Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, November 13, 2023

Dari Muar 2 minggu lalu ke acara ke-23 HIKMAH di Tanjung Malim 2 hari lalu

Salam semua. Dalam artikel terakhir dipersembahkan di CATATAN SI MERAH SILU iaitu  Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat  pada 3 November 10 hari lalu ada disebut telah berlaku kerosakan kereta ketika berada di kampung ibu bapa di Muar hujung minggu sebelum itu. Pada petang sama Sabtu 28 Oktober berlaku pula kerosakan pada kamera digital kesayangan. Apa yang tidak disebut adalah ia nampaknya berlaku kerana terkena tempias hujan lebat. Hari itu, ketika keluar hendak berjalan-jalan dengan ibu bapa menaiki kereta yang kemudian rosak itu saya ada mahu mengambil gambar. Tengok-tengok kamera tiada dalam pouchbag. Bila kembali ke rumah ibu bapa ternampak ia tersangkut di pintu pagar terkena air hujan. Nampaknya terlupa ada meletakkan ketika hendak mengalihkan sesuatu di pintu pagar sebelum keluar.




Kerosakan kereta menyebabkan tidak dapat balik ke rumah seperti dirancang untuk petang Ahad 29 Oktober. Walaupun ada bengkel betul-betul di hadapan rumah lalu boleh terus dihantar petang Sabtu barang ganti pula cuma boleh didapatkan apabila kedai-kedai di bandar Muar dibuka hari Isnin 30 Oktober. Petang Isnin itu, sementara menunggu kereta siap diperbaiki, keluar berjalan-jalan dengan isteri menaiki skuter milik bapa. Singgahlah minum kopi di restoran terkenal Kopi 434. Ambil gambar menggunakan kamera rosak.




Yang sebenarnya rosak adalah paparan digital kamera.  Masih boleh mengambil  gambar, cuma tak tahu rupa akibat paparan menjadi gelap lalu pandai-pandailah agak bagaimanakah rupa. Kenapa boleh tahu ini? Kerana selepas mengambil gambar didapati ia masih boleh dimuat naik ke dalam komputer riba. Itu yang apabila singgah di Melaka selepas kereta siap diperbaiki lewat malam dapat mengambil gambar atas ini walau tidak kelihatan dalam paparan digital. Dapatlah mengambil beberapa keping gambar satu tempat menarik yang seingat saya tidak pernah disinggahi sebelum ini walaupun sudah entah berapa banyak kali lalu jalan di hadapannya. Lihat artikel Perigi (Well of) Hang Li Po dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Gambar ini pula diambil jam 1.11 petang Selasa 31 Oktober di sekitar taman perumahan iaitu Bandar Sungai Buaya. Melihat pada waktu ia harus selepas mengambil anak kembali dari sekolah pagi di kampung berdekatan.




Gambar ini diambil jam 6.24 petang Khamis 2 November. Selepas mengambil anak balik daripada sekolah agama saya berjalan-jalan melihat perkembangan tapak kilang berdekatan.  Lihat artikel A part of the industrial site at Bandar Sungai Buaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Bagaimana boleh tahu waktu tepat gambar-gambar diambil? Kerana ia boleh disemak setelah dimuat naik ke dalam komputer riba. Gambar atas ini pula diambil jam 7.15 pagi Sabtu 4. Ketika itu saya sedang membawa anak dan isteri bergegas ke Janda Baik untuk mengambil seorang lagi anak keluar bercuti dari ma'ahad tahfiz.




Anak-anak tahfiz dibenarkan keluar balik bercuti setiap Sabtu awal bulan lalu dikembalikan ke asrama sebelum jam 7 petang Ahad.  Oleh kerana pagi itu juga ada mesyuarat keluarga melibatkan urusan hartanah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah (dan juga di Singapura) kami ke tempat mesyuarat di Selayang dahulu sebaik sahaja dapat membawa anak keluar.




Gambar ini pula diambil jam 7.13 petang di surau berdekatan selepas menghantar anak kembali masuk tahfiz. Saya pergi tanpa membawa isteri dan anak seorang lagi. Kalau bawa, malam itu juga harus kembali ke Sungai Buaya. Ini kerana isteri bekerja sementara anak bersekolah esok harinya. Tanpa saya isteri masih boleh menghantar anak ke sekolah pagi sebelum ke tempat kerja. Cuma saya perlu mengambil petang sebelum menghantar ke sekolah agama...




Malam itu saya menginap seorang diri di surau. Pagi Isnin 6 November, sebelum kembali ke Sungai Buaya, singgah bermandi manda di satu kawasan sungai yang sudah agak lama tidak dijejaki di Janda Baik. Ada satu cerita menarik tentang kawasan melibatkan seorang gadis yang dahulu beriya-iya mahu menjadi isteri saya. Tetapi beberapa lama kemudian, atas pengaruh siapa entah (rasanya tahu siapa sebenarnya), saya pula dituduh telah mengguna-gunakanya. Lihat Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya....




Jumaat malam Sabtu 10 November, saya membawa isteri dan anak ke Sarang Art Hub di Tanjung Malim. Ini adalah untuk membuat beberapa persediaan akhir bagi menjayakan satu acara keesokannya. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-



Gambar ini pula diambil awal pagi Sabtu 11 November di hadapan home stay atau inap desa tempat kami menginap.




Letaknya di tepian jalan besar seberang kampus utama UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris).




Bergerak ke pekan lama Tanjung Malim.




Alhamdulillah dapat menjayakan acara yang berlangsung pagi hingga lewat malam. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. HIKMAH ke-23 di Sarang Art Hub - Dari seni rupa ke perjuangan Melayu dan Islam

2. HIKMAH ke-23 di Sarang Art Hub - Persembahan silat dan jualan

3. HIKMAH ke-23 di Sarang Art Hub - Tahlil arwah dan aktiviti malam




Gambar ini pula diambil jam 6.34 petang itu di pasar malam bersebelahan. Lihat From Sarang Art Hub to the weekly market besides. Oh. Adapun sejak berlaku kamera rosak petang Sabtu 28 Oktober di Muar hinggalah petang Sabtu 11 November di Tanjung Malim sebelum ke pasar malam semua gambar diambil dalam keadaan tidak dapat melihat bagaimanakah rupa kerana paparan digital rosak. Sebelum ke pasar malam kami ada membuat perarakan berbusana tradisional Melayu bersampin, berkeris, bertanjak di kecil pekan Tanjung Malim. Ketika hendak memulakan baru tersedar kamera tiada, entah hilang ke mana. Dah selesai baru isteri memberitahu ada di dalam beg beliau. Menariknya ketika menghidupkan kamera didapati paparan digital sudah berfungsi kembali. Cuma ada garis-garis dan sedikit bahagian paparan rosak. Sekurang-sekurangnya dapatlah melihat bagaimana rupa gambar yang ditangkap. Alhamdulillah... :]


Jumaat, November 03, 2023

Antara dunia Melayu dan pemikiran ketamadunan Islam sejagat

Salam tengah hari Jumaat 19 Rabiul Akhir 1445 Hijriah. Sedikit penulisan bagi menghilangkan rasa kegelisahan dalam menghadapi seminggu dua yang bakal mendatang. Sebetulnya ada keresahan sejak berlaku kerosakan kereta ketika berada di kampung ibu bapa di Muar hujung minggu baru ini. Pada petang sama Sabtu 28 Oktober berlaku pula kerosakan pada kamera digital kesayangan. 

Hal ini ada dikongsikan pada bahagian akhir artikel Teater "Tun Perak Bendahara Melaka" di MATIC yang ditulis petang Ahad 29 Oktober. Sepatutnya saya, isteri dan anak sudah bergerak kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya petang itu. Tetapi disebabkan barang ganti cuma boleh didapati Isnin 30 Oktober sedangkan kerosakan  boleh menimbulkan risiko kereta terbengkalai di tengah jalan isteri kena ambil cuti kerja mengejut, anak tidak dapat ke sekolah. Lewat malam baru siap kereta.  Kena bayar lebih RM1,000 bagi barang-barang ganti dan upah.

Esok pagi Sabtu 4 November, selepas mengambil anak kembali bercuti hujung minggu dari tahfiz di Janda Baik kena hadiri mesyuarakat keluarga besar keturunan Laksamana Muhammad Amin di Selayang. Ada isu yang agak memeningkan kepala harus ditangani. Sabtu seterusnya 11 November harus memastikan kejayaan satu majlis di Tanjung Malim. Lihat artikel Pengisian bagi acara ke-23 HIKMAH di Sarang Art Hub seminggu lebih sahaja lagi di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Rabu15 November kena berada di Ipoh bagi sesi terbaru perbicaraan kes faraid hartanah Laksamana di Mekah.

Sambil itu kena fikirkan bagaimana hendak mengatur perbelanjaan supaya dapat membayar saman RM300 akibat satu kesalahan trafik yang berlaku di Ipoh lebih setahun lalu. Kena bayar sebelum 16 November kalau tak nak masuk mahkamah. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Kenapa kena rajin menulis?. Sambil itu juga kena fikir beberapa perkara lain yang turut menuntut banyak belanja. Antaranya adalah bagi menyertai konvokesyen selepas lulus pengajian pascasiswazah di ISTAC (Institut Antarabanga Pemikiran dan Tamadun Islam) yang berada di bawah naungan UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Kena letak deposit RM500 sebelum boleh mengambil pakaian rasmi graduasi secara sewaan. Kena sediakan lagi RM1,200 yuran konvokesyen serta bayaran penilaian tesis sebelum boleh mengambil skrol ijazah sebenar (yang disampaikan pada konvekesyen cuma dummy katanya).



Disebabkan hal konvokesyen saya harus menyemak langkah-langkah yang harus dilaksanakan bagi memastikan penyertaan dalam majlis. Lalu malam tadi disemak sekali kedudukan dan giliran antara para penerima ijazah melalui sesawang berkenaan.  Sebaik sahaja terjumpa nama disenaraikan bawah tajuk apa terus tercetus rasa untuk membuat posting menggunakan ayat berikut di Facebook...



ANTARA DUNIA MELAYU DAN PEMIKIRAN KETAMADUNAN ISLAM SEJAGAT
Hoho. Kelihatan saya adalah satu2nya graduan ISTAC bagi konvokesyen UIA tahun 2023 penghujung bulan November ini yang disenaraikan sebagai penerima Master of Arts in Malay World Studies. Yang lain semuanya atas nama Master of Arts in Islamic Thought and Civilisation. Sebabnya, ketika mendaftar masuk ke ISTAC tahun 2018, memang itu program yang dipinta kerana semangat begitu tinggi mahu mengangkat keMelayuan. Dan memang ketika itu ISTAC, di bawah naungan presiden UIA ketika itu iaitu Tan Sri Rais Yatim sedang melebihkan hal2 dunia Melayu.
Tetapi tidak berapa lama selepas itu ISTAC kembali kepada misi asal mahu mengangkat pemikiran dan ketamadunan Islam sejagat lalu hal dunia Melayu menjadi salah satu komponen bawahan. Pun begitu tesis saya, walaupun tetap menyentuh banyak tentang dunia Melayu melangkau jauh lebih luas. Ia adalah tentang membuktikan bahawa Nabi Adam yang menurut kira2 berdasarkan kitab turun ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu boleh disamakan dengan manusia Homo Sapiens pertama dalam sains yang diperkirakan sudah wujud lebih 200,000 tahun lalu. Hal ini dapat dilakukan menggunakan konsep linear vs nonlinear time yang setahu saya tidak pernah dikemukakan oleh sesiapa pun sebelum ini. Lalu saya menerbitkan satu formula matematik sendiri tentangnya dan ini ada dikongsikan dalam tesis.
Tujuannya adalah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu terawal yang diperkirakan sudah wujud 60,000 tahun lalu (menurut kiraan linear time) boleh diletakkan sebagai anak cucu Nabi Adam selepas Nabi Nuh (berdasarkan kiraan nonlinear time). Dengan itu seluruh sejarah bumi melibatkan kewujudan Homo Sapiens sejak lebih 200,000 tahun lalu boleh diselarikan dengan sejarah Nabi-nabi yang disebut dalam Alquran. Tidakkah implikasinya jauh lebih besar dalam pemikiran dan ketamadunan Islam berbanding sekadar bercerita tentang Alam Melayu? Insyaallah harinya akan sampai apabila ramai cukup sedar akan implikasi kajian tersebut terhadap pemikiran dan pensejarahan dunia.



------------




Teks tersebut diletakkan bersama print screen atau paparan daripada beberapa muka surat terpilih tesis.





Selepas itu baru timbul rasa elok diletakkan dalam CATATAN SI MERAH SILU lalu membentuk sebuah artikel sendiri.





Sebetulnya tesis ini mengenengahkan apa yang telah lebih awal dikongsi dalam buku ke-11 saya, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" berserta 'kembarnya', buku ke-12, "Benua Tua Melayu" yang diterbitkan sekali gus bulan Mac 2018. 




Lihat artikel-artikel lama berikut :-






Disebabkan isi buku terutama konsep "non-linear time versus linear time" yang ingin diangkatnya saya diminta membuat pembentangan di ISTAC tidak lama selepas terbit buku. Pengisian serupa dipanjangkan di institusi dan tempat-tempat lain. Lihat :-




Pembentangan di ISTAC April 2018 menjadi asbab saya akhirnya mendaftar masuk sebagai pelajar pascasiswazah 5 bulan kemudian. Tujuannya adalah agar idea dan konsep yang dikongsikan dalam buku dapat diangkat menjadi satu kajian akademik yang lebih diyakini para cendekiawan dan pihak atasan. Lihat Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia




Sambil itu apa yang diketengahkan terus mendapat ruang bagi bacaan awam. Lihat Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan. Semoga selepas ini kajian dipandang lebih serius dengan adanya tesis yang dikeluarkan atas nama ISTAC dan UIA. Semoga juga salah satu institusi akan menerbitkannya sebagai buku. Ini kerana kedua-dua penilai tesis dalam dan luar (internal and external examiners) telah membuat cadangan agar ia diterbitkan sebagai buku untuk bacaan popular dalam laporan penilaian bertulis mereka. 

Oh. Tadi saya menyemak lagi senarai graduan bagi konvokesyen UIA itu. Di bawah ISTAC, selain 7 orang penerima ijazah Master yang tertera nama dalam gambar paling atas kelihatan ada 4 orang penerima PhD. Semua mereka disenaraikan sebagai penerima ijazah dalam bidang Islamic Thought and Civilisation. Nampaknya saya adalah satu-satunya dalam bidang Malay World Studies. Bukan setakat di ISTAC  malah di seluruh UIA. Kerana memang tiada fakulti lain pernah menawarkan bidang itu.

Amat jarang ini kerana setahu saya pengajian dalam bidang ini mula ditawarkan di ISTAC pada tahun 2017.  Kalau tak salah, mulai tahun 2019 tidak lagi wujud. Yang tinggal adalah mereka yang mendaftar sebelum itu  lalu masih belum menamatkan pengajian. 

Setahu saya, pada tahun 2020 baru ada seorang yang jelas mendapat Master dalam bidang Malay World Studies  Selepas beberapa lama ada seorang mendapat PhD, saya sangkakan dalam bidang itu, kerana banyak membuat kajian melibatkan sejarah negeri Perak. Tetapi apabila disemak rupa-rupanya dalam bidang Islamic Thought and Civilisation. Cukuplah perkongsian.


Nota tambahan (dibuat 22 Nov 2023) : Merujuk pada kenyataan pada permulaan artikel di mana ada disebut tentang kena letak deposit RM500 sebelum boleh mengambil pakaian rasmi graduasi secara sewaan juga  sediakan RM1,200 yuran konvokesyen serta bayaran penilaian tesis sebelum boleh mengambil skrol ijazah. Malam sebelum mengambil jubah (pada siang 21 Nov) baru tahu bahawa deposit RM500 itu cuma dikenakan kalau sudah mengambil skrol. Kalau belum, tak perlu letak deposit. Alhamdulillah. Selesai satu masalah.. :]


Ahad, Oktober 29, 2023

Teater "Tun Perak Bendahara Melaka" di MATIC

Merujuk pada artikel Teater "Tun Perak Penghulu Klang" di Panggung Bandaraya yang dipersembahkan petang Sabtu minggu lalu iaitu selepas menonton teater tersebut pada malam sebelumnya. Sepatutnya Sabtu itu saya pergi ke majlis Hari Tanjak Malaysia di Muzium Negara. Kemudian mengikuti satu majlis zikir tertutup di Petaling Jaya pada malamnya. Pagi Ahad pula ikut majlis ilmu tertutup di Taman Tun (Dr. Ismail). Sebaliknya berlaku rasa kepenatan yang amat sangat sehingga tidak keluar rumah langsung hujung minggu itu. Pun begitu diusahakan menulis artikel tentang teater kemudian artikel kompilasi Misi hartanah dan wacana Laksamana bagi melengkapkan penceritaan perjalanan terbaru Perak yang berlaku 16-19 Oktober.

Rasa penat terus melanda buat beberapa hari mendatang sehingga beberapa majlis ilmu terbuka yang mahu diikuti secara atas talian, di celah hal-hal lain termasuk menguruskan anak pergi balik sekolah, tidak dapat diikuti pada masanya. Namun saya cuba juga mengikuti kemudian 2-3 majlis kemudian melalui rakaman di Youtube. Selalunya saya akan berusaha untuk menulis atau mengulas sedikit tentang majlis di blogspot CATATAN SI MERAH SILU ini. Kali ini langsung tak buat.

Pun begitu Jumaat malam Sabtu baru ini 27 Oktober 2023 tetap membawa isteri dan anak untuk menonton sambungan teater berkenaan di MATIC iaitu pusat informasi pelancongan Malaysia di Jalan Ampang, tengah bandar raya Kuala Lumpur. Sepatutnya Sabtu semalam sudah dipersembahkan cerita. Tetapi disebabkan rasa penat amat yang nampaknya selain dipicu perjalanan Perak 16-19 Oktober juga ada sedikit batuk selesema demam baru petang ini dapat meneguhkan diri bagi melepaskan cerita.


Seperti halnya poster bagi teater minggu lalu yang diceritakan dalam artikel Teater "Tun Perak Penghulu Klang" di Panggung Bandaraya, poster bagi teater kali ini yang merupakan cerita sambungannya telah diwar-warkan lebih sebulan lalu.



Sudah disebut dalam artikel teater terdahulu itu bahawa ia dianjurkan dan melibatkan pihak-pihak sama yang menganjur 2 persembahan yang kami hadiri sekitar 3 bulan lebih awal. Lihat Teater "Kasa Rubiah" di MATIC - Siapakah Rubiah itu? diikuti Teater "Waris Rubiah" di Panggung Bandaraya - Sejauh manakah kebenaran sejarahnya?.




Disebabkan teater 3 bulan lalu itu kami berkenalan dengan pihak berkenaan lalu mengotakan janji mahu menghadiri teater-teater mereka seterusnya. Disebabkan itu kami berusaha untuk hadir walaupun saya masih dilanda kepenatan amat dan sebenarnya kurang sihat.




Persembahan masih mengekalkan format sama iaitu 7 babak cerita diselang-selikan persembahan seperti tarian tradisional dan sebagainya. Walaupun barisan pelakon nampaknya berubah berbanding persembahan minggu lalu ia masih daripada talent pool (kolam bakat?) yang sama iaitu daripada satu maktab perguruan dan beberapa sekolah menengah di Lembah Klang.







Ia bertolak daripada cerita selepas bab terakhir teater terdahulu di mana watak utama bernama Tun Perak (yang sebenarnya sangat terkenal dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka) telah dijadikan bentara di Melaka, setelah berjaya memimpin angkatan dari Klang mematahkan serangan jahat Siam ke atas pusat kerajaan Melaka. Namun kedudukannya itu dicemburui dan mendapat tentangan Bendahara Tun Ali dan Bentara Seri Amerta.







Perseturuan antara mereka menimbulkan perpecahan dalam pentadbiran negara.







Siam melihat ini sebagai peluang bagi melancarkan satu lagi serangan.







Sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Syah cuba mendamaikan dengan menawarkan salah seorang anggota keluarga atau saudara mara Tun Perak (beliau sebenarnya adalah anak Bendahara terdahulu) untuk dijadikan isteri Bendahara Tun Ali memandangkan beliau sudah lama tidak beristeri. Namun Tun Ali menolak. Beliau cuma bersetuju apabila Sultan mencadangkan Tun Kudu iaitu isteri baginda sendiri sebagai calon isteri Tun Ali. Dengan itu, Tun Kudu yang merupakan kekanda kepada Tun Perak pun diceraikan. Apabila habis edah dikahwinkan dengan Tun Ali.







Hikmahnya negara kembali aman kerana dua pihak yang bersengketa telah berdamai. Malah Tun Ali rela berundur lalu menyerahkan kedudukan sebagai Bendahara kepada Tun Perak. Hal ehwal negara pun mula ditadbir dengan kebijaksanaan beliau. Ini termasuk bagaimana hendak menghadapi serangan baru Siam.







Dipendekkan cerita Tun Perak berjaya mematahkan serangan. Selain keberanian pasukannya sendiri beliau menggunakan tipu helah yang berjaya menakutkan Siam lalu memaksa berundur kembali ke negara mereka.







Melaka pun selamat dan menjadi semakin makmur. Disarankan agar kekuasaan Melaka diluaskan lagi bagi meliputi wilayah-wilayah yang belum berada di bawah naungannya.




Akhir sekali adalah babak menunjukkan Sultan Muzaffar Syah hampir mangkat lalu berwasiat agar anakandanya naik menggantikan sebagai Sultan Mansur Syah. Diserahkan juga amanat kepada Tun Perak agar terus berkhidmat di bawah Sultan baru.




Penutup cerita kemudian disampaikan dalam bentuk nyanyian.



Cerita sudah habis tetapi seperti biasa, panggung ditutup dengan semua yang terlibat berada di atas pentas untuk diberikan pengenalan dan kata-kata penghargaan. Semua ini selesai dekat tengah malam. Selepas itu saya, isteri dan anak bergegas ke Muar untuk bercuti bersama ibu bapa saya di kampung.

Sepatutnya pada ketika menulis petang Ahad ini (siap selepas masuk Maghrib) kami sudah sampai kembali ke rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya, Selangor. Tetapi disebabkan masalah kereta yang baru muncul semalam perlu menunggu esok hari Isnin bagi mendapatkan barang ganti. Terus terang cakap, selain penat dan kurang sihat masalah kereta  tentunya terasa mengganggu, Ini kerana selain menyebabkan tidak dapat balik rumah lalu isteri terpaksa mengambil cuti mengejut hari Isnin, anak tidak dapat ke sekolah. 

Selain itu kena fikir berapa nak kena cekau bayar harga repair kereta nanti. Adus. Duit nak bayar untuk graduasi dari ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) berserta bayaran penilaian tesis pun belum dibuat. Perlu diselesaikan dalam masa terdekat kalau mahu masuk majlis konvokesyen di bawah UIA (Universiti Islam Antarabangsa) bagi tahun ini iaitu pada penghujung November. Selain itu nak kena bayar kompaun saman kereta bagi satu kesalahan lebih setahun lalu selewatnya pertengahan bulan (lihat Kenapa kena rajin menulis?). Tadi pula didapati kamera kompak digital kesayangan yang setia menemani ke sana ke mari sejak beberapa tahun kebelakangan pula paparan digital jadi gelap.

Ni pun satu cerita. Semalam semasa hendak keluar membawa ibu bapa berjalan-jalan melihat pusat membeli belah Lotus yang baru dibuka di Muar  kurang 4 minggu lalu rasa dah ada dah dalam pouch bag. Bila nak ambil gambar tak ada. Balik rumah, selepas menghantar kereta yang didapati bermasalah ke bengkel terdekat, tengok-tengok ada tergantung di pagar rumah dah kena hujan. Tadi ketika hendak memuat  naik gambar-gambar atas  ke dalam komputer riba baru dihidupkan. Tengok-tengok paparan digital gelap.

Nasib baik masih boleh ambil gambar. Ini boleh disemak apabila gambar dimuat naik ke komputer. Tapi tu le, cuma boleh agak-agak apabila mengambil gambar kerana tidak kelihatan dalam paparan. Nak beli kamera kompak digital sebegitu, kali terakhir disemak di Plaza Low Yatt tidak lagi dijual, yang tinggal rata-rata jenis mahal DSLR. Dan lagi memang poket tengah kempis teruk. Dengan menulis dan menyatakan ini secara jujurlah ada sedikit rasa kelegaan. Alhamdulillah. :]

Oh. Lupa pula. Sesiapa yang berminat masih sempat untuk menontot teater Tun Perak ini di MATIC malam ini. Ia adalah terbuka dan percuma kepada semua. Persembahan bermula jam 8.30 malam. Meh...


Ahad, Oktober 22, 2023

Misi hartanah dan wacana Laksamana

Salam petang Ahad 7 Rabiul Akhir 1445 Hijriah. Dipersembahkan kompilasi cerita-cerita perjalanan baru Perak.


Seperti biasa sejak lebih setahun kebelakangan hampir setiap bulan saya pergi ke Perak bagi mengikut sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh tentang harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Lalu dibuat sekali perjalanan dan persinggahan ke beberapa tempat. Rujuk artikel Misi keluarga Laksamana dan mencari jejak melalui dokumentasi lama yang dipersembahkan penghujung tahun lalu. Kali ini perjalanan lebih istimewa kerana turut membentang tentang sejarah hidup dan ketokohan Laksamana dalam satu majlis yang agak gilang gemilang. Bertolaklah ke Perak selepas menghantar anak ke sekolah petang Isnin 16 Oktober 2023. 

Ketika singgah di bukit batu kapur Gunung Mesah dekat Gopeng timbul rasa untuk ke Tanjung Rambutan lalu bermalam di masjid sana. Esoknya pagi Selasa 17 Oktober berjalan-jalan di kawasan pendalaman Ulu Kinta sebelum ke mahkamah. Petang itu bergerak ke pendalaman Sungai Siput di mana esoknya Rabu 18 Oktober masuk lebih dalam ke kampung-kampung Orang Asli yang memiliki tarikan indah kedamaian. Pagi Khamis membentang tentang Laksamana di Hotel Causarina di Meru, Ipoh. Petang baru mengorak langkah kembali ke rumah. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. A stop at Tasek (lake of) Temoh

2. The limestone hill of Gunung Mesah

3. Misi hartanah dan wacana Laksamana - Panggilan tak dirancang ke Tanjung Rambutan

4. Lawatan baru ke (New visit to) masjid (mosque of) Tanjung Rambutan 

5. Kinta river from Tanjung Rambutan

6.  Following the Kinta river route upriver

























Sabtu, Oktober 21, 2023

Teater "Tun Perak Penghulu Klang" di Panggung Bandaraya.

Daripada cerita perjalanan di Perak (lihat  Misi hartanah dan wacana Laksamana - Akhirnya terlaksana rancangan lebih 3 bulan lalu) beralih ke teater. Tetapi masih melibatkan nama Perak. Ia adalah tentang seorang tokoh besar Melayu yang hidup lebih 600 tahun lalu.



Sejak beberapa lama isteri saya dimaklumkan oleh pihak berkenaan bahawa mereka mahu mengadakan teater tentang tokoh zaman Kesultanan Melaka iaitu Tun Perak yang pernah menjadi Bendahara di bawah empat orang Sultan Melaka. Baru dalam 2-3 minggu lalu diberikan kepastian diikuti tarikh pementasan.



Pihak berkenaan adalah mereka yang bertanggungjawab membawa dua pementasan teater berkait yang kami hadiri sekitar 3 bulan lalu. Lihat Teater "Kasa Rubiah" di MATIC - Siapakah Rubiah itu? diikuti Teater "Waris Rubiah" di Panggung Bandaraya - Sejauh manakah kebenaran sejarahnya?.




Semalam, Jumaat malam Sabtu 20 Oktober 2023 saya bersama isteri pun membawa anak bagi pementasan malam pertama teater baru yang diberi tajuk "Tun Perak Penghulu Klang : Kebijakan yang Mengatasi Segalanya" di Panggung Bandaraya.







Alhamdulillah walaupun keluar sedikit lewat kami dapat sampai ketika teater baru diberikan pengenalan oleh mereka yang bertindak seperti pengacara.






Barisan pelakon dan mereka yang menjayakan boleh dikatakan sama seperti pada teater-teater 3 bulan lalu.




Format juga sama. Ada 7 babak diselangselikan dengan persembahan seperti tarian moden dan tarian tradisional.




Cerita dibuka tentang bagaimana seorang Bendahara keSultanan Melaka didapati mati atas sebab tertentu. Dengan itu naik Bendahara baru yang sangat membenci keluarga Bendahara lama. Pun begitu, anak Bendahara lama yang bernama Tun Kudu dinikahi Sultan. Sebaliknya adik Tun Kudu iaitu Tun Perak seperti terbuang dari bumi Melaka lalu keluar merantau bersama beberapa orang sahabat.







Dalam perantauan sampai ke Klang di mana mereka diterima baik penduduk. Ini disebabkan sifat elok berbudi bahasa Tun Perak selain ramai sudah sedia mengenali kerana selalu menemani almarhum Bendahara lama apabila bertandang ke Klang. Oleh kerana Penghulu Klang sudah tua dan uzur Tun Perak diminta mengambil alih tempatnya.








Seterusnya berlaku babak perlantikan Tun Perak dimaklumkan lalu diterima oleh Sultan Melaka. Kemudian datang utusan dari Siam datang membawa pesanan. Tunduk kepada kerajaan Siam atau diserang. Sultan memilih untuk melawan. Namun tiada pembesar dapat memberikan buah fikiran bagaimana hendak menghadapi serangan.






Timbul babak utusan dari Melaka datang ke Klang membawa titah agar orang Klang berkumpul di Melaka bagi membantu menghadapi serangan. Tun Perak menyuruh angkatan bersama isteri dan anak.







Tidak lama kemudian angkatan Siam pun datang hendak menyerang.







Namun dapat dikalahkan angkatan dari Klang kerana berjuang bersungguh-sungguh. Ini disebabkan lebih bersemangat kerana ada keluarga masing-masing perlu dijaga dan dipertahankan selain mereka memberikan sokongan.







Disebabkan kebijaksaan Tun Perak menyuruh angkatan membawa keluarga sehingga bersungguh-sungguh berjuang lalu kalah Siam beliau dijadikan Bentara di Melaka. Namun hal ini menimbulkan kecemburuan dan rasa terancam Bendahara baru serta seorang Bentara yang kuat menyokongnya. Ini adalah set up bagi teater akan datang yang mana nanti Tun Perak akan naik menjadi Bendahara. Tetapi itu untuk minggu hadapan. Sementara itu masih boleh menonton teater sekarang di Panggung Bandaraya iaitu di hadapan Dataran Merdeka pada hari ini Sabtu malam Ahad 21 Oktober juga Ahad malam Isnin 22 Oktober.  Ia adalah terbuka dan percuma kepada semua. Meh.