Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, April 09, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi

Salam 3 Sya'aban. Adapun beberapa hari ini saya disibukkan dengan kerja-kerja reka letak susun sambil menyunting manuskrip buku ke-13 saya yang penulisannya dimulakan selepas pertengahan tahun lepas. Kalau siap ini baru boleh dibuat PDF untuk masuk ke kilang cetak. Sambil itu saya harus mendapatkan juga reka bentuk kulit buku. Baru tadi seorang sahabat yang pernah membuat reka bentuk kulit buku saya yang ke-11 dan ke-12 lebih setahun lalu (lihat Menerbitkan buku Adam Melayu dan Benua Tua) diminta melakukannya lagi.

Siap reka bentuk baru boleh membuka pre-order atau tempahan awal bagi mendapatkan modal mencetak buku. Sasaran saya Jun ini buku keluar di pasaran insyaallah. Di celah-celah kesibukan ini saya tetap cuba untuk menghadiri majlis-majlis ilmu kemudian menulis tentangnya. Yang ini adalah daripada majlis pagi Isnin semalam. Penceritaannya bersambung daripada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang.


Isnin 8 April 2019. Saya menghadapi masalah untuk tidur kerana kepala hyper-active memikirkan cara terbaik menangani kerja-kerja penulisan hampir siap untuk dicetak ini. Selepas jam 4 pagi, selepas siap satu fasa reka letak susun isi buku dan suntingan baru saya cuba melelapkan mata. Dapatlah dalam setengah jam rehat sebelum bangun bersahur untuk puasa sunat yang sudah masuk fasa bulan Sya'aban setelah buat pertama kali dalam hidup saya berjaya melaksanakan puasa penuh bulan Rejab.

Selepas bersahur saya membuka komputer lagi untuk fasa seterusnya penulisan buku sementara menunggu Subuh masuk. Akibat begitu taksub membuat kerja dekat jam 9 baru berehat lalu melelapkan mata dalam 20 minit sebelum bersiap untuk majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) jam 10 pagi. Ia adalah sesi ke-4 syarahan Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar tentang bukunya "Classification of Knowledge in Islam". Sekadar mengingatkan isi buku diambil terus daripada tesis beliau yang dipersembahkan kepada Temple University di Amerika Syarikat tahun 1988.


Antara mereka yang hadir awal...


Syarahan masuk kepada sub-topik 4 bab mukadimah buku. Gambar ini nampaknya sedikit kabur. Tak mengapa. Saya boleh buat snap shot PDF isi buku.

Dalam artikel terdahulu, artikel ketiga siri iaitu  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang saya telah berusaha untuk menterjemahkan setiap baris ayat yang disyarahkan perkataan demi perkataan lalu ditambah ulasan, penerangan, perincian termasuk akibat soal jawab. Ini sebenarnya memenatkan kerana saya perlu cuba sedaya upaya memberikan terjemahan tepat bagi setiap perkataan. Maka itu lebih elok kembali kepada cara terdahulu - Terjemahan ada dibuat walau tidak bagi setiap ayat. Ia dilakukan menurut lenggok bahasa dan faham saya sendiri kerana lebih mudah dan semulajadi sambil ditambah apa yang patut.


 

Sub-topik 4 adalah tentang kajian berkenaan yang wujud pada zamannya iaitu zaman sekarang atau zaman moden. Secara spesifik ia merujuk kepada tempoh waktu Osman menulis tesis PhD tahun 1983-1988. Menurut beliau sekadar diketahuinya belum ada usaha untuk membuat kajian falsafah tentang sains-sains pada skala yang cuba beliau lakukan. Dengan itu tidak dapat ditemui rujukan yang boleh dijadikan perbandingan lalu disebut dalam sub-topik.

Kata Osman sub-topik ini merupakan literature review atau sorotan literatur yang merupakan satu komponen penting dalam setiap tesis  kesarjanaan baik pada peringkat Mastes mahupun peringkat PhD. Selalunya akan dirujuk dan disenaraikan setiap kajian yang telah dibuat oleh sarjana lain juga kita sendiri (jika ada) dalam bidang lalu sorotan biasanya memakan beberapa muka surat. Tetapi dalam kes ini cukup tiga perenggan, tak sampai pun satu muka surat pun untuk menerangkan. Ini kerana memang tidak ada kajian lain boleh dijadikan bandingan dan rujukan.

Sudah disebut dalam artikel kedua siri iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian buku Classification mengkaji dan menghuraikan peranan tiga orang tokoh besar silam Islam :-


1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)

2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)

3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311)


Ayat kedua perenggan satu memberikan contoh bagaimana Osman harus menjadi perintis kajian. Disebutlah tentang klasifikasi ilmu yang dibuat al-Shirazi. Ia adalah dalam bahasa Parsi dan belum pernah diterjemahkan ke dalam apa-apa bahasa utama Eropah. Oleh itu ia hampir tidak disentuh langsung oleh sarjana. Tetapi untuk melengkapkan tesis beliau harus mengulas tentangnya.

Diceritakanlah perbualan Osman dengan penyelia tesisnya, tokoh pemikir falsafah Islam terkenal sedunia, Seyyed Hossein Nasr. Dia bertanya kepada Nasr di manakah boleh didapati kitab yang mengandungi klasifikasi ilmu al-Shirazi. Jawab Nasr itu kerja kamu mencari.

Mula-mula dicari di Temple University tempat beliau belajar. Walaupun ia universiti yang memiliki koleksi bacaan hebat kitab tidak dapat ditemui. Pergi ke Chicago University pun begitu. Akhirnya didapati bahawa satu-satu naskah boleh ditemui di Amerika Syarikat adalah di Princeton. Beliau pun ke sana lalu membuat satu salinan. Tentu ada kosnya...

Seterusnya adalah hal bahasa. Osman harus belajar bahasa Parsi untuk menelaah kitab. Ditanya bagaimanakah tahap penguasaan bahasa Parsi yang diperlukan beliau menjawab yang dipelajarinya adalah Parsi untuk kajian manuskrip, bukan pertuturan lancar. Pun begitu bukanlah bermakna ia lebih senang malah ada bahagian lebih susah kerana yang dipelajari adalah cara membaca dan memahami bahasa Parsi lama. Ia ibarat belajar membaca Jawi cara lama. Ini berbeza dengan Jawi sekarang di mana setiap huruf atau bunyi vokal (a, i, u) diwakilkan dengan satu huruf berkenaan. Maka orang yang lancar membawa Jawi sekarang pun belum tentu dapat memahami Jawi lama.

Bahasa Parsi lama dalam kitab ditulis dengan huruf Jawi. Menariknya kata Osman didapati 50% isi kitab al-Shirazi adalah dalam bahasa Arab iaitu perkataan-perkataan yang telah diserapkan ke dalam bahasa Parsi. Ini memudahkan pemahaman beliau yang sudah tahu sedikit sebanyak bahasa Arab. Usaha Osman menyebabkan seorang sarjana Barat (lupa nama) menulis bahawa beliau adalah orang pertama mengangkat klasifikasi al-Shirazi ke dalam satu bahasa Eropah (tesis dan buku ditulis dalam bahasa Inggeris). 

Tentang klasifikasi al-Ghazzali pula belum ada kajian sistematik dilakukan khas buatnya. Cuma ada sedikit perbincangan telah dilakukan secara ringkas untuk dijadikan latar belakang bagi mengkaji aspek lain pemikiran al-Ghazzali. Yang banyak menarik perhatian sarjana adalah klasifikasi al-Farabi. Pun begitu kajian setakat itu (sebelum Osman) hanya menyentuh secara ringkas sama ada aspek sejarah klasifikasi atau masalah hubungan antara sains-sains yang dibincangkan al-Farabi. Asas dan dasar falsafah klasifikasi belum pernah dikupas lagi.

Daripada kaca mata umum Nasr dan seorang sarjana bernama Rosenthal telah membuat rumusan umum tentang makna dan pentingnya klasifikasi Islam serta kesannya terhadap kelestarian sains-sains (banyak jenis sains) dalam sejarah Islam. Pemerhatian umum mereka tentang perkara membawa Osman untuk melakukan kajian. Tetapi mereka tidak memberi kajian perbandingan falsafah bagi klasifikasi-klasifikasi tertentu.

Rosenthal atau nama penuhnya Frantz Rosenthal adalah seorang berbangsa Yahudi yang suka mengkaji tentang Islam. Osman memberitahu terdapat ramai sarjana Yahudi mengkaji tentang Islam lalu ada yang memeluk agama kita itu. Diceritakanlah tentang sejarah keilmuan yang berkaitan. Menurut beliau dunia kegemilangan ilmu Yahudi naik seiring dengan kegemilangan Islam. Ini disebabkan kefahaman Yahudi tentang Tuhan sangat rapat dengan kefahaman Islam, berbeza dengan Nasrani (Kristian) yang percaya kepada konsep trinity iaitu Tuhan ada 3 dalam 1.

Sarjana-sarjana Yahudi juga banyak mengkaji khazanah ilmu lama lalu zaman pra-Islam lalu ini diambil dan dikaji oleh sarjana Islam bermula abad ke-8 Masihi seiring dengan naiknya kota Baghdad. Malah tokoh ilmuwan silam Yahudi paling terkenal iaitu Maimonides yang hidup abad ke-12 Masihi mekar bersama tokoh-tokoh Islam di Andalusia. Kata Osman sama sahaja penampilan Maimonides dengan tokoh-tokoh Islam zaman itu berjubah berserban sehingga tiada perbezaan kecuali pegangan. Tambah beliau cuba pergi ke Muzium Roger Garaudy (seorang tokoh komunis Peranchis yang memeluk Islam) di Cordoba, Sepanyol. Boleh didapati patung Maimonides diletakkan sekali dengan patung Ibnu Rushd juga Ibn Arabi sama sahaja rupa seperti mana-mana tokoh ilmuwan Islam.



Dengan itu tamatlah syarahan tentang sub-topik 4. Disebut tentang senarai rujukan. Pada nombor 2 diletakkan buku Seyyed Hossein Nasr bertajuk "An Introduction to Islamic Cosmological Doctrines" - (Satu Pengenalan kepada Doktrin Kosmologi Islam). Kata Osman ia adalah berdasarkan tesis Nasr tahun 1959.




Selepas itu baru masuk topik-topik utama. Bahagian pertama adalah tentang klasifikasi al-Farabi....




Masuklah bab pertama buku iaitu tentang kehidupan, hasil kerja dan pentingnya al-Farabi. Diberikan pengenalan bahawa bab pembukaan (bagi bahagian berkenaan) ini bertujuan untuk mempersembahkan dan menonjolkan aspek-aspek kehidupan dan hasil kerja al-Farabi bagi memberikan latar belakang yang perlu untuk memahami tujuan membuat klasifikasi. Dengan itu perjalanan hidup al-Farabi akan dikongsikan termasuk beberapa hal yan kurang dikenali atau didapati bermasalah selama ini. Kita akan dapati cara al-Farabi membahaskan pelbagai jenis ilmu dan sains adalah berdasarkan latar belakang pelajaran dan pengalaman intelektual beliau.

Pun begitu sedikit sahaja diketahui dengan pasti tentang latar belakang keluarga, kehidupan awal juga latihan dan pendidikan al-Farabi berbanding misalnya Ibn Sina (hidup 980-1038 Masihi). Kata Osman walaupun al-Farabi diketahu memiliki ramai anak murid beliau tidak pernah menyuruh mana-mana mereka merekodkan kisah kehidupan beliau seperti Ibnu  Sina menyuruh seorang anak murid kesayangannya iaitu al-Juzjani. Dan tidak seperti Ibn Khaldun (hidup 1332-1406) beliau tidak berusaha untuk menulis autobiografi (kisah perjalanan yang ditulis seorang tokoh itu sendiri). Namun ada tulisannya berajuk Kitab fi zuhur al-falsafah (buku tentang penampilan falsafah) yang kelihatan seperti separuh autobiografi didapati lebih kurang sama seperti kitab al-Munqidh min al-dalal (keselamatan daripada kesesatan) tulisan al-Ghazali. 

Kitab itu sudah hilang entah ke mana. Tetapi ada cebisan-cebisan yang terselamat lalu dapat ditemukan. Cebisan-cebisan inilah yang memberikan maklumat penting tentang fasa-fasa pendidikan dan usaha intelektual beliau. Dengan itu dapat diketahui siapakah guru-guru beliau dalam ilmu logik (mantik dan falsafah). Mereka membentuk sanad atau salasilah ilmu yang bersambung daripada guru ke guru bermula daripada Aristotle di Athens (Yunani purba abad ke-4 Sebelum Masihi) membawa ke Baghdad zaman al-Farabi (abad ke-9 Masihi).



Ayat terakhir tadi menyambung penceritaan masuk ke muka surat 10 buku. Selepas itu syarahan pun tamat. Semasa syarahan timbul banyak perbincangan dan soal jawab tentang apakah sebenarnya ekonomi Islam, kaitannya dengan falsafah dan pelbagai cabang ilmu berkaitan. Timbul juga hal pendidikan cara silam yang sepatutnya diaplikasikan kembali zaman sekarang untuk memajukan ummah dan kesarjanaan. 

Tapi tak perlulah dipanjangkan, takut banyak kerja lain terbengkalai. Seperti malam sebelumnya malam tadi pun saya susah hendak tidur kerana menyambung kerja-kerja buku, Selepas jam 4 pagi saya tidur 20 minit sahaja sebagai syarat supaya boleh bangun bertahajud selain bersahur. Kerja disambung sehingga selepas jam 9 kemudian baru berehat dalam 2-3 jam. Selepas itu saya mengambil masa untuk membuat penulisan ini. Sambil itu ada urusan mengambil anak-anak dari sekolah pagi kemudian menghantar ke sekolah agama petang. 

Besok hampir sehari penuh saya terlibat dengan satu majlis tentang sejarah lama negeri Selangor di Ampang. Sambil itu kerja-kerja buku masih berjalan, belum campur lagi hal penulisan tesis di ISTAC. Perenggan seterusnya menyentuh sedikit tentang hasil kerja al-Farabi yang telah dibincangkan pada zaman moden. Selepas itu baru masuk sub-topik 2 bab memperincikan latar belakang pendidikan al-Farabi dan kehidupan beliau sebagai sarjana. Insyaallah ini akan dikupas pada syarahan akan datang.


Ahad, April 07, 2019

Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong

Salam 1 Sya'aban. Sukacita dimaklumkan dengan masuknya bulan Islam yang disebut sebagai bulan Rasulullah SAW sampailah saya kepada fasa kedua usaha untuk melakukan puasa 3 bulan berturut-turut Rejab, Sya'aban dan Ramadhan. Ini ada perkongsian daripada semalam...


Petang Sabtu 6 April 2019, hampir penghujung bulan Rejab saya dan keluarga pergi ke Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, Shah Alam.


Ada majlis hol atau haul iaitu majlis memperingati almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.


Baginda yang hidup 1,000 tahun lalu dikenali sebagai Sultanul Awliya, raja para wali.


Sheikh Abdul Qadir al-Jilani adalah daripada keturunan Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW melalui bapa dan Saidina Hussein melalui ibu.


Sedikit tentang baginda dan majlis-majlis terdahulu boleh dibaca daripada artikel-artikel lama berikut :-






Di sini cukuplah dikongsikan beberapa gambar yang diambil sekitar majlis berserta penerangan ringkas.


Ketika kami sampai tokoh habaib (keturunan Nabi Muhammad SAW) terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid sedang bercakap tentang cinta Rasul. Kemudian kedengaran alunan Qasidah Burdah tetapi ketika itu kami masih berada di ruang legar. Apabila masuk ke dewan utama solat naik Sheikh Dr Muhammad bin Yahya al-Ninowy memberikan syarahan. Ulamak Syria yang berpengkalan di Amerika Syarikat ini bercakap panjang lebar tentang pentingnya memulakan langkah untuk mengenali Allah SWT, bukan sekadar mengenal melalui cakap-cakap, berfalsafah atau apa-apa bentuk cara pengenalan berdasarkan akal...








Gambar ini diambil selepas selesai solat Maghrib. Pada waktu ini sudah masuk tarikh 1 Sya'aban menurut kiraan Islam.


Kelihatan Habib Hassan al-Attas dari Singapura memimpin bacaan Maulid Ad-Dibaei...


Sudah menjadi kebiasaan saya dalam mana-mana majlis sebegini bacaan maulud yang kadangkala dimasukkan sekali alunan qasidah adalah bahagian paling menyeronokkan lagi mengujakan diri...


Sampai satu bahagian kemuncak hadirin semua berdiri...














Saya pula tergerak untuk melangkah lebih hampir ke hadapan...











Tahu-tahu sahaja apabila bacaan tamat dan reda saya sudah duduk di belakang VVIP. Tetamu kehormat majlis adalah Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman ibni al-Marhum Tunku Syed Idrus al-Qadri  (berbaju Melayu biru pekat). Ini adalah satu jawatan turun-temurun bertaraf raja selain para Undang di Negeri Sembilan. Di kirinya adalah ulamak utama penganjur majlis Sheikh Sayyid Afeefuddin al-Jilani.  Ke kanan adalah Habib Hassan.

Terkeluar dari gambar betul-betul ke kanan Habib Hassan adalah Habib Ali Zaenal Abidin. Saya duduk di belakang beliau. Selepas bacaan Maulid ad-Dibae majlis meminta imam Masjid Tengku Ampuan Jemaah (berdiri dalam gambar, Ustaz Azizi kalau tak silap namanya) memberikan tazkirah. Tengok-tengok dilaungkan pula satu bentuk qasidah. Beliau tidak menuturkan apa-apa kata selain salam dan itu.


Selepas beberapa lama sampailah ucapan penutup daripada Sheikh Sayyid Afeefuddin. Untuk pengetahuan beliau adalah daripada keturunan terus Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Keluarga beliau pernah menjadi jurukunci makam baginda di Baghdad sebelum kekacauan yang memporak-porandakan negara Iraq akibat serangan dan campur tangan Amerika Syarikat membawa untuk berhijrah ke Malaysia. Tengku Besar Tampin pun daripada keturunan Sheikh Abdul Qadir tetapi daripada satu cabang yang sudah beratus tahun berhijrah ke Tanah Melayu.


Sheikh Afeefuddin memberikan syarahan tentang sesuatu yang kedengaran begitu umum tetapi sangat bermakna iaitu tentang kasih sayang terhadap anak-anak. Ditekankan tentang mendapatkan barakah untuk rumah tangga yang sakinah, penuh kebahagian dalam membina ummah.


Suasana sebaik sahaja majlis tamat lalu hadirin ke hadapan untuk bersalaman dan mendapat barakah daripada para ulamak keturunan Rasulullah SAW. Saya berdiri sahaja di suatu tempat apabila mendapati Sheikh Afeefuddin dan Tunku Syed Razman mengambil laluan yang kebetulan akan melepasi saya untuk meninggalkan majlis. Sempatlah bersalam dengan kedua-dua tokoh. Mereka tertarik dengan cara pemakaian busana tradisional saya hari itu dengan Syed Razman menyatakan cantik destar...


Pagi tadi ketika membuka Facebook didapati ada orang meletakkan gambar ketika hadirin menunaikan solat Isyak iaitu sejurus sebelum majlis tamat.


Solat diadakan selepas tamat syarahan Sheikh Afeefuddin sekitar jam 9.15 malam. Di tengah gambar ini kelihatan saya berada di saf hadapan. Setakat dapat dilihat sepanjang majlis berlangung saya seorang sahaja memakai tanjak dan busana tradisional Melayu. Sudah lama tidak berpakaian begini serba putih, sampin, bengkung dan tanjak. Cuma ada berlainan tona (tone) tetapi tetap serba putih. 


Ini adalah selfie yang diambil ketika mula-mula masuk ke dewan utama solat. Tengok-tengok corak bunga tabur pada baju sama seperti pada permaidani masjid, cuma ia berwarna kuning berlatarbelakangkan warna umum merah permaidani. Tentang tanjak ada cerita menarik. Ia asalnya satu gubahan tersendiri yang dibuat orang lalu dihadiahkan untuk dipakai pada satu acara anjuran saya di Melaka penghujung tahun 2013. Melihat pada bentuk juga tema acara timbul rasa untuk menamakannya sebagai "Panji Rahman". Lihat artikel Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Nak dijadikan cerita ada sedikit yang tidak tak kemas tentang tanjak lalu saya meminta seorang pembuat tanjak lain menolong mengemaskannya. Tak sangka dia boleh tersilap dengar lalu membuka terus ikatan dan gubahan sehingga tak ingat rupa asal. Saya pun meminta dia membuat gubahan baru berdasarkan apa yang dapat diingati daripada gubahan asal berserta apa yang dapat dilihat tentang peribadi saya. Mula-mula dia tak  mahu dan tak berani sebab tak pernah berbuat begitu. Saya kata, tak mengapa, jalan je. Minta petunjuk daripada Allah SWT bagaimana. Sekarang beliau telah  menjadi salah seorang pembuat tanjak terkemuka di Malaysia. Istana Brunei sudah 2-3 memanggil datang untuk membuat tanjak bagi majlis di istana sana...

Saya akhiri artikel ini dengan menyertakan pautan bagi beberapa artikel yang pernah dibuat melibatkan Sultan Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,777 di blogspot ini.







Jumaat, April 05, 2019

Hakikat bahasa dalam pembangunan insan dan tamadun - Syarahan terbuka Awang Sariyan di ISTAC

Salam Jumaat 29 Rejab. Perkongsian daripada majlis ilmu di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pagi tadi.


Dalam kalangan pejuang bahasa Melayu nama Awang Sariyan atau Profesor Datuk Dr Awang Sariyan tidak perlu diperkenalkan lagi. Tokoh ilmuwan yang pernah menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menghasilkan beberapa buku tentang bahasa. Di ISTAC beliau memegang jawatan Ketua Unit Tamadun Melayu-Islam. Beliau juga mengendalikan kelas mingguan Islam in Malay History and Culture atau "Islam dalam Sejarah dan Budaya Melayu" yang saya hadiri semester lalu untuk memenuhi kehendak pengajian di institut.

Bulan lepas beliau telah memulakan satu siri terbuka kepada umum tetapi saya tidak dapat hadir kerana berada di utara bersama keluarga. Lihat Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Batu nesan Aceh di Kebun Lama, pemandangan di Bukit Bendera dan laksa kegemaran di Kota Lama Kanan. Untuk sesi seterusnya pagi tadi 5 April saya ada kelapangan lalu bergegaslah ke lokasi di bilik syarahan 8. Ia adalah bilik yang sering digunakan bagi kelas pelajar. Lihat Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC.


Bilik ini juga telah digunakan untuk siri syarahan Sheikul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar tentang buku beliau, Classification of Knowledge in Islam. Lihat artikel-artikel berikut :-







Ini pula kehadiran untuk syarahan Awang. Kata beliau ia adalah sekali ganda lebih ramai berbanding syarahan pertama siri.


Saya lihat ada muka-muka pelajar dari negara Cina yang mengaji bahasa Melayu. Untuk makluman Awang pernah memegang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University. Oleh itu beliau memiliki ramai bekas anak murid dari negara tersebut.


Kembali kepada syarahan. Beliau membuka dengan membuat recap atau ulasan semula syarahan terdahulu. Disebut tentang takrif falsafah atau philosopy dalam bahasa Inggers. Ia berasal daripada perkataan Yunani philosophia yang membawa maksud "love of wisdom", cinta kepada hikmah juga cinta kepada ilmu. Falsafah amat penting dalam operasi hidup. Ia membentuk disiplin dan menjadi kerangka cara kita membawa diri. 

Misalnya hidup untuk makan berbanding makan untuk hidup. Jika falsafah yang menjadi pegangan hidup kita adalah hidup untuk makan, maka selagi hidup kita akan sentiasa makan tanpa henti. Tetapi kalau falsafah kita adalah makan untuk hidup kita akan makan sekadar cukup untuk meneruskan kehidupan lalu bolehlah mengalih perhatian kepada benda-benda lain selepas cukup makan.


Cara Awang bersyarah kepada umum sama dengan cara dia bersyarah dalam kelas. Jika Osman cukup sekadar bersyarah daripada tempat duduk menjadi kebiasaan bagi Awang pula untuk bangun lalu membuat coretan di papan putih (ya... takkan warna putih nak panggil papan hitam pula).


Masuk bab ilmu disebut tentang epistemologi iaitu kajian tentang ilmu atau asal usul suatu ilmu/cabang ilmu. Awang lebih suka mendefinisikannya sebagai ilmu tentang ilmu. Lalu disebutlah boleh dikatakan semua cabang ilmu keduniaan yang kita ada hari ini adalah menurut acuan Barat yang asasnya adalah daripada falsafah Yunani purba. Terkeluar nama pemikir abad ke 600 Sebelum Masihi iaitu Thales yang menyebut "nature is natural". Saya terjemahkan sebagai "alam semulajadi bersifat semulajadi".

Kata-kata ini begitu ringkas, simple. Tetapi kesannya sangat besar sehingga boleh dikatakan menjadi acuan  bagi seluruh pemikiran moden yang menolak keTuhanan. "Nature is natural" membawa maksud semua benda wujud atau jadi seperti mana ia jadi melalui proses-proses semulajadi yang tidak ada pengaruh luar daripadanya  seperti aturan Tuhan. Ini bertentangan dengan akidah umat Islam. Nah. Nampak tak bagaimana suatu bentuk falsafah boleh mempengaruhi segenap aspek kehidupan?


Dalam kerangka pemikiran dan falsafah sebeginilah ada ahli bahasa atau linguistik percaya bahasa itu bersifat arbitrari atau sewenang-wenang. Suatu bahasa, kata-kata yang digunakan dalam bahasa boleh terbit atau tercipta atas pilihan suka-suka hati manusia hendak menciptanya. Sedangkan daripada sudut agama dan akidah bahasa muncul kerana Allah SWT mengajar manusia bertutur.


Dalam dunia pemikiran segalanya mahu dikupas dan dipertikaikan kerana wujud falsafah pemikiran yang bersifat nisbiah - segalanya adalah relatif, tidak ada yang mutlak. Ini berlawanan dengan prinsip agama yang mana hukum-hakam tertentu sudah tetap, tidak perlu diperbahaskan lagi. Dalam pemikiran nisbiah segalanya dianggap boleh berubah. Apa yang baik hari ini mungkin dipandang buruk kemudian hari mengikut perubahan zaman. Maka muncullah pelbagai macam teori tentang bahasa seperti boleh dilihat dalam slaid.


Bandingkan dengan hakikat bahasa bagi orang yang berTuhan. Tak perlulah diulas atau diulang taip apa yang boleh dibaca sendiri melalui gambar.


Sesekali Awang merujuk kepada buku-buku tulisan beliau untuk memberikan huraian. Tidak seperti Osman yang bersyarah dengan mengulas ayat demi ayat dalam suatu perenggan sehingga selesai suatu sub-topik atau muka surat dibahaskan Awang memetik secara bercampur-aduk daripada beberapa buah buku menurut keadaan. Disebutlah tentang tokoh silam Islam terkenal al-Farabi ada mengangkat bahasa sebagai suatu ilmu asas utama untuk memahami segala ilmu yang lain. Hal sama sudah disebut Osman kerana al-Farabi merupakan seorang daripada tiga tokoh utama dibincangkan dalam buku Classifications beliau. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan.


Lagi teori-teori tentang bahasa oleh Barat. Kata Awang banyak yang keliru tetapi ada juga yang menghampiri kebenaran seperti disebut dalam al-Quran. Ini adalah berkenaan sifat innate atau ada tersimpan dalam diri iaitu kapasiti/kecenderungan untuk berbahasa sudah sedia ada dalam jiwa setiap manusia. Hal ini ada disebut sarjana seperti Noam Chomsky walaupun beliau tidak sampai menjadi orang yang betul-betul beragama.


Antara banyak perkara disebut Awang antara yang paling mengesankan adalah makna pada bahasa iaitu melalui suatu perkataan. Bagaimana sebutan yang berubah sedikit boleh membawa maksud yang langsung berlainan. Misalnya perkataan jamal dengan jamaal (panjang bunyinya). Satu bermaksud cantik, satu lagi unta. 

Lagi satu adalah makna asal berdasarkan kata akar. Misalnya ikhtiyar yang dipakai dalam bahasa Melayu sebagai ikhtiar membawa makna usaha. Kata akarnya adalah khair, baik. Maka itu ikhtiar sebenarnya cuma boleh digunakan untuk perkara-perkara baik sahaja. Salah guna jika kita kata mahu beriktiar untuk merosakkan orang atau sesuatu.


Lagi teori Barat tentang bahasa. Kebanyakkanya mahu menolak Tuhan lalu evolusi manusia dalam berbahasa disamakan seperti binatang sebelum mencapai kesempurnaan.


Sesungguhnya segala teori-teori Barat ini memenatkan dan melelahkan kerana masih tercari-cari hakikat perkara dan kebenaran. Sedangkan bahasa adalah alat untuk menyampaikan kebenaran. 


Segala sudah dijawab dalam al-Quran. Cuma mereka tak dapat hidayah sementara ada puak memang sengaja menyelewengkan makna juga teknik berbahasa disebabkan suatu kepentingan. Misalnya golongan sophist atau sustafiyah (sebut Arab) yang menggunakan bahasa semata-mata untuk menang berhujah.


Dengan falsafah hidup yang benar termasuk dalam berbahasa barulah kita betul-betul boleh membangunkan insan dan ketamadunan. Itu kesimpulan yang boleh saya berikan. Seperti syarahan Osman banyak juga perkara disebut Awang. Antaranya tentang apa itu phoneme, morpheme, kata, frasa, klausa dan ayat yang merupakan pandangan bersifat struktural terhadap bahasa. Tentang "kotak hitam" bahasa yang disebut sarjana bernama Bloomsfield lalu tak perlulah bersusah-payah hendak menyelami makna dalaman, cukuplah apa yang terzahir melalui tulisan dan percakapan. Tentang Za'aba dan 16 cara menggayakan suatu perkataan. Tentang Hamka mengatakan falsafah berada dalam nadi setiap manusia. 


Ada disebut juga tentang Descartes yang menyatakan ilmu bermula dengan keraguan - semain ragu semakin saintifik ia. Tentang laudform iaitu suatu ungkapan Jerman untuk bahasa yang dizahirkan berbanding innersprachform untuk kata-kata dalam hati. Namun biar setakat ini perkongsian. Kalau hendak diceritakan kesemuanya boleh lelah saya. Sekarang ini dah lepas jam 4 petang dan saya masih berada di ISTAC sejak memulakan penulisan selepas solat Jumaat. Sebentar lagi harus berkejar ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Wassalam.