Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mei 24, 2025

Forum tentang semangat ketamadunan Palestin dan Al-Aqsa - Apa yang kita boleh buat?

Pergi lagi ke perkongsian majlis ilmu, ke-4 sejak setengah bulan lalu.



Buat entah ke berapa kali, sekali lagi biar dimulakan penceritaan dengan makan nasi beringin, di medan selera bersebelahan pejabat lama saya, The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar, tengah hari Jumaat 23 Mei 2025 bersamaan 25 Zulkaedah 1446 Hijriah.



Sama seperti halnya seminggu sebelum itu iaitu seperti diceritakan dalam artikel Menghidupkan semangat perjuangan Palestin dan Al-Aqsa melalui seni dan tinggalan aluminium Kubah As Sakhrah, selepas makan pergi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku untuk menunaikan solat Jumaat. Bezanya, kali ini dengan menaiki kereta.




Parkir di satu sudut berseberangan dengan masjid ISTAC. Ini mungkin kali pertama parkir di belah sini.




Sebelum masuk waktu dapat menghabiskan bacaan 10 muka surat terakhir Al Quran lalu mengkhatamkan bagi bulan Zulkaedah.




Selepas solat Jumaat beriktikaf di masjid lalu menyambung sedikit kajian dan penulisan tesis PhD di ISTAC.



Adapun kali ini datang ke ISTAC untuk majlis seperti tertera dalam poster, forum tentang semangat ketamadunan Palestin dan Al-Aqsa. Ia adalah kesinambungan daripada perkongsian juga syarahan seperti diceritakan dalam Menghidupan semangat perjuangan Palestin dan Al-Aqsa melalui seni dan tinggalan aluminium Kubah As Sakhrah. Untuk pengetahuan, majlis ini, syarahan sebelumnya juga pameran berkenaan diusahakan oleh Profesor Dato' Dr Murad Merican yang menerajui unit dunia Melayu ISTAC. Hampir sahaja ia tidak jadi, atau sekadar jadi atas talian. Ini kerana ditakuti orang tak datang akibat banyak laluan di Kuala Lumpur terganggu disebabkan mesyuarat  kemuncak ASEAN yang bermula baru ini.




Tentang gangguan laluan saya sebenarnya mendapat kesan positif daripada itu. Sejak meninggalkan rumah 50 km ke Bangsar kemudian ke ISTAC perjalanan menjadi mudah kerana kurang kenderaan, hampir tiada langsung kesesakan yang biasa melanda pada waktu itu. Oh. Saya menyertai majlis jam 3 petang. Cukuplah dinyatakan kali ini lebih banyak dibincangkan tentang nasib orang Palestin di Gaza selain hal berkenaan Masjidil Aqsa. 

Turut dibincangkan langkah-langkah yang boleh dibuat untuk membantu pada kala negara-negara Arab sekeliling Palestin pun dilihat seperti dicucuk hidung supaya mengikut sahaja kata-kata Amerika Syarikat yang menyokong kuat kekejaman Israel terhadap Palestin. Ini antaranya adalah berdasarkan realiti semasa bahawa sudah banyak pihak termasuk di Eropah dan Amerika sendiri mengecam Israel lalu menyokong hak Palestin untuk melawan. Malah dikatakan negara Cina baru ini telah menyatakan kecaman kuat di ICJ (International Court of Justice - Mahkamah Keadilan Antarabangsa) di Belanda. Kelihatan ada kemungkinan kuat kecaman kuat dan desakan untuk bertindak terhadap Israel yang selama ini asyik dipatahkan oleh kuasa veto Amerika di PBB, Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu boleh dizahirkan. Ada caranya insyaallah. Salah seorang pembentang merupakan antara yang terlibat mengusahakan di ICJ.




Tak perlulah dinyatakan secara terperinci apa yang dikatakan oleh setiap pembentang. Pergi terus pada sebahagian rumusan yang dibuat oleh dekan ISTAC, Profesor Datuk Dr Abdelaziz Berghout (tiada dalam gambar kerana diambil awal majlis). Dikongsikan bagaimana negara asal beliau iaitu Algeria  pernah bangkit daripada kekejaman Perancis yang pernah menjajah. Dikatakan bahawa ketika berlaku perang bagi membebaskan Algeria (1954-1962) sekitar 7 juta warga tempatan terbunuh! 

Pernah berlaku dalam satu hari sahaja hampir 50,000 orang terbunuh. Berbanding dengan jumlah penduduk Gaza yang terbunuh setakat ini iaitu hampir 55,000 jiwa sejak tercetus konflik terbaru 7 Oktober 2023 keadaan di Algeria adalah jauh lebih teruk. Namun mereka dapat bangkit selepas itu. Daripada pengalaman tersebut muncul seorang cendekiawan besar iaitu Malik Bennabi.

Tentang tokoh yang hidup 1905-1973 ini ada dikongsikan sedikit dalam artikel Pemikiran dan pendekatan Malik Bennabi dalam pembaharuan ketamadunan dan reformasi lebih setahun lalu. Abdelaziz menambah satu perkara sangat penting dinyatakan oleh Bennabi - Kenapa Algeria malah umat Islam secara umum dapat dijajah oleh kuasa-kuasa Barat? Ini disebabkan apa yang disebut sebagai colonialisibility - keupayaan untuk dijajah. Ini merujuk pada kelemahan diri sendiri memberikan ruang untuk orang lain masuk menjajah. Cukup perkongsian.


Nota "faham-faham jelah" : Sebetulnya saya hendak meletakkan video acara di bawah ini supaya boleh diikuti sendiri segala isi perbincangan. Semalam ketika mengikut acara secara fizikal ada nampak rakaman sedang berjalan lalu boleh ditelaah secara atas talian. Namun hari ini cari dah tak jumpa. Mungkin kerana banyak perkara sensitif  telah dibincangkan. 

Maklumlah kita ni orang kecik je. Hajat untuk membantu saudara seIslam amat kuat. Tapi kemampuan tak seberapa, setakat mampu bersuara. Itupun kalau silap cara boleh mendapat bahana.

Misalnya menyatakan ada negara Islam begitu kuat mengikut telunjuk Amerika lalu langsung tidak mengecam Israel, apatah lagi hendak menolong Palestin. Silap cara, individu yang menyuarakan boleh dihalang daripada masuk menunaikan haji. Kalau dibesar-besarkan malah boleh menjejaskan hubungan antara negara. 

Rumit sebenarnya keadaan. Bukan semudah melaungkan slogan-slogan perjuangan di jalanan. Inilah realiti satu perjuangan. Hendak menjayakan perlu bijak. Jangan hanya menang sorak tapi kampung tergadai.


Isnin, Mei 19, 2025

Menghidupkan semangat perjuangan Palestin dan Al-Aqsa melalui seni dan tinggalan aluminium Kubah As Sakhrah

Salam. Lagi sekali tentang majlis ilmu. Tapi kali ini agak lambat hendak dikongsikan cerita kerana entah kenapa kepala asyik terasa berat semacam setiap kali apabila memikirkan hal berkenaan iaitu tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib orang Palestin terutama di Gaza.



Seperti beberapa cerita yang berlaku hari Jumaat, cerita kali ini yang berlaku Jumaat baru ini 16 Mei 2025 boleh dianggap dibuka dengan menikmati hidangan nasi beringin di medan selera bersebelahan pejabat lama saya iaitu akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar.



Saya pergi dengan menaiki motosikal besar kesayangan. Kebetulan ada ruang parkir betul-betul di hadapan pintu masuk utama pejabat. Jumaat minggu sebelumnya ada datang menaiki motosikal bersama isteri, selepas menghantar beliau untuk  mesyuarat persatuan sekerja di satu bangunan agak berdekatan. Tetapi kali itu dapat ruang parkir sedikit jauh dari pintu masuk ini.



Apapun, tujuan utama keluar hari itu adalah untuk ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Kalau sempat selalunya saya akan makan tengah hari nasi beringin di Bangsar sebelum ke ISTAC.



Suasana selepas selesai solat Jumaat di masjid ISTAC.



Sekarang pergi pada majlis ilmu yang bermula jam 3 petang itu. Ia adalah syarahan yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Al-Aqsa - Sekarang di Malaysia" oleh Dr Osama Odeh, seorang jurutera warga Palestin. Syarahan diadakan sempena pameran "Al-Aqsa Hidup : Semangat Ketamadunan dan Kebebasan Palestin" yang baru bermula di ISTAC.



Kelihatan Osama yang dinyatakan dalam poster sebagai pengerusi sebuah syarikat yang menjadi satu-satunya pembeli/pemilik logam aluminium yang pernah meliputi kubah as Sakharah di Masjidil Aqsa. Pelik juga memikirkan kenapa hal itu ditekankan. Sabar. Nanti akan diterangkan.



Beliau memulakan dengan menceritakan kepentingan kedudukan kota Jerusalem atau Baitul Maqdis dalam peradaban dunia. Ia pernah dilihat sebagai pusat dunia, pertengahan dan penghubung antara benua Asia, Eropah dan Afrika. Turut diceritakan kedudukan dalam peristiwa Isra' dan Mikhraj. Sesungguhnya di kota itulah Nabi Muhammad SAW pernah mengimamkan solat bersama para nabi terdahulu selepas sampai dari Mekah. Dari Baitul Muqaddis baginda kemudian dibawa menaiki langit.




Lakaran Masjidil Al Aqsa di Baitul Muqaddis.



Kubah As Sakhrah, disebut sebagai "Dome of the Rock" (oleh dunia Barat. Ini kerana kubah tersebut dibina melindungi sebuah batu besar yang menjadi kedudukan Rasulullah SAW mula diangkat ke langit.




Gambar-gambar lama kubah.




Pada tahun 1964 kubah diliputi aluminium kerana struktur lama sudah mudah dimasuki air hujan. Kata Osama proses pembuatan aluminium baru ditemui waktu itu. Ia dianggap logam terbaik untuk meliputi bangunan. Pada masa itu harganya lebih mahal dari perak.




Tahun-tahun kemudian menyaksikan penemuan-penemuan baru menyebabkan aluminium menjadi lebih mudah untuk dihasilkan lalu turun harga. Sambil itu muncul logam brass atau loyang yang dilihat lebih baik dan tahan. Tahun 1992 hingga 1994 diadakan projek bagi memperbaiki lagi Kubah As Sakhrah. Aluminum yang pernah meliputi sejak tahun 1964 dicabut keluar digantikan dengan loyang yang disadur emas, membentuk kubah berwarna keemasan yang wujud hingga sekarang.




Osama adalah jurutera utama yang terlibat dalam proses pembaikan. Kelihatan beliau di sisi kubah dalam gambar paling kanan atas.




Syarikat beliau adalah satu-satunya pembeli dan pemilik aluminium yang pernah melindungi kubah.




Daripada aluminium itu dibuat sejumlah barangan sebagai lambang Masjid Al-Aqsa serta perjuangan warga Palestin akan terus bertahan. Anda boleh lihat sendiri sebahagian di pameran di ISTAC. Lihat artikel "Al-Aqsa Alive" exhibition in ISTAC  di  blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Nota : Pada awal artikel ada disebut cerita ini agak lambat dikongsikan kerana entah kenapa kepala terasa berat semacam setiap kali apabila memikirkan hal berkenaan iaitu tentang Masjid Al-Aqsa dan nasib orang Palestin terutama di Gaza. Sebetulnya saya sangat sedih dengan apa yang sedang berlaku di Gaza, tetapi jarang sekali menyatakan rasa dalam apa-apa penulisan. Bukan kerana tidak prihatin tapi dah tak terkata apa. Apabila menulis ini baru dapat menyatakan sedikit rasa. 

Nak turun padang pergi berperang tak mampu. Kita boleh cakap dan mengaku macam-macam. Tapi kalau setakat sampai ke lapangan terus kena letup tidak mampu membawa perubahan yang cukup bermakna apa guna? Sedangkan di negara kita sendiri ini pun banyak yang perlu dibela. 

Lihat sahaja tanah-tanah kita yang diambil orang bukan Melayu dan bukan Islam sesuka hati, kes durian Musang King, kes kuil haram. Dalam keadaan begini tak guna bercakap banyak. Lagipun dah ramai yang melakukan "kerja" bercakap banyak itu. Tak perlu menambah rencah.

Adakalanya rasa yang terbuku itu lebih elok dizahirkan secara isyarat. Misalnya melalui syarahan dan pameran berkenaan. Biar orang lain yang mahu kelihatan lebih hero memekik terlolong melaungkan slogan perjuangan. 


Selasa, Mei 13, 2025

Al-Jawa'ib (1861-1885) : Apa yang ia beritahu tentang hubungan antara dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah

Salam petang Selasa 13 Mei 2025 bersamaan 15 Zulkaedah 1446 Hijriah. Adapun bagi ramai orang Melayu yang ambil tahu hal "abata" iaitu agama, bangsa dan tanah air, tarikh 13 Mei sering dikaitkan dengan peristiwa rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969. Namun bagi saya sendiri iaitu sejak tahu tentangnya 2-3 tahun kebelakangan ia adalah tarikh nikah datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin dengan isterinya Hajah Halijah binti Haji Musa tahun 1875. Pada tarikh tersebut tahun ini pula ada satu majlis ilmu yang terasa ada kaitan. Biar dibuat perkongsian. Kiranya bersambung gerak tentang majlis ilmu daripada artikel Mengapa idea madani wajar dipopularkan Khamis lalu.



Tajuk majlis boleh diterjemahkan sebagai :Al-Jawaib (1861-1885) : Apa yang ia Beritahu Tentang Hubungan antara dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah". Membawa tajuk adalah Profesor Madya Dr Mehmet Ozay dengan Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican sebagai pemudahcara, kedua-duanya daripada ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).



Bergeraklah ke lokasi di kampus ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur dengan motosikal besar kesayangan untuk ke majlis jam 2.30 petang tadi.



Kelihatan tidak ramai menyertai.



Pun begitu ada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengikuti secara atas talian. Untuk pengetahuan baginda adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan induk yang menaungi ISTAC. Dan sejak hampir penghujung tahun lalu baginda juga sudah menjadi pelajar sarjana di ISTAC.



Pergi terus pada perkongsian ilmu. Pembentang iaitu Mehmet Ozay adalah warga Turki yang pernah menjadi pensyarah di Aceh lalu berkahwin dengan orang sana. Mereka sekarang menetap di Malaysia.




Al-Jawa'ib merujuk pada surat khabar terbitan Turki Uthmaniyah berbahasa Arab yang diasaskan seseorang bernama al-Shidyaq. Ia adalah kata majmuk daripada perkataan Arab ja'ib yang membawa maksud sesuatu yang mengembara, sampai, juga membujur lalu. Ia terbit daripada akar huruf sama dengan perkataan jawab, yang dalam bahasa Melayu turut disebut jawab. Tetapi jika jawab membawa pada resolusi dan penutup suatu isu jawa'ib pula menerbitkan rasa pergerakan, gangguan. menyeberang sempadan. Ia adalah berita yang mengembara tanpa dijangka, memacu rasa ingin tahu lebih lanjut lagi, bukan sekadar memuaskan.




Akhbar diterbitkan tahun 1861 berlatarbelakangkan keadaan semasa kuasa-kuasa Eropah cuba mengasak kerajaan Turki Uthmaniyah yang merupakan satu empayar Islam terbesar.  Pada zaman itu juga kuasa-kuasa Eropah sedang galak menjajah negara-negara di luar Eropah termasuk kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu. Akhbar seperti Al-Jawa'ib menjadi suatu macam jambatan yang membawa berita dan menyebarkan ke seantero rantau-rantau berkenaan.




Satu gambar muka akhbar. Penumpuan diberikan terhadap terbitan tahun 1861-1885. Ketika itu media cetak sedang berkembang di jajahan takluk Uthmaniyah yang sangat luas termasuk di Semenanjung Arab. Pihak berkuasa mereka memantau segala macam pergerakan berkaitan.




Ditekankan tentang peranan seorang Sayyid atau Habaib dari Aceh yang dikenali sebagai Al-Zahir datang ke Turki untuk meminta  Sultan Uthmaniyah membantu Aceh menghadapi usaha Belanda yang semakin galak mengasak, setelah berjaya mengalahkan dan menjajah banyak kerajaan di dunia Melayu. Kajian tentang Al-Jawa'ib memberikan sebanyak persoalan seperti jawaban. Apakah kepentingan hubungan antara Al-Shidyaq dengan Al-Zahir? Apakah isi dan maksud setiap bentuk perhubungan? Apakah peranan Al-Jawa'ib dalam memperbaharui hubungan antara dunia Melayu dengan Uthmaniyah? Kenapa Kesultanan Aceh, sebagai sebahagian daripada dunia Melayu, meminta hubungan politik dengan Uthmaniyah? Apakah dibalas? Apakah akibat sebenar daripada proses berkenaan?




Saya tidak ingin mengulas panjang. Sebentar lagi hendak masuk waktu Maghrib lalu ingin membuka puasa sunat bagi 15 Zulkaedah, hari ketiga berpusa putih sejak siang Ahad 13 Zulkaedah.







Cukuplah dikongsikan sedikit lagi slaid tanpa penerangan...










Cukuplah dikatakan Al-Jawa'b, pada tempoh masa berkenaan, menunjukkan memang ada hubungan antara dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah.



Ada yang jelas dinyatakan dalam akhbar lalu dapat ditelaah semua pihak termasuk musuh seperti Belanda yang bakal membentuk negara Indonesia, juga British/Inggeris yang bakal membentuk Malaysia.






Namun ada yang dapat ditelaah secara tersirat. Zahirnya Uthmaniyah tidak dapat memberikan bantuan yang diharap oleh kerajaan Melayu kerana dikekang masalah sendiri sambil segala hubungan, surat menyurat dipantau pihak musuh. Batinnya ada gerakan-gerakan tidak rasmi. Dan ada rantaian termasuk melalui jaringan ulamak menghubungkan perjuangan di dunia Melayu dengan kerajaan Uthmaniyah di Turki yang dilihat sebagai pusat kekhalifahan.


Khamis, Mei 08, 2025

Mengapa idea Madani wajar dipopularkan

Salam malam Jumaat 11 Zulkaedah 1446 Hijriah. Pergi pada majlis ilmu.



Selasa malam Rabu 6 April guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menghantar poster ini melalui WhatsApp. Beliau selalu menghantar poster bagi majlis-majlis ilmu melibatkan beliau. Ada beberapa dalam tempoh sebulan kebelakangan tetapi tidak dapat dihadiri disebabkan komitmen lain. 




Kali terakhir dapat menyertai lalu bertemu beliau adalah pada minggu terakhir bulan puasa  sebulan setengah lalu. Lihat QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf. Pada tarikh untuk majlis baru ini iaitu 7 Mei saya harus berada di Shah Alam kerana menghantar isteri ke tempat kerja kemudian menunggu habis kerja. Ini biasa dilakukan sejak beberapa bulan kebelakangan, sejak  kedua-dua anak 'kecil' sudah masuk asrama tahfiz lalu tinggal kami berdua sahaja di rumah. Sambil menunggu itu melepaklah di masjid atau mana-mana  tempat. Boleh mengaji Al Quran mengejar pengkhataman bacaan setiap bulan Islam, boleh sambung kajian dan penulisan tesis PhD di ISTAC dan sebagainya.




Apabila tersedar majlis diadakan pada waktu malam lalu isteri pun dapat bersama terus dari Shah Alam baru menyatakan insyaallah akan hadir. Sampai masanya iaitu malam semalam bergegaslah ke lokasi iaitu kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak.




Tajuk majlis iaitu "Mengapa Idea Madani Wajar Dipopularkan" kedengaran berbau politik. Ini disebabkan perkataan Madani itu selalu dituturkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah dijadikan slogan utama kerajaan sekarang yang dipimpin beliau. Bagi sesetengah orang ia cuma slogan muluk indah khabar dari rupa. Banyak perkara realiti di luar sana dilihat tidak selari dengan pernyataan dalam wawasan. 

Misalnya hal kuil haram diberikan pampasan, dusun durian atas tanah hutan yang diceroboh dipertahankan, orang bukan Melayu dan bukan Islam kelihatan lebih banyak dibela, keluh kesah orang Melayu dan Islam pula diketepikan atas nama 'keharmonian' bagi menjaga hati orang lain. Campur sekali pelbagai janji yang pernah dibuat semasa pilihanraya, seperti menurunkan harga minyak juga memperjuangkan kebebasan bersuara. Tetapi kelihatan lain jadinya apabila dapat membentuk kerajaan. Lalu slogan Madani malah menjadi bahan lelucon ramai.




Ya, slogan atau terma Madani itu sangat terlekat dengan Anwar dan kerajaan sekarang. Namun sebagai anak murid Osman lalu telah lama mengikuti syarahan demi syarahan beliau saya cukup faham. Idea ini, dalam erti kata sebenarnya, sudah lama wujud dalam dunia pemikiran Islam. Ia secara praktikalnya terzahir seawal wujudnya kota Madinah yang didirikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lalu. 

Perkataan Madani yang terkait dengan akar kata Madinah (kota dalam bahasa Arab) dikatakan mula diangkat oleh ilmuwan Islam al-Farabi yang hidup kurun ke-9 hingga ke-10 Masihi. Pemikiran tokoh ini banyak diperkatakan Osman dalam syarahan-syarahan di ISTAC lalu saya ada mengikuti beberapa dan menulis tentangnya.  Lihat artikel-artikel lama berikut :-

Tentang kota Madinah, Osman pernah memberikan syarahan berkenaan pada tahun 2019. Lihat Madinah sebagai manifestasi keTauhidan Muhammad dalam kehidupan bermasyarakat - Rujukan bagi setiap kota semua zaman. Tentang Madani ada syarahan-syarahan beliau diikuti pada tahun 2023. Lihat  Osman Bakar dan Madani - Usaha bagi menggapai satu idealisma tinggi




Majlis atau syarahan kali ini adalah yang pertama dalam siri "Syarahan Idea Madani" di UIAM. Tajuk ""Mengapa Idea Madani Wajar Dipopularkan" adalah yang pertama dan pembuka siri. Syarahan dibuat sepenuhnya dalam bahasa Melayu, satu perkara yang jarang berlaku dalam majlis besar rasmi di UIAM. Ini kerana bahasa penghantarnya adalah bahasa Inggeris. Terdapat ramai pelajar dan kakitangan daripada luar negara yang tak faham pun bahasa Melayu. Dapat dilihat ramai antara mereka hadir syarahan.




Slaid-slaid yang dipaparkan adalah ringkasan dan intipati syarahan. Osman yang merupakan Rektor ke-7 UIAM selain terus memegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC mengembangkan penerangan berdasarkan slaid. Harus ditekankan idea atau konsep Madani sebenarnya adalah tentang membina peradaban kota berdasarkan prinsip syumul Islam. Ia adalah satu idea atau gagasan besar yang bersifat perennial atau abadi, kebenaran yang tidak luput zaman. Ini kerana berdiri berdasarkan sifat semulajadi manusia yang perlu hidup bermasyarakat. Maka ada keperluan untuk mengatur supaya semua mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Cara mengatur sebaiknya, itulah Madani yang sebenar. Gagasan serupa tetapi atas nama lain pernah diutarakan pemikir Yunani, Aristotle tiga abad Sebelum Masihi.




Nabi Muhammad SAW berjaya menzahirkannya secara praktikal atau amali pada abad ke-7 Masihi apabila mengasaskan  kota Madinah yang turut diduduki bukan Islam. Ada Piagam Madinah, dikatakan piagam bertulis terawal dalam sejarah manusia, dibentuk baginda berdasarkan wahyu berserta maklum balas daripada penduduk pelbagai latar belakang. Gagasan dalam bentuk teori ilmiah supaya boleh diaplikasikan pada kota-kota kemudian dikehadapankan oleh Al-Farabi lebih dua abad selepas itu. Pemerhatian berkenaan dipanjangkan oleh pemikir seperti Ibnu Khaldun lebih 400 tahun kemudian iaitu pada abad ke-13 Masihi. Anwar Ibrahim cuma berperanan mengangkat untuk diaplikasikan dalam pembangunan Malaysia sekarang.



Wawasan Madani sebenarnya adalah lebih luas daripada sekadar slogan politik. Namun ia menerima cemuhan daripada mereka yang tidak faham asal usul sebenar idea dan konsep. Pun begitu tak boleh disalahkan 100 peratus mereka yang memandang serong. Ini disebabkan realiti keadaan zaman yang dipengaruhi kehendak pelbagai pihak termasuk yang bertentangan dengan Islam telah menyebabkan makna Madani seperti disempitkan dalam kerangka pemikiran ilmu sosiopolitik Barat. 

Masih belum terlambat untuk kita sebagai umat Islam terutama golongan cendekiawan berusaha untuk membentuknya ke arah yang sepatutnya. Itulah sebab disyarahkan di UIAM. Universiti yang kini diiktiraf sebagai instituti pengajian tinggi Islam terbaik di dunia ini baru ditugaskan untuk menerajui usaha bagi memurnikan perkara dan memberi ramai faham. Ikuti sendiri majlis melalui video bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,662 di CATATAN SI MERAH SILU.




Sekadar menambah. ISTAC adalah institusi tertinggi untuk pemikiran di UIAM. Malah dalam kalangan ramai cendekiawan antarabangsa ia lebih dikenali berbanding badan induk yang menaunginya itu lalu dilihat sebagai berdiri sendiri. Saya ada mengumpulkan sejumlah artikel tentang syarahan-syarahan di ISTAC terutama melibatkan Osman. Lihat Majlis-majlis ISTAC sejak mula terlibat tahun 2016. Tetapi itu sekadar hingga ke bulan Oktober tahun lalu. Selepas itu banyak lagi majlis diikuti lalu dikongsikan cerita. Cukuplah untuk menyatakan bahawa saya cukup faham dengan gagasan-gagasan yang diutarakan. 

Saya seorang idealis, berpegang pada idea-idea muluk demi kesejahteraan ummah. Yang dipersoalkan cuma perlaksanaan. Sebagai seorang yang masih berusaha untuk memperbaiki diri yang banyak dosa dan kepincangan, sampai sekarang, ketika umur hendak menghampiri 55 tahun ini saya masih selalu beriktikaf dan bermalam di masjid seorang diri selain suka masuk hutan, juga berseorangan walau dalam kegelapan malam. Ini adalah antara amalan supaya dapat terus berpegang pada idealisma dan prinsip. Supaya tidak takut mati, tidak takut diduga demi satu perjuangan. Saya ada gagasan berkenaan melibatkan amanah dan peranan darah keturunan.

Namun realitinya di luar sana terdapat ramai yang suka melaungkan slogan-slogan muluk termasuk yang bersifat keagamaan tetapi sebenarnya terlalu terikat dengan keselesaan keduniaan. Ramai sanggup menggadaikan prinsip, supaya dapat terus hidup selesa malah menjadi terlebih kaya raya. Malah ramai yang sejak awal tidak ada prinsip pun. Yang ada cuma pegangan realpolitik bersifat Machiavellian matlamat menghalalkan cara untuk jadi berkuasa. Dalam dunia politik terdapat ramai manusia sebegitu. Mereka-mereka inilah yang menyebabkan gagasan-gagasan indah jadi tinggal slogan. Semoga dapat berubah menjadi orang yang betul-betul mengotakan kata-kata perjuangan demi kesejahteraan ummah.


Asbab ke Muar awal Zulkaedah

 Artikel kompilasi bagi siri kecil berkenaan.


Perjalanan berlaku atas asbab mahu menziarahi ibu bapa saya di kampung di Muar mengambil kesempatan atas cuti Hari Pekerja pada hari Khamis 1 Mei. Tetapi ia secara rasminya bermula lebih awal pagi Selasa 29 April 2025 bersamaan 1 Zulkaedah 1446 Hijriah apabila meninggalkan rumah untuk menghantar isteri ke pejabat di Shah Alam. Malam itu tidur di rumah makcik di Petaling Jaya, adik kepada ibu, sebelum menghantar lagi isteri ke pejabat pagi Rabu 30 April. Petang itu mengambil makcik yang mahu ikut sekali kembali ke Muar. Dalam perjalanan singgah ke rumah saudara diikuti rumah adik di Melaka.

Pagi Khamis 1 Mei bersamaan 3 Zulkaedah keluar membawa ibu bapa berjalan-jalan di bandar Muar. Jumaat 2 Mei pula saya keluar berseorangan ke Parit Sulong, Batu Pahat untuk menunaikan satu hajat yang sudah lebih 40 tahun tertunda - Untuk mendaki bukit bukau yang pertama kali dilihat ketika menumpang kereta seorang saudara dua pupu kembali dari bercuti ke sekolah asrama penuh, Sekolah Menengah Sains Johor atau SMSJ di Kluang. Malam itu ke majlis marhaban di rumah saudara yang mana saudara dua pupu yang sudah lama tidak ditemui itu ada. Esoknya Sabtu 3 Mei bersamaan 5 Zulkaedah meninggalkan kampung untuk kembali ke Lembah Klang. Singgah dahulu ke beberapa tempat ke arah Segamat untuk majlis perkahwinan saudara sebelum singgah lagi ke beberapa rumah saudara membawa ke Seremban. Semuanya berlaku atas asbab mahu ke Muar itu.


1. Surau (Praying hall of) Al-Ansor, Seksyen 2, Shah Alam

2. Asbab ke Muar awal Zulkaedah - Antara Shah Alam, PJ dan kenangan lama

3. Climbing Bukit Botak at Parit Sulong