Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Oktober 13, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Bertemu kawan lama dan lepasan dari sekolah sains...

Hmm. Setelah disajikan 2 cerita gempak (konon) Bahaya yang mengancam Kaabah... dan Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?, kita kembali semula pada cerita raya (atau sisa-sisa raya). Sukacita dimaklumkan, hari ini 13 Oktober 2010 genaplah umur anak kecil saya Muhammad Al-Aminul Rasyid satu tahun. Dan cerita raya kali ini ada kena-mengena dengan bab Al-Rasyid genap satu tahun juga...

Minggu ke empat raya, Ahad 3 Oktober 2010 saya pergi ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi untuk menghadiri satu majlis.


Ia adalah majlis sambutan hari raya untuk bekas pelajar sekolah lama saya Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang (SMSJ). Menariknya jemputan terbuka kepada semua bekas pelajar sedangkan sekolah berasrama penuh yang merupakan salah sebuah sekolah menengah yang terkemuka di tanah air ini sudah menerima pelajar sejak tahun 1974 (batch pertama yang masuk tingkatan 4). Ini bermakna yang dijangka datang sekitar 30 batch atau lebih pelajar...


Memanglah 30 batch pelajar sekolah lama saya itu tidak sehebat apa yang mampu dikumpulkan oleh sekolah-sekolah elit lebih terkenal seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar atau MCKK (Malay College Kuala Kangsar) misalnya. Ditubuhkan tahun 1905, MCKK sudah memiliki lebih 100 batch pelajar dan sebagai sebuah institusi yang asalnya ditubuhkan Inggeris untuk melatih golongan bangsawan Melayu agar berfikir seperti mereka (iaitu kebaratan), diketahui ramai bekas pelajar mereka menjadi para pemimpin, ahli perniagaan dan pentadbir ulung negara. Namun SMSJ juga memiliki status yang tinggi apabila muncul sebagai salah satu sekolah sains perintis di Malaysia. Selain menjadi sekolah sains pertama di Johor (sekolah kedua iaitu Sains Muar bermula sekitar 10 tahun kemudian), ia juga turut menghasilkan ramai bekas pelajar yang menjadi tunjang negara... kerana ia memang didirikan untuk melatih anak-anak paling cerdik terutama dari Johor.

Di atas adalah gambar isteri dan anak kami Al-Rasyid yang turut ikut sama. Untuk makluman isteri saya sendiri adalah bekas pelajar sekolah sains iaitu di Teluk Intan, Perak (SEMESTI). Adapun tarikh majlis ini diadakan sebenarnya sama dengan tarikh lahir anak saya. Oh, selain tarikh hari ini iaitu 13 Oktober, anak saya juga memiliki tarikh lahir lain mengikut kiraan Islam yang bersamaan 24 Syawal... kerana beliau lahir 13 Oktober 2010 bersamaan 24 Syawal 1430. Tarikh majlis sambutan hari raya SMSJ ini iaitu 3 September 2010 pula adalah bersamaan 24 Syawal 1431. Kiranya menurut kalendar Islam, Al-Rasyid sudah genap umur satu!


Satu perkara menarik adalah tarikh Islam Al-Rasyid dilahirkan itu adalah bersamaan tarikh saya patut dilahirkan 40 tahun lalu. Lihat artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131.... Di atas adalah nasi kambing yang disumbangkan oleh batch saya, mereka yang mengambil peperiksaan SPM tahun 1987. Teringat pula majlis qeqah anak yang diadakan di Jelai, Negeri Sembilan. Lihat Qeqah di Jelai, melihat Gunung Ledang di Asahan, bermalam di Pulau Besar dan kamera yang rosak.

Hmm... batch saya ni memang suka makan kambing dan nasi Arab. Dalam pertemuan atau reunion kami sebelum inipun ada kambing dan nasi Arab kalau tak pun nasi beriani atau nasi lain yang sewaktu denganya. Oh. Biar diberitahu, saya cuma aktif berhubung dengan rakan-rakan sekolah ini hampir ke penghujung 2008. Sebelum itu hubungan saya dengan mereka boleh dikatakan terputus langsung sejak ditendang keluar dari sekolah akibat masalah disiplin penghujung 1986... sekali-sekala sahaja ada terserempak ketika bekerja atau berjalan ke sana ke mari.



Sejak itu saya telah dua tiga kali menghadiri pertemuan dengan kawan-kawan lama sekolah. Tetapi itu sekadar bersama batch saya sahaja, mereka yang sama umur dan turut mengambil SPM 1987 (walaupun saya mengambil SPM di sekolah lain kerana sudah ditendang keluar). Majlis hari raya ini adalah kali pertama saya datang ke pertemuan yang turut melibatkan batch lain apalagi semua bekas pelajar dijemput tidak kira tahun. Terfikir juga apakah saya akan terasa janggal nanti bertemu orang-orang dari batch lain yang sudah 24 tahun tidak ditemui, apalagi super senior, pelajar lama yang langsung tidak pernah bertemu-muka.



Alhamdulillah, apa-apa rasa was-was atau kemungkinan timbul kejanggalan hilang sebaik sahaja menjejakkan sampai. Timbul pula rasa selesa melihat ramai muka yang dikenali... dan tidak terlalu susah untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang tidak pernah berselisih bahu sebelum ini.


Isteri saya pun turut selesa sekurang-kurangnya dengan batch saya kerana pernah bertemu dalam 2 reunion yang pernah dihadirinya bersama saya dahulu. Beliau memberi ruang untuk saya membuat hal sendiri bertemu dengan bermesra dengan sesiapa apalagi apabila mula disedari bahawa saya seorang penulis yang sudah menerbitkan beberapa buku (sebelum itu mungkin batch saya sahaja yang tahu).








Muncul lambat sedikit iaitu hampir waktu Zuhur adalah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Datuk Ahmad Maslan merangkap ketua penerangan UMNO Malaysia. Seingat saya beliau adalah ketua pelajar ketika saya berada di Tingkatan Satu iaitu tahun 1983. Selepas meninggalkan sekolah, saya pertama kali terjumpa kembali Ahmad Maslan ketika dia menjadi setiausaha politik kepada Datuk Mustapha Mohamed. Ketika itu saya masih wartawan akhbar The New Straits Times, Datuk Mustapha pula Menteri Keusahawanan gitu yang berpusat di Medan Mara.

Menariknya, ketika beliau mula aktif mendekati dunia politik, 3 orang rakan batchnya sedang mengejar karier yang sangat berlainan walaupun boleh dikatakan sama terkenal. Seorang yang dipanggil Arab (saya lupa nama sebenarnya, sejak zaman sekolah memang dipanggil Arab) menjadi penyanyi dan penulis lagu (Arab dan Aidid), seorang pula Sam kembali dari Australia dengan ijazah kejuruteraan tetapi menjadi pemain gitar (kalau tak salah menyanyi sekali) bersama kumpulan metal Cromok. Seorang menjadi wartawan hiburan di bekas pejabat saya iaitu NST sebelum dia sendiri terlibat secara langsung menjadi pengacara dan sebagainya iaitu saudara Zainal Alam.



Itulah kepelbagaian yang muncul dari bekas pelajar sekolah kami. Lihat gambar atas. Di kiri itu memang seorang pemusik professional yang sering bermain di hotel-hotel besar. Terperanjat juga saya melihatnya di majlis ini kerana dia pernah menegur dan memperkenalkan diri sebagai pemuzik ketika saya berehat santai di La Bodega Bangsar. Apakah dia juga bekas pelajar SMSJ?

Rupa-rupanya tidak. Dia adalah kenalan kawan kami yang dijemput untuk memeriahkan suasana. Ternyata majlis jadi lebih meriah apabila 2 orang kawan batch saya Sam (bukan Sam Cromok) dan Adrian naik ke pentas. Kalau tak salah Sam pernah menjadi seorang ahli geologis yang terlibat dengan pengkajian di universiti sebelum diberi peluang membuka stesyen minyak sendiri. Sejak itu dia dikatakan selalu goyang kaki, suka betul kalau diberi peluang bermain gitar dan menyanyi, hehe. Adrian pula adalah seorang VP (vice-president) sebuah syarikat besar teknologi. Namun apabila menyanyi boleh tahan... tak malu kalau diletakkan di sebelah M. Nasir...

Itulah yang membuat saya terasa begitu selesa berjumpa kawan-kawan lama. Mereka semua bukan calang-calang orang tetapi apabila berjumpa, adakalanya kami jadi macam budak-budak hingusan yang tak tahu apa-apa, sedia bermesra dengan sesiapa tanpa apa-apa prasangka. Untuk banyak lagi gambar dan cerita sekitar majlis, lihat artikel A Hari Raya do with all batches (well, almost...) from my old school yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Biar diletakkan sekali links pertemuan terdahulu kami juga cerita mengenai sekolah dan bandar Kluang yang pernah membentuk jiwa dan karakter kami...


1. Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 1

2. Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 2

3. Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor...

4. Open house di Ampang, barbecue geng moto beso di Rawang dan perjumpaan kawan lama SMSJ di Kajang

5. Nostalgia Sekolah Menengah Sains Johor...

6. Sekitar reunion SMSJ Batch SPM 1987 yang diadakan di Melaka 1 Mei baru ini...

7. Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya

8. Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu...

9. Sains Johor upon reaching 40 reunion for batch 83-87...

10. My old alma mater, Sekolah Menengah Sains Johor (Johor Science Secondary School))


Isnin, Oktober 11, 2010

Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?

Adus! Apa pulak timbul tajuk gempak ni? Tak pa... follow aje cerita... :]


Petang tadi timbul rasa untuk menaiki motosikal besar ke Kuala Selangor...



Sampai di Bukit Rotan, gerak hati menyuruh mengambil simpang terus ke jeti tempat kelip-kelip di Kampung Kuantan.



Siang begini mana ada kelip-kelip boleh kelihatan. Namun pemandangan cantik Sungai Selangor menjadi ganti menghiburkan.



Lagipun di jeti ini saya boleh berehat tidur sebentar. Sebenarnya 2-3 hari kebelakangan saya kurang sihat. Rasa nak terbaring sahaja di rumah. Tapi petang Isnin ini saya melawan. Walaupun tubuh terasa lemah saya tetap keluar... kalau tak tahan boleh baring nanti di luar, sekurang-kurangnya saya tidak hanya duduk terperap di rumah.


Selepas setengah jam gitu tidur saya pun pergi ke masjid berdekatan. Tengok-tengok ia sedang diubah-suai. Nampaknya ia sudah kehilangan bentuk klasik yang sering menarik perhatian. Lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tahun lepas.


Perjalanan ke Kuala Selangor pun disambung. Tergerak untuk mengambil gambar masjid jamek di bahagian bandar baru Kuala Selangor. Lihat Masjid Jamek (Main mosque of) Kuala Selangor.


OK. Asalnya saya cuma bercadang mahu naik berehat melihat monyet-monyet di Bukit Melawati. Namun timbul rasa untuk terus bergerak melepasi pekan Kuala Selangor menyeberangi Sungai Selangor terus ke Pasir Penambang di mana terdapat makam purba di pangkal sebuah pokok besar. Alangkah terperanjatnya saya apabila sampai ke situ. Ternyata pokok besar yang sudah berdiri mungkin 200 tahun, mungkin lebih 300 tahun telah tumbang begitu sahaja!
Apakah yang sudah berlaku? Apakah ini sebahagian dari projek penyelenggaran kerajaan?

Tapi setahu saya pokok ini sudah beberapa kali cuba ditumbangkan dengan jentera dan sebagainya tetapi semuanya tidak berjaya. Kenapa boleh jadi begini pula? Perhatikan tanah perkuburan lama Islam di sekitar...


Saya mencari pangkal pokok besar. Ternyata ia bukan sekadar tumbang malah terbongkar hingga ke pangkal dan akar. Perhatikan batu-bata yang terlekat pada bahagian akar yang terangkat. Itulah sebahagian dari kepuk makam purba di pangkal...



Bahagian bawah di mana pernah terletaknya makam purba telah digantikan tanah berpasir lembut... cukup lembut sehingga apabila memijaknya saya terasa seperti mahu terjerlus...



Semasa melihat gambar ini ketika kembali ke rumah isteri saya menegur... tanah bawah pokok bukan sahaja berpasir malah boleh kelihatan kulit siput dan kerang. Sedangkan kedudukan pokok dan tanah perkuburan tidak kurang 200 meter dari air Sungai Selangor. Apakah ini bermakna kawasan ini dahulu berada di dalam atau di tengah laut? Baru kini terfikir akan kemungkinan ini...

Allah! Tiba-tiba saya teringat satu mimpi yang menunjukkan saya menyeberangi sebuah jambatan yang belum benar-benar siap dari satu kawasan yang kedudukannya menyamai kawasan sekitar pekan Kuala Selangor. Namun semasa menyeberangi jambatan tiba-tiba keadaan bertukar. Tiba-tiba saya berada di sebuah pulau kecil dengan pohon rendang lalu dapat melihat sebuah pulau hanyut di mana terdapat sebuah tanah perkuburan di atasnya. Lihat artikel Mimpi pelik Kuala Selangor... yang dibuat 3 bulan lalu.

Saya cuba mencari dua buah batu nesan Aceh yang pernah dilihat menandakan makam purba yang pernah berada di pangkal pokok. Bagaimana rupanya sebelum pokok tumbang? Lihat artikel Makam lama di (Old tomb at) Pasir Penambang yang dibuat berdasarkan satu lawatan ke makam ini penghujung Mei 2010. Ketika itu saya, isteri dan anak kecil kami sedang menuju ke Perak untuk melawat tempat-tempat tertentu di bahagian barat bersamaan jajahan takluk mudik kiri Sungai Perak. Lihat cerita yang telah dikumpulkan melalui artikel Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat.

Mengapa pula makam di pangkal pokok di Pasir Penambang ini begitu penting bagi saya? Kerana selepas pertama-kali terlihat lalu menziarahi makam ini saya telah mendapat begitu banyak petunjuk yang dapat memecahkan beberapa rahsia dan persoalan di sebalik identiti beberapa orang nenek-moyang saya belah bapa iaitu keluarga Laksamana Raja Mahkota di Perak, identiti yang berkait rapat dengan salasilah keturunan keluarga diraja Perak juga Aceh dan Bugis. Lihat artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?.

Ah. Setelah mengelilingi pohon yang tumbang melawan arah jam hampir satu bulatan baru saya dapat melihat batu-batu nesan Aceh yang menandakan makam purba...

Di ketika kuburan lain di sekitar kelihatan masih utuh, cuma ada yang dilitupi rimbunan daun dari pohon yang tumbang, batu nesan Aceh dengan buatan yang menandakan ia mungkin berasal dari tahun 1500an, paling lewat pun tahun 1700-1800 (rujuk buku Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia tulisan Dr Othman Yatim, mukasurat 33 di mana terdapat gambarajah dengan tajuk "Progression of Othman type") pula telah beralih pasak. Apapun saya ada terjumpa sebuah blogspot milik seorang ahli akademik yang mengklasifikan bentuk-bentuk batu nesan Aceh dengan aturan sedikit lain dari Dr Othman. Oleh kerana gambar dari blogspot boleh didownload untuk diletakkan sebagai perbandingan, biar diambil gambar. Kredit untuk blogspot BATU ACEH.



Perhatikan. Batu-batu nesan yang ada di pangkal pokok di Pasir Penambang yang kini telah terbongkar lebih menyerupai bentuk batu nesan yang diklasifikasikan sebagai jenis H atau lebih tepat H1 (bentuk H2 lebih berbunga-bunga). Apapun berdasarkan kajian batu nesan Aceh setakat yang saya tahu bentuknya sahaja sudah cukup untuk membuktikan makam di pangkal pokok berumur tidak kurang 200 tahun.


Lihat pula perdu pokok besar yang tumbang (yang kelihatan berdiri itu sebenarnya akar yang ternaik selepas pokok tumbang). Rasanya umur makam boleh dikira dengan membuat anggaran mengikut umur pokok besar. Bukankah boleh dilihat lapisan pada perdu pokok jika dipotong melintang, lapisan yang terbentuk tahun demi tahun menyebabkan ukurlilit membesar? Saya percaya makam itu umurnya sama atau lebih tua dari pokok. Tidak mungkin orang sengaja mendirikan makam di celah perdu pokok. Bagaimana mahu dikorek 6 kaki dalam dan diletakkan jasad ke dalam tanah yang sudah sedia ada pokok dan akar?

Maka logiknya makam didirikan di tanah lapang atau sudah dilapangkan dan kemudian baru tumbuh pokok... terus membesar sehingga meliputi makam, sehingga batu bata kepuk makam pun termasuk ke dalam lingkungan akar-akar. Dan lagi kita sudah lihat tadi... bahagian di bawah akar yang terdedah setelah pokok jatuh terbongkar adalah lembut berpasir... pasir yang pernah dilitupi bahagian bertanah yang ikut terangkat dengan akar pada ketebalan yang saya anggarkan 2-4 kaki.

Apakah tanggapan yang boleh dibuat berdasarkan ini? Apakah kawasan ini adalah tepian pantai berpasir berkulit siput dan kerang ketika jasad ditanam sekurang-kurangnya 200 tahun lalu atau ia terletak di atas sebuah pulau, mungkin juga pulau pasir? Bagaimanakah rupa bentuk mukabumi ketika itu? Bagaimana pula sempadan antara negeri Selangor dan Perak? KeSultanan Selangor secara rasminya mula wujud 1750an sedangkan ada kemungkinan makam purba ini sudah wujud lebih dahulu. Makam siapakah ini? Dari kerabat diraja mana? (kerana bentuk batu nesan yang dipakai cuma milik golongan bangsawan...)

Apapun saya berharap agar sesuatu dapat dibuat untuk menyelamatkan makam lama yang menjadi warisan Melayu lama di Selangor ini, makam yang mungkin berada di dalam sempadan negeri Perak ketika ia dibina. Sekurang-kurangnya batu-batu nesan Aceh yang ada mesti diselamatkan sebelum ada pihak tidak bertanggungjawab mencurinya jika tidak diberi perhatian. Pihak berwajib samada boleh mendirikan makam kembali selepas pohon yang tumbang dibersihkan. Tetapi gerak hati saya menyebut ada eloknya juga pihak muzium mengambil batu-batu ini untuk dijadikan pamiran warisan. Saya percaya pihak ghaib membenarkan...

Satu lagi perkara yang boleh dibuat. Sebelum pohon dibersihkan elok juga pangkal perdu yang dipotong dibuat kajian. Kira berasa lapisan yang ada. Itu boleh dijadikan anggaran berapakah usia makam.



Tentang pemilik makam, saya sudah beberapa kali bertanyakan identitinya kepada penduduk tempatan. Tetapi mereka cuma mampu menjawab ia adalah makam lama yang sudah wujud sebelum datuk mereka lahir. Siang tadi saya bertanya pada pemilik warung tempat saya biasa minum air kelapa dan tebu bilakah pokok besar di sini tumbang, pokok yang selama ini katanya tidak mampu diruntuhkan orang walau dengan jentolak sekalipun. Namun katanya ia akhirnya tumbang akibat angin ribut... angin ribut sahaja, bukan hujan lebat.

Seingat mereka pokok itu didapati tumbang pada hari Isnin lebih kurang seminggu selepas raya (maksudnya selepas 1 Syawal). Kalau begitu ia mesti berlaku pada 20 haribulan September bersamaan 11 Syawal. Ah... ketika itu saya sedang sibuk menolong bapa dan ibu menghantar van yang rosak ke pekan Kota, Negeri Sembilan. Ya, pada hari itu berlaku sesuatu hingga kami terjumpa sekelompok makam-makam lama berdekatan makam Raja Melewar. Pada hari itu juga saya dan isteri berjalan kaki dari bangunan Istana Kehakiman ke Masjid Besi, Putrajaya untuk menjejak makna sebuah mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu. Lihat artikel Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya .

Di atas adalah gambar sebuah pokok lain yang turut tumbang dipukul ribut. Namun pokok-pokok lain di sekeliling terus berdiri megah. Pohon besar di tanah perkuburan dan pohon atas sahaja yang jatuh.


Kawasan tanah perkuburan dilihat dari tempat saya mengambil gambar pohon lebih kecil yang turut tumbang. Sepatutnya di tengah gambar berdiri pohon besar yang tingginya tidak kurang 50 kaki.


Orang-orang di warung terasa pelik apabila saya asyik bertanya bilakah sebenarnya pokok ini tumbang. Kenapa mahu bertanya sangat? Kenapa mesti mendapatkan maklumat yang tepat. Saya cuma tersenyum sahaja. Kata saya, jatuhnya pohon besar yang sudah berdiri lama ini sehingga akarnya terbongkar sampai ke atas adalah satu alamat. Alamat apakah itu? Saya pun tidak dapat menjawab dengan pasti kecuali merasakan ia melibatkan keSultanan Selangor dan Perak juga kaitannya dengan keadaan sekarang... keadaan di mana ketuanan Melayu dan institusi keSultanan sering terancam akibat pelbagai permintaan dari kaum bukan Melayu yang boleh menggugatkan kewujudan kaum Melayu... permintaan yang banyak melampau, mungkin didalangi pihak tertentu yang ada kaitan dengan gerakan Zionis dan Illuminati...


Orang sekarang tidak lagi takut kepada Sultan kerana merasakan mereka tidak berdaulat. Mungkin kerana menyedari Sultan-sultan yang ada sekarang bukanlah keturunan paling afdhal kecuali mereka yang diangkat oleh penjajah Inggeris? Dalam konteks ini saya cuba memikirkan alamat di sebalik pohon besar yang terbongkar. Apakah ia satu pembongkaran yang bakal menggugat dua keSultanan, Selangor dan Perak? Saya meninggalkan Pasir Penambang untuk menuju ke Bukit Melawati.

Di sebelah kiri kelihatan bukit kecil di mana terdapat makam seorang bangsawan Bugis yang dikenali sebagai Upu Cendera Burung.

Naik ke Bukit Melawati saya melupakan soal sejarah sebentar untuk bermain-main dengan monyet. Lihat artikel Monkeying around at Kuala Selangor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Namun perkara melibatkan sejarah kembali memenuhi fikiran setiap kali berada di bukit yang pernah menjadi pusat pemerintahan 3 Sultan terawal Selangor ini. Lihat Historical places at Bukit Melawati.

Seterusnya saya ke bukit kecil di mana terdapat makam Upu Cendera Burung. Sampai ke permulaan denai masuk untuk ke makam terlihat sebuah lagi pokok tumbang sehingga terbongkar akar... kali ini bahagian yang tinggal di bawah dipenuhi air pula...

Ah. Teringat kata pembuat batu nesan yang ditemui di satu bahagian lain bukit kecil, orang yang menunjukkan arah ke makam. Lihat Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung . Katanya kawasan sekeliling bukit dahulu adalah sebahagian dari Sungai Selangor. Apakah bahagian terbongkar ini menunjukkan kawasan sekitar memang pernah dipenuhi air seperti mana bahagian terbongkar akibat pohon besar runtuh di Pasir Penambang menunjukkan kawasan tanah perkuburan dahulu adalah pantai ataupun pulau?



Makam Upu Chendera Burung. Siapakah orang ini? Baca dengan teliti apa yang telah diperkatakan dalam artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung .



Yang nyata makamnya agak terjaga, siap sudah disalin kain kuning walaupun kedudukannya agak terpencil di belakang bukit kecil.



Ketika keluar dari kawasan makam saya terlihat batu besar di atas bukit lalu tergerak untuk melihat lebih dekat.

Dalam keadaan itulah saya terlihat sebuah lagi batu yang lebih besar, tinggi melebihi bangunan 3 tingkat. Lalu timbul satu rasa bahawa di sekitar ini pernah berdiri sebuah istana. Untuk pengetahuan saya pernah diberitahu bahawa sebelum keSultanan Selangor muncul secara rasmi dengan Sultan pertamanya bergelar Sultan Salehuddin ibni Daeng Chelak pertengahan abad ke 18 telah ada penempatan orang Bugis yang diketuai Upu Cendera Burung. Malah orang Bugis telah bertapak seawal tahun 1680. Kebanyakannya lari meninggalkan tanah air di Pulau Sulawesi (dahulunya dipanggil Pulau Selangi) akibat penjajahan Belanda yang bermula dengan Perjanjian Bungaya yang dipaksakan ke atas mereka tahun 1667.

Di bawah biar diletakkan links yang berkaitan secara pukal demi memecahkan persoalan akan apakah alamat sebenar di sebalik segala yang dilihat siang tadi. Kebanyakan cerita melibatkan Kuala Selangor dan tempat-tempat berkaitan di sekitar... atau melibatkan keberadaan bangsa Bugis yang menurut hemat saya ada kena-mengena juga dengan bangsa Aceh. Sekian selamat malam.
1. Kisah Keramat Anak Dara...

2. Meriam kuning di Bukit Melawati dan kuala sebenar Kuala Selangor

3. Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191

4. Apa ada di Bukit Belimbing?

5. Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?

6. Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra?

7. Aura misteri di Aceh?

8. Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak...

9. Teknik penggelapan salasilah...

10. Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!

11. Makam-makam di Jugra dan apa yang ada di sekitar Jeram

12. Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung

13. Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor... singgah juga di Bukit Talang, Kampung Permatang dan beberapa tempat

14. Mimpi pelik Kuala Selangor...

15. Bugis bersamaan Balqis?

16. Ke belah ulu Selangor menurut rasa

17. Pantai berdekatan Pulau Angsa

18. Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat.

19. Baru betul-betul melihat Bukit Melawati...

20. Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?

21. Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh

22. Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula...

23. Misteri identiti Raja Ahmad dan berbagai teori...

24. Panggilan dari Pulau Indera Sakti?


Bahaya yang mengancam Kaabah...

Sekarang dah lepas tengah malam, dah masuk 11 Oktober... bolehlah saya membuat artikel baru tanpa melanggar 'faktor 1743' yang muncul pada artikel Al-Rasyid berhari-raya : Kembali semula ke rumah... jejak 3 buah masjid di 3 buah negeri dan misteri berkaitan . Mari...


Rasanya semua dah tahu tentang menara jam Mekah yang hampir siap. Cuma mungkin kita tidak terfikir tentang implikasi kewujudannya. Dahulu tidak ada bangunan yang dibina melebihi ketinggian menara Masjidil Haram. Namun bermula sekitar tahun 2005 begitu bangunan melebihi ketinggian 20 tingkat mula terbit di sekitar Masjidil Haram dan kini ada menara jam yang muncul menjadi bangunan kedua tertinggi di dunia, selepas Burj Khalifa di Dubai.

Begitulah keadaan sudah berubah akhir zaman. Dahulu anak cucu Nabi Ismail yang menduduki Mekah menjadi tuan rumah yang rela menerima tetamu datang menunaikan Haji dan Umrah di Masjidil Haram tanpa menerima bayaran. Kalau setakat mahu minum air zam-zam yang tidak pernah putus bekalan selain makanan asas seperti roti juga buah kurma, mereka yang datang ke Mekah tidak perlu risau. Malah mereka boleh duduk di wakaf-wakaf tanpa bayaran seluruh musim Haji hingga ke sepanjang tahun untuk Umrah. Kerana janji Allah, adalah menjadi tugas anak cucu Nabi Ismail untuk menerima tetamu ke Mekah dan mereka yang menjalankan amanah akan sentiasa dimakmurkan dengan rezeki yang melimpah. Rezeki itulah yang diinfaqkan untuk kemudahan tetamu tanpa perlu meminta apa-apa bayaran.

Begitulah yang berlaku apabila satu pecahan anak cucu Nabi Ismail yang dikenali sebagai kaum Bani Hashim melanjutkan amanah menjaga Kaabah dan menerima tetamu yang datang semasa Nabi Muhammad SAW dilahirkan 1,400 tahun lalu. Begitu juga keadaan apabila cabang Bani Hashim dari keturunan Nabi Muhammad SAW melalui Saidina Hassan memerintah Mekah sebagai para Sharif Mekah sebelum dijatuhkan keluarga Saud tahun 1920an. Itulah makna diberi gelaran "khadamul Haramain", khadam atau penjaga Tanah Haram yang meliputi bumi Mekah dan Madinah. Mereka yang beramanah dengan pesanan nenek-moyang tidak akan meminta bayaran untuk membekalkan air zam-zam juga sedikit makanan asas dan tempat tinggal untuk tetamu yang datang.

Ini bukanlah bermakna kita tak boleh berniaga makan-minum atau rumah penginapan langsung di Mekah. Cuma dahulu kemudahan asas diberi oleh mereka yang beramanah dari kaum Bani Hashim tanpa meminta bayaran. Orang lain mungkin mahu berniaga tetapi bagi kaum Bani Hashim ini amanah yang perlu digenggam. Seperti disebut tadi Allah memberi mereka rezeki dari jalan lain seperti perdagangan juga hasil yang boleh ditemui dari perut bumi dan sebagainya agar mereka mampu menjaga tetamu Allah di Tanah Haram tanpa perlu meminta-minta bayaran. Kalau mereka mahu berniaga makan-minum dan tempat tidur pun ia mestilah di luar kemudahan asas. Misalnya kalau ada tetamu mahu makan hidangan kambing yang lazat atau tidur di tempat empuk tanpa perlu berkongsi tidur beramai-ramai di wakaf-wakaf bolehlah ditunaikan permintaan mereka dengan sedikit bayaran.

Namun asasnya kita pergi ke Tanah Haram untuk beribadah, ke Mekah untuk menunaikan Haji atau Umrah, ke Madinah untuk melakukan ziarah ke makam Rasulullah SAW. Lalu apa perlukan sangat makanan lazat dan tempat tidur empuk? Maka itu urusan Haji dan Umrah dahulu agak mudah. Yang susah adalah mahu sampai dari tempat jauh ke Mekah, itulah yang memerlukan kos pengangkutan dan makan-minum untuk perjalanan. Bila dah sampai Insyaallah segala keperluan asas akan dipenuhi oleh mereka yang beramanah mahu menjaga tetamu Allah dan ini termasuk menjaga keselamatan dari diganggu-gugat mana-mana pihak.

Sekarang urusan Haji dan Umrah menjadi perniagaan yang sangat menguntungkan. Walaupun Tanah Arab telah diberkati dengan berbillion dolar setahun pendapatan melalui hasil minyak, hasil yang sepatutnya boleh menampung keperluan asas para jemaah tanpa diminta bayaran, kos untuk menunaikan Haji dan Umrah semakin bercambah. Mungkin ada yang akan membantah... dahulu yang datang ke Mekah cuma beribu sahaja, sekarang berjuta. Mana mungkin ditampung keperluan jumlah yang begitu ramai? Di sini kita lupa jaminan Allah untuk memakmurkan Mekah. Percayalah Allah akan sentiasa memberi jalan rezeki untuk penduduk Tanah Haram yang beramanah menerima tetamu Allah asalkan mereka sentiasa jujur dan ikhlas untuk melakukan tugas.

Ala... kalau kita pergi ke Pulau Besar, Melaka pun boleh duduk sampai bila-bila tanpa perlu belanja. Ada sahaja rezeki datang hasil orang membayar nazar dan sebagainya. Asalkan kita sanggup tidur bersepah di serambi masjid, pondok-pondok dan makan apa yang dihidangkan di kantin apabila sampai waktunya maka tak perlu membuat apa-apa bayaran. Apalagi di Mekah di mana orang bukan sahaja selalu membayar nazar, zakat dan sedekah selain meninfaqkan harta untuk keperluan ramai, sentiasa sahaja ada orang membayar dam akibat kesilapan dalam menunaikan Haji dan Umrah dalam bentuk korban haiwan ternakan dan beras makanan untuk orang ramai. Seharusnya keperluan tetamu di Mekah lebih terjamin berbanding di Pulau Besar apalagi dengan janji rezeki dari Allah. Lainlah kalau nak makan sesuatu yang lain atau duduk di tempat lebih selesa. Perlulah mengeluarkan duit sendiri tidur di chalet, hotel dan sebagainya seperti berlaku di Pulau Besar...

OK. Kita tolak dahulu kata-kata saya bahawa dahulu kita boleh duduk di Mekah dan Madinah tanpa risau tentang makan, minum dan tempat tinggal serta keselamatan. Kerana mungkin ada yang tidak percaya tentang ini kerana tidak dapat membayangkan keadaan sebegitu pernah wujud lantaran terbiasa dengan apa yang dilihat sekarang. Kita berbalik pada realiti zaman materialistik dan kapitalistik abad ke 20 dan 21 ini di mana kita perlu sekurang-kurangnya menyewa hotel murah di sekitar Masjidil Haram ketika menunaikan Haji dan Umrah. Sekarang, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan hotel-hotel murah yang ada itu sudah rata-rata dirobohkan. Dinaikkan pula bangunan-bangunan baru yang menjadi hotel-hotel mahal termasuk menara jam Mekah yang memiliki hotel bukan 5 bintang sebaliknya 7 bintang!

Saya pernah mendengar alasan bahawa kawasan-kawasan lama di Mekah yang banyak berhubung-kait dengan keluarga Nabi seperti tapak tempat baginda lahir dan rumah Siti Khadijah dirobohkan kerana tidak cukup tanah. Kononnya tempat-tempat bersejarah itu terpaksa diruntuhkan agar dapat didirikan hotel-hotel untuk menampung kedatangan berjuta jemaah. Kini hotel-hotel murah sudah lenyap demi memberi laluan kepada hotel-hotel mewah. Betulkah ini dibuat untuk menampung ramai orang? Daripada berjuta yang datang berapa ramai sangatlah yang mampu untuk duduk hotel 7 bintang?

Allah! Saya sudah menulis terlalu panjang. Sebenarnya saya cuma mahu mengajak pembaca berfikir, apakah fungsi sebenar didirikan menara jam begitu tinggi dan megah di Mekah? Mungkin ada yang terasa bangga menganggap ini contoh untuk menunjukkan kemajuan orang Islam. Mungkin... tetapi ingatkah kita akan sabda Rasulullah SAW tentang apabila manusia berebut-rebut mendirikan bangunan tinggi? Kalau di tempat lain tak mengapalah tapi ini di Mekah.

Saya mahu mengajak pembaca berfikir. Tadi saya telah menggunakan program Google Earth untuk mendapatkan gambar di atas. Saya telah menyemak bahawa jarak antara bangunan Kaabah dengan kaki menara jam cuma sekitar 450 meter sahaja sedangkan ketinggian menara jam adalah 601 meter. Bayangkan jika berlaku sesuatu samada sengaja atau tidak yang boleh menyebabkan menara jam patah senget berhampiran kakinya. Tidak mustahil ia boleh jatuh menghempap Kaabah. Adakah menara jam ini 'senjata' akan datang untuk merobohkan bangunan suci kiblat orang Islam? Sekian...

Nota: Tadi saya tersasul menyebut tarikh hari ini sudah masuk 11 September. Isteri saya menegur. Bukan September tapi Oktober le. Issh... teringat apa yang berlaku 11 September 2001. Kebetulan ini adalah artikel ke 747 di blogspot ini. Bukankah yang melanggar bangunan menara berkembar World Trade Centre di New York tu kapalterbang Boeing 747?

(Selepas sejam dua memaparkan artikel ada pembaca membetulkan dalam komen. Katanya yang langgar WTC tu Boeing 757. Saya Google and check balik... tengok Wikipedia kata 767. Namun ada pihak lain pula kata kapalterbang model lain. Adapun saya menyebut 747 kerana itulah yang kelihatan pada saya ketika menonton siaran langsung peristiwa di televisyen. Itulah juga yang muncul dalam ingatan ketika mendapati ini adalah artikel ke 747 di sini. Harap maklum)

Ahad, Oktober 10, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Kembali semula ke rumah... jejak 3 buah masjid di 3 buah negeri dan misteri berkaitan

OK. Hari ini 10 Oktober 2010 bersamaan 10/10/10 elok juga kita sambung bercerita. Kalau nak cantik lagi patutnya mula pada jam 10:10:10... 10.10 pagi 10 saat gitu. Macam pernikahan angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar dengan pasangannya tadi. Tapi masa tu saya masih melepek lagi... maklumlah, relaks hari Ahad. Cukuplah dapat tarikh 10/10/10. Maka itu bersambung dari artikel Al-Rasyid berhari-raya : Kembali lagi ke Muar... sempat ke rumah ipar di beberapa tempat juga pertunangan sepupu di Segamat.


Ahad 26 September 2010 merangkap hari raya ke 18. Selepas Zuhur kami mengorak langkah meninggalkan rumah ibu dan bapa untuk kembali ke rumah sendiri di Bandar Tasik Puteri. Singgah sebentar di Tanjung untuk menikmati hidangan ikan pari asam pedas yang enak...


Selepas itu saya tergerak untuk singgah ke Masjid Jamek Muar...


Semasa balik beraya 2 minggu sebelumnya saya tidak singgah langsung ke masjid tempat saya sering bersolat juga bermain bersama kawan-kawan semasa zaman membesar hingga remaja 1970an hingga 1980an. Semasa bulan Ramadhan di mana saya ada kembali ke Muar lalu membuat perjalanan untuk mengekori jejak Dinasti Al-Kamil (lihat Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula...) pun saya tak pasti ada singgah ke tak...


Saya masuk dari belakang lalu terlihat sejumlah gambar-gambar lama masjid-masjid di Muar bersama orang ramai dipaparkan pada satu sudut, banyak yang diambil sekitar tahun 1915 gitu. Lihat artikel Gambar-gambar lama masjid di Muar (Old pictures of mosques in Muar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Peliknya selepas membuat posting untuk artikel tersebut 4 gambar masjid lama tidak mahu keluar. Apakah ini disebabkan ada sesuatu pada gambar yang tidak harus ditatap orang-ramai?



Nasib baik dalam percubaan kedua memaparkan artikel, gambar-gambar tersebut dapat keluar. Ini membuat saya terfikir mungkin ada petunjuk bahawa pada 4 gambar itu ada wajah-wajah sama yang mungkin ada kaitan dengan pencarian saya mengenai sejarah lama Muar. Mungkin. Cuma apabila diteliti balik, 3 gambar sahaja yang ada orang ramai, satu daripadanya sekadar gambar masjid...


Saya meninggalkan Masjid Jamek Muar selepas menunaikan solat jamak dan qasar Zuhur dan Asar. Singgah pula di kedai kopi 434 yang airnya terasa semakin enak. Oh... 4 gambar lama masjid yang tidak mahu muncul dalam percubaan pertama itu memaparkan Masjid Jamek Muar, masjid di kampung ibu saya iaitu Kampung Temiang, sebuah masjid di Bukit Gambir dan sebuah masjid yang tidak disebut di manakah tempatnya. Mungkin ada pembaca yang dapat meneka kaitan kesemuanya dan perkara tersurat serta tersirat di sebaliknya?


Perjalanan sebenar kembali ke rumah dimulakan dengan mengambil lebuh AMJ ke Melaka.



Sampai ke bandaraya Melaka saya singgah ke masjid negeri. Ini disebabkan saya sudah beberapa tahun tidak ke masjid ini. Lagipun saya terasa satu hari nanti mesti mengenengahkannya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat artikel Masjid negeri (State mosque of) Melaka yang dibuat tadi.



Dalam ziarah kali ini saya dapat merasakan sesuatu seperti yang pernah timbul di satu masjid di Muar yang terasa ada kaitan dengan legenda Hikayat Malim Dewa. Mungkin ini akibat rekebentuk masjid apabila dilihat dari beberapa sudut? Lihat Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa?



Perjalanan diteruskan melalui lebuh AMJ hingga ke Alor Gajah lalu masuk ke jalan lama melepasi Naning ke Negeri Sembilan.


Sebaik sahaja melepasi simpang tiga di hadapan gunung (tak ingat namanya Gunung Datuk ke Gunung Rembau, yang pasti dari Alor Gajah belok kiri menghala ke Rembau, belok kanan menghala ke Tampin) saya teringat bagaimana enjin van bapa mati hingga terkandas di pekan kecil Kota, Negeri Sembilan seperti diceritakan pada artikel Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu. Teringat juga bagaiman selepas itu saya menemani bapa dan ibu kembali ke pekan tersebut sehingga berlaku sesuatu yang menyebabkan saya pergi ke makam Raja Melewar seterusnya Putrajaya. Lihat Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya.



Sampai ke Seremban pula saya mengambil kesempatan singgah di masjid negeri yang juga sudah beberapa tahun tidak pernah dijejaki. Inilah kali pertama isteri dan anak sampai ke sini. Teringat dahulu masjid ini sering menjadi tempat saya bersolat juga melepaskan penat-lelah apabila naik keretapi atau bas lompat-lompat dari Lembah Klang ke selatan dan sebaliknya. Lihat Masjid negeri (State mosque of) Negeri Sembilan.



Dalam masjid terdapat beberapa naskhah Quran lama bertulis tangan dari Aceh. Kenapa dari Aceh? Bukankah Negeri Sembilan sering berbangga dengan warisan Minangkabau terutama dari pusat kerajaan di Pagar Ruyung? Kenapa tidak dipaparkan Quran lama dari Pagar Ruyung?

Apabila soalan ini ditanyakan pada isteri beliau bertanya balik... ada ke Quran lama dari Pagar Ruyung? Hmm. Takkan kerajaan Pagar Ruyung yang dikatakan begitu hebat dan besar itu tidak pernah menerbitkan Quran. Namun memang saya tidak pernah mendengar tentang kewujudan Quran lama dari Pagar Ruyung. Quran lama dari Aceh pula memang banyak kerana status Aceh itu sendiri sebagai Serambi Mekah. Bukankan daerah Minangkabau termasuk Pagar Ruyung juga diIslamkan oleh para pendakwah yang datang dari Aceh?


Kami meninggalkan Seremban dan Negeri Sembilan melalui lebuhraya LEKAS.


Ternyata apabila memasuki Kajang jalan mula sesak sehingga kami sampai ke destinasi seterusnya, rumah adik kepada isteri di Balakong selepas waktu Magrib.


Oh. Tadi apabila memikirkan lagi bab 4 gambar lama masjid yang tidak mahu muncul (lihat balik gambar-gambar sekitar Masjid Jamek Muar di atas) terbetik juga di fikiran apakah ia ada kena-mengena dengan moyang saya sebelah ibu yang bernama Hussin bin Betak? Ada cerita-cerita menyebut beliau adalah seorang kaya yang pada tahun 1920an telah memiliki 6 buah kereta dengan 6 orang pemandu. Ketika balik berhari-raya awal bulan Syawal pula saya diberitahu Hussin atau Haji Hussin ini ada membuka tanah di Pagoh dan Rencong, Muar. Ini membuat saya terfikir balik tentang gambar yang menunjukkan papantanda Rencong pada artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Warisan Tuanku Gombang Malim Dewa?, gambar yang filenamenya ada nombor 555.



Dalam artikel Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak... ada disebut bahawa saya masih tercari-cari nasab sebenar Bugis sebelah ibu. Saya sudah lama mendapat petunjuk ia sampai kepada Raja Ahmad ibni Raja ibni Daeng Chelak sedangkan sebulan dua ini saya mendapat tahu moyang saya merangkap datuk kepada ibu yang bernama Betak itu adalah orang yang membuka Parit Betak di Batu Pahat berdekatan Pontian. Baru-baru ini pula saya diberitahu Betak itu adalah bahasa Bugis yang bermakna degil. Saya juga dapat tahu bahawa orang Bugis di Parit Betak rata-rata berketurunan dari Wajo, salah satu kerajaan yang ada di Tanah Bugis.

Hmm. Sejarah yang kita ketahui terutama dari kitab Tuhfat Al Nafis karangan Raja Ali Haji seorang anak kepada Raja Ahmad yang disebut di atas sering menyebut Daeng Chelak dan saudara-saudaranya yang sangat berpengaruh di Alam Melayu tahun 1700an berasal dari kerajaan Luwuk. Namun apabila dikaji balik saya mendapati kerajaan Luwuk yang merupakan kerajaan besar terawal di Tanah Bugis itu sudah mula hilang pengaruh pertengahan abad ke 15 Masihi malah dikatakan berada di bawah pengaruh Wajo tahun 1490. Luwu mula nyata merosot antara tahun 1500 dan 1530 sehingga pemerintahnya ketika itu yang dikenali sebagai Dewaraja menyerahkan beberapa wilayahnya kepada Wajo yang sedang diperintah Arung Matoa Wajo Puang ri Magalatung. Luwu juga kalah perang kepada kerajaan Bone tahun 1509 sehingga lambang-lambang kekuasaanya seperti payung merah kerajaan telah dirampas Bone.

Secara efektifnya selepas itu kerajaan Luwu tidak lagi wujud kecuali pada nama sahaja itupun kerana ia dihormati sebagai kerajaan terawal Bugis yang sering disebut dalam hikayat epik terkenal La Galigo. Jajahan taklukanya boleh dikatakan separuh sudah jadi milik Bone separuh milik Wajo. Jadi jika dikatakan Daeng Chelak dan saudara-saudaranya adalah dari Luwu, mereka sebenarnya samada dari Bone atau Wajo kerana Luwu sudah diserapkan ke dalam dua kerajaan ini. Kita biarkan perkara ini tergantung dahulu sebelum saya mendapat petunjuk baru tentang asal-usul moyang saya yang dipanggil Betak, apakah betul dari Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak atau dari keluarga lain yang berketurunan Wajo. Atau kedua-duanya betul kerana Daeng Chelak berasal dari kawasan Luwu yang sudah jadi sebahagian dari Wajo...

Nota: Ah... tadi baru saya menyedari ini adalah artikel ke 1743 ditulis untuk blogspots saya. Ia adalah yang ke 746 di blogspot ini, 580 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 417 SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Campurkan nombor-nombor itu dan dapatlah jumlah 1743. Oleh kerana ini adalah artikel terakhir ditulis untuk mana-mana blogspots saya hari ini, ia adalah yang ke 1743.

Seperti disebut pada penghujung artikel ke 743 blogspot ini iaitu Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya nombor 1743 mengingatkan pada nama Daeng Selili yang dikatakan mengalahkan lanun di Pulau Sembilan, Perak tahun itu. Adapun dalam beberapa tahun kebelakangan Daeng Selili telah dikenal-pasti beberapa pihak sebagai seorang Raja Wajo yang pernah memegang kekuasaan sehingga kedudukannya disamakan seperti Yang Dipertuan Agong bagi kerajaan-kerajaan Bugis. Apakah kemunculan artikel ini sebagai yang ke 1743 bagi semua blogspots saya dengan hal mengenai Bugis tidak dirancang kecuali terkeluar apabila memikirkan tentang 4 gambar lama masjid yang mulanya tidak mahu muncul boleh dijadikan satu petunjuk tentang pencarian nasab Bugis belah ibu?