Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mac 03, 2024

Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari

Mengumpulkan sejumlah cerita yang diringkaskan dalam satu artikel. Ia meliputi 5 majlis akademik, satu majlis zikir/ maulud serta pelbagai aktiviti lain termasuk mendaki bukit.



Pagi Khamis 29 Februari saya memulakan satu permusafiran seorang diri selama 2 hari.




Perginya setakat di Lembah Klang tetapi ada pelbagai majlis mahu diikuti serta aktiviti. Mula sekali di Arkib Negara.



Alhamdulillah kali ini baru mendapat satu bahan yang dicari sejak lebih sebulan lalu. Sebelum mendapat bahan timbul niat untuk menghadiahkan senaskah buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" untuk simpanan arkib. Tanpa disangka diberikan sijil seperti yang tertera.

Ps : Saya letak sijil "berconteng" kerana dinasihatkan begitu. Ini kerana katanya di luar sana ada sahaja kaki scam juga kaki sailang yang sanggup mengambil kesempatan atas sijil-sijil sebegini.




Seterusnya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamaduan Islam) di Bukit Tunku.




Ada "Seminar Pengukuhan Nilai Dari Perspektif Syariah Ke Arah Kemampanan Tadbir Urus Baik" anjuran JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).



Menjengok sebentar majlis di dewan utama...




Namun tujuan utama saya ke ISTAC hari itu adalah untuk mengikuti majlis lain .








Diadakan di kafe ISTAC, ia lebih merupakan sesi sembang-sembang bersama Duta Besar Pakistan ke Malaysia.



Selepas itu  mengikuti majlis tentang "naik haji" secara atas talian. Boleh tonton rakaman Facebook livenya di sini.




Selepas beberapa lama baru betul-betul mengikut majlis anjuran JAKIM. Rakaman penuhnya ada di sini.




Petang selepas Asar bergerak ke satu bukit yang sudah dekat sebulan gitu dihajati mahu didaki. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kapal terbang bunian di Gombak?.




Alangkah seronoknya apabila dapat sampai puncak. Dekat sejam juga melepak di atas itu. Sempatlah membaca seluruh Surah Fatir, surah ke-35 Al-Quran. Lihat artikel Going up the hill called Bukit Guling Ayam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Views from the top of Bukit Guling Ayam.



Berjalan-jalan pula di Taman Melawati dan persekitaran bukit bukau di Klang Gate.


Majlis seterusnya dituju berlangsung malam Jumaat.



Sebelum itu mandi dan bersalin pakaian di sebuah masjid di Taman Melawati. Selepas solat Maghrib habiskan bacaan Surah Yasin yang selain menjadi kebiasaan pada malam Jumaat merupakan juga sambungan daripada Surah Fatir yang dibaca di atas puncak bukit, dalam usaha untuk mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Sya'aban.




Keadaan awal pagi Jumaat ketika menunggu solat Subuh berjemaah, dalam masjid Kampung Sungai Chinchin.



Dari luar masjid boleh kelihatan Bukit Guling Ayam yang didaki pada petang Khamis.




Saya pernah beriktikaf dan bermalam di masjid itu sekurang-kurangnya sekali. Kali ini saya menginap di makam pengasas masjid dan kampung, Sheikh Muhammad Nor al-Khalidi yang dikatakan bertaraf wali. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Berkenaan 7 wali Melayu dan lawatan ke makam-makam mereka....

Oh. Ketika membaca artikel lama tersebut tiba-tiba teringat tentang datuk kepada datuk saya Orang Kaya Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Baru teringat bahawa beliau hidup sezaman dengan Sheikh Muhammad Nor dan wali-wali tersebut. Sebelum itu tidak pernah terfikir sebegitu. Apakah mereka pernah bersua muka? Semoga ada pembukaan baru selepas ini.




Selepas bersarapan pagi jalan-jalan di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), badan induk yang menaungi ISTAC. Untuk pengetahuan ISTAC adalah institusi pengajian pascasiswazah iaitu bagi peringkat sarjana (Master) dan kedoktoran (PhD) sahaja. Untuk mengeluarkan ijazah ia harus bernaung di bawah satu badan bertaraf universiti penuh. Untuk menjadi universiti penuh harus menaungi pelbagai bidang dan ada beberapa fakulti, harus mengeluarkan ijazah sarjana muda selain Master dan PhD.



Dari UIA bergerak ke Batu Caves untuk urusan buku. Sukacita dimaklumkan pihak berkenaan telah bersetuju untuk menerbitkan tesis saya di ISTAC menjadi buku. Sasarannya mahu keluar untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 iaitu pada pertengahan tahun nanti.




Tentang tesis dan pengisiannya boleh lihat artikel lama Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat. Oh. Selepas urusan buku saya ke rumah kawan di Desa Sri Hartamas kemudian ke medan selera dekat pejabat lama saya, akhbar The New Straits Times untuk menikmati sepinggan nasi beringin.




Selepas makan baru bergegas ke ISTAC untuk solat Jumaat.






Kemudian mengikut majlis ini di salah satu bilik syarahan ISTAC.




Sebetulnya inilah tujuan utama saya keluar bermusafir Khamis dan Jumaat. Saya telah mendapat tahu tentang majlis sekitar sebulan lalu. 



Ini rakaman video sebahagian daripada majlis melalui Youtube...




Majlis-majlis selain itu baru dapat tahu dalam tempoh 2-3 hari sebelum itu lalu diatur supaya dapat hadir sekali jalan. Aktiviti-aktiviti seperti memanjat bukit, urusan buku dan ke rumah kawan di Desa Sri Hartamas (pergi sekali lagi selepas jam 5 petang) diatur sekali setelah menetapkan mahu ke ISTAC bagi syarahan petang Jumaat. Ia adalah yang pertama bagi tahun 2024 di bawah siri falsafah tajaan Kursi Al-Ghazali.  Sebelum itu telah diadakan 3-4 kali tahun 2023. Saya berkesempatan hadir dua kali. Lihat Mendekati falsafah melalui persoalan-persoalan fundamental tentang keadilan sosial manusia diikuti Dari nasi beringin ke hal ilmu pengetahuan ke Janda Baik

Apabila kembali ke rumah didapati saya telah memandu hampir 200 km sepanjang 2 hari. Sampai rumah ikuti pula majlis ilmu seperti dalam poster atas. Sebelum itu saya tersilap menyangkakan ia mahu diadakan jam 9 pagi padahal 9 malam. Saya sebenarnya bercadang untuk mengikutinya secara fizikal di ISTAC selepas urusan buku pagi Jumaat . 



Sebaliknya saya harus menunggu orang berkenaan sampai jam 10 dan perbincangan berlanjutan sehingga jam 11. Sebelum beliau sampai saya cuba mengikuti secara atas talian (konon) tetapi mendapati majlis tak mula-mula. Dah sampai ke rumah selepas Maghrib baru menyedari ia berlangsung waktu malam. Cuma saya juga telah menetapkan mahu mengadakan sesi sembang santai melalui Zoom bersama beberapa orang ahli Kelab Buku Merah Silu bermula jam 9.30 malam lalu dapat mengikuti cuma setengah jam sahaja. 



   

 Tonton rakaman penuh di atas ini.



Isnin, Februari 26, 2024

Masuk Perak siang Nisfu Sya'aban

Salam petang Isnin 16 Sya'aban 1445 Hijriah. Meneruskan gerak penulisan daripada artikel Kapal terbang bunian di Gombak? diikuti Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2024 dan ideologi yang dipersembahkan pada malam Nisfu Sya'aban.



Adapun artikel-artikel tersebut ditulis berdasarkan aktiviti pada petang Sabtu 24 Februari 2024. Esoknya pagi Ahad 25 Februari, siang Nisfu Sya'aban, saya memulakan satu perjalanan kecil ke Perak bersama isteri dan anak bongsu. Ia adalah ganti bagi perjalanan yang sepatutnya telah dimulakan beberapa hari lalu, bagi mengikuti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh bagi kes faraid harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah iaitu pada pagi Selasa 20 Februari. Sebaliknya seminggu sebelum itu mendapat berita ia ditunda ke bulan Mac. 




Singgah dahulu di Bukit Beruntung kerana anak ada ujian kenaikan bengkung silat. Di situ sempat membaca keseluruhan Surah Al-Mukminun yang menjadi surah pertama dalam Juzuk 18, dalam usaha bagi mengkhatamkan Al-Quran bulan Sya'aban.




Selepas jam 12.30 tengah hari baru menyambung kembali perjalanan. Oh. Pada hari Rabu 21 Februari mendapat berita keputusan mahkamah ditangguh ke 15 April iaitu selepas raya pula.




Sebaik sahaja melepasi sempadan negeri Selangor lalu masuk ke Perak terus masuk ke kampus UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim dengan niat mahu mencari satu kawasan tepian Sungai Bernam yang kelihatan elok santai ada ditunjukkan seorang kawan dalam Facebook hampir 4 minggu lalu. Ketika itu kami ada ke kampus kerana saya membuat pembentangan tentang Laksamana Muhammad Amin. Lihat Membela maruah Laksamana dan bangsawan tradisional Melayu di UPSI.




Rupa-rupanya kawasan tersebut bukan terletak di dalam kampus. Sebaliknya sekitar 1.5 km di luar, tidaklah jauh sangat. Kami pun mencari tempat. Lihat artikel Bernam river at Teratak Ayahanda di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .




Namun saya melihat adalah lebih baik pergi 20 km lagi lebih jauh ke satu kawasan lain yang lebih ke pendalaman dan mendekati gunung ganang untuk bermandi manda. Saya tahu ini kerana pernah sampai seorang diri lebih setahun lalu. Lihat artikel lama Misi keluarga Laksamana part VII - Menyelesaikan hajat ke Pos Tenau




Alhamdulillah anak yang pertama kali sampai cukup seronok. Lihat Picnic at Sungai Bil. Akibatnya sekitar jam 5 petang baru meninggalkan kawasan untuk ke Ulu Slim. Ambil satu jalan kampung terlihat papan tanda menunjukkan arah ke suatu tempat menarik.  









Menyeberang Sungai Slim menuju ke jalan utama ke Ulu Slim.




Saja-saja bawa isteri dan anak meninjau kawasan. 



Saya sendiri sudah 2 kali sampai lalu melihat persekitarannya begitu menarik. Lihat artikel lama Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim diikuti Misi keluarga Laksamana part VII - Menyelesaikan hajat ke Pos Tenau.




Namun isteri dan anak sudah kepenatan. Mereka tidak mahu lama-lama di Ulu Slim lalu bergerak pula kami ke Kuala Slim.




Di situ baru betul-betul makan. Sebelum itu setakat pekena chicken nugget yang dibawa dari rumah juga mee Maggi yang ada dijual di Sungai Bil.




Perjalanan diteruskan dengan menyeberang Sungai Bernam dekat Kuala Slim untuk masuk kembali ke negeri Selangor. Sebetulnya, dalam perjalanan ini yang merupakan ke-3 ke Perak bagi tahun ini (sebelum membuat pembentangan di UPSI ada ke Ipoh secara tiba-tiba. Lihat Ke Ipoh tanpa dirancang - Perjalanan jauh pertama bagi tahun baru 2024) kami merancang mahu menginap satu malam di mana-mana berdekatan Slim River atau Tanjung Malim sebelum balik ke rumah. Namun bila dah seharian berjalan rasa cukuplah setakat itu.




Di Kampung Sungai Tengi berhenti sebentar untuk menghabiskan baki 3 muka surat lebih Surah An-Nur. Sebelum itu Sungai Bil telah dibaca 2-3 muka surat terawal kemudian 3-4 muka surat  semasa menunggu makanan sampai di Kuala Slim. Alhamdulillah surah dapat dihabiskan cuma seminit dua sebelum masuk waktu Maghrib. Lewat malam  di rumah baru dibaca Surah Al-Furqan  lalu selesailah Juz 18 diikuti 5 muka surat Juz 19.


Sabtu, Februari 24, 2024

Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2024 dan ideologi

Bersambung daripada artikel Kapal terbang bunian di Gombak?.



Seterusnya saya membawa isteri ke Pasar Seni atau Central Market.




Ada Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2024 sedang berlangsung 22-25 Februari...










Kami sampai ketika satu forum menarik baru sahaja bermula jam 4 petang.




Ia adalah tentang kejatuhan Khalifah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924 iaitu tinggal beberapa hari sahaja lagi genap 100 tahun ia berlaku.




Melihat suasana sekeliling kelihatan pesta buku yang baru dimulakan beberapa tahun lalu di Central Market ini semakin meriah berbanding dahulu.




Semakan di Internet menunjukkan pesta buku yang mengumpulkan para penerbit dan penjual buku bebas luar arus perdana telah diadakan sejak tahun 2008 di beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Tetapi bermula tahun 2022 baru diadakan di Pasar Seni.




Saya tak pasti jika pernah hadir dalam edisi-edisi awal. Yang ada direkodkan dalam CATATAN SI MERAH SILU adalah pada tahun 2023. Lihat Dari Pesta Buku Alternatif di Central Market ke Putrajaya.




Tiba-tiba terserempak dengan tenuk...




Itu yang diletakkan di Facebook gambar atas dengan kapsyen berikut...



PAK PUM PAK MUSTAPE...

Omak kau tapir!




Kami berlegar-legar melihat buku-buku buat suatu masa.







Jam 6 pula mengikuti forum tentang Mat Indera, seorang pejuang Melayu yang kontroversi kerana pernah bersama tentera Parti Komunis Malaya (PKM) menyerang markas polis di Bukit Kepong tahun 1950 (bawah British) sehingga mengorbankan nyawa ramai orang Melayu. Cuma setelah lebih kurang 15-20 minit mengikuti kami suami isteri jadi bosan dan potong stim lalu meninggalkan majlis. Pengulas kedengaran seperti sangat terbawa-bawa hendak membawa sisi 'baik' Komunis. Terasa kencenderungan ideologinya bersifat Marxism-Sosialis yang pada saya tidaklah menjadi masalah sangat. Yang menjadi masalah adalah apabila berjela-jela hendak menegaskan pendirian kepada umum. Sedangkan yang hendak didengar adalah apakah sebab sebenar Mat Inderi sanggup berjuang bersama Komunis? Apakah disebabkan tiada pilihan atau cara lain untuk menentang penajajahan British sedangkan ramai tahu bagaimana Komunis yang secara rata diterajui oleh bangsa Cina dan kuat memperjuangkan isu-isu keCinaan diketahui sangat ganas dan zalim terhadap orang Melayu yang tidak menyokong mereka?


Kapal terbang bunian di Gombak?

 Salam malam Nisfu Sya'aban. Ini ada satu cerita menarik.



Kurang 2 minggu tergerak dalam hati untuk mencari satu bukit di sekitar atau pinggir bandar raya Kuala Lumpur yang tidaklah beberapa tinggi untuk didaki tetapi boleh memberikan pemandangan sekeliling yang cukup menarik dan meluas. Tengok-tengok, tanpa dicari mahupun dinyatakan niat di mana-mana kecuali kepada isteri tiba-tiba  Facebook memaparkan satu tempat bernama Bukit Guling Ayam. Katanya tak berapa jauh dari pusat bandar raya. Tinggi dalam 160 meter dari paras laut tetapi boleh memberi pemandangan seperti dari puncak gunung setinggi 1,600 meter dari paras laut.


Saya pun mencari kedudukan bukit dalam Google Map. Supaya lebih jelas bagaimana rupa persekitaran masuk dalam layer atau lapisan imej satelit.




Baru tersedar rupa-rupanya dah banyak kali lalu di tepian bukit. Seberang sahaja dari Kampung Sungai Chinchin. Memang selalu nampak apabila mengambil jalan lama ke Pahang atau kembali, biasanya apabila ke Janda Baik. Memang pernah terfikir hendak mendaki.

Ketika hendak mencari laluan masuk ke puncak ternampak sesuatu yang menarik. Nampak tak dalam gambar atas?




Laluan pendakian sebenarnya terletak di sebelah stesyen minyak menuju ke tol Lebuh Raya Karak. Memang selalu le singgah. Nampak tak kawasan yang dibulatkan dalam gambar satelit? Ada bangkai kapal terbang ke apa?




Ini mengingatkan bagaimana di pekan Broga dekat sempadan negeri Selangor-Negeri Sembilan ada terdapat kapal terbang walaupun jauh dari mana-mana lapangan terbang.




Bukan satu malah ada 2 buah yang agak besar.




Rupa-rupanya ia adalah badan kapal terbang yang telah dijadikan hotel. Saya pernah sampai bersama keluarga. Lihat artikel lama Melengkapkan perjalanan di Negeri Sembilan - Tiada yang 'keemasan' mahupun 'keperakan' buat kami lagi.




Tajuk artikel itu kurang enak kerana apa yang berlaku pada waktu itu. Apapun ini gambar satelit tempat dilihat kapal terbang di Gombak melalui program Google Earth. Dengan program ini boleh ditukar sudut pandang sehingga nampak turun naik bentuk muka bumi bukit bukau gunung ganang bagai.




Tadi siang Sabtu 24 Februari 2024, selepas menemani isteri hadir satu majlis perkahwinan di pinggir selatan bandar Rawang saya pun mengajak isteri meninjau tempat.




Sampailah kami ke stesyen minyak berkenaan. Sebetulnya ada dua buah stesyen, mula-mula jumpa Shell. Berdasarkan gambar satelit kapal terbang sepatutnya berada di lereng bukit di tengah gambar atas...




Oh. Gambar ini pula diambil selepas meninjau laluan naik ke Bukit Guling Ayam. Selepas Shell terdapat stesyen minyak Petronas diikuti laluan. Nak masuk kembali jalan besar baru teringat nak ambil gambar.




Dari situ mengambil laluan menghala ke jalan lama KL-Pahang kemudian menghala ke bandar raya. Puncak Bukit Guling Ayam kelihatan ke kanan sikit dari tengah gambar.




Sejurus sebelum jalan tadi masuk ke bawah jalan besar ke Lebuh Raya Karak saya pun mengambil lorong ke kanan. Berdasarkan gambar satelit sepatutnya boleh nampak kapal terbang di tengah gambar. Tapi takda pulak. Kapal terbang bunian kot? Hehe... :]


Sabtu, Februari 17, 2024

Masuk jalan kebun dan panjat bukit sebagai terapi untuk memperdalamkan ilmu

OK. Hari ini 17 Februari 2024 adalah hari ulang tahun anak bongsu saya, Muhammad Alauddin Johan yang ke-12. Saya pula pada malamnya mahu mengambil kesempatan untuk berkongsi satu luahan.


Lapan hari lalu iaitu pada hari Ahad 11 Februari jam 11.59 pagi saya telah meletakkan gambar atas ini di Facebook diikuti sari kata : "Layan panjat bukit daa...". Ketika itu baru sahaja sampai ke puncak sebuah bukit setinggi hampir 170 meter dari paras laut. Letaknya ke timur dari rumah saya di Bandar Sungai Buaya dan ia adalah kali ke-3 saya naik ke puncak bukit itu.



Jam 4.39 petang pula saya meletakkan gambar atas ini di FB diikuti teks berikut :-


LAYAN PANJAT BUKIT DAN AL-QURAN 1 SYA'ABAN

Tadi punya laluan panjat bukit dekat Bandar Sungai Buaya, Rawang. Kononnya bajet nak naik motokap sampai dekat2 puncak sebab nampak macam ada laluan boleh pakai. Tengok2 sampai satu peringkat moto tak boleh lalu. Harus menyambung dengan berjalan kaki.

Yang merah tu laluan berjalan kaki hingga sampai ke puncak. Dekat 2 km berjalan kaki ke atas, lagi 2 km turun balik ke moto sebelum balik ke rumah. Banyak bahagian denai bersemak tumbuh pokok bagai. Berapa kali tak jumpa jalan lalu main redah.

Keluar rumah jam 9.30, 4 jam kemudian baru balik. Sepanjang perjalanan tak makan mahupun minum setitik air pun. Itu kebiasaan saya kalau keluar hiking. Dah selesai baru boleh minum.

Ada satu part awal tiba2 kena sesak nafas. Mungkin kombinasi hari panas campur dah agak lama tak panjat bukit. Umur pun nak masuk 54 tahun. Senam jarang2 dan kebelakangan ini memang kurang sihat.

Saya pun bukak Al-Quran sambung bacaan Surah Al-Baqarah yang dimulakan malam tadi selepas Al-Fatihah. Pagi tadi dah masuk separuh Juz 2 sebelum keluar rumah. Mengaji berlagu lagi 5 muka surat. Alhamdulillah nafas kembali normal lalu sambung balik pendakian. Sampai ke puncak dapat tamatkan Juz 2 + 2 setengah helai Juz 3.

Balik rumah sambung kasi settle terus Surah Baqarah. Biasanya saya cuma selesaikan 1 Juz sehari demi mengejar sasaran khatam setiap bulan Islam. Kali ini, untuk tarikh hari ini 1 Sya'aban dah dapat sehingga hampir setengah Juz 3.

Lagi istimewa bila dibuat sambil panjat bukit yang boleh tahan tinggi, dekat 170 meter dari paras laut dalam keadaan kurang sihat. Ertinya masih ada harapan boleh fit balik tubuh badan insyaallah.


Gambar tersebut merupakan lakaran laluan yang diambil, dibuat menggunakan Google Earth. Ia boleh dikatakan susulan satu perjalanan lain sebegitu rupa tetapi lebih mendatar pada beberapa hari sebelumnya. Timbul rasa untuk berkongsikan cerita berkenaan di CATATAN SI MERAH SILU. Tetapi harus menyelesaikan dahulu satu lagi perjalanan sebegitu rupa di bahagian lain berdekatan Sungai Buaya lalu ia baru dapat dilakukan pada 14 Februari iaitu 3 hari lalu.

Sekarang, dengan timbulnya gerak untuk berkongsi cerita biar dinyatakan, sudah disediakan artikel-artikel tentang perjalanan-perjalanan tersebut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH seperti berikut :-


1. Checking a path to the west from Sungai Buaya

2. Taking a different approach to the summit of a hill east of Sungai Buaya

3. Going anticlockwise past agricultural routes to the east of Sungai Buaya


Sejak berpindah ke Bandar Sungai Buaya 10 tahun lalu saya memang rajin mendaki bukit-bukit sekeliling juga masuk ke jalan-jalan kebun dan sebagainya untuk bersenam juga sebagai terapi minda, terutama ketika berlaku PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tahun 2020 hingga 2022. Tapi cuma sesekali sahaja ada berkongsi cerita di blogspot. Kali ini dikongsikan sedikit cerita untuk melepaskan rasa. Ini kerana sejak kebelakangan ini saya selalu dilanda rasa kepenatan yang amat sangat, tubuh badan selalu terasa demam, sakit kepala dan sakit-sakit badan. Apabila larat itu yang dilawan dengan keluar pergi berjalan naik bukit dan sebagainya. Namun cuma tiga yang di atas dikongsi cerita kerana menyedari sesuatu.

Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor yang ditulis pada 24 Januari ada dinyatakan bahawa saya pergi ke tempat belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari sebelumnya ketika "masih dalam mood tidak mahu bertemu orang. Boleh dikatakan sejak masuk tahun baru 2024 begitulah keadaan. Selain ada sejumlah perkara mengganggu fikiran saya sebenarnya sedang memberikan tumpuan bagi membaca tulisan-tulisan berkenaan satu subjek berat yang fikirnya akan dijadikan kajian bagi tesis PhD akan datang.".

Sebetulnya beberapa minggu kebelakangan saya berusaha untuk membaca sebanyak mungkin bahan- bahan berkenaan cadangan tesis PhD itu. Subjeknya bukan sahaja berat. Ia memaksa untuk menghadapi sejumlah keadaan jiwa masa lalu yang sudah sekian lama dilupakan, keadaan yang menyebabkan saya meninggalkan ilmu sains dan matematik lalu berubah langsung arah kehidupan. Kini didapati nak tak nak kena mendapatkan kembali kepandaian dalam ilmu sains dan matematik yang sudah lama ditinggalkan itu kalau betul-betul mahu menjayakan tesis seperti dicadangkan. 

Hal ini boleh jadi antara sebab saya kurang sihat. Ini kerana bebanan jiwa yang perlu dilalui memang sangat berat. Ia turut membawa pada ingatan bagaimana sejak zaman kanak-kanak dahulu saya sangat meminati begitu banyak cabang ilmu. Namun minat itu dibunuh kerana dilihat tidak penting malah mengganggu dalam menghadapi kehidupan biasa orang sama umur bersekolah. Hal ini sudah lama terlupa tetapi baru diingati kembali sejak seminggu dua kebelakangan. 

Lalu masuklah jalan-jalan kebun dan panjat bukit seperti diceritakan dalam artikel-artikel atas. Bagi saya ia antara terapi penting untuk terus maju ke hadapan. Meluahkan hal tentangnya juga adalah terapi. Sekian perkongsian.