Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, April 07, 2009

Cerita An-Nur - Satu pertemuan yang tak dijangka


Assalamualaikum. Rasanya sudah sampai masanya saya mula bercerita tentang An-Nur. Lebih cepat saya melepaskan cerita ini, lebih cepat saya boleh bercerita tentang apa yang berlaku ketika umrah tahun 2005. Maka lebih cepat juga saya melepaskan suatu perkara penting yang terbuku di dada. Siang tadi, saya baru menyiapkan satu artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang melibatkan kenangan lama juga. Artikel itu bertajuk Remembering the "A" Level college days. Start of the disco fun and girls... sebenarnya adalah sambungan kepada satu siri penceritaan kenangan zaman kolej 20 tahun lalu yang pernah dimulakan ceritanya di blogspot itu hampir setahun lalu. Tetapi ia jadi terbengkalai tidak lama kemudian akibat gerak rasa yang tersekat lalu berubah ke arah penceritaan lain.

Di atas adalah bahagian sungai tempat saya berkenalan dengan An-Nur awal tahun 2005, dikutip balik daripada artikel lama Janda baik tempat rehatku yang dibuat tahun 2007. Saya tidak berapa ingat bila perkenalan itu berlaku... rasanya sekitar Februari atau Mac tahun itu.

OK. Ketika itu saya masih lagi duduk menumpang di rumah penulis politik terkenal tanahair, S.H. Alattas, atau panggilannya Pak Habib. Dah masuk 2 tahun dah di sana, sejak saya keluar dari rumah sewa yang pernah diduduki bersama bekas isteri. Ketika itu saya sudah siap menulis segala isi yang patut untuk dijadikan siri buku "Berpetualang ke Aceh", malah dah jadi bentuk buku pun. Tetapi ia masih belum dapat diterbitkan kerana satu, orang-orang yang katanya mahu menolong menerbitkan buku itu tidak mengotakan kata. Sementara pihak lain yang berminat pula mahu saya menukar isi dan jalan cerita ke satu tahap yang saya tidak boleh terima. Malah tajuk utama "Berpetualang ke Aceh" yang saya dapat secara ilham semasa mula-mula sampai ke sempadan Aceh ketika masih darurat awal 2004 pun disuruh tukar jadi lain. Mana boleh!

Sepanjang tempoh menumpang di sana, saya samada akan berada di Janda Baik ataupun bermalam di pejabat Pak Habib di Kuala Lumpur. Kalau di pejabat, saya akan menolong memberikan idea atau memperbaiki isi buku terbarunya, kalau di Janda Baik saya sekadar berehat atau berjumpa kawan-kawan. Di celah-celah itu, saya juga rajin keluar mengembara, sesekali ke belah Perak hingga ke Kedah, sesekali ke belah Kelantan dan Terengganu. Tak sangka pula ketika berada di Janda Baik, akan berlaku satu perkenalan yang tak diduga.

Sebenarnya sudah banyak kali berlaku perkenalan yang tak diduga dalam hidup saya. Tetapi yang ini agak pelik dan istimewa kerana apa ya? Ah... ikut sahajalah ceritanya.

Pada satu petang, saya keluar dari rumah melalui arah dapur. Memang saya biasa keluar dari situ samada untuk ke bilik air di belakang, ke taman untuk berjalan-jalan kaki ayam atau mandi di sungai yang bersebelahan. Hmm... kalau tak salah ingatan memang petang itu saya keluar melalui dapur untuk ke bilik air. Kemudian dalam perjalanan kembali untuk masuk ke bilik tidur, saya terlihat seorang gadis manis mandi berseorangan di sungai bersebelahan.

Ah... saya tidak ingat secara terperinci apa yang berlaku. Apa yang ingat, saya telah menegurnya lalu kami mula berbual-bual, rasanya tentang alam sekitar. Gadis ini memperkenalkan dirinya sebagai An-Nur. Orangnya langsing, berambut sederhana panjang dengan kulit agak putih kemerahan dan rupa-paras ada ciri-ciri Arab. Saya pula tergerak untuk bertanya tentang asal-usulnya, Ternyata dia seorang Sharifah dari cabang keluarga yang sama dengan gadis kesayangan saya ketika itu, gadis yang saya sering panggil sebagai Nur.

Saya bertanya jika An-Nur mengenali Nur. Memang dia mengenali nama Nur yang merupakan seorang penggiat seni yang agak dikenali ramai di tanah air. Tetapi mereka tidak saling-mengenali secara peribadi. Dalam pada itu, saya ternampak ada sesuatu yang menghantui pemikiran An-Nur. Saya rasa ia ada kena-mengena dengan perjalanan hidupnya sendiri. Apakah dia juga sedang mencari diri dan erti?

Memikirkan perjalanan hidup saya sendiri yang akhirnya membawa kepada perkenalan dengan salasilah keluarga yang melibatkan amanah tertentu, saya terpanggil untuk menasihati An-Nur agar menghayati betul-betul makna keluarga Ahlul-Bait, mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW. Kata saya, kita semua harus menghayati kembali cara hidup Nabi yang syumul. Lebih penting lagi, sebagai anak cucu keturunan, kita harus memperjuangkan agama Islam dan nasib ummah dan untuk itu, kita harus bangun lebih kuat daripada orang lain... dengan mencari kembali jati-diri sebenar yang tersorok di sebalik zat dan darah-daging dalam diri.

Lebih satu jam juga kami kami bercerita macam-macam. An-Nur sempat menunjukkan sebuah sajak yang dikarangnya sendiri lalu meminta komen, tak ingat tentang apa. Pada saya sajak itu boleh tahan, cuma jumlah perkataannya harus dikurangkan. Cuba bercerita perkara yang sama dengan untaian perkataan yang lebih ringkas dan mudah.

Rupa-rupanya An-Nur datang bersama dua orang kawan. Tetapi dua orang kawan itu nampaknya telah membawa diri jauh ke belakang hingga masuk ke kawasan hutan. Entah apa yang dibuat mereka, lelaki dan perempuan. Yang saya ingat, apabila An-Nur sudah bersiap untuk pulang, terbetik dalam hati ini... "Ah... boleh tahan cantik budak ni. Menarik juga ini." Tetapi bagaimana pula tentang Nur yang bertakhta dihati?

Kemudian An-Nur pun pulang ke Kuala Lumpur bersama dua orang kawannya. Walaupun dia memang menarik orangnya, cuma banyak cakap sikit, tetapi saya tidak mengharapkan apa sangat. Siapa sangka nanti dia teringin sangat mahu menjadi isteri saya! Tetapi itu sudah melangkaui cerita. Cukuplah ini sebagai pembukaan ya... selamat malam! :]

Selasa, Mac 31, 2009

Bunga-bunga orkid dan cerita An-Nur... juga cerita umrah 2005

Gambar di sebuah ladang bunga orkid berdekatan rumah saya dan isteri. Seronok juga membawa ayah dan ibu ke sana kerana mereka memang minat bunga-bunga... tengok sahaja sejumlah pokok yang 'diborong' mereka di dalam kereta...

OK. Dengan selesainya penulisan artikel Ziarah ke Batak Rabit dan sangkar ikan di Sungai Perak tadi maka selesailah segala proses penceritaan yang mahu dilepaskan berkaitan lawatan ke Jengka untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Adapun disebabkan majlis itulah berlaku beberapa perjalanan agak jauh selepas hampir 2 bulan mengekang diri dengan cuma berjalan paling jauh pun setakat ke Negeri Sembilan dan keliling Selangor. Disebabkan perkahwinan itu juga saya dan isteri dapat berjumpa ayah dan ibu setelah lebih 2 bulan tidak bersua. Malah disebabkan itu juga buat pertama kali ayah dan ibu datang bertandang ke rumah kami sehingga tidur 3 malam di situ selain pergi berjalan-jalan ke banyak tempat bersama.

Dengan ini bolehlah mood penceritaan di bawa ke peringkat seterusnya. Dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... yang dibuat seminggu lalu, saya ada menyebut :-

Mereka yang sudah membaca siri novel "Berpetualang ke Aceh" kemudian mengikuti tulisan-tulisan di blogspots saya mungkin sudah terbiasa mendengar nama Nur, gadis yang dijadikan watak wanita utama dalam siri itu. Itu yang menyebabkan ada yang terkeliru, apakah An-Nur itu sama dengan Nur walhal mereka memang watak yang berlainan malah ternyata berpangkat saudara dua pupu gitu...

Mungkin ada yang akan keliru dengan semua ini. Lebih-lebih lagi kemudian muncul watak yang saya panggil sebagai Nur kedua, gadis yang kemudian menjadi isteri saya kini, dalam dunia nyata. Ya, semua watak-watak ini wujud dalam dunia realiti, bukan watak angan-angan atau ciptaan fikiran atau garapan penceritaan semata-mata. Sesungguhnya memang siri novel "Berpetualang ke Aceh" diatur berdasarkan pengalaman sebenar saya.

Adapun watak-watak ini ditimbulkan bukan semata-mata untuk suka-suka bercerita tetapi untuk melepaskan beban gerak rasa... sebelum saya dapat meneruskan kerja-kerja lain dan mencapai peringkat kehidupan seterusnya kerana itulah saya, menangani hidup menurut gerak rasa dengan sejujur yang mungkin walaupun harus membuka pekung di dada. Sebab itu saya rasa cerita An-Nur tetap harus dinukilkan nanti. Selepas itu baru boleh diceritakan apa yang berlaku ketika umrah 2005, di mana satu watak wanita lagi akan diperkenalkan kerana itu yang berlaku sebelum kita beralih kembali kepada cerita Nur.

Sebelum itu, elok dilepaskan dahulu apa-apa rasa dan gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru yang berlaku dalam tempoh seminggu kebelakangan.

Oleh kerana gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru telah pun selesaikan bolehlah saya menyambung ke cerita An-Nur. Sambil itu bolehlah juga saya menyambung satu kerja terjemahan penting yang sudah hampir sebulan tertunda. Maka bila saya menulis lagi di sini, akan saya mulakan dengan satu cerita pembukaan tentang perkenalan dengan An- Nur. Dari situ dan cerita-cerita yang bakal menyusul nanti, insyaallah pembaca akan dapat mengikuti dengan lebih tepat apa yang berlaku ketika umrah 2005 yang membawa beberapa implikasi... salah satunya adalah kemunculan siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang nyaris-nyaris tak jadi. Dan lagi, mungkin umrah 2005 itu ada kena-mengena dengan mengapa saya begitu lama mendambakan kehadiran Nur pertama sebagai penyeri hidup tetapi ditakdirkan akhirnya beristeri kembali dengan orang lain iaitu gadis yang dikenali sebagai Nur kedua.

Oh, pertukaran mood bercerita yang muncul malam ini turut disentuh di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH... melalui artikel Of orchids and old college memories... yang baru dibuat tadi. Dengan menggunakan satu gambar lain di ladang orkid yang sama, saya menyatakan azam untuk menyambung kembali cerita tentang kenangan lama semasa belajar "A" Levels di kolej 20 tahun lalu. Kebetulan artikel Of orchids and old college memories... adalah posting ke 303 di situ, satu nombor yang simmetrikal lagi menarik. Sedangkan artikel ini pula adalah yang ke 481 di sini. Oleh kerana blogspot saya yang satu lagi iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sudah mempunyai 217 postings, ini membawa kepada jumlah keseluruhan 1001 artikel (303 + 481 + 217), satu nombor simmetrikal yang bukan sahaja cantik malah mengingatkan pada cerita 1001 malam. Selamat malam! :]

p/s: Hmm... kebetulan sekejap lagi masuk 1 April. Tapi apa yang saya ceritakan ini bukan April Fool ya. Adios!

Ziarah ke Batak Rabit dan sangkar ikan di Sungai Perak


Dari majlis perkahwinan di Selekoh, saya, isteri, ayah, ibu dan beberapa ahli keluarga pergi ke Bagan Datoh untuk melihat kuala Sungai Perak. Sila lihat artikel The Perak river mouth at Bagan Datoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Kemudian kami terus pergi ke Teluk Intan untuk melihat tempat lama keluarga. Singgah bersolat di masjid lama Batak Rabit yang didirikan semasa zaman pemerintahan Sultan ke 23 Perak, Sultan Ja'afar Muazzam Syah (memerintah 1857-1865), ayahanda kepada Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles kerana terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch.


Sebenarnya di sebelah masjid ini terdapat tapak sebuah masjid yang lebih lama. Lebih penting lagi bagi kami, di sebelah inilah terdapat tanah perkuburan nenek-moyang dan ahli keluarga kami, keluarga Laksamana Raja Mahkota.

  Selain bersolat, kami juga menziarahi makam datuk iaitu ayah kepada ayah saya...

 
Sementara menunggu semua ahli keluarga kami selesai bersolat, saya pun berjalan-jalan di sekitar masjid lalu terlihat ini...

 
Ikan talapia, beratus-ratus, mungkin beribu-ribu berebut-rebut menghampiri!

 
Rupa-rupanya sudah didirikan beberapa sangkar membela ikan di tepian masjid masuk ke Sungai Perak...

 
Oh... satu pemandangan masjid dari belah belakang.

 
Inilah kawasan sangkar ikan...

 
Seronok juga berjalan-jalan melihat ikan, berjalan-jalan di atas Sungai Perak. Teringat pula satu cerita tentang seorang moyang kami dahulukala yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Diceritakan, pada satu malam beliau pernah berjalan-jalan di atas Sungai Perak yang tiba-tiba menjadi keras semata-mata untuk mengambil air yang boleh dibuat wudhuk. Rupa-rupanya air menjadi keras kerana malam itu malam lailatul qadar!

 
Satu lagi gambar ikan-ikan. Seronok saya melihat begitu banyak ikan berebut-rebut menggeliat-menggeliat naik sampai naik atas badan satu sama lain semata-mata untuk mendekati... mungkin kerana menyangkakan saya ada membawa makanan. Sekian...


Bertandang ke rumah pengantin lelaki di Selekoh, Bagan Datoh dan sedikit rasa tentang Perak...

OK. Memandangkan saya ada sedikit gambar-gambar sekitar majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki iaitu suami kepada sepupu saya, eloklah ia dikongsi lalu dijadikan penyambung gerak cerita. Mari... :]

Pada pagi Khamis 19 Mac 2009, saya, isteri, ayah dan ibu pun berlepas menghala ke Bagan Datoh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri dengan menaiki kereta isteri, kereta ayah ditinggalkan di rumah. Malam sebelum itu, saya dan isteri telah menjemput ayah dan ibu yang berada di Kajang agar datang bermalam di rumah kami. Dari situ sudah jauh lebih dekat untuk ke Bagan Datoh... cuma 26 km gitu sahaja untuk ke Kuala Selangor yang terletak di tengah laluan sedangkan dari Kuala Lumpur jaraknya 70 km apalagi daripada Kajang, mahu lebih 90 km!

Rombongan ahli keluarga kami yang lain pula bermalam di rumah seorang adik-beradik kepada ibu pengantin perempuan (bapa pengantin adalah adik kepada ayah saya) di Gombak. Mereka bertolak lebih awal dan menghubungi kami yang masih lagi berada di rumah sebaik sahaja melepasi Ijok. Dari rumah kami mahu ke Ijok cuma sekitar 5 -7 km sahaja. Dipendekkan cerita kami bertemu di Sungai Besar sebelum sama-sama masuk ke Perak.


Kalau tak salah ingatan, inilah kali pertama saya masuk ke Perak bersama ayah sejak lebih satu tahun lalu. Kalau bersekali bersama adik-beradik ayah pula, ini mungkin julung-kali seumur hidup! Sejak datuk (ayah kepada ayah) meninggalkan Teluk Intan untuk berhijrah ke Raub, Pahang penghujung tahun 1940an, sesekali sahaja mereka akan datang beraya di wilayah tempat kaum kerabat nenek-moyang kami hidup dan mati selama beberapa kurun ini. Seingat saya pula, saya cuma pernah beraya bersama keluarga di Teluk Intan mungkin paling banyak pun 5 kali seumur hidup! Eh, ya ke? Atau setakat 2 kali? Ah... tak ingat...

Siapa sangka sepupu saya yang keluarganya sudah lama menetap di Bandar Muazzam Syah kemudian Jengka, kedua-dua tempat jauh di Pahang mendapat jodoh orang Perak, orang Selekoh di Bagan Datoh yang tempatnya sudah cukup dekat dengan Teluk Intan malah terletak lebih hampir ke kuala Sungai Perak yang memiliki banyak sejarah berkaitan keluarga. Walaupun suaminya katanya orang Jawa sedangkan keluarga kami di Perak berketurunan Melayu Perak campur Aceh campur Bugis, perkahwinan ini tetap membawa kami semua untuk memperbaharui pertalian dengan negeri bertuah ini!

Teringat perkahwinan saya sendiri dengan isteri kini, orang yang saya panggil dalam cerita-cerita di sini sebagai Nur kedua. Teringat bagaimana suatu masa dahulu saya seperti amat membenci orang Jawa lantaran marah dengan cara orang Jawa di Jakarta mencengkam Aceh sedangkan ibu kepada ibu saya berdarah Jawa. Kini saya berkahwin dengan isteri yang terang-terang diketahui berketurunan Jawa. Tetapi rupa-rupanya isteri saya juga ada berdarah Bugis, cuma tak pasti bagaimana asal-usulnya.

Isteri saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak ataupun SEMESTI sedangkan dia lahir dan dibesarkan di Selangor. Apakah kerana beliau juga sebenarnya ada kaitan dengan Teluk Intan? Yang pasti dia akhirnya menjadi isteri saya sedangkan saya memang ada asal-usul dari Teluk Intan. Begitulah aturan Tuhan...

Perkahwinan sepupu dengan orang Selekoh, Bagan Datoh seolah-olah mahu menyambungkan kami kembali dengan Teluk Intan dan Perak. Seperti disebut atas tadi, itulah buat julung-kalinya saya pergi ke Perak bersama ayah serta adik-beradiknya dan keluarga. Walaupun cuma dua adik ayah dan keluarga mereka sahaja dapat bersama ke Bagan Datoh, tidak seperti ketika majlis pihak perempuan di Jengka yang dihadiri semua 9 adik-beradik ayah dan keluarga kecuali satu, rasanya kedatangan kami ke Perak cukup bermakna. Ini kerana ia berlaku dalam keadaan Perak baru sahaja mengalami masalah politik yang rumit sehingga kedaulatan rajanya Sultan Azlan Shah dipersoalkan ramai pihak termasuk orang Melayu!

Di sini saya ingin melepaskan satu rasa. Sejak berlaku peristiwa pertukaran kerajaan negeri dengan sokongan sultan, ada pihak yang mempersoalkan kelayakan baginda untuk menentukan kerajaan. Ada yang sampai menghina raja seolah-olah mereka tiada tahu adat. Mungkin mereka merasa mereka boleh mempersoalkan kedudukan Sultan Azlan kerana tahu cerita-cerita yang menyebut baginda bukanlah waris yang paling layak untuk menduduki takhta. Malah ada yang menceduk sedutan siri "Berpetualang ke Aceh" tentang proses giliran menaiki takhta yang pernah dimuatkan dalam blogspot ini untuk merendahkan kelayakan baginda.

Kalau ikutkan, saya dan keluarga ada lebih hak untuk mempersoalkan ini. Kalau ikutkan cerita Nenek, ibu kepada ayah, kami dari keluarga Laksamana Raja Mahkota yang berkerabat dengan Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877, dari keturunan raja-raja Melayu yang nasabnya sampai kepada sultan-sultan Melaka bercampur nasab raja-raja Aceh dan raja-raja Bugis ada hak untuk menuntut takhta walaupun dari segi rasminya kami tidak lagi dilihat sebagai berdarah kerabat apalagi memakai perkataan Raja di pangkal nama. Tetapi itu semua tidak penting bagi saya. Yang penting adalah kedaulatan Melayu dan untuk itu saya menyokong pemerintahan Sultan Azlan asalkan nasib orang Melayu Perak terbela dan bumi bertuah ini tidak difaraidkan orang Cina.


OK. Seperti biasa, saya sebenarnya lebih suka mengambil gambar bangunan, tempat dan alam sekeliling berbanding majlis-majlis kahwin dan perkara sewaktunya. Lalu saya tidak dapat menghalang diri dari mengambil gambar parit di depan rumah pengantin lelaki ini... kalau dulu-dulu mesti saya cari alasan untuk 'menceburkan' diri. Seronok woo... :]

Kiranya perjalanan ke Perak disebabkan mahu bertandang juga menghantar pengantin ini dibuat bersama 3 adik-beradik ayah dan keluarga... ayah, Ayah Chik (bapa pengantin) dan Pak Lang. Mula-mula terasa macam 'kureng' le sebab hanya 3 orang. Tapi apabila terfikir bendera Perak yang mengandungi 3 warna, rasa macam kena le sangat pulak.

Adapun bendera Perak terdiri dari warna putih di atas, kuning di tengah dan hitam di bawah. Putih melambangkan sultan, kuning raja muda dan hitam raja di hilir. Menurut cerita-cerita lama yang saya dapat, itulah asal-usul penggiliran raja-raja di Perak, tiada pangkat-pangkat lain seperti Raja Bendahara, Raja Kecil Besar dan sebagainya yang sebenarnya wujud kemudian atau sekadar pembayang kepada mereka-mereka yang bakal menduduki 3 pangkat utama raja bergelar.

Menurut cerita yang saya dapat lagi, 3 warna dan kedudukan itu melambangkan 3 keluarga induk yang layak memerintah. Walaupun moyang induk mereka itu bersaudara, ada yang adik-beradik, ada yang ipar, ia boleh disimpulkan sebagai hak kerabat dari keturunan raja Melaka digilirkan dengan hak keturunan raja Aceh seterusnya hak keturunan raja Bugis untuk bergilir-gilir menaiki takhta Perak.

Apabila memikirkan ini, mahu sahaja saya mengajak semua keluarga yang ada agar dapat singgah ke Beting Beras Basah yang terletak di tengah kuala Sungai Perak, tempat pertabalan sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah. Tetapi tempatnya agak jauh dan jalan masuk ke jeti terdekat agak menyusahkan. Cukuplah kami sekeluarga dapat singgah melihat kuala Sungai Perak di Bagan Datoh, cuma 7 km sahaja dari rumah pengantin lelaki di Selekoh.

Insyaalah akan saya letakkan beberapa gambar untuk dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH sebelum menyambung lagi cerita di blogspot ini. Sekian buat masa ini...

Isnin, Mac 30, 2009

Menunaikan hajat 6 tahun tertunda di Gua Kota Gelanggi dan makan ikan patin gulai tempoyak di Temerloh...

Dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... yang dibuat Selasa lalu, saya ada memberitahu harus melepaskan cerita tentang perjalanan ke Jengka itu dua minggu lalu serta perjalanan lain yang berkaitan sebelum saya dapat beralih ke mood penceritaan seterusnya melibatkan beberapa kenangan lama dengan wanita-wanita yang pernah muncul dalam hidup saya. Sedikit rasa telah pun dilepaskan melalui artikel Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau... sebelum saya disibukkan dengan sedikit aktiviti sekitar persidangan atau perhimpunan UMNO 2009 di PWTC baru-baru ini. Sekarang bolehlah saya menyambung cerita kembali... mari!


Pada penghujung artikel Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau ada disebut cerita akan disambung dengan lawatan ke Gua Kota Gelanggi...



Sebenarnya selepas lawatan ke Pulau Tawar, saya telah cuba mencari Gua Kota Gelanggi. Dah jumpa dah bukitnya tapi tak jumpa jalan masuknya... mungkin sebab Tuhan mahu saya menolong ibu dan ayah saya mencari jalan ke rumah tempat sepupu saya akan melangsungkan pernikahan malam itu?



Setelah lebih 15 minit berpusing-pusing mencari jalan masuk sedangkan bukit batu kapur yang mengandungi kompleks Gua Kota Gelanggi sudah jelas kelihatan di depan mata, saya pun mengalah lalu menghala ke Jengka. Sebaik sahaja masuk ke pusat bandar Jengka, kelihatan papan tanda menghala ke hospital di mana terletaknya rumah sepupu saya.

Sebaliknya saya terasa mahu mengisi minyak kereta terlebih dahulu. Siapa sangka di hadapan stesyen Petronas yang terletak lagi 3 km ke hadapan menghala jalan masuk ke Temerloh, boleh terserempak kereta ayah yang ketika itu terletak di tepian jalan luar stesyen.

Bayangkan, sudah 2 bulan saya tidak bertemu mereka, boleh terserempak di tempat itu. Memang kami dijangkakan akan bertemu di rumah pengantin perempuan malam nanti, Sabtu malam Ahad. Rupa-rupanya ayah sedang mencari arah ke hospital sedangkan saya dan isteri sudah lebih dahulu ternampak arah itu. Maka dengan takdir Tuhan dapatlah kami berjumpa lalu pergi ke rumah pengantin bersama-sama.

Apapun, saya tidak mengambil banyak gambar sekitar majlis pernikahan. Satu sudah pun dipaparkan pada artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... sedangkan sejumlah gambar sekitar Gua Kota Gelanggi telah diletakkan dalam 3 artikel yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Sila lihat :-


A visit to Gua (cave of) Kota Gelanggi - the way in...

A visit to Gua (cave of) Kota Gelanggi - enter Gua Tongkat...

A visit to Gua (cave of) Kota Gelanggi - Gua Balai and out...



Oh... ini adalah rumah peranginan tempat kami menginap malam itu. Maaf, saya langsung tidak mengambil apa-apa gambar sekitar majlis persandingan yang diadakan tengahari Ahad. Biasa le... gambar-gambar itu sudah ramai saudara-mara lain mengambilnya. Saya lebih berminat untuk mengambil gambar-gambar lain dalam perjalanan untuk dikongsi.

Untuk pengetahuan, lawatan ke Gua Kota Gelanggi dilakukan saya dan isteri sejurus sebelum majlis itu. Pagi itu saya terasa tidak boleh duduk diam... sudah begitu dekat dengan Gua Kota Gelanggi tetapi belum sampai lagi ke situ. Mana boleh?

Selepas majlis nanti kami harus bergegas ke Kuala Lumpur kerana ada hal penting. Bila pula ada masa untuk datang ke Jengka lagi? Nasib baik isteri memahami... sanggup menemani saya mencari lagi jalan masuk ke Gua Kota Gelanggi walaupun dia sedang berbadan dua. Atau dia risau hendak melepaskan saya keluar berjalan-jalan seorang diri? Takut terjumpa mana-mana 'minah' nanti? Hehe! Gurau je... ni mesti kena cubit nanti bila dia dapat tahu saya tulis begini, hehe! :]


Saya cuma mengambil gambar pemandangan dari rumah peranginan ini. Boleh kelihatan di latar-belakang ialah Gunung Senyum yang katanya juga memiliki gua-gua menarik di dalamnya. Ah! Cukuplah saya dah sampai ke Gua Kota Gelanggi setelah lawatan ke situ 6 tahun tertunda. Lihat kembali sedutan dari buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" yang ada diletakkan di dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini...


Selesai majlis saya dan isteri pun bergegas untuk kembali ke Kuala Lumpur, singgah berehat sebentar di Temerloh...


Bukan apa daa... nak makan ikan patin masak lemak gulai tempoyak kat tepi Sungai Pahang. Sedap memang sedap... tetapi tentang harganya, nampaknya kami kena sembelih! Tak mengapa le, bukan selalu. Sedikit gambar sekitar Temerloh ada diletakkan dalam artikel In Temerloh for a dish of ikan patin... yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Kemudian kami pergi bersolat di masjid ini, sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Itu yang terasa nak buat artikel Masjid (mosque of) Abu Bakar, Temerloh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.


Selepas ini, mungkin esok lusa cerita akan disambung dengan perjalanan terbaru ke Perak yang dibuat untuk bertandang ke rumah pengantin lelaki di Bagan Datoh. Sebelum itu, semasa di Kuala Lumpur, saya tergerak untuk memanjat naik ke Batu Caves lalu dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk-tajuk ini.


Inside Batu Caves...

A climb up Batu Caves...


Sekian, selamat malam! :]


Promosi siri "Berpetualang ke Aceh" di PWTC sempena perhimpunan UMNO 2009

Assalamualaikum. Pada penghujung artikel Alif Mim Nun Wau - Lanun... eh silap, sarkis... yang ditulis hari Khamis tentang perhimpunan agung UMNO 2009 di PWTC, ada disebut :-

Selepas berjalan hampir ke seluruh pelusuk bangunan, sempatlah berjumpa beberapa kawan lama dari pihak media, saya membuat keputusan suasana di sini tidak sesuai untuk menjual atau mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Di sini tempat berjual-beli mencari peluang buat duit lebih, peluang perniagaan dan dapat projek, lobi-melobi jawatan dan kedudukan, bukan tempat betul-betul mahu berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Saya pun bergegas keluar lalu mengambil motosikal di belakang. Dalam perjalanan keluar, tiba-tiba ternampak satu tempat yang sesuai untuk membuat promosi jalanan. Ya, tempat itu memang sesuai. Tetapi bukan sekarang, insyaallah selepas solat Jumaat esok!

Sampai hari Jumaat, bermulalah misi membuat promosi...

Selepas bersolat Jumaat di Bukit Damansara, saya kembali ke pejabat isteri di Jalan Ipoh untuk mengambil motosikal. Kelihatan tanda-tanda hujan lebat baru sahaja tamat. Selepas mengatur apa-apa barangan yang perlu dibawa sama, saya pun bergegas ke hadapan PWTC. Tujuan saya adalah satu bahagian di hadapan kompleks membeli-belah The Mall di mana dirasakan elok untuk membuat promosi jalanan siri buku "Berpetualang ke Aceh".


Malangnya saya tidak dapat bertahan lama di sana. Bukan sahaja angin kuat selalu mengganggu sehingga menjatuhkan bunting promosi buku, setengah jam kemudian hujan mula rintik-rintik...

Saya tiada pilihan kecuali untuk berlindung di tepian The Mall. Setelah lama berteduh di situ, terfikir juga saya sudah begitu kekok untuk membuat promosi jalanan sebegini. Mungkin kehadiran isteri boleh menolong menyuntik semangat. Tapi haruslah menunggu selepas beliau habis kerja jam 5.30 petang.


Isteri saya sampai ke The Mall dalam keadaan redup antara hujan. Yang pasti promosi jalanan tidak dapat lagi dibuat di tempat tadi yang tidak berbumbung. Saya pula mula hilang rasa mahu membuat promosi. Maka kami suami isteri membuat keputusan berjalan-jalan melihat segala macam aktiviti dan apa-apa yang ada ditawarkan di PWTC sempenan perhimpunan UMNO 2009.

Selepas bersolat Maghrib di Hentian Putra, kami turun menghala kembali ke PWTC. Kelihatan aktiviti jualan di bahagian luar tepi PWTC begitu berwarna-warni. Ketika lalu di hadapan Restoran Riverside di dalam PWTC, kelihatan pula 2-3 penulis buku politik telah membuka meja untuk menjual buku sedangkan siang tadi tidak begitu. Ini membuat saya terfikir kembali, elok juga jika kami dapat membuka meja sendiri...



Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, kami dapat membuka meja di hadapan Bilik Perak, di bahagian lain dalam PWTC...




Sebenarnya meja ini ditinggalkan kosong di hadapan Bilik Pahang yang terletak bersebelahan. Kami pula mengalihkannya ke hadapan Bilik Perak kerana satu, kami turut membuat promosi DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang melibatkan Perak. Kedua kerana ia lebih dekat dengan sumber kuasa yang boleh digunakan untuk menghidupkan komputer riba lalu memainkan DVD itu untuk tayangan kepada mereka yang lalu-lalang...





Oh, ketika itu sudah melepasi jam 8 malam. Masih ada sedikit program berjalan di PWTC. Di atas ini adalah gambar sekumpulan orang mengelilingi Perdana Menteri Pak Lah yang singgah ke bilik media bersebelahan tempat kami. Melihatkan itu, isteri saya mencadangkan agar kami menghadiahkan satu set buku "Berpetualang ke Aceh" kepada beliau. Isteri saya sendiri menyampaikannya kepada Pak Lah sedangkan saya setakat melihat dari jauh.




Apapun, ternyata usaha kami membuka meja dan membuat promosi tidak sia-sia. Tanpa perlu dipanggil, ada yang sudi datang membeli buku malah ingin bergambar dengan saya. Ada pula yang setakat membelek-belek buku sebelum bertanya jika kami akan datang keesokannya hari Sabtu. Itu yang membuat saya lebih bersemangat untuk menyambung promosi. Kalau tidak, mungkin setakat hari itu sajalah...





Esoknya hari Sabtu, hari terakhir perhimpunan UMNO 2009. Kami sampai tengahari, terus membuka kembali meja malah terus mendapat satu keluarga pengunjung yang berminat dengan produk kami. Mereka-mereka ini telah membaca ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Kini mereka mahu mencari DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" lalu jadilah mereka pelanggan pertama DVD ini sejak kami mula beroperasi di sini...




Lihat! Dengan kuasa Allah, kami mendapat pertolongan sehingga diberi meja yang amat cantik ini! Walaupun asalnya kami tidak tahu di mana boleh mempromosi buku hingga hampir hilang semangat langsung, kami tetap tawakal dan pergi. Cuma yang cacat sedikit mungkin poster di belakang yang ada menunjukkan gambar kaki-kaki luka. Tetapi semasa itu saya membiarkan sahaja kerana suka dengan nombor 55 yang tertera.





Kehadiran orang yang sentiasa lalu-lalang di sini memastikan meja kami sentiasa ceria dan dikunjungi...




Kalau nak ramai lagi pengunjung, mungkin lebih elok buka meja di hadapan Restoran Riverview. Tetapi lihat sendiri keadaan di sana, begitu sesak, susah nak bernafas... lebih baik lagi tempat yang kami dapat di hadapan Bilik Perak...




Setelah agak lama, baru saya terfikir untuk menurunkan poster di belakang yang menunjukkan gambar-gambar kaki luka. Itupun setelah beberapa orang menyatakan kemusykilan kerana melihat poster tersebut sedangkan kami sedang menjual buku, bukan apa-apa ubatan yang kena-mengena dengan kaki luka!

Apapun, kami puas hati dengan promosi di sini. Cukuplah disebut, dalam tempoh tidak sampai satu setengah hari, hampir 50 buku di bawah siri "Berpetualang ke Aceh" telah dibeli orang termasuk oleh mereka-mereka yang berpangkat. Sejumlah DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" juga turut dibeli. Termasuk yang membelinya adalah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry. Sekian! :]

p/s:
Harapan saya adalah kerajaan Perak kini dapat melihat masjid tinggal lama di Teluk Memali sebagai satu bangunan warisan yang perlu dipertahankan sebagai satu simbol ketuanan Melayu. Moga-moga ia akan mendapat pemeliharaan yang sepatutnya tidak lama lagi, begitu juga makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah yang terletak berdekatan. Mana boleh makam raja Melayu dibiarkan tidak terjaga sedangkan kubur wakil penjajah J.W.W. Birch yang juga terletak tidak jauh dari situ boleh cantik dipelihara!



Jumaat, Mac 27, 2009

Cermin baru motosikal dan harapan baru UMNO dan negara...

Tajuk ini mungkin kelihatan tiada kena-mengena. Sebenarnya pada awalnya saya cuma mahu bercerita tentang cermin motosikal yang baru ditukar siang tadi tetapi apabila mendapati keputusan pemilihan kepimpinan baru tertinggi UMNO yang muncul sebelum tengah malam, terus terasa mahu berkata tentang ia juga. Jadi biar kita campurkan kedua-dua cerita itu ya... ikut suka saya le nak adun bagaimana... hehe! :]


OK. Pagi tadi, selepas menghantar isteri ke tempat kerja, saya telah mengambil motosikal besar kesayangan yang ditinggalkan di pejabatnya lalu pergi ke sebuah warung. Di sana, saya menumpang signal wi-fi restoran KFC untuk membuat posting bertajuk Alif Mim Nun Wau - Lanun... eh silap, sarkis...

Posting itu sepatutnya telah dibuat lebih awal kalau tidak kerana saya telah bermalam di sebuah rumah milik keluarga di Kajang, rumah yang tidak memiliki Internet. Ketika itu saya terasa sangat kecewa dengan kenaikan Khairy Jamaluddin sebagai ketua pemuda baru UMNO. Selesai membuat posting saya pun bergegas ke Kuala Lumpur. Tujuan saya adalah untuk ke Low Yatt Plaza mencari kabel s-video panjang agar komputer riba dapat disambungkan dengan televisyen.

Sebelum ini, saya sudah berjaya menyambungkan komputer dengan televisyen menggunakan kabel RGB, juga dikenali sebagai kabel VGA. Tetapi setelah memutuskan untuk selalu meletakkan komputer di atas meja kaca yang terletak lebih 10 kaki di hadapan televisyen lalu wayar-wayar talifon dan Internet turut diatur sama, saya terasa patut menggunakan kabel lain untuk tujuan ini. Saya sudah merancang untuk ke Low Yatt Rabu baru ini tetapi jalan-jalan ke PWTC menyaksikan suasana perhimpunan UMNO sambil mencari tapak yang sesuai untuk mempromosi buku telah menyebabkan rancangan ini tertunda. Hmm... panjang pula cerita... tak mengapa. Layan aje le kepala gila saya ya!


Sebaik sahaja melepasi persimpangan masuk ke Jalan Pekeliling dari Jalan Kuching, timbul rasa untuk singgah di Masjid India demi menikmati secawan teh halia kau. Melihatkan trafik naik ke Jalan Sultan Ismail begitu sesak, saya membuat keputusan untuk masuk melalui jalan di hadapan Masjid Jamek. Sekonyong-konyong itu saya terlihat satu yang pelik... ait??? Kenapa cermin kiri motosikal nampak lain macam?

Oleh kerana saya mahu mencampur-adukkan cerita motosikal dengan cerita pemilihan UMNO, biarlah perhatian dialihkan sebentar. Seorang rakan pernah memberitahu Tan Sri Muhammad Taib membuat keputusan untuk bertanding jawatan timbalan presiden UMNO disebabkan Tan Sri Ali Rustam turut bertanding. Katanya Mat Taib takkan masuk campur kalau Tan Sri Muhyiddin sahaja yang bertanding kerana mereka satu kem. Tetapi dia 'terpaksa' juga kerana ada Ali Rustam...

Ini kerana Ali dipandang sebagai orang Pak Lah yang diharapkan dapat meneruskan legasi atau apa-apa polisinya setelah perdana menteri Malaysia itu teruk diasak untuk melepaskan jawatan. Demi mengelakkan dari terus diasak serta timbul kemungkinan berlaku sesuatu yang lebih drastik akibat prestasi teruk UMNO dan Barisan Nasional semasa Pilihanraya Nasional ke 12 tahun lepas, Pak Lah pun sedia menyatakan diri untuk berundur. Tetapi mahukah orang-orang keliling Pak Lah terutama menantunya Khairy dan orang-orangnya yang mendapat keuntungan besar melalui kedudukan Pak Lah melihatnya berundur? Seperti pernah disebut Tun Dr Mahathir (yang menggelar anak-anak muda keliling Pak Lah yang diambil sebagai penasihatnya sebagai budak Tingkat Empat, tingkat empat Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya) tentu tidak.

Kalau boleh mereka mahu Pak Lah terus berkuasa sampai mereka sendiri dapat menjadi para peneraju kepimpinan negara secara terang (maknanya jadi perdana menteri dan ahli kabinet le...), bukan sekadar berkuasa di sebalik tabir seperti sekarang. Kalau dah jadi menteri besok, senang le buat apa yang patut untuk keuntungan diri sendiri, bukan macam sekarang, kena pakai nama pak mentua!

Tetapi desakan untuk berundur terlalu kuat sehingga tidak dapat lagi ditepis atau dielakkan. Dahulu ada yang kata mereka akan cuba menimbulkan suasana tidak enak seperti darurat yang boleh menghalalkan pegangan terus Pak Lah ke atas jawatan tertinggi eksekutif negara atas nama bertanggungjawab untuk mengembalikan keharmonian. Sambil itu mereka cuba merosakkan kredibiliti timbalan perdana menteri yang disebut bakal menggantikan Pak Lah iaitu Datuk Seri Najib Razak dengan terus menerus mencanangkan kes Altantuya di dalam dan luar negeri... dengan pertolongan pihak pembangkang yang ketuanya sebenarnya sealiran fikiran dengan budak-budak Tingkat Empat. Tetapi ini juga nampaknya kurang berkesan sedangkan masa peralihan kuasa semakin dekat.

Maka mereka perlu beralih ke pelan C... sebelum Pak Lah berundur, mereka perlu memastikan bahawa pegangan mereka terhadap institusi-institusi kerajaan dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) terus kukuh dengan menanam orang-orang mereka. Ini sudah lama dilakukan sejak Pak Lah mula naik menjadi perdana menteri dahulu. Tetapi orang-orang ini boleh ditukar jika naik pucuk pimpinan baru yang tidak sukakan mereka. Rasanya ramai dapat membaca bahawa Najib dan Khairy tidak sealiran bukan?


Saya melihat lagi cermin kiri motosikal. Alamak! Rupa-rupanya cerminnya sudah hilang, tinggal bahagian kelongsong dan tangkai! Bagaimana boleh hilang? Bila pula hilang? Rasanya semasa saya membawa motosikal keluar dari pejabat isteri ia masih elok ada. Semasa membawa motosikal meninggalkan warung di Jalan Ipoh tempat saya membuat posting cerita pagi tadi pun rasanya masih ada. Bagaimana ini?

Ah! Apapun saya perlu membaiki keadaan. Terasa tidak enak mahu ke Masjid India apalagi ke Low Yatt Plaza di Bukit Bintang. Perjalanan menghala ke Masjid Jamek ditukar... terus masuk ke Jalan Raja Laut, naik balik melepasi Jalan Sultan Ismail sebelum memotong melalui bahagian selatan Chow Kit untuk ke kedai-kedai motosikal di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tetapi mereka tidak menjual cermin untuk motosikal besar... nak tak nak saya harus ke Sentul.

Ali Rustam disebut ramai sebagai orang Pak Lah. Bukanlah sebab Pak Lah nak pegang dia sangat tetapi mengikut ceritanya, Ali adalah orang yang dapat diharapkan untuk menolong Khairy terus meningkat naik dalam dunia politik apabila Pak Lah tidak berkuasa lagi. Ada pihak bimbang, jika Najib naik menjadi perdana menteri, karier Khairy dan orang-orangnya akan terus dicantas. Kalau ada Ali sebagai orang nombor dua, adalah juga backing kuat!

Lebih cantik lagi, jika Ali naik jadi timbalan presiden UMNO seterusnya timbalan perdana menteri Malaysia sedangkan Najib berjaya dikaitkan dengan kes pembunuhan Altantuya secara terang berlandaskan undang-undang. Najib boleh ditangkap dan dijatuhkan hukuman sedangkan Ali boleh terus naik jadi perdana menteri! Jangan ingat tiada orang yang berharap senario ini akan berlaku. Kata orang, Khairy dan orang-orangnya sudah pasti mendapat jaminan besar untuk terus naik jika ini berlaku. Bukankah Khairy merancang mahu menjadi perdana menteri sebelum masuk umur 40 tahun? Untuk mencapai rancangan itu, dia perlukan orang lama yang boleh membuka jalan dan orang baru sekitar umurnya untuk tolong menolaknya ke atas... apa ke namanya? Semangat setiakawan?

Maka itu menurut rakan saya yang memang sangat rapat dengan kepimpinan teratas negara terutama pada era Dr Mahathir, Mat Taib masuk bertanding semata-mata untuk memecahkan undi yang bakal diraih oleh Ali. Katanya Mat Taib sanggup berkorban untuk memastikan Muhyiddin dapat naik untuk membela Melayu, di kala Pak Lah ternyata begitu lembik untuk menangani pelbagai cabaran mendatang terutama asakan demi asakan ke atas konsep ketuanan Melayu malah keluhuran Islam itu sendiri oleh bangsa-bangsa lain sedangkan Najib pula terus dibelenggu masalah sendiri akibat isteri yang dikatakan lebih panggang dari api! Mereka-mereka yang satu kem mahukan Muhyiddin naik. Kalau apa-apa terjadi pada Najib, dia dilihat sebagai bakal perdana menteri terbaik untuk mengembalikan kedaulatan Melayu di sebalik segala macam asakan.

Katanya Mat Taib akan berundur sebaik sahaja kedudukan Muhyiddin sebagai bakal timbalan perdana menteri terjamin. Nah, sejak minggu lepas ternyata Ali tidak dapat bertanding kerana disahkan terlibat dengan politik wang. Jadi kenapa Mat Taib tak juga berundur? Jawab rakan itu (kalau tak salah ingatan), Mat Taib perlu dinaikkan agar dapat mendidik Muhyiddin untuk memegang tampung kuasa teratas. Pulak dah...




Sampai di Sentul, saya terus tergerak menuju ke sebuah kedai... tak terfikir pun mahu melihat atau membanding-bandingkan cermin-cermin di kedai-kedai lain kerana saya nak cepat. Perkara pertama saya tanya, ada tak jual cermin sebelah? Jawabannya tentu tidak... cermin-cermin ini cuma dijual berpasangan kiri dan kanan. Hmm... kalau begitu, mungkin saya perlu menukar langsung ke cermin baru. Mungkin ini hikmah di sebalik kehilangan cermin kiri lama.


Pembantu kedai menyarankan sepasang cermin motosikal berbentuk empat segi yang agak sporty dan fancy. Memang menarik bentuknya dan harga yang ditawarkan terasa agak murah. Tetapi cerminnya terlalu kecil. Seorang pembantu lain mencadangkan sepasang cermin lain yang hampir sama bentuk tetapi sedikit lebih besar pada harga yang sama. Saya pun bersetuju dan dia terus memasangnya. Wang pun dibayar... kemudian baru saya terfikir ia kelihatan tidak sesuai pada motosikal saya.

Saya meminta untuk melihat cermin-cermin lain yang ada pada harga yang sama. Ada sepasang berbentuk oval yang agak menarik. Cerminnya lebih besar tetapi masih agak kecil berbanding cermin motosikal saya yang asal. Tak mengapa, biar saya mencuba dan mereka pun memasangnya.

Selepas kedudukan cermin dibetulkan untuk memudahkan penglihatan, saya pun meninggalkan Sentul untuk ke Bukit Bintang. Dalam perjalanan itu baru terasa betapa cermin itu amat kecil dan kedudukannya kurang sesuai. Nyaris-nyaris saya dilanggar dari belakang oleh sebuah BMW! Ah... bagaimana ini? Harganya sudah dibayar... dan apa-apapun saya harus ke Bukit Bintang untuk menyelesaikan perkara yang sudah beberapa hari tertunda.

Dipendekkan cerita, semasa meletakkan motosikal di Jalan Imbi saya mengubah kedudukan cemin dari melintang jadi membujur. Kelihatan elok sikit untuk melihat belakang sisi kiri dan kanan sebelum berjalan-jalan sedikit dan mendapatkan kabel s-video di Low Yatt Plaza. Ketika meninggalkan Bukit Bintang menghala ke utara Kuala Lumpur, saya berniat dalam hati. Kalau penglihatan melalui cermin masih terganggu ketika sibuk mencelah kereta-kereta ke utara maka saya akan ke Sentul menukar cermin lain yang lebih besar... walaupun cermin yang baru dibeli ini tidak dapat diganti atau dipulangkan wang. Ternyata penglihatan saya cukup elok dengan kedudukan membujur, cuma skop sahaja kurang sedikit kerana cerminnya lebih kecil.

Saya pun terus ke pejabat isteri. Sampai di sana, timbul lagi rasa ragu-ragu... antara was-was dengan suka. Cermin ini boleh tahan juga tetapi tetap terasa janggal berbanding cermin lama. "Bagaimana ini?" saya bertanya isteri. Jawabnya, ikut sahaja apa yang saya suka. Yang pasti, walaupun sedikit pelik, cermin baru ini agak menarik.

Saya cuma mengubah cermin itu sedikit senget masuk ke dalam. Ah! Sekarang ia nampak betul-betul menarik... siap berpusing lagi membawa motosikal keluar sebentar dari pejabat untuk memastikan kedudukan itu berfungsi. Boleh tahan! Dengan itu saya pun meninggalkan motosikal di pejabat lalu membawa kereta bersama isteri kembali ke rumah.

Sampai di rumah, timbul kembali rasa was-was... patutkah diteruskan pemakaian cermin pelik yang baru ini? Atau patutkah ditukar kembali ke bentuk cermin asal? Kalau perlu, carilah di mana-mana! Insyaallah ada, cuma mungkin memakan masa dan tambah belanja...

Saudara dan saudari, para pembaca sekalian. Tujuan asal saya membuat posting ini adalah untuk meminta pendapat saudara-saudari tentang persoalan ini. Apakah pendapat anda tentang cermin baru yang ditunjukkan dalam gambar-gambar ini? Patutkah saya terus memakainya atau menambah belanja untuk menukar ke cermin lain yang lebih besar?

Tetapi keputusan pemilihan tertinggi UMNO yang keluar sebelum tengah malam tadi menyebabkan saya ingin menambah cerita. Terus terang cakap, saya sangat senang hati mendengar Muhyiddin menang. Saya rasa kemenangan Datuk Zahid Hamidi dan Datuk Hishamuddin Hussein sebagai naib presiden juga satu berita baik, cuma saya tidak pasti tentang Datuk Shafie Afdal.

Apa yang saya rasa, barisan baru ini adalah berita baik buat UMNO. Walaupun saya sebenarnya tidak berapa sukakan Najib malah terasa amat menyampah mendengar ucapannya pada hari pembukaan persidangan UMNO yang saya rasa lebih control dan teatrikal berbanding isi sebenar hati yang jujur ingin melihat agama, bangsa dan negara terbela, saya rasa barisan ini diperlukan dan mampu untuk membersihkan segala kurap dan sampah-sarap yang dibawa masuk ke dalam UMNO dan kerajaan sejak Khairy mendapat pengaruh.

Ya, secara tradisionalnya Khairy harus diberikan satu jawatan menteri kerana telah rasmi menjadi ketua pemuda UMNO. Ini akan memberikannya ruang untuk meraih lebih banyak kedudukan dan kuasa untuk diri sendiri dan orang-orangnya demi mencapai cita-cita untuk menjadi perdana menteri Malaysia nanti. Tetapi bukankah telah dilaungkan banyak pihak bahawa UMNO harus berubah dan politik wang harus dibanteras hingga ke akar-umbi? Sepanjang apa yang saya dengar, Khairy dan orang-orangnyalah yang paling giat menabur wang untuk meraih pengaruh walaupun mereka tidak dapat ditangkap dan perbuatan mereka tidak dapat dibuktikan selama ini.

Sekarang siapa kata tiada bukti? Bukankah jawatankuasa disiplin UMNO telah mendapati Khairy bersalah mengamalkan politik wang? Cuma ia tidak cukup 'serius' untuk melarangnya daripada bertanding... kononnya. Kalau UMNO tidak boleh bertindak, apakah bermakna Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus duduk diam juga? Tidak kira banyak mana pun imbuhan yang ditawarkan, asalkan ada bukti telah berlaku politik wang, bukankah ia boleh dimasukkan ke dalam siasatan SPRM malah bukti yang ada pada jawatankuasa disiplin boleh digunakan untuk menjalankan pendakwaan?

Soalnya nak atau tidak. Atau betul kata orang, bahawa SPRM diterajui orang-orang yang dinaikkan oleh Khairy, cuma berguna untuk mencantas musuh-musuh politiknya sahaja? Sesekali sahaja ia dapat mendakwa orang yang dikira rapat dengan Khairy... itupun sebagai korban untuk menunjukkan 'ketelusan' dan kebebasan daripada pengaruh pihak atasan?


p/s : Semua gambar motosikal yang terpapar adalah setelah cermin ditukar baru. Saya tidak mengambil gambar cermin lama yang terlopong. Harap maklum... :]


Khamis, Mac 26, 2009

Alif Mim Nun Wau - Lanun... eh silap, sarkis...

Keputusan pemilihan UMNO bagi tiga sayap parti telah pun keluar. Walaupun saya benci dan amat menyampah dengan dunia politik, saya tetap mengikuti perkembangannya kerana sedar realiti zaman di mana apa yang berlaku dalam dunia politik amat-amat mempengaruhi suasana sosio-politik sebenar Malaysia secara keseluruhan.

Terus terang saya cakap, saya rasa kecewa melihat Khairy Jamaluddin menang jawatan ketua pemuda. Malam semalam selepas berlegar-legar di sekitar PWTC waktu petang untuk melihat suasana di sana, saya dan isteri kembali ke sebuah rumah milik keluarga di Kajang. Seperti dijangkakan, selepas Isyak baru keluar keputusan pengundian. Tetapi kenapa bagi wanita UMNO sahaja, kenapa yang lain-lain lambat?

Tolak ke tepi keputusan Puteri UMNO yang muncul agak lama kemudian. Apapun saya lega apabila mendapati satu calon dari keluarga gila kuasa mendapat antara undi tercorot. Saya tetap menunggu keputusan undian pemuda UMNO. Mengapa masih tak keluar? Jam ketika itu telah melepasi 11 malam...

Dalam pada itu saya terus memerhatikan perkembangan di televisyen. Kalau awal tadi, muka Mukhriz Mahathir selalu juga kelihatan di kaca TV, kenapa semakin lewat malam ia semakin menghilang? Ah... gambar menyorot pada muka Khairy. Dia nampak begitu gelisah. Keadaan seperti keputusan mahu diumumkan. Tetapi kelihatan suasana tak puas hati. Keputusan tertangguh lagi, beralih ke rancangan lain sebentar...

Lama kemudian baru perhatian dikembalikan kepada pemuda UMNO. Kali ini muka Khairy kelihatan cerah penuh keyakinan. Hati saya pula lebih awal berkata, ini mesti macam kes pilihanraya di Rembau dahulu... punya le lama nak dapat keputusan... apa hal? Apakah ada masalah sehingga undi harus dikira beberapa kali? Atau ada undi-undi yang ditambah atau diubah pada saat-saat kemudian.

Kemudian keluar keputusannya. Kelihatan barisan Exco yang terpilih seperti semuanya geng atau penyokong Khairi. Patutlah dia tersenyum lebar.... kemudian confirm, menantu Pak Lah ini dah menang jawatan ketua pemuda. Allah! Masalah...

Nasib baik jawatan naib ketua jatuh pada si Razali budak Johor. Ada le sedikit harapan. Kalau tak lagi le teruk sebab pemuda dah dipegang sepenuhnya oleh orang barisan duit... ada faham! Duit tu satu hal, duit tu datang dari mana? Bila orang dah bagi duit tolong kita kempen, ingat dia bagi free aje ke?

Reaksi seorang rakan berpangkat Datuk yang pernah menjadi salah seorang penasihat dalaman Tun Dr. Mahathir dalam membentuk polisi negara mengenai kenaikan Khairi cukup ringkas. "Welcome CIA welcome!". Yep, fikir saya. CIA memang dah lama masuk, soalnya cuma betapa kuat pegangan mereka sahaja bergantung kepada betapa kuat dan tingginya kedudukan calon-calon pilihan mereka dalam hierarki pemerintahan negara...


Saya tak ingat filem P. Ramlee yang mana ada sebut "Alif Mim Nun Wau - sarkis!" jadi saya letak aje le gambar poster ini sebagai hiasan ya. Apapun, itulah ayat yang bermain dalam fikiran apabila berjalan-jalan di sekitar kawasan perhimpunan UMNO di PWTC semalam. Apabila keluar keputusan pemilihan pemuda lewat malam, semakin bergema-gema le ayat komedi itu...

Keputusan lewat menimbulkan spekulasi dalam diri saya. Apakah awalnya Khairy kalah lalu meminta undi dikira semula... dan ini berlaku lagi dan lagi sampailah dia menang?

Ini pula adalah satu 'berita', saya tak pasti le betul ke tidak yang saya lihat dalam blogspot "Tukar Tiub" tadi. Biar saya copy and paste. Hmm... harusnya ia betul kot kerana dikutip dari sebuah organisasi media professional? Ini dia... saya copy tanpa menukar apa-apa waima kesilapan menaipnya sekalipun...

Khamis, 2009 Mac 26

BILA KJ DIBERITAKAN MENANG – malaysian insider

Bila Khairy Jamaluddin di istiharkan menang penyokong Mukhriz naik bengang.

Merea menuduh Khairy main duit beli undi.

Susana tengang lalu penyokog Khairy dan penyokong Mukhriz bertembuk.

Akhirnya polis datang untuk melerai.

(The tension became literally tangible as after the results were announced, supporters of Khairy and Mukhriz clashed.)

(The latter's group accused Khairy of bribery and cheating but police stepped in to break up the scuffle.)

kah kah kah….MESTI TAK ADA AKHBAR LAPOR… kah kah kah..

woit… KALAU TAK ADA BERITA DARI INTERNET SAMPAI MAMPUS KITA TAK TAHU…. kah kah kah…

kah kah kah... GADUH JANGAN TAK GADUH.... kah kah kah..


Tujuan saya ke PWTC sebenarnya adalah untuk mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Asalnya saya tidak mahupun mendekati perhimpuan UMNO ini tetapi mengingatkan saranan rakan lama saya Siza semalam (lihat penghujung artikel Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau ) serta saranan isteri, saya pun ke sana.

Pada mulanya saya cuba mencari tempat di mana saya boleh meletakkan motosikal bersekali dengan poster promosi dan buku-buku. Ternyata motosikal cuma dapat diletakkan di belakang PWTC sedangkan kalau boleh saya mahu satu tempat di halaman kawasan orang lalu-lalang.

Saya pun turun motosikal membawa rucksack besar dengan 3 keping poster besar yang bergulung diselit pada rucksack... terus saya berjalan masuk ke bangunan melihat-lihat sekitar. Sambil melihat gelagat orang ramai dan segala macam perniagaan yang berjalan, saya mencari-cari tempat yang sesuai bagi saya bertapak mempromosikan buku.

Pusing punya pusing, saya mula merungut. Mana dia tempat yang si Siza kata ada orang menjual buku sambil berdiri ini? Yang saya nampak, tiada... kalau setakat pekerja menjual buku dan menyuakan pada orang yang lalu-lalang, itu biasa le... salesmen. Tak da hal punya menempel sua buku kat orang. Mana dia penulis-penulis buku yang dapat menjual buku secara terang-terang di hadapan orang ramai? Bukan saya tak tahu, aktiviti penjualan buku, lebih-lebih lagi jika ada citarasa politik dikawal pihak tertentu.

Dalam pada itu saya terlihat kelibat penulis politik Pak Habib @ S. H. Al Attas. Seperti biasa sejak Pak Lah memegang kuasa dan si Khairi dikatakan ada memberi arahan agar penulis buku politik tidak dibenarkan membuka meja dalam bangunan ketika perhimpunan, dia setakat duduk di meja Restoran Riverview berbual-bual le dengan mana-mana orang yang tersangkut. Orang-0rang bawahannya sahaja yang ke sana ke mari menjual buku dengan menyuakannya kepada sesiapa yang mungkin berminat.

Di hadapan satu-satunya kedai majalah dalam PWTC (lupa namanya) pula terdapat tidak kurang 10 tajuk baru buku-buku politik terkumpul untuk dijual. Gelak besar saya apabila ada 2-3 buku yang menonjolkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Ali Rustam sedangkan beliau sudah pun terkeluar dari pemilihan. Ini mesti kes tak sempat tarik balik cerita ni, dah masuk print dah pun... kah! kah! kah! Sesekali seronok juga ketawa besar lebih-lebih bila saya tahu peribadi sebenar penulis yang terlibat. Kah! Kah! Kah!

Selepas berjalan hampir ke seluruh pelusuk bangunan, sempatlah berjumpa beberapa kawan lama dari pihak media, saya membuat keputusan suasana di sini tidak sesuai untuk menjual atau mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Di sini tempat berjual-beli mencari peluang buat duit lebih, peluang perniagaan dan dapat projek, lobi-melobi jawatan dan kedudukan, bukan tempat betul-betul mahu berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Saya pun bergegas keluar lalu mengambil motosikal di belakang. Dalam perjalanan keluar, tiba-tiba ternampak satu tempat yang sesuai untuk membuat promosi jalanan. Ya, tempat itu memang sesuai. Tetapi bukan sekarang, insyaallah selepas solat Jumaat esok!

p/s:
Kalau tak mahu Alif Mim Nun Wau jadi lanun ke, sarkis ke, elok gak ditukar balik ke nama Melayu persatuan ini yang asal iaitu PEKEMBAR. Bukankah bahasa menggambarkan jiwa bangsa? Dalam lambang pun memang dah ada... Fa Kaf Mim Ba Rho. Ada sesiapa yang cukup serius untuk membawa perubahan ini ke persidangan hari Jumaat dan Sabtu ini? Nampak kecil tetapi besar maknanya dan hasilnya nanti... percayalah. Tak perlu kasyaf untuk nampak ini kecuali mata sudah begitu kabur akibat politik wang.

Rabu, Mac 25, 2009

Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau

Alhamdulillah... dapat juga mengagih-agihkan sejumlah gambar untuk membentuk 3 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 2 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Sekarang bolehlah saya mengolah cerita tentang perjalanan ke Jengka baru-baru ini di sini pula. Mari...


Petang Jumaat 13 Mac (hmm... Friday the thirteenth rupanya...) saya dan isteri bergegas meninggalkan Kuala Lumpur. Setelah menikmati masakan Minang di sekitar Greenwood, Gombak, timbul rasa untuk mengambil jalan lama ke Pahang lalu dapat menikmati pemandangan sebegini. Sila lihat artikel Views from above the Karak highway yang baru dibuat di BERPETUALANG KE ACEH tadi...


Dipendekkan cerita, kami bermalam di rumah almarhum Nenek di Raub. Esoknya selepas menikmati masakan gulai ikan sembilang (ke ikan keli? kadang-kadang saya pun tak pasti yang mana ikan ini yang mana ikan itu) di Simpang Kallang, kami pun mengambil jalan ke Kuala Lipis. Singgah sebentar di bandar itu, teringin pula melihat kuala sungai Lipis yang bertemu Sungai Jelai. Sila lihat artikel The mouth of the Lipis river... the place where Kuala Lipis began.


Kemudian kami mengorak langkah ke Jerantut. Singgah sebentar di Kuala Tembeling, pintu masuk ke Taman Negara. Sila lihat artikel Kuala Tembeling, the doorway to Taman Negara....


Seterusnya kami singgah ke pekan Jerantut, sempat membeli bantal kekabu murah. Dari sana kami mengambil jalan menyeberang Sungai Pahang yang dikenali sebagai Jerantut Ferry untuk menghala ke Jengka. Memandangkan jalan ke Pulau Tawar, tempat almarhum pahlawan Mat Kilau terletak tidak jauh dari perjalanan ini, kami pun singgah lalu menziarahi makam beliau. Sila lihat artikel Makam (tomb of) Mat Kilau... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Oh... pada satu bangunan wakaf di luar makam terdapat di dindingnya satu tanda-tangan besar dengan nama Adiputra tertera serta tarikh berserta tahun 2008. Lupa pula mahu mengambil gambar... rasanya mungkin Adiputra kanak-kanak Melayu yang dikenali sebagai genius itu. Saya pernah berjumpa dengannya serta berbual panjang dengan kedua ibu bapanya... saya tahu Adiputra suka menziarahi makam-makam lama terutama makam para wali.

Apa yang menarik, di sekitar belakang makam kelihatan banyak kerbau-kerbau yang kelihatan liar. Tiba-tiba teringat cerita raja Merah Silu @ Sultan Malikus Salih di Aceh lebih 700 tahun lalu... kerana baginda diketahui suka menangkap dan membela kerbau-kerbau liar. Terfikir pula mungkin Mat Kilau ada kena-mengena. Hmm... hehe! :]


Hujan mula turun gerimis ketika saya meninggalkan Mat Kilau. Kami singgah pula ke masjid jamek Pulau Tawar di mana hujan mula bertukar lebat. Selepas bersolat jamak Zuhur dan Asar, timbul rasa sesuatu tentang masjid ini. Lihat nukilan yang terkeluar melalui artikel Masjid jamek (main mosque of) Pulau Tawar, Pahang tadi.


Kami meninggalkan masjid dalam hujan masih lebat. Ada satu perkara lagi yang terasa tidak puas hati, saya belum melihat Sungai Pahang dari sebelah sini. Nasib baik kami terlihat sebuah masjid lain yang terletak betul-betul di tepian sungai. Dapatlah mengambil gambar ini sambil mengelak hujan. Sekian... nanti akan disambung penceritaan dengan meletakkan gambar-gambar di Gua Kota Gelanggi, rasanya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dahulu ya. Selamat malam! :]


p/s: Ini adalah posting yang ke 474 di sini. Tengahari tadi seorang rakan lama saya, saudara Siza yang baru ditemui kembali sebulan lalu setelah lebih 20 tahun tidak bersua muka dan bertanya khabar berita menalifon mencadangkan agar saya mengambil tempat menjual buku di sekitar PWTC sempena perhimpuan UMNO minggu ini. Saya keberatan kerana menyampah dengan dunia politik. Lagipun saya kurang sihat beberapa hari ini. Entah kenapa bahagian dada dan belakang terasa sakit amat seperti ketika baru jatuh terhempas dari ketinggian lebih 8 kaki sambil dihempap sebatang pokok yang patah di Tanjung Emas, Muar lebih setahun lalu, baru semalam terasa ada sedikit kelegaan yang menyenangkan.

Tetapi kata Siza ini tidak perlu melibatkan politik, ramai orang ada menjual buku di kaki lima. Isteri turut mencadangkan perkara yang sama kerana katanya inilah peluang baik untuk menyatakan perjuangan tentang Melayu Islam dan mengingatkan mereka yang lupa, tak perlu mempedulikan jika ada pihak lain sekadar pandai bertopeng melaung-laungkan semangat muluk sedangkan mereka cuma pandai beretorik sambil menjual agama, bangsa dan negara demi meraih kekuasaan dan menaikkan diri sendiri.

Maka itu jika tiada aral melintang, saya dan motosikal besar saya akan 'menempel' di mana-mana tempat yang sesuai bersama poster dan siri buku "Berpetualang ke Aceh". Untuk mereka yang ingin bertemu, silakan mencari... saya pun tak tahu lagi belah mana. Silap-silap harus sentiasa bergerak untuk melarikan diri, hehe! Untuk mereka yang ingin bertemu dalam suasana lebih formal dan terjamin keharmoniannya, insyaallah saya akan muncul bersama penerbit buku Karnadya pada majlis pelancaran beberapa buah buku termasuk buku masjid nukilan saya, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009, pada jam 3 petang 20 April...