Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Julai 03, 2019

Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Ke Bangi, Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam dan sekitar sambil orang jauh mendapat buku pos...

Salam siang Rabu 29 Syawal, hari terakhir bulan raya ini. Tadi malam ada orang bertanya tentang perkembangan rancangan saya dan keluarga berjalan pusing Sumatera Utara melawat tempat-tempat bersejarah sambil mengajak sesiapa yang mahu turut serta sekali. Rujuk artikel Rancangan perjalanan pusing utara Sumatera dan Aceh berserta acara HIKMAH ke-21 di kompleks makam Sultan Malikus Saleh 1 Muharram 1441. Katanya 5 orang dewasa mahu menyertai dan tiket pesawat pergi balik ke Banda Aceh telah dibeli untuk menyamai tarikh dan masa saya dan keluarga pergi. Saya jawab jangan risau, Insyaallah semuanya dalam aturan. Biar ditunggu sedikit masa lagi untuk melihat siapa lagi akan bersama supaya boleh diagih-agihkan pengangkutan, penginapan dan sebagainya dengan sebaiknya.

Perkara ini dan rancangan akan dibangkitkan dalam satu posting di blogspot atau paling kurang pun update di Facebook. Tunggu selesai dahulu beberapa hal lagi tentang buku terbaru saya, "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995". Dengan itu biar disambung penceritaan daripada artikel Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru.



Pagi Rabu 26 Jun 2019 bersamaan 22 Syawal 1440an. Saya meninggalkan rumah kawan lama di Bandar Seri Putera jam 8 pagi untuk memulakan hari ke-2 kembara buku. Kawasan jangkauan yang dirancang adalah persekitaran Bangi, Putrajaya, Cyberjaya dan Shah Alam sebelum kembali ke rumah di Sungai Buaya, Rawang. Ada rancangan sekali untuk menyampaikan buku kepada anak seorang kawan yang beralamat di Tropicana dekat Damansara Utama. 

Bapanya yang merupakan seorang kawan lama  zaman A Level 1988-1990 sedang bertugas di Jakarta lalu meminta buku dihantar ke rumah anaknya. Jam 1.33 pagi itu saya pun menghantar pesanan WhatsApp untuk bertanya jika anak berada di rumah petang atau malam itu. Jam 7.19 pagi baru dapat jawaban - anak itu berada di Jakarta untuk beraya bersama bapanya, 8 Julai baru balik Malaysia. Kalau begitu hantar pun tak guna, pos pun tak sampai ke tangan lagi. Namun saya tetap akan ke kawasan sekitar itu kerana malam sebelumnya ada mendapat tahu akan diadakan satu majlis ilmu menarik di sebuah masjid dekat Taman Tun Dr Ismail selepas Maghrib.


Saya ada turut memikirkan mahu membuat perjalanan ke Jeram, Selangor atas permintaan seorang pembeli pra-bayar. Masih 50-50 tentang ini kerana lokasi tersebut terkeluar lebih 40 km daripada laluan yang dirancang. Apabila mendengarkan ini isteri kata biar dibuat petang Khamis kerana dia hendak ikut sekali kalau ke Jeram kerana ada kawannya mahu diziarahi sekali. Dengan itu penumpuan dapat dibuat ke kawasan Bangi, Putrajaya, Cyberjaya dan Shah Alam sebelum menuju ke Taman Tun untuk mendengar ceramah ilmu.

Kelihatan dalam gambar keadaan jalan keluar dari pekan Bangi lama menuju ke arah Bangi baru. Jalan sesak teruk... nasib baik teringat ada seorang bapa saudara rumahnya di sekitar ini lalu saya pun singgah untuk berhari raya. Ketika ini saya sedang meletakkan kereta di hadapan rumah beliau (ke arah kanan tempat duduk pemandu dan di luar gambar). Dah bertahun-tahun tak singgah. Nasib baik dia akan kerana belum keluar kerja. 

Bapak saudara yang merupakan salah seorang pegawai tertinggi di ibu pejabat sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur itu sedang menunggu kesesakan lalu lintas surut sekitar jam 9.30 hingga 10 pagi. Dia pernah menjadi pengurus pasukan ketika bank tersebut menyertai liga-liga utama bola sepak Malaysia. Alhamdulillah dia  membeli senaskah lalu menjadi pemilik pertama buku "Kenangan Eropah 1995" hari itu.


Kalau ikut rancangan awal dan asal Bangi cuma berada dalam laluan menuju dari rumah kawan (tempat bermalam) di Bandar Seri Putera ke arah Putraja dan Cyberjaya. Persinggahan di sekitar Bangi mahu dibuat pada hari sebelumnya iaitu hari Selasa sebelum bergerak ke Bukit Mewah  di Kajang kemudian Suria Grande di Semenyih. Rujuk balik perjalanan dalam artikel Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru. Namun tengah hari Isnin iaitu sebelum kembara dimulakan pagi Selasa saya dapat permintaan daripada seorang pembeli pra-bayar agar bukunya dapat disampaikan ke tempat kerja beliau di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi. Sebelum ini beliau memberikan alamat pos di tempat tinggal di Seremban. Bila dapat tahu saya akan mula bergerak hari kedua dari Bandar Seri Putera baru dibuat permintaan tersebut.


Pada saya memang tiada masalah kerana laluan dari Bandar Seri Putera sudah sangat dekat dengan UKM. Dengan itu lebih ekonomikal jika persinggahan dua tempat lain di sekitar Bangi dibuat selepas ke UKM, bukan pada hari sebelumnya. Pertemuan pun diatur di masjid UKM. Saya sampai dalam jam 10.05.


Sempatlah melunaskan hajat kemudian bersolat dan beriktikaf sebelum bertemu pembeli pra-bayar bernama Azlan Shah Mustafa. Beliau telah menempah dan membayar untuk 2 buku...


Sehari sebelum kembara bermula baru tahu buku-buku itu untuk siapa. Baru saya tahu seorang pakar nuklear dan nanoteknologi terkemuka tanah air iaitu Profesor Dr Shahidan Radiman selalu mengikuti penulisan saya. Ini kerana selain sedikit sebanyak dipengaruhi latar belakang lama dalam bidang sains dan matematik tulisan-tulisan saya ada terselit unsur-unsur pencarian makna keTuhanan dan Sufi...


Apabila mengetahui Azlan ada berhubung dengan saya (beliau juga merupakan salah seorang pembeli pra-bayar buku "NABI ADAM DAN ORANG MELAYU 60,000 TAHUN LALU" dengan 'kembarnya', "BENUA TUA MELAYU SUMBER PERADABAN DUNIA") Shahidan meminta beliau menolong mendapatkan buku terbaru saya. Kemudian baru dapat tahu lulusan PhD University of Cambridge tahun 1990 ini ada dalam satu grup atau kumpulan WA yang mana saya ada bersama. Tentunya saya merasa berbesar hati kerana tulisan-tulisan dihargai oleh seorang cendekiawan dalam bidang ilmu tinggi. Kalau yang dihargai itu buku "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" tak hairanlah sangat kerana kandungannya lebih bersifat akademik. Ini buku "Kenangan Eropah 1995" yang lebih merupakan catatan kembara. Cuma ia ditulis daripada sudut pandang diri yang sudah sekali ganda lebih berumur. Ertinya orang seperti Shahidan dapat menghargai apa yang terkandung di sebalik perjalanan hidup yang bermacam ragam itu, bukan sekadar mencari suatu maklumat kepandaian yang boleh dibangga-bangga...


Lokasi seterusnya terletak di Kampung Sungai Tangkas 4 km dari UKM.


Pembeli pra-bayarnya adalah tuan Abdul Hamid Idris. Lebih dikenali sebagai Pak Lang beliau juga seorang pengukir kayu dan aktivis busana tradisional Melayu. Pak Lang ini sudah biasa ditemui dalam majlis-majlis silat dan busana Melayu. Umurnya 66 tahun kalau tak salah.


Beliau juga sudah lama menghargai tulisan-tulisan saya. Salah satu buku malah dijadikan 'tourist guide' ketika melawat monumen lama terkenal Borobudur di Pulau Jawa. Ini perkongsian berkenaan yang diletakkan Pak Lang dalam grup WA "Kelab Buku Merah Silu". Dalam buku bertajuk "Benua Tua Melayu" ada dikongsikan cerita tentang lawatan lapangan saya ke Borobudur mengikuti satu kumpulan yang mendakwa monumen adalah tinggalan Nabi Sulaiman AS. Rujuk artikel Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang melampau.


Sambil keluar berjalan menyampaikan buku-buku hari Rabu buku-buku yang dihantar melalui Poslaju pagi Selasa juga mula menemui para pemiliknya...


Dari Sungai Tangkas saya bergerak ke Seksyen 7 Bangi...


Pembeli pra-bayar seterusnya, puan Noni Hashim sama belajar kolej di PPP/ITM Damansara Utama untuk pengajian peringkat A Level 30 tahun lalu tapi semasa itu kami tidak saling mengenali. Tiba-tiba boleh boleh muncul sebagai pembeli. Ini saya bergambar bersama suami dan anak beliau. Suaminya pun rupanya pernah sama tempat belajar tetapi ketika saya masuk 3 bulan di MSM Cheras. 

Ini berlaku selepas saya ditendang keluar PPP/ITM pertengahan tahun 1990 akibat masalah disiplin. Sedangkan peperiksaan A Level tahun itu tinggal lagi 3-4 bulan lagi hendak diduduki . Rujuk artikel berbahasa Inggeris The seventh and last trial for a rebel... the one that could have changed it all! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selepas itu saya hilang minat untuk belajar lalu mula memasuki dunia pekerjaan menggunakan sijil SPM sahaja. 

Masuk tahun 1991 berlaku sesuatu yang membuat bertukar fikiran mahu menyambung pengajian lalu masuklah saya ke MSM itu. Walaupun keputusan peperiksaan A Level yang diambil pertengahan tahun tersebut kurang memberangsangkan saya mendapat tawaran menyambung pengajian dalam bidang Matematik di University College of London, salah satu menara gading paling terkemuka di United Kingdom. Asbab belajar di situ tahun 1991-1995 (saya mengulang setahun sebenarnya iaitu pada tahun 2) berlakulah kembara Eropah hampir penghujung musim panas tahun 1995 yang menjadi fokus penceritaan buku terbaru dan ke-13 saya.


Persinggahan seterusnya adalah di ILSAS (dahulu dikenali sebagai Institut Latihan Sultan Ahmad Shah) dalam kampus UNITEN (Universiti Tenaga Nasional) ke timur Putrajaya. Pembeli pra-bayar Ayob Tan telah memberikan alamat penghantaran ini kerana isterinya mengajar di sana.


Oleh kerana isterinya bercuti hari itu saya tinggalkan buku dengan nota bersama pengawal keselamatan.  Gambar ini dihantar melalui WA kepada Ayob untuk menunjukkan berlaku serahan. Untuk perkongsian di sini tak perlulah ditunjukkan nama isteri.


Jam 2 petang saya bergerak ke Cyberjaya.


Pembeli seterusnya adalah puan Nazila Jaafar yang bekerja di MAMPU, salah satu unit perancangan negara di bawah Jabatan Perdana Menteri. Banyak mata pelik memerhati saya berpakaian begini...


Dari Cyberjaya saya mengorak langkah ke Shah Alam.


Entah bagaimana boleh masuk Lebuh Raya PLUS ke arah selatan pula sedangkan sepatutnya pergi ke arah utara. Dah dekat susur keluar ke KLIA baru tersedar lalu saya harus membuat pusing balik di plaza tol seterusnya di Bandar Serenia. Akibat daripada kesilapan ini perjalanan jadi bertambah 30 km (ke selatan dari exit Cyberjaya dan kembali). Kesilapan berlaku kerana ada leka mengikuti perkembangan di FB dan WA.


Saya harus mengikuti perkembangan kerana beberapa perkara :-


1. Kot-kot ada pembeli baru masuk dan boleh bertemu dalam atau sekitar laluan

2. Menjawab pertanyaan daripada pembeli-pembeli pra-bayar yang sedang menunggu bila saya dijangka sampai ke tempat mereka

3. Untuk perkara 1 dan 2 orang harus tahu saya sudah sampai di mana pada suatu waktu itu...


Sambil itu dapat melihat lebih ramai pembeli pra-bayar di luar Lembah Klang dan Selangor menerima buku yang diposkan pagi Selasa.


Lokasi seterusnya adalah di Seksyen 24, Shah Alam...



Singgah menghantar buku sambil berhari raya di rumah saudara Azhari Shaari (duduk kiri).


Asbab daripada persinggahan ini seorang lagi pembeli pra-bayar, saudara Nik Mohd Izman dapat datang lalu berkenalan dengan Azhari.


Mereka sama-sama menetap di Seksyen 24 malah Nik Izman rupa-rupanya bekerja di bengkel tempat Azhari selalu menghantar kereta tetapi baru kini mengenali...


Tadi ada diberitahu saya tersilap masuk Lebuh Raya PLUS ke selatan kerana terleka mengikuti perkembangan di FB dan WA. Salah satu sebab perkembangan diikuti adalah : "Kot-kot ada pembeli baru masuk dan boleh bertemu dalam atau sekitar laluan". Sebelum sampai ke Seksyen 24, Shah Alam muncul seorang menyatakan mahu membeli. Saya cam nama kerana merupakan antara pembeli pra-bayar set buku "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" awal tahun lalu.


Oleh kerana tempat bertugas beliau iaitu UiTM Shah Alam terletak pada garisan lurus ke utara dari Seksyen 24 saya pun bersetuju untuk bertemu di suatu tempat berdekatan iaitu di Seksyen 2. Ini dia orangnya saudara Hishamuddin Mohamad Twontawi. Nama yang unik membuatkan senang ingat...


Dari Seksyen 2 singgah di masjid besar Shah Alam untuk mandi kemudian bersolat. Ketika sampai sudah jam lepas jam 5 petang lalu mendapat berita bahawa seorang pembeli pra-bayar yang telah memberikan alamat pos di tempat kerja di kawasan perindustrian HICOM-Glenmarie mahu bergerak kembali ke rumahnya di Bukit Jelutong. Dengan itu biar diadakan pertemuan di sana. Saya pun tak perlu terkejar-kerja. Boleh ambil masa berehat dan beriktikaf juga di masjid besar.

Kebetulan alamat yang mahu dituju selepas itu adalah di Bukit Jelutong juga. Alhamdulillah dah dapat jimat perjalanan dan masa, boleh hantar dua buku sekali di tempat sama...


Inilah pembeli pra-bayar itu saudara Ismail Omar.  Tengok-tengok di atas mejanya ada kesemua 12 buku saya sebelum ini. Campur buku baru lengkap 13 tajuk kesemuanya. Beliau meminta isteri mengambil gambar yang dapat menunjukkan penerimaan buku baru sambil memasukkan buku-buku lama sekali tapi takda angle. Tak mengapalah. Sekurang-kurangnya ada lagi seorang anak Melayu berkedudukan tinggi yang tahu menghargai penulisan sehingga semua buku-buku saya dimilikinya...


Kembara buku yang dimulakan pagi Selasa itu menyaksikan sejumlah buku dihantar masuk ke kawasan-kawasan rumah mewah. Sesungguhnya ini adalah tanda para pembaca buku dan penulisan saya ramai daripada kalangan orang yang berada, matang pemikiran dan banyak pengalaman hidup - sebab itu mereka tahu menghargainya. Ketika berada di rumah saudara Ismail saya menerima makluman satu lagi buku yang diposkan pagi Selasa telah diterima pembaca hari Rabu. Sebetulnya ada lagi beberapa orang telah menerima tetapi biar ditunjukkan sedikit sahaja menurut keperluan bercerita...






Tadi awal sudah disebut saya mahu menghadiri satu majlis ilmu menarik di sebuah masjid dekat Taman Tun Dr Ismail selepas Maghrib. Sedangkan saya berada dan beraya di rumah Ismail itupun dah dekat waktu senja. Nasib baik ia cukup dekat dengan rumah pembeli pra-bayar seterusnya iaitu puan Izzah. Apabila mendapat tahu isteri Ismail mengenalinya saya pun meninggalkan buku Izzah kepada beliau untuk diserahkan kemudian lalu bergegas ke lokasi penghantaran seterusnya di Denai Alam.


Ini pembeli pra-bayar di Denai Alam itu iaitu puan Raja Mazyah. Beliau adalah junior setahun di kolej zaman A Level tetapi tidak saling mengenali. Lama kemudian selepas melepasi umur 40 tahun baru berhubung apabila mendapat tahu kami memiliki pertalian darah melalui seorang moyang utama iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin juga kerabat diraja Perak. Rujuk artikel Perhimpunan dan sambutan raya keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang tahun 2019. Tadi tu gambar saya bersama anak lelaki bujangnya. Dia masih terkial-kial melihat saya memakai tanjak. Walhal itu bukan pakaian penuh pun -  malas nak pakai balik selepas mandi di masjid besar Shah Alam. Kalau nampak saya berbusana penuh bersampin, berkeris apatah lagi?

Raja Mazyah yang juga memiliki darah keturunan Sultan Abdullah Perak (dibuang ke Pulau Seychelles bersama sepupunya Mat Amin tahun 1877) dan dari belah Sultan Idris (yang membuka Bukit Chandan di Kuala Kangsar penghujung abad ke-19) tersenyum sahaja melihat anaknya. Saya jawab beginilah cara pemakaian nenek moyang kami dahulukala... :]


Seterusnya saya bergegas ke majlis ilmu yang dimaksudkan. Sebetulnya persinggahan hampir dibatalkan memandangkan sampai ke rumah Raja Mazyah di Denai Alam itupun sudah dekat jam 8 malam. Ketika mahu menjamakkan solat di rumah beliau muncul gerak hati mengatakan pergi aje le walaupun lambat. Pergi aje le ke masjid tempat majlis dekat Taman Tun itu walau sudah terlepas. Bukankah saya juga sudah merancang untuk menginap di masjid tempat saya belajar di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam di Bukit Tunku malam itu?

Ya. Itulah rancangan baru yang muncul sekitar jam 2-3 petang hari Rabu. Kalau ikut rancangan asal selepas Denai Alam kemudian ke Tropicana selepas itu kembali ke rumah... tamat kembara buku. Mungkin celah-celah itu boleh dibuat persinggahan ke Jeram seperti diminta pembeli pra-bayar di sana. Mungkin. Saya 50-50. Bila dapat tahu ada majlis ilmu di Taman Tun atau lebih tepat di Pinggir TTDI  ditambahlah persinggahan ke sana. 

Kemudian teringat pula bahawa pada pagi Khamis keesokannya ada majlis ilmu di ISTAC. Maka saya pun memberitahu isteri daripada bersusah-payah berkejar kembali ke rumah lewat malam itu kemudian esok paginya berkejar kembali ke majlis ilmu di ISTAC lebih baik menginap sahaja di masjid ISTAC atau mana-mana tempat berdekatan.


Disebabkan sudah memutuskan akan bermalam di ISTAC atau sekitarnya saya rasa tak rugi ke lokasi majlis ilmu di Pinggir TTDI. Walaupun meninggalkan rumah Raja Mazyah sekitar jam 8.20 sedangkan majlis dikatakan bermula selepas Maghrib saya berkejar juga. Ketika sampai sudah masuk waktu Isyak. Masuk aje le masjid walaupun sudah terlepas majlis. Lihat artikel Masjid (Mosque of) al-Ghufran, Pinggir TTDI di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ternyata tidak rugi saya pergi. Tanpa disangka oleh hadirin yang rata-rata menganggap majlis tamat sebelum masuk Isyak, pensyarah iaitu Sheikh Imran Hossein menyambung lagi perkongsian ilmu selepas solat berjemaah...


Walaupun yang tinggal cuma sedikit penerangan tambahan diikuti sesi soal jawab cukuplah dapat mengikuti juga. Disebabkan banyak yang tertinggal tak perlulah dibuat satu artikel penuh tentang majlis ilmu ini ya. Lebih seronok lagi dapat berjumpa dua orang rakan sama batch satu kolej A Level dan seorang rakan lama semasa bersekolah menengah di Sekolah Tinggi Muar penghujung 1986 hingga SPM 1987. Pada mereka yang keliru kerana saya juga sering menyebut tentang rakan-rakan lama Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) di Kluang biar diberitahu - saya di SMSJ bermula Tingkatan 1 tahun 1983 tetapi ditendang keluar penghujung 1986 lalu menyambung di Muar akibat masalah disiplin.

Seorang daripada kawan sejak A Level terus bertanya tentang buku baru walaupun saya tidak menyebut tentangnya. Nampaknya dia tahu tentang perkembangan daripada grup WA kami. Kebetulan saya ada beberapa naskah dalam beg sandang lalu dibelinya satu...


Sampai ke ISTAC untuk berehat dan bermalam di masjid situ meter kereta menunjukkan kembara buku sudah meliputi jarak 317 km dalam tempoh 2 hari. Dijangka ia akan bertambah menjadi lebih 400 km. Tak sangka pula jumlah meningkat jadi 540 km nanti. Tapi itu cerita hari Khamis... :]



Selasa, Julai 02, 2019

Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru

Salam siang Selasa 28 Syawal. Merujuk kepada artikel Memulakan kembara buku sempena keluarnya buku ke-13 yang dipersembahkan tepat seminggu lalu. Hari ini biarlah dimulakan perkongsian cerita tentang kembara buku itu...


Kembara secara rasminya bermula apabila saya meninggalkan rumah di Sungai Buaya, Rawang sebelum jam 8 pagi Selasa 25 Jun 2019 bersamaan 21 Syawal 1440 Hijriah.


Dibawa sekali sejumlah buku lama, tanjak dari rumah 2 pasang (yang biasa menghiasi satu ruang berkenaan) tak campur sepasang tanjak boleh lipat yang sentiasa dibawa ke sana ke mari waima masuk hutan dan mendaki gunung pun dalam beg sandang kesayangan...


Dibawa juga 2 pasang baju songket yang telah digosok isteri untuk dipakai dalam tempoh 2 hari kembara dijadualkan. Sebetulnya saya minta baju Melayu yang lebih ringkas, tak perlu bercorak-corak. Tetapi isteri kata dah alang-alang keluar berjumpa orang atas nama buku biarlah lebih cantik dan gah. 

Saya pun akur dengan cadangan isteri. Kalau dah pakai baju begini harus dipakai sampin songket  cantik sekali lalu saya pun bawa 2 pasang. Tanjak pun bawa 2 pasang yang elok. Kalau tak cukup dengan kain seperti pelikat dijadikan sampin berserta tanjak lasak...


Persinggahan pertama adalah satu kedai ekzos di Rawang kerana mahu membetulkan kedudukan ekzos yang dikhuatiri menimbulkan bunyi 'gek-gek' kurang enak di belakang kereta. Bila didapati kedai yang kata isteri biasa dibuka jam 8.30 pagi belum dibuka pada waktu itu sedangkan banyak lagi perkara hendak dikejar saya pun bergegas terus ke Kuala Lumpur.


Antara yang mahu dikejar adalah wacana yang tertera ini di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku.


Sebelum itu ke kilang cetak di satu kawasan taman perindustrian dekat Batu Caves jam 9 pagi. Selepas selesai membayar baki kos cetak saya pun pergi untuk mengambil buku. Pada mulanya tunggu sahaja di luar gudang. Bila tengok orang masih tak datang menghantar saya pun masuk lalu melihat buku-buku baru sedang dibungkus rupanya...


Malah masih begitu banyak belum dipotong apa lagi dibungkus. Orang yang faham proses cetak buku tahulah kenapa perlu dipotong. Saya mahu mengambil 400 naskah. Nak siap potong kena tunggu lebih sejam...


Begini rupa buku yang belum dipotong. Ada lebihan bahagian berwarna putih kelihatan pada kulit luar. Dalam tu ada kertas-kertas yang dilipat selepas dicetak secara pukal (32 muka surat pada setiap keping kertas besar) tetapi belum 'dipisahkan' melalui potongan untuk membentuk muka-muka surat yang boleh diselak dan dibaca satu persatu seperti halnya buku yang sudah betul-betul siap. Padahal saya diberitahu hari sebelumnya iaitu Isnin 24 Jun sudah siap. 

Tu yang confident pagi Selasa boleh ambil buku di Batu Caves sekitar jam 9, hantar sejumlah kepada pengedar untuk dimasukkan ke kedai buku apabila pejabatnya dan gudang dibuka sejurus sebelum jam 10 kemudian berkejar ke ISTAC untuk wacana ilmu. Kalau begini lari bajet masa nampaknya. Namun apa boleh dibuat? Nak tak nak kena selesaikan dahulu urusan baru boleh hadapi yang lain...


Beginilah rupa buku yang sudah siap dipotong. Ambil sejumlah untuk diposkan kepada sebahagian penempah awal yang sudah membayar harga buku iaitu RM55 senaskah campur kos Poslaju (RM7.90 di Semenanjung, RM12.50 untuk Sabah/Sarawak) sementara yang lain sedang dipotong. Nasib baik ada kedai Poslaju tidak jauh dari kilang. Urusan mengepos di mana setiap buku memerlukan borang lengkap diisi sebelum dimasukkan ke dalam sampul Poslaju dan setiap buku harus ditulis nama pemilik dengan ucapan "Selamat Hari Raya" sebelum ditandatangani dan ditulis tarikh itu sendiri pun memakan masa.


Untuk sebahagian lagi penempah awal (kecuali mereka yang sudah menyatakan mahu mengambil sendiri daripada saya di mana-mana lalu tidak membayar kos pos) saya membuat keputusan untuk menghantar sendiri buku. Ini adalah untuk para pembeli awal yang beralamat di Lembah Klang dan Selangor. Sebetulnya lebih mudah untuk mengepos buku apa lagi kos Poslaju sudah dibayar. Tetapi muncul ilham beberapa hari sebelum itu agar dibuat kembara untuk menghantar buku. Sambil berjalan, sambil bertemu pembaca, sambil merapatkan silaturrahim dan berhari raya.

Selepas mengepos saya kembali ke kilang cetak untuk mengambil jumlah yang dipinta. Daripada itu separuh dihantar ke gudang pengedar yang terletak di kawasan lain dekat Batu Caves juga. Apabila sampai di halaman ISTAC sudah jam 11.58. Sedangkan wacana ilmu dijadualkan bermula jam 10 pagi sebelum tamat 12.30 tengah hari.


Dalam perjalanan menuju ke bilik persidangan di mana wacana sedang berlangsung terserempak pula dengan Prof Madya Dr Muhammad Pauzi Abd Latif. Beliau yang diberi tanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di ISTAC selain pakar yang mampu membuka dan mendirikan kembali rumah-rumah kayu tradisional merupakan salah seorang pensyarah saya pada semester tahun lepas. Pauzi ada menyatakan mahu membeli buku lalu mengambil senaskah dan membayar. Jadilah beliau pemilik pertama buku "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995".


Selepas itu baru masuk ke bilik wacana. Semasa turun tadi saya ada membawa 5 naskah buku. Sekarang tinggal 4. Ketika masuk bilik sudah jam 12.05. Pembentangan tentang "Antisemitism" oleh pengkaji dari Amerika Syarikat, Dr Kevin Barret sudah pun tamat. Yang tinggal adalah sesi soal jawab.


Antisemitism adalah terma yang biasa digunakan oleh orang Yahudi dan Israel untuk menyelar mereka yang tidak bersetuju atau mengutuk tindakan kejam mereka terhadap orang lain seperti sering dilakukan terhadap penduduk bangsa Arab di Palestin. Kononnya kita semua ini anti atau bencikan bangsa semite merujuk kepada mereka. Sedangkan terma semite itu sebenarnya turut meliputi orang Arab malah semua anak cucu Nabi Ibrahim AS. 

Walaupun masuk sangat lewat saya bersyukur masih dapat mengikuti sesi soal jawab. Rasa tak sia-sia mengejar wacana apabila mendapat tahu Barret sudah masuk Islam. Beliau dapat berkongsi perspektif alim ulamak Yahudi yang sendiri tidak bersetuju ke atas penindasan yang dibuat kaum mereka terhadap bangsa Arab.


Sebetulnya ada baiknya saya sampai lewat. Kalau tidak tentu terasa wajib menulis satu artikel untuk berkongsi isi dan ulasan tentang acara. Apapun, selain mahu mengikuti wacana saya mahu menyampaikan senaskah kepada seorang kawan lama, Taufiq Khalid. Ini adalah kawan yang pernah duduk sebilik semasa zaman kolej membuat A Level di Damansara Utama tahun 1988-1990. Semasa belajar di London tahun 1991-1995 saya pernah tumpang menginap di rumahnya selama beberapa bulan.


Beliau menjadi orang ke-2 memiliki buku baru saya. Oh. Sepatutnya saya sudah memakai salah satu baju songket yang disediakan isteri tapi tak sempat tukar. Sebaliknya saya masih memakai t-shirt hitam tertera perkataan "Haul Tok Pulau Manis" yang dibeli pada majlis berkenaan lebih 2 bulan lalu, bersama tanjak lasak. Lihat artikel-artikel berikut  di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-







Ini adalah update berkenaan yang dimasukkan ke dalam grup atau kumpulan WhatsApp "Kelab Buku Merah Silu" tidak lama selepas kawan tersebut menerima buku. Kelab ini baru diwujudkan pada hari Isnin 24 Jun. Ia sebenarnya adalah pertukaran nama daripada grup "Nabi Adam dan Benua Tua Melayu" yang diwujudkan awal tahun lalu untuk memudahkan urusan pengeposan buku baru saya ketika itu. Rujuk artikel Buku berkembar Adam Melayu dan Benua Tua mula menemui pembaca - Nostalgia perasaan yang timbul sekitar urusan berkenaan diikuti Bila mereka yang sudah membayar awal mendapat buku....


Selesai wacana dan soal jawab hadirin berlegar-legar untuk berbual antara satu sama lain. Tiba-tiba seorang bertanya tentang buku lalu saya pun memberikan penerangan ringkas. Disambarnya satu untuk menjadi pemilik ke-3 buku. Bila ditanya apakah nama untuk ditulis dan tanda tangan dia menyebut "Datuk Sulaiman".


Pemilik ke-4 juga membeli dalam bilik persidangan/wacana. Tetapi beliau yang merupakan orang berada daripada keluarga Sayyid as-Shahab Siak tidak mahu diambil gambar. Selepas itu saya ke pejabat Profesor Datuk Dr Awang Sariyan untuk menyerahkan naskah ke-5 yang disampaikan secara terus hari itu. Beliau yang merupakan salah seorang pensyarah saya di ISTAC sudah lama menempah senaskah, cuma tidak membuat bayaran awal. Katanya untuk menyatakan sokongan. 

Bagi saya ini satu penghormatan besar. Ini kerana beliau adalah seorang tokoh pejuang bahasa Melayu yang cukup dikenali dan disegani di Malaysia...


Selesai  berurusan juga berbual dengan bermacam orang saya menyendiri untuk menyiapkan beberapa perkara. Saya harus mencatatkan semua yang telah berlaku tentang buku hari itu sebelum keluar menyambung kembara supaya tidak lupa. Ketika itulah ditulis lalu dipersembahkan artikel bertajuk Memulakan kembara buku sempena keluarnya buku ke-13 jam 2.31 petang.


Selepas itu baru  mandi lalu menukar kepada busana tradisional Melayu penuh. Akibatnya dekat jam 3 baru keluar meninggalkan ISTAC untuk ke destinasi seterusnya iaitu Plaza Damas di Sri Hartamas bagi menyerahkan buku sambil bersilaturrahim dan berhari raya. Ikut rancangan asal saya harus bergerak selepas wacana dijadualkan tamat jam 12.30, paling lewat jam 1.30. Rupa-rupanya ada hikmah jua terlewat.


Kalau sampai awal tentu tidak dapat bertemu dengan pembeli dan pemilik buku yang seterusnya, puan Selma Enolil kerana beliau masih belum selesai urusan di luar pejabat. Harus dinyatakan beliau adalah junior setahun bawah saya semasa zaman A Level. Rasanya dah lebih 20 tahun tidak bertemu, berhubung pun tiada kecuali jadi friend di Facebook, tak ingat bila. Tiba-tiba beliau muncul menjadi penempah awal (pre-order) berbayar yang ke-13 untuk buku baru saya.


Mulai ini biar tajuk buku diringkaskan sebagai "Kenangan Eropah 1995" sahaja ya. Untuk ke destinasi seterusnya saya harus menuju ke Bangsar di selatan pusat bandar raya.


Naik ke tingkat 19 Menara UOA untuk bertemu pembeli pra-bayar seterusnya dalam laluan yang dirancang buat hari itu. Terus terang cakap semasa itu saya masih tertanya-tanya di manakah aku kenal mamat ni sebab dia bertegur sapa mesra macam kawan lama dalam FB. Rupa-rupanya hamba Allah bernama Azrul Shahreen ini diperkenalkan oleh seorang kawan lama A Level. 

Beliau dahulu pernah bersama menyambung pengajian pasca-siswazah di Institut Asia-Eropah,  Universiti Malaya bersama kawan tersebut. Mula-mula saya fikir kami berkenalan apabila saya diminta bersama mengendalikan satu bengkel di Tanjung Malim penghujung tahun 2016. Lihat artikel Melatih bakal guru di UPSI sebelum bersembang melepasi langit ke-7 di Sarang Art Hub. Bila disemak kembali dengan kawan rupa-rupanya ia daripada perkenalan dalam bengkel lebih awal di Shah Alam. Ketika itu saya diminta membantu menyediakan sejumlah pelajar terpilih universiti untuk menghadiri satu kursus kepimpinan di Jakarta...


Destinasi seterusnya Menara TM tiada dalam rancangan awal. Tetapi saya ke sana apabila mendapati letaknya tidak jauh daripada laluan...


Adapun ketika mengumumkan akan membuat kembara buku ini pada malam sebelumnya melalui FB saya ada memberitahu sesiapa yang berhajat untuk mendapatkan buku boleh beritahu di ruangan komen FB atau WA nombor telefon saya. Ketika kembara sedang berlangsung isteri memberitahu seorang pembaca bernama Rafie Yunos telah membuat bayaran pada waktu sekian-sekian. Nasib baik ia dilakukan sebelum saya sampai Bangsar. Jadi bolehlah diatur serahan terus buku.



Nama Rafie sedia wujud dalam WA grup kerana merupakan salah seorang pembeli pra-bayar buku "Nabi Adam" dan "Benua Tua Melayu" awal tahun lalu. Oleh kerana beliau telah membayar sebelum menerima buku "Kenangan Eropah 1995" sedangkan kembara baru sahaja bermula selepas beberapa jam buku siap sepenuhnya beliau layak untuk dimasukkan ke dalam senarai penempah awal berbayar. Sebagai menghargai kepercayaan mereka yang mana wang diterima membantu membentuk sebahagian daripada kos percetakan senarai nama akan diabadikan dalam satu posting khas untuk buku. Sementara itu isteri saya yang berhubung dengan anak muda ini melalui WA grup. Isteri sendiri belum berkesempatan melihat buku lalu meminta Rafie berkongsi sedikit gambar di WA...








Destinasi seterusnya adalah di NU Sentral dalam kawasan KL Sentral di Brickfields. Pembeli dan pembayar awal adalah saudara Syed Fareed, kawan lama di Sekolah Menengah Sains Johor dahulu (SPM tahun 1987). Ini diikuti Syed Zambri di Menara Chulan, Jalan Conlay. Beliau adalah kawan lama satu batch A Level yang seingat saya tidak pernah ditemui atau dihubungi sejak meninggalkan kolej. Tiba-tiba muncul menjadi salah seorang penempah dan pembayar awal, alhamdulillah.


Saya tidak ada gambar dua orang Syed tadi bersama buku. Sebetulnya sepanjang siang itu tak sempat dan terlupa hendak mengambil gambar bersama pembeli/pemilik buku kerana terkejar-kejar masa. Ini kerana alamat-alamat yang diberikan adalah tempat kerja. Saya harus memastikan dapat menemui mereka pada waktu pejabat sedangkan dari satu pejabat ke satu pejabat bukanlah dekat, harus pula melepasi kesesakan jalan raya. 

Bila dapat menyampaikan buku kepada Syed Zambri sekitar jam 5.30 petang baru terasa lega. Ini kerana alamat-alamat seterusnya adalah di rumah kediaman termasuk lokasi seorang kawan lama, saudara Rosli Mohd Sah (gambar atas) yang juga adalah seorang penulis dan blogger. Beliau yang mula dikenali melalui satu forum di Internet tahun 2006 tidak masuk dalam senarai penempah awal. Apabila mengetahui saya akan menyampaikan buku ke satu alamat di Ampang menghampiri jalan belakang (naik turun bukit) ke Hulu Langat beliau mengajak singgah berhari raya sambil membeli buku di rumahnya di Pandan Indah. 

Ketika berada di rumah beliau sekitar waktu Maghrib baru dapat tahu penempah seterusnya sudah bergerak masuk ke lebuh raya KESAS. Rupa-rupanya alamat yang diberikan di sekitar Ampang itu alamat tempat kerja sahaja. Tempat duduknya jauh di Klang. Inilah salah satu cabaran yang dihadapi dalam kembara ini. Saya cuba seboleh dan sebaik mungkin untuk menyampaikan buku dengan tangan sendiri kepada para pembeli dan pembaca seraya datang berhari raya dan bersilaturrahim. Tapi mustahil untuk menetapkan masa tepat dapat berjumpa kecuali dah dekat kawasan disebabkan pelbagai cabaran seperti jarak dari tempat ke tempat, kesesakan lalu lintas juga masa yang harus diluangkan bagi setiap pembeli/pembaca.


Penghantaran seterusnya mahu dibuat ke rumah penempah awal, saudara Zaini Mohd Zin   di Taman Sutera, Bukit Angkat, Kajang. Ini diikuti puan Niza Lee di alamat rumah di Bukit Mewah, Kajang. Bila dihubungi Zaini harus bekerja di kilang sementara Niza menyatakan mahu bergerak untuk berhari raya di Kuala Lumpur. Berdasarkan ekonomi laluan pertemuan pun diatur agar buku dapat diserahkan terlebih dahulu kepada Niza di hadapan Masjid Sungai Sekamat (gambar atas). Selepas itu baru ke rumah Zaini lalu buku disambut oleh isterinya.


Ikut rancangan asal selepas itu mahu ke Seksyen 7 di Bandar Baru Bangi diikuti Kampung Sungai Tangkas menghampiri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tetapi ada pembeli yang meletakkan alamat pos rumah di Seremban memberitahu beliau bertugas di UKM lalu meminta agar buku dihantar ke tempat kerja pula. Saya pun mengatur agar 3 lokasi tersebut diliputi dalam kembara keesokan siang hari Rabu. Dengan itu destinasi seterusnya bagi hari Selasa yang sudah masuk malam Rabu adalah Suria Grande, Taman Bukit Semenyih. 



Namun ada juga terfikir untuk membatalkan perjalanan ke sana kerana sudah lewat malam dan penat sedangkan pembeli pra-bayar tidak dapat dihubungi melalui telefon. Mungkin lebih baik diposkan sahaja. Tetapi apabila memikirkan sudah berada di Kajang biar dipanjangkan sahaja sedikit lagi perjalanan ke lokasi. Bila dah sampai timbul pula kemusykilan betulkah alamat rumah ini? Ada banyak kereta mewah dan motosikal, pintu pagar tidak berkunci tapi bila dipanggil tiada orang. Alamat yang diberikan kelihatan dah betul. Call tuan rumah tetap tak dapat-dapat.

Setelah beberapa lama saya WA gambar hadapan rumah yang kelihatan satu nombor kereta. Selepas menunggu lagi buat suatu waktu saya nekad masukkan buku ke dalam kotak pos. Kalau tersilap alamat tak mengapalah, nanti saya pos pula senaskah buku. Tiba-tiba dapat jawaban memang betul itu rumahnya. Cuma tuan rumah masih berada jauh di Kuwait sedangkan ahli rumah yang lain sedang berada di luar kawasan. Lega sangat rasa kerana sudah menyampaikan di rumah yang betul. Selepas ini baru boleh berehat...


Dari Bukit Semenyih saya bergerak ke destinasi seterusnya di Bandar Seri Putera antara Bangi lama dengan sempadan Negeri Sembilan. Saya dah boleh mula berehat kerana pembeli pra-bayar yang hendak ditemui kali ini adalah seorang kawan baik lama yang rumahnya akan menjadi tempat penginapan saya malam itu. Kami bertemu di sebuah restoran dalam kawasan perumahannya di mana saya akhirnya dapat makan malam walaupun lewat. Jika siangnya saya cuma sempat makan 'tengah hari' selepas jam 6 petang iaitu selepas selesai segala urusan penghantaran di alamat-alamat pejabat malamnya pula dekat jam 11.15 baru boleh makan... 

Kawan bernama Zaidi Badron ini telah dikenali dekat 20 tahun atas asbab sama-sama suka mengembara dan ada menghadiri majlis-majlis zikir dan tariqat. Kali terakhir bertemu hampir penghujung 2017 kami keluar pusing naik motosikal besar sambil sempat mendaki gunung lebih 7,000 kaki tinggi di Banjaran Titiwangsa. Lihat Antara kenangan pengembaraan bermotosikal dan naik gunung dengan pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa.


'
Kali terakhir bertandang ke rumahnya pula adalah sekitar tahun 2013 ke 2015 gitu. Apapun sampai sahaja ke rumah meter kereta menunjukkan kembara buku hari pertama telah meliputi jarak hampir 150 km. Esok dijangka sambung lagi 150 km...