Assalamualaikum semua. Sukacita dimaklumkan, bahawa kerja-kerja penterjemahan sebuah buku 500 mukasurat dengan jumlah perkataan 150,000 sudah berjaya disiapkan semalam. Alhamdulillah, proses penterjemahan sebenar telah siap 10 hari lalu. Kemudian saya harus membaca dan meneliti sekali lagi untuk memperbetulkan apa-apa kesilapan mahupun apa-apa ayat yang kurang terang atau terasa kurang enak aturannya. Maka proses seterusnya itulah yang siap petang semalam lalu dapatlah saya menghantarnya kepada pihak yang meminta terjemahan atau translation yang agak berat ini.
Pada sesiapa yang tidak tahu hujung pangkal cerita di sebalik kerja penterjemahan ini, sila lihat artikel Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain... yang dibuat lebih sebulan lalu. Cuma artikel itu dibuat dalam keadaan kurang enak sedangkan kini perkara itu telah pun selesai dan pihak yang meminta penterjemahan faham apa yang berlaku, alhamdulillah.
OK. Pada hujung minggu lalu saya dan isteri telah pergi ke Bagan Datoh, Perak untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara belah isteri. Oleh kerana dah menghala ke sana, saya pun menggunakan peluang ini untuk melawat satu tempat yang agak misteri iaitu Lubuk Pusing di Sabak Bernam, Selangor berdekatan sempadan ke Perak. Katanya cerita kawasan ini ada unsur-unsur ala-ala Bermuda Triangle gitu. Dan saya baru mendapat tahu tentang tempat ini juga masjid lama di sana di mana terdapat makam seorang ulamak bertaraf wali apabila Ustaz Halim, pembantu almarhum Ustaz Wan Saghir dari Khazanah Fathaniya tiba-tiba menalifon saya sekitar seminggu sebelum itu.
Kami juga pergi melihat keadaan terbaru di Beting Beras Basah di mana saya nyaris-nyaris tenggelam di dalam lumpur tebal apabila cuba juga meredah kuala sungai dalam keadaan air surut untuk pergi ke kawasan beting pasir di tengah kuala sungai. Selain itu, kami pergi menziarahi makam-makam Raja Ahmad, Keramat Kuala Bidor juga Marhum Durian Sebatang selain kawasan pemakaman keluarga terdekat di Batak Rabit. Setiap tempat ada cerita terbarunya yang tersendiri.
Seterusnya kami sempat pergi ke makam seorang lagi moyang, Laksamana Toh Jambu @ Keramat Sungai Durian yang keadaannya masih terperosok di dalam hutan belukar tepian Sungai Perak. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! yang dibuat selepas lawatan terakhir saya ke sana tahun lepas. Kemudian dari sana kami pergi ke Kota Setia seterusnya Hujung Rintis, menyusur balik jejak lama saya ketika pertama kali sampai ke tempat-tempat ini, kalau tak salah ingatan tahun 2007 gitu di mana saya banyak berjalan kaki campur naik bas campur tumpang motosikal dan kereta orang sebelum menaiki bot menyeberangi Sungai Perak, baru pergi ke Bagan Datoh seterusnya Beting Beras Basah, tempat terakhir pertabalan diraja Perak.
Kami juga pergi ke tempat-tempat lain termasuk Kampung Kota di seberang bandar Sabak Bernam, sebuah tempat yang memiliki sejarahnya yang tersendiri. Oleh itu, buat masa ini saya rasa akan cuba melepaskan dahulu cerita-cerita ini di blogspots saya ya sebelum menyambung balik cerita-cerita tentang perjalanan ke Aceh yang 'ditergendalakan' sebentar setelah membuat artikel Baru sampai ke makam Syiah Kuala yang amat terkenal itu! dua minggu lalu.
p/s: Rancangnya, hujung minggu ini pula mahu pergi ke empangan Talang berhampiran Terachi, Negeri Sembilan sebelum pergi ke Pulau Besar, Melaka. Sejak baru tahu bahawa empangan Talang itu sebenarnya terletak di hulu Sungai Muar sekitar dua minggu lalu, timbul rasa yang kuat untuk melihat apa yang ada di sana. Padahal dahulu, semasa masih berkhidmat sebagai wartawan akhbar The New Straits Times, saya pernah pergi ke sana 2-3 kali kerana ada kerja di sekitar Terachi. La ni baru tahu kenapa tempat tu memang ada rasa yang tersendiri. Maklumlah saya dibesarkan di Muar, di sekitar kawasan kuala Sungai Muar... selalu juga terfikir bagaimana keadaan dan rupa hulu Sungai Muar. Silap-silap selepas melepaskan semua rasa ini baru saya dapat menyambung balik cerita-cerita tentang Aceh kot?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan