Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, September 21, 2018

Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440

Salam hari Jumaat. Demi melepaskan gerak lagi hendak meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang biar dilepaskan satu cerita daripada perjalanan hampir 2 minggu lalu.



Petang Isnin 10 September 2018 saya dan keluarga berlepas ke Perak untuk memenuhi satu panggilan kebatinan demi menyambung atau lebih tepat, memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan.



Hari itu adalah hari terakhir tahun 1439 Hijriah. Sampai ke pinggir bandar Teluk Intan kami membelok ke arah Kampung Gajah untuk sampai ke makam seorang moyang awal yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.



Untuk makluman inilah makam lama pertama pernah saya tuju demi menyambung wasilah keluarga. Ini berlaku selepas mendapat mimpi-mimpi dan petunjuk tertentu penghujung tahun 2001. Cerita berkenaan ada dipanjangkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006.



Kami singgah bersolat di Masjid Kampung Bahagia yang terletak berdekatan. Inilah masjid pertama tempat saya menginap dalam rangka kerja menjejak salasilah keluarga dengan cara menziarahi makam-makam lama.



Dah sampai Teluk Intan terasa mesti pergi ke Menara Condong di tengah bandar. Oh. Sebelum itu kami singgah di masjid utama bandar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sultan Idris II, Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu baru ke tujuan utama kami berjalan ke Perak iaitu ke masjid lama Batak Rabit yang didirikan dalam tanah wakaf keluarga sebelah bapa iaitu keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Saya mahu menunaikan niat bermalam 1 Muharram atau Ma'al Hijrah di masjid yang mungkin paling tua masih wujud di Perak.



Di sebelah masjid terdapat tanah perkuburan Islam yang dikhaskan untuk kaum kerabat kami sahaja, orang luar tak boleh masuk. Terperanjat kami apabila mendapati ada satu bahagian telah dibina bangunan cantik berbumbung. Difahamkan Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ada melawat masjid dan tanah perkuburan kerana ada hubungan kekeluargaan lalu memberitahu mahu mendirikan bangunan. Tak pasti apakah ia memang peruntukan daripada baginda atau pihak lain.



Cuma yang menjadi kemusykilan kenapa ia dinyatakan sebagai makam seorang moyang utama kami yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam? Setahu saya juga pakcik-pakcik (mereka membesar di Batak Rabit, ayah saya pula mengikut ayahnya berhijrah ke Pahang) makam Laksamana pertama Perak ini atau lebih tepat Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor terletak di suatu tempat lebih 10 km ke arah timur laut. Lihat Makam baru (New tomb of) Laksamana Nakhoda Hitam?.



Apapun kami dapat tidur dalam masjid dengan nyenyak dan nyaman. Esoknya siang awal pagi 1 Muharram tahun 1440 Hijriah saya meninjau-ninjau persekitaran Sungai Perak di hadapan masjid. Tengok-tengok dah jadi tempat sewa bot untuk orang memancing udang galah. Lihat artikel The boating area at Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya pun mengajak isteri dan anak-anak menikmati suasana pagi tepian sungai. Tengok-tengok seorang pemilik atau pengusaha perkhidmatan bot mengajak kami berjalan-jalan dengan bot. Nampaknya beliau cuba mengambil hati saya setelah mendapat tahu kami adalah ahli waris pemilik tanah wakaf. Sebelum itu saya ada memberitahu datang daripada keluarga Laksamana. Ini kerana pakcik-pakcik saya ada menyatakan rasa kurang senang tanah keluarga kami dijadikan tempat orang turun memancing. Sedangkan ia asalnya diwakafkan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan seputar masjid yang turut didirikan nenek moyang kami yang bersemenda dengan keluarga Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (yang dibuang ke Pulau Seychelles oleh British tahun 1875) juga keluarga adinda baginda, Raja Muda Musa, moyang kepada Raja Muda Perak sekarang, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz (Sultan ke-31 Perak) ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Jaafar (Sultan ke-23). 



Saya sebagai generasi yang lebih muda boleh faham ada bagusnya terdapat tempat bot dan memancing di hadapan masjid dalam kawasan keluarga kami itu. Sekurang-kurangnya ada kemeriahan menaikkan perniagaan dan aktiviti orang tempatan sambil mereka menyumbang kepada tabung masjid. Pengusaha membawa kami sekitar satu kilometer ke hulu menghampiri satu kawasan yang dipanggil Sungai Durian di seberang. Ia adalah kawasan kaum kerabat saya daripada satu cabang lain.



Di situ ada makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu Keramat Sungai Durian. Walaupun terletak dalam kawasan hutan belukar berduri berpaya bagai ia boleh dicapai kalau sanggup meredah sampai ke pangkal dua batang pokok kelapa yang kelihatan seperti berkembar. Terperanjat saya dan isteri apabila mendapati kedua-dua pohon tidak ada lagi pucuk atau daun akibat disambar petir 3-4 bulan lalu. Entah apa petandakah ini. Yang nyata batang pokok yang tinggal seperti menjadi nesan tinggi menandakan kedudukan makam...






Tanpa dipinta kami dibawa berjalan lagi lebih jauh beberapa kilometer tapi ke hilir sehingga sampai ke jambatan menyeberangi Sungai Perak ke Lumut. Kami juga ditunjukkan satu tapak di mana dikatakan pernah berdiri sebuah kota Belanda hampir tiga abad lalu. Lihat artikel A boat trip of Perak river from Batak Rabit dan Down the bridge at Batu Lima Teluk Intan-Lumut route.



Tengah hari itu kami pergi ke Sungai Durian dengan menaiki kereta sekitar 15 km perjalanan darat untuk menziarahi makam kaum kerabat belah sana.




Dalam perjalanan kembali ke Bandar Sungai Buaya singgah ke rumah seorang kenalan di Sungkai lalu dibawa ke makam seorang tokoh tempatan yang dipercayai ada kena mengena dengan keluarga Laksamana. Lihat Makam (Tomb of) Tok Raja Tua, Sungkai.


Nota tambahan : Sekitar jam 9 malam seorang saudara telah menghubungi saya untuk memberitahu bahawa memang benar jasad Nakhoda Hitam telah dipindahkan ke Batak Rabit. Menurut beliau ini berlaku sekitar tahun 1940an atau 50an. Memang saudara ini patut tahu kerana lebih dekat dengan pejabat Laksamana. Bapa beliau pernah memegang jawatan tersebut, begitu juga datuk dan moyangnya.


Selasa, September 18, 2018

Mengenang Sebab Sebenar Kejatuhan Melaka - Tentang Teknologi Senjata Api Melayu dan Perbalahan Dalaman yang Dahulu Tidak Pernah Disebut Orang

Salam semua. Tadi timbul gerak untuk menaikkan artikel lama Sebab sebenar kejatuhan Melaka yang dikongsikan di blogspot ini hampir 12 tahun lalu ke Facebook. Namun timbul masalah kerana review untuk artikel tidak dapat dimuatnaik ke FB atas sebab tertentu. Untuk mengatasi masalah biar isi artikel dipersembahkan kembali menjadi satu artikel baru.

Saya tergerak untuk menaikkan isi artikel lama yang merupakan artikel ke-4 dalam blogspot ini yang kini memiliki lebih 1,700 buah artikel sendiri kerana memikirkan bagaimana kesedaran sejarah anak Melayu sudah jauh berubah sejak itu. Dahulu hal kejatuhan Melaka akibat perbalahan dalaman tidak pernah disebut orang, sekurang-kurangnya dalam wadah umum. Yang asyik disebut adalah Melaka kononnya ketinggalan zaman daripada segi persenjataan. Tidak ada diberitahu kepada umum bahawa Melaka sudah memiliki teknologi senjata api yang setanding dengan Barat ketika Portugis datang menyerang tahun 1511.

Di sini saya juga mengambil peluang untuk memperbaiki persembahan daripada segi spacing, justify dan sebagainya agar cerita lebih muda dibaca. Berikut adalah isi artikel yang sudah diperbaiki persembahannya...


Lakaran perang Aceh-Portugis di Melaka tahun 1629 Masihi


Assalamualaikum warahmatullah hi ta'ala wabarakatu.

Salah satu sebab utama saya memberanikan diri menulis buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang isinya menongkah arus zaman walaupun ramai memberi peringatan ia mungkin tidak akan memberi apa-apa keuntungan malah belum tentu lagi dapat mengembalikan modal adalah untuk memperjuangkan beberapa perkara yang saya yakin penting untuk mengembalikan jati diri sebenar bangsa Melayu Islam. Salah satu perkara tersebut ialah sejarah Melayu yang digelapkan. Kenapa sebut digelapkan? Kerana saya percaya banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang kekuatan sebenar bangsa kita dahulukala. Dan memang ada pihak berkepentingan yang tidak mahu kita tahu.

Pihak yang mana? Banyak. Paling utama adalah penjajah Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis. Bersama, mereka amat berkuasa menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang tanah air kita mengikut kaca mata dan kepentingan mereka sahaja. Saya juga percaya, rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil memakai pelbagai topeng muluk seperti persatuan membela hak asasi manusia dan gerakan politik pembaharuan amat arif akan ilmu jiwa dan sosiologi yang diperlukan untuk meneruskan agenda penggelapan. Ini kerana mereka memang mahukan umat Islam sentiasa merasa kerdil dan celaru jati diri akibat kurang faham hakikat asal usul kita yang sebenar.

Kita sering disogokkan dengan sejarah "rasmi" bahawa keSultanan Melaka yang merupakan simbol kegemilangan bangsa Melayu dahulukala jatuh ke tangan Portugis kerana ia bersifat kuno berbanding kuasa Barat. Kita diajar, budaya ilmu kita tidak sehebat Barat maka itu kita tidak mampu menepis kedatangan mereka. Kita diberitahu berulang-kali, kita kalah kerana pejuang kita cuma mengharapkan keris, tombak dan pedang sedangkan Portugis dan bangsa-bangsa Barat lain memiliki pistol, senapang dan meriam yang mampu membunuh daripada jauh. Maka itu, kita pun digambarkan seperti orang hutan yang duduk atas pokok lalu "sudah patutlah" kita dikalahkan dengan senang. 

Betulkah semua ini? Pernahkah kita fikirkan apakah kebenarannya secara mendalam?

Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan, Portugis telah merampas 3,000 pucuk meriam dan katanya itu baru separuh daripada meriam milik Melaka. Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 500 tahun dahulu! Ada cerita menyebut, orang Portugis terjumpa sebuah benda ajaib di istana Melaka. Bila dipandang objek tersebut, muncullah muka manusia di dalamnya. Apabila diteliti balik, muka manusia itu adalah muka orang yang memandang... Rupa-rupanya objek itu adalah cermin tetapi orang Portugis baru kali pertama melihatnya! Jadi siapakah yang kuno dan siapakah yang lebih bertamadun? Kalau orang Melaka sudah bertamadun lebih tinggi daripada Portugis, kenapa pula ia boleh jatuh ke tangan Barat?

Buku "Berpetualang ke Aceh" cuba mengajak bangsa Melayu supaya memikirkan perkara ini dan mengukur balik sejarah "rasmi". Beberapa bulan lepas, sedutan berkenaan sebab sebenar kejatuhan Melaka ini pernah dibangkitkan dalam website terpilih di Internet dan telah mendapat reaksi yang menggalakkan. Maka biarlah ia dibangkitkan lagi supaya perjuangan membongkar balik kebenaran agar yang bathil gugur dengan sendirinya dapat diteruskan. Insyaallah! Berikut adalah sedutan berkenaan daripada buku yang terbit Jun 2006 :-


===============


Pernahkah anda bertanya secara jujur, mengapa Kota Melaka yang digelar Barat sebagai “Venice of the East” boleh kalah dengan mudah? Bukankah ia diakui ramai sebagai kota paling makmur di rantau ini pada zaman itu? Dan untuk mempertahankannya, bukankah Melaka memiliki angkatan perang hebat termasuk kelengkapan laut yang amat besar dan paling canggih di bumi Melayu? Lalu bagaimana ia boleh jatuh ke tangan Portugis yang menurut ceritanya cuma membawa beberapa buah kapal sahaja? Apakah kelengkapan Melaka begitu lemah?


Sejarah rasmi sering menyebut Melaka jatuh kerana kelengkapan moden angkatan Portugis mengatasi kelengkapan kuno orang Melayu. Mereka memiliki meriam-meriam berkuasa tinggi, istinggar (pistol lama), baju dan perisai besi sedangkan orang Melayu kononnya cuma mengharapkan tombak, lembing, pedang dan keris. Pakai pula baju Melayu yang senang dirobek senjata. Orang Portugis pakai baju besi yang tidak lut dek keris. Mana tak Melayu kalah? Kuno dan mundur ketinggalan zaman...

Tetapi tanyalah diri anda secara jujur. Apakah orang Melaka yang ketika itu telah lama menerima para pengunjung dan pedagang dari peradaban-peradaban besar seperti empayar Islam di Timur Tengah, China dan India begitu daif dan mundur? Kita telah lama menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara-negara yang jauh lebih maju daripada Barat zaman itu. Apakah orang Melayu tidak mengerti keperluan pertahanan untuk menjaga sebuah kota yang menjadi nadi perdagangan Nusantara malah seluruh dunia? Apakah bangsa kita begitu kolot dan bodoh?


—————————


“Tidak. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno,” Rasyid bercerita ala seorang pejuang bangsa di hadapan beberapa orang kenalan lain pula. “Dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam dan istinggar yang boleh dibeli dari Timur Tengah atau Cina, sudah kenal apa itu baju besi. Malah aku yakin orang Melayu sudah mampu membuat semua alatan perang ini sendiri. Ingat Melayu dahulu bodoh sangatkah?”

“Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang,” dia meneruskan. “Bukan tidak pernah melihat senjata moden atau berfikiran kuno. Percaya atau tidak, mereka memiliki kebolehan tertentu untuk mengatasi alatan canggih.”

Angkatan laut Melaka yang sering meronda sepanjang Selat Melaka, laluan dagang tersibuk di dunia sampai sekarang pula diakui kecekapannya. Di bawah kepimpinan tokoh-tokoh berwibawa seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, ia telah berjaya memukul mundur armada laut Siam, juga ancaman mana-mana pihak...

“Bukankah ia cukup besar dan kuat untuk menjamin keselamatan penduduk, pendatang dan pedagang sepanjang Selat Melaka?” Rasyid mengutarakan. “Mampu meronda dari utara Semenanjung sehingga selatan ke Pulau Jawa, memantau dan menghidu pergerakan musuh sebelum mereka dapat menghampiri pusat pemerintahan di Kota Melaka?”

Lalu bagaimana Kota Melaka boleh jatuh? Lebih pelik lagi, di manakah angkatan laut Melaka ketika ia diserang? Satu soalan cepumas yang membuat ramai kenalan pemuda itu ternganga...

“Bacalah mana-mana buku cerita atau sejarah mengenai kejatuhan Melaka termasuk tulisan Barat yang berat sebelah,” dia mencabar pula. “Angkatan laut ini langsung tidak terlibat sehingga Melaka dengan senangnya boleh dibedil Portugis dari laut. Tidak ada satu pun kapal Melaka menghalang, tidak ada apa-apa sekatan. Tidakkah ini aneh?”

“Inilah akibatnya bila raja yang bodoh dan rakus diangkat menaiki takhta sementara pembesar yang korup diharap menjaga negara.” Rasyid terus bercerita. “Mereka yang benar-benar berkebolehan dipinggirkan sedangkan pembesar berwibawa yang masih ada menjadi tawar hati. Bagaimana jentera pertahanan hendak digerakkan dengan cekap? Mungkin penduduk Melaka sendiri serta para pedangang luar sudah siap sedia membelot, membuka laluan untuk Portugis menawan Melaka? Atau memang sudah lama wujud gunting dalam lipatan yang inginkan Melaka jatuh sehingga angkatan laut Melaka tidak berfungsi sama sekali?”

Ada cerita lama orang tua-tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga! Rasyid juga pernah terbaca, tidak ingat di mana, sebuah laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka. Mungkin benar Tun Mutahir sedang bersiap-sedia untuk merampas takhta atau ada pihak lain bertanggungjawab tetapi menuduh Bendahara pula yang ingin berlaku khianat? Yang pasti, ada pihak yang membelot...

Apapun, nasi sudah menjadi bubur. Melaka jatuh dan terus dijajah selama lebih 400 tahun. Sultan Mahmud pula menjadi orang pelarian dan menurut ceritanya, terpaksa meninggalkan Kota Melaka lari selatan ke Muar. Itupun terus dikejar Portugis, tidak boleh duduk aman lama di satu lokasi, terpaksalah hidup merempat dari satu tempat ke satu tempat. Apakah dia menyesal atas segala perbuatannya dahulu?

“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna!” Rasyid menambah seraya bermadah pula. Madah berhelah agaknya... “Hendak kata dia menyesal pun tidak pasti kerana dalam pelarian itulah Sultan Mahmud sempat membunuh anak kandungnya sendiri, Raja Ahmad!”


Isnin, September 10, 2018

Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan

Siang semalam hari Ahad 9 September 2018 berlangsunglah hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 iaitu Sultan Muhammad V.  Ia adalah hari keputeraan kedua baginda pada peringkat nasional setelah beberapa lama menaiki takhta. Pada tarikh tersebut berlaku sesuatu perkara yang menarik buat diri saya. Ini ceritanya...


Satu artikel tentang kira-kira penyelarasan masa antara sains dengan kitab yang saya tulis lebih sebulan lalu akhirnya keluar dalam akhbar Mingguan Malaysia 9 September. Mereka yang selalu mengikut blogspot ini harus tahu bahawa kira-kira tersebut disuakan dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu : Menyelaraskan Pengetahuan Tentang Penciptaan Manusia Berdasarkan Kitab Berbanding Sains" juga buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia : Menyelaraskan Sejarah Pergerakan Manusia Sejagat Berdasarkan Kitab Berbanding Sains". Kedua-dua buku secara rasminya terbit Mac 2018. Sejak itu saya pun berusaha agar lebih ramai tahu tentang kira-kira.


Artikel yang meringkaskan perkara asalnya ditulis untuk akhbar lain. Tetapi entah kenapa, setelah beberapa lama saya diberitahu ia tidak sesuai untuk siaran. Saya pun cuba menghubungi Mingguan Malaysia. Sukacita sungguh apabila mendapati dalam tempoh kurang 2 minggu setelah berhubung artikel itu disiarkan dalam akhbar. 


Ia malah mendapat kedudukan yang signikan dalam bahagian rencana muka surat 9. Hal ini menyebabkan saya mengambil gambar berkenaan lalu dikongsikan dalam Facebook dan WhatsApp. Teks yang mengiringinya berbunyi :-


MENGANGKAT KAJIAN PENYELARASAN MASA ANTARA KITAB DAN SAINS

Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan. Pada hari ini 9 September 2018, hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15, Sultan Muhammad V, artikel saya tentang kira-kira penyelarasan masa antara kitab dan sains keluar di suratkhabar. Kira-kira ini bertujuan untuk menjawab bagaimana kajian DNA Melayu mendapati nenek moyang orang Melayu sudah wujud di Asia Tenggara 60,000 tahun yang lampau. Sedangkan kira-kira ulamak berdasarkan kitab menyebut manusia pertama iaitu Nabi Adam AS diturunkan ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu.

Kira-kira ini menjadi sebab menulis buku saya yang ke-11, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" serta 'kembarnya', buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" lalu menerbitkannya Mac 2018. Disebabkan mahu mengangkat perkara ke persada lebih tinggi saya masuk program Masters of Arts in Malay World Studies di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu) bermula Selasa lalu.

Artikel dalam suratkhabar cuba meringkaskan perkara dalam kurang 1,000 perkataan. Ini terpampang dalam ruang rencana muka surat 9 akhbar Mingguan Malaysia hari ini Ahad 9/9/18.


Sebetulnya ada satu lagi perkara istimewa berlaku siang semalam iaitu pada tarikh 9 September. Hal ini dinyatakan melalui perkongsian gambar atas dengan teks berikut di FB :-


TRIPLE WHAMMY 9 SEPTEMBER HARI INI

Semua tahu hari ini 9/9/18 adalah hari keputeraan rasmi pertama bagi Yang di-Pertuan Agong kini. Tadi sudah dikongsikan artikel saya tentang penyelarasan masa antara kitab dan sains yang keluar dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Sekarang biar dikongsikan lagi satu perkara. Pada hari ini genaplah 12 tahun tinggalan jenazah moyang saya sebelah bapa iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dibawa kembali ke negeri asalnya Perak. 

Beliau pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di Afrika tahun 1876 kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. Muhammad Amin kemudian meninggal dunia dalam buangan di Singapura tahun 1908 lalu dimakamkan di sana. Tarikh 9 September 2006 menyaksikan tinggalan jenazah beliau dibawa kembali ke Perak menggunakan kapal perang KD Laksamana Muhammad Amin milik TLDM. Tinggalan ini disemadikan di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.


Lewat malam tadi pula tergerak saya untuk berkongsi satu kertas kerja tentang kira-kira penyelarasan masa yang dibuat 5 bulan lalu. Ia mengiringi syarahan saya tentang perkara di ISTAC 3 April 2018. Kertas kerja asalnya adalah dalam bentuk PdF tapi dikongsikan malam tadi dalam bentuk gambar Jpeg agar lebih mudah dicapai awam. Lihat artikel Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago : Alignment of Time, Revealed Knowledge and Science di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Adapun tujuan utama penulisan ini dibuat adalah supaya gambar daripada artikel suratkhabar lebih mudah dihayati orang. Ini kerana gambar yang dikongsikan di FB dan WA dikecilkan saiz secara automatik lalu hilang ketajaman dan perincian. Tetapi saiz boleh dikekalkan dalam blogspot. Cuma perlu klik pada gambar atau buka dalam tetingkap (windows) baru untuk paparan lebih jelas.

Alang-alang mahu berkongsi gambar lebih jelas biar dikongsikan cerita-cerita berkenaan. Biar juga dikongsikan carta senarai 25 orang Rasul/Nabi yang patut diketahui berserta zaman kehidupan dan hayat. Ini dibuat berdasarkan maklumat daripada kitab juga jangka masa menurut kira-kira berdasarkan penyelarasan masa antara sains dan kitab. Ia terdapat dalam artikel suratkhabar juga kertas kerja yang dikongsikan dalam bentuk gambar melalui artikel Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago : Alignment of Time, Revealed Knowledge and Science . Untuk pemahaman lanjut rujuk artikel-artikel berikut serta ikuti rakaman syarahan/perkongsian di dalamnya :-








Berikut adalah teks isi artikel yang diperolehi daripada website atau laman sesawang Mingguan/Utusan Malaysia...


KEWUJUDAN MELAYU DALAM KITAB DAN SAINS

Radzi Sapiee
09 September 2018 12:00 PM


KITAB suci al-Quran menyebut manusia mula wujud apabila Allah mencipta Nabi Adam a.s daripada tanah. Ini diikuti isteri baginda, Siti Hawa yang dicipta daripada tulang rusuk Adam.

Kedua-dua asalnya menetap di syurga kemudian diturunkan ke muka Bumi. Daripada perkahwinan mereka wujudlah keturunan manusia sampailah sekarang. Namun, ini bertentangan dengan kepercayaan sains yang mendakwa manusia wujud akibat proses semula jadi di alam semesta.

Dikatakan manusia tercipta akibat proses evolusi panjang daripada makhluk asas satu sel berubah menjadi makhluk banyak sel. Ini berlaku dalam banyak peringkat. Selepas beberapa lama terciptalah kehidupan laut berbentuk ikan.

Daripada ikan ada yang berevolusi menjadi dinosaur seterusnya mamalia lalu membawa kepada kewujudan manusia. Itu yang selalu disebut saintis sebagai manusia berasal daripada beruk.

Manusia dalam bentuk kurang lengkap dikatakan telah wujud seawal empat juta tahun lampau. Manusia lengkap dengan sifat tubuh badan juga kapasiti otak serupa kita sekarang dikatakan mulai wujud 209,000 tahun lalu. Sains memanggilnya sebagai homo sapiens.

Sebagai orang Islam kita wajib menolak dakwaan yang mengatakan manusia berasal daripada beruk. Sebetulnya dalam kalangan saintis sendiri ada yang menolak teori tersebut.

Menurut kajian DNA memang tiada hubungan pun antara manusia moden homo sapiens dengan makhluk-makhluk awal manusia yang bentuknya dikatakan mendekati beruk itu. Oleh itu apakah homo sapiens pertama adalah Nabi Adam? Boleh jadi. Sains seharusnya memiliki kebenaran yang boleh diselarikan dengan kepercayaan dalam agama dan kitab.

Masalahnya homo sapiens dikatakan mulai wujud 209,000 tahun yang lampau. Sedangkan kira-kira ulama berdasarkan maklumat daripada al-Quran menunjukkan Nabi Adam diturunkan ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu.

Seorang saintis Melayu, Profesor Madya Dr. Zafarina Zainuddin daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bahkan mendapati orang Melayu sudah menduduki Asia Tenggara seawal 60,000 tahun lalu. Bagaimana mahu dikait dengan Nabi Adam kalau kajian Zafarina itu benar?

Penulis sudah lama memikirkan hal ini lalu sering bertanya kepada golongan cendekiawan. Apabila didapati tiada siapa dapat memberikan jawapan memuaskan penulis pun berusaha untuk mencari jawapan sendiri.

Didapati penyelesaiannya terletak pada cara kita melihat dan mengira masa. Ini kerana penulis pernah diberitahu oleh orang tua-tua bahawa hari-hari pada zaman dahulu kala lebih panjang berbanding sekarang.

Perkara ini ada dibayangkan dalam satu hadis Nabi. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Tidak akan datang kiamat sehingga waktu semakin berdekatan, setahun seperti sebulan, sebulan seperti seJumaat, seJumaat seperti sehari, sehari seperti sejam, dan sejam terasa hanya sekejap,".

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa hari-hari menjadi semakin pendek maka semakin dunia menghampiri kiamat. Seorang tua pernah memberitahu, pada zaman Nabi Muhammad orang boleh menanam kacang waktu pagi dan mengutip hasilnya waktu petang.

Sedangkan ini memakan masa beberapa hari pada zaman sekarang. Setelah beberapa lama meneliti perkara ini, penulis mencipta satu formula matematik untuk menyelaraskan masa dan pandangan.

Berdasarkan ini didapati kenyataan sains yang mengatakan manusia moden homo sapiens telah wujud 209,000 tahun lampau boleh diselarikan dengan kenyataan berdasarkan kitab bahawa Nabi Adam diturunkan ke muka bumi tidak sampai 10,000 tahun lalu.

Cuma dalam kalangan ulama sendiri terdapat beberapa kira-kira atau pendapat berbeza tentang pada tahun bilakah baginda diturunkan.

Setelah meneliti sejumlah rujukan, antaranya tulisan cendekiawan bertaraf antarabangsa Tan Sri Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dan maklumat daripada Pameran Warisan Rasul dan Anbiya di Kompleks Taman Seni Islam, Shah Alam, Selangor, didapati Adam turun ke muka bumi 5,872 tahun Sebelum Masihi (SM).

Seterusnya diambil pendapat bahawa banjir besar Nabi Nuh berlaku pada tahun 3650 SM. Ini dipadankan dengan letupan gunung berapi gergasi yang menurut sains menerbitkan tasik besar Danau Toba di utara Sumatera 74,000 tahun lalu.

Pemadanan dibuat setelah mengkaji isi buku Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia tulisan Profesor Dr. Stephen Oppenheimer daripada Oxford University, United Kingdom (terbit tahun 1998) dan Atlantis : The Lost Continent Finally Found tulisan Profesor Arysio Santos daripada Federal University of Minas Gerais, Brazil (2005).

Kedua-dua cendekiawan Barat itu berkata Asia Tenggara pada zaman purba adalah sebuah benua besar dengan saiz dua kali ganda benua Hindi. Dikenali sebagai Sundaland atau Benua Sunda ia ditenggelami air akibat malapetaka sehingga wujud bentuk muka bumi sekarang.

Nombor-nombor atau nilai tersebut (209,000 tahun lalu menurut sains, 5872 SM berdasarkan kitab) difaktorkan ke dalam formula matematik berdasarkan graf fungsi salingan. Turut dimasukkan anggaran bahawa satu hari pada zaman Nabi Muhammad SAW adalah bersamaan lima hari sekarang.

Kira-kira dan segala sebab musababnya ada dipanjangkan dalam buku bertajuk Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu. Implikasi kira-kira pula dipanjangkan dalam ‘kembar’ buku tersebut. Tajuknya adalah Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia. Kedua-duanya diterbitkan sendiri serentak pada Mac 2018.

Menggunakan kira-kira ini sejarah dunia dan manusia menurut sains dapat dipadankan dengan zaman kehidupan 25 orang Nabi yang wajib kita ketahui. Namun ia membawa kepada beberapa hal yang kelihatan 'gila'. Antaranya adalah satu hari pada awal zaman Nabi Adam AS adalah bersamaan 106 hari zaman sekarang.

Lebih 'gila' lagi adalah ini seterusnya membawa kepada implikasi baginda hidup selama 75,370 tahun jika dikira menurut masa sekarang. Untuk makluman, kira-kira berdasarkan kitab meletakkan baginda sebagai hidup 930 tahun di muka bumi. Itu sendiri sudah tidak masuk akal menurut neraca ilmu sains Barat yang menolak kewujudan Tuhan.

Pun begitu kira-kira ini dapat mengisi beberapa kelompongan besar yang wujud dalam sejarah alam Melayu. Misalnya kenapa kerajaan pertama diketahui wujud di Asia Tenggara iaitu Funan mula berdiri pada abad pertama masihi.

Sedangkan di China, benua Hindi, Parsi, Tanah Arab, Afrika dan Eropah sudah wujud kerajaan-kerajaan besar pada abad ke-6 Sebelum Masihi malah lebih awal. Ia juga dapat meletakkan orang Melayu yang menurut kajian DNA telah wujud 60,000 tahun lalu ‘masuk kembali’ sebagai keturunan Nabi Adam.

Disarankan para saintis dan agamawan dapat bersama mengkaji penemuan ini untuk mencapai titik temu. Semoga tidak ada lagi percanggahan dan pencapahan dalam cara sains dan agama melihat dunia dan sejarah panjang kewujudan manusia zaman berzaman.

PENULIS adalah pengasas NGO Himpunan Kedaulatan Melayu Akhir Zaman (HIKMAH).


Jumaat, Ogos 31, 2018

Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia

Salam pagi Jumaat 31 Ogos. Sementara orang lain sibuk dengan sambutan hari ulangtahun kemerdekaan yang ke-61 biar dikongsi suatu cerita melibatkan kemerdekaan jiwa. Pada penghujung artikel Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara yang dipersembahkan semalam ada disebut begini :


Apapun, banyak tema dan tajuk menarik disenaraikan untuk kongres selama dua hari ini. Sayang saya tidak boleh bersama untuk hari Rabu kerana ada perkara penting perlu dilakukan dalam menghadapi satu fasa besar perubahan hidup. Insyaallah tentang itu akan dikongsikan dalam artikel akan datang.


Sekarang biar dikongsikan apakah fasa besar perubahan hidup yang dimaksudkan.



Sabtu 25 Ogos lalu saya telah memuatnaik gambar atas di Facebook berserta teks seperti berikut...



DEMI SATU PERJUANGAN MENCARI KEBENARAN YANG HAQ

Alhamdulillah. Secara rasminya saya dah jadi student balik selepas 23 tahun meninggalkan pengajian di universiti. Bukan tiada tawaran sebelum ini malah saya boleh sahaja menyambung Masters dan PhD di London tahun 1990an. Tapi kali ini saya ada sebab yang kukuh. Saya mahu mengangkat dapatan-dapatan yang dikemukakan dalam buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" diikuti buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" terutama kira-kira penyelarasan masa antara sains dan kitab.


-----------


Apa yang berlaku adalah saya baru sahaja selesai mendaftar sebagai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur. Alhamdulillah ramai mengucapkan tahniah juga memberikan kata-kata perangsang. Beberapa orang pula bertanya saya mahu belajar dalam bidang apa? Ini mendorong saya untuk menjawab dengan status seperti berikut di FB Selasa lalu 28 Ogos  :-




APABILA 'ANDALUSIA' MEMANGGIL...

Salam semua. Merujuk kepada posting saya Sabtu baru ini tentang sambung belajar. Adapun saya sudah berdaftar sebagai pelajar sepenuh masa Masters of Arts in Malay World Studies di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu yang berada di bawah kelolaan UIA. Keputusan untuk menyambung pengajian dibuat selepas memberikan satu syarahan di ISTAC lebih 4 bulan lalu. Ini berlaku selepas lama menolak saranan pelbagai pihak untuk menyambung pengajian di beberapa institusi pengajian tinggi.

Selepas syarahan tersebut saya dipujuk lagi kawan-kawan dan kenalan agar menyambung pengajian di ISTAC pula. Kali ini saya sudah ada satu perkara atau subjek yang terasa begitu sesuai dan cantik iaitu kira-kira penyelarasan masa antara kitab dan sains seperti disuakan dalam syarahan juga buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" diikuti buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia". Beberapa orang kenalan bergelar Dr (PhD) termasuk Prof Madya Dr Fauzi yang baru berpindah dari UPM ke ISTAC untuk mendirikan muzium Melayu di sana menyatakan kajian-kajian saya sudah PhD material, cuma perlu diolah kembali dan ditambah apa yang patut supaya menerima pengiktirafan akademik selayaknya.

Bangunan ISTAC di Bukit Tunku yang dibina menurut ciri-ciri istana Alhambra di Andalusia, Sepanyol oleh pengasas ISTAC, Tan Sri Prof Dr Syed Naquib al-Attas pula memang memberikan keselesaan sejak saya pertama kali bertandang beberapa tahun lalu. Tetapi paling menyentap fikiran adalah apabila ada orang mengingatkan : "Kan Abang ada tulis dalam buku Berpetualang ke Aceh semasa umur 18 tahun dapat mimpi satu tempat berperadaban tinggi seperti Andalusia".

Terus saya ambil ini sebagai isyarat sudah sampai masa untuk menyambung pengajian dan di tempat itu. Jiwa, rasa dan harapan saya boleh digambarkan dengan baik oleh lirik lagu Andalusia tulisan M. Nasir seperti berikut :-



Cahaya mu bagai sabitah
Doaku kau sejahtera
Biar warna kubah-kubah mu
Kian pudar untukmu
Setanggi ini ku bakar
Cahaya mu sediakala

Aku rindukan zaman kebangkitan
Pabila nurani bersulamkan fikiran
Seganding dan bersatu
Lafaz niat ku bertemu
Cahayamu tiada tara

Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia

Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu

Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat 
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Sahutlah Andalusia

Cahayamu tiada taranya
Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia

Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu

Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat 
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...
Sahutlah Andalusia

Apakah sudah kering
Lautan darah yang tertimbus
Di bumi Al Hambra
Ataupun masih bergelora
Menanti saat
Melimpah mengikut mata air

Pohon...
Salam ku pada fakir-fakir mu
Andalusia

Pohon...
Izinkanlah aku
Menyelami irama asyikmu

Pohon...
Ku dipinjamkan gambus dan ghazalmu
Jadi azimat 
Supaya dapat aku
Tari menongkah arus...

Antal hadi antal haq
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haq
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haq
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haq
Laisal hadi Illahu
Antal hadi antal haq


------------



Adapun status atas disertakan bersama pautan kepada artikel yang mengandungi syarahan saya yang berkenaan di ISTAC pada 3 April  2018. Lihat Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC. Menarik apabila difikirkan bahawa saya pertama kali mendapat 'panggilan Andalusia' ketika berumur 18 tahun iaitu 30 tahun lalu. Baru kini menyahut dengan menyambung pengajian di satu institusi tinggi yang membawa aura Andalusia itu. Sekarang biar disambung cerita dengan suatu aktiviti pagi Rabu 29 Ogos iaitu pada 2 hari lalu...


Saya sudah banyak kali pergi ke ISTAC untuk mengikuti majlis-majlis ilmu. Tetapi saya datang hari Rabu dalam keadaan sangat istimewa. Buat pertama kali menjejakkan kaki sebagai seorang pelajar berdaftar...


Untuk makluman ISTAC adalah institusi pengajian tinggi untuk pelajar pasca siswazah sahaja. Ini merujuk kepada mereka yang membuat pengajian peringkat Masters dan PhD.


Kali ini saya datang untuk menghadiri taklimat pelajar baru berserta majlis pengenalan atau ta'aruf.


Saya mendapat tahu cuma 8 atau 9 orang sahaja pelajar baru dapat menyertai kemasukan atau intake bagi bulan September tahun 2018. Difahamkan asalnya lebih 100 orang dijangka masuk terutama dari luar negara tetapi terkandas disebabkan masalah seperti tidak mendapat visa atau tidak memenuhi syarat kemasukan, antaranya tidak melepasi taraf penguasaan bahasa Inggeris yang diperlukan untuk mengikutinya sebagai bahasa pengantar utama pengajian di ISTAC juga institusi utama yang menaungi iaitu UIA, Universiti Islam Antarabangsa.


ISTAC sebenarnya telah diasaskan oleh Syed Naquib lebih 20 tahun lalu. Tetapi disebabkan masalah tertentu ia ditutup buat beberapa lama. Baru penghujung tahun lalu dibuka kembali lalu menerima sekitar 18 orang pelajar Masters dan PhD sebagai perintis fasa baru. Saya masuk untuk intake atau kemasukan kedua...


Saya datang ke majlis hari Rabu dengan perasaan sungguh terharu. Bayangkan sudah 23 tahun meninggalkan pengajian universiti malah bertekad tidak mahu menyambung lagi disebabkan beberapa perkara. Kini ketika berusia 48 tahun masuk kembali di sebuah institusi yang seperti terkait dengan mimpi yang berlaku ketika berumur 18 tahun.


Bayangkan betapa banyak diri ini sudah berubah. Daripada lepasan ijazah matematik di University College of London mahu menjadi pelajar Masters of Arts dalam bidang Malay World Studies - Pengajian Dunia Melayu.


Ini bukan soal mahu mendapatkan kelulusan lebih tinggi tetapi memenuhi Qada' dan Qadar Ilahi dalam mencari kebenaran hakiki juga memainkan peranan tersendiri dalam pentas besar kehidupan.


Masuk ke Perpustakaan Syed Naquib al-Attas yang dikatakan memiliki antara koleksi terbaik buku-buku ilmiah pemikiran tinggi dalam dunia Islam terasa Qada' dan Qadar panggilan Andalusia semakin jelas...


Disebabkan hari itu pelajar baru dibawa oleh petugas untuk mengenali selok belok perpustakaan kami dapat masuk ke satu aras yang sebenarnya tertutup kepada awam waima buat pelajar ISTAC sekalipun kecuali ada majlis tertentu.


Secara spontan saya tidak dapat menahan rasa teruja melihat adanya koleksi barangan tulen alat peperangan lama dari Timur Tengah yang difahamkan diperolehi sendiri Syed Naquib di pasaran antarabangsa...





Tiba-tiba ternampak buku lama bertajuk "The Mysticism of Hamzah Fansuri" pada satu rak. 


Ini membuat saya tergerak untuk memuatnaik gambar atas ke FB berserta teks seperti berikut :-


WOW WOW WOW!!!

Di Perpustakaan Syed Naquib Al Attas di ISTAC. Memang wow! Masuk pula rare books collection. Double wow!! Siap ada koleksi pedang-pedang lama asli Timur Tengah. Tiba-tiba ternampak ini. Buku Tasawuf pertama pernah ku baca, ketika berusia 18 iaitu 30 tahun lalu. It"s like wow wow wow!!! This is my raison d'etre. Sungguh aku sedang menyaksikan Qada' dan Qadar...


--------------

Untuk makluman bukanlah disebabkan buku terbitan tahun 1970 (tahun lahir saya tu) itu berada dalam rare collections saya menyebut banyak wow. Sesungguhnya ia boleh ditemui di beberapa perpustakaan lain kerana dibuat berdasarkan hasil kajian tesis Syed Naquib. Yang membuatkan wow adalah bagaimana masuknya saya ke ISTAC sebagai pelajar pada umur 48 tahun terkait dengan buku. Setelah bertahun-tahun tidak pernah melihatnya di mana-mana tiba-tiba boleh terjumpa pada hari pertama saya menjejakkan kaki sebagai seorang pelajar berdaftar.



Adapun saya membuat permohonan untuk masuk belajar di ISTAC pada tarikh 9 April, enam hari selepas membuat syarahan di sana seperti dinyatakan dalam artikel Syarahan "Prophet Adam and the Malays 60,000 Years Ago - Aligment of Time, Revealed Knowledge and Science" di ISTAC. Tetapi lama ia tidak berjawab, sekadar diberitahu permohonan dalam proses sehingga sampai satu peringkat saya merasakan bukan rezeki hendak sambung belajar agaknya. Mungkin sudah berlaku sesuatu pada ISTAC akibat perubahan kerajaan dan polisi setelah selesai Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu? Masuk pertengahan Julai timbul ingatan kuat terhadap zaman belajar di London tahun 1991-1995 juga pengembaraan secara solo hitchhike pusing beberapa negara di Eropah pada musim panas tahun 1995. Pada siang 25 Julai saya memuatnaik gambar atas ke FB berserta teks seperti berikut :-


KENANGAN SOLO HITCHIKING EROPAH MUSIM PANAS 1995 - MAHUKAH KALAU DIJADIKAN BUKU?

Alhamdulillah. Jumpa dah notebook catatan perjalanan solo hitchhiking saya ke Europe summer 1995. File berkenaan yang mengandungi sejumlah barang ingatan seperti peta, surat laporan polis (gitar hilang kena curi di Amsterdam) malah resit denda (sebab naik trem tak beli tiket di Bratislava) pun sudah diatur balik dalam fail supaya menurut turutan peristiwa. Mahukah tuan-tuan dan puan-puan beli dan baca jika cerita perjalanan ini dijadikan buku? Sila berikan maklum balas. Harap ada penerbit sudi menerbitkannya...


Menariknya malam itu juga saya mendapati permohonan untuk masuk ISTAC telah diterima. Masuk dalam e-mail saya hari itu surat tawaran untuk menyambung pengajian seperti tertera dalam gambar atas. Seolah-olah ia datang seiring dengan niat mahu menulis buku tentang perjalanan pusing Eropah tahun 1995.



Kenapa dibangkitkan hal ini? Kerana kalau tidak berlaku beberapa hal yang menyebabkan saya tidak mahu lagi belajar besar kemungkinan saya akan membuat Masters atau PhD terus di London sebaik sahaja selesai perjalanan pusing Eropah 17 Ogos - 18 September 1995. Saya pernah bercita-cita untuk mengambil PhD di University College of London melalui program MPhil di mana pelajar sarjana muda cemerlang boleh menyambung dengan niat hendak membuat PhD dalam tempoh masa 3 tahun. Jika tidak diteruskan selepas setahun masuk program masih boleh dianugerahkan Masters dalam bidang Philosophy ataupun Falsafah. 

Tetapi sudah ditakdirkan saya mengalami krisis identiti dan kepercayaan teras hidup yang sangat hebat. Ia berlaku akibat pertembungan antara kepercayaan kuat terhadap ilmu sains, matematik dan logik dengan kecenderungan bersifat kebatinan lagi intuitif yang semakin meningkat terhadap dunia Sufi dan Tasawuf. Kecenderungan tersebut dicetuskan oleh pembacaan buku The Mysticism of Hamzah Fansuri tulisan Syed Naquib ketika berumur 18 tahun. Nampak tak bagaimana buku tersebut telah memainkan peranan menentukan hala hidup?

Kini hampir September 2018 saya secara rasminya mula menyambung pelajaran walau dalam bidang berlainan. Saya masuk ke ISTAC yang diasaskan penulis buku The Mysticism of Hamzah Fansuri  pada ketika usaha penulisan buku tentang perjalanan lama pusing Eropah hampir siap. Seolah-olah usaha yang asalnya pernah dimulakan penghujung tahun 1996 tetapi dilupakan setelah semua fail penulisan hilang akibat gangguan sistem komputer pejabat awal 1997 terkait rapat dengan gerak untuk menyambung pengajian. Lihat artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa.

Bila usaha penulisan mahu dihidupkan kembali sehingga dapat menjadi manuskrip (ia dalam proses suntingan akhir sekarang) saya sudah hampir memulakan kelas di ISTAC. Sungguh ini bukan kebetulan tetapi takdir sedang menzahirkan sesuatu yang amat besar lagi bermakna sekurang-kurangnya buat diri saya. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,700 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Doakan saya dapat mencapai kecemerlangan demi kemaslahatan ummah, agama, bangsa dan negara ya. Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-61. Sekian. Wassalam. :]


Khamis, Ogos 30, 2018

Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara



Semasa di Muzium Negara seorang rakan memberitahu ada majlis lain ilmu sedang berlangsung di bangunan Wisma Sejarah, Jalan Tun Abdul Razak. Jam 2 petang saya dan isteri pun bergegas ke sana. Majlis yang dimaksudkan adalah Kongres Sejarah Malaysia yang ke-3.


Kongres ini telah diadakan secara tahunan sejak 2016. Ia melibatkan ramai pakar dalam bidang sejarah. Tema untuk tahun ini adalah "Sejarah Malaysia : Pasak Masa Hadapan Negara". Kelihatan tajuk diberikan begitu akibat perubahan kerajaan yang diterajui pihak yang diketahui ramai sering mempersoalkan kedudukan hak istimewa orang Melayu.


Majlis sepanjang dua hari Selasa hingga Rabu 28-29 Ogos ini terdiri daripada beberapa sesi. Ada yang dijalankan serentak menurut pembahagian topik di bilik-bilik dan/atau dewan berlainan. Kami memilih untuk ke Bilik Buyong Adil. Buku atur cara menyebut jam 2.30 bermula satu sesi dengan tema "Politik & Pentadbiran". Mereka yang terlibat adalah seperti berikut :-

Pembentang 1 : Puan Shuwaibah binti Rosidi membawa tajuk "Sempadan Perak-Kedah : Satu Kajian Usaha dan Peranan British"

Pembentang 2 : Puan Zubaidah VP Hamzah & Encik Mohd Adib Akmal Ahmad - "Nasionalisma Pascakolonial dan Wacana Sejarah Awam : Analisis Pengalaman Malaysia"

Pembentang 3 : Dr Noor Ain binti Mat Nor, Pn. Faezah Kassim & Pn Faridah Che Husain - "Isu-isu dan Permasalahan di Penjara Kedah 1905-1941"

Moderator : Prof Susanto Zuhdi


Apabila sesi bermula baru diberitahu pembentang 1 tidak dapat hadir lalu digantikan oleh En Mohd Shazwan bin Mokhtar yang asalnya dijadualkan menjadi pembentang ke-3 sesi tengah hari Rabu (esoknya) di Bilik Abdul Hadi Hassan. Beliau membawa tajuk "Keutamaan Imperial Dalam Pembangunan Perdagangan Antara Empayar British di Tanah Melayu, 1921-1926".

Dalm sesi ini saya paling tertarik dengan tajuk "Nasionalisma Pascakolonial dan Wacana Sejarah Awam : Analisis Pengalaman Malaysia" yang dibawa dengan penuh yakin oleh Mohd Adib Akmal berseorangan, bukan berdua seperti disebut dalam atur cara. Beliau menyorot realiti sebenar hubungan antara kaum di Malaysia dalam membentuk naratif negara bangsa dan pensejarahan tempatan menggunakan bahasa bertapis penuh terma-terma akademik yang kedengaran agak neutral namun tersirat keinginan kuat untuk menyelamatkan kepentingan orang Melayu daripada ditelan sikap tamak haloba bukan Melayu yang mahu menuntut macam-macam. Apapun, banyak tema dan tajuk menarik disenaraikan untuk kongres selama dua hari ini. Sayang saya tidak boleh bersama untuk hari Rabu kerana ada perkara penting perlu dilakukan dalam menghadapi satu fasa besar perubahan hidup. Insyaallah tentang itu akan dikongsikan dalam artikel akan datang.



Bicara Muzium : Mengupas Khazanah Melayu di Cape Town

Masuk tengah malam ini, malam Jumaat kita akan menyambut ulang tahun hari kemerdekaan Malaysia yang ke-61. Sebelum itu biar dilepaskan barang satu dua cerita.


Sejak dua minggu lalu beberapa orang kawan ada mengingatkan tentang satu majlis ilmu yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pagi Selasa 28 Ogos.


Sampai masanya saya dan isteri pun bergegas ke lokasi iaitu Muzium Negara.





Majlis diadakan atas nama satu siri perkongsian ilmu yang dipanggil Bicara Muzium. Tajuk khusus adalah Mengupas Khazanah Melayu di Cape Town iaitu di ibu negara Afrika Selatan.


Disebabkan kesesakan jalanraya luar biasa melanda hampir seluruh Kuala Lumpur dan kawasan sekeliling hari itu kami sampai lewat iaitu pada jam 11.


Ketika kami masuk ke dewan pembentang kedua, Haji Moegamat Gielmie Hartley sedang membawa tajuk "Malay Cape Diaspora" - Diaspora orang Melayu Cape Town. Bercakap dalam bahasa Inggeris beliau adalah pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Warisan Masyarakat Melayu Cape. Secara rata apa yang diceritakan adalah bagaimana orang Melayu boleh membentuk satu komuniti besar di Cape Town. Mereka termasuk dia sendiri berasal daripada keturunan orang Melayu Asia Tenggara yang dibuang oleh penjajah Belanda akibat menentang kehadiran mereka sejak lebih 300 tahun lalu.


Pembentang ketiga dan terakhir. Cik Sakiinah Mahamad Hakimi pula adalah seorang penyelidik bebas dari Malaysia yang datang bermastautin di Cape Town untuk menyiasat kehidupan orang Melayu sana. Beliau membawa tajuk "Warisan Budaya Orang 'Cape Malay' di Cape Town".


Beliau menunjukkan beberapa dapatan, antaranya adalah tentang orang-orang Melayu yang pertama kali membawa Islam lalu menyebarkannya sambil membentuk kominiti awal Melayu di Cape Town dan Afrika Selatan.


Sakiinah banyak menghabiskan masa dengan orang-orang tua dan berumur lalu mendapati masih terdapat banyak manuskrip Melayu di sana bertulisan Jawi tetapi dalam bahasa tempatan iaitu Afrikaan. Banyak perkara kebudayaan termasuk sambutan maulud dan perayaan diceritakan berserta jenis-jenis makanan kegemaran.


Masuk sesi soal jawab baru saya sedar pembentang pertama iaitu Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar telah bercakap panjang lebar tentang tokoh pendakwah lama paling dikenali dalam sejarah Melayu Cape Town iaitu Sheikh Yusuf Makassar. Profesor Kesusasteraan dan Ombudsman Universiti Sains Malaysia ini membawa taju "Warisan Shaykh Yusuf Al-Makasari di Selatan Afrika". Banyak perkara menarik telah dikongsikan termasuk oleh hadirin pakar ketika sesi soal jawab. Menarik apabila dirungkai bagaimana orang Melayu yang asalnya adalah golongan tahan dan buangan akibat perang dan permainan politik penjajah dapat melepasi zaman gelap penjajahan

Ini diikuti zaman Apartheid abad ke-20 Masihi yang mana mereka yang bukan berkulit putih diasingkan daripada arus perdana oleh kerajaan yang berat sebelah dan sangat perkauman. Namun orang Melayu tetap dipandang tinggi kerana diketahui pembersih, jujur dan boleh dipercayai akibat berpegang erat pada agama Islam. Cuma arus kemodenan sering mengancam untuk menyusutkan nilai-nilai tradisi menjadikan golongan moden boleh lupa terhadap warisan keturunan Melayu yang panjang.