Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...
Daripada artikel Bertungkus-lumus ke Beting Beras Basah
Daripada artikel Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...
Daripada artikel Masjid lama misteri, makam Sultan Abdul Malik dan kubur Birch
-------------------------
-------------------------
Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...
Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.
Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh
-------------------------
Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.
Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...
Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-
Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.
Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...
Jumaat, April 23, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Malikus Salih!
Maulidur Rasul di Aceh : Kuala Idi dan makam raja daerah sini...
Ahad, April 18, 2010
Salawat dan Qasidah di Central Market...
Alhamdulillah terjumpa seorang kawan lama yang sudah lebih 10 tahun tidak ditemui juga seorang kawan lain yang rasanya kali terakhir bersua lebih 4 tahun lalu. Kedua-keduanya terlibat dengan persembahan Salawat dan Qasidah. Lihat klip video yang diambil semalam. Oh, acara dimulakan dengan Dikir Barat sebelum alunan Nasyid gaya moden dengan sedikit persembahan percussions atau gendang...
Jumaat, April 16, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Makam Sultan Saiyid Maulana Abdul Aziz Shah...
Khamis, April 15, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Majlis Maulud di Masjid Nurin Niswah, Perlak
Satu perkara menarik... pada pagi hendak berlepas ke masjid baru saya menyedari akan satu kaitan lama kerajaan Perlak dengan Perak seperti dinyatakan dalam artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak... yang dibuat Mac 1. Ketika hendak pergi ke masjid pula saya terpisah dengan anak dan isteri serta rombongan asal. Seorang ulamak tempatan telah mengajak saya menaiki keretanya dari Idi ke Perlak. Entah kenapa pemandu yang membawa isteri dan anak juga Haji Muzaffar dan isterinya Puan Suzana pula boleh tersilap arah terambil simpang menghala kembali ke utara sedangkan Perlak terletak di selatan. Nasib baik juga saya menaiki kereta ulamak. Kalau tidak, tentu saya tidak dapat merekodkan majlis seperti tertera di bawah...
OK. Majlis Maulud Nabi ini berlaku pada hari Jumaat 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabiulawal 1431 Hijrah. Maka cukup sesuailah klip-klip video ini mula dipaparkan pada malam ini, malam Jumaat. Sebenarnya ada lagi klip-klip video majlis makan juga majlis syarahan dan zikir dalam masjid. Tetapi cukuplah apa yang dipaparkan... artikel seterusnya akan membawa kita menziarahi makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah, raja pertama di Nusantara yang diketahui berketurunan Nabi Muhammad SAW. Salam...
Rabu, April 14, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Rombongan ke Perlak...
OK. Kita sambung lagi proses penceritaan melalui klip video. Kali ini baru kita menghampiri matlamat sebenar perjalanan saya, isteri dan anak ke Aceh penghujung Februari 2010 iaitu untuk menghadiri majlis Maulud Nabi atau Maulidur Rasul di Perlak.
Satu perkara menarik tentang aturan cerita dan turutan masa. Rujuk pada artikel pertama siri ini iaitu Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak... di mana ada disebut bagaimana rancangan asal hendak menyambut Maulidur Rasul di Perak boleh bertukar arah ke Perlak. Tanpa dirancang penceritaan kini sudah membawa kita hampir masuk ke Perlak. Dan ini pula berlaku setelah saya membuat perjalanan terbaru ke Perak, perjalanan yang asalnya mahu dibuat semasa Maulidur Rasul itu! Lihat artikel pendek Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak yang dibuat 2 hari lalu...
Isnin, April 12, 2010
Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama di Perak
Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Pada hujung minggu baru ini saya dan isteri telah membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang pada hari Selasa esok akan cukup umur 6 bulan untuk menziarahi lebih 40 makam terpilih di serata negeri Perak. Antara yang dilawati ialah kesemua 29 makam Sultan-sultan Perak yang terdapat di sepanjang Sungai Perak, dari Kuala Kangsar 255 km ke utara Kuala Lumpur turun menyusur aliran sungai 140 km selatan hingga ke Teluk Intan. Namun perjalanan sebenar memakan jarak keseluruhan 600 km dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri hingga kembali melalui Kuala Selangor lewat malam tadi. Ini kerana untuk ke makam-makam tertentu kami perlu berpatah-balik menyeberangi Sungai Perak melalui jambatan di Kampung Gajah untuk mendapatkan bot dari satu kampung yang terletak jauh terpencil di selatan Pasir Salak. Sukacita juga dimaklumkan, dalam perjalanan inilah saya dapat menziarahi makam 5 orang Sultan yang tidak pernah diziarahi sebelum ini kerana kedudukan yang terpencil lagi susah untuk ditemui mahupun dicapai. Saya juga dapat menunaikan beberapa hajat tertunda, misalnya niat untuk menziarahi makam Sultan ke-4 Perak, Sultan Tajul Ariffin yang terletak di atas sebuah pulau di tengah Sungai Perak. Sembilan tahun lalu iaitu pada penghujung 2001 saya pernah bercadang ke sana tetapi tidap berjaya mendapatkan bot. Kali ini saya dapat membawa anak isteri sehingga ke tempat yang dianggap amat keras lagi keramat ini, begitu ditakuti penduduk tempatan...
Syukur kepada Allah, anak kecil kami Al-Rasyid dapat bertahan malah kami bertiga cuma bermalam di surau dan masjid sahaja. Cerita tentang perjalanan Insyaallah akan diluahkan di blogspot apabila sampai giliran. Maklumlah, cerita lawatan ke Aceh penghujung bulan Februari yang sedang dalam proses penceritaan pun belum selesai... sedangkan saya juga ada cerita lawatan ke Aceh penghujung Januari yang belum dimulakan, juga satu perjalanan ke selatan melihat stesyen-stesyen keretapi yang turut membawa ke banyak tempat menarik dari Rembau hingga ke Johor Bahru.
Sekarang biar saya berehat melepaskan penat-lelah. Pancit wooo.... terutama apabila perlu masuk ke kawasan-kawasan bersemak dengan perut kosong mencari makam di ceruk-ceruk yang tidak dapat dimasuki kenderaan kecuali motosikal ataupun bot, kemudian perlu pula berjalan kaki masuk parit keluar parit dan sebagainya sehingga kasut pun boleh putus, kaki pula berdarah-darah digigit pacat...
Jumaat, April 09, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Gunongan dan beberapa tempat bersejarah di Banda Aceh
p/s: Insyaallah kalau tiada aral melintang, malam ini saya akan berlepas ke Perak dan bermalam di luar Kuala Kangsar. Cadangnya mahu menziarahi makam-makam utama sepanjang Sungai Perak bermula dari makam Tok Temong dan kalau boleh makam setiap Sultan Perak... banyak tu. Sebelum Sultan Azlan menaiki takhta, Perak pernah diperintah 33 orang Sultan dan semuanya dimakamkan di Perak, kecuali 4 atau 5 orang. Ada antara makam yang terletak di ceruk-ceruk sunyi yang agak jauh dari apa-apa penempatan, jalannya teruk, begitu susah dimasuki kenderaan. Harap cuaca elok dan dipermudahkan perjalanan... doakan saya ya!
Khamis, April 08, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Pemandangan kapal apung...
Selasa, April 06, 2010
Al-Rasyid jejak tanah di makam Sultan Alauddin Melaka...
Adapun hujung minggu ini saya, isteri dan anak kami Al-Rasyid telah kembali ke kampung ibu saya di Muar. Ia adalah pertama kali kami ke sana untuk tahun 2010. Peluang ini digunakan untuk menziarahi lagi makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah Melaka 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, satu-satunya Sultan Melaka yang makamnya diketahui masih wujud di Malaysia. Peliknya, saya sudah pergi ke sana rasanya lebih 10 kali tetapi baru kini menyedari akan kebenaran satu tanggapan yang menyebut bahawa dalam kepuk utama yang terletak di sebelah masjid ini terdapat bukan 2 tetapi 4 buah makam!
Ya. Memang ada orang pernah memberitahu saya bahawa di sini sebenarnya terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan Aceh, bukannya 2 makam dengan 2 batu nesan. Namun selama ini saya tetap lebih cenderung dengan pendapat umum yang menyebut dalam kepuk ini cuma terdapat makam Sultan Alauddin dan makam seorang isterinya yang dikatakan berdarah putih. Lalu sepasang batu nesan di bahagian kanan kepuk inilah yang selalu dikira sebagai makam sang Sultan...
Sebenarnya tidak salah untuk mengatakan bahagian kanan itu makam Sultan. Cuma saya mungkin tersilap kerana menganggap bahawa batu nesan kanan terdekat (rujuk balik gambar pertama dan kedua) itulah bahagian kepala Sultan. Dalam lawatan kali ini baru saya tergerak untuk meneliti setiap batu nesan lalu mendapatinya begitu berbeza. Kalau batu nesan sepasang mesti ada banyak persamaan, kalau berbezapun mungkin setakat pada ayat-ayat yang diukirkan. Tetapi kini saya menyedari bahawa setiap batu nesan memang berbeza sepertimana yang boleh terdapat pada 4 buah makam.
Mungkin betul di sini terdapat 4 buah makam yang setiap satu ditanda sebiji batu nesan. Mungkin juga ia 4 buah makam yang setiap satu pernah ditanda sepasang batu nesan tetapi batu pasangannya hilang. Ini tidak mustahil kerana ada tanda-tanda batu-batu nesan yang ada ini pernah pecah atau patah sebelum disambungkan. Apapun, saya juga baru sedar batu nesan di atas yang selama ini saya anggap batu nesan bahagian kaki Sultan Alauddin lebih memenuhi ciri-ciri batu nesan utama selayaknya milik seorang Sultan kerajaan besar dahulukala seperti Melaka.
Yang pasti, ia adalah satu-satunya batu nesan di situ yang bentuk kepaknya ada berkelok elok dengan motif-motif tambahan yang hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih di Aceh. Lihat artikel Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat awal Februari. Adapun dalam artikel lama Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin! yang dibuat berdasarkan perjalanan ketika Al-Rasyid baru berumur sekitar 40 hari, telah ditunjukkan bagaimana anak kami ini pertama kali sampai ke makam Sultan Alauddin. Tetapi dalam perjalanan terbaru ini baru Al-Rasyid menjejakkan kaki ke tanah makam... kiranya kesinambungan dia menjejakkan kaki ke tanah di beberapa tempat, bermula dengan makam Sultan Malikus Salih penghujung Januari 2010.
Hmm... sekarang cukuplah bercerita tentang ini. Lihat juga artikel First trip back to Muar for the year 2010 yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.
Rabu, Mac 31, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Makam Syiah Kuala... dan makam Maharajalela Abdul Rahim...
Isteri saya mengingatkan tarikh hari ini cantik... 31 haribulan Mac 2010 jadi 31/03/10 atau 31.03.10. Memang cantik. Kalau diatur tanpa sengkang mahupun noktah akan jadi nombor 310310, kalau dihilangkan kosong jadi pula 3131. Kalau ikutkan saya memang malas hendak menulis hari ini tetapi memikirkan faktor tarikh dan nombor, saya pun akur. Apa nak buat... saya kan ada gila-gila nombor?
Saya pun mencari apa yang sesuai untuk dihidangkan. Kebetulan siri "Maulidur Rasul di Aceh" akan masuk bab tentang Makam Syiah Kuala... kebetulan juga ia adalah cerita ke 3 dalam siri ini. Jadi itulah pilihan untuk hari ini.
Seperti biasa, terlebih dahulu saya harus membuat satu artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Untuk siri ini saya telah memutuskan klip-klip video harus diletakkan di sini sementara gambar berkaitan diletakkan di sana. Maka itu sambil menyediakan dan menyunting video klip yang sesuai, saya pun melihat koleksi gambar yang ada. Kebetulan tergerak menulis selepas jam 1 atau 13:00 seperti tertera pada komputer, saya pun bercadang untuk membuat artikel di BERPETUALANG KE ACEH ketika masuk 13:13.
Rupa-rupanya saya terlambat dan terlepas jam 13:13. Namun saya ada sedikit masa lagi untuk mengejar nombor kesukaan saya 131 selagi belum melepasi waktu 13:19. Sebaliknya proses publishing video klip yang telah disunting melalui program Windows Moviemaker menyebabkan komputer jadi 'berat'. Website untuk menulis di blogspot cuma dapat dibuka setelah masuk 13:20.
Ini membuat saya terpaksa memilih waktu seterusnya yang aturan nombornya cantik ada kena-mengena iaitu 13:31. Sampai waktu tersebut saya pun menekan butang "new post" dan memulakan artikel. Apabila artikel siap lalu dipublish ke blogspot, saya terperanjat. Ternyata di sana menyebut artikel baru bertajuk Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : Enter the tomb of Syiah Kuala... itu dibuat pada jam 1:31!
Rupa-rupanya saya terlupa bahawa jam 13:31 itu bersamaan 1:31 petang. Tengok bagaimana Allah mengatur keadaan! Walaupun asalnya saya cuba mendapatkan nombor 13:13 kemudian 13:19, Allah tidak membenarkannya dengan asbab komputer jadi 'berat'. Di ketika saya mengalah lalu menerima jam 13:31, tenyata ia jadi 1:31 pula...
Untuk artikel ini saya terus dapat memilih jam 3:13 petang. Nah... itulah gila-gila nombor saya. Sampai tarikh dan waktu pun mahu diatur supaya ada synchronicity yang dapat membuka pintu-pintu rahsia, Insyaallah! :]
Paling mengharukan saya apabila mendapat tahu pemilik makam yang batu nesannya sama bentuk dan sama besar dengan apa yang terdapat di makam Syiah Kuala adalah seseorang yang dipanggil Sheikh Abdul Rahim Maharajalela. Ternyata inilah Abdul Rahim yang merupakan ayahanda kepada Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh awal abad ke 18 lalu keturunannya terus menjadi pemerintah bumi Serambi Mekah, sebelum keSultanannya ditamatkan oleh Belanda awal abad ke 20.
Oh... dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", saya menyebutnya sebagai Laksamana Abdul Rahman. Sebenarnya saya tersilap bersandar pada satu salasilah kajian Barat. Nama sebenar beliau memang Abdul Rahim dan beliau (lebih tepat, baginda sebenarnya...) ada memang memakai kedua-dua pangkat bangsawan Laksamana dan Maharajalela...
Apapun, 'penemuan' makam Abdul Rahim yang terletak bersebelahan makam Syiah Kuala @ Sheikh Abdul Rauf Singkil adalah seperti pucuk dicita ulam mendatang. Allah! Baru di Malaysia sebelum itu saya terfikir hendak mencari makam mereka yang ada kena-mengena dengan apa yang dikenali sebagai Dinasti Raja-raja Bugis yang memerintah Aceh. Lihat artikel lama Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh?. Biar diberi sedikit latar-belakang...
Adapun dinasti ini bermula dengan kemunculan seorang ulamak bernama Daeng Mansur yang datang dari Tanah Bugis ke Aceh abad ke 16. Beliau yang turut dikenali sebagai Teungku di Reubee (ulamak di Reubee) mendapat seorang anak yang dikenali sebagai Laksamana Zainal Abidin. Laksamana Zainal Abidin ini berkahwin dengan pahlawan wanita Aceh yang sangat terkenal iaitu Laksamana Raja Kemalahayati @ Keumalahayati @ Malahayati. Dari perkahwinan inilah muncul Laksamana atau Maharajalela Sheikh Abdul Rahim.
Abdul Rahim ini pula berkahwin dengan raja perempuan kedua Aceh iaitu Sultanah Naqiatuddin. Ada yang kata dari perkahwinan inilah muncul Laksamana Maharajalela Ahmad yang menaiki takhta Aceh tahun 1727 dengan memakai nama Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat, ada yang kata baginda adalah anak dengan isteri lain. Yang pasti saya sudah tahu dan sampai ke makam Sultan Ahmad tahun lepas, baru kali ini sampai ke makam ayahandanya. Makam Laksamana Zainal Abidin juga saya sudah sampai tahun lepas kerana ia terletak bersebelahan makam Laksamana Malahayati.
Satu perkara menarik. Adapun sebelum perjalanan terbaru ke Aceh ini, baru saya dapat tahu Laksamana Zainal Abidin juga dikenali sebagai Teungku atau ulamak di Lhoong. Lihat artikel
Selasa, Mac 30, 2010
Dah 'sampai' ke belum?
Tadi jam 2 petang setelah mengambil paspot baru di pejabat Jabatan Imigresen di Wangsa Maju hujan turun lebat. Saya pun duduk di luar menunggu hujan selesai lalu terlihat satu kedai di hadapan. Terus teringat zaman-zaman semasa saya rajin mencari jawaban tentang keTuhanan secara terang, hampir tidak bertapis langsung mulut apabila bertanya. Ketika itulah saya banyak terjumpa golongan yang kononnya 'sampai', mereka yang kononnya telah mengenal Tuhan.
Satu perkara yang saya perhatikan tentang golongan ini... tak kiralah dari kumpulan mana mereka datang, pengajian atau perguruan mana, mereka ada tabiat riak yang sama. Mereka suka bertanya soalan berbunyi "Engkau dah 'sampai' ke belum?" dengan gaya mengejek. Kemudian dengan nada riak lagi meninggi diri mereka memperlekehkan orang-orang yang dikira tidak 'sampai'.
Kalau diperlekehkan itu setakat saya tak mengapa juga kerana saya memang jenis orang yang tak 'sampai-sampai'. Masalahnya bila ulamak seperti Imam Ghazali dan Imam Syafiee pun mahu diperkecilkan. Seterusnya mereka menjadikan ilmu syariat dan mereka yang patuh pada amalan Nabi Muhammad SAW sebagai bahan gurauan senda. Kata mereka, apabila dah 'sampai' apa lagi yang perlu disembah? Kerana bila dah 'sampai' yang menyembah dan disembah sama sahaja.
Sekadar mengingat kembali keadaan biar diletakkan sedutan-sedutan berkenaan daripada siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh". Sedutan pertama dari buku satu yang bertajuk kecil "Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006)...
--------------
Pencapaian Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang tinggi dalam ilmu kerohanian telah menyebabkan Iblis cuba menipunya dengan mengaku dirinya sebagai Tuhan, kemudian cuba menimbulkan riak dengan memuji-muji ketinggian taraf keilmuannya.
Pernah satu ketika, baginda sedang berjalan-jalan seorang diri, tiba-tiba muncul satu cahaya yang terang benderang dari atas lalu memenuhi seluruh langit. Kemudian kelihatan di dalamnya satu kelibat bentuk manusia lalu berkata: “Wahai Abdul Qadir, akulah Tuhanmu. Kamu telah mencapai darjat yang tertinggi dalam ilmu kerohanian. Sekarang aku halalkan segala perkara yang haram bagimu.”
Mendengarkan ini, Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani pun bertempik: “Chis syaitan! Janganlah kamu cuba hendak menipu aku. Berambuslah kamu dari sini wahai makhluk terkutuk!”
Langit yang terang benderang tadi pun bertukar menjadi gelap dan bentuk manusia itu mendesir menjadi asap. Kemudian Iblis berkata: “Wahai Abdul Qadir, aku telah berjaya menyesatkan 70 orang ahli Sufi dengan cara ini. Bagaimana kamu tahu aku ini Iblis?”
Jawab Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani: “Kerana hukum Syariat itu tetap. Allah tidak pernah menghalalkan perkara yang haram.”
Nah. Apa lagi yang mahu diragukan?
Iblis menukar taktik lalu berkata. “Kamu memang seorang yang alim. Disebabkan ketinggian ilmu kamulah helahku berjaya dibongkar.”
Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dapat membaca niat jahat Iblis untuk menimbulkan rasa riak dan ujub dengan memujinya. Lalu baginda menjawab: “Tidak. Aku selamat kerana rahmat Allah semata-mata.”
Baginda sedar, belas ikhsan Tuhan sahaja yang melindunginya, bukan apa-apa kelebihan yang terbit daripada dirinya...
Menyedari dia tidak akan berjaya, Iblis terkutuk pun terus menghilang. Lebih baik cari orang yang boleh diperdayakan kerana kejahilan atau digoda dengan puji-pujian. Mereka yang menuntut ilmu dan beramal bukan untuk menghayati erti ubudiah, perhambaan sebenar yang tersirat dalam firman tidak Aku cipta manusia dan jin kecuali untuk menghambakan diri kepada Ku, tetapi untuk menjadi tuan yang memerintah... Untuk mendapat kelebihan-kelebihan tertentu supaya dapat mengatasi orang lain, samada dari segi harta benda, pangkat, nama ataupun kuasa.
Pendek kata, ramai yang masuk ke gelanggang kerohanian dengan hati yang berkarat. Lalu ada yang sampai mengaku dirinya Tuhan sedangkan perangai mereka adalah perangai Hantu jua...
————————
“Ramai yang kononnya menghalusi agama dengan menyelam ke dalam pengajian ilmu Hakikat dan Makrifat tetapi akhirnya menjadi kafir zindiq,” kata pakcik itu. “Mereka adalah orang yang perjalananan kerohaniannyanya belum matang tetapi perasan dirinya dah tinggi sangat, sudah ‘sampai’ ke Hadirat Allah Subhanahu Wata’ala. Ramai yang tidak mahu menunaikan puasa dan solat kerana katanya cukuplah dengan niat. Kononnya orang Syariat sahaja yang wajib melakukan semua ini. Lalu ramai yang hidup mengarut kerana yakin telah mengenali Allah padahal mereka sangat keliru, tidak tahu adab hamba dengan Pencipta. Akhirnya yang susah mereka juga...”
“Anak mesti ingat, nak beramal ilmu Tasawuf ni mestilah dengan hati yang bersih, suci!” dia berpesan pula. “Tidak boleh menyimpan dendam atau apa-apa motif tersembunyi. Beribadat dengan ikhlas, seperti kata Rasulullah SAW, memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu. Biar orang kata kita jahat, tidak pernah berbuat kebaikan. Lebih baik menganggap diri kita buruk, banyak dosa supaya sentiasa rasa insaf dan rendah diri.”
------------------------------------
Ini pula sedutan kedua, dari buku seterusnya "Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)...
------------------------------------
Semalam, di serambi masjid raya, anak Malaysia itu sempat berkenalan dengan seorang pemuda tempatan yang suka bercerita tentang Tasawuf. Lalu mereka berjanji akan berjumpa selepas solat Jumaat dan anak Malaysia itu akan dibawa berjumpa seseorang yang katanya mahir dalam ilmu Sufi... Kononnya cuma terdapat empat orang sahaja sepertinya di Langkat.
Mengikut cerita anak tempatan itu lagi, orang itu pernah memberitahu bahawa seorang sahabat sealirannya telah mendapat mimpi akan ada orang dari jauh datang berjumpa mereka dan orang yang dimaksudkan adalah Rasyid! Dipendekkan cerita, selepas solat Asar, pemuda itupun muncul dengan motosikalnya lalu membawa Rasyid ke rumah orang tersebut di sebuah kawasan terpencil melepasi lorong masuk ke rumah Hassan Oka.
Mereka dijemput masuk lalu berkenalan. Kemudian mula bercerita tentang latarbelakang kedatangan Rasyid ke Pengkalan Brandan. Tidak lama kemudian tuan rumah menyatakan bahawa dia dan rakan-rakannya telah mendapat alamat akan kedatangan anak Malaysia itu melalui mimpi lalu membuka cerita tentang pemahamannya mengenai Tasawuf… Biarlah nama mereka dirahsiakan kerana perbincangan itu amat berat, rasanya sudah jauh menyimpang daripada akidah... Rasyid sedar orang itu susah hendak diperbetulkan kerana terlalu yakin dengan pengalaman dirinya. kononnya sudah “Mikhraj”, betul-betul mengenal Allah. Nampaknya dia termasuk golongan Tasawuf sesat yang merasakan tidak perlu lagi bersolat kerana telah mencapai hakikat solatan da’iman, solat yang berkekalan.
Pemuda itu tetap melayan kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang ilmu “mengenal diri” yang dianutinya. Berbekalkan sedikit pengetahuan berkat bertahun menelaah kitab-kitab Tasawuf karangan wali-wali Allah terkenal seperti Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani serta tunjuk-ajar dan bimbingan beberapa orang tua yang pernah ditemui... Juga sedikit amalan zikir yang pernah dijazahkan mereka dicampur bertahun-tahun usaha mujahadatunnafsi, berperang melawan nafsu sendiri berserta keyakinan bahawa Allah tetap melindungi jika kita ikhlas mencari kebenaran, anak Malaysia itupun terjun ke dalam arena perbincangan.
Kalau hendak diringkaskan, pengajaran orang itu lebih kurang begini: Segala yang terlihat di muka bumi ini, juga yang ada di langit, malah segala-gala yang dicipta Allah Ta’ala sehingga ke syurga, neraka, Kursi dan Arash semuanya ada di dalam diri sendiri iaitu diri setiap manusia. Maka itu tidak perlulah berjalan jauh, lihatlah ke dalam diri kerana di situ terdapat segala jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa manusia.
Rasyid tidak ada masalah tentang ini kerana sudah terbiasa mendengar pengajaran sebegini... Memang ada kebenarannya jika dipandang daripada sudut tertentu, memang ada di dalam pengajian Tasawuf peringkat tinggi, jikalau seseorang itu betul-betul memahami apa itu makna insan saghir, insan kecil dan apa itu insan kabir, insan besar dan kaitan antara keduanya. Yang menjadi masalah adalah apabila orang ini mendakwa telah “sampai ke matlamat mengenal Allah” lalu tidak perlu lagi membuat perjalanan zahir, cukup dengan membuat perjalanan batin sedangkan para Rasul, Nabi dan Wali muktabar pun terus berkelana ke sana ke mari dengan tubuh badan kasar demi mencari kebenaran dan mengalami pengenalan atau Makrifat yang sejati. Lagipun pada mereka yang lebih mengetahui, pengenalan atau Makrifat terhadap Allah sebenarnya mempunyai banyak peringkat... Sedangkan orang seperti Fariduddin Attar, penulis kitab Tazkiratul Awliya (kisah para wali) dan Mantiq-at-Tair (Perjumpaan burung-burung. Komposer terkenal M. Nasir tanahair telah menggunakan cerita itu untuk mencipta lagu Tanya Satu Itu Hud-hud) yang juga dianggap seorang wali besar pernah menyebut, terdapat 70,000 “lembah” yang perlu dilepasi sebelum dapat “melihat” Allah! Dia baru dapat melepasi satu sahaja...
Hamba Allah di Langkat ini terus bercakap seolah-olah tuntutan jasad tidak perlu lagi dipenuhi dalam beribadah kepada Allah apabila kita sudah mencapai makam tertentu. Rukun Islam seperti solat, puasa serta menunaikan haji tidak perlu dizahirkan lagi, cukup sekadar “dilaksanakan” secara batin sedangkan orang ini masih lagi bertubuh kasar, perlu makan dan minum, tidur dan buang air. Katanya, dalam diri kita ada segala Rasul yang pernah dicipta, segala Nabi, juga empat Khulafak al Rasyidin - Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali - sambil menunjukkan tempat masing-masing di badannya dengan yakin. Wah… Cukup senang ini. Oleh kerana semuanya ada di dalam diri termasuk Mekah dan Madinah, apa perlu lagi pergi ke sana secara fizikal untuk menunaikan haji, umrah atau menziarahi makam Rasulullah SAW ya tak? Cukuplah sekadar ‘berjalan’ dalam diri sendiri…
Orang ini juga mengemukakan beberapa potong terjemahan ayat Al-Quran dan Hadis dengan tafsiran yang jauh menyimpang... Seringkali menghina ulamak Syariat sebagai bodoh, tidak sampai kepada tujuan, terlalu meninggi-ninggikan Hakikat seolah-olah agama itu tidak perlu lagi dipakai kulitnya apabila sudah faham makna keTuhanan. Tetapi punchlinenya, kata muktamad yang mengenalkan “perguruannya”, ilmu ini malah segala ilmu Tasawuf yang tertinggi berasal daripada Jawa... Terus hati Rasyid berkata sahlah dia ini jenis manusia yang suka mengagungkan Sheikh Siti Jenar di samping memperbesar-besarkan Sunan Kalijaga, wali songo berketurunan Jawa yang amat dibangga-banggakan masyarakat di sana. Dan betul telahan itu, tidak lama kemudian, orang ini terus memuji-muji Siti Jenar dan Sunan Kalijaga sebagai contoh-contoh terbaik peribadi para wali.
Menurutnya, apa yang dibawanya adalah ilmu Bung Karno atau Sukarno, Presiden Indonesia kebanggaan masyarakat Jawa sehingga ada yang percaya presiden itu telah mencapai taraf wali dan masih hidup lagi! Kemudian dia menghuraikan beberapa istilah Jawa yang diberi pemahaman Tasawuf! Kononnya, ini adalah ajaran rahsia Sukarno yang cuma diketahui empat orang sahaja di wilayah Langkat ini termasuk dirinya sendiri. Maka burung Garuda yang menjadi lambang Republik Indonesia dikatakan singkatan untuk “Garuklah Dadamu” seraya menunjukkan aksi menggaruk dada... “Bukalah dadamu, telanjangkan jiwa demi mendekati Tuhan mu,” katanya. Perkataan Jawa pula dikatakan bermakna mereka yang mengerti, tidak ingat apakah alasannya... Maka orang Jawa adalah orang yang “sudah mengerti” makna keTuhanan yang hakiki sementara Sumatera pula bermakna “Sudah Makin Terang”... Tetapi belum cukup terang seperti di Jawa…
Orang ini juga memberi huraian yang tersendiri terhadap nama-nama tempat seperti Bali, Malaysia dan sebagainya. Seingat Rasyid, hamba Allah juga menyatakan bahawa perkataan Malay pada Malaysia bermakna Malaikat... Maka Malaysia itu Malaikat yang menjaganya. Sebab itu aman makmur lagi sejahtera. Dan ada lagi lebih 10 istilah berkaitan orang Jawa yang diberinya “huraian Tasawuf.” Kononnya itulah makna yang tersirat.
“Inilah ajaran Bung Karno. Ajaran Tasawuf tertinggi yang boleh dipelajari manusia. Ajaran ini cuma boleh didapati cuma di Pulau Jawa, maka jika ingin tahu, perlu belajar lagi di sana.” dia memberitahu, bangga.
——————————————
Di Malaysia lagi, Rasyid sudah terjumpa ramai orang Jawa atau berketurunan Jawa yang menganggap pulau itu ialah pusat dunia. Menurut mereka, segala-galanya ada di Jawa, semua ilmu boleh dipelajari di sana. Semua wali besar datang daripada sana dan seperti biasa, mesti keluar cerita Wali Songo... Mungkin mereka terpengaruh dengan dongeng lama Jawa yang mendakwa Gunung Mahameru, paksi alam tempat tinggal Dewa-dewa terletak di pulau itu? Sampai ada yang turut mendakwa bahawa orang Eropah yang berkulit putih bermata biru, langsung tiada ciri-ciri fizikal Jawa pun berasal daripada sana! Begitu taksub mereka terhadap Jawa...
Di kaki lima bangunan bandar-bandar termasuk Muar pula sering terdapat penjual barangan antik dan pelik seperti keris lama dan batu cincin lalu mendakwa kononnya barang-barang ini berasal daripada Jawa dan mempunyai kelebihan tertentu. “Kesaktian” Jawa begitu diperbesarkan sehingga penjual ubat tepian jalan yang diketahui bukan berketurunan Jawa pun sering menggunakan loghatnya untuk melariskan jualan. Rasyid juga pernah terjumpa ahli perubatan tradisional seperti bomoh dan pawang yang menurun lalu bercakap bahasa Jawa atau loghat Jawa seraya mendakwa diresapi rohani para wali terutama Sunan Kalijaga, satu-satunya Wali Songo yang dikatakan Jawa tulin. Malah dia pernah terjumpa seorang wanita yang mendakwa mempunyai hubungan istimewa dengan wali besar yang dikenali sebagai Sultanul Ariffin Sheikh Ismail... Yang peliknya, Sheikh Ismail berasal dari Timur Tengah tetapi apabila wanita itu “diresapi” Sheikh Ismail, dia mula bersuara garau dan bercakap dengan loghat Jawa !
Rasyid terjumpa wanita tersebut ketika menziarahi Makam Seribu di Pulau Besar, Melaka sebuah kawasan yang dikatakan mengandungi lebih 1000 makam tidak bertanda para pejuang Islam yang mati syahid sekitar abad ke 16 hingga 18 Masihi dalam usaha membebaskan Melaka daripada cengkaman penjajah Barat. Wanita berumur sekitar 40an itu mendakwa dia tahu apakah masalah yang sedang membelenggu anak muda yang rajin menziarahi makam-makam lama itu lalu menjemput Rasyid ikut balik ke rumahnya di sebuah kawasan perumahan di Melaka.
Di situlah wanita itu menunjukkan kebolehannya “menilik” atau meneropong apa sahaja yang sedang berlaku di tempat lain juga perasaan yang terbetik di dalam hati orang lain. Dan dia dapat menggambarkan rupa serta sifat beberapa orang kenalan pemuda itu dengan tepat walaupun ketika sedang sibuk membuaikan anak atau menyediakan masakan.
Sheikh Ismail yang makamnya dianggap paling “keramat” di antara banyak makam lama dan tempat berunsur mistik di Pulau Besar adalah seorang pendakwah Islam dari Timur Tengah. Menurut kitab Hikayat Raja-raja Pasai, juga kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang, beliau bertanggungjawab mengIslamkan negeri Samudera dan menabalkan pengasas kerajaan itu, Sultan Malikus Salih lebih 700 tahun lalu selain membawa syiar Islam ke beberapa negeri lain di bumi Timur ini.
Memang Sheikh Ismail dikenali sebagai wali Allah, maka tidak hairanlah jika makamnya dikatakan keramat dan beliau boleh melakukan pelbagai perkara mencarik adat. Tetapi adakah patut beliau meresap ke dalam badan seorang wanita lalu bercakap loghat Jawa dengan suara garau dan garang? Sedangkan setahu Rasyid, wali Allah berketurunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani ini berdarah Arab campur Parsi dan suka bertutur secara berhemah serta lemah-lembut… Lagipun bukan adab para wali memasuki tubuh badan orang apalagi seorang perempuan.
Mereka yang kurang ilmu mungkin akan cepat terpengaruh dan lekas percaya bahawa manusia seperti wanita tersebut memang telah diresapi roh wali sedangkan anak muda itu sudah lama bergaul dengan pelbagai pihak, tahu perbuatan sebegini lebih menghampiri sihir atau dilaksanakan dengan pertolongan jin samada Kafir mahupun Islam. Lalu dia teringat pesan seorang tua: Ketahuilah wali-wali itu wujud sampai sekarang dan memang mampu ghaib atau menghadirkan diri melampaui ruang dan masa. Tetapi mereka tidak akan meresapi tubuh orang lain kerana ini berlawanan dengan sifat mereka sebagai insan Al-kamil, manusia yang sempurna, yang telah mengenal makna keTuhanan dengan sebenar-benar perkenalan.
Kalau begitu, apakah yang sebenarnya meresapi badan ahli perubatan tradisional sebegini kemudian pandai pula bercakap Jawa? Mengajilah dengan guru mursyid... Fahamilah tipu-daya syaitan dan makhluk halus yang sentiasa cuba merendahkan martabat sebenar manusia dengan menyesatkan mereka… Hakikatnya orang seperti ini menggunakan pendamping dari kalangan jin samada sedar ataupun tidak... Ilmu kebatinan seperti ini boleh dipelajari dalam sesetengah perguruan silat. Tetapi ramai di antara mereka mengaku telah mendapat ilmu laduni dan kasyaf, mengaku sudah sampai ke taraf wali. Sedangkan pada orang yang betul-betul mengkaji serta mencontohi amalan dan cara hidup Nabi, amalan sebegini bukanlah cara hidup orang-orang Salih, apalagi pakaian seorang wali!
Maka itu janganlah merasa hairan, takjub apalagi taksub dengan orang-orang sebegini serta “karamah” yang ditonjolkan mereka. Setakat mahluk halus berbisik di telinga lalu memberikan maklumat tersembunyi, setakat pandang tembus melihat apa yang orang lain sedang buat di sebalik tembok atau melihat orang yang jauh mahupun apa yang terbetik di hati insan lain, setakat boleh mengerakkan benda-benda seperti keris dengan menggunakan ilmu tafakur dan nafas tak payahlah cakap banyak... Ramai orang mampu melaksanakan perkara sebegini dengan khidmat jin atau memakai Qarin (kembar manusia dari alam jin)...Tidak payah menjadi wali, tidak perlu pun mendekati perjalanan seorang Solehin. Pendek kata, walaubagaimana menakjubkan sekali pun kebolehan yang dipertontonkan, walau boleh mencairkan besi, berjalan di atas air, walau boleh terbang di langit seperti burung, ini belum boleh dikatakan bukti kewalian seseorang.
Seorang wali akan mencontohi akhlak, budi-bahasa serta cara ibadat yang terbaik seperti diamalkan Nabi Muhammad SAW. Solat dan puasa tetap dijaga malah jauh melebihi amalan orang biasa. Dan mereka selalunya akan menyembunyikan sifat karamah atau perkara-perkara mencarik adat yang ada pada mereka kecuali apabila betul-betul perlu atau terdesak... Seperti menolong orang yang dalam kesusahan, membuktikan kebenaran Islam apabila diperlekehkan atau berjihad ke jalan Allah.
p/s: Ini adalah artikel ke 656 di blogspot ini. Pada gambar atas ada tertera nombor pendaftaran kedai atau syarikat yang mengandungi nombor 131. Modelnya pun ada 3. Hmm... :]
Ahad, Mac 28, 2010
Mari meriahkan hari terakhir pesta buku!
Ini adalah tempat saya melepak di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010. Lihat artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Siap ada gitar lagi...
Al-Rasyid menjadi 'maskot'. Alhamdulillah anak saya yang kini berumur 5 bulan setengah ini tidak banyak kerenah. Dia seronok 'berkenalan' dengan orang ramai. Dia kan 'hero' buku "Berpetualang ke Aceh"...
Isteri dengan anak bergambar bersama orang kuat Karnadya, Uncle Arif. Kelihatan novelis Aina Emir sedang melayan peminat di sebelah tempat lepak saya. Cuma sayangnya disebabkan hal-hal lain saya datang lambat lagi siang tadi. Seperti hari Jumaat, saya sampai selepas jam 5 petang. Tapi tak pa le, janji selamat...Ahad siang ini adalah hari terakhir pesta buku. Disebabkan saya pula baru kembali dari Janda Baik jam 3 malam tadi maka saya kini bermalam di rumah seorang rakan di Jalan Ipoh. Dari situ hendak ke PWTC untuk Pesta Buku cuma sekitar 3-4 km sahaja. Insyaallah saya akan sampai lebih cepat... saya usahakan paling lambat pun jam 3 petang.
Pada sesiapa yang ingin berjumpa atau menyokong usaha saya menulis cerita-cerita berkaitan sejarah Islam dan kerajaan-kerajaan Melayu, silalah datang ke gerai kami seperti ditunjukkan dalam artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Merujuk kepada artikel Tiga buku baru untuk pesta buku... , saya ada membuat beberapa naskah buku baru. Sesiapa yang berminat boleh mendapatkannya di tempat lepak saya. Mari le meriahkan hari terakhir pesta buku!
Jumaat, Mac 26, 2010
Tiga buku baru untuk pesta buku...

Assalamuaikum semua! Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Pada awal pagi Jumaat yang mulia ini, setelah bertungkus-lumus selama 5 hari berturut-turut siaplah ketiga-tiga buku saya dalam siri baru yang dipanggil "Aceh selepas Tsunami"...
Siri buku ini memaparkan perjalanan saya bersama isteri ke Aceh 15 hingga 22 Jun 2009.
Bersaiz kertas A4 dengan setiap satu memiliki 50 mukasurat bergambar, ia adalah olahan balik daripada apa yang telah diluahkan di blogspot ini. Lihat Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... . Ceritanya hampir serupa tetapi dikarang balik untuk pembaca buku biasa...
Siri buku ini telah lama dirancang untuk dibuat. Malah kalau boleh saya mahu membuat banyak lagi buku-buku sebegini berdasarkan apa yang sudah sedia diluahkan di blogspot. Namun ada sahaja perkara yang melengah-lengahkan usaha. Akhirnya saya dapat gerak untuk betul-betul mencuba hari Isnin... baru jam 4 pagi tadi selesai segala-galanya.Dengan ini sukacita juga dimaklumkan saya akan mula tunjuk muka di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 yang sedang berlangsung di PWTC hingga hujung minggu. Insyaallah mulai Jumaat ini saya akan berada paling lewat pun selepas waktu pejabat hingga pesta tutup.
Pada mereka yang berhajat untuk membeli buku atau sekadar berjumpa, silalah datang ke gerai Karnadya Solution di Dewan Tun Razak 2 yang terletak di seberang sungai. Kalau tak tahu di manakah tempatnya sila lihat kembali artikel Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa . Sekian selamat malam... eh, dah Subuh daaa... :]
Jumaat, Mac 19, 2010
Buku-buku saya di pesta buku antarabangsa
Siang tadi, ketika orang sedang sibuk menyiapkan gerai masing-masing untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 yang akan bermula di PWTC esok, saya datang untuk mencari gerai Karnadya Solutions. Ini kerana buku-buku saya ada terdapat di gerai itu untuk pesta buku yang akan berlangsung sehingga 28 Mac, jam 10 pagi hingga 8 malam...
Sukacita dimaklumkan gerai itu terletak betul-betul berhadapan gerai buku PTS yang lebih terkenal. Dan kedudukan kedua-dua gerai terletak betul-betul di bahagian tengah Dewan Tun Razak 2 yang terletak di seberang sungai menghadap bangunan utama PWTC.
Sukacita juga dimaklumkan, seperti tahun lepas, saya akan menawarkan potongan harga 20 per sen untuk siri buku "Berpetualang ke Aceh". Maka buku pertama dengan sub-title "Mencari diri dan erti" dan kedua, "Membela syiar yang asal", setiap satu berharga RM24.90 akan ditawarkan pada harga RM20 senaskah. Buku ketiga "Sirih pulang ke gagang?" yang berharga RM27.90 pula akan menjadi RM22. Tetapi kalau beli satu set, harga jadi RM60 iaitu tolak lagi RM2, jauh bezanya dengan harga biasa satu set RM77.70.
OK. Siri ini diletakkan di Karnadya kerana mereka telah menerbitkan buku ke 4 saya "Rumah Azan" dan saya lebih kenal dengan mereka yang bergerak sebagai satu keluarga. Lihat artikel lama Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC . Saya tidak tahu berapakah tawaran yang akan diberikan untuk "Rumah Azan" tahun ini tetapi semasa ia dilancarkan di pesta buku tahun lepas, buku yang harga biasanya RM108 senaskah ini ditawarkan pada harga RM75.
Saya difahamkan buku ke 5 saya, buku berbahasa Inggeris bertajuk "Ahlul Bait and the Malay Sultanates" yang sebelum ini menghadapi sedikit masalah percetakan juga akan mula menemui khalayak umum pada pesta buku ini. Tapi anda kena cari gerai Crescent News di dewan yang sama. Saya lepas tangan, biar mereka mengatur segalanya. Lihat artikel My 5th book is out! Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW and the Malay Sultanates.... Selamat malam, eh... dah pagi buta daaa! :]
Maulidur Rasul di Aceh : Ke kompleks anak yatim Nurin di Lhoong
Di sini ditunjukkan kami sampai ke lapangan terbang sebelum singgah makan di sebuah restoran dengan pemandangan sawah padi meluas. Kemudian kami singgah di pejabat Nurin Travel milik Kak Ann di tengah Banda Aceh...
Lewat petang kami bertolak ke kompleks anak yatim Nurin yang didirikan Kak Ann di Lhoong, lebih kurang 50 km ke barat-daya Banda Aceh. Sengaja saya rekod dan paparkan pelbagai pemandangan dalam perjalanan agar pembaca dapat sedikit 'rasa'...
Siang tadi saya ada sedikit urusan di Kuala Lumpur yang melibatkan buku sebelum singgah ke pejabat akhbar The New Straits Times setelah lebih setahun tidak ke sana. Malamnya pula saya pergi ke satu lokasi yang lebih kurang sama jauh dari rumah (sekitar 40 km)untuk menghadiri satu majlis pernikahan. Sebaliknya berlaku sesuatu yang menyebabkan pernikahan tak jadi... saya pula terpaksa menjadi bidan terjun menerangkan keadaan untuk memastikan majlis tetap berjalan lancar dalam keadaan aman tanpa rasa sia-sia.
Balik pula saya melepaskan satu rasa panjang lebar melalui artikel Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : A feeling of old Kedah... or rather, old Malay country before Western colonialists spoiled everything? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Selesai itu baru saya boleh membuat artikel ini, kemudian harus membuat satu lagi artikel sebelum saya betul-betul dapat tidur...
Selasa, Mac 16, 2010
Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak...
OK. Sedikit latar-belakang pembuka cerita. Siri baru ini diberi tajuk "Maulidur Rasul di Aceh"... kerana memang perjalanan bulan Februari itu dilakukan untuk menghadiri satu majlis Maulidur Rasul di sana, tepat pada 12 Rabiulawal iaitu tarikh dikatakan Nabi Muhammad SAW dilahirkan lebih 1,400 tahun lalu. Satu perkara menarik... pada asalnya saya bercadang mahu menyambut hari Maulidur Rasul yang jatuh hari Jumaat itu di Perak, negeri kelahiran ayahanda saya. Ini kerana setelah berjaya memecah persoalan sebenar di sebalik sistem penggiliran takhta Perak serta identiti rahsia seorang moyang saya yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu @ Keramat Sungai Durian (lihat artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak...) saya bercadang untuk menziarahi makam beliau (baginda sebenarnya) yang lagi satu iaitu di atas identiti rahsia yang dimaksudkan.
Lewat Isnin itu saya mendapat panggilan dari kenalan saya Kak Ann, seorang warga Malaysia yang kini lebih selesa menetap di Aceh. Beliau mempelawa saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang akan diadakan di sebuah masjid yang baru siap dibinanya di Perlak, dalam wilayah Aceh Timur. Harus dimaklumkan bahawa saya mendapat pelawaan itu sebaik sahaja selesai menyajikan artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... berserta artikel sokongan bertajuk Teknik penggelapan salasilah.... Saya menolaknya kerana terasa tetap mahu ke Perak...
Oleh kerana Kak Ann juga mahu saya mendapatkan beberapa buah naskah buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu" untuk dijadikan hadiah kepada para ulamak yang akan hadir pada majlis nanti, saya pun memperkenalkannya dengan penulis buku, pasangan suami isteri Puan Suzana dan Haji Muzaffar lalu meminta mereka mengatur apa yang perlu tanpa kehadiran saya. Kemudian Puan Suzana memberitahu Kak Ann telah menjemput mereka suami isteri sebagai tetamu baru ke majlis Maulidur Rasul itu. Kebetulan mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Aceh dan baru merancang untuk ke sana, mungkin bulan Mei. Apalagi, ibarat kata pepatah, kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan...
Isteri saya pula terus 'monyok' sejak saya menolak pelawaan. Apabila mendapat tahu Puan Suzana suami isteri akan pergi, lagilah muncungnya naik, hehe. Puan Suzana pula kalau boleh mahu kami pergi sekali kerana tidak mengenali orang lain dalam rombongan akan datang ini. Saya pun memikirkan masak-masak... Perak tidaklah begitu jauh dari rumah kami sedangkan untuk ke Aceh apalagi menyambut Maulidur Rasul di Perlak, bumi terawal berdirinya sebuah keSultanan Ahlul Bait di Nusantara, itu adalah peluang yang datang jarang sekali... mungkin tak akan datang lagi.
Lagipun beberapa hari sebelum itu, ada terbetik di fikiran bahawa saya perlu menziarahi makam Sultan Malikus Salih 3 kali, baru selesai satu fasa persoalan. Sebelum itu saya sudah ke sana 2 kali, pertama semasa lawatan ke Aceh Jun 2009, kedua dalam lawatan Januari 2010. Saya pun menukar fikiran, isteri saya pula tersenyum lebar. Kak Suzana juga merasa senang apabila mendapat tahu saya menukar fikiran. Pada hari Selasa juga segala butiran penerbangan dapat diselesaikan. Sukacita dimaklumkan bahawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang baru melepasi umur 4 bulan pun dapat lagi ke Aceh, buat kali kedua, dalam tempoh 2 bulan!
Pada hari Rabu 24 Februari bergegaslah kami untuk berlepas. Di bawah adalah cantuman klik video pembuka cerita. Untuk penceritaan kali ini saya akan banyak luahkan melalui video ya. Ini kerana malam sebelum berlepas baru saya tersedar charger kamera Olympus kesayangan saya rosak teruk, tidak dapat dibaiki sedangkan cas bateri yang ada tinggal sedikit sahaja. Mana sempat nak cari charger baru dalam kesuntukan masa itu? Nasib baik Haji Muzaffar telah membeli sebuah perakam video baru. Maka jadilah saya tukang rakam video, dapatlah juga merakamkan cerita untuk anda semua...
Cerita bergambar menggunakan apa-apa gambar yang dapat ditangkap dengan perakam video, juga sedikit menggunakan kamera sendiri (saya menangkap tidak sampai 20 gambar dengannya) turut disajikan melalui siri penceritaan selari di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Lihat artikel Celebrating the Prophet's birthday in Aceh : A sudden unexpected trip... yang baru dibuat tadi.
Isnin, Mac 15, 2010
Al-Rasyid masuk 2 bulan di Fraser's Hill
Cerita bergambar tentang ini Insyaallah akan dibuat kemudian tetapi bukan dalam masa terdekat. Sebagai kesinambungan untuk siri "Jalan-jalan anak-beranak" merangkap peralihan untuk cerita perjalanan ke Aceh yang kemungkinan besar akan dimulakan sebaik sahaja masuk bulan Rabiulawal, biar dipersembahkan ini... satu perjalanan spontan membawa Al-Rasyid naik ke bukit peranginan Fraser's Hill...
12 Disember 2009. Erin dan Haziq sudah kembali ke Kelantan. Dua hari lagi isteri saya akan tamat cuti bersalin selama 2 bulan. Maka ada sedikit masa untuk berjalan lalu kami memutuskan untuk membawa Al-Rasyid pergi ke Kuala Kubu Bahru...
Dari Kuala Kubu Bahru timbul rasa untuk menghala ke Fraser's Hill pula. Kelihatan dalam gambar empangan Ulu Selangor yang mesti dilalui semua...
Tidak lama kemudian sampailah kami ke kaki bukit Fraser's Hill...
Oleh kerana semasa itu adalah tempoh masa giliran kenderaan untuk turun bukit (jalan mendaki Fraser's Hill adalah satu arah akibat ia sempit...), kami berehat dahulu di warung berdekatan.
Sempatlah bergambar...
Lalu kami sampai di atas ketika waktu Maghrib...
Ini adalah pemandangan cantik dari sebuah bungalow di tempat yang strategik...
Alhamdulillah, ketika kami sampai masih ada sebuah bilik untuk disewa...
Isteri saya dan Al-Rasyid bergambar di serambi bilik...
Esoknya 13 Disember... cukuplah umur Al-Rasyid 2 bulan. Gambar-gambar cantik dari bungalow pada siang hari telah diletakkan di dalam artikel Views from a bungalow on top of Fraser's Hill di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.Kompilasi "Jalan-jalan anak-beranak"
OK. Biar dibuat kompilasi yang mengumpulkan link-link untuk siri cerita "Jalan-jalan anak-beranak" yang baru tamat hari Sabtu. Tadi, saya juga telah membuat sebuah artikel baru bertajuk Views from a bungalow on top of Fraser's Hill di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Melihat tarikh gambar-gambar dalam artikel itu diambil di Fraser's Hill iaitu 13 Disember 2009, baru saya tersedar ketika itu baru anak kami Al-Rasyid betul-betul masuk umur 2 bulan. "Jalan-jalan anak-beranak" pula berlangsung 5 hari lebih awal. Ini bermakna Al-Rasyid baru sahaja berumur sebulan lebih semasa kami membawa dia berjalan-jalan bersama kakak dan abangnya. Hmm... kenalah saya memperbetulkan ini di setiap artikel di bawah...
Jalan-jalan anak-beranak : Kuala Selangor sebagai tempat pembukaan...
Jalan-jalan anak-beranak : Bermain-main di Tanjung Sepat
Jalan-jalan anak-beranak : Ke Port Dickson terus ke Tanjung Tuan
Jalan-jalan anak-beranak : Kuala Linggi waktu Maghrib dan Melaka waktu malam
Jalan-jalan anak beranak : Ronda-ronda Melaka di siang hari
Jalan-jalan anak beranak : Muar... satu legasi lama purbakala?
Jalan-jalan anak-beranak : Akhirnya, dapat naik river cruise Sungai Melaka malam hari...
Jalan-jalan anak-beranak : "International port" Janda Baik sebagai pelengkap?
Sabtu, Mac 13, 2010
Buku "Berpetualang ke Aceh" di Amerika dan Australia...

Tadi, setelah selesai bercerita panjang lebar dalam artikel Jalan-jalan anak-beranak : "International port" Janda Baik sebagai pelengkap? (tamat ditulis jam 4:46 pagi), saya masih tak boleh tidur. Lalu saya tergerak untuk menyemak 2 link website yang ada diletakkan di ruang atas blogspot di mana saya ada menyebut:
------------------
Siri buku "Berpetualang ke Aceh" mendapat perhatian golongan pembaca yang serius dan suka berfikir. Ia turut disimpan di Library of Congress America dan National Library of Australia! Semak sendiri kenyataan di http://www2.library.ohiou.edu/info/newacq/2008-10/p.html dan http://catalogue.nla.gov.au/Record/4535157
-----------------
Namun saya dapati link http://www2.library.ohiou.edu/info/newacq/2008-10/p.html tidak boleh dipakai lagi. Lalu dengan menggunakan Google, saya cuba mencari isi serupa yang menjadi bukti buku "Berpetualang ke Aceh" ada disimpan di Library of Congress di Amerika... terjumpa alamat yang sedikit berbeza ini... http://www.library.ohiou.edu/info/newacq/2008-10/p.html.
Melihatkan alamat yang berubah sedikit boleh menimbulkan masalah, saya risau jika isinya nanti hilang terus. Saya mahu ia senang dicari dan dilihat agar orang ramai tahu buku "Berpetualang ke Aceh" telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Maka itu saya buat snapshots di atas. Perhatikan... jika anda masuk ke website tersebut anda akan terjumpa isi seperti dalam gambar paling atas. Scroll ke bawah dalam beberapa saat dan anda akan nampak nama buku "Berpetualang ke Aceh" tersenarai sebagai salah satu bahan bacaan yang ada di Library of Congress ini.
Nasib baik alamat untuk website di Australia tetap sama. Malah anda boleh masuk terus dan melihat nama buku "Berpetualang ke Aceh" tersenarai dengan sedikit butiran. Kalau ikutkan, saya tidak mahu membuat artikel ini kerana tidak mahu ia menolak artikel Jalan-jalan anak-beranak : "International port" Janda Baik sebagai pelengkap? 'jatuh' ke bawah, sekurang-kurangnya dalam tempoh 2-3 hari ini. Maklumlah saya telah menulis artikel tersebut dengan penuh penat-lelah luahan rasa dan kenangan pahit manis yang mengalir tanpa diundang. Saya tidak mahu pembaca terlepas pandang hanya disebabkan ada artikel lain sudah 'menaiki takhta'...
Namun seperti disebut di atas tadi, saya juga tidak mahu bukti-bukti tentang keberadaan buku "Berpetualang ke Aceh" di pentas antarabangsa boleh hilang begitu sahaja. Maka itu saya buat artikel baru ini agar boleh diletakkan linknya di ruang atas blogspot ini. Lagi cepat selesai lagi bagus... cukup.






