat tahun 2012 meletakkanya pada 714 kaki. Semakan dengan program satelit tersebut menunjukkan ia adalah tanah tertinggi dalam lingkungan jejari 30 km dari bandar Muar. Dari garisan pantai bandar Melaka hingga ke bandar Batu Pahat sepanjang 80 km darab lebar 15 km ke pendalaman pula ia memang bukit paling tinggi dalam kawasan lalu mudah kelihatan daripada laut. Dari Pulau Besar di Melaka saya biasa melihat Bukit Mor dengan jelas sebagai penanda kedudukan bandar Muar sehingga ke Parit Jawa.


Maka tidak hairanlah jika Bukit Mor dijadikan pusat pentadbiran  bagi satu keluarga bangsawan yang dikenali sebagai keluarga Raja Bugis Chempa. Dikenali juga sebagai keluarga Raja Bugis Kembayat keturunan ini dikatakan lari ke Melaka setelah ibu kota kerajaan Champa iaitu Vijaya (sekarang di tengah Vietnam) jatuh ke tangan  puak Dai Viet daripada selatan China tahun 1471 Masihi. Cerita kedatangan keluarga Raja Champa ini ada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.  Begini ceritanya, saya salin daripada Sulalatus Salatin edisi pelajar yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad untuk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1979 :-

Maka ada dua orang anak raja Cempa, Syah Indera Berma seorang namanya; seorang lagi Syah Pau Ling, lalu ke Aceh; ialah asal raja Aceh. Insya-Allah Taala lagi akan dikisahkan perkataannya kemudian. Adapun Syah Indera Berma lalu ke Melaka; maka terlalu kesukaan  Sultan Mansur Syah melihat segala mereka itu. Maka Syah Indera Berma dan isterinya, Kenia Mesra, sangat dipermulia baginda. Maka sekaliannya disuruh masuk agama Islam; akan Syah Indera Berma dengan isterinya, serta temannya sekalian pun masuk Islamlah. Maka oleh Sultan Mansur Syah, akan Syah Indera Berma, dijadikan baginda menteri, terlalu sangat dikasihi baginda. Dan mereka itulah asal segala Cempa di Melaka, asal berasal daripada anak cucu Syah Indera Berma.


Bagaimanapun Sulalatus Salatin tidak menyebut tentang Bukit Mor. Sebaliknya itu didapati daripada cerita turun temurun keluarga yang keturunannya sampai ke orang-orang besar Muar seperti Orang Kaya Junid yang menimbulkan nama Jalan Junid . Keturunan ini masih wujud dengan ramainya. Untuk pengetahuan ibu mantan Perdana Menteri Malaysia Dato' Sri Najib Razak iaitu Tun Rahah juga ibu mantan Menteri Pertahanan Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein iaitu Tun Suhailah (mereka adik beradik, anak Tan Sri Noah) adalah daripada keturunan tersebut. Rujuk artikel Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama.. yang ditulis hampir 11 tahun lalu.


Apapun kali ini saya betul-betul ingin mendaki Bukit Mor hingga ke puncak. Rancangan ini diwar-warkan dalam Facebook lalu muncul dua orang anak muda dari Kulai, Johor ikut sekali. Kedua-dua mereka tiada masalah untuk mendaki kerana baru berumur 26 tahun dan sudah memanjat banyak gunung. Tetapi mendaki Bukit Mor dan dalam rangka kerja menjejak sejarah? Itu kali pertama kali buat mereka.


Kami dapat sampai ke puncak dalam tempoh kurang setengah jam. Lihat artikel To the summit of Bukit Mor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Namun kami menghadapi masalah untuk mencari satu kawasan terbuka dengan pemandangan cantik yang dilihat dalam  Internet. Gambar ini menunjukkan saya menyemak kedudukan menggunakan Google Earth setelah kami tersilap jalan.


Dipendekkan cerita setelah lebih satu setengah jam meninggalkan puncak baru terjumpa tempat yang dicari. Alhamdulillah dapat ditemui sekali batu belah yang katanya ada legenda tersendiri. Lihat Looking for a clear view of the lake up Bukit Mor.


Dari tempat terbuka itu mudah sahaja naik ke satu puncak (bukan tertinggi) yang memberikan pemandangan terbaik ke arah timur dan sekeliling... 


Pemandangan yang terbuka menjangkau jauh ke arah Pagoh juga Yong Peng. Lihat Views from Puncak Bendera - The flag summit...


Kemudian kami naik kembali ke puncak tertinggi Bukit Mor.


Kami mahu mencari satu batu yang katanya ditanda arah mata angin oleh komunis pada zaman darurat (tak pasti pada tahun 1945 selepas kekalahan Jepun atau pada tahun 1960an selepas British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia).


Kami dapat tahu kedudukannya dekat puncak tertinggi setelah diberitahu seorang cikgu yang rajin mendaki Bukit Mor.


Adapun cikgu tersebut ditemui sedang meneroka seorang diri ketika kami pertama kali turun dari puncak tertinggi untuk mencari kawasan terbuka dengan pemandangan meluas. Ketika itu kami tidak tahu pun sudah sampai ke puncak tertinggi. Setelah diberitahu cikgu tandanya adalah batu yang diapit dua batang pokok kecil baru sedar dah sampai. Kami juga dapat tahu terdapat banyak jalan atau denai untuk menerokai Bukit Mor. Tetapi kami sengaja naik kembali ke puncak tertinggi kerana dua perkara :-

1) Mencari batu tanda arah angin komunis tadi

2) Mencari kawasan lapang menghadap ke barat dan laut (Selat Melaka).


Beginilah kawasan lapang menghadap ke barat.


Dari situ dapat dilihat pekan Parit Jawa. Ada laluan untuk turun ke kaki bukit tetapi melalui kuari yang telah membotakkan hampir seluruh muka barat bukit.


Kami turun melalui jalan sama ketika mendaki supaya dapat sampai terus ke kereta.


Terus ke satu kuil Cina di pekan Bukit Mor di mana kami bertemu seorang pengkaji yang berasal dari Batu Pahat tetapi datang daripada tempat kerjanya di Alor Gajah, Melaka.


Pengkaji tersebutlah yang mewar-warkan penemuan batu Aceh di satu bukit kecil dekat Jorak sehingga saya terasa wajib untuk melihatnya lalu kembali ke Muar. Rujuk balik artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama. Beliau yang datang bersama seorang pengkaji muda anak jati Muar kemudian menunjukkan satu makam berdekatan yang disebut sebagai keramat. Lihat Makam (Tomb of) Tok Sijau.


Selesai urusan di Bukit Mor baru ke Jorak 25 km ke arah utara kemudian timur.


Singgah bersolat di surau Kampung Jorak, tengok-tengok ada peti lama yang layak dijadikan pameran bersejarah muzium. Lihat Surau (Praying hall of) Kampung Jorak.


Selesai solat baru bergerak 2.4 km ke timur lagi untuk sampai ke makam berbatu nesan yang Aceh yang menjadi asbab jejak sejarah ini dibuat.


Di situ saya dapat merasakan sesuatu.


Walaupun bukit kecil dan makam tidak termasuk dalam mimpi yang berlaku penghujung tahun 2007 (rujuk balik artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama) ia membantu memberikan petunjuk yang cukup jelas ke mana harus dituju untuk merealisasikan isi dan makna mimpi. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh stones at) Bukit Rhu, Jorak.





Selepas itu pengkaji bernama Azlan Sharif itu membawa kami menjejak beberapa lagi batu nesan Aceh juga tempat-tempat bersejarah di sekitar bandar Muar. Lihat artikel-artikel berikut :-








Perjalanan kami bersama menjejak sejarah (lima orang kesemuanya termasuk saya) ditutup di Parit Raja Laut (Parit Raja menghala ke laut - ada bahagian dipanggil Parit Raja Darat atau Parit Raja menghala ke darat). Dikatakan di sekitar parit tersebutlah berlaku peristiwa "Lembing Awang Pulang Ke Dayang". Ada satu makam berbatu nesan Aceh ingin ditunjukkan Azlan sebelum kami berpisah. Lihat Makam berbatu nesan Aceh (Tomb with Aceh stones at) Parit Raja Laut.


Beginilah lakaran mudah jejak sejarah kami meliputi jarak lebih 57 km


Kemudian saya bersendirian ke Tanjung Ketapang dekat kuala Sungai Muar untuk menjejak lokasi asal satu makam lama yang ada direkodkan dalam peta British. Peta dikongsikan oleh Azlan lalu saya cuba mencari sehingga masuk Maghrib. Lihat My first proper look at Muar's Tanjung Ketapang in ages. Campur jarak bergerak dari rumah ibu bapa ke Bukit Mor, jarak dari Parit Raja ke Tanjung Ketapang juga kembali ke rumah ibu bapa saya sebenarnya telah berjalan lebih 100 km hari itu. Kalau sekali campur jarak berjalan kaki turun naik meneroka Bukit Mor juga jalan kaki keliling Tanjung Ketapang harus sekitar 106 km.


Adapun dalam perjalanan jejak sejarah itu saya ada 3 kali tergerak untuk mengeluarkan keris lalu mengucupnya. Pertama atas batu di puncak tertinggi Bukit Mor, kedua di hadapan makam berbatu nesan Aceh di Bukit Rhu, Jorak, ketiga di jeti sebelah makam berbatu nesan Aceh di Parit Raja Laut. Kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Selangor hari Ahad malam Isnin tergerak untuk menanda ketiga-tiga tempat lalu menyambungkannya dengan garisan-garisan lurus. Terbentuklah segi tiga yang kelihatan menajam ke Bukit Rhu seperti mahu menunjukkan sesuatu ke arah itu.


Saya pun membuat garisan baru seperti di atas. Dengan menggunakan sambungan jeti Parit Raja ke Bukit Mor sebagai tapak lalu jaraknya dibahagi dua garisan dibuat memanjang melalui batu Aceh Bukit Rhu. Sesungguhnya batu Aceh itu menjadi asbab utama saya membuat jejak sejarah di Muar kali ini. Segi tiga yang menyambungkannya dengan jeti Parit Raja dan Bukit Mor itu sendiri membentuk apex atau puncak segi tiga di Bukit Rhu. Maka memang patutlah kalau ia menjadi arah tuju garisan baru...


Garisan dipanjangkan jauh sehingga ke Indochina. Ternyata ia melalui Cambodia yang memiliki kaitan tertentu dengan kerajaan Melayu Champa yang sudah lenyap dari peta moden. Seperti ada petunjuk mengaitkan jejak sejarah di Muar dengan perjalanan saya dan keluarga di Cambodia  membawa ke Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018. Bukankah jejak Muar itu sendiri dibuat pada ketika penceritaan berkenaan hendak memasuki fasa peralihan dari Cambodia ke Thailand? Begini bunyi perenggan pertama artikel Menjejak bukit daripada mimpi tahun 2007 - Bergerak ke Muar sambil mengimbas pencarian lama. yang merupakan pengenalan buat jejak sejarah Muar :-


Merujuk kepada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Ditipu USD100 di Battambang yang dipersembahkan pagi Jumaat 11 Januari 2019 iaitu 4 hari lalu. Adapun cerita perjalanan Cambodia-Thailand yang bakal menyusul selepas ini akan masuk peralihan dari negara Cambodia ke Thailand. Sebelum ia dipersembahkan ingin saya melepaskan cerita-cerita daripada satu pengembaraan kecil yang berlaku hujung minggu baru ini. Pengembaraan mungkin sekadar meliputi tempat-tempat di daerah kelahiran saya iaitu Muar tetapi makna tersurat dan tersirat yang terkandung di dalamnya melangkaui jauh daripada itu.


Dengan ini terasa elok dipautkan semua artikel yang telah dibuat tentang perjalanan Cambodia-Thailand setakat ini. Semoga muncul suatu corak yang dapat memberikan petunjuk yang lebih bermakna...












1 ulasan:

Nm berkata...

hai ini no wsp saya . 01139368825 . penting