
Salam pagi Jumaat 12 Rabiulawal 1446 Hijriah. Salam Maulidur Rasul. Sebetulnya baru selepas Subuh teringat hari ini malah malam tadi lagi, malam Jumaat lagi sudah hari Maulidur Rasul. Mungkin kerana kepenatan amat siang Khamis semalam ada mendaki bukit setinggi sekitar 400 meter seorang diri. Tak lah tinggi sangat namun sangat mencabar disebabkan bentuk muka bumi memerlukan turun naik tebing batuan besar hampir menegak di beberapa bahagian. Ini kerana perlu mendaki beberapa puncak sebelum dapat sampai ke puncak tertinggi. Laluan denai yang digunakan untuk turun pula sangat teruk bersemak malah berduri juga banyak pokok tumbang menghalang disebabkan bertahun tidak dilalui orang. Lalu proses mendaki dan turun memakan masa 7 jam.
Merujuk pada artikel Ringkasan aktiviti 12 hari terakhir Ogos yang dipersembahkan Rabu 3 September lewat malam Khamis. Ada dinyatakan siang sebelumnya Selasa (2 Sept) ada menghadiri majlis ilmu sepanjang hari di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Artikel pula dipersembahkan selepas menghadiri majlis ilmu di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Rabu malam Khamis. Sekarang biar dikongsikan sedikit cerita tentang majlis di ISTAC.
Poster bagi majlis. Ada pelancaran buku juga pelancaran satu institut baru tentang ASEAN (persatuan negara-negara Asia Tenggara) di bawah UIAM, badan induk yang menaungi ISTAC.
Saya sampai lewat lalu terlepas kedua-kedua pelancaran.
Ketika sampai Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir baru selesai melakukan pelancaran lalu hendak meninggalkan majlis.
Apapun, yang lebih mahu diikuti adalah pengisian berkenaan. Selepas pelancaran ada ucaptama oleh Duta Besar Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke diikuti Duta Besar Jepun, Shikata Noriyuki.
Secara rata mereka menerangkan peranan dan sumbangan negara masing-masing terhadap kelangsungan Malaysia dan ASEAN .
Seterusnya adalah perkongsian tentang apa yang boleh dilakukan untuk memajukan ASEAN dan peranan Malaysia dalam keadaan negara kita sedang menjadi pengerusi ASEAN. Ahli panel adalah Dr Phar Kim Beng yang merupakan Profesor Kajian ASEAN dan pengarah institut yang baru dilancarkan hari itu iaitu INTAS (Institute of International and ASEAN Studies - Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN), Chuah Yeo Hang yang merupakan pengarah urusan Inter-Asia Links, Profesor Madya Dr Chin Jit Kai dari Universiti Petronas dan penganalisa bebas Dato' Dr Hamzah Ahmad. Saya paling tertarik dengan perkongsian oleh Chuah. Dibesarkan di Gurun, Kedah beliau menjadi graduan cemerlang di Tokyo University lalu membina kerjaya yang agak luar biasa dalam bidang kewangan di Jepun dan peringkat antarabangsa.
Saya tertarik apabila diberitahu China tahun 1990an pernah meminta nasihat beliau bagaimana hendak memajukan negara mereka yang agak mundur ketika itu, pada kala masyarakat antarabangsa memandang serong (disebabkan ia negara komunis yang dilihat bersifat kuku besi, tidak menghormati 'hak asasi manusia') lalu memboikot. Nasihat beliau perlu mendapat pelaburan besar dari luar. Sebelum itu perlu meyakinkan pelabur antarabangsa terlebih dahulu. Caranya, dapatkan penilaian (rating) yang baik daripada penilai antarangsa. Kedua, turunkan nilai matawang negara (Renmimbi), yang saya dengar dari 5.5Yuan = USD1 menjadi 8.1Yuan = USD1. Chuah terlibat secara langsung dalam kedua-dua proses. Ini menyebabkan pelaburan masuk berbondong-bondong kerana kos untuk menghasilkan barangan dilihat sangat murah di China. Banyak kilang dibina, pekerjaan dicipta, lalu memacu kemajuan negara.
Jam 2 petang pula bermula seminar tentang perkara.
Sesi pertama adalah tentang menangani konflik di selatan Thailand. Bagaimana hendak membina keamanan dan kesejahteraan mendatang.
Rupa-rupanya tiada badan khas dalam sekretariat ASEAN untuk menangani perkara. Nampaknya disebabkan polisi tidak mahu campur tangan dalam masalah dalaman suatu negara. Sedangkan ia sebenarnya turut memberi kesan kepada negara lain.
Sesi kedua adalah tentang membina jambatan kepercayaan antara penganut agama Islam, agama Buddha dan ajaran Confucius. Dinyatakanlah 42% penduduk ASEAN adalah penganut Islam, 40% penganut Buddha sementara ajaran Conficius diamalkan oleh sebahagian penganut Buddha. Di negara China yang memiliki kepentingan hubungan dengan ASEAN pula ajaran Conficius menjadi amalan umum penduduk walaupun ia negara Komunis. Ia dilihat mempengaruhi cara hidup yang merentasi pegangan agama lalu turut diamalkan orang Islam di China. Kefahaman antara agama dan cara hidup masing-masing amat penting untuk keharmonian semua. Cukuplah perkongsian ini ya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan