Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mei 04, 2017

Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Ziarah tak dirancang Poksu Mid sebelum menghala ke Pulau Pinang

Telah dipersembahkan 3 episod cerita di bawah tajuk besar "Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai" untuk meliputi acara berkenaan yang dihadiri di persekitaran gunung tersebut Ahad hingga Isnin 23-24 April 2017. Namun ada susulan perjalanan yang berlaku akibat acara lalu tajuk besar elok diteruskan. Bersambung cerita daripada Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat.


Ketika hendak memulakan cerita ini baru tersedar bahawa artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat telah dibuat tanpa menyatakan bahawa aktiviti hari kedua acara Isnin 24 April berlaku ketika rakyat Malaysia terutama di Kuala Lumpur sedang sibuk dengan peristiwa pertabalan Yang di-Pertuan Agong. Hal ini patut dimasukkan ke dalam artikel. Baru boleh bercerita tentang apa yang berlaku keesokan harinya Selasa 25 April.


Walaupun Maulud dan Hol sudah tamat masih terdapat sejumlah peserta termasuk saya berada di lokasi utama acara di pusat peranginan Anjong Menjaro @ Teratak Ayahanda kerana menginap di sana. Sekitar jam 7.55 pagi saya melihat ke arah Gunung Jerai lalu baru tersedar ada air terjun tinggi boleh dilihat di muka barat gunung...


Saya mengambil masa untuk bermandi-manda di sungai dalam kawasan peranginan kemudian melakukan amalan tertentu sambil badan berendam sehingga paras leher. Amalan tersebut memakan lebih setengah jam. Selesai itu baru bersiap lalu pergi ke rumah utama Dato' Hashim @ Ayah Hashim iaitu pemilik Teratak untuk meminta diri. Tengok-tengok beliau baru sahaja selesai bermesyuarat dengan beberapa orang ulamak yang memeriahkan Maulud dan Hol.


Ayah Hashim tergerak untuk mengajak mereka bersama ke rumah seorang tua di Kedah yang dianggap ramai sebagai seorang wali hidup. Beliau dikenali sebagai Poksu Mid... nama dan gambar beliau ada menghiasi bahagian atas pondok tempat saya menginap. Lihat bahagian awal artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad. Ayah Hashim turut mengajak saya ke sana sekali. Memikirkan bila masa pula akan ada kesempatan untuk menjenguk Poksu Mid yang menetap jauh di Kuala Nerang, saya pun ikut dalam satu kereta.


Setelah lebih sejam bergerak dari Teratak di Yan sampailah kami ke rumah Poksu Mid.


Di situ ada papan tanda memberitahu bahawa waktu melawat adalah jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, selepas itu jam 3 hingga 5 petang kalau tak salah ingatan. Tetapi kami semua disambut baik walau sampai ketika waktu rehat disebabkan hubungan baik Ayah Hashim dengan Poksu Mid.





Ulamak-ulamak yang ikut sama pun bukan calang-calang orang. Ada dua orang bertaraf mahaguru datang dari Pulau Jawa termasuk seorang bergelar Habib. Tetapi semuanya tunduk mendengar mutiara-mutiara kata yang keluar secara spontan daripada mulut Poksu Mid.


Saya sendiri memilih untuk duduk di lantai di hujung kaki orang tua tersebut selepas bersalam. Apabila dipanggil merapat baru duduk berteluku di sebelah lalu ada yang mengambil gambar. Beliau ada membacakan beberapa potong ayat Al-Quran lalu memberikan ulasan dan nasihat. Paling saya ingat adalah kata-kata seloroh beliau yang nampaknya mengandungi banyak lapisan makna seperti berikut :-


1) Kalau betul minum Milo itu boleh bagi kuat dan sihat tentu hospital-hospital penuh dengan Milo untuk diberi sebagai ubat. Tentu Allah SWT ada turunkan hujan Milo...

2) Nama dan rupa tidak penting. Kalau dipanggil harimau tapi datangnya kucing apa dia boleh buat? Tangkap tikus aje le...


Beliau turut meminta saya menghadap kamera untuk diambil gambar. Kata beliau mahu letak satu salinan gambar di rumah, mungkin kerana teruja melihat saya berbusana tradisional Melayu penuh. Selepas itu Ayah Hashim ada memberitahu itu adalah tanda Poksu Mid menghargai kedatangan saya. Semoga ini menjadi berkat sokongan doa oleh seorang insan yang dinyatakan ramai sebagai seorang awliya besar. 

Tentang siapakah Poksu Mid dan bagaimana beliau boleh dipandang tinggi oleh ramai pihak termasuk ulamak-ulamak besar dari Timur Tengah boleh Google nama. Ramai memanggilnya sebagai Paksu Mid tapi saya ikut apa yang Ayah Hashim sebut iaitu Poksu Mid.


Selesai ziarah kami bergerak kembali ke Teratak Ayahanda lalu sampai selepas jam 3. Saya pun meminta diri untuk kembali pada tujuan asal seperti pada waktu pagi. Pergi menziarahi makam seorang ulamak besar Aceh yang dikebumikan di Yan. Lihat artikel Makam (Tomb of) Abu Indrapuri di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya turut melawat sebuah surau lama di sebelah makam serta sebuah surau lain yang dibina oleh orang Aceh. Untuk makluman ramai penduduk Yan terdiri daripada keturunan orang Aceh yang berhijrah selepas Belanda masuk menceroboh wilayah mereka bermula tahun 1874. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Teungku Chik Lam U  diikuti Surau (Praying hall of) Kampung Aceh, Yan, Kedah.


Selepas itu baru meninjau-ninjau pekan Yan dan pantai berdekatan. Lihat artikel Pantai Murni waterfront in Yan, Kedah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Dari Yan saya mengambil jalan tepian Gunung Jerai menuju ke Merbok lalu terlihat air nira nipah dijual di tepi jalan. Layanlah sebungkus sambil meneruskan perjalanan keliling gunung hingga ke Gurun. Tujuannya adalah untuk melengkapkan satu pencarian yang tercetus hampir 3 bulan lebih awal iaitu mencari pusat asal kerajaan Langkasuka sebelum wujudnya negeri Kedah seperti diceritakan dalam kitab Hikayat Merong Mahawangsa. Pencarian tercetus dalam perjalanan kembali dari Patani melalui Hatyai pada awal tahun. Lihat artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka - Ke Gurun dan Sungai Petani sebelum mengimbas kembali perjalanan pertama ke Aceh 13 tahun lalu....


Selesai meninjau apa yang dilihat sebagai lokasi pusat awal Langkasuka merangkap permulaan kerajaan Kedah saya tergerak untuk meninjau aliran Sungai Merbok yang terkait dengan bandar Sungai Petani. Lihat The river that gave Sungai Petani its name.


Seterusnya saya melangsaikan satu hajat yang sudah lama tertunggak iaitu untuk mengambil gambar kuala Sungai Muda dari belah Kedah. Sebelum ini cuma sempat sampai pada waktu malam. Lihat Kedah side of Kuala Muda.


Jam 9 malam saya bertolak masuk ke Pulau Pinang dengan menaiki feri...


Lepaskan hajat makan nasi kandar di restoran Line Clear pula...


Lewat malam masuk beriktikaf lewat di masjid Lebuh Aceh. Ziarah sekali makam kerabat diraja Aceh di hadapan masjid...


Nota tambahan (dibuat bermula jam 4.10 petang) : Tadi saya tergerak untuk Google lagi nama Poksu Mid lalu membaca tulisan-tulisan berkenaan beliau. Terus teringat satu pesanannya yang agak penting untuk difahami dan dihadamkan. Saya telah meminta beliau untuk mendoakan kebaikan buat diri saya, jadi orang soleh dan sebagainya lalu dijawabnya begini :-

"Kalau saya jadi Menteri Pendidikan mahu saya doa semua pelajar jadi pandai. Kalau saya jadi Menteri Kewangan mahu saya doa semua orang jadi kaya."

Beliau tidak menerangkan kenapa berkata begitu. Nampaknya kita sendiri perlu perhalusi dan faham lalu tersiratlah pesanan yang pada saya bermaksud usahalah sendiri. Jangan diharap sangat pada doa orang.

Bila difikirkan balik sangatlah benar kata-kata itu. Walaupun Poksu Mid dikatakan seorang wali yang doanya harus makbul, apakah gunanya doa beliau jika kita sendiri tidak berusaha untuk mencapai kebaikan? Apakah Nabi Muhammad SAW yang jauh lebih tinggi kedudukan di sisi Allah SWT tidak pernah mendoakan kebaikan dan kesejahteraan ummah sehingga ke akhir zaman? Bahkan baginda sangat selalu berdoa begitu. Tetapi hakikatnya di manakah kita sekarang? Apakah doa junjungan besar kita tidak makbul atau bagaimana?



Tiada ulasan: