Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Ogos 09, 2018

Cakap-cakap "kedai kopi" bersama Profesor Kopanski di ISTAC

Jumaat lepas saya telah mempersembahkan artikel Sejarah Asal Usul Melayu : Fakta Lama & Fakta Baru di Sebalik Kemerdekaan hasil daripada majlis ilmu berkenaan di ISTAC ((Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu). Pagi semalam saya hadir ke satu lagi majlis ilmu di tempat sama. Biar dikongsikan sedikit cerita hari ini malam Jumaat.


Majlis kali ini mengenengahkan pakar sejarah kelahiran Eropah. Prof Dr Ataullah Bogdan Kopanski. Beliau yang berasal dari keluarga bangsawan Silesia di Poland sudah lama memeluk Islam dan mengajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gombak. Saya pernah mengikuti syarahan beliau dalam satu majlis di kampus Gombak lebih 2 tahun lepas. Apa yang ditulis tentang itu agak cukup untuk memperkenalkan cara pemikiran dan pendirian beliau dalam menanggapi ilmu sejarah tak kiralah di belahan mana dunia. Rujuk artikel Syarahan arkeologi dan sejarah oleh Profesor Dr Ataullah Bogdan Kopanski di UIAM.


Majlis kali ini diadakan tertutup untuk pelajar ISTAC sahaja petang Rabu 8 Ogos 2018 . Untuk makluman ISTAC adalah satu institusi bawah UIAM khas untuk pelajar pasca-siswazah iaitu penuntut Masters dan PhD. Ia asalnya diasaskan oleh pemikir besar tempatan bertaraf dunia, Tan Sri Professor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam tahun 1987. Kemudian berlaku suatu perkara menyebabkan ia ditutup buat suatu masa yang agak lama.

ISTAC baru kembali dibuka pada penghujung tahun lepas dengan ditambah hal-hal tentang dunia Melayu dalam skop misi dan pemikirannya. Ketika itulah baru ia menerima pelajar baru setelah begitu lama sepi sambil Syed Naquib sendiri mendirikan institut lain dengan misi serupa iaitu CASIS (Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation atau Pusat Pengajian Lanjutan untuk Islam, Sains dan Tamadun) di Universiti Teknologi Malaysia tahun 2012 kalau tak salah. Difahamkan 18 pelajar Masters dan PhD telah menyertai kemasukan julungkali ISTAC baru tahun lepas sementara tak sampai 10 orang telah mendapat kepastian untuk kemasukan akan datang bermula September ini. Majlis bersama Kopanski dianjurkan oleh Persatuan Pelajar ISTAC yang terdiri daripada 18 orang tadi.


Majlis yang berjalan dalam bahasa Inggeris ini dipanggil  "ISTAC Intelectual Coffee Talk". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Borak Kopi Intelek ISTAC". Tajuk yang diberikan adalah "The Challenges and Responses of Historians in the Era of Dr.Google" - Cabaran dan Maklum Balas Para Sejarawan pada Zaman Dr Google. Faham saya, tajuk diberikan supaya Kopanski yang merupakan seorang sejarawan bertaraf dunia memberi pandangan beliau tentang cara dan kaedah mengkaji sekarang pada kala ramai lebih berharap pada maklumat yang boleh dicapai melalui program Google di Internet. 

Namun beliau kelihatan lari topik apabila bercerita panjang lebar tentang zaman beliau membesar suka mencari ilmu tetapi sering terkekang akibat ideologi Komunis pegangan Poland dahulu melarang orang  awam daripada suka mencari dan bertanyakan perkara macam-macam.  Kemudian beliau masuk bab bahasa, bagaimana pelbagai bahasa dan dialeknya boleh menyulitkan usaha seorang sejarawan dalam mencari kebenaran. Kadangkala kedengaran Kopanski seperti begitu nostalgik dengan zaman mesin taip pada kala kita mahu mendengar cerita tentang zaman Intel I7 Processor. Beliau memberitahu cara cerita beliau adalah ikut suka apa nak cerita, bukan ikut nota atau apa-apa sukatan matapelajaran. Kalau tak suka pintu sentiasa terbuka untuk pergi, beliau berseloroh.

Apapun begitulah cara orang lama yang banyak pengalaman bercerita. Orang seperti Kopanski yang sudah berumur 70 tahun, pernah masuk tahanan seperti ISA di Poland, berasal daripada keluarga bangsawan yang hingga kini masih memiliki istana berkubu atau castle dengan tanah saujana mata memandang tidak suka terikat dengan apa-apa konvensyen atau tatacara. Cara cerita beliau mungkin mencapah ke merata arah tetapi penuh dengan isi yang cuma boleh dimiliki oleh mereka yang betul-betul banyak pengalaman dan cakapnya serupa bikin, bukan sekadar berdegar-degar tetapi hakikat sebenar diri jauh panggang dari api.

Akhirnya yang diperkatakan akan menjurus kembali kepada tajuk jua iaitu "Cabaran dan Maklum Balas Para Sejarawan pada Zaman Dr Google". Setelah menceritakan pelbagai usaha menggali pelbagai cerita sejarah di lapangan termasuk perkara-perkara sensitif politik yang menyebabkan seorang sejarawan dipaksa membisu malah menipu dalam beberapa hal baru nampak bagaimana ia begitu relevan dengan topik. Dalam membuat kajian lapangan boleh terjumpa banyak dokumen yang disorok pihak berkepentingan. Bila dah jumpa boleh pula menghadapi dokumen-dokumen palsu, penipuan dan macam-macam. Apatah lagi apabila segala macam maklumat dapat diperolehi dengan senang di Internet.  Apakah betul yang kita baca itu atau ia kesilapan, propaganda atau penipuan?

Pendek kata dunia Internet dan program Google amat membantu kita untuk mendapatkan pelbagai maklumat dengan cepat. Namun kita harus cermat menapis mana yang boleh dipakai, mana tidak, mana benar, mana penipuan. Dan untuk itu kita harus memiliki pengalaman yang luas. Kita tidak boleh lari daripada membuat banyak kajian lapangan kerana pengalaman itulah yang akan membantu kita untuk menapis mana yang kaca mana yang intan. 


Masa yang diperuntukkan untuk Kopanski bercakap adalah dua jam. Selepas itu kita minum dulu! Dah nama majlis pun Coffee Talk. Patutnya awal-awal dah layan kopi sambil kita mendengar Kopanski bersembang. 

Tak mengapa. Dua jam tu kira tempoh masa 'control' ikut jadual. Lepas tu sambung lagi sembang-sembang ilmu intelektual tetapi dalam keadaan yang lebih santai. Sekian.


Selasa, Ogos 07, 2018

Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995



Bandar dan kota lama Sisteron di selatan Peranchis. Di sini saya buat kerja gila tidur bersandarkan lereng curam bawah jambatan purba dengan sebatang pokok di kaki sahaja menahan daripada jatuh terjunam ke dalam sungai. Selepas itu saya buat kerja lebih gila apabila tidur dalam terowong kenderaan dengan kereta dan lori lalang cuma 2-3 kaki sahaja dari kepala dan badan...



Merujuk kepada artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa yang dipersembahkan 11 hari lalu. Pada penghujung artikel ada diisytiharkan bahawa saya ingin membukukan cerita perjalanan tersebut menyambung satu usaha yang sebenarnya terbengkalai 21 tahun lalu. Pagi tadi sebelum Subuh saya berjaya menyelesaikan peringkat pertama penulisan buku. Saya telah menterjemahkan kesemua isi catatan perjalanan yang dibuat dalam buku kecil 64 muka surat (dibawa sepanjang perjalanan) lalu melakarkan kembali semua laluan menggunakan Google Map hari ke hari. Sebagai tanda kesyukuran ingin saya berkongsi satu bahagian di mana diringkaskan apa-apa yang berlaku daripada hari ke hari. Untuk makluman pengembaraan ini sebenarnya memakan masa keseluruhan 33 hari. Ini kerana ia dimulakan 17 Ogos sebelum tamat 18 September tahun 1995. Sebelum ini saya ada menulis ia memakan masa 31 hari.



Ringkasan Perjalanan Pusing Eropah 
17 Ogos - 18 September 1995


Hari 1 : Khamis 17 Ogos 1995 - Bertolak dari London jam 10.10 malam. Bermalam dalam bas ke Amsterdam termasuk di atas feri dari Dover di United Kingdom ke Calais di Peranchis

Hari 2 : Jumaat 18 Ogos - Sampai Amsterdam di Belanda sekitar jam 10 pagi. Menginap dua malam dalam sampan orang di terusan dekat Nieuwmarkt.

Hari 4 : Ahad 20 Ogos - "Lompat' pengangkutan awam (tak bayar tambang) dari Amsterdam ke Schipol ke Leiden. Sampai ke Den Haag jam 11.30 malam. Menginap di rumah kawan dua malam 

Hari 6 : Selasa 22 Ogos - Baru memulakan hitchhike. Dari Den Haag sampai ke Rotterdam diikuti  Dordrecht dan Delft. Sampai ke Venlo hampir sempadan negara Jerman dekat tengah malam.. Jalan kaki seberang sempadan. Tidur di tepi lebuh raya Autobahn.

Hari 7 : Rabu 23 Ogos - Tumpang treler panjang ke Koblenz. Menumpang kenderaan lain ke Bingen diikuti Wiesbaden dan Mainz. Tidur atas jejantas pejalan kaki.

Hari 8 : Khamis 24 Ogos - Naik kereta api ke Frankfurt. Tidur bawah jambatan menyeberangi Sungai Main.

Hari 9 : Jumaat 25 Ogos - Naik tram di Nieder- Eschbach. Tumpang kenderaan ke arah Wiesbaden. Sampai lewat ke Dresden. Menginap dalam van milik kenalan baru.

Hari 10 : Sabtu 26 Ogos - Berjalan-jalan di Dresden. Tumpang kenderaan untuk ke Republik Czech. Dapat masuk sempadan tengah malam. Menginap atas meja di luar sebuah restoran di bandar Dubi.

Hari 11 : Ahad 27 Ogos - Menumpang kenderaan ke Teplice. Berjalan kaki ke Milesov. Tumpang kenderaan ke Prague. Mahu bermalam di hadapan kedai pizza. Diajak bermalam di rumah flat warga tempatan lalu barangan dicuri.

Hari 12 : Isnin 28 Ogos - Tumpang bas penuh peninju Czech dalam perjalanan ke Romania. Diturunkan di Brno. Bermalam di perhentian tram.

Hari 13 : Selasa 29 Ogos - Naik kereta api ke Brastilava. Bermalam di kawasan terbuka berhadapan kedutaan Peranchis bersama ahli NGO Greenpeace yang membuat bantahan terhadap ujian nuklear Peranchis di Lautan Pasifik.  Esoknya bermalam di stesyen kereta api kemudian stesyen tram.

Hari 15 : Khamis 31 Ogos - Bergaduh dengan inspektor tiket bas. Berjalan kaki ke sempadan negara Austria. Tumpang kenderaan ke Vienna. Bermalam dalam kolong di tepi sungai Little Danube. Esoknya bermalam di rumah seorang pegawai kedutaan Malaysia.

Hari 17 : Sabtu 2 September - Meninggalkan Vienna lewat petang. Tumpang kenderaan ke St.Polten diikuti Ybbs. Sampai ke Eugendorf, 12 km sebelum Salzburg. Bermalam bawah jejantas lebuh raya.

Hari 18 : Ahad 3 September - Tumpang van ke Salzburg. Sampai jam 11.10 pagi. Menginap di bilik menunggu stesyen kereta api.

Hari 19 : Isnin 4  September- Jalan kaki ke Walserberg kemudian jalan kaki masuk sempadan Jerman. Tumpang bas ekspress kosong hingga ke Rosenheim. Kemudian tumpang kereta wanita berumur hingga ke Widnau di Switzerland. Menginap di rumah beliau tiga malam.

Hari 22 : Khamis 7 September - Dibawa ke negara kecil Liechtenstein,  puncak Gunung Rigi dan beberapa tempat sebelum diturunkan di Zurich. Bermalam di bawah jejantas tempat letak kereta tidak jauh dari stesyen kereta api utama. 

Hari 23 : Jumaat 8 September - Berjalan kaki menyusuri tasik Zurichsee. Tumpang kenderaan ke Au diikuti Wadenswil dan Pfaffikon. Tumpang kenderaan ke Goldau diikuti Brunnen. Jalan kaki 14 km hingga ke Fluelen. Bermalam di stesyen kereta api.

Hari 24 : Sabtu 9 September - Selepas berjalan kaki sekitar 3 km baru dapat menumpang kereta  ke luar Milan di Itali. Tumpang kenderaan sampai di lebuh raya ke Genoa. Jalan kaki 8 km ke pusat bandar raya kemudian beberapa kilomter lagi ke stesyen kereta api. Tidur di stesyen kereta api kemudian tepi pelabuhan

Hari 25 : Ahad 10  September- Naik bas ke Sampierdarena kemudian ke pinggir barat Genoa. Jalan kaki 5 km ke Arenzano. Jalan lagi kemudian tumpang kenderaan ke Savona. Tumpang ke Andora. Sampai ke plaza tol Sanremo dekat tengah malam. Bermalam bawah pokok dekat tol.

Hari 26 : Isnin 11  September- Setelah 15 jam berada dekat tol dapat tumpang kereta masuk sempadan Peranchis lalu Monaco dan Eze. Sampai Nice jam 4.30 petang. Bermalam di tepi pantai.

Hari 27 : Selasa 12 September - Dari Nice tumpang kenderaan ke Puget Theniers kemudian beberapa kenderaan sehingga ke Entrevaux. Sampai ke Sisteron waktu malam. Bermalam di bawah pokok dekat sungai, bawah jambatan purba dengan lereng menjunam ke sungai diikuti dalam terowong laluan kereta dan lori.

Hari 28 : Rabu 13 September - Tumpang kenderaan ke Laragne-Monteglin. Jalan kaki ke Eyguians. Dapat kenderaan ke Grenoble sebelum ke Lyon. Ditahan polis ketika berjalan kaki lalu terowong tengah pusat bandar. Tidur dalam lokap. Malam esoknya tidur di kawasan rehat luar sedikit ke utara Lyon.

Hari 30 : Jumaat 15 September - Tumpang kenderaan dari kawasan rehat di lebuh raya luar Lyon sehingga ke Evry di selatan Paris. Jalan kaki lebih 25 km sampai ke Porte d'Italie di sempadan selatan bandar raya Paris. Tidur di pintu masuk taman bunga.

Hari 31 : Sabtu 16 September - Berjalan kaki ke pusat bandar raya Paris. Melawat banyak tempat menarik termasuk Menara Eiffel. Berjalan kaki ke St Denis di utara Paris kemudian ke lebuh raya A1. Jarak berjalan kaki lebih 25 km. Tidur dalam kereta tumpang ke Brussels.

Hari 32 : Ahad 17 September - Terlajak ke Antwerp sebelum dihantar ke Brussels. Pusing-pusing bandar raya melawat beberapa tempat berjalan kaki lebih 15 km sebelum menaiki bas malam untuk kembali ke London. Bermalam dalam bas.

Hari 33 : Isnin 18 September - Masih berada di tanah besar Eropah selepas tengah malam. Naik feri dari Calais menyeberangi Selat Inggeris sebelum sampai kembali ke London sekitar jam 4 pagi.



Jumaat, Ogos 03, 2018

Sejarah Asal Usul Melayu : Fakta Lama & Fakta Baru di Sebalik Kemerdekaan

Salam Jumaat. Sedikit tentang satu majlis ilmu.


Semalam 2 Ogos 2018 saya ke ISTAC (Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu) untuk satu majlis ilmu...





Masuk ke dalam bilik majlis sudah ramai orang menunggu.








Tajuk pembentangan ilmu adalah "Sejarah Asal Usul Melayu : Fakta Lama & Faktu Baru di Sebalik Kemerdekaan". Pemnbentangnya adalah pengkaji yang tidak asing lagi, Puan Zaharah Sulaiman.


Majlis dibuka dengan kata-kata aluan oleh pihak ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) sebagai penganjur dan ISTAC sebagai tuan rumah.


Setelah beberapa lama Zaharah pun memulakan pembentangan.


Beliau membuka dengan memperkenalkan buku tulisan beliau "Asal Usul Melayu : Induknya di Benua Sunda".. Diterbitkan tahun lepas kalau tak salah ia ditulis bersama dua orang cendekiawan Melayu ternama, Profesor Emeritus Dato Dr Wan Hashim Wan Teh dan Profesor Emeritus Dato Dr Nik Hassan Shuhaimi.


Menurut Zaharah buku ditulis sebagai tindak balas terhadap usaha pihak-pihak tertentu yang mahu menafikan hak orang Melayu terhadap Tanah Melayu. Ini dilakukan dengan mendakwa orang Melayu adalah pendatang seperti dinyatakan dalam buku :Contesting Malay - Malay Identity Across Boundaries" yang diterbitkan di Singapura beberapa tahun lalu.


Apa yang tertulis dalam buku membentuk pembentangan ini. Asal usul Melayu dari Benua Sunda atau Sundalan, satu tanah besar yang pernah wujud sebelum berlaku banjir-banjir besar membentuk muka bumi sekarang pun dihuraikan panjang lebar.


Hal ini juga pergerakan manusia sejagat sehingga terbentuknya bangsa Melayu menjadi teras setiap pembentang Zaharah. Saya tahu ini kerana sudah banyak kali menghadiri pembentangan-pembentangan beliau dalam berbagai majlis ilmu. Lihat artikel-artikel lama berikut :-








Secara rata Zaharah membahagikan isi pembentangannya kepada tiga bahagian. Ia adalah asal usul orang Melayu diikuti kehebatan teknologi orang Melayu dahulukala. Selepas itu adalah apa yang berlaku kepada orang dan negeri-negeri Melayu sehingga kita sudah hilang kehebatan lalu diperlekehkan bangsa-bangsa lain. Sejak kebelakangan ini bahagian ketiga menekankan apa yang berlaku sebelum Malaysia atau lebih tepat, Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan 31 Ogos 1957. 



Maka ditimbulkan persoalan kenapa negara-negara lain di sekitar yang pernah dijajah kuasa-kuasa Barat seperti British dan Belanda menerima kemerdekaan sekitar tahun 1945-1947. Sedangkan kita di Persekutuan Tanah Melayu/Malaysia lewat 10 tahun kemudian.


Saya dapati hal ini dan beberapa perkara berkaitan mula ditekankan oleh Zaharah sejak awal tahun ini. Turut ditekankan beberapa perjanjian dan pernyataan termasuk sejumlah yang berlaku sejurus sebelum kita mendapatkan kemerdekaan tahun 1957. Ditunjukkan sekali salinan dokumen-dokumen berkenaan yang secara jelas menunjukkan berlaku semacam konspirasi British sengaja membantu orang Cina untuk menyudutkan kepentingan Melayu. Lalu perkara ini terbawa-bawa hingga kini yang mana bangsa keturunan pendatang semakin galak mempersoalkan hak istimewa orang Melayu sambil kita semakin kehilangan tanah rezab Melayu. Rujuk artikel Lihat DNA Melayu 2.0 : Rahsia di Sebalik Kemerdekaan Tanah Melayu - Memulakan kempen "Kembalikan Tanah Rizab Melayu"



Jumaat, Julai 27, 2018

Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa

Salam Jumaat. Sejak kebelakangan ini saya asyik teringkatkan tempat-tempat yang pernah dijejaki di Eropah juga kota London tempat saya belajar, mengambil sarjana muda dalam bidang matematik 1991-1995. Ia tercetus setelah mendapat mimpi naik basikal lumba seorang diri menuju ke Bratislava di Slovakia dari arah Hungary. Saya pernah menginap 3 malam di Brastilava tetapi tidak pernah sampai ke Hungary. Apabila menyemak kedudukan menggunakan Google Map didapati mimpi yang muncul tiba-tiba tanpa ada mukadimah berkenaan sebelumnya itu memang tepat daripada segi geografi. Rupa-rupanya sempadan Hungary terletak 20 km sahaja dari Brastilava.

Ingatan yang kuat ini mendorong saya untuk membuat status update berikut di Facebook. Biar dikongsikan di sini supaya tidak hilang begitu sahaja... dan supaya dapat mengkaji apa yang tersurat dan tersirat di sebalik kejadian ini...



Rabu Julai 18 jam 12:29 PM · 

KENANGAN BERJALAN DI PERANCHIS DENGAN DUIT POKET RM50



Salam. Ternampak orang buat gambar throwback berada di Peranchis sempena negara tersebut berjaya muncul sebagai juara bolasepak Piala Dunia 2018 hujung minggu lalu saya pun nak kongsikan satu gambar throwback. Ini daripada perjalanan saya pusing Eropah secara solo hitchhike musim panas tahun 1995. Perjalanan dibuat dengan belanja keseluruhan 180 Pound Sterling. Ini meliputi £130 duit belanja untuk makan minum, penginapan dan sebagainya + £50 tiket bas untuk memulakan perjalanan dari tempat saya belajar iaitu London ke Amsterdam kemudian kembali ke London dari Amsterdam, boleh juga dari Paris mahupun Brussels.

Jumlah ini tak sampai pun RM1,000. Namun saya dapat meliputi 11 buah negara dalam tempoh 31 hari - Peranchis, Belanda, Jerman, Republik Czech, Slovakia, Austria, Switzerland, Lichenstein, Itali, Monaco, Belgium. Ini dapat dibuat kerana saya menggunakan sleeping bag untuk tidur di mana-mana yang boleh lalu tidak perlu membayar kos sewa hotel. Saya juga menahan lalu menumpang kenderaan demi kenderaan, kereta, lori dan trak lalu tidak perlu membayar kos pengangkutan kecuali di satu dua tempat.

Di Peranchis saya pernah bermalam di tepian pantai bandar raya Nice menghadap Laut Mediteranean. Malam esoknya saya menginap di lereng bukit menjunam ke arah sungai sebelum beralih ke dalam terowong bawah tanah lalu lintas di Sisteron, sebuah bandar kota (castle town) di kawasan pergunungan menuju ke kota Grenoble dan banjaran Alps. Malam berikutnya saya merasa disumbat dalam lokap polis di Lyon kerana disangkakan seorang pengganas Islam. Di Paris saya tidur di hadapan pintu sebuah taman bunga di selatan pinggir bandar raya sebelum berjalan kaki ke pusat. Pada hari yang sama saya berjalan kaki sekitar 50 km ke arah utara sebelum dapat menumpang kenderaan menuju ke Brussels di Belgium.

Tahun 2000 saya pergi ke Peranchis dalam keadaan lebih selesa dibawa oleh seorang jaguh lumba kuda endurance untuk meliputi hal ehwal dunia sukan tersebut sebagai wakil wartawan daripada akhbar di The New Straits Times. Dari Paris kami menaiki kereta terus ke selatan Peranchis meliputi persekitaran bandar Moncuq menghampiri sempadan negara Sepanyol membawa ke kawasan pantai Mediterranean di sekitar Marseilles. Perjalanan meliputi masa seminggu dalam suasana selesa dan boleh tahan mewah. Namun yang tetap lebih berbekas dalam ingatan adalah perjalanan lasak tahun 1995 yang mana apabila sampai di Peranchis itu duit dalam poket saya cuma tinggal sekitar £10 bersamaan RM50 gitu...



Rabu Julai 18 jam 2:06 PM · 

KENANGAN MALAM PERTAMA TIDUR ALA GELANDANGAN DI NEGARA ORANG



Throwback lagi, kali ini dicetuskan oleh komen orang dalam posting saya tentang kenangan Peranchis tadi... berkenaan saya tidur bersepah dalam sleeping bag di tempat orang untuk menjimatkan kos perjalanan. Ia berbunyi begini :-

"Uihs berani nye tuan hamba.. klu hamba risau juge klu2 terserempak perompak di tgh jln.. tido mlm .. risiko ditikam ditembak dsbgnya.. sorg diri plk tu.. Alhamdulillah tuan hamba selamat dilindungi Allah. : )"

Sebetulnya sebelum keluar berjalan buat solo hitchhike ke Eropah termasuk di Peranchis itu saya dah 'training' jadi homeless atau gelandangan 3 bulan di London. Teringat malam pertama saya mencuba jadi gelandangan, kalau tak salah dalam bulan Mei ke Jun tahun 1995. Mungkin lebih awal, saya pun dah lupa. Mungkin saya mengambil peperiksaan tahun akhir saya di University College of London dalam keadaan sudah menjadi gelandangan.

Yang saya ingat bawa backpack penuh pakaian berserta sleeping bag juga sebuah gitar kesayangan mencari tempat untuk melelapkan mata di Oxford Street, jalan membeli-belah paling terkenal di tengah kota London. Jalan punya jalan akhirnya saya buat keputusan untuk cuba menginap bersama sekumpulan gelandangan di stesyen kereta api bawah tanah Tottenham Court Road. Gelandangan yang ada ketika itu rata-rata orang punk berambut tajam, berjaket kulit, berantai bagai. Muka dan perangai nampak ganas, tapi boleh diajak berkawan asal tahu 'masuk line'...

Mula-,mula saya layan berbual dan merokok dengan mereka. Nampak ok je. Tapi nak terlelap rasa takut pulak. Kot-kot dirompak atau ditikamnya masa tengah tidur. Setelah beberapa lama lalu dah tak tahan penat saya pun bertawakal melelapkan diri menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT. Alhamdulillah, saya dapat tidur nyenyak dan selesa. Sejak itu saya tidak lagi risau dan takut tidur bersepah di mana-mana di negara orang...




Selasa 24 Julai jam 11.55PM 

THROWBACK VIENNA SUMMER 1995



Tergerak tengok fail lama. Rasa nak share gambo ni dan sedikit cerita. Ni kat Vienna, Austria musim panas 1995. Saya sampai ke sana selepas menginap 3 malam di Brastislava, Slovakia. Di Bratislava saya bermalam bawah pokok menghadap kedutaan Peranchis bersama beberapa orang aktivis Greenpeace. Ketika itu mereka sedang membuat demonstrasi/protes membantah ujian bom nuklear yang dibuat Peranchis di Lautan Pasifik.

Dari Bratislava saya berjalan kaki hampir 11 km sampai ke sempadan negara Austria. Selepas itu baru dapat hitchike menumpang kereta orang dalam 72 km sampai ke Vienna. Menariknya saya diajak naik kereta itu tanpa perlu bersuara meminta izin terlebih dahulu. Seorang wanita muda Slovak yang ditemui di tempat rehat selepas pos imigresyen Austria pula yang menegur saya terlebih dahulu lalu kami berbual-bual bercerita macam-macam.

Nasib baik dia pandai berbahasa Inggeris. Ini kerana sejak memasuki Jerman Timur dari arah Jerman Barat beberapa hari sebelum itu susah saya hendak menemui orang yang boleh bercakap bahasa Inggeris. Terpaksalah gunakan isyarat tangan dan memek muka untuk menyatakan sesuatu. Kebetulan wanita muda tersebut yang merupakan seorang pelajar universiti sedang menunggu boyfriend dia datang dari arah Vienna. Apabila mendapat tahu saya memang mahu bergerak ke arah sana dia pun mengajak naik sama.

Malam pertama di Vienna saya menginap menggunakan sleeping bag dalam sebuah kolong di tepian sungai Little Donau (Danube kecil). Esoknya baru saya betul-betul berjalan melihat pusat bandar raya Vienna, kebanyakannya dengan berjalan kaki merata. Saya kemudian mencari kedutaan Malaysia lalu dapat menumpang tidur di rumah seorang pegawai. Di situlah setelah beberapa hari tak mandi baru saya dapat membersihkan diri sehingga betul-betul cergas dan selesa sebelum menyambung perjalanan menuju ke Salzburg, kota kelahiran komposer musik terkenal dahulukala Wolfgang Amadeum Mozart...



Selasa 24 Julai jam 12.55PM  

LALUAN SOLO TRAVEL HITCHIKE EUROPE SUMMER 1995


Allah! Saya masih dilanda nostalgia perjalanan lama tersebut. Sampai tergerak untuk plot balik laluan menggunakan Google Map tadi. Secara rata dah betul le apa yang saya plot ini, cuma tak campur perjalanan pusing dalam bandar dan beberapa tempat berdekatan juga tak campur perjalanan permulaan dari London ke Calais juga perjalanan balik dari Brussels ke London.

Saya tak dapat plot kesemuanya sebab ada had beberapa tempat boleh disambungkan menggunakan Google Map. London-Calais sendiri dah makan jarak 177 km, Brussels-London 373 km. Campur ini dengan jarak yang dapat saya plot iaitu 4,447 km dah hampir 5,000 km. Kalau campur jarak pusing merata yang tak dapat saya plot, antaranya 3 kali patah balik Jerman Timur ke sempadan Czech kerana ada masalah hendak melepasi pos immigresyen (saya menumpang kereta seorang Jerman ketika itu) harus lebih 5,500 km saya berjalan mengembara seorang diri itu.

Ini tidak menghairankan bagi pengembara biasa yang banyak bertebaran ke Eropah termasuk pada pelajar kita sendiri di luar negara. Beli tiket khas untuk pelajar boleh naik hampir semua kereta api di Eropah selama sebulan, harga dalam £200-250 + £1,000 untuk makan minum,penginapan dan lain-lain pengangkutan merata anda boleh jalan. Ramai pun dah buat. Tapi dengan belanja keseluruhan £180 cover 11 negara dalam tempoh 31 hari? Di situlah terletak kemanisan yang menyebabkan saya berani cakap sedikit sahaja orang yang pernah atau mampu melakukan.

Dalam keseluruhan perjalanan ini cuma ada beberapa segmen aje yang boleh dikira selamat kerana naik pengangkutan awam. Ini adalah perjalanan permulaan naik bas dari London ke Amsterdam (542 km), Amsterdam ke Rotterdam naik bas (65 km), Brno ke Bratislava naik kereta api (131 km), perjalanan balik Brussels ke London (373 km). Jumlahnya 1,111 km. Yang lain semua hitchhike menumpang kenderaan orang di mana saya terdedah kepada risiko diserang dan dirompak orang. Bermakna lebih 4,000 km perjalanan dilakukan dalam keadaan lasak dan berisiko tinggi.

Itu baru satu contoh saya berjalan, daripada fail tahun 1995. Sekarang dah tahun 2018. Dah bermacam-macam lagi perjalanan lasak saya dah buat, cuma belum ada rezeki nak merayap lebih jauh ke luar Asia Tenggara sejak itu kecuali ketika dihantar membuat liputan sukan berkuda di Peranchis tahun 2000 juga umrah dan ziarah ke Mekah dan Madinah pada tahun 2005 dan 2013...



 Selasa 24 Julai jam 4.21PM  · 

SEMAKAN LALUAN DAN JARAK JALAN KAKI DI PARIS 1995



Hari tu saya ada sebut bagaimana di Paris saya telah berjalan kaki sekitar 50 km dalam tempoh satu hari. Tadi saya menyemak laluan menggunakan Google Map berdasarkan tempat-tempat yang saya pasti dan ingat ada singgah. Berdasarkan map saya telah berjalan kaki 51 km sedangkan saya cuma plot apa yang dapat dan ingat. Sebenarnya ada beberapa lagi tempat saya singgah di celah-celah itu menjadikan jarak perjalanan jalan kaki harus 2-3 km jauh lagi daripada itu.

Adapun perjalanan kaki itu dimulakan di Evry, sekitar 30 km ke selatan pusat bandar Paris. Di sekitar itulah saya turun setelah dapat menumpang kenderaan dari kota Lyon 466 km jauh ke selatan.

Ah. Sekarang baru ingat. Saya turun di Evry dekat persimpangan lebuh raya kerana orang yang menumpangkan saya dari Lyon ittu mahu pergi lebih jauh lagi ke luar Paris, tak masuk ke dalam kawasan besar kota. Dari situ saya berjalan kaki sekitar 26 km ke pinggir selatan pusat bandar raya Paris lalu berehat/menginap/bermalam di hadapan pintu gerbang taman suatu tempat bernama Port D'Italie gitu. Esoknya baru menyambung berjalan kaki ke pusat bandar raya kemudian keluar ke utara di St Denis. Apabila disemak balik dengan lebih teliti memang saya berjalan kaki lebih 50 km, dalam 52-53 km gitu. Cuma ia sebenarnya dibuat dalam tempoh 2 hari, bukannya 1.



Rabu 25 Julai jam 3.25PM  

KENANGAN ZAMAN METAL/ROCK LONDON...



Nak cari notebook catatan solo hitchhiking Europe 1995 punya pasal saya pun geledah file zaman UK 1991-1995. Jumpa le beberapa tiket concert. Rasa nak share...



Rabu 25 Julai jam 2.25PM  

DUIT RARE DARIPADA ZAMAN COLD WAR NI...



Tu dia, jumpa duit Yugoslavia dalam file lama. Kalau tak salah orang bagi saya masa kat Bratislava. Masa tu dah 3 tahun gak negara Yugoslavia berpecah (tahun 1992). Tu yang jadi Croatia, Serbia, Bosnia dan apa-apa entah..



Rabu 25 Julai jam 6.57PM  

KENANGAN SOLO HITCHIKING EROPAH MUSIM PANAS 1995 - 
MAHUKAH KALAU DIJADIKAN BUKU?



Alhamdulillah. Jumpa dah notebook catatan perjalanan solo hitchhiking saya ke Europe summer 1995. File berkenaan yang mengandungi sejumlah barang ingatan seperti peta, surat laporan polis (gitar hilang kena curi di Amsterdam) malah resit denda (sebab naik trem tak beli tiket di Bratislava) pun sudah diatur balik dalam fail supaya menurut turutan peristiwa. Mahukah tuan-tuan dan puan-puan beli dan baca jika cerita perjalanan ini dijadikan buku? Sila berikan maklum balas. Harap ada penerbit sudi menerbitkannya....


---------


Di bawah ini adalah update yang baru dibuat di FB beberapa minit tadi...



CEBISAN DARIPADA USAHA PERTAMA PENULISAN BUKU YANG TERKANDAS 21 TAHUN LALU

Salam Jumaat. Ada sedikit perkongsian daripada satu fail lama. Ia merupakan beberapa bahagian awal daripada satu siri cerita pengembaraan saya secara solo hitchhiking di Eropah tahun 1995. Saya menulisnya penghujung tahun 1996 hingga awal 1997 untuk dijadikan buku berbahasa Inggeris bersama Berita Publishing.

Cerita ditulis menggunakan sistem intranet ATEX di pejabat The New Straits Times. Ketika itu saya baru sahaja sebulan dua bertugas sebagai wartawan. Nak dijadikan cerita, setelah beberapa banyak menulis berlaku sesuatu pada sistem. Akibatnya semua fail hilang. Apabila didapati tidak boleh diselamatkan saya pun berhenti menulis tentang perjalanan itu. Saya anggap tidak ada rezeki atau belum sampai masa untuk menulis buku.

Nasib baiklah ada sedikit printout ditemui sebagai ingatan. Untuk makluman saya mula berusaha untuk kembali menulis buku selepas keluar dari NST penghujung tahun 2001. Namun selepas pergi ke Aceh zaman darurat awal tahun 2004 baru dapat menulis sesuatu yang lebih bermakna. Pertengahan 2006 baru diterbitkan buku pertama saya. Itulah buku Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti yang menjadi pembuka trilogi siri...


---------

Perkongsian yang dimaksudkan adalah artikel Remembering the Europe solo hitchiking trip of 1995 again di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Dengan ini saya mengisytiharkan akan memulakan penulisan buku tentang perjalanan tersebut. Kiranya ia menyambung usaha penulisan asal yang pernah terkandas tahun 1997. Bezanya ketika itu saya menulis dalam bahasa Inggeris dalam keadaan diri yang masih agak keBaratan. Kali ini saya akan menulis bahasa Melayu dalam keadaan diri yang lebih keMelayuan sejak beberapa lama...


Jumaat, Julai 20, 2018

Ringkasan sambutan raya Aidil Fitri/bulan Syawal tahun 2018

Salam Jumaat. Sejak mempersembahkan artikel Iktikaf malam 27 dan 29 Ramadhan - Lalu muncullah bulan raya Syawal Khamis malam Jumaat 14 Jun bersamaan 1 Syawal lalu saya telah membiarkan blogspot ini juga blogspots saya yang lain sepi daripada berita. Hari ini baru tergerak membuat pengemaskinian. Untuk blogspot ini biar diringkaskan apa yang saya dan keluarga buat dalam tempoh sebulan lebih kebelakangan itu.


Adapun ketika artikel Iktikaf malam 27 dan 29 Ramadhan - Lalu muncullah bulan raya Syawal dibuat kami sudah berada di kampung sebelah ibu saya di Muar untuk menyambut hari raya. Siang keesokannya pagi 1 Syawal kami mula menziarahi rumah beberapa orang saudara mara selepas solat sunat raya. Masuk waktu Zohor pergi ke masjid jamek Muar untuk bersolat Jumaat sebelum menyambung ziarah ke rumah kawan-kawan pula.



Hari raya kedua baru rumah ibu bapa saya sendiri menerima kunjungan saudara mara...


Hari raya ketiga kami beraya di kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor pula...





Seperti rata-rata orang Melayu di Malaysia kami mengambil kesempatan pergi beraya di rumah saudara mara dan kenalan setiap kali ada kelapangan sepanjang bulan Syawal itu. Gambar ini adalah daripada majlis perjumpaan keluarga sebelah bapa. Ia melibatkan satu cabang keturunan keluarga besar bangsawan bergelar Laksamana Raja Mahkota Perak.


Pada majlis ini buat pertama kali dalam tempoh setahun lebih gitu saya isteri dan anak-anak mengambil gambar bersama tanpa ada orang lain masuk sama. Majlis ini berlangsung pada hari Ahad 8 Julai lalu.


Ini pula di rumah seorang kawan lama petang Sabtu lepas 14 Julai. Alhamdullillah dapat berjumpa ramai kawan yang sama-sama buat "A Levels" 30 tahun lalu sebelum menyambung pelajaran di UK. Walaupun ketika itu sudah habis bulan Syawal kerana sudah masuk 1 Zulkaedah ramai mengambil peluang untuk mengadakan majlis rumah terbuka..


Esoknya Ahad 15 Julai pun ada majlis, kali ini bersama kawan-kawan aktivis dalam dunia busana dan persilatan. Lihat artikel Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Warisan Melayu di Kampung Nakhoda di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Malam itu sambutan raya dipanjangkan di rumah saya apabila sejumlah hadirin daripada majlis siang tadi dapat meluangkan masa untuk bertandang.


Walaupun tahun ini kami suami isteri tidak mengadakan majlis rumah terbuka seperti pada tahun-tahun sebelumnya rumah kami sentiasa siap untuk menerima tetamu.


Dalam tempoh sebulan kebelakangan ini adalah juga 4-5 kali orang datang beraya secara berkumpulan sehingga melebihi 20 orang sekali bertandang.


Seperti biasa saya suka mengajak mereka menikmati suasana rumah daripada beberapa sudut. Dan selalunya apabila sampai ke tingkat paling atas loteng yang merupakan tempat khas bersuluk akan ada perbincangan mendalam melibatkan agama, bangsa dan negara.


Khamis, Jun 14, 2018

Iktikaf malam 27 dan 29 Ramadhan - Lalu muncullah bulan raya Syawal

Salam 1 Syawal juga salam malam Jumaat. Dengan tersiarnya pengumuman oleh pemegang mohor besar raja-raja Melayu bahawa 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat 15 Jun maka tahkiklah malam ini tamat bulan puasa Ramadhan lalu masuk tarikh hari raya 1 Syawal. Sebelum menyatakan kegembiraan horay horay mahu menyambut hari raya mintak mak ayam sepotong izinkan saya menyambung gerak penulisan tentang iktikaf yang dimulakan melalui artikel Program iktikaf 10 Ramadhan terakhir tahun 2018 - Daripada 21 menuju ke 23 Ramadhan dan kemudian seminggu lalu kemudian diikuti artikel Dari Hulu Langat ke Putrajaya ke Kuang - Perjalanan iktikaf 23-25 Ramadhan 3 hari lalu...


Isnin malam Selasa 11 Jun 2018 bersamaan malam 27 Ramadhan. Saya keluar lagi berseorangan untuk iktikaf malam ganjil 10 hari terakhir Ramadhan.


Kali ini saya keluar lewat kerana menghabiskan masa berbuka puasa dengan isteri dan anak-anak di kawasan perumahan. Saya menunaikan solat Tarawikh berjemaah di masjid Sungai Choh kira-kira 10 km dari rumah.


Kemudian baru begerak lagi 28 km ke destinasi utama saya malam itu iaitu masjid lama Ampang Pecah, dekat Kuala Kubu Baru.


Di situlah saya beriktikaf malam 27 Ramadhan. Tengok-tengok tidak ada dilakukan Qiamulail berjemaah seperti berlaku di masjid-masjid yang disinggahi sebelum ini. Nak Qiamulail kena buat sendiri..


Suasana ketika solat Subuh berjemaah. Selepas itu saya terus bergegas kembali ke rumah.


Rabu malam Khamis 13 Jun bersamaan malam 29 Ramadhan pula saya ke Masjid Jamek Kuala Lumpur untuk menunaikan solat Tarawikh berjemaah.





Untuk iktikaf bermalam saya ke Masjid Kampung Hulu di tengah bandar raya Melaka.


Saya sampai hampir jam 2 pagi. Tengok-tengok orang ramai sedang bersolat jemaah.


Saya diberitahu Qiamulalial dimulakan jam 1 pagi. Jam 2 lebih dah bersahur...


Kemudian baru dapat tahu Qiamulail dicepatkan disebabkan kehadiran imam besar masjid negeri Melaka. Selepas itu beliau harus berkejar untuk Qiamulail di masjid lain.


Saya tidak dapat menyertai Qiamulail awal bersama mereka kerana satu, saya sampai ketika ia hampir tamat. Kedua, saya belum tidur malam. Setahu saya mana-mana Qiamulalui akan dimulakan dengan solat Tahajud. Faham saya, Tahajud adalah solat selepas bangun tidur lewat malam... mesti tidur dahulu walau sedikit pun sebagai syarat. Saya  pun mengajak isteri dan anak-anak tidur di masjid. Oh. Ketika itu kami dalam perjalanan untuk kembali bercuti bersama ibu bapa di Muar.


Jam 4 lebih baru saya membuat Qiamulail bersendirian.


Jam 5 bergegas kami anak beranak ke Muar.



Dengan ini tamatlah siri kecil iktikaf malam-malam ganjil untuk bulan Ramadhan tahun 2018. Ingin saya mengambil peluang untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin" daripada kami sekeluarga buat semua pembaca, kawan-kawan, kenalan dan sesiapa sahaja yang pernah bersua waima mereka yang setakat pernah mendengar nama kami sahaja. Alhamdulillah... :]