OK. Satu cerita baru...
Sekitar penghujung tahun 2006 begitu, seorang saudara sebelah ibu di Muar yang pernah bekerja di negeri Melaka memberitahu bahawa di Bukit Beruang yang terletak di pinggiran bandaraya Melaka, terdapat sebuah kawasan pemakaman yang mengandungi beberapa batu nesan Aceh. Dia berkata begini setelah melihat buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang mengandungi gambar batu nesan Aceh milik Sultan Malikus Salih yang mendirikan kerajaan Samudera dan Pasai lebih 700 tahun lalu.
Sejak itu saya ada rasa teringin untuk ke Bukit Beruang mencari kawasan pemakaman yang dimaksudkan. Sebelum itu, saya setakat tahu batu nesan Aceh di Melaka cuma terdapat di makam Hang Jebat dan makam Tun Teja. Sebuah buku yang saya temui tahun 2005, kalau tak salah ingatan tajuknya ialah "Aceh gravestones" tulisan Profesor Othman Yatim terbitan tahun 1980an atau 1990an gitu pula setakat menyatakan kewujudan batu nesan Aceh di makam Tun Teja...
Tetapi minat ini jadi luput apabila saya pergi ke beberapa lokasi lain di sekitar tanah-air yang disebut orang mengandungi batu nesan Aceh tetapi apabila saya sampai ke lokasi-lokasi itu, ternyata batu-batu nesan itu berbentuk lain. Apapun saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana orang-orang ini cuma penduduk tempatan yang mungkin sedikit teruja tapi keliru apabila melihat gambar batu nesan Aceh yang disuakan kepada mereka.
Berbalik ke cerita Bukit Beruang. Saudara saya itu sendiri belum pernah sampai ke kawasan pemakaman yang disebutnya... dia setakat pernah mendengar cerita kawan-kawan. Maka itu saya tidak mencarinya walaupun gerak hati saya sering menyebut ada sesuatu yang menarik di Bukit Beruang, bukit besar yang boleh kelihatan tersergam gagah sebaik sahaja seseorang itu masuk ke Melaka melalui tol lebuhraya di Air Keroh.
Sabtu lepas, dalam perjalanan kembali ke kampung ibu di Muar untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha, saya pun ke Bukit Beruang untuk mencari kawasan pemakaman itu. Setelah beberapa ketika mencari-cari bertanyakan orang sehingga beberapa kali tersilap jalan lalu harus pula meredah hujan, terjumpalah saya dengan papan-tanda di atas yang menyebut "Tapak sejarah batu nisan Acheh".
Oh! Biar diberitahu, saya lebih suka menggunakan ejaan "nesan" untuk "nisan" dan "Aceh" untuk "Acheh", tak kiralah apakah ejaan terbaru yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang saya lihat boleh berubah-ubah mengikut zaman. Anggaplah ini house style saya... sepertimana ketika bekerja sebagai wartawan di akhbar di The New Straits Times, saya diajar supaya menggunakan ejaan "Datuk" untuk setiap pangkat Datuk tak kiralah anugerah dari negeri mana sedangkan ada akhbar lain menggunakan ejaan "Dato'" malah ada menyebut pangkat Datuk dengan Dato' ini ada bezanya, wallahualam...
Ke hadapan sedikit, terdapat pula papan-tanda menyebut arah ke "Makam Datuk Aroom". Teringat semasa di Masjid Kampung Hulu, saya diberi sebuah buku kecil sejarah Datuk Aroom oleh penjaga masjid. Menurut ceritanya, Masjid Kampung Hulu dibuka oleh Datuk Aroom pada tahun 1670 sedangkan sejarah rasmi menyebut masjid itu dibuka oleh anaknya Datuk Shamsuddin tahun 1728.
Akhirnya saya pun sampai di hadapan kawasan pemakaman. Ketika itu hujan masih renyai-renyai...
Kelihatan dua buah papan tanda... di kiri menyebut "Makam Datuk Kapitan Melayu Melaka Datuk Aroom dan kerabat" sedangkan di kanan cuma menyebut "Tapak batu nisan Acheh"...
Batu maklumat yang didirikan pihak muzium menyebut batu-batu nesan Aceh yang terdapat di sini tidak diketahui milik siapa sedangkan sepasang batu nisan Aceh di luar kawasan ini dikatakan milik Datuk Shamsuddin bin Arom (Aroom). Apa makna semua ini?

Buku kecil sejarah Datuk Aroom yang saya dapat menyebut semua makam di sini adalah milik kaum kerabat Datuk Aroom. Saya pula sedikit musykil. Setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma boleh dipakai oleh golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Termasuk dalam golongan juga adalah alim-ulamak besar yang apabila disusur-galur keturunannya memang memiliki darah bangsawan ataupun keturunan raja-raja.
Buku kecil itu menyebut Datuk Aroom sebenarnya adalah orang Cina dari Tiongkok yang memeluk Islam kemudian menetap di Melaka. Jadi bagaimana mahu dikaitkan dengan bangsawan atau raja-raja Melayu? Sekali lagi, sila baca cerita di artikel
Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka . Hmm... elok juga saya
copy and paste bahagian yang berkenaan di sini...
Saya pun mengundurkan diri untuk membaca buku tentang Pulau Besar dan Sheikh Ismail diikuti buku sejarah Datuk Aroom yang juga mengandungi sejarah Masjid Kampung Hulu. Baru saya tahu Datuk Aroom adalah Kapitan atau ketua orang Melayu Melaka pertama zaman pemerintahan Belanda (1641-1824). Ini kerana menurut buku tulisan warisnya itu, Datuk Aroom dan orang-orangnya telah membantu Belanda mengalahkan Portugis tahun 1641 lalu dilantik menjadi kapitan dan dianugerahkan sejumlah tanah sekitar Melaka.
Yang menarik, Datuk Aroom asalnya seorang pedagang muda bernama Tan Seek Tiong dari Tiongkok di negeri Cina. Tetapi kapalnya karam dipukul taufan di Selat Melaka sebelum jasadnya yang telah nyawa-nyawa ikan ditemui penduduk kampung di Pantai Kelebang.
Semasa diusung ke rumah ketua kampung, kebetulan laungan azan mula berkumandang. Pemuda Cina itu tersedar lalu bertanya tentang azan. Setelah diterangkan makna seruan di sebalik panggilan azan, beliau pun meminta diIslamkan. Hmm... macam kena pula dengan tajuk buku ini, ... (dirahsiakan) . Sejak itu Tan Seek Tiong memakai nama Islam Harun, kemudian dipanggil Harom, Arom dan Aroom.

Inilah makam Datuk Aroom @ Tan Seek Tiong. Tetapi ia bukan batu nesan Aceh.
Menurut sepasang suami isteri yang duduk di sebelah kawasan pemakaman ini, batu nesan asal di makam telah rosak dan patah lalu digantikan dengan yang ini . Batu nesan asal agak besar dan cantik.

Kata mereka, batu nesan Datuk Aroom serupa dengan batu nesan ini yang terdapat sekitar 200 meter di luar kawasan pemakaman tadi. Batu nesan di atas ini dikatakan milik anakandanya Datuk Shamsuddin.
Sebenarnya, selain mahu melihat batu-batu nesan Aceh di Bukit Beruang, saya juga ingin meneliti betulkah makam-makam ini milik kaum kerabat Datuk Aroom seperti dinyatakan dalam buku kecil sejarah Datuk Aroom yang ditulis mereka? Kecuali makam Datuk Shamsuddin di luar kawasan utama, pihak muzium sendiri menyebut makam-makam yang ada tidak diketahui milik siapa.
Persoalan yang bermain di fikiran saya ketika itu... apakah keluarga anak cucu Datuk Aroom terlebih-lebih membesarkan datuk nenek mereka? Seperti disebut awal tadi, setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma boleh dipakai oleh golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Kajian peribadi saya pula menunjukkan bahawa pemilik-pemilik batu nesan ini boleh disusur-galur keturunannya sampai ke keturunan Nabi Muhammad SAW. Sebab itu ada batu nesan ekslusif ditempa dari Aceh, bumi Serambi Mekah tempat masuk ramai anak cucu Nabi yang berhijrah ke Nusantara sebagai tanda. Maka mana mungkin Datuk Aroom yang sebenarnya seorang Cina masuk Islam dan kaum kerabatnya memakai batu nesan jenis ini.
Kemudian saya teringat cerita Laksamana Cheng Ho yang pernah memimpin armada besar Cina datang melawat Melaka dan beberapa kerajaan Melayu lain. Kajian-kajian terkini telah pun mengiktiraf Cheng Ho sebagai seorang Islam sejak lahir lagi, bukannya pendatang bangsa Cina yang datang memeluk Islam kemudian. Malah ada kajian menyebut nama sebenar beliau ialah Sayid Muhammad Adjal, seorang keturunan Nabi dari cabang keluarga yang berpindah ke Bukhara kemudian dibawa masuk ke istana Maharaja Cina!
Jadi apakah mungkin Datuk Aroom juga sebenarnya memiliki darah keturunan Nabi? Yang pasti, beliau bukan orang sembarangan. Kalau tidak, kenapa boleh diangkat untuk mengetuai orang-orang Melayu di Melaka! Dengan persoalan ini, saya tamatkan cerita. Sekian! :]