Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Februari 24, 2024

Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2024 dan ideologi

Bersambung daripada artikel Kapal terbang bunian di Gombak?.



Seterusnya saya membawa isteri ke Pasar Seni atau Central Market.




Ada Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2024 sedang berlangsung 22-25 Februari...










Kami sampai ketika satu forum menarik baru sahaja bermula jam 4 petang.




Ia adalah tentang kejatuhan Khalifah Uthmaniyah pada 3 Mac 1924 iaitu tinggal beberapa hari sahaja lagi genap 100 tahun ia berlaku.




Melihat suasana sekeliling kelihatan pesta buku yang baru dimulakan beberapa tahun lalu di Central Market ini semakin meriah berbanding dahulu.




Semakan di Internet menunjukkan pesta buku yang mengumpulkan para penerbit dan penjual buku bebas luar arus perdana telah diadakan sejak tahun 2008 di beberapa lokasi di Kuala Lumpur. Tetapi bermula tahun 2022 baru diadakan di Pasar Seni.




Saya tak pasti jika pernah hadir dalam edisi-edisi awal. Yang ada direkodkan dalam CATATAN SI MERAH SILU adalah pada tahun 2023. Lihat Dari Pesta Buku Alternatif di Central Market ke Putrajaya.




Tiba-tiba terserempak dengan tenuk...




Itu yang diletakkan di Facebook gambar atas dengan kapsyen berikut...



PAK PUM PAK MUSTAPE...

Omak kau tapir!




Kami berlegar-legar melihat buku-buku buat suatu masa.







Jam 6 pula mengikuti forum tentang Mat Indera, seorang pejuang Melayu yang kontroversi kerana pernah bersama tentera Parti Komunis Malaya (PKM) menyerang markas polis di Bukit Kepong tahun 1950 (bawah British) sehingga mengorbankan nyawa ramai orang Melayu. Cuma setelah lebih kurang 15-20 minit mengikuti kami suami isteri jadi bosan dan potong stim lalu meninggalkan majlis. Pengulas kedengaran seperti sangat terbawa-bawa hendak membawa sisi 'baik' Komunis. Terasa kencenderungan ideologinya bersifat Marxism-Sosialis yang pada saya tidaklah menjadi masalah sangat. Yang menjadi masalah adalah apabila berjela-jela hendak menegaskan pendirian kepada umum. Sedangkan yang hendak didengar adalah apakah sebab sebenar Mat Inderi sanggup berjuang bersama Komunis? Apakah disebabkan tiada pilihan atau cara lain untuk menentang penajajahan British sedangkan ramai tahu bagaimana Komunis yang secara rata diterajui oleh bangsa Cina dan kuat memperjuangkan isu-isu keCinaan diketahui sangat ganas dan zalim terhadap orang Melayu yang tidak menyokong mereka?


Kapal terbang bunian di Gombak?

 Salam malam Nisfu Sya'aban. Ini ada satu cerita menarik.



Kurang 2 minggu tergerak dalam hati untuk mencari satu bukit di sekitar atau pinggir bandar raya Kuala Lumpur yang tidaklah beberapa tinggi untuk didaki tetapi boleh memberikan pemandangan sekeliling yang cukup menarik dan meluas. Tengok-tengok, tanpa dicari mahupun dinyatakan niat di mana-mana kecuali kepada isteri tiba-tiba  Facebook memaparkan satu tempat bernama Bukit Guling Ayam. Katanya tak berapa jauh dari pusat bandar raya. Tinggi dalam 160 meter dari paras laut tetapi boleh memberi pemandangan seperti dari puncak gunung setinggi 1,600 meter dari paras laut.


Saya pun mencari kedudukan bukit dalam Google Map. Supaya lebih jelas bagaimana rupa persekitaran masuk dalam layer atau lapisan imej satelit.




Baru tersedar rupa-rupanya dah banyak kali lalu di tepian bukit. Seberang sahaja dari Kampung Sungai Chinchin. Memang selalu nampak apabila mengambil jalan lama ke Pahang atau kembali, biasanya apabila ke Janda Baik. Memang pernah terfikir hendak mendaki.

Ketika hendak mencari laluan masuk ke puncak ternampak sesuatu yang menarik. Nampak tak dalam gambar atas?




Laluan pendakian sebenarnya terletak di sebelah stesyen minyak menuju ke tol Lebuh Raya Karak. Memang selalu le singgah. Nampak tak kawasan yang dibulatkan dalam gambar satelit? Ada bangkai kapal terbang ke apa?




Ini mengingatkan bagaimana di pekan Broga dekat sempadan negeri Selangor-Negeri Sembilan ada terdapat kapal terbang walaupun jauh dari mana-mana lapangan terbang.




Bukan satu malah ada 2 buah yang agak besar.




Rupa-rupanya ia adalah badan kapal terbang yang telah dijadikan hotel. Saya pernah sampai bersama keluarga. Lihat artikel lama Melengkapkan perjalanan di Negeri Sembilan - Tiada yang 'keemasan' mahupun 'keperakan' buat kami lagi.




Tajuk artikel itu kurang enak kerana apa yang berlaku pada waktu itu. Apapun ini gambar satelit tempat dilihat kapal terbang di Gombak melalui program Google Earth. Dengan program ini boleh ditukar sudut pandang sehingga nampak turun naik bentuk muka bumi bukit bukau gunung ganang bagai.




Tadi siang Sabtu 24 Februari 2024, selepas menemani isteri hadir satu majlis perkahwinan di pinggir selatan bandar Rawang saya pun mengajak isteri meninjau tempat.




Sampailah kami ke stesyen minyak berkenaan. Sebetulnya ada dua buah stesyen, mula-mula jumpa Shell. Berdasarkan gambar satelit kapal terbang sepatutnya berada di lereng bukit di tengah gambar atas...




Oh. Gambar ini pula diambil selepas meninjau laluan naik ke Bukit Guling Ayam. Selepas Shell terdapat stesyen minyak Petronas diikuti laluan. Nak masuk kembali jalan besar baru teringat nak ambil gambar.




Dari situ mengambil laluan menghala ke jalan lama KL-Pahang kemudian menghala ke bandar raya. Puncak Bukit Guling Ayam kelihatan ke kanan sikit dari tengah gambar.




Sejurus sebelum jalan tadi masuk ke bawah jalan besar ke Lebuh Raya Karak saya pun mengambil lorong ke kanan. Berdasarkan gambar satelit sepatutnya boleh nampak kapal terbang di tengah gambar. Tapi takda pulak. Kapal terbang bunian kot? Hehe... :]


Sabtu, Februari 17, 2024

Masuk jalan kebun dan panjat bukit sebagai terapi untuk memperdalamkan ilmu

OK. Hari ini 17 Februari 2024 adalah hari ulang tahun anak bongsu saya, Muhammad Alauddin Johan yang ke-12. Saya pula pada malamnya mahu mengambil kesempatan untuk berkongsi satu luahan.


Lapan hari lalu iaitu pada hari Ahad 11 Februari jam 11.59 pagi saya telah meletakkan gambar atas ini di Facebook diikuti sari kata : "Layan panjat bukit daa...". Ketika itu baru sahaja sampai ke puncak sebuah bukit setinggi hampir 170 meter dari paras laut. Letaknya ke timur dari rumah saya di Bandar Sungai Buaya dan ia adalah kali ke-3 saya naik ke puncak bukit itu.



Jam 4.39 petang pula saya meletakkan gambar atas ini di FB diikuti teks berikut :-


LAYAN PANJAT BUKIT DAN AL-QURAN 1 SYA'ABAN

Tadi punya laluan panjat bukit dekat Bandar Sungai Buaya, Rawang. Kononnya bajet nak naik motokap sampai dekat2 puncak sebab nampak macam ada laluan boleh pakai. Tengok2 sampai satu peringkat moto tak boleh lalu. Harus menyambung dengan berjalan kaki.

Yang merah tu laluan berjalan kaki hingga sampai ke puncak. Dekat 2 km berjalan kaki ke atas, lagi 2 km turun balik ke moto sebelum balik ke rumah. Banyak bahagian denai bersemak tumbuh pokok bagai. Berapa kali tak jumpa jalan lalu main redah.

Keluar rumah jam 9.30, 4 jam kemudian baru balik. Sepanjang perjalanan tak makan mahupun minum setitik air pun. Itu kebiasaan saya kalau keluar hiking. Dah selesai baru boleh minum.

Ada satu part awal tiba2 kena sesak nafas. Mungkin kombinasi hari panas campur dah agak lama tak panjat bukit. Umur pun nak masuk 54 tahun. Senam jarang2 dan kebelakangan ini memang kurang sihat.

Saya pun bukak Al-Quran sambung bacaan Surah Al-Baqarah yang dimulakan malam tadi selepas Al-Fatihah. Pagi tadi dah masuk separuh Juz 2 sebelum keluar rumah. Mengaji berlagu lagi 5 muka surat. Alhamdulillah nafas kembali normal lalu sambung balik pendakian. Sampai ke puncak dapat tamatkan Juz 2 + 2 setengah helai Juz 3.

Balik rumah sambung kasi settle terus Surah Baqarah. Biasanya saya cuma selesaikan 1 Juz sehari demi mengejar sasaran khatam setiap bulan Islam. Kali ini, untuk tarikh hari ini 1 Sya'aban dah dapat sehingga hampir setengah Juz 3.

Lagi istimewa bila dibuat sambil panjat bukit yang boleh tahan tinggi, dekat 170 meter dari paras laut dalam keadaan kurang sihat. Ertinya masih ada harapan boleh fit balik tubuh badan insyaallah.


Gambar tersebut merupakan lakaran laluan yang diambil, dibuat menggunakan Google Earth. Ia boleh dikatakan susulan satu perjalanan lain sebegitu rupa tetapi lebih mendatar pada beberapa hari sebelumnya. Timbul rasa untuk berkongsikan cerita berkenaan di CATATAN SI MERAH SILU. Tetapi harus menyelesaikan dahulu satu lagi perjalanan sebegitu rupa di bahagian lain berdekatan Sungai Buaya lalu ia baru dapat dilakukan pada 14 Februari iaitu 3 hari lalu.

Sekarang, dengan timbulnya gerak untuk berkongsi cerita biar dinyatakan, sudah disediakan artikel-artikel tentang perjalanan-perjalanan tersebut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH seperti berikut :-


1. Checking a path to the west from Sungai Buaya

2. Taking a different approach to the summit of a hill east of Sungai Buaya

3. Going anticlockwise past agricultural routes to the east of Sungai Buaya


Sejak berpindah ke Bandar Sungai Buaya 10 tahun lalu saya memang rajin mendaki bukit-bukit sekeliling juga masuk ke jalan-jalan kebun dan sebagainya untuk bersenam juga sebagai terapi minda, terutama ketika berlaku PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tahun 2020 hingga 2022. Tapi cuma sesekali sahaja ada berkongsi cerita di blogspot. Kali ini dikongsikan sedikit cerita untuk melepaskan rasa. Ini kerana sejak kebelakangan ini saya selalu dilanda rasa kepenatan yang amat sangat, tubuh badan selalu terasa demam, sakit kepala dan sakit-sakit badan. Apabila larat itu yang dilawan dengan keluar pergi berjalan naik bukit dan sebagainya. Namun cuma tiga yang di atas dikongsi cerita kerana menyedari sesuatu.

Dalam artikel Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor yang ditulis pada 24 Januari ada dinyatakan bahawa saya pergi ke tempat belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari sebelumnya ketika "masih dalam mood tidak mahu bertemu orang. Boleh dikatakan sejak masuk tahun baru 2024 begitulah keadaan. Selain ada sejumlah perkara mengganggu fikiran saya sebenarnya sedang memberikan tumpuan bagi membaca tulisan-tulisan berkenaan satu subjek berat yang fikirnya akan dijadikan kajian bagi tesis PhD akan datang.".

Sebetulnya beberapa minggu kebelakangan saya berusaha untuk membaca sebanyak mungkin bahan- bahan berkenaan cadangan tesis PhD itu. Subjeknya bukan sahaja berat. Ia memaksa untuk menghadapi sejumlah keadaan jiwa masa lalu yang sudah sekian lama dilupakan, keadaan yang menyebabkan saya meninggalkan ilmu sains dan matematik lalu berubah langsung arah kehidupan. Kini didapati nak tak nak kena mendapatkan kembali kepandaian dalam ilmu sains dan matematik yang sudah lama ditinggalkan itu kalau betul-betul mahu menjayakan tesis seperti dicadangkan. 

Hal ini boleh jadi antara sebab saya kurang sihat. Ini kerana bebanan jiwa yang perlu dilalui memang sangat berat. Ia turut membawa pada ingatan bagaimana sejak zaman kanak-kanak dahulu saya sangat meminati begitu banyak cabang ilmu. Namun minat itu dibunuh kerana dilihat tidak penting malah mengganggu dalam menghadapi kehidupan biasa orang sama umur bersekolah. Hal ini sudah lama terlupa tetapi baru diingati kembali sejak seminggu dua kebelakangan. 

Lalu masuklah jalan-jalan kebun dan panjat bukit seperti diceritakan dalam artikel-artikel atas. Bagi saya ia antara terapi penting untuk terus maju ke hadapan. Meluahkan hal tentangnya juga adalah terapi. Sekian perkongsian.

Selasa, Februari 13, 2024

Kesan peninggalan arkeologi masyarakat Melayu Champa abad ke 7-14 Masihi

Salam. Masuk cerita majlis ilmu.



Majlis ilmu kali ini berlangsung malam semalam jam 9 waktu Malaysia. Diadakan oleh satu badan NGO bernama YASMA-SEPAMA secara atas talian tajuknya adalah seperti yang kelihatan.



Bercakap adalah seorang pakar arkeologi yang boleh dikira daripada generasi ke-2 di Malaysia. Generasi pertama adalah orang seperti Prof Emeritus Dato' Dr Nik Hassan Shuhaimi yang merupakan guru kepada pembentang, Profesor Madya Dr Asyaari Muhammad ketika belajar dalam bidang berkenaan sehingga mendapat ijazah sarjana muda pada tahun 1993. Beliau sudah berkecimpung dalam bidang dan pergi ke merata tapak arkeologi Alam Melayu sejak lebih 30 tahun, beberapa tahun kebelakangan terlibat dalam arkeologi bawah air (marine archaeology). Kini beliau adalah pengarah ATMA (Institut Tamadun Alam  Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia).




Sudah lama saya tidak mengikuti majlis-majlis ilmu anjuran ATMA. Dahulu selalu juga ke UKM di Bangi untuk majlis mereka lalu bertemu orang seperti Nik Hassan Shuhaimi. Sya'ari pun memulakan dengan sejarah kerajaan Champa (begitulah ia sering dieja berbanding Campa), sebuah kerajaan lama Melayu di satu wilayah besar yang dahulu sering disebut sebagai Indo-China. Namun dalam pembentangan ini didapati perkataan Indo-China tidak mahu disebut lagi. Seolah-olah ada suatu macam larangan oleh pihak tertentu.




Sebetulnya bercakap tentang kerajaan Champa itu sendiri boleh jadi sangat sensitif. 




Ini kerana selepas lebih 1,000 tahun menjadi sebuah kerajaan Melayu yang boleh tahan gah ia ditakluki oleh satu kerajaan lain di/dari selatan China lalu menjadi sebahagian daripada kerajaan tersebut, kini dikenali dengan nama moden Vietnam.




Penaklukan bersifat genocide atau pembersihan etnik itu telah menyaksikan ramai orang Melayu Champa berhijrah secara besar-besaran ke Kemboja (Cambodia). Ada juga ke Semenanjung Tanah Melayu.







Disebut pula peranan dan kedudukan Champa dahulukala dalam perdagangan melalui jalan laut ataupun maritim...







Diberikan sedikit overview jatuh bangun kerajaan kemudian baru betul-betul masuk ke bab arkeologi...




Asya'ari pun mula berkongsi pengalaman peribadi beliau membuat kajian setelah beberapa kali ke Vietnam. Kebanyakannya dibuat secara senyap-senyap seperti seorang pelancong biasa sahaja kerana  mengkaji tentang peninggalan Melayu dalam satu wilayah yang sudah dilenyapkan identiti keMelayuannya adalah sesuatu yang sensitif, boleh mengundang ancaman.




Sebetulnya masih terdapat banyak tinggalan gah kuil-kuil daripada zaman orang Melayu Champa menganut agama Hindu. Namun secara rasminya ia dikenali dan diangkat sebagai monumen kemegahan Hindu, tidak dikaitkan dengan Melayu.




Di sini cukuplah dikongsikan slaid-slaid berkenaan tanpa penerangan tambahan.













Cukuplah ditambah, masih ada lagi saki baki orang Melayu Champa yang menetap di wilayah asal mereka, satu kumpulan menganut agama serupa Hindu-Buddha. Satu lagi ada unsur Islam tetapi bercampur dengan agama lama nenek moyang. 













Sekadar memberitahu. Ini adalah artikel ke-2,477 di CATATAN SI MERAH SILU.










Tamat pembentangan berlaku sesi soal jawab diikuti sembang-sembang santai tentang sejarah dan arkeologi meliputi banyak perkara juga wilayah-wilayah Melayu lain. Terkeluar hal-hal seperti hubungan dengan Sungai Batu dan Lembah Bujang juga kaitan Sultan Kelantan dengan kerajaan Champa selepas ia masuk Islam (harus seawal abad ke-14 Masihi). Satu perkara menarik disebut adalah bagaimana di Sungai Mas, Kedah ditemui banyak tinggalan manik daripada pelbagai belahan dunia termasuk kerajaan Rom yang berpusat di Itali. Tetapi ini tidak bermakna orang Rom pernah menjejakkan kaki ke Kedah pada zaman itu (kerajaan Rom yang berpusat di Itali jatuh pada abad ke-5 Masihi. tinggal Rom belah Timur berpusat di Turki yang jatuh 1,000 tahun kemudian). Kata Asya'ari belum ditemui bukti yang boleh dipertanggungjawabkan secara akademik bahawa orang Rom pernah sampai ke mana-mana tempat di Kepulauan Melayu/Asia Tenggara.  Manik-manik dari Rom boleh dibawa oleh para pedagang dari Timur Tengah (yang mana memang ada antara mereka sering berurusan dengan kerajaan Rom yang wilayahnya pernah meliputi Mesir dan utara Semenanjung Arab).