Salam semua. Salam malam Jumaat. Salam Ma'al Hijrah. Adapun pada tarikh yang sudah masuk 1 Muharram 1447 Hijriah ini, tahun baru Islam, saya sedang berada di selatan Thailand lagi, setelah masuk dari Padang Besar pagi Rabu 25 Jun 2025 bersamaan 28 Zulhijjrah 1446 H. Namun apa yang hendak dikongsikan sebenarnya dibuat sebulan lalu.
Rabu malam Khamis 28 Mei 2025 bersamaan 1 Zulhijjah 1446 Hijriah. Isteri yang baru membeli satu alatan microphone yang boleh digunakan untuk menangkap suara masuk ke dalam video telefon bimbit mengajak mencuba bagi melihat keberkesanannya. Lalu saya mencadangkan agar dibuat live atau siaran langsung Tiktok. Topiknya adalah tentang siapakah saya, apakah pengalaman dan wawasan yang mendorong untuk berbuat itu ini terutama dalam mengkaji sejarah bangsa Melayu. Saya merasa perlu membuat penerangan kerana sejak beberapa bulan kebelakangan ramai menonton rakaman perkongsian kami tentang hal-hal berkenaan yang dimuatnaik dalam akaun Tiktok isteri. Sehingga ramai menyangkakan saya seorang Tiktoker.
Sedikit sahaja dalam kalangan yang menonton tahu bahawa saya sebenarnya adalah seorang penulis yang sudah menghasilkan 15 tajuk buku selain sudah menulis 8,000 artikel blog menggunakan berpuluh kalau tidak beratus ribu gambar yang diambil sendiri dalam pelbagai keadaan terutama pengembaraan melibatkan penjejakan sejarah lama, sejak tahun 2006. Alhamdulillah siaran langsung yang dibuka secara ad hoc suka-suka itu mendapat sambutan meriah. Ternyata ramai yang mengikuti rupa-rupanya pernah membaca buku dan tulisan saya. Cuma selepas itu video tidak dapat dikekalkan di Tiktok dalam bentuk rakaman penuh hampir sejam. Yang dapat dikekalkan cuma bahagian-bahagian tertentu.
Selepas beberapa lama isteri mendapat tahu cara bagaimana video penuh dapat dimuatturun ke dalam telefon bimbitnya dari Tiktok. Timbul rasa elok video yang dibuat secara spontan itu dimuatnaik pula ke dalam Youtube supaya boleh ditonton siapa sahaja, pada bila-bila masah. Dimuatnaiklah ke akaun Youtube isteri 3 minggu lalu. Namun gerak hati menyuruh agar mengumumkan melalui CATATAN SI MERAH SILU apabila masuk tahun baru Hijriah.
Dengan itu biarlah diletakkan dalam artikel ini dengan sedikit penerangan. Kiranya ini sambutan Maal Hijrah bagi tahun 1447 bersama saya Merah Silu. Sekadar memberitahu. Apabila masuk waktu Maghrib dan tarikh 1 Muharram tadi saya sedang berada di makam Sheikh Abdussamad Al-Falembani dekat Songkhla, setelah menziarahi banyak tempat di Patani. Selesai gerak tahun baru. Semoga para pembaca mendapat keberkatan dan kebahagian dunia akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan