Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Oktober 12, 2020

Bacaan Yasin dan Tahlil bersama srikandi DSSM serta pembukaan gelanggang di rumah

Merujuk pada artikel Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu yang dipersembahkan 2 hari lalu. Pada penghujung artikel ada disebut begini :-


Hasil persinggahan ke majlis perkahwinan anak seorang kawan di Cheras, sejumlah pesilat wanita telah diundang bertandang ke rumah lalu jadilah majlis tahlil pada malam Jumaat baru ini. Itu yang disebut pada pembukaan artikel ini bahawa saya telah disibukkan dengan pelbagai perkara terutama satu majlis yang mahu diadakan di rumah pada malam Jumaat 2 hari lalu. Selepas itu jadi penat gila, sampailah pada hari ini masih penat amat sebenarnya. Seiring dengan majlis turut dibuka satu gelanggang silat tertutup di hadapan rumah saya. Insyaallah ceritanya akan dikongsikan tidak lama lagi.


Ada ditunjukkan bahawa kami singgah di majlis perkahwinan tersebut pada petang Ahad 27 September.  Sekarang biar dikongsikan cerita tentang majlis tahlil yang tercetus daripada itu.



Ia asalnya sekadar undangan santai isteri kepada kawan-kawan pesilat wanita supaya datang bertandang ke rumah kami pada suatu masa. Tetapi apabila ada yang menambah biar dibuat bacaan Yasin dan Tahlil malam Jumaat kami pun menerima.


Asalnya ini mahu dibuat pada malam Jumaat terdekat selepas pertemuan di majlis perkahwinan iaitu pada tarikh 1 September. Elok juga itu fikir saya. Malam itu tarikh Islamnya adalah 14 Safar, sudah masuk bulan penuh. Boleh menikmati suasana malam bawah bulan terang.



Isteri yang suka menerima tetamu seronok menunggu sambil membuat persiapan. Beliau sudah biasa memasak seorang diri, pernah bertungkus lumus menyiapkan pelbagai jenis hidangam untuk lebih 60 orang. Sekitar 2 hari kemudian kami diberitahu majlis ditunda ke malam Jumaat berikutnya. Bulan dah tinggal separuh ketika itu tetapi masih boleh buat aktiviti lagi, insyaallah.



Kenapa saya lebih suka kalau bulan penuh? Sebab terasa lebih seronok meneroka persekitaran luar rumah pada waktu itu. Ini kerana saya sudah terfikir untuk mengajak tetamu berjalan kaki ke kawasan bukit berdekatan. Ada sesuatu yang istimewa bagi mereka yang faham.

Dan lagi ada kawan persilatan yang telah sampai lebih awal mencadangkan agar dirasmikan sekali gelanggang yang terletak di belakang kebun hadapan rumah. Apapun tarikh lain iaitu 8 Oktober telah dipilih. Kelihatan hadirin sedang menunggu saya untuk mengimamkan solat Isyak berjemaah. Ketika ini sudah jam 8.43 malam...


Selepas itu diadakan bacaan Yasin diikuti Tahlil.



Oleh kerana tidak ada lelaki lebih dewasa boleh mengendalikan sebagai tuan rumah saya harus memimpin bacaan.



Selesai itu kami makan malam. Hidangan disediakan oleh isteri dicampur sedikit sumbangan potluck daripada kawan-kawan.



Kebanyakan yang ada ini adalah kaum wanita. Memang pun majlis dikira atas anjuran Dewan Srikandi DSSM iaitu cabang pesilat wanita bagi persatuan Dunia Seni Silat Melayu.



Sekitar jam 10.15 kami bergerak ke gelanggang. Ia adalah satu tapak lapang sedikit menaiki bukit yang telah saya buka dan kemaskan bersama isteri untuk aktiviti-aktiviti persilatan juga amalan kerohanian. Beberapa hari itu kami berdua telah menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menyediakan tempat. Selain menyiapkan rumah bagi majlis bacaan Yasin dan Tahlil kami juga harus mengemas kebun kemudian memasang pelita di beberapa kedudukan untuk mencantikkan seraya memberikan sedikit pencahayaan...



Gelanggang pun dirasmikan oleh kawan-kawan diiringi lagu gendang silat. Ini disampaikan melalui speaker  kecil tapi cukup berkuasa yang disambung secara Bluetooth ke telefon bimbit. Sebelum itu saya telah merasmikan menurut cara sendiri, Opps... tiada gambar kami sedang bersilat. Yang ada cuma gambar ketika sedang bersantai dalam kawasan berkenaan.



Biar diberitahu ia lebih pada gelanggang tertutup untuk kawan-kawan berseronok memanaskan badan, bukan untuk mengajar orang luar. Letaknya di sebelah pondok menghadap kebun yang dibina  sendiri pertengahan Syawal untuk bersuluk, bersolat dan membaca Al-Quran selain duduk santai. Selepas itu kami membuat aktiviti penerokaan di kawasan bukit sekitar sambil bermesra dengan alam waktu malam. Ada le sesi berhubung dengan 'alam sebelah'...



Selepas tengah malam baru kembali ke rumah lalu berehat santai pula di loteng paling atas rumah. Untuk makluman rumah kami memiliki loteng kayu dua tingkat. Lihat artikel lama Rumahku Baitul Hikmah


Beberapa orang yang tinggal kemudian bergambar di hadapan rumah. Walaupun yang datang tidaklah berapa ramai cukuplah ini sebagai pembukaan bagi sesuatu yang lebih besar.


Ahad, Oktober 11, 2020

Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam

Salam petang Ahad 23 Safar 1442 Hijriah. Adapun selepas mempersembahkan artikel Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu malam semalam saya fikir artikel seterusnya cuma akan ditulis lalu dikongsikan 3 hari selepas itu iaitu pada hari Selasa 13 Oktober. Tetapi ada perkembangan tertentu membuat ia harus diluahkan petang ini. Begini ceritanya...


Hampir sebulan lalu, guru saya Profesor Dato' Dr Osman Bakar telah menghantar poster atas melalui WhatsApp menunjukkan dia akan bersyarah dalam satu majlis ilmu yang disampaikan melalui format Webinar (seminar melalui jaringan atas talian atau Web Online). Sebelum ini beliau telah menghantar beberapa poster majlis Webinar lain melibatkan beliau tetapi saya tidak menunjukkan minat. Ini kerana  belum lagi selesa dengan penyampaian ilmu melalui format sedemikian.

Namun umum tahu sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menyekat penularan virus COVID-19 mula dikuatkuasakan di seluruh Malaysia 18 Mac kebanyakan jenis majlis ilmu termasuk syarahan di universiti tidak dapat diadakan secara berhadapan dalam satu bilik mahupun dewan. Ini menyebabkan ramai berubah cara penyampaian dengan menggunakan kemudahan atas talian lalu tidak perlu lagi hadir secara fizikal di suatu tempat. Kali terakhir saya menghadiri apa-apa majlis ilmu adalah satu edisi syarahan bersiri "Classification of Knowledge in Islam" oleh Osman di tempat saya sedang menyambung pengajian iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini berlaku pada hari Rabu 11 Mac seminggu sebelum PKP dilaksanakan. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia. Sepatutnya syarahan yang diadakan secara mingguan setiap petang Rabu itu disambung 18 Mac. Tetapi larangan bergerak keluar lebih 10 km dari tempat kediaman menyebabkan ISTAC ditutup kepada semua orang lalu syarahan pun dibatalkan.




Disebabkan itu format Webinar terutama melalui satu aplikasi bernama Zoom menjadi pilihan ramai. Saya yang lebih suka bertemu orang secara berhadapan pula menjadi agak tertinggal - Kali pertama menggunakan Zoom adalah pada hari raya pertama bulan Syawal empat bulan setengah lalu. Itupun disebabkan seorang adik yang menetap Melaka mengajak kerana kami tidak dapat balik kampung ke Muar bertemu ibu bapa lalu perhubungan atas talian menjadi satu-satunya pilihan.




Selepas itu saya tidak pernah menggunakan Zoom lagi walaupun mendapati ia cukup menarik dan berguna kerana dapat menghubungkan ramai pengguna sekali gus sambil memberikan pilihan untuk berhubung secara one on one dengan mana-mana pengguna dalam satu sesi sama. Saya tetap lebih suka bercakap berhadapan muka apa lagi kalau mengikuti majlis-majlis ilmu. Cuma setelah mendapat poster atas baru terbit komitmen untuk mengikuti Webinar walaupun belum selesa. Itupun nyaris-nyaris tak jadi disebabkan kepenatan menguruskan satu majlis yang berlangsung malam Jumaat lalu, majlis yang ceritanya insyaallah akan dikongsikan esok...




Apapun sampai masanya Jumaat malam Sabtu 9 Oktober saya pun mengikut Webinar melalui Zoom. Tajuk syarahan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan menjadi "Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua Bintang Dalam Galaksi Intelektual Islam". Ini merujuk kepada ulamak besar silam Imam Ghazali yang sangat terkenal dalam dunia Islam hingga sekarang kerana menulis kitab Ihya Ulumiddin (menghidupkan kembali agama) diikuti Ibnu Rushdi yang lebih dikenali sebagai ahli falsafah dan saintis dalam pelbagai bidang lalu dunia Barat memanggilnya sebagai Averroes. Menurut Osman beliau terpanggil untuk bersyarah tentang kedua tokoh yang hidup hampir 1,000 tahun lalu kerana ramai menyangkakan kedua-dua saling bertembung lalu bergaduh dalam medan ilmu. Padahal mereka tidak pernah bertemu kerana ada perbezaan jangka waktu hidup yang cukup ketara. Al-Ghazali (kadangkala dieja Al-Ghazzali) meninggal dunia di Tous, Iran pada tahun 1111 Masihi sedangkan Ibnu Rushdi (kadangkala dieja Ibnu Rushd) lahir pada tahun 1126 di Cordoba di Andalusia (sekarang dalam Sepanyol). 

Atas sebab itu jelas mereka tidak pernah bertemu. Kalau hidup sezaman pun tempat mereka hidup lalu mencipta nama jaraknya beribu batu antara satu sama lain. Tetapi iya, alam fikir mereka pernah berlaga. Al-Ghazali pernah menulis kitab bertajuk Tahafut al Falasifah (kecelaruan para ahli falsafah) untuk menegur para ahli falsafah Islam yang mana boleh kata rata-rata mereka adalah daripada aliran Mashshai iaitu pengikut ajaran pemikir purba Yunani iaitu Aristotle (hidup pada abad ke-4 Sebelum Masihi). Sedangkan Ibn Rusd adalah salah seorang penganut fahaman tersebut. Oleh itu dikatakan sebab itu beliau menulis kitab Tahafut at-Tahafut (kecelaruan atas kecelaruan atau kecelaruan mereka yang celaru). Menurut pendapat popular Ibnu Rushd menulis untuk menyanggah kembali Al-Ghazali.




Kelihatannya penyanggahan tersebut memang berlaku. Tetapi tidaklah sampai bergaduh berhadapan kerana mereka tidak pernah bertemu. Kalau bertemu kata Osman tentu Al-Ghazali akan menjawab kembali dengan kitab bertajuk Tahafut at Tahafut at Tahafut (celaru kuasa tiga? :]). Apapun pengkaji Barat sering menganggap Al-Ghazali telah membantutkan perkembangan sains disebabkan kritikan beliau terhadap ilmu falsafah yang turut mengandungi kritikan terhadap ilmu sains kerana seperti falsafah ia dilihat sebagai meletakkan akal sebagai alat paling tinggi dalam mencari kebenaran. Sedangkan Al-Ghazali meletakkan sumber suprarasional seperti ilham para ahli Sufi sebagai lebih tinggi dan lebih menepati kebenaran. 

Kata Osman tidak. Al-Ghazali tidak menyanggah semua bentuk dan aspek falsafah mahupun sains tetapi sekadar menolak hal-hal tertentu sahaja yang dilihat boleh bertentangan dengan Islam,. Bahkan kritikan beliau telah menyebabkan ilmu falsafah Islam menjadi lebih halus lalu selepas itu lebih dikenali sebagai ilmu hikmah. Ah. Nama itu... hikmah sangat kena mengena dengan aktiviti NG0 saya. 
Sesungguhnya perkembangan terbaru yang menjadi asbab artikel ini dipersembahkan petang ini bukan hari Selasa adalah melibatkannya. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Dengan itu tak perlulah dipanjangkan lagi penerangan. Cukuplah disebut bahawa ia adalah Webinar pertama saya seumur hidup dan keseluruhan syarahan serta sesi soal jawab (ada tertera diri saya bersoal jawab sama) yang dibuat dalam bahasa Inggeris boleh dilihat dalam video yang dimuatnaik oleh pihak penganjur. Lihat di bawah...







Sabtu, Oktober 10, 2020

Perbincangan impromptu nasib Melayu dan silaturrahim hujung minggu

Merujuk pada artikel Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September yang ditulis pada hari Selasa 4 hari lalu. Sepatutnya, atas gerak penulisan yang sama saya harus berkongsi cerita berikut pada hari seterusnya iaitu hari Rabu. Tetapi saya disibukkan dengan pelbagai perkara terutama satu majlis yang mahu diadakan di rumah pada malam Jumaat 2 hari lalu. Selepas itu jadi penat gila, sampailah pada hari ini masih penat amat sebenarnya. Namun hari-hari berikutnya pun akan muncul kesibukan-kesibukan lain pula. Maka itu dalam keadaan masih penat amat ini biar dilepaskan cerita yang sepatutnya sudah dikongsikan 3 hari lalu.


Pagi Sabtu 26 September 2020 iaitu 3 hari selepas berlakunya cerita dalam artikel Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September. Rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang didatangi sejumlah kawan dan kenalan untuk satu majlis melibatkan para aktivis yang mahu memperjuangkan kedaulatan Melayu dan Islam di Malaysia.


Majlis diadakan secara ad hoc atas asbab isteri mengundang seorang rakan yang sedang menerajui persatuan Dunia Seni Silat Melayu (DSSM) Malaysia agar datang bertandang untuk berbincang arah tuju persatuan dan dunia silat tanah air. Ini tercetus setelah melihat rakan tersebut membuat status update di Facebook tentang bagaimana badan-badan tertentu dalam kerajaan telah memperuntukkan lebih RM200 juta belanja bagi pelbagai aktiviti... tetapi kelihatannya tiada peruntukan langsung bagi pembangunan silat di tanah air.



Maka diundanglah sejumlah kawan untuk datang berbincang sama. Rata-rata mereka ini biasa terlibat dalam aktiviti-aktivi NGO saya iaitu HIKMAH. Rujuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)...


Sepatutnya lebih ramai boleh diundang untuk bersama. Tetapi disebabkan musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat virus COVID-19 kami harus menghadkan undangan kepada beberapa orang sahaja.


Apapun inilah majlis pertama di rumah kami yang melibatkan ramai tetamu sejak beberapa lama. Kali terakhir adalah ketika diadakan perbincangan buku Julai tahun lalu. Lihat Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu. Sejak membeli lalu berpindah ke rumah ini awal tahun 2014 kami sudah mengadakan banyak majlis melibatkan sehingga lebih 50 orang tetamu pada suatu waktu. Saya dan isteri sudah biasa mengatur segalanya disebabkan pengalaman mengendalikan majlis-majlis ilmu atas nama HIKMAH di merata Semenanjung Malaysia sehingga membawa 3 kali di Aceh. Rujuk artikel Pembentangan ilmu daripada acara-acara HIKMAH.



Biasanya setiap musim raya bulan Syawal kami akan membuat majlis rumah terbuka. Malah ada kalanya sampai 3 kali dalam tempoh sebulan supaya dapat meraikan kawan dan kenalan daripada kumpulan-kumpulan yang berlainan. Itu belum campur majlis-majlis di luar musim perayaan, majlis yang kadangkala muncul disebab cadangan suatu pihak kurang seminggu sebelum ia berlaku. Pendek kata rumah kami boleh dikatakan hampir setiap masa bersedia untuk menerima tetamu dalam jumlah yang agak ramai. Sekadar berkongsi artikel-artikel tentang rumah terbuka kami pada hari raya :-



2019




Tetapi PKP yang mula berlangsung pada 18 Mac iaitu hampir 7 bulan lalu menyebabkan kami tidak dapat mengadakan rumah terbuka raya bagi tahun 2020. Beberapa lama selepas PKP dilonggarkan 10 Jun baru kami ada menerima tetamu tetapi dalam jumlah yang sedikit. Pada 26 September baru menjadi majlis...


OK. Sudah dinyatakan bahawa majlis kecil ini tercetus akibat isteri mengundang rakan yang sedang menerajui persatuan silat DSSM Malaysia bagi membincangkan hala tuju persatuan dan persilatan tanah air. Tengok-tengok beliau tidak datang kerana sudah berlaku silap komunikasi. Saya cuma menyedari ini setelah 2 jam majlis bermula. Rupa-rupanya pada malam sebelum itu kawan tersebut ada menghantar pesanan dalam WhatsApp akan bertemu di rumah pada 26 September jam 10 malam. Padahal majlis bermula hari itu jam 10 pagi. 

Bila hendak berhubung membetulkan kesilapan tak dapat capai pula. Ini kerana beliau sedang berada dalam satu kawasan hutan yang tiada isyarat telekomunikasi. Pun begitu majlis tetap berjalan dengan lancar kerana terdapat cukup ramai aktivis penting dan peneraju dalam kumpulan masing-masing. Undangan menjadi asbab bertemunya sejumlah kawan-kawan aktivis. Lagipun peneraju DSSM Malaysia itu ada datang berdua dengan isterinya untuk berbincang terus dengan saya beberapa hari sebelum itu. Cuma saya mengharap beliau dapat bersama kerana ada aktivis lain boleh memberikan buah fikiran.

Apapun hala tuju umum umat Melayu dan usaha-usaha untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanah air dapat dibincangkan dengan sedikit hal persilatan. Padahal kalau ikut rancangan asal kami suami isteri pagi itu mahu bergerak ke rumah adik isteri di Rinching iaitu selepas Semenyih sana. Dalam perjalanan  bolehlah singgah ke beberapa tempat termasuk ke rumah seorang bapa saudara yang sudah agak lama tidak diziarahi di Bukit Damansara. Tapi kami ketepikan dahulu rancangan atas asbab mahu berbincang hal-hal Melayu dengan kawan-kawan. Lagipun kami pun sudah lama tak bertemu. Bila jadi perjumpaan begini alhamdulillah banyak perkembangan dapat dikongsikan lalu rancangan dibuat.



Perbincangan berlanjutan sehingga jam 3 lebih. Kalau tidak kerana ada yang harus beredar akibat urusan dan lagi kami perlu berhenti untuk menunaikan solat Zohor tentu perbincangan akan menjadi lebih panjang. Selepas jam 6 tetamu terakhir pun beredar.  Selesai membersihkan rumah baru kami suami isteri membawa anak-anak untuk kembali pada rancangan asal iaitu bergerak ke rumah adik isteri di Rinching. Singgah sebentar di studio seorang aktivis lain yang juga merupakan saudara saya beberapa pupu daripada keturunan Laksamana Raja Mahkota Perak. Letaknya di Subang Bestari lebih kurang 40 km perjalanan...


Saudara ini aktif dalam dunia warisan terutama mengarang tanjak. Boleh kata kebanyakan pengarang tanjak yang dikenali di Malaysia hari ini adalah murid kepada beliau atau murid kepada murid beliau (sehingga beberapa lapis). Beliau juga aktif mengajar memanah, bersilat dan bermain pedang. Selain itu beliau membuat dan menjual alatan-alatan berkenaan dan terlibat pula dengan perkara-perkara dalam dunia seni.

Saya ada mengundang ke rumah untuk perbincangan pagi Sabtu tapi diberitahu beliau tidak dapat datang kerana sedang dalam proses pemulihan akibat patah kaki juga serangan ghaib. Setelah mendapat tahu itu saya memberitahu isteri harus menziarahi beliau sebaik sahaja selesai segala urusan di rumah. Lega kami melihat saudara dalam keadaan terkawal malah masih boleh membuat ulang kaji mengajar ilmu tanjak.


Ketika kami sampai ke studio itu pun sudah dekat jam 8 malam. Selepas beberapa lama berbual dengan saudara dan anak-anak murid beliau baru bergerak ke Rinching 60 km dari Subang Bestari. Ketika itu seorang kakak isteri dan suaminya sudah sampai dari rumah mereka di Jenjarom dekat Banting sana. Mereka mahu bersama makan-makan setelah dapat tahu isteri akan datang lalu sanggup menunggu sehingga kami sampai selepas jam 9. Dapatlah berbual-bual panjang sebelum mereka bergerak kembali ke rumah sendiri sekitar 60 km perjalanan.


Sebab kami ke Rinching sebenarnya adalah supaya dapat menghadiri satu majlis di Senawang keesokannya petang Ahad 27 Sept. Dari Rinching tinggal 40 km lebih sahaja lagi selatan ke sana lalu tidak perlu terkejar-kejar. Selepas jam 12 tengah hari boleh bergerak ke Senawang. Kalau dari rumah kami jaraknya lebih 110 km... tentu perlu bergerak sejam dua lebih awal...



Ia adalah majlis pembukaan restoran milik seorang adik sepupu saya.






Dapatlah bertemu dengan sejumlah saudara mara yang sudah lebih setahun tidak bersua muka...






Dari Senawang bergerak pula ke Bandar Baru Nilai di utara...


Berjumpa pula dengan seorang kawan lama sekelas semasa di sekolah rendah tahun 1977 hingga 1982. Kali terakhir kami bertemu rasanya di Kuala Lumpur sekitar tahun 1997 atau 1998. Yang pasti sudah 20 tahun tidak bertemu. Pertemuan diatur mengambil kesempatan atas lawatan ke Senawang. Sesungguhnya itulah asbab utama kami keluar berjalan hujung minggu itu.


Begitulah kebiasaan kami sekeluarga apabila keluar berjalan jauh untuk satu urusan. Kami akan cuba mengambil kesempatan melalkukan sebanyak perkara yang mungkin dalam perjalanan ke tempat urusan dan baliknya. Oleh kerana kami juga diundang untuk menghadiri satu majlis perkahwinan anak seorang kawan di Cheras hari Ahad, dari Nilai kami pun ke sana. Sampai ke luar dewan pun sudah jam 3.47 sedangkan majlis dijadualkan berakhir jam 4 petang.



Yang penting sempat juga bersama walau tinggal sedikit orang. Dapatlah bertemu sejumlah kawan dalam dunia persilatan...


Dalam perjalanan dari Cheras hendak balik ke Sungai Buaya pula kami singgah ke rumah bapa saudara di Bukit Damansara. Ini juga adalah sebahagian daripada rancangan asal kami suami isteri untuk hujung minggu itu. Cuma asalnya kami mahu singgah hari Sabtu iaitu dalam perjalanan ke Rinching. Sekarang sudah jadi persinggahan petang Ahad dalam perjalanan kembali dari Senawang. 

Bapa saudara ini serta isterinya yang merupakan adinda kepada bonda saya pun rasanya sudah lebih setahun tidak ditemui. Semasa musim raya bulan Syawal beberapa bulan dahulu ada rancangan untuk datang ke rumah mereka tetapi terhalang akibat PKP diikuti kesibukan. Alhamdulillah petang itu bukan sahaja dapat bertemu malah hadir juga seorang lagi ibu saudara juga adik-adik sepupu saya dan keluarga masing-masing. Untuk pengetahuan saya adalah anak sulung kepada bapa yang merupakan anak sulung dan ibu anak sulung. Saya juga adalah cucu sulung dalam keluarga besar bapa dan keluarga besar ibu.




Sungguh, hujung minggu itu banyak dihabiskan dengan aktiviti-aktiviti silaturrahim baik bersama kawan-kawan mahu pun saudara mara. Pagi Isnin keesokannya baru dapat menyemak perkembangan terbaru sosio-politik tanah air lalu mendapat tahu ada satu isu sedang hangat diperkatakan sehingga menimbulkan reaksi hebat ramai pihak. Hal ini menyebabkan saya terpanggil untuk memberikan maklum balas di Facebook. Berikut bunyinya, saya copy paste terus...


28 September 7.36 am

JALAN RAJA LAUT DITUKAR NAMA MENJADI JALAN PALESTIN - KENAPA ADA YANG TERLEBIH SUDU DARIPADA KUAH?

Salam. Lewat malam semalam setelah 2 hari penuh dengan pelbagai program dari Sungai Buaya di Rawang membawa ke Senawang di Seremban baru saya berpeluang untuk melihat perkembangan di Medsos lalu mendapati antara isu yang sedang hangat diperkatakan (selain keputusan pilihan raya Sabah) adalah pertukaran nama Jalan Raja Laut di Kuala Lumpur menjadi Jalan Palestin. Kelihatan ramai marah2 mempersoalkan. Kenapa ditukar nama satu jalan berdasarkan seorang tokoh Melayu yang merupakan ahli kerabat diraja Selangor yang memiliki kedudukan penting dalam sejarah tempatan? Kalau iya pun hendak sokong Palestin kenapa tak ambil jalan lain yang pakai nama Inggeris, misalnya Jalan Conlay?

Saya pun menyemak berita2 berkenaan lalu mendapati portal berita Malaysiakini pun antara yang membesar2kan perkara ini. Timbul persoalan. Kenapa pula Malaysiakini yang merupakan port orang liberal nak sibuk pasal bela Melayu? Ah. Ini kelihatan seperti sentimen hendak melaga2kan Melayu dan Islam.

Pertama. Let's get our facts right. Yang ditukar nama cuma Jalan Raja Laut 1 yang merupakan antara begitu banyak jalan kecil yang bercabang daripada Jalan Raja Laut. Bukannya laluan utama Jalan Raja Laut yang berpanjangan dari Dataran Merdeka membawa ke hujung utara Chow Kit. Tapi cerita diperbesar2kan seolah2 Jalan Raja Laut yang begitu ikonik dengan KL pula ditukar nama. Kelihatan ramai tidak menyemak keadaan kerana terpalit dengan permainan emosi sesetengah pihak.

Kedua. Tahukah anda nama Palestin sudah dihilangkan daripada peta2 rasmi moden termasuk Google Map? Jadi pada saya ada baiknya dimunculkan nama Jalan Palestin itu yang saya lihat berdekatan dengan kawasan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang sering dilalui rakyat marhaen... bukan di Jalan Conlay misalnya yang lebih sering dilalui golongan lebih eksklusif.

Kesimpulannya? Bagi saya ia langkah yang baik. Bagus juga ada kontroversi kerana memberikan publisiti lalu mendapat perhatian umum. Tetapi biarlah berpada dan tahu keadaan sebenar.

Sekali lagi biar diberitahu. Antara yang kelihatan galak bermain dengan isu ini adalah portal Malaysiakini yang diketahui adalah sebuah website berita puak liberal yang selalu meremehkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Kenapa tiba2 seperti hendak membela nama yang membayangkan keutamaan orang Melayu seperti Raja Laut? Ia ibarat para pekebun Musang King di Pahang tiba2 boleh berdemonstrasi memakai sepanduk dengan Bahasa Melayu yang betul sambil memegang gambar Yang di-Pertuan Agong. Sedangkan kita tahu betapa bencinya puak2 mereka kepada bahasa dan raja2 Melayu.

Mesti ada udang di sebalik mee. Oleh itu janganlah kita terpalit dengan permainan emosi mereka. Orang Melayu jangan mudah melatah. Selagi begitu selagi itulah kita menjadi bahan ketawa buat mereka.




--------------------



Akhir sekali harus dinyatakan ini. Pada pembukaan artikel Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September yang ditulis pada hari Selasa 4 hari lalu ada ditulis begini :-


Adapun saya memiliki sejumlah gambar menunjukkan aktiviti pada penghujung bulan September yang malas hendak dijadikan cerita. Tapi tengah malam tadi timbul rasa yang kuat agar dilepaskan cerita-cerita berkenaan agar gerak fikiran menjadi lebih teratur lalu lebih jelas apakah yang patut dilakukan seterusnya.



Artikel yang sedang anda tatap ini adalah susulan daripada hal yang sama. Maka biar diberitahu kenapa perlu dilepaskan atau diluahkan itu :-


1. Merujuk pada perbincangan dengan kawan-kawan aktivis kedaulatan Melayu seperti disebut pada awal artikel ini. Antara yang dipersetujui adalah akan diadakan forum perbincangan atas nama HIKMAH secara berkala melibatkan isu-isu penting demi kedaulatan agama, bangsa dan tanah air. Alhamdulillah saya sudah dapat ilham bagi tajuk pertama. Insyaallah forum akan diadakan 31 Oktober ini.

2. Hasil persinggahan ke majlis perkahwinan anak seorang kawan di Cheras, sejumlah pesilat wanita telah diundang bertandang ke rumah lalu jadilah majlis tahlil pada malam Jumaat baru ini. Itu yang disebut pada pembukaan artikel ini bahawa saya telah disibukkan dengan pelbagai perkara terutama satu majlis yang mahu diadakan di rumah pada malam Jumaat 2 hari lalu. Selepas itu jadi penat gila, sampailah pada hari ini masih penat amat sebenarnya. Seiring dengan majlis turut dibuka satu gelanggang silat tertutup di hadapan rumah saya. Insyaallah ceritanya akan dikongsikan tidak lama lagi.


Selasa, Oktober 06, 2020

Urusan di TV Alhijrah dan renungan terhadap politik semasa tanah air sekitar 23 September

Salam awal pagi buta Selasa 18 Safar 1442 Hijriah. Adapun saya memiliki sejumlah gambar menunjukkan aktiviti pada penghujung bulan September yang malas hendak dijadikan cerita. Tapi tengah malam tadi timbul rasa yang kuat agar dilepaskan cerita-cerita berkenaan agar gerak fikiran menjadi lebih teratur lalu lebih jelas apakah yang patut dilakukan seterusnya.


Rabu 23 September. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2 petang saya hendak bergerak ke Kuala Lumpur untuk satu urusan. Terlihat nombor meter kereta terasa hendak berhenti  mengambil gambar...


Saya ni memang ada gila-gila nombor. Entah apakah tanda mahu ditunjukkan oleh nombor-nombor yang kelihatan? Yang pasti, bagi saya nombor 55 dan 44 ada makna-makna tertentu melibatkan pasangan hidup. Nombor 393 pula adalah bersamaan 3 x 131 atau 131 x 3. Nombor 131 bagi saya membawa makna home sweet home atau rumahku syurga. 313 pula adalah jumlah orang Islam yang terlibat dalam Perang Badar...


Oh. Tiba-tiba teringat. Kurang seminggu lalu iaitu pada hari Rabu malam Khamis 30 Sept saya telah mempersembahkan artikel ke-393 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Lihat Gerakan bertanjak semenjak mengenalinya tahun 2012. Cerita dalam artikel yang sedang anda tatap ini pula berlaku tepat seminggu lebih awal. Kalau cerita dipersembahkan dalam tempoh waktu itu tentu tidak boleh dikaitkan nombor 393 pada meter kereta dengan artikel tentang gerakan bertanjak.


Apapun dari kawasan perumahan di Sungai Buaya saya masuk ke Lebuh Raya PLUS. Ternampak dua buah trak polis yang biasa digunakan untuk mengawal rusuhan menuju ke arah KL juga. Apakah ada sesuatu sedang berlaku di ibu negara?


Teringat pula tengah hari itu ada kawan menghantar keratan berita dalam WhatsApp Group menyatakan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim telah membuat pengumuman mendakwa beliau kini memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan. Dan menurut beliau kerajaan yang sedang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN = Perikatan Nasional) sudah jatuh.



Walaupun tertanya-tanya apakah sebenarnya sedang berlaku saya ketepikan dahulu daripada fikiran. Tumpukan pada tujuan utama ke KL iaitu mahu ke stesyen TV Alhijrah untuk satu urusan. Malam sebelumnya ada pihak menghubungi mengajak untuk bersama dalam satu projek penerbitan. Saya pun diajak bertemu di stesyen untuk berbincang.



Menariknya sebaik sahaja meletakkan kereta dalam kawasan Masjid Negara iaitu di hadapan bangunan Pusat Islam di mana pejabat TV Alhijrah terletak orang tersebut pun sampai ke tempat sama bersama pembantunya. Walhal kami tidak berjanji pun hendak bertemu di situ. Fikir saya dah masuk Pusat Islam  nanti baru telefon bertanya di manakah mereka...


Begitulah Allah SWT mengatur pertemuan. Baru kenal beberapa jam sudah boleh berkongsi misi yang sama tentang hal tertentu. Ini adalah di kawasan menunggu TV Alhijrah. Keadaan seperti di bawah pokok mengingatkan pada bahagian serupa di sebuah perpustakaan di Shah Alam. Lihat gambar terakhir pada artikel Forum Menafasi Pusaka Kekuatan Umat Melayu Akhir Zaman di Perpustakaan Shah Alam.



Studio penggambaran TV Alhijrah.



Ada beberapa ruang diperuntukkan bagi penggambaran, ada yang dibuat secara rakaman, ada secara siaran langsung.



Beginilah saya berpakaian petang itu. Memang saya suka berbusana tradisional Melayu penuh apabila ada kesempatan...


Gambar ini pula diambil setelah selesai urusan. Kelihatan bangunan PNB 118 yang sedang masih dalam pembinaan daripada satu bahagian serambi atas Masjid Negara.


Saya singgah untuk menunaikan solat Asar. Setelah itu baru mengikuti perkembangan semasa di Internet.



Di ruang luar inilah saya melihat rakaman video sidang media menunjukkan Anwar Ibrahim dengan penuh yakin mengumumkan dakwaan beliau sudah memiliki cukup majoriti sokongan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Tanpa ragu-ragu beliau menyatakan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin Yassin sudah jatuh. Cuma perkara ini belum dapat dipersembahkan lagi kepada Yang di-Pertuan Agong kerana baginda masuk wad akibat masalah kesihatan. 

Adus. Pening, fikir saya. Orang tengah sibuk pasal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk menghalang sebaran virus COVID-19 dia pula sibuk nak tukar kerajaan...


Pening, pening. Ya Allah. Apa nak jadi pada negara Malaysia ini ya Allah? Dalam perjalanan hendak keluar daripada halaman di hadapan dewan utama solat terlihat laluan ke Makam Pahlawan. Ah. Sudah beberapa kali ke Masjid Negara tetapi seingat saya tidak pernah masuk ke kawasan pemakaman yang menempatkan jasad beberapa orang tokoh besar negara. Saya pun mengorak langkah untuk masuk ke sana...



Tetapi dihalang pula oleh petugas masjid. Kata beliau makam ditutup akibat PKP. Cuma boleh melihat dari jauh bahagian luar.



Saya meninggalkan Masjid Negara hampir jam 6.30. Terus menuju ke rumah seorang kawan lama di Sri Hartamas...



Selepas berehat kemudian menunaikan solat Maghrib di rumah kawan kami ke restoran mamak berdekatan lalu bertemu dua orang lagi kawan lama. Sekadar berkongsi... kami dahulu pernah duduk sebilik semasa zaman kolej mengaji peringkat A Level tahun 1988-1990 iaitu sebelum menyambung ke peringkat ijazah di United Kingdom. Semenjak PKP mula dilaksanakan 18 Mac inilah kali pertama saya keluar makan minum bersama mereka. Pertemuan untuk minum teh tarik ini ada kena-mengena dengan satu Live Facebook yang dibuat beberapa hari sebelum itu. Dipaparkan satu lagak spontan ala Rap dengan tema "Lepak Mamak" lalu ada memberikan maklum balas "Lama sangat tak ngeteh". Lihat sini.



Maklum balas tersebut menyebabkan tergerak untuk mengajak kawan-kawan untuk keluar 'mengeteh'. Cuma ketika itu tak tahu bila kerana rumah mereka terletak lebih 40 km dari rumah saya. Dan susah untuk menetapkan satu masa dah tarikh kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya. Bila dah pasti hendak ke KL seperti berlaku pada hari itu baru boleh diajak bertemu. Nasib baik mereka tiada urusan di luar kawasan pada waktu itu.

Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,955 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Kalau dipersembahkan lebih awal tentu artikel lain mendapat tempat tersebut. Sesungguhnya artikel lain itu juga amat bermakna malah tajuknya iaitu Gerakan bertanjak semenjak mengenalinya tahun 2012 dan segala isinya adalah sama seperti artikel ke-393 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Tetapi tentu ada sebabnya artikel ini yang ceritanya asalnya malas hendak dikongsikan boleh terkeluar pagi buta ini lalu menjadi artikel ke-1,955.