Adapun artikel Nisfu Sya'aban dan "Merah Silu Live" ke-22 ditulis dan dipersembahkan di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak selepas menghadiri satu majlis ilmu. Ini ceritanya.

Poster bagi majlis. Dianjurkan oleh satu badan baru bawah UIA bernama CTAIS, singkatan bagi Centre of Tawhidic AI Studies (Pusat Kajian Kecerdasan Buatan Tawhidi) ia adalah pembuka dalam siri syarahan mereka. Tajuk syarahan boleh diterjemahkan sebagai "Kecerdasan Buatan dan Perkembangan Pemikiran Kritis". Bersyarah adalah Rektor UIA, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Beliau adalah penyelia PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).
Selepas jam 1 petang tadi Rabu 4 Februari 2026 bergeraklah ke UIA untuk mengikuti syarahan.
Singgah dahulu mendaki Bukit Guling Ayam, 3 km sebelum UIA.
Sampai ke puncak sekitar jam 2.
UIA yang bangunan-bangunannya kebanyakan berbumbung biru dilihat dari puncak bukit (ke kiri sedikit dalam gambar)
Zoom in...
Selepas mandi, bersalin pakaian kemudian menunaikan solat di suatu tempat baru ke kampus.
Masuk dewan sejurus sebelum majlis dijadualkan bermula jam 3. Apabila mendapati belum bermula sambung bacaan Al Quran untuk proses pengkhataman bulan Sya'aban. Ketika itu masuk Surah Al-Rum, juzuk ke-21.
Tidak lama kemudian majlis pun bermula.
Tengok-tengok ada tambahan daripada poster asal. Dinyatakan bahawa selepas Osman bersyarah Profesor Dr Amir dari Pejabat Timbalan Rektor akan membuat ulasan.
Osman membuka kata-kata.
Diterangkan dahulu apa itu CTAIS, apa maksud kajian Tawhidi terhadap kecerdasan buatan, kenapa mahu dibuat siri syarahan. Ini adalah atas kesedaran bahawa di UIA wujud ramai yang sebenarnya cukup pakar dalam bidang kecerdasan buatan namun berkhidmat dalam pelbagai kulliyah atau fakulti berbeza. Pusat ditubuhkan sebagai wadah untuk saling berhubung dan bertukar fikiran. Ini adalah berasaskan prinsip Epistemologi Tawhidi yang menjadi tunjang hala tuju UIA sejak Osman menjadi Rektor hampir penghujung tahun 2024. Ia adalah tentang bagaimana semua bidang ilmu pengetahuan sebenarnya saling berkait, kerana semuanya berasal daripada Tuhan. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Dinyatakan syarahan pembuka ini sebagai susulan satu artikel tulisan beliau dalam makalah "The Muslim 500". Disebut dalam artikel kepentingan memiliki pemikiran kritis. Namun kajian menunjukkan ada penurunan dalam kualiti pemikiran ramai disebabkan terlalu bergantung pada kecerdasan buatan untuk menyelesaikan masalah atau mendapat jawaban bagi suatu persoalan. Oleh itu ada keperluan untuk mengangkat kembali seni pemikiran tradisional (yang meliputi pemikiran kritis) ke tempat sepatutnya.
Makalah tahunan tersebut menyenaraikan 500 orang tokoh beragama Islam yang dilihat paling berpengaruh di dunia. Osman adalah antara tokoh akademik tersenarai sejak beberapa tahun lalu.
Secara rata beliau menyatakan kecerdasan buatan harus berlatarbelakangkan kecerdasan asli manusia.
Ia harus menurut etika keilmuwan Islam.
Dalam hal ini UIA harus menggerakkan lalu CTAIS ditubuhkan untuk itu. Pusat harus melangkaui had-had yang ada dalam kecerdasan buatan, berdasarkan prinsip Allah adalah kecerdasan tertinggi yang meliputi kesemuanya, dengan kecerdasan keNabian sebagai panutan untuk membentuk segala bentuk kecerdasan makhluk. Lihat apa yang dimaksudkan, dalam artikel lama
Pemahaman kerohanian dan falsafah yang tercermin dalam teknologi kecerdasan buatan.
Amir memberikan ulasan terhadap syarahan Osman. Cukuplah ya perkongsian tentang majlis. Selepas ini ada lagi majlis ilmu mahu dikongsikan cerita, di tempat sama tetapi pada malamnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan