Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, April 13, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Sebab musabab perjalanan

Salam pagi Selasa 13 April 2021 bersamaan 1 Ramadhan 1442 Hijriah. Mengambil keberkatan bermulanya bulan mulia yang mana umat Islam diwajibkan  menunaikan ibadah puasa ini biarlah dimulakan satu siri baru perjalanan lama yang boleh dikatakan kemuncak pada semua yang telah berlaku sebelum perjalanan dimulakan awal tahun 2004. Biar siri ini diberi nama "Berpetualang ke Aceh", sama tajuk besar seperti pada tiga buku terawal saya yang terbit tahun 2006-2007. Biar diberikan dahulu sedikit mukadimah berkenaan.


Pertama, kenapa diberi tajuk "Berpetualang ke Aceh"? Tentang itu telah diterangkan panjang lebar dalam artikel kedua di blogspot ini iaitu Mukadimah: Kenapa Berpetualang? lebih 14 tahun lalu. Ia menggunakan sedutan berkenaan daripada bab pembuka yang memiliki tajuk serupa dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Selepas menjelaskan sebab musabab pemilihan tajuk bab ini menyatakan betapa pentingnya menilai kembali sejarah Alam Melayu menurut kaca mata sendiri bukan kata mata berat sebelah Barat. 

Disebut juga tentang kewujudan lebih 300 makam kerabat diraja, ulamak dan bangsawan di Semenanjung Tanah Melayu yang memakai batu nesan Aceh (setakat diketahui semasa itu) sebagai bukti kepentingan Aceh juga kerajaan Samudera-Pasai yang pernah wujud di situ dalam pensejarahan keIslaman Alam Melayu. Percaya atau tidak soal ini (melihat kembali sejarah menurut kaca mata sendiri dan kajian batu nesan Aceh) adalah antara begitu banyak perkara yang telah diangkat oleh siri buku "Berpetualang ke Aceh". Siri ini merupakan satu trilogi iaitu tiga buah buku bersiri. Bukan tidak ada orang pernah memperkatakan tentang hal itu. Cuma ia lebih pada dalam ruangan tertutup seperti dalam perbincangan dan makalah di universiti lalu tidak sampai kepada umum seperti dilakukan melalui penerbitan buku bermula pertengahan tahun 2006.

Penulisan buku itu sendiri sebenarnya sudah bermula awal tahun 2004, sebelum mendapat rupa yang dirasakan sesuai untuk diterbitkan sendiri. Selepas hampir setengah setahun buku pertama keluar baru dibuka blogspot ini lalu diberikan nama CATATAN SI MERAH SILU. Artikel Mukadimah: Kenapa Berpetualang? muncul kurang sejam selepas artikel Apa-apa aje le... yang menerangkan kenapa memakai nama Merah Silu  menjadi artikel pertama blogspot petang Ahad 12 November 2006. Ia adalah permulaan bagi penulisan saya mencapai khalayak yang lebih luas berbanding sekadar dengan buku.

Buku ini sarat dengan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber. Antaranya melalui pengembaraan, menemui 'orang-orang lama', ilham dan mimpi selain membaca buku dan sumber-sumber akademik. Dikongsikan pengalaman hidup secara berlapis-lapis berdasarkan teknik flashback mengikut gerak ilham di manakah patut diletakkan suatu cerita. Namun cerita tulang belakang buku  adalah perjalanan pertama kali saya ke Aceh pada awal tahun 2004 iaitu ketika ia masih dilanda darurat perang akibat pertentangan antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) lalu itulah yang hendak dikongsikan dalam siri di sini. 


Dinyatakan dalam Bab 1, muka surat 19 hingga 20...

------------


Petang 31 haribulan Disember 2003. Suasana  pesta perayaan mula dirasakan. Walaupun pejabat kecil di atas bengkel kereta di Jalan Gombak ini agak terlindung daripada hiruk-pikuk luar, Rasyid dapat mendengar  kecoh-riuh hilai ketawa  orang-ramai keriangan.

Sesekali terdengar bunyi mercun bunga api berdentum daripada pelbagai arah. Walaupun masih terdapat lebih enam jam sebelum tengah malam, sebelum seluruh Kuala Lumpur juga seluruh Malaysia malah seluruh dunia berpesta menyambut perayaan besar  Happy New Year... 

Mohamed Hasrat baru menyiapkan sebuah tugasan untuk Pak Syed, tuan-punya pejabat. Rasyid yang duduk di sebelah pun menoleh ke arah Hasrat lalu bertanya.  “Amacam malam ini bro, apa plan?” 

Sebulan kebelakangan ini, pemuda  Singapura ini adalah satu-satunya teman berbual dan bertukar fikiran.. Sementara menjadi ‘penunggu’ siang-malam di pejabat, menyiapkan buku terbaru Pak Syed. 

Hasrat belum sempat menjawab, tiba-tiba Pak Syed sudah menyampuk: “Kamu ni, ingat hendak enjoy sahaja. Cuba fikir, apa yang kamu sudah buat sepanjang tahun? Have you been a success or a failure? What have you contributed? What have you done with your life? Have you done anything beneficial?

Rasyid tidak menjawab. Terus membisu seribu bahasa... 

Orang tua itupun menyambung: “Patutnya time-time begini kamu fikir baliklah apa yang kamu sudah buat dengan kehidupan. Muhasabahlah diri... Tengok di mana salah dan silap... Ini tidak, fikir nak  enjoy sahaja. Bagaimana kamu hendak berjaya? Tengok macam aku...” 

Pak Syed pun mula bersyarah tentang kehidupan dan kejayaan, tentang penulisan dan penerbitan buku... Tentang bagaimana dia sendiri melangkah sebelum menjadi penulis terkenal. Pemuda itu cuma mendengar sahaja, tidak terfikir pun mahu enjoy. Terlalu banyak perkara  yang merunsingkan fikirannya... Tahun Baru akan menjenguk tidak lama lagi tetapi kemelut yang melanda jiwanya tidak juga selesai-selesai. Semuanya terasa tawar dan hambar. Mana ada mood  hendak enjoy? Tengok orang ramai pun pening, meluat... Rasa nak muntah pun ada. Boleh ke celebrate new year begini?

Lalu Rasyid teringat perayaan-perayaan hujung tahun 80an dan awal 90an dahulu, ketika dia  masih suka enjoy... Ketika itu layaklah kalau Pak Syed menegurnya... Zaman itu, awal-awal lagi dia sudah menyiapkan seluar, baju dan kasut yang hendak dipakai dan digayakan, supaya penampilannya ‘mengancam’, dapat menarik perhatian... Sudah merancang dengan kawan-kawan, manakah lokasi yang happening, tempat ‘hinggap’ yang sesuai...

Tempat-tempat seperti Dataran Merdeka boleh tahanlah juga, boleh  menonton konsert free dengan show  bunga api. Tetapi anak muda ini sudah terbiasa menghabiskan zaman kolejnya di pusat-pusat hiburan eksklusif seperti Scandals di Bukit Bintang dan Faces di Jalan Ampang, tempat-tempat yang pengunjungnya ada class, bukan orang sembarangan... Barulah boleh berjumpa awek yang dapat memenuhi citarasanya yang agak tinggi.

Zaman itu, waktu hujung minggunya sering dipenuhi bersama kawan-kawan ‘sealiran’ berdansa mengurat perempuan, kalau tidak membawa girlfriend ataupun date bersama... Gelak ketawa santai minum-minum, kadang-kala sampai tujuh disko satu malam! Dari Scandals boleh ke Faces, tukar selera pula ke Traqs. Eh... Ke Trax? Sudah lupa ejaannya, diskonya pun tak ada lagi...  Yang nyata, ia terletak di Jalan Ampang juga, tidak jauh dari beberapa kelab malam lain dalam segitiga emas Kuala Lumpur.


Pembukaan sebegini bagi Bab 1 dibuat untuk menerangkan bagaimana keadaan jiwa dan pemikiran watak utama buku iaitu Muhammad Al-Aminul Rasyid sebelum memulakan perjalanan ke Aceh. Ia sebenarnya merujuk pada diri saya lalu cerita-cerita yang dikongsikan adalah 100 peratus pengalaman sebenar belaka, sekurang-kurangnya menurut sudut pandang sendiri setakat dapat diingati. Disebutlah tentang zaman kolej di PPP/ITM (kolej persediaan untuk ke luar negeri) tahun 1988 hingga 1990 yang mana saya aktif keluar ke kelab-kelab malam lalu dilawankan pula dengan zaman membesar yang mana saya masih lagi berminat untuk mencari kebenaran. Disebut sejak berumur 18 tahun ada mengidam untuk hidup dalam sebuah negara berperadaban tinggi dengan rakyat yang sayangkan ilmu. Namun ada percanggahan jiwa terbit akibat realiti hidup. Ini mula tercetus kerana menghadapi masalah pergaulan semasa belajar di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang akibat pemikiran yang lain daripada orang lain.

Hal ini membuat saya mula memberontak lalu menjadi budak nakal kerana kelihatannya lebih mudah diterima kawan-kawan. Yang menyelamatkan keadaan adalah saya termasuk dalam kalangan orang yang semulajadi pandai terutama dalam bidang matematik lalu ini diakui oleh semua yang mengenali. Pun begitu hidup menjadi semakin celaru sehingga dibuang daripada sekolah pada penghujung Tingkatan Empat akibat masalah disiplin. Punyalah pemberontak, ketika sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun sempat lari rumah kerana bergaduh dengan ayah.  

Nasib baik masih mampu mendapatkan Gred 1 walaupun aggregatnya tidaklah sehebat mana. Ini yang membolehkan saya untuk memperolehi penajaan bagi menyertai program “A” level seterusnya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti terkemuka di England. Bertahun kemudian baru  terfikir bagaimana hidup boleh jadi begini bercelaru. Rupa-rupanya sudah hilang rasa home sweet home atau memiliki rumahku syurgaku sejak berumur 12 tahun lagi. Itupun setelah lama asyik berkeluar berkelana ke sana ke mari tanpa arah tujuan yang pasti. Muka surat 30- 32 menyatakannya begini...

----------

Mungkin sebab itu, Rasyid sering berkelana tanpa arah dan tujuan yang pasti? Main redah sahaja ikut gerak hati, mana rasa hendak pergi, di situlah dia membawa diri... Kalau tiba-tiba terasa hendak berjalan kaki masuk ke hutan, tak kira hujan ataupun ribut,  mesti juga pergi... Tidak kiralah jika dia tidak pernah sampai ke situ, tidak ada guide, tidak ada sesiapa menunjukkan jalan...

Pernah sekali Rasyid tersesat 19 jam seorang diri di tengah hutan kerana tiba-tiba ‘gatal' hendak mendaki Gunung Nuang yang tingginya hampir 5,000 kaki. Daripada Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang, turun ke Hulu Langat, Selangor dalam hujan renyai tak henti. Sampai puncak pula jam 6 petang... Terpaksa turun dalam gelap sebab torch-light pun tak dibawa..

Tetapi Alhamdulillah, Rasyid dapat keluar dengan selamat tanpa terserempak walau seekor pun binatang berbahaya atau berbisa. Walhal kata orang, kawasan yang dilaluinya adalah tempat harimau dan ‘jin bertendang’. Mungkin ini berlaku berkat kepercayaan serta sifat Tawakalnya yang kental? Terutama terhadap sepotong ayat Quran yang maknanya lebih kurang begini: “Ubun-ubun setiap binatang yang melata berada di dalam genggamanKu.” Tidak ada satu pun makhluk boleh berbuat apa-apa tanpa digerakkan Allah SWT.  Pendek-kata kalau Dia kata selamat, maka selamatlah kamu tidak kiralah apa yang menunggu...

Ada masanya pula pemuda ini keluar menunggang motosikal besar kesayangannya melalui suatu jalan yang dilihat dalam peta atau menelusuri sungai semata-mata kerana hendak memuaskan hati. 

Pernah sekali, dia pergi ke Kampung Gajah, Perak untuk menghantar orang, malas pula hendak kembali cepat ke Kuala Lumpur  lalu terasa mahu menghulu Sungai Perak. Mula-mula anak muda ini menunggang sampai ke Bota Kanan, lebih kurang 20km utara dari Kampung Gajah. Tetapi dia masih tidak berpuas hati lalu meneruskan perjalanan menghulu sungai sampai ke Parit, dalam 20km lagi. Entah apalah  yang dicari? 

Selepas berehat sebentar minum teh tarik, Rasyid menyambung lagi perjalanan sampai ke Kuala Kangsar. Sempat berjalan-jalan di bandar diraja  Perak sebelum membuat keputusan untuk terus menelusuri Sungai Perak sampai ke hulu sejauh yang boleh. Sedar-sedar sahaja sudah sampai ke Jeli, Kelantan, lebih 200km dari Kampung Gajah! Kalau dikira dari Kuala Lumpur, sudah hampir 400km perjalanan... 

Atas  gerak hati yang serupa, dia juga pernah ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan lalu keluar di Teriang, Pahang sebelum menghulu Sungai Pahang.  Sedar-sedar saja sudah sampai ke  Jerantut pula, lebih 200km perjalanan kerana pengembaraan ini bermula dari Kajang.

Lebih menarik,  ini dilakukan dengan tayar belakang motosikal yang sudah botak lebih empat bulan, sudah nampak thread ataupun benang. Tetapi tayar ini  dibiarkan begitu sahaja kerana hendak menjimatkan wang, sebab harga tayar yang baru lebih RM300 sebuah.  Lalu tayar itupun dipakainya selagi boleh hinggakan anak muda ini tidak sedar, tayar itu telah bocor setelah lebih-kurang 20km meninggalkan Temerloh. Tahu-tahu sahaja sudah geylong, rasa lain macam, tidak stabil asyik nak lari ke kiri dan kanan.

Memandangkan pekan kecil itu tidak ada kedai menjual tayar motosikal besar, Rasyid terpaksa membeli tape hitam yang digunakan untuk menutup wayar eletrik lalu disalut mengelilingi bahagian yang bocor  serta rim sebelum mengisi angin di sebuah bengkel. Cukuplah untuk bertahan 20km lagi hingga ke Jerantut sebelum tayar pancit itu ditukar.

Apapun tayar buruk itu sempat dimanfaatkan untuk mendaki bukit-bukau dan kawasan pergunungan di Kuala Klawang, satu kawasan dengan jalan pendakian sukar berliku-liku yang menurut polis trafik sering digunakan untuk meningkatkan kemahiran ahli menunggang motosikal berkuasa tinggi. Kira OKlah, berjasalah juga si tayar botak ini...

Begitulah kehidupan Rasyid 10  tahun kebelakangan. Nasib baik tak ada jalan darat menelusuri Sungai Pahang untuk ke Gunung Tahan...  Yang ada, cuma laluan air  Sungai Tembeling ke Taman Negara aje. Kalau tidak, tentu sudah lama diredahnya sampai ke atas kerana motosikal yang sama juga pernah mendaki Gunung Ledang di Muar dan Gunung Jerai di Kedah...



Peta laluan yang diambil dari Kajang ke Kuala Klawang membawa ke Teriang dan seterusnya...


Cerita sesat di Gunung Nuang ada dikongsikan panjang lebar dalam Bab 3 buku iaitu pada muka surat 117-124. Lihat isi berkenaan dalam artikel Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan... tahun 2007. Cerita menunggang motosikal besar menyusuri sungai pula tidak dipanjangkan dalam buku tetapi ada diberikan perincian dalam blogspot baru 2-3 minggu ini. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000. Cerita menunggang dari Kajang ke Kuala Klawang lalu keluar di Teriang, Pahang sebelum menghulu Sungai Pahang cukuplah sedikit yang ada dalam buku. Ini baru tiga contoh daripada sekian banyak pengembaraan mengikut gerak hati pernah dibuat sebelum berlaku perjalanan pertama ke Aceh tahun 2004. 

Oh, aturan bab dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" tidak dibuat seperti kebanyakan buku yang mana selepas Bab 1 baru Bab 2 diikuti Bab 3. Ia dibuat berselang-seli dengan bab-bab yang memiliki tajuk berdasarkan suatu perkara. Misalnya selepas Bab 1 ada bab bertajuk "KeSultanan Perlak : Bermulanya Sebuah Cerita" kemudian baru Bab 2. Kemudian ada pula diselitkan bab seperti "Interlud : Warkah untuk Nenek". Lalu bab yang ditanda sebaga Bab 3 adalah sebenarnya bab ke-7 dalam buku.

Berbalik pada hal berjalan mengikut gerak hati. Turut dijadikan contoh adalah perjalanan pusing Eropah tahun 1995 yang ceritanya telah dijadikan buku ke-13 lalu terbit tahun 2019. Rujuk artikel Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995 kurang tiga minggu lalu. Sekarang berbalik pada cerita pada petang sebelum Tahun Baru  tahun 2004. Daripada muka surat 33 buku...

-----------------

Pada mulanya Rasyid belum menetapkan tarikh hendak berangkat ke Aceh. No rush, tidak perlu terkejar... Boleh ditangguh seminggu dua lagi mengikut keadaan. Walaupun dia memang tidak ada mood mahu enjoy, pemuda ini ada terfikir juga hendak menikmati suasana Happy New Year  di Kuala Lumpur yang akan bermula tidak sampai enam jam lagi. 

Lagipun, ada kemungkinan dia tidak akan kembali ke Malaysia buat  jangka masa yang lama, atau tidak akan kembali langsung ke tanahair! Maka itu apalah salahnya mahu menghirup suasana riang di Kuala Lumpur barang seketika? Bukannya hendak minum arak atau berbuat maksiat... Setakat cuci mata melihat kemeriahan suasana sambil menghidupkan sedikit nostalgia kenangan-kenangan lama. Takkan itupun tak boleh?

Tetapi bila Pak Syed sudah sound semacam,  herdik dirinya yang sedang terkial-kial mencari jawaban, Rasyid rasa cukuplah segala beban yang tersimpan dalam dada. Cukuplah menanggung derita dalam jiwa. Dia pun membuat keputusan untuk terus melangkah saat itu juga. Apa lagi yang hendak ditunggu jika kehadirannya cuma menyakitkan hati?

Malam itu, di kala ramai manusia berpusu-pusu menuju pusat bandar Kuala Lumpur untuk menyambut perayaan Tahun Baru secara besar-besaran, Rasyid pula keluar keseorangan melawan arus meninggalkan kotaraya dan segala kemeriahan. Pemuda yang sudah lama mencari erti ketenangan sejati ini berazam untuk meninggalkan segala hiruk pikuk keduniaan, segala kisah pahit manis silam dan memulakan kehidupan baru di Aceh Darussalam yang bermakna daerah kesejahteraan...

Masalahnya wilayah itu sedang darurat, sengsara dilanda perang. Lalu dapatkah kesejahteraan itu ditemukan? Atau malang yang menanti di hadapan? Ah... Apapun, kita lihat dulu apa yang akan terjadi. Pantang ajal sebelum mati. Biarlah Takdir menentukan segalanya nanti...



2 comments:

Anonymous said...

Selamat berpuasa dan berbuka puasa kepada Merah Silu & the family at home

Radzi Sapiee said...

Selamat berpuasa juga kepada saudara/saudari dan keluarga.