Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, September 16, 2009

Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi...

Alhamdulillah setelah bertungkus-lumus malam semalam dan tadi, baru saya dapat menyambung cerita perjalanan Aceh di sini. Setelah menyajikan 5 artikel baru berkaitan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , 5 juga di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berserta 2-3 artikel berlainan topik tetapi turut menolong membuka aliran pemikiran, baru saya boleh mula menceritakan apa yang berlaku di Aceh hari Sabtu 20 Jun 2009. Kiranya bersambung daripada artikel Menikmati tarian tradisional Aceh di majlis orang! ya...

Pagi Sabtu setelah menikmati sarapan secara buffet di hotel, pemandu dari syarikat Kak Ann datang menjemput untuk membawa kami berjalan. Kali ini pemandu yang datang adalah juga pemandu peribadi Kak Ann yang dipanggil Pak Tar (ke Pak Atar? Lebih kurang le tu...). Kereta yang digunakan juga sebuah kereta baru MPV Hyundai yang lebih canggih lalu kami dibawa menyusur sebuah jalan yang tidak pernah kami lalui sebelum ini...


Jalan ke timur Banda Aceh ini membawa kami menyeberangi bahagian Sungai Aceh yang lebih luas. Untuk pengetahuan, Sungai Aceh bercabang di selatan Banda Aceh untuk membentuk 2 aliran berasingan keluar ke laut. Semasa itu saya keliru bagaimana sungai di sebelah timur ini turut dipanggil Sungai Aceh atau bahasa tempatannya Krueng Aceh. Sedangkan saya tahu di tengah bandaraya memang mengalir Sungai Aceh dengan satu kuala yang berlainan.

Setelah melihat peta satelit melalui Google Earth, baru saya faham rupa-rupanya pecahan 2 aliran ini membentuk semacam pulau delta di tengahnya dengan 2 buah kuala terletak lebih 4 km antara satu sama lain. Baru saya faham kenapa Sheikh Abdul Rauf Singkel turut dipanggil Syiah Kuala (lihat artikel Baru sampai ke makam Syiah Kuala yang amat terkenal itu! ). Kerana kedudukan makam itu terletak antara 2 kuala, masih lagi dalam lingkungan aliran air Sungai Aceh yang keluar ke laut gitu...


Apapun perjalanan diteruskan ke timur. Kelihatan bukit-bukau yang pernah saya lihat terserlah dari hotel, bukit-bukau yang pada malam harinya boleh kelihatan jalan dan bangunan-bangunan berlampu menunjukkan ada penempatan di lereng-lerengnya. Lihat artikel Views of Aceh from our hotel early morning...




Jalan ke timur, sesekali ke timur-laut ini mula membawa ke tepian pantai...



Tidak lama kemudian kami mengambil satu simpang kiri untuk melihat satu peninggalan lama...



Selamat datang ke Benteng Indrapatra, sebuah peninggalan purba yang menggamit satu sejarah pra-Islam...






Di sini terdapat beberapa buah benteng atau kubu besar hampir serupa yang terdapat di tempat sejarah lama Eropah. Untuk pengetahuan ia dipercayai dibina sekitar abad ke 7 Masihi iaitu 1,400 lalu! Kiranya zaman semasa Nabi Muhammad SAW baru lahir gitu...

OK. Semasa di Aceh saya ingat ada membaca sedikit sejarah tentang benteng ini yang menyebut ia asalnya dibina oleh sebuah kerajaan Hindu yang kemudian berjaya diIslamkan sekitar abad ke 12 Masihi. Saya sudah lupa nama kerajaan tersebut, apakah ia Lamuri, apakah Inderapuri. Yang pasti kedua-duanya ada kena-mengena... rasanya ada juga kena-mengena dengan Masjid Indrapuri seperti dipaparkan melalui artikel Masjid Indrapuri, bukti agama Hindu memang berasal daripada syariat Nabi Ibrahim AS? yang dibuat lebih sebulan lalu.

Apapun, nama Lamuri lebih banyak dikaitkan dengan Aceh purba walaupun Indrapuri juga ada disebut sama. Ini turut mengingatkan saya pada nama Lemuria, sebuah benua dengan penduduk spiritual yang katanya pernah wujud sezaman dengan benua hilang Atlantis yang cerita kewujudannya persis dongengan kayangan.

Apakah Lamuri ini ada kena-mengena dengan Lemuria yang turut hilang? Yang pasti, ada teori menyebut Lemuria yang kemungkinan berdiri sebagai benua besar sebelum zaman banjir Nabi Nuh terletak di Asia Tenggara dan berdiri di atas Pentas Sunda di mana terletaknya sebahagian besar Nusantara!

Oh. Cerita di sini ada sedikit melompat-lompat agar dapat meliputi banyak perkara. Untuk mengikuti jalan cerita dengan lebih teratur, sila lihat artikel To Lamuri and the fortress of Indrapatra... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Lihat juga artikel Benteng (Fortress of) Indrapatra... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Perjalanan pun diteruskan ke Teluk Lamreh. Tetapi saya lebih selesa menyebutnya sebagai Teluk Lamuri berdasarkan fakta ia pernah menempatkan pusat kerajaan purba Lamuri. Lagipun perkataan Lamuri dan Lamreh itu memang hampir sama bunyinya...



Selepas menyeberangi Kreung (sungai) Raya masuklah kami ke sebuah bandar pelabuhan yang dipanggil Pelabuhan Malahayati... sempena nama seorang pahlawan wanita terkemuka Aceh iaitu Laksamana Keumala Hayati @ Malahayati... Keumala itu ejaan Aceh yang sama sahaja dengan Kemala dalam bahasa Melayu biasa.




Perjalanan ke sini asalnya mahu dibuat hari Rabu. Tempat utama yang mahu dituju adalah Benteng Inong Balee, sebuah kubu lama yang pernah dibina Laksamana Malayahati serta angkatan laut 2,000 orang janda yang dipimpinnya 400 tahun lalu. Sebaliknya hari itu telah menyaksikan saya dan isteri mengikut Kak Ann dan rombongan ke Bireuen 230 km ke tenggara Banda Aceh sebelum bergerak lagi 220 km ke Langsa... dalam rangka perjalanan untuk menziarahi makam Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera Pasai yang telah mangkat lebih 800 tahun lalu (lihat koleksi cerita berkaitan melalui artikel Himpunan cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih" dan 999...). Selesai perjalanan itu serta sedikit rehat hari Jumaat, baru kami dapat membuat perjalanan yang ini pula hari Sabtu.

Sebenarnya saya pun tidak menyangka akan ke tempat ini pula selepas perjalanan itu. Adapun asalnya perjalanan ke Benteng Inong Balee cuma mahu dibuat sebagai aktiviti pengisi... aktiviti pengisi masa sementara menunggu peluang bilakah akan melangkah ke makam Sultan Malikus Salih. Untuk pengetahuan, sejak mengetahui siapakah dirinya pemerintah tersohor dalam sejarah lama Aceh ini, saya memang teringin sangat untuk menziarahi makam baginda. Seperti ada disebut dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", perjalanan pertama saya ke Aceh yang dibuat Januari 2004 cuma dapat sampai ke Langsa sahaja.

Siapa sangka lebih 5 tahun kemudian baru saya dapat sampai ke makam Sultan Malikus Salih. Maka itu saya menyangkakan perjalanan ke makam itu adalah klimaks lawatan ke Aceh Jun 2009. Rupa-rupanya masih ada lagi satu klimaks yang sama tinggi. Malah ada kemungkinan yang ini lebih tinggi dan hebat lagi!


Apakah yang menyebabkan saya menyebut ada klimaks yang mungkin lebih tinggi dan hebat lagi? 'Petunjuk' awal saya dapati apabila terlihat bangunan stor menyimpan simen ini.

Adapun saya dapat merasakan nombor 191 yang tertera pada bangunan (lihat perkataan "Sejak 1910") membawa makna yang ada kena-mengena dengan mukasurat 191 di ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Sila lihat artikel lama 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?) yang dibuat 2 tahun lalu, pada 11 September yang juga disebut 9/11 gitu!

Terus hati saya menyebut kira-kira setentang dengan bangunan ini mesti terdapat satu tempat yang memiliki makna tertentu yang mendalam. Ternyata telahan ini betul. Sila ikuti dahulu apa yang dinukilkan melalui artikel The number 191, a clue to something special about Lamuri...



Rupa-rupanya di sini terdapat makam Laksamana Keumala Hayati @ Malahayati. Siapakah laksamana wanita ini? Terlebih dahulu biar saya ceritakan melalui sedutan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", dari Bab 3...

---------------



Rasyid sedikit pelik. Bagaimanakah Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh menaiki takhta Aceh? Setahunya, pangkat itu bukanlah sebesar pangkat Bendahara atau Perdana Menteri. Bukan juga pangkat kerabat diraja, apalagi baginda dikatakan berketurunan Bugis. Siapalah si Ahmad ini jika dibandingkan dengan keturunan Sayyid anak cucu Rasulullah SAW yang diakui ketinggian martabatnya? Lalu dia pernah bertanyakan hal ini kepada seorang tua berketurunan Aceh yang sekarang menetap di Perak. Jawaban orang tua itu senang... Sebenarnya Ahmad bin Abdul Rahman bukan sekadar bangsawan biasa. Dia berasal daripada keturunan yang terpilih...

“Ayahandanya, Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu terdahulu, juga Laksamana bernama Abdul Rahman bin Zainal Abidin adalah anakanda Laksamana Raja Keumala Hayati, satu-satunya panglima perang perempuan yang pernah memimpin sebuah armada kapal laut yang terulung di Nusantara,” orang tua itu membuka cerita. “Angkatan perang yang terdiri daripada janda-janda para pejuang yang mati syahid itu pernah mengalahkan armada Belanda dalam peperangan di Teluk Aru.”

“Raja Keumala Hayati pula adalah generasi keempat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah (1511-1530), raja besar dan pahlawan berwibawa yang diiktiraf sejarah sebagai Sultan pertama Aceh Besar kerana berjaya menggabungkan kerajaan-kerajaan Daya, Pedir, Pasai dan Haru ke dalam Aceh. Maka memang Ahmad bin Abdul Rahman mempunyai darah keSultananan Aceh dan memiliki kelayakan untuk menaiki takhta,” dia menyambung.

Kata orang tua itu lagi, ayahanda Ahmad, Abdul Rahman bin Zainal Abidin pula pernah berkahwin dengan Sultanah Naqiatuddin, raja perempuan kedua Aceh. Tetapi tidak pastilah jika baginda dilahirkan hasil perkahwinan ini atau daripada ibu yang lain.

“Nendanya, Zainal Abidin juga bukan calang-calang orang. Suami Laksamana Raja Keumala Hayati ini merupakan Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu juga Laksamana di zaman Sultan Alauddin Sayyid al Mukamil,” dia meneruskan. “Selain itu beliau juga dikenali sebagai anakanda seorang ulamak yang amat disanjung tinggi di Aceh, Daeng Mansur bin Sheikh Abdullah Al-Malikul Amin, ayahanda kepada Puteri Ratna Sendi Istana, Permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda dahulu.”

Lagipun pangkat Laksamana di Aceh bukannya pangkat kecil-kecilan. Ia adalah satu pangkat besar kerabat diraja yang dahulunya sering digunakan oleh raja muda atau tengku mahkota, bakal Sultan Aceh!

Hmm. Sebenarnya sedutan tadi asalnya ditulis untuk meneroka keadaan bagaimanakah satu jalur keturunan yang katanya berasal daripada bangsawan Bugis dapat merajai Aceh bermula abad ke 18 Masihi. Rasanya sesuai juga dibaca sekali artikel Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang dibuat lebih 2 bulan lalu.

Sesuatu yang amat terserlah tentang makam Laksamana Malahayati ialah kedudukannya yang begitu strategik dan amat cantik. Tidak disangka, di sini saya dapat merasakan semacam aura yang lebih hebat daripada apa yang dirasai di makam Sultan Malikus Salih juga makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah (lihat artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak...). Dan tentunya aura di sini lebih hebat daripada yang terdapat di makam tengah Banda Aceh yang disebut secara rasmi sebagai makam Sultan Iskandar Muda sedangkan gerak hati saya menyanggah kesahihannya.

Sila lihat artikel Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda? yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 bulan lalu. Di sini saya mahu meletakkan pula sedutan berkaitan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal"... dari Bab 8 yang ada menceritakan sesuatu di sebalik Teluk Haru, sebuah teluk di selatan sempadan tenggara Aceh...

--------------


Teluk Aru memiliki keindahan serta sejarahnya yang tersendiri. Selain pernah menjadi pusat awal kerajaan lama Haru, sebuah kuasa besar bumi Melayu ketika awal kegemilangan Melaka 600 tahun dahulu, teluk yang nampak begitu permai ini pernah menyaksikan sebuah peperangan dahsyat di antara angkatan laut Aceh dengan armada Belanda.

Lebih menarik, peperangan yang berlaku penghujung abad ke 16 itu menonjolkan ketokohan seorang Laksamana perempuan, Laksamana Raja Kemala Hayati yang pernah memimpin sebuah angkatan laut perempuan! Angkatan itu terdiri daripada 2,000 orang janda yang kehilangan suami... Gugur akibat menentang percubaan penjajahan kufar Barat di rantau ini. Maka mereka berperang dengan azam yang sangat jitu lalu berjaya mengalahkan angkatan laut Belanda yang cuba bertapak di teluk itu.

“Raja Kemala Hayati sendiri telah kehilangan suami yang gugur syahid ketika menentang Portugis yang cuba menceroboh Aceh dahulu,” seorang tua berketurunan Aceh yang menetap di Perak pernah memberitahu. “Generasi ke-empat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah ini (Sultan yang berjaya menyatukan Aceh, Daya, Pedir dan Pasai, juga Haru untuk mewujudkan Aceh besar sebagai pengganti kedaultan Melaka) diakui sejarah sebagai satu-satunya laksamana atau admiral dan pemimpin perang perempuan yang tersohor dalam sejarah Nusantara malah sejarah dunia!”

Untuk pengetahuan, orang tua inilah yang menerangkan bagaimana seorang yang dikatakan bangsawan Bugis, Laksamana juga Orang Kaya Maharaja Lela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh diangkat menjadi Sultan Aceh. Baca balik Bab 3 buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti.” Banyak juga cerita lama berada di dalam simpanan orang ini.

Katanya, Raja Kemala Hayati ternyata unggul dalam banyak bidang yang selalunya dikuasai lelaki malah sifat kepahlawannya mampu membuat ramai kaum Adam terasa malu pula! Selain memimpin angkatan perang Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid al Mukammil (1589-1604), anggota perempuan kerabat diraja Aceh ini pernah menjadi kepala barisan pengawal istana panglima rahsia (pengawal peribadi) dan ketua protokol istana.

Ah... memang Rasyid nampaknya disuruh ke sini untuk menyusuri sejarah dan susur-galur tertentu. Laksamana Kemala Hayati ini juga merupakan salah-satu daripada... Oh... Tidak boleh cerita ini. Kena ingat pesan orang tua-tua... Cukuplah setakat berkata mereka ada kaitan juga.


Walaupun kompleks makam ini dikenali sebagai makam Laksamana Malayahati, saya rasa turut sama terserlah malah mungkin lebih menonjol adalah makam di sebelahnya iaitu makam si suami! Walaupun sejarah cuma menyebut nama sang suami iaitu Laksamana Zainal Abidin cuma sepintas lalu, kajian peribadi saya menyebut ada kemungkinan besar lelaki ini memiliki identiti diraja yang sangat gah dan besar namanya, identiti yang sengaja disembunyikan dengan menyatakan sang suami telah gugur melawan Portugis terlebih dahulu...

Yang nyata makam beliau (atau baginda sebenarnya?) ditanda dengan batu nesan Aceh bentuk diraja yang hampir-hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih. Mungkin kaitan rahsia yang dapat saya rasakan inilah yang menyebabkan suasana serta aura sekitar makam ini dirasakan lebih hebat daripada mana-mana makam yang pernah dilawati sepanjang berada di Aceh?




Seterusnya saya tergerak untuk menerokai kawasan lereng bukit di belakang makam.





Sebenarnya saya tergerak untuk meneroka kerana menyangkakan Benteng Inong Balee yang asalnya menjadi tujuan utama kami ke kawasan yang terletak 30 km dari Banda Aceh ini terletak dekat-dekat sini juga...





Sejurus kemudian baru saya tahu Benteng Inong Balee terletak 3 km ke timur lagi. Tetapi ada hikmahnya saya menyangkakan ia terletak sekitar ini kerana atas sebab itulah saya meneroka kawasan belakang makam lalu sampai pula di kawasan lapang lain yang selari...



Gambar-gambar sekitar lereng bukit ini saya ambil daripada artikel Deja vu at the hillside facing the bay of Lamuri yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi. Ada banyak lagi gambar di artikel itu, saya tunjukkan kerana di sinilah berlaku satu perasaan deja vu yang paling lama sejak saya berada di Aceh!

Kelihatan dalam gambar atas adalah bangunan makam yang terletak selari tetapi sedikit rendah dengan kawasan lapang bukit yang saya temui ini. Di sini saya dapat merasakan bahawa ia pernah menjadi serambi istana lama dengan pemandangan indah lagi strategik menghadap ke laut lepas...


Lihat pemandangan ke laut yang amat indah ini. Dalam artikel Deja vu at the hillside facing the bay of Lamuri saya cuma menyebut perasaan deja vu panjang yang muncul di sekitar ini. Saya terlupa hendak menyebut bahawa saya telah terlebih dahulu mendapat rasa deja vu yang panjang lagi nyaman sejak berada di kawasan makam lagi!



Saya pun turun kembali ke bangunan makam untuk membacakan Surah Ya Sin. Lihat bagaimana romantiknya makam pasangan ini di'sambung'kan dengan kain putih. Nampak seperti pasangan dua sejoli yang ada memegang janji untuk menyimpan identiti alternatif atau identiti lebih besar diri masing-masing demi mempertahankan Aceh daripada musuh luar dan dalam, lebih-lebih lagi dengan adanya kehadiran musuh-musuh dalam selimut yang cuba menghancurkan nasab berdaulat yang mampu mengembalikan kegemilangan Aceh seterusnya kegemilangan Islam di Nusantara!

Identiti alternatif yang dimaksudkan adalah sesuatu yang ditemui secara tidak sengaja apabila mengkaji lebih dekat susur-galur diraja kerajaan Aceh serta Perak yang turut berkaitan. Ia berkenaan sesetengah orang memakai pelbagai nama atas sebab-sebab tertentu lalu ada yang disangkakan sebagai 2 orang yang berlainan sedangkan ia cuma merupakan 2 nama panggilan bagi satu tubuh-badan!

Maka di sini saya tergerak pula untuk meletakkan sedutan daripada buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?"... daripada bab bertajuk "Dari Aceh ke Perak : Nakhoda Hitam Laksamana Tok Kuala Bidor"...

---------------

Salah satu misi utama Rasyid mengkaji cerita-cerita lama Melayu dahulukala terutama yang berkaitan keSultanan Perak dan Aceh adalah untuk mencari asal-usul keluarga Laksamana Perak yang ramai bermastautin dan beranak-pinak di sekitar Teluk Intan. Pemuda itu pernah diberitahu keluarga ini berasal daripada keturunan Sultan Malikus Salih pengasas kerajaan Samudera Pasai yang tersohor dalam sejarah Aceh... Mereka adalah keturunan anak cucu Sultan itu yang pernah membawa diri meninggalkan bumi Serambi Mekah atas sebab-sebab tertentu termasuk perang saudara dan perebutan takhta. Ada yang dapat kembali ke sana beberapa abad kemudian tetapi anak cucu mereka pula dipaksa untuk menyeberang lagi ke Perak. Maka hiduplah mereka turun-temurun di bumi sebelah sini sehingga dikenali sebagai keluarga Laksamana Raja Mahkota.

Kata almarhum Nenek dan bapa-bapa saudara, dahulu mereka ada menyimpan sebuah salasilah lama yang menyatakan secara tepat siapakah nenek-moyang keluarga Laksamana sampai ke pengasas kerajaan Samudera Pasai itu lebih 700 tahun dahulu. Malangnya salasilah ini telah hancur bersama beberapa barangan lama peninggalan turun-temurun apabila sebuah rumah ahli keluarga di Teluk Intan yang terletak di dalam lingkungan sebuah kota lama terbakar lebih 20 tahun dahulu. Ahli keluarga yang tua pula ramai sudah meninggal dunia, tinggal generasi muda yang kurang tahu cerita. Memandangkan tidak ada seorang pun masih ingat isi salasilah ini atau cukup berminat untuk mencarinya kembali, maka Rasyid yang pernah mendapat sebuah mimpi berkaitan keSultanan Perak juga keSultanan lama Aceh telah terpanggil untuk mencuba...

Sebenarnya, ada saudara yang berminat dan pernah cuba menggali cerita ini tetapi tidak berjaya. Malah ada yang mendapat amaran dalam mimpi menyatakan dia tidak layak mencari! Berdasarkan cerita almarhum Nenek bahawa moyang keluarga Laksamana yang pertama sampai ke Perak telah membawa diri daripada bumi Serambi Mekah setelah adinda sendiri merebut takhtanya, pemuda ini yang mempunyai latarbelakang kewartawanan pun cuba mencari identiti mereka. Ini dilakukan dengan mengkaji beberapa salasilah raja-raja termasuk hasil kajian Barat, disokong perasa dan gerak hati sambil meminta petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala.

———————

Maka tersebutlah nama Sultan Salehuddin ibni Sultan Ali Mughayat Shah yang memerintah Aceh tahun 1530 kemudian dimakzulkan iaitu diturunkan takhta oleh adindanya yang menjadi Sultan Alauddin Riayat Shah al Qahar 1539. Ini ada tercatit dalam kitab Hikayat Aceh, juga salasilah kajian Barat yang diperolehi Rasyid... Tetapi kitab itu setakat menyebut Alauddin al Qahar menyumbatnya ke dalam penjara sedangkan kajian Barat pula menyebut Sultan Salehuddin akhirnya dibunuh adinda sendiri!

Apa yang menarik perhatian pemuda itu adalah bagaimana anak cucu Sultan Salehuddin yang tersisih daripada takhta Aceh mula memakai gelaran Laksamana... Bermula dengan anakandanya Raja Muhammad Said Shah dan diteruskan anakanda Raja Muhammad yang dikenali sebagai Laksamana Raja Mahmud Shah. Lalu dia tertanya-tanya, adakah ini permulaan keluarga Laksamana Perak memakai gelaran Laksamana?

Rupa-rupanya ini bukan jawaban yang tepat kerana Laksamana seterusnya adalah anak perempuan Laksamana Raja Mahmud Shah yang bernama Raja Kemala Hayati. Apa yang dicari adalah susur-galur lelaki atas lelaki yang dapat menyambungkan keluarga Laksamana Perak dengan nenek moyang yang paling awal di bumi Serambi Mekah. Walaupun Laksamana Raja Kemala Hayati memang termasuk salah seorang moyang mereka, orang yang dimaksudkan Nenek sebagai moyang pertama datang ke Perak adalah moyang terdahulu yang telah meninggalkan sebuah kerajaan besar di Sumatera sekitar 1,000 tahun lalu, bersesuaian dengan zaman kewujudan keSultanan Perlak. Hamba Allah ini cuma dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Makamnya masih wujud di Teluk Intan.




Selesai ziarah ke makam, kami singgah sebentar ke Masjid Malahayati yang terletak di kaki bukit. Di sini ada penanda yang menunjukkan kawasan ini pernah dilanda ombak tsunami setinggi 2.5 meter. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Malahayati di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Di masjid ini kami ditegur oleh seorang pakcik (datuk barangkali lebih sesuai!) yang telah berumur 80 tahun tetapi masih kuat berjalan-jalan. Cuma gayanya sedikit janggal... seperti orang nyanyuk pun ada, mungkin kerana dia ada cuba melepaskan suatu perasaan yang terbuku di tanpa mengira pandangan orang ramai...

Kedengaran pakcik ini pandai bertutur dalam bahasa Jepun. Lalu dia menghulurkan kad menyatakan dirinya sebagai penterjemah bahasa Jepun. Katanya, dia pernah berkhidmat ketika Jepun memasuki Indonesia lebih 60 tahun lalu.


Selesai hal di masjid baru kami pergi ke Benteng Inong Balee yang menjadi tujuan utama kami ke sekitar ini. Sila ikuti dahulu perjalanan yang dinyatakan secara bergambar pada artikel Walking to Malahayati's fortress, the Benteng Inong Balee... blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...

Gambar-gambar sekitar benteng ini pula lebih banyak diletakkan pada artikel Benteng (fortress of) Inong Balee, satu peninggalan (a legacy of) Laksamana Malahayati di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...


Begitulah Allah SWT telah mengatur segala perkara. Perjalanan untuk ke Benteng Inong Balee rupa-rupanya membuka banyak perkara... dapat melawat Benteng Indrapatra juga makam Laksamana Malahayati dan suami serta lereng bukit di belakang dan tepi yang ada makna tersendiri. Sedangkan asalnya ia cuma rancangan sampingan yang saya fikir boleh ditolak ke tepi...


Siapa sangka perjalanan untuk ke Benteng Inong Balee yang terletak tinggi di pinggir bukit tepian laut ini boleh memberikan rasa klimaks atau kemuncak yang lebih bererti. Sedangkan sebelum ini saya menganggap ziarah ke makam Sultan Malikus Salih itulah kemuncak perjalanan di Aceh. Siapa sangka setelah memikirkan tidak perlu lagi ke benteng ini, pemandu pula muncul untuk membawa kami ke sana... cuma berdasarkan perancangan yang dibuat untuk hari Rabu iaitu sebelum mengorak langkah ke makam Sultan Malikus Salih. Lalu tanpa dipinta mahupun dirancang oleh saya, pemandu turut membawa kami ke makam Laksamana Malahayati.


Sambil saya meneroka sekeliling dan mengambil gambar-gambar pemandu pula berbincang dengan 2 orang warga tempatan sambil isteri saya mendengar... rupa-rupanya tentang perniagaan lada kerana mereka ini ada menanam lada di kawasan beberapa ekar tidak jauh dari benteng. Satu masa dahulu wilayah-wilayah tepian pantai Aceh merupakan pembekal utama lada bagi seluruh Nusantara. Komoditi ini turut dieksport sehingga ke pasaran Eropah. Ini menjadi salah satu asbab yang menarik kuasa-kuasa Barat untuk cuba menjajah Aceh...




Lawatan ke Benteng Inong Balee juga mengharuskan kami turut melawat ke sebuah lagi benteng yang lebih teratur. Itulah Benteng Iskandar Muda yang terdapat pada hujung barat Teluk Lamreh atau Teluk Lamuri, dalam perjalanan kembali ke Banda Aceh...


Nasib baik untuk perjalanan hari Sabtu ini saya ada membawa sebuah pamplet tentang tempat-tempat bersejarah di sekitar ini, diperolehi semasa melawat Gunongan di tengah Banda Aceh. Sila lihat artikel Bismillahi rahman nir rahim, kasi selesai le aktiviti hari pertama di Aceh sampai habis! yang ditulis lebih 2 bulan lalu.


Melalui pamplet yang ditinggalkan di dalam kereta semasa naik bukit ke makam Malahayati inilah saya dapat tahu kedudukan sebenar Benteng Inong Balee. Lalu saya juga dapat tahu akan kewujudan serta kedudukan Benteng Iskandar Muda yang seakan-akan mengapit Teluk Lamreh @ Lamuri seiring dengan Benteng Inong Balee! Lihat artikel Benteng (fortress of) Iskandar Muda di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) untuk maklumat lanjut serta gambar-gambar lain.



OK. Tergerak saya untuk menggunakan Google Earth untuk memaparkan lokasi tempat-tempat penting yang dilawati atas niat asal untuk ke Benteng Inong Balee semata-mata. Maaf jika perkataan yang menunjukkan kedudukan makam Malahayati iaitu yang paling bawah kurang terang...

Tergerak juga saya untuk mengatur gambar-gambar berkaitan pada gambar satelit close-up yang mengenengahkan Teluk Lamreh @ Lamuri. Dengan ini tamatlah artikel yang dimulakan jam 2 pagi membawa kepada ayat terakhir yang ditulis hampir jam 7 pagi. Selepas ini, saya akan cuba menulis sedikit lagi cerita tentang perjalanan hari Sabtu sebelum menutup buku buat masa ini. Sekian buat sementara saya mahu bersolat Subuh...



Selasa, September 15, 2009

Akhirnya, review "Berpetualang ke Aceh" dalam majalah Milenia

Oleh kerana saya masih belum berkesempatan menyambung cerita perjalanan hari Sabtu di Aceh akibat siang tadi kepenatan yang amat sangat diikuti hal-hal lain, biar dipersembahkan satu cerita selingan dahulu ya...


OK. Selepas Isyak tadi, sementara menunggu giliran isteri diperiksa di klinik, saya keluar sebentar lalu singgah di sebuah kedai majalah berdekatan. Tujuan saya adalah untuk membaca free komik "Pedang Setiawan" yang terbaru... tapi tiada pula. Saya pun mengalih perhatian pada majalah-majalah yang ada. Terlihat pula majalah Milenia atau Milenia Muslim terbaru iaitu edisi September. Terus dibuka untuk melihat isinya...


Pada ruangan kandungan ternampak bahagian "Buku dan kritik" (saya bulatkan merah). Di bawah itu terdapat pula tajuk "Mencari diri dan erti dalam travelog". Ait? Ini macam tajuk buku saya je. Saya pun membuka mukasurat tersebut... mukasurat 84.


Tengok-tengok memang betul. Ia adalah review atau resensi oleh saudara S. M. Zakir untuk buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti". Alhamdulillah! Saya pun membaca apa yang tertera. Anda boleh membacanya sendiri dengan membuka gambar yang tertera dalam windows lain atau save sebagai jpeg file kemudian besarkanlah ia.


Walaupun ada sedikit kesilapan fakta di 2-3 tempat misalnya ia menyatakan bahawa buku "Berpetualang ke Aceh" ada 2, satu tentang perjalanan di Malaysia satu lagi di Aceh, saya bersyukur yang amat sangat. Sebenarnya pertengahan tahun 2007 iaitu 2 tahun lalu saya pernah memberikan senaskah buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" dan senaskah "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" kepada pihak penerbit majalah ini meminta agar dibuat resensi. Semasa itu buku ketiga dalam siri ini iaitu "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" masih belum diterbitkan lagi!

Selepas beberapa lama menunggu cerita yang tak keluar-keluar, saya akhirnya mengalah dan melupakannya sahaja. Siapa sangka ia akan keluar dalam edisi bulan September yang masuk bulan Ramadhan tahun ini, setelah 2 tahun menunggu berita? Siapa sangka pula saya mula menyedarinya pada malam tadi, malam 26 Ramadhan... ketika sedang bersedia untuk menamatkan Juzuk ke 30 Al-Quran dengan harapan dapat khatam buat pertama kalinya sejak berumur 12 tahun, sebelum masuk Magrib esok iaitu malam Khamis 27 Ramadhan di mana umur saya akan memasuki 40 tahun menurut kiraan Hijrah!


Do, Re, Mi dan Satu Malaysia... juga perjalanan di Aceh hari Sabtu

Tadi malam saya ada memasang TV sambil membuat artikel di blogspots saya. Sebelum itu iaitu selepas Isyak saya terasa mengantuk yang amat sangat lalu masuk tidur. Sekitar 10.30 malam gitu baru saya bangun lalu menunaikan solat Tarawih dan Witir sebelum membuat artikel baru. Dalam pada itu, terlihat filem Do, Re, Mi di TV. Apabila masuk bab 3 orang tertentu mencari P. Ramlee dan isteri yang kononnya mati untuk menagih bayaran hutang, saya rasa harus mengambil gambar kerana ia memaparkan seorang ceti India, seorang pemilik rumah Melayu dan seorang Ah Long Cina.

Terus terbetik di hati... satu Malaysia sungguh ini. Eloklah dikongsi sedikit cetusan rasa di blogspot ini. Tetapi disebabkan kesibukan membuat artikel, saya terlupa untuk memaparkannya.

Kini selepas masuk Subuh, setelah beberapa lama terus menerus menukil cerita cuma di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tetapi tidak di sini, baru saya teringat untuk memaparkan gambar dari wayang Do, Re, Mi ini. Sebenarnya apa yang berlaku ialah saya mahu melepaskan baki-baki cerita perjalanan di Aceh dengan mahu menghabiskan terus segala yang berlaku hari Sabtu 20 Jun 2009. Maklumlah segala yang berlaku pada hari Jumaat sebelum itu telah berjaya dilepaskan dengan terbitnya artikel Bersolat Jumaat di Masjid Baitur Rahman... dan Menikmati tarian tradisional Aceh di majlis orang! 4 hari lalu, hari Jumaat juga! Tetapi jadual perjalanan Sabtu itu boleh tahan padat juga. Jika saya mahu menceritakannya secara teratur dan berkesan, elok dipecahkan cerita kepada bahagian-bahagian tertentu di blogspots lain sebelum membuat satu cerita yang dapat menyambungkan segalanya di sini pula.

OK. Sejak malam tadi saya cuma berhenti untuk bersolat dan sahur selain makan-minum sedikit sebelum sahur. Selain itu saya terus-menerus mengatur dan menulis cerita, setakat ini dapatlah menyiapkan 3 buah artikel baru berkaitan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, 3 juga di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Oh, baru ingat. Saya juga telah membuat satu lagi terjemahan sukarela untuk website http://www.shiar-islam.com/ dan ini sendiri memakan masa sekitar satu jam!

Setelah meneliti set gambar yang ada untuk perjalanan hari Sabtu di Aceh, saya mendapati perlu untuk melepaskan sekurang-kurangnya 2 lagi artikel di BERPETUALANG KE ACEH dan 2 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)... sebelum dapat membuat satu cerita menyeluruh yang melengkapkan segalanya di sini. Sedangkan saya kini sudah terasa amat letih, rasanya perlu berehat dan tidur dahulu sebelum dapat menyambung lagi. Kebetulan teringat gambar dari filem Do, Re, Mi yang belum dikongsi. Maka eloklah digunakannya sambil membuat satu cerita sebagai pengisi ruang dan masa. Sekian! :]
p/s: Ini adalah artikel yang ke 567 di sini. Alhamdulillah semalam sebelum berbuka saya sempat menamatkan Juzuk 29. Insyallah hari ini dan esok akan digunakan untuk menamatkan Juzuk 30 secara santai. Semoga sempat khatam sebelum masuk waktu berbuka esok di mana akan bermulanya malam untuk 27 Ramadhan lalu jadilah umur saya cukup 40 mengikut tahun Hijrah. Insyaallah!

Jumaat, September 11, 2009

Menikmati tarian tradisional Aceh di majlis orang!

Alhamdulillah, sampailah kita kepada cerita penutup aktiviti hari Jumaat di Aceh iaitu pada 19 Jun 2009. Mari!



Seperti disebut pada artikel Bersolat Jumaat di Masjid Baitur Rahman... aktiviti siang hari Jumaat dimulakan dengan bersolat di masjid utama di situ, aktiviti pertama saya sekembalinya dari makam Sultan Malikus Salih. Selepas itu saya dan isteri berjalan kaki jauh di tengah Banda Aceh dan buat pertama kali sejak sampai ke Aceh hari Isnin merasa naik kenderaan awam seperti van dan beca bermotosikal.

Ini diceritakan panjang lebar dalam artikel A leisurely afternoon in Banda Aceh and reflections on its socio-political conditions... yang baru dibuat di blogspotBERPETUALANG KE ACEH sebelum saya bersahur tadi. Tak sangka pula apabila kami kembali ke hotel terus terserempak dan sekumpulan gadis manis berpakaian tradisional di gambar atas ini...


Sejurus kemudian keluar pula satu kumpulan gadis lain yang lebih senior. Rupa-rupanya mereka-mereka ini akan membuat persembahan tarian tradisional pada satu majlis malam hari nanti.

Allah! Ini betul-betul kes bulan jatuh ke riba. Sejak beberapa hari itu saya 'mengidam' ingin melihat persembahan tarian tradisional Aceh. Isnin semasa turun dari kapalterbang, memang ada persembahan menyambut tetamu di ruang tiba lapangan terbang tetapi saya tidak dapat menikmatinya kerana perlu mengikut Kak Ann berkejar keluar. Lihat artikel pembuka cerita bertajuk Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini....

Kemudian saya diberitahu persembahan tarian tradisional cuma dapat dilihat apabila ada majlis tertentu. Taman kebudayaan di pinggir bandar yang diharap dapat menyajikan persembahan setiap hari untuk para pengunjung pula belum siap lagi ketika itu. Ah. Timbul rasa terkilan tidak dapat menunaikan hajat. Siapa sangka rupa-rupanya ada persembahan bakal disajikan di depan mata. Tak lain tak bukan di dalam hotel tempat saya dan isteri menginap ini sendiri!


Saya meminta kumpulan yang baru keluar tadi bergambar dengan isteri. Bukan selalu dapat bergambar dengan mereka-mereka yang berpakaian begini apalagi dari Aceh, bumi asal tok nenek moyang saya! Rupa-rupanya mereka ini pelajar universiti sedangkan kumpulan pertama yang saya temui seperti dipaparkan pada gambar teratas ialah para pelajar sekolah menengah. Kata mereka, mereka pelajar UnSyiah (Universiti Syiah Kuala). Hmm...


Saya dan isteri kembali ke bilik hotel untuk berehat dan bersiap. Selepas waktu Isyak kami pun turun ke lobi lalu masuk ke dewan utama... dengan selambanya kerana ini majlis orang yang kami tak kenal dan tidak pula dijemput. Tetapi kami buat tak tahu sahaja kerana ingin melihat persembahan tarian tradisional sahaja...


Kelihatan para pemuzik sudah siap menunggu. Saya seperti biasa berjalan mengambil gambar apabila ada peluang untuk merekodkan keadaan...


Ternyata saya dan isteri adalah antara orang paling awal sampai. Kami difahamkan majlis bermula jam 8 sedangkan kami sendiri turun selepas Isyak iaitu selepas jam 8.30. Itupun dewan masih banyak kosong. Terpaksalah menunggu agak lama semata-mata untuk menikmati persembahan tarian.

Nasib baik kami cukup selamba berlagak seperti tetamu jemputan. Sempat berbual dengan beberapa jemputan lagi dan apabila ditanya kami dari mana kami cuma jawab dari Malaysia. Terus disangka kami ini adalah dari NGO Malaysia yang pernah turut tolong membantu proses pemulihan Aceh selepas tsunami menyerang 26 Disember 2004. Memang majlis ini menjemput banyak wakil NGO seantero dunia yang terlibat kerana ia dianjurkan oleh sebuah syarikat Jerman yang turut bekerjasama!


Ini adalah pembacaan Quran yang turut membuka majlis yang akhirnya bermula sekitar jam 9. Sebenarnya sudah ada satu sesi tarian tradisional membuka majlis terlebih dahulu tetapi saya terlupa mengambil gambar. Atau saya yang tersilap mengatur gambar kerana terjadi sesuatu perkara yang menyebabkan aturan gambar dalam simpanan komputer jadi sedikit celaru? Ah. Cukup susah untuk saya mengingatkan aturan sebenar kerana majlis ini berlaku hampir 3 bulan lalu!


Hadirin turut ditunjukkan tayangan video yang menyatakan sumbangan syarikat Jerman dalam pemulihan Aceh.


Kemudian ada persembahan tradisional dari sekumpulan kanak-kanak lelaki!


Ini diikuti persembahan tarian daripada kumpulan pelajar universiti yang saya temui di lobi. Bagaimana saya tahu aturan majlis jika saya sudah terlupa? Nanti di penghujung cerita baru saya beritahu. Untuk pengetahuan, kumpulan ini juga turut membuka majlis. Saya tak pasti apakah ini gambar dari sesi tarian pembukaan atau sesi pertengahan. Yang pasti mereka memang menari dua sesi...

Kemudian sampailah giliran untuk kumpulan gadis remaja sekolah menengah yang saya temui lebih awal di lobi untuk membuat persembahan...



Ternyata persembahan mereka adalah main course atau 'hidangan utama' tarian tradisional untuk majlis ini kerana dibuat untuk membawa kepada kemuncak. Paling menarik (juga melucukan) adalah gaya yang pada saya kelihatan seperti sekumpulan siput sedang menari!




Kemuncak majlis membawa kepada ucapan oleh Gabenor Aceh, kalau di Malaysia sama tarafnya dengan ketua menteri...



Ini diikuti sesi pertukaran cenderamata dengan tokoh-tokoh pemerintahan Aceh... kerana syarikat Jerman ini telah tamat tempoh menawarkan khidmat mereka di sana lalu mahu bertukar-tukar barang yang boleh dijadikan ingatan...

OK. Bagaimana saya boleh ingat kembali aturan majlis? Sebabnya, saya turut membuat klip-klip rakaman video yang agak teratur dan dapat saya ingat kerana telah diuploadkan ke Internet iaitu di YouTube lebih sebulan lalu dengan diberi label yang sesuai. Dengan itu anda boleh melihat rakaman tarian-tarian tradisional juga bacaan Quran dari majlis ini. Tadi telah saya kumpulkan kesemuanya dalam satu artikel bertajuk Enjoying Aceh traditional dance by crashing a private function... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Oh. Sebelum, dalam dan selepas majlis, ramai orang tersenyum pelik melihat saya. Nak tahu kenapa? Lihat sendirilah pakaian yang saya gunakan untuk majlis besar yang melibatkan ramai tokoh pemerintahan Aceh, tokoh korporat dan NGO berserta Gabenur Aceh sendiri.

Tengok video klip di bawah yang diambil secara tidak sengaja. Asalnya saya cuma meminta isteri mengambil gambar. Rupa-rupanya saya terlupa hendak menukar mood kamera dari video ke gambar biasa. Jadilah klip video pendek ini!

Dengan ini tamatlah proses penulisan yang dibuat malam Jumaat ini untuk menerangkan aktiviti yang dibuat pada hari Jumaat hampir 3 bulan lalu di Aceh. Sedar tak sedar, sejak tengah malam tadi hinggalah kini hampir jam 7 pagi, saya telah menulis 7 buah artikel baru, 3 di blogspot ini, 1 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 3 di BERPETUALANG KE ACEH . Kiranya 3-1-3 le. Sekian, selamat malam, eh selamat pagi! :]




Bersolat Jumaat di Masjid Baitur Rahman...

Assalamualaikum semua. Dalam artikel Bismillahi rahman nir rahim, kasi selesai le aktiviti hari pertama di Aceh sampai habis! yang dibuat lebih 2 bulan lalu saya telah berjanji akan membuat satu artikel tentang pengalaman bersolat Jumaat di masjid utama paling terkenal di Aceh iaitu Masjid Baitur Rahman. Kini setelah selesai cerita tentang perjalanan ke makam Sultan Malikus Salih seperti yang terkumpul pada artikel Himpunan cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih" dan 999... dapatlah saya menunaikan janji itu. Kebetulan pada waktu ini sudah masuk hari Jumaat baik ikut perkiraan Islam mahupun Barat. Ingat, ikut Islam sudah masuk Jumaat sebaik sahaja masuk Maghrib tadi sedangkan Barat mendefinasikan masuk hari baru hanya selepas jam 12 tengah malam. Mari!


Cerita ini boleh dianggap sambungan daripada artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda! . Selesai ziarah di makam, rombongan kami terus kembali ke Banda Aceh. Kami cuma singgah sebentar di Bireuen untuk berehat mengisi perut selain menurunkan rakan iaitu bekas seorang panglima perang GAM yang turut ikut ziarah (rujuk artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Dua sekolah pondok di Bireuen... ).

Kami sampai ke Banda Aceh sejurus sebelum masuk Subuh. Selepas pemandu menghantar saya dan isteri kembali ke hotel, kami bersolat dahulu sebelum masuk tidur. Lepas tengahari baru saya bersiap untuk solat Jumaat. Pemandu mengambil saya di hotel dan kami terus pergi ke Masjid Baitur Rahman di tengah Banda Aceh.

Walaupun masjid ini terletak di tengah ibukota, jalan yang ada semuanya kelihatan agak lengang. Ini disebabkan seperti di negeri-negeri tidak bersekutu di Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah (Johor mengikut jadual Wilayah Persekutuan), Jumaat ialah hari cuti umum di Aceh.

Apapun kesesakan lalu-lintas di sini agak terkawal walaupun pada hari kerja. Kalau tak salah saya, Banda Aceh mempunyai jumlah penduduk tidak kurang setengah juta. Hmm... rasanya keadaan lalu-lintas di sini boleh disamakan dengan keadaan di bandaraya Pulau Pinang (maaf, saya benci menggunakan perkataan Georgetown) yang juga agak santai walaupun ramai orang dan boleh tahan pesat pembangunan.

Mari kita masuk ke kawasan masjid...


Hari Jumaat itu baru saya sedar bahawa Masjid Baitul Rahman yang turut diserang Tsunami 26 Disember 2004 mendapat bantuan baik-pulih daripada kerajaan Arab Saudi...



Keadaan wanita Aceh yang diberi banyak ruang untuk bergerak bebas asal sahaja menurut lingkungan hukum syariah boleh digambarkan dengan kehadiran sesetengah mereka turut bersolat Jumaat...




Seperti di mana-mana masjid utama sama seperti di Malaysia, kaum pria ataupun lelaki boleh kelihatan melimpah-ruah terkeluar dari bangunan...





Saya berjalan 200 meter gitu ke tepian kawasan untuk mengambil wudhuk. Ketika itu khutbah Jumaat semakin menghampiri penghujung...





Masjid Baitur Rahman dilihat dari tempat wudhuk.





Saya selesai mengambil wudhuk selepas qamat dibacakan. Tidak mahu tergesa-gesa, saya berjalan biasa dan santai ke bangunan masjid dan sampai ke dalam ketika orang bangkit dari rukuk gitu. Maka saya harus menunggu raka'at seterusnya untuk masuk... dapat juga mengambil gambar jemaah sedang bersolat.





Tunggu, tunggu...





OK. Sedia untuk masuk barisan!






Gambar-gambar seterusnya diambil selepas selesai solat...
















OK. Selepas bersolat saya dan pemandu kembali ke hotel mengambil isteri untuk dibawa keluar makan dan berjalan. Hari itu buat pertama kalinya sejak berada di Aceh kami suami isteri berjalan kaki santai jauh di sekitar Banda Aceh. Kami juga merasa jalan-jalan naik beca. Tetapi bab ini cerita dan gambar-gambarnya biar saya letak dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH ya. Sila jenguk ke sana nanti ya! Untuk peringatan diri saya, ini adalah artikel ke 565 di blogspot ini...



Aceh dan perlaksanaan syariat Islam...

Set gambar yang ditemui setelah membuat Google Image Search menggunakan keywords "Syariah Aceh" ini menunjukkan perlaksanaan hukuman sebat yang pernah dilakukan Aceh setahun dua dahulu kalau tak salah...

Tadi selepas Maghrib saya dan isteri pergi menyambung makan buka puasa di luar. Ternampak akhbar Harian Metro untuk hari Khamis 10 September lalu terjumpa artikel menarik tentang perkembangan terbaru perlaksanaan hukum syariat di Aceh. Teringat juga lawatan saya dan isteri ke sana...

Satu perkara menarik yang kami dapati, di Aceh tiada masalah jenayah, sekurang-kurangnya tiada yang ketara seperti kita biasa dengar di Malaysia. Orang perempuan boleh berjalan bebas malah menaiki motosikal ke sana ke mari dengan tas tangan tergantung di bahu tanpa perlu risau barangan mereka dicuri apalagi mahu dicabul ataupun dirogol, semuanya akibat undang-undang syariah kini mula dilaksanakan kembali secara ketat mengambil iktibar dari peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang dianggap sebagai peringatan agar kembali kepada nilai-nilai sebenar dahulukala yang telah menyebabkan Aceh dikenali sebagai bumi Serambi Mekah.

Di sini saya tergerak untuk berkongsi artikel dari Metro yang berjaya didapatkan daripada Internet. Semoga kejayaan Aceh melaksanakan hukum syariat dapat memartabatkan kembali hukum-hukum Islam sehingga mengatasi konsep civil law atau perundangan Barat yang terus menghantui dunia Islam yang meremeh-temehkan hukum Allah SWT akibat berlakunya penjajahan berluasa akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20 Masihi yang memaksa kita menerima-pakai sistem asing yang sebenarnya berasal daripada hasil pemikiran puak Yahudi Zionis. Semoga ia menjadi contoh yang bakal menyemarakkan juga usaha memartabatkan Islam ke tingkat tertinggi di negara kita sendiri!

--------------


Aceh kuat kuasa syariah

BANDA ACEH: Pihak berkuasa Aceh sudah bersiap sedia untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam, termasuk merejam penzina yang sudah berkahwin hingga mati.

“Golongan belum berkahwin yang berzina akan disebat 100 kali sementara yang dah berkahwin akan direjam hingga mati,” kata anggota Parlimen tempatan, Raihan Ismail dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS).

Aceh yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan Indonesia selepas hampir 30 tahun dilanda keganasan akibat gerakan pemisah, hanya melaksanakan sebahagian sahaja undang-undang syariah ketika ini, termasuk mewajibkan pakaian menutup aurat, solat lima waktu, puasa sepanjang Ramadan dan membayar zakat.

Undang-undang syariah dibenar dilaksanakan di Aceh sebagai sebahagian daripada pakej autonomi yang dipersetujui oleh kerajaan Indonesia sebagai ganti kepada tuntutan kemerdekaan penduduk wilayah itu.

“Rang undang-undang itu hanya tertumpu kepada isu etika, termasuk meminum arak, berjudi, berzina dan merogol,” kata Raihan.

Parlimen Aceh dijadual meluluskan undang-undang baru itu Isnin depan.Jenayah seperti membunuh, merompak dan rasuah tidak termasuk dalam undang-undang baru itu.

Selasa, September 08, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda!

Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama

- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti dipaparkan dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.




Assalamualaikum semua. Setelah beberapa lama akhirnya sampailah kita ke penghujung siri cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih". Maka biar saya copy and paste satu sedutan berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti", dari mukasurat 225 iaitu mukasurat terakhir Bab 5, cerita setelah saya (atau watak yang diberi nama Muhammad Al-Aminul Rasyid) bermalam di hadapan makam Sheikh Abdul Wahab di Kampung Babussalam...

--------------------

Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...

Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”

Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...

Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...

------------------


Perhatikan perenggan akhir sedutan di atas. Perhatikan betapa ia menyebut bahawa dalam perjalanan pertama ke bumi Serambi Mekah yang dibuat Januari 2004, saya telah mensasarkan untuk bermalam Jumaat di Aceh... kerana saya meninggalkan Babussalam pada pagi Khamis. Sekarang teliti balik beberapa cerita yang membawa kepada cerita sebelum ini iaitu Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak... . Perhatikan bagaimana perjalanan dari Banda Aceh untuk ke makam Sultan Malikus Salih Jun 2009 dimulakan hari Rabu dan sepatutnya boleh selesai hari itu! Tetapi keadaan menyebabkan saya harus menyambung kembali perjalanan Januari 2004 melalui Langsa pada hari Khamis. Sekarang baru kita menyambung cerita...


Tadi saya telah membuat sebuah artikel baru bertajuk From Perlak to Geudong, seat of the powerful twin ancient kingdoms of Samudera and Pasai! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Cerita dan gambar di situ dapat menerangkan bagaimana rombongan kami meninggalkan Perlak petang Khamis dan singgah di satu tempat bernama Idi waktu Maghrib iaitu masuk malam Jumaat. Kami ke sana kerana saya hendak menunaikan pesanan seorang kenalan iaitu Habib Hassan Aceh di Malaysia yang kini saya anggap seperti seorang ayahanda.

Beliau yang dikenali dalam satu perjumpaan mengenai peranan Ahlul Bait anak cucu Nabi (lihat artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati! ) meminta saya berjumpa sanak saudaranya di Idi. Lawatan ke sana nampaknya turut menyumbang kepada aturan Qada' dan Qadar' untuk saya hari itu sehingga kami akhirnya sampai ke makam Sultan Malikus Salih sekitar jam 10 malam Jumaat. Ini seolah-olah menyambung juga perjalanan lama yang dirancang lebih 5 tahun lalu seperti disebut pada perenggan terakhir sedutan di atas gambar... kerana niat untuk bermalam Jumaat di Aceh Januari 2004 rupa-rupanya ditunaikan dengan sampai malam Jumaat ke makam Sultan lama tersohor di bumi Serambi Mekah ini lebih 5 tahun kemudian!


Ah. Tidak dapat digambarkan perasaan yang bermain di hati apabila akhirnya dapat sampai ke sini setelah perjalanan lebih 5 tahun tergendala! Lebih-lebih lagi sampai dalam keadaan saya telah kembali berumahtangga, bersama isteri yang tersayang setelah begitu lama menduda tak tentu hala. Tadi selepas turun daripada kereta, ketika semua orang termasuk isteri terus masuk ke kawasan makam, saya pergi seorang diri ke kawasan luar untuk mengambil wudhuk. Dalam berjalan mencari air paip itu sedar tak sedar saya mula menangis teresak-esak.

Kemudian saya terdengar bacaan Quran yang begitu indah seperti berkumandang dari sebuah rumah berdekatan, bacaan paling indah pernah saya dengar seumur hidup hingga kini! Allah, tadi semasa menulis perenggan ini tiba-tiba dada saya terhenjut-henjut lagi teringatkan apa yang berlaku... teringat bahawa Sultan Malikus Salih yang juga dikenali sebagai Raja Merah Silu pernah disuruh membaca Al-Quran oleh Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad. Apakah itu suara paduka nenda yang cunda dengar? Allah!

Rasanya tidak mampu untuk saya bercerita perasaan sebenar saya sepanjang berada di situ. Maka itu biarlah cerita ini diselang-selikan dengan beberapa sedutan tentang identiti sebenar Sultan Malikus Salih yang cuba disinggung melalui bab bertajuk "Samudera Pasai : Bumi para wali" dari buku pertama "Berpetualang ke Aceh"...

-----------------------

“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”

“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”

“Mereka juga disuruh membawa perkakas dan alat-alat kerajaan daripada Mekah untuk menabalkan Sultan Malikus Salih menurut adat pertabalan Raja-raja Islam,” pemuda itu menyambung. “Apakah ada raja lain di Nusantara atau mana-mana pun yang pernah menerima pengiktirafan sebegini?” katanya lalu merenung tepat muka rakan itu.


Oh. Kedatangan kami di sini turut diiringi dan disambut ketua-ketua kampung dan ulamak berdekatan. Mereka yang menyarankan agar saya membasuh kepala dan muka di atas batu nesan kepala Sultan Malikus Salih lalu membiarkan airnya mengalir mengenai batu nesan sebelum masuk ke dalam tanah makam. Lagi sedutan kecil...

------------------

Wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga menyebut negeri Samudera mesti diIslamkan kerana di sana nanti ramai orang akan jadi wali. Jika ramai rakyatnya akan jadi wali, siapakah pula raja yang layak memerintah kalau baginda sendiri bukan raja bertaraf wali atau raja para wali? Bukankah pemimpin mesti lebih arif daripada yang dipimpin?

Selain ini, hikayat yang dianggap teks tertua Melayu Islam itu juga menyebut Nabi sendiri yang memberikan nama Sultan Malikus Salih yang bermakna Sultan dan raja kepada orang-orang salih. Walaupun ini berlaku dalam mimpi, tidakkah ia menunjukkan Merah Silu adalah seorang manusia yang berdarjat tinggi, baik sebagai pemerintah mahupun sebagai seorang Islam dan Mukmin sejati?


Adapun seperti perjalanan ke Aceh Januari 2004, perjalanan Jun 2009 juga dibuat dengan saya turut membawa selimpang merah yang tiba-tiba muncul dengan sendirinya pada satu Subuh di rumah saya pada penghujung tahun 2001 atau awal 2002, ketika saya sedang bermalam seorang diri di situ! Ketika itu saya masih baru dalam proses untuk mengenali salasilah keluarga lalu mendapat alamat selempang merah itu dimunculkan dari alam ghaib sebagai tanda pengenalan untuk membantu pencarian saya. Seorang kenalan tertentu telah menasihatkan saya agar membawanya ke Aceh dan inilah yang saya lakukan lebih 5 tahun lalu. Tetapi baik dalam perjalanan dahulu mahupun yang terbaru, di hadapan makam Sultan Malikus Salih baru saya tergerak untuk mengeluarkannya daripada beg lalu memakainya. Sambung lagi dengan sedutan yang sedikit panjang...

--------------------

Seorang tua educated, memiliki Masters in Education daripada University of Harvard, sebuah univeristi terkemuka Amerika tetapi kemudian lebih selesa menjadi petani di sebuah kampung terpencil di Negeri Sembilan pernah memberitahu, raja bertaraf wali ini boleh diibaratkan seperti seorang Brahmin Hindu yang diangkat menjadi raja. Dalam sistem kasta Hindu, raja-raja biasanya berasal daripada golongan Kesatria yang juga mengandungi pahlawan, pendekar dan hulubalang sedangkan Brahmin yang merupakan golongan alim ulamak lebih mementingkan akhirat daripada dunia.

“Maka kasta Brahman ini adalah kasta yang tertinggi dalam hierarki agama Hindu, lebih setingkat daripada golongan Kesatria termasuk raja-rajanya kerana mereka lebih dekat kepada Sang Pencipta,” dia menambah. “Maka itu juga, seorang raja dari golongan Brahmin adalah lebih tinggi kedudukan dan tarafnya daripada seorang raja Kesatria, ibarat kelebihan seorang raja bertaraf wali ke atas raja-raja biasa, tidak kiralah berapa tinggi pun daulat raja itu.”

Kata pakcik itu lagi, adab seorang raja wali juga berbeza dengan raja biasa. Lebih dekat kepada cara Rasulullah SAW yang pada hakikatnya adalah raja segala raja walaupun penampilannya sekadar seperti seorang hamba.

“Raja biasa lebih menunjukkan kebesaran yang diringi berbagai perhiasan seperti sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan moyang Raja-raja Melaka sedangkan seorang raja wali lebih mendekati kezuhudan, amat merendah diri dan sangat ringkas penampilannya walaupun peribadinya jauh lebih terserlah kerana keakrabannya dengan hadirat Ilahi.”

Sultan Malikus Salih yang mangkat tahun 1297 Masihi (ada yang menyebut 1292) telah mendirikan kerajaan Samudera kemudian Pasai untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, bukan untuk bermegah-megah. Baginda memakmurkan kerajaan dengan asas Iman dan Takwa, bermula daripada diri baginda sendiri sebagai Ulil Amri, pemerintah dan ulamak pewaris Nabi yang layak memerintah bumi para wali.

Maka itu tercatat di batu nesan baginda di makamnya di tapak pusat kerajaan Samudera, terjemahan dari bahasa Arab: “Ini kuburan almarhum yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadat, penakluk yang bergelar Sultan Malik Al-Salih.” Sifat-sifat seperti inilah yang akan diwarisi anak-cucu baginda nanti, meneruskan perjuangannya menegakkan syiar Islam di muka bumi ini, perjuangan yang juga diwarisi dari Nabi...

Kak Ann turut bergambar di sisi makam. Kelihatan juga di sisi bertentangan ialah makam Sultan Malikul Zahir yang disebut sebagai anakanda Sultan Malikus Salih. Nampaknya dalam banyak-banyak orang yang berada di sekitar ketika itu, pada pandangan saya tidak kurang 50 orang, cuma saya, isteri dan Kak Ann sahaja yang berani duduk rapat dengan makam. Mungkin kerana orang lain segan?

Sebenarnya banyak perkara yang ingin saya lakukan jika ada privacy dan kelapangan. Mahu sahaja saya berbaring sebentar di sebelah makam jika saya sendiri tidak terasa segan dengan kehadiran begitu ramai orang yang memerhatikan. Apapun, gambar ini boleh menjawab persoalan yang ditujukan dalam artikel pertama saya tentang perjalanan Jun 2009 di Aceh ini, artikel pembukaan bertajuk Ole-ole dari Aceh... coming! yang dibuat hampir 3 bulan lalu. Kini makam ini sudah dilawati, maka hampirlah kita kepada penghujung cerita-cerita tentang perjalanan ke Aceh!


Ini pula adalah gambar yang sudah diletakkan di dalam artikel Salam Ramadhan... semoga berkat bulan mulia menghilangkan H1N1 dan segala macam kekalutan... yang dibuat 2 minggu lalu, gambar yang diletakkan bersama gambar batu nesan Sultan Alauddin Riayat Shah yang turut diletakkan selempang yang sama. Apa yang berlaku, setelah duduk beberapa lama di sisi makam Sultan Malikus Salih timbul rasa kuat untuk meletakkan selempang merah ini sebegitu rupa. Tetapi saya segan melihat ramai orang memandang. Dan lagi saya tidak mahu dianggap kurang-ajar atau melalukan perkara-perkara tahyul lagi khurafat oleh orang-orang tua tempatan yang ada.

Saya pun memberitahu hajat saya kepada orang tua yang terdekat ketika itu. Saya sudah lupa apakah beliau ketua kampung, ulamak atau penjaga makam. Yang pasti beliau juga orang penting tempatan dan beliau membenarkannya. Apa lagi saya pun melepaskan hajat yang tertunda.

Dengan ini, pada malam 19 Ramadhan, dapat juga saya akhirnya melepaskan cerita sehingga sampai ke makam Sultan Malikus Salih ini. Dengan ini saya memohon kepada Allah Subhanahuwataala dengan berkat kewalian nenda dan para leluhur lain berserta paduka Habibullah yang paling 'ali di seluruh semesta alam ini agar bulan Ramadhan di mana penghujungnya saya akan mencapai umur 40 mengikut tahun Hijriah dapat membawa perubahan menyeluruh yang menghilangkan segala keburukan serta sifat-sifat mazmumah diganti dengan segala kebaikan dan sifat-sifat mahmudah. Amin ya Rabbul Alamin. Selamat malam!

p/s: Pagi tadi selepas menghabiskan Surah Yassin lalu masuk Juzuk ke 23 saya bertekad cuma akan sambung mengaji selepas selesai melepaskan cerita ini. Alhamdulillah, nampaknya selepas ini dapatlah saya menyambung usaha cuba mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk Malam Tujuh Likur, Insyaallah! :]