Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Oktober 23, 2007

Selamat Hari Raya semua!

OK... Pendek je... Selamat hari raya semua... Ini adalah gambar yang diambil Sabtu 20 Oktober semasa rumah terbuka dibuat di rumah ibu saudara saya di Ampang... Kelihatan dalam gambar adalah kawan baik saya Zaidi sedang membaca buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III sementara saudara Yap sedang menikmati juadah.
Ketika ini tetamu-tetamu lain sedang berada di dalam rumah untuk satu majlis tahlil ringkas sedangkan saya harus melayan kawan-kawan yang baru tiba.
Oh... Untuk pengetahuan, BKA III sudah siap dicetak... Cuma belum diambil (kecuali 20 naskah untuk tatapan keluarga) daripada kilang untuk dihantar kepada pengedar dan kedai-kedai. Insyaallah bulan November ni masuklah ia ke kedai-kedai...
OK... Saya harus bergerak. Sekian, wassalam!

Saja-saja di Bukit Treh

Nota: Ni ada sedikit gambar yang diambil di Bukit Treh, Muar... Ceritanya akan saya buat nanti ya... :]











Rabu, Oktober 10, 2007

Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!



Dan akhir sekali untuk malam ini, posting saya ke 191 dalam blogspot ini... Oleh kerana nombor ini (pada saya le...) membawa makna berakhirnya satu fasa kehidupan untuk dimulakan fasa baru pula, gerak hati saya menyuruh melihat pada mukasurat 191 buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang" atau BKA III.
Adapun mukasurat 191 di BKA III sebenarnya mengandungi tajuk sebuah bab iaitu "Tok Pulau Manis, Batu Bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh"... Teringat pula bagaimana beberapa orang yang telah membaca buku pertama saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I menyatakan rasa tidak puas hati kerana cerita Nakhoda Khalifah yang telah ditimbulkan dalam bab bertajuk "KeSultanan Perlak: Bermulanya sebuah cerita" telah dibiarkan tergantung sedangkan buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II tidak menyentuhnya langsung...
Oleh itu, sukacita dimaklumkan cerita ini akan disambung kembali dalam BKA III. Kebetulan dalam BKA I, mukasurat 191 mengandungi tajuk "Legenda Merah Silu: Kemunculan Sultan Malikus Salih". Maka itu biar saya berikan sedutan daripada bab "Tok Pulau Manis..." di BKA III ya. Ini dia.... Selamat Hari Raya! Insyaallah saya akan bercerita kembali selepas puas bercuti nanti. Wassalam! :]

----------------------------

Nama penuh Tok Pulau Manis ialah Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah... Memakai nama Sharif yang bermaksud “Yang Mulia” kerana beliau sebenarnya adalah keturunan Rasulullah SAW dari sebelah Saidina Hassan. Malah moyangnya Sharif Muhammad Al-Baghdadi dikatakan pernah memerintah kerajaan Baghdad sebelum turun takhta dan membawa diri ke Terengganu. Menurut Ayah Weng, di sebuah surau lama iaitu Surau Putih di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pernah tertulis bahawasanya Sharif Muhammad telah turun takhta kerajaan Baghdad kerana mengambil jalan warak... Baginda pergi ke Mekah tapi dituruti orang lalu melarikan diri ke Terengganu setelah tinggal beberapa lama di Hadramaut, Yaman.
Rasyid pernah terbaca catatan ini enam tahun lalu... Setelah tergerak untuk singgah di Pulau Duyong ketika hampir sampai ke Kuala Terengganu dalam satu pengembaraan solo bermotosikal mengelilingi Semenanjung. Lebih menarik, Sharif Muhammad al-Baghdadi dikatakan orang yang bertanggungjawab menulis Batu Bersurat Terengganu yang amat terkenal itu. Malah menurut ceritanya, baginda menulis menggunakan jari tangan, bukan tukul, pahat ataupun apa-apa alatan terus ke atas batu!
Menurut ceritanya lagi, ini berlaku setelah baginda berjaya menundukkan beberapa kerajaan penyembah berhala di bumi Timur lalu menjatuhkan hukum syariat Islam ke atas raja-raja di bawah taklukannya. Isi dan intipati hukum inipun dimaktubkan di atas batu bersurat sebagai panduan untuk mereka dalam mentadbir negara dan rakyat...
“Itulah batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang ini kemudian dimasyhurkan sebagai bukti Islam sudah sampai di Terengganu 700 tahun dahulu,” kata Ayah Weng. “Batu yang sekarang disimpan di Muzium Negeri Terengganu ini begitu diiktiraf dalam sejarah tanah Melayu sehingga cerita tentangnya diajarkan sejak dari sekolah rendah lagi.”
Mengikut sejarah rasmi yang dibaca Rasyid, tiada siapa tahu siapakah penulis batu bersurat tersebut. Sejarahwan Barat pula mengaitkannya dengan Aceh lama kerana batu itu nampaknya mempunyai pengaruh Pasai berdasarkan ciri-ciri yang terdapat padanya.Memang ada cerita menyebut Terengganu dahulukala mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Samudera Pasai. Malah Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan lama di bumi Aceh itu dikatakan pernah datang ke Terengganu bersama Sheikh Ismail yang makamnya di Pulau Besar, Melaka kerana mereka mempunyai hubungan rapat dengan Sharif Muhammad Al-Baghdadi!

........ (setelah melangkah beberapa mukasurat) ...............

Di sini biar diajukan satu persoalan. Jika sejarah Perak berkaitan bumi Serambi Mekah boleh digelapkan, bagaimana pula sejarah awal Terengganu sebelum pertabalan Sultan Zainal Abidin I, awal abad ke 18? Sejarah rasmi menyatakan baginda diangkat kerajaan Johor di satu pihak, kerajaan Patani di pihak yang lain... Kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji pula menyebut pihak Bugis bertanggungjawab menabalkan Sultan dengan perintah dari Johor. Peranan Tok Pulau Manis dalam kenaikan raja itu langsung tidak pernah disebut kecuali oleh orang-orang tertentu
Bagaimana pula cerita Ayah Weng tentang moyang Tok Pulau Manis, Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang mempunyai pertalian dengan Sultan Malikus Salih pengasas kepada kerajaan Samudera Pasai yang pusatnya terletak di dalam wilayah Aceh sekarang? Bagaimana cerita tentang baginda sebagai orang yang menulis Batu Bersurat Terengganu, batu bersejarah yang disebut sarjana Barat mempunyai pengaruh Pasai? Apakah ceritanya digelapkan pihak tertentu yang tidak mahu kaitannya dengan Aceh diketahui orang? Atau ada yang sengaja mahu menenggelamkan peranan anak cucu Saidina Hassan menyebarkan syiar Islam di bumi Melayu ini?
Ayah Weng ada menyebut Sharif Muhammad pernah mengalahkan kerajaan-kerajaan Sri Wijaya dan Majapahit sehingga dikatakan semua negeri di Nusantara juga kerajaan yang bersempadan dengan Lautan Pasifik (seperti Filipina sekarang) sampai ke sempadan Empayar China pernah tunduk di bawah pemerintahannya. Agaknya sebab itu wujud cerita-cerita lama menyebut tentang sebuah kerajaan Melayu besar dahulukala bernama Kembayat Negara dengan jajahannya meluas sehingga ke Indo-China walaupun kisah ini dianggap dongeng oleh masyarakat sekarang? Kembayat Negara pula dikatakan bersempadan dengan Yunan yang mana Syair Siti Zubaidah menyebut tentang kehadiran seorang Puteri Yunan yang memang dilahirkan Islam. Tidak ada apa yang hendak dihairankan kerana kajian peribadi Rasyid menunjukkan semua pemerintah Dinasti Ming di China beragama Islam... Sebab itu China di bawah pemerintahan Dinasti Ming boleh menjalinkan hubungan yang rapat dengan KeSultanan Melayu Melaka serta melindunginya daripada ancaman kerajaan Siam!
Maka Batu Bersurat Terengganu ditulis sebagai manual pemerintahan Islam untuk tatapan raja-raja di bawah takluknya. Sehingga Ayah Weng dan waris-warisnya memberitahu Sharif Muhammad adalah khalifah teragung yang pertama menjadi model Rasulullah SAW di Asia Timur. Apakah mungkin baginda inilah Muhammad Nafs Al-Zakiyah, (baca balik Jilid 1 bab bertajuk Perlak: Bermulanya sebuah cerita) satu-satunya anak cucu Rasulullah SAW berketurunan Saidina Hassan yang diketahui pernah dibai’at sebagai khalifah iaitu diangkat dengan sumpah setia oleh semua golongan umat Islam? Bukankah ini melayakkan baginda menjadi khalifah pertama dari keturunan Rasulullah SAW selepas takhta itu dirampas secara tipu-helah oleh Bani Umaiyah daripada tangan Saidina Hassan?
Muhammad kemudian dikhianati anak cucu Saidina Abbas, saudara mara sendiri yang sanggup merampas takhta keKhalifahan itu untuk mendirikan kerajaan Bani Abbasiyah yang akan memerintah ummah selama 500 tahun. Apakah ini yang menyebabkan cerita asal-usul baginda yang sebenar digelapkan? Apakah mungkin Sharif Muhammad juga adalah watak misteri yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah, pemimpin rombongan 100 orang pendakwah yang mengIslamkan Perlak 1200 tahun dahulu, kerajaan Islam terawal dalam sejarah bumi Serambi Mekah?

—————————

Rasyid teringat kembali cerita Ayah Weng tentang catatan di Surau Putih, Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang menyebut: “Bahawasanya Sharif Muhammad telah turun takhta kerajaan Baghdad kerana mengambil jalan warak. Baginda pergi ke Mekah tapi dituruti orang. Lalu melarikan diri ke Terengganu setelah tinggal beberapa lama di Hadramaut, Yaman.” Rasanya ada persamaan dengan kisah Muhammad Nafs al Zakiyah atau nama sebenarnya Muhammad bin Abdullah bin Hassan al Muthana bin Saidina Hassan bin Saidina Ali Abi Talib Karamallahuwajha.
Disebut dalam sejarah, sekitar 132 Hijrah atau 750 Masihi, masyarakat Islam di Baghdad termasuk kaum Bani Abbas juga para Ahlul Bait keturunan Nabi pernah membai’at Muhammad Nafs al Zakiyah sebagai khalifah demi menjatuhkan pemerintahan Bani Umaiyah yang zalim dan kejam. Nama baginda Muhammad bin Abdullah dikaitkan dengan watak penyelamat Imam Mahdi menyebabkannya mendapat sokongan ramai... Tetapi apabila Bani Umaiyah berjaya dijatuhkan, Abul Abbas al Saffah dari Bani Abbas pula diangkat puaknya menjadi khalifah. Dan apabila dia meninggal dunia, seorang lagi Bani Abbas, Abu Jaafar Al-Mansur diangkat menggantikannya sehingga Muhammad hilang sabar lalu memberontak.
Ada cerita menyebut salah seorang penyokong kuat baginda adalah Nu’man ibnu Thaabit atau Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi. Baginda juga mendapat sokongan Imam Malik, pengasas Mazhab Maliki... Tetapi pemberontakan awalnya di Baghdad telah dipatahkan pemerintah Bani Abbasiyah dengan kejam. Tidak lama kemudian ahli keluarga dan saudara-maranya pula mula diburu, ditangkap dan dibunuh seorang demi seorang. Muhammad pun terpaksa berundur jauh daripada Baghdad sehingga baginda tersepit lalu meneruskan pemberontakan dari Madinah.
Sejarah rasmi menyebut baginda akhirnya terbunuh tetapi Rasyid percaya ada kemungkinan Muhammad dapat melarikan diri. Teringat kisah moyang Sultan Brunei, Sharif Ali, seorang lagi Ahlul Bait keturunan Saidina Hassan yang dikatakan terbunuh dalam satu perebutan kuasa di Mekah tetapi boleh muncul pula di Brunei... Apakah mungkin Muhammad juga sebenarnya terselamat lalu melarikan diri secara senyap ke Mekah? Orang lain yang terbunuh tetapi mayatnya pula diwar-warkan sebagai Muhammad? Mungkin ini berlaku supaya musuh tidak lagi mengejarnya... Kemudian apabila identitinya terbongkar baginda lari pula ke Hadramaut, Yaman lalu terus membawa diri ke Nusantara, sampai ke Terengganu?
Fikirkan... Sharif Muhammad Al-Baghdadi dikatakan adalah seorang keturunan Saidina Hassan yang pernah bertakhta di Baghdad. Setahu Rasyid, tidak ada seorang pun anak cucu Rasulullah SAW pernah menduduki takhta di sana dahulukala. Kalau abad ke 20 memang ada kerana Raja-raja Iraq (sebelum menjadi republik) adalah anak cucu Sharif Mekah yang berasal daripada keturunan cucu sulung Nabi. Saidina Hassan yang pernah menjadi khalifah umat Islam pula bertakhta di Kufah sementara keturunan Nabi yang lain seperti Imam Ja’afar al-Sadiq pernah diangkat sebagai ketua satu golongan umat Islam sahaja seperti golongan Syiah Imamiah, maka tidaklah boleh dikira sebagai pernah bertakhta di sana...
Sekarang, fikirkan dengan lebih mendalam... Dari satu segi, Muhammad Nafs Al-Zakiyah boleh dikira pernah ‘bertakhta’ di Baghdad kerana baginda pernah dibai’at sebagai khalifah seluruh umat Islam walaupun untuk seketika sahaja. Malah tidak mustahil Muhammad sempat menaiki takhta dan duduk di istana selepas kejatuhan keKhalifahan Bani Umaiyah... Ini kerana pergerakan menjatuhkan pemerintahan dinasti yang kejam itu cuma dapat disatukan di atas namanya Muhammad bin Abdullah sebagai seorang khalifah baru dari keturunan Rasulullah SAW yang namanya dan nama bapanya serupa dengan Rasulullah SAW, serupa juga dengan nama Imam Mahdi yang pernah diisyaratkan Nabi!

................................


Di sini, Rasyid ingin mengemukakan pandangan yang rasanya tidak pernah muncul dalam mana-mana sumber sejarah Islam baik bertulis mahupun lisan. Memandangkan, Muhammad Nafs al Zakiyah telah dibai’at ramai dan Bani Umaiyah pula berjaya dijatuhkan kerana segenap lapisan masyarakat menyokong baginda sebagai Al-Mahdi, maka itu orang-orang Bani Abbasiyah yang sebenarnya berniat serong tidak boleh terus merampas takhta keKhalifahan di hadapan orang ramai. Mereka harus menunggu waktu yang sesuai untuk bertindak... Maka tidak mustahil Muhammad sempat menaiki takhta dan duduk di istana sebelum orang-orang Bani Abbas dapat menjatuhkannya tanpa dapat atau sempat ditentang rakyat.
Kemungkinan besar mereka telah meletakkan diri sebagai penasihat baginda dan ini boleh diterima akal kerana mereka pernah berperanan sebagai ahli strategi Muhammad semasa menaja pergerakan menjatuhkan Bani Umaiyah. Selepas menjadi penasihat dan pembesar di istana khalifah barulah puak Bani Abbas boleh mendapatkan sokongan mereka yang mengawal istana dan persekitarannya serta pihak tentera. Apabila keselamatan istana khalifah berada dalam tangan mereka, barulah boleh dilakukan coup de etat atau rampasan kuasa dari dalam... Maka Muhammad dihalau tanpa sempat mengatur pembelaan sedangkan kaum Bani Abbas sudah lebih dahulu mencengkam semua pihak yang berkepentingan...
Memang cerita ini tidak terdapat dalam mana-mana dokumen atau kajian serta catatan sejarah rasmi dan lagi boleh dikira sangat spekulatif tetapi Rasyid percaya, ia tidak mustahil. Bani Abbasiyah diketahui memegang keKhalifahan selama 500 tahun. Dalam tempoh itu, tidak mustahil mereka menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menggelapkan sejarah sebenar pemerintahan Khalifah Muhammad Nafs al Zakiyah.
Apapun, Muhammad Nafs al Zakiyah inilah yang paling dekat cerita asal-usulnya dengan kisah Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang dikatakan turun takhta kerajaan Baghdad dan akhirnya sampai ke Terengganu. Tidak lama selepas Muhammad dijatuhkan di Baghdad, muncul pula rombongan 100 orang pendakwah diketuai Nakhoda Khalifah di Perlak (baca buku 1 “Berpetualang ke Aceh”). Barangkali mereka orang yang sama, orang kemudiannya menulis Batu Bersurat Terengganu lalu menurunkan wali Allah terkenal Tok Pulau Manis atau Sharif Abdul Malik?

Mengenang BKA tour run pula...

Ini adalah bahagian Sungai Chemperoh yang terletak betul-betul bersebelahan sebuah surau di Kampung Janda Baik yang sering menjadi tempat saya menginap apabila bertandang ke kampung nyaman yang terletak di Banjaran Titiwangsa ini... Sejak 2 tahun kebelakangan, sejak saya keluar daripada rumah Pak Habib (Syed Hussein Al-Attas) yang terletak 100 meter sahaja daripada sini.
Gambar ini diambil seminggu lepas, selepas saya berjaya menyiapkan proses penyuntingan akhir buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III hari Ahad. Keesokannya hari Isnin iaitu 1 Oktober 2007 bersamaan 19 Ramadhan 1428 Hijriah saya terus hantar ke kilang percetakan.
Dua hari lepas, saya tergerak untuk naik lagi ke Janda Baik... Mahu menghabiskan malam tujuh likur (birthday saya yang ke 38 kalau ikut kalender Islam!) di sebuah rumah lama yang ceritanya ada saya nukilkan dengan tajuk Rumah lama Perak di Janda Baik (An old Perak house in Janda Baik) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Malam semalam baru saya tidur di surau bersebelahan sungai ini...
Demi memuaskan gerak bercerita saya untuk hari ini (dan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan muncul hujung minggu ini!) lebih-lebih lagi setelah berjaya menamatkan artikel terakhir untuk pengembaraan jauh terbaru yang dibuat Julai 2007, pengembaraan yang dipanggil sebagai "BKA tour run" kerana ia dilakukan seraya membuat promosi jalanan siri buku "Berpetualang ke Aceh", ini pula himpunan link-link cerita menurut susunan masa seperti yang telah dibuat dalam blogspot ini juga blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sila baca dengan tertib ya!





---------------------------------





Tour terbaru "Berpetualang"... Berita dari Raub


Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?


Kuala Lipis, bandar yang comel!


BKA Tour Run: Dari Raub ke Gua Musang


Mendaki Bukit Panau


Danau Tok Uban pula...


BKA Tour Run: Jale-jale Kota Bahru, Kelantan


Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban!


BKA Tour run: Laporan daripada Aloq Setaq!


A typical day in Alor Setar?


BKA Tour Run: Alor Setar ke Kuala Kangsar sebelum melaporkan di Ipoh


From Kedah to Perak... The show must go on!


Gunung Semanggol... The threat from the mountains


Taiping to Kuala Kangsar... A dangerous look at Malaysian history?


Lapolan Ipoh mali... Tatak sombong punya!


Revisiting Teluk Intan the birth-place of my dad.....


Sampai masanya untuk meninggalkan Perak dan masuk ke Selangor...


From Perak to Selangor... Time to start settling down


A day at Kuala Kubu Baru


Finally, back to Kuala Lumpur!


BKA Tour Run... Laporan akhir setelah kembali ke Kuala Lumpur.





Dan bonusnya ini... Janda Baik revisited again... Kerana saya sebenarnya baru kembali daripada Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang... Sekarang ini menulis daripada sebuah Internet Cafe di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur pula... Hehe! :]

Kenangan di London bersama buah hati lama semasa pertama kali sampai 1991

Gambar hiasan - Inilah kali pertama saya melihat buah nona sebesar ini dan berwarna kuning pula... Selama ini saya cuma pernah berjumpa buah nona berwarna hijau dengan saiz tidak lebih setengah daripada ini... Buah nona ini diberikan oleh seorang penduduk Kampung Janda Baik kepada Puan Ainon, pemilik syarikat penerbitan buku PTS lebih seminggu lepas.

OK... Sebagai meneruskan gerak bercerita berdasarkan sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III yang Insyaallah akan menemui khalayak ramai November ini, biar disajikan sedikit cerita daripada Bab 10. Sila...

---------------------


Fasten your seatbelt. We are now approaching Heathrow airport, London! “ teringat pengumuman ketua juruterbang setelah lebih 13 jam membelah udara tanpa-henti. Pesawat Jumbojet Boeing 747 yang dinaiki mula bergegar akibat penurunan laju daripada paras ketinggian 11,000 kaki ke paras laut. Dada pemuda itu berdebar-debar penuh harapan setelah lebih lima tahun mengidam untuk ke England - Dia pernah dibuang kolej kerana masalah disiplin dan nyaris-nyaris tidak dapat menyambung pengajian ke sana.
Kapalterbang mendarat lalu mengisi tempat yang disediakan. Aerobridge disambungkan kepada pintu pesawat dan penumpang mula keluar.
“Wow!” terkeluar reaksi awal melihat lapangan terbang utama Britain itu, salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di dunia. “Canggih!”
Kelihatan beberapa blok bangunan gergasi dikelilingi berpuluh pesawat pelbagai jenis dan saiz milik pelbagai syarikat. Terasa jauh bezanya dengan Lapangan Terbang Subang (ketika itu KLIA belum wujud) yang terasa begitu kecil dan third-world, begitu ketinggalan zaman.
Rasyid yang berpakaian segak dengan sepasang suit hitam lengkap milik almarhum Atuk Muar berserta kemeja putih bertali-leher (ramai juga orang menyangkakannya seorang businessman!) berjalan keluar menuju ke tempat pemeriksaan immigresyen. Setelah beratur lebih kurang 15 minit sampailah gilirannya untuk diperiksa. Pemuda itupun menghulurkan paspot dan embarkation pass. Sambil itu bersiap-sedia dengan financial guarantee letter, surat sokongan yang menyatakan dia mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk bermastautin di London, dikepilkan bersama surat tawaran untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London, sebuah universiti terkemuka di England yang termasuk di dalam kelompok besar University of London.
Pegawai yang bertugas meneliti rupa-paras pemuda itu sambil membandingkannya dengan gambar serta maklumat yang tertera di dalam paspot. Tak banyak beza gambar dengan orangnya...
I see, you come here for study, sir…” katanya seraya membelek visa pelajar di dalam paspot. “May I see your other supporting documents?” dia bertanya pula.
Rasyid menghulurkan surat-surat sokongan yang disediakan. Nampaknya teliti juga pegawai ini. Takut pemuda ini terrorist agaknya…
I see you got everything in order,” katanya, puas-hati setelah meneliti segala dokumen yang di beri lalu mengecop paspot.
Welcome to London, sir! Enjoy your stay here!” ucapnya dengan senyuman mesra seraya memulangkan semua dokumen-dokumen itu.
Anak muda itu melangkah lega. Secara rasmi, dia sudah berjaya memasuki London. Awal tadi, ada juga rasa takut kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. Dia pernah mendengar cerita ada orang Malaysia yang ditahan pihak immigresyen lalu dihantar-balik dengan penerbangan seterusnya kerana masalah tertentu. Tak pastilah kenapa...
Rasyid pergi ke ruang bersebelahan untuk mengambil beg-beg pakaian dan keperluan di ruang menunggu bagasi lalu melangkah masuk ke ruang utama terminal. Sebaik sahaja melangkah keluar, terdengar satu laungan dengan satu suara yang agak familiar, biasa didengarnya…
“Abang! Sini, sini!”
Ah… Buah hati lamanya yang sampai seminggu lebih awal sudah sedia menunggu. Kota London, sudah sampai masa untuk kita berkenalan...

—————————

Banyak sungguh pengalaman baru hari itu. Setelah pertama kali menaiki kapal-terbang, pertama kali ke seberang laut, pertama kali ke London, pertama kali melihat lapangan terbang canggih seperti Heathrow, itulah pertama kali dia merasakan cuaca selain iklim khatulistiwa di tanah-air... Ketika itu England baru masuk musim luruh . Suasananya berangin sejuk dengan suhu sekitar 15 darjah Celsius., terasa berbeza sungguh dengan suhu 30 darjah di Malaysia.
Rasyid juga buat pertama kali merasa naik keretapi bawah tanah London Underground yang sering diceritakan orang.. Pemuda itu masih ingat perasaan pelik tetapi seronok apabila keretapi sampai di stesyen bawah tanah Heathrow di bawah lapangan terbang diikuti pengumuman aneh: “Mind the gap!”
Perkataan sama tertera di beberapa tempat sepanjang tepian pelantar.
“Apa ini, ‘Mind the gap!’, Mind the gap!’” dia bertanya seraya mengajuk…
Rupa-rupanya ia satu peringatan supaya berhati-hati apabila melangkah masuk ke dalam keretapi... Jangan sampai terjatuh kerana ada ruang sehingga selebar 1 kaki di antara pelantar dan keretapi.
Buah hati lamanya seronok melihat Rasyid begitu teruja. Itulah kali pertama dia melihat pemuda yang biasanya suka berseluar jeans dan t-shirt itu begitu segak memakai suit lengkap! Penumpang lain pula kelihatan hairan melihat seorang ‘businessman’ dengan beg-beg besar serta haversack di belakang memeluk seorang gadis berpakaian ranggi dengan muka seperti pelajar 15 tahun. Sudahlah masing-masing buat perangai macam jakun, seperti rusa masuk kampung pun ada, seorang kelihatan begitu dewasa, seorang lagi seperti bawah umur…
Setengah jam kemudian, keretapi bawah tanah itupun sampai ke Marble Arch, stesyen terdekat ke Malaysia Hall, tempat tumpuan pelajar dan warga-kerja Malaysia di London. Rasyid dan buah hati lama keluar menaiki escalator naik ke permukaan. Kelihatanlah sebuah arca besar yang diperbuat daripada batu mar-mar (sebab itu dipanggil Marble Arch) di tengah persimpangan jalan, bersebelahan taman terkenal kebanggaan rakyat tempatan Hyde Park.
Dari situ, mereka berjalan kaki menghala ke utara melepasi Malaysia Hall dan beberapa blok bangunan untuk ke rumah sewa wanita itu di Baker Street, sebuah kawasan perumahan yang agak ekslusif, terkenal dengan watak khayalan detektif ternama Sherlock Holmes ciptaan penulis Arthur Conan Doyle. Selepas berehat sebentar dan bertukar pakaian yang lebih selesa (apalagi, seluar jeans dan t-shirt kegemaran Rasyid lah tetapi mesti memakai sweater sekali kerana sejuk), pemuda itupun memulakan penjelajahan pertamanya di kota itu.. Destinasi pertamanya - Oxford Street, lebuh membeli-belah utama London.
Memang seronok bersiar-siar di sepanjang lebuh membeli-belah terkenal dunia yang menjangkau jarak 3km itu sambil singgah window shopping, cuci-cuci mata di gedung-gedung membeli-belah gergasi seperti Selfridge’s, Marks & Spencer dan Debenham’s. Pasangan yang memang suka berjalan kaki jauh bersama-sama sejak mereka berkenalan di Kuala Lumpur itu juga menjenguk beberapa kedai lain... Sambil melepasi lebuh-lebuh terkemuka seperti Regent Street dan menyelit-nyelit di tengah kebanjiran penduduk tempatan dan pelancong yang memenuhi hampir setiap inci kaki lima, rasanya tidak kurang lima kali lebih padat daripada keramaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika hujung minggu!
Pemandangan lautan manusia yang mengkagumkan itu dihiasi pula dengan deretan bas-bas dua tingkat London Transport berwarna merah, juga teksi-teksi besar berwarna hitam yang rupanya saling tak tumpak seperti kereta Rolls Royce lama. Masing-masing menjadi identiti tersendiri kota metropolitan terkenal dunia yang menampung sekitar 10 juta penduduk itu. Sampai ke stesyen Tottenham Court Road di penghujung timur Oxford Street, sebuah kawasan yang juga dikenali sebagai West End, Rasyid dan buah hati lama berjalan menghala ke utara sehingga menghampiri kawasan kampus University College of London yang akan menjadi tempat pemuda itu menyambung pengajian tinggi.
Mereka singgah sebentar di kedai buku kedua terbesar di London iaitu Dillon’s bersebelahan bangunan University of London Union, sebuah bangunan tiga tingkat sebesar pasaraya Batu Road Supermarket di Chow Kit ataupun gedung membeli-belah Mydin di Masjid India tetapi penuh dengan buku-buku pelbagai tajuk dan bermacam-macam subjek yang belum pernah ditemui pemuda itu di Malaysia. Apa yang membuat dia lebih seronok, itulah kedai buku pertama yang ditemuinya seumur hidup di mana seseorang itu boleh membaca apa-apa buku selama mana mereka suka sambil duduk bersila di atas lantai atau bersandar di tepi dinding. Malah pemuda itu cuba berbaring di atas lantai yang beralas permaidani... Tiada pula pembantu kedai yang menegur atau menghalaunya keluar. Ah... Terasa bagai berada di syurga dunia pula!
Rasyid keluar dengan senyuman lebar sampai ke pipi.
Tiba-tiba dia menoleh ke arah buah hati lama. “Cubit saya!” katanya...
“Hah? Apa dia?” wanita itu bertanya hairan.
“Cubit saya!”
“Kenapa?”
“Alah… Cubit sahajalah… Jangan banyak tanya!”


Gadis cantik berwajah budak sekolah menengah itupun mencubitnya.
“Kuat lagi! Kuat-kuat!” kata pemuda itu.
Buah hati lamanya menurut sehingga terbeliak mata…
“Adoi!” baru dia menjerit.
“Eh, kenapa awak ini? Buang tebiat ke?” wanita itu semakin pelik.
“Tidak ada apa-apa,” kata Rasyid tersengih seperti kerang busuk. “Sahaja-sahaja, hendak pastikan saya tidak bermimpi!”
Mereka ketawa riang lalu meneruskan perjalanan... Kali ini menghala ke selatan melepasi School of Oriental, African and Slovanic Studies, British Museum, seterusnya stesyen Holborn untuk menyusuri lebuh Kingsway hingga ke Aldwych, lokasi sebuah universiti pengajian ekonomi yang terkemuka di dunia, London School of Economics, tempat buah hati lama itu menuntut.
Dalam hari pertamanya di London, pemuda itu juga sempat bersantai di tempat-tempat tumpuan pelancong terkemuka yang sering menghiasai poskad antarabangsa, tempat-tempat seperti Trafalgar Square dan Piccadily Circus. Hari itu sahaja, dia berjalan kaki lebih 10km! Belum dikira hari-hari berikutnya membelek barangan antik di Camden Town atau menikmati hiburan jalanan termasuk orkestra kecil four piece classical music di Covent Garden, tempat tumpuan warga seni jalanan di kota London, tempat yang pernah memberi rakyat Malaysia yang sealiran ilham untuk menerbitkan Central Market di Kuala Lumpur. Belum dicampur hari-hari kemudian santai di taman-taman bunga seperti Hyde Park dan Regent’s Park atau menikmati angin tepian Sungai Thames sambil melihat jam besar Big Ben atau jambatan tergantung Tower Bridge. Pendek kata, cukup banyak tempat menarik di sana. Sesetengahnya begitu unik membuatkan seseorang itu tersenyum lebar sampai ke pipi. Boleh ditulis sebuah buku semata-mata untuk menceritakan semua ini...

Mengenang kembali pengembaraan 2 bulan Disember 2006-Februari 2007

Gambar kompleks makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail di Pulau Besar sebagai hiasan...


Tadi dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH saya telah menyaipkan artikel terakhir tentang perjalanan jauh terbaru saya yang dibuat bulan Julai 2007 untuk meliputi negeri-negeri Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor. Timbul rasa untuk mengatur semua link-link dalam chronological order atau turutan masa kerana artikel-artikel asal mungkin ditulis ikut sesuka hati saya, bila nak tulis terus sahaja buat tanpa mengira bilakah sesuatu cerita itu berlaku.

Tetapi saya rasa proses ini tidak akan lengkap kalau tidak mengatur kembali cerita-cerita yang dibuat berdasarkan pengembaraan sebelum itu yang memakan masa tempoh 2 bulan, satu perjalanan yang meliputi beberapa lokasi di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak pula! Maka itu di sini saya sediakan supaya lebih senang ditatap pembaca. Mungkin di sebalik apa yang tersurat, akan dapat ilmu yang tersirat? Maklumlah, saya menulis mengikut gerak rasa pada sesuatu masa, selalunya tanpa terfikir atau mengetahui pun kenapa saya mengambil sesuatu sudut penceritaan atau mengenengahkan sesuatu perkara... Mungkin apabila diatur balik, akan nampaklah mesej yang tersirat hasil gerak daripada Ilahi jua, Insyaallah! Inilah link-link nya...


Trip to the East Coast


Tambahan (dibuat 23 April 2021) : Bila disemak kembali betul-betul rupa-rupanya ada beberapa artikel pernah dibuat dalam bahasa Melayu di blogspot ini tentang perjalanan yang sama. Cuma tidak selengkap seperti dalam blogspot berbahasa Inggeris. Biar dikongsikan di bawah :-








Sekali lagi - Hal-hal yang nyata vs. perkara-perkara ghaib

Gambar hiasan - Sungai di kawasan Pulau Santap, Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang...

Lagi perkara untuk difikirkan... Tentang hal-hal nyata yang kita selalu pegang sebagai fakta dalam dunia moden sekarang berbanding hal-hal ghaib yang belum tentu dapat dirasai semua orang maka tidak dapat dibuktikan secara ilmiah melalui kaedah yang diakui ilmu Sains. Daripada bab pembukaan buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III, bab bertajuk "Mukadimah: Sedikit catatan tentang tarikh dan peristiwa yang bercanggah"...

---------------------------

Suatu masa dahulu Rasyid juga kurang percaya terhadap perkara-perkara ghaib kerana terlalu menyanjung tinggi logik serta cara pemikiran rasional. Pemuda ini cuma mahu percaya apa yang dapat dibuktikan dengan lima pancaindera zahir, atau istilah ilmiahnya empirical science - ilmu Sains yang terbukti apabila sesuatu percubaan kajian ataupun eksperimen boleh diulang kembali dan dibuktikan hasilnya dengan konsisten di mana-mana makmal di mukabumi... Atau apa yang dapat dibahaskan di dalam dunia pemikiran mengikut hukum logik akal yang berasaskan apa yang dikenali sebagai Aristotlelian Logic, kaedah mencari kebenaran sesuatu perkara mengikut cara pemikiran ahli falsafah Yunani purba terkenal, Aristotle.
Anak Melayu jati ini pernah memandang remeh sejarah bangsa sendiri yang mengandungi banyak cerita-cerita pelik tidak masuk akal. Seperti kebanyakan anak berpendidikan Barat, Rasyid turut mempersoalkan kewujudan Hang Tuah... Apakah ia cuma satu mitos yang dicipta untuk menaikkan semangat orang Melayu yang hilang arah apabila dijajah? Sebagai orang yang kononnya telah mengkaji berbagai jenis sistem politik dan yakin terhadap sistem demokrasi, pemuda ini pernah mempersoalkan apakah relevannya sistem beraja. Lalu dia juga terperdaya dengan dakyah Barat yang mendakwa Raja-raja Melayu kononnya berasal daripada lanun yang mendapat kuasa dan takhta hanya kerana mereka kuat...
Sampai suatu masa, Allah SWT menunjukkan pemikiran logik yang amat diagung-agungkannya itu tidak sampai pun ke mana... Kepandaian akal fikiran yang pernah didewa-dewakan sehingga sanggup cuba merungkai masalah keTuhanan melalui sudut pandangan ilmu Sains peringkat tinggi seperti Quantum Physics, Theory of Relativity, Unified Field Theory dan sebagainya tidak mampu menggapai kebenaran yang hakiki. Malah bila direnung kembali apa yang telah berlaku, Rasyid bukan sahaja telah tersilap arah malah nyaris-nyaris jatuh kafir! Pemuda ini mulai sedar, banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya... Begitu luas lagi rahsia alam ini dan kebanyakan jawaban bagi persoalan yang membelenggu fikirannya selama ini sebenarnya terletak di dalam lingkungan apa yang dipanggil sebagai perkara-perkara ghaib yang cuma boleh disusuri melalui ilmu Tasawuf dan hati yang murni. Ingat. Bukankah kita disuruh beriman dengan Allah SWT dan para malaikat? Dengan Hari Kiamat, Qada dan Qadar, Syurga dan Neraka yang kita tidak boleh nampak atau rasa dengan pancaindera zahir yang lima? Hal-hal yang tidak dapat diukur dengan akal fikiran biasa?
Apapun, ini tidak bermakna anak muda ini cuba mengetepikan logik langsung. Dalam menulis buku ini, dia cuba mengikut fakta yang diterima logik sedapat mungkin seperti yang dipersetujui secara umum oleh para pengkaji sejarah yang mana hasil kajian mereka telah diterima ramai lalu dijadikan bahan buku teks sejarah... Begitu juga sumber pengkajian yang lebih tinggi seperti thesis dan kertas-kerja sejarah peringkat universiti digunakan untuk memahami apa yang pernah berlaku di bumi Timur walaupun ia belum lagi sampai pada masyarakat umum untuk diteliti semua pihak... Cuma kita mesti ingat, fakta-fakta yang dikemukakan secara ilmiah oleh para pengkaji yang diiktiraf ramai pun tidak semestinya tepat. Sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, mereka boleh sahaja berlaku khilaf dan membuat kesalahan yang tidak disengajakan... Kerana perkara-perkara yang dikaji melibatkan peristiwa yang telah berlaku beratus tahun dahulu, ada masanya beribu tahun sebelum dunia yang dikenali sekarang wujud...

Jumaat, Oktober 05, 2007

BKA III akan bergerak lebih laju, Insyaallah!

Nota: Penulisan ini telah dimulakan dengan gambar di bawah yang di upload petang tadi kemudian disimpan dalam bentuk draft... Malam ini setelah masuk jam 10 baru saya boleh menyambung dengan sedikit cerita lalu boleh disiarkan untuk tatapan umum.
Oh... Sila jenguk cerita-cerita yang dibuat lebih awal tadi iaitu From Perak to Selangor... Time to start settling down dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Masjid (mosque of) Tanjung Malim dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...


Di atas adalah gambar saya bersama saudara Syed Munawar, pengacara rancangan Resensi dan Selamat Pagi Malaysia di RTM. Ia diambil di Studio 2 pagi semalam semasa membuat satu temu-bual tentang siri buku "Berpetualang ke Aceh" untuk program Resensi akan datang, Insyaallah akan dipaparkan di televisyen selepas Hari Raya nanti.

Adapun kami telah berhubung sejak 3 bulan lalu. Pernah awal dahulu saudara Syed Munawar menghantar message agar saya dapat hadir untuk satu proses recording yang dibuat di luar studio, kalau tak salah ingatan di sebuah universiti di pinggir ibukota tetapi ketika itu saya pula sedang sibuk dengan beberapa hal. Kemudian rancangan Resensi dipenuhi oleh ulasan-ulasan tentang buku-buku keluaran pihak tertentu terutama yang membawa kepada sambutan kemerdekaan ke 50 tahun negara... Pendek-kata jadual penuh! Baru 2 hari lepas saya dihubungi agar datang ke studio untuk program Resensi atau ulasan buku kelolaan RTM ini.

Rupa-rupanya segala yang berlaku ada hikmahnya... Jika ditemu-bual lebih awal, mungkin saya cuma dapat bercerita tentang buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I dan buku kedua "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II. Sebaliknya kelambatan yang berlaku menyebabkan saya sempat menyiapkan buku ketiga yang melengkapkan trilogi siri... Itulah dia buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III yang masuk kilang percetakan Isnin baru ini!

Bayangkan... Buku itu masuk kilang hari Isnin... Belum siap pun lagi kerana percetakan akan memakan masa sekurang-kurangnya seminggu apalagi ketika semua orang sibuk bersedia menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan berlangsung tidak sampai 10 hari lagi. Tiba-tiba hari Selasa saudara Syed Munawar menghubungi saya untuk menghadiri program Resensi. Maka hari Rabu sempatlah saya membuat satu cetakan sendiri kulit buku BKA III yang boleh digunakan sebagai mock dalam temu-bual nanti.

Alhamdulillah temu-bual itu telah selesai dengan jayanya. Dan saya juga dapat menunjukkan bagaimana rupa buku BKA III yang dijadualkan (sudah letak di dalam buku bulan keluarannya) akan menemui khalayak ramai November ini. Temu-bual ini akan keluar di televisyen selepas Hari Raya pada satu tarikh yang akan diberitahu... Segalanya cukup cantik untuk menyaksikan BKA III bergerak lebih laju daripada BKA I dan BKA II, Insyaallah.

Pagi tadi pula saya baru selesai menyerahkan 1115 naskah BKA II untuk Perpustakaan Negara. Ini ditambah sedikit cerita yang baru diluahkan dalam blogspot-blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) membuat diri ini terasa begitu lega malam ini. Alhamdulillah! Maka terimalah sedikit lagi sedutan daripada BKA III sebagai hadiah untuk pembaca ya... Ini dia, daripada bab permulaan bertajuk "Mukadimah: Sedikit catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah" ! :]

--------------------------------

Pengalaman sebagai wartawan mengajar Rasyid bagaimana sesuatu peristiwa boleh diubah untuk memenuhi citarasa tertentu supaya boleh dihidangkan kepada khalayak ramai dengan tujuan mempengaruhi fikiran mereka ke arah mempercayai sesuatu perkara. Contohnya, selepas pulang daripada sebuah perhimpunan yang dianjurkan pihak tertentu, dia pernah ditanya berapa ramaikah manusia yang menghadiri perhimpunan itu...
Pemuda yang telah mempunyai banyak pengalaman menghadiri pelbagai acara besar melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat itupun menjawab 3,000 orang, mengikut anggaran mata kasarnya... Lalu diarahkan supaya meletakkan angka 1,000 dalam laporan berita untuk menggambarkan penyokong perhimpunan itu tidaklah seramai mana.
Pada ketika lain pula, perhimpunan yang dihadiri 3,000 orang disuruh "tingkatkan" menjadi 5,000 supaya mereka yang membaca laporan akhbar itu percaya, perhimpunan tersebut mendapat sokongan ramai. Pada pihak pengarang, ini adalah satu perkara biasa di dalam dunia kewartawanan... Sesuatu peristiwa itu boleh sahaja dilihat daripada berbagai sudut. Maka terpulanglah kepada kita untuk mengetengahkan yang mana…
Rasyid faham ada masanya suatu laporan itu perlu di"adjust", diubah-suai demi kepentingan negara... Salah satunya supaya tidak wujud huru-hara yang boleh menakutkan pelabur luar yang telah menyuntikkan berbillion Ringgit ke dalam ekonomi Malaysia. Hakikatnya, samada kita suka atau tidak, keutuhan kewangan negara juga bergantung kepada mereka.
Keadaan ini boleh diibaratkan begini: Jika diketahui ada pengganas telah menanam bom di dalam lapangan terbang, pihak keselamatan tidak boleh membuat pengumuman "lurus bendul" mengatakan terdapat sebiji bom menunggu masa untuk meletus. Ini akan menyebabkan orang-ramai panik, lagi susah hendak memperbetulkan keadaan. Maka sebuah alasan yang "lebih lembut" akan dikemukakan untuk mengajak mereka beredar ke tempat selamat sementara pihak yang berkebolehan mencari bom.
Tetapi pemuda itu tetap percaya, jika kita betul-betul jujur, betul-betul orang Islam, maka kita tahu sudut mana yang perlu diambil, sesuai dengan agama yang menyuruh kita menyampaikan apa yang benar mengikut kadar yang sesuai. Kalau untuk kepentingan orang ramai, untuk kemaslahatan umum dia tiada masalah untuk menyembunyikan sesetengah fakta. Tetapi kalau untuk menyelamatkan individu tertentu seperti yang sering terjadi di dalam realiti, hmm... Ini memang masalah...
Apapun, hakikatnya, samada anda suka atau tidak, whether you like it or not, itulah kenyataan hidup, realiti dunia hari ini… Bukan semua manusia bersifat jujur malah zaman sekarang ini cukup susah untuk mencari orang yang sanggup mengotakan perkara yang benar. Seringkali manusia cuma mahu menaikkan orang yang disokong sehingga membelakangkan atau menjatuhkan langsung orang yang tidak disukai. Wujud pula pertimbangan politik, wang ringgit serta untung rugi menyebabkan sesuatu artikel itu boleh diwarnai secukup rasa demi menjaga periuk nasi sendiri.
Sesuatu laporan, artikel ataupun rencana yang keluar di dada akhbar seringkali diterima sebagai kebenaran tanpa banyak soal. Sampai satu masa, ia akan menjadi dokumen sejarah serta sumber rujukan generasi akan datang lalu menjadi "bukti ilmiah" kerana telah didokumentasikan mengikut garis panduan yang boleh diterima ahli sejarah.
Ramai tidak sedar, jika asas sesuatu cerita itu sudah lari daripada kebenaran, apatah lagi bila ia menjadi rujukan sejarah? Lalu cerita-cerita yang telah diwarnai pihak berkepentingan boleh diterima masyarakat umum yang tidak sedar mereka telah ditipu bulat-bulat secara "lmiah". Tidak hairanlah nanti akan timbul cerita-cerita yang bercanggah.
Interpretasi sesuatu peristiwa siaran akhbar-akhbar rasmi yang mempunyai ramai pembaca lebih senang diterima sebagai cerita yang ‘sahih’ sedangkan pihak yang tertindas, yang ceritanya telah digelapkan pula tidak diendahkan. Mereka terpaksa "makan hati", disisih daripada pandangan serta sokongan majoriti. Maka pihak yang tertindas cuma dapat menyatakan kebenaran sesuatu peristiwa itu kepada orang-orang yang tertentu, mungkin di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat.
Begitu juga yang telah berlaku dahulukala... Sementara cerita ‘rasmi’ yang dijaja pihak yang berkuasa mewarnai sesuatu peristiwa diakui sebagai fakta sejarah yang tidak boleh disanggah, kebenaran yang disimpan pihak yang terpinggir pula cuma dapat dikekalkan turun-temurun melalui lisan dan ingatan. Lalu timbullah apa yang dinamakan atau dikenali sebagai cerita-cerita lisan atau cerita orang tua-tua, cerita-cerita yang selalunya dianggap sebagai mitos ataupun legenda sahaja oleh para pengkaji sejarah yang menggunakan "kaedah-kaedah ilmiah" apalagi jika cerita itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang tidak masuk akal...

Rabu, Oktober 03, 2007

Akal logik biasa kebanggaan Sains vs. Akal tinggi berdasarkan wahyu


Dan posting terakhir sekali malam ini, daripada bab bertajuk "Lagi catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah"... Anggaplah ini sebagai satu bentuk paradigm shift atau anjakan paradigma untuk menyediakan mereka yang sudah terbiasa bergantung pada akal logik untuk memasuki satu wilayah pemikiran tinggi yang melangkaui adat, ruang dan masa... Perkara-perkara mencarik adat seperti yang kita selalu dengar berlaku pada para Wali.
Bacalah! Bacalah dengan nama Tuhan mu yang mencipta dan mengajarmu dengan Qalam. Wassalam! :]

--------------------------

Memang Tuhan menyuruh kita menggunakan akal.... Bukankah akal itu disebut sebagai punca ketinggian martabat manusia sehingga melebihi malaikat yang terpelihara kesuciannya? Cuma ramai lupa terdapat dua jenis akal iaitu akal aqli dan akal naqli. Akal yang selalu kita gunakan dalam kehidupan harian adalah akal aqli, akal yang boleh menggapai maklumat melalui lima pancaindera zahir disertai kebolehan untuk memproses maklumat serta memahami konsep abstrak menggunakan urutan logik.
Misalnya kita boleh memahami peristiwa lampau yang tidak pernah disaksikan dengan mata-kepala sendiri melalui berbagai sumber seperti runtuhan kota dan batu nesan purba. Dengan cara ini, para pengkaji dapat mengenali sejarah manusia menggunakan cebisan-cebisan maklumat yang diperolehi dari pelbagai arah lalu diatur menjadi rumusan yang menepati konsep ruang dan masa. Masalahnya, melalui akal juga Saintis menyimpulkan manusia berasal daripada beruk! Penjelasan kitab suci seperti Al-Quran mengatakan manusia berasal dari Nabi Adam AS pula ditolak kerana kononnya tak selari dengan pemahaman akal yang ilmiah...
Melalui cara ilmiah juga terbitlah teori besar yang mengatakan alam ini dan segala isinya tercipta melalui Big Bang, satu letupan besar yang menerbitkan jirim-jirim bersama ruang dan masa lalu mengembang untuk membentuk alam ataupun universe. Daripada jirim-jirim tadi terbentuk pula bintang-bintang yang panas membara dengan suhu berbillion darjah Celsius sementara jirim yang terkumpul lalu menyejuk menjadi planet-planet serta bulan dan asteroid. Apabila sesuatu planet sudah cukup sejuk dan mengandungi elemen-elemen tertentu seperti karbon dan oksigen untuk menampung kehidupan, maka tecetuslah beberapa proses kimia sehingga terbentuknya kehidupan pertama dalam bentuk sel. Sel-sel ini pula akan bercantum menjadi kehidupan yang lebih kompleks dan besar.
Kehidupan lebih kompleks terus tercipta sehingga muncul binatang seperti ikan berjuta tahun kemudian. Menurut prinsip evolusi yang dipelopori Charles Darwin di mana spesis kehidupan boleh berubah bentuk dan fungsi untuk menyesuaikan diri mengikut keadaan semasa, ikan yang ‘tergerak’ untuk naik ke darat pula bertukar menjadi reptilia awal lalu membawa kepada kewujudan dinosaur. Seterusnya terciptalah mamalia seperti beruk... Daripadanya terbit kehidupan paling kompleks iaitu manusia atau homo sapiens dan itulah pegangan mereka yang bertuhankan akal. Maka jangan hairan jika manusia sekarang serupa dengan beruk!
Sekarang, tanyalah mereka yang mempunyai latarbelakang Sains peringkat tinggi, apakah asas sebenar di sebalik Teori Big Bang yang sering diagung-agungkan sebagai teori penciptaan alam. Tahukah anda ia cuma wujud selepas 1920an, selepas teori General Relativity ciptaan Albert Einstein, saintis German keturunan Yahudi diterima sebagai sahih? Teori yang dicipta menggunakan Matematik peringkat tinggi yang agak rumit iaitu konsep tensor calculus itu menyatakan alam ini sedang berkembang. Ini dibuktikan secara praktikal apabila seorang ahli astronomi yang menggunakan alatan tercanggih zaman itu mendapati fenomena red shift sedang berlaku di mana bintang-bintang di langit ternyata bergerak menjauhi satu sama lain.
Fenomena red shift ini ibarat fenomena Doppler Effect di mana kita boleh tahu samada sesuatu benda itu bergerak menjauhi kita atau semakin dekat berdasarkan bunyi yang kedengaran di telinga. Sepertimana bunyi siren ambulan akan menjadi semakin lantang dan tinggi apabila ambulan itu bergerak menghampiri lalu menjadi semakin sayup apabila melepasi kita... Kajian ahli astronomi ataupun ahli falak berdasarkan fenomena red shift menunjukkan alam ini semakin mengembang mengikut peredaran zaman. Lalu menurut logiknya, mestilah suatu masa dahulu ia dan segala objek di dalamnya seperti planet dan bintang-bintang pernah lebih rapat daripada sekarang. Makin diputar masa ke belakang makin rapat... Kesimpulannya, satu ketika iaitu berbilllion tahun dahulu, semua isi alam ini begitu rapat lalu membentuk satu titik yang tidak terbayang kepadatannya. Titik itulah yang meletup menjadi Big Bang lalu menerbitkan alam yang dikenali sekarang.
Sekarang fikirkan. Dari sudut lain, kita boleh menyoal, bagaimana para saintis boleh pasti tentang ini sedangkan mereka tidak pernah menyaksikan sendiri Big Bang berlaku. Begitu juga mereka tidak pernah melihat dinosaur hidup atau beruk bertukar menjadi manusia. Tetapi kalau kita menyuruh mereka percaya orang yang mati akan dibangkitkan kembali, mereka tidak mahu percaya atas alasan tiada siapa pun pernah bertemu orang yang mati hidup semula. Itulah jadinya apabila berharap pada akal semata.
Apapun alasan yang diberi, Allah Subhanahuwata’ala tetap menyaksikan segala sesuatu lalu mengajar manusia melalui lisan para Rasul dan Nabi serta petunjuk yang diberi kepada insan pilihan seperti para wali. Inilah contoh akal naqli yang mengatasi segala rumusan akal aqli.... Cuma kita perlu beriman dan meyakini apa yang diberi. Malangnya, rata-rata saintis tidak mahu menerima ini tetapi kita disuruh mempercayai segala kata mereka!
Menurut satu cabang pemikiran Sains, segala ilmu berkenaan hayat, hidup mati dan sebagainya boleh diungkap melalui ilmu Biologi. Maka ada yang berkata perasaan cinta yang terasa dalam hati manusia tidak lebih daripada permainan hormon tubuh yang menimbulkan satu rasa tertentu lalu dipanggil perasaan jatuh cinta. Menurut pemikiran ini lagi, ilmu Biologi boleh diungkap melalui ilmu Kimia. Seterusnya, gerakan biologi seperti hormon dalam badan yang kononnya menerbitkan rasa cinta tidak lebih daripada satu siri tindakbalas kimia molekul-molekul tertentu.
Tindakbalas kimia boleh dirungkai melalui hukum Fizik. Hukum Fizik pula boleh diterangkan dengan hukum dan bahasa Matematik. Maka itu terbitlah pendapat bersifat deteministic atau ketentuan yang menyatakan jika kita berjaya mencari satu equation atau formula berdasarkan hukum Matematik yang dapat merumuskan kaitan semua kuasa semulajadi dalam ilmu Fizik, maka kita boleh menjangka dan meramalkan segala sesuatu yang telah, sedang malah akan berlaku dan wujud dalam alam ini!
Mengikut hukum Fizik, semua fenomena boleh dikaitkan dengan satu atau beberapa daripada empat kuasa atau forces iaitu strong nuclear force (kuasa yang mengikat neutron dengan proton dalam atom), weak nuclear force (kuasa yang mengikat atom dengan atom untuk mewujudkan molekul), electromagnetisma (elektrik dan medan magnet yang saling berkait) dan graviti. Maka jika satu formula dapat dibentuk untuk mengaitkan kesemua kuasa ini, kita mampu mendapatkan jawapan bagi semua persoalan. Oleh kerana apa sahaja yang kita fikirkan adalah hasil tindakbalas kimia dalam otak yang boleh dirumuskan kepada hukum Fizik seterusnya Matematik, kita juga boleh meramalkan pemikiran manusia! Masalahnya, saintis masih belum menemui formula yang sesuai. Maka timbullah usaha pelbagai pihak untuk mencari apa yang dipanggil sebagai Grand Unified Field Theory...
Saya pernah turut terjerumus sama dalam arus pemikiran ini lalu cuba memahami teori-teori yang kononnya dapat memenuhi kriteria Grand Unified Field Theory. Antaranya adalah Superstring Theory yang cuba menerangkan hakikat alam melalui perkiraan Matematik banyak dimensi yang lebih bersifat akademik. Hakikatnya, teori-teori ini tidak lebih daripada andaian orang-orang yang terlalu mengagungkan akal sehingga lupa tentang kewujudan Tuhan. Akhirnya setelah begitu lama percaya bulat-bulat kepada Sains dan mencari jawaban kepada segala persoalan yang melanda jiwa melalui logik, saya pun ditunjukkan sedikit kebenaran yang haq.
Alhamdulillah, dengan rahmat Allah, saya dapat mengenal sedikit dan merasai kebenaran aqal naqli yang percaya kepada perkara-perkara ghaib. Dari situ, timbul kesedaran bahawa teori yang dapat mengaitkan semua fenomana alam bukan terletak pada kekuatan logik bersandarkan hukum-hukum Fizik dan Matematik tetapi pada kefahaman berserta keyakinan jitu tentang keberadaan Allah SWT. Bukankah Dia yang menyatukan segala-galanya? Tuhan yang Maha Esa punca segala sesuatu, zahir dan batin?
Sebab itu Surah al Ikhlas yang nilainya satu pertiga Al-Quran menyebut: Katakanlah, Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak atau diperanakkan. Dan tiada apapun setara dengannya. Nampak pendek tapi huraiannya, masyallah zaman berzaman takkan habis!

Kaitan Perang Salib dengan penjajahan Barat di Tanah Melayu...

Ini juga daripada bab bertajuk "Aceh sekarang: Bilakah kembali darussalam?"

---------------------------

Buku-buku sejarah rasmi dunia mencatatkan penemuan Amerika 1492 oleh Christopher Columbus adalah titik permulaan kuasa-kuasa Barat mula berminat ‘menerokai’ dunia selain Eropah dan wilayah sekeliling yang menjadi medan permainan mereka sejak zaman kegemilangan Yunani 2,500 tahun lalu. Pelayar terkenal Vasco de Gamma pula dicatatkan sebagai orang Eropah pertama menemukan laluan pelayaran ke India 1498 lalu membuka jalan untuk mengenali dunia sebelah Timur melalui laut. Ini adalah natijah daripada pengembaraan Bartholomew Diaz 1488 yang berjaya menemui laluan selamat melepasi Tanjung Harapan (Cape of Good Hope) di penghujung selatan benua Afrika yang terkenal sebagai kawasan bahaya ribut taufan. Warga Eropah pun mula mengenali tamadun-tamadun Islam Timur yang hebat seperti keSultanan Delhi yang menguasai benua Hindi sejak abad ke 13 serta keSultanan Melaka yang menguasai jalan perdagangan Timur-Barat sehingga pusatnya Kota Melaka dikenali sebagai Venice of the East sempena Venice di Italy, kota paling makmur di Eropah zaman itu.
Barat mula berdagang di Nusantara terutama dalam spice trade, perniagaan rempah, satu komoditi penting yang sangat diperlukan di Eropah tetapi dikawal melalui Melaka. Maka muncullah ungkapan terkenal penulis Portugis bernama Barbarosa: “Whoever is Lord in Melaka has his hand on the throat of Venice”. Sesiapa yang memerintah Melaka tangannya mencekak leher Venice. ‘Pos-pos’ perniagaan Barat mula didirikan di lokasi-lokasi penting seperti kota Melaka juga pusat kerajaan Samudera-Pasai… Tidak lama kemudian, Portugis ‘mendapat ilham’ untuk menakluki Goa di India (1510) dan kota Melaka (1511) sebelum ‘bersahabat’ dengan Haru di Sumatera untuk menakluki Pasai (1514)... Semuanya atas alasan untuk menguasai perdagangan dan itulah yang disebut dalam sejarah rasmi dunia.
Sekarang fikirkan… Adakah sejarah yang dikemukakan ini benar dan tepat? Kalau benar Vasco de Gamma adalah orang Eropah pertama menemui jalan ke India, bagaimanakah pemikir purba Yunani, Ptolemy yang diakui sejarahwan Barat sebagai salah seorang ahli falak dan pelukis peta (cartographer) teragung dahulukala boleh bercerita malah melukis sebuah peta purba yang agak lengkap tentang Golden Chersonese iaitu Semenanjung Tanah Melayu lebih 2,000 tahun lalu? Bagaimanakah orang Eropah zaman itu boleh mengenali Semenanjung sebagai bumi kaya-raya penuh emas malah menyatakan Mount Ophir atau Gunung Ledang sebagai sebuah lokasi utama Solomon’s Treasure, harta peninggalan Nabi Sulaiman?
Bagaimana pula tentang Marco Polo, pengembara Barat abad ke 13 dari Venice, Italy yang terkenal dengan kisah pengalamannya merentasi jalan darat the Silk Road atau Jalan Sutera yang menghubungkan Eropah dan Asia sampai ke benua China ketika ia sedang diperintah Kublai Khan (1216-1294), cucu Ghengiz Khan? Bukankah catatannya menyebut beliau pernah sampai dan singgah di Ferlec, ataupun Perlak 1292 melalui jalan laut yang merentasi Laut Cina Selatan dan Selat Melaka? Ketika kerajaan lama Islam itu sudah diserapkan ke bawah pemerintahan keSultanan Samudera-Pasai yang sedang dirajai pengasasnya Sultan Malikus Salih?
Kitab Hikayat Aceh pula menyinggung kedatangan awal Portugis di bumi Serambi Mekah apabila menyebut kisah kerajaan Mahkota Alam berjaya menakluki Darul Kamal menggunakan meriam daripada kapal Barat yang tenggelam di perairannya. Kajian rasmi sejarah menyatakan, ini berlaku semasa Sultan Munawar Shah memerintah 1490-1497, raja yang bertanggungjawab menyatukan kedua-dua kerajaan tersebut untuk membentuk keSultanan Aceh Darussalam. Fikirkanlah. Bagaimanakah kapal Barat itu boleh muncul dan tenggelam di perairan Aceh sedangkan sejarah rasmi dunia mendakwa orang Eropah baru mengenali laluan laut melepasi Afrika ke India melalui pelayaran Vasco de Gamma 1498?
Barat juga nampaknya cuba mewarnakan ‘ekspedisi’ mereka ke Timur sebagai innocent, sekadar demi memenuhi naluri mengembara seterusnya berdagang. Tetapi dengan menggunakan alasan ‘pedagang’ mereka ‘diganggu’ pemerintah tempatan seperti yang pernah terjadi di Melaka, mereka mampu menakluki Goa (1510), Melaka (1511) dan Pasai (1514) dalam tempoh yang singkat. Ini menunjukkan mereka sebenarnya sudah lama merancang untuk menakluki keSultanan-keSultanan Islam di Timur.
Ia adalah taktik jangka-panjang untuk menghancurkan kekuatan umat Islam sejagat yang diterajui Khalifahan Utmaniah di Turki, kuasa ketenteraan yang terhebat di dunia zaman itu. Bukankah sejarah membuktikan, penaklukan kerajaan-kerajaan Islam seluruh dunia yang berjalan lancar abad 17- 19 akhirnya menyaksikan kerajaan Uthmaniyah di Turki terkepung tanpa bantuan? Lalu melututlah ia apabila kalah kepada kuasa gabungan Barat dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918). Bukankah kekalahan itu menyebabkan Baitul Muqaddis terus terlepas daripada tangan umat Islam setelah sekian lama? Dan sampai sekarang ia tidak aman akibat penindasan demi penindasan yang dilakukan puak Yahudi Zionis.
Portugis yang merupakan kuasa laut terkuat Eropah abad ke 16 telah diberikan tugas untuk menundukkan Nusantara kerana Yahudi Zionis tahu Hadis Nabi tentang kebangkitan Islam daripada Timur. Tetapi terbukti keSultanan Aceh yang mewarisi peranan Melaka dan Samudera-Pasai amat liat untuk ditundukkan. Kemunculan Sultan Ali Mughayat Shah selepas kejatuhan Melaka 1511 menyaksikan baginda berjaya menyatukan kerajaan-kerajaan kecil yang berpecah-belah di bumi Serambi Mekah lalu menghalau Portugis keluar dari Samudera-Pasai (1524). Seterusnya baginda menakluki Haru supaya penjajah tidak boleh lagi bertapak di Sumatera.
Portugis cuba memperkudakan Johor pula untuk menawan Haru. Sebaliknya mereka dan sekutu Melayu itu telah dihalau keluar lagi malah kedudukan Portugis di Melaka pula tersepit akibat serangan demi serangan tentera Aceh. Selepas lebih seratus tahun mencuba, ternyata kuasa Barat itu tidak dapat memenuhi misi Yahudi Zionis di Timur. ‘Kebetulan’ pula tanah-air mereka di Eropah ditakluki Sepanyol 1580... Maka sampailah masanya untuk Belanda, kuasa laut baru Eropah abad ke 17 menonjolkan diri, kuasa besar yang jauh lebih licik dan kaya dengan tipu-helah sehingga berjaya menggunakan armada tentera Aceh untuk melemahkan kedudukan Portugis di Melaka seterusnya menduduki kota itu 1641.
Cerita ini ada dipanjangkan dalam Jilid 2, bab penutup bertajuk Perang Aceh-Portugis di Melaka1629. Di samping itu, untuk memastikan supaya ancaman Aceh dapat dikekang dan Barat boleh terus mengembangkan sayap, Yahudi Zionis telah merosakkan teras kerohanian rakyat bumi Serambi Mekah melalui konflik akidah seperti dihuraikan dalam bab “Angkara Nuruddin: Mulanya kejatuhan Aceh”. Tidak lama kemudian muncul Inggeris, kuasa terkuat Eropah selepas kekalahan panglima besar Peranchis dalam Perang Waterloo 18 Jun 1815. Selepas berjaya menakluki kebanyakan keSultanan di rantau ini, mereka pun ‘membelah-dua’ lalu memfaraidkan Nusantara melalui Perjanjian Inggeri-Belanda 1824.
Kedua-dua pihak ini diberi peranan tertentu dengan Belanda meningkatkan cengkaman ke atas wilayah-wilayah yang bakal menjadi Republik Indonesia sementara Inggeris ‘mengendalikan’ Singapura dan wilayah-wilayah yang bakal menjadi Malaysia. Sebab itu apabila bumi Serambi Mekah berjaya diduduki Belanda 1873, mereka berusaha bersungguh-sungguh supaya ia tidak dapat berdiri gagah lagi... Cara paling utama, lupuskan terus keSultanan Aceh dan ini dilakukan 1903.

Peta ular Zionis dan kemunculan Dajjal?

Assalamualaikum semua. Tiba-tiba timbul gerak untuk membuat beberapa preview daripada buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" yang akan keluar tidak lama lagi bermula dengan ini... Daripada bab bertajuk "Aceh sekarang: Bilakah kembali Darussalam?", tentang rancangan Yahudi Zionis untuk menakluki dunia... Sila baca! :]
Oh... Lupa nak beritahu. Artikel ini adalah sambungan terus daripada sedutan yang telah diletakkan di blogspot ini di bawah tajuk Kejatuhan Baitul Muqaddis: Sedikit tentang rancangan Zionis menakluki dunia... . Maka elok juga dibaca balik sebelum disambung pada yang ini ya... Teruskan...

-------------------------------------

Tidak menjadi rahsia konsep Zionisma yang meletak Yahudi sebagai bangsa terpilih yang harus memerintah dunia sebenarnya telah wujud lebih 2,000 tahun lalu sempena nama Bukit Zion ataupun Sion di Jerusalem. Mengikut kepercayaan mereka, ia adalah pusat pemerintahan Nabi Daud AS dan anaknya Nabi Sulaiman. Dengan ideologi politik berteraskan ‘kemuliaan’ bangsa Yahudi dan ‘hak semulajadi’ untuk memerintah dunia, Kongress Zionis 1907 menyaksikan tekad mereka untuk mendirikan negara Yahudi yang berpusat di Jerusalem. Apabila tamat Perang Dunia Kedua (1939-1945), the League of Nations dimansuhkan untuk memberi jalan kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Tidak lama kemudian, mandat Inggeris untuk memegang Palestin pun tamat dan pada 1948, negara Israel pula didirikan dengan sokongan Bangsa-bangsa Bersatu!
Fikirkanlah… Apakah ini semua berlaku secara kebetulan ataupun dirancang? Pada sesiapa yang pernah membaca dokumen The Protocols of the Elders of Zion, bukankah ini menepati grand-design atau rancangan besar jangka-panjang Zionis untuk menakluki dunia? Bukankah dokumen yang muncul sebelum abad ke 20 itu menyatakan mereka perlu menerbitkan beberapa perang dunia untuk mencapai matlamat ini? Malah ada kajian menyebut, Yahudi Zionis sudah membuat rencana untuk mencengkam dunia jauh lebih dahulu daripada kewujudan dokumen bertulis Protocols yang kemungkinan besar digariskan sekitar Kongres Zionis Sedunia 1897. Ini berdasarkan sebuah peta rahsia menunjukkan lambang simbolik ular Zion yang meliliti lokasi-lokasi terpilih pada zaman-zaman tertentu, bermula dari Yunani 429 Sebelum Masihi, satu tempoh masa yang ‘kebetulan’ telah menyaksikan kewujudan golongan pendatang sophist yang menghalalkan sistem demokrasi (baca balik Jilid 2, bab Demokrasi vs. Raja-raja).
Peta yang sama menunjukkan lilitan ular merangkumi Rome zaman Maharaja Augustus (69 SM), Madrid di Sepanyol zaman Raja Charles V (1552 Masihi), Paris 1790 (ketika Raja Louis XVI memerintah), London 1814 (selepas Napolean jatuh), Berlin selepas Perang Peranchis-Prussia (1871) dengan kepala ular berada di St. Petersburg, Russia 1881. ‘Kebetulan’ setiap tempat dan tempoh yang ‘disinggahi’ ular menyaksikan peristiwa-peristiwa besar yang mengubah suasana sosio-politik masyarakat setempat. Apakah peristiwa-peristiwa ini semuanya telah dirancang Yahudi Zionis?
Walaupun peta lama itu menunjukkan perjalanan ular ini ‘tamat’ 1881, para pengkaji percaya ia seterusnya ‘meliliti’ Amerika Syarikat awal abad ke 20. Ini bertepatan dengan penubuhan Federal Reserve, bank pusat Amerika yang mempunyai kesan yang amat besar dan menyeluruh terhadap perkembangan ekonomi dunia. Tidak lama kemudian, ular itu ‘kembali’ ke Russia, ke bandar-bandar Moscow, Kiev dan Odessa yang akan menjadi pusat-pusat militan Yahudi lalu menuju ke Istanbul, Turki (zaman Uthmaniyah) sebelum berakhir di Jerusalem wilayah Palestin.
‘Kebetulan’ lagi berlaku Perang Dunia Pertama yang menyaksikan keSultanan Turki Uthmaniyah melutut sebelum ‘dipancung’ terus oleh pemimpin golongan “Turki Muda” yang pro-Barat dan anti-Islam, iaituMustafa Kamal Attartuk. Ini diikuti kejatuhan Mekah dan Madinah ke tangan keluarga Bani Saud yang sangat memusuhi para Sharif anak cucu keturunan Rasulullah SAW. Akibatnya umat Islam seluruh dunia menjadi anak-anak yatim-piatu lalu tidak mampu menahan objektif Zionis yang seterusnya... Mewujudkan sebuah negara Yahudi di atas tanah Palestin.

................

Palestin yang mengandungi Jerusalem atau Baitul Muqaddis dianggap tanah suci penganut Islam, Kristian juga Yahudi. Ia jatuh ke tangan ummah penghujung abad ke 7 Masihi setelah bala-tentera Islam yang diketuai Panglima Amru bin Ash berjaya memukul mundur askar Rum dalam Pertempuran Yarmuk. Askar Islam pun bertemu ketumbukan baru musuh pimpinan Panglima Atrabun (Atravon) yang gagah berani lagi licik... Tetapi berkat petunjuk daripada Khalifah Umar Al-Khattab di Madinah, tentera ini berjaya diatasi sehingga mereka tersepit di Baitul Muqaddis.
Setelah lama terkepung, pihak musuh pun mengalah, Mereka menyerah diri dengan meminta Khalifah Umar sendiri datang mengambil kunci kota. Baginda memecah tradisi para pemerintah agung apabila datang dari Madinah menaiki unta bertemankan seorang bekas hamba sahaja! Sejak itu, Baitul Muqaddis terus diperintah Islam sehinggalah 400 tahun kemudian apabila ketua tertinggi gereja Khatolik, Pope Urban II ‘mendapat ilham’ lalu mengisytiharkan setiap penganut Kristian yang tampil ke hadapan untuk merampasnya akan diampunkan segala dosa dan dijamin masuk syurga.
Tahun 1096 menyaksikan 300,000 tentera gabungan Kristian daripada pelbagai kerajaan Eropah mendarat di Konstantinople, pusat empayar Kristian Byzantium. Ketika ummah sedang berpecah akibat persaingan Daulah Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad dengan Daulah Fatimiyah di Mesir untuk muncul sebagai pemerintah Islam terunggul, mereka merebut kembali beberapa wilayah taklukan Islam.Tiga tahun kemudian, seorang panglima utama mereka, Godfrey de Bouillon muncul sebagai wira Kristian apabila berjaya menawan Baitul Muqaddis. Beliau pun diangkat menjadi pemerintah pertama kerajaan baru the Kingdom of Jerusalem.
Kajian-kajian tertentu menunjukkan Godfrey juga adalah pemimpin tertinggi pergerakan Zionis lama yang dikenali sebagai Prieure de Sion (bahasa Peranchis) atau Priory of Sion di samping mengetuai kumpulan pahlawan militan Kristian Knights Templar yang sebenarnya adalah penyokong kuat Yahudi Zionis. Dia dikatakan berasal daripada keturunan raja-raja lama Dinasti Meronvingian yang pernah memerintah sebahagian besar Eropah Barat termasuk Peranchis dan German abad ke 5 hingga 8 Masihi.
Menurut satu dakwaan, keturunan ini terbit dari ‘perkahwinan’ Nabi Isa AS dengan Mary Magdelene. Rasul itu diketahui berasal daripada keturunan Nabi Daud AS, Raja Bani Israel yang memerintah di Jerusalem sekitar 1,000 tahun Sebelum Masihi... Lalu ada pihak menyebut Nabi Isa AS sebagai king of the Jews, raja orang-orang Yahudi yang tidak sempat bertakhta. Maka itu kemenangan Godfrey diwar-warkan sebagai sirih pulang ke gagang... Kononnya ‘keturunan’ Nabi Isa AS telah kembali untuk ‘mewarisi’ takhta pemerintahan Bani Israel yang berpusat di Jerusalem.
Di sini kita mesti berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan dakyah Yahudi Zionis…Ingat! Majoriti penganut Kristian mahupun Islam telah diajar untuk menolak apa-apa kemungkinan yang Nabi Isa AS pernah berkahwin... Maka itu siapakah sebenarnya Godfrey dan apakah hakikat asal-usul darah diraja Meronvingian? Apakah mungkin inilah keturunan jahat yang akan menerbitkan Dajal Al-Masih? Dajal bermata satu yang akan memimpin Yahudi untuk menakluki dunia akhir zaman nanti? Atau Dajal sudah pun wujud menunggu masa tercetusnya Perang Dunia Ketiga?

Isnin, Oktober 01, 2007

Buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" akan keluar tidak lama lagi!


Allah! Saya sebenarnya teringin hendak bercerita panjang tetapi kesuntukan masa. Maka cukuplah tajuk di atas menerangkan keadaan. Adapun buku ini (boleh panggil BKA III jika mahu) baru memasuki proses percetakan hari ini... Itu yang membuat saya teruja.

OK.. Ringkasnya, di bawah ini adalah pantun yang menghiasi kulit belakang buku.. Ini diikuti sebahagian daripada bab permulaan yang bertajuk "Mukadimah: Sedikit catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah".
Baiklah, saya harus bergegas keluar. Selamat berbuka puasa ya! Sekian...

Nota tambahan: Setelah berbuka puasa dengan tiga mangkuk bubur lambuk dan bersolat Maghrib di Masjid Jamek Kampung Baru, saya tergerak kembali ke Cyber-Cafe. Tadi saya ada menyebut mahu bercerita panjang bukan? Sebenarnya bukanlah panjang sangat. Setakat mahu memberitahu bahawa proses final editting buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" dalam format InDesign berjaya disiapkan pada satu pagi di surau Kampung Chemperoh, Janda Baik semalam. Di situ juga, setelah selesai solat Subuh, saya mendapat ilham untuk mencipta pantun yang menghiasi mukasurat belakang.
Petang semalam saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur... Tengok-tengok design kulit tidak cukup memuaskan hati... Maka malam semalam sehingga pagi buta banyak digunakan untuk menyelesaikan ini. Apapun Alhamdulillah, buku telah dihantar untuk percetakan tengahari tadi, 1 Oktober 2007 bersamaan 19 Ramadhan 1428 Hijriah. Cukuplah ya... Cari ia di pasaran nanti, Insyaallah masuk kedai November ini. Wassalam! :]
p/s: Oh... Tadi saya ada membuat postings untuk blogspot saya yang lain-lain... Silalah jenguk di Revisiting Teluk Intan the birth-place of my dad... dan Istana Raja Muda (The crown prince's palace), Teluk Intan, Perak . Sekian...



Dari Perak hingga ke Perlak,
Telah kususuri perjalanan yang mutlak,
Pergi jauh ke Timur Tengah,
Asal bermula Islam dan dakwah.

Samudera Darussalam punca berkembang,
Syiar yang asal sampai ke tujuan,
Satu Nusantara menjadi terang,
Demi menghadapi cabaran akhir zaman.

Melaka dan Aceh pembawa tali,
Hubungan Ilahi Melayu sejati,
Lama kucari diri dan erti,
Baru tertanggung rahsia abadi.

Kini semua sudah kufahami,
Punca diri menjadi dagang,
Sampailah masa menabur bakti,
Akhirnya sirih pulang ke gagang?


Satu ketika dahulu, pertengahan bulan Rejab, semasa penulisan asal buku “Berpetualang ke Aceh” hampir separuh siap (sebelum dipecahkan kepada tiga jilid), ayah angkat Rasyid, Pak Syed pernah masuk ke bilik tempatnya menulis di pejabat mereka di Gombak bertanyakan perkembangan terbaru penulisan buku. Alhamdulillah jawab pemuda itu, sudah 50 peratus siap… Dia telah merancang untuk meletakkan 29 bab termasuk mukadimah dan penutup, kerana gerak hatinya menyuruh memilih jumlah ini. Dan ketika itu, 15 bab telah pun berjaya disiapkan.
Ayah angkatnya berpesan: “Buatlah elok-elok. Kamu tu ada pelajaran tinggi, ada standard. Jangan ikut macam aku, tulis main ikut sedap sahaja, ikut sukahati apa yang aku rasa. Aku tingkatan tiga pun tak lepas...”
Jawab Rasyid: “Alah ayah, saya tak kisah pun samada saya ada pelajaran tinggi atau tidak. Pada saya tidak ada bezanya. Sama sahaja...”
Pak Syed menegur: “Eh tak boleh begitu! Kamu ada ijazah Matematik daripada London. Kena ingat itu. Penulisan kamu mestilah lebih logik, tak boleh menulis sembarangan seperti orang sastera yang tak perlu berfikir masuk akal ataupun tidak. Setiap yang kamu tulis mesti ada backing fakta yang kuat. Mesti jaga reputation kamu sebagai graduan Matematik!”
Rasyid terdiam sejenak. Memang suatu masa dahulu dia mempunyai reputation, sedikit nama sebagai seorang wartawan sebuah akhbar harian terkemuka berbahasa Inggeris yang berpusat di ibukota. Pemuda ini telah diajar bahawa setiap penulisan, setiap rencana dan artikel mesti mempunyai sokongan fakta kukuh yang boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah... Kerana ia akan dibaca beratus ribu, mungkin berjuta orang manusia!
Sebagai satu-satunya wartawan tanah-air yang diketahui memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik, anak kelahiran Muar, Johor ini juga mesti menunjukkan kebolehan yang setimpal dengan kelulusan dan taraf pemikirannya. Boleh dikatakan rata-rata wartawan lain jika mempunyai ijazah adalah di dalam bidang yang berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan. Kalau lain sedikit pun dalam bidang perundangan. Ramai yang tidak memiliki kelulusan tinggi kerana ini bukan keutamaan dalam bidang kewartawanan. Pendek kata, susah mahu mencari wartawan berkelulusan tinggi di dalam bidang sains apalagi Matematik, satu subjek yang paling kurang disenangi pelajar-pelajar Melayu di Malaysia.
Lagipun sejak kecil Rasyid dilatih berfikir secara logik. Latarbelakang Matematik yang memerlukan pemikiran kritis, berisi dan tajam pula memberikan pemuda itu kelebihan untuk menghuraikan sesuatu perkara sehingga ke akar umbi, di kala kebanyakan wartawan menemui jalan buntu... Atau tidak terlintas di benak fikiran mereka pun ada lagi perkara yang boleh digali mengenai sesuatu peristiwa untuk dibuat bahan berita.
Walaupun anak kelahiran Muar, Johor ini kemudiannya diletakkan ke meja sukan kerana perangainya yang suka berpakaian santai ke tempat kerja, dia mampu mengarang artikel-artikel harian yang melangkaui skop biasa liputan sukan. Lalu keadaan politik semasa, perancangan ekonomi negara dan wawasan Malaysia menuju taraf negara maju dapat dianalisa dan disatukan bersama karangan mengenai sesuatu acara sukan menjadi artikel padat yang boleh mendapat tempat di ruangan pojok pengarang.
Contohnya, di kala kebanyakan wartawan sukan sibuk membincangkan kehangatan dan kemeriahan yang bakal timbul apabila Malaysia buat pertama kalinya menjadi tuan rumah sukan lumba kereta Formula One di Sepang tahun 1999, Rasyid pula telah menganalisa kesan dan faedah acara besar ini untuk merancakkan pertumbuhan industri automobil, juga perolehan teknologi kejuruteraan tinggi demi melompatkan Malaysia menjadi negara maju seperti yang diimpikan dalam Wawasan 2020.
Di kala ramai mengkritik pembinaan litar-lumba antarabangsa Sepang yang menelan belanja hampir RM300 juta, juga kos penganjuran Malaysian Grand Prix yang memakan belanja berjuta Ringgit lagi sebagai projek gajah putih yang tidak membawa faedah, pemuda itu pula berjaya menghasilkan sebuah artikel sukan yang menyenarai serta menghuraikan kesan jangka panjang acara tersebut terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia, baik dari segi perkembangan industri permotoran, kesan penganjuran perlumbaan sebesar itu kepada golongan belia, juga faedahnya terhadap sektor perkhidmatan seperti perhotelan dan pelancungan. Sedangkan analisis sebegini biasanya cuma mampu dihasilkan wartawan perniagaan ataupun mereka di meja berita nasional yang jauh lebih berpengalaman.
Kelulusan Rasyid dalam bidang Matematik memberikannya sedikit kelebihan untuk melihat dan melangkaui sesuatu perkara jauh dari kebiasaan. Semuanya kerana kemampuan berfikir tinggi yang disokong latihan dalam kaedah analisis menggunakan prinsip-prinsip logik yang diterima-pakai pengajian sains. Tetapi dia tidak boleh terlalu berpegang kepada logik dalam menulis bukunya mengenai Aceh... Kerana separuh daripada perkara yang ingin diketengahkan melangkaui logik dan pemikiran akal biasa hingga ke tahap ‘gila’! Hingga ke tahap yang tidak layak disandarkan kepada mana-mana manusia yang mengaku mempunyai pendidikan tinggi apalagi di dalam bidang Sains dan Matematik. Contohnya kisah-kisah berkaitan para wali yang melibatkan perkara karamah juga beberapa cerita yang lebih senang dianggap sebagai legenda. Dan sesetengah ‘fakta’ yang dibongkar adalah dengan secara tidak sengaja, dengan mendapat ilham, mimpi serta alamat dan petunjuk menurut ‘gerak hati’.
Rasyid juga menggunakan cerita-cerita lama yang masih dipegang dan diyakini orang tertentu... Cerita-cerita yang rasanya memang tidak boleh diterima para pengkaji atau sejarahwan yang mengagung-agungkan kaedah ilmiah seperti yang disokong dokumentasi dan bahan bukti yang diterima umum. Pemuda ini ada sebab tersendiri untuk mengemukakan cerita-cerita sebegini, sekurang-kurangnya supaya ia tidak akan terkubur di telan zaman. Maka itu, hendak tidak hendak, dia terpaksa melangkaui logik akal biasa jika mahu menceritakan sejarah berkenaan bumi Aceh dan perkara berkaitan seperti yang terbuku dalam hati... Walaupun ia boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai seorang berpelajaran tinggi yang memiliki ijazah Matematik dari London seperti diingatkan Pak Syed.