Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Mac 30, 2022

Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Melengkapkan panggilan Ulu Muar dengan Az-Zukhruf

Salam hari Rabu malam Khamis 28 Sya'aban. Biar diselesaikan cerita daripada hujung minggu lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'.



Awal pagi Ahad 27 Mac 2022. Suasana selepas solat Subuh di sebuah masjid di Kuala Pilah...




Ini pula pondok di halaman luar masjid. Siapa sangka ada orang bagi nasi dagang untuk bersarapan. Padahal lokasinya adalah di Negeri Sembilan.




Inilah masjid tempat saya dan keluarga serta kawan bermalam. Menariknya, masjid berusia 113 tahun ini ada sejarah berkenaan hantu. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ranjau Hantu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Kedudukannya pula diapit oleh Sungai Muar di belah barat, utara dan timur. Ada sesuatu yang tersurat dan tersirat tentang ini apa lagi sungai tersebut memiliki tempat yang istimewa dalam hati. Lihat artikel Muar river around the mosque of Ranjau Hantu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Sungai Muar begitu istimewa kerana saya membesar dekat kualanya yang begitu besar di Bandar Maharani, Muar pada tahun 70an dan 80an. Di sini, di daerah Kuala Pilah, dalam Negeri Sembilan terletak hulu sungai. Kawasan masjid dahulu katanya terdapat banyak hantu suka menganggu sebelum berjaya dihalau oleh orang yang tahu. Kami keluar meninggalkannya sekitar jam 11.25 untuk menuju ke bahagian lebih jauh ke hulu.




Ini pula pemandangan dari rumah seorang makcik yang dikenali di masjid. Kami singgah setelah mencari sebuah makam lama berdekatan rumah beliau. Lihat artikel Tanah perkuburan Islam (Muslim cemetery of) Kampung Parit Mainau diikuti Makam lama di (Old tomb at) Kampung Parit Mainau.



Adapun rumah itu terletak di tepian jalan dalam menuju ke bahagian paling hulu Sungai Muar.




Kami mahu pergi ke tempat paling nyata dapat dilihat sebagai hulu...




Saya sebut paling nyata kerana susah hendak mencari punca sebenar sungai.




Ini disebabkan bahagian berkenaan telah lama ditenggelami air apabila sungai diempang lalu menjadi tasik besar. Lihat Muar river dam in Kuala Pilah.





Oh. Sebelum menulis artikel ini fikir saya kali terakhir sampai adalah pada bulan Julai tahun 2009. Ketika itu isteri dekat 7  bulan mengandungkan anak pertama kami bersama (kami masing-masing sudah ada anak daripada perkahwinan terdahulu), Muhammad Al-Aminul Rasyid. Lihat artikel Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - mencari hulu Sungai Muar dan makna di sebaliknya... nombor 131 lagi! diikuti Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - Kisah Malim Deman dan keistimewaan hulu Sungai Muar...

Bila disemak betul-betul artikel-artikel lama rupa-rupanya kami ada sampai lagi pada bulan September tahun 2011. Ketika itu anak yang dahulu dalam kandungan sudah berumur hampir 2 tahun. Sebaliknya adiknya Muhammad Alauddin Johan (dalam gambar) pula sedang 4 bulan dalam kandungan. Lihat artikel Solat Jumaat di Seri Menanti dan Sungai Muar di bahagian hulu.





Sebelum sampai bersama keluarga saya pernah sampai bersendirian sekurang-kurangnya sekali, tak ingat tahun bila. Ertinya ini adalah sekurang-kurangnya kali ke-4 saya sampai ke hulu Sungai Muar ini. 
Namun buat pertama kali, seingat saya, ada menjejakkan kami ke dalam air.




Selepas itu kami lepak bermandi manda lebih sejam rasanya di bahagian sungai bawah dari empangan. Lihat artikel Taking a dip down the Muar river dam. Seingat saya ini adalah kali pertama merasa mandi di mana-mana bahagian hulu Sungai Muar!




Kami berada di persekitaran empangan dari jam 12.45 hingga hampir jam 3.30 petang. Selepas itu baru bergerak ke destinasi seterusnya iaitu bandar diraja Seri Menanti.






Di situ kami berehat sebentar di sebuah rumah tradisional dalam kawasan istana lama Seri Menanti yang telah dijadikan muzium. Lihat artikel Rumah tradisional (Traditional house of) Tukang Kahar.




Di bahagian belakang bangunan istana yang telah dijadikan kedai makan pula kami makan tengah hari lewat. Selepas itu baru masuk ke dalam istana yang sudah lebih 5 tahun, mungkin lebih 10 tahun tidak dikunjungi. Istana pun sebenarnya pernah beberapa tahun ditutup untuk kerja-kerja membaik pulih. Pada tahun 2019 baru dibuka kembali. Lihat Lawatan baru ke istana Seri Menanti (New visit to Seri Menanti palace).




Dari Seri Menanti kami bergerak ke arah Seremban. Sebelum sampai ke simpang jalan Seremban-Kuala Pilah singgah dahulu di masjid lama ini.






Masuk jalan Seremban-Kuala Pilah aliran trafik kelihatan begitu perlahan. Saya pun mengambil jalan kampung yang lebih jauh tetapi tiada gangguan aliran. Dah alang-alang begitu masuk hingga ke pintu satu lagi empangan yang ada kena mengena dengan Sungai Muar tetapi rasanya terbentuk daripada satu cabang, bukan aliran utama sungai.



Kami keluar kembali ke jalan utama ke arah Seremban melalui satu bahagian yang tidak lagi sesak.



Sampai ke satu bahagian lebuh raya yang memintas dari Bukit Putus didapati meter kereta menunjukkan nombor 313.







Perjalanan diteruskan dengan masuk ke Ampangan dan bahagian utara bandar raya Seremban sebelum mengambil satu lebuh raya baru dengan pemandangan yang katanya seperti di tempat peranginan di New Zealand. Lihat A stretch of road dubbed as the New Zealand of Malaysia.




Dari situ terus ke Lenggeng lalu singgah di masjid ini. Lihat Lawatan baru ke masjid (New visit to the mosque of) Kampung Mendum.




Seterusnya kami mengambil simpang menuju ke arah Eco Majestic di mana kawan telah meninggalkan kereta sebelum bersama ke Pengkalan Kempas. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'. Dari situ baru kami berpisah lalu meneruskan perjalanan masing-masing. Oh dalam perjalanan ke Eco Majestic itu kelihatan matahari senja begitu cantik berwarna keemasan.



Kami sampai ke rumah sekitar jam 9 malam. Didapati perjalanan ini memakan jarak keseluruhan 450 km walau sekadar meliputi sebahagian negeri Selangor dan sebahagian Negeri Sembilan. Sekarang biar diulas tentang tajuk artikel. Pertama tentang tajuk kecil "Melengkapkan panggilan Ulu Muar".

Dalam artikel sebelum ini iaitu Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian' ada disebut kami mahu membuat perjalanan ke beberapa tempat di antara Seremban dan Kuala Pilah kerana hendak menyelesaikan beberapa lawatan yang tak sempat dibuat ketika kembali dari Muar dan Melaka 6 Mac. Lihat Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022. Segmen perjalanan hari Ahad 27 Mac menyaksikan apa yang tertunggak telah dapat diselesaikan. Itulah sebab diberikan tajuk kecil berkenaan.

Sekarang tentang tajuk utama cerita iaitu "Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan". Dalam artikel Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian' telah disebut bagaimana perjalanan bermula dengan mesyuarat dinar dirham di Cyberjaya (Jumaat malam Sabtu 25 Mac). Di situ dibuat keputusan bahawa penggunaan emas menurut cara-cara tertentu adalah yang terbaik bagi memperkasakan ekonomi umat Islam. Lewat malam itu ternampak pula papan tanda ke makam lama dengan nama "Senduk Emas" (pada hari Sabtu malam Ahad 26 Mac). 

Sekarang biarlah diberitahu orang bernama Senduk Emas ini, seorang wanita, pernah menjadi Penghulu pertama Luak Ulu Muar. Luak ini meliputi Kuala Pilah juga Seri Menanti. Tetapi ia kemudian telah diturun taraf menjadi sebuah daerah bawahan. Anak lelaki Senduk Emas iaitu Penghulu Na'am kemudian menjadi Penghulu Ulu Muar yang seterusnya. Penghulu Na'am inilah yang kemudian berhadapan dengan Raja Melewar, anak raja Minang yang dijadikan Yamtuan Negeri Sembilan yang pertama sekitar 250 tahun lalu.

Adapun ketika bermalam di masjid seperti disebut pada awal artikel ini proses pengkhataman Al Quran saya bagi bulan Sya'aban sudah masuk awal juzuk ke-25. Ini berlaku selepas menamatkan Surah Fusilat di makam Sheikh Ahmad Majnun di Pengkalan Kempas pada waktu Maghrib malam sebelumnya. Pagi itu di masjid saya pun menyambung hingga selesai surah seterusnya iaitu As-Syuara. Dengan itu surah kemudian perlu dibaca adalah Az-Zukhruf. Kebetulan ini dapat dilakukan setelah sampai ke tasik empangan di hulu Sungai Muar. Az-Zukhruf itu sendiri bermaksud emas murni. Semoga ini menandakan sesuatu yang baik buat ummah.


Selasa, Mac 29, 2022

Perjalanan 'keemasan' di Negeri Sembilan - Menyahut dahulu panggilan 'keLinggian'

Salam malam 26 Sya'aban. Pada ketika ini cuma tinggal 4 hari sahaja lagi sebelum umat Islam diwajibkan berpuasa bagi bulan Ramadhan. Kami sekeluarga pula telah membuat satu lagi perjalanan bermakna hujung minggu lalu. Kali ini bersama seorang kawan isteri berpangkat adik yang turut berminat dengan pencarian sejarah dan hal-hal kerohanian.




Perjalanan bermula sebelum Maghrib petang Jumaat 25 Mac 2022 apabila saya dan keluarga meninggalkan rumah untuk ke Cyberjaya lebih 70 km ke selatan bagi menghadiri satu mesyuarat tentang memperkasakan ekonomi umat Islam melalui penggunaan dinar dan dirham. Mesyuarat baru ditetapkan pada tengah hari Khamis kerana mengambil kesempatan atas seorang rakan HIKMAH (lihat Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH))  yang pakar bidang turun dari Pulau Pinang untuk satu urusan di Lembah Klang. 




Kalau tidak kerana mesyuarat di Cyberjaya tentu kami sekeluarga akan terus ke rumah adik kepada isteri di Semenyih di mana kami mahu bermalam. Disebabkan mesyuarat perjalanan kami jadi bertambah hampir 30 km. Namun kami pergi dan tetap bersama sehingga ia selesai sekitar jam 11.30 malam. Sampai ke rumah adik ipar selepas tengah malam. Esoknya pagi Sabtu selepas jam 9 bertolak pula ke Eco Majestic untuk satu lagi mesyuarat tetapi bersama pihak lain pula.




Yang ini lokasinya cuma 7 km dari rumah adik ipar. Mesyuarat bermula jam 10 pagi dan ramai yang hadir adalah golongan wanita. Kali ini melibatkan banyak isu nasional tentang Melayu dan Islam yang mahu ditangani secara perundangan. Untuk pengetahuan mesyuarat dianjurkan satu NGO wanita yang terdiri daripada ramai peguam.

Mesyuarat ini memang telah dirancang mahu dihadiri sejak isteri mendapat undangan hampir 2 minggu sebelum itu. Oleh kerana lokasinya berdekatan dengan sempadan Negeri Sembilan kami merancang mahu membuat perjalanan ke beberapa tempat di antara Seremban dan Kuala Pilah.




Kami mahu ke sana kerana hendak menyelesaikan beberapa lawatan yang tak sempat dibuat ketika kembali dari Muar dan Melaka 6 Mac. Lihat Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022. Hujung minggu selepas itu ke Jenjarom untuk majlis perkahwinan anak saudara isteri (tidak diceritakan di blogspot ini), hujung minggu seterusnya ke satu majlis tentang jati diri Melayu di Cyberjaya. Lihat Bertemu kawan lama dan para aktivis di Malakat Mall). Mesyuarat berlanjutan sehingga selepas jam 3.30 kerana banyak isu dibincangkan termasuk ancaman terhadap keselamatan negara berdasarkan maklumat risikan. Selepas itu baru kami bergerak.




Kawan isteri yang dianggap seperti adik merupakan salah seorang peguam muda yang paling lantang bercakap tentang isu-isu Melayu dan Islam. Beliau bertanggungjawab mengatur mesyuarat dengan seorang ahli strategi yang telah melakukan banyak kerja risikan. Adik yang datang dari arah Bangi ini meninggalkan kereta di Eco Majestic lalu naik satu kereta dengan kami. Bergeraklah bersama ke Negeri Sembilan. 




Cuma beliau mendapat gerak agar kami pergi ke Pengkalan Kempas. Sedangkan perjalanannya mencapah jauh daripada laluan awal yang dirancang iaitu menuju ke arah Kuala Pilah. Namun ketika sampai ke satu persimpangan hujan mula turun. Sedangkan tempat pertama mahu disinggahi cuma akan memberikan pemandangan terbaik ketika matahari cukup terang. Saya pun mengubah haluan ke arah Pengkalan Kempas. Lalu dahulu di tengah bandar raya Seremban...




Sebetulnya adik ini ada bersama dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Pilah pada 6 Mac. Cuma dahulu kami bergerak dengan lain-lain kereta. Lihat artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Dari majlis di Melaka ke tempat-tempat bersejarah hingga ke Negeri Sembilan. Maka beliau memang mahu bersama untuk menyelesaikan apa yang tak sempat daripada perjalanan terdahulu itu, terutama di sekitar Kuala Pilah. Tetapi entah kenapa beliau merasa kuat mendapat panggilan dari Pengkalan Kempas. Oleh kerana lokasi berkenaan terletak tidak jauh dari pekan Linggi dan beberapa tempat bersejarah kami pun singgah dahulu ke sana. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :- 








Rupa-rupanya adik tersebut tidak pernah sampai ke tempat-tempat yang disenaraikan. Dia tak tahu cerita pun walaupun berasal di Negeri Sembilan dan ibunya menetap di Port Dickson tidak berapa jauh dari situ. Yang dia tahu adalah Pengkalan Kempas, tidak jauh dari pekan Linggi kerana sudah beberapa kali pergi.




Oh. Gambar ini diambil di tepian Sungai Linggi di Pengkalan Kempas. Saya letakkan di Facebook dengan kata-kata berikut : "Haiya. Li sini la wa tulun lima latut tahun lulu la...".  Kami pergi selepas makan petang di pekan Linggi. Apapun pemandangan di sini memang menarik. Lihat artikel New visit to Pengkalan Kempas water front di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas itu baru ke tempat utama yang dicadangkan oleh adik. Di sini kami duduk mengambil 'rasa' sehingga selepas jam 8 malam. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Ahmad Majnun.




Dari Pengkalan Kempas kami bergerak ke Rembau lalu menyeberang Banjaran Titiwangsa  menuju ke Inas.  Tujuannya adalah untuk ke Kuala Pilah bagi menunaikan rancangan asal. Ternampak papan tanda ke satu makam yang seingat saya kami tak pernah singgah, pada jam 9.40 malam. Nampaknya kena dengan tema 'keemasan' bagi perjalanan. Kami pun berhenti untuk berziarah.

Kenapa disebut 'keemasan'? Kerana perjalanan sebenarnya bermula dengan mesyuarat dinar dirham di Cyberjaya yang mana dibuat keputusan penggunaan emas menurut cara-cara tertentu adalah yang terbaik bagi memperkasakan ekonomi umat Islam. Ternampak pula papan tanda dengan nama "Senduk Emas" seperti membenarkan. Kemudian berlaku lagi satu hal melibatkan emas tetapi itu adalah pada hari esoknya dekat-dekat Kuala Pilah.




Ketika menghampiri bandar Kuala Pilah terlihat pula sebuah kuil Cina tersergam begitu megah dan indah. Kami pun singgah untuk melihat hingga ke dalam. Lihat A grand Chinese temple near Kuala Pilah.




Selepas jam 10.30 sampailah ke masjid yang kelihatan. Di sinilah tempat kami berehat dan bermalam. Masjid lama berusia sekitar 113 tahun ini ada sejarah melibat hantu. Nanti dalam artikel sambungan diceritakan ya. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,244 di CATATAN SI MERAH SILU. Selamat malam.



Isnin, Mac 21, 2022

Bertemu kawan lama dan para aktivis di Malakat Mall

Salam pagi Isnin 18 Sya'aban. Ada sedikit perkongsian daripada satu aktiviti semalam.




Pagi Ahad 20 Mac 2022 saya dan keluarga pergi ke Malakat Mall di Cyberjaya untuk menghadiri satu majlis.



Ia melibatkan kaum wanita iaitu para srikandi lalu isteri diundang sebagai seorang tetamu istimewa. Beliau meminta saya menemani. Alang-alang Sabtu malam Ahad ada majlis tahlil keluarga di rumah arwah abang sulung isteri di Kampung Bukit Changgang kami pun ke sana lalu bermalam. Esoknya pagi bergerak ke Malakat Mall cuma 26 km dari situ.




Tentang majlis telah dipanjangkan dalam artikel Majlis Srikandi Cinta Watan 2022 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Di sini saya hendak berkongsi kegembiraan dapat berjumpa beberapa orang kawan lama juga ramai kawan aktivis dalam dunia persilatan, busana tradisional Melayu serta lain-lain aspek perjuangan untuk mendaulatkan Melayu dan Islam.




Ini adalah Ustaz Mujiburrizal dari Aceh. Beliau merupakan Duta Muzium Aceh juga seorang penyanyi nasyid yang mengahwini seorang wanita Melayu tempatan lalu selalu berulang alik dari Aceh ke Malaysia. Kalau di sini beliau selalu diundang menyanyi bersama kumpulan Raihan juga In-Team (tak salah ingatan). Sebagai seorang aktivis pula beliau terlibat dengan usaha mengangkat sejarah dan jati diri orang Aceh lalu pernah menghadiri beberapa acara HIKMAH anjuran saya. Malah kami pernah bersama menganjurkan 3 acara di Aceh. Lihat :-






Kami selalu berbincang tentang hal hubungan Aceh dengan Malaysia. Oleh kerana memiliki darah keturunan Aceh memang saya suka ambil tahu tentang perkembangannya Untuk pengetahuan Mujib merupakan salah seorang yang terselamat daripada terjahan ombak ganas Tsunami 26 Disember 2004. Beliau dapat naik ke sebuah bot nelayan yang ditolak ombak ke atas bumbung rumah sebelah rumah beliau. 

Sampai sekarang masih ada bot atas rumah kerana dijadikan tarikan pelancong. Semua anggota lain kumpulan nasyid beliau yang berada di tempat lain terkorban, Beliau sudah beberapa kali datang malah menginap di rumah saya. Saya pula sudah 9 kali ke Aceh dan pernah menginap di rumah beliau. Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Kompilasi cerita "Berpetualang ke Aceh" tahun 2004












Tiba-tiba ada orang menegur dengan panggilan lama Fly, panggilan daripada zaman kolej lebih 30 tahun lalu. Tengok-tengok si Pot yang pernah mencipta nama sebagai ahli kumpulan Innuendo. Kali terakhir terserempak rasanya lebih 5 tahun lalu. Dia adalah junior setahun bawah saya di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar untuk ke luar negara di bawah ITM, sekarang sudah menjadi UiTM). 

Saya menuntut di sana tahun 1988 hingga 1990, beliau masuk tahun 1989. Saya tahu sejak beberapa lama beliau lebih aktif dengan nasyid juga majlis-majlis zikir dan maulud anjuran kumpulan-kumpulan para Habaib keturunan Nabi Muhammad SAW. Tengok-tengok dia dan Mujib cam muka masing-masing kerana pernah menyanyi dalam majlis sama.

Turut masuk PPP/ITM sama batch dengan Pot adalah selebriti dan pelawak terkenal (juga kadangkala menyanyi) Afdlin Shauki. Tapi Afdlin ni sangat lama saya tak jumpa padahal kami pernah duduk sebilik lebih setengah tahun juga ketika PPP/ITM untuk program A Level ke United Kingdom (di bawah PPP/ITM juga terdapat program untuk ke universiti di Amerika) berada di Damansara Utama. Saya pun bertanyakan khabar. Baru dapat tahu kenapa Afdlin sudah tidak lama muncul di kaca televisyen. Rupa-rupanya kerana pernah menyatakan dengan terang menyokong seorang ahli politik dalam kem pembangkang. Maka beliau kini lebih banyak membuat kerja-kerja di balik tabir. 




Tidak lama kemudian muncul pula kawan lama yang dikenali sebagai Pak Din. Jaguh memanah sambil menunggang kuda di peringkat dunia ini dipandang tinggi ramai pesilat dan pemanah tanah air. Kami sudah saling mengenali sejak tahun 2000 lalu kerana selalu pergi ke majlis zikir tarikat Naqsyabandiah Haqqani setiap malam Jumaat di Bukit Damansara. Sekitar tahun 2012 kalau tak salah Pak Din dan seorang lagi ahli majlis iaitu Sheikh Fuad mula membawa ilmu memanah secara tradisional lalu mengembangkannya sehingga jadilah ia terkenal di seluruh Malaysia malah di Indonesia.

Hal ini adalah kerana mereka sebenarnya membawa amanah daripada Sheikh tertinggi Tariqat, Maulana Sheikh Nazim al-Haqqani (sekarang almarhum) demi perjuangan Islam akhir zaman. Amanah dipanjangkan oleh khalifah beliau di Asia Tenggara iaitu Sheikh Raja Ashman (adinda kepada Sultan Perak sekarang, Sultan Nazrin Syah) kepada mereka. Kiranya Pak Din dan Sheikh Fuad menerima tugasan. Orang lama memanah tradisional harus tahu cerita ini. 

Namun seperti halnya dalam dunia karangan tanjak juga dunia pengkajian sejarah Melayu orang baru tidak tahu hal-hal sebegini. Sementara itu ramai pula dengan tiada rasa malu mengaku sebagai pencetus, penggerak utama dan sebagainya. Padahal mereka cuma penciplak ilmu orang lebih awal. 



Allah. Tak sia-sia saya ke Malakat Mall untuk menemani isteri. Walaupun majlis adalah khas bagi kaum Hawa ia didatangi ramai kawan aktivis dan pesilat laki-laki terutama daripada DSSM (Persatuan Dunia Seni Silat Melayu). Seronok dapat bersama kerana ramai yang lama tidak berjumpa. Namun ada juga yang boleh dikira 'baru' ditemui dalam majlis-majlis berkenaan dua tiga bulan lalu. Lihat :-








Isteri pun seronok kerana dapat bertemu ramai kawan lama aktivis. Sebetulnya semua pun seronok kerana bukan selalu dapat bertemu dalam majlis sebegini lalu berkesempatan berbusana tradisional Melayu penuh tanpa rasa janggal di hadapan umum.







Sambil itu dapat buat kawan baru. Misalnya peneraju PPIM (Persatuan Pengguna Islam Malaysia) yang dikenali sebagai Tokki. Ramai kawan aktivis lain sudah terlibat dengan usaha-usaha beliau. Saya dan isteri pula baru mengenalinya.

Tokki ini adalah antara penggerak utama Malakat Mall. Ia milik Bumiputera, satu-satunya pusat membeli belah boleh tahan besar yang dikhaskan untuk para peniaga Bumiputera dan barangan keluaran Bumiputera, di satu kawasan pendudukan perdana yang ada class seperti Cyberjaya. Ia adalah lambang kebangkitan orang Melayu dan Islam untuk memecah dominasi perniagaan kaum lain. Difahamka mMalakat Mall itu sendiri didirikan secara persendirian oleh seorang yang dikenali sebagai Coach Fadzil. Beliau memiliki dana hasil rangkaian pusat pembelajaran penerbitan kanak-kanak pintar yang dikenali sebagai Brainy Bunch. 



Tokki sudah cukup terkenal di Malaysia kerana selalu keluar di kaca televisyen untuk memperjuangkan banyak isu Melayu terutama melibatkan pengguna dan perniagaan. Namun apabila pertama kali bertemu pagi itu beliau sudah lebih dahulu mengenali. Gayanya seperti pernah mendengar cerita tentang saya sebagai aktivis kedaulatan Melayu yang dipanggil sebagai Merah Silu. Dan memang pun ramai yang tidak dikenali menegur di Malakat Mall kerana telah terlebih dahulu mengikuti penulisan-penulisan saya. Tak tahu le kalau Tokki ada membaca. Tapi gayanya sama ada pernah membaca atau mendengar cerita daripada aktivis lain.



Di luar pintu masuk utama terdapat pentas untuk permainan tradisional Melayu seperti congkak.  Ustaz Mujib mengajak bergambar. Rugi tak ambil kerana latar belakang begitu cantik dan unik.







Isteri pun mahu bergambar bersama saya. Yang ni harus candid. Belum sempat posing, sedang berbual tentang apa tah orang dah tangkap.




Yang ni baru pose...




Oh. Sebetulnya anak bongsu kami ikut sama tetapi dibiarkan berjalan sendiri merata. Selepas itu kami bersiar-siar di Putrajaya. Tetapi anak yang kepenatan agaknya terus tertidur dalam kereta. Saya pula yang seronok berjalan ke sana ke mari menikmati suasana. Lihat artikel Views from PICC in Putrajaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti Views from Taman Wetlands in Putrajaya.



Selasa, Mac 15, 2022

Berjaya mempertahankan cadangan tesis di ISTAC

Salam petang Selasa 12 Sya'aban. Ada berita baik tentang pengajian saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur...




Pagi tadi hingga tengah hari telah adakan majlis mempertahankan cadangan tesis (thesis proposal defense) secara atas talian oleh ISTAC disebabkan wabak Covid-19 yang masih berleluasa. Melibatkan beberapa orang Profesor, Profesor Madya dan akademik bergelar Doktor termasuk dari luar ISTAC ia adalah majlis sebegitu pertama anjuran institusi bagi tahun 2022. Seperti pada mana-mana majlis anjuran ISTAC juga majlis anjuran badan induknya UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) yang memayungi ISTAC ia dibuat dalam bahasa Inggeris. Ini kerana melibatkan kalangan akademik antarabangsa dunia Islam dari pelbagai negara dan latar belakang.

Sesi ini melibatkan dua orang pelajar pascasiswazah, saya dan seorang calon PhD dari Bangladesh. Beliau membentang dahulu apabila majlis bermula jam 10 pagi. Saya pula bermula selepas jam 11. Sedar tak sedar isteri rupa-rupanya ada membuat rakaman. Itu yang dikongsikan di atas. 

Cuma sayang rakaman dibuat dalam tempoh 30 minit sahaja. Sedangkan babak-babak terbaik berlaku selepas itu iaitu apabila saya menjawab semua kritikan yang ditujukan terhadap cadangan tesis  sehingga akhirnya diberitahu : "You are able to defend your point of view before the court, before the examiners". Terjemahannya - Anda mampu mempertahankan sudut pandangan anda di hadapan mahkamah (majlis penilai), di hadapan para pemeriksa. Bermakna saya telah berjaya mempertahankan cadangan tesis! Alhamdulillah.

Untuk pengetahuan setiap pelajar harus membuat pembentangan menggunakan Powerpoint atau seumpamanya. Ini diikuti maklum balas yang boleh jadi cadangan, boleh jadi kritikan oleh dua orang reader (pembaca/pemeriksa) yang telah lebih awal diberikan kertas kerja tentang cadangan tesis and isi menurut format berkenaan. Sambil itu atau selepasnya pelajar boleh menjawab. Sesi ini menentukan sama ada pelajar patut meneruskan penulisan tesis berdasarkan tajuk yang diberikan berserta cadangan atau perlu membuat perubahan. 

Saya asalnya diminta membuat perubahan agak besar. Tetapi disebabkan berjaya menjawab dengan yakin disokong fakta-fakta berkenaan saya dibenarkan untuk meneruskan. Lagipun saya sebenarnya sudah menyiapkan bab pertama dan bab kedua diikuti 70% daripada bab ketiga tesis.

Secara keseluruhan ini adalah bersamaan lebih 50% siap kerana tesis yang dicadangkan terdiri daripada lima bab. Hal ini iaitu menulis dahulu sebelum mempertahankan cadangan bukanlah kebiasaan dalam dunia akademik. Ini kerana format rasmi pengajian adalah penulisan tesis cuma boleh diteruskan setelah berjaya mempertahankan cadangan. Cadangan perlu diluluskan, baru boleh dikembangkan menjadi tesis. Oleh itu kalau kurang berjaya mempertahankan terpaksalah menurut segala macam perubahan yang disarankan. Kalau berjaya dipertahankan baru boleh diteruskan haluan dengan mengambil kira maklum balas tanpa perlu membuat perubahan besar yang kadang kala boleh merombak 100% isi suatu tesis.

Mereka yang menilai dan memberikan maklum balas dapat menerima kerana diberitahu latar belakang. Seorang Profesor malah membuka perkara ini kerana dia yang bertanya tanpa saya memulakannya.  Disebabkan subjek yang ditangani melibatkan perbandingan agama dengan sains menggunakan pemikiran tinggi beliau jadi penasaran mahu tahu latar belakang. Lalu diberitahulah saya asalnya adalah seorang graduan Matematik daripada Universiti College of London tetapi bertukar arah menjadi wartawan dalam akhbar The New Straits Times disebabkan beberapa pengalaman spiritual yang merubah pendirian hidup sehingga tidak lagi berminat untuk menjadi saintis. Selepas itu saya mengalami lagi satu episod pengalaman spiritual, kali ini melibatkan salasilah dan keturunan. Disebabkan itu saya menulis buku juga menjadi seorang aktivis kedaulatan Melayu dan Islam.

Kejayaan mempertahankan cadangan tesis adalah suatu perkara yang amat menggembirakan kerana ia sepatutnya sudah diselesaikan lebih setahun lalu. Tetapi disebabkan hal Covid juga masalah peribadi penulisan tesis asyik terkandas. Sedangkan saya bukan jenis orang yang membuat kertas kerja dahulu baru cuba laksanakan. Malah saya bukan jenis orang buat kertas kerja pun, not a paperwork type of person. Saya jenis orang yang suka buat kerja sampai ke satu tahap yang difikirkan cukup nampak bergerak baru boleh dikemukakan. Kalau tak perlu membuat kertas kerja memang takkan buat.

Hal ini boleh dikiaskan begini. Kalau mendirikan rumah saya jenis orang yang suka buka dan siapkan tapak dahulu kemudian didirikan tiang-tiang. Apabila sudah bersedia untuk memasang bumbung, lebih baik lagi kalau sudah melakukannya baru hendak bagitau orang saya nak buat rumah begini begitu rupa. Selepas itu baru selesa mendirikan dinding dan seterusnya. Begitulah pendirian...

Saya bukan jenis orang yang pandai lukis pelan tapi tapak pun belum jumpa atau dimiliki apa lagi hendak dibuka seperti dilakukan ramai pihak sekarang. Kertas kerjanya cantik, cadangan kelihatan meyakinkan. Tetapi kemudian lebih banyak yang tak jadi kalau tak pun scam. Kertas kerja sering digunakan untuk mendapatkan peruntukan lepas tu orangnya pun hilang. 

Orang menulis tesis mungkin seperti sudah jumpa dan buka tapak. Selalunya memang sudah ada suatu asas dan sejumlah kajian sebelum berani menentukan tajuk lalu membuat cadangan. Tetapi belum didirikan tiang dan sebagainya kerana belum lulus pelan merangkap belum berjaya mempertahankan cadangan. 

Nasib baik penyelia (supervisor) saya Profesor Datuk Dr Osman Bakar memahami lalu tidak menekan. Kata beliau tidak penting bagi seorang penyelia untuk bersetuju dengan kajian seorang pelajar. Yang penting pelajar berjaya mempertahankan kajian, isi dan tujuan secara sistematik dengan hujah-hujah yang bernas dan berfakta.

Oh. Tesis saya adalah berkenaan satu dua bahagian daripada buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dengan sedikit rujukan daripada buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia". Kedua-dua buku telah diterbitkan secara berkembar awal tahun 2018. Lihat artikel-artikel berikut :-






Hampir pertengahan tahun 2018 saya diminta untuk berkongsi tentang apa yang mahu diketengahkan oleh buku di ISTAC. Hal inilah yang kemudian membuat saya tergerak untuk menyambung pengajian pascasiswazah di sana. Lihat :-


1. Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC

2. Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia


Tesis dibuat untuk mengangkat apa yang sudah dihidangkan dalam buku ke peringkat yang lebih tinggi lagi akademik. Ia tidaklah sama seperti dalam buku walau merujuk pada beberapa perkara sama. Ini kerana ia menggunakan pendekatan lebih kemas dan berilmiah untuk mewujudkan sesuatu yang diharapkan boleh dirujuk dan dipanjangkan lagi kajiannya oleh para pemikir dari seluruh dunia. Doakan kejayaan saya ya... :]


Jumaat, Mac 11, 2022

Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022

OK. Biar dibuat artikel kompilasi tentang perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 walaupun cuma memakan tempoh 3 hari 3 malam dan cuma ada beberapa artikel tentangnya.


 

Perjalanan dibuat supaya dapat menghadiri satu majlis ilmu di Bukit Katil, Melaka pada pagi Ahad 6Mac 2022 juga kembali ke kampung di Muar bertemu orang tua. Jadi diputuskan pergi ke rumah mereka dahulu dengan bergerak dari rumah sendiri di Selangor hari Khamis malam Jumaat 3 Mac. Singgah ke Bukit Melaka sebelum ke rumah ibu bapa. Siang Jumaat pergi seorang diri bersolat Jumaat di Masjid Jamek Muar kemudian beriktikaf buat sejam dua. 

Hari Sabtu baru membawa keluarga dan ibu bapa berjalan merata. Seperti biasa apabila ada peluang kami akan bersarapan hidangan nasi beringin di kedai berkenaan di kompleks perhentian bas tepi Sungai Muar. Ahad selepas majlis di Melaka singgah ke pusat bandar raya kemudian menuju ke Kuala Pilah lalu menziarahi lagi beberapa tempat bersejarah. Apabila kembali ke rumah meter menunjukkan kereta sudah berjalan hampir 680 km. Sedangkan perjalanan pergi balik ke rumah ibu bapa adalah 480 km. bermakna ada 200 km lagi tambahan berjalan-jalan ke sana ke mari.


1. Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor

2. The waterfront and jetty besides the Muar river in Panchor

3. Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Membawa orang tua berjalan lalu terimbau kenangan lama sejak tahun 2002

4. Semarak Cinta Watan : Menjejaki Permata Tuah

5. Rumah (House of) Munsyi Abdullah

6. Lawatan terbaru ke makam (Latest visit to tomb of) Sheikh Shamsuddin Sumatrani